Friday, May 19, 2017

PERHATIAN




Ini adalah buku nota kuliah tadabbur Surah Al-Ankabut yang disyarahkan oleh Yang Berbahagia Ustaz Kariman bin Abdul Muin di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar. Buku ini saya tulis untuk kegunaan dan kemudahan jemaah kuliah ini.
Untuk mendapatkan buku ini, sila hubungi pihak Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar atau WA menerusi talian 012 6567415. Untuk mengelakkan kesan jual-beli, mohon diniatkan infaq atau sedeqah. Moga diberkati Allah dan diterima sebagai amal yang mengalir. Allahumma Aamiin.

Terima Kasih,
Che Ramlah bt. Che Hassan.
Mei 2017

Monday, May 15, 2017

Pembetulan dalam E-Book


1.0]  Surah  Al-Ankabut (ayat 51) - Kuliah 50 - Istilah اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ - "Apakah tidak cukup bagi mereka?" - Istifham.

2.0] Mukasurat 289, kalimah أُولَاءِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ - mereka itu merekalah orang-orang yang rugi.

Monday, May 8, 2017

E-Book Tadabbur Surah al-'Ankabut

Sila klik disini untuk muaturun E-Book Tadabbur Surah al-'Ankabut Lengkap.

Tuesday, May 2, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 69) - Kuliah 71 - Ma'iatullah, Ma'iah 'Aammah, Ma'iah Khossoh, Muroqobah, Musyahadah, Sobirin, Muhsinin, Muttaqin, Cara merawat kesedihan,

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 69;


Ayat terakhir ini di bahagian pertamanya mempunyai kaitan erat dengan ayat pembuka surah ini. Jika dengan ayat di awal surah ini Allah kata bahawa orang-orang yang mendakwa beriman tidak akan dilepas begitu sahaja oleh Allah, sebaliknya akan diuji keimanannya dan pasti akan diuji sejauh mana kejujurannya, kebenaran dakwaannya itu kerana  terbukti dari sejarah iaitu ada orang yang mendakwa beriman dan kuat imannya tetapi setelah mendapat ujian barulah terserlah mana yang dusta seperti yang terdapat di dalam ayat 2 dan 3. Ayat terakhir ini ada kaitan dengan ayat pertama yakni jika seseorang itu jujur dalam dakwaannya bahawa dia orang mukmin, maka dia mestilah berjihad, dia mestilah membuktikannya.

2.0] Kita juga telah mempelajari tentang jihad, tentang tingkatan jihad (maratibul mujahadah) sepertimana yang telah dinyatakan oleh Ibnu Qayyim dan telah dijelaskan dalam kuliah yang lepas. Yang keduanya yang telah kita pelajari bahawa ini juga adalah ayat tabsyir, ayat penghibur kepada Nabi s.a.w dan pengikut setianya. Seberat apa pun perjuangan yang dijalankan, seberat mana pun ujian yang dihadapi, jika orang itu tetap mujahadah, istiqomah di jalan Allah dan kerana Allah (fisabilillah dan fillah), pasti akan Allah tunjukkan kepada mereka jalan-jalanNya, pasti akan diberi hidayah. Ini kerana Al-Iman (iman) bukan sekadar kalimah yang diucapkan tetapi Al-Iman yakni taklif (bebanan) yang mesti dilaksanakan, amanah yang mesti ditunaikan, jihad yang perlu ada kesabaran. Kesemua itu adalah perjuangan yang tidak mudah. Sesiapa yang tahan dengan ujian ini, nescaya Allah akan pandu dan bimbing dia ke jalan yang diredhoiNya. Ayat ini pula ditutupi oleh Allah dengan janjiNya yang luarbiasa, iaitu,"Dan sesungguhnya Allah itu sungguh bersama orang-orang yang berbuat baik".

3.0] Kesimpulan ketiga daripada ayat terakhir ini ialah terdapat 3 kumpulan manusia iaitu;
i) Ba'id - Orang yang sangat jauh daripada Allah, yakni orang kafir.
ii) Mutawassit - Orang yang mujahadah, iaitu masih di dalam proses membaiki diri.
iii) Al-Muhsinin - Orang yang sangat hampir dengan Allah dan punyai darjah yang paling tinggi disisi Allah.

Ayat-ayat sebelumnya menceritakan tentang orang-orang yang paling jauh dan zalim iaitu orang muftarin dan orang mukazzib dan di dalam ayat ini menujukkan golongan mutawassit dan golongan 'a'laddarajat atau aqrab ilallah (innallaha la ma'al muhsinin).

4.0] Sekarang tentang kalimah ma'a- bersama, "Innallaha ma'al muhsinin", yang bermakna "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat baik".

مَعِيَةُ الله
i) عَامَّة - الإحَاطَة بِالخَلْقِ
ii) خَاصَّة - شَخْصٌ - وَصْفٌ

Ma'iatullah - kebersamaan Allah, di dalam Al-Quran ada 2 iaitu;
i) Ma'iah 'aammah
ii) Ma'iah khoossoh

i) Ma'iah 'aammah - kebersamaan Allah yang bersifat umum. Ertinya Al-Ihaatoh bil khalqi - meliputi, menguasai,akan makhluk ciptaanNya, samada daripada pengetahuan atau ilmunya mahu pun kekuasaanNya. Maha mendengar, maha melihatnya, maha mentadbir dan maha mengurusnya. Tidak ada makhluk yang diciptakan oleh Allah yang terlepas daripada penguasaanNya atau terlepas daripada pengawasan dan pentadbiranNya. Maha suci Allah dari terlepas pandang, terlepas dengar, atau tidak perasan dia punya makhluk. Maha suci Allah daripada kehilangan makhlukNya sehingga terpaksa mencari-cari. Maha suci Allah daripada lupa telah mencipta makhlukNya dan ini berlaku bagi semua makhluk ciptaanNya yang ada di bumi, yang besar yang kecil, yang hidup dan yang mati, yang kafir dan yang mukmin. Allah ihaatoh, meliputi dari segi ilmuNya, kekuasaanNya, pendengaranNya dan sebagaiNya. Ini makna ma'a atau ma'iah yang pertama, yang lebih menunjukkan betapa berkuasaNya Allah terhadap makhlukNya. Bukan menunjukkan betapa mulianya makhluk disisi Allah. Ma'iah 'aammah ini dijelaskan oleh Allah contohnya di dalam surah Al-Hadid ayat 4;

Kalimah "wa huwa ma'akum", "Dan Dia bersama kamu", seluruh makhluk, tidak kira kafir atau muslim. Kebersamaan ini Al-Ihaatoh bil-Kholqi, meliputi dengan ciptaanNya. Allah mustahil terlepas pandang, atau tidak perasan sehingga kita boleh menipunya, memperdayakanNya. Ma'iah 'aammah, betapa besar kuasaNya, betapa luas ilmuNya, betapa teratur dan sempurna pentadbiranNya. Susah untuk kita membayangkan seberapa besar, seberapa agung, seberapa hebat kekuasaan Allah terhadap makhluk ciptaanNya. Dan ma'iah Allah juga sentiasa melihat apa yang kamu kerjakan, yang kamu lakukan. Contoh kedua ma'iah 'aammah dalam surah Al-Mujadalah ayat 7;



Kalimah "illa huwa ma'ahum ainama kaanu" yang bermaksud, "melainkan Dia berada bersama mereka di manapun mereka berada". "Kenapa Allah sentiasa bersama makhlukNya dimana sahaja dan mengetahui apa yang mereka lakukan di dunia?", Allah mengetahui dan Allah akan memberitahukan kepada manusia apa yang Allah telah ketahui. Tidak ada yang Allah terlepas pandang samada ketika seseorang itu berdua, bertiga, berempat, bahkan ketika keseorangan diri. Allah mengetahui segala sesuatu.

Jika begitu kata Al-Quran, lalu kenapa pula Nabi s.a.w memberitahu kita, "Tidak ada seseorang yang berduaan dengan selain muhrimnya kecuali syaitan yang ketiga". Itu hadith soheh. Di dalam ayat ini pula, menyatakan bahawa tidak ada seseorang itu dalam keadaan keseorangan atau ramai melainkan Allah ada bersamanya. Jadi macamana ini? Ma'iah 'aammah, Allah hendak menunjukkan kebesaran, kekuasaan, keluasan ilmuNya, kedahsyatan pentadbiranNya, ketelitianNya, kudratNya. Apa tujuannya Allah beritahu bahawa di manapun kita berada, seorang diri atau ramai, hatta ketika berada di dalam gua yang gelap gelita, kita hendaklah sentiasa yakin yang kita sedang diperhatikan. Jika kita patuh bisikan syaitan, Alah perhatikan. Jika kita menafikan atau menolak bisikan syaitan pun Allah perhatikan. Lalu lahirlah sifat muroqobah. Kalau kita belum mampu musyahadah, minima muroqobah. Orang yang boleh musyahadah atau paling tidak muroqobah, itulah orang muhsinin. Perbuatannya namanya ihsan. Nabi s.a.w menafsirkan ihsan sebagai, "Engkau mengabdikan diri kamu kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya", itu namanya musyahadah. Jika engkau tidak mampu melakukan musyahadah kerana itu peringkat tinggi dan memerlukan latihan dan mujahadah yang lebih, tetapi yakinlah kamu bahawa Allah sentiasa memperhatikan kamu, mengawasi kamu, Sentiasalah merasa diawasi Allah, kerana Allah tidak pernah berpisah dengan diri hambaNya, bila-bila, dimana sahaja.

Benarlah apabila manusia berduaan dengan yang bukan mahramnya, maka akan ada syaitan seperti yang Nabi s.a.w katakan dan seperti Al-Quran kata bahawa Allah juga ada. Apabila kita yakin bahawa Allah ada bersama kita, sedang memerhatikan kita, maka akan timbul rasa takut, tidak berani untuk membuat sesuatu yang pelik-pelik dan apabila seseorang tadi berfikir begitu, syaitan yang menemani kita akan lari. Larinya syaitan bergantung atas sikap kita, keyakinan kita, kepada ma'iatullah yang 'aammah ini. Tetapi jika kita tidak musyahadah atau muroqobah, maka syaitan tidak mahu lari malahan akan memeluk-cium kita erat-erat. Itu tujuan meyakini ma'iah 'aammah. Tidak kiralah mukmin atau kafir, percaya atau tidak, sebab Allah ingatkan bahawa Dia berada di mana sahaja hambaNya berada.

"Wa huwa ma'akum", yang bermaksud, "Dan Dia bersama kamu". Bagus juga ayat ini dijadikan hiasan dinding, sebagai kaligrafi cantik digantung di dinding bilik-bilk hotel, dengan terjemahan dalam 7 bahasa (sebab orang melancung adalah dari pelbagai bangsa dan bahasa). Ketika lampu bilik ditutup atau digelapkan, tulisan ini malah mengeluarkan cahaya, "Bila kamu berdua, Aku yang ketiga!". Bagus sebegitu sebagai ingatan.

Jika setiap orang merasakan, meyakini akan ma'iah 'aammah, kemudian menimbulkan rasa muroqobah maka dunia akan aman. Tidak akan ada khuwatir, tidak akan ada orang yang meragut, tidak takut walaupun tidak menutup pintu rumah atau meninggalkan kereta yang tidak dimatikan enjin di tempat parking, sebab semua merasa diperhatikan. Dunia pasti makmur. dan tidak perlu cipta undang-undang. Hanya perlu menanamkan muroqobah, meyakini akan ma'iah 'aammah. Tidak ada satu sen pun benda yang hilang kerana masing-masing merasa diawasi oleh Yang Maha Mengetahui. Hanya takut kepada Yang Menciptakan kita, untuk timbulkan rasa gerun. Meyakininya sahaja belum cukup tanpa merasakan kesannya.

