Tuesday, September 6, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 41-43) Kuliah 42- Ayat Amthal, Tentang Labah-Labah


1.0] Kuliah minggu lepas menceritakan tentang surah Al-Ankabut ayat 41.


Ayat ini ialah ayat tamthiliah, iaitu ayat perumpamaan. Allah menyerupakan orang kafir Musyrik yang menjadikan selain Allah sebagai tuhan sebagai Al-Ankabut yang membuat sarang atau rumah. Ayatul tashbiih ialah ayat yang menyamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Persamaan yang pertama ialah dari segi pembuatnya iaitu orang kafir dengan ankabut yang buat rumah. Kedua-duanya adalah makhluk Allah, yang satu adalah manusia manakala yang satu lagi ialah haiwan yang punyai mentaliti yang sama, ganas, tamak kuasa dan rakus. Yang satunya tiada peri kemanusiaan dan yang satu lagi tiada peri kebinatangannya. Mereka ingin hidup sendiri dengan cara mematikan yang lain, ingin perkaya diri dengan memiskinkan yang lain, ingin berjaya dengan cara menggagalkan orang lain, ingin naik tinggi dengan cara memijak kepala orang lain. Itu adalah mentaliti ankabut dan adalah sama dengan manusia yang kafir yang Allah sebutkan dalam ayat diatas.

2.0] Tashbiih atau persamaaan yang kedua ialah tentang rumah ankabut yang dinyatakan sebagai bangunan rumah yang sangat lemah. Sesiapa sahaja yang membina rumah  tentu inginkan manafaat dari rumahnya. Fungsi rumah untuk lindungi diri tuannya dari terik matahari, panas, hujan, musuh dan sebagainya tetapi fungsi rumah seperti itu tiada pada baitul ankabut (rumah ankabut). Itu bermakna rumah ankabut tidak memberi apa-apa manafaat samalah dengan orang-orang kafir yang memusyrikkan atau mengkafirkan Allah, tidak beri apa-apa manafaat sebaliknya mudhorat seperti diceritakan di dalam surah Yasin ayat 74 dan 75;




Tuhan-tuhan buatan itu tidak mampu menolong mereka bahkan bagi mereka nanti, tuhan-tuhan sembahan mereka itulah yang akan jadi tentera yang dihadirkan untuk mereka kelak. Katakan manusia menyembah lembu dengan harapan lembu itu dapat menolongnya, tidak sekali, bahkan dia pula yang terpaksa menolong menyelamatkan lembu itu dari banjir atau jika berlaku kebakaran. Keadaannya adalah sama dengan ankabut yang membuat rumah yang tiada dapat memberi manafaat.

3.0] Jangan lupa tentang kajian saintifik  yang menjelaskan bahawa serat dari perut ankabut adalah sangat kuat, lebih kuat dari keluli. Yang Allah katakan ialah tentang baitul ankabut, rumah ankabut yang lemah, bukan bahan yang ankabut gunakan untuk buat rumahnya. Persamaan boleh dilihat tentang kajian yang dikeluarkan di Negara Barat khasnya di Amerika, dimana golongan Atheis kebanyakannya terdiri daripada beberapa kelompok orang awam, peniaga, seniman, golongan intelek dan sebagainya. Jumlah Atheis yang paling ramai ialah dari golongan cendikiawan atau saintis, sehingga ada yang berkesimpulan bahawa semakin bijak seseorang, semakin tinggi ilmu seseorang dalam ilmu pengetahuan, semakin besar peluang orang itu menjadi Atheis. Adalah terbalik jadinya, sepatutnya semakin pandai, semakin kenal dan faham maka semakin kenal dan dekat dengan Pencipta, tetapi sebaliknya merekalah yang awwalan kaaafirin bihi, yang lebih dahulu mengkufurkan.

