Tuesday, March 7, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 62) - Kuliah 63 - Ar-Razzaq, Qalbun Salim, Rezki, Koddaro, Biqodarin, Basato, Baghao, Tausi', Yakdir.

  1.0] Kesimpulan dari surah Al-Ankabut ayat 61 yang telah dibincangkan minggu lepas ialah orang-orang musyrik mengiktiraf dan mengakui bahawasanya Allah jua satu-satunya zat yang menciptakan langit dan bumi dan segala isinya dan mentaskhirkannya untuk kepentingan makhluknya. Malangnya mereka mengabdikan diri kepada selain Allah. Dengan ayat mudah orang kafir Mekah mengakui, mengiktiraf dan meyakini akan Sifat Rububiyyah Allah tetapi mereka menafikan Haq Uluhiyyah Allah. Inilah yang pelik pada sifat orang kafir Quraisy dan orang kafir mana pun, sehingga faahisyah (penutup) ayat 61, Allah firmankan فَاَنَّا يُوءْفَكُونَ - "Maka mengapa mereka dipalingkan?", uslub ayat atau susunan ayat yang menunjukkan maknanya hairan atau pelik (Jumlah At-Ta'ajjubiah) - Ayat hairan dimana mutakallimnya (Allah) menyatakan rasa pelik dan hairan terhadap sikap mukhottob (walaupun Allah Maha Suci daripada sifat manusia tetapi ini menunjukkan cara Allah menyatakannya). Macammana orang yang telah meyakini Allah sahajalah Pencipta segala yang maujud dan menundukkannya tetapi kemudian mengabdikan diri kepada yang selainNya.

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 62;

  
Surah Al-Ankabut ayat 62 ini adalah berkaitan dengan Al-Asmaul Husna yakni Ar-Razzaq - Yang Maha Memberi Jaminan Rezki. Peliknya di dalam Al-Quran, kalimah Ar-Razzaq hanya ada 1 kali sahaja dan terdapat di dalam surah Az-Zariyat ayat 58;

Ayat ini memberi isyarat bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi, berkuasa memberi dan berhaq memberi jaminan rezki kepada makhluknya. Selain Allah tiada yang mampu memberi rezki, jangankan untuk memberi rezki kepada yang lain, untuk menjamin rezki diri sendiri pun tidak berdaya. Kalau pun ada hanyalah sebagai wasilah untuk Allah sampaikan rezki Allah kepada hambaNya yang lain.

3.0] Tentang rezki seseorang samada mudah, senang, susah, banyak atau sedikit, 100% bergantung kepada masyiatullah (apa yang diKehendaki Allah), tidak ada kena mengena dengan tarikh lahir atau nombor kereta atau kedudukan letak pintu pejabatnya, berapa degree kesengetannya, tidak ada kena mengena dengan warna perabut di rumahnya dan jauh sekali dengan letak kedudukan tahi lalatnya. Jika ada kepercayaan tentang itu semuanya adalah syirik dan karut-marut dan kita wajib berkeyakinan  bahawa itu syirik yang qot'i sifatnya yang perlu dibayar dengan kehilangan akidah tauhid dan itu adalah sangat mahal. Oleh itu ahli mengaji atau ahli usrah wajib punya keberanian untuk menyatakan, meyakini bagi dirinya dan orang lain bahawa itu semua adalah syirik dan dosa besar. Ar-Razzaq memberi isyarat bahawa Allah sahajalah yang mempunyai kuasa untuk memberi jaminan rezki kepada sekelian makhlukNya.

4.0] Pada kuliah yang lepas ada kaedah yang perlu kita yakini benar tentang rezki daripada Allah iaitu:

