Tuesday, March 15, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 22-23) Kuliah 23- Kalimah Ya isu, Qonato




1.0] Surah Al-Ankabut ayat 22;





Seperti yang telah dikupas minggu lepas, dimana manusia tidak mungkin akan dapat melepaskan diri daripada berjumpa dengan Allah dan dipertanggungjawabkan amalan dan tiada selain Allah yang dapat menolong apatah lagi untuk menolak segala Keputusan dan Keadilan-Nya.
Kalau begitulah haqiqatnya, apa yang perlu dilakukan oleh hamba-Nya?.
Satu-satu-nya jalan atau syarat untuk melindungi diri dari azab Allah ialah dengan beriman kepada Allah, kembali bertaubat, meninggalkan kesalahan dan dosa yang telah dilakukan sebelum ini dan memohon ampun dan bertaubat kepada Allah dengan At-Taubatu Ilaihi.
2.0] Surah Al-Ankabut ayat 23;


3.0] Ayat ini ialah tentang orang-orang yang tidak  percaya kepada ayat-ayat Allah, yang menafikan  dalil-dalil bagi KeEsaan Allah yang telah Allah tunjukkan sekarang iaitu bumi, langit dan segala isinya, juga dalil-dalil yang Allah telah turunkan kepada Rasul-Nya, juga mereka menafikan Hari Kebangkitan.
4.0] Dalam ayat-ayat sebelum ini ada 3 usul yang telah dipelajari iaitu tentang;
i) At-Tauhid, contohnya ialah seperti tentang KeEsaan Allah dan dalil-dalil-Nya, tentang Nabi Ibrahim as dan kaumnya dan sebagainya.
ii) Ar-Risaalah, contohnya ialah tentang kebenaran adanya manusia yang dilantik menjadi rasul dengan bukti kebenaran, contohnya Nabi Ibrahim as sendiri.
iii) Al-Ba'ath, contohnya ialah tentang cerita Hari Kebangkitan.
Ketiga-tiga usul itu ditolak oleh orang-orang yang kufur, dimana orang-orang itu berputus-asa (يءسو) ya isu daripada Rahmat Allah dan mereka itu mendapat azab yang pedih.
5.0] Orang-orang ini tiada harapan untuk mendapat Rahmat Allah kerana mereka tidak takut akan azab Allah dan mereka tidak mengharap balasan dan bagi mereka disediakan azab yang menyakitkan di dunia dan di akhirat. Mereka adalah orang-orang kafir, penyembah-penyembah berhala. Walhal berhala-berhala itu tidak memberi manafaat atau pun tidak dapat menolak mudhorat sedikit pun.
6.0] Kalimah ayat Allah bermaksud bukti-bukti KeEsaan Allah dan ianya adalah samaada dalam bentuk;
i) Ayat kauniyah iaitu bukti daripada ciptaan Allah, bukti yang Allah ciptakan seperti bumi, langit dan segala isinya dan sebagainya,
ii)  Ayat Quraniah iaitu wahyu, firman Allah yang diturunkan melalui utusan-utusan-Nya iaitu para nabi. Isi Al-Quran iaitu apa yang difirman Allah dalam Al-Quran mesti dapat dibuktikan dengan kebenaran apa yang Allah ciptakan. Begitu Allah firman begitulah yang Allah cipta.
7.0] Allah menceritakan tentang orang-orang yang telah berputus asa (yaisu) daripada rahmat Allah. Rahmat Allah dalam ayat ini bermaksud  Syurga. Orang yang menafikan ayat-ayat Allah dan tidak percaya Hari Kiamat tiada harapan langsung untuk dapat masuk Syurga.
8.0] Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa rahmat Allah itu Allah hadkan bagi orang beriman, Allah sediakan khas, tiada boleh berkongsi. Hanya untuk orang yang bertaqwa. Contohnya terdapat didalam surah Al-'A'raf ayat 156.




9.0] Rahmat didunia ini semua makhluk mendapatnya. Contohnya, segala kesenangan hidup, air , udara, matahari, makanan dan sebagainya. Tetapi rahmat yang sangat istimewa di Syurga, dikhaskan lillazi, ada lam ikhtisas, penekanan, untuk orang yang beriman, yang mengikuti sungguh-sungguh jalan yang diajar oleh seorang rasul yang ummi iaitu Nabi saw yang mereka dapati namanya disebut dalam kitab-kitab mereka Taurat dan Injil. Ciri-ciri Nabi  ini ialah untuk menegakkan amal ma'ruf nahi mungkar, mengharamkan bagi mereka yang kotor atau busuk, untuk menghilangkan bebanan dan belenggu mereka.
10.0] Perbandingan penggunaan istilah dalam ayat-ayat Al-Quran yang membawa makna berbeza, iaitu diantara kalimah yaisu  يءسو yang membawa makna ' قطعالاءمل, dengan qonato قنط
امر ممكن مع طول الاءنتظار
10.1] Perhatikan perbezaan;
i) Rujuk surah As-Syuura ayat 28 yang menggunakan kalimah qonatu قنط yang bermakna berputus asa.


