Tuesday, November 15, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 51) Kuliah 50- Istilah اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ - Apakah tidak cukup bagi mereka? Istifham

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 51;

Surah Al-Ankabut ayat 51 ini masih ada hubungan dengan ayat-ayat yang sebelumnya. Apabila diimbas kembali:
Ayat 46- Allah membenarkan berdebat (bermujaadalah) dengan ahli kitab dengan cara yang baik.
Ayat 47- Sebagai bukti nyata penurunan Al-Quran setelah turunnya kitab Taurat dan Injil dan ada dikalangan ahli kitab dan orang kafir Mekah yang mempercayainya.
Ayat 48- Penolakan terhadap tuduhan bahawa Al-Quran rekaan Nabi saw, sedangkan Al-Quran adalah firman Allah kerana Nabi saw tidak pandai menulis-membaca dan tidak pernah mempelajari kitab sebelumnya.
Ayat 49- Al-Quran adalah ayat-ayat yang jelas nyata tersimpan di dalam hati orang yang berilmu dan hanya orang yang zalim sahaja yang menolaknya.
Ayat 50- Mereka masih tidak puas hati kerana mereka gagal menafikan kerasulan Nabi saw dan kebenaran Al-Quran. Mereka timbulkan syubuhat lain dengan  mengutarakan bahawa kenapa tidak diturunkan mukjizat kepada Nabi saw  seperti nabi-nabi sebelumnya.
Ayat 51- Kalimah soalan اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ (apakah tidak cukup bagi mereka..) merupakan soalan atau teguran dari Allah yang telah menurunkan Al-Quran yang dibacakan kepada mereka. Ini adalah sambungan dari ayat sebelumnya yang meragui kebenaran Al-Quran padahal tidak ada 1 ayat atau 1 huruf yang Nabi saw sembunyikan, semuanya Nabi saw telah sampaikan kepada mereka.

2.0] Sababun nuzul ayat ini:
Sebagaimana yang telah dikutip oleh ramai ulama tafsir termasuklah oleh Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam tafsir Al-Munir, dikeluarkan oleh Ibnu Jarir, Abu Daud, Ibnu Abu Hatim, Ad-Darimi dalam kitab Musnadnya, daripada Yahya bin Ja'dah, dia berkata,"Telah datang satu kumpulan orang muslim dengan membawa kitab yang mereka tulis atau karang sendiri, tetapi di dalam kitab yang mereka karang itu ada di dalamnya sebahagian dari apa yang mereka dengar dari kitab Yahudi, mereka kutip ( copy and paste)". Lalu turunlah ayat ini yang menunjukkan Allah sendiri telah campurtangan. Hasil ciplak  pada zaman kita sekarang mungkin kita pandang kecil dan remah tetapi tentang agama, ia tidak perkara kecil malahan memberi akibat yang besar.

3.0] Contohnya dalam keadaan di atas, Allah campur tangan dengan mengarahkan Jibril membawa turun ayat 51 ini. Kita tidak boleh merasa bangga dengan mengutip pendapat orang lain. Apabila Al-Quran dan Al-Hadith sudah ada, dahulukanlah kedua-dua sumber  hikmah ini. Jangan kutip dahulu dari sumber luar kemudian baru cari justifikasi dari Al-Quran dan Hadith, itu terbalik jadinya.

4.0] Cuba kalaulah buku-buku yang ada sekarang ini diperlihatkan kepada Nabi saw? Terlalu banyak buku-buku yang terhasil dari berbagai sumber yang tidak pasti kesahihannya. Sedangkan  pada masa itu cuma ada 1 buku yang ada ditiru daripada Yahudi pun Allah sudah campurtangan. Allah berfirman, "اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ ", "Apakah tidak cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Kitab Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Itu semacam teguran dari Allah. Di dalam Arabia gramatica (Al-Qawaid Al-Arabia) ia adalah Istifham taqriiri, maksudnya, mutakallim (orang pertama- orang yang bercakap- di sini ialah Allah), meminta pengakuan daripada kita mukhottob (orang yang kedua- yang ditujukan percakapannya). Seolah Allah berkata, "Aku mahu kamu mengakui bahawa Al-Quran yang Aku telah turunkan itu telah cukup, sepatutnya tidak perlu lagi kamu ceduk sana ceduk sini atau mencari dari sumber lain lagi". Kita pula sepatutnya menjawab, "Ya Robb, kami telah merasa cukup".

