Tuesday, November 22, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 52) Kuliah 51- Tabshir, Inzar, Takzib, Ingkar, Tabligh

1.0] Sebelum kuliah bermula, kami diajak untuk bersama-sama mendoakan bagi kesejahteraan anak kepada seorang jemaah yang sedang diuji Allah dengan penyakit bahaya. Kami diingatkan bahawa inti doa adalah gabungan izhaarud dhu'fi (menzahirkan kelemahan diri) dihadapan Allah, syiddatul iftiqar (bersangatan berharap kepada Allah) dan Inqitoo'urrajaa'i ila ghairillah (putus harapan kepada selain Allah). Kita hendaklah menyedari ketidak berdayaan diri untuk mendapatkan apa yang kita kehendaki tanpa pertolongan dan bantuanNya. Inilah syarat pertama bagi seseorang hamba ketika memohon dan berdoa kepda Allah.

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 52;


Berkenaan ayat ini, daripada Dr. Mustafa Al- Marowi di dalam tafsir Al-Marowi, beliau menyatakan bahawa Allah berfirman kepada Nabi saw supaya mengatakan bahawa, "Cukuplah Allah yang Maha Mengetahui menjadi saksi apa yang datang dariku samada yang berupa khabar gembira (tabshir) atau peringatan (inzar) dan cukuplah Allah Mengetahui apa yang datang dari kamu (orang kafir) yang berupa pendustaan (takzib) dan pengingkaran (ingkar) terhadap dakwahku dan aku telah menyampaikan (tabligh) kepada kamu dan cukuplah Allah yang akan memberi balasan tiap-tiap kita. Aku akan diberi balasan sesuai dengan perbuatanku iaitu tabligh dan inzar dan kamu juga akan diberi balasan yang sesuai dengan perbuatanmu iaitu takzib dan ingkar. Dan jika sekiranya aku berkata bohong, jika apa yang aku sampaikan itu benda yang batil (yang salah), yang hanya rekaanku, yang tiada nilai, maka cukuplah Allah yang akan menimpakan keatasku balasan siksa sebagaimana Allah telah beri peringatan yang keras kepadaku di dalam surah Al-Haqqah ayat 44-47". Rujuk surah Al-Haqqah ayat 44-47;






Ternyata keras sekali peringatan daripada Allah kepada Nabi kesayanganNya, jika NabiNya itu melakukan kezaliman dalam berdakwah.

3.0] Di dalam surah Al-Ankabut ayat 52 di atas, bahagian yang pertama, Allah menyuruh Nabi saw menyampaikan keadilan kepada kaumnya, iaitu memberitahu bahawa memadailah Allah sebagai saksi, siapa yang benar dan siapa yang salah, siapa yang jujur dan siapa yang bohong, siapa yang berhak mendapat pahala dan siapa yang berhak mendapat dosa, dan jika apa yang Nabi saw sampaikan itu adalah batil atau rekaan, biarlah Allah yang membalasnya.

4.0] Allah telah memberi peringatan yang sangat keras kepada Nabi saw, Firman Allah,"Jika NabiKu, kekasihKu Muhammad berani mereka-reka ucapan bohong keatasKu, lalu diselitkan ke dalam firmanKu yang Suci dan dia mendakwa itu firmanKu walhal itu ucapan dia, pasti Aku akan siksa dia dengan segala keKuatanKu dan tidak ada seorang pun yang dapat menghalangi siksaKu daripada menimpanya".

5.0] Sabda Nabi saw lagi, "Jika aku menyampaikan yang bohong, Allah Mengetahui, dan aku pun akan disiksa oleh Allah dengan siksaan yang dahsyat, dan jika aku menyampaikan yang benar pun Allah mengetahui dan akan dibalasi aku dengan ganjaran. Tetapi apa yang aku sampaikan ini adalah kebenaran, maka Allah beri kepada ku kekuatan dengan mu'jizat, seperti Al-Quran, iaitu tanda dan bukti risalah dan juga dalil-dalil qot'i bahawa apa yang aku bawa adalah datangnya daripada Allah". Demikianlah kata Imam Al-Marowi di dalam tafsirnya.