4.0] Sarang ankabut (labah-labah), seratnya (syabaqahnya) paling kuat, sepatutnya binaan sarang atau rumahnya jadi binaan yang paling kuat. Tetapi terjadi yang sebaliknya, macammana ini boleh berlaku? Apa ertinya? Bila orang itu ada ilmu yang banyak, ilmu yang hebat-hebat belaka terutamanya tentang rahsia Ciptaan Allah, sepatutnya menjadi orang yang mula-mula menyakini Allah tetapi sebaliknya merekalah yang menjadi awwalan kaafirun. Pada zaman Nabi Nuh as dan Nabi Muhammad saw, golongan manakah yang mula-mula menentang? Yang berada di saf hadapan menentang Nabi adalah golongan elit cendikiawan, elit jutawan. Dari golongan penguasaan juga yang menentang para nabi, rasul atau orang-orang berilmu ialah golongan yang ada kuasa, berjawatan, berkedudukan. Contohnya Nabi Nuh as, dihina oleh malaun-malaun atas alasan bahawa mereka mengatakan golongan awal itu ialah yang dikatakan sebagai orang yang hina, golongan marhain. Kalau dari segi darah dikatakan berdarah paria, miskin, buta huruf, lemah akal. Jadi bagaimana mungkin elit cendikiawan mahu duduk bersama dengan orang-orang yang rendah. Sepatutnya golongan cendikiawan jadi orang yang pertama sekali beriman tetapi sebaliknya pula menjadi yang pertama menentang. Samalah dengan rumah ankabut yang sepatutnya menjadi rumah yang paling kuat lebih kuat dari busut rumah anai-anai tetapi sebaliknya pula menjadi rumah yang paling lemah. Oleh sebab itu jangan lah hairan atas hal yang berlaku begitu.

5.0] Tedapat persamaan lagi apabila Allah tujukan khas ilmu yang berkaitan dengan ayat kauniyah kepada orang-orang kafir kerana mereka yang lebih menguasai bidang ini seperti yang terdapat di dalam surah Al-Anbiya' ayat 30;


Mereka yang pernah melihat, mereka sudah faham tetapi seperti orang yang tidak faham, mereka orang yang ada ilmu, tetapi seperti orang yang bodoh, sebab itu Allah tanya dengan menggunakan ayat berupa soalan, istifham takriri, ada nafi, kalimah "Awalam yarallaziina kafaru" yang bermaksud "Apakah tidak melihat orang-orang yang kafir". Bukankah orang-orang kafir itu telah melihat, telah mengetahui asal kehidupan bahawasanya langit dan bumi ini asalnya dari satu dan segala sesuatu adalah dari air, Mereka lebih faham dalam hal ini berbanding dengan  orang-orang mukmin. Apa lagi pada zaman sekarang, mereka lebih pandai. Orang yang punya ilmu tentang sunnatullah tetapi mudah pula menyekutukan Allah bahkan menafikan Allah. Ini adalah umpama atau ibarat ankabut yang boleh menghasilkan serat yang paling kuat tetapi apabila membuat rumah dari bahan yang paling kuat itu terhasil pula rumah yang paling lemah. Itu wajhun tashbiihnya.

