Tuesday, March 21, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 64) - Kuliah 65 - Ad-Dunya, Al-Akhirah, Al-Hayat, Al-Maut, Al- Hayawan.

1.0] Surah Al- Ankabut ayat 64;

Pada kuliah minggu lepas, kita telah pelajari tentang kalimah-kalimah Al-Hayat, Lahwun wa La'ibun, Ad-Dunya dan lawannya Al-Akhirah. Kalimah Ad-Dunya ini telah diulang sama banyak dengan lawannya Al-Akhirah iaitu sebanyak 115 kali di dalam Al-Quran. Ad-Dunya ialah tempat kita hidup, iaitu Al-Hayat yang lawannya dengan Al-Maut. Subhanallah, kalimah Al-Hayat juga sama dengan Al-maut yang diulang sebanyak 145 kali dalam Al-Quran, bahkan bukan itu sahaja, akhirnya kita menemukan kaedah, dimana Al-Quran yang penuh dengan keseimbangan yang tiada percanggahan, kalimah-kalimah yang berlawanan (antonym), jumlah pengulangannya adalah sama banyak di-dalam Al-Quran. Diantara contohnya ialah;

Al-Hayat dan lawannya Al-Maut
Ad- Dunya dan lawannya Al-Akhirah
Al- Lail dan lawannya An- Nahar
Al-Jannah dan lawannya An-Nar

Ini adalah luar biasa dan ini adalah I'jaz 'Adadi, yang jika dikaji dengan hati terbuka pasti akan menggetarkan jiwa kita, ketika kita berhadapan dengan kitab yang mengkagumkan ini, dengan syarat hati yang ikhlas, kerana ianya bukan sebarang kitab. Kalau kita boleh menangis hanya dengan membaca buku-buku cerita karangan manusia seperti buku cerita Al-Ila dan Damina, atau pun kisah percintaan klasik Tiongkok iaitu Sampit dan Intai yang mana lebih kuno dan klasik daripada cinta klasik Romeo dan Juliet, dapat dijiwai dengan berkesan, bagaimana mungkin kita tidak terkesan atau tersentuh hati dengan membaca Al-Quran yang jauh lebih dahsyat. Bukan Al-Quran tidak punya kekuatan menyentuh hati tetapi mungkin kerana hati kita yang tidak mudah disentuh atau pun pantang disentuh atau sudah terlalu keras membatu menolak sentuhan.

2.0] "Kenapa diulang seimbang kalimah Ad-Dunya dan lawannya Al-Akhirah dan juga Al-Hayat dan lawannya Al-Maut?". Ini memberi isyarat bagaimana keadaan seseorang selepas mati diakhirat 100% sama keadaannya seperti bagaimana ia hidup didunia. Akhirat adalah tempat Allah memberi dan menunjukkan balasan kepada hambaNya 100% sesuai dengan amal usahanya semasa ia hidup di dunia. Jika di dunia hidupnya selayaknya ahli syurga maka Allah akan kurniakan balasan syurga tidak dikurangi dan begitu jugalah sebaliknya jika dikehidupan dunia ia melakukan dosa dan kesalahan, maka balasan di akhirat pun sama 100% tidak ditambah dengan balasan lain. Ini adalah sekadar maklumat supaya kita ingin membaiki kehidupan agar lebih baik lagi.

3.0] Untuk mendalami lagi, kita akan membandingkan surah Al-Ankabut ayat 64 ini dengan surah Al-An'am ayat 32;

Ayat ini menceritakan tajuk yang sama iaitu tentang hakikat Al-Hayatud-Dunya dan hakikat Ad-Daarul-Akhirah. Tetapi cuba perhatikan susunan ayatnya yang ada perbezaan, pasti ada sesuatu yang ingin Allah sampaikan. Kenapa ada 2 struktur kalimah atau 2 uslub ayat yang berbeza?. Sayogia diingatkan bahawa di dalam Al-Quran kalimah Lahwun Wa La'ibun, yang Lahwun disebut dahulu, yakni di dalam 2 ayat sahaja iaitu di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 ini dan surah Al-A'raf ayat 51. Manakala yang disebut La'ibun dahulu kemudian Lahwun terdapat di dalam 3 surah iaitu surah Al-An'am ayat 32, surah Muhammad ayat 36 dan surah Al-Hadid ayat 20.

4.0] Kita cuba perhatikan apa perbezaannya diantara 2 ayat ini, iaitu surah Al-Ankabut ayat 64 dengan surah Al-An'am ayat 32. Terdapat 5 perbezaannya iaitu, di dalam surah

i) Al-Ankabut 64- terdapat kalimah wama haazihi
   Al-An'am 32- tiada kalimah haazihi

ii) Al-Ankabut 64- disebut lahwun wa la'ibun
  Al-An'am 32- disebut la'ibun wa lahwun

iii) Al-Ankabut 64- disebut wa innad-daaral-aakhirah
  Al-An'am 32- disebut waladdaaril aakhirah

iv) Al-Ankabut 64- disebut lahiyal hayawan
  Al-An'am 32- disebut khairul lillazinayattaqun

v) Al-Ankabut 64- faasilahnya, lau kaanu ya'lamun. [Nota; Faasilah ialah kalimah yang dijadikan penutup bagi satu-satu ayat].
 Al- An'am 32- faasilahnya, afala ta'qilun

Walaupun kedua-dua ayat bercerita tentang tajuk yang sama iaitu tentang hakikat kehidupan dunia dan hakikat kehidupan akhirat, tetapi Allah menyampaikannya dalam struktur ayat atau uslub ayat yang berbeza dan terdapat 5 perbezaannya. Mari kita kaji kenapa dibezakan. Ini adalah keistimewaan Al-Quran. Bahawasanya Allah dengan segala sifat kesempurnaanNya tidak mungkin berfirman dengan kalimah berbeza atau dalam jumlah huruf berbeza pada setiap kalimah, atau berbeza di tempat kalimah (satu di depankan dan yang lain di belakangkan) dan sebagainya, melainkan maksud yang dikehendakiNya adalah berbeza. Tanpa memerhatikan segala uslub ini itu tanda mungkin pemikiran kita masih terlalu dangkal. Bersifat zohriyyun atau sabhi, iaitu umpama kita melihat sebuah rumah yang cantik dari luarnya, besar, berwarna biru, kemudian kita balik, apabila ditanya tentang rumah itu, kita hanya tahu besar, cantik, biru. Apabila ditanya apa isinya? kita tidak tahu. Adalah lebih bijaksana jika kita masuk kedalam rumah tersebut untuk mendapat maklumat yang lebih. Barulah kita tahu apa isinya, berapa biliknya, apa yang ada di dalam biliknya dan sebagainya. Demikian juga di dalam ayat, tanpa memerhatikan perbezaan struktur ayat ima strukturnya waima jumlah huruf dalam setiap kalimah, hatta memerhatikan letak satu-satu kalimat dalam satu-satu ayat, yang mana didahulukan dan yang mana dikemudiankan, semuanya memberi maklumat yang berbeza. Perlukan kepada penelitian, walhal di sanalah kadang-kadang maklumat yang Allah hendak sampaikan itu adalah lebih banyak daripada yang zahir. Inilah kelebihan dan keistimewaan Al-Quran yang boleh menyampaikan sesuatu maklumat bukan dengan menggunakan kalimat yang berbeza sahaja tetapi hanya dengan meletakkan kedudukan lafaz yang berbeza dalam satu-satu ayat atau menambah huruf dalam satu-satu kalimah atau mengurangi huruf dalam kalimah yang lain pun dapat membezakan maksudnya.

5.0] Kembali kepada perbezaan antara kedua-dua ayat diatas iaitu surah Al-Ankabut ayat 64 dan surah Al-An'am ayat 32;

Perbezaan pertama ialah adanya kalimah haazihi dan yang satu lagi tiada kalimah haazihi;
Surah Al-Ankabut ayat 64 ini ada kalimah haazihi hayatud-dunya dan ianya ada kaitan dengan ayat sebelumnya iaiatu ayat 63 yang menceritakan tentang kehidupan bumi yang asalnya mati, kering, tandus, kenudian Allah turunkan hujan. Allah hidupkan bumi selepas matinya. Allah ceritakan hakikat kehidupan bumi sekarang. Selepas itu Allah kata, "Wama haazihil hayatud dunya"- kehidupan bumi. Seolah-olah  Allah kata, "Wahai hambaKu, tengok bumi dimana kamu tinggal, tengok dengan mata kepala kamu, dengar dengan telinga kamu, pegang dengan tangan kamu, hidu dengan hidung kamu, Ini adalah bumi. "Kamu nampak!". "Nampak!". Bagaimana keadaannya? Hidup atau mati? "Mati!". "Sekarang Aku limpahkan dengan air hujan, setelah disimbah dengan air hujan, bumi  tadi hidup subur, "Kamu nampak? Kamu tengok? "Ya, kami nampak dan kami tengok!". "Kamu boleh pegang, boleh rasa,". Setelah berlalu 1 bulan atau 1 tahun, atau 3 tahun dan seterusnya, pokok-pokok itu pun akan mati, akan reput, jadi gersang semula. Lalu Allah nyatakan, "Dan tiadalah kehidupan dunia ini (kerana sedang di depan kita, itu rahsianya kenapa ditambah kalimah haazihi) melainkan lahwun wa la'ibun. [Kalimah haazihi digunakan kerana kehidupan dunia sedang di depan mata kita dan kita disuruh menengok sendiri bahawa kehidupan dunia ini tidak ubahnya seperti tanah mati yang kemudian hidup dan kemudian mati pula. Berapa lama kita dapat menikmati taman yang berbunga indah itu?]

6.0]"Berapa lama musim bunga sakura yang indah?". Orang sanggup terbang beribu batu dan rela membayar beribu ringgit semata-mata ingin menikmati keindahan bunga sakura, namun setelah beberapa minggu, akan layu dan gugur, tidak kekal lama. Allah kata, "Inilah kehidupan dunia!".

7.0] "Berapa lama kecantikan bumi Turki diserlahkan dengan kecantikan bunga tulipnya?". "Sekejap jua, tidak sepanjang masa". Orang berduyun-duyun pergi kesitu ketika bunga tulip berkembang, kemudian bunga layu dan hilang keindahannya. Inilah hakikat kehidupan. Memang menyeronokkan, memang memuaskan tetapi jangka hayatnya sementara jua. Inilah yang Allah sebutkan kalimah haazihi, di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 yang menceritakan tentang kehidupan yang ada di hadapan mata kita yang bersifat sementara.

8.0] Berbeza dengan surah Al-An'am ayat 32 yang tidak ada penggunaan kalimah haazihi. Untuk lebih jelas lagi elok  diperhatikan dari ayat 30 sebelumnya lagi yang menceritakan tentang kehidupan akhirat yang menceritakan tentang azab itu benar, neraka itu benar,



Ini semuanya cerita akhirat, berlaku di akhirat. Allah ingatkan kepada mereka tentang dunia yang pernah mereka tinggal dahulu. "Apa ingatan Allah kepada mereka?". "Wa mal hayatad-dunya illa la'ibun wa lahwun". Yang bermaksud, "Dan tiadalah kehidupan dunia selain dari main-main dan senda-gurau belaka". "Kenapa tiada kalimah haazihi yang bermaksud ini?". "Kerana ini adalah cerita di akhirat. Orang itu sudah berada di neraka, di akhirat dan sedang diazab, dunia sudah tidak ada bagi mereka.

9.0] Perbezaan kedua ialah di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 ada kalimah lahwun wa la'ibun, berbeza dari segi susunan kalimat (tartibul-lafzi), susunan kalimat di dalam surah Al-An'am ayat 32 pula ialah la'ibun wa lahwun. Kita sorot kembali kuliah minggu lepas yang menyatakan bahawa lahwun adalah yang lebih merbahaya dan memperdayakan manusia kerana yang mendorongnya ialah walidul hawa yang berterusan tiada hentinya. Manakala la'ibun yang asal dari rasa suka dan didorong oleh walidur-rughbah yang tidak berterusan, dan ada hadnya. Yang lebih menyesatkan ialah lahwun yang didorong oleh hawa nafsu. Mereka yang sudah berada di neraka iaitu di akhirat,Allah mengingatkan bahawa di dunia dahulu, la'ibun wa lahwun. Berbeza dengan surah Al-Ankabut ayat 64 yang menceritakan cerita di dunia sekarang, Allah ingatkan hambaNya ketika mereka masih hidup di dunia supaya mereka berhati-hati menghadapi dunia kerana dunia ini lahwun yang lebih kuat memperdayakan manusia, supaya manusia didunia ini tidak masuk neraka. Allah kata "Berhati-hatilah dengan lahwun", iaitu Allah peringatkan yang besar dahulu baru dengan yang kecil. Jika kita hendak memberi amaran, kita beri alasan yang besar dahulu, iaitu ancaman yang paling besar dahulu kemudian baru alasan yang paling ringan.

10.0] Contoh peringatan," Nak!, jangan keluar nak, ini hujan lebat, petir menyambar, jangan keluar sekarang, sebab gelap". [Nota; Mudhorat jika disambar petir adalah lebih besar dari gelap, sebab itu disebut tentang petir dahulu]. Amaran yang paling ringan mungkin yang nombor 10, ialah mungkin seperti "Nak, jangan keluar  kerana sejuk".

