Tuesday, February 21, 2017

Surah Al-Ankabut (ayat 60) - Kuliah 61 - Daabbah (Pencari Rezki), Wasilah (Perantara), Ibadah

 1.0] Surah Al-Ankabut ayat 60;


Betapa banyak daabbah di muka bumi yang tidak mampu menanggung rezkinya kerana tidak mampu membawa atau menyimpan rezkinya. Lihat sahajalah semua binatang atau haiwan yang bergerak, kecuali manusia, semut dan tikus, mereka tidak mampu membawa atau menyimpan habuan rezki mereka. Tupai misalnya, hanya mencuri sebiji buah kelapa setelah ditebuknya, lalu dimakan, tidak habis, ditinggalkan, tidak dibawa balik ke sarang untuk kegunaan besoknya. Burung, ular, hatta harimau tidak membawa balik makanannya, hanya manusia sahaja yang membawa balik habuannya. Contohnya ketika manusia pergi ke tempat kenduri, makan sehingga kenyang kemudian membawa balik pula makanan untuk dipanaskan dan dimakan besok harinya pula.

2.0] Sungguh ajaib sekali kepelbagaian ciptaan Allah atas makhlukNya, jika daabbah itu mampu membawa habuan rezkinya seperti keldai tetapi tidak mampu menyimpannya. Semut mungkin ada kelebihan menyimpan tetapi bermasalah dalam membawanya. Di dalam Kitab Rahsia Hayawan tentang semut (namlah), ada menyatakan bahawa setelah semut itu memotong sehelai daun, mungkin dengan gigitan giginya yang tajam, lalu dibawanya ke sarangnya dengan susah-payah untuk keluarga dan anak-anaknya. Ketika itu ada pula seekor lagi semut lain yang menenggek diatas daun yang diusung itu, walhal daun itu pun sudah sangat berat bagi semut tersebut. Ada fungsi rupanya. Semut yang sedang membawa keratan daun tadi tidak nampak dan tidak mampu untuk mempertahankan diri dan makanannya daripada serangan haiwan yang lain, sebab itulah ada seekor semut lain yang berada di atas daun yang diusung itu dengan tujuan sebagai pengawal dari serangan haiwan pemangsa lain. Subhanallah, semut mampu membawa habuannya, rezkinya, tetapi tidak mampu mempertahankan diri tanpa bantuan. Itulah kurniaan Allah yang mengajar semut kemahiran untuk mengawal dan mempertahankan rezki habuannya daripada diserang oleh makhluk pemangsa lain ketika proses pengangkutan makanannya itu. Ini ialah Sunnah Ilahiah, uslub, iaitu bagaimana cara Allah hendak menyampaikan rezki kepada hambaNya, makhlukNya yang diciptakanNya. Kalau tidak kerana Sunnah Ilahiah ini semut yang diberi upaya oleh Allah dapat membawa makanannya namun akan sentiasa gagal kerana hanya berpenat-lelah membawa makanannya tetapi tidak sempat sampai ke sarangnya kerana selalu dirompak ditengah jalan. Terlalu banyak lanun di jalanan iaitu terdiri daripada jenis binatang yang tidak pandai untuk menyimpan makanan tetapi hanya tahu untuk makan di situ juga. Itu senario luar biasa. Allahlah yang memberi rezki kepada semua makhlukNya. Kalaulah tidak kerana ilmu yang Allah ajarkan kepada mereka iaitu hidayah fitriah atau hidayah ghoriziah, tentulah semut-semut kelaparan kerana semut jarang makan apa yang dia jumpai melainkan hanya sekadar merasa sedikit, lalu dibawa balik dan ketika membawa balik makanannya itu dia sendiri belum kenyang tambahan pula dijalanan banyak lanun yang akan menyerang dan ada kemungkinan semut itu mati kelaparan. Risiko yang sangat besar kerana perjalanannya berhadapan dengan lanun-lanun (makhluk pemangsa lain), dan semut-semut yang mengusung makanan hanya menumpukan kepada makanan yang diusungnya dan berada di bahagian bawah. Mereka tidak nampak musuh yang di atas, sebab itulah ada seekor semut lain yang duduk diatas sebagai pembantu, yang memerhati kalau-kalau ada lanun yang hendak menyerang mereka. Walhal makanan itu pun sudah berat dan sangat susah bagi semut-semut itu mengusungnya inikan pula ada seekor semut lain pula yang berada diatas bersama makanannya. Kehebatan semut ialah dapat menarik makanan yang berganda-ganda beratnya daripada berat badannya sendiri, sebab itulah semut semuanya ramping-ramping kerana rajin dan kuat bekerja. Ikutlah sunnah semut yang boleh dibuat panduan iaitu semut yang makannya sedikit kemudian bekerja keras untuk menarik makanan ke sarangnya. Ini sunnah Ilahiah bagaimana Allah memberi dan menjamin rezki kepada makhluk ciptaanNya.

