Tuesday, April 11, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 67, 68) - Kuliah 68 - Nikmat Iman, Nikmat Aman, Kufur Nikmat, Zalim, Azlam, Muftarin, Mukazzib, Iftira', Wasatiah, Tafri'

1.0]Minggu lepas kita telah pelajari surah Al-Ankabut ayat 67;

Ayat 67 di atas menceritakan tentang satu lagi sifat yang ada pada diri orang kafir dizaman itu, paling tidak, dan juga orang kafir pada bila-bila masa terhadap perintah Allah SWT. Nikmat yang Allah sebutkan yang mereka kufuri dalam ayat tersebut ialah nikmatul amni, iaitu nikmat keamanan, keselamatan dan telah diyatakan bahawasanya nikmat keamanan, keselamatan, kesejahteraan ialah sebesar-besar nikmat selepas nikmat iman, Al-Iman Billah.

2.0] Memang tidak mungkin kita dapat menghitung nikmat yang Allah berikan kepada kita semua dan nikmat yang terbesar sekali ialah nikmat aman selepas nikmat iman.  Sebab itu di dalam ayat ini dan di dalam surah Quraisy, Allah ingatkan dengan 2 nikmat yang mana sepatutnya dengan 2 nikmat tersebut tidak ada alasan lagi atau tiada sebab untuk tidak beriman kepada Allah dan mengEsakanNya. 2 nikmat itu ialah seperti yang disebut dalam surah Quraisy ayat 4;

Allah yang telah memberikan nikmat kepada mereka berupa dibebaskan daripada kebuluran dan dibebaskan daripada rasa takut. Dengan 2 nikmat ini, Allah nyatakan di dalam surah Quraisy itu sebetulnya orang Kafir Mekah sudah tidak boleh ada alasan lagi untuk tetap menjadi kafir atau tidak beriman dan mengEsakan Allah kerana dengan nikmat aman ini seseorang sudah mudah untuk melaksanakan seruan Allah dan meninggalkan laranganNya. Rasa-rasanya tidak mudah atau mustahil kita dapat melakukan perintah Allah dengan jayanya jika nikmatul amni ini tidak ada. Satu diantara rahsia hikmah disebalik perintah hijrah Allah kepada Nabi Muhammad saw dan sahabat-sahabatnya ke Madinah, yang mana sebelumnya Nabi saw telah mengizinkan sejumlah sahabatnya meninggalkan Mekah untuk berhijrah ke Habsyah, Etophia, ialah kerana di Mekah tiada nikmatul amni, iaitu tiada nikmat aman, sehingga sangat susah untuk melaksanakan perintah-perintah Allah. Meninggalkan perintah Allah adalah berdosa, lalu jika hendak mengamalkan perintah Allah, kena balun, jadi macam-mana? Untuk membaca firman Allah pun kena tampar, dan jika berdegil dan berkeras juga akan dikenakan sekatan ekonomi. Orang muslim di Mekah pernah mengalami sekatan ekonomi iaitu embargo ekonomi yang menyebabkan kebuluran. Bagi yang tidak dapat bertahan, Nabi saw mengizinkan mereka berhijrah ke Etophia yang ada penguasa yang adil dan punya hati-perut.

3.0] Apabila tiada lagi jaminan keselamatan terhadap orang yang beriman untuk melaksanakan perintah agama di Mekah, dimana mereka menjadi warganegara minoriti dibawah pemerintahan majoriti yang zalim, maka Allah perintahkan mereka supaya meninggalkan Kota Mekah, dengan meninggalkan segala harta-benda milik mereka untuk berhijrah ke Madinah. Di Madinah barulah mereka boleh menarik nafas lega kerana mereka dapat melaksanakan ibadah dengan tenang tanpa gangguan dan merasa merdeka. Inilah nikmatul amni, nikmat aman, sebab itulah di dalam ayat ini pun Allah ingatkan lagi sekali, sebab-sebab turunnya, sebagaimana yang kita pelajari. Mereka sebenarnya ingin menerima ajaran Nabi saw dan mengikutinya, tetapi mereka kata jikalah menerima Islam sebagai agamanya dan Nabi saw sebagai ikutan, mereka khuwatir nanti akan terancam keselamatan diri dan harta mereka. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang diakui oleh Al-Harith bin Uthman bin Naufal bin Abdul Manaf.

