Tuesday, June 14, 2016

Surah Al-Ankabut (Kuliah 36) - Perbezaan penggunaan kalimah Ayat atau Aayatan, Inja' Ihla'

1.0] Sambungan dari kuliah minggu lepas, berkaitan dengan kisah tentang 3 orang nabi yang telah diceritakan dalam ayat-ayat diatas iaitu yang pertama Nabi Nuh as diikuti dengan Nabi Ibrahim as dan yang terakhir Nabi Luth as. Didalam kisah ketiga-tiga orang nabi itu Allah jadikannya sebagai aayat atau dalam bahasa Melayunya disebut ayat iaitu tanda atau bukti tentang kekuasaan Allah.

2.0] Aayat Allah atau ayat atau tanda atau bukti dari Allah terbahagi kepada dua iaitu Al-Inja'- penyelamatan Allah (ihsan Allah) atau sebagai Al-Ihla' (imtihan atau ujian, pembinasaan dari Allah).

3.0] Al-Inja' atau penyelamatan yang Allah telah berikan kepada Nabi Nuh as seperti yang dinyatakan di dalam surah Al-Ankabut ayat 15.



Allah jadikan peristiwa itu, inja' itu sebagai aayat Allah, satu tanda (mufrad) untuk menjadi pelajaran bagi semua umat manusia (lil 'aalamin).

4.0] Inja' untuk Nabi Ibrahim as didalam ayat 24 pula ialah;


Didalam ayat ini pula pada peristiwa itu terdapat aayaatin, banyak tanda-tanda (jamak) yang menampakkan keBesaran Allah bagi orang-orang yang beriman.

5.0] Surah Al-Ankabut ayat 35 pula adalah contoh ayat yang mengandungi Al-Ihla' (pembinasaan dari Allah).


Aayatan bayyinatan yang digunakan didalam ayat ini bermaksud satu tanda yang nyata, terang bagi orang yang berakal dan mahu berfikir.

6.0] Perhatikan perbezaan susunan ayat didalam ketiga-tiga ayat diatas. Samada Allah berikan kepada hamba-Nya berupa rahmat atau azab, ternyata bahawa kedua-duanya adalah berupa aayat atau tanda daripada Allah supaya hamba-Nya mengambil iktibar dan pengajaran.

7.0] Apa pengajaran diantara Al-Inja' dan Al-Ihla' Allah? Daripada Ibnu Atho'illah Al-Iskandary didalam kitab Al-Hikamnya; "Sesiapa sahaja yang tidak pergi berjumpa menghadap Allah dengan kelembutan, kasih-sayang, Ihsan Allah, nescaya akan diikat, diheret dengan berbagai ujian besar yang bersambungan". Allah telah memberi kepada hamba-Nya segala keperluan hidup, diberi segala kesenangan, kesihatan, diberi segala kecukupan hidup, semuanya dari Ihsan Allah, seperti apabila makan akan merasa kenyang, apabila penat akan merasa mengantuk, sihat sejahtera dan sebagainya, sewajarnya apabila Allah panggil akan bersegera datang kepada Allah atau pun kalau perlu datang kepada Allah sebelum dipanggil Allah lagi. Contoh dalam seruan azan, "Hayya 'alassolaah-bersegeralah untuk solat". Ada hamba Allah yang bersegera datang mengadap Allah apabila dipanggil atau telah bersedia datang sebelum dipanggil lagi. Ada hamba Allah yang tidak bersegera datang, melengah-lengahkan, meringan-ringankan panggilan Allah atau yang teruk ada yang tidak datang walau dipanggil Allah. Sesiapa yang tidak bersegera datang mengadap Allah dengan kelembutan pemberian Ihsan Allah, maka akan diikat, diheret dengan kesusahan dan ujian yang bersambung. Allah Kata, "Aku beri kamu ujian supaya kamu mudah datang kepada Ku. Mudah berdiri apabila Aku suruh berdiri, mudah berjalan apabila Aku suruh berjalan, mudah berzikir mengingati Ku". Apabila ditarik kesihatan, apabila hilang sesuatu atau hilang segala-galanya, barulah lidah hamba-Nya dekat dengan Allah, barulah bibir tidak lekang dari menyebut Nama Allah.