6.0] Masyarakat ankabut samalah dengan masyarakat Kuffar Jahiliah Musyrik yang tidak selamat, sebagaimana tidak selamatnya kawasan rumah atau sarang ankabut. Contohnya jika lalat yang lalu di sarang ankabut tanpa sengaja, bukan dengan niat untuk membuat kacau atau merosakkan, namun tetap juga akan diperangkap, digulung-gulungnya lalat itu dan dimakan. Mati terkubur tanpa bernesan. Masyarakat ankabut adalah masyarakat yang paling rosak akhlaknya, bermula dari peringkat telur, ketika peringkat anak-anak, diperingkat dewasanya, lebih-lebih lagi bagi jenis Ankabut Armilatussauda' (Black widow spider) yang membunuh pasangannya, si jantan, setelah selesai mengadakan hubungan intim. Sepatutnya si jantan kenalah lebih pandai, dengan bersegera meninggalkan sarang si betina itu jika ingin selamat. Ingatlah bahawa semua yang Allah ciptakan termasuk haiwan adalah "Umamun amthaa lukum", yang bermaksud "Mereka itu adalah umat-umat seperti kamu juga". Kita disuruh oleh Allah supaya belajar daripada mereka. Mereka adalah guru yang tidak pernah menipu, tidak berlakun, tidak berpura-pura. Tidak pula Allah perintahkan mereka untuk belajar daripada kita. Jika ada dikalangan manusia yang mengajar monyet atau anjing sehingga pandai naik basikal, pakai baju dan beraksi untuk hiburkan anak-anak manusia, itu semata-mata untuk kepentingan manusia, untuk mendapatkan duit dan bukan atas permintaan haiwan itu yang tidak tahu apa-apa.

7.0] Allah tutup surah Al-Ankabut ayat 41 ini dengan kata-kata, "law kaanu ya'lamun" yang bermaksud, "jika mereka telah mengetahui', maka mereka akan dapat pengajaran yang luar biasa. Itu isyaarah yang sangat jelas. Allah sambung lagi dengan ayat 42 dan 43;



Perumpamaan itu adalah bagi manusia bukan bagi golongan jin, bukan bagi malaikat, namun tidak semua manusia dapat memahaminya kecuali mereka yang mahu menggunakan akal yakni orang yang berilmu, orang yang 'alim. Penutupnya sangat keras, sangat sinikal. Allah mengetahui bahawasanya tuhan-tuhan yang mereka sembah selain Allah dari patung-patung, dari jin dan manusia, makhluk hidup atau sudah mati atau haiwan, semuanya "laisa bisyai in" iaitu "tidak punyai apa-apa manafaat, tiada kuasa, tiada nilai".

8.0] Allah Maha Kuat dan Maha Perkasa untuk menimpakan balasan siksa kepada sesiapa sahaja yang kufur kepadaNya kerana Dia Al-Aziz. Seolah-olah Allah berkata, "Kerana Aku Al-Aziz, maka Aku Berkuasa Menimpakan balasan siksa kepada sesiapa yang Menyekutukan Aku dalam peribadatannya dan tiada nilainya segala yang mereka sembah selain Aku". Allah Maha Bijaksana dalam keputusan-Nya, Allah Al-Hakim dalam Ciptaan-Nya dan dalam Mentadbir apa yang diCiptakan-Nya. Allah Maha Mengetahui amalan apa yang mereka lakukan. Allah Maha Mengetahui tuhan-tuhan mana yang mereka sembah dan Allah akan memberi balasan sesuai dengan perbuatan mereka kerana Allah itu Maha Bijaksana dan Baik.

9.0] Faidatul amthal atau faedah perumpamaan yang Allah buat di dalam Al-Quran adalah banyak sekali. Contoh awal seperti di dalam surah Al-Baqarah ayat 17. Contoh yang terdapat di dalam surah Al-Ankabut ayat 41 dan 43 diatas juga adalah ayat perumpamaan untuk manusia. Untuk apa? Apa tujuan dan apa manafaatnya untuk manusia? Rujuk juga surah Az-Zumar ayat 27, 28 dan 29;





