Tuesday, August 16, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 38-39) Kuliah 39- Kaum 'Ad,Thamud, Qarunism, Takathur

1.0] Kuliah lepas membincangkan tentang kisah Kaum Nabi Soleh as iaitu Kaum Thamud dan juga Kaum Nabi Hud as iaitu Kaum 'Aad. Kedua-dua bangsa ini telah diberi Allah kelebihan yang luar biasa seperti mana yang dinyatakan Allah di dalam Al-Quran, "Kami telah memberikan kepada kamu nikmat dan anak pinak juga kebun-kebun yang subur dan mata air". Itu merupakan anugerah daripada Allah kepada Kaum 'Aad  dan Kaum Thamud yang diberi kemahiran membina bangunan-bangunan pencakar langit. Rujuk surah Asy-Syu'araa ayat 123 sehingga ayat 136. Ayat-ayat yang menceritakan tentang segala nikmat anugerah Allah kepada mereka.

2.0] Mereka juga mempunyai bentuk tubuh yang besar dan tinggi berbanding kaum-kaum yang lain. Berdasarkan kajian Arkeologi yang dilakukan oleh satu team, kumpulan pengkaji dari R n Co Exploration, di suatu lembah yang dikenali sebagai Ar-Rubu' Al-Khaali yang bermaksud An Empty Quarter atau suatu penempatan kosong (padang pasir terbesar di dunia) yang terdapat di Semenanjung Arab, mendapati penemuan fosil manusia yang dipercayai adalah Kaum 'Aad dan Kaum Thamud yang sangat mengkagumkan kerana purata ketinggian mereka mencecah 11 meter berbanding dengan ketinggian  umat sekarang yang purata ketinggian kita hanya diantara 1.8 meter. Itu bermakna mereka adalah manusia raksasa yang 5 kali ganda ketinggian daripada kita umat sekarang. Oleh itu wajarlah mereka diberi kemahiran membina bangunan pencakar langit, membina kediaman mereka di lereng-lereng bukit yang tinggi-tinggi seperti yang telah dinyatakan di dalam surah Asy-Syu'araa diatas. Kedua-dua kaum ini sama-sama hebat dari segi peradaban, dan kepandaian membina bangunan-bangunan tinggi dan mereka juga hebat dalam segi penentangan terhadap Allah.

3.0] Kaum Thamud dinamakan daripada nama salah seorang datuk nenek mereka yang terkenal iaitu Thamud bin Amir bin Iram bin Sam bin Nuh as. Ini bermakna Kaum Thamud adalah keturunan langsung daripada Nabi Nuh as. Thamud sangat terkenal, dan anak cucunya sangat berbangga dinasabkan dengan keturunan Thamud sehinggalah berkembang menjadi satu Kaum. Keadaan yang sama berlaku di Sumatera Indonesia dimana  ada satu suku keturunan  yang membawa nama nasab, seperti  nama Nasution. Setiap yang lahir dalam keluarga itu dibawa nama Nasution seperti Haris Nasution, Ali Nasution dan sebagainya. Adalah menjadi kebanggaan bagi mereka apabila nama mereka dinasabkan dibawah nama orang tersohor.

4.0] Kebanyakan ahli sejarah berpendapat bahawa Kaum Thamud ini tinggal di negeri atau provinsi yang dekat dengan Petra di Jordan. Walaupun  mereka ini asalnya ialah orang yang berhijrah dari Negeri Saba' di Negeri Yaman, memandangkan ketika itu orang belum ramai, sehingga ke kawasan Jazirah Arab yang terbentang dari Hadharul Maut hingga ke Laut Mati sekarang sudah menjadi kawasan mereka.

5.0] Semua cerita diatas adalah tentang sejarah, tetapi yang pastinya kedua-dua kaum ini telah dihancur-leburkan oleh Allah SWT. Khasnya Kaum Thamud  yang dinyatakan oleh Allah, "Selepas Kaum Thamud membunuh Unta Mukjizat Nabi Soleh as, Allah berikan tempuh selama 3 hari". Mereka bersenang-lenang, pada hal tempuh itu diberi supaya mereka bertaubat kerana mereka telah melakukan dosa besar membunuh Unta yang menjadi Mukjizat bagi Nabi Soleh itu. Jangankan dibunuh Unta itu, dipukul pun tidak dibenarkan.

