Tuesday, December 6, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 53-55) Kuliah 53- Azab Jahannam, Muhiitoh, Taubat, Ingat Mati

1.0] Minggu lepas kita telah pelajari surah Al-Ankabut ayat 53. Tidak sedikit ayat-ayat Al-Quran yang isinya adalah lebih-kurang sama dengan ayat 53 ini iaitu berkenaan dengan keadilan dan kebijaksanaan Allah dimana Allah memberitahu kepada hambaNya tentang azab dan balasan siksa bagi mereka yang layak dan patut disiksa tetapi Allah menangguhkan siksaan itu kerana ada hikmah disebaliknya. 

2.0] Itulah keadilan dan kebijaksanaan Allah. Kalaulah hanya untuk Allah menyatakan sifat adilNya dan katakan Allah tidak punyai sifat Al-Halim Al-HakimNya maka akan terjadilah seperti di dalam surah An-Nahlu ayat 61;


Jikalaulah Allah hendak timpakan siksaan kepada manusia kerana dosa, maksiat dan kezaliman manusia dan jikalah Allah hendak menzahirkan sifat adilNya dan bukan sifat Al-Hakim Al-HalimNya, maka tidak akan tinggal di muka bumi ini satu makhluk pun yang melata termasuk manusia kerana kita semua berdosa. Jika dengan berdosa sahaja terus mendapat balasan siksa daripada Allah, contohnya katakanlah jika melakukan dosa kecil sahaja akan sakit kepala, atau jika tidak bersolat akan segera mati, mencuri sahaja akan hilang tangan, rasuah pula akan muntah kedarah, kalaulah begitu tidak akan ada makhluk yang hidup di planet bumi ini kerana semua makhluk melakukan dosa. Katakanlah jika pada kira-kira pukul 6 pagi 1 januari, seseorang hamba Allah itu telah baligh, mungkin pada tengaharinya sudah mati kerana pada pukul 9 paginya telah berbuat dosa dan sudah mendapat balasan siksa. Allah kata, "Aku tidak semata-mata tunjukkan sifat adilKu tetapi juga Aku tunjukkan sifat Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Hakim, Al-HalimKu, sebab itulah Aku taakhirkan tangguhkan balasan siksa, bukan dihilangkan, bukan dinafikan, bukan ditiadakan, sehingga tempuh yang ditetapkan dan apabila tiba ajal mereka, mereka tidak dapat menangguhkan walaupun sesaat dan tidak dapat pula menyegerakan walaupun sesaat". Semuanya itu mesti ada hikmahnya. Rujuk surah Faatir ayat 45;

Ayat yang serupa dengan ayat yang sebelumnya cuma ada sedikit sahaja perbezaan dihujung ayat. Walaupun uslubnya berbeza, tetapi berbicara masalah yang sama yakni tentang kepastian adanya balasan bagi setiap amalan terutamanya balasan siksa terhadap dosa yang mana ianya adalah suatu yang haq dan pasti. Hanya saanya kerana Allah ingin tunjukkan sifat Al-Hakim, Ar-Rahman, Ar-RahimNya, Allah tangguhkan balasan, bukan sebab belum cukup bukti, bukan kerana Allah tiada keberanian untuk timpakan azabNya kepada hambaNya.

3.0] Ayat berikutnya masih ada kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu surah Al-Ankabut ayat 54;

Ayat ini menunjukkan lagi-lagi kedegilan orang-orang kafir terserlah kerana mereka meminta kepada Nabi saw agar Allah menyegerakan azab keatas mereka dengan tidak perlu ditunggu-tunggu atau tidak perlu ditangguhkan lagi. Seolah-olah mereka berkata, "Ya Muhammad, kalaulah engkau betul-betul berani, dan Tuhanmu bercakap benar, tidak payahlah menunda azab itu!" Kejahatan mereka menjadi-jadi, dan ayat 54 di atas ialah ayat ta'ajjubiyyah, ayat yang ada lam yang menunjukkan rasa pelik, heran kepada sikap dan perangai orang kafir yang meminta kepada Allah agar disegerakan azab jika ianya benar adanya kerana mereka tidak percaya. "Dari dahulu lagi datuk nenek kami telah diberi amaran tetapi tidak pernah datang pun azab", kata mereka.

