Tuesday, August 30, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 41) Kuliah 41-Tentang Sarang Labah-Labah

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 41;

Surah Al-Ankabut ayat 41 ini menceritakan tentang perumpamaan akidah atau kepercayaan orang Musyrik yang diumpamakan seperti Baitul Ankabut (sarang labah-labah). Sebelum dihuraikan tentang ayat ini, disampaikan dahulu tentang bahasa di dalam Al-Quran dimana apabila ada 2 kalimah yang hurufnya sama tetapi jika membacanya berbeza maka maknanya pun berbeza. Contohnya di dalam ayat di atas ada kalimah yang terdiri dari huruf ;

م ث ل  ـ مِثْل  ـ مَثَلٌ
Boleh dibaca mithlun dan juga boleh dibaca mathalun. Kedua-duanya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sama sebagai Perumpamaan. Kalimah ini banyak sekali diulang-ulang di dalam Al-Quran. Apabila kalimah ini dibaca sebagai mithlun مِثْل maka ia bermakna tasybiihu mufrad bimufrad iaitu bermaksud menyerupakan atau menyamakan individu dengan individu. Contohnya apabila dikatakan Muhammad mithlu abiihi bermaksud Muhammad seperti bapanya, Muhammad disamakan dengan bapanya dari satu segi sahaja samada dari segi rupa yang serupa hingga susah untuk dibezakan  atau dari segi kedua-duanya adalah manusia atau lelaki, tidak lebih dari itu. Tetapi jika dibaca sebagai mathalun ـ مَثَلٌ maka sudah lain maksudnya dimana ia membawa maksud tasybiihu qissoh atau tasybiihu muta'ad bimuta'adadu yang bermaksud menyerupakan kisah atau menyerupakan sesuatu yang banyak dengan sesuatu yang banyak berbilang. Contohnya, Mathalu Muhammad kamathali abiihi yang bermaksud Muhammad menyerupai atau menyamai bapanya dalam serba serbi, seperti sama kulitnya, perangainya, kecenderungannya, cara tidurnya, cita-citanya , semua sama, persamaan yang sangat banyak.

2.0] Rujuk surah As-Syuura ayat 11, masih lagi tentang tafsir bahasa dahulu supaya tidak terkeliru.


Perhatikan kalimah laisa kamithlihi syai' yang bermaksud tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia. Maknanya, yang serupa, mithlu dengan Allah tiada, malah yang serupa dengan yang serupa mithlu dengan Allah pun tiada. Untuk Allah tidak ada sesuatu yang mithlun dengan Allah walau pun mithlun yang sedikit. Jangankan ada sesuatu yang serupa dengan Allah, yang serupa dengan yang menyerupai Allah pun tidak ada. Itu bermakna Allah itu Ahad. Itu Aqidah Tauhid. 

3.0] Rujuk lagi surah Asy-Syura ayat 40;

Perhatikan lagi kalimah mithluha yang bermaksud serupa. Di dalam ayat di atas menjelaskan bahawa balasan untuk suatu kejahatan adalah serupa. Contoh mithlun tasybiih lagi ialah jika dikatakan," Sidia itu macam meja" yang mana persamaannya boleh jadi kerana hanya sama-sama ada kaki, itu saja tidak lebih.

4.0] Ada pun mathalun ـ مَثَلٌ yakni tasybiih juga, menyamakan persamaan sesuatu dengan sesuatu yang lain dari segi kisah, cerita atau tasybiih muta'ad bimuta'addidin iaitu menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dalam berbagai aspek. Contoh, apabila A dan B banyak sekali persamaan maka kita guna kalimah mathalu. Rujuk surah Aa li Imran ayat 59;

Perhatikan ayat di atas, dimana Adam dan Isa adalah mufrad (individu), menyamakan individu dengan individu, sepatutnya digunakan kalimah mithlu tetapi kenapa disini digunakan kalimah mathalu? Kalaulah kerana kedua-duanya makhluk Allah, patutnya guna kalimah mithlu, atau kalaulah kerana kedua-duanya utusan Allah, juga patut guna kalimah mithlu. Tetapi kenapa disini digunakan kalimah mathalu? Ini adalah kerana Adam dan Isa punyai banyak sekali persamaannya. iaitu tasybiihu qissoh atau tasybiihu muta'addidin. Ini adalah mukjizat Al-Quran yang luar biasa untuk Allah  menceritakan tentang Adam dan Isa yang punyai banyak persamaan dari pelbagai aspek. Salah satunya ialah keduanya lahir tanpa bapa.