Contoh disini ialah ketika berlaku kemarau panjang, seorang demi seorang manusia mati, begitu juga binatang dan pokok-pokok. Berbagai ikhtiar sudah dilakukan seperti solat hajat, solat mohon hujan istisqa'. Melakukan ikhtiar secara betul atau secara syirik, sehingga telah betul-betul berputus asa. Kemudian Allah menurunkan hujan. Itu rahmat-Nya. Semata-mata Rahmat dari Allah telah datang, setelah hampiri putus asa tetapi tetap berikhtiar dan masih terus mengharap pertolongan dari Allah, Qonato.
ii) Rujuk juga surah Al-Hijr ayat 55;


Ayat ini adalah tentang cerita Nabi Ibrahim as melayan tetamunya malaikat yang tidak menjamah hidangannya. Nabi Ibrahim as tidak marah atau kecewa kerana dia telah pun mendapat pahala dari niat dan perbuatan baiknya dan  malaikat itu pula membawa khabar gembira yang dia akan mendapat anak. Walaupun Nabi Ibrahim as dan isterinya sudah sangat lanjut usia, tetapi malaikat menasihatinya supaya tidak putus-asa (la qonit) dari terus mengharap daripada Allah.
iii) Rujuk pula surah Az-Zumar ayat 53;




Allah masih panggil dengan nama yang baik kepada hamba-Nya yang melampaui batas dengan panggilan "Ya 'ibaadi", walaupun bagi yang menderhaka. Bandingkan dengan orang Islam yang sampai-hati membunuh sesama Muslim dan sanggup melakukan apa sahaja atas dasar berjihad hanya saja apabila pendapat tidak sealiran. Sepatutnya fahamilah Islam ini dengan lebih cerdas dari pelbagai aspek, barulah dapat punyai hati yang lebih baik.
11.0] لا تقنط jangan berputus asa dari rahmat Allah.
Apa rahmat Allah bagi yang banyak berdosa? Jangan berputus asa (قنط) untuk mencari keampunan Allah. Bertaubatlah jika ingin mendapat harapan pengampunan daripada Allah. Orang-orang kafir pula يءسو putus asa dan tidak perlu berharap kerana hanya sia-sia.

12.0] Bandingkan dengan ayat yang menggunakan kalimah يءسوyang juga membawa makna putus asa dalam ayat-ayat ini
i) Rujuk surah Al-Ankabut ayat 23 seperti yang sudah dijelaskan diatas.
ii) Rujuk surahYusuf ayat 87;




Ayat ini adalah nasihat Nabi Yaakub as (bapa kepada Nabi Yusuf as) kepada anak-anaknya. Nabi Yaakub as diuji Allah dengan ujian yang datang daripada anak-anaknya sendiri iaitu fitnah yang sangat ketara. Lantaran benci kepada Nabi Yusuf as, saudara-saudaranya mencampakkannya ke dalam perigi buta dan mereka yakin Nabi Yusuf as telah mati namun diselamatkan Allah.
Selepas 4 dekad, Negeri Nabi Yaakub as berlaku kelaparan dan mereka mendengar di Mesir negerinya makmur kerana diperintahkan oleh seorang 'alim (mengetahui), qowiy (kuat bekerja ) dan amin (boleh dipercayai) iaitulah Nabi Yusuf as.
Inilah sifat yang perlu ada pada setiap pekerja dari peringkat bawahan hingga atasan dan adalah perlu dilihat kriteria ini sebagai syarat untuk diambil seseorang bekerja, iaitu sifat 'alim, qowiy dan amin.
Dalam ayat ini digunakan ولا تايءسوا. dan jangan kamu berputus asa. Kenapa tidak gunakan kalimah لا تقنط? Kerana mereka merasa mustahil untuk menemui Nabi Yusuf as kembali.
iii) Rujuk juga surah At-Talaq ayat 4; surah At-Talaq dikenali juga sebagai surah An-Nisa sughra kerana surah ini banyak memberi hukum hakam bagi memberi pembelaan terhadap kaum hawa. 

Surah At-Talaq ayat 4 yang bermaksud, "...Dan perempuan-perempuan dikalangan kamu yang putus asa daripada kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap  tempoh idah mereka), maka idahnya ialah tiga bulan, dan demikian juga idah perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah sehingga melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah) sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah memudahkan baginya segala urusan".
13.0] Surah At-Talaq ayat 4 ini adalah tentang perceraian yang ada beberapa kategori iaitu;
i) dicerai sebelum dicampuri
ii) dicerai ketika masih haid
iii) dicerai ketika tiada haid atau tidak pernah kedatangan haid
Iv) bercerai kematian suami
14.0] Allah kata, la qonit, jangan putus asa untuk mendapat keampunan Allah walau pun dosa banyak dan masa suntuk. Contohnya untuk Nabi Ibrahim as dikatakan jangan berputus asa untuk mendapatkan anak (zuriat), walaupun kamu mengaku sudah tua dan isteri kamu mengaku عجوز عقيم tua dan mandul kerana kuasa Allah mengatasi sesuatu. Sebenarnya, dari percakapan seseorang, dapat diungkap status psikologinya.
Allah ulang-ulang kalimah JANGAN PUTUS ASA لا تقنط terhadap perkara yang ممكن' yang ada kemungkinan boleh terjadi. Walau pun tidak mudah atau terpaksa menunggu lama tetapi jangan putus asa, jangan putus harap.
15.0] Sementara ال يءسو al -ya'su ialah  قطع ا لاء مل
putus harapan langsung bagi benda yang mustahil akan dapat berlaku.
Contohnya,
i) Orang kafir yang tidak percaya tauhid, hari kebangkitan atau adanya rasul, adalah mustahil untuk dapat masuk ke syurga jika mati dalam keadaan ini.
ii) Dalam kepala anak-anak Nabi Yaakub as, adalah mustahil untuk dapat mencari kembali Nabi Yusuf, sebab itu dalam ayat itu digunakan la yai asi.
iii) Dalam surah At-Taalaq ayat 4 pula, perempuan yang telah putus haid, tidak perlu berharap lagi untuk datang haid ya isna minal mahid.