4.0] Nikmatul amni(nikmat aman) wajib disyukuri, kalaulah kita belum mampu ikut menjaga keamanan, menjaga keselesaan umum, minimanya janganlah kita melakukan kejahatan yang boleh menimbulkan huru-hara sebab di dalam keimanan itu ada rasa keamanan dan di dalam keamanan itu ada kemakmuran dan pertumbuhan, perkembangan dan kemajuan.

5.0] Khalilullah Ibrahim as berdoa satu doa yang penting usai mendirikan Ka'bah iaitu memohon supaya Allah menjadikan Kota Mekah baladan aaminan (negeri yang aman). Peliknya masa itu, semasa dia berdoa itu, Mekah belum berpenghuni, cuma ada mereka sekeluarga, iaitu seorang ayah, ibu dan anak. Namun Nabi Ibrahim as sudah ada wawasan yang jauh ke hadapan yang begitu yakin bahawa tempat itu, disuatu hari kelak, akan dihuni oleh jutaan umat. Doa Nabi Ibrahim as yang sangat penting ini terdapat di dalam surah Ibrahim ayat 35;

Nabi Ibrahim as berdoa mohon keamanan dahulu iaitu inti doa yang terpenting diantara yang penting. Jangan hanya berdoa untuk murah rezki dan umur panjang, sebab jika sudah murah rezki dan umur panjang tetapi tidak aman, huruhara, hanya akan menambahkan siksaan kerana dengan banyak harta bertambahlah ketakutan sebab ramai orang yang dengki dan orang yang mencuri. Tolong jadikan doa Nabi Ibrahim as ini doa harian kita semua kerana doa ini adalah yang terpenting dalam hidup ini selepas beriman, kerana kemakbulan doa ini akan memberi manafaat bukan hanya kepada diri kita sahaja tetapi juga kepada anak-cucu dan umat manusia sejagat. Doa yang hampir sama juga terdapat di dalam surah Al-Baqarah.

6.0] Kemakbulan doa Nabi Ibrahim as tidak sempat dirasainya tetapi menjadi realiti di kemudian hari. Jangan kita memaksa diri atau memaksa Allah supaya mengabulkan doa kita segera supaya kita dapat merasa, contohnya seperti, "Ya Allah aku pohon Kau kabulkan segera dan beri hambaMu ini dapat menikmati kemakbulan doa ini. Tetapi jika tidak sempat, tidak usah kabulkan pun tidak mengapa". Itu tidak boleh, itu doa tamak, doa mementingkan diri sendiri sahaja.

7.0] Ada satu kisah seorang raja, kisra Parsi, bernama An-Nusirwana, penguasa yang adil dan mudah tersentuhatinya jika melihat sesuatu dan juga beliau dapat menerima nasihat daripada orang lain. Ketika sedang berjalan-jalan, beliau berjumpa seorang yang sudah tua sedang menanam pokok yang lambat berbuah. Kisra itu pun berkata, "Kenapa pakcik menanam pokok yang lambat berbuah?. Hampir mustahil untuk pakcik sempat menikmatinya, sepatutnya eloklah bertanam pokok yang segera mengeluarkan hasil seperti cili atau pisang atau jagung sahaja?. Apa jawapan orang tua yang bijak itu?. Katanya,"Wahai raja, generasi sebelum kita telah menanam pokok dan kita telah menikmati hasilnya. Salahkah jika aku menanam sekarang supaya buahnya nanti dapat pula dinikmati oleh generasi kemudian?. Ertinya jangan kita berusaha, beramal, berdakwah, berjual-beli dan sebagainya dengan harapan supaya kita dapat menikmati hasilnya sekarang dan jika tidak, timbul malas untuk berbuat demikian, ini tidak boleh, tidak boleh untuk berdoa hanya untuk diri sendiri sahaja. Itu tandanya tamak.

8.0] Doa Nabi Ibrahim as 4 ribu tahun dahulu dan baru sekarang dirasai dan menjadi nyata. Yang pertamanya ialah  mohon Allah jadikan negerinya negeri yang aman, kemudian doanya yang kedua ialah mohon rezki  kepada penduduknya iaitu rezki daripada buah-buahan. Ini doa khalilullah, dan tidak mungkin khalilullah berdoa meminta sesuatu yang remeh. Apabila seorang yang bertaraf khalil mengajarkan permohonan kepada Allah tentu tinggi nilainya dan yang terpenting untuk diminta selepas iman, iaitulah nikmat keamanan.