3.0] Di dalam ayat di atas dinyatakan bahawa Allahlah yang memberi rezki kepadanya dan kepada kamu. Kenapa dibezakan? Jawapannya ialah kerana rupa-rupanya rezki tidak boleh dikongsi dengan makhluk lain atau sesama kita. Rujuk surah Al-An 'am ayat 151 dan surah Al-Isra' ayat 31;

Cuba telitikan kalimah tentang rezki dari 2 ayat di atas dan bandingkan;

i) Surah Al-An'am ayat 151 -  نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَاِيَّاهُمْ - Kami yang memberi rezki kepada kamu dan kepada mereka.

ii) Surah Al-Isra' ayat 31 -  نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَاِيَّاكُمْ - Kami yang memberi rezki kepada mereka dan kepada kamu.

Kenapa diasingkan dan dibezakan antara kalimah kamu dan mereka?
Kenapa tidak dikatakan, "Kamilah yang memberi rezki kepada kamu semuanya"
Jawapannya ialah, diasingkan dua ayat itu ialah untuk menunjukkan bahawa rezki itu tidak berkongsi. Masing-masing mendapat habuan rezki yang tidak berkongsi, maksudnya rezki kamu hanya untuk kamu, rezki mereka hanya untuk mereka. Sabda Nabi saw, "Seseorang tidak akan dimatikan oleh Allah sehingga rezkinya dicukupkan untuknya, maknanya setelah rezkinya telah habis digunakan olehnya. Saat dia mati maknanya rezkinya sudah kehabisan. Orang yang belum habis rezkinya belum dimatikan, macam kita yang belum dimatikan maknanya rezki kita belum habis. Oleh itu jika kita asyik meminta rezki yang banyak-banyak sangat, apa maknanya itu?

4.0] Andailah rezki berkongsi, katakan A seorang yang masih bujang dan rezkinya dijamin oleh Allah 100% semasa hidupnya. Kemudian setelah berkahwin, ada isteri, agaknya berapa rezkinya sebagai suami dan berapa rezki yang perlu dikongsi oleh isterinya? Kemudian dapat pula anak, berapa pula bahagian rezki bagi anak atau anak-anaknya? Itu belum lagi untuk dibahagi kepada menantu atau menantu-menantu dan cucu-cucunya. Kalaulah rezki berkongsi dan tidak nafsi-nafsi tentulah seorang suami sudah papa kedana sebelum bermenantu bercucu. Oleh sebab itu setiap orang mendapat 100% rezkinya masing-masing samada ketika masih bujang atau setelah berkahwin dan masing-masing bagi isteri dan anak-anak juga mendapat rezki 100% masing-masing. Setiap orang ada habuan masing-masing, hanyasanya cara Allah menyampaikan rezki kepada hambaNya itu yang berbeza-beza. Rezki seorang isteri mungkin melalui suaminya dan suaminya hanya menjadi wasilah (perantara) untuk Allah salurkan rezki seorang isteri itu. Hakikatnya setiap daripada kita ini dijadikan Allah sebagai wasilah atau perantara bagi hamba-hamba Allah mendapat rezkinya daripada Allah. Cara Allah memberi rezki kepada kita hambaNya bukanlah secara terus diberi dengan kun fa ya kun tetapi Allah memberi melalui orang lain. Rezki yang Allah berikan kepada orang lain itu pula  adalah melalui orang yang lain pula atau mungkin melalui tangan kita juga. Bukan Allah tidak berkuasa untuk memberi secara terus kepada kita tetapi telah menjadi sunnah Ilahiah Allah memberi melalui wasilah. Rezki kita semuanya dijamin oleh Allah, oleh itu tidak perlu risau. Allah berfirman, "Akulah yang memberi rezki kepada daabbah dan kepada kamu".