8.0] Kedua-dua Al-Inja' atau Al-Ihla' adalah sama tujuannya, keduanya adalah aayaat Allah, diberi kepada hamba-Nya supaya hamba-Nya bersegera datang berjumpa Allah. Pilihlah yang mana, samada ketika diberi kesenangan atau ketika diberi ujian maka kamu akan bersegera mendatangi Allah. Anak Adam ini pelik, apabila diberi Allah ujian barulah teringat Allah, barulah bersegera datang kepada Allah, barulah teringat segala kecuaian dan kesilapan diri.

9.0] Kita tidak boleh mengungkapkan perkataan 'nasib baik' atau 'kita bertuah' apabila mendapat sesuatu atau terhindar dari sesuatu. Contoh, kita tidak boleh mengatakan " Kita sangat bernasib baik kerana dapat makan, rezqi melimpah ruah, walhal ada orang yang kebuluran, bertuah kita". Bukankah semua itu, kebertuahan itu, semata-mata dari Allah dan namanya Al-Inja' (penyelamatan)?. Contoh lagi, apabila tangan kiri kita sakit, tangan kanan tidak boleh kata, "Nasib baik aku tidak sakit". Tidak boleh begitu. Apabila kita senang dan saudara kita menderita, sepatutnya kita turut sama merasa keperitan saudara kita.

10.0] Dengan musibah yang silih berganti, kita diikat, ditarik mendekati Allah dan apabila semua keinginan sudah tiada, tiada keinginan lain lagi kecuali keinginan kepada Allah. Keinginan yang tinggal hanya satu iaitu Allah.

11.0] Perbincangan yang kedua ialah tentang perbezaan antara inja' yang Allah berikan kepada Nabi Nuh  as dan Nabi Ibrahim as. Didalam ayat 15, inja' bagi Nabi Nuh as, Allah kata,"Kami jadikan peristiwa itu pelajaran bagi semua umat". Kenapa? Sebabnya ialah, keselamatan seseorang daripada mati lemas apabila banjir besar berlaku adalah perkara biasa, bukan Nabi Nuh as sahaja yang terselamat daripada banjir. Walaupun ketika berlaku Tsunami, ada orang yang mati dan ada orang yang terselamat. Kapal-kapal yang belayar dilautan juga banyak yang selamat. Tetapi penyelamatan Allah terhadap Nabi Nuh as adalah sangat dahsyat kerana ketika itu berlaku taufan besar, air yang berpusing deras dengan muatan yang sarat padat . Muatan yang terdiri daripada berbagai makhluk manusia dan haiwan berpasangan. Pada fikiran akal biasa, walaupun andai ada teknologi canggih yang boleh digunakan, namun kita masih  merasakan itu sebagai sesuatu yang mustahil untuk berlaku, mustahil seseorang akan terselamat.

12.0] Berbeza dengan kisah Nabi Ibrahim as yang dibakar tetapi tidak hangus, dimana Allah kata, "Sesungguhnya, demikian itu pasti terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang beriman. Dari segi sunnatullah, seseorang yang dibakar dalam api beberapa hari, tidak terbakar, itu adalah tidak logik. Jangankan tubuh badannya, bajunya pun tidak terbakar dan ini adalah sangat susah untuk diterima akal. Inja' untuk Nabi Ibrahim as ini Allah kata ada panduan, tanda yang luar biasa bagi orang yang beriman kerana peristiwa seperti itu adalah tidak mungkin berlaku dalam keadaan biasa.

13.0] Kapal Nabi Nuh as itu sendiri adalah aayat atau tanda. Kalimah waja'al naaha-dan Kami jadikan-nya, didalam ayat 15, ha disitu bermaksud kapal itu. Aayat atau tanda daripada Allah itu bukan hanya bagi kaumnya saja, bukan juga bagi orang-orang Islam sahaja, tetapi bagi lil 'aalamin- bagi seluruh 'alam, bagi semua manusia sebab orang muslim buat kapal dan orang kafir juga buat kapal.

14.0] Kapal itu pun masih boleh dikesan, masih boleh dikaji sehingga boleh memberi keyakinan kepada sesiapa yang meragukan peristiwa itu. Para pengkaji purba, arkeolojis, boleh mengkajinya, bukan hanya untuk orang muslim, mukmin sahaja, bukan hanya untuk orang yang hidup dizamannya sahaja tetapi untuk sekelian umat.

15.0] Kapal yang terselamat dalam banjir dan taufan yang sangat dahsyat, kalau bukanlah Ihsan Allah, Rahmat Allah, tidak mungkin terselamat. Lojik akal juga susah untuk mempercayainya.