9.0] Nabi saw juga mengajar kita dalam hadith yang diriwayatkan oleh Hakim dalam kitab Al-Mustadrak Bis-Sohiihi, yang sanadnya memenuhi sanad Bukhari Muslim tetapi Bukhari Muslim tidak meriwayatkannya. Nombor hadithnya ialah 7,767. Daripada Talhah bin Ubaidillah daripada bapanya daripada datuknya, "Adalah Nabi saw, apabila melihat hilal(anak bulan) pada setiap awal bulan, pasti Nabi saw akan membaca doa ini;

اَللََهُمَّ اَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالأَمْنِ وَالإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالإِسْلَام , رَبِّي وَرَبُّكَ الله
Yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan dengan munculnya anak bulan yang terbit atas kami hari ini dengan keamanan dan keimanan dan keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhan kamu adalah Allah".

10.0] Al-Amnu iaitu keamanan dikaitkan dengan keimanan dan keselamatan dengan Islam. Nabi saw berkata kepada anak bulan itu (hilal), "Wahai anak bulan, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah". Oleh itu jika terdapat kucing yang sangat nakal, mencakar-cakar, berkata-katalah kepadanya seperti ini, bisik ditelinganya. Begitu juga dengan sekelian makhluk Allah yang lain seperti pokok, tanah, bukit, gunung, lautan, hujan, jin, iblis dan syaitan dan semuanya, sebab ada orang yang takut kepada makhluk-makhluk Allah tersebut. Takut kepada pokok, takut kepada gunung, takut kepada jin, iblis dan syaitan dan sebagainya. Berkata-katalah kepada makhluk Allah itu, contohnya kepada jin yang mengganggu, "Jangan kamu membisik-bisikkan kepadaku supaya aku sujud kepada kamu. Aku dan kamu adalah makhluk Allah".

11.0] Alangkah  cantik dan bermaknanya doa-doa terpuji daripada nabi-nabi, seperti daripada nabi kita Muhammad saw, disetiap pergantian bulan, akan berdoa minta keamanan, keimanan dan selamat ,supaya Islamnya dapat dijalankan dengan betul, supaya keimanannya semakin bertambah. Nabi Ibrahim as juga meminta aman, Nabi Musa as juga meminta aman. Keamanan adalah nikmat yang besar, anugerah yang agung daripada Allah. Apabila nikmat aman ini tidak ada, maka rosaklah kehidupan dan menderitalah umat, buruklah keadaan dan semua nikmat Allah akan bertukar menjadi yang sebaliknya iaitu yang sihat akan menjadi sakit, yang bahagia akan menjadi derita, yang tenang akan menjadi huruhara, nikmat tiba-tiba menjadi sebaliknya. Daripada keadaan cukup makan akan menjadi kebuluran dan ini dapat diambil contohnya dari Al-Quran, surah An-Nahl ayat 112;

Allah telah membuat perumpamaan yakni sebuah negeri yang telah diberi aman, tenang, tenteram, makmur, rukun, damai, sejahtera dan juga rezkinya datang kepada penduduknya itu dengan senang, mudah, melimpah-limpah dari segenap tempat. Langitnya pula mengeluarkan rezki, buminya mengeluarkan  rezki dan anginnya membawa keberkatan. Kalau kita ingin ketahui setakat mana kebahagiaan dan kesejahteraan kampung itu kita boleh rujuk surah Saba' ayat 18;

Allah telah menjadikan negeri mereka dan negeri-negeri atau penempatan baru yang berdekatan dengan negeri mereka, yang dahulunya hanyalah padang pasir telah membangun dengan pesatnya , sehingga kawasan yang tiada berpenghuni telah berpenghuni, dan telah pesat membangun. Apabila sudah maju, bagi orang yang ingin mengembara pun sudah boleh merancang perjalanan dan tempat untuk berhenti, boleh berjalan diwaktu siang ataupun malam dalam keadaan aman, tidak merasa takut dirompak, tidak takut kehabisan makanan, tidak takut tiada tempat bermalam. Allah telah gambarkan keadaan negeri yang aman makmur itu.