Pencuri yang paling jahat pun,(katalah beliau seorang muslim), apabila ditanya, "Awak yakin bahawa Allah melihat?","Yakin!" "Apa nama  Allah Yang Maha Melihat?" "'Alim, Basir', Yang Maha mengetahui Maha mendengar". Apabila dia yakin tetapi kenapa mencuri juga?. Jawapannya ialah kerana dia tidak merasa dilihat. Setakat yakin Allah Maha Mendengar, belum tentu orang itu baik. "Anda yakin Allah Maha Mendengar?", "Yakin", "Apa namaNya?", "As-Sami'". "Allah dengar semua suara?", "Ya", "Walaupun suara semut?", "Ya", "Walaupun suara yang tidak mengeluarkan suara?". "Ya. Yakin". Tetapi belum cukup dengan hanya meyakini untuk membuat seseorang itu menjadi baik jika dia tidak merasa didengar. Sebab itulah masih juga mengumpat, walaupun sudah bergelar haji dan hajah. Kerana tidak merasa didengar oleh Allah, dia fikir Allah terlepas pandang.

Yang boleh menjadikan orang baik ialah apabila dia sudah mencapai muhsinin. Nabi s.a.w bersabda, "Buat yang disuruh, tinggalkan yang ditegah dan sentiasa merasa seakan-akan kamu melihat Allah, itu namanya musyahadah. Jika kamu belum mencapai itu, minima muroqobah. Untuk dapatkan muroqobah, kena yakin adanya ma'iah 'aammah yang  ihaatoh bil kholqi 'ilman waqudratan.

5.0] Yang kedua ialah ma'iah khossoh (khusus), iaitu kebersamaan Allah bukan berkaitan dengan ihaatoh tetapi berkaitan dengan An-Nasru iaitu pertolongan, bimbingan, kekuatan dan yang semakna dengannya. Apabila Allah kata ma'a yang kedua ini, menunjukkan kemuliaan kita hambanya, yakni kebersamaan Allah dengan orang itu kerana orangnya dan Allah bersama seseorang itu kerana sifatnya. Kebersamaan Allah itu dari segi Allah sedia menolongnya apabila dia memerlukan. Allah sedia berikan kekuatan jika dia lemah. Allah sedia membantunya jika dia ada masalah. Allah sedia menyelamatkan dan melindunginya dari bahaya dan musibah kerana ma'iah khossoh ini menunjukkan ketinggian darjah, kemuliaan hamba tersebut, dan siapa yang mendapat ma'iah khossoh ini samada kerana orangnya (sakhsun), atau pun sebab sifatnya (wasfun). Kalau kerana orang mungkin terhad, tetapi kerana sifat, siapa sahaja boleh, asal dia mempunyai sifat yang Allah sebut. Ma'iah khossoh kerana orangnya adalah terhad dan tidak banyak dan kita tidak boleh mendakwa bahawa itu adalah kita. Lihat surah Ta Ha ayat 46;


Ini berkaitan dengan ma'iah Allah yang khossoh bagi orang yang tertentu, yang khusus. Ketika Allah perintahkan Nabi Musa a.s  dan Nabi Harun a.s untuk menyampaikan risalah Allah kepada fir'aun dan pengikutnya. Musa a.s tiba-tiba timbul rasa khawatir kerana Musa a.s ingat perbuatannya yang pernah dilakukan lebihkurang 10 tahun yang lalu. yakni dia telah membunuh dengan tidak sengaja seorang kaum Qibti. Jadi Musa a.s takut apabila berjumpa fir'aun takut jika sekiranya belum sempat menyampaikan risalah Allah itu, fir'aun sudah menangkapnya dan membunuhnya. Bukan takut mati dalam menyampaikan dakwah tetapi takut mati sebelum dakwah disampaikan. Walaupun ia sudah ada wazir, (pembantu dan penolong) yakni Harun. Kemudian Allah beri jaminan supaya jangan takut dan sampaikanlah risalah kepada mereka. 10 tahun Musa a.s dicari oleh fir'aun, Musa a.s menjadi orang buruan, dan tiba-tiba muncul di depan mereka. Tuhan kata,"Jangan takut, sesungguhnya Aku bersama kamu berdua, dan Aku mendengar dan melihat". "Jangan khawatir".

6.0] Adakah masih ada rasa takut jika Allah telah menjadi penjamin kita?. Contohnya apabila berdepan dengan harimau pun, "Jangan takut, harimau itu makhluk Aku dan kamu pun makhluk Aku. Aku tahulah macamana untuk menundukkan harimau itu, walaupun ia sudah mengigit kamu. Aku tahu bagaimana untuk menumpulkan taringnya. Jika ia ingin menerkam kamu, Aku tahu untuk tiba-tiba jadikan dia terkena stroke". Apabila Allah telah memberi jaminan keselamatan, kenapa masih takut? masuk ke dalam kandang harimau sekali pun, hati yakin yang Allah bersama. "Jika kamu ada masalah mintalah kepadaKu, nescaya Aku akan hantarkan bantuan. Inilah ma'iah khossoh dan ia menunjukkan ketinggian maqam kemuliaan hambaNya itu, menunjukkan kekhasan untuk orang pilihan. [Nota; Jangan terpukau dengan Bahasa arab, tidak semestinya dengan menggunakan istilah dalam Bahasa Arab akan merasa lebih Islamik. Apa kamu fikir bahawa setiap Arab itu muslim? Bagaimana jika seorang penyanyi Arab datang kesini dan memakai jubah, lalu dianggap sebagai syeikh dan dijemput bersyarah di masjid. Jangan tersilau dengan luaran. Juga bila bercakap, jangan dicampur-campur. Bahasa Arab, gunakan lahjah Arab yang fasih, Bahasa Melayu gunakan sebutan melayu yang tepat. Bahasa Arab, bahasa Al-Quran, mesti disebut dengan betul terutamanya ketika membaca Al-Quran. Oleh itu perlu tahu dan fahami sedikit sebanyak Bahasa Arab].

7.0] Contoh kedua, kekhassan, sakhsun, makhsus, pesona tertentu. Rujuk surah At-Taubah ayat 40;

Di dalam ayat ini terdapat contoh ma'iah Allah yang khossoh. Pertolongan Allah kepada orang yang punyai maqam tertinggi, iaitu Nabi Muhammad s.a.w dan sahabatnya Abu Bakrin As-Siddiq radhiallahu 'anhu. [Nota; Ahli sunnah wal jamaah meyakini ia ialah Abu Bakar As-Siddiq, radhiallahu 'anhu, manakala kaum Syi'ah tidak mengakuinya]. Allah telah memerintahkan umat Islam untuk pergi berperang Tabuk, suatu perkara yang berat, kerana jauh, pada musim panas, terkena pula pada musim menuai tamar, mereka pula baru sahaja balik dari berperang, terpaksa keluarkan belanja sendiri, dan terpaksa berjalan kaki. Tabut berada 91 kilometer dari kota Madinah dan ketika tiada orang yang akan menolong, sungguh Allah yang menolong. Nabi dan sahabatnya itu berhijrah ke Madinah, Ketika Nabi s.a.w dan sahabatnya itu mencari perlindungan di ghar (gua kecil), Nabi s.a.w memberitahu sahabatnya itu, "La tahzan, innallahama'ana" yang bermaksud, "Jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita". Nabi s.a.w berkata begitu lantaran melihat sahabatnya itu berjalan berpindah-randah, sekali ke hadapan, sekali ke belakang, sekali ke kiri dan kemudian ke kanan. Nabi s.a.w merasa pelik dan bertanya kenapa. "Benar, Ya Rasulullah, apabila aku berjalan di hadapan mu aku teringat ada musuh dari belakang, lalu aku pindah ke belakang. Ketika  aku berjalan di belakang, aku teringat musuh berada di hadapan mu, jika ada anak panah sekali pun biar mengenaiku dahulu,". Sahabat Nabi s.a.w, Abu Bakar, gelisahnya luar biasa demi merasa bertanggung-jawab untuk menjaga keselamatan diri Nabi s.a.w. Bukan semata-mata sebab ingin menjaga menantu, tetapi lantaran ingin menjaga seorang Nabi yang dikasihi. Nabi s.a.w menasihati Abu Bakar, "Innallaha ma'ana", "Sesungguhnya Allah bersama kita". Ma'ana ini ialah ma'iah khossoh, yang tidak sama dengan ma'iah 'aammah yang juga Allah berikan kepada orang kafir juga. Nabi s.a.w menasihati Abu Bakar, dan Abu Bakar merasakan keyakinan itu lalu Allah turunkan ketenangan (sakinah) kepada Abu Bakar. Hilang kegelisahannya. Jadi untuk menghalau keghalawan, kesedihan hati, yakinlah akan ma'iah Allah, nanti masalah itu akan selesai.Tolong dijawab dengan nasihat sebegini jika ada orang yang bertanyakan petua untuk hindari kesedihan dan kegelisahan hati. Ada yang bertanya , "Ada apa-apa ayat untuk rawati kesedihan?". Jawapannya ialah kita kena yakini  dengan ma'iah Allah, barulah Allah akan beri sakinah" "Kalau setakat membaca ayat-ayat tertentu tidak akan menjadi tanpa ada keyakinan tentang ma'iatullah".

Allah bagi sakinah dan Allah bagi kekuatan kepada Abu Bakar untuk menjadi kuat jiwanya, azamnya, fizikalnya. Allah utuskan tenteraNya yang tidak dapat dilihat iaitu malaikat. Di dalam sirah Nabi s.a.w, "Jika mereka tunduk sedikit tentu mereka nampak Nabi s.a.w dan Abu Bakar yang sedang bersembunyi itu". "Apa yang menghalang si munafiq daripada tunduk?. Adakah dia sakit pinggang atau sakit tengkuk?" Jawapannya "Tidak, tetapi begitulah caranya Allah mendatangkan pertolongannya. Begitulah cara Allah menghalang dengan mudah". Tidak semestinya pertolongan Allah itu datang dengan cara yang dahsyat-dahsyat seperti tiba2 pinggang sakit, atau tiba-tiba tidak boleh bergerak, atau  ada unta gila mengejar dan sebagainya. Katakanlah jika orang mengepung rumah seseorang dengan pelbagai senjata untuk membunuhnya, dan jika Allah ingin menolong orang itu dengan ma'iah khossoh, tidak perlu Allah hantarkan petir atau angin puting beliung, memada dengan Allah bagi mengantuk sahaja kepada orang yang mengepung itu. Mengantuk itu adalah tentera Allah yang paling lemah yang membuatkan orang di dalam rumah tertidur dan orang yang mengepung juga tertidur sehingga pagi. Allah Maha Berkuasa, apabila hendak menolong hambaNya, dihantar tenteraNya, bumi dan langit dan isinya. Tidak semestinya benda yang dahsyat-dahsyat. Mungkin hanya dengan mengantuk atau mungkin hanya dengan nyamuk, atau mungkin dicampakkan rasa takut ke dalam hati orang yang menyebabkan orang itu lari. Tidak payah mengharap Allah menghantarkan petir untuk kalahkan musuh.

