Tuesday, April 26, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 29) Kuliah 29- Tentang Kaum Nabi Luth


1.0] Sorotan kuliah minggu lepas, tentang istilah Al-Faahishah, secara umumnya didalam Al-Quran istilah ini merujuk kepada tiga maksiat iaitu pertama zina, kedua berkahwin dengan perempuan yang pernah dinikahi bapanya, dan yang ketiga ditujukan kepada amalan kaum Nabi Luth as. 

Boleh disimpulkan bahawa ketiga-tiga maksiat ini berpunca daripada kegagalan seseorang mengawal Al-Quwwah Asy-Syahwah iaitu tuntutan libidonya.

2.0] Apabila perbuatan ini dilakukan sesama lelaki, maka diistilahkan dengan enam nama seperti yang telah dijelaskan minggu lepas, dan secara am disebut Al-Liwaat, manakala jika dilakukan dengan sesama perempuan disebut As-Sihaaqu. 

3.0] Perbuatan yang sangat keji dan hina itu, sebagaimana dikatakan oleh sohibus-soleh, Al-Walid bin Abdul Malik: 
"Kalaulah tidak kerana Allah yang menceritakan kepada kita perbuatan kaum Nabi Luth, nescaya tidaklah kita terbayang, tidak terfikir, tidak terlintas yang ada lelaki suka kepada lelaki" - bermaksud, Al-Walid melihat perbuatan itu tidak boleh diterima akal atau tidak dapat diterima oleh hati nurani, hatta tidak terlintas dihati makhluk haiwan yang tidak berakal sekali pun.

4.0] Tiga maksiat besar Al-Faahishah yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth as itu seperti yang disebut dalam ayat 28 dan 29 minggu lepas ialah:

i) Lelaki suka lelaki, Al-Faahishah, Al-Mudaabarah, dimana mereka melampiaskan nafsu syahwat sesama mereka lelaki.

ii) Al-Faahishah dan Wataqto'uunassabil, ada dua tafsiran yang bermakna:

- Mereka suka duduk ditepi jalan tempat laluan orang ramai dengan menimbulkan gangguan, merampas harta benda atau merampas tuannya yang mereka sukai.

- Perbuatan mereka menyukai kaum sejenis itu bermakna mereka telah memutuskan jalan untuk mereka mendapat zuriat. Walhal Allah telah memerintahkan hamba-Nya untuk beranak-pinak, tawassul, berketurunan. Allah ciptakan lelaki perempuan berpasangan supaya menjalinkan hubungan sakinah, mawaddah wa rahmah dalam kehidupan berumah-tangga. Mereka tinggalkan perintah Allah ini dan lebih suka kepada kaum sejenis serta tidak berminat kepada kaum perempuan. Lantaran itu mereka terputus jalan untuk mendapatkan zuriat.

Setengah mufassir berpendapat ini sebagai bahasa kinayah iaitu memalingkan diri dari perempuan dan tidak mahu menikahi mereka sehingga terputus jalan untuk mendapatkan zuriat keturunan. Sedangkan orang yang berniat berazam untuk membujang sepanjang hayat pun, yang tidak mahu berkahwin pun sudah berdosa. Didalam hadith Nabi saw, beliau mencegah umat-nya hidup membujang mahu pun lelaki atau perempuan. Kelambatan seseorang untuk berkahwin mungkin disebabkan jodoh-nya belum datang atau yang datang itu bukan jodoh-nya lagi.

iii) Al-Faahishah ketiga ialah tentang mereka itu suka mendatangi kelab (naadi) mungkar, bersama kumpulan mereka melakukan sesuatu yang sama sekali tidak patut, yang menyimpang dari akal yang waras atau fitrah yang suci. Pendapat mufassir berbeza tentang ini:

-Ibnu Abbas berpendapat, mereka berkumpul dengan kumpulan mereka melakukan maksiat tanpa sedikit pun rasa malu, tiada rasa bersalah.

-Mujaahid berpendapat, mereka melakukan hubungan sejenis itu didalam majlis dan ditonton oleh sebahagian yang lain tanpa rasa malu.

-Imam Az-Zujaj berpendapat, majlis dan kelab mereka ini dipenuhi dengan pelbagai jenis kemungkaran dan perbuatan keji seperti perjudian, berpesta dan mereka mendedahkan aurat tanpa berpakaian dan melakukan aktiviti Al-Liwaat mereka. 

