Tuesday, April 19, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 28-29) Kuliah 28- Kisah Nabi Luth, Al-Faahisyah




[nota: kalimah  نَادِيكُمُ diatas bermaksud kelab, tempat pertemuan, mungkin kelab itu asal dari bahasa Arab kalbun  yang bermaksud anjing]. 



1.0] Surah Al-Ankabut ayat 28 dan 29 di atas menceritakan kepada kita tentang kisah Nabi Luth as yang sezaman dengan Nabi Ibrahim Khalilullah dan juga ada hubungan darah antara keduanya. Nabi Luth as ialah anak saudara Nabi Ibrahim as. 

Biodata Nabi Luth as:  
Luth bin Haaran bin Taarikh (Taarikh itu nama lain bagi Aazar). Haaran itu adalah saudara Nabi Ibrahim as. Nabi Ibrahim, Haaran dan Naahud adalah anak kepada Aazar. Ismail dan Ishak adalah anak Nabi Ibrahim as manakala Luth adalah anak Haaran. 

2.0] Nabi Luth as juga popular dalam Al-Quran kerana namanya disebut sebanyak 27 kali. Tentulah ada rahsia disebalik pengulangan penyebutan sebanyak itu. Paling tidak, kesan yang boleh kita rasakan ialah Allah memberi tumpuan yang lebih  kepadanya untuk dijadikan pengajaran dan pegangan bagi umat akhir zaman yang sudah mulai  rosak moral dan budi pekerti yang makin parah.  


3.0] Kaum Nabi Luth as, iaitu Kaum Sadom, adalah manusia yang paling kufur, paling derhaka, paling keji, perangai paling buruk, jiwa yang rosak. Sedikit pun tiada perasaan malu melakukan maksiat, malah bangga melakukan kemungkaran. Mereka suka mengacau, mengganggu orang yang lalu lalang, suka melepak ditepi jalan, sehingga terganggu bagi orang yang ingin keluar melakukan aktiviti. Mereka banyak menghabiskan masa di kelab-kelab mungkar. Tiada sedikit pun kumpulan, walau pun kecil, yang bergerak dalam kumpulan amal ma'ruf nahi mungkar.  Mereka adalah kaum yang telah melakukan bidaah dalam maksiat sebab perbuatan yang mereka lakukan itu belum pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelumnya. Mereka pengasas maksiat itu. 


4.0] Perbuatan yang mereka lakukan ialah mereka suka mendatangi (hubungan) sejenis sesama lelaki. Istilah yang digunakan oleh ulama tafsir tentang perbuatan kaum Nabi Luth as itu ialah;


i) 'Amalu Qaumi Luth  (perbuatan kaum Luth)

ii) Al-Faahishah (perbuatan keji)
iii) Al-Liwaat (liwat)
iv) As-Suzuuzul Jinsi (homosexual, punca AIDS, akibat intim dengan sejenis) 
v) Al-Jinsiah Al-Mithliah (hubungan sejenis sesama lelaki)
vi) Al-Mudaabarah (melakukan hubungan dari belakang) dari kalimah Ad-Dublu

Perbuatan yang sama tetapi istilah berbeza. Perbuatan kaum Nabi Luth (disebut dalam hadith), yang luar biasa dahsyatnya, disebut Allah pula sebagai Al-Faahishah dalam Al-Quran. Manakala dalam istilah bahasa Melayu ialah liwat (Al-Liwat) yang sangat dikutuk Allah. Maksiat yang punyai sebanyak enam nama ini tentulah mempunyai konotasi yang sangat negatif.


5.0] Didalam ayat 28 diatas, ada sesuatu yang tidak biasa, sebab kebiasaannya, uslub Al-Quran, apabila bercerita tentang utusan rasul-rasul kepada kaumnya, akan disebut kaumnya terlebih dahulu kemudian baru disebut nama rasulnya. Dalam ayat ini, kaumnya tiada nama tertentu oleh itu disebut nama nabinya dahulu. Luth berkata kepada kaumnya, qaumi, iaitu yang ada hubungan nasab dengannya. 
Contoh Nabi Musa as, guna istilah "Ya qaumi kepada Bani Israil, begitu juga dengan kaum Nabi Ibrahim as  dan Nabi Nuh as, kaum mereka tidak punyai nama khas tertentu. Mereka memanggil "Ya qaumi kepada kaum mereka. Apabila rasul itu memanggil kaumnya sebagai qaumi, itu bermakna kaumnya ada hubungan bangsa atau nasab dengannya yang mana seseorang itu dinasabkan melalui bapanya. 

