Tuesday, June 21, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 36-37) Kuliah 37- Hukum ziarah ke tempat yang pernah ditimpakan Allah azab

1.0] Tambahan penjelasan tentang kisah Nabi Luth as dan kaumnya yang diceritakan Allah SWT sehingga ayat 35 surah Al-Ankabut yakni berkaitan dengan hukum ziarah ilal qaryati muhlaqah - hukum melawat ke tempat yang dibinasakan oleh Allah. Perkara ini adalah sangat perlu diketahui kerana berkaitan dengan penutup kitab Nabi Luth as dan kaumnya. Surah Al-Ankabut ayat 35 ini menyatakan bahawa tempat itu ialah aayatan bayyinah liqaumiyya'aqiluun- bukti yang nyata bagi mereka yang berakal. Didalam ayat yang lain, ada disebut bala tatafakkarun- tidakkah kamu berfikir, dan didalam banyak ayat pula disebut "siiru fil ardhi- berjalanlah kamu dimuka bumi", lalu perhatikanlah oleh mu kesan dan akibat orang-orang yang mendustakan. Nampaknya didalam Al-Quran sendiri ada perintah yang jelas tegas secara langsung untuk umat Islam khasnya, di mana kita disuruh mengambil pelajaran dari ziarah. Namun begitu Nabi saw ada memberi panduan jika kita ingin lawati tempat yang dihancurkan oleh Allah, termasuklah tempat kediaman Kaum Nabi Luth as ini dan tempat kaum-kaum yang lain dari nabi-nabi yang lain.

2.0] Hukum ziarah terbahagi kepada dua jenis iaitu Harus dan Haram;

i) Hukum Harus bagi ziaratun maslahah- ziarah kerana kebaikan untuk mendapat manafaat, untuk dapat berfikir dan mengambil pelajaran-pengajaran disebalik bencana yang telah menimpa kaum yang lepas. Ziarah begini dapat menguatkan dan mengukuhkan keimanan dan hukumnya adalah harus dengan satu syarat- bisyartin. Syaratnya ialah si pelawat atau si pengunjung itu hendaklah dalam keadaan khusyuk, berfikir, menangis, dan jika tidak dapat menangis hendaklah berusaha juga untuk menangis. Hendaklah merasakan seolah-olah kita hidup pada zaman bencana itu berlaku. Jika dapatlah kita bayangkan keadaan sebegitu tentu sekali kita boleh menangis. Bagaimana mungkin untuk kita dapat bergelak ketawa, bergambar, berselfie dengan berbagai gaya sedangkan kita sedang berada ditempat dimana Allah Murka dan ditimpakan azab yang sangat dahsyat. 

ii) Tujuan ziarah atau lawatan bukan semata-mata untuk bersenang-senang dengan menyaksikan kehebatan senibinanya yang ditinggalkan, atau kagum dengan kecanggihan ilmu kejuruteraan yang diwariskannya atau terpesona dengan istana-istana indah dan mewah tinggalan kaum yang lalu. Yang tahu dan dapat menentukan keharusan ziarah seperti itu adalah si pengunjung itu sendiri. Bagaimana dan apa yang dia rasakan didalam hatinya semasa berkunjung ketempat azab yang Allah telah turunkan itu.

3.0] Dalil daripada Al-Quran tentang keharusan ziarah ke tempat-tempat itu boleh dirujuk surah Ar-Rum ayat 9.


4.0] Bagaimana umat kota Mekah sebelum kita seperti kaum Thamud, 'Aad, kaum Nabi Syuib as, Firaun, yang lebih kuat daripada kita, meninggalkan kesan-kesan di muka bumi. Mereka memakmurkan bumi, meninggalkan tamaddun, khasnya senibina yang nampaknya sehingga kehari ini belum dapat ditandingi. Mereka adalah kaum yang lebih berjaya berbanding dengan kaum kafir Quraish. Walaupun pada zaman itu belum ada segala teknologi canggih bagi pembinaan seperti peralatan berat jentolak, jengkaut dan sebagainya.