-Imam Ahmad dan Imam At-Tarmizi, Imam At-Tabrani dan Imam Al-Baihaqi, meriwayatkan hadith daripada Ummu Hani binti Abi Talib (iaitu saudara kepada Ali) yang berkata, "Aku pernah bertanya Nabi saw tentang firman Allah taqto'uun", lalu dijawab oleh Nabi saw, "Mereka ini suka sekali duduk ditepi jalan mengganggu, membaling batu dan mengejek, sehingga jika mereka suka kepada orang itu, mereka akan menarik orang itu ke kelab mereka".


5.0] Nabi Luth as tidak berputus asa menyeru kaum-nya supaya kembali kepada Allah, berdakwah kepada mereka dan hidup bersama mereka selama 30 tahun, lebih lama dari Nabi Muhammad saw berdakwah kepada kaum-nya.

6.0] Kebiasaan buruk kaum Nabi Luth as ini sangat banyak. Mereka tidak pernah bersuci, tidak pernah membersihkan diri sehabis mereka membuang air kecil atau besar, tidak pernah mandi janabah, mereka tidur dalam keadaan kotor dan bertelanjang. Bukan sebab tiada air atau tiada baju, tetapi lantaran perangai buruk mereka.

[Oleh sebab itu tidak sepatut-nya ada tandas yang tidak ada air, kerana mesti ada air untuk beristinjak dan adalah tidak mencukupi jika dengan hanya ada tisu sahaja untuk mengelap najis]

7.0] Seruan dakwah Nabi Luth as tidak diendahkan oleh kaumnya, malahan mereka mengingatkan Nabi Luth as supaya mendiamkan diri dan jika tidak berhenti juga berdakwah, akan mereka halau Nabi Luth keluar dari perkampungan mereka. Nabi Luth tetap atas dasar untuk menyampaikan risalah Allah kepada kaum-nya. Tetapi apakah jawapan yang diterima oleh Nabi Luth as dari kaum-nya? Mereka berkata, "Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar", seperti yang terdapat di dalam surah Al-Ankabut ayat 29. Sebenar-nya mereka tidak percaya bahawa Nabi Luth as itu utusan Allah.

8.0] Terdapat sedikit perbezaan pada jawapan kaum-nya didalam surah An-Namlu ayat 56 yang bermakna:
Jawapan kaum-nya tidak lain hanya dengan mengatakan, "Usir-lah Luth dan keluarga-nya daripada negerimu, sesungguh-nya mereka adalah orang yang (menganggap diri-nya) suci" 

Kalimah yatatohharuun ada dua makna, yang pertama, kaum-nya mengatakan bahawa Nabi Luth as itu seorang yang suci. Manakala yang kedua pula menunjukkan sesuatu yang berbeza dengan realiti iaitu dengan penambahan huruf ta' dan sabdu pada suatu kalimah adalah menunjukkan keadaan berpura-pura. Kalimah yatatohharuun pada ayat ini menunjukkan cara kaum Nabi Luth as menghina-nya dengan berpura-pura mengatakan Nabi Luth as sebagai suci padahal maksud mereka ialah Nabi Luth as itu sama sahaja dengan mereka, tetapi hanya berpura-pura suci.

Contoh kalimah marodho  (sakit),
Bila ditambah dengan ta' dan sabdu, menjadi tamarrodho menunjukkan keadaan berpura-pura iaitu berpura-pura sakit padahal sihat.

9.0] Kenapa terdapat dua jawapan berbeza dari Kaum Nabi Luth as? Ini adalah disebabkan ada dua keadaan: 

Didalam surah Al-Ankabut ayat 29, tiada jawapan dari Nabi Luth as sebab belum ada jawapan dari Allah. Apabila mereka tidak mendapat jawapan, mereka tidak percaya, lantas mereka mencabar supaya didatangkan azab kepada mereka. Manakala didalam surah An- Namlu ayat 56 itu pula, mereka menghina Nabi Luth as dengan mengatakan Nabi Luth berpura-pura suci. Kedua ayat ini tidak bercanggah tetapi mengikut peringkat masa dan keadaan yang berbeza.

10.0] Para sahabat tidak berselisih pendapat tentang apa hukuman yang patut dijatuhkan kepada pelaku perbuatan Kaum Nabi Luth as, iaitu bunuh. Mereka hanya berbeza pendapat tentang cara melaksanakan hukuman itu samada dengan cara dibunuh dengan pedang, atau dibaling dengan batu, atau direjam sehingga mati. Imam Ali berpendapat supaya dibunuh dengan membakar hidup-hidup, atau dijatuhkan dari tempat tinggi dengan direjam dari kiri kanan-nya.