5.0] Kembali kepada surah Al-Ankabut ayat 41 di atas. Kegunaan kalimah mathal dan bukan kalimah mithlun ialah kerana Allah ingin menyamakan orang-orang yang musyrik yang menjadikan selain Allah sebagai Tuhan adalah sama betul dengan ankabut (labah-labah) yang membuat rumahnya yang adalah selemah-lemah rumah. Ayat ini benar-benar mengajak kita untuk berfikir lebih mendalam, untuk fahami apa maksud Allah tentang ayat ini.

6.0] Pendapat ulama tafsir tentang ankabut (labah-labah), yang termasuk dalam golongan karnivora ini adalah hampir serupa iaitu tentang kelemahan labah-labah yang tidak punyai apa-apa keistimewaan. Sejak mufassir abad ke 7, seperti Abdullah bin Abas, seorang anak didik Nabi saw sehinggalah kepada mufassir abad ke 20 iaitu Dr. Mustafa Al-Marowi, mantan Saiful Azhar, sama-sama mengatakan bahawa rumah atau sarang labah-labah  adalah sebagai sangat lemah kerana tidak dapat melindungi penghuninya dari panas atau hujan. Salah satu daripada fungsi rumah ialah untuk lindungi diri dari cuaca, panas, hujan dan sebagainya. Semua makhluk seperti anai-anai, burung, katak, tikus, manusia dan sebagainya pasti nya membuat rumah untuk lindungi diri dan ternyata rumah labah-labah ini tidak dapat melindungi nya dari panas atau hujan dan tidak juga untuk lindungi daripada musuh. Rumah labah-labah adalah rumah yang paling rapuh, mudah rosak, sentiasa perlukan pengurusan, maintainance yang terus menerus.

7.0] Ada fakta dari Sarjana Turki yang bernama Harun Yahya, yang membuat kajian tentang rumah atau sarang labah-labah dalam hasil terjemahannya yang mengejutkan iaitu;

i) Rumah atau sarang labah-labah adalah memerlukan pengurusan atau penjagaan terus menerus kerana bahagian benangnya boleh rosak hanya dengan tiupan angin atau terkena hujan atau dengan gerakan mangsanya. Rumah yang tidak pernah siap kerana sentiasa dibaiki dan kena menjaganya terus menerus. Tidak seperti busut atau sarang burung dan sebagainya yang mana penghuninya dapat duduk dengan tenang setelah buat rumah.

ii) Rumah yang tergantung, namun dalam waktu 24 jam iaitu sehari semalam jaring yang telah dibuat itu akan kehilangan sifat sebagai perangkap mangsa dan rosak. Walau pun jika tidak dapat lagi menangkap mangsa, rumah atau sarang labah-labah itu kena dibuat semula.

iii) Rumah atau sarang yang telah dibuat itu dibongkar secara berkala dan dibuat semula. Labah-labah itu akan memakan rumah atau sarangnya dan membina semula rumah yang baru walau pun rumah yang lama belum dapat menangkap apa-apa mangsa. Ada labah-labah Tropika yang membina rumah pada malam hari dan memakannya pada siang harinya dan kemudian membinanya semula.

8.0] Dari tafsir Al-Jaami'ul Al-Ahkamil Quran oleh Imam Al-Qurtubi, meriwayatkan hadith daripada Yazid bin Maisarah ada menyatakan bahawa ankabut atau labah-labah adalah setan yang Allah tukarkan bentuk rupanya. Tafsir Al-Qurtubi itu juga diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib yang mengatakan, "Bersihkan rumah-rumah kamu dari sarang labah-labah kerana dengan membiarkan sarang labah-labah di dalam rumah, ia akan mewariskan kemiskinan".

9.0] Di dalam Tafsir Ad-Duur Al-Mansur yang dikarang oleh Jalaluddin As-Suyuti, beliau mengutip hadith mursal daripada Abu Daud yang berasal daripada Yazid bin Marthad ra mengatakan bahawa Rasul saw bersabda, "Ankabut itu adalah syaitan yang telah diubah Allah bentuk dan rupanya, maka sesiapa yang menjumpainya hendaklah membunuhnya'. Wallahu 'a'lam. Andainya jika ankabut atau labah-labah ini dibesarkan saiznya tentu sekali sangat menakutkan.