16.0] Sementara untuk Nabi Ibrahim as, kalimah liqau minyyu' minuun- untuk kaum yang beriman, seperti didalam ayat 24, tidak perlulah dilojikkan. Semakin dilojikkan semakin jadi tidak lojik kerana itu bukan untuk difikirkan. Peristiwa itu ialah untuk diImani. Tidak perlu bersusah payah memeras akal fikiran atau mengkaji di makmal, sebab itu bukan objek kajian sains. Itu adalah kelancaran Qudrat Allah. Samalah seperti peristiwa terbelahnya laut bagi Nabi Musa as ketika dikejar Firaun, atau seperti lahirnya Nabi Isa as daripada Maryam tanpa bapa atau seperti Nabi Isa as yang masih bayi yang sudah dapat bersyarah fasih bernas. Peristiwa- peristiwa itu tidak boleh difikirkan secara lojik tetapi hanya perlu diImani. Kalaulah tidak kerana Al-Quran menceritakan kisah-kisah itu, kita pun susah untuk mempercayainya. Sebab itu Allah kata jangan guna akal fikiran, jangan tafakkur dalam hal seperti diatas tadi, pertanyaan bagaimana,bagaimana- kaifa,kaifa, hanya membuang masa. Mungkin pada mula-mula nampak seperti boleh difikirkan, tetapi akhirnya ternyata tidak lojik, sia-sia sahaja segala andaian. Hanya akhirnya serah segalanya sebagai perkara yang mesti diImani.

17.0] Contoh; Maryam  yang berada di mihraab- bilik ibadat, untuk dapat datang berjumpa Maryam, mestilah melalui bilik Nabi Zakaria as dahulu. Segala keperluan Maryam dicukupi oleh  Nabi Zakaria as. Suatu hari sewaktu Nabi Zakaria as masuk ke bilik ibadat Maryam, didapati pelbagai makanan. Pada mulanya Nabi Zakaria as cuba untuk berfikir secara lojik apabila melihat ada makanan disisi Maryam. Mungkin ada orang yang telah membawa masuk makanan itu atau mungkin Maryam telah keluar bilik dan mencuri makanan itu. Rujuk surah Aa-Li 'Imran ayat 37, Nabi Zakaria as bertanya, "Wahai Maryam! Daripada mana engkau perolehi ini?" Dia (Maryam) menjawab, "Itu dari Allah". Nabi Zakaria as terus percayai dan imani bahkan dimanafaatkan masa itu, tempat itu, untuk berdoa kepada Allah semoga mendapat zuriat. Begitulah sepatutnya cara kita apabila berhadapan dengan Kerja Allah. Apakah sesuatu kejadian itu berdasarkan sunnatullahkah atau apakah berdasarkan kelancaran Qudrat Allah tanpa terikat dengan sunnatullah yang Dia Sendiri Ciptakan.

18.0] Sesuatu yang berdasarkan sunnatullah, silalah gunakan akal fikiran, kajilah. Buatlah kajian untuk fahami tentang hujan, tentang panasnya api, tentang pemanasan global, tentang haiwan-haiwan seperti unta dan sebagainya. Jangan terbalik, ketika Allah tunjukkan kelancaran Qudrah-Nya, janganlah kita sibuk menggunakan akal kerana tidak kita temui lojik disitu. Manakala ketika Allah tunjukkan sunnatullah, jangan pula cukup dengan berkata "Aamantu billah"- "Aku beriman dengan Allah". Apabila membaca kisah-kisah pelik seperti yang dinyatakan diatas, tidak perlu banyak bertanya, kerana akal tidak dapat memahaminya.

19.0] Kisah tentang Nabi Luth as dan kaumnya, seperti yang terdapat didalam ayat 35 pula adalah bukan berupa inja' tetapi berupa ihla' (pembinasaan), azab yang ditimpakan kepada kaumnya, itulah aayat Allah. Maksud ayat,"Dan sesungguhnya, telah Kami tinggalkan (sebahagian daripada negeri itu) suatu tanda yang nyata bagi orang-orang yang mengerti". Kalimah ha dalam ayat itu bermaksud qaryah iaitu kampung, negeri atau negara. Bukan penghuninya yang telah hancur lebur, tetapi tempat di mana kaumnya dihancurkan masih Kami (Allah) tinggalkan sebagai aayatan bayyinah- tanda yang terang nyata. Tempatnya disepakati di Al-Bahrul Mait- Laut Mati, dari Jordan arah ke utara.