11.0] Fudhail bin 'Iyad r.hu berkata, "Jika seseorang itu melakukan amalan Kaum Nabi Luth ini, jika dimandikan dengan setiap titisan air hujan dari langit sekali pun nescaya ketika datang berjumpa Allah nanti masih belum suci" - menunjukkan Al-Faahishah tertinggi.

12.0] Dikalangan ulamak, paling tidak, ada tiga pendapat. Pertama, pelaku maksiat itu patut dibunuh, itu adalah pendapat yang dipilih dalam mazhab Hambali dan Hanafi juga dikalangan sahabat seperti Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abi talib, Abdullah bin Zubair, Abdullah bin Abbas. Berdasarkan hadith Nabi saw yang dirawikan oleh Ibnu Majah dalam sunan-nya, hadith ini dinilai soheh oleh Nasiruddin Al-Baani dan daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas, "Sesiapa sahaja yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Luth as, bunuh oleh mu kedua-duanya". Pelaku-nya (Al-Faail) subjek-nya, dan objek-nya Al-Maf'ulumbih. 

13.0] Pendapat kedua, hukuman hendaklah seperti hukuman  bagi orang yang berzina ia-itu sebatan 100 kali dan dibuang negeri selama setahun bagi orang yang belum berkahwin, iaitu bujang (ghairi muhson), sementara bagi pelaku yang sudah berkahwin atau pernah berkahwin (muhson) hukumannya lebih berat iaitu direjam sehingga mati dengan menggunakan batu yang sederhana besar. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Imam As-Syafi'i dan juga tokoh-tokoh dikalangan tabi' tabi'in seperti Said bin Musaiyyad, Attoq bin Robah, Hassan, An-Nakho'i, Ath- Thauri, Au Za'i dan Ali bin Abi Talib. Alasan mereka ialah hadis yang dirawikan daripada Abi Musa Asy-Sya'ari, Ibnu Al-Baihaqi, bahawa Nabi saw bersabda dalam hadith-nya,"Apabila seorang lelaki mendatangi seorang lelaki, kedua-duanya adalah penzina".


14.0] Pendapat yang ketiga, hukuman ialah ta'zir, iaitu hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah sesuai dengan kebijaksanaan tuan hakim dan ini adalah pegangan mazhab Hanafi. Hukuman Ta'zir ini ada beberapa hikmah atas perbuatan homoseksual seperti:

i) Hukuman hendaklah sesuai kemudhoratan yang ditimbulkan dari perbuatan itu.

ii) Memberi peluang kepada pelaku untuk bertaubat, memanafaatkan peluang untuk hidup.

iii) Memberi peluang mereka memperbaiki akhlak mereka.

iv) Hakim dapat menetapkan Ta'zir untuk memberi keadaan yang lebih fleksibel kerana keputusan  ditetapkan oleh mahkamah sepenuh-nya.

15.0] Inilah menarik-nya bermazhab dalam beragama. Menurut Imam Asy-Syafi'i, "Apabila seseorang itu berijtihad, lalu ijtihad-nya betul, maka dia mendapat dua pahala, satu pahala ijtihad dan satu lagi pahala betul-nya. Jika dia berijtihad dan ternyata ijtihad-nya salah, tetapi bukan sengaja salah, dia masih tetap mendapat satu pahala dari Allah. Ini mustahid mutlak yang sentiasa mendapat pahala. Kita bukan mustahid, mungkin boleh dipanggil muttabi', yang mengikuti, iaitu menerima pendapat seseorang (mustahid), dan mengetahui dari mana sumber-nya. Itu sudah baik. Jangan jadi muqallib, yang mengikut pendapat orang lain tanpa mengetahui sumber atau alasannya, orang yang taklid itu ialah yang berpegang kepada cara beragama yang menyeleweng.

[Nota: seseorang ustaz (guru) tidak boleh memaksa pengikutnya mengikutnya, kerana mungkin ada kesilapan dalam yang menyampaikan, supaya pengikutnya tidak jadi fanatik. Cara beragama, mencari kebenaran adalah dengan berusaha untuk muttabi']

16.0] Cara belajar memang tidak mudah, mesti ikut tariqahnya, mestilah ikut panduan Al-Quran, dalilnya seperti dalam surah Az-Zumar ayat 17 dan 18 yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang menjauhi Taghut,(iaitu) sampaikanlah khabar gembira itu kepada hamba-hamba-Ku ", surah Az-Zumar ayat 17.