5.0] Rezki untuk kucing yang kita pelihara adalah dari Allah melalui kita sebagai wasilahnya. Jangan sampai mengungkit seperti, "Kucing tidak sedar diri, dahulu kurap merempat di tepi jalan, aku telah banyak belanjakan untuk makanan kamu, tetapi kamu cakar aku sampai perlu berjahit begini. Kalau aku tidak bela kamu, kamu sudah mati kucing!". Jangan begitu, jangan kita mengambil nama Allah Ar-Razzaq, satu-satunya zat yang berhak memberi rezki. Hanya Allah yang memberi rezki, manakala yang lain diberi rezki. Kita hanya dilantik untuk menjadi wasilah, ejen untuk memberi, maka bersyukurlah apabila kita menjadi ejen memberi kerana kita mendapat pahala sedangkan kita tidak akan kehilangan apa-apa kerana apa yang kita berikan kepada orang lain itu ialah rezki yang Allah tetapkan untuknya. Kita sendiri sebenarnya tidak dapat memberi apa-apa kerana kita tidak punyai apa-apa pun. Itu sunnatullah.

6.0] Jangan sekali-kali berlaku kata-kata begini, "Kalau saya tidak mengambil awak sebagai pekerja saya, entah awak boleh makan atau tidak, saya yang biaya awak, ingat itu!" Jangan, itu dosa, sejak bila dia merampas hak Allah sebagai pemberi rezki. Kita diajar dalam aqidah, Tauhidul Asma Was-Sifat - Tauhid Rububiyyah - bahawa Ar-Razzaq itu Allah SWT. Tidak boleh kita meyakini ada selain Allah yang boleh memberi kita rezki, melainkan hanya sebagai wasilah, perantara dan itu adalah As-Sunnah Al-Ilahiah. Sunnah yang Allah telah tetapkan.

7.0] Dalam bab rezki, Allah selalu gunakan dhomir (gantinama) kami (nahnu) kerana cara Allah memberi rezki kepada hambaNya adalah melalui orang lain iaitu melibatkan makhluk Allah yang lain. Contohnya "Rezki yang Allah berikan kepada saya, dari mula saya lahir melalui ibu saya, keluar ASI (air susu ibu) yang Allah ciptakan buat saya bukan buat ibu saya. Buktinya ialah sebelum mengandung dan melahirkan saya ibu saya tiada pun air susu. setelah saya lahir sahaja ASI keluar dengan banyak memenuhi keperluan saya tetapi setelah saya semakin membesar, ASI berhenti dengan sendirinya. Itulah rezki buat saya tetapi melalui ibu saya!". Itulah namanya wasilah. Tidak boleh dan berdosa jika ada seorang ibu yang tidak memberi susu kepada anaknya atau pun mengungkit," Kalaulah ibu tidak susui kamu, qoolu (mati) kamu!".

8.0] Kita pula diwajibkan untuk mensyukuri dan berterima-kasih kepada ibu-bapa dan juga orang lain yang menjadi wasilah untuk kita dapatkan rezki. Orang yang tidak berterima-kasih kepada manusia, tidak berterima-kasih kepada Allah. Oleh itu kita di suruh untuk mensyukuri dan berterima-kasih kepada ibu-bapa seperti firman Allah, "Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu-bapamu".

9.0] Ada orang yang sakit, ingin sembuh. Sembuh dan sihat itu adalah rezki dan datang daripada Allah. Bagaimana Allah berikan nikmat sihat itu bagi yang sakit? Kebanyakannya adalah melalui doktor yang merawatnya. Bukan Allah tidak berkuasa untuk menyembuhkannya tanpa doktor, kerana jika Allah berkehendak, dengan tidak payah berubat pun boleh sembuh. Bahkan yang tua boleh jadi muda jika Allah kehendaki, tiada yang mustahil. Rezki para doktor pun Allah yang beri, bukannya terus turun daripada langit terus ke meja doktor tetapi adalah melalui pesakit yang datang berubat dengannya. Pesakit yang datang itu adalah sebagai wasilah rezki kepada doktor melalui pesakit. Rezki sembuh yang Allah beri kepada pesakit tadi pun Allah berikan melalui wasilah doktor. Oleh itu siapa yang lebih memerlukan siapa? Orang yang sakit memerlukan doktor atau doktor yang memerlukan pesakit? Bagaimana jika ramai doktor dan tiada orang sakit, atau jika ramai orang yang sakit dan tiada doktor? Jika tidak ada pesakit, tentulah tidak ada kilang ubat, tiada farmasi, tiadalah Jus Nusantara atau Jus Tok Guru dan sebagainya. Kita makhluk saling memerlukan apatah lagilah kita semua memerlukan Allah SWT.