Hanya orang alim yang ingin memikirkan perumpamaan itu. Tiap-tiap perumpamaan yang disebut di dalam Al-Quran itu ialah untuk manusia pelajari dan ambil peringatan. Contohnya, perumpamaan orang mukmin macam mana, perumpamaan orang munafik seperti apa, atau orang yang riak bagaimana, orang yang bersedekah di jalan Allah seperti apa, orang yang sembah selain Allah seperti apa dan sebagainya. Tujuannya supaya manusia dapat peringatan. Tujuannya untuk mendekatkan kefahaman dan memudahkan manusia memahami. Contohnya jika Allah ceritakan tentang orang Musyrik yang menduakan Allah, susah untuk kita fahami jiwa orang Musyrik itu, lalu Allah buat perumpamaan seperti di dalam surah Az-Zumar ayat 29 di atas. Allah buat perumpamaan seorang Musyrik sebagai hamba yang punyai ramai tuan yang berkuasa penuh ke atasnya dan sentiasa bergaduh, dengki mendengki. Bayangkan keadaan orang itu yang mana kena penuhi permintaan berbeza daripada tuhan-tuhannya dalam satu masa. Tentunya orang itu akan hadapi keadaan hidup yang sangat stress tertekan. Bandingkan pula dengan seorang Islam yang punya hanya satu Tuhan, hidupnya tenang setenangnya.

10.0] Banyak lagi contoh-contoh yang boleh beri kefahaman kepada kita, seperti apabila;

i) Orang akan mengadakan kenduri kahwin, si A, seorang mukmin wahid, hanya fikir untuk cari Redho Allah, manakala si B yang ada banyak tuhan, kena fikirkan untuk mencari restu tuhan hari, tuhan pokok, tuhan bunga dan sebagainya
ii) Orang yang akan mulakan musafir, si A orang yang ada hanya satu Tuhan, mulakan dengan "Bismillah" dan mula bermusafir. Andai tertinggal beg, boleh saja berpatah balik, tiada pantang larang. Manakala si B, orang yang ada banyak tuhan, kena pilih hari, kena pilih antara kiri atau kanan, terlintas pula kucing hitam di hadapannya, jadi pergi atau tidak, berjalan sudah beberapa jam, kemudian perasan tertinggal kad pengenalan atau lesen memandu, jadi masalah lagi untuk berpatah balik takut nahas akibat langgari pantang. Tentu sekali sangat tertekan, ditambah pula dalam keadaan stress itu ada gagak hitam pula terbang di atasnya, lagi bertambah stress.
iii) Orang yang akan buat rumah juga begitu, si A yang muslim, mungkin hanya akan memilih tempat yang hampir dengan masjid atau tempat masyarakat Islam manakala si B yang musyrik akan cari hari apa untuk letak batu asas, pintu mesti arah mana, kesengetan pintu berapa darjah dan sebagainya.

11.0] Allah ingin supaya manusia mudah faham, sebab itu diberinya perumpamaan. Apabila membaca Al-Quran yang ada ayat  perumpamaan, berhentilah sejenak, fahami, cuba fahami dahulu apa maksud disebaliknya kerana memahami perumpamaan adalah lebih mudah daripada memahami perkara sebenar. Tetapi lagi sekali, tidak ada yang dapat memahaminya kecuali orang yang berilmu.

12.0] Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam kitabnya Badaai'ul Fawaaid menulis tentang apa hikmah disebalik amthal (perumpamaan). Allah buat perumpamaan di dalam Al-Quran ialah untuk;
i) Memberi peringatan.
ii) Memberi pengajaran.
iii) Menyuruh.
iv) Celaan.
v) Iktibar.
vi) Memudahkan kefahaman.
vii) Menggambarkan sesuatu yang maknawi (keajaiban yang dapat diterima oleh akal) dalam bentuk yang hissi (yang dapat dilihat atau dirasa oleh pancaindera).

13.0] Katakanlah, jiwa orang munafik, sifat orang munafik, fikiran orang munafik, tidak nampak, jadi supaya kita mudah nampak dan faham, maka Allah buat perumpamaan. Perumpamaan orang munafik seperti diceritakan di dalam surah Al-Baqarah ayat 17; orang munafik yang ingin berjalan tetapi hadapi kesukaran lantaran keadaan yang gelap, mereka menyalakan api, kemudian apabila api itu menyala, Allah padamkan api itu, akhirnya mereka dibiarkan di dalam keadaan gelap gelita.