"(Iaitu) mereka yang mendengar kata-kata lalu mengikut apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal yang sihat", surah Az-Zumar ayat 18.

17.0] Hamba yang diberi khabar gembira ialah orang yang suka mendengar, mencari dengar dengan sengaja yastami'un. Syaratnya ialah dengan mencari dari sumber yang banyak, berbeza-beza, mencari dari guru, dari objek atau buku atau sumber yang bukan hanya satu.

Contoh: Didalam debat perdana yang terdiri dari lima orang pendebat, janganlah kelima-limanya satu kepala, elok masing-masing diberi peluang melontarkan pendapat yang berbeza, lalu telitikanlah untuk dipilih pendapat terbaik. Pendengar sekarang juga sudah bijaksana memilih.

Contoh: Untuk membeli durian hendaklah membeli ditempat yang banyak pilihan supaya dapat memilih yang terbaik.

Contoh: Dalam belajar Al-Quran, hendaklah dicari, didengar sebanyak mungkin sumber supaya berfikiran kritis, kemudian buat pilihan terbaik. Allah menyuruh kita memilih yang terbaik daripada yang baik. Walau pun jika terpaksa mendengar dari ideologi Ayah Pin, kemudian berfikir kritis dan buatlah keputusan terbaik. Untuk memilih yang salah dari yang betul adalah senang tetapi untuk memilih yang terbaik dari yang baik adalah tidak mudah. Dengan cara itu seseorang itu akan mendapat khabar gembira, mula menjadi orang yang mendapat petunjuk dan menjadi golongan Ulul Albab.

18.0] Diperingkat universiti, wacana sebegini patut ada untuk melatih warga yang berfikiran kritis, iaitu tidak menerima bulat-bulat atau mentah-mentah sesuatu fakta atau ilmu, tetapi kita selalunya berfikir bahawa jika pendapat itu sama akan senang, dan itu adalah tidak sepatutnya.


19.0] Imam Asy-Syaukani dalam kitabnya, berdasarkan hadis soheh, memilih pendapat pertama sebagai yang paling kuat, diikuti pendapat kedua, masih dianggap kuat dan pendapat ketiga yang paling lemah. Ertinya, hukuman jenayah ini tidak boleh diserahkan kepada pemerintah atau mahkamah. Mahkamah hanya memerintahkan tentang sabit kesalahan. Ini seperti pegangan mazhab Hanafi, manakala pegangan mazhab Syafi'i adalah seperti yang kedua.

20.0] Nabi Luth as, setelah sampai kekemuncak dakwahnya, beliau pun berdoa. Doa yang pendek sahaja tetapi ternyata sangat maqbul.

[Nota: Doa bukan bergantung kepada panjangnya, bukan bergantung kepada lancarnya, bukan bergantung kepada banyak bahasanya, tetapi bergantung kepada kemakbulannya]

21.0] Doa Nabi Luth as, pendek sahaja, Dia (Luth) berdoa, "Ya tuhanku, tolonglah aku (dengan menimpakan azab) atas golongan yang membuat kerosakan ini" - surah Al-Ankabut ayat 30.

22.0] Nabi saw bersabda, hadis soheh, "Tiap-tiap nabi dan rasul, Allah beri peruntukan doa mustajab (yang pasti Allah kabulkan), dan setiap nabi dan rasul itu pula telah menggunakannya didunia lagi dan sesungguhnya aku masih menyimpan doa mustajabah ku itu untuk memberi syafaat bagi umatku pada hari kiamat". Ini adalah hadis soheh riwayat dari Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu Majah daripada Abi Hurairah.

Contohnya, Nabi Luth as telah menggunakan doa mustajabahnya seperti yang diceritakan didalam ayat 30 ini, begitu juga dengan Nabi Nuh as, Nabi Musa as dan sebagainya semua sudah menggunakan doa mustajabah mereka untuk kaum masing-masing semasa di dunia lagi.

23.0] Hanya Nabi Muhammad saw yang telah memperjuangkan umatnya hatta ketika kita belum lahir lagi kedunia. Diakhirat nanti Nabi Muhammad saw sahajalah yang diberi izin oleh Allah untuk menyelamatkan ahli tauhid dengan syafaatnya yang paling besar, walau pun imannya hanya seberat zarah atau kurang dari berat zarah, untuk dapat bebas dari neraka. 