11.0] Ada pun apabila seseorang itu telah terjerumus dan terpedaya, dan telah berada di alam akhirat, diingatkan pula yang ia terpedaya itu daripada yang ringan-ringan dahulu. Contohnya, "Jangankan dahulu kamu melanggar yang berat-berat, kamu melanggar yang ringan-ringan pun akan dibalas azab". Di akhirat, jangankan orang yang terpedaya dengan lahwun, orang yang terpedaya dengan la'ibun pun akan rugi. Sementara bagi mereka yang masih di dunia ini, Allah memperingatkan dengan yang berat-berat dahulu, tentang dunia ini yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk memperdaya penghuninya, dan ini menunjukkan sifat Allah Yang Maha Pengasih Penyayang memberi amaran dan peringatan supaya hambaNya merasa terkesan dan terselamat dari melakukan dosa.

12.0] Di akhirat, bagi mereka yang sudah terpedaya dan disiksa di dalam neraka, Allah tidak sebut yang berat-berat dahulu, tetapi yang ringan-ringan dahulu, maksudnya seolah-olah Allah berkata, " Wahai hambaKu, sekarang kamu susah di akhirat kerana dahulu semasa kamu di dunia, kamu telah terpedaya dengan lahwun. Jangankan terpedaya dengan lahwun, terpedaya dengan la'ibun pun teruk dan rugi. Jangankan melanggar yang besar, jika melanggar yang kecil pun ada azab dan siksa".

13.0] Perbezaan yang ketiga ialah, di dalam surah Al-Ankabut ayat 64 ada kalimah wa innaddarul akhirah, manakala di dalam surah Al-An'am ayat 32 ada kalimah wa laddarul akhirah. Inna dan lam, kedua-duanya untuk menunjukkan taukid (penjelas, penegas), untuk menunjukkan sesuatu yang sungguh-sungguh. Hanyasanya lam boleh jadi makna sungguh atau penguat  atau sebagai ibtida' (pembuka ayat), iaitu lam taukid atau lam isti'nah. Manakala inna sentiasa digunakan sebagai taukid dan tidak digunakan untuk memulakan sesuatu ayat. [Nota; Dalam bahasa Arab, sesuatu ayat baru boleh dimulakan dengan lam iaitu lam ibtida'].

14.0] "Mana yang lebih kuat taukidnya antara lam dan inna?". Inna adalah lebih kuat taukidnya berbanding lam. Ketika Allah hendak memberitahu kita bahawa kehidupan yang sebenar itu bukan di dunia tetapi kehidupan itu ialah yang di akhirat. Allah gunakan kalimah inna, kenapa? Kerana ini kehidupan dunia, yang mana asalnya bumi gersang, kemudian turun hujan, lalu ditumbuhkan tumbuhan, cantik sekejap sahaja, kemudian mati semula. Jika kamu terpedaya dengannya, rugi. Sedangkan sesungguhnya negeri akhirat itu kehidupan yang sebenar-benarnya. Jadi untuk meyakinkan manusia, supaya manusia tidak terpedaya dengan kehidupan Ad-Dunya sekarang yang hanya seperti musim bunga sakura, Allah kata ,"Jangan terpedaya dengan kehidupan dunia kerana di akhiratlah sebenar-benarnya hidup".

15.0] Berbeza dengan surah Al-An'am ayat 32, dimana orang ini telah terpedaya dengan kehidupan di dunia dahulu dan sekarang mereka menikmati akibatnya, yakni masuk neraka. Untuk menambahkan lagi kekecewaannya Allah beritahu, "Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang bertaqwa. Dahulu kamu tidak bertaqwa,". Ayat tempelakan yang hanya untuk menambahkan kesengsaraan dan kekesalan mereka.

16.0] Perbezaan yang keempat ialah, di dalam surah Al-Ankabut  ayat 64, terdapat kalimah la hiyal hayawan, kenapa bukan kalimah Al-Hayat? Manakala di dalam surah Al-An'am terdapat kalimah khairulillazina yattaqun. Perbezaan ini ialah supaya orang yang masih hidup jangan terpedaya dengan kehidupan dunia, sebab ianya bukan kehidupan yang sebenarnya. Kehidupan yang yakni diakhirat nanti. Sementara di dalam surah Al-An'am ayat 32 pula, Allah memberitahu kepada orang-orang kafir yang sedang disiksa, "Bahawasanya kehidupan akhirat yang kekal ini adalah kebaikan bagi yang bertaqwa, malangnya kamu tidak bertaqwa",

17.0] Contohnya, lihatlah ketika  budak sekolah datang untuk mengambil keputusan peperiksaan mereka. Sebelum mendapat keputusan, gelaknya sama, gembiranya sama, cerianya sama. Tetapi setelah masing-masing menerima keputusan, ada yang senyum, ada yang gelak, ada yang melompat-lompat, ada yang sampai menconteng-conteng baju, ada yang menyendiri sambil menangis, menutup mukanya. Kemudian ada seorang guru datang dan berkata, "Bukankah cikgu sudah katakan bahawa kejayaan itu hanya akan dapat bagi yang rajin belajar?". Ucapan guru itu menambahkan kekecewaannya atau mengubati hatinya?. "Tentu menambahkan kekesalannya", dan samalah senario itu dengan orang-orang yang sedang diazab di neraka.

18.0] Sementara bagi mereka yang belum mengambil peperiksaan lagi dan gurunya menasihati mereka seperti ini, "Ingat, kejayaan kamu sebenarnya untuk menguji samada kamu faham atau tidak, untuk menguji kemampuan kamu, atau kamu hanya berlagak pandai, semuanya hanya akan terserlah ketika kamu hadapi peperiksaan. Bukannya sekarang, mungkin sekarang  kamu nampak pandai, tetapi hati-hati, kamu semua kena tunjukkan kehandalan kamu di bilik peperiksaan". Semua itu diberitahu kepada semua murid dan dan belum ada yang kecewa, belum ada yang bersedih, dan belum ada yang gembira sebab baru diberitahu. Setelah itu ada murid yang rajin, dan ada murid yang malas. Murid yang rajin berjaya dan murid yang malas gagal, dan menangis, menyesal. Semasa menangis itu gurunya dahulu itu datang dan berkata, "Cikgu sudah kata bahawa kejayaan ialah untuk orang yang rajin". Dan kalau disambung boleh jadi panjang lagi, "Bukan macam kamu". Senario itu samalah ketika di akhirat Allah beritahu, "Bukankah aku sudah kata bahawa kehidupan akhirat itu kebaikan bagi orang yang bertaqwa, bukan bagi kamu yang kafir, sekarang rasakan !". Pemberitahuan Allah kepada mereka itu hanya menambahkan rasa kecewa dan sakitnya kerana azab di akhirat ini bermacam-macam bentuknya.

19.0] Kata Dr. Yusuf Al-Qordhowi, di akhirat ada azab rohani dan azab jasmani, azab zohiriah dan azab batiniah. Demikian juga dengan nikmat syurga, ada nikmat batiniah dan zohiriah. Nikmat zohiriah ialah seperti dapat memakan buah-buahan dan daging burung, pakai baju sutera tebal dan nipis yang berwarna hijau, pakai gelang emas, ada pelayan, duduk bersandar, dibawahnya ada air mengalir dan sebagainya. Kemudian mereka gelak-gelak, bercengkerama, ada hurun 'ain. Itu nikmat zohiriah.

20.0] Contoh nikmat batiniah pula ialah mereka tidak mendengar kata-kata dosa dan lagho, yang ada kata-kata salamun-salama (selamat-selamat), mereka bebas dari rasa takut dan sedih dan tidak seorang pun yang ingin mencari tempat lain sebab di syurga tidak akan bosan atau jemu. Berbeza dengan di dunia ini, jika semewah manapun tempat tinggal, atau sesedap manapun makanan pasti akan jemu juga nanti. Contohnya makanan yang lazat sekali pun jika makan makanan yang sama sehari 3 kali, selama 3 bulan berturut-turut, akan timbul jemu dan ingin bertukar selera, tetapi di syurga nanti tiada keinginan untuk mengganti dan itu nikmat batiniah.

21.0] Di neraka begitu juga, ada azab zohiriah seperti setiap kali kulitnya melecur dibakar api neraka, akan diganti kulitnya yang baru supaya mereka merasai azabnya berterusan, atau pun setiap kali mereka ingin keluar dari neraka akan dibenam balik, dipukul, terburai perut dan di beri minum air panas menggelegak. Ada juga azab batiniah seperti dicaci-maki oleh malaikat azab dan sebagainya. Contohnya apabila kita sakit, jika ada kawan datang melawat dengan memberi kata-kata perangsang, "Sabarlah, saya turut simpati, saya pun tidak boleh tidur memikirkan tentang kamu, dan berdoa untuk kamu", tentunya timbul rasa lega dan kurang sedikit penanggungan sakitnya. tetapi jika ada kawan yang berkata, "Rasakanlah, ini pun dikira tidak teruk, tetapi entah-entah besok lagi teruk". Bagaimana rasanya ditempelak begitu? Itu namanya azab batiniah. Jadi apabila Allah memberitahu kita dalam surah ini bahawasanya negeri akhirat kebaikan bagi orang yang bertaqwa, ini bukan tabsyir, bukan berita gembira, jika kita baca keseluruhan ayat, itu namanya azab batiniah untuk orang-orang kafir. Ayat ini bukan untuk orang yang hidup, tetapi untuk orang yang sudah mati. Samalah seperti guru yang berkata kepada pelajar yang gagal tadi, bukan untuk simpati tetapi untuk lebih menyakitkan hati.

22.0] Berbeza sekali jika ada ibubapa yang sepatutnya memberi  perangsang seperti ini, "Tidak apa, walaupun kamu gagal, nampaknya otak kamu bukan jenis otak akademik, mungkin lebih sesuai dengan kerja bengkel, nanti belajar kemahiran dan tahun hadapan nanti kamu buka bengkel kapal-terbang". Walaupun gagal masih diberi perangsang. Tidak seperti guru tadi yang kata, "Bukankah betul apa yang cikgu cakap tempuhari?, dan nampaknya orang yang seperti kamu ini tidak ada peluang untuk berjaya. Beratus-ratus peluang pekerjaan di luar sana menunggu orang-orang yang berjaya". Itu bukan berita baik untuk budak itu, bukan tabsyir tetapi sebagai tempelakan.

23.0] Keratan ayat ini ditujukan Allah kepada orang kafir ketika merasai azab Allah dan bunyinya yang nampak cantik ini merupakan hanya untuk menambahkan rasa kesal dan menderita. Ayat ini seolah-olah untuk orang yang hidup tetapi tidak. Oleh itu kita kena betul-betul memahami ayat-ayat seperti ini.

24.0] Ada pun  yang hayawan, untuk yang hidup, jangan terpedaya dengan keindahan bunga sakura, dengan keindahan dunia yang hanya  beberapa waktu sahaja dan sangat memperdayakan. Ketahuilah sesungguhnya negeri akhirat itu sungguh dianya Al-Hayawan. 2 kali kalimah sungguh itu digunakan untuk yang masih hidup, tidak ditujukan kepada orang kafir atau orang berdosa di akhirat atau di alam barzakh.

25.0] Bezanya antara kalimat Al-Hayat dengan Hayawan;
Al-Hayat  di dalam Al-Quran diulang 145 kali dan semuanya dikaitkan dengan dunia, tiada Al-Hayatul Akhirah. Kehidupan akhirat disebut Al-Hayawan bukan Al-Hayat dan Al-Hayawan disebut 1 kali sahaja di dalam Al-quran iaitu untuk menyatakan tentang kehidupan yang sempurna di akhirat. Allah sebut 1 kali sahaja, ertinya jangan cari yang lain, kehidupan akhirat hanya satu itu. Kalau gembira atau pun susah, ianya abadi, selama-lamanya, berbeza dengan Al-Hayat di dunia. Contohnya, berapa lama seseorang itu menikmati kejayaan, walhal berusahanya cukup lama. Pelari terpantas di dunia, Usain Bolt, kepantasannya berlari 9.8 saat/100 meter. sedangkan kita mungkin 9 minit/100 meter. Diiktiraf disukan Olympik. Pertanyaannya, "Berapa lama dia berlatih untuk mendapatkan juara itu?". Olympik diadakan setiap 4 tahun sekali. Gembiranya dia semasa diumumkan juara, masa itu adrenalinnya memuncak,. "Berapa lama dia merasakan gembiranya menjulang medal itu?. "Sebulan?, seminggu?, sejam?, 2 jam?. Yang pasti tidak lama, sekejap sahaja. Bandingkan dengan berapa lama dia telah berlatih?, tidurnya?, makannya?, semua dijaga. Berapa banyak yang telah dilaburkan untuk latihannya, untuk membayar doktor pakarnya, untuk membayar juru latihnya, berapa ramai yang melatihnya?. 4 tahun dia telah laburkan untuk mendapat kepuasan keseronokan memuncak yang hanya sekejap itu.

