Tuesday, April 4, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 65,66, 67) - Kuliah 67- Tanaaqudhun-nafas, Kufur Nikmat, Tanazuk, Tamattuk,Kaitan Al-Iman dan Al-Aman, Al-Amanah, Al-Khauf., Qudwah

1.0] Maka Allah berfirman di dalam Al-Quran yang mulia; "Tidakkah mereka mentadabbur akan Al-Quran atau hati mereka ada penutup?". Allah telah mengutarakan soalan tersebut kerana jika benar telah mentadabbur Al-Quran dan masih juga tidak dapat menerima kebenarannya, pastilah hati-hati itu ada penutup.

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 65;




Kesimpulan daripada ayat 65 ini bahawasanya penghalang utama atau sesuatu yang menghalangi seseorang daripada mengEsakan Allah dalam ertikata yang sebenarnya ialah Hubbud-Dunya, Al-Hayatud-Dunya. Sebab itulah apabila seseorang telah berada di dalam keadaan dimana mereka sudah putus harapannya terhadap Al-Hayatud-Dunya, maka saat itu mereka pasti akan kembali kepada Fitrah Robbaniyyahnya yakni Tauhid. Mereka akan pasti mengEsakan Allah dengan sebenar-benarnya dan mengikhlashkan hati dengan sebear-benarnya oleh sebab telah putus harapan kepada selain Allah dan oleh sebab Syiddatul Iftiqar Ilallah iaitu kuatnya harapan kepada Allah semata-mata. Sebaliknya bagi seseorang yang semakin kuat bergantung kepada Al-Hayatud-Dunya, maka semakin susah bagi dirinya mengEsakan dan mengikhlashkan diri dalam ubudiyah kepada Allah SWT. Di situlah kuncinya iaitu apabila ubudiah kepada Allah tidak ada, buktinya ialah apabila Allah telah selamatkan mereka daripada bencana yang mereka alami, iaitu apabila saat-saat kritikal telah berlalu, atau apabila apa yang mereka inginkan telah tercapai, Iftiqarnya (harapannya) kepada Allah sudah menurun. Izharud-Du'fi (menzahirkan kelemahan diri) sudah tidak ada malahan sebaliknya Izharul-Quwwah (menzahirkan kekuatan)nya pula yang menyerlah. Kebergantungannya kepada dunia semakin bertambah seperti semula.

3.0] Apa yang berlaku?. Apabila Allah selamatkan mereka ke daratan, tiba-tiba mereka menjadi syirik kembali. Di situ digunakan kalimat iza yang menunjukkan kalimat hujaiyah. Ertinya iza, harfun hujaiyah yang bermaksud kejadian yang tiba-tiba. Mereka bersegera untuk syirik semula tanpa menunggu lama, setelah mereka mendapatkan apa yang mereka inginkan iaitu selamat, selamat dan lepas dari musibah. Inilah satu contoh yang dipanggil Tanaaqudhun-Nafas.

4.0] Jiwa yang tanaaqudhun-nafs ialah jiwa seseorang yang ketika dalam keadaan kritikal, adalah sangat ikhlash berdoa kepada Allah dan tidak percaya kepada yang lain lagi, tetapi setelah terlepas dari musibah terus berpaling hatinya menjadi syirik semula. Hati yang tidak ada istiqomqh, hati yang tidak teguh, hati yang mudah pecah. Sewaktu dalam keadaan kritikal menjadi muslim, mukmin 100% tetapi apabila telah senang sedikit dan terlepas dari musibah, dengan drastik hatinya terus berpaling dan menjadi musyrik, kafir 101%.

5.0] Keimanan, ketauhidan dan keislaman orang yang seperti itu sebenarnya tidak diterima oleh Allah. Al-Quran sudah menceritakan tentang manusia yang seperti itu yang akan kembali kepada sifat aslinya iaitu kufurnya dan bukan mukminnya, syiriknya dan bukan muwahidnya. Imannya yang sementara hanya hiasan kerana terpaksa dan terdesak. Walaupun Allah kata mereka adalah mukhlishinalahuddin pada saat itu tetapi hanya ikhlash sesaat atau dua saat sahaja pada puncak saat kritikal itu dan keimanan mereka seperti itu tidak diterima Allah. Akhirnya apa yang berlaku? Ikuti ayat yang seterusnya iaitu surah Al-Ankabut ayat 66;