6.0] Dari tafsir, dinyatakan iaitu pada hari pertama, wajah berseri Kaum Thamud bertukar menjadi kuning. Hari kedua wajah mereka bertukar menjadi merah dan pada hari ketiga wajah mereka bertukar menjadi hitam legam. Dalam jangka waktu 3 hari, cepat sungguh, saat itulah Nabi Soleh as mengingatkan Kaumnya, Kaum Thamud, berkali-kali, bahawa perubahan itu adalah yang menunjukkan tanda atau alamat yang terang daripada Allah supaya mereka segera bertaubat kerana akan berlaku Azab Allah. Allah perintahkan malaikat mendatangkan kepada Kaumnya itu soihah iaitu suara yang sangat kuat yang menghancur-leburkan mereka. Kisah ini dinyatakan oleh Allah SWT didalam surah Hud ayat 65.

Ayat ini adalah ayat-ayat sejarah, tentulah kita tidak tumpukan dari aspek sirahnya, tetapi dari aspek mau'izohnya atau peringatan darinya. Perubahan wajah mereka berlaku dalam masa 3 hari ketika Allah memberikan Imhal, iaitu ditangguhkan azab selama 3 hari itu. Bukan Ihmal yang bermaksud dihapuskan. Itu adalah janji Allah yang ghairu makzuub, janji Allah yang tidak boleh didustakan, janji yang pasti benar berlaku.

7.0] Inilah Ilmu Allah yang Allah beritahukan kepada hamba-Nya. Allah Maha  Mengetahui dengan Ilmu-Nya apa yang belum berlaku dan Allah telah beritahu Kaum Nabi Soleh ini. Allah tahu dan mereka diberitahu dan ternyata apa yang diberitahu betul-betul berlaku selepas 3 hari. Ini termasuk dalam tingkatan beriman kepada Qodho dan Qodar.

4 tingkatan atau martabah beriman kepada Qodho dan Qodar ialah;

i) Al-'Ilmu iaitu Beriman kepada 'Ilmu Allah.
ii) Al-Kitaabah iaitu Penulisan atau Rekod Allah tentang apa yang berlaku.
iii) Al-Masyi ah iaitu Kehendak Allah atas segala sesuatu dan
iv) Al-Khalqu iaitu Allah Pencipta segala sesuatu.

i) Al-'Ilmu- Kita wajib yakin seyakin-yakinnya bahawa Allah Mengetahui dengan 'Ilmu-Nya segala sesuatu, Allah Mengetahui segala yang berlaku, sebelum ianya berlaku, ketika ianya berlaku dan selepas ianya berlaku. Pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu walaupun hanya dengan luruhnya sehelai daun kecil di tengah hutan belantara yang gelap gelita seperti di Hutan Amazon. Allah Tahu, bukan hanya Mengetahui ketika daun itu sedang jatuh tetapi Allah Mengetahuinya sejak azali lagi. Allah Mengetahui punca tertanggal tangkainya, bila berlaku, bagaimana, dimana, keadaan jatuhnya bagaimana. Semua yang berlaku di Alam Semesta, adalah dalam Pengetahuan Allah. Kita hanya wajib yakin bahawa tiada yang terluput dari Pengetahuan 'Ilmu Allah.

ii) Al-Kitaabah- Penulisan atau rekod segala apa yang akan berlaku, apa yang berlaku sebelum ianya berlaku. Segala sesuatu telah tertulis di Lauh Mahfuz seperti yang dinyatakan didalam surah Al-Buruuj ayat 22 atau sebagai Imaamim mubiin didalam surah Yasin ayat 12. Lauh Mahfuz itu ghaib tetapi diberi nama Kitaabum mubin iaitu Kitab yang nyata, suatu bank data, sumber maklumat yang hebat, tempat menyimpan rekod segala sesuatu. Segala sesuatu yang belum berlaku, yang sedang berlaku atau yang sudah berlaku semua tercatit dengan lengkap sempurna. Contohnya, siapa cicit kita pun sudah direkodkan disitu. Rujuk surah Al-Buruuj ayat 22 dan surah Yasin ayat 12.