6.0] Ada perbincangan ulama tafsir tentang Nabi Adam as. Adakah Adam as ini manusia pertama? Adakah Adam as ini rasul pertama? Ada pendapat yang tidak setuju jika dikatakan Nabi Adam as adalah rasul pertama kerana mana mungkin dilantik jadi rasul sedangkan umatnya belum ada. Kisah Nabi Adam as juga tidak ada tentang dakwah. 


7.0] Berbeza dengan Nabi Isa as yang tidak punya bapa, jadi Nabi Isa as tidak panggil kaumnya sebagai qaumi tetapi dipanggilnya dengan Bani Israil. Nabi Isa as yang dituduh anak luar nikah dan ibunya Maryam dituduh berzina oleh orang Yahudi. Maryam dinasihati Allah supaya diam dan yang menjawab ialah Nabi Isa as sendiri yang masih dalam buaian, dengan berkata, "Wabarram biwaalidati", "Dan berbakti kepada ibuku", surah Maryam ayat 32. Bagaimana mungkin seorang bayi tahu dia tiada bapa. Sedangkan bagi  Nabi Yahya as dalam surah Maryam ayat 14 pula, "Wabarram biwaalidaihi", "Dan dia berbuat baik kepada  kedua-dua orang tuanya". Ini menunjukkan Al-Quran sangat cermat dalam penggunaan bahasa dan contoh mukjizatnya Al-Quran. 


8.0] Dalam ayat 28  diatas, kalimah lata'tuunal faahishah yang bermakna benar-benar melakukan perbuatan keji (homoseksual), diguna fiil mudhori' yang bermaksud sentiasa melakukan terus menerus, dengan kecenderungan yang  meningkat. Kaum Nabi Luth  as melakukan maksiat itu pada tahap kejahatan yang meningkat kejinya. Contohnya jika dahulunya dibuat sekali sebulan, sekarang dibuat dua kali sebulan, kemudian lima kali sebulan, kemudian setiap hari kemudian dua kali sehari, atau mungkin dahulu cari pasangan dengan orang yang tidak dikenali, kemudian mungkin pula dengan kawan dekat, kemudian dengan yang ada hubungan darah, seperti bapa dengan anak lelakinya. Na'uzubillah.


Contoh ayat yang menggunakan fiil mudhori' ialah seperti:

Muhammad yata'allamulquran,  bermaksud Muhammad bukan sekadar sentiasa belajar Al-Quran, tetapi sentiasa belajar Al-Quran dan sentiasa meningkatkan pembelajarannya, dari belajar membaca kepada memahami ertinya iaitu huduth . Oleh itu sepatutnya kita pun belajar Al-Quran mestilah dalam tahap yang sentiasa meningkat. 

9.0] Didalam Al-Quran kalimah Al-Faahishah, perbuatan keji, maksiat ini digunakan hanya untuk tiga jenis maksiat sahaja iaitu; 


i) Rujuk surah Al-Isra' ayat 32, "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya (zina) itu suatu perbuatan keji, dan jalan yang buruk". Terdapat dua alasan keburukan jika mendekati zina yang dinyatakan dalam ayat ini iaitu ianya adalah satu perbuatan keji dan satu lagi ianya adalah jalan yang buruk.


Begitu juga dengan harta anak yatim yang dikatakan jangan didekati, jangan makan harta anak yatim. Jika penjaga anak yatim itu ialah orang yang kurang kecukupan dari segi ekonomi, kemudian menjaga anak yatim yang ada harta tetapi yang tidak tahu tentang hartanya, tentu kuat tarikan untuk tidak amanah bagi penjaganya itu. Ini ialah untuk menunjukkan bahawa kedua-duanya adalah dosa besar dimana keduanya iaitu zina dan makan harta anak yatim itu ada daya penarik untuk membuat dosa yang seterusnya. Sepertimana dalam cerita Nabi Yusuf as yang digoda. Faahishah dalam ayat ini ada dua alasan keburukan iaitu sebagai perbuatan keji dan jalan yang buruk. Berbeza dengan membunuh dan bersyirik yang tiada daya penarik. 
Contoh:  Orang Islam yang melalui Batu Cave ketika perayaan Thaipusam, tidak ada pun timbul perasaan untuk mencuba bersyirik dengan mencucuk badan.

ii) Rujuk surah An-Nisa' ayat 22, "Dan janganlah kamu menikahi perempuan-perempuan yang telah dinikahi oleh bapa-bapa kamu, kecuali (kejadian pada masa) yang lampau. Sesungguhnya perbuatan itu sangat keji dan dibenci (oleh Allah) dan seburuk-buruk jalan". Ada tiga alasan  keburukan yang dinyatakan dalam ayat ini iaitu ianya sangat keji, dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan. 