[Nota: Berkaitan dengan hal permasalahan agama, adalah sudah mencukupi apa yang ada di dalam Al-Quran. Contohnya tentang cerita Zulkarnain, Ashabul Kahfi, Musa as dan Khidir, tentang Ruh, tentang punca anak Adam membunuh saudaranya dan sebagainya, sepatutnya kita sudah merasa cukup dengan apa yang telah diceritakan di dalam Al-Quran. Jangan dicari-cari lagi cerita dari Yahudi, nanti ceritanya jadi lari, berlainan dari yang sebenarnya.]

5.0] Asy-Syed Rashid Reda iaitu murid kepada Syed Muhammad Abduh dalam tafsir Al-Mana, beliau menyatakan, "Jika sekiranya bukan kerana Yahudi telah menceritakan tentang Adam as, nescaya kefahaman orang mukmin tentang Adam as itu telah betul, tetapi kerana sebelum Al-Quran turun, Yahudi telah ada cerita sendiri tentang Adam as, maka telah terjadi kesilapan fakta". Contohnya di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 35, hanya disebut  اَلشَّجَرَة - pohon ini, Adam as dilarang, "Dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kelak kamu akan termasuk golongan orang-orang yang zalim". Tetapi dikatakan (terbit cerita) tentang Al-Khuldi (buah khuldi) iaitu yang iblis beri nama. Dari situlah terbit tentang cerita Adam's Apple. Dikatakan Adam as termakan pujukan Hawa untuk memakan buah itu, sekali gigit, mereka disingkir keluar dari syurga. Adam as menyesal dan berkata, "Kalaulah aku tahu pasangan yang diberikan kepadaku inilah yang menyebabkan aku disingkirkan dari syurga, tidak ingin aku". Akhirnya mereka simpulkan bahawa Adam as disingkirkan dari syurga kerana perempuan. Semacam ada rancangan terancang yang rapi untuk discredit (merosakkan nama baik) wanita. Apabila turun ke bumi, anak-anak Adam as juga berbunuhan kerana wanita. Discredit lagi untuk wanita. Adalah sangat bahaya tentang kepercayaan cerita yang pelik-pelik ini.

6.0] Sebenarnya kita mestilah berpandukan Al-Quran dalam setiap cara kehidupan kita. Contohnya untuk memotivasikan anak supaya berjaya, kita perlu didik anak supaya mengambil motivasi dari Al-Quran. Supaya anak punyai potensi syukur. Contohnya beritahu anak, "Nak, tengok ayat Al-Quran ini yang menyatakan bahawa kamu tidak diberi balasan kecuali apa yang kamu usahakan. Tahun lepas kamu kurang usaha, sebab itu kurang berjaya. Tahun ini kamu lebih usaha, kamu telah lebih berjaya, dan in syaa Allah kamu akan lebih berjaya ditahun hadapan dengan lebihnya usaha kamu lagi". Bila itu yang kita berikan kepada anak, akan timbullah rangsangan syukurnya, tawadduknya. Jauhi rangsangan ujubnya, menyogoknya dengan kata-kata seperti,"Tengok nak, mak bangga dengan kamu. Nama kamu tersiar di dalam akhbar arus perdana kerana berjaya cemerlang". Potensi ujubnya meningkat, Kita sering salah, mendidik anak jadi bangga diri walaupun baru berjaya  diperingkat sukan tadika.

7.0] Kalimah " اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ "- dalam fi'il mudhori' - perbuatan yang sedang dan akan berlaku- present tense- yang bermaksud "Apakah tidak cukup bagi mereka". Ia merupakan suatu soalan atau pertanyaan (istifham). Istifham ini pula terbahagi kepada 3 jenis, iaitu istifham taqriiri, istifham ta'ajjubi dan istifham inkaari . Istifham mempunyai erti permintaan penjelasan. Akar katanya ialah fahima yang bererti faham, mengerti , jelas.