iii) Al-Masyi ah- apa yang Allah Ketahui dan apa yang Allah Tulis tidak akan berlaku tanpa  Al-Masyi-ah Allah (Kehendak Allah). Kita wajib yakin apa yang berlaku di Alam Semesta ini semuanya berlaku dengan Kehendak Allah. Bukan dengan kehendak kita. Banyak kehendak kita yang tidak terlaksana bahkan banyak yang kita tidak kehendaki berlaku kepada kita. Contoh mudah ialah kita tiada niat atau azam pada setiap kerdipan mata kita, itu kerana Kehendak Allah. Contoh lagi, kita makan 16 jenis makanan, minum pula 11 jenis minuman. Campur semuanya di dalam perut kita, pernahkah kita terfikir untuk agih-agihkan kepada seluruh badan kita sesuai dengan keperluan setiap bahagian tubuh kita ini? Bukan kerja kita, kita tidak dilibatkan sama sekali, bahkan kita tidur dengan lena semasa tubuh kita bekerja. Semuanya berlaku atas Masyi-ah Allah. Tanpa kehendak kita tetapi atas Kehendak Allah. Apabila Allah  Kehendaki apa yang Dia Ketahui akan berlaku dan apa yang diRekodkan-Nya akan terjadi dan apa yang Allah Kehendaki akan berlaku, maka terjadilah.

iv) Al-Khalqu- Allah Yang Menciptakan segala sesuatu. Sejuknya air, panasnya api, robohnya bangunan dan sebagainya. Tiada yang terjadi, melainkan semuanya Allahlah Yang Melakukan. Oleh itu beriman lah dengan Al-Iman bi 'Ilmillah.

8.0] Allah Tahu bahawasanya apa yang akan menimpa Kaum 'Aad dan ianya benar-benar telah berlaku. Didalam surah Al-Kahfi bermula dengan ayat 65 iaitu tentang tiga episod yang dialami oleh Nabi Musa as yang menjadi murid kepada Nabi Khaidir as. Nabi Musa as yang tidak tahu banyak perkara, merasa marah dan menyalahkan gurunya Nabi Khaidir as. Orang Arab menyatakan bahawa manusia ini seringkali memusuhi apa yang ia tidak tahu. Oleh itu jika kita memusuhi sesuatu, itu tanda kita tidak tahu, kerana jika kita sudah tahu kita akan kata o,o,o. Ketika perkara yang kita tidak tahu berlaku, kita akan melompat-lompat. Contoh mudah ialah ketika menonton drama atau filem yang dahsyat, action-packed. Kali pertama kita menonton filem itu tentunya merasa sangat suspen. Apabila melihat heronya berlari, melompat kejar mengejar, rumah runtuh dan sebagainya, bagaimana reaksi kita? Bandingkan apabila kita menengoknya buat kali yang kedua atau kelima?Adakah reaksinya sama atau berbeza? Untuk lebih jelas melihat perbezaan reaksi manusia, ajak saja seorang kawan untuk menonton filem tersebut buat pertama kalinya. Tentunya kawan kita itu melompat-lompat, menghayati filem yang suspen itu dan pada masa yang sama kita hanya tenang sahaja kerana kita sudah tahu tentang jalan ceritanya. Bayangkan hidup ini, jika Allah beritahu apa yang akan berlaku. Lantaran itulah guru kepada Nabi Musa as iaitu Nabi Khaidir as, diperintah Allah untuk membunuh pemuda, dibunuhnya, disuruh bocorkan sampan dilakukannya kerana dia tahu, tetapi Nabi Musa as melompat-lompat, menyalahkan, sebab dia tidak tahu.

9.0] Bayangkan jika Ilmu Allah Yang Maha Luas ini Allah berikan kepada kita, tentunya tenang hati kita. Walaupun belum tahu, yakinlah supaya hati kita jadi tenang. Keyakinan itulah yang membuat hati kita tenang. Bayangkan jika kita mendapat kebocoran maklumat dari Sidratul Muntaha, dan maklumat itu ialah berkaitan dengan kehidupan kita setahun akan datang, bermula dari bulan Ogos 2016 hingga Ogos 2017. Walaupun sesuatu yang akan berlaku itu yang kita tidak suka tetapi apabila kita tahu, kita sudah bersedia. Andai jika kita sudah tahu bahawa ada orang yang akan memukul kita dari belakang, kita sudah tidak rasa atau terkejut berbanding jika kita tidak tahu, orang menegur kita pun boleh akibatkan masuk hospital lantaran terkejut dan terkesan. Oleh itu elok tahu, dan kalau tidak tahu yakinlah bahawa semuanya Allah Ketahui, Allah Rekodkan kemudian akan berlakulah apa Yang Allah Kehendaki.