20.0] Berbeza dengan kisah tentang Nabi Nuh as dalam ayat 15, tiada kalimah bayyinah, kerana kapalnya telah tiada sekarang. Di dalam Al-Quran ada dinyatakan bahawa kapal itu tersadai   di Bukit Juudi, namun dimana Bukit Juudi itu pun masih dipertikaikan. Andai tempat itu masih ada bukti-bukti atau tanda yang terang barulah terdapat kalimah aayatan bayyinah. 

21.0] Perhatikan pula tentang perbezaan makna kalimah yatafakkaruun- bagi kaum yang mahu berfikir dengan kalimah ya'qiluun- yang menggunakan 'aqal. Tafakkur yang bererti menggunakan otak, berfikir, bersifat jasmaniah, fizikal, alam syahadah. Otak letaknya dikepala yang bentuk seperti kelapa dan ada tempurung, dipanggil juga sebagai mukhon.

22.0] Manakala ta'akkul pula ialah menggunakan akal, maksudnya mengerti. Dimana tempatnya akal? Kita tidak tahu. Otak bagi tubuh badan, akal bagi jiwa. Ada juga yang berpendapat bahawa akal adalah pekerjaan, manakala alat untuk melakukan pekerjaan ta'akkul ini ialah qalbun (kalbu, jiwa]), bersifat rohaniah.

23.0] Tafakkur adalah melihat kepada benda yang nampak. Mencari dan menemukan kebenaran berdasarkan dalil dan bukti. Ta'akkul tidak semestinya melihat benda nampak. Apabila seorang doktor pakar membuat kajian hari-hari, dan apabila bertemu suatu penemuan itu ertinya tafakkur, objeknya bersifat pasti, sunnatullah. Ta'akkul ialah mencari dan menemukan kebenaran berdasarkan keyakinan.

Contoh; Percaya adanya nikmat dan azab kubur. Ini adakah suatu yang hak atau batil? Adakah kita mempercayainya? Ya, kita mempercayainya. Kepercayaan kita terhadap adanya azab kubur ini adalah berdasarkan bukti nyatakah atau hanya semata-mata keyakinan kita? Tiada bukti nyata tetapi semata-mata dari keyakinan kita. Kita ta'akkul. Kita mengerti. Oleh itu azab kubur jangan difikirkan, tetapi mempercayainya walaupun hanya dengan Ilmu Yaqin. Nanti setelah kita pergi sendiri kesana dan kita merasai sendiri ada nikmat dan siksa kubur, kemudian melihat sendiri jurang api neraka, barulah kita lebih yaqin. Keyaqinan kita meningkat ketahap Ainul Yaqin. Apabila nanti kita sampai ke neraka atau ke syurga barulah kita mendapat Haqqul Yaqin iaitu tahap keyakinan yang paling atas. Ilmu Yaqin maknanya hanya berdasarkan maklumat sebab kita belum melihat sendiri, nanti apabila kita melihat sendiri baru dapat Ainul Yaqin, kemudian setelah masuk sendiri kedalam syurga atau ke neraka barulah mencapai Haqqul Yaqin.

24.0] Adakah semasa didunia lagi manusia sudah mencapai keyakinan Ainul Yaqin? Ada. Nabi Muhammad saw pernah melihat syurga dan neraka dan Nabi saw sampai ke tahap Haqqul Yaqin. Abu Bakar As-Siddiq meluahkan kekhuwatirannya takut jadi munafik kerana merasa imannya sekejap tinggi ketika bersama dimajlis Nabi saw kemudian imannya menurun apabila kembali kepada keluarganya. Nabi saw mengatakan bahawa itu adalah lumrah, keimanan dan keyakinan tinggi saa'atan-saa'atan, sekejap-sekejap. Nabi saw memberi contoh, "Jika kamu sentiasa mengingati itu semua, malaikat sudah berjabat tangan dengan kamu yang bererti kamu bukan lagi manusia tetapi sudah menjadi malaikat".

25.0] Berbalik kepada kehancuran yang Allah timpakan keatas Negeri Sadom, negeri Kaum Nabi Luth as, kehancuran yang sangat dahsyat . Rujuk surah Hud ayt 82.