3 jenis istifham;
i) Istifham taqriiri- iaitu suatu pernyataan yang membawa seseorang kepada kepastian. Contoh dalam ayat 51 di atas ialah Allah meminta pengakuan dari kita sebagai mukhotob (lawan bicaranya), bahawa adakah tidak cukup lagi segala isi dari Al-Quran?

ii) Istifham ta'ajjubi- iaitu suatu pernyataan yang membawa makna merasa heran atau pelik. Contoh dalam ayat 51 di atas ialah Allah (mutakallim) yang berkata, merasa heran dengan sikap kita sebagai mukhotob (lawan bicaranya) yang tidak cukup dengan segala isi Al-Quran sehingga mencari selainnya.

iii) Istifham inkaari- iaitu suatu pernyataan yang membawa makna mutakallim (yang bercakap- dalam ayat ini ialah Allah) tidak merasa puas, atau mengingkari sikap kita mukhotob (yang lawan bicaranya) yang masih mencari-cari dari cerita Yahudi, yang masih merasa tidak cukup dengan Al-Quran, dan Allah tidak Redhoi perkara seperti itu.

8.0] " اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ " dalam present tense- fiil mudhori' membawa erti;
"Dan tidakkah mereka merasa cukup?"
"Bukankah ianya telah mencukupi bagi mereka?"
"Apakah tidak telah mereka merasa cukup?"

Mutakallim (yang bicara) merasa pelik terhadap sikap mukhotob (yang lawan bicaranya), mutakallim mengingkari sikap mukhotob yang masih merasa tidak cukup dengan Al-Quran. Macam-manalah Al-Quran yang sebesar-besar ayat, seagung-agung bukti belum dapat memuaskan mereka? Sedangkan mereka tidak mampu untuk meniru walau sepotong ayat seumpama ayat Al-Quran. Al-Quran juga telah menyampaikan bermacam-macam pengajaran dan keajaiban. Berita orang dahulu, berita masa hadapan, adil keputusannya. Nabi saw bersabda bahawa pencinta-pencinta Al-Quran tidak akan merasa puas dengan keajaiban Al-Quran.

9.0] Imam Syafie rahimatullah berkata bahawa setiap kali dia membaca ayat Al-Quran walaupun ayat yang sama akan mendapat kesimpulan yang meningkat. Perbezaan yang makin mendalam. Semakin cermat dan semakin cerdas memahaminya, semakin banyak yang belum didalami. Kata beliau,"Demi Allah, sungguh aku tidak tahu berapa banyak lagi yang belum aku tahu". Orang sehebat Imam Syafie berkata demikian setelah mengkaji Al-Quran, walaupun mengkaji ayat yang sama berulang kali. Bayangkan kalaulah kita berkata, "Alhamdulillah, banyak kita sudah tahu sejak belajar ini, dahulu tidak tahu sekarang sudah tahu banyak!" Adakah kita ini lebih hebat daripada Imam Syafie?.

10.0] Imam An-Nawawi rahimatullah pernah berkomentar setelah mengkaji Al-Quran,"Demi Allah, aku tidak tahu dimana aku boleh berhenti, sebab setiap kali aku ingin berhenti, ianya belum noktah. Setiap kali ingin berhenti masih ada sambungan ayatnya yang boleh ditadabbur lagi, macam mata rantai. Aku fikir sudah habis, tetapi apabila ditadabbur lebih dalam akan berjumpa lagi sambungan kepada ayat-ayatnya sehingga merasa tidak akan pernah boleh khatam Al-Quran". Kita yang sudah banyak kali khatam Al-Quran, adakah sudah merasa tamat pengajian? Subhanallah.

11.0] Rujuk kembali pengakhir surah Al-Ankabut ayat 51 diatas dimana dinyatakan, "Sesungguhnya dalam (Al-Quran) itu terdapat rahmat yang besar dan pengajaran bagi orang-orang yang beriman". Semuanya bergantung kepada niat. Disebabkan mereka itu niatnya tidak baik, mereka tidak mahu beriman walau sebanyak mana pun ayat dan bukti yang ada. Kalaulah mereka sebagai seorang yang mencari kebenaran, seorang yang mencari hidayah, pasti nescaya mencukupi walaupun hanya dengan satu ayat untuk beriman. Bak kata pepatah, "Hendak seribu daya, tidak hendak seribu-satu dalih". Kalau betul-betul ikhlas hendak mencari kebenaran, mungkin tidak perlu mengkaji satu juzuk Al-Quran, mungkin baru dengan satu ayat pun sudah mendapat hidayah.