10.0] Yang Menarik tentang ankabut atau labah-labah ini ialah tentang mukjizat Al-Quran yang menerangkan tentang Baitul Ankabut, rumah ankabut. Allah tidak menyebut serat atau benang tetapi Allah kata tentang rumah kerana serat atau benangnya  adalah ciptaan Allah yang sangat kuat  dan hebat. Di dalam Majalah Sains Edisi ke 5 Januari 1996, seorang saintis bernama Jelenski iaitu orang Eropah Timur, bersama kawan-kawan  teamnya dari Universiti New York telah membuat kajian di makmal dan telah temui fakta bahawa jaring labah-labah itu adalah terbuat dari berbagai molekul yang mempunyai kekuatan 5 kali ganda menandingi keluli pada saiz yang sama. Contohnya jika tali keluli berdiameter 30 sentimeter boleh mengangkut 180 buah kereta maka bermakna ankabut atau labah-labah ini dapat menghasilkan bahan yang jauh lebih kuat daripada keluli tambahan pula ia punyai sifat kelenturan atau elastisiti 2 kali ganda daripada Nylon.

11.0] Di Jerman telah dikembangkan teknologi Bio Engineering ini. Dilakukan pembiakan labah-labah secara besar-besaran untuk mendapatkan benang-benang untuk dijadikan bahan campuran yang sangat luar biasa kuat nya untuk membuat badan kereta kebal, atau untuk dijadikan salut peluru atau untuk dibuat baju kalis peluru. Di Silicon Valley telah diusahakan bahan ini untuk membalut cip kerana sangat nipis, halus  tetapi sangat kuat dan tahan. Manalah tahu mungkin di suatu hari nanti. lebih banyak peralatan canggih, mungkin periuk untuk kita memasak, yang dibuat dari bahan campuran dari serat atau rumah ankabut ini. Subhanallah.

12.0] Orang-orang kafir benar-benar lebih juara dalam mentafsirkan Ayat-ayat Kauniyah di dalam Al-Quran yang berkenaan dengan penciptaan Alam Semesta. Kita pula yang empunya kitab, hanya membaca, mengkhatam berkali-kali, menyediakan bunga telur pada majlis khatam yang meriah, setakat itu sahajakah? Tetapi mereka yang kafir lebih suka mengkaji ayat-ayat kauniyahnya. Telah diberitahu di dalam Al-Quran, bahawa untuk menjadi juara, mestilah gunakan budaya "Iqra' Bismi Robbikallazi Kholaq" iaitu, "Bacalah, dengan Nama Tuhan kamu Yang Menciptakan". Mana-mana bangsa yang telah membudayakan budaya Iqra', pasti akan jadi juara, menjadi negara maju, sumber human-capital yang luar biasa, mengkaji ayat-ayat kauniyah sehingga berjaya. Secara umumnya, kita apabila melihat sarang ankabut atau labah-labah, hanya semata-mata melihat. Alangkah ruginya kita.

13.0] Maa syaa Allah, sesungguhnya itulah nilai mukjizat Al-Quran tentang Baitul Ankabut, dimana Allah telah menyebut tentang rumahnya yang sangat lemah dan tidak berfungsi, tetapi Allah tidak pula menyebut tentang bahan yang Allah jadikan serat atau rumah itu.

14.0] Kembali kepada andaian tentang ankabut atau labah-labah ini. Bagaimana Ali bin Abi Talib berkata iaitu didalam hadis, Nabi saw bersabda bahawa ankabut itu adalah syaitan yang telah diubah Allah bentuknya. Manakala ada pula cerita tentang ankabut yang telah berjasa membuat sarang dipintu gua ketika Nabi saw dan sahabat berhijrah. Kenapa disuruh bunuh dan dibuang sarangnya?.

15.0] Tentang kisah ankabut atau labah-labah yang telah membuat sarang dipintu gua ketika Nabi saw berhijrah itu sebetulnya ada terdapat berbeza pendapat, iaitu;
i) Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Askolani mengatakan bahawa riwayat itu hasan di dalam kitab Al-Bidayah Wa Hidayah.
ii) Ibnu Kathiir juga mengatakan itu isnad nya hassan (boleh diterima), manakala
iii) Muhaddith Nasirudin Al-Baani mengatakan itu hadith lemah dan mungkar .