12.0] Keamanan jika tidak disyukuri, maka akan berlaku seperti yang disebut di dalam surah An-Nahlu ayat 112 di atas, dihujung ayatnya. Mereka kufur dengan nikmat Allah. Apa contoh kekufuran yang dilakukan oleh penduduk negeri itu? Mereka telah hidup dengan mewah dan kerja mereka hanya jalan-jalan makan angin sahaja. Tanah subur yang menjadi sumber terpenting ekonomi negeri mereka iaitu negeri pertanian (agaris) sudah tidak diusahakan lagi oleh generasi penerusnya. Mereka sudah malas dan tidak mahu meneruskan usaha pertanian itu kerana harta warisan daripada orang-tua mereka banyak. Akhirnya mereka hanya terus menggunakan harta-pusaka untuk jalan-jalan siang-malam, joli sana joli sini, makan angin tidak habis-habis, dengan alasan untuk pergi bercuti rehat. Apabila balik dari bercuti, penat, perlu berehat lagi. Makan angin akhirnya terlebih, sehingga masuk angin, lima hari tidak sembuh-sembuh, maka mulalah naik angin. Akhirnya mereka tidak lagi menjadi bangsa yang produktif, bukan lagi menjadi bangsa pengeluar tetapi telah menjadi bangsa pengguna . Kebun yang subur dibiarkan, pihak yang menjaga keselamatan negara sudah tidak ambil kisah lagi kerana negeri sudah aman sejahtera. Ini hidup yang khayal, kerana terlalu mewah, aman sejahtera telah menjadikan hidup mereka khayal. Ramai rakyatnya joli-katak, raya sakan, siang-malam pagi-petang, kufur nikmat dengan hanya dihabiskan waktu dengan berjalan-jalan dan sudah malas untuk mengolah hasil mahsul bumi. Jika kerjanya hanya untuk menghabiskan beras, menjadi bangsa pengguna dan tidak produktif, punya sebanyak mana pun rezki yang telah Allah kurniakan, pasti akan habis. Lalu Allah bagi mereka merasa kelaparan dan ketakutan. Allah jadikan itu sebagai pakaian mereka, maksudnya bagi setiap saat dalam setiap minitnya, setiap minit dalam jamnya, dalam setiap jam dalam harinya, dalam setiap hari dalam minggunya, setiap minggu dalam bulannya dan setiap bulan dalam tahunnya, mereka di dalam pakaian kebuluran dan ketakutan. Asalnya hidup mereka mewah, lantaran kufur nikmat, nikmat itu telah bertukar menjadi azab .

13.0] Akibat kufur nikmat, Allah menukar atau membalas dengan lawan keadaan asalnya seperti;
i) Aman menjadi takut
ii) Makmur menjadi menderita
iii) Mewah menjadi miskin
iv) Kenyang menjadi lapar
v) Damai  menjadi huruhara dan ketakutan.

Dan dengan sebab itulah jatuhnya negeri  Saba' itu, walhal ketika pemerintahaan Queen Bulqis, ima ketika Queen Bulqis masih kafir waima ketika dia sudah menjadi muslimah, pemerintahannya yang adil dan rakyatnya bekerja kuat, punya integriti yang tinggi, yang menyebabkan kehidupan mereka makmur. Tetapi selepas peninggalan ratu Bulqis rakyatnya hanya menjadi generasi pengguna dan akhirnya temui kehancuran. [Nota; Queen Bulqis nama asalnya, kemudian orang pelat menyebut menjadi Balqis. Orang Asia Tenggara ini pula suka menambah-nambah menjadi Siti Balqis. Begitu jugalah pandai memandai ditambahkan perkataan Siti kepada nama para isteri Nabi saw. Contoh yang lain, nama Zaliikha menjadi Zulaikha dan sampai ke Asia Tenggara ini ditambah menjadi Siti Zulaikha].

13.0] Negara yang rakyatnya lebih banyak sebagai pengguna dan bukan pengeluar, bersedialah menerima saat kehancuran. Sekaya manapun negara itu, akan mengalami kesempitan hidup. Ada orang yang telah meramalkan  bahawa negara yang kaya seperti negara  UAE (kekayaan hasil bumi kurniaan Allah). Bukan disebabkab mereka rajin bekerja, tetapi memang Allah kurniakan rezki dari bumi yang berupa  minyak, tetapi lama-lama pasti akan kehabisan juga. Berbeza sekali dengan saudara kita yang tinggal di Jepun yang terkenal dengan sikap suka bekerja. Walau pun negara yang susah tetapi kerana rakyatnya kuat berusaha akan bertukar mendapat nikmat, dan itu sunnatullah yang berlaku kepada setiap umat manusia di dunia.