6.0] Sabda Nabi saw lagi, " Siapakah Allah yang SifatNya   يَعْلَمُ مَا فِى السَّمَاوَاتِ وَالاَرْضِ - Dia Mengetahui apa yang di langit-langit dan di bumi? Termasuklah Dia Mengetahui segala keadaanku dan keadaan kamu, niatku dan niat kamu, perangaiku dan perangai kamu. Apa yang ditunjuk, apa yang disuruh, termasuklah tuduhan kamu bahawa Al-Quran itu karangan, tulisan dan rekaanku. Allah Maha Mengetahui niat dan tujuan kamu, kamu mendustainya dan mengingkarinya. Sedangkan Al-Quran adalah hujah yang nyata, sehingga kamu tidak mampu untuk menolaknya. Orang-orang seperti kamu adalah orang-orang yang percaya kepada kebatilan, kamu kufur kepada Allah dan adalah kamu menjadi orang-orang yang rugi (khoosirun). Ketika kebenaran telah dibuktikan, dijelaskan dengan dalil yang nyata, lalu jika menolaknya juga, maka penolakan itu Allah lihat dan akan Allah beri balasan"

7.0] Orang-orang yang menolak kebenaran terbahagi kepada 2 iaitu;

i) Orang yang tidak menerima kebenaran kerana tidak tahu atau belum tahu tentang kebenaran itu. Contohnya, apabila kita mengatakan kepada mereka, "Kamu akan ditanya di akhirat, kamu akan masuk neraka kerana kamu kafir, kerana kamu menolak kebenaran". Jika mereka menjawab,"Apa itu kafir? menolak kebenaran? kebenaran yang mana?. Maka ada pendapat yang kuat mengatakan bahawa orang-orang seperti itu belum boleh dipanggil sebagai orang kafir.

[Nota; Kafir itu asal dari kata akar kafara yang bermakna mengorek lubang dan menimbuskan kembali]

ii) Orang yang telah disampaikan kebenaran, hati kecilnya menyakini dan mengakui adanya Allah dan benarnya kerasulan dan wahyu tetapi sengaja ditutupinya. Contohnya seperti Namruz ketika berdebat dengan Nabi Ibrahim as, dia menundukkan kepala ketika diminta supaya dia bertanya kepada berhala-berhalanya. Dia mengakui bahawa berhala-berhala sembahannya tidak dapat bercakap apa lagi untuk memberi manafaat. Hatinya mengakui kebenaran ajaran Nabi Ibrahim as dan mengakui kesilapan dan kesesatannya tetapi dia tetap menutupi kebenaran hati kecilnya malahan mengarahkan tenteranya menangkap dan membakar Nabi Ibrahim as. Orang yang telah disampaikan kebenaran, dengan bukti nyata dan dalil yang jelas, hujah yang nyata. Hati kecilnya menerima  tetapi dia tetap menolak, menutup dan mendustakannya. Inilah yang dipanggil kafir sepertimana yang terdapat di dalam ayat 52 ini.

8.0] Sabda Nabi saw lagi, "Tugas aku adalah tabligh. Tidak ada yang Allah suruh aku sampaikan melainkan telah aku sampaikan". Menyampaikan apa yang Allah suruh sampaikan itu adalah wajib. Allah SWT Maha Adil. Rujuk surah Al-Isra ayat 15;

Allah tidak akan menyeksa sesuatu kaum sehingga Dia mengutuskan seorang rasul kepada mereka. Selagi belum sampai risalah Allah kepada mereka, jika ada kesalahan dalam pandangan Allah sekali pun, tidak dikira salah kerana belum ada penjelasan, yang bermakna belum ada utusan Allah kepada mereka.