i) Tujuan kita hidup ialah untuk beribadah.
ii) Ada pun keperluan hidup kita telah menjadi jaminan daripada Allah, samada sedikit atau banyak, besar atau pun kecil.
iii) Tidak ada makhluk yang melata di muka bumi ini ima yang tiada berkaki, punyai 1 kaki atau 2 kaki atau 4 kaki, atau berjalan di atas perutnya atau terbang dengan 2 sayapnya atau menyelam dengan siripnya, bahkan yang hanya tinggal termenung sahaja di batu pun, Allahlah yang menjamin rezki semuanya.
iv) Rezki tidak berkongsi dengan makhluk yang lain. Setiap seseorang dijamin 100%. Contohnya A mendapat 100% dan B mendapat 100%. Kalau pun Allah menyuruh A untuk memberi sebahagian kepada B, tidak bermakna A berkurangan rezkinya atau A mampu menjamin rezki B, malahan memang itu habuan rezki B yang Allah telah titipkan kepada A sebelum A memberikan kepada B. Diletakkan sementara dahulu ditangan A sebelum disampaikan kepada B. Jika A memberi kepada B, dia mendapat upah daripada Allah, sedangkan A tidak kehilangan sedikit pun habuannya. Kita tidak pernah kekurangan atau kehilangan sedikit pun habuan untuk kita ketika memberi kepada orang lain kerana apa yang kita beri itu adalah habuan dia dan Allah menyuruh kita memberi dan itu semuanya pun bukan milik kita. Apakah kita merasa menyesal  kerana telah memberi sesuatu yang bukan milik kita?. Contohnya kita hanyalah sebagai penjaga kebun durian seseorang. Dimusim durian, kita menjaga kebun itu, mengutip buah setiap pagi dan memberikannya kepada tuan punya kebun dan kita mendapat upah daripada tuan kebun. Jika pada suatu hari tuan kebun durian itu telah menyuruh kita memberikan separuh daripada buah durian yang telah gugur itu kepada jirannya, adakah kita merasa kehilangan, atau merasa berat? Kita tidak merasa apa-apa kerana bukan milik kita, Ingin diberi separuh atau semua sekali pun kita tidak boleh merasa apa-apa sebab itu bukan milik kita atau  bukan kita punya. Macamana kita merasa kehilangan padahal kita tidak punya apa-apa? Orang yang tidak punya apa-apa tidak akan kehilangan apa-apa dan tidak dapat memberi apa-apa tetapi dia mendapat segala-galanya daripada Tuhan sebagai balasan upahnya.

5.0] Memang begitulah konsep kehidupan kita, sebab itulah jangan merasa kita sudah memberi sebab semuanya pun bukan milik kita. Seseorang hanya boleh memberi apa yang dia miliki. Orang yang tidak miliki apa-apa tidak pernah memberi apa-apa. Pertanyaannya, "Apa milik kita?" Jawapannya, "Tidak ada apa-apa pun milik kita!", Sebab kita diajar untuk berpegang dengan kalimah inna lillaahi wainna ilaihi rooji'uun yang bermakna sesungguhnya kita dari Allah dan kepada Allah kita kembali. Apabila kita sudah berkata begitu  dan juga kalimah lillaahi ma fissamaawaati wal ardh - kepunyaan Allah apa yang ada dilangit-langit dan di bumi, maknanya semua adalah milik Allah, dan kita tidak punya apa-apa. "Kenapa kita  merasa kita sudah memberi?" Segala yang kita pegang itu bukan milik kita bermakna kita tidak pernah memberi kerana segalanya adalah milik Allah. "Bagaimana caranya supaya hati kita tidak merasa sakit, kecewa atau kehilangan?"."Mudah sahaja caranya ia itulah dengan tidak merasa memiliki sesuatu dari awal-awal lagi!". Sakit itu adalah di dalam hati, apabila hati kita tidak pernah merasa memiliki sesuatu, in syaa Allah kita tidak merasa sakit atas kehilangannya sesuatu itu kerana ianya bukan milik kita. Tetapi jika kita merasa itu milik kita, kehilangan itu menyebabkan hati kita merasa sakit. Jangankan benda yang besar, kehilangan selipar jepun pun membuatkan hati kita sakit.

6.0] Hati kita tidak boleh sakit, hati kita mesti sentiasa salim, Qalbun Salim, jiwa yang selamat, terkawal, suci, yang jauh dari penyakit lahir dan batin, hati yang suci dari kesyirikan, hati yang tiada satu pun selain Allah SWT di dalamnya. Allah tidak mahu menerima hambaNya ketika bertemuNya melainkan hambaNya itu telah memiliki sekeping hati yang salim. In syaa Allah , urzuqna. Qot'i sifatnya hati yang tidak boleh sakit dan berpenyakit kerana penyakitnya itu bukan datang dari luar tetapi semuanya itu dari diri kita sendiri.