26.0] Kenapa kita tidak merebut tawaran Allah untuk mendapatkan syurga. Kenapa tidak lebih menggiurkan?. Allah menyuruh kita bersusah-payah, melawan hawa nafsu iaitu walidul hawa yang menghasilkan lahwun dan walidur-rughbah yang menghasilkan la'ibun. Berapa lama kita melawan? Selama kita hidup, itu pun bukan 24 jam sehari semalam, tolak masa tidur kita yang tidak perlu melawan lahwun dan la'ibun. Katakan tidur kita yang formal, selama 6 jam setiap hari, ditambah dengan tidur yang tidak formal, seperti tertidur ketika di dalam kelas atau di dalam kereta yang ada pemandu lain. Jika katakan orang yang hidup selama 70 tahun pun, tidak selama 70 tahun penuh susahnya, lagi pun kita hanya diperintahkan untuk solat 5 waktu sehari semalam, puasa 1 bulan setiap tahun, ziarah, umrah, mengerjakan haji dan berzakat 2.5% setahun. Katakanlah kita ambil yang wajib sahaja, sedikit sangat dan mudah tuntutannya dari kita. Tetapi kenapa susah sangat untuk patuhinya? Bandingkan jika berjaya dapat masuk dan kekal di dalam syurga yang bukan sekejap, dapat merasai kemuncak kejayaan kepuasan yang selamanya dan abadi. Yang mana yang lebih berbaloi, kita bersusah sesaat tetapi bahagia selamanya atau bersusah 4 tahun dan kemudian menikmati kejayaan yang dirasakan sekejap sahaja?. Tetapi itulah dunia yang dikejar-kejar orang. Apabila melihat orang ada koleksi kereta yang banyak dan bermacam-macam, hati tergiur. Padahal orang itu tiada masa pun untuk menggunakan  kereta-kereta itu, paling tidak ketika hendak tidur terbayangkan saja keretanya yang berjumlah 631 buah itu.

27.0] Ini Allah beri tawaran kepada kita, disuruh kita berpenat-lelah hanya sekejap di dunia, jika menderita susah pun tidak selamanya akan berakhir juga dan apabila Allah terima, kita akan diberi balasan bahagia yang selama-lamanya, sebagai hayawan di akhirat, disyurga. Masa kita hidup di dunia ini samada kita susah atau pun kita senang cuma sekejap sahaja sebab semua tidak kekal dan akan berakhir. Kesusahan dan kesenangan yang abadi hanya akan dirasai di kehidupan akhirat. Oleh itu sambutlah tawaran Allah yang jauh lebih menggiurkan daripada tawaran olympik.

28.0] Kita Muslim dan semua jemaah Muslim, dan kita berbicara tentang Islam , tentang keluarga kita sendiri dan tidak seharusnya ada yang tersinggung. Katakan kita bekerja setelah belajar dengan tajaan, dari awal bekerja sehingga pencen, pada umur 60 tahun. Agaknya mana yang lebih lama, masa bekerja atau masa menikmati imbuhan pencen? Lazimnya masa menikmati pencen tidak selama masa bekerja atau ada yang tidak sempat menikmatinya pun tetapi telah dipanggil kembali mengadap Allah. Itulah dunia yang seakan tidak berbaloi untuk diburu terus-terusan.

29.0] Berapa lama kepuasan orang yang mendaki Banjaran Himalaya? Tetapi tahukah kita berapa lama dia telah berlatih menghadapi ujian dan sanggup hadapi risiko mati, samada mati kerana sejuk atau mati kerana terjatuh. Kalau orang sanggup mati hanya untuk mendapatkan kepuasan dikemuncak Himalaya, untuk memacak bendera, kenapa jadi susah dan tidak menarik, apabila Allah tawarkan syurga dengan hanya perlu bersusah sedikit dan istiqomah melakukan yang wajib dan ditambah dengan ibadah yang sunat?. Memanglah akan merasa penat, perit, sakit, tetapi mesti rajin dan penuh keyakinan akan balasan baik nanti.

30.0] Contohnya jika Allah kata, "Bercakap jujurlah kamu!". Nampak sederhana, tetapi tidak mudah dilaksanakan jika kita hidup ditengah masyarakat yang semuanya berbohong. Lainlah jika kita tinggal di dalam masyarakat yang semuanya jujur dan baik belaka, itu senang. Tetapi sesusah mana pun hidup ini sekejap sahaja. Paling tidak akan ada orang yang  tidak bersetuju dengan kita, mengkritik, atau menuduh kolot atau ekstrimis, kalaulah kita ingin hidupkan cara Islam. Asalkan kita tidak dituduh gila, Nabi saw pun dituduh begitu. Orang yang dituduh gila tidak akan jadi gila sebaliknya orang yang menuduh  itu yang akan menjadi sebaliknya. Apa yang perlu kita lakukan ialah terus istiqomah dalam segala usaha baik kita dan ganjaran syurga menanti. Kerja akhirat ini berbaloi dan untungnya sangat besar berbeza dengan kehidupan dunia, al-hayatud-dunya yang tidak berbaloi langsung. Kalau kita bandingkan dengan jerih payah yang kita berikan, sebab itu Allah ingatkan kepada kita yang masih hidup dengan surah Al-Ankabut ayat 64 ini. Ada pun bagi yang sudah meninggal atau kita yang belum mati pun elok manafaatkan surah Al-An'am ayat 32 ini.

31.0] Perbezaan kelima bagi kedua-dua ayat diatas ialah, di dalam surah Al-Ankabut ayat 64, faasilahnya ialah lau kanu ya'lamun (kalaulah mereka mengetahui), iaitu di akhirat hayawan, kehidupan yang abadi manakala didunia hanyalah Al-Hayatud-Dunya yang sementara. Kalaulah kamu tahu dan faham, kamu pasti akan utamakan akhirat, tetapi kalau kamu tidak faham kamu akan utamakan kehidupan dunia. Sementara di dalam surah Al-An'am ayat 32, faasilahnya ialah afala ta'qilun (maka apakah kamu tidak menggunakan akal). Lagilah bertambah sakit dan tersiksa jiwa mereka yang sudah mati dan berada di alam akhirat. Bukan Allah perintahkan mukhottob untuk lakukan atau untuk berfikir lagi, tetapi samalah seperti keadaan guru yang menempelak muridnya yang gagal di atas. Menempelak lebih merupakan cacian, hinaan, supaya rasa sakit hati yang bertambah-tambah.

32.0] Perbezaannya surah Al-Ankabut ayat 64 ialah untuk kita semua yang masih hidup, jika kita tidak mengambil berat, na'uzubillah, apabila berpindah ke alam barzakh maka akan berlakunya keadaan seperti di dalam surah Al-An'am ayat 32.Oleh itu kita kena tumpukan kepada surah Al-Ankabut ayat 64 dahulu. Hamba-hamba Allah yang telah pergi meninggalkan kita berada di alam barzakh, ada yang berlaku bagi mereka seperti didalam surah Al-An'am ayat 32 ini dan mereka sedang tersiksa, bukan sahaja disegi zohiriah tetapi juga disegi batiniah.

33.0] Pemahaman kita kena luas. Apabila mukhottob berbeza, kontak berbeza, walaupun tajuknya sama iaitu tentang kehidupan dunia dan akhirat, tetapi menggunakan uslub berbeza, samada berbeza susunannya, atau kalimahnya, atau jumlah kalimahnya, pastilah ada pengajaran lain yang Allah ingin sampaikan. Yang Allah kata Al-Hayawan, maknanya kehidupan dunia hanya hayat (hidup), bahawa seperti yang kita telah pelajari bahawa hidup ini 2 kali dan mati pun 2 kali. Rujuk surah Al-Baqarah ayat 28;

Kita mula dari mati - maut (sebelum kita dilahirkan), kemudian hidup - hayat, kemudian mati - maut (masuki alam barzakh), kemudian hidup -hayat (khulud la maut- hidup tanpa mati di akhirat). Setiap kali kita mati, kita akan hidup semula di hujungnya. Cucu-cicit kita mungkin sekarang sedang mati sebab belum lahir lagi. Imam Ali bin Abu Talib berkata, "Setiap kali aku memikirkan kematian aku temui kehidupan selepasnya tetapi apabila aku fikirkan kehidupan yang sekarang aku temui kematian". Kehidupan dan kematian bagi manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. "Baik, sekarang, yang mana yang lebih melapangkan hati, samada memikirkan kehidupan atau kematian?". Kalau mahu hati lebih lapang, lebih banyak fikirkan kematian, kerana kalau orang yang lebih memikirkan kehidupan akan kecewa, apa lagi jika ketika dia sedang belum bersedia, belum puas menikmati kehidupan, padahal dia semakin mendekati kematian.

34.0] Pokok yang baru ditanam dan tumbuh membesar kemudian mati, telur ayam yang menetas mengeluarkan anak ayam yang hidup membesar, kita bagi makan, semakin besar, kemudian kita sembelih, mati. Doktor-doktor pakar yang dikatakan kononnya boleh menyelamatkan nyawa orang juga mati. Sedangkan hati apabila disebut kematian, tidak bersedia dan tidak suka. Cuba kita fikirkan, orang tua kita yang sudah tiada, yang sudah mati, telah berada di alam kubur yang hanya sebagai tempat ziarah sementara, transit yang tidak kekal kerana dihujung kematian ialah kehidupan yang kekal. Secara psikologi , hati lapang apabila fikirkan tentang kehidupan dan menjadi takut apabila fikirkan tentang kematian, oleh itu supaya hati akan jadi lebih tenang dan lapang, rajin-rajinlah berfikirkan tentang kematian supaya hati tidak menderita. Janganlah terlalu memikirkan tentang kehidupan dunia, contohnya, kawan sudah ada sesuatu tapi saya tidak ada, macammana, macammana?. Ada pun bagi orang yang sudah meninggal surah Al-An'am ayat 32 sedang dialaminya dan kita yang membacanya sekarang, anggaplah Allah sudah beritahu kepada kita seolah-olah soalan yang dibocorkan tentang akhirat. Apabila hati telah bersedia hadapi apa sahaja, hatta kematian sekali pun, maka hati akan tenang. Makan roti canai pun sedap, naik kereta kancil 7 orang pun seronok. Tetapi jika hati cemas, sakit, sedih, hidup didalam peti-ais pun badan berpeluh, naik bas seorangan pun rasa sesak. Nabi saw bersabda, "Banyakkanlah kamu mengingati penghancur kelazatan hidup iaitu mati". Hati lapang kerana matlamat hidup yang jelas. Moga-moga diberkati Allah. Allahumma aamiin.


































Tuesday, March 14, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 63, 64) - Kuliah 64 - Sunnah Ilahiyah, Sebab, Musabbab, Tafakkur, Ta'akkul, Tazakkur, Lahwun, La'ibun, Rughbah, Al-Hawa, Hubbusy- Syahawat.

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 63; 

Setelah Allah menjelaskan dalam ayat sebelumnya iaitu ayat 62 tentang kuasa dan keadilan Allah dalam hal rezki yang Allah tetapkan bagi hamba-hambaNya iaitu bahawa Allah berkuasa mutlak dalam pembahagian rezki. Samada Allah menggunakan sifat Al-Basith (melapangkan) atau Allah menggunakan sifat Al-Qobith (menyempitkan / memberikan ukuran).

2.0] Surah al-Ankabut ayat 63, Allah menceritakan tentang sebab-sebab rezki, cerita tentang zat yang menciptakan, yang mewujudkan sebab dan akibat. Ertinya jika dalam ayat 62 Allah menceritakan tentang kemutlakan kehendakNya, kekuasaanNya dan jika Allah menghendaki menggunakan kekuasaanNya yang mutlak akan berlaku kelancaran qudratNya. Allah boleh memberikan rezki kepada hambaNya tanpa sebab dengan kun fa yakun sepertimana yang Allah telah tunjukkan kepada Maryam as semasa Maryam as dalam jagaan Nabi Zakaria as. Maryam as hanya bertahannus, beribadah di mihrab tanpa meminta, tanpa berusaha, tanpa berikhtiar dan tanpa berdoa pun tetapi Allah memberi rezki kepadanya. "Boleh!, jika Allah menghendaki untuk menggunakan kekuasaanNya yang mutlak, iradatNya yang mutlak tidak terikat dengan undang-undang dan peraturan mana pun!". Namun begitu dalam ayat 63 pula Allah menceritakan tentang adanya sunnah ilahiyah.

اَلسُنَّة الإِلَهِيَّة

i) سَبَبُ الرَّزَّقْ
ii) مُوجِدُالسَّبَبُ
iii) مُوجِدُالمُسَبَّبُ

Sunnah ilahiyah ertinya ketika Allah memberi habuan rezki kepada hambaNya, walaupun Allah berkuasa memberi tanpa bersebab tetapi dalam ayat ini Allah menceritakan tentang peraturan Allah. Diceritakan sebab sababur rizq ( سَبَبُ الرَّزَّقْ), diceritakannya bahawa Dialah yang menciptakan sebab, mujidus sabab (مُوجِدُالسَّبَبُ ) dan yang menjadikan akibat, mujidul musabbab (مُوجِدُالمُسَبَّبُ).

3.0] Contoh sunnah ilahiyah, ialah seperti jika anda lapar, dan anda ingin kenyang, maka mengikut sunnah ilahiyah, anda mesti makan. Makan itu namanya sebab, bila anda sudah makan anda akan kenyang, kenyang itu namanya musabbab. "Siapa yang menjadikan kenyang?". "Dia, Allah!". Dialah yang mujidul musabbab. "Siapakah yang meletakkan satu undang-undang iaitu apabila ingin kenyang mesti makan?". "Dialah!". Itu namanya mujidus sabab. "Macammana untuk mendapatkan makanan?". Jangan hanya berpeluk-tubuh, bertopang dagu, menghitung bintang, tetapi kenalah bergerak, kena mencari, berusaha, baharulah mendapatkan apa yang kita kehendaki. "Siapa yang meletakkan undang-undang peraturan untuk mendapatkan sesuatu mesti mencari?". "Allah!". Kita kena mencari, kena mencari rezki, itu namanya sababur rezki (سَبَبُ الرَّزَّقْ).