8.0] Sekarang pertanyaannya, "Mungkinkah di planet bumi (green planet) ini, ada puak manusia, dalam sejarah kemanusiaan yang belum ada utusan Allah diutus kepada mereka, disepanjang hayat kehidupan mereka untuk menjelaskan tentang keEsaan Allah? yang menyebabkan mereka menyembah berbagai tuhan lain?". Mungkin atau tidak mungkin? Majoriti jemaah menjawab mungkin. Berhati-hati!, jangan cepat untuk menjawab melainkan selalulah mencari panduan jawapan di dalam Al-Quran, buku panduan kehidupan kita. Rujuk surah Al-Faatir ayat 24;

Oleh sebab itu, jawapannya ialah tidak mungkin ada umat manusia yang menjadi penghuni planet bumi ini dari ribuan tahun dahulu sehingga kehari ini, yang tidak pernah sampai risalah tauhid kepada mereka. Walaupun umpamanya bagi yang menghuni Hutan Belantara Amazona, semuanya pun pernah ada seseorang (seorang nazir) yang mengajar mereka tentang keEsaan Allah.Tetapi jika ditanya siapa namanya nazir itu? Kita tidak tahu kerana tiada diberitahu Allah di dalam Al-Quran. Rujuk pula surah Ghafir (surah Al-Mu'min) ayat 78 untuk mendapatkan jawapannya.

Beginilah caranya mencari jawapan dengan bimbingan Al-Quran yang bersifat objektif. Ternyatalah bahawa Allah tidak menceritakan semuanya tentang nazir-nazirNya (iaitu seseorang yang memberi peringatan kepada manusia) walaupun kepada Nabi saw. Oleh itu apabila Nabi saw pun ada yang tidak tahu, apa lagilah kita umatnya tidak tahu siapalah nazir-nazir utusan Allah keserata pelusuk bumi umpamanya nazir di Benua Cina. Apabila setiap insan yang pernah hidup di dunia ini, pernah di datangi nazir, maka pasti ada pertanggung-jawaban, dan inzar (peringatan) yang paling utama daripada Rasul kepada umatnya ialah tentang Tauhid ( mengEsakan Allah).

9.0] Daripada Dr. Hamka, "Jika ada orang yang berada dihutan belantara dan mengatakan bahawa ada Tuhan Yang Esa, asalkan hati mereka ada keyakinan tentang keEsaan Allah, walaupun mereka tidak tahu namanya sebagai Allah, mati mereka juga adalah sebagai muwahid dan pasti ada bagi mereka itu nazir.".

10.0] Peringatan untuk kita sebelum membuat sesuatu kesimpulan ialah bahawasanya perlulah membaca dan mengkaji banyak ayat-ayat Al-Quran. Jangan tergesa-gesa berfatwa. Cari dahulu ayat-ayat yang berkenaan  (relavant), tempatkan ayat-ayat itu pada posisi yang tepat, cara yang relatif, susun sempurna ibarat tafsir secara puzzle Al-Quran. Apabila susunannya tepat pada kedudukan yang sepatutnya, maka akan nampaklah gambaran keseluruhannya yang sebenar. Jika sekeping saja pun gambar puzzle itu telah tersilap letak, kita tidak mendapat gambarannya yang tepat. Ini dipanggil tafsir Maudhu'i iaitu dengan mengambil kira lebih dari satu ayat, mengumpul sebanyak mungkin ayat berkaitan, kemudian disusun dengan kelebihan ilmu pentafsir. Contohnya jika berkaitan dengan tartibul nuzul, kenalah tahu ayat mana yang turun dahulu dan yang mana turun kemudian. Jangan segera mengeluarkan hukum, jangan terlalu sembrono. Sedangkan memahami undang-undang pun tidak boleh dibuat dengan mudah. Mungkin perlu belajar 4-8 tahun, walhal itu undang-undang manusia dengan bahasa kita sendiri. Yang pelik, jika membuat kesimpulan dari terjemahannya, lalu apa yang difahami terus di C n P dan terus diforwardkan. Anda bertanggungjawab dihadapan Allah apabila menimbulkan kekeliruan kepada umat walaupun dengan niat dakwah. Oleh itu pastikan dahulu, tabayyun dahulu, selidiki dahulu.