7.0] Bahkan Allah tidak akan mematikan hambaNya sehingga Allah sempurnakan atau penuhkan rezkinya yang telah ditetapkan dan setiap seorang mendapat 100% rezki masing-masing walaupun mungkin kuantiti 100% itu berbeza diantara seorang dengan seorang yang lain. Oleh itu jika kita lambat mendapat rezki, jangan mudah kecewa, jangan sedih, jangan mencari jalan pintas, kerana selambat mana sekali pun datangnya rezki kita apabila kita mati nanti pasti rezki kita sudah mencapai 100%. Maknanya setiap orang yang mati, rezkinya sudah penuh. "Mana dalilnya?" Abi Umamah sahabat Nabi saw meriwayatkan hadith dalam hadith yang dinilai soheh oleh Nasruddin Al-Bani dalam kitabnya Sahibul Jami'ul Soghir bahawa Nabi saw bersabda,"Sesungguhnya Malaikat Jibril (Ruhul Qudus) telah membisikkan sesuatu kepada batinku (jiwaku), iaitu,"Sesungguhnya satu diri itu tidak akan dimatikan oleh Allah sehingga sempurnalah ajalnya". Maknanya seseorang itu mati sebab ajalnya telah sampai dan rezkinya telah dicukupkan, manakala seseorang belum mati sebab belum sampai ajalnya dan rezkinya belum dicukupkan. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah dan perelokkanlah, perbetulkanlah oleh kamu dalam mencari rezki, jangan menipu, jangan bengkok, jangan kong kaling kong. Jangan sekali-kali lantaran lambatnya mendapat habuan rezki, atau susahnya mencari sesuap nasi, atau tidak dapat bersabar lagi menghadapi kesusahan lalu  mencarinya dengan cara maksiat, atau melakukan cara yang tidak syar'i, atau potong queue dan sebagainya. Jangan buat begitu kerana akan rugi seruginya kerana sesungguhnya kita tidak akan mendapat apa yang diSisiNya kecuali dengan cara mentaatiNya dan tidak boleh dengan cara menderhakaiNya.

8.0] Rezki yang telah Allah tetapkan bagi setiap hambaNya adalah 100% dan Nabi saw telah bersabda bahawa rezki itu tidak dapat diperolehi kecuali dengan cara taat. Apabila orang itu mendapatkannya dengan taat, dia akan mendapat rezki yang halal, mendapat pahala, mendapat 100% rezkinya sehingga matinya dapat masuki syurga. Manakala orang yang disusahkan sedikit, tidak sabar, mahunya apa yang dia inginkan hari ini dapat hari ini, atau apa yang dia mahu semua dapat, menghalalkan semua cara. mendapatkan dengan cara maksiat, walaupun mungkin mendapat sebanyak yang Allah telah tetapkan kepadanya, tetapi dia telah berdosa, dan dia kehilangan 100% rezki halal yang Allah telah tetapkan buatnya dan akhirnya masuk neraka.

9.0] Mencari rezki cara maksiat atau kong kaling kong sekali pun tidak akan menambahkan habuan rezkinya yang telah ditetapkan 100% oleh Allah tetapi akhirnya akan masuk neraka. Mencari rezki dengan cara halal dan taat pun akan dapat 100% dan dapat masuk kesyurga akhirnya. Oleh itu jangan terpedaya, jangan ghurur, jangan mengelabui mata melihat yang zahir, janganlah segala kesulitan dan lambatnya rezki datang walaupun telah berusaha berbulan-bulan bertahun-tahun itu menyebabkan seseorang terdorong mencari dengan cara maksiat. Ibarat seseorang yang telah menaiki tangga sehingga sudah mencapai 8 anak tangga, cuma tinggal 2 anak tangga lagi sebelum rezki datang, tetapi kerana tidak sabar, ia menyimpang dan menyeleweng maka akan rugi seruginyalah dia.

10.0] Jika kita terlalu rajin mencari rezki yang pada hakikatnya telah dijamin oleh Allah dan pada masa yang sama telah mencuaikan dalam apa yang Allah minta daripada kita iaitu beribadah kepadaNya, maka itu adalah tanda matahati yang telah buta. Maknanya matahati yang telah buta (glucoma) jika tidak segera dirawat akan merebak menjadi gluwaqaf (makna sinisnya ialah hati yang buta yang tidak dapat lagi dirawat atau dibaikpulih).

11.0] Surah Al-Ankabut ayat 62  pula mempunyai beberapa makna mengikut ahli mufassir iaitu;
i) Bahawa Allah yang berkuasa penuh melapangkan rezki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
ii) Allah yang melapangkan sebahagian rezki seseorang dan menyempitkan rezki dibahagian yang lain pada orang yang sama itu.
iii) Allah yang melapangkan rezki seseorang dengan berlebih dan Allah juga yang memberi seseorang lain dengan rezki yang hanya secukup kadar ukuran.