4.0] Dalam kehidupan kita kena berpandukan 3 ciri ini. Tidak boleh hanya menyandarkan keyakinan kepada Allah bahawa Allah Maha Berkuasa memberi kepada kita walaupun jika kita tidak berusaha. Tidak boleh  hanya duduk termenung. Tidak boleh punyai pemikiran seperti ini, "Jika Allah kehendaki dapat, dapatlah, jika tidak, tidak apalah. Mengapa mesti mencari, macam tidak percaya dengan kuasa Allah. Kenapa mesti berdoa, macam tidak yakin dengan pilihan Allah!". Itu tawakkal yang salah. Itu iman orang yang malas.

5.0] Kata Allah, "Untuk mendapatkan rezki yang Aku telah tetapkan buat kamu, kamu kena buat sebab-sebabnya, kamu kena lakukan sebab-sebabnya dahulu, dan namanya itu ikhtiar!". "Dan yang menjadikan sebab-sebab itu pun adalah Aku, kamu kena lakukan sebab yang Aku telah tetapkan!". "Tetapi ingat, walaupun kamu telah melakukan semua asbab, hasilnya bukan hak kamu untuk menentukannya tetapi Aku kerana Aku mujidul musabbab. Aku mujidus sabab dan Aku juga yang mujidul musabbab!".

6.0] Contoh lain, jika kita ingin tahu, Allah telah letakkan sebabnya iaitu belajar. Jadi belajar itu sunnah ilahiyah. Allah tetapkan siapa yang belajar, siapa yang mencari ilmu nanti akan mendapatkannya. Kita tidak boleh ingin pandai tetapi dengan hanya berdoa-berdoa dan berpeluk tubuh. Allah telah meletakkan sebabnya kerana Dia itu pencipta sebab, tetapi setelah kita telah melakukan sebab-sebab tadi, kita diingatkan oleh Allah bahawa bukan kita yang berkuasa untuk menentukan hasilnya tetapi tetap Allah yang akan menentukan hasil bagi kita kerana Allah bukan sekadar mujidus sabab tetapi juga mujidul musabbab.

7.0] Lantaran itu, tengok kembali surah Al-Ankabut ayat 63 diatas, iaitu, "Jika engkau tanya kepada mereka wahai Muhammad, "Siapakah yang menurunkan air dari langit dan dengan sebab air itu bumi yang asalnya mati jadi hidup, bumi yang asalnya tandus jadi subur, bumi yang asalnya kering-kontang kini penuh dengan tumbuhan, penuh dengan rezki. Hatta orang kafir pun tidak menafikan, tidak meragui dan mereka pasti akan menjawab, bahawa yang  menurunkan hujan ialah Allah (sebabnya) dan yang menjadikan bumi subur pun Allah (musabbabnya). Mereka tidak kata tuhan itu atau tuhan ini. Mereka mengakui itu semua sunnah ilahiyah."

8.0] Katakanlah, "Alhamdulillah!", apabila ada orang telah mengakui akan semua itu katakan "Segala puji bagi Allah". Sekurang-kurangnya orang kafir sekali pun telah mengakui akan sifat-sifat Rububiyyah Allah. Malangnya kebanyakan mereka tidak menggunakan akal dan tidak menggunakan otak. Sepatutnya setelah mereka mengakui Allah sahajalah yang berkuasa menciptakan semua itu, menciptakan rezki, menciptakan sebab musabbab, sembahlah Allah sahaja, tetapi kenapa mereka menyembah yang lain selain Allah?.

9.0] Akal ialah untuk memilih apa yang telah dihasilkan oleh pemikiran. Peringkat pertama ialah tafakkur. Objeknya ialah alam dan segala isinya, benda-benda yang zahir, yang syahadah. Menengok siang, malam, bintang, bulan, matahari, pokok, udara dan lain-lainnya. Alat yang digunakan untuk tafakkur letaknya di dalam kepala iaitu otak (mukhon) yang mana sekarang ini ramai doktor pakar dalam bidang otak (mukhon). Setelah tafakkur, memerhati segala kejadian, lalu akan terfikir bahawa tidak mungkin sesuatu itu bergerak sendiri, tidak mungkin sesuatu itu punya kemahuan dirinya sendiri, setiap yang bergerak pasti ada yang menggerakkannya, setiap yang berubah pasti ada yang merubahnya. Setiap yang tumbuh pasti ada yang menumbuhkannya. Apabila sudah menemukan hakikat kebenaran hasil daripada tafakkur maka akan menaik kepada ta'akkul. Ta'akkul itu ertinya sudah menimbang-nimbang. Dalam diri manusia  dengan akalnya orang sudah boleh menimbang-nimbang. Apabila tafakkul menyatakan ini adalah bukti nyata kewujudan Tuhan yang ada disebaliknya, tidak boleh menafikan dan mereka orang kafir pun mengakui Tuhan, sepatutnya terus sujud sahajalah mengabdi kepada Tuhan (Allah). Jika mengakui Allah sebagai Robbnya (Tuhan), mengakui Allah dengan sifat Rububiyyah kemudian menyembah Allah sebagai Ilahnya (satu-satunya Tuhan sembahannya) maka orang itu menggunakan ta'akkul tetapi jika ia hanya mengakui Allah sebagai Robbnya tetapi tidak meyakininya sebagai Ilahnya, orang yang seperti ini tidak menggunakan akal tidak ta'akkul tetapi hanya menggunakan otak. Mana yang lebih tinggi tafakkur atau ta'akkul? Ta'akkul yang lebih tinggi dan lebih susah.

10.0] Fungsi dan peranan otak dalam kepala kita bagi jasad kita adalah lebih-kurang sama dengan peranan akal bagi jiwa. Kalau ingin cari dimana letaknya akal adalah susah, sebab ia berkaitan dengan jiwa, tetapi kalau ingin cari dimana otak adalah senang. Setiap hari pun doktor pakar membedah otak dan apa yang ada disebaliknya? Ta'kilun. Kalau kita hanya tafakkur dan tidak pernah ta'akkul, mungkin  akan menjadi seorang cendikiawan, intelek, saintis, hebat IQnya mungkin 90 % tetapi  Atheis. Oleh itu untuk menjadi saintis muslim mukmin, tambahlah sedikit lagi dengan ta'akkul sebab  ta'akkul ialah menerima hasil kebenaran yang diterima oleh tafakkur dan bukan menolaknya. Bahaya orang yang tidak menggunakan akalnya dan di dalam Al-Quran diumpamakan seperti Al-An'am (haiwan ternak). Contoh yang kecil, siapa agak-agaknya seorang muslim yang tidak tahu bahawa berbohong itu berdosa?, maknanya jika tahu tentang itu, sudah bagus, tafakkurnya tinggi dan sudah tahu kesan perbuatan itu kepada yang menjadi mangsa nanti, tetapi berapa ramai orang yang percaya berbohong itu berdosa tetapi dia masih istiqomah berbohong? Orang itu hanya tafakkur tetapi tidak ta'akkul. IQnya tinggi tetapi EQnya tiada. Rosak seseorang itu ditentukan oleh ta'akkulnya. Di dalam Al-Quran ada dinyatakan, "Neraka Jahannam disediakan bagi manusia dan jin yang ada mata tidak melihat, ada telinga tidak mendengar, ada hati tidak mengerti, malahan lebih buruk dari haiwan ternakan".

11.0] Agak-agaklah ketika lembu hendak melintas jalan-raya, adakah lembu nampak lori yang sedang bergerak di jalan itu? Jawapannya, "Nampak, lembu itu nampak lori itu sebab dia ada mata". Lembu itu tafakkur, nampak, tetapi tidak diproses menjadi ta'akkul, lalu lembu-lembu itu terus juga melintas atau malahan berhenti di tengah-tengah jalan-raya itu. Bayangkan jika orang hanya ada tafakkur dan tidak ta'akkul seperti lembu itu.

12.0] تَفَكُّر- تَعَقُّل - تَذَكُّر
Tingkatan yang pertama ialah tafakkur diikuti dengan  ta'akkul  dan yang paling tinggi sekali ialah tazakkur تَذَكُّر . Kalau tafakkur itu objeknya ialah benda-benda yang nampak zahir, syahadah dan diproses di otak, ta'akkul ialah hasil proses tafakkur pada akal dan tazakkur pula objeknya tidak nampak tetapi telah dapat dirasa dihati. Di dalam bahasa Al-Quran surah Aa Li Imran ayat 191 untuk rujukan;

Tafakkur itu objeknya ciptaan Allah manakala tazakkur itu objeknya yakni Penciptanya.
 
 اَلَّذِينَ يَذْكُرُونَ الله قِيَامًاوَقُعُودً  وَعَلَى جُنُوبِهِمْ  وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ
Ketika kita sedang memikirkan kebesaran Allah, kita tafakkur, melihat alam dan segala isinya  dan kita ta'akkul pada akal dan manakala apabila kita sudah tazakkur dengan kebesaran Allah pada hati, nanti ketika kita kata Allahu Akbar, Allah Maha Besar, sudah terbayang kebesaran Allah. Jangan kita kata Allahu Akbar tetapi kita masih tercari-cari lagi apa maknanya.

13.0] Ambil contoh tentang cerita kecanggihan Bangunan KLCC, Petronas Tower, pertama kita mendapat info tentangnya daripada cerita orang, kemudian kita mendapat maklumat hasil bacaan kita, kita belum yakin, yang ketiganya untuk lebih yakin kita bertanya kepada yang membinanya. Kita pun mendapat maklumat penuh terperinci dari awal semasa meletak batu asas sehingga kemajlis perasmiannya. Maklumat hasil tafakkur tadi tersimpan di dalam memori kita. Apabila setiap kali kita ingat KLCC, kita tidak berfikir lagi kehebatannya sebab kita sudah menyimpannya di dalam memori kita. Sebut sahaja KLCC kita pun terbayang. Demikian juga dengan mengerti kebesaran Allah,carilah dahulu bukti-bukti kebesaranNya melalui tafakkur dan apabila kita sudah mendapatnya, kita menyimpan di dalam memori otak yang paling dalam, Mungkin ketika kita sedang tidur kita tidak ingat, tetapi apabila sedar dan lidah mengucapkan Allahu Akbar, maklumat tentang kebesaran Allah yang telah lama kita simpan tadi zahir. Kita tidak lagi memikirkan tentang kebesaran Allah tetapi kita sudah dapat merasakan kebesaran Allah. Ketika kita sudah dapat merasakan kebesaran Allah berdasarkan maklumat yang dihasilkan oleh tafakkur kita bermakna kita sedang tazakkur. Bukan apabila disebut Allahu Akbar, Allah Maha Besar, tetapi masih tertanya-tanya macamana besarnya itu. Oleh itu kita kena mencari maklumat dahulu. Macam-mana untuk mencari maklumat? Allah kata. "Tafakkur, tafakkur, tafakkur!". Demikian juga dengan kalimah Alhamdulillah, Jangan mengucap Alhamdulillah  kemudian baru ingin mencari-cari maknanya. Sepatutnya kita sudah merasai kasih-sayang Allah bukan baru hendak mencari apakah nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Bila ada maklumat, sebut sahaja, kita sudah dapat rasai, kalau tidak ada maklumat, kita kosong. Bayangkan jika kita tiada maklumat tentang kebesaran Allah kerana tidak rajin tafakkur maka macam-mana boleh ta'akkul dan tazakkur. Kalau sebut kalimah Allahu Akbar pun namun jiwa kosong, hambar, sambil mulut menyebut Allahu Akbar, mata menengok-nengok sekeliling, menengok-nengok jam, menyebut bergegas, zikrullah yang kosong. Sebab itulah Allah berfirman, "Dengan berzikir mengingati Allah itu hati akan tenang!". Itu kerja hati, bukan kerja otak. Tetapi ada orang yang tidak percaya Al-Quran dan mengatakan bahawa zikir itu menjadikannya gelisah. Itu bermakna dia belum berzikir tetapi sekadar berdikir (samada dikir selatan atau dikir barat).

14.0] Kembali kepada ayat 63 ini, ayat ini ada sunnah Ilahiyah yang tidak ada siapa pun menafikannya. Tidak ada siapa pun yang menafikan bahawa untuk membuat sesuatu mesti ada asbab dan asbab itu pula ada yang menciptanya iaitu Allah dan tiada yang menafikan juga bahawa apabila orang melakukan asbab maka akan ada musabbab. Yang menciptakan musabbab pun Allah juga hatta orang kafir pun tidak dapat menafikannya. Kesimpulannya sifat-sifat Rububiyyah Allah tiada siapa yang boleh menafikannya. Syaratnya gunakan tafakkurnya dan apabila telah mengakui akan sifat RububiyyahNya, berikanlah kepada Allah Haq Uluhiyyah, maka masuk syurgalah orang itu. Berbeza sekali dengan orang kafir. Apa yang mereka ucapkan dan apa yang mereka akui adalah berbeza sekali dengan amalan mereka. Mereka akui Allahlah Robb tetapi tidak memperhambakan dirinya kepada Allah sahaja tetapi kepada yang lain daripada Allah. Soalannya, "Orang kafir Mekah termasuk Atheis atau Musyrik?" Jawapannya ialah Musyrik. Mereka mengakui ada Tuhan lain yang berhak disembah sebab itu mereka dipanggil Kafir Musyrik. [Nota; Syirik ialah penyakit yang menimpa orang yang percaya adanya Tuhan, kemudian dia percaya ada Tuhan lain selain Allah, menyekutukan Allah dan orangnya dipanggil Musyrik]  

15.0] Secara hakikat hakikinya adakah Atheis? "Tanya Al-Quran!", dan di dalam Al-Quran tidak ada Atheis sebab Allah hanya menyatakan 3 sikap manusia ini di dalam Al-Quran iaitu;

i) Golongan mukmin yang beriman kepada Allah zahir dan batin.
ii) Golongan kafir yang menolak (makna asal kafir ialah menimbus, iaitu mulanya mengorek lubang kemudian tutup balik lubang itu)- [Nota; Kalau kita menggali lubang kemudian menanam bunga dan mengambusnya juga dipanggil kafir].
iii) Golongan munafik yang fitrahnya percaya ada Allah tetapi menutup.