8.0] Allah jadikan kalimah atau fahaman, atau ideologi orang kafir dibawah dan kalimah Allah diatas. Ma'ana disini ialah ma'iah khossoh, yang diberi kepada orang yang maqamnya tinggi disisi Allah, yang tertentu sahaja. Tentulah Allah ada pertimbangan, penilaian dari segi kebijksanaanNya sendiri, dengan ketinggian ilmuNya. Contoh yang diberi seperti Nabi Musa a.s sebagai utusan Allah dan Harun sebagai pembantunya manakala Nabi Muhammad s.a.w utusan Allah dan Abu Bakar sahabatnya. Bersahabat dengan Nabi pun bertuah, boleh menumpang dua kaki. Katalah jika Abu Bakar yang dikejar oleh orang kafir tadi tidak bersama Nabi s.a.w, mungkin tidak diperlakukan Allah seperti itu. Abu Bakar yang bersahabat dengan Nabi s.a.w, apa lagi hatinya ikhlas menjaga dan melindungi Nabi s.a.w, sanggup berkorban apa sahaja. Inilah orang-orang hebat yang Allah beri ma'iah kerana sakhsunnya (orangnya) bukan kerana wasfunnya (sifatnya). Jika ma'iah khossoh kerana sakhsun, jumlahnya terhad, apa yang disebut oleh Al-Quran itu sahaja, dan kita tidak boleh kata. "Agak-agaknya kita dapat ma'iah khossoh", dan ianya berlaku sehingga hari kiamat, tetapi ma'iah wasfun masih terbuka dan jemaah semua boleh isi sendiri. Siapa orang yang Allah beri ma'iah khossoh kerana wasfunnya, kerana sifatnya, rujuk surah Al-Baqarah ayat 153;

Minta pertolongan (isti'anah) daripada Allah dengan sabar dan solat. Kita mesti sedar apabila kita ada masaalah  atau dalam kesusahan. Syarat pertama, kenal pasti dahulu masaalah kita kerana orang yang tidak merasa ada masaalah akan merasa sambil lewa sahaja. Yang kedua kita mesti merasa diri kita lemah, tidak berdaya, barulah kita memohon pertolongan Allah dengan sabar (imsak) iaitu dengan menahan diri, menahan keinginan yang tidak baik, menahan nafsu yang tidak baik. Jangan memaksa Allah, jangan menyuruh Allah, jangan mengugut Allah, memberi cadangan pun tidak boleh. Contohnya,"Ya Allah, setelah hambaMu berfikir panjang, membuat kajian, mendapat nasihat daripada pakar, apa yang hambaMu mahu adalah yang terbaik, sebab itu tiada alasan bagiMu untuk tidak mengkabulkannya". Doa sedemikian adalah gagal, tidak akan dapat menembusi langit pertama. Untuk melepasi bumbung rumah pun tidak dapat.

Syarat kedua ialah meminta pertolongan Allah dengan solat. Jadikan  solat itu, sarana atau wasilah untuk kita isti'anah (meminta tolong). Jangan lupa Nabi s.a.w punya masaalah tentang kiblat. Setiap kali bersolat menghadap ke Baitul Maqdis, Nabi s.a.w berharap  agar ia dapat mengadap ke Baitullah, dan Allah tahu itu. Bila Allah qabulkan? Ketika Nabi s.a.w sedang solat, 2 rakaat mengadap ke Baitul Maqdis dan kemudian diperintahkan bertukar qiblat ke Baitullah, 2 rakaat. Selepas 16 bulan Nabi berdoa dan memohon, Nabi s.a.w jadikan solat itu wasilah untuk berdoa, dan Allah qabulkan doa Nabi s.a.w ketika Nabi s.a.w sedang solat. Sebab itu semasa solat, rajin-rajinlah berdoa. Jangan lah solat cincai tetapi berdoa panjang-panjang. Berdoalah sewaktu solat. Jika seseorang meninggalkan yang paling utama untuk melakukan yang kurang utama, itu talbis syaitan.

9.0] Nabi Zakaria a.s apa masaalahnya?. Dia tidak punya jenerasi penerus, sebab dia tidak punya pengganti kerana tidak punya adik atau sepupu. Oleh sebab itu dia memohon untuk mendapatkan anak, walaupun dia tahu dia sudah lanjut usia dan isterinya pula mandul. Itu masaalahnya, dan dia terbawa-bawa semasa solatnya. Bila Allah qabulkan doa Nabi Zakaria? Semasa solatnya juga kerana dia jadikan solat sebagai wasilah.

10.0] Masaalah besar itu maknanya jika kita dapat kita beruntung dan bila tidak dapat kita rugi-seruginya dan celaka. "Apa masaalah kita yang terbesar?", Jawapannya ialah untuk mendapat maghfirah Allah iaitu untuk mendapat pengampunan Allah. "Siapa diantara kita yang berani mengaku tidak punya dosa atau mengaku dosanya telah diampuni Allah.?"."Tiada, semua orang belum yaqin tentang itu, sedangkan jika kita mati dan dosa belum terampun, tempatnya di neraka". Jadi itulah masaalah kita yang paling besar, lebih besar daripada masalah anak yang tidak lulus SPM atau anak tidak mendapat 5A. Jika anak mendapat 5B, demam seminggu, seolah qiamat masa depan. Sebenarnya kalau tidak mendapat pengampunan pasti neraka, sedangkan hari ini, belum yakin dapat pengampunan. Jadikan solat itu sebagai wasilah berdoa, pasti menangis-nangis jika sudah dapat hayati makna ucapan antara dua sujud dalam solat. Jangan jadikan solat yang ingin segera habis, tetapi berdoa yang dipanjang-panjangkan.

11.0] Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar, ini ma'iah khossoh, ertinya kalau kita punya sabar, ma'iah 'aammah dan khossoh, Allah bersedia lindungi kita kerana kita punya sifat khusus. yakni sabar dan sabar ini peluang yang Allah beri kepada sesiapa sahaja. Sebab itu jumlah orang yang Allah beri ma'iah khossoh kerana sifat, sangat ramai dan sentiasa ada, tetapi ma'iah khossoh yang diberi kepada sakhsun sudah tidak ada sebab Allah sudah tidak sebut lagi di dalam Al-Quran. Sakhsun terhad, syarat kena dipatuhi, asal ada sabar pasti Allah akan memberi. "Aku akan memberi apabila kamu meminta, Aku akan menolong apabila kamu inginkan pertolongan,, Aku sentiasa perhatikan dimana musuh kamu berada, jangan khawatir, syaratnya sabar. Sabar itu sifat bukan nama orang.

12.0] Bagaimana jika sabar itu susah?.Rujuk surah Al-Baqarah ayat 194;


Jika  sabar itu susah, kita masih ada peluang kedua iaitu bertaqwa kepada Allah. Muttaqin ialah lazimah, isim fail, maknanya melekat, ketaqwaannya telah melekat. Contohnya bukan sekadar menyanyi tetapi penyanyi. Bukan sekadar menunggang kuda tetapi penunggang kuda.

13.0] Jika belum dapat capai tingkat muttaqin, rujuk surah An-Nahl ayat 128;

Kalimah muhsinun di dalam ayat di atas bermakna orang-orang yang berbuat baik, Ma'a disini ialah fiil yang belum mantap, ma'iah khossoh. "Jika seseorang itu belum mencapai muttaqin pun Allah sudah bersedia menyertainya, memberi pertolongan dan perlindungan, penjagaan, pembelaan", begitu kata Ibnu Roja'. Ini ma'iah khossoh kerana sifatnya bukan kerana orangnya. dan masih terbuka sehingga ke hari qiamat.

14.0] Ada pun yang pertama, ma'iah 'aammah, tidak perlu diminta, itu sifat Allah lantaran Allah menunjukkan kekuasaanNya berbeza dengan ma'iah khossoh yang menunjukkan ketinggian maqam atau darjah seseorang hamba. Mungkin kerana orangnya seperti para nabi, sakhsun, peribadinya dan mungkin kerana sifat hamba itu. Itu peluang keemasan bagi setiap kita juga.

15.0] Tiada kebahagiaan sejati dunia dan akhirat selain kebahagiaan yang didapati oleh seseorang kerana ma'iah khossoh Allah. Tiada ketenangan yang lebih dari itu, ibarat tinggal di dalam rumah yang tiada pintu pun tenang, di beri makan sekali  atau dua hari sekali pun tenang; Tetapi apabila Allah tidak ma'iah tiada ma'iah yang keduanya. Jangankan tinggal di stinggan garden, tinggal di bungalow sebesar Stadium Shah Alam, pun takut. apalagi jika hanya tinggal berdua. Duduk di dalam air-con pun terasa panas jika tiada ma'iah, Jangankan tiada makan, makanan banyak bermacam-macam pun terasa lapar juga. Jangankan tiada duit, duit banyak tak boleh dikira pun jadi bingung. Jangankan tiada bilik tidur, bilik tidur yang super mewah tetapi tidak boleh tidur, atau bilik tidur yang sederhana tetapi pantang letak kepala terus belayar, tiada mimpi yang pelik-pelik. Elok pilih yang pertama dan dapat tidur nyenyak.

16.0] Di mana silapnya? tempat tidur mewah , katil luas tetapi tidak boleh tidur. Sering di ganggu mimpi pelik-pelik, mimpi dikejar anjing, atau dikejar komunis. jatuh kapal-terbang  atau kilang terbakar, sehingga tidak dapat tidur dan menjadi takut.

17.0] Apabila dilanda musibah atau masaalah begitu, perlu diubah sesuatu, mungkin kita tersalah tempat dan perlu diubah posisi kita di hadapan Allah. Kalau kita ingin terkena pancaran matahari kita mesti bergerak meninggalkan rumah yang berada di kutub menuju ke khatulistiwa. Jangan harapkan pancaran matahari cukup jika tidak mahu tinggalkan rumah kamu di kutub, dan jangan salahkan mataharinya. Jangan paksa matahari untuk adjust dirinya sebaliknya kita yang mesti adjust diri kita sendiri. Ertinya jika hati kita tidak tenang, kita kena cari sebabnya. Jangan kita menunggu Allah supaya menyesuaikanNya dengan kemahuan kita. Allah bukan sekadar memerhatikan tetapi bersedia memenuhi apa saja hajat keperluan hambaNya apabila hambaNya berada dalam posisi sobirin, muhsinin, muttaqin. Peluang ini jangan dilepaskan apa lagi di dunia kita hanya singgah sekejap. Jadi apa pun kita, di mana pun kita berada, jadi imam atau pun makmum, hidup pasti tenang. Kita sangat-sangat rugi jika tidak perhatikan tawaran Allah untuk mendapatkan ma'iah khossoh. Untuk muroqobah, untuk rasa tenang, jadi orang baik, sobirin, muhsinin dan muttaqin. Muttaqin itu yang maksima yang berat. Begitulah agama ini. Moga bermanafaat dan mendapat keberkatan daripada Allah. Allahumma  aamiin.

18.0] Alhamdulillah atas segala hal. La hawla wala quwwata illa billah. Selesai sudah penulisan nota kuliah tentang tadabbur surah Al-Ankabut yang disyarahkan oleh Yang Berbahagia Ustaz Kariman bin Abdul Muin, di Masjid Saidina Abu bakar As-Siddiq pada setiap hari Selasa di setiap minggu. Nota ini saya tulis dengan harapan untuk mendapat kefahaman yang lebih dan kebaikan yang banyak bagi diri dan bagi para jemaah yang sama-sama belajar dibawah satu bumbung kelas pengajian juga berfaedah kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Saya memohon ampun maaf kepada Tuhan yang Maha Pengasih Penyayang juga terhadap ustaz dan jemaah semua di atas segala kesilapan dan terlebih terkurangnya penulisan ini. Ucapan terima kasih yang tidak dapat diungkap khas buat ustaz yang telah menyalurkan ilmu bermanafaat kepada kami dan juga terima kasih kepada sahabat-sahabat yang membantu dalam berbagaicara. Semoga usaha yang sedikit ini mendapat Redho Allah dan dihitung sebagai 'amal jariah yang diberkati. Wabillahittaufiq wal hidayah , wassalamu'alaikum.


Siap menulis pada ;
Isnin, 8 mei 2017
Bersamaan dengan;
11 Syaaban 1438
4.30 petang.
Che Ramlah bt. Che Hassan





Tuesday, April 25, 2017

Surah Al-'Ankabut (Ayat 69) - Kuliah 70 - Bersama Allah, 3 Tingkatan Manusia Di sisi Allah, Ba'id, Mutawassit, 'A'la, Ilmu dan 'Amal, 4 Tingkatan Jihad, Sabar, 4 Cara berjihad,

1.0] Sampailah kita ke ayat terakhir (ayat 69) surah Al-Ankabut, iaitu tentang orang-orang yang berjihad mencari keredhoan Allah, maka Allah akan menunjukkan jalan-jalanNya. 

Surah Al-Ankabut ayat 69;


2.0] Ibnu Kathir rahimahullah di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini merujuk kepada Baginda Nabi s.a.w beserta sahabat-sahabatnya dan pengikut-pengikutnya sehingga ke Hari Kiamat di mana Allah berfirman, "Pasti Kami akan perlihatkan, tunjukkan, kepada mereka jalan-jalan Kami yakni jalan-jalan kebenaran, jalan-jalan yang menuju kebahagiaan dunia dan akhirat". 

3.0] Fakhrudin Ar-Razi menjelaskan, bahawasanya selepas Allah S.W.T mencela orang-orang kafir yang tidak mahu beriman kepada Nabi s.a.w dan ajarannya, walaupun bukti-bukti kebenarannya telah ditunjukkan kepada mereka di dalam ayat-ayat sebelum ini sehingga ayat 68 surah Al-Ankabut ini, tetapi mereka sanggup melakukan iftira' (mereka kebohongan) dan takzib (dusta). Maka Allah berikan tasliah (hiburan) kepada orang-orang beriman, seolah-olah Allah berfirman, "Jangan bersedih wahai NabiKu dan pengikut semua, walaupun orang-orang kafir melakukan iftira' dan takzib kerana Aku menjanjikan sesuatu kepada kamu iaitu kamu yang bersungguh-sungguh berjuang di jalanKu dan keranaKu, pasti Aku akan tunjukkan kamu jalanKu yang boleh menyampaikan kamu kepada kebahagiaan dunia dan akhirat dan Aku sentiasa bersama orang-orang yang berbuat-baik". "Wainnallaha lama'al muhsinin" yang bermaksud "Dan sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik". 

Ma'a-bersama
Ma'iah-bermakna qurbah (kedekatan), bukan sekadar bersama namun Allah amat hampir dengan orang muhsinin. 
La ma'al muhsinin-La isyaratun. Ia sebagai isyarat sebagai adanya darjah yang paling tinggi. Isi dari ayat itu yang pertamanya seolah-olah Allah berfirman,"Sesungguhnya ada manusia yang sangat jauh daripadaKu", iaitu orang-orang kufur yang telah disebut sebelumnya. Kemudian, "Sebahagian daripada mereka ada yang mendekatkan diri kepada Aku, maka akan Aku tunjukkan kepada mereka jalannya" dan yang ketiganya, "Aku akan bersama mereka yang berbuat-baik". Itu darjah yang paling tinggi. 

4.0] 3 tingkatan manusia di sisi Allah, maratib insan;  مَرَاتِبُ النَّاسِ عِنْدَالله
i) Ba'id ( بَعِيد )- Orang yang sangat jauh daripada Allah, ini merujuk kepada orang kafir yang tidak dekat dengan Allah kerana mereka tiada upaya untuk mendekat (tiada upaya untuk taqarrub), diceritakan di dalam ayat-ayat sebelumnya sehingga ayat 68. Mereka sanggup membuat iftira' dan takzib, mereka terpedaya dengan kehidupan dunia, mereka hanya merasa dekat dengan Allah di dalam keadaan kritikal (ayat 65), dan apabila di dalam keadaan senang dan normal, mereka kufur kembali. Mereka enggan menerima ajaran Nabi s.a.w, kerana takut disiksa, takut dicolek, takut tidak selamat dan mereka sanggup melakukan iftira' dan takzib.  

ii) Mutawassit ( مُتَوَسِّط )- Orang yang darjahnya dengan Allah sederhana sahaja. Orang-orang yang masih dalam proses bertaqarrub dan jaahada di jalan Allah. Berada pada pertengahan, jauh pun tidak, dekat pun tidak, yakni orang yang Allah kata, "Orang yang bersungguh-sungguh berada di jalan Kami kerana Kami", iaitu orang-orang yang dalam proses mencapai ketinggian darjah dan maqam di sisi Allah, dan Allah beri jaminan bahawa pasti Allah akan memberi pertolongan. 

iii) 'A'la ( اَعْلَى )- Orang yang sangat tinggi darjatnya di sisi Allah. Allah sentiasa bersamanya, Allah sentiasa dekat dengannya, kerana dia sangat dekat dengan Allah dan Allah sebagai pelindungnya. Apabila dia memohon, Allah qabulkan, apabila dia susah, Allah senangkan, apabila dia ada masalah, Allah selesaikan, apabila dia akan bengkok, Allah akan luruskan sebab dia sudah bersama Allah (ma'a) dan ma'iah (kebersamaan dengan Allah). Di antara tandanya ialah seseorang yang tidak melakukan maksiat walaupun ada peluang atau dalam keadaan bersendirian kerana sentiasa merasa Allah bersamanya, memandangnya. 

5.0] Di dalam hadith Qudsi, hadith Arbain An-Nawawiah, iaitu apabila Allah sudah ma'iah dengan hambanya, Allah kata; 
"Aku akan menjadi telinganya semasa dia mendengar" 
"Aku akan menjadi matanya semasa dia melihat" 
"Aku akan menjadi tangannya semasa dia memegang" 
"Dan apabila dia berdoa, Aku akan qabulkan". 

6.0] Daripada tafsir Dr. Mustofa Al-Marowi, mantan Saiful Azhar, beliau mengutip sebuah hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Haris Al-Muhasibi dalam risalahnya Al-Mustahsyirin, juga dalam Ahlul Fawaid, juga dalam At-Tusi, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

مَنْ عَمِلَ بِمَا عَلِمَ وَرَثَهُ اللهُ عَلِمُ مَالَمْ يَعْمَلْ
"Barang siapa yang beramal apa yang dia sudah tahu nanti Allah akan beritahu dia ilmu apa-apa yang dia belum tahu". Katakanlah jika kita sudah tahu 5 perkara dan kita sudah beramal, melakukannya, maka Allah akan tambahkan lagi ilmu untuk kita menjadi 7, kita amalkan, Allah tambah lagi menjadi 10. Oleh itu sentiasalah mengamalkan ilmu yang telah kita tahu supaya Allah akan menambahkan kepada kita ilmu yang baru, supaya ilmu semakin bertambah dan amal pun semakin bertambah. Itulah kunci bagaimana Allah menambahkan ilmu dan amal kepada kita. Buat dahulu apa yang kita sudah tahu, yang belum tahu, nanti Allah akan beritahu. "Ini yang sudah tahu tapi tidak dibuat, masih ingin mencari yang belum tahu. Yang sudah tahu hanya didiskusikan, yang belum tahu dicari-cari, jangan begitu, buat dahulu apa yang sudah tahu". Ini janji Allah, seolah Allah berkata,"Sebenarnya banyak lagi yang perlu kamu lakukan wahai hambaKu, tetapi kerana kamu hanya baru tahu 2, lakukanlah, sekarang Aku bagi 3, ilmu bertambah jadi 5, amalkan, maka amal kamu bertambah menjadi 5, sebenarnya belum cukup bekalan kamu untuk ke akhirat, maka teruslah mengamalkan ilmu yang sudah kamu tahu supaya Aku terus menambahkan ilmu baru dan kamu dapat menambahkan amal lagi. Mengamalkan ilmu daripada syara' ima yang wajibnya waima yang sunatnya, dan telah meninggalkan yang makruh dan yang diharamkan, nescaya Allah akan wariskan lagi ilmu-ilmu ilahiyah yang belum diketahui. 

7.0] Sekarang tiba masanya untuk kita muhasabah diri kita sendiri. "Berapa banyak perintah Allah yang kita tahu dan sudah kita buat, berapa banyak larangan Allah yang kita tahu dan kita tinggalkan?". Apabila semua perintah Allah telah kita buat dan semua larangan Allah telah kita tinggalkan, nanti Allah akan beritahu lagi tentang perintah dan larangan lain dan akhirnya kerana kita masih dalam proses yang berterusan bersungguh-sungguh (mujahadah) di jalan Allah, akhirnya akan meningkat ke maqam 'a'la yang paling atas. Tetapi jika hanya tahu dan tidak beramal, akan sentiasa ingin berdebat, akan sentiasa ingin bergaduh kerana ingin pertahankan pendapatnya, berdepan pula dengan orang yang sama-sama tahu. Apa lagi jika yang dia tahu itu berbeza dengan yang orang lain itu tahu, lalu semakin asyik ingin bergaduh untuk membentangkan pengetahuannya. Berpengetahuan tetapi tidak meningkat amalannya. Maqamnya tidak akan meningkat bahkan semakin menurun. Na'uzubillah. Oleh itu kurangkanlah perdebatan, tetapi buatlah apa yang kita sudah tahu, lagi pun sudah banyak yang kita tahu tetapi belum kita buat, yang belum kita amalkan.

8.0] Satu dari banyak perkara yang menjadi penyebab seseorang itu menyesal di akhirat ialah apabila dia tahu itu suruhan Allah, tetapi dia tidak buat atau dia tahu itu larangan Allah tetapi dia terus juga buat. Lihat dalam hadith Bukhari, bahawa Nabi s.a.w bersabda, "Tidak akan masuk syurga seseorang itu sehingga diperlihatkan terlebih dahulu tempat tinggalnya di neraka jikalau dahulunya dia memilih berbuat jahat". "Jika dahulu kamu tinggalkan perintahKu, itu tempat kamu di neraka, jika dahulu kamu langgar laranganKu, itu tempat kamu di neraka. Masa itu kamu ada peluang untuk melakukan laranganKu, tetapi kamu memilih untuk meninggalkannya. Dahulu kamu ada peluang untuk meninggalkan perintahKu tetapi kamu memilih untuk melakukannya juga". Maka bertambah-tambahlah syukurnya hamba Allah itu di akhirat nanti. 

9.0] "Dan tidak seorang pun ahli neraka yang akan dicampakkan ke dalam neraka kecuali diperlihatkan dahulu tempatnya di syurga". "Jikalau dahulu semasa di dunia, kamu berbuat baik, kerana kamu pun tahu itu suruhanKu, tetapi kamu tidak buat, walhal kamu boleh buat. Kalau kamu dahulu buat, itu tempat kamu di syurga, tetapi malang sekali kamu memilih untuk tidak buat". Orang itu menyesal dengan penyesalan yang tiada berpenghabisan, kerana dia tahu tetapi dia tidak amalkan ilmunya, kerana dia buat apa yang dia tahu itu larangan. Semua ini terdapat di dalam hadith soheh Al-Bukhori, nombor hadithnya 6,569. 