12.0] Contoh surah Al-Baqarah ayat 2;

Kitab Al-Quran ini yang tiada keraguan. Walau cuma satu ayat, hati kita sudah mulai dicabar. Allah mencabar hambaNya, "Jika kamu masih meragui tentang Al-Quran yang Aku turunkan, buatlah satu surah yang lebih-kurang sama dengan Al-Quran, mim mithlihi". Rujuk surah Al-Baqarah ayat 23 dan 24;


Ini cabaran daripada Allah kepada sesiapa yang masih meragui kebenaran Al-Quran. Jika tidak mampu untuk membuatnya sendiri, panggillah kawan-kawan atau pakar-pakar untuk membuat yang seumpama Al-Quran dan surah Al-Quran yang terpendek sekali ialah surah Al-Kauthar. Allah teruskan ayat 24 dengan kalimah 'walan taf'alun'- dan tidak akan kamu (dapat) membuatnya.

13.0] Ada seorang saudara kita Felix Siauw dari Palembang, yang telah menjadi pendakwah Islam, yang pada mulanya telah bertukar-tukar agama dari Budha, merasa tidak percaya, bertukar ke Hindu, tidak puas-hati, masuk Kristian, masih bingung, walaupun ada sedikit kepercayaan tentang adanya Tuhan, merasa tidak ada agama yang dia percayai. Ketika di Universiti Institute Teknologi Bandung, Felix Siauw tidak percaya agama kerana katanya semua agama itu menipu. Akhirnya ada seorang kawan baiknya membawanya berjumpa seorang ustaz yang bersedia menjawab apa sahaja persoalan yang ditanyanya, dari waktu maghrib sehingga menjelang waktu subuh, berdasarkan jawapan dari Al-Quran. "Saya tidak percaya", katanya masih ragu. Ketika dibuka saja Kitab Al-Quran, terjumpa kalimah لَارَيْبَ فِيه- tidak ada keraguan di dalamnya- surah Al-Baqarah ayat 2. Kalimah yang membuatkan hatinya hancur dan tidak berdaya untuk melawan."Jika tidak percaya, buatlah sendiri satu ayat", seperti cabaran dari ayat 23 surah Al-Baqarah. Akhirnya beliau memeluk Islam. Beliau tidak menukar namanya kerana percaya bahawa nama asalnya mempunyai makna yang baik dan Islam tidak mewajibkan menukar nama. Beliau mencari kebenaran, lantaran itu Allah berikan hidayah kepadanya. Beliau aktif berdakwah dan menghasilkan buku yang mudah difahami. Jika seseorang itu hatinya tidak baik, niatnya tidak jujur, jangankan Al-Quran setebal itu, atau ayat sekontena pun tidak akan dapat membuatnya beriman. Jika niatnya untuk mencari kebenaran, tidak perlu mengkaji sampai satu juzuk Al-Quran pun, mungkin cuma hanya dengan satu ayat pun sudah mendapat hidayah.

14.0] Ramai saudara baru kita ini komitmennya jauh lebih tinggi dari muslim terdahulu yang terus lahir dalam Islam. Tetapi sayang sekali kerana mereka masih dipanggil muallaf kerana mungkin Islamnya masih baharu. Kita lupa bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah dilahirkan muslim sebenarnya.

15.0] Ada seorang lagi iaitu Dr. Syafie yang memeluk Islam dengan puncanya adalah kerana mencari kebenaran. Beliau belajar diperingkat Master di UIA dan PHD di Australia. Beliau adalah seorang pakar ekonomi syariah yang mengembangkan berbagai urusan ekonomi untuk membantu orang-orang Islam.