بَسَطَ - قَدَرَ  

وَسَعَ - ضَيَّقَ

Allah yang melapangkan rezki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah juga yang menyempitkan rezki bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Maknanya Allahlah yang melapangkan rezki A dan Allah yang menyempitkan rezki B. Ada yang mudah mendapat rezki ada yang sangat susah untuk mendapatkannya. Ada yang kaya-raya, ada yang miskin, ada yang mendapat dengan mudah , ada yang terpaksa bersusah-payah membanting tulang, siang-malam bermandi peluh dan keringat, menghemburkan air mata darah tetapi hanya kais pagi makan pagi. Ini adalah dari makna yang pertama dan boleh pula dipecahkan menjadi makna bagi yang kedua iaitu Allahlah yang melapangkan sebahagian rezki bagi A dan Allah jugalah yang menyempitkan sebahagian dari rezki A yang lain. Contohnya ada seorang yang dilapangkan Allah rezkinya dari aspek kebendaan, hartanya melimpah-ruah بَسَطَ (basato), tetapi Allah telah menyempitkan baginya rezki dari segi kesihatan. Rumahnya bukan main besar, baharu siap, minggu hadapan dirancang untuk pindah ke rumah baharunya tetapi ma syaa Allah belum pun sempat berpindah ke rumah baharunya, dia telah masuk ke hospital kerana sakit dan masanya lebih banyak dihabiskan di hospital daripada di bungalownya. Allah lapangkan rezki materialnya tetapi menyempitkan rezki kesihatannya.

11.0] Ambil contoh lain, ada keluarga yang serba kekurangan atau disempitkan Allah dari segi kebendaan, anak pula ramai,  tujuh orang, ibubapanya sangat susah untuk mendapatkan belanja sara hidup sekeluarga. Anak-anaknya tidak seorang pun yang belajar di sekolah berbayar, tidak pernah mengikuti klas tuition, bahkan anak-anaknya itu belajar sambil membantu ibu-bapa bekerja, tetapi Allah berikan kesemua anaknya menjadi pelajar terbaik sekolah masing-masing dan dapat meneruskan pelajaran ditujuh benua. Ibubapanya tidak mengeluarkan satu sen pun untuk persekolahan anak-anaknya. Ibubapanya tetap miskin, susah dan ketika sudah lanjut usia, ketujuh-tujuh orang anaknya telah menduduki tempat tertinggi dan terpenting dalam negara. Di sini Allah menyempitkan kehidupan ibubapa dari segi material tetapi Allah melapangkan rezki ilmu kepada anak-anaknya.

12.0] Mungkin Allah beri kesihatan kepada seseorang sehingga dia tidak pernah sakit. Sihat daripada lahir sehingga tua tidak pernah sakit, demam pun tidak pernah, walhal malam tidak pernah pakai selimut, nyamuk pun sudah lali, kena hujan pun sihat, kena panas pun sihat, tetap sihat wal'afiat. Allah Maha Adil. Biasanya yang sakit, yang Allah bagi sakit ialah bagi yang mampu membayar untuk berubat, yang tidak mampu bayar untuk berubat, Allah tidak bagi sakit. Kalau dapat dipilih, anda pilih yang mana? Bagi sakit sebab mampu bayar atau tidak bagi sakit kerana tidak mampu bayar. Daripada pendapat yang pertama dan kedua diatas, yang mana yang lebih mendekati yang lebih benar sesuai dengan keadilan dan kelebihan Allah? Yang pertama ada sedikit nuansanya, ternampak seperti tiada keadilan manakala yang kedua lebih mendekati sifat Adil Allah dan menjadi pilihan pendapat kita. Allah tidak sekali-kali ingin menganiaya hambaNya, mungkin terdapat sesuatu realiti yang kita tidak tahu atau belum tahu atas segala kurniaan Allah yang berupa nikmat atau bala bagi seseorang.

13.0] Pendapat yang kedua, bermakna tidak ada seorang pun manusia yang Allah lapangkan rezkinya dari pelbagai sudut, tetapi Allah lapangkan sebahagian sisi dan sempitkan sisi yang lain dalam kehidupannya, kita semua ada kekurangan kecuali Nabi Sulaiman as. Nabi Sulaiman as adalah seorang yang kaya-raya, ada kuasa, sihat wal'afiat tidak pernah sakit, menguasai pelbagai bahasa, semua orang patuh mendengar arahannya termasuk jin dan haiwan, apa yang dia mahukan semuanya dapat.