5.0] Allah tidak sekali-kali menzalimi hamba-Nya, tetapi hamba-Nya yang menzalimi diri sendiri. Inilah bukti keharusan ziarah. Hukumnya harus melawat dan ziarah tempat-tempat yang telah dibinasakan Allah dengan syarat menangis- buka' atau mengusahakan menangis- attabaaki. Ini dihuraikan oleh Imam Al-Baghowi dalam hadisnya dan juga ditegaskan oleh Nabi saw didalam hadis daripada Abdullah bin Umar, bahawa Nabi saw tidak melarang secara mutlak untuk ziarah ketempat-tempat yang tersebut dengan syarat dapat bertafakkur dan dapat merasa takut dan dapat mengambil pengajaran.

6.0] Semasa Nabi saw lalui kawasan Al-Hijr, Nabi saw telah bersabda, "Janganlah kamu memasuki ke tempat-tempat kediaman orang-orang yang zalim yang Allah telah hancurkan, kerana dikhuwatirkan akan menimpa kamu apa yang telah menimpa kaum dahulu itu". Oleh itu tidak perlulah menyewa chalet selama sebulan untuk bercuti di tempat-tempat begitu atau sangat-sangat tidak syar'i jika menyewa dewan disitu sebagai tempat walimatul urus dimana ditempat itu ribuan tahun dahulu adalah tempat Allah timpakan azab.

7.0] Nabi saw sendiri ketika terpaksa melalui tempat sebegitu lalui dengan tunduk kepalanya dan mempercepatkan melaluinya dengan dipukul unta atau keldainya agar lebih cepat dan laju jalannya sehingga dalam masa yang singkat Nabi saw sudah dapat melepasi lembah atau wadi itu. Semua itu terdapat dalam hadith soheh daripada Abdullah bin Umar, hadith nombor 4419, manakala hadith daripada Imam Muslim pula ialah hadith nombor 2980. Berdasarkan hadith-hadith inilah ulama tafsir Al-Baghowi dan Ibnu Al-Jauzi dasarkan hukum ziarah, dimana dihukumkan harus dengan syarat menangis atau usahakan untuk menangis ketika disitu. Oleh itu kenalah patuhi hadith Nabi saw itu. Jangan pertikaikan hadith, jangan pilih-pilih hadith, jangan buat hadith sendiri, jangan mengikut kepentingan diri sendiri. Nabi saw yang melalui kawasan itu dengan menutupkan selindangnya kemukanya, tunduk dan berlalu secepat mungkin. Mungkin sunnah Nabi saw yang ini telah lama dilanggar oleh umat Nabi saw. Hati-hati dalam melanggar sunnah. Nabi saw tidak melarang secara mutlak tetapi mengharuskan dengan bersyarat.

8.0] Ada pun tentang riwayat bahawa Nabi saw pernah lalui Al-Bahrul Maits- Laut Mati dimana tidak jauh daripada itu tempat Kaum Nabi Luth as telah dihancurkan, tidak ada didalam sunnah Nabi saw. Tidak thabit dengan sirah  atau cerita Nabi saw. Cerita itu tidak soheh kerana bermula dari Nabi saw dilantik menjadi rasul atau utusan Allah sehingga Baginda wafat, tidak pernah Nabi saw pergi ke Negeri Syam yakni negeri-negeri Asia Barat seperti Syria, Lubnan, Jordan, Palestin kecuali 2 kali sahaja. Kali pertama ialah sebelum Nabi saw berhijrah, iaitu ketika perjalanan Isra', dimana Allah Isra'kan Nabi saw dari Masjidil Haram ke Masjidil Al-Aqso di Baitul Maqdis di Negeri Syam iaitu di Palestin. Selepas dilantik menjadi nabi, tidak ada keterangan bahawa Nabi saw dalam perjalanan ke Negeri Syam. Tidak ada maklumat, tidak ada hadith. Kali keduanya ialah ketika Nabi saw pergi ke Peperangan Tabuk. Tabuk itu terletak sebelum Al-Bahrul Mait dari Madinah. Tabuk masih termasuk kawasan sempadan Kerajaan Arab Saudi.