11.0] Orang kafir yang kufur kepada Allah setelah diberi dalil-dalil dan peringatan adalah benar-benar kafir yang menutupi. Orang yang belum mahu menerima kebenaran kerana belum diberitahu, maka sampaikanlah dahulu dakwah dengan sebaiknya kepada mereka. Sekarang Nabi saw sudah tidak ada, maka kitalah sebagai pewarisnya, berbanding dengan umat dahulu yang ada nazir masing-masing. "Allah panggil nazir (bukan nabi atau rasul) kepada penyampai iaitu (orang yang mengajar tentang Allah SWT)", dan ini adalah kata-kata daripada Al-Marowi.

12.0] Daripada Ar-Rozi, Firman Allah SWT itu bermaksud," Tatkala telah menjadi nyata risalah yang telah disampaikan oleh Nabi dan telah jelas dalil-dalil kebenaran, sedangkan mereka tetap tidak mahu beriman, samada orang kafir atau ahli kitab, bahkan mereka mendakwa bahawa apa yang mereka katakan itu benar dan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw itu adalah bohong, maka Allah Maha Mengetahui dan Maha Menyaksikan kebenaran Nabi dan kebohongan mereka". Kebenaran dikatakan bohong tetapi kebatilan dikatakan benar. Itulah ada peribahasa Arab mengatakan, " Orang yang tidak tahu dan dia tidak tahu dia tidak tahu, bahkan dia menuduh orang yang tahu itu tidak tahu, itu orang bodoh, jahil. Jahil murokab (jahil ganda dua)".

13.0] Apa yang Nabi saw katakan itu kebenaran sebab Nabi saw itu sodiq, tetapi mereka katakan bahawa Nabi saw itu bohong, itu bodoh - jahilnya mereka. Ditambah pula kejahilan mereka yang percaya bahawa keyakinan mereka itulah yang benar, itulah jahil bergandanya mereka. Allah menyuruh Nabi saw berkata kepada mereka, "Cukuplah Allah menyaksikan bahawa aku benar dan keyakinanmu bohong. Apa yang aku sampaikan adalah hak dan apa yang kamu percaya itu batil". Ini adalah inzar yang sangat kuat kepada mereka lantaran Allah itu Mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi.

14.0]  Allah -يَعْلَمُ مَا فِى السَّمَاوَاتِ وَالاَرْض  -  seperti yang terdapat di dalam surah Al-Ankabut ayat 52 di atas, bandingkan dengan surah Ar-Ra'du ayat 43;

Berpandukan ayat ini, orang kafir tidak percaya kepada Nabi saw, mereka mengatakan  لَسْتَ مُرْسَلًا - "Kamu bukan utusan Allah". Allah menyuruh Nabi saw menjawab bahawa, " Cukuplah Allah menjadi saksi antara aku dan kamu". Allah menjadi saksi pertama (yang disebut dahulu) dan yang menjadi saksi (yang kedua) ialah sebahagian ahli kitab yang jujur (yang disebut kemudian). Sekarang bandingkan dengan surah Al-Ankabut ayat 52 yang sedang kita pelajari di atas, dimana Allah juga disebut dahulu sebagai saksi antara Nabi saw dan ahli kitab. Bandingkan pula dengan surah Al-Ankabut ayat 47 yang telah kita pelajari, dimana kesaksian ahli kitab pula yang disebut dahulu berbanding kesaksian sebahagian orang kafir musyrik Mekah dan tidaklah ingkar kecuali orang-orang kafir. Ini menunjukkan yang membenarkan risalah Nabi saw, yang memberikan kesaksian tentang kebenaran rusulullah, Nabi saw ialah Allah dan ahli kitab. Kenapa ada takdim (dahulu) dan ta'khir (kemudian)? Ini berbeza kerana di dalam  surah A-Ra'du ayat 43 ia berbicara dalam konteks berbicara dengan orang kafir musyrik, sebab itulah kesaksian Allah disebut dahulu (yang aqwa- yang lebih kuat kesaksiannya) daripada kesaksian ahli kitab, sedangkan di dalam ayat surah Al-Ankabut ayat 52 ini, perbicaraan ialah dengan ahli kitab bukan dengan orang kafir musyrik.