Kalimah 'aaliyaha yang bermaksud bahagian atasnya. Ha disitu bermaksud kawasan itu. Kawasan dataran tinggi  yang asalnya tetapi telah menjadi kawasan terendah dimuka bumi sekarang. Allah terbalikkan kerana itu hukuman bagi orang yang perangainya terbalik. Tidak pernah ada makhluk Allah di alam semesta yang berperangai terbalik seperti kaum Nabi Luth as. Bukan saja sejarah tentang peristiwa itu diceritakan didalam Al-Quran, tetapi juga didalam kitab Taurat. Cerita daripada kitab Taurat, "Maka apabila matahari terbit menyirami bumi, Luth masuk ke sebuah gua, lalu Tuhan menimpakan hujan batu di Negeri Sadom. Hujan api dan batu kibrit (karbait) yang membakar bila bersentuh dengan sesuatu yang ada air seperti tubuh manusia. Lalu negeri itu diterbalikkan. Semua daerah, penghuninya, manusia, haiwan dan tumbuhan semua hancur lenyap. Isteri Nabi Luth as yang ingin menyembunyikan diri dibelakang batu dipercayai telah bertukar menjadi batu dan batu itu masih boleh dilihat sekarang walaupun bukanlah seperti manusia. [Nota; kibrit atau karbait ialah bahan  yang biasa diguna orang untuk membuat meriam buluh].

26.0] Aayatan bayyinah didalam ayat 35 ini adalah Al-Ihla', dibinasakan kampungnya, kawasannya atau provinsinya. Namun tempat itu masih boleh dilihat sekarang, dengan adanya batu-batan yang asalnya sangat panas, pijar, luar biasa menjadi aayatan bayyinah, bukti yang terang nyata. Allah kata, "Kami tinggalkan daripadanya suatu tanda yang nyata bagi orang-orang yang mengerti". Kamu boleh pergi lawati, boleh tengok, walaupun Nabi saw kata, ada beberapa syarat ketika melawatnya. Nabi saw kata,"Awas kawasan ini, "Aaliyaha saafilaha". Tempat tingginya menjadi tempat rendahnya (terbalik). Ketinggian-nya asalnya dahulu sama dengan Jurusalem kini merupakan kawasan terendah di muka bumi.

27.0] Seorang saintis pengkaji bumi, Professor Doktor Ilyas Salaamah dari Jabatan Geologi Universiti Jordan mengatakan bahawa pada awalnya, pertama sekali diketemui ketinggian kawasan Kaum Nabi Luth as itu ialah 392 meter di bawah paras air laut, namun sekarang akhir-akhir ini, kedalamannya mencecah 412 meter dibawah paras air laut, iaitu menjadi tempat terendah di muka bumi. Bermakna tanah disitu semakin menurun. Kisah Kaum Nabi Luth as ini berlaku 2,500  tahun sebelum Masihi (BC) dahulu. Bertepatan dengan isyarat didalam Al-Quran yang menyebutkan tempat itu semakin rendah berterusan, terus menerus. Ini aayatan bayyinah. Orang dahulu tidak tahu tentang perkara ini. Allah ceritakan didalam surah Ar-Ruum tentang hakikat sesuatu sebelum ditemui lagi. Sekian ratusan tahun baru diketahui dan sekarang bukan lagi benda yang pelik kerana telah dibuat kajian demi kajian. Allah kata ya'qiluun, gunakan akal.

28.0] Tempat azab itu diturunkan tiada kehidupan, keadaan air laut mati. Satu-satunya tempat dibumi yang tidak memungkinkan adanya kehidupan kerana tingginya kandungan garam didalamnya. Setiap satu liter air boleh mengandungi 300 gram garam, sementara laut biasa yang lain purata kandungan garamnya ialah hanya 35 gram bagi setiap liter air. Maka mana mungkin kehidupan boleh hidup di situ kerana hujan juga sangat susah untuk turun disitu.

[Info tambahan; malihah= garam, sauda'= hitam. Orang Arab menggelarkan seseorang yang berkulit hitam manis sebagai malihatuss sauda'. Ini mungkin lantaran pentingnya garam, apabila cukup garam, makanan menjadi cukup rasa, lalu dipanggil malihah (garam) menggantikan tempat yang sepatutnya ialah gula yang manis.]. Wallahu 'a'lam.

 












No comments:

Post a Comment