4.0] Mereka lupa bahawa Jahannam itu muhiitoh- meliputi. Maksud muhiitoh bil kaafirin boleh rujuk surah Al-A'raf ayat 41 dan ayat-ayat lain;

Makna pertama bagi muhiitoh iaitu habuan daripada Jahannam ialah sebagai mihaad-tempat tidur, dari bahasa harian ialah  mahdun yang bermakna buaian, buaian dari api dibuai dari api untuk mereka dan di atas mereka ada ghowasy (kata dasarnya غَ, شِ, يَ yang menutup)- ghoosyiah- ghisyaawah seperti berada di dalam super oven atau sauna yang panasnya tidak bocor keluar.

5.0] Makna muhiitoh yang kedua ialah dengan mentafsir ayat dengan ayat Al-Quran yang lain, yang pasti benar yang mana menunjukkan bahawa Jahannam itu muhiitoh ialah dengan adanya kalimah dzulal - ظُلَلٌ - iaitu teduhan yang dibuat dari api dari atas dan dari bawahnya pun dzulal-api. Dzillun ialah naungan atau teduhan tetapi dari api dari atas dan juga dari bawah, panasnya datang dari semua arah dan penjuru.

6.0] Makna muhiitoh yang ketiga ialah dengan berpandukan surah Al-Muddathir ayat 26-28 iaitu tentang Neraka Saqar yang bersifat la tubqi (tidak menyisakan) dan la tazar (tidak membiarkan).



Api Jahannam itu muhiitoh, meliputi, la tubqi- tidak meninggalkan sisa dan la tazar- tidak membiarkan sesuatu apa yang memasukinya tanpa disentuhnya. Katakanlah di dalam neraka itu ada 10 ribu orang, tiada seorang pun yang dapat terlepas dari mendapat kepanasannya, berbeza dengan kebakaran di dunia dimana jika ada orang yang terperangkap di dalamnya, masih ada orang yang terselamat kerana mungkin terlindung di sebalik dinding atau sesuatu yang lain. Contohnya jika memanggang ayam, dan jika kita tidak pandai menjaga apinya, ada kemungkinan bahagian luar ayam sudah hangus terbakar tetapi bahagian dalamnya ada yang masih mentah kerana belum masak, iaitu adalah bahagian yang tidak sampai api kepadanya. Api dunia masih tazar, membiarkan, tidak sama dengan api neraka yang tidak membiarkan tersisa, semua akan terbakar dalam dan luarnya.

7.0] Api dunia terbakarkan jasad sahaja tetapi tidak jiwa dan hati makhluk, kerana ruh telah keluar daripada jasad ketika matinya, manakala api neraka membakar jasad jasmani dan juga jiwa dan hati -rohani seseorang. Hati yang dimaksudkan di sini ialah hati rohani yang tempatnya iman, kufur, sedih, gembira, dan sebagainya berkumpul, bukan hati fizikal. Rujuk surah Al-Humazah ayat 6-8;





Api neraka tiada yang boleh terlepas, walau berselindung disebalik apa pun. Api yang membakar sampai ke hati (af idah), yang mana mufradnya ialah fuad. Api neraka yang muhiitoh meliputi. Rujuk lagi surah Al-Anbiya ayat 39 ;

Demikianlah orang-orang kafir disiksa di dalam api neraka. Mereka tidak dapat lagi untuk menghalang atau mengelak daripada bakaran api yang membakar tubuh mereka dari muka dan belakang mereka. Tidak sedikit ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan tentang muhiitohnya api neraka, walaupun dengan uslub atau struktur ayat yang sedikit berbeza tetapi maknanya adalah sama termasuklah juga surah Al-Ankabut ayat 55.

8.0] Surah Al-Ankabut ayat 55;

Alah menjelaskan tentang siksaan  api neraka yang menyeliputi, menutupi mereka dari atas dan dari bawah kaki sambil dikatakan, "Rasakanlah pembalasan dari apa yang kamu dahulu telah buat". Segala perbuatan dosa akan dibalas dengan siksa manakala segala perbuatan baik akan dibalas dengan nikmat syurga. Ini bermakna segala amal perbuatan kita semasa hidup di dunia ini, samada dari ucapan, perbuatan, niat dan i'tiqad kita akan mengakibatkan 2 perkara sahaja samada untuk mendapat balasan siksa atau untuk mendapat balasan nikmat. Maknanya setiap saat, setiap hari kita sedang menempah balasan untuk hari akhirat, terserahlah kepada kita untuk memilih balasan yang mana satu.