16.0] Betullah kata Imam Syakrawi, "Jika orang itu niatnya tidak baik, jangankan 30 juzuk Al-Quran, Al-Quran setebal satu kontena pun tidak akan dapat membuatnya beriman. Jangankan ada cerita tentang alam semesta dan segala isinya, jika ditunjukkan kuasa Allah menghidupkan semula orang yang sudah mati  dan dapat bercakap,  pun tidak akan dia percayai. Tetapi bagi pencari kebenaran dan hidayah, nescaya telah memadailah baginya walaupun hanya satu ayat dari Al-Quran untuk menjadikannya mu'min. Sebab itulah Allah turunkan surah Al-Ankabut ayat 51 ini, " اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ - Apakah tidak cukup bagi mereka?" Masalahnya ialah niat orang yang mencari itu ikhlas atau tidak, bukanlah tentang cukup atau tidak cukup bukti yang telah Allah beri. Semua ini terdapat di dalam kitab Al-Khowatir karangan As-Syakrawi. Nama penuhnya ialah Ahmad Mutowili Syakrawi dan beliau meninggal dalam tahun 1418H.

17.0] Di dalam kitab Mafatihul Ghaib, tafsir yang dikarang oleh Ar-Rozi. Nama sebenarnya panjang iaitu Abu Abdullah Muhammad bin Umar bin Hassan bin Husin, At-Taimi, Ar-Rozi, Fakhrudin Ar-Rozi Khotibul Ghaib. Beliau wafat dalam tahun 606 H. Kata Ar-Rozi, maksud surah Al-Ankabut ayat 51 ini ialah, "Jika sekiranya menurunkan ayat (mukjizat) itu menjadi syarat bagi kenabian atau kerasulan seorang rasul, maka Al-Quranlah mukjizat yang lebih daripada mencukupi untuk menentukan seseorag itu rasul atau pun tidak". Sedangkan yang sebenarnya ianya bukanlah suatu syarat pun. Kalau dengan tongkat, seperti tongkat Nabi Musa as, yang dapat membelah Laut Merah, belum cukup kuat untuk buktikan kenabian seseorang. Kalau dengan tangan ajaib seperti tangan Nabi Isa as yang dapat menyembuhkan pesakit dan menghidupkan orang mati dengan izin Allah, pun belum cukup kuat, tetapi Al-Quran adalah suatu mukjizat yang mena'jubkan. Allah telah berikan Al-Quran sebagai mukjizat teragung namun masih ada lagi yang meminta mukjizat hissiyyah yang lebih rendah nilainya. Mukjizat hissiyyah yang hanya boleh dilihat oleh orang pada masa itu sahaja dan yang melihatnya pun boleh jadi percaya atau tidak. Jika terbelahnya Laut Merah dengan hanya dipukul dengan tongkat Nabi Musa as, adakah kita percaya? Jika tidak kita dapatinya di dalam Al-Quran, susah untuk kita percayai. Berbeza dengan Al-Quran yang mukjizatnya berterusan, mukjizat kaafiyah - yang mencukupi dan paling sempurna. Ada dan kekal dari dahulu sehingga ke hari ini, walaupun ada orang yang menafikannya, sedangkan mukjizat Nabi-Nabi dahulu seperti kesan Laut Merah terbelah, sudah tidak ada kini.

18.0] Mukjizat itu apa?

عَجْزٌ - اَعْجَزَ - اِعْجَازٌ- مُعْجِز - مُعْجِزَة

عَجْزٌ- kelemahan
اَعْجَزَ - menjadikan lemah
اِعْجَازٌ - kekuatan yang membolehkan orang lain lemah- ada pada Al-Quran
مُعْجِز - sesuatu yang mempunyai kuasa 'i'jaz - Al-Quran
مُعْجِزَة - Al-Quran- apabila sesuatu itu mempunyai kuasa 'i'jaz yang ketara sehinggakan  orang yang tidak percaya atau menafikan pun menjadi lemah, ة itu bukan untuk muannas tetapi tanda mubalaghoh. Contohnya Al-Quran 30 juzuk ada kuasa, kekuatan, 'i'jaz, untuk melemahkan orang yang tidak percaya kepadanya, lalu dipanggil mukjiz dan seterusnya dipanggil mu'jizat lantaran 'i'jaznya yang ketara.