9.0] Adapun sebelum Nabi saw dilantik menjadi nabi, Nabi saw pernah membawa harta perdagangan Saidatina Siti Khadijah, iaitu sebelum dan selepas Saidatina Siti Khadijah menjadi isteri Nabi saw. Atau pun semasa Nabi saw mengikuti pakciknya Abu talib dalam urusan perdagangan juga. Tidak pernah disebut Nabi saw singgah di Al-Bahrul Mait. Andainya Nabi saw pernah lalui Al-Bahrul Mait sebelumnya, mungkin ya mungkin tidak, itu semasa Nabi saw belum menjadi nabi dengan menyegerakan perjalanan, bertafakkur seakan berada disitu pada masa berlaku peristiwa kehancuran tempat itu. Ziarah sebegitu hukumnya harus untuk kebaikaan.

10.0] Hukum Haram bagi ziarah yang semata-mata untuk berlibur, makan angin, bersenang-senang (tamattuk). Kalau tujuannya untuk makan angin, nanti masuk angin dan 2 bulan jadi kepala angin. Jikalah hanya untuk membesarkan, mengagungkan tempat yang dilawati tanpa mengambil pengajaran, tidak syak lagi ziarah seperti itu bercanggah 100% dengan hadith Nabi saw , maka hukumnya adalah Haram. Contohnya membuat rakaman video, apa lagi jika membuat rakaman dangdut disitu lagilah tidak boleh. Ini kerana hadith Nabi saw tadi menggunakan sighoh atau uslub naahi iaitu Jangan. Hadithnya soheh. Hukum asal naahi itu ialah Haram kecuali ada dalil yang menunjukkan yang sebaliknya.

11.0] Pendapat yang kedua, yang perlu diambil terang ialah Nabi saw pernah melarang para sahabat yang hendak pergi berperang, berjihad ke medan perang, daripada melalui tempat seperti itu. Tetapi apa boleh buat lantaran tiada laluan lain terpaksalah mereka lalui tempat itu dengan menundukkan kepala dan menutup muka seraya dengan cepat melalui kawasan yang telah dihancurkan oleh Allah itu.

12.0] Awas, awas, bagi  travel agency yang membuat program-program lawatan kesitu yang berlumba menawarkan pakej yang kononnya paling lama masa berada di tempat sebegitu. Mereka biasa guna bahasa diplomatik seperti contohnya jangka masa 2 kali 24 jam akan berada di tempat itu.

13.0] Tentang larangan Nabi saw kepada para sahabat yang ingin pergi berperang supaya tidak melalui kawasan sebegitu adalah sangat terang dan jelas. Ada yang ditulis oleh Ibnu Hajar dan ada juga yang ditulis oleh Al-Hafiz Ibnu Rojaa' dalam kitabnya Fathul Baari. Kata Imam Ibnu Taimiyah, "Mana benda yang diharamkan yang lebih terang, jelas daripada larangan Nabi saw kepada para sahabat yang ingin pergi berperang itu supaya mematuhi larangan ketika melalui kawasan sebegitu lantaran tidak ada jalan lain lagi".

14.0] Tabuk ini dari Madinah sejauh 91 kilometer, dengan hanya berjalan kaki, atau perlu sediakan kenderaan unta dan bekalan sendiri. Tentunya satu perjalanan yang amat rumit dan mencabar. Siang terlalu panas dan malam terlalu sejuk. Kalau tidak kuat semangat belum tentu dapat meneruskan perjalanan. Ada seorang anak muda yang miskin dan fakir ingin membela agama Allah dan ingin sertai Perang Tabuk, tetapi tiada bekalan dan tiada kenderaan yang boleh ditumpangkan. Anak muda itu balik dan menangis kerana tidak dapat pergi berperang bersama Nabi saw. Kalau dimasa sekarang, seorang yang menangis kerana terlepas peluang untuk pergi holiday dengan tiket free, biasalah kita dengar.