9.0] Penjelasan di atas ialah tafsiran ayat dengan ayat yang lain tetapi kita juga akan membincangkan ayat 55 ini dengan cara yang sedikit lebih cermat, lebih teliti dan lebih cerdas. Jika cermat tetapi tidak cerdas pun tidak menjadi, manakala jika cerdas tetapi tidak cermat juga akan menjadi sembrono juga. Oleh itu dalam memahami ayat kenalah cermat dan cerdas. Perhatikan kenapa ayat 55 surah Al-Ankabut ini, Allah hanya menyebutkan bahawa datangnya azab dari 2 arah iaitu dari atas dan dari bawah kaki, kenapa tidak disebut datangnya azab dari kiri, kanan, depan, belakang padahal azab neraka adalah muhiitoh? Perhatikan;

i) Allah menyatakan azab datang dari arah atas dan dari bawah kaki;
   مِن فَوقِهِم ،  وَمِن تَحتِ اَرجُلِهِم
ii) Kenapa tidak dikatakan azab datang dari arah kanan, kiri, hadapan atau belakang?
   اَليَمِين ، اَلشِّمَال ، قَدَّام ، خَلفٌ
iii) Kenapa tidak dikatakan azab datang dari atas mereka dan dari bawah mereka?
    مِن فَوقِهِم ، وَمِن تَحتِهِم
iv) Kenapa tidak dikatakan azab datang dari atas kepala mereka dan dari bawah kaki mereka?
    مِن فَوقِ رُءُوسِهِم ، وَمِن تَحتِ اَرجُلِهِم

Apabila kalimah berbeza, uslub berbeza, mestilah ada apa-apa yang hendak disampaikan oleh Allah. Ayat ini bukan tersalah, bukan tertinggal tetapi bersebab dan adalah untuk menunjukkan bahawa api neraka adalah tidak sama dengan api dunia.

10.0] Sifat api dunia adalah pasti menaik dan tidak menurun. Api neraka pula adalah bersifat menurun dari atas. Sebab itulah di dalam ayat 55 di atas disebutkan -  مِن فَوقِهِم ، api yang datang dari atas mereka  - untuk membezakan daripada api dunia. Perbezaan yang kedua pula ialah di dalam ayat 55 itu disebut - وَمِن تَحتِ اَرجُلِهِم - dan api neraka datang dari arah bawah kaki mereka. Jikalaulah seseorang memasuki rumah yang sedang terbakar, api yang sedang marak, akan didapati tempat yang paling berkurang panasnya ialah bahagian bawah iaitu lantainya, jika terdapat bara sekali pun akan padam jika dipijak-pijak. Berbeza sekali dengan api neraka yang datang dari arah bawah kaki yang terus menerus marak, panas selama-lamanya dan tidak padam-padam walaupun dipijak-pijak.

11.0] Kenapa tidak dikatakan azab  itu datang dari kanan, kiri, hadapan dan belakang? Sebabnya ialah kerana kedua-dua jenis api itu iaitu api dunia dan api neraka yang sedang marak dalam keadaan tertutup, sememangnya datang dari segenap arah, tiada perbezaannya.

12.0] Kenapa tidak dikatakan azab itu datang dari atas dan dari bawah mereka? Sebabnya ialah jika dikatakan begitu menunjukkan arah api yang terhad, padahal sifat api samada api dunia atau api neraka adalah meliputi dan datang dari segenap arah.

13.0] Kenapa pula tidak dikatakan azab itu datang dari atas kepala mereka dan dari bawah kaki mereka? Sebabnya ialah  juga untuk menunjukkan bahawa sifat api  tidak terhad arah datangnya.

14.0] Ayat (i) di atas yang menyatakan bahawa azab neraka iaitu apinya turun dari atas, meliputi, menyeluruh, membakar tanpa meninggalkan sisa disertai juga dengan apinya yang datang dari arah bawah kaki yang terus menerus menyala marak dan tidak padam-padam, menyambar dari segenap arah membezakannya dari api dunia yang mudah padam.