16.0] Contohnya fir'aun adalah kafir dan bukan atheis. Fir'aun ketika dipuncak berjayanya tidak mengakui adanya Tuhan bahkan mengakui dirinya Tuhan tetapi apabila disaat dekati maut, menghampiri kematian, baru mengakui adanya Tuhan tetapi sudah terlambat. Orang yang tidak percaya adanya Tuhan ketika sihat, hidup selesa, cubalah naik sampan, tunggu dipukul gelombang, enjin sampannya mati, dayungnya patah, apa agaknya yang dirasakan oleh orang yang mendakwa dirinya atheis itu. Pasti dia akan mencari Tuhan, suara hatinya pasti menyeru kepada Tuhan. kalau tidak kepada Allah, kepada Tuhan yang lainlah sebab manusia adalah makhluk yang bertuhan.

17.0] Manusia adalah homosapien dan homoreligionsa. Manusia ialah makhluk yang bertuhan yang fitrahnya pasti ingin mencari Tuhan. Oleh itu timbullah golongan manusia yang animism yang percaya semua benda ada penunggu atau polytheism yang percaya kepada banyak tuhan. Kalau dia tidak percaya kepada Allah dia percayakan selain Allah, mungkin kepada batu, pokok dan sebagainya. Kalau tidak semasa senang, semasa susah pasti akan mencari Tuhan. Kalau mereka gunakan akal, in syaa Allah akan temui Tuhan Yang Satu iaitu Allah. Mereka hanya gunakan otak, berIQ tinggi tetapi malangnya akal tidak berfungsi.

18.0] Surah Al-Ankabut ayat 63 ini juga menceritakan tentang rezki, tentang As-Sunnah Al-Ilahiyyah yang berkaitan dengan Sunnah Kauniyah. Ayat 63 ini ada kaitan dengan ayat seterusnya iaitu ayat 64 yang menjelaslan bahawa kehidupan dunia hanyalah senda gurau (lahwun) dan permainan (la'ibun). Rujuk surah Al-Ankabut ayat 64;


Ayat ini menjelaskan hubungan daripada ayat 63 sebelumnya iaitu orang-orang kafir mengakui Allah sebagai Khaliq, sebagai Ar-Rozzaq tetapi mereka meninggalkan beribadah kepadaNya kerana semata-mata terpesona dengan kehidupan dunia. Apa puncanya? Mereka tidak mengakui Allah sebagai Ilah walhal mengakui Allah sebagai Robb kerana mereka telah terpedaya dan terpesona dengan kehidupan dunia. Lahwun (senda gurau ) dan la'ibun (main-main) adalah penghalang terbesar bagi seseorang untuk menjadi hamba Allah yang sejati. Apabila seseorang telah terpesona, tergiur dan terpedaya dengan Al-Hayatud-Dunya maka mereka meninggalkan beribadah  kepada Allah dan menjauh dari menjadi hamba Allah yang sejati.

19.0] Pertama kita lihat perbezaan sepertimana yang diberikan oleh ahli tafsir dan ulama bahasa antara lahwun (senda gurau) berbanding la'ibun (main-main) sepertimana yang pernah dibincangkan di dalam surah Al-Hadid dahulu.
 
i) اَللَّعْبُ هُوَ طَلَبُ اَلمُزَحْ بِمَا لَايَحْسُنُ  طَلَبُهُ
ii) اَللَّهْوُ هُوَمَا يَشْغَل اَلإِنْسَانُ عَمَّ يَعْنِيه
iii)  اَللَّعْبُ وَلِيدُالرُّغْبَة وَاللَّهْوُ وَلِيْدُالهَوَى

i) Al-La'bun (اَللَّعْبُ ) ialah mencari keseronokan dengan apa yang tidak sepatutnya ia mencari. Contohnya bagi kanak-kanak yang berumur 3 tahun, untuk mencari kegembiraan, adakah patut atau tidak jika budak itu bermain belon, meletupkan belon dan tertawa terbahak-bahak?. Memang patut untuk kanak-kanak sebegitu dan ini tidak dinamakan la'bun. Tetapi jika seseorang yang sudah berumur 63 tahun yang bermain belon dan berbuat benda yang sama, adakah patut atau tidak patut? Tentu sekali tidak patut dan itu sudah terjatuh la'bun, hayatud-dunya, atau senda gurau kehidupan dunia. Sepatutnya cara untuk mencari kepuasan hati dan ketenangan jiwa tidak boleh sama antara budak yang berumur 3 tahun dengan yang berumur 63 tahun. Kita yang sudah berumur mesti tahu, hati tidak boleh sama gembira dengan benda yang memuaskan hati kanak-kanak. Kalau itulah yang kita gunakan walaupun sesaat itu sudah jatuh la'bun dan itu Al-Hayatud-Dunya. Kita kena sesuaikan dengan umur kita, katalah umur kita sudah mencecah 73 tahun, yang mendatangkan kepuasan bukan lagi dengan bermain guli atau bermain kapal-terbang remote control. Ustaz masih ingat di era tahun 97, 98, di suatu tempat lapang yang belum dibangunkan kilang, ada sekumpulan orang-orang pencen yang bermain kapal-terbang remote control. Mereka datang dari jauh-jauh, tubuhkan kelab, semata-mata untuk mencari kepuasan hobi mereka yang agak mahal itu. Setiap hari pula bermain dari pagi-pagi, kemudian minum-minum dan balik dan rehat, baca surat-khabar kemudian tidur dan seterusnya. Mereka menghabiskan sisa umur yang berbaki dengan lahwun wa la'ibun, hayatud-dunya(senda-gurau dan main-main dalam kehidupan dunia). Mungkin semasa mereka kecil tidak puas bermain sehingga terdorong untuk menghabiskan masa emas dihujung usia mereka dengan main-main yang sia-sia dan dicela oleh Tuhan. Ingat perkataan Ad-Dunya yang berkaitan dengan kehidupan dunia sekarang, di dalam Al-Quran, semuanya tidak ada yang terpuji bahkan Allah cela. Ingatlah bahawa sebenarnya Al-Hayatud-Dunya (kehidupan di dunia sekarang) bukanlah emas, perak, harta-benda, bukanlah gelang, bukan karpet, bukan beg, bukan kereta, bukan kapal-terbang dan sebagainya malahan semata-mata untuk beribadah kepada Allah dalam erti kata yang sangat luas.

ii) Al-Lahwu (اَللَّهْوُ) pula ialah apa saja yang memberi insan itu kesibukan sehingga tidak ingat yang lain daripada apa yang ya'niih (يَعْنِيه) iaitu yang penting, yang mustahak, yang perlu baginya). Apabila seseorang itu melakukan satu-satu perbuatan sehingga menyibukkan diri sehingga menyebabkan dia melalaikan tanggung-jawab kewajipannya, maka apa yang dibuatnya itu namanya lahwun. Kita kena tahu apa kewajipan kita sebagai seorang mukmin, apa kewajipan kita sebagai seorang ketua rumah-tangga, apa kewajipan kita sebagai seorang ibubapa, apa kewajipan kita sebagai seorang anak, apa kewajipan kita sebagai seorang jiran, atau sebagai pekerja atau menteri dan sebagainya. Selepas kita mengenal pasti semua kewajipan kita jangan sampai kewajipan kita tinggalkan kerana disibukkan dengan sesuatu perkara yang lain sehingga kita melalaikan tanggung-jawab kita. Itu yang dinamakan lahwun. Mungkin asalnya perbuatan itu benda yang harus tetapi jika orang tadi sampai lalai tanggung-jawab maka ia sudah jatuh lahwun. Contohnya anda bersukan, boleh, untuk menjaga kesihatan. Anda main bola, baling bola, tendang bola, pukul bola, tampar bola, ini riadhah, tetapi jika pada masa yang sama ada keperluan dan kewajipan terhadap keluarga, dan dialpakan demi riadhah tadi maka jatuh lahwun dan dicela Allah. Iblis itu akan memberikan alasan yang menampakkan cantik segala perbuatan yang boleh menarik menjadi lahwun, yang puncanya membangkitkan walidur-rughbah ( وَلِيدُالرُّغْبَة). Sekurang-kurangnya dengan membisikkan bahwa itu untuk mengeratkan silatur-rahim. Bacalah kitab Talbis Iblis untuk menyedari tentang cara iblis memberi alasan yang nampak cantik, menghasut, memalingkan  hati kita dari yang benar.

20.0] La'bun - yang membangkitkannya ialah atas dasar suka. Apabila kita didorong oleh perasaan suka yang mungkin hanya sekejap. Contohnya jika kita suka berjogging, pasti tidak akan berjogging sepanjang hari, apabila penat kita akan berhenti, mungkin berhenti sekejap kerana ingin tarwih (kerehatan sekejap) dan pulang kerumah. Atau contoh lain jika kita ingin sangat untuk pergi kesesuatu tempat baru, apabila sudah sampai kesitu, berapa lama kita ingin terus berada disitu? 1 hari, 1 minggu,1 bulan? Dorongan rughbah (sekejap, ada limit) akan membuatkan kita ingin kembali ke tempat kita semula.

21.0] Berbeza dengan sesuatu yang didorongkan oleh hawa-nafsu (Al-Hawa) yang tidak akan berhenti, Al-Hawa yang tiada limitnya, berterusan sehingga bila-bila. Rujuk surah Aa-Li Imran ayat 14:

Manusia itu hubbusy-syahawat (ada keinginan untuk menyukai) kepada;
i) Wanita-wanita
ii) Anak-anak
iii) Simpanan harta yang ditimbun dari emas, perak
iv) Kuda terpilih (kenderaan)
v) Haiwan ternakan
vi) Sawah / ladang / kebun.

Semua itu adalah kesenangan kehidupan dunia sekarang dan adalah daripada Allah. Seorang insan lelaki menyukai perempuan dan perempuan menyukai lelaki, faktor pendorongnya itu rughbah atau hawa? Faktor pendorongnya ialah Al-Hawa, sebab itu sampai kiamat pun manusia akan menyukai itu, iaitu lelaki menyukai perempuan dan perempuan menyukai lelaki. Kalau pun seorang lelaki tidak lagi menyukai seorang perempuan itu dia akan menyukai perempuan yang lain pula. dan begitu jugalah sebaliknya. Kalau faktor pendorongnya ialah rughbah, mungkin sekejap sahaja selepas ijab-qabul sudah ingin bercerai, Contoh lain pula ialah jika seseorang yang tinggal di Ceras telah mencari makanan kesukaannya iaitu putu mayam yang dijual di Banting, apa faktor pendorongnya? Rughbah atau hawa? Jawapannya ialah rughbah kerana setelah beberapa kali jauh berulang alik untuk makan ke sana, kehendaknya mula menurun dan akhirnya tidak mahu lagi.

22.0] Syahawat lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya ini berterusan sebab faktor pendorongnya ialah Al-Hawa. Begitu juga dengan kesukaan manusia terhadap harta-benda seperti simpanan emas perak, kenderaan (kuda pilihan), haiwan ternak dan sawah ladang didorong oleh Al-Hawa yang berterusan dalam hidupnya. Contohnya jika ada simpanan emas, tentu sekali tidak ingin diberi kepada sebarangan orang. Kalau dizaman dahulu dikatakan kuda terpilih sebagai kenderaan yang disukai, dizaman sekarang pula kenderaan diberi nama kancil, kelisa, kenari, dan sebagainya. Kuda itu mungkin sedarjat dengan kereta Ferari sekarang yang biasanya seseorang itu hanya mampu membelinya ketika sudah berumur lanjut mungkin berumur 81 tahun. Semasa berumur 18 tahun dahulu belum mampu membelinya, kemudian Allah beri kemampuan ketika umur 18 tahun terbalik (81 tahun), beli jugalah walaupun tidak digunakan.

23.0] Ada juga orang yang punyai koleksi kereta mencecah ratusan buah, ada bermacam-macam jenis kereta, yang berjalan di darat, yang berenang dilaut, atau yang terbang di udara seperti Fire Fly. Tetapi bila masanya dia akan gunakannya? Tidak digunakannya pun dan apabila orang minta tidak diberi dan namanya walidul hawa yang didorong oleh lahwun.

24.0] Ada juga manusia yang  buat zoo sendiri dengan membela dari semut sehingga kepada gajah. padahal kosnya bukan murah malahan berjuta, tetapi baginya yang kaya-raya tidak menjadi masalah sebab katanya, "Ana sukalah!". Walhal bukan hari-hari pun tengok gajah atau tengok harimau. Semua itu adalah kerana walidul hawa yang tidak akan habis. Bahayanya ialah ketika orang itu akan berpisah dengan dunia, dia belum puas dan itu akan membuatkan hatinya tersiksa ketika hendak mati. Hawa nafsu tidak akan ada hadnya dan hadith ada berkata, "Jika anak adam itu sudah miliki satu lembah emas nescaya akan dicarinya satu lembah emas lagi. Walhal dengan yang satu pun tidak habis". Apa sebabnya? Sebabnya ialah walidul hawa. Rujuk surah At-Takathur ayat 1 hingga 4:







Akibat dorongan Al-Hawa, lahwun jadi sangat membahayakan insan. Sampai bila lahwun akan berhenti? Jawapannya ialah sehingga masuk (ziarah) kubur di alam barzakh (mati). Alam barzakh tidak kekal, hanya bandingan masa yang sekejap dan sementara. Maknanya sehingga orang itu mati pun dia belum puas, tersiksa jiwanya orang yang terperangkap dalam lahwun. Na'uzubillah.