16.0] Imam Ahmad bin Hambal memberi penjelasan bahawa, "Apabila kami meriwayatkan daripada Nabi saw perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam, halal-haram, maka kami akan bersikap tegas iaitu dalam masalah Isnad tetapi apabila kami meriwayatkan hadis daripada Nabi saw perkara berkaitan dengan Fadhoil 'a'mal, iaitu keutamaan amalan atau pun yang tiada kaitan dengan hukum hakam halal haram seperti yang berkaitan dengan kisah-kisah, maka kami bersikap lebih lembut dan bertolak ansur".

17.0] Ulama-ulama ada yang boleh menerima dan ada yang menolak, tetapi yang pasti kita tidak membicarakan tentang betul atau tidak kisah ankabut di pintu gua itu atau kisah betul atau tidak ankabut itu syaitan. Mengikut hadith-hadith soheh, Nabi saw telah menyuruh membunuh binatang berbisa seperti ular, kala jengking, lipan dan seumpamanya jika kita sudah yakin dan nyata binatang itu mendatangkan ancaman kepada keselamatan diri kita. Kita tidak boleh membunuhnya selagi ia tidak mendatangkan bahaya ancaman kepada kita. Kita tidak boleh sengaja mencari binatang-binatang berbisa itu untuk dibunuh. Tidak mungkin Allah ciptakan makhluknya hanya untuk dibunuh dengan sia-sia, begitulah juga dengan ankabut atau labah-labah ini. Jika terdapat sarangnya atau rumahnya di kediaman kita, buang sahaja, itu yang sebaiknya.

18.0] Dari hadith soheh Imam At-Tabrani dalam kitabnya, daripada Asma' binti Abu Bakar, ada menyatakan  bahawa kafir Quraisy itu tidak tahu yang Nabi saw dan Abu bakar berada di dalam gua itu, bukan sebab labah-labah membuat sarang di pintu gua tetapi Nabi saw dan Abu Bakar dilindungi oleh malaikat. Ketika Abu Bakar nampak ada orang Quraisy di pintu gua, Abu bakar berkata kepada Nabi saw,"Ya Rasulullah, tentu mereka boleh melihat kita", tetapi dijawab Nabi saw, "Tidak, tidak tidak, kerana malaikat akan tutupi kita dengan kepak-kepak dan sayapnya". [Nota; tempat persembunyian itu hanyalah gharr iaitu gua yang kecil bukan kahfi (cave) atau gua yang besar]. Oleh itu baiklah kita ambil langkah Al-Khuruj Minal Khilaf iaitu keluar dari kekhilafan.

19.0] Kembali kepada surah Al-Ankabut ayat 41, dimana orang kafir Musyrik yang menyembah selain Allah. Tuhan mereka tidak boleh diharap langsung. Contohnya orang kafir yang berdoa kepada patung, yang tidak boleh mendengar, patung itu tidak tahu pun samada orang itu berdoa atau memakinya. Patung itu tidak nampak, tiada daya. Kalau ada bencana pun bukannya patung itu dapat menyelamatkannya bahkan patung itu kena diselamatkan oleh penyembahnya. Bukan kah tujuan menyembah Tuhan ialah;
i) Apabila kita sakit, Dia Yang Menyembuhkan.
ii) Apabila kita hina, Dialah Yang Muliakan.
iii) Apabila kita dianiaya, Dia Yang Menolong.
iv) Apabila kita berbuat kebaikan, Dialah Yang Memberi ganjaran dan seterusnya?.

20.0] Ankabut atau labah-labah membuat rumah yang sama sekali tidak berfungsi, yang tidak mempunyai manafaat bahkan  sia-sia, samalah dengan orang yang menyembah selain Allah yang tidak mendapat apa-apa dari yang disembah. Rujuk surah Yasin ayat 74 dan 75;


Orang-orang yang mengambil selain dari Allah sebagai sembahan tidak akan dapat ditolong oleh sembahan mereka itu. Orang menyembah pokok, lembu, keris dan sebagainya, yang tidak boleh memberi apa-apa pertolongan kepada penyembahnya. malah jika ada musibah, yang disembah itu pula yang kena diselamatkan.