14.0] Kodaro -قَدَرَ - (Allah yang menentukan  ukuran takdir) , Wasa'a - وَسَعَ - (besar, luas). Rujuk surah Al-Furqan ayat 2
Allah yang telah menciptakan segala sesuatu dan Dia telah menentukan kadar ukurannya  qoddarahu takdiiro. Rujuk juga surah Al-'A'la ayat 1, 2 dan 3;




Makna perkataan koddaro bukan hanya menyempitkan tetapi ialah menyempurnakan kadar ukurannya. Oleh itu kembali kepada  surah Al-Ankabut ayat 62 di atas, makna perkataan koddaro ialah Allah yang melapangkan rezki kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan menentukan kadarnya (bukan menyempitkan) bagi yang Ia kehendaki. Ini bermakna dalam hal rezki, manusia iaitu hamba Allah, Allah perlakukan dengan 2 cara;
i) Dengan tausi' (dilapangkan - wasa'a) - Allah beri rezki melebihi dari keperluannya.
ii) Dengan yakdir  (qodaro- kadar) - Allah beri rezki yang hanya cukup-cukup keperluannya.

"Ada atau tidak diantara kita yang Allah beri rezki banyak melebihi daripada keperluan kita? Siapa? ""Angkat tangan!, Kitalah yang diberi Allah keperluan yang melimpah-ruah melebihi keperluan kita". "Berapa banyak kita makan?". "Katakan kita makan 2 pinggan nasi sekali makan, kenapa dirumah kita ada 50 kilogram beras?". Atau "Berapa ringgit kita perlu untuk sara hidup kita sehari?". Yang ausat (pertengahan), mungkin katakan RM 100 sehari, maka sebulan perlu RM 3 ribu, setahun perlu RM 36 ribu, kalaulah umur kita tinggal 10 tahun lagi, bermakna kita perlu RM 360 ribu. Tetapi kenapa ada RM 360 juta simpanan? Itu contoh bahawa Allah memberi lebih dari keperluan kita. Ramai diantara kita yang Allah perlakukan lebih banyak dalam rezki, sementara ada hamba Allah yang Allah berikan cukup-cukup keperluannya sahaja (yakdir). Kalau perlu 5, Allah beri 5, kalau dia perlu 10, Allah beri 10. Itu namanya yakdir. Minima yang Allah memberi ialah yang sama dengan kadar keperluannya bukan keinginannya, yang kurang tidak ada. Siapa yang merasa kurang itu ialah kerana ingin penuhi keinginan bukan keperluan. Yang minima ialah keperluan bukan keinginan. Apabila  anda ingin lebih lagi, bisikan syaitan akan sentiasa lebih kuat dan mengatakan itu keperluan. Hanya kerana kita belum pandai membezakan antara keinginan dan keperluan maka hati masih lagi berkehendak.

15.0] Makna kedua menarik kerana ada hikmahnya. Orang yang Allah beri rezki sesuai dengan keperluannya, adakah Allah menyuruhnya berinfaq? Tentu tidak!. Tetapi orang yang Allah beri rezki yang berlebihan  dari keperluannya, orang itu perlu berinfaq dan jika tidak mahu berbuat demikian adalah berdosa. Oleh itu janganlah terlalu meminta berlebih-lebihan. Orang yang hanya ada sekadar keperluan tidak wajib zakat dan tidak wajib berinfaq manakala orang yang ada berlebih wajib zakat dan infaq. Dalilnya dalam Al-Quran surah Al-Baqarah banyak ayat-ayat tentang sedekah dan zakat dan apabila ditanya apakah yang perlu disedekahkan, jawapannya ialah  "Kelebihan (daripada apa yang diperlukan) "- Al-Baqarah ayat 219.

16.0] Kembali kepada makna ayat bahawa Allah melapangkan rezki bagi hambaNya dan Dia juga menyempitkan rezki bagi hambaNya. Contohnya ketika kita sedang sedap makan, itu Allah sedang lapangkan rezki kita, lalu Allah beri pula sakit lutut, yang bermakna Allah sedang sempitkan rezki kesihatan kita. Dahulu selera makan bukan main tinggi, selera makan ada, makanan ada bermacam-macam, di mana-mana ada makanan, bila-bila mahu makan pun ada makanan, jam 3 pagi pun makan, tiada pantang larang, sihat wal'afiat, iaitu ketika Allah lapangkan rezki makanan dan kesihatan melimpah-ruah. Sekarang makanan masih ada bermacam-macam, selera pun ada, tetapi kita sudah tidak boleh makan pula kerana sudah bermasalah dengan kesihatan, sudah kena berpantang-larang yang banyak, bermakna rezki kesihatan sudah disempitkan. Keadaan seumpama ini berlaku kepada setiap daripada kita dan kita patut merasa Adilnya Allah. Allah Yang Maha Adil,