19.0] Contoh kehebatan mu'jizat Al-Quran dapat diperhatikan pada surah Al-Masad. Surah ini berhubung dengan Abu lahab, diturunkan ketika Islam baru berumur 3 tahun, kerana 3 tahun pertama Nabi saw berdakwah secara sir (rahsia, senyap-senyap). Kemudian turun ayat perintah daripada Allah supaya mula sampaikan risalah Islam dengan terang-terangan, jangan sembunyikan lagi, abaikan tentangan orang-orang jahiliah. Pada suatu pagi, Nabi saw pun memanjat Bukit Safa, yang lebih tinggi dari Kaabah. Nabi saw memanggil sekelian suku kaum Quraish, yang sudah beriman dan yang belum beriman berkumpul. Lalu Nabi saw berkata, "Jika aku beritahu kamu bahawa di belakang Bukit Safa ini ada tentera yang ingin menyerang kamu, adakah kamu percaya kepadaku? Segera mereka menjawab bahawa mereka percaya, kerana Nabi saw tidak pernah berbohong dan digelar Al-Amin sewaktu berumur 35 tahun. Adalah sangat diplomatik cara Nabi saw memulakan dakwahnya. Nabi saw pun terus menjelaskan iaitu apabila kita mati kita akan hidup semula untuk menerima balasan, akan disoal, ada pertanggung-jawaban, ada syurga ada neraka, dan sebagainya. "Adakah kamu percaya? Semua senyap dan tunduk. Untuk kata percaya, hati mereka belum dapat menerima, untuk mengatakan bohong, Muhammad tidak pernah berbohong. Tiba-tiba berdirilah Abu Lahab, bapa saudara Nabi saw, yang merasa tertipu, dengan berkata, "Celakalah kamu, adakah hanya dengan itu kamu himpunkan kami berpagi-pagi?" Bapa saudaranya yang telah meraikan dan menyambut  hari lahir Nabi saw dengan penuh kesayangan dan kegembiraan, tetapi kini menjadi orang yang paling kuat menentang Nabi saw. Allah tidak Redha melihat Nabi saw dicela oleh bapa saudaranya sendiri, lalu Allah turunkan surah Al-Masad ini yang bermaksud:,

"Binasalah  kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelora (neraka). Dan (begitu pula) isterinya pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Dilehernya ada tali daripada sabut yang dipintal". (Surah Al-Masad)

20.0] Nama sebenar Abu Lahab ialah Ibnu Uzza. Api itu pun nama Lahab sama dengan nama Abu Lahab (bapa menyala). Isterinya dipanggil Ummul Jamil (ibu kecantikan) kerana cantik sempurna, leher jinjang (jiidun), leher orang biasa dipanggil 'unuqun. Kedua hamba Allah ini, telah diberitahu Allah nasibnya menjadi kafir di dunia dan di akhirat kerana tidak sekali pun mengucap syahadah. Nabi saw terus berdakwah. Adakah Nabi saw tidak mengajak Abu Lahab untuk memeluk Islam? Tidak, Nabi saw terus berdakwah kepada bapa saudaranya itu. Tidak sampai 2 tahun di Madinah, terjadi Perang Badar, dimana Abu Lahab yang tidak ikut berperang tetapi telah mengeluarkan hartanya untuk membantu tentera kafir dengan harapan Islam terkubur. Tetapi apa yang berlaku? Tentera kafir kalah, 70 orang tenteranya dibunuh dan 70 orang yang ditawan. Mendengar berita itu, Abu Lahab mendapat serangan jantung dan mati.

21.0] Selama 12 tahun Abu Lahab diberi pilihan, didakwah, tetapi tetap tidak mahu beriman. Tetapi yang peliknya, kenapa tidak terlintas dihati Abu Lahab untuk panjat Kaabah dan isytiharkan bersyahadah walaupun sekadar sebagai seorang munafiq, (yang hanya pura-pura Islam)? Kenapa Abu Lahab tidak mampu memilih jalan yang semudah itu untuk menyangkal dan menafikan Al-Quran?. Kalaulah Abu Lahab bersyahadah, walaupun  hanya berpura-pura, tentulah surah Al-Masad terbatal dan orang muslim dan orang yang bukan muslim akan menolak Al-Quran. Ternyatalah bahawa Al-Quran ini betul-betul dari Allah. Inilah Al-Quran sebagai mu'jizat, kekuatan, 'i'jaz yang dapat melemahkan penentang-penentangnya yang tidak mempercayainya. Al-Quran mencabar, Allah berfirman,"Jika kamu ragui Al-Quran ini dari Muhammad dan bukan dari Aku, atau hanya sebagai mentera, sihir, maka buatlah satu ayat seumpamanya kerana kamu lebih pandai dari NabiKu, kamu pandai baca-tulis. NabiKu ummiyyun".