21.0] Sekarang tentang ankabut yang sangat ajaib, punya rumah yang sangat lemah, punya bahan yang sangat kuat keluar dari tubuhnya untuk buat rumahnya,  tetapi punyai perangai yang sangat dahsyat. Kita diingatkan supaya tidak mengikut mentaliti atau mazhab ankabut ini. Rujuk surah Al-Ankabut ayat 41 diatas dimana dari segi i'jaz atau kemukjizatan Al-Quran, Allah telah berfirman "ittakhozat baitan" yang menunjukkan ankabut yang membuat rumah itu adalah ankabut atau labah-labah betina (muannas) tetapi yang jantan tidak buat rumah. [Nota; Ankabut= labah-labah betina=muannas, manakala Ankabun=labah-labah jantan=muzakkar] 

22.0] Sejak 14 abad yang lalu, Allah telah beritahu di dalam Al-Quran tentang ini, samalah seperti si kelip-kelip yang mana perut kelip-kelip betina yang mengeluarkan cahaya. Kelip-kelip atau kunang-kunang atau fire-fly betina apabila tiba musim mengawan perutnya akan mengeluarkan cahaya untuk menarik perhatian yang berlainan jenis. Begitu juga dengan kupu-kupu betina yang keluar malam untuk menarik perhatian lain jenis untuk mengawan, sebab itu lah timbul istilah kupu-kupu malam.

23.0] Ankabut betina tidak akan mula membuat rumah sehinggalah ia telah baligh dan bersedia untuk cari pasangannya dan itu adalah persediaan baginya untuk menarik si jantan yang memang tidak punya keupayaan buat rumah lantaran fitrahnya dimana perutnya tidak ada kilang untuk membuat serat seperti yang betina. Tiba masa ankabut betina dan jantan mengawan, dan setelah usai bersama (mengawan), ankabut betina akan membunuh dengan memakan ankabut jantan.

24.0] Kalimah talkih bermakna hubungan suami-isteri bagi binatang atau pokok tumbuhan. Ada disebut di dalam A-Quran tentang lawakih ini iaitu ejen persenyawaan (juru nikah)  bagi haiwan dan tumbuhan yang boleh jadi angin atau haiwan lain.

25.0] Ankabut Al-Armilatis Sauda' iaitu Black Widow Spider atau Labah-labah Janda Hitam, membunuh pasangan intimatenya setelah selesai melakukan hubungan intim dan si betina sudah yakin dan pasti yang si jantan telah berjaya membuntingkannya. Jika belum, diberi lagi peluang kedua, kemudian si jantan dibunuhnya tanpa kesihan belas.

26.0] Terdapat 8 atau 9 jenis ankabut atau labah-labah yang punyai fe'el perangai yang berbeza;
i) Ada yang membiarkan si jantan tidak dibunuh, hidup berlegar-legar diperangkap sarangnya supaya apabila tiba masa anak-anaknya menetas, biar anak-anaknya yang akan makan si jantan itu. Satu situasi dahsyat dimana siibu yang telah memikirkan masa depan anak-anaknya dengan menyediakan sibapa untuk dimakan oleh anak-anaknya.
ii) Setengahnya pula bila anaknya lahir, sijantan dibunuh dan diberi makan sedikit-sedikit kepada anak-anaknya. Perangai Al-Ankabutiah yang sangat dahsyat. Kesihan si jantan, yang tidak dapat buat rumah sendiri, terpikat dengan rumah si betina yang akhirnya menjadi mangsa.
iii) Satu lagi jenis ankabut yang lebih dahsyat iaitu akan memakan si jantan selepas berhubungan intim dan juga memakan anak-anaknya yang baru lahir dengan rakus.
iv) Ada juga yang mati setelah bertelur, telur yang banyak kemudian menetas, anak-anak yang sangat banyak, bapa sudah mati, ibu juga sudah mati, anak yang ramai tanpa ada yang membela.

27.0] Tahukah kita bahawa telur-telur ankabut atau labah-labah itu sendiri pun sudah ada bakat gaduh, telur yang banyak itu saling tolak menolak sehingga telur yang tidak tahan dengan tolakan akan pecah. Apa maknanya semua ini? Ini adalah suatu falsafah hidup yang sangat buruk. Mereka ingin hidup dengan membunuh orang lain. Jangan sekali-kali kita punyai mentaliti ankabut, jauhilah dari dianuti cara hidup sedemikian;.
i) Ingin kaya boleh, tetapi jangan memiskinkan orang lain.
ii) Ingin naik jawatan boleh tetapi jangan pijak orang lain.
iii) Ingin senang boleh tetapi jangan dengan susahkan orang lain.
iv) Ingin bina istana, silakan, tetapi jangan memeras keringat orang lain.

28.0] I'jaz yang boleh dipelajari, yang boleh dikaji dari keadaan penghidupan dan perangai ankabut ini sangat banyak yang telah Allah berikan kepada kita untuk di fikir dan dikaji dan diambil iktibar.