10.0] Ulangi penghayatan surah Al-Hadid supaya hati jadi tenang. Keadaan kita melompat-lompat menyalahkan, kerana kita tidak tahu, kerana sesuatu yang tidak diduga-duga, sesuatu yang tidak patut tiba-tiba berlaku keatas kita. Mendapat nikmat, melompat-lompat, dihilangkan nikmat pun melompat-lompat. Andainya Allah telah beritahu yang kita akan diberi nikmat tentu tenang hati dan apabila dihilangkan nikmat pun hati tetap tenang. Rujuk surah Al-Hadid ayat 23;


Apabila Allah ambil sesuatu daripada kamu, jangan bersedih tetapi bersabar, dan apabila Allah memberi sesuatu nikmat kepada kamu, janganlah tafrahu iaitu terlalu gembira, lupa daratan atau joli sakan tetapi sebaliknya perlu bersyukur. Sebelum menerima nikmat Allah, persiapkan hati untuk berkemampuan  untuk mensyukurinya, begitu juga sebelum Allah ambil sesuatu dari kita, persiapkan hati untuk bersabar. Apabila sedang sihat, bersedialah untuk sakit dan ketika sedang sakit bersedialah untuk sihat. Orang miskin yang belum bersedia jadi kaya, tiba-tiba Allah beri kekayaan, apa yang berlaku? Contohnya tengok saja kepada perangai OKB (orang kaya baru), perangainya pelik, mungkin dibelinya 6 biji peti ais untuk simpan baju, atau katil 7 buah untuk tidur bergilir pada 7 malam.

11.0] Ada disebut oleh Allah dan Nabi saw bahawa tanda kiamat ialah apabila orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, berlumba-lumba meninggikan bangunan. Orang itu dahulunya miskin, tiba-tiba jadi kaya, jiwanya belum bersedia, jiwa boleh jadi rosak. Sebaliknya juga bagi orang kaya yang belum bersedia untuk jadi miskin, pasti melatah-latah hinggakan mungkin akan tersenyum 24 jam tanda kejutan akalnya. Oleh itu selalulah berbisik kepada hati dan jiwa kita supaya sentiasa bersedia untuk hadapi apa sahaja yang akan berlaku dengan tenang. Masa kita gulung tikar, masa kita hilang jawatan, apabila berlaku kehilangan, kita bersedia dan masih boleh tersenyum.

12.0] Oleh sebab itu Hidup ini bersedialah untuk hadapi Mati bila-bila masa. Tidak semestinya besok akan mati, hanya bila ditakdirkan besok akan mati, diri telah bersedia dan bertuahlah diri itu. Orang takut untuk bersedia untuk Mati kerana takut Mati, walhal Mati itu pasti. Orang Melayu ada berkata, "Sediakan payung sebelum hujan". Jangan sudah hujan barulah terhegeh-hegeh mencari payung, supaya nanti tidak terjadi apabila baru jumpa saja payung hujan pun berhenti. Ketika sedang sihat, bersedialah untuk sakit dan orang yang sedang sakit pula boleh sihat.

13.0] Di dunia tiada yang tetap, semua tidak tetap, yang tetap ialah berubah atau perubahan. Hanya perubahan yang tetap.

14.0] Surah Al-Ankabut ayat 39;

Dari segi tertib sebutan  ketiga-tiga nama yang disebutkan diatas, kenapa Qarun disebut dahulu berbanding nama Fir'aun dan Haman. Sekali pandang kita rasa nama Fir'aun yang sepatutnya disebut dahulu kerana Fir'aun lebih berkuasa, seorang maharaja. Daripada Imam Al-Alusi, nama Qarun disebut dahulu adalah kerana untuk tujuan Tasliah (menghibur) Nabi saw dengan susunan itu. Apabila diselusuri sirah, siapa yang lebih dekat perhubungannya dengan Nabi Musa?;

i) Qarun dan Musa adalah dari bangsa yang sama, iaitu Bani Israil manakala Fir'aun dan Haman adalah dari Kaum Qibti. Oleh sebab itu Qarun adalah lebih dekat hubungan-nya dengan Nabi Musa.

ii) Kebanyakan mufassir dan ahli Taarik (pakar sejarah) seperti Ibrahim An-Nakhoi, Abdullah bin Harris, Qotadah, Malik bin Dinar dan Ibnu Juraij, mereka berkata bahawasanya Qorun itu anak kepada bapa saudara Nabi Musa. Ayah Qorun adalah Pakcik Nabi Musa as. Demikian juga kata Ibnu Jarir At-Tobari dan kebanyakan ahli Ilmu yang lain.