15.0] Para sahabat  bersama Nabi saw yang dalam perjalanan untuk pergi berperang Tabuk itu sampai kesuatu kawasan yang pernah dihancurkan Allah. Mereka kehausan. Terdapat pula mata air yang mengalir disitu. Nabi saw mengingatkan mereka tentang larangan itu dan tidak membenarkan mereka mengambil walau sedikit air atau makanan atau buahan disitu. Kata Ibnu Taimiyah, kalaulah hukum harus ada, maka keadaan itu adalah lebih patut diberi kebenaran berbanding dengan hanya melancung, dalam keadaan tempat selesa (ada air- cond) dengan makanan minuman yang mewah.

16.0] Hadith ini ada sababul wurudnya. Kalaulah orang yang berjihad pun tidak diberi kelonggaran, apa lagi dengan keadaan biasa yang hanya untuk melancung dan berlibur. Janganlah jadi orang yang degil. Apa hukumnya? Contohnya, solat itu wajib, orang yang tidak solat, apa yang nak dibuat? Tanggunglah nanti.

17.0] Daripada Ibnu Abdullah bin Umar; ada tentera Islam yang singgah di Al-Hijr, iaitu kaum Thamud dan nabinya ialah Nabi Soleh as, ada sahabat yang cuba untuk mengambil air dari perigi disitu, ada yang sempat mengambilnya tetapi tidak sempat minum. Nabi mereka menyuruh mereka tuang balik air itu walaupun nabi itu menyayangi umatnya tetapi tetap bertegas atas haq Allah- qot'i. Unta dilepaskan, dan rupanya unta itu lebih faham untuk memilih tempat takungan air untuk diminumnya. Nabi Soleh as pun membenarkan umatnya minum ditempat unta itu minum. Begitulah qodho Allah, qodho tasri'. Begitulah juga dalam hadith nombor 3379 hadith Imam Bukhari dan hadith nombor 2981 hadith kitab Muslim iaitu kalaulah ada keharusan atau kebenaran tentulah sahabat nabi dahulu yang berada dalam keadaan genting dalam perjalanan untuk pergi berperang, adalah lebih layak untuk melalui dan berada di tempat begitu. Oleh itu janganlah kita menjadikannya patut jika hanya dengan tujuan berlibur, bersenang-senang, sangat tidak boleh. Tetapi jika pergi juga hendaklah baakin-tabaakun (menangis dan berusaha untuk menangis) dan lebihkan beristighfar dan memohon perlindungan daripada Allah ketika berada di situ daripada sibuk mengambil gambar, berselfie. Apabila kawan bertanya gambar diambil di mana, jawabnya , " Ini gambar di Laut Qaalu " [Qaalu inna lillaahi wainna ilaihi roojiuun].

18.0] Surah Al-Ankabut ayat 36 dan 37 ialah kisah Nabi Syu'aib as di negeri Madyan.


[Nota tambahan sebagai koleksi fikir: Madyan bukan asalnya nama tempat tetapi adalah nama bagi salah seorang anak keturunan Nabi Ibrahim as, lalu kabilah dan orang yang tinggal ditempat itu menamakan dengan nama Madyan kerana telah menjadi kebiasaan umat masa itu menamakan tempat tinggal mengikut nama salah seorang datuk nenek mereka yang berpengaruh]. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Qosos ayat 23.