17.0]  Kenapa Allah tidak lapangkan semuanya kepada kita dari segala aspek seperti Nabi Sulaiman yang sihat tidak pernah sakit, kaya tidak pernah miskin, berjaya tidak pernah gagal, untung tidak pernah rugi, apa yang dikehendaki dapat, dilapangkan Allah semua jenis rezkinya tiada dikurangkan, selera makan ada, makanan ada dan banyak pula, tiada pantang-larang makan, ingin pergi kemana pun boleh. "Kenapa Allah tidak bagi begitu kepada kita, kan seronok ?" Jawapannya ada di dalam surah As-Syura ayat 27 dimana Allah sendiri yang menjawab kalau ada soalan yang begitu, atau kalau adalah terlintas dihati kita kerana yang paling tahu tentang diri kita ialah Allah Pencipta kita. Kita tidak boleh merasa lebih tahu akan diri kita kerana Allahlah Yang Lebih Mengetahui.

Allah berfirman, "Kalaulah Aku lapangkan segala rezki kepada kamu, pasti kamu akan baghao (banyak melakukan kejahatan). Semua rezki pun jika Allah memberi kepada hambaNya berlebihan berterusan maka hambaNya akan melakukan kezaliman. Contohnya orang yang sihat dan tidak pernah sakit, akan menjadi jahat (baghao). Sebab itulah orang jahat apabila sakit baharulah berehat daripada kejahatannya. Atau pun orang yang kaya-raya, jika terlalu diberi berlebih dan berterusan akan membazir sana-sini, berlagak dan takabbur. Untuk menghentikan keberlagakkannya Allah beri rasa miskin sedikit, mungkin pelaburannya rugi sedikit supaya dia tidak joli katak. Kalau asyik berjaya sahaja, nanti akan lupa daratan. Oleh itu supaya dia masih ingat matinya nanti didarat tidak selamanya menjadi makhluk laut, Allah beri gagal sedikit supaya kembali sedar dan dia akan berkata,"Oo, aku ini lemah, tidak mampu dan tidak berdaya!". Itu bukan kata motivator dan bukan kata pakar saikoloji tetapi itu adalah firman Allah yang mencipta kita. Kita tidak perlu menafikannya. Kita tidak boleh kata,"Kita tidak, orang lainlah begitu!". Allah yang kata, jangan kita nafikan pula.

18.0] Semuanya ada tujuan dan hikmah apabila Allah kurangkan disini dan lebihkan disana iaitu supaya kita tidak menjadi baghao (jahat). Allah juga turunkan habuan rezki dengan kadar ukuran yang Allah kehendaki bukan dengan ukuran yang kita kehendaki. Jika kita ingin rezki itu sesuai dengan kemahuan kita, terima sahajalah supaya kita tidak kecewa. Terima sahajalah apa yang Allah berikan sesuai dengan kehendak Allah, sesuai dengan ukuran yang Allah telah tetapkan untuk kita, jangan kita yang menentukan kadarnya supaya kita tidak kecewa. Ini manhaj robbani dalam hal rezki. Allah mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa supaya hambaNya yang diberi rezki untuk keperluannya di dunia ini, walaupun 100% jaminan Allah, menjadi hamba yang baik.

19.0] Kalau kita ada peruntukan untuk anak kita yang baru berumur 15 tahun, dan itu memang hak dia untuk menyara hidupnya dan katakanlah ada sejumlah RM 100 juta. Ketika itu keinginannya meluap-luap. Adakah kita kawal atau kita serahkan sekali gus kepada anak kita itu? Adakah kita akan kata seperti ini,"Nak, ini hak kamu, emak tidak mahu campur tangan, kamu ambillah semua, pandai-pandailah kamu belanjakan". Tentu sekali kita tidak akan buat begitu dan kita akan berikan kepada anak kita itu biqodarin (dengan kadar ukuran) yang munasabah. Kita yang tidak punya ilmu kasyaf pun dapat mengagak apa akan jadi jika diberi kesemunya harta itu kepada anak yang masih mentah.