15.0] Pertanyaannya, "Kenapa api neraka seperti itu sifatnya?" Sebenarnya ada clue jawapannya di dalam surah To Ha ayat 74:


Kenapa api neraka sebegitu marak menyala dan datang dari segenap arah, meliputi, membakar tubuh orang yang berdosa sedemikian rupa? Seolah-olah ada daya tarikan magnet yang menarik api terhadap tubuh orang yang berdosa itu? Rupanya dengan memahami penggunaan istilah bahasa dapat disingkap makna yang mendalam di dalam surah To Ha ayat 74 di atas. Penggunaan istilah innahu  -   هُ ,اِنَّهُ  ialah dhomir sya'ni iaitu dhomir yang tidak punya tempat kembali, tidak punya marja'. Lalu kenapa diletakkan disitu? Lihat dahulu contoh penggunaan dhomir (gantinama) di dalam 2 ayat di bawah, contohnya;

i) Ali anak saya itu keretanya telah hilang. هُ  -nya- gantinama nya itu kembali kepada Ali.

ii) Surah Al-Ikhlas;  قُل هُوَاللهُ اَحَدٌ - huwa -  هُوَ itu adalah dhomir sya'ni, kalaulah هُوَ   itu tidak ada pun, ayat itu sudah sempurna. هُوَ  itu tiada tempat kembalinya.

Apabila Allah berfirman dengan menggunakan dhomir sya'ni, maka apa yang disebut selepasnya adalah sangat-sangat penting dan serius dan perlulah kita berhenti sejenak memerhatikan dan memahami apa yang Allah hendak nyatakan. Begitulah juga dengan ayat di dalam surah Al-Ikhlas   قُل هُوَاللهُ اَحَدٌ yang merupakan ayat peneguhan tauhid.

16.0] Di dalam surah To Ha ayat 74, kalimah man - مَن - merujuk kepada sesiapa sahaja, tidak kira samada dia orang Arab atau tidak, miskin atau kaya, orang dahulu atau orang sekarang, orang putih atau orang sawo matang, yang apabila mati, berjumpa Allah dalam keadaan berdosa, pasti sesungguhnya baginya neraka Jahannam. Kalimah فَاِنَّ لَهُوجَهَنَّم - maka sesungguhnya baginya Jahannam - lahu - لَهُو - didahului daripada جَهَنَّم pun ada ikhtisasnya berbanding jika dengan susunan biasa iaitu ;
 فَاِنَّ جَهَنَّمَ لَهُ - maka sesungguhnya Jahannam baginya. Kedua ayat itu memberi makna yang berbeza. Orang yang berdosa (mujrim) tidak mati di dalam Jahannam tetapi tersiksa, digantikan kulitnya yang hangus dengan kulit baharu untuk terus merasai siksa, kerana dosanya menjadi magnet daya penarik api yang boleh menarik api Jahannam membakar tubuhnya dari segenap arah. Na'uzubillah.

17.0] Cerita di dalam surah To Ha dari ayat 70-73 menceritakan tentang ahli sihir Fir'aun yang telah sedar kesilapan diri dan mula beriman, rela dipotong kaki-tangan dan disalib di pangkal pohon kurma oleh Fir'aun, demi untuk mendapat pengampunan Allah di dunia lagi supaya tidak disiksa oleh Allah di neraka, di hari akhirat, atas kemungkaran yang mereka telah lakukan di dunia selama itu. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mendapatkan keampunan Allah. Begitulah hebatnya nilai untuk mendapatkan pengampunan daripada Allah yang diharapkan oleh setiap manusia. Kalaulah dengan suruhan berqiamullail atau dengan pergi mengerjakan umrah menjadi sebagai syarat untuk mendapat pengampunan Allah, itu adalah ringan malah dengan pergi mengerjakan umrah dapat pula bershopping, menyeronokkan. "Awasilah, perbetulkan niat!, kerana jika tidak mendapat pengampunan Allah, neraka Jahannamlah balasannya".