Kalimah kufur dalam ayat ini bukannya bermaksud syirik pada aqidah, tetapi sebagai kufur nikmat kerana ada qorinah selepasnya iaitu kalimah bimaa aatainaahum, "Mereka kufur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka". Kufur ada banyak jenis, dan didalam ayat ini ialah mereka kufur nikmat yang menjadikan mereka syirik kepada Allah SWT. Satu daripadanya ialah apabila dia menyandarkan diri kepada pemberian dan bukan kepada yang memberinya. Itulah syirik. Bagaimana mungkin seseorang itu merasa selamat, merasa aman, merasa tidak akan berlaku apa-apa, hanya kerana ia telah memiliki segala-galanya atau telah mendapat apa yang dikehendakinya yang Allah telah berikan. Sepatutnya dia bersandar hidup kepada yang memberi, 'alal Mu'ti bukan 'alal 'ato'. Apabila itu berlaku, itulah kufur nikmat yang menjadikannya musyrik. 

6.0] Contohnya seperti yang terdapat di dalam surah Al-Kahfi dari ayat 32 sehingga 36, cerita tentang Ashabul-Jannah. Allah buat perumpamaan tentang 2 orang lelaki yang mana di dalam sesetengah tafsir mengatakan mereka adalah adik-beradik yang mendapat harta-pusaka warisan daripada orang-tua mereka. Yang seorang kafir, memperkembangkan harta pusakanya dan akhirnya menjadi kaya-raya dan yang seorang lagi, yang beriman, mengambil seadanya dan yang selebihnya diinfaq kejalan Allah sehingga hidupnya sangat sederhana susah. Kebun-kebun sikafir telah menghasilkan buah yang melimpah sehingga dia kaya-raya dan sudah mula menunjukkan kesombongannya dan keangkuhannya ketika bercakap dengan saudaranya itu, seolah-olah ia menggantungkan hidupnya kepada harta dan pengikutnya. Seterusnya dia semakin angkuh, dengan sikap merugikan dirinya sendiri dengan mengatakan bahawa kebunnya tidak binasa selama-lamanya. Sehingga dia sampai ke peringkat merasa kiamat tidak akan datang kerana merasakan dirinya di dunia ini pun sudah mendapat syurga dengan kebun-kebun dan sungai yang mengalir, dan kehidupan senang-lenang, dan jika sekiranya dia dikembalikan kepada Allah pun, pasti dia akan mendapat tempat yang lebih baik daripada saudaranya itu yang hidup dalam kemiskinan. Dia merasa bahawa Tuhan lebih menyayanginya daripada saudaranya itu kerana telah mengurniakan segala kemewahan hidupnya di dunia. Dia sudah musyrik kerana dia bergantung kepada pemberian dan tidak kepada si pemberi iaitu Allah. 

7.0] Hati-hati! kerana syirik tidak semestinya dengan menyembah patung atau berhala, atau dengan mencucuk pipi dan tubuh-badan (kavadi) di pesta Thaipusm semata, tetapi syirik juga boleh terjadi jika seseorang yang diberi kekayaan yang lebih, harta yang melimpah, atau diberi nikmat yang banyak kemudian orang itu mula bergantung hidupnya kepada segala pemberian itu. Allah Maha Tahu apa yang ada di dalam hati kita. Macam-mana kita melihat pemberian tadi?. Masihkah kita merasakan itu sebagai pemberian yang menjadi ujian kepada kita atau sudah merasa bahawa itulah yang menentukan senang, bahagia dan sihatnya kita, sehingga melupai akan Pemberinya?.

8.0] Bagaimana jika seseorang itu lebih mencintai hadiah daripada orang yang memberi hadiah? Bagaimana jika ada orang yang memberikan hadiah yang sememangnya kita sangat inginkan, memang mahal dan selama ini kita memang harap-harapkan dan orang yang memberi hadiah itu berada dihadapan kita, menanya dan menegur kita, tetapi kita tidak melayannya kerana kita telah terlalu cintakan hadiah dan tidak mencintai pemberi hadiah itu. Itulah orang yang paling jahat. Jangan sampai mencintai hadiah pemberian daripada Allah melebihi daripada pemberinya iaitu Allah SWT. Apabila itu berlaku, bermakna seseorang itu sudah kufur, kufur nikmat. Tetapi realitinya ramai orang yang seperti itu.