14.0] Contoh biasa, ialah seperti sebuah rumah-tangga yang akan hancur apabila besar pasak dari tiang (hadith Melayu), maknanya, pengeluaran atau perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan. Contohnya, Pendapatan  keluarga sebanyak Rm 1,000 sebulan tetapi perbelanjaan yang dikeluarkan sebanyak Rm 1,200 setiap bulan. Apa akan jadi? Lama-lama terpaksa jual lutut. Keadaan seperti ini telah diingatkan ribuan tahun dahulu lagi, dan apabila rakyat sesuatu negara ada kecenderungan mengamalkan budaya yang pernah melanda negeri  yang asalnya aamina (aman) dan mutmainnah (tenang) dan akhirnya menjadi sebaliknya huru-hara dan kebuluran

15.0] Surah Al-Ankabut ayat 68;

Ayat ini mempunyai uslub pertanyaan, alaisa, maksudnya soalan bukankah?. Oleh itu semasa membacanya pun kena ikut intonasi yang sesuai dengan soalan. Semasa membaca ayat Al-Quran, mestilah faham, mesti gunakan intonasi berbeza yang sesuai dengan situasi ayat. Ketika Allah memberi amaran,  tidak sesuai kita membaca dengan menggunakan suara yang lemah-lembut. Begitu jugalah jika Allah memberi nasihat kepada orang mukmin, atau memberi ancaman kepada orang kafir, mesti berbeza intonasi bacaannya. Bukankah begitu kepiawaian Imam Masjidil haram seperti Imam Abdul Rahman As-Sudais dan sebagainya. Intonasi yang digunakan tidak sama, ucapan ahli neraka ketika menceritakan tentang azab neraka, cacian makian tidak akan dibaca dengan lemah lembut, tetapi tegas dan lantang, ucapan ahli syurga, tentang sifat kasih-sayang Allah, dibaca dengan lembut menusuk hati, pasti dapat dicam jenis ayat yang berbeza. Akhirnya menyentuh perasaan, tambahan pula si pembaca yang faham, dapat menangis menghayati maknanya. Jemaah yang dibelakangnya pun turut menangis. Kalaulah malaikat bertanya, kenapa menangis? Susah untuk menjawabnya, imam yang membacanya menangis lalu jemaahnya pun turut menangis. Mungkin kemukjizatan ayat Al-Quran yang dapat menyentuh-hati walaupun didengari tanpa kefahaman.

16.0] Andai kata seorang penyanyi professional menyanyi, kita juga dapat tahu lagu yang dinyanyikannya itu samada sebuah lagu sedih atau lagu happy, lagu rok atau lagu keroncong. Senikatanya juga boleh dicam. Contohnya jika ingin menyatakan, "Aku mencintai mu", yang sepatutnya dilagukan dengan lemah-lembut tetapi jika dinyanyikan sebagai lagu rok yang dilagukan dengan keras kasar, tentulah tidak sesuai, orang pun takut dan lari, harimau pun takut.

17.0] Surah Al-Ankabut ayat 68 diatas mengandungi 3 kenyataan iaitu;

i) Allah ingin memberitahu kita semua bahawa orang yang paling zalim ialah yang mengadakan kebohongan atas nama Allah.
ii) Orang yang paling zalim ialah orang yang banyak mendustakan kebenaran.
iii) Dan bagi kedua-dua orang ini, tempat yang paling layak ialah Jahannam.

