Tuesday, March 8, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 21-22) Kuliah 22- Ar-Rahmah, Al-'Azab, Cara Niat Untuk Berubat.


1.0] Tambahan penjelasan kuliah lepas tentang kalimah tuqlabun, ada maksud taghayyur iaitu perubahan bentuk fizikal, juga tabaddal iaitu ganti separa atau penuh, dan ada juga taqallub, iaitu gantian.
2.0] Surah Al-Ankabut ayat 21;

Ayat ini adalah amaran keras bagi penderhaka dan berita gembira bagi orang mukmin. Didahulukan (At -Taqdim) dengan Al-'Azab dan diakhirkan At-Ta'khir dengan Ar-Rahmah iaitu pengampunan.
3.0] Ayat seperti ini jarang terdapat didalam Al-Quran kerana Allah biasanya menyebut rahmat, pengampunan-Nya mendahului siksa azab-Nya.
4.0] Dalam kitab Al-Burhan Fi 'Ulumil Quran yang ditulis oleh Al-Imam Muhamad bin Abdullah Az-Zarkashi yang mana telah wafat dalam tahun 794 H. Kitab khas membicarakan tentang tafsiran Al-Quran dari segi susunan ayat dan bukan dari segi lafaz. Al-Quran boleh menyampaikan maklumat hanya dengan meletakkan kalimat ditempat berbeza sudah ada makna tersendiri yang ingin disampaikan Allah. Uslub Al-Quran yang sangat indah.
5.0] Contoh-contoh ayat yang  menyebut pengampunan dan rahmat Allah mendahului azab adalah untuk orang mukmin yang baik seperti yang diceritakan didalam surah-surah berikut; Al-Baqarah ayat 284, Aa-Li Imran ayat 129, Al-Maidah ayat 18, Al-Fath ayat 14, Al-Hijr ayat 49 dan 50, dan sangat banyak lagi. Manakala contoh ayat-ayat yang taqdim iaitu mendahului menyebut tentang azab kemudian baru tentang rahmat ialah ayat inzar yang bermaksud ayat ancaman yang diturunkan kepada orang-orang yang kufur, derhaka dan jahat. Diantaranya ialah Al-Ankabut ayat 21, Al-Maidah ayat 40 dan 118, Al-An 'am ayat 165 dan Al-'A'raf ayat 167.
6.0] Contohnya surah Al-'A'raf ayat 167 yang bermaksud, "Dan ( ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu, bahawa sesungguhnya Dia akan mengirim orang-orang yang akan  menimpakan azab yang seburuk-buruknya kepada mereka (orang Yahudi) sampai hari kiamat. Sesungguhnya Tuhanmu sangat cepat seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
7.0] Orang Yahudi adalah satu-satunya bangsa dibumi ini yang tidak akan pernah merasa tenang atau selamat hingga hari kiamat yang mana telah disebut Allah didalam ayat di atas. Walau pun mereka hebat dalam serba serbi seperti dibidang politik, ekonomi, ketenteraan, kecanggihan teknologi dan sebagainya, tetapi jahat, dikutuk dan dilaknat oleh Allah. Oleh itu sesuailah bila ayat tentang mereka didahului  dengan azab siksa sebagai Al- fasilah-nya.
8.0] Contoh Al-Baqarah ayat 284 yang bermaksud, "Milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Jika kamu menyatakan apa yang ada didalam hatimu atau kamu sembunyikan, nescaya Allah menghitung-nya bagimu. Dia mengampuni sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu".
9.0] Ayat-ayat Al-Quran ini berkaitan antara satu sama lain dan tidak berdiri sendiri. Oleh itu perlulah dikaji ayat-ayat sebelumnya. Contoh disini, surah Al-Baqarah ayat 282 ialah tentang peraturan hutang piutang, di ikuti dengan surah Al-Baqarah ayat 283 pula ialah tentang peraturan pajak gadai, kemudian disusuli dengan surah Al-Baqarah ayat 284 iaitu tentang Allah tahu apa yang dinyatakan atau yang disembunyikan. Al-Fasilah disini yang menyebut keampunan mendahului azab adalah dimaksudkan untuk orang mukmin, yang perlu berusaha untuk patuh peraturan dan jangan sengaja atau ada niat khianat untuk tidak patuh. Perlu ada usaha baik dalam segala hal, tetapi jika berlaku kesalahan tanpa disengajakan maka Allah Maha Pengampun.