29.0] Adalah sangat terpuji Sarjana-sarjana Muslim yang mengkaji dengan seruan IQRA', IQRA', IQRA'. Patut sekali merealisasikan budaya kajian 'By Research', iaitu bertunggakkan;
i) Apa yang menjadi objeknya? - Ma kholaq, Segala Ciptaan Allah.
ii) Apa niatnya? - Bismirobbika, Dengan Nama Tuhan Mu.

30.0] Jika semua Muslim boleh berfikir begitu dan boleh melakukan segalanya dengan niat semulia itu, tentu akan berjaya. Bagi sarjana-sarjana Muslim yang membuat kajian dengan tekun terhadap ciptaan Allah, hidupnya banyak dimakmal, beramal dengan ikhlas, pahalanya besar sekali berbanding dengan orang-orang yang hanya membaca kitab Al-Quran atau apa yang telah  tersedia.

31.0] Adalah sangat tidak baik apabila Allah contohi orang kafir dengan ankabut. Orang kafir ini mentaliti ankabut yang perkaya diri dengan memiskinkan orang lain. Mangsa yang terperangkap di dalam rumah atau sarang ankabut akan menderita, lambat mati, sangat menyakitkan, tiada belas kasihan, mati lemas. Mentaliti ankabut, mentaliti zionis. Wallahu 'a'lam.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------

32.0] Nota tambahan, ihsan dari seorang kawan; tentang ankabut;
Ayat 41 yang menceritakan tentang sarang /tempat perlindungan labah-labah, kini campuran sutera labah-labah (biosteel) banyak digunakan sebagai bahan perlindungan keselamatan kerana kekuatan dan keanjalannya seperti kegunaannya dalam baju kalis peluru, payung terjun, beg udara (airbag) tayar kereta lumba dan lain-lain.

33.0] Diperingkat permulaan saintis menghadapi kesukaran, terbatas dalam mendapatkan sutera labah-labah. Pembiakan koloni labah-labah bagi menghasilkan labah-labah dalam kuantiti yang banyak tidak berjaya kerana labah-labah saling membunuh.

34.0] Pada tahun 2000, akhirnya saintis berjaya menghasilkan sutera labah-labah secara komersial melalui susu kambing yang dikenali biosteel melalui suntikan genetik sutera labah-labah ke dalam embrio kambing.

35.0] Para saintis di Nexia Biotechnology Inc. di Kanada berjaya menghasilkan sutera labah-labah (biosteel) 1-2 g per liter susu daripada susu kambing untuk tujuan komersial tersebut.

36.0] Biosteel ini kekuatannya adalah lebih kuat daripada besi.

37.0] Ahli fizik menganggarkan sutera labah-labah yang mempunyai ketebalan sebatang pen mampu menahan kapal terbang Boeing 747 yang sedang bergerak pada kelajuan 1,080 km/jam. Ini perumpamaan yang menunjukkan kekuatan yang dimiliki sutera labah-labah.

38.0] Antara lain ciri-ciri biosteel adalah;
i) 5 kali lebih kuat daripada besi keluli- kekuatan proteinnya (amino acid glisina dan analina dalam bentuk kristal dan amorfus dengan kehadiran ikatan hidrogen).
ii) Boleh diregang sehingga 40 % tanpa putus atau kehilangan integriti strukturnya.
iii) Tidak kering atau rapuh di makan masa kerana sifat higroskopik.
iv) Imun dari kerosakan yang disebabkan oleh mikrob atau fungal disebabkan keasidannya iaitu pH = 4.
v) Kalis air, tidak berkarat atau reput.
vi) Jauh lebih ringan daripada besi.
vii) Sesuai dengan tubuh badan maanusia.

39.0] Bagi aplikasi perubatan Biosteel memberi manafaat besar bagi menggantikan besi dalam pembuatan injap jantung, prostesis lutut dan pinggul, kerana besi memberi kesan sampingan kepada kesihatan tubuh badan manusia.

40.0] Kini saintis cuba menghasilkannya pula melalui suntikan gen labah-labah pada tumbuhan seperti alfalfa bagi tujuan komersial.

41.0] Segala ciptaan yang Allah jadikan di muka bumi ini adalah dengan Kehendak-Nya, Ketentuan dan Takdir-Nya. Bersyukur kepada Allah SWT atas segala anugerah nikmat-Nya yang tidak terhingga. Wallahu 'a'lam.










 











No comments:

Post a Comment