Bahasa Alquran adalah terlalu indah.
16.0] Rujuk surah Az-Zaariyat ayat 29 iaitu ayat tentang Nabi Ibrahim as dan isterinya yang sudah tidak mengharapkan untuk mendapat anak iaitu sudah putus harapan, tetapi mungkin dapat berlaku dan Allah kata jangan berputus asa.
17.0] Rujuk surah Surah Maryam ayat 5 iaitu tentang Nabi Zakaria as dan pasangannya yang juga sudah tidak muda, sangat memerlukan penggantinya iaitu mahukan seorang anak, walhal, dalam ayat 4, Nabi Zakaria juga telah mengaku tua dan isterinya pula عا قرا mandul yang tidak mungkin mengandung. Berbeza dengan عا قم mandul yang susah untuk mengandung tetapi ada kemungkinan dapat mengandung seperti isteri Nabi Yaakub. Isteri Nabi zakaria yang 'aaqir perlu di repair atau dibaiki dahulu seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Anbiya ayat 90. "واء صلحنا dan Kami betulkan, baiki isterinya". Jangan hanya dengan lambatnya Allah tunaikan atau makbulkan doa, sudah putus asa kerana ini menjadi kesalahan besar, sebaliknya teruslah berharap hanya kepada Allah.
18.0] Bezakan qunut   قنت (kepatuhan), doa qunut dalam solat iaitu doa kepatuhan. Manakala yang kita bincangkan diatas ialah 'قنط'(putus asa). Orang Islam yang tahu agama, faham Al-Quran terutama dalam segi bahasanya, tidak akan ada ruang untuk putus asa kalau pun tidak ada harapan disini pasti Allah akan bagi disana, di Syurga Allah.
19.0] Kalimah لا تقنط dan لا تيءسو, kedua-duanya bermaksud jangan berputus asa tetapi dalam konteks berbeza dan tidak ditemui bahasa yang tepat dalam Bahasa Melayu.





Tuesday, March 8, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 21-22) Kuliah 22- Ar-Rahmah, Al-'Azab, Cara Niat Untuk Berubat.


1.0] Tambahan penjelasan kuliah lepas tentang kalimah tuqlabun, ada maksud taghayyur iaitu perubahan bentuk fizikal, juga tabaddal iaitu ganti separa atau penuh, dan ada juga taqallub, iaitu gantian.
2.0] Surah Al-Ankabut ayat 21;