18.0] Api neraka tidak secara otomatik menyala bagi setiap orang yang melaluinya kerana orang yang tersiksa di dalam Jahannam hanyalah orang-orang yang berdosa manakala orang-orang yang tidak berdosa, Jahannam tidak menyala. Pertanyaannya, "Adakah orang yang tidak berdosa memasuki Jahannam? Al-Quran telah menjelaskan bahawa semua orang akan melalui Jahannam, tiada seorang pun yang tidak akan melalui Jahannam, tiada jalan lain dan ia adalah keputusan dan satu ketetapan daripada Allah yang boleh didapati penegasannya di dalam surah Maryam ayat 71;

Macamana orang mukmin juga pasti akan memasuki Jahannam? Selama ini kita diberi informasi bahawa adanya titian sirat diantara Padang Mahsyar dengan Syurga, yang sangat halus dan tajam yang perlu dilalui oleh semua orang samada dengan keadaan sepantas kilat atau seperti menunggang kuda atau seperti berlari atau seperti merangkak dengan penuh merasa gayat dan sebagainya serta dibawahnya tersedia neraka dengan api menjulang-julang. Bukan begitu visualisasinya, informasi sedemikian tidak memberi gambaran menarik tentang syurga dan neraka. Perhatikan surah Maryam ayat 68-72 dengan hati terbuka dan dengan sedikit cermat dan cerdas.





19.0] Semasa turun ayat ini para sahabat terkejut, dan sudah tentulah bagi kita semua juga. Para sahabat berkata,"Ya Rasul, kalaulah setiap kita akan masuk Jahannam, apa bezanya orang mukmin dengan orang kafir? Nabi saw menjawab, "Apabila kamu orang-orang yang soleh, calon-calon ahli syurga melalui jalan itu, neraka tidak akan menyala-nyala sebagaimana dahulu api dunia menjadi sejuk keatas Nabi Ibrahim as". Bagaimana api Jahannam boleh tidak menyala dan tidak membakar tubuh orang soleh? Sebabnya ialah kerana tubuh yang tiada dosa tiada daya magnet untuk menarik api, tiada daya tarikan kepada api Jahannam iaitu tiadanya dosa di dalam tubuh seseorang itu. Yang menyebabkan api Jahannam menyambar tubuh seseorang ialah dengan adanya dosa-dosanya.

20.0] Contoh perjalanan kita menuju ke destinasi syurga ialah seperti ketika menaiki LRT yang berhenti di setiap hentian- manzil. Lantaran kita telah pun membeli tiket tertentu, terpaksalah juga kita lalui setiap hentian sebelum sampai ke destinasi kita. Alam barzakh ialah stesen yang pertama di akhirat yang perlu dilalui oleh setiap orang sebelum sampai ke stesen terakhir iaitu syurga. Ambil contoh ahli syihir Fir'aun yang rela dirinya disiksa di dunia kerana sangat berharap agar Allah mengampunkan dosa-dosa yang sangat banyak di dunia. Jika mati dengan mendapat keampunan dari Allah maka nanti tidak akan memasuki neraka tetapi jika mati sebelum dosa-dosa terampun akan mati sebagai syirik atau kafir yang pastinya akan bertemu azab Jahannam.

21.0] Inilah peri pentingnya bertaubat, memohon keampunan Allah, beristighfar bersungguh-sungguh dengan hati dan ini bukannya perkara remeh, bukan perkara kecil, kerana setiap saat dan hari-hari yang kita lalui mungkin bertambah-tambah dosa-dosa kita. maka bertaubatlah di setiap masa, bertaubatlah di setiap saat, tidak boleh ditangguh-tangguhkan lagi, tidak boleh berfikir bahawa belum masanya untuk bertaubat. Jangan sesekali berfikir bahawa umur masih muda lagi, mungkin jika baru mencecah umur 18 dan ingin ditunggu ke umur 18 terbalik (umur 81) baru ingin bertaubat. Jangan begitu kerana ajal datang tiba-tiba.