10.0] Dalam bab rezki, Allah telah membuka peluang untuk kita saling tolong-menolong diantara satu sama lain. Kita tidak kehilangan apa-apa ketika memberikan sesuatu kepada orang lain kerana membantunya. Kita hanya dijadikan Allah sebagai wasilah-perantara untuk menyampaikan rezki daripada Allah kepada mereka dan kita mendapat pahala dengan syarat kita meyakini bahawa yang memberi itu ialah Allah SWT. Dalam bahasa kita, kita disuruh berkongsi rezki, tetapi hakikatnya tidak berkongsi. Kita hanya dipilih oleh Allah untuk menjadi wasilah dan bersyukurlah orang yang dilantik Allah menjadi wasilah kerana mulialah orang itu.

11.0] Hassan Al-Basri faham benar tentang bab rezki ini. Hassan Al-Basri, nama penuhnya ialah Hassan bin Yasar Al-Basri, lahir pada tahun 642 Masihi bertepatan dengan tahun 21 Hijriah dan wafat pada tahun 728 Masihi bertepatan dengan tahun 110 Hijriah, Beliau lahir di Madinah selepas 9 tahun kewafatan Baginda Rasul saw dan tidak termasuk sebagai sahabat tetapi sebagai tabi'in. Beliau imam ahli sunnah wal-jamaah yang sangat 'alim. Beliau ini hamba kepada Zaid bin Thabit Al-Ansoori. Saudaranya ialah Said dan Imarah dan ibunya bernama Khairah iaitu hamba sahaya kepada Ummu Salamah r.anha, isteri Nabi saw. Ketika beliau lahir disusukan oleh Ummu Salamah r.anha,(anak susuan Ummu Salamah), maknanya beliau orang terpilih. Ketika Ummu Salamah  r.anha membawanya keluar kepada khalifah Umar bin Al-Khottob, khalifah Umar telah mendoakannya, "Ya Allah, berikan kefahaman agama kepada bayi ini dan letakkan kasih sayang orang kepadanya", dan doa itu dikabulkan Allah. Hassan Al-Basri, tabi'in yang hebat ini ketika ditanya tentang rezki dan zuhud mengatakan seperti apa yang dihuraikan oleh Syeikh Mutowili Asy-Sya'rowi dalam kitabnya I'jazul Quran, begini kata Hassan Al-Basri:

i) "Aku tahu dan yakin bahawa rezkiku tidak akan diambil oleh orang lain, maka hatiku pun menjadi tenang". Kenapa?, kerana rezki tidak berkongsi, 100% Allah khaskan kepada setiap hambaNya. Allah berjanji ketika orang mati, tidak dikurangi, malahan apabila rezkinya telah habis 100%. Kenapa hati kita tidak tenang?, kerana kita tidak yakin, "Jangan-jangan ada orang yang ingin mengambil rezki kita!". Padahal rezki kita tidak akan berkurang walaupun 1% daripada apa yang Allah telah tetapkan sejak azali sehingga kita mati. Keyakinan itu sangat perlu supaya hati kita menjadi tenang tenteram.

ii) "Dan aku yakin bahawa amalku dan kewajipanku tidak akan dilakukan oleh orang lain, maka aku pun sibuk melakukannya sendiri". Orang yang malas beramal kerana dia fikir ada orang lain yang akan buat bagi pihak dirinya. Contohnya, jika seseorang itu malas bersolat, adakah boleh diupah orang lain untuk solat bagi dirinya? "Tidak boleh!".