Ayat ini adalah amaran keras bagi penderhaka dan berita gembira bagi orang mukmin. Didahulukan (At -Taqdim) dengan Al-'Azab dan diakhirkan At-Ta'khir dengan Ar-Rahmah iaitu pengampunan.
3.0] Ayat seperti ini jarang terdapat didalam Al-Quran kerana Allah biasanya menyebut rahmat, pengampunan-Nya mendahului siksa azab-Nya.
4.0] Dalam kitab Al-Burhan Fi 'Ulumil Quran yang ditulis oleh Al-Imam Muhamad bin Abdullah Az-Zarkashi yang mana telah wafat dalam tahun 794 H. Kitab khas membicarakan tentang tafsiran Al-Quran dari segi susunan ayat dan bukan dari segi lafaz. Al-Quran boleh menyampaikan maklumat hanya dengan meletakkan kalimat ditempat berbeza sudah ada makna tersendiri yang ingin disampaikan Allah. Uslub Al-Quran yang sangat indah.
5.0] Contoh-contoh ayat yang  menyebut pengampunan dan rahmat Allah mendahului azab adalah untuk orang mukmin yang baik seperti yang diceritakan didalam surah-surah berikut; Al-Baqarah ayat 284, Aa-Li Imran ayat 129, Al-Maidah ayat 18, Al-Fath ayat 14, Al-Hijr ayat 49 dan 50, dan sangat banyak lagi. Manakala contoh ayat-ayat yang taqdim iaitu mendahului menyebut tentang azab kemudian baru tentang rahmat ialah ayat inzar yang bermaksud ayat ancaman yang diturunkan kepada orang-orang yang kufur, derhaka dan jahat. Diantaranya ialah Al-Ankabut ayat 21, Al-Maidah ayat 40 dan 118, Al-An 'am ayat 165 dan Al-'A'raf ayat 167.
6.0] Contohnya surah Al-'A'raf ayat 167 yang bermaksud, "Dan ( ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu, bahawa sesungguhnya Dia akan mengirim orang-orang yang akan  menimpakan azab yang seburuk-buruknya kepada mereka (orang Yahudi) sampai hari kiamat. Sesungguhnya Tuhanmu sangat cepat seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
7.0] Orang Yahudi adalah satu-satunya bangsa dibumi ini yang tidak akan pernah merasa tenang atau selamat hingga hari kiamat yang mana telah disebut Allah didalam ayat di atas. Walau pun mereka hebat dalam serba serbi seperti dibidang politik, ekonomi, ketenteraan, kecanggihan teknologi dan sebagainya, tetapi jahat, dikutuk dan dilaknat oleh Allah. Oleh itu sesuailah bila ayat tentang mereka didahului  dengan azab siksa sebagai Al- fasilah-nya.
8.0] Contoh Al-Baqarah ayat 284 yang bermaksud, "Milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Jika kamu menyatakan apa yang ada didalam hatimu atau kamu sembunyikan, nescaya Allah menghitung-nya bagimu. Dia mengampuni sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu".
9.0] Ayat-ayat Al-Quran ini berkaitan antara satu sama lain dan tidak berdiri sendiri. Oleh itu perlulah dikaji ayat-ayat sebelumnya. Contoh disini, surah Al-Baqarah ayat 282 ialah tentang peraturan hutang piutang, di ikuti dengan surah Al-Baqarah ayat 283 pula ialah tentang peraturan pajak gadai, kemudian disusuli dengan surah Al-Baqarah ayat 284 iaitu tentang Allah tahu apa yang dinyatakan atau yang disembunyikan. Al-Fasilah disini yang menyebut keampunan mendahului azab adalah dimaksudkan untuk orang mukmin, yang perlu berusaha untuk patuh peraturan dan jangan sengaja atau ada niat khianat untuk tidak patuh. Perlu ada usaha baik dalam segala hal, tetapi jika berlaku kesalahan tanpa disengajakan maka Allah Maha Pengampun.
10.0] Contoh dua keadaan berbeza yang menyebabkan mendapat balasan berbeza daripada Allah iaitu apabila si A, seorang mukmin yang telah berusaha untuk patuh peraturan didalam apa-apa bidang pun seperti didalam urusan hutang piutang atau pajak gadai, namun jika masih  terdapat kesalahan yang tidak disengajakan dalam urusan transaksi yang bukan mudah sebenarnya, maka janganlah khuatir kerana jika tiada niat untuk berkhianat, Allah Maha Pengampun. Lantas Allah akan menyebut ayat rahmat dahulu bila menceritakan tentang mereka manakala berbeza pula dengan keadaan si B iaitu contohnya suatu kaum yang sengaja menangkap ikan pada hari sabtu setelah diberi peringatan supaya tidak melakukannya (seperti yang diceritakan didalam Al-Quran), maka Allah akan gunakan ayat azab dahulu ketika menyatakan tentang mereka.
11.0] Allah Maha Berkuasa dengan sifat Al-'Adlu dan Al-Ghafur, terserah kepada-Nya kerana Dia Maha Bijaksana sehingga ada satu ungkapan iaitu, "Tidak ada dosa kecil apabila Dia menghadapimu dengan Keadilan-Nya dan tiada dosa besar apabila Dia menghadapi mu dengan Kebaikan-Nya".
12.0] Ada seorang alim, ahli tafsir, ahli hadis, ahli 'aqidah dan juga sangat kaya raya, tetapi tetap merasa hidupnya tidak puas, seperti ada sesuatu dalam hidupnya yang hilang. Pada suatu hari semasa berjalan-jalan, dia terasa ingin buang air. Penjaga bilik air meminta bayaran dahulu. Orang itu tercegat, tidak masuk ke bilik air itu, sehingga 3 kali diulangi penjaga itu supaya dibayar dahulu. Akhirnya penjaga itu benarkan orang itu masuk secara percuma kerana menyangka mungkin orang itu miskin dan tiada wang. Kemudian baru dijawab oleh orang itu bahawa dia ada wang, tetapi hatinya tersentuh dan baru terfikir bahawa untuk masuk kebilik air pun perlu dibayar, apatah pula untuk memasuki Syurga. Berapa pula perlu kita bayar untuk dapat memasuki Syurga yang kekal abadi?.
13.0] Semua perlu bayaran, contohnya untuk masuk ke sebuah restoren, bayar mahal kerana kena jaga imej (Jaim), untuk menginap dihotel berjenama 5 bintang atau 7 bintang, kena bayar mahal sekali, walhal hanya untuk sehari dua. Ini kan pula dengan Syurga, berapa kita sanggup bayar untuk memasukinya? Tempat terakhir yang kekal abadi.
14.0] Kembali kepada cerita orang alim tadi, katanya, "Ah, baru aku jumpa apa yang hilang dalam hidup ini". Akhirnya dicarinya guru mursyid, guru tasawuf, guru akhlak. Gurunya bernama Abu Abbas Al-Mursi dan muridnya itu ialah Ibnu At-Thoilah, seorang mufassir yang faham Al-Quran, yang mana hanya dengan benda yang kecil dapat menyentuh hatinya sehingga dapat menukar dan merubah gaya hidupnya. Begitulah perjalanan hidup tasawuf seorang sufi yang sunni sehingga apa saja yang keluar dari mulutnya penuh dengan hikmah kerana keluar dari kejernihan hatinya.
15.0] Sabda Nabi saw, "Siksa yang paling ringan di neraka ialah memakai kasut, tapaknya daripada api neraka, apinya pula masuk kedalam tubuh sampai keotak".
16.0] Jangan terpedaya dengan istilah dosa kecil dosa besar dalam bermuamalah dengan Allah. Orang mukmin yang bersalah tanpa niat atau tidak sengaja, Allah sebut kalimah keampunan dahulu daripada azab.
17.0] Sesiapa yang membuat kejahatan atau kebaikan walau sekecil zarah pasti akan dibalasi. Apabila Allah ingin menunjukkan sifat Al-'Adlu atau Ar-Rahim-Nya. Jangan pandang kepada kecilnya maksiat, penderhakaan, tetapi pandanglah kepada Keagungan Allah yang hendak kamu derhakai supaya kamu tidak jadi untuk membuat dosa. Setiap anak Adam pasti buat kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah yang berusaha menutupinya dengan memohon ampun maaf, sehingga timbul rasa harapan Ar-Rojaa'. Bagi orang yang tidak kisah, buat kesalahan dengan sengaja. Allah sebut kalimah azab dahulu. Oleh itu jangan meremehkan dosa.
18.0] Umat Nabi Isa as telah melakukan dosa syirik iaitu dosa yang sangat besar, kerana menduakan Allah, kekal di dalam neraka. Nabi Isa as berkata, "Jika Engkau siksa mereka, mereka adalah hamba-Mu dan jika Engkau ampunkan mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"- (surah Al Maidah ayat 118).
14) Surah Al-Ankabut ayat 22;