14.0] Orang-orang Yahudi Madinah khasnya, sebelum kedatangan Nabi terakhir, mereka adalah orang-orang yang tertindas, ditindas oleh Kafir Musyrik. Mereka yakin yang dapat menyelamatkan mereka ialah Nabi Terakhir seperti yang diceritakan di dalam Kitab mereka. Mereka berdoa memohon kepada Allah supaya diutuskan kepada mereka Nabi yang dijanjikan itu. Setelah Allah utuskan Nabi Terakhir, Nabi Muhammad saw, mereka tolak hanyasanya kerana Nabi saw bukan dari golongan mereka. Kebanyakan mereka adalah Ahli Kitab ditambah dengan Orang Arab Badui.

15.0] Tujuannya perumpamaan itu ada juga untuk menggambarkan sesuatu yang tidak nampak dengan sesuatu yang nampak, seperti jiwa seseorang yang susah untuk difahami, juga bertujuan untuk memuji, mengkeji, menyeksa, menghina, untuk tujuan tamthil, mithal.
Contoh Tamthil;
i) Orang alim yang menjual ayat Al-Quran dengan harga dunia, Allah umpamakan seperti anjing. Tujuannya untuk menghina.
ii) Yahudi yang diberi Kitab, orang mulia tetapi sebab tidak mengamalkan Kitab, Allah umpamakan sebagai keldai. Satu hinaan yang mubaalaghah (yang bersangatan).

16.0] Ada satu ucapan terkenal daripada solafussoleh, ulasan daripada Ibnu Kathir tentang mathal, iaitu, "Apabila aku mendengar perumpamaan dalam Al-Quran dan aku pula tidak dapat memahaminya, aku menangisi atas diri ku atau aku mentertawakan diri sendiri". Ulama yang membaca Al-Quran dan memahami dan meresapkan apa yang dibacanya, mereka ingin larut dalam apa yang diceritakan di dalam Al-Quran itu. Kalau ada kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran, dia ingin jadi watak utamanya, dia cuba merasakan yang dirinya yang diceritakan itu. Ulama solafussoleh mengatakan, " Apabila aku dengar atau baca ayat mathal (ayat perumpamaan) kemudian aku pula tidak faham apa maksud Allah, aku menangis kerana Allah berfirman perumpamaan itu tidak dapat difahami kecuali oleh orang yang alim. Puluhan tahun Allah berikan otak dan akal, tapi tidak digunakan dan tidak dapat faham, Allah katakan sebagai orang yang tidak berilmu, yang bermakna orang jahil dan bodoh. Untuk menangisi diri sendiri agak susah, oleh itu mulakan dengan mentertawakan diri sendiri dahulu, fikir, renung ke dalam diri. Kalau orang lain yang buat, kita kata orang itu tidak pakai otak, tetapi bila kita buat sendiri? Terapilah diri sendiri. Tertawakan diri sendiri yang tidak alim, (jahil, bodoh), jangan tertawakan orang lain kerana itu berdosa. Kemudian menangis atas diri yang tidak dapat memahami maksud perumpamaan Allah.

17.0] Dalam hadith Marfu' (yang disandarkan daripada Nabi saw) daripada Jabir bin Abdullah di dalam Kitab Undaatul Qoori', syarah Bukhari, dan juga di dalam kitab yang dikarang oleh Ibnu Hajar Al-Athqolani yang bernama Al-Matoolib Al-'Aaliah, bahawasanya Nabi saw semasa membaca ayat 43 surah Al-Ankabut ini memberi komentar spontan iaitu, "Orang yang alim itu yakni orang yang sentiasa berfikir tentang Allah (tentang ciptaan Allah), lalu dia beramal, mentaatinya dan menjauhi (meninggalkan) Kemurkaan-Nya". Itu bermakna orang alim berfikir untuk mendapat ilmu seperti saranan dari ayat pertama "Iqra'", baca, kaji, pelajari apa saja yang Allah cipta. Belajar dengan niat Lillah. Kemudian syarat keduanya ilmu itu diterjemahkan melalui amal, bukan hanya sekadar koleksi fikir seperti koleksi setem atau tongkat dan sebagainya.