10.0] Menipu itu haram, kita tahu, mesti ditinggalkan, jika dibuat juga berdosa dan akan menyesal nanti. Lihat dalam soheh Bukhori, tahu itu salah, kenapa dibuat, tahu itu suruhan kenapa tidak dibuat, sedangkan boleh dibuat, lainlah jika tidak mampu buat sebab ada halangan syara', barulah tidak mengapa. Contohnya, kita tahu bahawa menolong orang susah itu pahalanya besar, dan kita ada peluang untuk menolong orang susah, tetapi kita tidak mampu kerana kita sendiri pun susah. Sebab itulah salafussoleh mengatakan ini dalam majmuk Ul-Fattah oleh Ibnu At-Taimiyah bahawasanya, "Sesungguhnya ganjaran balasan perbuatan baik itu ialah kebaikan selepasnya". Jika kita lakukan amal baik maka akan ada ganjarannya. Balasannya tidak perlu menunggu di akhirat, malahan di dunia pun Allah akan berikan seperti yang telah dijanjikan oleh Allah. Apakah ganjarannya? Jawapannya ialah apabila anda berbuat baik di dunia, selepas itu anda terus berbuat baik, dan berbuat baik lagi terus menerus. Kebaikan yang sentiasa diikuti dengan kebaikan, maka kebaikan yang datang selepas itulah ganjaran bagi kebaikan sebelumnya. Tetapi jika selepas berbuat baik dan selepas itu buat jahat pula, itu petanda pahala tidak ada. Contohnya selepas balik dari usrah (perbuatan baik, amal hasanah), tetapi selepas itu buat sesuatu yang tidak baik, bermakna perbuatan itu tidak berkat, tiada pahala. Malam hari menghadirkan diri di masjid, solat maghrib berjemaah, dengar syarahan agama sebab ada usrah selepas maghrib hingga ke isya', kemudian bersolat isya' berjemaah yang fadhilatnya menyamai separuh qiamullail, melakukan semua amal hasanah yang baik-baik. Sepatutnya diikuti dengan amal yang baik juga selepasnya tanda amal sebelumnya diterima Allah. Berbuat baik lagi dan berbuat baik lagi, kerana kebaikan akan menarik kebaikan dan akan mendapat pahala berterusan. Tetapi jika selepas solat berjemaah di masjid, kemudian pergi pula berjemaah di pub-pub, itu tanda amal tidak diterima Allah. Kejahatan akan menghapuskan kebaikan. Sebahagian dari siksa untuk balasan kejahatan ialah apabila selepas berbuat jahat diikuti pula dengan berbuat jahat lagi, itulah tanda amal ditolak. Apabila kejahatan diikuti dengan kebaikan, maka kebaikan boleh menghapuskan kejahatan. Kejahatan boleh menghapuskan kebaikan dan kebaikan boleh menghapuskan kejahatan. Jadi bagaimanakah caranya supaya kebaikan tidak terhapus?. Jawapannya ialah dengan berterusan berbuat baik. 

11.0] Kesimpulan seterusnya, dikutip dari kitab Zaadul Ma'ad (Bekalan kembali kepada Allah), sebab setiap kita akan pulang kembali kepada Allah, kita mesti cukup membawa bekal supaya tidak menyesal nanti. Kitab ini yang dikarang oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah (sudah ada terjemahannya, maka bolehlah dibaca sendiri dan jika tidak faham, bertanyalah kepada yang faham) iaitu tentang;

4 tingkatan jihad;
i)  Jihad memerangi/melawan nafsu 
ii) Jihad memerangi/melawan syaitan 
iii) Jihad memerangi/melawan kekufuran 
iv) Jihad memerangi/melawan orang munafiq. 

12.0] Jihad memerangi nafsu-jihaadun-nafsi-melawan, memerangi, menakluki hawa nafsu yang ada dalam diri kita sendiri, ada 4 tingkatan iaitu; 

i) Peringkat pertama jihad memerangi hawa nafsu yang sentiasa menghalangi kita mencari petunjuk dan ajaran agama yang benar. Setiap kali kita ingin mencari petunjuk dan agama yang benar, akan ada-ada sahaja halangannya, seperti dengan memberi alasan, nanti dahululah, malaslah, panas, tidak ada air-con, tempat tidak glamour, jalan sesak, tempat jauh, susah parking dan seribu satu alasan lagi. Apa yang menghalang itu adalah hawa nafsu. Kita kena lawan, ini baru peringkat ta'allum. Kita ingin belajar, ingin mencari benda yang betul, lalu dihalang dengan bisikan,"Belajar banyak-banyak lagi pening, cukuplah dengan yang dahulu emak-bapa kita ajar, sudahlah, asal kita tidak mencuri, kita akan masuk syurga"."Betulkah begitu, semudah itu?. Sedangkan amalnya banyak yang salah kerana kejahilannya. Bila kita tiada ilmu, bila kita tidak tahu mana yang betul, maka banyak amal kita yang tidak betul dan bila amalan kita tidak betul, kita tidak mendapat pahala dari amalan itu malah mungkin mendapat dosa pula sebaliknya. Orang jahil yang beramal tanpa ilmu, amalnya ditolak, tidak diterima, menjadi sia-sia, menghabiskan beras, sebab dia beramal ikut suka dia sahaja. Biasanya dia akan berkata, "Janji ikhlas, Allah terima". Padahal kita wajib mencari yang betul, mencari, belajar, ta'allamul huda itu wajib, walau pun halangan yang besar iaitu hawa-nafsu kuat menghalang.

Usah malu untuk belajar; 
-Jadilah orang yang berilmu supaya kamu boleh pula mengajar atau
-Jadilah orang yang belajar atau 
-Jadilah orang yang suka mendengar orang mengajar. Mungkin selepas maghrib pergi ke masjid untuk mendengar orang beri syarahan, tetapi apa yang telah disampaikan pada minggu lepas pun sudah lupa, sebab terlalu banyak sangat, yang boleh diingat ialah ustaz yang banyak lawak, yang membuatkan jemaah gelak tidak kering gusi, atau 
-Jadilah orang yang muhibban, suka tengok orang mengajar, suka tengok orang belajar, suka tengok orang yang mendengar orang mengajar. Tetapi takkanlah sampai bila-bila pun kerjanya hanya menghantar orang belajar, rugi sangat rugi. Walaupun kuat halangannya untuk belajar tetapi kita kena lawan kerana kita wajib mencari yang betul dan benar, kita kena belajar bersungguh-sungguh, tafaqquh fiddin

ii) Peringkat kedua jihad melawan hawa-nafsu ialah dengan bersungguh-sungguh melawan hawa-nafsu supaya kita dapat mengamalkan apa yang kita sudah tahu. Setelah kita belajar, kita tahu, kemudian kita perlu pula berjihad mengamalkannya, sebab apabila kita tidak melawan hawa-nafsu, walaupun kita sudah tahu, namun cukup susah untuk kita mengamalkannya. Hawa-nafsu membisikkan,"Buat apa mahu buat sekarang, awak masih muda, nantilah, tunggulah sehingga berumur 85 tahun, awak belum berumur 100 tahun lagi. Kalau awak buat amal sekarang, 6 bulan depan, awak langgari lagi, macamana?, elok puas-puaskan dahulu, bila rasa puas barulah tutup buku". Tertipu orang itu, macamlah dia tahu bila ajalnya akan menjemput, oleh itu kita mesti lawan hawa-nafsu yang begitu.

iii) Peringkat ketiga ialah kita mestilah bersungguh-sungguh menyampaikan, berdakwah, apa yang kita sudah tahu kepada orang yang belum tahu. Untuk berdakwah dan menjadi penyampai ilmu adalah berat sekali. Hawa-nafsu membisikkan, "Siapalah saya, tidak berani saya". Walhal Nabi s.a.w berkata, "Sampaikanlah kepada orang lain walaupun satu ayat". Kita kena lawan hawa-nafsu kita, kena usahakan untuk berdakwah, menyampaikan ilmu. Jika kita tidak berusaha untuk menyampaikan ilmu apa yang kita telah tahu, termasuklah kita sebagai orang yang menyembunyikan ilmu, lebih-lebih lagi jika kita tiada keberanian kerana takutkan dia. Di akhirat akan ditanya oleh Allah, "Wahai hambaKu, apa yang menghalang kamu dahulu?."Aku tidak berani untuk berkata-kata kerana aku takut kepadanya". Allah berkata lagi, "Bukankah Aku lebih berhaq untuk kamu takuti?. Jika kita tidak sampaikan, walau ada peluang, hanya kerana kita takut, maka berdosa. Bila sudah tahu, tetapi tidak beramal, berdosa. Bila sudah tahu tetapi tidak sampaikan, berdosa. Oleh itu kena lawan hawa-nafsu dan jangan pula rasa menyesal kerana sudah tahu.

iv) Peringkat keempat ialah berjihad bersungguh-sungguh supaya mampu bersabar. Kalau kita tidak ada kesabaran, dan kita tidak berjaya untuk membaiki orang lain itu, biasanya maksima 3 kali kita berdakwah namun tidak berjaya, lalu kita keluarkan dalil seperti surah Al-Baqarah ayat 10;


Baru satu kali berdakwah sudah menghukum orang itu ada hati yang berpenyakit. Lalu disampaikan lagi, usaha berdakwah lebih lagi, tetapi masih belum berjaya, keluarlah lagi dalil seperti surah Al-Baqarah ayat 18,


Menganggap, melabelkan, mereka itu orang yang tuli, bisu dan buta. Tetapi setelah difikir-fikir, baru 2 kali berdakwah kepada mereka, lalu diusahakan lagi kali ketiga, masih juga tidak berjaya, keluar dalil lagi seperti surah Al-Baqarah ayat 7;


Merasa sudah terbebas dari suruhan Allah, lalu berkata, "Ya Allah, hambaMu sekarang sudah bebas, mereka itu sudah Engkau kunci hatinya, seperti yang terdapat di dalam surah Al-Baqarah ayat 6;


"Serupa sahaja, hambamu menegur atau pun tidak, ajak atau pun tidak, mereka tetap sama". "Jangan , janganlah begitu kerana kita kena ada kesabaran untuk terus berjihad, berdakwah terhadap sesama manusia". Jihad yang ini, rupa-rupanya Ibnu Qayyim mengambil kesimpulan daripada surah Al-Asr ayat 1 hingga 3;



Semua orang di dalam kerugian, kecuali orang yang beriman yang tahu kebenaran, lalu diamalkan ilmunya, kemudian disebarkan kepada orang lain walaupun ada halangan, ada cabaran, namun tetap bersabar dan itulah kuncinya jihad pertama yang perlu kita hadapi, melawan diri sendiri, musuh dari dalam, bukan dengan orang lain. Kalimah wal 'asri, wa, wa, wa itu bermakna dan, dan, dan dirangkaikan ke empat-empat perkara, mutlatul jam'i. [Nota; berbeza kalau digunakan kalimah au,au,au, senang, jika ada satu sahaja pun memada. Ini wa, dan, jika ada satu, maknanya hanya 1/4, 2 baru separuh, jika ada 3, jadi tiga suku dan perlu ada ke empat-empat baru sempurna menjadi satu syarat]. 

13.0] Jihaadus-syaiton-jihad memerangi syaitan yang datang dari luar dan syaitan ini dianggapkan sebagai kembar dengan hawa-nafsu yang tidak boleh berpisah, saling panggil memanggil, saling mempengaruhi. Jihad melawan syaitan ini ada 2 tingkatan;

جِهَادُالشَيْطَان
دَفْعُ الشُّبُهَات وَالشُّكُوك - melawan syubuhat (ragu-ragu) dan syukuk (syak)
 َدفْعُ الإِرَادَات وَالشَّهَوَات - melawan iradat (kehendak) dan syahawat (keinginan, nafsu)

Oleh itu kita kena sabar untuk;
i) Menolak syubuhat yang masih samar-samar, yang tidak jelas halal-haramnya, yang tidak jelas perintah dan larangan, dan yang syukuk (syak). Kerja syaitan ini ialah menyesatkan kita untuk menimbulkan syubuhat dan keraguan dalam diri kita. Kita sentiasa tertanya-tanya samada sesuatu itu betul atau salah, sentiasa di dalam keraguan. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, terdapat di dalam kitab yang bertajuk 'Pendapat-pendapat yang soheh berkenaan kesalahan seseorang di dalam solat berpandukan Al-Quran dan Hadith', iaitu tentang kesalahan yang dilakukan oleh seseorang sebelum solat, ketika sedang solat dan selepas solat, yang sering kali dilakukan tetapi tidak disedari. Contoh mudah, satu diantaranya ialah ketika takbiratul-ihram, sepatutnya hanya sekali sahaja, jika lebih dari sekali itu telah ragu-ragu, walhal niat tidak boleh batal iaitu apabila seseorang sudah menghadap qiblat, berniat untuk solat maghrib, maka sudah sah, tetapi syaitan pandai untuk menimbulkan keraguan tentang kesohehan niat, tentang bilangan rakaat dan sebagainya sehingga ketika takbiratul-ihram itu seseorang tidak ingat langsung apa maknanya Allahu-Akbar. Timbul syak dan ragu-ragu yang perlu mengambil masa yang agak lama untuk dapat mula bersolat, itu sudah syubuhat dan syukuk yang mesti dilawan. 