[Yang sedang viral sekarang ialah tentang doa yang dijual, doa yang dikontrakkan, menjual kemakbulan doa. Mungkin ada orang yang malas atau tidak yakin dengan diri sendiri atau atas apa sebab yang tidak terfikirkan oleh akal yang waras maka telah diambil peluang oleh orang lain. Contohnya kalau untuk berdoa bagi hajat yang panjang dan berat-berat  maka mahal-lah upahnya, kalau doa untuk hajat yang ringan dan pendek murah-lah upahnya. Atau kalau tempat berdoa di Masjid Kucing murah-lah upahnya tetapi jika untuk berdoa di Multazam mahal-lah upahnya. Na'uzubillah. Moga Allah hindari kita dari kesesatan ini, padahal Allah berfirman, "Berdoalah kamu terus kepadaKu, nanti Aku qabulkan"]

Doa sudah dikontrakkan, ibadah haji sudah dikontrakkan, urusan jenazah sudah dikontrakkan. Jangan-jangan nanti semua ibadah dikontrakkan.

[Contohnya dalam urusan jenazah, telah ada pakej A,B atau C. Mungkin pakej A ditawarkan perkhidmatan bermula dari awal, adanya ambulan untuk pengangkutan, kemudian khidmat mandi jenazah, kafan, bunga, solat dan tahlil 7 kali. Pakej C, mungkin hanya mandi jenazah sahaja. Pakej A+, mungkin semua yang ada pada pakej A ditambah pula dengan bunga. Bukan bunga biasa, malahan bunga kristal yang siap digantung atas kubur dan siap dengan cangkutnya. "Oleh itu apa kata kerana orang kampung sudah sepakat, yuran sedia dibayar, apabila ada kematian, hanya perlu pilih pakej yang mana, banner yang telah dipasang di tiang-tiang elektrik, tinggal hubungi sahaja apabila perlu"].

Subhanallah, dunia semakin mencabar, semua sudah dikontrakkan. Jika kita ingin menjadi hamba Allah yang baik, perlulah difikirkan, adalah susah jika tiada kesedaran. Takutnya jika kita sekarang mungkin masih was-was, asyik bertanya "Ia ke? boleh ke? boleh begitu ke?. Kita masih bertanda-tanya dan masih bingung. Anak-anak kita yang lahir sekarang, apabila kita sudah tidak ada, apabila kita sudah tinggalkan mereka generasi baru, anak-anak kita kata boleh, cucu-cucu kita kata sunnah mu'akkadah, cicit-cicit kita kata wajib, wajib menyerahkan kepada orang lain urusan kita. Apabila cicit sudah kata wajib, tiba-tiba jika adalah orang yang mungkin mengajak kepada yang benar, pasti ditentang. Pasti pendakwah itu ditentang apabila perkara yang sudah menjadi amalan masyarakat, apa lagi jika yang sudah dikatakan wajib kemudian dikatakan tidak boleh oleh pendakwah tadi. Pendakwah itu akan ditentang habis-habisan. Oleh itu hayatilah hati Hassan Al-Basri, tabi'in yang hebat, yang beramal sendiri, menyibukkan diri beramal sendiri.

iii) "Aku tahu dan aku yakin bahawa Allah selalu memerhatikan diriku, maka aku malu bila Allah melihatku melakukan maksiat".

iv) "Dan aku tahu dan yakin bahawa kematian itu sentiasa menungguku maka aku pun sentiasa menyediakan bekalan untuk berjumpa Tuhanku".

12.0] Itu orang 'alim, percakapan dan pemahamannya tentang rezki, ima tentang amalan, ima masalah beramal, ima ketika menghadapi saat kematian. Tugas kita ialah untuk menjadi hamba Allah yang baik. Lihat firman Allah SWT di dalam surah Az-Zaariyat ayat 56, 57 dan 58;