18.0] Orang alim yang berilmu amaliah, iaitu orang yang ada ilmu lalu beramal atau orang alim yang beramal ilmiah iaitu orang yang beramal bersandarkan ilmu. Ilmu apa yang Nabi saw maksudkan? Ilmu yang berkaitan dengan Ciptaan Allah. Alim bermaksud orang yang berilmu, manakala ulama (jamak) bermaksud orang-orang alim dan disebut di dalam Al-Quran sebanyak 2 kali. Kalimah ulama pertama kali disebut di dalam surah Al-Faathir 27 dan 28;




Allah menyuruh kita kaji tentang proses penurunan air hujan, kemudian dengan air hujan terhasil buah-buahan beraneka jenis dan warna, kemudian Allah suruh kita kaji lagi tentang gunung ganang. Ayat 28 pula Allah suruh kita kaji tentang manusia, terlalu banyak disiplin ilmu tentang manusia. Jika mengkaji tentang jiwa sahaja pun sudah terlalu banyak apalagi tentang tubuh badan manusia. Jadi ulama atau pakar, jadilah pakar kuku, pakar rambut, pakar DNA dan sebagainya. Terlalu banyak lagi bidang ilmu dan kepakaran yang boleh kita dalami tentang kehidupan manusia seperti bidang Sosiologi, Anthropologi, Fisiologi dan sebagainya. Allah juga menyuruh kita mengkaji Ad-Dawab (binatang melata), seperti ular, biawak, buaya, badak dan sebagainya, juga perlu mengkaji Al-An'am (haiwan ternakan), iaitu unta, lembu, kambing dan biri-biri yang bermacam jenis dan warna. Semua itu bukan ilmu dari Barat, bukan Ilmu Sekular, tetapi ilmu dari Al-Quran. Dari segi dalil yang sorih (nyata) dan qot'i, adalah lebih baik belajar tentang ciptaan Allah seperti mengkaji hal katak, biawak dan sebagainya daripada belajar tajwid, bukan belajar tajwid itu tidak boleh tetapi mengkaji ciptaan Allah adalah lebih patut dan dapat lebih manafaat untuk menjalani kehidupan didunia. Siapa yang lebih menguasai ilmu tentang ciptaan Allah ini? Orang-orang kafir yang menjuarainya, dan kita hanya menengok hasilnya. Padahal Allah tujukan khas kepada kita. Dengan ilmu yang dimiliki, jika seseorang itu melihat dan nampak Allah, dapat menimbulkan khashyah (perasaan takut) kepada Allah maka orang itu layak dipanggil Ulama. Oleh itu boleh atau tidak kita panggil Pakar Lebah untuk memberi khutbah dikuliah maghrib di masjid? Biasanya dipanggil orang yang berasal dari latar belakang alif, baa', taa' yang lulusan Timur Tengah  dan bukan yang berlatar belakangkan a,b,c. Tentunya Pakar Ulat tidak akan menceritakan tentang hukum hakam tetapi menceritakan tentang ulat ciptaan Allah. Boleh atau tidak kita panggil pakar ini sebagai Ulama? Tentunya banyak protes jika dibuat perubahaan pada pertama kali. Tetapi kita sepatutnya ada keberanian untuk memulakan sesuatu yang disuruh Allah. Ilmu apa yang mula-mula Allah ajar kepada manusia? Al-Asma a kullaha , nama-nama semuanya, iaitu Ilmu Sains.

19.0] Ulama ialah orang yang ada ilmu tentang ciptaan Allah kemudian dia semakin takut kepada Allah setelah melihat keajaiban ciptaan Allah. Contohnya virus Zika, sebesar mana? Yang telah menyebabkan huruhara dan ketakutan seluruh dunia. Allah tidak malu untuk membuat perumpamaan benda yang lebih kecil daripada nyamuk, dan ternyata virus Zika adalah daripada nyamuk dan tentunya lebih kecil daripada nyamuk.