15.0] Walau pun tajuk perbincangannya sama, iaitu tentang kerasulan Nabi Muhammad saw, tetapi orang yang diajak berbicaranya berbeza. Di dalam surah Ar-Ra'du ayat 43, mukhotobnya (lawan bicaranya) ialah orang kafir musyrik yang menafikan kerasulan Nabi saw, maka Allah menyebut kesaksian Allah yang lebih kuat dahulu kemudian baru disebut kesaksian ahli kitab. Manakala di dalam surah Al-Ankabut ayat 52 pula, masih bicara yang sama iaitu tentang kerasulan Nabi saw, tetapi yang menolaknya ialah ahli kitab yang mana ada di antara mereka yang percaya. Kalau kita halusi, ketika Al-Quran menyampaikan khitob yang sama tetapi kepada mukhotob berbeza maka gaya bahasa Al-Quran pun berbeza. Di situlah ada nilai balaghah yang tinggi di dalam Al-Quran. Mustahil Nabi saw yang mengarangnya, dengan dapat menukar gaya bahasa yang tiba-tiba, disesuaikan dengan siapa mukhotobnya. Itu rahsianya Al-Quran dari sudut balaghah. Balaghah itu apa? Paling tidak untuk memberi gambaran bahawa banyak lagi yang kita belum tahu. Minimumnya jika kita rasakan timbul ada keinginan untuk tahu yang belum kita tahu, itu pun sudah cukup baik.

16.0] Hikmah mengutarakan sesuatu yang berat untuk difahami ialah supaya pelajar sedar bahawa masih banyak yang perlu dipelajari, masih banyak yang belum diketahui. Pensyarah yang pandai menarik pelajarnya untuk menimbulkan semangat terus menggali ilmu, memberi motivasi dengan mendedahkan diri kepada mentaliti sarjana, menceritakan yang tinggi-tinggi kepada pelajarnya, sehingga pelajarnya ada yang berkerut-kerut dahi memikirkannya dan itu adalah supaya dapat mencontohi Imam Syafie rahimatullah yang hebat. Imam Syafie rahimatullah yang setiap kali membaca Al-Quran walaupun membaca ayat yang sama, tetapi masih merasa tidak tahu dan merasa betapa banyak lagi yang belum dia tahu. Itulah mentaliti sarjana.

17.0] Memang tidak mudah untuk mendidik atau mengajar atau belajar. Jangan menghadkan ilmu yang dipelajari. Jangan mudah merasa puas dan cukup dengan ilmu atau subjek yang diperlukan untuk menghadapi peperiksaan semata-mata. Itu sangat merugikan. Rebut peluang yang ada, cari sendiri ilmu yang sangat banyak walaupun ilmu yang diluar ikhtisas peperiksaan kita.

18.0] Cabaran bagi seseorang penyarah atau pengajar ialah untuk membuat penampilan pertama ketika berdepan dengan pelajar yang belum dikenalpasti ketahapan ilmu mereka. Pengajar atau guru kenalah pandai mencari cara atau set induksi untuk memberi first- impression yang berkesan kepada pelajarnya. Itulah saikologi pendidikan. Jika tidak maka pelajar akan merasa gurunya biasa-biasa sahaja dan mungkin hilang motivasi untuk sesi-sesi pembelajaran yang seterusnya. Pengajar atau guru perlu bijak menilai pelajar atau pendengar sasarannya, yang mempunyai kepelbagaian tahap pemikiran dan ilmu. Jika pelajar atau pendengar sasarannya adalah terdiri daripada orang besar-besar, orang-orang yang berilmu, maka perlulah pengajarnya pun berilmu tinggi dan bercakap yang bernilai.