Ulumul Quran;
i) Ini ayat muakkad (penguat) kepada ayat sebelumnya. Allah mulakan dengan "wa ma antum bi mu'jizin (dan tidaklah kamu dapat melepaskan diri daripada Allah). Ini adalah satu penafian yang sangat kuat kerana semua tidak akan dapat mengelak daripada berjumpa Allah nanti.
ii) Ayat ini tidak menggunakan  kalimah lan. Lan bi mu'jizin tidak sekali kali kamu dapat melepaskan diri daripada bertemu Allah sebab jika guna kalimah lan menunjukkan penafian yang tidak mencukupi dan tidak sekuat ayat (i) diatas.
15.0] Dalam kecanggihan ilmu kedoktoran dimana semua anggota badan ada spare part, boleh diganti, seperti gigi, hati , jantung, tulang dan sebagainya. Namun tidak ada yang dapat menafikan kamu daripada berjumpa Allah.
16.0] Kalau ada seorang yang sakit kritikal, tenat, maka perlulah dibetulkan niatnya,supaya tidak berakhir dengan kecewa. Orang itu perlu berubat, jumpa doktor pakar, tetapi hendaklah niat berubat itu betul iaitu;
i) tidak untuk melawan kematian, kerana nanti sia-sia.
ii) jika  untuk melambatkan ajal juga, pun sia-sia, kerana dalam Al-Quran ada menyatakan bahawa ajal seseorang tidak boleh dicepatkan atau dilambatkan.
iii) jika ingin sembuh pun kecewa juga, sebab ada yang sembuh dan ada yang tidak sembuh.
Oleh itu niatlah sebagai ibadah sebab setiap saat yang dilalui ada balasan baik disisi Allah. Jiwa tidak boleh kecewa ketika meninggalkan dunia. Dimana bagi yang mati hati tenang, yang hidup tidak kecewa.
17.0] Ikhtiar itu ibadah, keputusan akhirnya terserah kepada Allah. Sama ada sembuh atau mati terserah kepada Allah.
18.0] Orang mukmin sentiasa bersedia untuk berjumpa Allah bukan untuk mengelak dari berjumpa Allah. Orang kafir sentiasa mengelak dari berjumpa Allah, sedangkan mereka tiada kemampuan. Allahu Akbar.

Tuesday, March 1, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 19-20) Kuliah 21- Ayat Kauniyah, Tuqlabun, Turja'un


1.0] Surah Al-Ankabut ayat 19 dan 20 yang telah dibincangkan dalam kuliah lepas ialah  ayat kauniyah iaitu tafsir yang berkembang supaya kita berfikir tentang Allah bagi merasai Keagungan dan Kebesaran-Nya. Dijelaskan dalam siri lepas bermula dari asal-usul kejadian alam semesta hingga menjadi seperti sekarang dan seterusnya nanti akan dikembalikan seperti-mana awal kejadian. Dihimpun dalam 3 ayat iaitu dalam surah Al-Anbiya ayat 30 yang menceritakan tentang terjadinya alam semesta. Surah Az-Zaariyat ayat 47 pula menceritakan tentang apa yang berlaku sehingga ke hari ini. Manakala surah Al-Anbiya ayat 104 menceritakan tentang bagaimanakah nasib alam ini suatu hari nanti.