20.0] Kalimah Ulama yang kedua disebut di dalam Al-Quran ialah di dalam surah Asy-Syuara' ayat 197;


Ulama Bani Israil, yang telah ketahui kebenaran Al-Quran, adalah orang yang berilmu, yang berkaitan dengan Syari'atullah, yang menguasai ilmu Sunnatullah. Jika ada satu lagi syarat supaya dapat dipanggil Ulama ialah asal ada rasa takut (khasyyah) kepada Allah. Walaupun sebagai pakar tentang alam tetapi jika ilmu yang dimiliki itu dapat menimbulkan rasa takut kepada Allah, maka layaklah seseorang itu dipanggil Ulama. Jika seseorang yang ada ilmu agama tetapi tiada rasa takut kepada Allah maka tidak boleh dipanggil Ulama. Umat Islam tidak kekurangan Ulama tetapi mungkin kita perlukan lebih ramai Ulama yang seperti dalam surah Faathir ayat 27 dan 28 , termasuklah juga ayat yang kita sedang pelajari ini.  Ulama yang mengkaji segala ciptaan Allah, tentang alam, sekali gus ada ilmu sunnatullah. Ayat perumpamaan  supaya kita fikir betul-betul untuk mendapat ilmu berkenaan akal. Sehingga Nabi saw berkomentar, "Orang yang Alim, ialah orang yang berilmu, selalu berfikir tentang Ciptaan Allah dan taat untuk beramal, serta menjauhi kemurkaan-Nya".

21.0] Bayangkan jika umat Islam selalu beramal sebegitu, walaupun tidak mudah, memakan masa, tetapi sangat berfaedah. Sepatutnya kita semua mesti beramal sebegitu, berarah  kesana. Mungkin diperingkat sekolah rendah, ubah kurikulum sekolah dari peringkat awal. Bayangkan nikmatnya hidup di dunia jika kebanyakan umat Islam bergelar Ulama dan pada masa yang sama juga adalah seorang cendikiawan. Doktor pakar perubatan tetapi juga seorang yang pakar tafsir, atau seorang muhaddith yang hebat dan pada masa yang sama dia juga Pakar Badak Sumbu.

22.0] Nikmatnya hidup jika cikgu yang mengajar Sains dan dia juga ada latar belakang akidah. Seronok sekali jika anak kita diajar oleh Cikgu Akidah dan Tauhid  dan dalam masa yang sama dia juga Cikgu yang mendalami Sains. Sangat-sangat cantik. Tidak mungkin berbeza kata-kata dan Ilmu Allah.

23.0] "Apabila aku baca perumpamaan di dalam Al-Quran tetapi aku tidak fahami maka aku menangis"."Apabila berjumpa ayat-ayat begitu, hendaklah berhenti lama, terutamanya apabila terjumpa dengan ayat Istifham (pertanyaan), sebab apabila Allah Tanya, sekali gus mengandungi perintah, kita kena jawab, kena cari jawapan, dan jika belum jumpai jawapan, berhenti dahulu, menangis dan beristighfar, mohon ampun, "Ya Allah, maafkan aku kerana aku belum mampu untuk dapat memahami maksud-Mu dan belum dapat memberi jawapan sekarang". Jangan hanya sekadar pandai melagukan bacaan ayat-ayat Al-Quran tanpa ada apa-apa rasa (zuuq). Berusahalah untuk membuat perubahan kearah yang lebih produktif, mesti ada anjakan paradigma dalam pembelajaran Al-Quran. Perlukan usaha masing-masing. Belajar tidak akan ada hentinya dan cara begini adalah sangat-sangat bermanafaat untuk kebaikan hidup di dunia dan di akhirat. Moga diberkati Allah.































No comments:

Post a Comment