19.0] Kisah perjalanan Nabi Musa as meninggalkan Negeri Mesir ke Negeri Madyan, berjumpa calon isterinya, putri kepada Nabi Syu'aib as dengan tidak sengaja. Nabi Musa as melihat pemandangan yang aneh, diantara pengembala kambing lelaki yang kuat tubuh badannya terdapat 2 orang anak gadis yang berada jauh menunggu giliran untuk memberi minum ternakan mereka. Ini patut dijadikan panduan dalam pergaulan  antara lelaki dengan perempuan di tempat kerja. Jangan jadikan alasan professional atau dipaksa maka yang haram menjadi halal. Tetaplah menjaga tatatertib pergaulan antara lelaki dan perempuan. Kalaulah ada keharusan kelonggaran, tentulah kedua puteri Nabi Syu'aib as itu telah berlawan dengan kaum lelaki yang sama menjadi pengembala kambing di padang pasir itu. Kurang syar'i jika muslimin dan muslimah berebut-rebut untuk makan di kantin pejabat. Juga dengan open house, batas pergaulan dilanggar, tidak ikut Al-Quran. Tetapi persoalan untuk mengangkat tangan ketika solat pula sibuk bertanya kepada  sampai 21 orang ustaz. Ini menunjukkan keutamaan yang tidak diikuti dan tidak tepat. Prioriti tidak kena tempat.

20.0] Islam bukan untuk Allah  dan bukan untuk Nabi saw. Islam ialah untuk kita umatnya.

21.0] Kisah Nabi Musa as ini adalah kisah percintaan yang sangat romantik quranik berbanding dengan kisah cinta isteri Aziz  pembesar Mesir yang bombastik, kejar-kejar, tutup pintu, koyak rabak baju.

22.0] Nabi Musa as yang telah sampai ke mata air Madyan, Madyan itu soohibul mudhof, yang empunya telaga air itu yang sudah berada disitu berkurun lama dahulu. Nabi Musa as telah menolong dengan ikhlas memberi minum ternakan 2 orang anak gadis yang telah berlalu pergi, kemudiannya terdetik rasa cinta. Nabi Musa as telah berdoa kepada Allah untuk mendapatkan jodoh dengan permintaan yang sangat romantik seperti didalam surah Al-Qasas ayat 24.

Nabi Musa melihat peluang yang Allah beri untuknya menolong anak gadis yang lemah itu sebagai suatu keikhlasannya yang terbaik (khair). Jika Nabi Musa as tidak mengikut  Al-Quran sudah tentu Nabi Musa as bersiul-siul atau mengganggu  anak gadis itu. Nabi Musa as terus memohon kepada Penciptanya tentang hasrat-nya yang terpendam.

Didalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman pula, dikatakan bahawa Nabi Musa as yang sendiri pun terlalu letih kerana menempuh perjalanan yang jauh dari Mesir ke situ dan sangat lapar, padahal tidak ada sesuatu yang hendak dimakan. Setelah membantu memberi minum ternakan gadis itu pergilah ia berteduh sambil berdoa seperti doa diatas.

23.0] Ayah kepada kedua orang anak gadis itu terkejut melihat anaknya balik cepat, lalu mereka menceritakan kepada ayah mereka tentang pertolongan anak muda itu. Ayahnya minta anak gadisnya memanggil pemuda itu untuk diberikan upah. Ketika anak gadis itu datang kali kedua dengan berjalan tersipu-sipu, menandakan sudah ada rasa malu, bibit-bibit cinta (hab-hab-hub) telah tersemai dihati. Namun tetap menjaga etika, sikap halus keperempuanan tetap dijaga, tetap sopan, terjaga sifat femininnya. Ayah kepada kedua anak gadis itu ialah Nabi Syu'aib as yang sudah dapat mengesan perasaan anak gadisnya lantaran Nabi Syu'aib as telah banyak makan garam, asam digunung, garam dilautan. Mungkin dengan melihat raut wajah anaknya Nabi Syu'aib as sudah faham dan dapat membaca perasaan hati anaknya. Anaknya pula memberi cadangan supaya diambil Nabi Musa as jadi pekerja mereka. Nabi Syu'aib as yang balaghahnya tinggi terus bersetuju dan menawarkan supaya Nabi Musa as memilih salah seorang anaknya sebagai isteri dengan syarat Nabi Musa as bekerja dengan keluarga mereka selama 8 tahun atau 10 tahun dan dipersetujui oleh Nabi Musa as.