18.0] Apa pandangan dan ulasan ulama-ulama tafsir;
i) Fakhruddin Ar-Razi- "Orang yang paling zalim ialah orang yang tetap tidak beriman walaupun Allah telah tunjukkan nikmatNya, bukti kekuasaanNya, bukti kemurahanNya". Zalim ditakrifkan sebagai meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya atau diletakkan di tempat yang mustahil tempatnya. Contoh, jika meletak baju di dalam peti ais kerana tesilap, kerana tidak perasan di dalam keadaan gelab, itu zalim. Tetapi jika kita sengaja  meletakkan baju kita di dalam peti-ais, itu zalim yang paling tinggi. Orang yang tidak menyembah Allah kerana jahil ia adalah orang yang zalim. tetapi orang yang menjadikan selain Allah untuk disembah iaitu benda yang tidak mungkin ada hak untuk disembah, itulah orang yang paling zalim (azlam). Allah tidak punya sekutu, maka orang yang menjadikan bagi Allah sekutu adalah zalim. Contoh, umpamanya, kalau kita kata seseorang itu ada anak, padahal dia tidak ada anak, (walaupun mungkin dia akan ada anak nanti), itu bohong, dan itu dikatakan zalim. Kalau kita kata keatas orang yang mustahil akan dapat anak bahawa dia ada anak, maka itu super bohong dan super zalim. Sebab itu orang yang menuduh Allah ada anak adalah super zalim, dan itulah maksud kalimah azlam, paling zalim kerana Allah tidak punya anak dan mustahil untuk punya anak.

ii) Ibnu Kathir- "Tidak ada seorang yang paling zalim dan akan mendapat hukuman siksaan daripada Allah melainkan mereka yang mereka-reka kebohongan atas nama Allah". Siapa orang ini? Rujuk surah Al-An'am ayat 93;


Di dalam tafsir Ibnu Kathir, ini adalah kata Ikrimah dan Qatadah berkaitan dengan Musailamah Al-Kazzab yang mendakwa diri sebagai nabi ketika Nabi Muhammad saw masih hidup lagi. [Nota; lebih hebat daripada rasul Melayu yang mendakwa nabi setelah Nabi saw wafat]. Musailamah Al-Kazzab telah mendakwa dirinya menerima wahyu walhal tidak.

اَظْلَمُ - إِفْتِرَى - اَفْتَرَاءَ - مُفْتَرٍ

كَذَّبَ - تَكْذِيْب - مُكَذِّب

Muftarin ialah orang yang mereka-reka kebohongan atas nama Allah. Contohnya mendakwa dirinya mendapat wahyu, atau mendakwa jibril datang menemuinya, atau mengaku bermimpi Allah bagi wirid yang mana bagi orang yang membacanya akan dapat menjadi tentera Imam Mahdi manakala sesiapa yang tidak membacanya tidak akan selamat dan pendek umur. Tanpa disedari dia telah menuduh Allah SWT cuai kerana sepatutnya semasa Nabi saw wafat, wahyu yang ada di Sidratul Muntaha (Lauh Mahfuz) telah habis. kenapa masih tinggal 2,3 ayat lagi? Itu pembohongan yang luar biasa (muftarin). Atau menuduh Allah punya anak atau punya bapa. Mereka pereka kebohongan dan berdosa besar.

Ketika Musailamah berkata,"Aku akan  menurunkan apa yang Allah turunkan kepada Muhammad dan aku akan sampaikan seperti Muhammad sampaikan". Ketika Musailamah berkata begitu, maka dia telah kazzaba bilhaq, dia telah mendapat gelaran mukazzib maknanya  orang yang mendustakan kebenaran. Inilah orang yang paling zalim.

19.0] Yahudi menuduh Allah bakhil. Kata Yahudi,"Yadullahi maghluulah" yang bermaksud,"Tangan Allah itu terbelenggu". Dengan alasan iaitu ketika mereka disuruh berinfaq, membayar zakat dan membantu orang-orang miskin, Tuhan Muhammad menyuruh kami yang kaya untuk membantu orang yang susah. Kalau dia kaya, dia sendiri yang boleh membantu. Kenapa dia menyuruh kami?". Mereka menuduh Allah fakir, ini namanya iftira' iaitu kebohongan yang sangat dahsyat terhadap Allah dan mukazzib pula ialah orang yang mendustakan kebenaran. Apabila Nabi saw menyampaikan Al-Quran, bukan sahaja ditolak, tetapi mereka mendakwa mereka pun boleh untuk membuat seperti itu jika mereka mahu. Orang mukazzib, atau muftarin adalah orang yang paling zalim kerana mereka mereka-reka kebohongan terhadap Allah, menuduh Allah punya sekutu, menuduh Allah tidak adil. Itu sangat berat, sebab itu jangan terlintas dihati kita bahawa Allah memperlakukan tidak adil kepada kita hanya kerana musibah yang menimpa kita, atau ketika kita merasa yang kita telah menjadi hamba Allah yang baik, tetapi Allah timpakan juga musibah, lalu kita mencari-cari dimana agaknya sebab kesilapan kerana kita merasa tiada salah-silap, perintah sudah dituruti, larangan sudah ditinggalkan, apa yang Allah minta sudah diberi, lalu kenapa Allah beri juga apa yang kita tidak sukai?. Hati-hati, walaupun ianya tidak terucap tetapi Allah Maha Mengetahui.