Contoh: Seorang bapa berumur 17 belas tahun berkahwin dengan seorang perempuan berumur 14 tahun, kahwin selama dua bulan kemudian bercerai, lalu bapa itu kahwin lagi dengan seorang perempuan lain pula dan mendapat seorang anak lelaki. Selang 20 tahun kemudian, anak lelaki itu telah terpikat dengan mantan isteri bapanya. Walaupun tidak pernah menjadi ibu tirinya, anak itu tidak boleh berkahwin dengan perempuan itu.


Berlaku dizaman jahiliah, ada anak yang tidak mahukan harta peninggalan bapa tetapi inginkan mantan isteri bapanya untuk dikahwini kerana menganggapnya sebagai harta pusaka. Islam datang dan menyatakan bahawa itu tidak boleh kerana adalah lebih keji dari zina. Jika berkahwin pun lebih keji , apa lagi jika berzina dengan mantan isteri bapa samada secara senyap atau rahsia atau secara jeling-jeling bermakna, dan ini dipanggil sumbang mahram, dan isteri bapa adalah mahram muabbat.   



iii) Rujuk surah Al-Ankabut ayat 28 diatas, dimana perbuatan kaum Nabi Luth as disebut Al-Faahishah, ada alif lam ma'rifah, yang menunjukkan definite, tingkatan keji tertinggi. 

10.0] Oleh itu dari segi kekejian, (iii) perbuatan kaum Nabi Luth as adalah yang paling keji, diikuti dengan (ii) berkahwin dengan mantan isteri bapa dan kemudian baru (i) iaitu zina. 


11.0] Ketiga-tiga faahishah, perbuatan keji ini berpunca dari satu sebab  sahaja iaitu kegagalan anak Adam untuk mengawal nafsu libidonya. Mengikut  At-Taimiyah, Al-Quwwah Asy-Syahwaaniyyah, iaitu kekuatan syahwat yang luar biasa kejahatannya. Dalam kitab At-Tafsir Al-Kabir, bahawa setiap anak Adam ada tiga kekuatan: 


i) Kekuatan 'akal (berfikir), kecerdasan intelektual.


ii) Kekuatan marah, emosional, yang mana seseorang boleh jadi pengganas atau boleh jadi pejuang yang sanggup berjuang sehingga mati syahid dijalan Allah. Orang yang tiada kekuatan ini akan lemah, sehingga apabila Islam dicaci dicela pun tidak terkesan baginya. Oleh itu kena pandai imbangi demi mencari kebaikan dalam kehidupan.


iii) Kekuatan syahwat, keinginan nafsu, yang mana jika dikawal secara baik akan menghasilkan segala kebaikan dan kemajuan seperti, suami isteri yang sanggup memikul tanggungjawab, ada cita-cita untuk jadikan  anak seseorang yang berjaya, ubah hutan menjadi bandar, reka kenderaan pelbagai jenis dan sebagainya, tetapi jika tidak dapat mengawal sangat membahayakan kehidupan.


12.0] Bayangkan jika Allah menyuruh malaikat yang mentadbir bumi, malaikat yang tiada berkeinginan, tentu tiada segala kemajuan ini. Bumi jadi makmur seperti kini lantaran kekuatan syahwat ini. Bergantung atas bagaimana digunakan, jika dikawal dan digunakan sebagaimana yang Allah tetapkan, seseorang itu bahkan boleh masuk syurga tanpa hisab, tetapi jika disalah gunakan, boleh jadi penghuni neraka paling dalam, boleh jadi musyrik, kafir dan penentang dalam pelbagai hal.


13.0] Al-Fasilah dihujung ayat Al-Quran, banyak sekali diulang-ulang kalimah "La yatafakkarun, La ya'qilun", "Kenapa kamu tidak fikir, kenapa kamu tidak guna akal, sehingga ada yang sanggup buat patung dan sanggup sembah sendiri".