Qorun bin Yashhar bin Qoohith.
Musa bin 'Imran bin Qoohith.

Oleh sebab itu, Qorun dan Nabi Musa adalah sepupu. Qoohith datuknya, seorang cucunya menjadi nabi (Nabi Musa) manakala seorang cucunya lagi menjadi musuh Agama (Qarun).

15.0] Ayat ini disebut sebagai ayat Tasliah kepada Nabi Muhamad saw kerana Nabi saw bersedih, hiba, kecewa diatas tentangan kepada Nabi saw yang datangnya daripada kerabat terdekat kepadanya iaitu Abu Lahab, yang pada awalnya sangat gembira dengan kelahiran Nabi saw, memberi hamba sahayanya untuk menyusui Nabi saw tetapi kemudiannya apabila Nabi saw dilantik menjadi Nabi, Pakciknya Abu Lahab itulah yang paling kuat menentang Nabi saw. Andainya orang lain yang menentang, mungkin kurang sedikit kesannya.

16.0] Allah sebut kisah Nabi Musa as dengan Qarun, sepupu sendiri yang menentang, manakala Nabi Ibrahim juga ditentang oleh ayahnya sendiri, begitu juga Abbas bin Abdul Mutallib (sebelum memeluk Islam, sepupu Nabi saw) juga sangat kuat menentang Agama  yang dibawa oleh Nabi.

17.0] Qarun ini seperti yang diceritakan didalam surah Al-Qasas ayat 76, adalah orang yang paling kaya, tentang kunci-kunci perbendaharaan harta-nya yang sangat banyak dan sehingga memerlukan ramai orang yang kuat-kuat  memikulnya. Harta simpanannya berupa emas, perak dan benda-benda yang mahal, bukan sekadar koleksi kasut seperti orang sekarang. Qarun juga ada kedudukan, dilantik menjadi wazir atau Menteri Hal Ehwal Kebajikan Bani Israil. Juga bukan orang asing dengan Nabi Musa as malah sepupunya.

18.0] Disebut sepertilah Abu Lahab yang ada hubungan rapat dengan Nabi Muhammad saw, juga seorang jutawan, yang ada kuasa untuk menjaga Hal Ehwal Keselamatan Orang Quraish (menteri dalam negeri). Itulah urutan pertama yang menjadi Tasliah kepada Nabi saw supaya Nabi saw tidak terlalu bersedih sebab memang ada persamaan kisah Nabi Musa as dengan kisah Nabi  saw.

19.0] Pada zamannya, Qarun adalah orang yang cerdik, dan paling pandai tentang Kitab Taurat. Apabila dia menentang Nabi Musa as dan menolak Kitab Taurat tentulah kesannya sangat hebat. Begitulah juga jika yang menolak Al-Quran atau yang mengatakan Al-Quran ini palsu adalah datang dari orang yang ahli dan faham Al-Quran dengan mendalam, tentulah kesannya sangat hebat. Berbeza sangat jika seorang Sami dari Thailand yang mengatakan Al-Quran itu palsu, tentu kesannya tiada langsung.

20.0] Walid bin Al-Mughirah ialah seorang Quraish yang paling faham tentang Al-Quran tetapi menentangnya dan kesannya luar biasa.

21.0] Memang ada persamaan kisah Nabi Musa as dengan kisah Nabi Muhammad saw, sebab itulah nama Qarun disebut dahulu dalam turutan diatas. Kisah Qarun pula diceritakan dalam 3 surah didalam Al-Quran iaitu di dalam;

i) Surah Al-Ankabut ayat 39.
ii) Surah Al-Qasas ayat 76 sehingga 82.
iii) Surah Ghaafir ayat 23 hingga 25.