25.0] Contoh dalam hal harta-benda, kebun, ladang, tidak cukup setakat dengan yang ada di dalam negeri, dibeli lagi harta di luar negara yang lebih banyak, yang lebih luas. "Untuk apa semua itu? ". "Tidak tahu!". Untuk kepuasan lahwun, hawa, Al-Hawa.

26.0] Contoh lain, jika bermain badminton dengan cucu-cucu sekejap, agak-agaknya berapa lama akan bermain, sekejap atau sampai besok hari?. "Sekejap!", tidak apa sekadar la'ibun. Tetapi jika sampai berterusan sehingga melalai-melekakan akan tanggung-jawab bermakna sudah lahwun yang lebih merbahaya dari la'ibun.

27.0] Nabi saw bermain lumba lari dengan Saidatina Aisyah r.anha, itu sekedar la'ibun. Saidatina Aisyah r.anha menang dan seronok, dan komentar Nabi saw, "Ummul mukminin masih muda lagi!". Selang beberapa tahun, Nabi saw dan Saidatina Aisyah r.anha berlumba lari lagi dan kali ini Nabi saw pula yang menang, dan Saidatina Aisyah r.anha berkomentar, "Tubuh badanku sudah tidak seramping dahulu (banyak lemak) sehingga pergerakan pun sudah terganggu!". Nabi saw memberitahu, "Kemenanganku kali ini adalah untuk membalas kekalahanku tempuhari!". Keduanya pun seronok dan berpuashati. Itu namanya la'ibun dan tidak menjadi masalah dan tidak sampai melekakan.

28.0] Nabi saw juga menyuruh sahabat-sahabatnya berlumba kuda untuk pasukan berkuda mereka dengan hadiahnya disponsor oleh Nabi saw sendiri. [Nota; Kalau sponsor dari luar, dibolehkan tetapi jika semua ahli yang ikut serta memberi kemudian hanya akan dapat hadiah   bagi yang menang, yang kalah tidak mendapat apa-apa, itu namanya judi dan hukumnya haram, ima seringgit, seribu atau sejuta]. Nabi saw memberi hadiah selendang Yaman kepada yang menang. Itu la'ibun dan semua seronok. Kehidupan Nabi saw seperti kehidupan orang lain yang ada senda gurau, tertawa, menangis dan sebagainya.  Dalam suatu situasi ada seorang nenek tua bertanya Nabi saw tentang kehidupan di syurga dan Nabi saw menjawab, "Nek, di syurga tidak ada orang tua!". Menangislah sinenek tua itu lalu Nabi saw pun menjelaskan bahawa di syurga nanti semua ahli syurga akan dimudakan, diremajakan semula walaupun ketika meninggalnya ketika sudah lanjut usia. Mendengar penjelasan Nabi  saw itu baharulah Toh Puan itu (si nenek itu) tersenyum.

29.0] Ketika Nabi saw diajak isterinya Saidatina Aisyah r.anha untuk hadiri majlis walimah yang diadakan oleh sahabat Ansar dan tatkala keduanya sampai kelihatan suasana sepi. Nabi saw pun bertanya kenapa sepi tiada bunyi-bunyian, sepi seolah majlis kematian. Adalah tidak salah ada bunyian asal mengikut syar'i seperti ada rebana, kompang, gamelan dan seumpamanya supaya seronok, la'ibun.

30.0] Di suatu Hari Raya di Madinah, ada kanak-kanak Ansar menari-nari di masjid. Nabi saw dan Saidatina Aisyah r.anha melihat dan menikmati persembahan kanak-kanak itu. Saidatina Aisyah r.anha melihat itu dengan meletakkan kepala di bahu Nabi saw. Setelah sekian lama, Nabi saw pun bertanya, "Sudah puaskah engkau". Ini la'ibun.  Abu Bakar r.anhu ingin melarang kanak-kanak itu tetapi Nabi saw berkata, "Biarkan kanak-kanak itu, ini Hari Raya, hari yang gembira mengikut syar'i". Di hari raya pasanglah lagu yang gembira jangan lagu yang sedih, pakailah pakaian baru, pergi ke masjid ikut jalan yang lain-lain, meriahkan hari raya cara syar'i ikut sunnah. Ada pun yang menyebabkan orang lalai akhirat ialah apabila lahwun yang berlebihan yang menyebabkan seseorang melupakan kewajipannya dan berterusan tiada had.

31.0] Ini baru sebahagian dari penjelasan, perlu lagi dipelajari tentang perbezaan yang banyak. Walaupun tajuk yang sama tetapi ada yang berbeza. Untuk menjawab pertanyaan- pertanyaan Allah seperti lau kanu ya'lamun, afala ta'qilun, wa ma hazihi dunya, mesti ada maklumat yang banyak dan berbeza. Mudah-mudahan diberkati Allah. Allahumma Aamiin.















Tuesday, March 7, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 62) - Kuliah 63 - Ar-Razzaq, Qalbun Salim, Rezki, Koddaro, Biqodarin, Basato, Baghao, Tausi', Yakdir.

  1.0] Kesimpulan dari surah Al-Ankabut ayat 61 yang telah dibincangkan minggu lepas ialah orang-orang musyrik mengiktiraf dan mengakui bahawasanya Allah jua satu-satunya zat yang menciptakan langit dan bumi dan segala isinya dan mentaskhirkannya untuk kepentingan makhluknya. Malangnya mereka mengabdikan diri kepada selain Allah. Dengan ayat mudah orang kafir Mekah mengakui, mengiktiraf dan meyakini akan Sifat Rububiyyah Allah tetapi mereka menafikan Haq Uluhiyyah Allah. Inilah yang pelik pada sifat orang kafir Quraisy dan orang kafir mana pun, sehingga faahisyah (penutup) ayat 61, Allah firmankan فَاَنَّا يُوءْفَكُونَ - "Maka mengapa mereka dipalingkan?", uslub ayat atau susunan ayat yang menunjukkan maknanya hairan atau pelik (Jumlah At-Ta'ajjubiah) - Ayat hairan dimana mutakallimnya (Allah) menyatakan rasa pelik dan hairan terhadap sikap mukhottob (walaupun Allah Maha Suci daripada sifat manusia tetapi ini menunjukkan cara Allah menyatakannya). Macammana orang yang telah meyakini Allah sahajalah Pencipta segala yang maujud dan menundukkannya tetapi kemudian mengabdikan diri kepada yang selainNya.

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 62;

  
Surah Al-Ankabut ayat 62 ini adalah berkaitan dengan Al-Asmaul Husna yakni Ar-Razzaq - Yang Maha Memberi Jaminan Rezki. Peliknya di dalam Al-Quran, kalimah Ar-Razzaq hanya ada 1 kali sahaja dan terdapat di dalam surah Az-Zariyat ayat 58;

Ayat ini memberi isyarat bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi, berkuasa memberi dan berhaq memberi jaminan rezki kepada makhluknya. Selain Allah tiada yang mampu memberi rezki, jangankan untuk memberi rezki kepada yang lain, untuk menjamin rezki diri sendiri pun tidak berdaya. Kalau pun ada hanyalah sebagai wasilah untuk Allah sampaikan rezki Allah kepada hambaNya yang lain.

3.0] Tentang rezki seseorang samada mudah, senang, susah, banyak atau sedikit, 100% bergantung kepada masyiatullah (apa yang diKehendaki Allah), tidak ada kena mengena dengan tarikh lahir atau nombor kereta atau kedudukan letak pintu pejabatnya, berapa degree kesengetannya, tidak ada kena mengena dengan warna perabut di rumahnya dan jauh sekali dengan letak kedudukan tahi lalatnya. Jika ada kepercayaan tentang itu semuanya adalah syirik dan karut-marut dan kita wajib berkeyakinan  bahawa itu syirik yang qot'i sifatnya yang perlu dibayar dengan kehilangan akidah tauhid dan itu adalah sangat mahal. Oleh itu ahli mengaji atau ahli usrah wajib punya keberanian untuk menyatakan, meyakini bagi dirinya dan orang lain bahawa itu semua adalah syirik dan dosa besar. Ar-Razzaq memberi isyarat bahawa Allah sahajalah yang mempunyai kuasa untuk memberi jaminan rezki kepada sekelian makhlukNya.

4.0] Pada kuliah yang lepas ada kaedah yang perlu kita yakini benar tentang rezki daripada Allah iaitu:

i) Tujuan kita hidup ialah untuk beribadah.
ii) Ada pun keperluan hidup kita telah menjadi jaminan daripada Allah, samada sedikit atau banyak, besar atau pun kecil.
iii) Tidak ada makhluk yang melata di muka bumi ini ima yang tiada berkaki, punyai 1 kaki atau 2 kaki atau 4 kaki, atau berjalan di atas perutnya atau terbang dengan 2 sayapnya atau menyelam dengan siripnya, bahkan yang hanya tinggal termenung sahaja di batu pun, Allahlah yang menjamin rezki semuanya.
iv) Rezki tidak berkongsi dengan makhluk yang lain. Setiap seseorang dijamin 100%. Contohnya A mendapat 100% dan B mendapat 100%. Kalau pun Allah menyuruh A untuk memberi sebahagian kepada B, tidak bermakna A berkurangan rezkinya atau A mampu menjamin rezki B, malahan memang itu habuan rezki B yang Allah telah titipkan kepada A sebelum A memberikan kepada B. Diletakkan sementara dahulu ditangan A sebelum disampaikan kepada B. Jika A memberi kepada B, dia mendapat upah daripada Allah, sedangkan A tidak kehilangan sedikit pun habuannya. Kita tidak pernah kekurangan atau kehilangan sedikit pun habuan untuk kita ketika memberi kepada orang lain kerana apa yang kita beri itu adalah habuan dia dan Allah menyuruh kita memberi dan itu semuanya pun bukan milik kita. Apakah kita merasa menyesal  kerana telah memberi sesuatu yang bukan milik kita?. Contohnya kita hanyalah sebagai penjaga kebun durian seseorang. Dimusim durian, kita menjaga kebun itu, mengutip buah setiap pagi dan memberikannya kepada tuan punya kebun dan kita mendapat upah daripada tuan kebun. Jika pada suatu hari tuan kebun durian itu telah menyuruh kita memberikan separuh daripada buah durian yang telah gugur itu kepada jirannya, adakah kita merasa kehilangan, atau merasa berat? Kita tidak merasa apa-apa kerana bukan milik kita, Ingin diberi separuh atau semua sekali pun kita tidak boleh merasa apa-apa sebab itu bukan milik kita atau  bukan kita punya. Macamana kita merasa kehilangan padahal kita tidak punya apa-apa? Orang yang tidak punya apa-apa tidak akan kehilangan apa-apa dan tidak dapat memberi apa-apa tetapi dia mendapat segala-galanya daripada Tuhan sebagai balasan upahnya.

5.0] Memang begitulah konsep kehidupan kita, sebab itulah jangan merasa kita sudah memberi sebab semuanya pun bukan milik kita. Seseorang hanya boleh memberi apa yang dia miliki. Orang yang tidak miliki apa-apa tidak pernah memberi apa-apa. Pertanyaannya, "Apa milik kita?" Jawapannya, "Tidak ada apa-apa pun milik kita!", Sebab kita diajar untuk berpegang dengan kalimah inna lillaahi wainna ilaihi rooji'uun yang bermakna sesungguhnya kita dari Allah dan kepada Allah kita kembali. Apabila kita sudah berkata begitu  dan juga kalimah lillaahi ma fissamaawaati wal ardh - kepunyaan Allah apa yang ada dilangit-langit dan di bumi, maknanya semua adalah milik Allah, dan kita tidak punya apa-apa. "Kenapa kita  merasa kita sudah memberi?" Segala yang kita pegang itu bukan milik kita bermakna kita tidak pernah memberi kerana segalanya adalah milik Allah. "Bagaimana caranya supaya hati kita tidak merasa sakit, kecewa atau kehilangan?"."Mudah sahaja caranya ia itulah dengan tidak merasa memiliki sesuatu dari awal-awal lagi!". Sakit itu adalah di dalam hati, apabila hati kita tidak pernah merasa memiliki sesuatu, in syaa Allah kita tidak merasa sakit atas kehilangannya sesuatu itu kerana ianya bukan milik kita. Tetapi jika kita merasa itu milik kita, kehilangan itu menyebabkan hati kita merasa sakit. Jangankan benda yang besar, kehilangan selipar jepun pun membuatkan hati kita sakit.

6.0] Hati kita tidak boleh sakit, hati kita mesti sentiasa salim, Qalbun Salim, jiwa yang selamat, terkawal, suci, yang jauh dari penyakit lahir dan batin, hati yang suci dari kesyirikan, hati yang tiada satu pun selain Allah SWT di dalamnya. Allah tidak mahu menerima hambaNya ketika bertemuNya melainkan hambaNya itu telah memiliki sekeping hati yang salim. In syaa Allah , urzuqna. Qot'i sifatnya hati yang tidak boleh sakit dan berpenyakit kerana penyakitnya itu bukan datang dari luar tetapi semuanya itu dari diri kita sendiri.