20.0] Bahkan termasuk berdusta kepada Allah, yakni mengharamkan apa yang Allah halalkan dan atau sebaliknya menghalalkan apa yang Allah haramkan. Sewajibnya kita akur, apabila Allah kata haram, suka atau tidak suka, kita mesti menerimanya sebagai haram, dan begitu jugalah sebaliknya. Benda yang haram itu ialah apa yang Allah haramkan di dalam kitabNya, jangan kita halalkan dan jangan pula sebaliknya. Tempat kembali orang-orang yang zalim dan paling zalim ini ialah Neraka Jahannam. "Bukankah Jahannam itu tempat kembali orang kafir?.

21.0] Rujuk surah Al-A'raf ayat 28;




Ayat ini adalah salah satu contoh iftira' terhadap Allah oleh orang-orang kafir dahulu, dan   mungkin orang kafir sekarang lebih inovatif untuk membuat iftira' terhadap Allah. Apabila mereka membuat perkara yang keji, mereka berkata, "Kami dapati bapa-bapa kami dahulu pun melakukan sedemikian dan Allah pun perintahkan kami untuk melakukannya".

22.0] Orang kafir Mekah dahulu pun mengakui adanya Allah yang ciptakan Ka'bah bahkan mereka percaya tentang Tanah Haram dan mereka tidak berperang pada bulan-bulan haram kerana Allah telah melarangnya. Mereka tawaf untuk memuliakan Ka'bah. Mereka bertepuk-tangan dan bersiul dalam keadaan tanpa busana, tanpa seurat benang dibadan mereka. Mereka tidak berpakaian dengan alasan pakaiannya telah tidak suci lagi kerana telah dipakai ketika berbuat dosa. Alasan mereka lagi, pakaian mesti suci zahir dan batin ketika bertawaf. Bertentangan dengan syariat Islam yang melarang bertawaf tanpa pakaian. Walaupun niat mereka baik tetapi cara mereka salah, dan mereka menjawab teguran ini dengan alasan, "Kami hanya mengikut apa yang datuk-nenek kami buat, lagi pula Allah yang suruh buat begini". Mereka mendakwa Allah yang menyuruhnya dan mereka lakukan sedemikian atas 2 alasan tadi iaitu;

i) Untuk meneruskan amalan datuk-nenek.
ii) Mereka kata itu suruhan Allah padahal itu kebohongan.

Itulah namanya iftira'. mereka-reka kebohongan dengan nama Allah, dan dosanya sangat besar. "Katakan Muhammad, sesungguhnya Allah tidak menyuruh mereka membuat fahsya (dosa)". "Adakah kamu akan mengatakan sesuatu terhadap Allah apa yang kamu tidak tahu?". Itu juga sebagai azlam (paling zalim), lebih-lebih lagi jika iftira' itu berkaitan dengan aqidah, tauhid, dan kemudiannya jika berkaitan dengan syariat. Tetapi jika berkaitan dengan nilai-nilai budaya, akhlak tempatan, itu tidak apa, asalkan tidak diyakini itu sebagai perintah agama. Contohnya, cara untuk membaca Al-Quran yang paling sopan, paling beradab atau paling beretika menurut Islam, adakah dengan cara duduk atau berdiri? Tidak ada dalil tentang itu, maka itu hanya fahaman tempatan yang bersifat lokal. Ramai orang Islam di luar sana yang merasa paling sopan untuk membaca Al-Quran sambil berdiri, dan ramai juga yang membaca sambil duduk. Asalkan tidak meyakini bahawa itulah yang diperintahkan oleh Agama, tidak mengapa, tetapi jika sudah meyakini itu sebagai perintah agama, itu sudah menokok-tambah.