10.0] Contoh dua keadaan berbeza yang menyebabkan mendapat balasan berbeza daripada Allah iaitu apabila si A, seorang mukmin yang telah berusaha untuk patuh peraturan didalam apa-apa bidang pun seperti didalam urusan hutang piutang atau pajak gadai, namun jika masih  terdapat kesalahan yang tidak disengajakan dalam urusan transaksi yang bukan mudah sebenarnya, maka janganlah khuatir kerana jika tiada niat untuk berkhianat, Allah Maha Pengampun. Lantas Allah akan menyebut ayat rahmat dahulu bila menceritakan tentang mereka manakala berbeza pula dengan keadaan si B iaitu contohnya suatu kaum yang sengaja menangkap ikan pada hari sabtu setelah diberi peringatan supaya tidak melakukannya (seperti yang diceritakan didalam Al-Quran), maka Allah akan gunakan ayat azab dahulu ketika menyatakan tentang mereka.
11.0] Allah Maha Berkuasa dengan sifat Al-'Adlu dan Al-Ghafur, terserah kepada-Nya kerana Dia Maha Bijaksana sehingga ada satu ungkapan iaitu, "Tidak ada dosa kecil apabila Dia menghadapimu dengan Keadilan-Nya dan tiada dosa besar apabila Dia menghadapi mu dengan Kebaikan-Nya".
12.0] Ada seorang alim, ahli tafsir, ahli hadis, ahli 'aqidah dan juga sangat kaya raya, tetapi tetap merasa hidupnya tidak puas, seperti ada sesuatu dalam hidupnya yang hilang. Pada suatu hari semasa berjalan-jalan, dia terasa ingin buang air. Penjaga bilik air meminta bayaran dahulu. Orang itu tercegat, tidak masuk ke bilik air itu, sehingga 3 kali diulangi penjaga itu supaya dibayar dahulu. Akhirnya penjaga itu benarkan orang itu masuk secara percuma kerana menyangka mungkin orang itu miskin dan tiada wang. Kemudian baru dijawab oleh orang itu bahawa dia ada wang, tetapi hatinya tersentuh dan baru terfikir bahawa untuk masuk kebilik air pun perlu dibayar, apatah pula untuk memasuki Syurga. Berapa pula perlu kita bayar untuk dapat memasuki Syurga yang kekal abadi?.
13.0] Semua perlu bayaran, contohnya untuk masuk ke sebuah restoren, bayar mahal kerana kena jaga imej (Jaim), untuk menginap dihotel berjenama 5 bintang atau 7 bintang, kena bayar mahal sekali, walhal hanya untuk sehari dua. Ini kan pula dengan Syurga, berapa kita sanggup bayar untuk memasukinya? Tempat terakhir yang kekal abadi.
14.0] Kembali kepada cerita orang alim tadi, katanya, "Ah, baru aku jumpa apa yang hilang dalam hidup ini". Akhirnya dicarinya guru mursyid, guru tasawuf, guru akhlak. Gurunya bernama Abu Abbas Al-Mursi dan muridnya itu ialah Ibnu At-Thoilah, seorang mufassir yang faham Al-Quran, yang mana hanya dengan benda yang kecil dapat menyentuh hatinya sehingga dapat menukar dan merubah gaya hidupnya. Begitulah perjalanan hidup tasawuf seorang sufi yang sunni sehingga apa saja yang keluar dari mulutnya penuh dengan hikmah kerana keluar dari kejernihan hatinya.
15.0] Sabda Nabi saw, "Siksa yang paling ringan di neraka ialah memakai kasut, tapaknya daripada api neraka, apinya pula masuk kedalam tubuh sampai keotak".
16.0] Jangan terpedaya dengan istilah dosa kecil dosa besar dalam bermuamalah dengan Allah. Orang mukmin yang bersalah tanpa niat atau tidak sengaja, Allah sebut kalimah keampunan dahulu daripada azab.
17.0] Sesiapa yang membuat kejahatan atau kebaikan walau sekecil zarah pasti akan dibalasi. Apabila Allah ingin menunjukkan sifat Al-'Adlu atau Ar-Rahim-Nya. Jangan pandang kepada kecilnya maksiat, penderhakaan, tetapi pandanglah kepada Keagungan Allah yang hendak kamu derhakai supaya kamu tidak jadi untuk membuat dosa. Setiap anak Adam pasti buat kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah yang berusaha menutupinya dengan memohon ampun maaf, sehingga timbul rasa harapan Ar-Rojaa'. Bagi orang yang tidak kisah, buat kesalahan dengan sengaja. Allah sebut kalimah azab dahulu. Oleh itu jangan meremehkan dosa.
18.0] Umat Nabi Isa as telah melakukan dosa syirik iaitu dosa yang sangat besar, kerana menduakan Allah, kekal di dalam neraka. Nabi Isa as berkata, "Jika Engkau siksa mereka, mereka adalah hamba-Mu dan jika Engkau ampunkan mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"- (surah Al Maidah ayat 118).
14) Surah Al-Ankabut ayat 22;