Begitu juga tatkala berwudhu, yang penuh ragu-ragu, kita kena lawan kerana itu adalah kerja syaitan yang menimbulkan syak keraguan. Kita perlu jihad melawan syaitan, jika tidak nanti habislah tenaga dan masa kita dipermainkan oleh syaitan.

ii) Melawan iradat, keinginan, kemahuan yang bercanggah dengan syara' yang diutarakan oleh syaitan kerana syaitan adalah kembar hawa-nafsu. Allah ciptakan kita ada keinginan, ada kemahuan yang tidak terhad, Islam datang menyuruh kita menghadkannya. Oleh itu jika ada keinginan yang bercanggah dengan syara' maka hendaklah kita lawan sebab itu datangnya daripada syaitan. Contohnya mahu makan sebab ada keinginan untuk makan, maka silalah makan, tetapi hendaklah dihadkan. Ingin berjalan boleh, tetapi mesti ada tujuan, ada manafaatnya. Hendak beribadah pun boleh, tetapi mesti yang betul. Jika keinginan untuk beribadah ini tidak dihadkan, maka ada bermacam-macam ibadat. Ada solat sempena isnin, ada solat sempena selasa, ada wirid sempena ahad, ada wirid sempena jumaat, ada wirid sempena march, ada wirid sempena ogos, kerana ada keinginan untuk beribadah yang sangat kuat, maka syaitan pun manafaatkan cara itu, dan akhirnya banyak ibadah bidaah yang tidak sunnah dilakukan. 

Mencintai dan menghormati Rasulillah s.a.w adalah disuruh, tetapi ingat!, jika tidak dihadkan, syaitan boleh masuk, sehingga orang sanggup mendewa-dewakan Rasulillah s.a.w lebih dari yang sepatutnya dan itu berdosa. Menghina Rasulillah s.a.w juga adalah berdosa. Ini semua kerja syaitan dan kita kena lawan. Oleh itu kita kena tahu setakat mana kita boleh mencintai Rasulillah s.a.w, tidak boleh melebihi dari yang sepatutnya tetapi juga jangan sampai menghina kerana semua itu berdosa. Keinginan untuk beribadah yang sangat kuat, lantaran cita-cita untuk masuk syurga yang luar-biasa, apa lagi dengan merasa banyak amal tertinggal, akhirnya ibadah pun pelik-pelik. Ada ibadah puasa yang tidak makan, tidak bercakap, tidak menengok orang, tidak menengok api dan sebagainya, salah lagi, syaitan lagi yang memainkan peranan. Maka untuk melawan yang pertama iaitu syubuhat dan syukuk, kita perlulah yakin, manakala untuk melawan keinginan dan kemahuan (iradat dan syahawat) adalah dengan kesabaran dan ini dinyatakan oleh Allah di dalam surah As-Sajdah ayat 24;



Di dalam ayat di atas diceritakan tentang orang yang dipilih oleh Allah untuk menjadi ketua. Kenapa Allah beri mereka kelebihan menjadi ketua?. Jawapannya ialah kerana mereka sabar dan yakin dan inilah caranya untuk menolak syaitan. Contoh keinginan dan kemahuan (iradat dan syahawat) yang biasa dikalangan kita; 

i) "Kalau diikutkan hati, aku borong semuanya, tetapi nasib baik boot kereta sudah penuh". 
ii) "Kalau diikutkan hati, ingin makan bertambah-tambah lagi sebab sangat sedap makanan ini, tetapi apakan daya perut sudah penuh, kenapalah Allah ciptakan kecil sangat perut ini".

Dalam menghadapi segala itu, kita hendaklah bersabar, dan sabar itu maknanya Al-Imsak (menahan). Jadi mana-mana kemahuan dan keinginan yang bercanggah dengan syara' hendaklah ditahan dan menahan itu namanya sabar. Tetapi apabila kita dinasihati supaya bersabar, kita akan merasa berat, dan membalas dengan kata-kata seperti,"Sabar pun ada hadnya, sekali dua kali masih boleh sabar tetapi jika lama-lama tidak dapat bersabar juga". Sabar itu jihad dan perlu ketahanan diri yang kuat sebab itu ganjarannya pun hebat. 

 14.0] Jihadul kuffar wal munafiqin-dijadikan satu kerana keduanya adalah dari manusia yang datang dari luar dan sebangsa dengan kita, mereka mungkin kawan kita, atau mungkin saudara kita sendiri.

Ada 4 tingkatan cara berjihad iaitu; 

i) Jihad bil-qalbi iaitu berjihad dengan hati 
ii) Jihad bil-lisaani iaitu berjihad dengan lidah
iii) Jihad bil-mali iaitu berjihad dengan harta-benda, dengan wang ringgit, dengan dolar dan riyal, dengan rupee dan lira. 
iv) Jihad bin-nafsi iaitu berjihad dengan diri, tubuh-badan, kalau perlu nyawa sekali pun dipertaruhkan. 

15.0] Jihad melawan orang kafir dan munafiqin ialah jihad melawan kekufuran atau melawan orang yang mengaku Islam tetapi tidak dalamannya. Jihad melawan kekufuran, orang kafir, diutamakan dengan jihad harta-benda (bil-mali) dan diri serta nyawa (bin-nafsi), sementara jihad terhadap munafiqin mengutamakan jihad bil-qalbi wal-lissani (jihad dengan hati dan lidah). Kenapa begitu? Sebab dari segi syara', dari segi zahirnya orang munafiqin perlu diperlakukan seperti orang Islam, seperti muslim 100%, sebab mereka solat seperti kita. Mereka tidak boleh dicela, haram darahnya, haram hartanya, sembelihan mereka halal, apabila berjumpa kita disuruh memberi salam kepada mereka dan apabila mereka memberi salam kita disuruh menjawabnya, apabila mereka sakit kita disuruh lawatinya. Jihad kita kepada mereka bagi membukakan niqob mereka, membetulkan kesalahan mereka dengan cara yang lebih lembut. Sikafir pula memang terang-terangan, sebab itu jihad terhadap mereka adalah dengan mal wan-nafs (harta-benda dan jiwa). Apabila disebut mal, bukan semata-mata harta-benda tetapi lebih luas lagi, seperti jika sikafir ada media, maka orang Islam pun perlu ada media juga, ima media cetak waima media elektronik. Sekarang ini informasi adalah melalui media, perang media sekarang ini sangat dahsyat. Pemahaman kita dibentuk dengan informasi. Contohnya kita tidak kenal pun seseorang itu yang berada di luar negeri, tetapi dari informasi, pandangan dan anggapan kita terhadap orang itu terbentuk, mungkin tidak betul, walhal kita tidak kenal pun orang itu. Pengaruh media yang dahsyat, itu dari jihad bil-mal wa bin-nafsi (jihad dengan harta dan jiwa). Kita masih ke belakang dalam jihad ini, masih seumpama makmum, kalau ibarat orang berperang, tidak seimbang, mereka menggunakan kereta kebal kita pula menggunakan kereta plastik dan hanya melempar dengan batu dan sebelumnya membaca doa dengan harapan batu terkena kereta kebal dan meletup. Nabi s.a.w yang doanya sangat maqbul tidak terlalu bergantung kepada doa semata-mata, tetapi setiap kali akan berperang mesti berlatih, bersedia sepenuhnya dengan kelengkapan yang seimbang. Nabi s.a.w tidak hanya berdoa pada air dan beri minum kepada sahabat dengan keyakinan dapat cekap berperang, tetapi bersedia, berlatih bersungguh-sungguh, berjihad dengan sepenuh-hati berserta doa-doa mohon pertolongan dari Allah, barulah lengkap dan menepati syara'. 

Semoga bermanafaat dan diberkati Allah. Allahumma aamiin.



Tuesday, April 18, 2017

Surah Al-'Ankabut (Ayat 68) - Kuliah 69 - Tempat Kembali, Mathwa, Makwa, Ilmu Ushul, Ilmu Furu', Kemaqbulan Doa

1.0] Surah Al-'Ankabut ayat 68 yang telah kita pelajari minggu lepas ada dijelaskan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya, bahawa ada golongan manusia yang sangat dibenci oleh Allah kerana Allah anggap mereka manusia yang paling zalim. Mereka yang paling zalim itu ialah;

i) Muftarin- Orang yang mengada-ngadakan kebohongan atas nama Allah
ii) Mukazzib- Orang yang mendustakan kebenaran yang datang daripada Allah. 

Lebih zalim lagi jika kedua-dua sifat itu ada pada diri seseorang sekali-gus, sedangkan jika seseorang itu hanya sebagai muftarin atau sebagai mukazzib sahaja pun sudah menjadi orang yang paling zalim. Pada zaman Nabi saw, orang seperti itu ialah Musailamah Al-Kazzab yang mengada-ngadakan kebohongan terhadap Allah. Dia mengaku dan mendakwa mendapat wahyu daripada Allah (muftarin) dan juga mendustakan wahyu yang diberikan kepada Nabi Muhammad saw, bahkan mendakwa dia boleh membuat Al-Quran seperti yang diberikan kepada Nabi saw (mukazzib). Rujuk surah Al-An'am ayat 93 untuk ringkasan cerita itu;

Apakah balasan Allah terhadap orang yang seumpama itu? Bukankah bagi orang-orang kafir itu tempat tinggal mereka di Jahannam? Apa yang ingin disampaikan ialah tentang kalimah mathwa dan makwa. Di dalam Al-Quran ada kalimah yang berbeza tetapi telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai sama makna. Contohnya kalimah mathwa اَلْمَثْوَى dan makwa اَلْمَأوَى yang diterjemahkan kedalam Bahasa Melayu sebagai tempat kembali, padahal ianya 2 kalimah berbeza dan rootwordnya pun berbeza;

i) اَلْمَثْوَى - ثَوَى - يَثْوِى - tempat kembali

ii) اَلْمَأوَى - أَوَى - يَأوَى - tempat kembali

Mathwa daripada thawa - yathwi, makna asalnya ialah menetap atau tinggal disuatu tempat dan tidak berpindah-randah. Contohnya seperti tinggal di dalam bilik yang lebarnya 10 kaki persegi, tidak ada kebebasan sama sekali, tidak boleh pindah, tidak boleh keluar. Orang itu terpenjara walaupun bukan penjara. Walaupun tinggal di bungalow, jika tiada kebebasan untuk keluar, terkepung dengan pagar yang tinggi, tidak selesa, itu juga dikatakan sebagai mathwa (isim makan, katanama tempat, daripada thawa, yathwi)

Makwa (isim makan-katanama tempat) daripada awa, yakwi, makna asalnya ialah tempat yang dicari bagi mendapatkan perlindungan, keselamatan dan keamanan dan tentulah selesa.

2.0] Ashaabul Kahfi, seperti dalam surah Al-Kahfi ayat 16, ketika mengambil keputusan meninggalkan kaumnya, mengambil keputusan menyembah Allah semata-mata, melawan aqidah kaumnya, meninggalkan tempat asal dengan pergi ke gua, fakwu, "Carilah kamu tempat perlindungan yang selamat dan aman". Penggunaan kalimah mathwa dan makwa sebenarnya adalah berbeza, dimana mathwa bermakna tempat tinggal yang tetap, tidak ada kebebasan sama sekali, terpenjara, tempat siksaan dan digunakan untuk neraka sahaja dan tidak digunakan untuk syurga. manakala makwa  ialah tempat kembali yang digunakan untuk syurga dan juga untuk neraka.