24.0] Perasaan cinta berlawanan jenis bukan salah. Islam datang memberi garis panduan dalam kisah Nabi Musa as ini, bukan seperti kisah isteri Al-Aziz (imraatul Aziz) yang buruk tingkahlakunya, berkehendakkan kepada Nabi Yusuf as sehingga berkejaran ke pintu dan koyak baju Nabi Yusuf as dari belakang. Terserempak dengan suaminya kemudian membuat cerita bohong  pula bahawa Nabi Yusuf as yang berkehendakkan dirinya.

25.0] Doa Nabi Musa as untuk mendapatkan jodoh atau rezqi itu adalah sangat sederhana. Allah yang mencipta kita tentulah lebih tahu tentang isi hati kita. Ada orang kata doa kita kepada Allah mesti terperinci, mesti sebut betul-betul. Tidak perlu, sebab Allah Yang Maha Mengetahui segala isi hati hamba-Nya. Doa para nabi ringkas dan menyeluruh. Doa Nabi Ibrahim as untuk mendapat zuriat sangat sederhana,"Wahai Tuhanku, berikan daku zuriat yang baik". Tidak dikhususkan jantinanya. Contoh: jika suami berdoa mohon zuriat anak lelaki yang berwajah sepertinya, manakala isteri pula berdoa memohon zuriat anak perempuan berwajah sepertinya. Allah Maha Adil, apa kata jika Allah beri zuriat anak yang tengah-tengah?. Kita biasanya terlalu meminta agar anak berjaya dalam peperiksaan, minta dengan terperinci untuk mendapat 8 A atau 10 A atau lebih detail lagi. Ulama dahulu berdoa , " Ya Allah, jadikan anak-anak kami ini orang yang berilmu, yang beramal dengan ilmunya, dan yang soleh". Doa ringkas yang telah mencakupi keperluan dunia dan akhirat. Contohnya seorang jurutera yang beramal dengan ilmunya dan beramal soleh, sudah dapat menjamin syurga baginya. Diantara doa terbaik untuk anak zuriat keturunan ialah seperti didalam surah Al-Furqan ayat 74.

26.0] Tempat air Madyan dalam cerita diatas itu diambil sempena nama orang yang berjasa dan berpengaruh, seperti juga nama-nama tempat di negeri kita diambil sempena nama orang-orang yang berjasa, contoh; Datuk Keramat, Abdullah Hukum dan sebagainya. Terdapat juga nama-nama tempat yang tidak betul isnadnya, tidak ada kaitan atau tidak kena pada tempatnya sehingga timbul lucuan seperti Bukit Katil, Batu Berendam, Air Keruh dan sebagainya. Tentu ada kisahnya yang tersendiri bagaimana tempat-tempat itu mendapat namanya.

27.0] Selepas kisah panjang tentang Nabi Nuh as yang hebat, kisah Nabi Ibrahim as yang juga tidak kalah pentingnya dan yang terakhir ialah kisah  Nabi Luth as, diceritakan pula  kisah-kisah ringkas dan pendek tentang Nabi Syu'aib, Nabi Hud, Nabi Soleh, dan Nabi Musa. Bukan kisah sejarah tetapi pengajaran yang ringkas.

28.0] Nabi Syu'aib as ini keturunan Nabi Ibrahim as. Nama bapanya ialah Mikil bin Yashjar bin Madyan (datuk Nabi Syu'aib). Ibunya pula ialah anak perempuaan Nabi Luth as (bintun Luth), Nabi Syu'aib as ialah cucu Nabi Luth as. Nabi Luth as ialah anak saudara Nabi Ibrahim as. Nabi Luth anak Haran, Haran adalah adik-beradik Nabi Ibrahim as. Tengok lah kepada nasab keturunannya yang hebat. Ahli keluarganya ramai yang jadi nabi.