20.0] Allah Yang Mencipta kita lagi Maha Mengetahui tentang diri kita. Allah berfirman, "Aku Tahu kamu akan jadi jahat kalau Aku beri  sekali gus berlebihan untuk kamu. Oleh itu Aku memberi biqodarin  (dengan kadar ukuran yang bersesuaian) kepada kamu. Sebagaimana Nabi saw bersabda, "Apabila kamu merasa lambat mendapat habuan rezki, bersabarlah, jangan melakukan maksiat sebab lambat sekali pun nanti akhirnya kamu dapat juga 100% habuan kamu. Allah tidak akan matikan kamu selagi rezki kamu belum cukup". Hanya berapa kadarnya, Allah tidak beri tahu, kita tidak perlu bertanya dan tiada siapa yang tahu. Inilah rahsia hikmah disebalik pembahagian Manhaj Robbani.

21.0] Ada juga diantara manusia yang degil, seperti ada orang yang sanggup mengejar cita-cita,ketika meniti karier dan ketika melihat kawannya telah berjaya, dia jadi tidak sabar, dia mula kabur pandangan  matanya, memandang tidak lagi terang, akhirnya yang haram nampak makruh , yang haram nampak halal. Walhal  jika dia boleh bersabar, Allah akan bagi apa yang Allah telah tetapkan habuan untuknya 100% halal dengan kadar ukuran yang Allah Kehendaki.

22.0] Katakanlah kita yang masih dipertengahan umur, berumur 35 tahun dan umur jangkaan akhir hayat ialah 70 tahun. Segala rezki yang Allah tetapkan untuk kita dan Allah berikan kepada kita tidak akan berlebih dan tidak akan berkurang. Katakan disepanjang hidup kita, kita memerlukan sekian banyak gula (glukosa), tidak boleh berlebih dan tidak boleh berkurang. Kalau berkurang kita tidak sihat dan kalau berlebih juga kita tidak sihat. Apa akan jadi jika gula yang sepatutnya kamu habiskan dalam jangka masa umur kamu 70 tahun tetapi telah kamu gunakan  sehabisnya ketika berumur 35 tahun kini. "Apa akan terjadi?".Sunatullah akan berbicara, "Potong jari! Kenapa?. "Wahai manusia, peruntukan gula untuk kamu sudah habis padahal kamu baru berumur 35 tahun. Sekarang kamu tidak boleh mengambil gula lagi, kalau kamu ambil juga, potong jari, kalau kamu terus mengambilnya juga, potong kaki!". Apa sahaja yang berlebihan akan menimbulkan kesan. Allah berfirman,"Makanlah dan minumlah tetapi jangan berlebihan"

23.0] Biasanya orang melihat di sudut agama sahaja tentang sikap berlebihan ini, tetapi juga perlu dilihat disudut keduniaan seperti kesihatan dan lain-lain. Apabila berlebihan pasti akan mendapat akibat buruk daripada sikap itu. Akibat buruk ini dipanggil punishment. Manakala akibat baik dinamakan reward. Pahala dan dosa tidak hanya berlaku diakhirat. Di dunia pun  sudah ada. Apatah lagi bila yang dilanggari itu sunnatullah. Apabila kita berlebihan pasti ada punishment. Punishment di akhirat ialah dosa dan punishment didunia ialah dengan mendapat segala macam mudhorat. Contohnya kebiasaan bagi seorang yang suka makan cendol 3 kali sehari atau bubur durian 4 kali sehari kemudian lepas itu tidur. Apa agaknya akan jadi terhadap orang itu?. Tidak perlu menunggu balasan dosa diakhirat, di dunia ini pun sudah mendapat punishment, dengan mendapat berbagai-bagai penyakit.

24.0] Contohnya ada dua orang yang punyai duit banyak, seorang berumur 60 tahun manakala seorang lagi berumur 20 tahun. Bagaimana caranya mereka menggunakan duit itu? Atau jika keduanya mendapat sebuah kereta Ferari, apa yang akan dilakukan oleh mereka berdua, adakah sama atau berbeza tindakan mereka? Tentulah lain caranya. Ini adalah tentang jiwa manusia. Yang pasti Allah berfirman yang kebenaran itu mutlak, iaitu pasti mereka akan jadi jahat jika diberi sekali gus. Ertinya jika diberi rezki ketika jiwanya belum bersedia menerimanya akan membahayakan diri penerimanya. Contohnya bagi hambaNya yang susah, ketika dia belum bersedia untuk menjadi kaya, bagaimana keadaannya ketika diberi kekayaan melimpah-ruah secara tiba-tiba?. Pasti rosak jiwanya. Oleh itu jangan minta kaya. Bagaimana pula bagi orang yang belum bersedia menjadi orang susah tetapi tiba-tiba menjadi susah. Pasti jiwanya juga menjadi rosak. Sebab itu hendaklah sentiasa bersedia untuk menjadi apa sahaja, untuk menjadi siapa sahaja, kerana kita tidak tahu kita akan jadi apa dan bila. Mungkin kita akan jadi susah tahun hadapan. Kita tidak tahu, oleh itu bersedialah untuk susah kalau benar-benar akan berlaku susah tahun hadapan. Jika sekarang susah, bersedia jugalah untuk menjadi orang kaya kerana orang yang belum bersedia jadi senang jika tiba-tiba diberi kekayaaan pasti akan baghao, pasti joli katak, raya sakan dan sangat bahaya.