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 19;
3.0] Surah Al-Ankabut ayat 20;


4.0] Ayat 19 merupakan teguran Allah kepada mereka yang meragui akan Kekuasaan-Nya, supaya mereka melihat bagaimana asal mausul penciptaan. Manakala dalam ayat 20, terdapat perintah Allah SWT kepada hamba-Nya, khasnya kepada umat Nabi Muhammad saw untuk melakukan satu tugas berat tetapi mulia yakni supaya memperuntukkan masa, tenaga, wang-ringgit untuk melakukan pengembaraan  di muka bumi. Keluar mengkaji, memandang,  memerhati, sehingga dapat menyimpulkan apa yang dikaji itu. Walaupun mungkin kita tidak mempunyai kepakaran atau kemampuan, namun tidak boleh kita jadikan alasan untuk tidak mengambil berat tuntutan ayat ini. Paling tidak carilah buku-buku ilmiah tentang hasil kajian asal-usul penciptaan alam, perlulah dibaca, perlulah dikaji walau pun hanya dari apa yang telah orang lain buat kajian.
5.0] Perlu disarankan bahawa ketika diadakan ceramah-ceramah perdana di masjid atau di dalam khutbah Jumaat mingguan yang dihadiri ramai jemaah, apa salahnya jika dipanggil pakar dalam sesuatu bidang untuk memberi khutbah dalam bidangnya. Kandungan khutbah yang tidak monotonus dan memberi ilmu kepada ramai orang. Mungkin dengan memanggil seorang saintis Muslim atau mungkin seorang doktor yang akan membicarakan, contohnya tentang tulang tungging di rumah Allah, disamping mendapat pahala, jemaah akan mendapat ilmu yang berguna.
6.0] Kebanyakan kita sudah tunaikan solat, zakat, haji dan umrah. Sudah baik, tetapi adalah lebih baik lagi jika dapat melakukan pengembaraan, penerokaan untuk melakukan research atau penyelidikan tentang alam. Alam ciptaan Allah untuk makhluk-Nya. Bumi dan langit yang telah dijadikan dengan sempurna terlalu lama dahulu dari manusia. Kita manusia adalah makhluk terakhir ciptaan Allah dan adalah lebih muda daripada nyamuk, kura-kura, buaya dan sebagainya. Lebih dari 300 juta tahun dahulu bumi dihuni oleh dinosur yang bermaharajalela yang kemudiannya Allah hancurkan untuk persediaan kehidupan manusia.