Emosi, nafsu, keinginan, perlu dikawal. Banyak maklumat didalam Al-Quran yang tersirat, iaitu pendidikan yang berjaya di dunia dan akhirat ialah apabila insan itu dididik dengan tarbiah, pendidikan dan pelajaran yang seimbang dalam ketiga-tiga bidang kekuatan itu. Jangan hanya berjaya mendidik kekuatan akal tetapi tiada akhlak, atau pun bijak pandai tetapi gagal kawal emosi. 


Jangan jadi alim kucing, yang kelihatan  duduk diam tetapi nanti menjadi yang akan mengambil peluang meratah ikan. Fitrah manusia memang sukakan harta dan sebagainya tetapi perlu dikawal kerana jika gagal dikawal akan menampakkan kebodohan diri sendiri. Apabila tidak dikawal kita akan jadi makhluk omnivor yang makan semua, tolak batu kayu sahaja. 
Andainya disekolah tidak mencukupi tarbiahnya, pastikan pendidikan dirumah mencukupi ketiga-tiga aspek itu.

14.0] Berkenaan Al-Faahishah diatas, ada kajian dari pakar saikologi yang menyatakan bahawa otak orang yang suka melakukan perangai keji itu sebenarnya dijangkiti penyakit dan otak mereka ini ada kelainan dari normalnya, dan ada sebab musabbabnya. Ini menurut Al-Marhum Doktor Samsul Arifin, seorang professor bahagian tafsir yang juga pakar dalam pelbagai bidang lain, yang mana ilmunya sangat luas, sangat komited dengan tugasnya, beliau mengajar tentang manusia dengan sosiologi, antropologi, saikologi, arkeologi dan sebagainya. Beliau menyatakan bahawa didalam otak seseorang yang cenderung melakukan perbuatan keji ini, ada jaraknya yang tidak normal. Namun masih boleh dirawat dengan kos yang tinggi dan jika dikenal pasti diperingkat awal. 


15.0] Pandangan beliau jauh dan dapat merungkai tentang surah Yasin ayat 80, dimana Allah menjelaskan tentang pokok kayu yang hijau boleh jadi api. Beliau yang cerdas memberi penjelasan bahawa pokok yang masih hijau, daripadanya didapati api, api disini, yang juga bermaksud tenaga haba, yang berpunca dari matahari yang mana apabila proses fotositesis berlaku, dengan adanya klorofil dalam pokok hijau yang mana jika kita makan, dengan adanya pula gas karbon dioksida akan menjadikan kita sihat, bertenaga dan mendapat haba badan. Ini semua maklumat kauniyah, yang boleh dikaji, yang baru terdedah sekarang, padahal telah diceritakan oleh Allah dalam Al-Quran 14 abad dahulu. 


Contoh pendapatnya lagi: Allah menceritakan tentang Kaum Nabi Musa, iaitu Bani Israil, yang degil, lalu Allah berfirman, seperti yang terdapat di dalam surah Aa-Li Imran ayat 119, "Muutu bi ghaizikum", maksudnya, "Matilah kamu dengan sebab kemarahan kamu". Apa kaitan antara cepat mati dengan sebab suka marah?. Apa hubungan marah dengan pendek umur?. Subhanallah. Apabila dijelaskan ternyata luar biasa ilmunya Doktor Samsul Arifin ini, mantan guru kepada Ustaz Kariman sendiri yang sangat beliau kagumi.


16.0] Nabi saw dalam bab agama menyatakan iaitu apabila seseorang marah ketika sedang berjalan, berhentilah, jika sedang berdiri, duduklah, jika sedang duduk, baringlah, jika sedang bercakap, diamlah, dan ucapkanlah a'uzubillahi minasyaitoonirrojim. Apa kaitan syaitan dengan keadaan  marah? Ternyata masih banyak dan luas lagi ilmu yang perlu dikaji didalam Al-Quran.


17.0]  Imam An-Nawawi berkata, "Dari muda aku kenal Al-Quran, aku tidak perlu lagi kepada kitab yang lain, kerana terlalu banyak daya penarik, daya pemikat yang sangat dahsyat didalamnya".


Soalan buat diri kita, dari aspek mana Al-Quran ini dapat menarik kita? Adakah disegi tulisannya, atau disegi tebal nipisnya atau lukisan kulitnya yang bertukar-tukar? atau APA???



No comments:

Post a Comment