29.0] Nabi Syu'aib as adalah salah seorang daripada 4 nabi Allah yang ada garis keturunan (family tree) dari keturunan Arab. Berdasarkan hadith Ibnu Hibban, Baginda Nabi  saw pernah sebut nama-nama nabi dan rasul  kepada Abu Dzar. Nabi saw bersabda,"4 nabi yang disebutkan itu ialah berdarah Arab iaitu Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Syu'aib dan Nabi mu yang ini (Nabi Muhammad saw)".

30.0] Nama Nabi Syu'aib as disebut 10 kali didalam 4 surah Al-Quran iaitu dalam surah Al-A'raf, surah Hud, surah As-Syu'ara' dan surah Al-Ankabut. Daripada Salafus-soleh berdasarkan riwayat daripada Rasul saw, bahawa Nabi Syu'aib as ialah nabi yang terkenal dengan kefasihan dalam bercakap berbeza dengan Nabi Musa as yang agak kelu lidahnya. Nabi Syu'aib as fasih, petah fasohahnya, punya nilai balaghoh yang tinggi, kalimah atau kosakata yang dipilihnya manis dan terpilih. Nabi saw memujinya.

31.0] Kaum Nabi Syu'aib as terkenal sebagai ahli perniagaan dan petani. Dua bidang sumber ekonomi kehidupan ini dikuasai mereka. 90% rezqi Allah berikan kepada hamba-Nya adalah melalui perniagaan sementara rezqi Allah yang paling barokah ialah melalui bercucuk tanam atau bertani. Oleh itu bertuah orang yang punyai dua peluang pekerjaan ini. Carilah peluang untuk ceburi dua bidang pekerjaan ini. Jika punyai dusun atau ladang, tanamlah sendiri segala tanaman, tengok tanaman tumbuh membesar, berbuah, bila dipetik terasa nikmatnya penuh syukur. Untuk dimakan sendiri tidak kehabisan, untuk dijual tidak berbaloi, yang lebih seronok apabila disedeqahkan kepada kawan-kawan. Kenapa begitu? Tentulah lantaran ada barokahnya disitu.

32.0] Dua sumber ekonomi ini kuasai oleh kaum Madyan, dunia perniagaan dan pertanian, tetapi malang sekali dalam dunia perniagaan yang mereka jalani penuh  dengan curang, tipudaya, bohong, menipu, tidak jujur, kong kaling kong. Inilah kesilapan terbesar kaum Nabi Syu'aib as yang menghalalkan segala cara yang tidak betul dalam hubungan hablum minannas. Jenayah ekonomi yang terdahsyat. Apabila didalam sistem ekonomi penuh dengan curang dan tipudaya, manipulasi, keadilan sosial dan kesaksamaan tidak ada lagi. Bukan salah perniagaannya, tetapi salah sikap orangnya.

33.0] Jenayah hablum minallah (hubungan dengan Allah) Kaum Nabi Syu'aib as adalah sama dengan jenayah yang dilakukan oleh kaum nabi lain iaitu menolak Tauhid kepada Allah, manakala jenayah hablum minannas (hubungan sesama manusia) adalah berbeza-beza. Kaum Nabi Nuh as melakukan jenayah kemanusiaan, mereka adalah pengasas adanya sistem kasta yang cukup kuat dimana seseorang yang berkasta rendah tidak boleh berhubung atau berjabat tangan atau tidak boleh memijak bayang-bayang seseorang yang berkasta lebih tinggi. Kaum Nabi Syu'aib as melakukan jenayah ekonomi yang dahsyat dan kaum nabi-nabi lain juga melakukan jenayah berbeza dan apakah azab yang Allah timpakan kepada mereka? Azab yang Allah timpakan sesuai dengan perbuatan mereka.

34.0] Adalah lebih takut apabila kita pelajari nanti, umat Nabi Muhammad saw, umat akhir zaman ini yang serbaboleh. Semua ada segala jenis jenayah kemanusiaan yang telah berlaku diwaktu nabi-nabi dahulu.



















1 comment:

  1. Maaf bertanya 21 Jun tu last kelas ke.... sehingga dibuka semula kelas
    Terima kasih diatas usaha ini

    ReplyDelete