7.0] Fahaman Yahudi tentang alam ialah bahawasanya Allah memulakan ciptaan pada hari Ahad, siap pada hari Jumaat dan Allah cuti pada hari Sabtu (sabat bermakna rehat). Dari situlah terbit perkataan cuti sabatikal yang bermakna cuti rehat.
8.0] Tafsir kontemporari ialah tafsir yang berkembang, dipanggil ayat kauniyah, iaitu tafsir ulama sekarang yang berbeza dengan tafsir ulama dahulu. Berbeza sekali dengan tafsir ayat-ayat aqidah yang tetap sama dari dahulu atau sekarang, seperti tentang hukum haram riba atau syirik yang tetap dan tidak berubah sampai bila-bila.
9.0] Ayat kauniyah memberi isyarat jelas dan tegas untuk kita lakukan kajian tentang peringkat-peringkat ilmu geologi seperti yang berkaitan dengan planet-planet, dalam pelbagai aspek, supaya kita tahu dan kenal sekenal-kenalnya tentang bagaimana Allah mencipta alam ini. Tumbuhan, haiwan yang mengalami proses yang memakan masa yang lama dalam pengiraan kita. Banyak fakta ini boleh didapati dari buku Dr. Agus Mustafa iaitu buku yang berjodol Data-data Saintifik. Kajian tentang planet, sehingga terkeluar satu kaedah yang menyatakan present is the key to the past. Ini bukan hanya dari kajian orang putih, jadi jika ingin tahu apa yang berlaku pada zaman silam, kajilah keadaan sekarang dan ajarlah ilmu sains ini dimana-mana termasuk di rumah Allah.
10.0] Ilmu yang pertama sekali diajar kepada manusia ialah ilmu tentang alam semesta, dimana Allah ajar, seperti yang dijelaskan di dalam surah Al-Baqarah ayat 31. Bilik darjahnya di syurga, muridnya ialah Nabi Adam as, gurunya ialah Allah dan ilmunya ialah tentang alam semesta iaitu IImu Sains. Al-Asma' kullaha, bukan sekadar nama tetapi tentang sifat-sifat alam semesta. Allah mengajar Nabi Adam as tentang air, sifat-sifat air, suhu mendidihnya, apabila dipanaskan pada ketinggian tertentu, apa berlaku dan sebagainya.
10.1] Ketika Allah mengadakan kuiz antara Nabi Adam as dan malaikat, malaikat tidak dapat menjawab, malahan berkata, "Maha suci Engkau tidak ada pengetahuan bagi kami kecuali apa yang Engkau ajarkan kepada kami". Kemudian Allah menyuruh Nabi Adam as memberitahunya. Allah tidak ajar tentang itu semua kepada malaikat dan tidak pula menyuruh Nabi Adam as ajar kepada malaikat kerana malaikat tidak memerlukan ilmu itu. Malaikat hanya untuk beribadah sebagai hamba-Nya, yang hanya berwirid dan berzikir. Manakaka Nabi Adam as yang diperintahkan untuk menjadi khalifah, perlu dwifungsi ilmu, dua portfolio, iaitu sebagai hamba Allah yang kena mengikut syariat, yang perlu patuhi halal-haram, tahu lurus-bengkok, dosa-pahala, neraka-syurga, juga untuk menjadi khalifah kepada Allah, perlu kepada pengetahuan Al-Asma' kullaha iaitu perlu tahu segala sifat-sifat alam semesta.
11.0] Nabi Muhammad saw menangis sepanjang malam apabila turun surah Aa-li Imran ayat 190 hingga ayat 200. Apa kata Nabi saw tentang ayat ini? Nabi saw bersabda, "Celaka orang yang membaca ayat ini tetapi tidak mahu memikirkannya". Ini amaran dari Nabi saw supaya kita mengkaji. Al-Quran bukan sahaja sebagai sumber pahala, atau bukan sahaja untuk penenang jiwa yang gelisah, bukan sahaja untuk pelaris jualan tetapi sebagai panduan untuk mendapat natijah. Contohnya surah Yasin, dimana kandungannya adalah lebih banyak tentang alam semesta.
12.0] Dr. Hamka menasihati jamaahnya dengan berkata, "Bagaimana supaya ingatan kita bagus, tidak pelupa, tidak nyanyuk? Allah telah beri otak kepada kita, oleh itu jangan memencenkan otak, jangan memandulkan otak, sebaliknya berfikirlah, supaya otak menjadi besar, terus aktif, rangsang minda dengan bacaan ilmiah yang mencabar".
13.0] Orang biasa suka belajar benda yang dia sudah tahu dan tidak berminat untuk belajar perkara yang dia belum tahu. Sebaliknya belajarlah sesuatu yang kita belum tahu , yang mencabar minda, perlu ada perubahan dalam cara pemikiran orang sekarang. Tentang berjaya pula, biasanya anggapan berjaya ialah apabila ramai sambutan tetapi tidak begitu sebenarnya. Berjaya ialah apabila telah menyampaikan semua yang Allah suruh sampaikan. Semasa Nabi saw berdakwah, Baginda saw dibaling batu, namun dakwah diteruskan, berbeza dengan sekarang, berdakwah dengan membaling (memberi) makanan pun orang tidak berminat.
14.0] Banyak teori fahaman manusia tentang kejadian alam semesta. Antaranya ialah Teori Atheisism, teori yang paling tua dan paling kuno, bagi orang yang tidak bertuhan. Mereka mempercayai steady state theory. Mereka percaya alam ini telah sempurna, tiada penciptaan, tiada pengakhiran, tidak berubah.
14.1] Teori Big Bang, mengemukakan bahawa alam bermula dengan dentuman dahsyat yang memulakan segala kejadian. Teori ini adalah yang paling popular manakala teori-teori lain tiada alasan kukuh. Walau apa pun, sedikit sebanyak, gagasan mereka, membuatkan kita dapat mengkagumi ciptaan Allah dan rahmat Allah dalam asal-usul alam ini.
15.0] Memerhati perbezaan penggunaan istilah dalam Al-Quran khasnya di dalam ayat 19 dan 20 di atas;
i) Kholaqa bermaksud menciptakan.
ii) Ja'ala bermaksud menjadikan.
Dalam Al-Quran, tentang ayat kauniyah, biasanya apabila Allah guna istilah kholaqa, menunjukkan bahawa apa yang Allah ingin beritahu ialah tentang  Kebesaran dan Kekuasaan-Nya yang tiada had dalam hal menciptakan, menciptakan alam dan makhlukNya.
Apabila Allah guna istilah ja 'ala ialah untuk menceritakan betapa besarnya Manafaat, Rahmat-Nya kepada makhluk dengan Penciptaan alam dari tiada kepada ada. Dengan ini mudah untuk hadirkan rasa tawadduk, mudah untuk menjadi hamba yang baik, yang tunduk, yang syukur. Semakin banyak  diketahui rahsia kauniyah alam, semakin tawadduk hamba kepada Allah. Semakin berhajat kepada Allah apabila hamba-Nya merasa semakin lemah.
16.0] Selepas Allah menceritakan tentang alam semesta dan hari Qiamat, Hari Kebangkitan yang pasti berlaku, di dalam ayat 21 pula, Allah ceritakan sebahagian dari apa yang akan berlaku di akhirat nanti. Allah akan mengazab dan menyeksa pendusta kerana  Keadilan-Nya dan Kebijaksanaan-Nya dan Allah memberi ganjaran rahmat kepada yang mempercayai-Nya kerana Kurnia dan Kasih-sayang-Nya.
17.0] Diakhirat Allah hendak tunjukkan sifat Al-Adlu dan Al-Hakim-Nya atau sifat Al-Ghafur Ar-Rahim-Nya.
i) Al-'Adlu bermaksud Yang Maha adil.
ii) Al-Hakim bermaksud Yang Maha Bijaksana ( jauh dari melakukan kezaliman).
iii) Al-Ghafur bermaksud Yang Maha Pengampun.
iv) Ar-Rahim bermaksud Yang Maha memberi Rahmat, ertinya, Pengampunan yang diberi Allah kepada hamba-Nya, dimasukkan ke dalam syurga, semua itu adalah tidak terlepas dari sifat Al-Ghafur Ar-Rahim-Nya.
18.0] Apabila ada orang yang dihumban ke neraka, itu untuk menunjukkan sifat Al-'Adlu Al-Hakim Allah, bukan untuk Allah aniaya hamba-Nya.
19.0] Jika Allah gunakan sifat-Nya Al-'Adlu, sekecil manapun dosa seseorang akan dibalas atau disiksa, sebaliknya jika  Allah hendak gunakan sifat Al-Ghafur Ar-Rahim-Nya, sebesar manapun dosa orang itu akan diampun dan dapat masuki syurga. Oleh sebab itu jangan ambil mudah, jangan pandang remeh atas perbuatan dosa walau pun kecil. Pemahaman  yang tidak betul seperti yang kita sering merasa pelik ialah apabila melihat orang Kristian yang buat dosa kemudian pergi ke gereja pada hari Ahad untuk mengaku kepada paderi supaya dosa terampun. Ini bermakna menggalakkan orang berbuat dosa jika semudah itu penyelesaiannya. Kita muslim juga, jangan mengandaikan dengan hanya berwuduk atau bertasbih, bertahmid, bertakbir selepas solat, lalu segala dosa dapat luruh. Nabi saw tidak salah bersabda dan menasihati sedemikian, tetapi tidak hanya dengan lisan dapat meruntuhkan dosa yang telah dibuat. Tidak hanya dengan melagu-lagukan wirid atau mengejar jumlah wirid dengan menggunakan alat kira, tetapi hendaklah beribadat seumpama memandu kereta dengan ada lesen dan tahu peraturan jalan raya sepenuhnya. Apabila telah berbuat dosa, maka ada titik hitam dihati, apabila bertaubat bersungguh-sungguh, baharulah dosa akan jatuh dan lebur. Dosa berada dihati dan di jiwa melekatnya. 