Ayat-ayat diatas adalah sangat popular. Allah sebagai Kholiq dan kita manusia-Al-Insan sebagai makhluk. Allah mencipta kita ada tujuan dan tujuan kita dicipta adalah untuk beribadah kepada Allah, kerana ibadah itu ialah hak Uluhiyah Allah. Kemudian Allah (sebagai Kholiq kepada kita) telah memberi jaminan rezki kepada kita. Allah berfirman, "Aku tidak meminta rezki kepada hambaKu dan tidak meminta dari mereka makanan". Malahan kerja Allah ialah memberi rezki, ini berkaitan dengan sifat Rububiyyah. Tujuan kita untuk beribadah, ini bermakna pastikan setiap gerak-geri kita semasa hidup, diam dan berdiri kita, belajar kita, bekerja kita, berkeluarga kita, mendidik anak dan apa sahaja yang kita lakukan hendaklah ada padanya nilai ibadah. Ibadah itu sangat luas, bukan hanya bermakna solat sahaja ibadah, bahkan semua gerak-geri kita bermula dari baligh sehingga kita dipanggil kembali oleh Allah adalah ibadah. Ibadah pula ada peraturan, ada yang wajib dibuat ada yang tidak boleh dibuat. Contohnya jika orang yang bekerja, niatnya untuk mencari rezki untuk menyara keluarganya, niatnya supaya tidak sampai meminta-minta maka orang itu berada dijalan Allah. Nabi saw bersabda,"Sesiapa yang keluar rumah berusaha mencari rezki, tujuannya ialah untuk mempastikan dirinya tidak menjadi bebanan kepada orang lain maka tujuannya fi sabiilillah, dan jika mati di jalan Allah itu, matinya mati syahid". Apabila sudah berkeluarga, keluar bekerja mencari rezki kerana ingin menyara kehidupan ahli keluarganya, orang itu di jalan Allah. Kerjanya ibadah. Keluarnya pagi balik malam, dia sedang beribadah dan jika dia mati di tempat kerja, matinya mati syahid. Ibadah mesti tepati syarat, bukan asal kerja sahaja semua dikira ibadah. Contohnya jika seorang yang kerjanya merompak atau sebagai gro, tentu bukan ibadah. Tetapi jika seseorang itu keluar bekerja kerana menyara ibubapa yang uzur, kehidupan perlu diteruskan, tanggung-jawab mencari rezki diambil alih oleh anak tidak kira samada anak lelaki atau anak perempuaan. Maka anaknya fi sabiilillah dan jika mati, mati syahid. Contohnya anak gadis kepada Nabi Syuaib yang bekerja mengembala kambing. Walaupun tidak layak bagi perempuan tetapi bukan alasan, bukan patut atau tidak patut, bukan kerja halus atau kasar, bukan kerja berat atau kerja ringan, kerana di dalam Islam cuma ada 2 sahaja jenis pekerjaan iaitu kerja halal atau kerja haram. Sebab itu perempuan juga boleh mengembala kambing. Mungkin kerja kasar tetapi asal halal, boleh. Kerja halus pun jika haram tidak boleh. Jadi kerja kita, tujuan kita hanya ibadah kerana haq uluhiyah, kita kena berikan kepada Allah. Mungkin ada yang berkata, "Ya Allah, jika Engkau mengatakan tujuan kami diciptakan hanyalah untuk beribadah, macam-mana dengan makan-minum kami? Macam-mana dengan rezki kami? Dan kami telah melakukan ibadah kami mengikut aturanMu". Jawab Allah, "Rezki kamu Aku yang jamin!".

13.0] Katalah begini, Allah perintahkan, "Kamu mestilah beribadah kepadaKu dalam mencari rezki. Ini boleh, ini tidak boleh, yang haram jangan dibuat!". Tetapi orang itu pula degil, "Ya Allah, di zaman sekarang ini jika lurus sangat orang akan pijak kita. Jika takut jolok-jolok susah untuk dapat habuan, habuan mesti ada umpan!". Allah kata, "Jangan, itu dosa, tugas kamu beribadah, patuh kepada perintah". Yang beri kamu makan ialah Allah.

14.0] Orang yang rasuah pula mungkin berkata,"Ya Allah, kalau tidak rasuah susah untuk cari makan". Allah jawab," Kenapa kamu takut  tidak dapat makan, yang beri kamu makan ialah Aku". Itulah maksud ayat orang yang mencari rezki, melanggar perintah dan larangan Allah itu tidak yakin bahawa rezkinya itu dijamin Allah, sedangkan tujuannya dicipta oleh Allah ialah untuk beribadah.

15.0] Jangan sampai kita sibuk dalam urusan mencari rezki sehingga melanggar tujuan kita dihidupkan atau diciptakan. Ada orang yang mengatakan, "Bila Islam akan dapat maju atau boleh mengalahkan bangsa lain? Orang Islam mustahil dapat menyamai orang lain dalam pencapaian ekonomi kerana Islam banyak pantang-larang. Untuk membuka kedai judi tidak boleh, untuk membuka kasino tidak boleh, mereka semua boleh. Mereka boleh menipu kita tidak boleh. Mereka boleh rasuah kita tidak boleh. macam-mana kita boleh maju?". Allah kata, "Jangan, jangan, jangan, tugas kamu beribadah kepadaKu dan ibadah itu tidak boleh melanggar larangan dan peraturanKu". Malahan  makna ibadah itu adalah sangat luas seperti definasi dibawah ini:

اَلْعِبَادَةُ هِيَ - كُلُّ مَا يُحِبُّهُ اللهُ وَيَرْضَاهُ مِنْ قَوْلٍ وَعَمَلٍ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا

Yang bermaksud - Ibadah itu ialah segala apa yang Allah cintai dan Allah redhoi samada berupa ucapan dan perbuatan, samada yang zahir dan yang batin.