23.0] Contoh seterusnya, bagaimana cara untuk membawa Al-Quran yang paling sopan? Samada dengan cara memeluknya didada, memikul atas bahu atau menjunjung atas kepala? Tiada dalil juga tentang itu maka terserahlah kepada keadaan tempatan masing-masing, itu namanya nilai lokal. Jangan menokok tambah, jangan kita mendakwa Islam menyuruh begitu-begini. Kita biasa fikir bahawa apa yang kita biasa buat itulah Islam dan nanti bila ada orang lain berbeza dari cara kita, kita merasa mereka salah. Kita sudah menokok-tambah, itu kesilapan kita, maksudnya dengan ceroboh kita menisbahkan apa yang kita buat itu semuanya Islamik. Kita tidak boleh dengan mudah, dengan sembrono menuduh tanpa ada ilmu, kita kena pastikan samada sesuatu itu mengikut syariat Islam, mengikut sunnah Nabi saw atau pun tidak.

24.0] Contoh, "Apakah pakaian bagi lelaki untuk melakukan solat?". Pakai kain pelikat baju Melayu, atau pakai jubah, kurta, pakai songkok atau tidak?. Menurut Islam asal menutup aurat. Jangan pula dengan memakai Baju Melayu merasa mendapat pahala lebih daripada orang sebelah yang memakai kurta. Katakan jika memakai jubah labuh, berserban besar, tetapi bahagian belakangnya koyak, bagaimana? Berpeganglah dengan syaratnya yang asal iaitu menutup aurat, lalu terserahlah kepada diri masing-masing. Orang Melayu, pakai Baju Melayu, kita tidak dapat untuk memaksa orang yang tinggal di New Delhi atau Peking untuk memakai pakaian seperti kita. Janganlah jika seorang ustaz datang berceramah dengan memakai T-Shirt (tidak berjubah) maka dianggap kurang keustatannya. Janganlah dengan memakai songkok putih, sudah merasa lebih afdhal dan lebih baik daripada memakai songkok hitam. Jangan mudah menisbahkan apa yang kita lakukan itu Islam betul, belum tentu. Islam itu mudah tetapi jangan disusah-susahkan dan jangan dimudah-mudahkan. Mewajibkan yang wajib dan yang sunat anggap sunat. Anda adalah ekstrimis jika anda mewajibkan yang sunat atau mengharamkan yang halal sebaliknya jika anda menganggap sunat perkara yang wajib, menghalalkan yang haram, itu salah besar dan berdosa. Oleh itu jadilah umat pertengahan, ummatan wasaton, lalu timbul istilah wasatiah iaitu mengatakan wajib bagi perkara yang wajib dan mengatakan sunat bagi yang sunat, yang haram katakan haram, yang makruh katakan makruh.

25.0] Apabila yang makruh atau haram  dianggap boleh dengan alasan toleransi, itu bukan wasatiah, itu salah. Tetapi jangan pula kerana semangat yang lebih akhirnya yang sunat diwajibkan, yang makruh disunatkan, itu pun tidak boleh. Begitulah fahaman Islam.

26.0] Janganlah kita jadi terbelenggu, jangan sampai rasa bingung kerana ingin mengikuti kefahaman dan kehendak jemaah kita. Yang jadi panduan ialah apa yang Islam kata, bukan yang orang Islam kata. Jangan ditokok tambah, jangan sampai ekstrim, yang namanya tafri', ifra'. Kita kena wasatiah dan mencari yang sepatutnya. Nilai penempatan jangan dicampur-adukkan dengan nilai agama. Muslim Malaysia dengan Muslim Morocco lain, dan itulah yang Allah telah tetapkan. Contohnya yang mesti sama dari segi pemakaian ialah mesti menutup aurat. Anda boleh pakai semua fesyen, pakai baju cekak musang atau baju cekak kucing, tiada hal. Begitu juga dengan Al-Quran, yang disyariatkan ialah supaya membacanya dengan betul, dan kemudian mengamalkannya. Itu yang tidak boleh berbeza. Tentang cara membawa Al-Quran dengan cara yang dianggap sopan, samada dengan mendakap kedada, mengepit, memikul atau menjunjung, semua cara boleh, itu nilai yang boleh berubah-ubah, bersifat relatif, asal jangan dipijak. Lainlah jika yang telah ditetapkan, mesti semua seragam. Mus ah Islam itu ketara. Oleh itu kita kenalah belajar supaya tahu. Moga bermanafaat dan diberkati.






No comments:

Post a Comment