7.0] Bahkan Allah tidak akan mematikan hambaNya sehingga Allah sempurnakan atau penuhkan rezkinya yang telah ditetapkan dan setiap seorang mendapat 100% rezki masing-masing walaupun mungkin kuantiti 100% itu berbeza diantara seorang dengan seorang yang lain. Oleh itu jika kita lambat mendapat rezki, jangan mudah kecewa, jangan sedih, jangan mencari jalan pintas, kerana selambat mana sekali pun datangnya rezki kita apabila kita mati nanti pasti rezki kita sudah mencapai 100%. Maknanya setiap orang yang mati, rezkinya sudah penuh. "Mana dalilnya?" Abi Umamah sahabat Nabi saw meriwayatkan hadith dalam hadith yang dinilai soheh oleh Nasruddin Al-Bani dalam kitabnya Sahibul Jami'ul Soghir bahawa Nabi saw bersabda,"Sesungguhnya Malaikat Jibril (Ruhul Qudus) telah membisikkan sesuatu kepada batinku (jiwaku), iaitu,"Sesungguhnya satu diri itu tidak akan dimatikan oleh Allah sehingga sempurnalah ajalnya". Maknanya seseorang itu mati sebab ajalnya telah sampai dan rezkinya telah dicukupkan, manakala seseorang belum mati sebab belum sampai ajalnya dan rezkinya belum dicukupkan. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah dan perelokkanlah, perbetulkanlah oleh kamu dalam mencari rezki, jangan menipu, jangan bengkok, jangan kong kaling kong. Jangan sekali-kali lantaran lambatnya mendapat habuan rezki, atau susahnya mencari sesuap nasi, atau tidak dapat bersabar lagi menghadapi kesusahan lalu  mencarinya dengan cara maksiat, atau melakukan cara yang tidak syar'i, atau potong queue dan sebagainya. Jangan buat begitu kerana akan rugi seruginya kerana sesungguhnya kita tidak akan mendapat apa yang diSisiNya kecuali dengan cara mentaatiNya dan tidak boleh dengan cara menderhakaiNya.

8.0] Rezki yang telah Allah tetapkan bagi setiap hambaNya adalah 100% dan Nabi saw telah bersabda bahawa rezki itu tidak dapat diperolehi kecuali dengan cara taat. Apabila orang itu mendapatkannya dengan taat, dia akan mendapat rezki yang halal, mendapat pahala, mendapat 100% rezkinya sehingga matinya dapat masuki syurga. Manakala orang yang disusahkan sedikit, tidak sabar, mahunya apa yang dia inginkan hari ini dapat hari ini, atau apa yang dia mahu semua dapat, menghalalkan semua cara. mendapatkan dengan cara maksiat, walaupun mungkin mendapat sebanyak yang Allah telah tetapkan kepadanya, tetapi dia telah berdosa, dan dia kehilangan 100% rezki halal yang Allah telah tetapkan buatnya dan akhirnya masuk neraka.

9.0] Mencari rezki cara maksiat atau kong kaling kong sekali pun tidak akan menambahkan habuan rezkinya yang telah ditetapkan 100% oleh Allah tetapi akhirnya akan masuk neraka. Mencari rezki dengan cara halal dan taat pun akan dapat 100% dan dapat masuk kesyurga akhirnya. Oleh itu jangan terpedaya, jangan ghurur, jangan mengelabui mata melihat yang zahir, janganlah segala kesulitan dan lambatnya rezki datang walaupun telah berusaha berbulan-bulan bertahun-tahun itu menyebabkan seseorang terdorong mencari dengan cara maksiat. Ibarat seseorang yang telah menaiki tangga sehingga sudah mencapai 8 anak tangga, cuma tinggal 2 anak tangga lagi sebelum rezki datang, tetapi kerana tidak sabar, ia menyimpang dan menyeleweng maka akan rugi seruginyalah dia.

10.0] Jika kita terlalu rajin mencari rezki yang pada hakikatnya telah dijamin oleh Allah dan pada masa yang sama telah mencuaikan dalam apa yang Allah minta daripada kita iaitu beribadah kepadaNya, maka itu adalah tanda matahati yang telah buta. Maknanya matahati yang telah buta (glucoma) jika tidak segera dirawat akan merebak menjadi gluwaqaf (makna sinisnya ialah hati yang buta yang tidak dapat lagi dirawat atau dibaikpulih).

11.0] Surah Al-Ankabut ayat 62  pula mempunyai beberapa makna mengikut ahli mufassir iaitu;
i) Bahawa Allah yang berkuasa penuh melapangkan rezki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
ii) Allah yang melapangkan sebahagian rezki seseorang dan menyempitkan rezki dibahagian yang lain pada orang yang sama itu.
iii) Allah yang melapangkan rezki seseorang dengan berlebih dan Allah juga yang memberi seseorang lain dengan rezki yang hanya secukup kadar ukuran.

بَسَطَ - قَدَرَ  

وَسَعَ - ضَيَّقَ

Allah yang melapangkan rezki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah juga yang menyempitkan rezki bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Maknanya Allahlah yang melapangkan rezki A dan Allah yang menyempitkan rezki B. Ada yang mudah mendapat rezki ada yang sangat susah untuk mendapatkannya. Ada yang kaya-raya, ada yang miskin, ada yang mendapat dengan mudah , ada yang terpaksa bersusah-payah membanting tulang, siang-malam bermandi peluh dan keringat, menghemburkan air mata darah tetapi hanya kais pagi makan pagi. Ini adalah dari makna yang pertama dan boleh pula dipecahkan menjadi makna bagi yang kedua iaitu Allahlah yang melapangkan sebahagian rezki bagi A dan Allah jugalah yang menyempitkan sebahagian dari rezki A yang lain. Contohnya ada seorang yang dilapangkan Allah rezkinya dari aspek kebendaan, hartanya melimpah-ruah بَسَطَ (basato), tetapi Allah telah menyempitkan baginya rezki dari segi kesihatan. Rumahnya bukan main besar, baharu siap, minggu hadapan dirancang untuk pindah ke rumah baharunya tetapi ma syaa Allah belum pun sempat berpindah ke rumah baharunya, dia telah masuk ke hospital kerana sakit dan masanya lebih banyak dihabiskan di hospital daripada di bungalownya. Allah lapangkan rezki materialnya tetapi menyempitkan rezki kesihatannya.

11.0] Ambil contoh lain, ada keluarga yang serba kekurangan atau disempitkan Allah dari segi kebendaan, anak pula ramai,  tujuh orang, ibubapanya sangat susah untuk mendapatkan belanja sara hidup sekeluarga. Anak-anaknya tidak seorang pun yang belajar di sekolah berbayar, tidak pernah mengikuti klas tuition, bahkan anak-anaknya itu belajar sambil membantu ibu-bapa bekerja, tetapi Allah berikan kesemua anaknya menjadi pelajar terbaik sekolah masing-masing dan dapat meneruskan pelajaran ditujuh benua. Ibubapanya tidak mengeluarkan satu sen pun untuk persekolahan anak-anaknya. Ibubapanya tetap miskin, susah dan ketika sudah lanjut usia, ketujuh-tujuh orang anaknya telah menduduki tempat tertinggi dan terpenting dalam negara. Di sini Allah menyempitkan kehidupan ibubapa dari segi material tetapi Allah melapangkan rezki ilmu kepada anak-anaknya.

12.0] Mungkin Allah beri kesihatan kepada seseorang sehingga dia tidak pernah sakit. Sihat daripada lahir sehingga tua tidak pernah sakit, demam pun tidak pernah, walhal malam tidak pernah pakai selimut, nyamuk pun sudah lali, kena hujan pun sihat, kena panas pun sihat, tetap sihat wal'afiat. Allah Maha Adil. Biasanya yang sakit, yang Allah bagi sakit ialah bagi yang mampu membayar untuk berubat, yang tidak mampu bayar untuk berubat, Allah tidak bagi sakit. Kalau dapat dipilih, anda pilih yang mana? Bagi sakit sebab mampu bayar atau tidak bagi sakit kerana tidak mampu bayar. Daripada pendapat yang pertama dan kedua diatas, yang mana yang lebih mendekati yang lebih benar sesuai dengan keadilan dan kelebihan Allah? Yang pertama ada sedikit nuansanya, ternampak seperti tiada keadilan manakala yang kedua lebih mendekati sifat Adil Allah dan menjadi pilihan pendapat kita. Allah tidak sekali-kali ingin menganiaya hambaNya, mungkin terdapat sesuatu realiti yang kita tidak tahu atau belum tahu atas segala kurniaan Allah yang berupa nikmat atau bala bagi seseorang.

13.0] Pendapat yang kedua, bermakna tidak ada seorang pun manusia yang Allah lapangkan rezkinya dari pelbagai sudut, tetapi Allah lapangkan sebahagian sisi dan sempitkan sisi yang lain dalam kehidupannya, kita semua ada kekurangan kecuali Nabi Sulaiman as. Nabi Sulaiman as adalah seorang yang kaya-raya, ada kuasa, sihat wal'afiat tidak pernah sakit, menguasai pelbagai bahasa, semua orang patuh mendengar arahannya termasuk jin dan haiwan, apa yang dia mahukan semuanya dapat.

14.0] Kodaro -قَدَرَ - (Allah yang menentukan  ukuran takdir) , Wasa'a - وَسَعَ - (besar, luas). Rujuk surah Al-Furqan ayat 2
Allah yang telah menciptakan segala sesuatu dan Dia telah menentukan kadar ukurannya  qoddarahu takdiiro. Rujuk juga surah Al-'A'la ayat 1, 2 dan 3;




Makna perkataan koddaro bukan hanya menyempitkan tetapi ialah menyempurnakan kadar ukurannya. Oleh itu kembali kepada  surah Al-Ankabut ayat 62 di atas, makna perkataan koddaro ialah Allah yang melapangkan rezki kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan menentukan kadarnya (bukan menyempitkan) bagi yang Ia kehendaki. Ini bermakna dalam hal rezki, manusia iaitu hamba Allah, Allah perlakukan dengan 2 cara;
i) Dengan tausi' (dilapangkan - wasa'a) - Allah beri rezki melebihi dari keperluannya.
ii) Dengan yakdir  (qodaro- kadar) - Allah beri rezki yang hanya cukup-cukup keperluannya.

"Ada atau tidak diantara kita yang Allah beri rezki banyak melebihi daripada keperluan kita? Siapa? ""Angkat tangan!, Kitalah yang diberi Allah keperluan yang melimpah-ruah melebihi keperluan kita". "Berapa banyak kita makan?". "Katakan kita makan 2 pinggan nasi sekali makan, kenapa dirumah kita ada 50 kilogram beras?". Atau "Berapa ringgit kita perlu untuk sara hidup kita sehari?". Yang ausat (pertengahan), mungkin katakan RM 100 sehari, maka sebulan perlu RM 3 ribu, setahun perlu RM 36 ribu, kalaulah umur kita tinggal 10 tahun lagi, bermakna kita perlu RM 360 ribu. Tetapi kenapa ada RM 360 juta simpanan? Itu contoh bahawa Allah memberi lebih dari keperluan kita. Ramai diantara kita yang Allah perlakukan lebih banyak dalam rezki, sementara ada hamba Allah yang Allah berikan cukup-cukup keperluannya sahaja (yakdir). Kalau perlu 5, Allah beri 5, kalau dia perlu 10, Allah beri 10. Itu namanya yakdir. Minima yang Allah memberi ialah yang sama dengan kadar keperluannya bukan keinginannya, yang kurang tidak ada. Siapa yang merasa kurang itu ialah kerana ingin penuhi keinginan bukan keperluan. Yang minima ialah keperluan bukan keinginan. Apabila  anda ingin lebih lagi, bisikan syaitan akan sentiasa lebih kuat dan mengatakan itu keperluan. Hanya kerana kita belum pandai membezakan antara keinginan dan keperluan maka hati masih lagi berkehendak.

15.0] Makna kedua menarik kerana ada hikmahnya. Orang yang Allah beri rezki sesuai dengan keperluannya, adakah Allah menyuruhnya berinfaq? Tentu tidak!. Tetapi orang yang Allah beri rezki yang berlebihan  dari keperluannya, orang itu perlu berinfaq dan jika tidak mahu berbuat demikian adalah berdosa. Oleh itu janganlah terlalu meminta berlebih-lebihan. Orang yang hanya ada sekadar keperluan tidak wajib zakat dan tidak wajib berinfaq manakala orang yang ada berlebih wajib zakat dan infaq. Dalilnya dalam Al-Quran surah Al-Baqarah banyak ayat-ayat tentang sedekah dan zakat dan apabila ditanya apakah yang perlu disedekahkan, jawapannya ialah  "Kelebihan (daripada apa yang diperlukan) "- Al-Baqarah ayat 219.