Ulumul Quran;
i) Ini ayat muakkad (penguat) kepada ayat sebelumnya. Allah mulakan dengan "wa ma antum bi mu'jizin (dan tidaklah kamu dapat melepaskan diri daripada Allah). Ini adalah satu penafian yang sangat kuat kerana semua tidak akan dapat mengelak daripada berjumpa Allah nanti.
ii) Ayat ini tidak menggunakan  kalimah lan. Lan bi mu'jizin tidak sekali kali kamu dapat melepaskan diri daripada bertemu Allah sebab jika guna kalimah lan menunjukkan penafian yang tidak mencukupi dan tidak sekuat ayat (i) diatas.
15.0] Dalam kecanggihan ilmu kedoktoran dimana semua anggota badan ada spare part, boleh diganti, seperti gigi, hati , jantung, tulang dan sebagainya. Namun tidak ada yang dapat menafikan kamu daripada berjumpa Allah.
16.0] Kalau ada seorang yang sakit kritikal, tenat, maka perlulah dibetulkan niatnya,supaya tidak berakhir dengan kecewa. Orang itu perlu berubat, jumpa doktor pakar, tetapi hendaklah niat berubat itu betul iaitu;
i) tidak untuk melawan kematian, kerana nanti sia-sia.
ii) jika  untuk melambatkan ajal juga, pun sia-sia, kerana dalam Al-Quran ada menyatakan bahawa ajal seseorang tidak boleh dicepatkan atau dilambatkan.
iii) jika ingin sembuh pun kecewa juga, sebab ada yang sembuh dan ada yang tidak sembuh.
Oleh itu niatlah sebagai ibadah sebab setiap saat yang dilalui ada balasan baik disisi Allah. Jiwa tidak boleh kecewa ketika meninggalkan dunia. Dimana bagi yang mati hati tenang, yang hidup tidak kecewa.
17.0] Ikhtiar itu ibadah, keputusan akhirnya terserah kepada Allah. Sama ada sembuh atau mati terserah kepada Allah.
18.0] Orang mukmin sentiasa bersedia untuk berjumpa Allah bukan untuk mengelak dari berjumpa Allah. Orang kafir sentiasa mengelak dari berjumpa Allah, sedangkan mereka tiada kemampuan. Allahu Akbar.

No comments:

Post a Comment