[Yang batin seperti apa sahaja yang terlintas di dalam hati, samada suka atau tidak suka, sayang, marah, takut kepada azab Allah dan sebagainya. Yang zahir mungkin apa yang kita boleh dengar, apa yang kita ucapkan, apa sahaja perilaku kita  yang Allah suka dan redhoi, itulah ibadah].

16.0] Ditekankan lagi bahawa tujuan manusia diciptakan ialah untuk beribadah, rezkinya Allah beri jaminan, rezkinya tidak berkongsi hanyasanya yang menjadi sunnatullah ialah cara Allah memberi rezki kepada hambaNya ialah melalui hamba yang lain. Bukan Allah tidak berkuasa memberi secara langsung kerana Allah telah tunjukkan kepada Maryam as keadaan itu, tetapi bayangkan jika setiap rezki yang diberikan kepada kita seperti yang berlaku kepada Maryam as tentu tiadalah Pasar tani, Mydin dan sebagainya sebab jika terlintas sahaja  sesuatu dihati sudah ada di depan mata. Contohnya, teringinkan kereta, terus ada kereta, teringin nasi beriani, mahu nasi suci (nasi mandi), juga sedia terhidang.

17.0] Di dalam Al-Quran, Allah kata, "Berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah". Ini kerana kadang-kadang Allah meletakkan rezki hambaNya ditempat lain, maka hendaklah hambaNya mencari rezki masing-masing. Ada yang terletak dekat ada yang jauh. Tugas hamba ialah beribadah dan salah satu ibadah yakni berusaha mencari rezki yang Allah telah tetapkan. Ibadah ialah segala perbuatan yang Allah sukai dan Allah redhoi. Ketika petani pergi ke kebun, Allah suka, ketika polis bertugas di kantornya, Allah suka dan segala macam pekerjaan dan perbuatan zahir dan batin, diam dan gerak yang Allah suka dan redho menjadi ibadah. Manakala ketika seseorang yang berpakaian hitam, keluar malam, memanjat pagar rumah orang, mengumpel pintu rumah orang dari belakang, itu Allah tidak suka dan bukan ibadah.

18.0] Jika ada orang yang berbincang di masjid untuk mencari jalan untuk mengimarahkan masjid, tentu Allah suka dan itu ibadah tetapi jika berbincang di masjid, mencari jalan  untuk menyingkirkan atau menghapuskan seseorang, Allah tidak suka dan Allah tidak redho maka bukanlah ibadah walaupun di masjid di tempat mulia.

19.0] Sedih sekali apabila ada orang kata, "Tuan-tuan, kita ini bukan muda lagi, apa kata kita tumpukan untuk beribadah, jangan pentingkan dunia, duit tidak dibawa mati. Tengok waktu ini sudah waktu maghrib, kita sudah berada di masjid untuk solat tetapi tengok kawan kita masih di jalan-raya, yang masih di ofis pun ada, entah solat entah tidak". Ayat yang perlu diperbetulkan. Tiba-tiba jadi su uz-zon kepada orang lain. "Apa dia ingat di ofis tiada musolla?" Selepas mengutuk orang yang mencari duit, di akhir ceramah, diedar borang infaq untuk meminta derma. Jemaah jadi bingung. Oleh itu hendaklah berhati-hati bercakap agama jangan sampaikan Islam ini dikatakan tidak betul, nanti Islam rosak, padahal Nabi saw telah memberitahu bahawa ibadah itu sangat luas skopnya.