16.0] Kembali kepada makna ayat bahawa Allah melapangkan rezki bagi hambaNya dan Dia juga menyempitkan rezki bagi hambaNya. Contohnya ketika kita sedang sedap makan, itu Allah sedang lapangkan rezki kita, lalu Allah beri pula sakit lutut, yang bermakna Allah sedang sempitkan rezki kesihatan kita. Dahulu selera makan bukan main tinggi, selera makan ada, makanan ada bermacam-macam, di mana-mana ada makanan, bila-bila mahu makan pun ada makanan, jam 3 pagi pun makan, tiada pantang larang, sihat wal'afiat, iaitu ketika Allah lapangkan rezki makanan dan kesihatan melimpah-ruah. Sekarang makanan masih ada bermacam-macam, selera pun ada, tetapi kita sudah tidak boleh makan pula kerana sudah bermasalah dengan kesihatan, sudah kena berpantang-larang yang banyak, bermakna rezki kesihatan sudah disempitkan. Keadaan seumpama ini berlaku kepada setiap daripada kita dan kita patut merasa Adilnya Allah. Allah Yang Maha Adil,

17.0]  Kenapa Allah tidak lapangkan semuanya kepada kita dari segala aspek seperti Nabi Sulaiman yang sihat tidak pernah sakit, kaya tidak pernah miskin, berjaya tidak pernah gagal, untung tidak pernah rugi, apa yang dikehendaki dapat, dilapangkan Allah semua jenis rezkinya tiada dikurangkan, selera makan ada, makanan ada dan banyak pula, tiada pantang-larang makan, ingin pergi kemana pun boleh. "Kenapa Allah tidak bagi begitu kepada kita, kan seronok ?" Jawapannya ada di dalam surah As-Syura ayat 27 dimana Allah sendiri yang menjawab kalau ada soalan yang begitu, atau kalau adalah terlintas dihati kita kerana yang paling tahu tentang diri kita ialah Allah Pencipta kita. Kita tidak boleh merasa lebih tahu akan diri kita kerana Allahlah Yang Lebih Mengetahui.

Allah berfirman, "Kalaulah Aku lapangkan segala rezki kepada kamu, pasti kamu akan baghao (banyak melakukan kejahatan). Semua rezki pun jika Allah memberi kepada hambaNya berlebihan berterusan maka hambaNya akan melakukan kezaliman. Contohnya orang yang sihat dan tidak pernah sakit, akan menjadi jahat (baghao). Sebab itulah orang jahat apabila sakit baharulah berehat daripada kejahatannya. Atau pun orang yang kaya-raya, jika terlalu diberi berlebih dan berterusan akan membazir sana-sini, berlagak dan takabbur. Untuk menghentikan keberlagakkannya Allah beri rasa miskin sedikit, mungkin pelaburannya rugi sedikit supaya dia tidak joli katak. Kalau asyik berjaya sahaja, nanti akan lupa daratan. Oleh itu supaya dia masih ingat matinya nanti didarat tidak selamanya menjadi makhluk laut, Allah beri gagal sedikit supaya kembali sedar dan dia akan berkata,"Oo, aku ini lemah, tidak mampu dan tidak berdaya!". Itu bukan kata motivator dan bukan kata pakar saikoloji tetapi itu adalah firman Allah yang mencipta kita. Kita tidak perlu menafikannya. Kita tidak boleh kata,"Kita tidak, orang lainlah begitu!". Allah yang kata, jangan kita nafikan pula.

18.0] Semuanya ada tujuan dan hikmah apabila Allah kurangkan disini dan lebihkan disana iaitu supaya kita tidak menjadi baghao (jahat). Allah juga turunkan habuan rezki dengan kadar ukuran yang Allah kehendaki bukan dengan ukuran yang kita kehendaki. Jika kita ingin rezki itu sesuai dengan kemahuan kita, terima sahajalah supaya kita tidak kecewa. Terima sahajalah apa yang Allah berikan sesuai dengan kehendak Allah, sesuai dengan ukuran yang Allah telah tetapkan untuk kita, jangan kita yang menentukan kadarnya supaya kita tidak kecewa. Ini manhaj robbani dalam hal rezki. Allah mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa supaya hambaNya yang diberi rezki untuk keperluannya di dunia ini, walaupun 100% jaminan Allah, menjadi hamba yang baik.

19.0] Kalau kita ada peruntukan untuk anak kita yang baru berumur 15 tahun, dan itu memang hak dia untuk menyara hidupnya dan katakanlah ada sejumlah RM 100 juta. Ketika itu keinginannya meluap-luap. Adakah kita kawal atau kita serahkan sekali gus kepada anak kita itu? Adakah kita akan kata seperti ini,"Nak, ini hak kamu, emak tidak mahu campur tangan, kamu ambillah semua, pandai-pandailah kamu belanjakan". Tentu sekali kita tidak akan buat begitu dan kita akan berikan kepada anak kita itu biqodarin (dengan kadar ukuran) yang munasabah. Kita yang tidak punya ilmu kasyaf pun dapat mengagak apa akan jadi jika diberi kesemunya harta itu kepada anak yang masih mentah.

20.0] Allah Yang Mencipta kita lagi Maha Mengetahui tentang diri kita. Allah berfirman, "Aku Tahu kamu akan jadi jahat kalau Aku beri  sekali gus berlebihan untuk kamu. Oleh itu Aku memberi biqodarin  (dengan kadar ukuran yang bersesuaian) kepada kamu. Sebagaimana Nabi saw bersabda, "Apabila kamu merasa lambat mendapat habuan rezki, bersabarlah, jangan melakukan maksiat sebab lambat sekali pun nanti akhirnya kamu dapat juga 100% habuan kamu. Allah tidak akan matikan kamu selagi rezki kamu belum cukup". Hanya berapa kadarnya, Allah tidak beri tahu, kita tidak perlu bertanya dan tiada siapa yang tahu. Inilah rahsia hikmah disebalik pembahagian Manhaj Robbani.

21.0] Ada juga diantara manusia yang degil, seperti ada orang yang sanggup mengejar cita-cita,ketika meniti karier dan ketika melihat kawannya telah berjaya, dia jadi tidak sabar, dia mula kabur pandangan  matanya, memandang tidak lagi terang, akhirnya yang haram nampak makruh , yang haram nampak halal. Walhal  jika dia boleh bersabar, Allah akan bagi apa yang Allah telah tetapkan habuan untuknya 100% halal dengan kadar ukuran yang Allah Kehendaki.

22.0] Katakanlah kita yang masih dipertengahan umur, berumur 35 tahun dan umur jangkaan akhir hayat ialah 70 tahun. Segala rezki yang Allah tetapkan untuk kita dan Allah berikan kepada kita tidak akan berlebih dan tidak akan berkurang. Katakan disepanjang hidup kita, kita memerlukan sekian banyak gula (glukosa), tidak boleh berlebih dan tidak boleh berkurang. Kalau berkurang kita tidak sihat dan kalau berlebih juga kita tidak sihat. Apa akan jadi jika gula yang sepatutnya kamu habiskan dalam jangka masa umur kamu 70 tahun tetapi telah kamu gunakan  sehabisnya ketika berumur 35 tahun kini. "Apa akan terjadi?".Sunatullah akan berbicara, "Potong jari! Kenapa?. "Wahai manusia, peruntukan gula untuk kamu sudah habis padahal kamu baru berumur 35 tahun. Sekarang kamu tidak boleh mengambil gula lagi, kalau kamu ambil juga, potong jari, kalau kamu terus mengambilnya juga, potong kaki!". Apa sahaja yang berlebihan akan menimbulkan kesan. Allah berfirman,"Makanlah dan minumlah tetapi jangan berlebihan"

23.0] Biasanya orang melihat di sudut agama sahaja tentang sikap berlebihan ini, tetapi juga perlu dilihat disudut keduniaan seperti kesihatan dan lain-lain. Apabila berlebihan pasti akan mendapat akibat buruk daripada sikap itu. Akibat buruk ini dipanggil punishment. Manakala akibat baik dinamakan reward. Pahala dan dosa tidak hanya berlaku diakhirat. Di dunia pun  sudah ada. Apatah lagi bila yang dilanggari itu sunnatullah. Apabila kita berlebihan pasti ada punishment. Punishment di akhirat ialah dosa dan punishment didunia ialah dengan mendapat segala macam mudhorat. Contohnya kebiasaan bagi seorang yang suka makan cendol 3 kali sehari atau bubur durian 4 kali sehari kemudian lepas itu tidur. Apa agaknya akan jadi terhadap orang itu?. Tidak perlu menunggu balasan dosa diakhirat, di dunia ini pun sudah mendapat punishment, dengan mendapat berbagai-bagai penyakit.

24.0] Contohnya ada dua orang yang punyai duit banyak, seorang berumur 60 tahun manakala seorang lagi berumur 20 tahun. Bagaimana caranya mereka menggunakan duit itu? Atau jika keduanya mendapat sebuah kereta Ferari, apa yang akan dilakukan oleh mereka berdua, adakah sama atau berbeza tindakan mereka? Tentulah lain caranya. Ini adalah tentang jiwa manusia. Yang pasti Allah berfirman yang kebenaran itu mutlak, iaitu pasti mereka akan jadi jahat jika diberi sekali gus. Ertinya jika diberi rezki ketika jiwanya belum bersedia menerimanya akan membahayakan diri penerimanya. Contohnya bagi hambaNya yang susah, ketika dia belum bersedia untuk menjadi kaya, bagaimana keadaannya ketika diberi kekayaan melimpah-ruah secara tiba-tiba?. Pasti rosak jiwanya. Oleh itu jangan minta kaya. Bagaimana pula bagi orang yang belum bersedia menjadi orang susah tetapi tiba-tiba menjadi susah. Pasti jiwanya juga menjadi rosak. Sebab itu hendaklah sentiasa bersedia untuk menjadi apa sahaja, untuk menjadi siapa sahaja, kerana kita tidak tahu kita akan jadi apa dan bila. Mungkin kita akan jadi susah tahun hadapan. Kita tidak tahu, oleh itu bersedialah untuk susah kalau benar-benar akan berlaku susah tahun hadapan. Jika sekarang susah, bersedia jugalah untuk menjadi orang kaya kerana orang yang belum bersedia jadi senang jika tiba-tiba diberi kekayaaan pasti akan baghao, pasti joli katak, raya sakan dan sangat bahaya.

25.0] Bila disebut rezki, bukan hanya harta benda tetapi rezki itu adalah apa sahaja yang Allah kurniakan untuk hambaNya. Rezki itu ada rezki besar dan ada rezki kecil. Rezki besar yang diberi Allah kepada kita dengan percuma yang mana hakikatnya kita tidak boleh hidup tanpanya. Kita tidak disuruh mencari rezki besar kerana kita tidak mampu. Sedangkan rezki besar itulah yang paling mustahak dalam hidup kita. Rezki kecil pula yang sebetulnya kita boleh hidup tanpanya, hanya kalaulah ingin lebih selesa, kita disuruh mencarinya tetapi jika kita tidak mendapatkannya, kita tidak perlu bersedih. Kalau kita tidak punya kereta, janganlah bersedih kerana kita telah punyai kaki. Orang yang punya kaki tetapi tidak punyai kereta adalah orang yang lebih bertuah daripada orang yang punya kereta tetapi tidak punya kaki. Orang yang tidak punya kapalterbang tetapi boleh naik kapal-terbang adalah lebih baik daripada orang yang punyai kapalterbang tetapi tidak boleh naik kapalterbang kerana gayat. Ada juga orang yang punya kereta tetapi tidak boleh naik kereta kerana mabuk dan untuk kemana-mana terpaksa naik kereta lembu.

26.0] Lihatlah nikmat yang besar kurniaan Allah, janganlah hanya melihat nikmat kecil semata-mata. Janganlah ada yang berkata, "Lihatlah kawan kita, tukar-tukar beg!" Itu nikmat kecil. Pilih yang mana, punya beg (nikmat kecil) tetapi tidak ada tangan untuk disangkutkan beg  atau tiada beg yang berbagai tetapi ada tangan. "Semahal mana pun beg jika tiada tangan, hendak disangkut dimana?". Kita selalu lupa pemberian Allah yang besar-besar. Syukurilah nikmat besar, barulah hidup tenang. Yang nikmat kecil jika tidak nampak sangat pun tidak mengapa. tetap bersyukur dan akhirnya jadi orang yang baik.

27.0] Setakat tidak ada kasut tidak mengapa, berkaki ayam pun tiada hal kerana masih ada kaki. Kalau ada koleksi kasut pun tidak berguna jika tidak boleh dipakai kerana sudah tidak boleh berjalan atau kerana tiada kaki. Allah itu Maha Adil. Apa yang Allah beri pasti telah mencukupi kadar keperluan hambaNya walaupun dikadar yang paling minima. Apabila orang itu susah, mungkin dia melihat mengikut keinginan tidak keperluannya.

28.0] Ar-Rozzaq- Allah Yang Maha Pemberi Rezki, Penentu rezki, Penarik rezki. Selain Allah tiada yang mampu memberi rezki kepada makhluknya. Jangan dikaitkan rezki dengan sesuatu lain seperti jika rumah disimpang T, maka harga jualannya jadi murah lantaran dianggap rumah itu tiada fengshui. Jangan sekali-kali percaya kepada semua itu kerana boleh membawa syirik. Ada juga yang percaya dengan tahi lalat, bintang-bintang dimalam hari atau tarikh lahir. Dalam tauhid ahli sunnah Wal Jamaah membaca sahaja ramalan bintang, tanpa meyakini, hukumnya haram. Manakala jika membaca dan meyakini ramalan bintang, jatuh syirik. Mukmin yang wahid tidak boleh meletakkan harapan untuk mendapatkan rezki kecuali hanya kepada Allah  Pencipta kita semua. Ingat!, harga yang kita terpaksa bayar adalah terlalu mahal, yakni akidah tauhid. Orang yang faham Asmaul Husna in syaa Allah tidak menyeleweng akidah tauhidnya. Kita kena yakin seyakinnya bahawa Allah Pencipta kita Maha Adil, Pengasih Penyayang. Moga-moga bermanafaat dan diberkati. Aamiin.