22.0] Taubat itu segala-galanya, bukan hanya sekadar bertaubat memohon keampunan dari Allah atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan tetapi juga berusahalah supaya kita tidak mengulangi lagi melakukan dosa dimasa hadapan, supaya kita tidak menambah-nambah dosa-dosa kita. Janganlah menjadi insan yang malamnya menangis diatas tikar sejadah, berqiamullail, memohon ampunan daripada Allah, tetapi kemudian pada siangnya berdosa kembali. Jauhilah sama sekali dari melakukan samada dosa besar atau dosa kecil kerana seperti kata Ibnu Abbas;

لَا صَغِيرَةً اِذَاقَابَلَكَ عَدلُهُ ، وَلَا كَبِيرَةً اِذَاقَابَلَكَ فَضلُهُ

Yang bermaksud, "Tiada dosa kecil apabila Allah akan memperlakukan mu dengan sifat adilNya dan tidak ada dosa besar apabila Allah memperlakukanmu dengan kurniaanNya" Itu bermakna dosa kecil pun ada balasannya jika Allah menunjukkan keadilanNya, dan sekecil mana pun balasan bagi dosa ialah neraka dan seringan-ringan azab neraka ialah memakai capal daripada api yang panasnya sampai menggelegakkan otak. Oleh itu jangan meremehkan dosa-dosa kecil, lebih-lebih lagi dosa-dosa besar. Tetapi apabila Allah mengampuni dan merahmati kita dengan sifat Ghafur, Rahman dan RahimNya maka tiada lagi dosa bagi kita. Oleh itu janganlah berharapkan Allah berlaku dengan adil kepada kita tetapi berharaplah agar Allah berlaku dengan Ghafur, Rahman dan RahimNya terhadap kita .

23.0] Adalah tidak mencukupi hanya dengan berdoa tetapi hendaklah berusaha untuk bertaubat, mohon ampunan yang bersungguh-sungguh di dunia sebelum ajal menjemput kita, delete semua dosa-dosa semasa di dunia. "Tetapi bagaimana untuk bertaubat kerana dosa sudah terlalu banyak?" soal hambaNya. Jawab Allah,"Jangan berputus-asa dari rahmatKu, walau segunung pun dosa-dosa kamu, Aku akan ampunkan, mohonlah ampunan dariKu sebelum kamu mati, sebelum kamu datang berjumpaKu, kerana sesiapa yang datang berjumpaKu dalam keadaan berdosa akan disiksa di dalam Jahannam". Ayat 74 surah To Ha, adalah ayat yang tegas, sematkan dihati supaya sentiasa termotivasi untuk bersegera bertaubat dari segala dosa-dosa pada setiap masa.

24.0] Oleh sebab itu, berhentilah dari melakukan kesalahan, jangan ditambah-tambahkan dosa, jangan diikut-ikutkan perlakuan orang-orang yang salah dan silap. Buat apa perlunya belajar tinggi-tinggi? Belajar tinggi-tinggi adalah supaya tidak terikut-ikut orang yang berbuat salah dan tahu menilai sendiri betul atau silap. Allah Maha Pengampun, selagi kita masih diberi peluang dan ruang untuk hidup di dunia ini, manafaatkanlah dengan sebaiknya. Beristighfarlah, merayulah kepada Allah mohon diampunkan, dimaafkan, dipadamkan segala kesalahan kita, dosa-dosa kita yang besar yang kecil, yang nyata yang tersembunyi, yang sengaja yang tidak sengaja, yang kita tahu yang kita tidak tahu, yang kita ingat yang kita sudah lupa, yang telah kita lakukan, yang sedang kita lakukan dan yang akan kita lakukan. Dosa-dosa melalui perkataan, perbuatan, niat dan i'tiqad kita, moga semuanya dipadamkan dan dimaafkan oleh Allah dan kita berusaha untuk menjaga tidak diulangi. Kita tidak tahu bila Allah akan memanggil kita kembali kepadaNya, tetapi yang pasti ianya adalah pasti. Jangan difikir umur kita masih sempat untuk menyambut Hari Raya, atau merasa masih lambat lagi untuk mati, kerana ajal datang tiba-tiba dan bila-bila. Jika tidak ingat mati, hidup penuh dengan mainan yang sia-sia. Hidup akan menjadi lebih baik dan lebih teratur jika kita sentiasa ingatkan mati dan berusaha untuk sentiasa bersedia menghadapinya. Mudah-mudahan kita semua diberkati Ilahi.

















No comments:

Post a Comment