20.0] Dari Imam Al-Ghazali, "Apabila kita bertasbih, bertahmid, bertakbir, yang diucap, suara yang keluar adalah dari hati yang sudah dipenuhi rasa kagum kepada Allah, yang sudah tidak dapat tertanggung oleh hati, lantas terkeluar dari lisan".
21.0] Abu Bakar As-Siddiq, mengungkapkan kalimah Allahu Akbar, satu ungkapan sahaja untuk menyatakan rasa hatinya apabila kagum atau syukur.
22.0] Zikir ini adalah dari hati keluar ke mulut, mesti ada zuuk, penuh perasaan, ada rasa takut kepada Allah, ada peraturan, barulah dapat menanggalkan noktah sauda' (titik hitam) didalam hati. Cara atau peraturan berzikir terdapat didalam surah Al-A'raf dan Al-Isra'. Cari sendiri dan jadilah seperti Mr.Brown, iaitu yang bertanya, diberi tugas mencari sendiri sehingga mendapat jawapan dan betul-betul dapat faham untuk dapat diamalkan.
23.0] Orang beriman akan berasa meremang berdiri bulu roma sehingga menjadi lembut hati mereka, berpeluh sejuk, kulit menjadi lembut, tanda dosa luruh setelah bertaubat bersungguh-sungguh. Usahakanlah buat sedemikian berseorangan, jika susah didapati dalam keadaan berjemaah.
24.0] Perbezaan penggunaan istilah dalam  Al-Quran;
i) Didalam ayat 21 digunakan kalimah wa ilaihi tuqlabun, tuqlabun bermaksud dikembalikan.
ii) Didalam ayat 17 digunakan kalimah ilaihi turja 'un, turja'un juga bermaksud dikembalikan.
25.0] Ruju', raja'a bermakna kembalinya sesuatu ketempat sebelumnya. Contohnya, Inna lillaahi wainna ilaihi roojiuun yang bermaksud semua makhluk adalah dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Asalnya manusia dari syurga dihantar ke dunia kerana kesilapan, dijadikan khalifah. Oleh itu akan kembali ke syurga. Sesiapa yang tidak dapat balik ke syurga adalah orang-orang yang nyata sesat iaitu dholaalan mubiina.
26.0] Qalaba, qolabu. Qolbun bermakna hati iaitu yang berubah. Iqlab pula bermakna bertukar. Qolaba bermakna berubah dari sesuatu ke sesuatu yang lain. Contohnya ialah seperti dari tepung menjadi roti. atau dari telur menjadi ayam atau dari ulat menjadi rama-rama.
Tuqlabun taghyiir bermakna berubah keadaan. Contohnya seorang yang mulia di dunia, diakhirat pula dihinakan dan sebaliknya orang yang hina di dunia dimuliakan pula di akhirat.
24.3] Contohnya seperti seorang Miss Universe (miss alam semesta, miss makhluk jin dan manusia), yang disanjung melangit di dunia, tetapi mungkin terpaksa mengurbankan maruah, mungkin agama dan aqidahnya tergadai, jika tidak sempat bertaubat sebelum mati, di akhirat dibalik, diubah (tuqlabun) ke neraka akhirnya.
25.0] Pujian orang tidak memberi manafaat  sedikit pun jika Allah memandang kamu hina. Manakala celaan orang di dunia tidak memberi apa-apa mudhorat kepada kamu jika Allah pandang kamu mulia. Contohnya seperti Bilal yang berada di syurga tertinggi di akhirat manakala Abu Jahal yang menyeksanya di dunia berada di neraka dalam keadaan hina. Yang ideal dan terbaik ialah di dunia sejahtera di akhirat sejahtera. Tetapi perlu berhati-hati jika sejahtera didunia, supaya tidak pula sebagai istidraj, supaya tidak ilaihi tuqlabun. Ini suatu penutup yang keras yang perlu dimuhasabah sendiri. Na'uzubillah. Moga bermanafaat dan diberkati Allah.