Apabila seluruh manusia datang kepada nabi lain untuk mendapatkan syafaat, semua nabi dan rasul mengatakan lastu laha, aku tidak berhak. Sehingga seluruh manusia datang berjumpa Nabi Muhammad saw, memohon syafaat, dan Nabi saw berkata ana laha. aku berhaq. Walhal Nabi saw adalah nabi yang paling banyak diperangi oleh kaumnya, diusir, disiksa, dikehendaki nyawanya, pernah alami kehidupan yang sangat susah, kerana orang kafir mengadakan sekatan ekonomi (imbargo)

Kehidupan Nabi saw yang sangat kritikal, tetapi Nabi saw tidak pernah menggunakan doa ini, melainkan menyimpannya untuk umatnya. Ummati, ummati kata Nabi saw. Betapa sayangnya Nabi saw kepada kita. Allah kata, "Mintalah, Aku akan izin". Lalu Nabi saw  minta izin untuk dapat memberi syafaat kepada umatnya dihari akhirat. 

Tidak seperti yang disebarkan media bahawa Nabi saw memyebut kalimah Ummati, Ummati ketika Nabi saw akan meninggal dunia. Kononnya supaya kesakitan umatnya ditanggung separuh olehnya. Jangan sesekali menisbahkan sesuatu yang bukan dari Nabi saw. Tetapi sebaliknya Nabi saw menyebut kalimah Ar-Rafii'ul 'a'la ketika sakaratnya. 

Apabila ditanya oleh para sahabat kepada Saidatina Siti Aisyah, apa maknanya perkataan itu, Saidatina Siti Aisyah berkata, "Ya, Nabi saw pernah bersabda, bahawa setiap nabi atau rasul diberi pilihan samada untuk menangguhkan kematian tetapi Nabi saw memilih untuk segera berjumpa Allah, begitu juga dengan nabi dan rasul yang lain. 

Umat Nabi Muhammad saw jangan mereka-reka cerita bahawa separuh kesakitan kematian akan ditanggung oleh Nabi saw. Jangan dengan  mudah untuk berani forwardkan sesuatu yang tidak pasti terutama sesuatu yang berkaitan tentang agama kerana akan dipertanggungjawabkan nanti.

24.0] Kaum Nabi Luth as dihancurkan dengan berkat doa mustajabahnya, Nabi Musa as yang sabar, yang dihina oleh Bani Israil yang degil, akhirnya berdoa dengan doa mustajabahnya, "Ya Allah, pisahkan diriku dari kaum ku", lalu Allah kabulkan doanya dan pisahkan ia dari kaumnya dan Allah jadikan kaumnya bingung selama 40 tahun. 

Kebanyakan dari tanah yang diberi kepada mereka ditarik balik. Satu-satunya bangsa  yang diberi geran oleh Allah dari langit dalam Al-Quran, tetapi kemudian Allah haramkan Bani Israil dengan tiada hak lagi untuk tinggal dimana pun di bumi ini, sehingga kiamat. Satu-satunya bangsa yang tidak akan merasa aman dalam kehidupan, iaitu ada sahaja  yang memusuhinya sehingga kiamat,

25.0] Nabi Muhammad saw memperjuangkan untuk kita umatnya sebelum kita lahir lagi, kita hanya perlu melayakkan diri dengan mendapat Redho Allah, setelah Nabi saw telah mendapat izin dari Allah untuk memberikan syafaat kepada kita umatnya. 

Syarat bagi kita umatnya ialah mendapat Redho Allah, mesti ada perjanjian dengan Allah dengan kalimah syahadah yang tidak terbatal sehingga kita mati. Walaupun iman semakin kurang dan berkurang, dan hanya Allah yang sebenarnya mengetahui tentang terbatalnya syahadah seseorang. 

Walaupun orang yang terakhir sekali bebas dari neraka dan yang terakhir sekali masuk syurga, itu adalah berkat doa mustajabah Nabi saw ini. Yang pasti adalah yang keluar dari neraka itu tidak seperti manusia lagi sehingga dimandikan dengan Maaul Hayat, air kehidupan, baru keluar tangan kakinya menjadi manusia sempurna, diberi pakaian selayaknya hingga dapat masuk ke Syurga, setelah sekian masa yang sangat lama. Wallahu 'a'lam. Moga diberkati.





No comments:

Post a Comment