3.0] Kita disini mesti berusaha bersungguh-sungguh mencari tempat kembali di akhirat nanti yang dapat memberikan perlindungan, keamanan dan keselesaan kepada kita. Apabila kita mencari yang betul maka kita akan mendapat makwa (tempat kembali) syurga. Orang kafir juga mencari tempat kembali yang ada keamanan dan keselamatan tetapi mereka tersilap dalam mencari dan makwa (tempat kembali) mereka adalah neraka. Mereka tertipu di dunia dan di akhirat nanti mereka menyesal. Mencari kebahagian di akhirat sepatutnya mencari syurga tetapi kerana tersalah jalan mendapat neraka. Lihat surah As-Sajdah ayat 19 dan 20;


Mathwa ialah tempat yang disediakan manakala makwa ialah tempat yang dicari, tempat yang diharapkan dapat memberi keselamatan dan keamanan. Orang mukmin mendapat makwanya syurga manakala orang kafir mendapat makwanya neraka. Makwa digunakan untuk kedua-dua golongan ini.

4.0] Setiap kita di dunia ini sedang menempah tempat di akhirat, samada tempahan yang kita buat sekarang mendapat makwa atau tempat kembali iaitu syurga atau neraka. Makwa juga bermaksud tempat terakhir kembalinya seseorang (the final destination) dan selepas itu tiada lagi tempat lain. Manusia di akhirat nanti, apabila telah berada di makwa syurga atau neraka, tidak akan berpindah randah lagi, kekal disitu.

5.0] Makna pertama bagi makwa ialah tempat yang dicari untuk mendapat keamanan dan keselamatan. Orang mukmin dan juga orang kafir mencari makwa, tetapi boleh jadi betul atau salah. Orang mukmin yang beriman akan mendapat makwa syurga dan orang kafir akan mendapat makwa neraka. Jika kita bertanya kepada sami-sami Hindu, apabila mati nanti mereka pun tidak mahu disiksa dan ingin masuk nirwana di tempat suwargaloka. Mereka pun mencari makwa tetapi cara mencarinya salah maka akan dapat makwa neraka. Makna kedua bagi makwa ialah tempat kembali yang kekal dan tiada lagi destinasi selepas itu. Orang kafir dan fasik makwa  mereka ialah neraka dan kekal disitu walaupun sebenarnya ada yang lebih baik lagi iaitu makwa syurga. Contohnya seperti kita menaiki LRT dan berhasrat untuk sampai ke stesen terakhir tetapi kita telah tersalah membeli tiket sehingga ke stesen Abdullah Hukum sahaja maka kita terpaksalah turun disitu dan tidak boleh lagi meneruskan perjalanan sehingga destinasi terakhir.

6.0] Al-Mathwa tidak sesuai untuk orang yang tinggal di syurga kerana tempat yang sempit, tidak selesa dan terpenjara. Makwa di syurga tidak terpenjara, bebas, boleh pergi kemana sahaja, tidak sama kebebasan untuk bergerak antara para nabi, para soleh-solehah, syuhada, siddiqin dan lain-lain. Ada yang dapat bergerak laju, ada juga tempat yang layak atau tidak layak untuk seseorang itu. Contohnya ahli syurga yang di bawah tidak dapat menengok  syurga yang di atas manakala yang di atas boleh menengok yang dibawah. Contohnya apabila kita naik kapal-terbang, menjadi penumpang first-class, kita boleh menengok kawan yang berada di klas ekonomi. Manakala kawan yang di klas ekonomi tidak dapat naik untuk melihat kita di tempat first-class. Apa yang dimakan di klas ekonomi? "Cuma Cekodok". [Nota; nama makanan dan kuih-kuih pun tidak elok, seperti, cucur badak, badak berendam, tahi itik, dan sebagainya].

7.0] Di syurga ada orang yang di up-grade, iaitu dalam hadith Nabi saw dalam kitab Al-Jana iz, dimana seorang hamba Allah terkejut dan bertanya kepada Allah,"Wahai Tuhan, semua pahalaku sudah diterima, tetapi daripada mana lebihan pahala ini, siapa yang hantarkan, kerana memandangkan kepada amal perbuatan hamba, sudah memada dengan klas ekonomi". [Nota; Di klas ekonomi, nama hanya dipanggil sebagai encik, beg terpaksa dibawa sendiri, kena berjalan sendiri. Tetapi apabila naik first-class, nama dipanggil tuan, beg akan dibawa oleh orang lain, kasut pun dibawa oleh orang lain, betapa dimuliakan]. Hamba Allah itu terkejut kerana di up-grade, lalu Allah memberitahu kepada hamba yang tidak tahu menahu itu, "Oh!! Aku menaikkan taraf dan maqam kamu atas permohonan istighfar anak-anakmu bagi kamu. Selepas kematian kamu dahulu, anak-anak kamu sepanjang hayatnya tidak henti-henti memohon keampunan buat kamu, selepas itu cucu kamu pula terus juga memohon keampunan buat kamu dan bapanya, dan Aku terima dan sebagai ganjarannya Aku naikkan martabat kamu". Lihatlah bagaimana besarnya kesan istighfar anak-cucu untuk seseorang itu. Oleh itu usahlah risau sangat tentang anak-anak kita, nanti akan bekerja sebagai apa, tinggal di mana, tetapi risaukanlah jika mereka tidak mahu lagi beristighfar atau menjadi kurang ajar. Na'uzubillah. Kerana yang memberi manafaat kepada kita ialah istighfar anak itu. Janganlah anak-anak beristighfar hanya di 3 hari pertama kita mati sahaja, kemudian tunggu pula setahun sekali di hari ulang tahun kematian kita, kerana ulang tahun kematian tidak perlu diingati tetapi elok diingati kematian kita yang pasti. Hendaklah sentiasa diingat kematian kita yang akan tiba dengan pasti di mana-mana, bila-bila masa. Sangat bertuahlah jika mendapat anak-anak yang beristighfar. Anak yang menjadi apa pun tidak mengapa, ima jadi pemimpin atau jadi pengikut, jadi imam atau jadi makmum, duduk di bandar atau di kampung atau di pedalaman, jadi guru besar atau guru kecil, peniaga besar atau peniaga kecil, tidak mengapa, dengan syarat anak itu istiqomah dengan istighfar kepada ibubapa. Tentulah sangat seronok ibubapa itu kerana dia sendiri sudah redho kemudian diberi tambahan yang jauh lebih baik dan kekal oleh anak-cucunya.

8.0] Apa bezanya mathwa dan makwa? Banyak sekali di dalam Al-Quran menceritakan tentang mathwa dan perbezaannya dengan makwa. Sebagai catitan untuk bahan rujukan, kalimah mathwa boleh didapati di dalam surah-surah ini dan ada yang dikaitkan dengan neraka:

Surah An-Nahlu ayat 29, surah Al-Ankabut ayat 68, surah Az-Zumar ayat 32, surah Az-Zumar ayat 72, surah Ghafir ayat 76, surah Fussilat ayat 24, surah Muhammad ayat 12.

Yang menariknya untuk orang kafir disebut kedua-duanya sekali iaitu mathwa dan makwa. Mereka dipenjara dan kekal di mathwa kerana mereka silap mencarinya. Rujuk surah Aa-Li-Imran ayat 151, dimana kalimah mathwa dan makwa ada kedua-duanya di dalam  satu ayat itu;


Makwa bermakna final destination. Dari ayat di atas, tidak ada alasan yang membenarkan untuk mereka mensyirikkan Allah. [Nota; Membunuh pun ada alasan yang membenarkannya tetapi syirik tidak ada alasan untuk melakukannya]. Makwa mereka (tempat kembali mereka) ialah neraka dan mereka kekal disana. Walhal ketika di dunia, orang kafir pun tidak ada yang bercita-cita ingin masuk neraka. Orang kafir yang yakin akan adanya hari qiamat (contohnya di dalam surah Al-Kahfi), mereka yakin kerana di dunia mereka senang-lenang, kaya-raya, lalu mereka yakin di akhirat nanti pun mereka akan senang-lenang juga, tetapi rupa-rupanya mereka akan mendapat neraka dan neraka itu makwa yang kekal. Mereka kecewa dan kesal kerana apa yang mereka tempah, diharapkan tempahan tempat yang aman dan selamat tetapi mereka tersilap dan mendapat tempat siksaan. Mereka harapkan kebebasan tetapi akan terpenjara, tidak dapat bergerak kemana-mana seperti yang terdapat di dalam surah As-Sajdah ayat 20 dan surah Al-Mulk;                      

Setiap kali mereka ingin keluar daripada neraka mereka akan dimasukkan semula ke dalamnya. Sekarang masalahnya cuba kita lihat surah Muhammad ayat 19;

Pertama-tama syarat penting dalam hidup ini ialah ilmu tauhid kepada Allah, mengenali Allah dan mengEsakan Allah. Ini ilmu ushul (ilmu pokok) manakala ilmu yang lain ialah ilmu furu'(ilmu cabang). Siapa pun kita, di mana pun kita, apa pun profesion kita, kita wajib mengenal Allah dan mengEsakan Allah. Itu ilmu ushul yang melayakkan seseorang itu diterima amalnya, diampun dosanya, jika dia bertaubat, dengan syarat ianya tidak terbatal syahadahnya dan dapat masuki syurga.

9.0] Selepas ilmu tauhid ini barulah ilmu furu' yakni ilmu cabang, dan mintalah ampunan daripada Allah atas dosa-dosa kamu kerana jika berdosa dan  mohon ampun selagi tidak mendapat ampunan Allah, taubat tidak diterima. Tauhid kena betul, mesti kenal Allah dan mengEsakannya barulah apabila bertaubat, dosa terampun dan doa termakbul. Berdoalah untuk diri sendiri dan untuk seluruh orang yang lain juga, walil muslimiinawal muslimat wal mukmininawal mukminat.

10.0] Mungkin doa kita kepada Allah tidak diterima tetapi mengikut hadith Nabi s.a.w, ada caranya kita berdoa supaya dimaqbulkan oleh Allah. Bagaimana caranya?, jawapannya ialah, "Doakan saudara kamu tanpa sepengetahuannya". Apabila seseorang mukmin mendoakan seseorang mukmin yang lain tanpa pengetahuan orang yang didoakan itu, maka itu bermakna doa yang ikhlas sebab tidak disuruh dan yang didoakan itu pun tidak tahu menahu tentang doa itu. A yang menangis-nangis memohon doa kebaikan bagi B, walhal B tidak tahu pun dan sedang tidur lena. Pasti ikhlas doa dari A untuk B. Apabila ikhlas, Allah qabulkan, "Ya, doa kamu untuk B akan diqabulkan dan bagi kamu kebaikan yang sama". Jadi caranya untuk mendapat kemakbulan doa ialah dengan mendoakan orang lain, sebab jika kita doakan untuk diri sendiri sahaja mungkin susah untuk maqbul. Tetapi haqiqatnya adalah susah, tidak mudah untuk ikhlas mendoakan orang lain, sebab ada sifat bakhil. Dia lupa bahawa dengan mendoakan orang lain, kesannya keatas dirinya sendiri. Sebab itu budaya doa-mendoakan tanpa diketahui oleh orang yang didoakan wajiblah di teruskan, kerana itu perintah Nabi s.a.w, itu sunnah Nabi s.a.w, dengan syarat, bil ghaib, bil ghaib, jangan diberitahu, tidak payah diceritakan kepada sesiapa pun. Tetapi kita biasanya merasa tidak puas jika yang kita doakan itu tidak tahu. "Aku mendoakan dia setiap malam, tidak tahu ke dia?. Memang begitulah iblis, walhal kita yang mendoakan itu sudah beruntung kerana mungkin doa kita kepada kawan kita tadi tidak bermanafaat kepada kawan kita itu pun tetapi Allah telah berjanji untuk memberi manafaat bagi kita kerana Allah telah beri jaminan, "Bagi mu sebagaimana doamu kepada kawanmu itu". Itu caranya, mohon ampun diri sendiri, kemudian mohon ampun bagi keseluruhan orang lain dan sunnah ini mesti ditegakkan. Kita diingatkan supaya sentiasa istiqomah, menjaga kerahsiaan doa kita kepada orang lain. Apabila kita pandai menjaga kerahsiaannya, para malaikat kagum, walaupun kita merasa seperti tiada apa-apa, tidak mengapa, mungkin di bumi nampak sepi tetapi pada pandangan malaikat di langit nampak meriah. Kita tidak perlu bersungguh-sungguh untuk memberitahu kepada manusia asalkan pasti Allah sudah tahu dan syarat kemaqbulan doa ialah doa yang secara rahsia. Tetapi ternyata syaitan tidak berpuas hati jika anak Adam berbuat seperti itu. Syaitan akan terus mencucuk-cucuk dengan membisikkan, "Anda berdoa untuknya sehingga berbuih mulut setiap malam, tetapi orang itu make don't know sahaja". Biarkanlah, itu lagi bagus kerana telah menjalankan satu perintah yang baik.