9.0] Melihat perbezaan penggunaan kalimah ata dengan ja aa di dalam ayat;
Kalimah ata bermaksud datang dengan mudah manakala ja aa bermaksud datang dengan susah-payah. Kalau dikaitkan dengan Allah, pasti digunakan kalimah ata, ata amrullah, telah datang urusan atau perintah Allah, kerana urusan Allah datang dengan sangat mudah, hanya dengan kalimah kun fa ya kun maka boleh terjadi. Berbeza dengan kalimah ja aa seperti yang digunakan di dalam surah An-Nasr ayat 1;

Apabila telah datang (iza jaa a) pertolongan Allah dan kemenangan (dengan pembukaan Kota Mekah). Kenapa digunakan jaa a dan bukan ata? Ini adalah kerana untuk mendapatkan pertolongan Allah dan membebaskan Kota Mekah perlu keringat, darah, kesabaran, susah, payah, perjuangan para mujahid Islam. Mendapat pertolongan Allah setelah bersusah-payah, sebab itu digunakan kalimah jaa a dan bukan ata.

10.0] Kalimah ata-yu'ti, pula bermakna memberi atau datang dengan mudah dan pemberian itu pemberian yang besar. Untuk kefahaman yang lebih, perhatikan ayat di dalam surah Aa-Li-Imran ayat 26 yang telah menjadi wirid harian kita;


Katakanlah (Muhammad), "Wahai Tuhan Pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada sesiapa pun yang Engkau kehendaki, dan engkau menarik kekuasaan daripada sesiapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau memuliakan sesiapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau menghinakan sesiapa pun yang Engkau kehendaki. Ditangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu".


Di dalam ayat di atas terdapat 4 fi'il (perbuatan) yang dikaitkan dengan Allah iaitu;
i) Tu'ti- iaitu memberi, dan lawannya takkhuzu mengambil
ii) Tanzi u- iaitu mencabut, meregut dengan keras 
iii) Tu'izzu- iaitu memuliakan lawannya tuzillu
iv) Tuzillu- iaitu menghinakan lawannya tu'izzu

11.0] Allah memberi kekuasaan dengan mudah sungguh jika Allah kehendaki, tetapi ramai manusia kufur. Segala pemberian yang Allah berikan kepada kita hanyalah sebagai amanah. Ia tetap milik Allah. Apa sahaja yang Allah berikan kepada  kita, pemiliknya ialah tetap Allah SWT dan tidak pernah berpindah milik kepada kita, haq kepunyaan Allah, Maalikul Mulk. Malangnya manusia tidak sedar bahawa pemiliknya tetap Allah, lalu disimpannya, diikatnya kuat-kuat dengan hatinya, dirantainya dan dikuncinya benda yang dimilikinya. Apabila tiba masanya Allah hendak mengambil-balik apa yang menjadi miliknya dari orang itu, maka pasti susah dan menyakitkan bagi orang itu sebab dia telah mengikat, merantai dan mengunci benda itu dihatinya. Lalu Allah SWT pun mengambilnya dengan keras, bukan takkhuzu (mengambil) tetapi tanazi'u (merentap dengan keras) dan tentunya sangat menyakitkan. Oleh itu jika kita tidak ingin Allah meregut dengan keras segala yang Allah pinjamkan kepada kita, maka janganlah diikat, dirantai, dikunci dengan hati kita tetapi biarlah mudah diambil dan bersedia bila-bila masa untuk diambil. Rentapan itu dinamakan tanzi'u iaitu nazak. Nazak bukan hanya ketika ruh direntap supaya berpisah daripada tubuh-badan sahaja, tetapi juga ketika apa yang ada di dalam diri kita dipaksa berpisah atau keluar, seperti harta-benda, jawatan, kelebihan, umur dan sebagainya. Sakitnya luarbiasa, dan bukan salah yang mengambil tetapi salah diri sendiri. Jika  tidak bersedia untuk mengembalikan segalanya kepada Allah, kufur lagi, masa diberi kufur, masa  menyerahkan balik pun kufur. Na'uzubillah.

12.0] Kembali kepada surah Al-Ankabut ayat 66 di atas, yang mana terdapat kalimah tamattuk yang bermakna bersenang-senang. 