22.0] Nilai kemu'jizatan Al-Quran adalah tetap, walaupun ada orang yang tidak mengakuinya, nilainya tidak berkurang. Begitu juga jika semua manusia menerima Al-Quran pun nilai kemuliaannya tidak bertambah. Jika ramai saintis yang membuat kajian berdasarkan Al-Quran dan menemui banyak penemuan ilmiah saintifik, itu tidak akan menambahkan kemu'jizatan Al-Quran tetapi akan menambahkan keimanan kita terhadap mu'jizatnya Al-Quran itu sendiri. Al-Quran bukan buku karangan manusia yang apabila ramai orang membelinya maka meningkatlah namanya dan jika tiada yang membelinya akan hadapi zaman merosot dan kejatuhannya.

23.0] Adalah suatu kesilapan jika ada sebutan seperti ini:
"Sungguh besar jasa orang itu terhadap Islam. Islam merasa bertuah punya orang sepertinya". Tolong ubah ayat yang seperti itu, kerana Islamlah yang berjasa kepada kita. Siapa yang lebih memerlukan siapa? Kita yang perlukan Islam bukan Islam memerlukan kita. Jika semua orang menolak Islam sekali pun, Allah tetap berkuasa dan Islam tetap benar. Contohnya, jika kita boikot masjid, kitalah yang rugi, kerana masjid itu baitullah (rumah Allah), berbeza dengan jika kita boikot hotel. Jika semua orang tidak mahu membaca Al-Quran, Al-Quran tetap benar, tetap bermu'jizat, tetap hebat, tetap kekal. ada dan sentiasa ada. Kita masih dicabar Al-Quran tentang kemu'jizatannya sehingga hari kiamat. Cabaran kepada ahli bahasa untuk menulis, untuk mengarang  seumpama Al-Quran, walaupun tidak sebanyak Al-Quran, walaupun hanya satu ayat, panggil kawan-kawan manusia, pakar-pakar dan / atau jin untuk membuatnya, namun pasti gagal. Itu i'jaz. Sayang sekali jika kita tidak sayangkan Al-Quran, jika kita tidak mesra dengan Al-Quran dan jika kita tidak mencintai Al-Quran.

24.0] Tentang segala permasalahan Islam, bicara tentang Nabi Isa as sekali pun, jangan tanya atau berpandukan Injil tetapi cukuplah dengan berpandukan Al-Quran dan Hadith. Jika rasa-rasa ada persoalan, ingatlah cepat-cepat perkataan اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ - dan apakah tidak mencukupi bagi mereka? Janganlah mencari-cari dari sumber-sumber yang lain. Contohnya, jika ada kata-kata seperti, "Rupa-rupanya dalam bab pusaka dalam agama Nasrani lainlah!" Itu tidak dibolehkan, tidak boleh  mencari dari sumber yang lain. Jika belajar untuk membuat perbandingan agama yang bertujuan untuk menunjukkan bahawa selain Islam itu adalah salah dan mungkin berguna untuk kita berdebat dalam agama, barulah dibolehkan. Jika untuk mencari kebenaran perlulah hanya dari Al-Quran dan Hadith.

25.0] "اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ -  dan apakah tidak mencukupi bagi mereka? "Ini adalah cabaran yang besar dalam berekonomi, dalam berniaga, dalam perbankan. Itu cabaran OIC yang besar. Syariah kita belum berdiri sendiri? Allah telah mengatakan bahawa "Apakah tidak cukup apa yang ada di dalam Al-Quran dan Hadith? Kenapa masih perlu bertanya kepada Trump dalam hal sebegini? Hanya kerana dia kaya-raya? Islam mementingkan yang halal. Jika dari sumber yang halal, yang akan keluar pun halal. Bukan dari segi banyaknya  tetapi dari mana didapati, bagaimana didapati, akan ditanya oleh Allah. Ini sebetulnya kehidupan orang Islam yang mestilah sentiasa terarah kejalan yang benar. Moga bermanafaat.







No comments:

Post a Comment