11.0] Kembali kepada surah Muhammad ayat 19, dimana kalimat mathwa di hubungkan dengan kalimat mutaqobbala yang berlawanan. Mathwa, tempat siksaan, tiada kebebasan, terpenjara, manakala mutaqobbala bermakna adanya kebebasan bergerak, di syurga. Lalu fashilah (penghujung) ayat ini, Allah beritahu kita jika ingin bahagia dunia dan akhirat, ada 2 ilmu iaitu ilmu ushul dan ilmu furu'. Setelah memahami ilmu ushul, mengenal Allah, mengEsakan Allah dan kemudian sentiasalah membudayakan taubat, selalulah perbaharui taubat kerana kita berbuat dosa di setiap saat.

12.0] Ilmu furu' pula ialah taklif atau bebanan dari Allah, perintah dari Allah tetapi manusia diberi kebebasan memilih, sebab itu Allah kata Allah mengetahui dan Allah tidak memaksa. "Aku tidak memaksa, kerana ada diantara kamu yang memilih masuk syurga dan mendapat mutaqobbala, makwa, tempat kembali yang penuh nikmat, dapat bergerak dengan bebas, kerana mereka telah kenal Allah dan mengEsakan Allah dan membudayakan taubat di dalam hidupnya. Aku juga tahu ada diantara kamu yang memilih neraka, yakni mereka yang tidak mengenal Aku, Allah, mereka tidak mengEsakan Allah dan tidak bertaubat, jadi nerakalah untuk mereka". Ertinya sebelum manusia itu menentukan pilihannya, samada hidupnya ini dia buat tempahan ke syurga atau buat tempahan ke neraka, Allah sudah tahu tetapi Allah tidak paksa. Yang menariknya, jika seseorang itu kenal Allah dan mengEsakanNYa, jika seseorang itu mempastikan dirinya tiada dosa sehingga dia jumpa Allah, maka tempatnya makwa, mutaqobbala, iaitu syurga. Sebaliknya jika semasa hidupnya dia tidak kenal Allah dan tidak mengEsakan Allah dan sehingga dia mati masih banyak dosa, bermakna dia menempah tempat mathwa, yakni neraka.

13.0] Dengan ilmuNya yang maha luas, Allah mengetahui;

i) Apa yang telah berlaku
ii) Apa yang sedang berlaku
iii) Apa yang akan berlaku
iv) Apa yang tidak akan berlaku - Allah tahu apa yang tidak mungkin berlaku dan jika ianya berlaku bagaimana ianya berlaku. Contohnya seperti di dalam surah Al-Kahfi, di mana seorang soleh yang anaknya mati dibunuh semasa kecil lagi. Allah tahu apa akan terjadi  jika anak itu tidak mati semasa kecil lagi kerana jika sudah besar dia akan menjadi kafir dan mengheret kedua ibu-bapanya kufur sama. Allah tidak mahu kedua ibubapanya menjadi kafir, lalu Allah matikan anak itu semasa kecil lagi. Itu menunjukkan Allah mengetahui apa yang tidak berlaku dan jika berlaku seperti mana?.Tidak ada yang rahsia bagi Allah, berbeza dengan ilmu kita, kerana kita;

i) Tidak tahu apa yang belum berlaku
ii) Tidak faham apa yang sedang berlaku
iii) Tidak ingat lagi apa yang sudah berlaku.

Oleh itu rajin-rajinlah berdoa, "Robbi zidni 'ilmi maksudnya- "Ya Allah, tambahkanlah daku ilmu" "'Allimni ma yanfa'uni, 'Allimni ma jahilni, 'Ya Allah  ajarkanlah kepadaku apa yang aku tidak tahu. Tambahkan daku ilmu" . Minta dan berdoalah kepada Allah dengan benar-benar dan bersungguh-sungguh, dengan merasa diri kita bodoh, dan tidak tahu dan tiada ilmu. Janganlah berdoa seperti ini, "Ya Allah, aku mohon agar Engkau tambahkan ilmu kepadaku, jika Engkau tambahkan ilmu kepada ku, aku bersyukur tetapi jika tidak pun tidak mengapa sebab hamba Mu ini sudah ada PHD". Tidak boleh begitu. Doa sebegitu tidak dapat naik ke keatas, tidak boleh sampai kepada  Allah. Awal-awal lagi sudah ditolak oleh Allah. Jangankan untuk dapat naik melepasi langit pertama, menembusi atap rumahnya pun tidak mampu. Apabila berdoa untuk memohon apa-apa hajat keperluan dengan Allah, mestilah ada 3 syarat seperti yang telah kita pelajari sebelumnya, iaitu mesti menjelaskan kelemahan diri sendiri, kemudian merasa sangat-sangat berhajat kepada Allah, dan seterusnya merasa putus harap dari yang selain Allah. Itu kata-kata daripada Ibnu Qayyim.

14.0] Apabila cukup syarat ketika berdoa, in syaa Allah diqabul Allah, siapa pun orangnya, di manapun tempatnya, walaupun tidak di Multazam di Rumah Allah. Tetapi jika berdoa di Multazam sekali pun jika tidak cukup syarat, semacam jampi kosong sahajalah. Doa tidak boleh terpaksa, doa tidak boleh lagho, lalai leka. Carilah tempat yang tenang untuk berdoa, di tempat tiada gangguan, berdoa dengan tenang, tidak cepat-cepat, tidak berebut-rebut. Contohnya di Maqam Ibrahim di dataran  Kaabah yang sangat padat dengan manusia yang sedang bertawaf, tempat itu tidak sesuai untuk melakukan solat ketika itu, kerana ianya ialah laluan orang tawaf. Tetapi kerana keinginan untuk bersolat juga disitu, lalu menyuruh kawan buat kepungan sementara kita bersolat di situ. Bacaan dalam solat pun diarah oleh kawan supaya baca yang pendek dan baca dengan laju-laju. "Eh, rugilah kalau tidak solat di Maqam Ibrahim, di Multazam", akhirnya solat cincai-cincai, tergesa-gesa, apa lagi mengganggu laluan orang bertawaf. Adakah kita fikir solat begitu diterima Allah?.

15.0] Kita ini terlalu sentimental, contoh lain adalah seperti tentang solat Jumu'ah di Masjidil Haram,"Eh, rugi kalau tidak pergi solat Jumu'ah di Masjidil Haram". Dia lupa bahawa perempuan tidak wajib solat Jumu'ah. Disebabkan muslimah yang mencapai ribuan malah jutaan orang, jika pergi bersama solat Jumu'ah hari Jumaat di Masjidil Haram, akan menambahkan kesesakan dan mengganggu orang lelaki yang wajib mengerjakannya. Malahan berdosa kerana menyebabkan orang lelaki, Pak Aji-Pak Aji tidak cukup tempat untuk bersolat. Pak Aji pun merasa segan untuk rukuk, sujud kerana ada muslimah yang terkepung bersama mereka. Walhal jika orang perempuan tidak pergi, in syaa Allah Pak Aji-Pak Aji itu dapat sempurna Jumu'ahnya. Di dalam kepala muslimah itu mengatakan rugi jika tidak solat Jumu'ah di Masjidil haram, siapa yang kata rugi? hanya dia yang pandai-memandai. Sehinggakan Pak-Pak Aji  yang malas untuk melawan terpaksa mengalah.

16.0] Kembali tentang kalimah mathwa iaitu tempat menetap yang sempit, tiada kebebasan, tiada pergerakan, tidak boleh berpindah, terpenjara, dan ini dijelaskan oleh Allah di dalam surah Az-Zukhruf ayat 77;

Ashabunnar (ahli neraka) berkata, mereka menyeru dan memanggil-manggil penjaga neraka , "Ya Malik, mintalah kepada Tuhan supaya mematikan sahaja kami". [Nota; Kalimah qodho-yakdhi kalau dipadankan dengan lam adalah qodho atau keputusan yang baik manakala qodho yang dikaitkan dengan 'ala, menunjukkan itu keputusan yang tidak baik, musibah, bencana atau kematian]. Malaikat yang diberi kuasa menjaga neraka dinamakan Malik, dan mereka adalah ramai bukan seorang. Nama tugasan dan jawatan itu Malik, sepertilah jawatan posmen sekarang. [Nota; Bilal bin Rubah adalah nama orang, seorang sahabat Nabi s.a.w yang ditugaskan menjadi bilal, melaungkan azan memanggil umat untuk solat. Tetapi lantaran jauh dari Arab Saudi sehingga sampai ke sini, bilal dijadikan sebagai jawatan, tugasan atau pekerjaan].

17.0] Surah Az-Zukhruf ayat 77 diatas menceritakan tentang keadaan ahli neraka yang tidak hidup dan tidak mati. Oleh kerana terlalu siksa dan menderita keadaan di neraka sehingga mereka meminta-minta untuk mati sahaja. Ada 5 ikhtiar ahli neraka yang diutarakan kepada Allah iaitu;

i) Minta amal mereka diterima tetapi amal mereka bukan amal soleh
ii) Minta dosa-dosa mereka diampuni tetapi tidak dilayan
iii) Minta syafaat tetapi tidak layak
iv) Minta balik ke dunia untuk beramal soleh, tetapi dunia sudah tidak ada lagi
v) Minta keluar dari neraka dan setiap kali mereka keluar diseret kembali memasuki neraka
vi) Minta mati sahaja dan tidak dihidupkan lagi, juga tidak dilayan kerana mati pun sudah dimatikan. Di akhirat, kematian dijelmakan sebagai kibash dan disembelih. Ini ikhtiar terakhir ahli neraka tetapi semuanya tidak dilayan, tidak diterima oleh Allah.

Tempat mereka ialah mathwa dan makwa dan itu ialah di neraka, destinasi terakhir bagi mereka. Na'uzubillah. Oleh itu kita janganlah mengatakan hazal bait mathwa, rumah ini penjara, sebab mathwa itu ditujukan kepada neraka.

18.0] Ada juga penggunaan mathwa di dalam Al-Quran ketika Nabi Yusuf as dibeli sebagai hamba abdi kepada penguasa Mesir Al-'Aziz. Penguasa Mesir berkata kepada isterinya, "Akrimi  mathwahu" yang bermakna, "Wahai isteriku, muliakan mathwa Yusof". Walaupun Nabi Yusof menjadi hamba abdi mereka tetapi Al-Aziz minta dimuliakan Yusof walaupun di dalam mathwa yang tidak bebas, tetapi rupa-rupanya isterinya pula yang punya agenda tersendiri lantaran terpikat dengan keelokan Nabi Yusof as. Moga-moga bermanafaat untuk kita semua dan diberkati Allah.