مَتَاعُ - تَمَتُّعُ - مُتْعَة - مِتْعَة -َالْإنْتِفَاعُ اَلقَصِيْرُزَمَنُهُ

تَمَتُّعُ - bersenang-senang

مُتْعَة - contohnya seperti kahwin kontrak

مِتْعَة - pemberian bekas suami kepada bekas isteri. Suami yang menceraikan isteri diwajibkan memberi sejumlah kekayaan kepada isterinya mengikut kadar kemampuannya. Tidak perlu pergi ke mahkamah, dan diberikan dengan rasa senang bukan dengan rasa terpaksa.

الْإنْتِفَاعُ اَلقَصِيْرُزَمَنُهُ - mengambil nikmat dalam sekejap masa.

Maksud tamattuk ialah menikmati sesuatu yang hanya sekejap seperti Al-Hayatud-Dunya yang merupakan nikmat sementara. Semua pemberian Allah boleh kita ambil, nikmatinya dan kita dapat kenikmatannya tetapi sekejap sahaja. Contohnya dengan dapat memakai pakaian baharu, tentu seronok, dapat berpindah ke rumah baharu, juga seronok dan sebagainya, tetapi perasaan itu tidak selamanya, hanya sekejap dan sementara. Allah kata bahawa mereka boleh menikmati pemberian Allah itu tetapi sekejap dan amaran dihujung ayatnya amat keras, fasaufa ta'lamun - kelak mereka mengetahuiSemua kalimah huruf sin dan saufa adalah huruf istiqbal dan di dalam Al-Quran, iaitu dalam kontak ancaman samada secara langsung atau tidak, ancaman yang keras dan tegas, apa lagi jika saufa dirangkai dengan kalimah 'alima ta'malun atau ya'lamun.
سَوْفَ تَعْمَلُوْن - سَوْفَ تَعْلَمُوْن - 
Ini menunjukkan suatu ancaman yang keras.

13.0] Kalau begitu menjadikan Hayatud-Dunya (kehidupan dunia) sebagai tamattuk (bersenang-senang) adalah perbuatan yang sangat tercela dan diberi ancaman yang keras. Sesiapa yang menjadikan semua pemberian Allah hanya untuk tamattuk (bersenang-senang) diberi amaran dan ancaman yang sangat keras namanya Tahdid-wal-Wa'id, peringatan yang sangat keras. Inilah yang dikatakan seorang musyrik yang jiwanya Tanaqudh-Nafas, yang terbukti ketika mereka dalam keadaan bersangatan berharap kepada Allah, mereka ingat dan kembali kepada Allah dan ketika terlepas dari saat kritikal, mereka segera berpaling dari Allah, dan mereka tamattuk (bersenang-senang) terhadap Al-Hayatud-Dunya (kehidupan dunia). Na'uzubillah.

14.0] Surah Al-Ankabut ayat 67;

Negeri mereka itu maknanya ialah Negeri Mekah. Kalimah yutakhottof ialah kalimah mubalaghoh yang bermaksud dicolek atau disambar dengan pantas. Ayat ini juga disebut sebagai peringatan khusus bagi penduduk Mekah. Kenapa penduduk Mekah diberi peringatan khusus berbanding penduduk Musyrik lain?. Alasannya ialah kerana orang kafir Mekah menjadi teladan, sebagai Qudwah, tanda aras bagi kabilah-kabilah yang berada disekeliling Mekah yang sentiasa menunggu dan melihat (wait and see) apa yang akan berlaku kepada penduduk Mekah nanti. Sebab itu apabila penduduk Mekah memeluk Islam semasa Fathul Mekah, kabilah-kabilah yang berada disekeliling Mekah pun beramai-ramai memeluk Islam, itulah Qudwah.

15.0] Surah Al-Ankabut ayat 67 ini sama dari segi sababun-nuzulnya dengan surah Al-Qasas ayat 57;

Kalimah khotofa- takhottofa

خَطَفَ - تَخَطّفَ -اِنْتِزَاعُ شَىْءٍبِسُرْعَةٍ

خَطَفَ - memetik bunga

تَخَطّفَ - mubalaghoh untuk menyambar, mengambil, memetik , mencolek - dengan pantas

اِنْتِزَاعُ شَىْءٍبِسُرْعَةٍ - menarik, merentap, mencabut sesuatu dengan pantas, contohnya seperti petir yang menyambar dengan pantas.

Mereka (orang kafir Mekah) kata,"Jika kami mengambil agama kamu Muhammad, kami akan dicolek orang dan dibuang negeri, kami takut". Lalu Allah jawab, "Bukankah Kami tempatkan mereka di tempat yang suci dan aman yang dipilihkan".

16.0] Di dalam hadith daripada Ibnu Abbas r.anhu, dalam tafsir beliau, bahawasanya Al-Harith bin Uthman bin Naufal bin Abdul Manaf (walaupun namanya seperti orang Islam tetapi beliau seorang kafir), bersama kawannya telah datang menemui Nabi saw. Setelah berjumpa Nabi saw, Harith berkata,"Kami semuanya tahu dan yakin bahawa apa yang kamu cakap adalah benar belaka sebab kamu tidak pernah berbohong, tetapi kami takut jika kami terima ajaran kamu dan beriman dengan ajaran kamu, nanti kami akan dicolek dan dibuang negeri dan kami tidak ada kekuatan untuk melawan mereka kerana kami orang lemah dan tidak lebih dari aklatur-raksi". [Nota; Aklatur-Raksi ialah bahasa kinayah (kiasan) yang menunjukkan sedikit. Contohnya seperti makan untuk alas perut bukan makan untuk kenyang tetapi sekadar untuk tidak lapar].

17.0] Lalu Allah turunkan ayat 67 ini, iaitu jaminan daripada Allah bahawa Allah tempatkan mereka di tanah haraman aaminan ( suci dan aman), sementara orang-orang yang tinggal di sekeliling Mekah tidak aman dan sentiasa dicolek. Pengajaran lain dari ayat itu ialah Allah sedang memperingatkan orang kafir Mekah itu tentang nikmat keamanan yang besar yang dengan nikmat itu sepatutnya mereka sudah menjadi orang mukmin. Rujuk surah Quraisy ayat 1 hingga 4 yang bermaksud;

"Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. Iaitu kebiasaan mereka berpergian pada musim sejuk dan musim panas. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan (pemilik) rumah ini (Kaabah). Yang memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan memelihara mereka daripada ketakutan".

Peringatan yang keras dari ayat diatas ialah jangan menyembah Kaabah kerana itu syirik tetapi sembahlah Tuhan yang empunya Kaabah. Lalu Allah sebutkan nikmat-nikmat itu yang dengan sebab itu mereka tiada lagi alasan untuk tidak menyembah Allah, yakni Tuhan yang memberi makan atau membebaskan mereka daripada kelaparan dan mereka diberi aman, bebas daripada rasa takut, iaitu nikmat keamanan.

18.0] Nikmat keamanan ialah nikmat yang sangat-sangat besar. Dengan nikmat keamanan itu pun hendaklah seseorang menjadi orang mukmin yang baik kerana dengan adanya nikmat keamanan kita semua dapat bekerja, dapat pergi ke masjid untuk bersolat walaupun di waktu subuh, berjalan seorangan. Dapat mengadakan kenduri-kendara, dapat berniaga, dapat menyimpan duit, dapat keluar membeli-belah dan dapat melakukan segala aktiviti dengan selesa dan aman.

19.0] Coba bayangkan jika tidak aman, untuk keluar membeli makanan pun kita takut, jadi kena masak sendiri, untuk dapatkan beras pula kena tanam sendiri, untuk bertanam pula perlu ada cangkul, cangkul pula kena dibuat dahulu, kalau begitu bila baru boleh masak nasi?. Atau pun contoh lain, untuk membeli nasi lemak pun jadi takut, takut dibubuh racun, jika hidup dalam keadaan tidak aman , ramai orang dengki-mendengki dan berbagai lagi kesusahan dan kesempitan hidup akibat tidak aman. Sesungguhnya sebesar-besar nikmat Allah kepada hambaNya selepas nikmat iman ialah nikmat aman(nikmatul amni). Kalimah Al-Amnu yakni rootwordnya ( ا, م, ن ) sama dengan Al-Iman dan sama juga dengan Al-Amanah, sebab itu antara iman dan aman itu mutaroobitooni iaitu saling berkaitan.

20.0] Maksudnya apabila suatu negeri itu Allah sudah beri keamanan, sepatutnya semua rakyatnya sudah beriman atau sudah ramai orang yang beriman atau jika sudah ramai yang beriman maka negeri itu sepatutnya aman. Ertinya jika negara itu tidak aman, walaupun nampak zahirnya ramai rakyatnya yang mengaku beriman, maka perlulah dipertanya keimanan mereka. 

21.0] Kaitan iman dengan rasa aman dijelaskan di dalam surah Al-An'am ayat 82;


Mukmin yang sebenar, yang tiada bersyirik walaupun sedikit, tidak seperti yang mengaku beriman tetapi menyembah Ad-Dunya, ima syirik uluhiyah atau syirik Rububiyah, atau syirik dalam sifat dan asma' atau syirik dalam ibadah, orang yang beriman sepenuhnya baginya amnu (rasa aman). Susunan kalimah lahum diletak di hadapan amnu, lahum Al-Amnu. Ini menunjukkan taksis, khusus dimana di dalam susunan Bahasa Arab apabila predikat di dahulukan dan subjek dikemudiankan ia membawa makna taksis atau khusus. Kalau mengikut susunan biasa ialah Al-Amnu lahum. Ertinya apa? Orang-orang itulah (dan bukan orang lain) berhaq atas mereka memiliki Al-Amnu (rasa aman) dan mereka orang yang mendapat petunjuk.

22.0] Al-Iman- iman dan Al-Amnu- aman adalah nikmat yang sangat berharga. Keduanya saling berkaitan, mutaroobitoon. Ertinya apabila orang itu betul-betul beriman, tidak bercampur syirik, pasti Allah akan bagi Al-Amnu (rasa aman) kepadanya. Sebaliknya apabila Allah bagi keamanan secara percuma kepada seseorang atau sesebuah negeri itu, contohnya seperti di dalam surah Al-Ankabut ayat 67 di atas, yang sedang kita pelajari ini, orang Mekah pada masa itu yang negerinya telah Allah jadikan suci dan aman, sepatutnya semua penduduknya telah beriman kepada Allah tetapi tidak juga berlaku demikian. Untuk panduan kita sekarang ini jika negara kita ini belum dirasai keamanan yang sempurna, masih ada rasa takut, takut orang tipu, takut orang colek, takut orang rompak, merasa tiada jaminan dan tiada kepastian keselamatan dan sebagainya maka perlu dinilai semulalah samada keimanan semua rakyat dan pemimpinnya adakah telah betul-betul memenuhi syarat untuk membolehkan negara kita berhaq mendapat  Al-Amnu yang dijanjikan oleh Allah. Al-Amnu (rasa aman) adalah lawan kepada Al-Khauf (rasa takut). 

23.0] Sebesar-besar nikmat Allah kepada hambaNya, selepas nikmat iman ialah nikmat aman. Nikmat-nikmat lain yang Allah beri kepada hambaNya yang soleh sebagai ganjaran semasa di akhirat nanti ialah seperti nikmat disediakan pelamin yang bertatah emas permata, baju dari sutera hijau tebal dan nipis, berbagai jenis buahan, bidadari dan sebagainya, tetapi nikmat yang paling sering disebut di dalam Al-Quran seperti di dalam surah Al-Baqarah ayat 62, ialah ganjaran "wala khaufun 'alaihim walaa hum yahzanun" yang bermaksud," dan tidak ada rasa takut  keatas mereka  dan tidaklah pula mereka bersedih hati". Maknanya mereka dibebaskan dari rasa takut, dan yang ada hanya rasa aman seperti kalimah yang terdapat di dalam surah Quraisy bahagian terakhir, wa aa manahum min khauf. Tidak ada rasa takut dan tidak ada rasa sedih bagi orang yang beriman sempurna. 

24.0] Rasa aman itu yakni merasa tenteramnya hati, tenangnya jiwa, rehatnya rohani. Duduk tenang, bangun pun tenang. Contohnya jika rumahnya terlupa dikunci pun masih dapat merasa aman, masih dapat tidur dengan nyenyak atau jika keretanya lupa untuk  dimatikan enjin pun, apabila bangun dipagi hari baru tersedar tentang itu tetapi kereta masih ada dan tidak dicuri orang, cuma kehabisan minyak, keadaan aman, hidup tenteram.

25.0] Cuba kita baca kisah sahabat, iaitu pada zaman pemerintahan Umar yang sibuk. Gelaran Amirul mukminin hanya bermula dizaman Umar. Pada masa Abu Bakar tiada gelaran itu tetapi gelaran Abu Bakar ialah khalifatur- Rasulillah (pengganti Rasulillah). Umar naik tahta, jadi gelarannya pula ialah sepatutnya sebagai khalifatul-khalifatur-Rasulillah (pengganti-pengganti Rasulillah), tetapi Umar mendapat gelaran Amirul Mukminin, bukan dia sendiri yang memberi gelaran itu dan bukan juga dari ahli Parlimen tetapi ada orang Islam Mesir yang datang ke Madinah, kemudian memanggil Umar, "Ya Amirul Mukminin!". Terkejut Umar, lalu menjawab,"Na'am, ana amir wa antum mukminun".Bukan diresmi secara formal, bermula dari situlah gelaran itu untuk Umar.Tetapi kita yang tidak baca sejarah, lalu kepada Abu Bakar pun kita gelar Amirul Mukminun. Tidak berdosa tetapi naif sangat.

26.0] Umar ini sangat hebat, walaupun ramai sahabat yang menyukaianya tetapi ada juga yang tidak menyukainya, buktinya matinya pun dibunuh orang. Suatu ketika Umar turun-bawah (turba) melakukan lawatan kerja, beranjang disana, sangat letih kepenatan, lalu ingin berehat dengan niat berehat sekejap dibawah pohon rendang, tetapi telah tertidur disitu, seorang ketua Negeri, tertidur ditepi jalan, tanpa ada rasa takut atau tidak selesa, yang mana itu menunjukkan tingginya keadaan aman pada masa itu.

27.0] Kalaulah kita yang terlupa untuk mematikan enjin kereta semalaman dan apabila paginya mendapati kereta kita masih ada, cuma kehabisan minyaknya, maka bersyukurlah kepada Allah, bukan sebab kereta tidak dicuri orang tetapi kerana Allah telah kurniakan keamanan kepada kita dan kawasan sekeliling kita. Tambahan lagi apabila mendengar disana-sini ada kecurian, ada rompakan, ada orang meragut dan sebagainya, bahkan ceritanya ditambah-tambah, namun kita masih dapat merasa aman, bersyukurlah banyak-banyak kepada Allah. Ada juga cerita iaitu apabila seseorang itu mendapat SMS dari seseorang, kemudian dia dipukau sehingga semua hartanya diserahkan kepada orang asing itu. Akhirnya bomoh jadi laku kerana orang mendapatkannya supaya didinding diri mereka. Syirik lagi, Na'uzubillah.

28.0] Tanpa ada keamanan kita tidak boleh berbuat apa-apa, oleh itu setiap orang mukmin wajib menjadi ejen keamanan, paling tidak kalau tidak mampu untuk mencipta keamanan, janganlah menimbulkan ketidak-amanan. Itu bahasa orang solafussoleh yang berkata, "Kalaulah anda belum mampu mengakui kebaikan orang lain, janganlah mencari-cari kesalahan orang lain itu". Itu minimanya. Atau mungkin, "Kalaulah anda belum mampu memaafkan kesalahan orang, janganlah mengungkit-ungkitnya lagi".

29.0] Jika kita menjadi mangsa umpatan atau korekan memburukkan kita, bersyukurlah, kerana itu bukti kita adalah lebih baik daripada dia sebab itu dia berusaha untuk memburuk-burukkan kita. Kalau ada orang yang ingin menjatuhkan kita, bersyukurlah, itu sebagai bukti yang kita berada di atas daripadanya. Kalau ada orang yang menghalang-halang kita, itu tandanya kita telah berada dihadapannya. Nanti jika kita sudah dapat berfikir sedemikian, kita akan tersenyum sahaja, menghadapi segala macam angkara manusia.  Kalau orang berbuat jahat kepada kita, jangan kita balas berbuat jahat juga kepada mereka. Kata Dr. Hamka, "Kalau kamu hendak berbuat jahat seperti mereka, tidak perlu belajar tinggi-tinggi, tidak perlu masuk Universiti. Kalau kamu buat jahat hanya kerana ikut orang buat jahat, tidak perlu belajar tinggi kerana orang yang tidak tahu ABC pun boleh buat jahat, memang ada bakat jahat itu". Itu cara orang dulu-dulu menasihati pelajar-pelajar kerana belajar itu tujuannya supaya kita tetap mampu berbuat baik ditengah-tengah orang yang berbuat jahat. Untuk buat jahat ditengah orang yang  buat jahat, tidak perlu kepada belajar tinggi.

30.0] Rasulullah saw bersabda di dalam hadith yang dianggap hasan, oleh Imam An-Nasa'ei dalam sunan Ibnu Majah daripada Ubaid Al-An bin Al-Ansori, baginda bersabda, "Sesiapa sahaja diantara kamu yang berpagi-pagi telah merasa selamat, tenang hatinya, kerana ada air yang hendak diminumnya, merasa sihat tubuh-badannya dan masih ada simpanan untuk dimakan  hari itu maka seolah-olah orang itu telah diberikan  Allah dunia dan isinya". Lalu kenapa mesti susah?. Apabila kita bangun dipagi hari, ada minuman, tentu seronok. Merasa sihat tubuh-badan, tangan masih boleh digerakkan, lutut masih boleh dibengkokkan, mata masih boleh melihat, telinga masih boleh mendengar, lidah masih boleh membezakan manis masin. Makan minum ada dan ada pula simpanan cukup untuk kegunaan sehingga ke malam, badan masih kuat, maka kita wajib bersyukur, kita wajib sujud atas rasa aman kurniaan Allah itu. Merasa aman tidak takut, tidak khuatir tidak mampu berjalan kerana lutut masih boleh digerakkan, Tidak takut duduk sebab nanti masih boleh bangun berdiri, tidak takut berdiri sebab nanti boleh duduk. Kalau orang yang sudah takut untuk duduk sebab nanti tidak boleh bangun atau orang yang takut berdiri sebab nanti tidak boleh duduk, tiada lagi rasa aaminan, tiada lagi rasa aman. Sebenarnya hidup ini sangat sederhana kalau kita fahami hadith Nabi saw di atas, dan dengan itu pun sudah mudah rasa syukur dan rasa kaya. Tetapi biasanya manusia ini banyak komplain. Apabila ada air, dikomplain kenapa sedikit ? dan komplain yang lain dan yang lain lagi dalam hidup ini.

31.0] Sekali lagi ditekankan bahawa nikmat aman adalah satu nikmat besar selepas nikmat iman. Nikmat aman wajib kita syukuri, bangun sahaja daripada tidur dan dapat merasa aman dalam berbagai perkara, kita sudah wajib syukuri. Aman tidak semestinya hanya dari keadaan masyarakat sahaja, tetapi merangkumi segala sesuatu aspek kehidupan kita. Contohnya jika hendak makan pun perlu rasa aman, rasa selamat, sebab sekarang ini ada orang yang sudah sampai ke peringkat untuk makan-minum pun jadi takut-takut, merasa tidak selamat, dan akhirnya hanya makan salad dan minum air kosong kerana rasa aman dalam hal makan-minum telah Allah tarik. Oleh itu semasa belum ditarik semua kurniaan Allah itu, kita wajib bersyukur dan Allah telah berjanji bahawa apabila hambaNya bersyukur akan ditambahkan rezqinya. Tidak perlu kita bersusah payah, Allah sendiri yang akan menambahkan rezqiNya kepada kita.  Mungkin bagi yang Allah telah tarik daripada kita itu sebab kita dahulu belum mensyukurinya sebagaimana yang sepatutnya dan  kita juga hendaklah merasa bersalah dan memohon kemaafan daripada Allah. Orang yang merasa bersalah dihadapan Allah itu wajib. Orang yang tidak merasa bersalah dihadapan Allah, tidak boleh, itu durhaka. Kita tidak boleh pertikaikan apa yang telah Allah berikan kepada kita, contohnya, "Ya Allah, apa salahnya hamba mu ini? Kenapa jadi begini?.Atau; "Ya Allah, sepatutnya Engkau merasa bertuah punya hamba seperti aku. Kalau Nabi saw masih hidup pun, pasti dia seronok punya umat seperti ku". Kita tidak boleh berkata-kata seperti itu, malahan kita disarankan supaya sentiasa mengaku berdosa, sentiasa mengaku bersalah, dan bukan bertanya apa dan dimana salah kita. "Hati kena betul, hati mahu baik Maa". In syaa Allah akan disambung lagi tentang Al-Amnu dikuliah hadapan. Baarokallah. moga bermanafaat.








No comments:

Post a Comment