Daripada 3 kisah diatas, yang relatif lengkap adalah di dalam surah Al-Qasas. Kesilapan Qarun ialah kerana menisbahkan kekayaan dunia ini yang didapatnya kepada kebolehan dirinya dan tidak kepada Allah, Pemilik Yang Haqiqi. Rujuk Al-Qasas ayat 78;

23.0] Dosa Qarun yang paling besar ialah kerana ia lupa menisbahkan kekayaannya kepada Yang Maha Memberi iaitu Allah SWT. Apabila orang yang menisbahkan kejayaannya terhadap kebolehan dirinya maka tergolonglah  ia dalam Ideologi Qarunism. 

24.0] Perkara yang kedua tentang Qarun ialah dia suka sekali menunjukkan kelebihannya, banggakan kekayaannya, untuk mendapatkan pujian dari masyarakat. Apabila orang yang lemah jiwanya melihat kelebihan  dan harta Qarun, terusik hati mereka, dan mereka berkata seperti dalam surah Al-Qasas 79;

25.0] Contoh yang biasa kita dapati di dalam majalah popular dipamerkan segala kemewahan hidup seseorang, dari muka surat pertama hingga ke muka surat akhir, memuatkan gambar-gambar yang menunjukkan kemewahan hidup dan kelebihan diri yang mana akan terkesan dan terusik hati orang-orang yang tidak berkemampuan sedemikian. Qarun yang apabila mendengar pujian, bertambahlah kagumnya, berpeluh, bertambah rasa besar diri, dan sifat ini sangat-sangat dibenci oleh Allah dan tidak boleh ada pada diri seseorang Muslim.

26.0] Contoh sebenar yang berlaku dalam kehidupan;
Ada seorang bapa yang punya 2 orang anak perempuan. Seorang anaknya cemerlang dari sejak kecil sehingga berjaya dalam pelajaran dan lulusan Menara Gading kemudian menjawat jawatan  yang baik, berbanding dengan adiknya yang kurang memuaskan prestasinya dari awal persekolahan dengan hanya mendapat pangkat rendah, terpaksa pindah-pindah sekolah, kelulusan tidak seberapa dan bekerja juga tidak seberapa. Tiba masanya kakaknya nikah-kahwin, dan satu daripada agenda majlis ialah dengan mempamerkan segala kebertuahan anak itu yang menjadi Raja Sehari dengan tayangan video tentang perjalanan kejayaannya.

Tiba pula masa nikah-kahwin adiknya. Bakal pengantin telah menyatakan kepada bapanya bahawa dia tidak mahu ditayangkan kisahnya seperti yang telah dibuat untuk kakaknya. Bapanya pun dengan selamba menjawab, "Memang tidak mahu ditayangkan pun, takut buat malu". Apa yang tersirat dihati si bapa sebenarnya? Jangan-jangan tujuan mempamerkan tentang kejayaan si kakak itu dahulu adalah untuk berbangga-bangga? Jika niatnya untuk membuat orang mengkagumi, supaya orang yang tidak tahu akan tahu, itu adalah Qarunism. Itu tidak boleh, Al-Quran melarang. Bacalah surah Al-Qasas ayat 81;


27.0] Kenapa Allah benamkan orang yang bangga-banggakan diri? Itu adalah Takaathur (bermegah-megah) yang tanpa kita sedari sekarang ini semakin menjadi kebiasaan, menjadi trend  dalam setiap majlis walimah. Takaathur ini tidak wujud dahulu cuma sekarang ini semacam sudah menjadi syarat majlis. Bila kita sudah belajar Agama, kita tidak boleh memaksa Agama atas kehendak kita atau memaksa Agama bersetuju dengan kita. Nabi saw bersabda,"Tidak sempurna iman seseorang sehingga hawa nafsunya, selera keinginannya tunduk patuh kepada apa yang aku bawa". Selagi kita mengorbankan, mengalahkan kata Agama untuk mengikut kata kita, bermakna Iman kita masih dipersoalkan.

28.0] Al-Quran sangat melarang sifat tercela seperti diatas sebab akhirnya kita nafsi-nafsi. Diakhirat kita seorangan. Kalau kita sudah belajar, dan kita sudah tahu, tetapi kita langgari juga, tanggunglah sendiri didalam kubur berseorangan. Allah Maha Tahu apa yang ada didalam hati seseorang.