20.0] Contoh lain, jam 3 pagi ada qiamullail dimasjid, dalam perjalanan ke masjid ada paip pecah, tengok ada orang betulkan paip dalam keadaan basah kuyup. Orang yang hendak pergi ke masjid pun berkata, "Inikan malam 10 Romadhon terakhir, sepatutnya qiamullail, ini bekerja di malam begini, macamlah tidak ada masa lain. Eloklah pergi ke masjid berqiamullail bukannya mandi ditepi jalan baiki paip itu". Dia tidak tahu bahawa orang yang baiki paip pecah itu telah menyebabkan dia boleh berwudhu di masjid. Allah suka dan Allah redho dan itu ibadah bagi orang itu. Jangan-jangan pahalanya lebih banyak daripada orang yang berqiamullail yang belum pun beribadah tetapi sudah ujub. Betulkan niat dalam segala perbuatan dan apabila Allah suka dan Allah redho itulah ibadah yang dijadikan tujuan Allah cipta kita dan Allah tidak membebani kita.

21.0]      اِجْتِهَادُكَ فِيْمَا ضَمِنَ لَكَ وَتَقْصِيرُكَ فِيْمَا طَلَبَ مِنْكَ دَلِيْلٌ عَلَى اِنْطِمَاسِ  بَصِيرَتِكَ
             
Yang bermakna; "Bersungguhlah dikau di dalam apa yang Allah beri jaminan kepada engkau (iaitu rezki) dan kecuaian engkau di dalam apa yang Dia minta daripada engkau (iaitu ibadah), bukti yang nyata atas butanya matahati engkau".

Ramai orang yang matahatinya buta dan apa tandanya? Tandanya ialah apabila seseorang itu rajin mengejar rezki yang hakikatnya rezki itu dijamin Allah tetapi cuai beribadah. Di dalam Al-Quran ada diingatkan,"Sesiapa yang lari dari peringatanKu, Aku beri penghidupan yang sempit dan pada hari kiamat Aku akan bangkitkan mereka dalam keadaan buta (butahati)". Lalu mereka berkata,"Wahai Tuhan, kenapa Engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta padahal dahulu aku celik?". Kalau hati mahu celik di akhirat, pastikan hati tidak buta di dunia. Jangan mengejar rezki dengan membabi-buta atau membuta-tuli, jangan menghalalkan  segala cara, janji dapat, jangan tolak-tepi masalah hukum-hakam. Janganlah buta macam babi dan pekak macam badak. Al-Quran ada memberitahu,"Ada mata tidak melihat, ada telinga tidak mendengar, ada hati tidak mengerti. Mereka seperti binatang ternakan malahan lebih lagi". Ini bahaya dan tidak mudah untuk dielakkan kalau kita tidak bersungguh-sungguh. Apa lagi anak cucu kita yang hidupnya bukan semakin senang malahan persaingan semakin sengit kecuali bagi orang yang tetap qonaah kepada Allah dan tetap menjaga tujuan ia diciptakan.

22.0] Allah cipta kita bukan untuk bekerja, bukan untuk kahwin tetapi untuk beribadah. Kerja dan kahwin itu pula adalah salah satu bentuk ibadah oleh itu niatkan ibadah dalam apa sahaja perbuatan kita. Kalau tidak, hidup akan hadapi stress. Contohnya jika kita punya anak, membesarkannya, mendidiknya, kalau tidak diniatkan ibadah pasti hadapi stress lalu terkeluar ungkapan seperti ini, " Dahulu semasa kecil, saya besarkan, apabila sakit saya rawatkan, laparnya saya berikan makan. Sekarang setelah besar-panjang, saya sakit dan hendak pergi ke doktor pun tidak diambil peduli olehnya". Tentu sedih apabila ada anak 8 orang namun seorang pun tidak pernah nampak batang hidung. Oleh itu hendaklah diniatkan membesarkan anak itu adalah sebagai ibadah sejak dari awal lagi dan hadapi hidup dengan sepenuh pergantungan hanya kepada Allah.

23.0] Kaburnya mata-kepala (mungkin akibat glucoma) adalah  lebih cepat kita sedari tetapi butanya mata-hati susah untuk kita sedari. Orang Arab berkata,"Butanya mata-hati lebih dahsyat dari butanya mata-kepala". Hati yang sudah buta wajib dikeji dan dicela. Rajin mencari rezki tetapi cuai untuk beribadah. Sanggup menipu, merasuah tanda hati sudah mati. Jangan sampai Islam tidak lagi dapat menjadi pembimbing hidup kita, tetapi pastikan Islam sentiasa menjadi penunjuk arah kita semua ke jalan yang diredhoi Allah. Moga diberkati. Allahumma aamiiiin.


         


No comments:

Post a Comment