25.0] Bila disebut rezki, bukan hanya harta benda tetapi rezki itu adalah apa sahaja yang Allah kurniakan untuk hambaNya. Rezki itu ada rezki besar dan ada rezki kecil. Rezki besar yang diberi Allah kepada kita dengan percuma yang mana hakikatnya kita tidak boleh hidup tanpanya. Kita tidak disuruh mencari rezki besar kerana kita tidak mampu. Sedangkan rezki besar itulah yang paling mustahak dalam hidup kita. Rezki kecil pula yang sebetulnya kita boleh hidup tanpanya, hanya kalaulah ingin lebih selesa, kita disuruh mencarinya tetapi jika kita tidak mendapatkannya, kita tidak perlu bersedih. Kalau kita tidak punya kereta, janganlah bersedih kerana kita telah punyai kaki. Orang yang punya kaki tetapi tidak punyai kereta adalah orang yang lebih bertuah daripada orang yang punya kereta tetapi tidak punya kaki. Orang yang tidak punya kapalterbang tetapi boleh naik kapal-terbang adalah lebih baik daripada orang yang punyai kapalterbang tetapi tidak boleh naik kapalterbang kerana gayat. Ada juga orang yang punya kereta tetapi tidak boleh naik kereta kerana mabuk dan untuk kemana-mana terpaksa naik kereta lembu.

26.0] Lihatlah nikmat yang besar kurniaan Allah, janganlah hanya melihat nikmat kecil semata-mata. Janganlah ada yang berkata, "Lihatlah kawan kita, tukar-tukar beg!" Itu nikmat kecil. Pilih yang mana, punya beg (nikmat kecil) tetapi tidak ada tangan untuk disangkutkan beg  atau tiada beg yang berbagai tetapi ada tangan. "Semahal mana pun beg jika tiada tangan, hendak disangkut dimana?". Kita selalu lupa pemberian Allah yang besar-besar. Syukurilah nikmat besar, barulah hidup tenang. Yang nikmat kecil jika tidak nampak sangat pun tidak mengapa. tetap bersyukur dan akhirnya jadi orang yang baik.

27.0] Setakat tidak ada kasut tidak mengapa, berkaki ayam pun tiada hal kerana masih ada kaki. Kalau ada koleksi kasut pun tidak berguna jika tidak boleh dipakai kerana sudah tidak boleh berjalan atau kerana tiada kaki. Allah itu Maha Adil. Apa yang Allah beri pasti telah mencukupi kadar keperluan hambaNya walaupun dikadar yang paling minima. Apabila orang itu susah, mungkin dia melihat mengikut keinginan tidak keperluannya.

28.0] Ar-Rozzaq- Allah Yang Maha Pemberi Rezki, Penentu rezki, Penarik rezki. Selain Allah tiada yang mampu memberi rezki kepada makhluknya. Jangan dikaitkan rezki dengan sesuatu lain seperti jika rumah disimpang T, maka harga jualannya jadi murah lantaran dianggap rumah itu tiada fengshui. Jangan sekali-kali percaya kepada semua itu kerana boleh membawa syirik. Ada juga yang percaya dengan tahi lalat, bintang-bintang dimalam hari atau tarikh lahir. Dalam tauhid ahli sunnah Wal Jamaah membaca sahaja ramalan bintang, tanpa meyakini, hukumnya haram. Manakala jika membaca dan meyakini ramalan bintang, jatuh syirik. Mukmin yang wahid tidak boleh meletakkan harapan untuk mendapatkan rezki kecuali hanya kepada Allah  Pencipta kita semua. Ingat!, harga yang kita terpaksa bayar adalah terlalu mahal, yakni akidah tauhid. Orang yang faham Asmaul Husna in syaa Allah tidak menyeleweng akidah tauhidnya. Kita kena yakin seyakinnya bahawa Allah Pencipta kita Maha Adil, Pengasih Penyayang. Moga-moga bermanafaat dan diberkati. Aamiin.

















No comments:

Post a Comment