29.0] Tentang Pengetahuan Allah iaitu sifat Allah Maha Tahu, boleh dirujuk surah Al-Ahzab ayat 28 dan seterusnya. Ayat pilihan dimana Allah memberi pilihan kepada isteri-isteri Nabi saw samaada ingin hidup bersama Nabi saw seadanya atau  memilih untuk kehidupan dunia yang kaya raya dengan diceraikan oleh Nabi saw. Mereka memilih untuk hidup bersama bersusah dengan Nabi saw. Allah Maha Tahu niat dan isihati isteri-isteri Nabi saw yang ingin meminta belanja lebih, walaupun mereka ada haq.

30.0] Ketika Nabi saw buat majlis walimahnya iaitu semasa Nabi saw berkahwin dengan Zainab binti Jahshi. Waktu itu belum ada lagi ayat protokol, sahabat boleh bergaul bebas dengan isteri-isteri Nabi saw, belum ada perintah hijab dan boleh masuk ke rumah Nabi saw dengan bebas. Ada seorang sahabat terlintas di dalam hatinya, apabila melihat Aisyah r.anha yang masih muda dan melihat Nabi saw yang relatif lebih tua, secara hukum zahirnya bermakna Nabi saw akan wafat dahulu, lantas terlintas didalam hatinya untuk kahwini Aisyah jika Nabi saw wafat nanti. Tiada sesiapa pun tahu kecuali dirinya dengan Allah. Kalau tiada larangan pasti ramai yang akan kahwini janda Nabi saw nanti. Tidak lama kemudian turun ayat panjang lebar tentang tatasusila pergaulan dengan isteri-isteri Nabi saw. Tentang tidak boleh berkahwin dengan janda Nabi saw. Sahabat yang lain tidak terasa apa-apa dengan turunnya ayat tersebut kecuali bagi seorang sahabat yang telah terjentik hatinya dengan penurunan ayat itu. Allah Maha Tahu.

31.0] Nabi saw berpesan, "Sesungguhnya kamu orang-orang Islam akan ikuti sunnah kehidupan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehingga jika mereka masuk ke lubang dhob pun akan ikut masuk". Sahabat tidak tahu apa maksud Nabi saw dengan kalimah "Man qablikum", lalu bertanya dan dijawab Nabi saw, "Wa man".

32.0] Agama bukan semata-mata tentang solat, zakat, haji, tentang Romadhon, tentang solat Tarawikh, atau tentang pilih-pilih imam yang mesra makmum, yang baca surah pendek dan sebagainya. Hati-hatilah dalam segala hal. Semuanya telah ada contoh daripada kaum-kaum terdahulu. Kaum Nabi Luth dengan jenayah moral dan sosial, kaum Nabi Syu'aib dengan jenayah perniagaannya, kaum Nabi Nuh dengan jenayah kasta dalam masyarakat, kaum Nabi Musa dengan jenayah Qarunism, suka menunjuk-nunjuk, suka bila orang memuji, bila orang kagum, bila orang rasa hairan. Ini penyakit hati yang busuk dan adalah berat sekali dosanya.

33.0] Surah Al-Ankabut ayat 39 ini adalah ayat tasliah kepada Nabi saw. Dimana banyak persamaan dengan kisah hidup Nabi saw sendiri. Cerita-cerita tentang Qarun, Abu Lahab dan Abbas bin Abu Mutallib ada persamaan dari segi ada kekuasaan, ada ilmu tetapi menentang, ada hubungan kekeluargaan. Apabila kita ditimpa musibah dan mengetahui bahawa ada orang lain juga yang merasa sama, musibah kita terasa ringan. Apabila Nabi saw menerima ayat tasliah ini, Nabi saw merasa berkurang musibahnya.

34.0] Kisah tentang Haman tiada didalam sejarah Mesir Kuno, tetapi disebut di dalam Al-Quran sebanyak 6 kali. Lantas orang Kristian mengatakan itu bukti Al-Quran tidak benar, palsu. Tetapi Al-Quran telah dapat membuktikan secara Saintifik bahawa Haman benar-benar wujud dizaman Mesir Kuno berdasarkan tulisan Hieroglyphic berbentuk haiwan iaitu tulisan bersimbol. Setelah bukti ini diungkap, barulah ada tulisan dan cerita tentang Haman. Itu menunjukkan apa yang Al-Quran katakan pasti benar, kalaupun belum tahu, pasti sekali Allah akan tunjukkan buktinya dari masa kemasa. Wallahu 'a'lam.



















































No comments:

Post a Comment