19.0] Pengajar atau penceramah yang paling penting ialah khatib yang terpaksa menyediakan teks ucapan khutbah yang paling susah kerana terpaksa memikirkan kesesuaian dengan tahap ilmu pendengar yang berbeza, masyarakat majmuk yang masalahnya pun majmuk. Dr. Hamka pernah menyuarakan isi-hatinya apabila ditanya apa yang menyulitkan baginya. Jawabnya ialah untuk memikirkan isi  khutbah yang efektif setiap minggu bagi masyarakat metropolitan yang berbeza latar-belakang dan pendidikan. Kerana itu adalah usrah mingguan yang paling ramai dihadiri orang walaupun tanpa dijemput, tanpa makanan. Isi khutbah yang mesti mampu memberi makna, dapat diterima dan mencakupi keperluan semua orang, pendengar sasarannya. Oleh itu jika khatib kurang bijak, maka kurang dapat memanafaatkan dengan sebaik-baiknya masa berharga itu dan itu adalah rugi merugikan. Contohnya teks kuliah ini, hanya sesuai dibaca dan dibentang di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar, tetapi tidak sesuai untuk dibaca di surau-surau kecil di ulu-ulu sana. Contoh lain ialah umpamanya memasak untuk dimakan oleh 10 orang yang seleranya sama, tiadalah masalahnya berbanding dengan memasak untuk 2,000 orang yang seleranya berlainan. Tentu susah untuk dapat memasakkan satu masakan yang semua orang suka.

20.0] Tentang penggunaan kalimah berbeza di dalam ayat 52 surah Al-Ankabut diatas:

Kalimah  اُولآءِكَ هٌمُ الْخَاسِرُونَ  -  mereka itu merekalah orang-orang yang rugi.

i) اُولآءِكَ  -  mereka itu - jama' dari  ذَالِكَ  - isyarat jauh, kerana merujuk kepada orang-orang yang jauh daripada keberuntungan dan rahmat Allah.

ii) Ditambah pula dengan dhomir (kataganti) هٌمُ (mereka) - itu sebagai penguat. Jika tiada هٌمُ pun sudah betul dari segi tatabahasanya.

iii) Kemudian penguat yang kedua ialah  اَلْ   dalam الْخَاسِرُونَ  - خَاسِرُونَ - jika tiada  اَلْ pun dari segi bahasa sudah betul.

iv) Penguat ketiga ialah isim faa'il - خَاسِرُ - sifat yang lazim, yang tetap.

Dengan adanya gabungan penggunaan kalimah diatas menjadikan makna ayat yang kuat.

  اُولآءِكَ هٌمُ الْخَاسِرُونَ - bermakna orang-orang itu ialah orang-orang yang jauh dari kebenaran itu. Merekalah sebesar-besar yang rugi dan bukan orang lain. Orang yang percaya kepada kebatilan dan kufur kepada Allah, itulah yang benar-benar rugi. Di sini ada Al-Hashru (pembatasan, had). Jika ditanya, siapa yang rugi? jawabnya اُولآءِكَ . Siapa yang benar-benar rugi? jawabnya اُولآءِكَ. Siapa yang kerugiannya paling maksima? jawabnya اُولآءِكَ. Lebih malang lagi ayat ini kerana tajuk perbincangannya ialah tentang kerasulan Nabi saw dan orang yang dilawan bercakap ialah ahli kitab yang sepatutnya mereka beriman dan sepatutnya menjadi orang yang mula-mula beriman tetapi sebaliknya mereka menjadi orang yang mula-mula kufur. Orang yang sudah ada maklumat, orang yang telah disampaikan hujah akan kebenaran, kemudian memilih untuk menolak kebenaran, maka kerugiannya sangatlah besar berbanding dengan orang yang belum menerima kebenaran kerana belum diberitahu. Ini yang di maksudkan dengan orang-orang yang sesat, ضَالِّينَ . Dia tahu kebenaran, dia tahu kebatilan tetapi dia memilih yang batil daripada yang hak, خَاسِرُونَ . Cerita dari ayat-ayat di atas ialah tentang 2 jenis kufur iaitu orang yang kafir musyrik dan kafir kitabi. Ceritanya saling berganti dan nanti di surah Al-Ankabut ayat 53 ialah tentang kafir musyrik pula. Wallahu 'a'lam.


















2 comments: