Tuesday, April 11, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 67, 68) - Kuliah 68 - Nikmat Iman, Nikmat Aman, Kufur Nikmat, Zalim, Azlam, Muftarin, Mukazzib, Iftira', Wasatiah, Tafri'

1.0]Minggu lepas kita telah pelajari surah Al-Ankabut ayat 67;

Ayat 67 di atas menceritakan tentang satu lagi sifat yang ada pada diri orang kafir dizaman itu, paling tidak, dan juga orang kafir pada bila-bila masa terhadap perintah Allah SWT. Nikmat yang Allah sebutkan yang mereka kufuri dalam ayat tersebut ialah nikmatul amni, iaitu nikmat keamanan, keselamatan dan telah diyatakan bahawasanya nikmat keamanan, keselamatan, kesejahteraan ialah sebesar-besar nikmat selepas nikmat iman, Al-Iman Billah.

2.0] Memang tidak mungkin kita dapat menghitung nikmat yang Allah berikan kepada kita semua dan nikmat yang terbesar sekali ialah nikmat aman selepas nikmat iman.  Sebab itu di dalam ayat ini dan di dalam surah Quraisy, Allah ingatkan dengan 2 nikmat yang mana sepatutnya dengan 2 nikmat tersebut tidak ada alasan lagi atau tiada sebab untuk tidak beriman kepada Allah dan mengEsakanNya. 2 nikmat itu ialah seperti yang disebut dalam surah Quraisy ayat 4;

Allah yang telah memberikan nikmat kepada mereka berupa dibebaskan daripada kebuluran dan dibebaskan daripada rasa takut. Dengan 2 nikmat ini, Allah nyatakan di dalam surah Quraisy itu sebetulnya orang Kafir Mekah sudah tidak boleh ada alasan lagi untuk tetap menjadi kafir atau tidak beriman dan mengEsakan Allah kerana dengan nikmat aman ini seseorang sudah mudah untuk melaksanakan seruan Allah dan meninggalkan laranganNya. Rasa-rasanya tidak mudah atau mustahil kita dapat melakukan perintah Allah dengan jayanya jika nikmatul amni ini tidak ada. Satu diantara rahsia hikmah disebalik perintah hijrah Allah kepada Nabi Muhammad saw dan sahabat-sahabatnya ke Madinah, yang mana sebelumnya Nabi saw telah mengizinkan sejumlah sahabatnya meninggalkan Mekah untuk berhijrah ke Habsyah, Etophia, ialah kerana di Mekah tiada nikmatul amni, iaitu tiada nikmat aman, sehingga sangat susah untuk melaksanakan perintah-perintah Allah. Meninggalkan perintah Allah adalah berdosa, lalu jika hendak mengamalkan perintah Allah, kena balun, jadi macam-mana? Untuk membaca firman Allah pun kena tampar, dan jika berdegil dan berkeras juga akan dikenakan sekatan ekonomi. Orang muslim di Mekah pernah mengalami sekatan ekonomi iaitu embargo ekonomi yang menyebabkan kebuluran. Bagi yang tidak dapat bertahan, Nabi saw mengizinkan mereka berhijrah ke Etophia yang ada penguasa yang adil dan punya hati-perut.

3.0] Apabila tiada lagi jaminan keselamatan terhadap orang yang beriman untuk melaksanakan perintah agama di Mekah, dimana mereka menjadi warganegara minoriti dibawah pemerintahan majoriti yang zalim, maka Allah perintahkan mereka supaya meninggalkan Kota Mekah, dengan meninggalkan segala harta-benda milik mereka untuk berhijrah ke Madinah. Di Madinah barulah mereka boleh menarik nafas lega kerana mereka dapat melaksanakan ibadah dengan tenang tanpa gangguan dan merasa merdeka. Inilah nikmatul amni, nikmat aman, sebab itulah di dalam ayat ini pun Allah ingatkan lagi sekali, sebab-sebab turunnya, sebagaimana yang kita pelajari. Mereka sebenarnya ingin menerima ajaran Nabi saw dan mengikutinya, tetapi mereka kata jikalah menerima Islam sebagai agamanya dan Nabi saw sebagai ikutan, mereka khuwatir nanti akan terancam keselamatan diri dan harta mereka. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang diakui oleh Al-Harith bin Uthman bin Naufal bin Abdul Manaf.

4.0] Nikmatul amni(nikmat aman) wajib disyukuri, kalaulah kita belum mampu ikut menjaga keamanan, menjaga keselesaan umum, minimanya janganlah kita melakukan kejahatan yang boleh menimbulkan huru-hara sebab di dalam keimanan itu ada rasa keamanan dan di dalam keamanan itu ada kemakmuran dan pertumbuhan, perkembangan dan kemajuan.

5.0] Khalilullah Ibrahim as berdoa satu doa yang penting usai mendirikan Ka'bah iaitu memohon supaya Allah menjadikan Kota Mekah baladan aaminan (negeri yang aman). Peliknya masa itu, semasa dia berdoa itu, Mekah belum berpenghuni, cuma ada mereka sekeluarga, iaitu seorang ayah, ibu dan anak. Namun Nabi Ibrahim as sudah ada wawasan yang jauh ke hadapan yang begitu yakin bahawa tempat itu, disuatu hari kelak, akan dihuni oleh jutaan umat. Doa Nabi Ibrahim as yang sangat penting ini terdapat di dalam surah Ibrahim ayat 35;

Nabi Ibrahim as berdoa mohon keamanan dahulu iaitu inti doa yang terpenting diantara yang penting. Jangan hanya berdoa untuk murah rezki dan umur panjang, sebab jika sudah murah rezki dan umur panjang tetapi tidak aman, huruhara, hanya akan menambahkan siksaan kerana dengan banyak harta bertambahlah ketakutan sebab ramai orang yang dengki dan orang yang mencuri. Tolong jadikan doa Nabi Ibrahim as ini doa harian kita semua kerana doa ini adalah yang terpenting dalam hidup ini selepas beriman, kerana kemakbulan doa ini akan memberi manafaat bukan hanya kepada diri kita sahaja tetapi juga kepada anak-cucu dan umat manusia sejagat. Doa yang hampir sama juga terdapat di dalam surah Al-Baqarah.

6.0] Kemakbulan doa Nabi Ibrahim as tidak sempat dirasainya tetapi menjadi realiti di kemudian hari. Jangan kita memaksa diri atau memaksa Allah supaya mengabulkan doa kita segera supaya kita dapat merasa, contohnya seperti, "Ya Allah aku pohon Kau kabulkan segera dan beri hambaMu ini dapat menikmati kemakbulan doa ini. Tetapi jika tidak sempat, tidak usah kabulkan pun tidak mengapa". Itu tidak boleh, itu doa tamak, doa mementingkan diri sendiri sahaja.

7.0] Ada satu kisah seorang raja, kisra Parsi, bernama An-Nusirwana, penguasa yang adil dan mudah tersentuhatinya jika melihat sesuatu dan juga beliau dapat menerima nasihat daripada orang lain. Ketika sedang berjalan-jalan, beliau berjumpa seorang yang sudah tua sedang menanam pokok yang lambat berbuah. Kisra itu pun berkata, "Kenapa pakcik menanam pokok yang lambat berbuah?. Hampir mustahil untuk pakcik sempat menikmatinya, sepatutnya eloklah bertanam pokok yang segera mengeluarkan hasil seperti cili atau pisang atau jagung sahaja?. Apa jawapan orang tua yang bijak itu?. Katanya,"Wahai raja, generasi sebelum kita telah menanam pokok dan kita telah menikmati hasilnya. Salahkah jika aku menanam sekarang supaya buahnya nanti dapat pula dinikmati oleh generasi kemudian?. Ertinya jangan kita berusaha, beramal, berdakwah, berjual-beli dan sebagainya dengan harapan supaya kita dapat menikmati hasilnya sekarang dan jika tidak, timbul malas untuk berbuat demikian, ini tidak boleh, tidak boleh untuk berdoa hanya untuk diri sendiri sahaja. Itu tandanya tamak.

8.0] Doa Nabi Ibrahim as 4 ribu tahun dahulu dan baru sekarang dirasai dan menjadi nyata. Yang pertamanya ialah  mohon Allah jadikan negerinya negeri yang aman, kemudian doanya yang kedua ialah mohon rezki  kepada penduduknya iaitu rezki daripada buah-buahan. Ini doa khalilullah, dan tidak mungkin khalilullah berdoa meminta sesuatu yang remeh. Apabila seorang yang bertaraf khalil mengajarkan permohonan kepada Allah tentu tinggi nilainya dan yang terpenting untuk diminta selepas iman, iaitulah nikmat keamanan.

9.0] Nabi saw juga mengajar kita dalam hadith yang diriwayatkan oleh Hakim dalam kitab Al-Mustadrak Bis-Sohiihi, yang sanadnya memenuhi sanad Bukhari Muslim tetapi Bukhari Muslim tidak meriwayatkannya. Nombor hadithnya ialah 7,767. Daripada Talhah bin Ubaidillah daripada bapanya daripada datuknya, "Adalah Nabi saw, apabila melihat hilal(anak bulan) pada setiap awal bulan, pasti Nabi saw akan membaca doa ini;

اَللََهُمَّ اَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالأَمْنِ وَالإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالإِسْلَام , رَبِّي وَرَبُّكَ الله
Yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan dengan munculnya anak bulan yang terbit atas kami hari ini dengan keamanan dan keimanan dan keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhan kamu adalah Allah".

10.0] Al-Amnu iaitu keamanan dikaitkan dengan keimanan dan keselamatan dengan Islam. Nabi saw berkata kepada anak bulan itu (hilal), "Wahai anak bulan, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah". Oleh itu jika terdapat kucing yang sangat nakal, mencakar-cakar, berkata-katalah kepadanya seperti ini, bisik ditelinganya. Begitu juga dengan sekelian makhluk Allah yang lain seperti pokok, tanah, bukit, gunung, lautan, hujan, jin, iblis dan syaitan dan semuanya, sebab ada orang yang takut kepada makhluk-makhluk Allah tersebut. Takut kepada pokok, takut kepada gunung, takut kepada jin, iblis dan syaitan dan sebagainya. Berkata-katalah kepada makhluk Allah itu, contohnya kepada jin yang mengganggu, "Jangan kamu membisik-bisikkan kepadaku supaya aku sujud kepada kamu. Aku dan kamu adalah makhluk Allah".

11.0] Alangkah  cantik dan bermaknanya doa-doa terpuji daripada nabi-nabi, seperti daripada nabi kita Muhammad saw, disetiap pergantian bulan, akan berdoa minta keamanan, keimanan dan selamat ,supaya Islamnya dapat dijalankan dengan betul, supaya keimanannya semakin bertambah. Nabi Ibrahim as juga meminta aman, Nabi Musa as juga meminta aman. Keamanan adalah nikmat yang besar, anugerah yang agung daripada Allah. Apabila nikmat aman ini tidak ada, maka rosaklah kehidupan dan menderitalah umat, buruklah keadaan dan semua nikmat Allah akan bertukar menjadi yang sebaliknya iaitu yang sihat akan menjadi sakit, yang bahagia akan menjadi derita, yang tenang akan menjadi huruhara, nikmat tiba-tiba menjadi sebaliknya. Daripada keadaan cukup makan akan menjadi kebuluran dan ini dapat diambil contohnya dari Al-Quran, surah An-Nahl ayat 112;

Allah telah membuat perumpamaan yakni sebuah negeri yang telah diberi aman, tenang, tenteram, makmur, rukun, damai, sejahtera dan juga rezkinya datang kepada penduduknya itu dengan senang, mudah, melimpah-limpah dari segenap tempat. Langitnya pula mengeluarkan rezki, buminya mengeluarkan  rezki dan anginnya membawa keberkatan. Kalau kita ingin ketahui setakat mana kebahagiaan dan kesejahteraan kampung itu kita boleh rujuk surah Saba' ayat 18;

Allah telah menjadikan negeri mereka dan negeri-negeri atau penempatan baru yang berdekatan dengan negeri mereka, yang dahulunya hanyalah padang pasir telah membangun dengan pesatnya , sehingga kawasan yang tiada berpenghuni telah berpenghuni, dan telah pesat membangun. Apabila sudah maju, bagi orang yang ingin mengembara pun sudah boleh merancang perjalanan dan tempat untuk berhenti, boleh berjalan diwaktu siang ataupun malam dalam keadaan aman, tidak merasa takut dirompak, tidak takut kehabisan makanan, tidak takut tiada tempat bermalam. Allah telah gambarkan keadaan negeri yang aman makmur itu.

12.0] Keamanan jika tidak disyukuri, maka akan berlaku seperti yang disebut di dalam surah An-Nahlu ayat 112 di atas, dihujung ayatnya. Mereka kufur dengan nikmat Allah. Apa contoh kekufuran yang dilakukan oleh penduduk negeri itu? Mereka telah hidup dengan mewah dan kerja mereka hanya jalan-jalan makan angin sahaja. Tanah subur yang menjadi sumber terpenting ekonomi negeri mereka iaitu negeri pertanian (agaris) sudah tidak diusahakan lagi oleh generasi penerusnya. Mereka sudah malas dan tidak mahu meneruskan usaha pertanian itu kerana harta warisan daripada orang-tua mereka banyak. Akhirnya mereka hanya terus menggunakan harta-pusaka untuk jalan-jalan siang-malam, joli sana joli sini, makan angin tidak habis-habis, dengan alasan untuk pergi bercuti rehat. Apabila balik dari bercuti, penat, perlu berehat lagi. Makan angin akhirnya terlebih, sehingga masuk angin, lima hari tidak sembuh-sembuh, maka mulalah naik angin. Akhirnya mereka tidak lagi menjadi bangsa yang produktif, bukan lagi menjadi bangsa pengeluar tetapi telah menjadi bangsa pengguna . Kebun yang subur dibiarkan, pihak yang menjaga keselamatan negara sudah tidak ambil kisah lagi kerana negeri sudah aman sejahtera. Ini hidup yang khayal, kerana terlalu mewah, aman sejahtera telah menjadikan hidup mereka khayal. Ramai rakyatnya joli-katak, raya sakan, siang-malam pagi-petang, kufur nikmat dengan hanya dihabiskan waktu dengan berjalan-jalan dan sudah malas untuk mengolah hasil mahsul bumi. Jika kerjanya hanya untuk menghabiskan beras, menjadi bangsa pengguna dan tidak produktif, punya sebanyak mana pun rezki yang telah Allah kurniakan, pasti akan habis. Lalu Allah bagi mereka merasa kelaparan dan ketakutan. Allah jadikan itu sebagai pakaian mereka, maksudnya bagi setiap saat dalam setiap minitnya, setiap minit dalam jamnya, dalam setiap jam dalam harinya, dalam setiap hari dalam minggunya, setiap minggu dalam bulannya dan setiap bulan dalam tahunnya, mereka di dalam pakaian kebuluran dan ketakutan. Asalnya hidup mereka mewah, lantaran kufur nikmat, nikmat itu telah bertukar menjadi azab .

13.0] Akibat kufur nikmat, Allah menukar atau membalas dengan lawan keadaan asalnya seperti;
i) Aman menjadi takut
ii) Makmur menjadi menderita
iii) Mewah menjadi miskin
iv) Kenyang menjadi lapar
v) Damai  menjadi huruhara dan ketakutan.

Dan dengan sebab itulah jatuhnya negeri  Saba' itu, walhal ketika pemerintahaan Queen Bulqis, ima ketika Queen Bulqis masih kafir waima ketika dia sudah menjadi muslimah, pemerintahannya yang adil dan rakyatnya bekerja kuat, punya integriti yang tinggi, yang menyebabkan kehidupan mereka makmur. Tetapi selepas peninggalan ratu Bulqis rakyatnya hanya menjadi generasi pengguna dan akhirnya temui kehancuran. [Nota; Queen Bulqis nama asalnya, kemudian orang pelat menyebut menjadi Balqis. Orang Asia Tenggara ini pula suka menambah-nambah menjadi Siti Balqis. Begitu jugalah pandai memandai ditambahkan perkataan Siti kepada nama para isteri Nabi saw. Contoh yang lain, nama Zaliikha menjadi Zulaikha dan sampai ke Asia Tenggara ini ditambah menjadi Siti Zulaikha].

13.0] Negara yang rakyatnya lebih banyak sebagai pengguna dan bukan pengeluar, bersedialah menerima saat kehancuran. Sekaya manapun negara itu, akan mengalami kesempitan hidup. Ada orang yang telah meramalkan  bahawa negara yang kaya seperti negara  UAE (kekayaan hasil bumi kurniaan Allah). Bukan disebabkab mereka rajin bekerja, tetapi memang Allah kurniakan rezki dari bumi yang berupa  minyak, tetapi lama-lama pasti akan kehabisan juga. Berbeza sekali dengan saudara kita yang tinggal di Jepun yang terkenal dengan sikap suka bekerja. Walau pun negara yang susah tetapi kerana rakyatnya kuat berusaha akan bertukar mendapat nikmat, dan itu sunnatullah yang berlaku kepada setiap umat manusia di dunia.

14.0] Contoh biasa, ialah seperti sebuah rumah-tangga yang akan hancur apabila besar pasak dari tiang (hadith Melayu), maknanya, pengeluaran atau perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan. Contohnya, Pendapatan  keluarga sebanyak Rm 1,000 sebulan tetapi perbelanjaan yang dikeluarkan sebanyak Rm 1,200 setiap bulan. Apa akan jadi? Lama-lama terpaksa jual lutut. Keadaan seperti ini telah diingatkan ribuan tahun dahulu lagi, dan apabila rakyat sesuatu negara ada kecenderungan mengamalkan budaya yang pernah melanda negeri  yang asalnya aamina (aman) dan mutmainnah (tenang) dan akhirnya menjadi sebaliknya huru-hara dan kebuluran

15.0] Surah Al-Ankabut ayat 68;

Ayat ini mempunyai uslub pertanyaan, alaisa, maksudnya soalan bukankah?. Oleh itu semasa membacanya pun kena ikut intonasi yang sesuai dengan soalan. Semasa membaca ayat Al-Quran, mestilah faham, mesti gunakan intonasi berbeza yang sesuai dengan situasi ayat. Ketika Allah memberi amaran,  tidak sesuai kita membaca dengan menggunakan suara yang lemah-lembut. Begitu jugalah jika Allah memberi nasihat kepada orang mukmin, atau memberi ancaman kepada orang kafir, mesti berbeza intonasi bacaannya. Bukankah begitu kepiawaian Imam Masjidil haram seperti Imam Abdul Rahman As-Sudais dan sebagainya. Intonasi yang digunakan tidak sama, ucapan ahli neraka ketika menceritakan tentang azab neraka, cacian makian tidak akan dibaca dengan lemah lembut, tetapi tegas dan lantang, ucapan ahli syurga, tentang sifat kasih-sayang Allah, dibaca dengan lembut menusuk hati, pasti dapat dicam jenis ayat yang berbeza. Akhirnya menyentuh perasaan, tambahan pula si pembaca yang faham, dapat menangis menghayati maknanya. Jemaah yang dibelakangnya pun turut menangis. Kalaulah malaikat bertanya, kenapa menangis? Susah untuk menjawabnya, imam yang membacanya menangis lalu jemaahnya pun turut menangis. Mungkin kemukjizatan ayat Al-Quran yang dapat menyentuh-hati walaupun didengari tanpa kefahaman.

16.0] Andai kata seorang penyanyi professional menyanyi, kita juga dapat tahu lagu yang dinyanyikannya itu samada sebuah lagu sedih atau lagu happy, lagu rok atau lagu keroncong. Senikatanya juga boleh dicam. Contohnya jika ingin menyatakan, "Aku mencintai mu", yang sepatutnya dilagukan dengan lemah-lembut tetapi jika dinyanyikan sebagai lagu rok yang dilagukan dengan keras kasar, tentulah tidak sesuai, orang pun takut dan lari, harimau pun takut.

17.0] Surah Al-Ankabut ayat 68 diatas mengandungi 3 kenyataan iaitu;

i) Allah ingin memberitahu kita semua bahawa orang yang paling zalim ialah yang mengadakan kebohongan atas nama Allah.
ii) Orang yang paling zalim ialah orang yang banyak mendustakan kebenaran.
iii) Dan bagi kedua-dua orang ini, tempat yang paling layak ialah Jahannam.

18.0] Apa pandangan dan ulasan ulama-ulama tafsir;
i) Fakhruddin Ar-Razi- "Orang yang paling zalim ialah orang yang tetap tidak beriman walaupun Allah telah tunjukkan nikmatNya, bukti kekuasaanNya, bukti kemurahanNya". Zalim ditakrifkan sebagai meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya atau diletakkan di tempat yang mustahil tempatnya. Contoh, jika meletak baju di dalam peti ais kerana tesilap, kerana tidak perasan di dalam keadaan gelab, itu zalim. Tetapi jika kita sengaja  meletakkan baju kita di dalam peti-ais, itu zalim yang paling tinggi. Orang yang tidak menyembah Allah kerana jahil ia adalah orang yang zalim. tetapi orang yang menjadikan selain Allah untuk disembah iaitu benda yang tidak mungkin ada hak untuk disembah, itulah orang yang paling zalim (azlam). Allah tidak punya sekutu, maka orang yang menjadikan bagi Allah sekutu adalah zalim. Contoh, umpamanya, kalau kita kata seseorang itu ada anak, padahal dia tidak ada anak, (walaupun mungkin dia akan ada anak nanti), itu bohong, dan itu dikatakan zalim. Kalau kita kata keatas orang yang mustahil akan dapat anak bahawa dia ada anak, maka itu super bohong dan super zalim. Sebab itu orang yang menuduh Allah ada anak adalah super zalim, dan itulah maksud kalimah azlam, paling zalim kerana Allah tidak punya anak dan mustahil untuk punya anak.

ii) Ibnu Kathir- "Tidak ada seorang yang paling zalim dan akan mendapat hukuman siksaan daripada Allah melainkan mereka yang mereka-reka kebohongan atas nama Allah". Siapa orang ini? Rujuk surah Al-An'am ayat 93;


Di dalam tafsir Ibnu Kathir, ini adalah kata Ikrimah dan Qatadah berkaitan dengan Musailamah Al-Kazzab yang mendakwa diri sebagai nabi ketika Nabi Muhammad saw masih hidup lagi. [Nota; lebih hebat daripada rasul Melayu yang mendakwa nabi setelah Nabi saw wafat]. Musailamah Al-Kazzab telah mendakwa dirinya menerima wahyu walhal tidak.

اَظْلَمُ - إِفْتِرَى - اَفْتَرَاءَ - مُفْتَرٍ

كَذَّبَ - تَكْذِيْب - مُكَذِّب

Muftarin ialah orang yang mereka-reka kebohongan atas nama Allah. Contohnya mendakwa dirinya mendapat wahyu, atau mendakwa jibril datang menemuinya, atau mengaku bermimpi Allah bagi wirid yang mana bagi orang yang membacanya akan dapat menjadi tentera Imam Mahdi manakala sesiapa yang tidak membacanya tidak akan selamat dan pendek umur. Tanpa disedari dia telah menuduh Allah SWT cuai kerana sepatutnya semasa Nabi saw wafat, wahyu yang ada di Sidratul Muntaha (Lauh Mahfuz) telah habis. kenapa masih tinggal 2,3 ayat lagi? Itu pembohongan yang luar biasa (muftarin). Atau menuduh Allah punya anak atau punya bapa. Mereka pereka kebohongan dan berdosa besar.

Ketika Musailamah berkata,"Aku akan  menurunkan apa yang Allah turunkan kepada Muhammad dan aku akan sampaikan seperti Muhammad sampaikan". Ketika Musailamah berkata begitu, maka dia telah kazzaba bilhaq, dia telah mendapat gelaran mukazzib maknanya  orang yang mendustakan kebenaran. Inilah orang yang paling zalim.

19.0] Yahudi menuduh Allah bakhil. Kata Yahudi,"Yadullahi maghluulah" yang bermaksud,"Tangan Allah itu terbelenggu". Dengan alasan iaitu ketika mereka disuruh berinfaq, membayar zakat dan membantu orang-orang miskin, Tuhan Muhammad menyuruh kami yang kaya untuk membantu orang yang susah. Kalau dia kaya, dia sendiri yang boleh membantu. Kenapa dia menyuruh kami?". Mereka menuduh Allah fakir, ini namanya iftira' iaitu kebohongan yang sangat dahsyat terhadap Allah dan mukazzib pula ialah orang yang mendustakan kebenaran. Apabila Nabi saw menyampaikan Al-Quran, bukan sahaja ditolak, tetapi mereka mendakwa mereka pun boleh untuk membuat seperti itu jika mereka mahu. Orang mukazzib, atau muftarin adalah orang yang paling zalim kerana mereka mereka-reka kebohongan terhadap Allah, menuduh Allah punya sekutu, menuduh Allah tidak adil. Itu sangat berat, sebab itu jangan terlintas dihati kita bahawa Allah memperlakukan tidak adil kepada kita hanya kerana musibah yang menimpa kita, atau ketika kita merasa yang kita telah menjadi hamba Allah yang baik, tetapi Allah timpakan juga musibah, lalu kita mencari-cari dimana agaknya sebab kesilapan kerana kita merasa tiada salah-silap, perintah sudah dituruti, larangan sudah ditinggalkan, apa yang Allah minta sudah diberi, lalu kenapa Allah beri juga apa yang kita tidak sukai?. Hati-hati, walaupun ianya tidak terucap tetapi Allah Maha Mengetahui.

20.0] Bahkan termasuk berdusta kepada Allah, yakni mengharamkan apa yang Allah halalkan dan atau sebaliknya menghalalkan apa yang Allah haramkan. Sewajibnya kita akur, apabila Allah kata haram, suka atau tidak suka, kita mesti menerimanya sebagai haram, dan begitu jugalah sebaliknya. Benda yang haram itu ialah apa yang Allah haramkan di dalam kitabNya, jangan kita halalkan dan jangan pula sebaliknya. Tempat kembali orang-orang yang zalim dan paling zalim ini ialah Neraka Jahannam. "Bukankah Jahannam itu tempat kembali orang kafir?.

21.0] Rujuk surah Al-A'raf ayat 28;




Ayat ini adalah salah satu contoh iftira' terhadap Allah oleh orang-orang kafir dahulu, dan   mungkin orang kafir sekarang lebih inovatif untuk membuat iftira' terhadap Allah. Apabila mereka membuat perkara yang keji, mereka berkata, "Kami dapati bapa-bapa kami dahulu pun melakukan sedemikian dan Allah pun perintahkan kami untuk melakukannya".

22.0] Orang kafir Mekah dahulu pun mengakui adanya Allah yang ciptakan Ka'bah bahkan mereka percaya tentang Tanah Haram dan mereka tidak berperang pada bulan-bulan haram kerana Allah telah melarangnya. Mereka tawaf untuk memuliakan Ka'bah. Mereka bertepuk-tangan dan bersiul dalam keadaan tanpa busana, tanpa seurat benang dibadan mereka. Mereka tidak berpakaian dengan alasan pakaiannya telah tidak suci lagi kerana telah dipakai ketika berbuat dosa. Alasan mereka lagi, pakaian mesti suci zahir dan batin ketika bertawaf. Bertentangan dengan syariat Islam yang melarang bertawaf tanpa pakaian. Walaupun niat mereka baik tetapi cara mereka salah, dan mereka menjawab teguran ini dengan alasan, "Kami hanya mengikut apa yang datuk-nenek kami buat, lagi pula Allah yang suruh buat begini". Mereka mendakwa Allah yang menyuruhnya dan mereka lakukan sedemikian atas 2 alasan tadi iaitu;

i) Untuk meneruskan amalan datuk-nenek.
ii) Mereka kata itu suruhan Allah padahal itu kebohongan.

Itulah namanya iftira'. mereka-reka kebohongan dengan nama Allah, dan dosanya sangat besar. "Katakan Muhammad, sesungguhnya Allah tidak menyuruh mereka membuat fahsya (dosa)". "Adakah kamu akan mengatakan sesuatu terhadap Allah apa yang kamu tidak tahu?". Itu juga sebagai azlam (paling zalim), lebih-lebih lagi jika iftira' itu berkaitan dengan aqidah, tauhid, dan kemudiannya jika berkaitan dengan syariat. Tetapi jika berkaitan dengan nilai-nilai budaya, akhlak tempatan, itu tidak apa, asalkan tidak diyakini itu sebagai perintah agama. Contohnya, cara untuk membaca Al-Quran yang paling sopan, paling beradab atau paling beretika menurut Islam, adakah dengan cara duduk atau berdiri? Tidak ada dalil tentang itu, maka itu hanya fahaman tempatan yang bersifat lokal. Ramai orang Islam di luar sana yang merasa paling sopan untuk membaca Al-Quran sambil berdiri, dan ramai juga yang membaca sambil duduk. Asalkan tidak meyakini bahawa itulah yang diperintahkan oleh Agama, tidak mengapa, tetapi jika sudah meyakini itu sebagai perintah agama, itu sudah menokok-tambah.

23.0] Contoh seterusnya, bagaimana cara untuk membawa Al-Quran yang paling sopan? Samada dengan cara memeluknya didada, memikul atas bahu atau menjunjung atas kepala? Tiada dalil juga tentang itu maka terserahlah kepada keadaan tempatan masing-masing, itu namanya nilai lokal. Jangan menokok tambah, jangan kita mendakwa Islam menyuruh begitu-begini. Kita biasa fikir bahawa apa yang kita biasa buat itulah Islam dan nanti bila ada orang lain berbeza dari cara kita, kita merasa mereka salah. Kita sudah menokok-tambah, itu kesilapan kita, maksudnya dengan ceroboh kita menisbahkan apa yang kita buat itu semuanya Islamik. Kita tidak boleh dengan mudah, dengan sembrono menuduh tanpa ada ilmu, kita kena pastikan samada sesuatu itu mengikut syariat Islam, mengikut sunnah Nabi saw atau pun tidak.

24.0] Contoh, "Apakah pakaian bagi lelaki untuk melakukan solat?". Pakai kain pelikat baju Melayu, atau pakai jubah, kurta, pakai songkok atau tidak?. Menurut Islam asal menutup aurat. Jangan pula dengan memakai Baju Melayu merasa mendapat pahala lebih daripada orang sebelah yang memakai kurta. Katakan jika memakai jubah labuh, berserban besar, tetapi bahagian belakangnya koyak, bagaimana? Berpeganglah dengan syaratnya yang asal iaitu menutup aurat, lalu terserahlah kepada diri masing-masing. Orang Melayu, pakai Baju Melayu, kita tidak dapat untuk memaksa orang yang tinggal di New Delhi atau Peking untuk memakai pakaian seperti kita. Janganlah jika seorang ustaz datang berceramah dengan memakai T-Shirt (tidak berjubah) maka dianggap kurang keustatannya. Janganlah dengan memakai songkok putih, sudah merasa lebih afdhal dan lebih baik daripada memakai songkok hitam. Jangan mudah menisbahkan apa yang kita lakukan itu Islam betul, belum tentu. Islam itu mudah tetapi jangan disusah-susahkan dan jangan dimudah-mudahkan. Mewajibkan yang wajib dan yang sunat anggap sunat. Anda adalah ekstrimis jika anda mewajibkan yang sunat atau mengharamkan yang halal sebaliknya jika anda menganggap sunat perkara yang wajib, menghalalkan yang haram, itu salah besar dan berdosa. Oleh itu jadilah umat pertengahan, ummatan wasaton, lalu timbul istilah wasatiah iaitu mengatakan wajib bagi perkara yang wajib dan mengatakan sunat bagi yang sunat, yang haram katakan haram, yang makruh katakan makruh.

25.0] Apabila yang makruh atau haram  dianggap boleh dengan alasan toleransi, itu bukan wasatiah, itu salah. Tetapi jangan pula kerana semangat yang lebih akhirnya yang sunat diwajibkan, yang makruh disunatkan, itu pun tidak boleh. Begitulah fahaman Islam.

26.0] Janganlah kita jadi terbelenggu, jangan sampai rasa bingung kerana ingin mengikuti kefahaman dan kehendak jemaah kita. Yang jadi panduan ialah apa yang Islam kata, bukan yang orang Islam kata. Jangan ditokok tambah, jangan sampai ekstrim, yang namanya tafri', ifra'. Kita kena wasatiah dan mencari yang sepatutnya. Nilai penempatan jangan dicampur-adukkan dengan nilai agama. Muslim Malaysia dengan Muslim Morocco lain, dan itulah yang Allah telah tetapkan. Contohnya yang mesti sama dari segi pemakaian ialah mesti menutup aurat. Anda boleh pakai semua fesyen, pakai baju cekak musang atau baju cekak kucing, tiada hal. Begitu juga dengan Al-Quran, yang disyariatkan ialah supaya membacanya dengan betul, dan kemudian mengamalkannya. Itu yang tidak boleh berbeza. Tentang cara membawa Al-Quran dengan cara yang dianggap sopan, samada dengan mendakap kedada, mengepit, memikul atau menjunjung, semua cara boleh, itu nilai yang boleh berubah-ubah, bersifat relatif, asal jangan dipijak. Lainlah jika yang telah ditetapkan, mesti semua seragam. Mus ah Islam itu ketara. Oleh itu kita kenalah belajar supaya tahu. Moga bermanafaat dan diberkati.






Tuesday, April 4, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 65,66, 67) - Kuliah 67- Tanaaqudhun-nafas, Kufur Nikmat, Tanazuk, Tamattuk,Kaitan Al-Iman dan Al-Aman, Al-Amanah, Al-Khauf., Qudwah

1.0] Maka Allah berfirman di dalam Al-Quran yang mulia; "Tidakkah mereka mentadabbur akan Al-Quran atau hati mereka ada penutup?". Allah telah mengutarakan soalan tersebut kerana jika benar telah mentadabbur Al-Quran dan masih juga tidak dapat menerima kebenarannya, pastilah hati-hati itu ada penutup.

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 65;




Kesimpulan daripada ayat 65 ini bahawasanya penghalang utama atau sesuatu yang menghalangi seseorang daripada mengEsakan Allah dalam ertikata yang sebenarnya ialah Hubbud-Dunya, Al-Hayatud-Dunya. Sebab itulah apabila seseorang telah berada di dalam keadaan dimana mereka sudah putus harapannya terhadap Al-Hayatud-Dunya, maka saat itu mereka pasti akan kembali kepada Fitrah Robbaniyyahnya yakni Tauhid. Mereka akan pasti mengEsakan Allah dengan sebenar-benarnya dan mengikhlashkan hati dengan sebear-benarnya oleh sebab telah putus harapan kepada selain Allah dan oleh sebab Syiddatul Iftiqar Ilallah iaitu kuatnya harapan kepada Allah semata-mata. Sebaliknya bagi seseorang yang semakin kuat bergantung kepada Al-Hayatud-Dunya, maka semakin susah bagi dirinya mengEsakan dan mengikhlashkan diri dalam ubudiyah kepada Allah SWT. Di situlah kuncinya iaitu apabila ubudiah kepada Allah tidak ada, buktinya ialah apabila Allah telah selamatkan mereka daripada bencana yang mereka alami, iaitu apabila saat-saat kritikal telah berlalu, atau apabila apa yang mereka inginkan telah tercapai, Iftiqarnya (harapannya) kepada Allah sudah menurun. Izharud-Du'fi (menzahirkan kelemahan diri) sudah tidak ada malahan sebaliknya Izharul-Quwwah (menzahirkan kekuatan)nya pula yang menyerlah. Kebergantungannya kepada dunia semakin bertambah seperti semula.

3.0] Apa yang berlaku?. Apabila Allah selamatkan mereka ke daratan, tiba-tiba mereka menjadi syirik kembali. Di situ digunakan kalimat iza yang menunjukkan kalimat hujaiyah. Ertinya iza, harfun hujaiyah yang bermaksud kejadian yang tiba-tiba. Mereka bersegera untuk syirik semula tanpa menunggu lama, setelah mereka mendapatkan apa yang mereka inginkan iaitu selamat, selamat dan lepas dari musibah. Inilah satu contoh yang dipanggil Tanaaqudhun-Nafas.

4.0] Jiwa yang tanaaqudhun-nafs ialah jiwa seseorang yang ketika dalam keadaan kritikal, adalah sangat ikhlash berdoa kepada Allah dan tidak percaya kepada yang lain lagi, tetapi setelah terlepas dari musibah terus berpaling hatinya menjadi syirik semula. Hati yang tidak ada istiqomqh, hati yang tidak teguh, hati yang mudah pecah. Sewaktu dalam keadaan kritikal menjadi muslim, mukmin 100% tetapi apabila telah senang sedikit dan terlepas dari musibah, dengan drastik hatinya terus berpaling dan menjadi musyrik, kafir 101%.

5.0] Keimanan, ketauhidan dan keislaman orang yang seperti itu sebenarnya tidak diterima oleh Allah. Al-Quran sudah menceritakan tentang manusia yang seperti itu yang akan kembali kepada sifat aslinya iaitu kufurnya dan bukan mukminnya, syiriknya dan bukan muwahidnya. Imannya yang sementara hanya hiasan kerana terpaksa dan terdesak. Walaupun Allah kata mereka adalah mukhlishinalahuddin pada saat itu tetapi hanya ikhlash sesaat atau dua saat sahaja pada puncak saat kritikal itu dan keimanan mereka seperti itu tidak diterima Allah. Akhirnya apa yang berlaku? Ikuti ayat yang seterusnya iaitu surah Al-Ankabut ayat 66;


Kalimah kufur dalam ayat ini bukannya bermaksud syirik pada aqidah, tetapi sebagai kufur nikmat kerana ada qorinah selepasnya iaitu kalimah bimaa aatainaahum, "Mereka kufur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka". Kufur ada banyak jenis, dan didalam ayat ini ialah mereka kufur nikmat yang menjadikan mereka syirik kepada Allah SWT. Satu daripadanya ialah apabila dia menyandarkan diri kepada pemberian dan bukan kepada yang memberinya. Itulah syirik. Bagaimana mungkin seseorang itu merasa selamat, merasa aman, merasa tidak akan berlaku apa-apa, hanya kerana ia telah memiliki segala-galanya atau telah mendapat apa yang dikehendakinya yang Allah telah berikan. Sepatutnya dia bersandar hidup kepada yang memberi, 'alal Mu'ti bukan 'alal 'ato'. Apabila itu berlaku, itulah kufur nikmat yang menjadikannya musyrik. 

6.0] Contohnya seperti yang terdapat di dalam surah Al-Kahfi dari ayat 32 sehingga 36, cerita tentang Ashabul-Jannah. Allah buat perumpamaan tentang 2 orang lelaki yang mana di dalam sesetengah tafsir mengatakan mereka adalah adik-beradik yang mendapat harta-pusaka warisan daripada orang-tua mereka. Yang seorang kafir, memperkembangkan harta pusakanya dan akhirnya menjadi kaya-raya dan yang seorang lagi, yang beriman, mengambil seadanya dan yang selebihnya diinfaq kejalan Allah sehingga hidupnya sangat sederhana susah. Kebun-kebun sikafir telah menghasilkan buah yang melimpah sehingga dia kaya-raya dan sudah mula menunjukkan kesombongannya dan keangkuhannya ketika bercakap dengan saudaranya itu, seolah-olah ia menggantungkan hidupnya kepada harta dan pengikutnya. Seterusnya dia semakin angkuh, dengan sikap merugikan dirinya sendiri dengan mengatakan bahawa kebunnya tidak binasa selama-lamanya. Sehingga dia sampai ke peringkat merasa kiamat tidak akan datang kerana merasakan dirinya di dunia ini pun sudah mendapat syurga dengan kebun-kebun dan sungai yang mengalir, dan kehidupan senang-lenang, dan jika sekiranya dia dikembalikan kepada Allah pun, pasti dia akan mendapat tempat yang lebih baik daripada saudaranya itu yang hidup dalam kemiskinan. Dia merasa bahawa Tuhan lebih menyayanginya daripada saudaranya itu kerana telah mengurniakan segala kemewahan hidupnya di dunia. Dia sudah musyrik kerana dia bergantung kepada pemberian dan tidak kepada si pemberi iaitu Allah. 

7.0] Hati-hati! kerana syirik tidak semestinya dengan menyembah patung atau berhala, atau dengan mencucuk pipi dan tubuh-badan (kavadi) di pesta Thaipusm semata, tetapi syirik juga boleh terjadi jika seseorang yang diberi kekayaan yang lebih, harta yang melimpah, atau diberi nikmat yang banyak kemudian orang itu mula bergantung hidupnya kepada segala pemberian itu. Allah Maha Tahu apa yang ada di dalam hati kita. Macam-mana kita melihat pemberian tadi?. Masihkah kita merasakan itu sebagai pemberian yang menjadi ujian kepada kita atau sudah merasa bahawa itulah yang menentukan senang, bahagia dan sihatnya kita, sehingga melupai akan Pemberinya?.

8.0] Bagaimana jika seseorang itu lebih mencintai hadiah daripada orang yang memberi hadiah? Bagaimana jika ada orang yang memberikan hadiah yang sememangnya kita sangat inginkan, memang mahal dan selama ini kita memang harap-harapkan dan orang yang memberi hadiah itu berada dihadapan kita, menanya dan menegur kita, tetapi kita tidak melayannya kerana kita telah terlalu cintakan hadiah dan tidak mencintai pemberi hadiah itu. Itulah orang yang paling jahat. Jangan sampai mencintai hadiah pemberian daripada Allah melebihi daripada pemberinya iaitu Allah SWT. Apabila itu berlaku, bermakna seseorang itu sudah kufur, kufur nikmat. Tetapi realitinya ramai orang yang seperti itu.

9.0] Melihat perbezaan penggunaan kalimah ata dengan ja aa di dalam ayat;
Kalimah ata bermaksud datang dengan mudah manakala ja aa bermaksud datang dengan susah-payah. Kalau dikaitkan dengan Allah, pasti digunakan kalimah ata, ata amrullah, telah datang urusan atau perintah Allah, kerana urusan Allah datang dengan sangat mudah, hanya dengan kalimah kun fa ya kun maka boleh terjadi. Berbeza dengan kalimah ja aa seperti yang digunakan di dalam surah An-Nasr ayat 1;

Apabila telah datang (iza jaa a) pertolongan Allah dan kemenangan (dengan pembukaan Kota Mekah). Kenapa digunakan jaa a dan bukan ata? Ini adalah kerana untuk mendapatkan pertolongan Allah dan membebaskan Kota Mekah perlu keringat, darah, kesabaran, susah, payah, perjuangan para mujahid Islam. Mendapat pertolongan Allah setelah bersusah-payah, sebab itu digunakan kalimah jaa a dan bukan ata.

10.0] Kalimah ata-yu'ti, pula bermakna memberi atau datang dengan mudah dan pemberian itu pemberian yang besar. Untuk kefahaman yang lebih, perhatikan ayat di dalam surah Aa-Li-Imran ayat 26 yang telah menjadi wirid harian kita;


Katakanlah (Muhammad), "Wahai Tuhan Pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada sesiapa pun yang Engkau kehendaki, dan engkau menarik kekuasaan daripada sesiapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau memuliakan sesiapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau menghinakan sesiapa pun yang Engkau kehendaki. Ditangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu".


Di dalam ayat di atas terdapat 4 fi'il (perbuatan) yang dikaitkan dengan Allah iaitu;
i) Tu'ti- iaitu memberi, dan lawannya takkhuzu mengambil
ii) Tanzi u- iaitu mencabut, meregut dengan keras 
iii) Tu'izzu- iaitu memuliakan lawannya tuzillu
iv) Tuzillu- iaitu menghinakan lawannya tu'izzu

11.0] Allah memberi kekuasaan dengan mudah sungguh jika Allah kehendaki, tetapi ramai manusia kufur. Segala pemberian yang Allah berikan kepada kita hanyalah sebagai amanah. Ia tetap milik Allah. Apa sahaja yang Allah berikan kepada  kita, pemiliknya ialah tetap Allah SWT dan tidak pernah berpindah milik kepada kita, haq kepunyaan Allah, Maalikul Mulk. Malangnya manusia tidak sedar bahawa pemiliknya tetap Allah, lalu disimpannya, diikatnya kuat-kuat dengan hatinya, dirantainya dan dikuncinya benda yang dimilikinya. Apabila tiba masanya Allah hendak mengambil-balik apa yang menjadi miliknya dari orang itu, maka pasti susah dan menyakitkan bagi orang itu sebab dia telah mengikat, merantai dan mengunci benda itu dihatinya. Lalu Allah SWT pun mengambilnya dengan keras, bukan takkhuzu (mengambil) tetapi tanazi'u (merentap dengan keras) dan tentunya sangat menyakitkan. Oleh itu jika kita tidak ingin Allah meregut dengan keras segala yang Allah pinjamkan kepada kita, maka janganlah diikat, dirantai, dikunci dengan hati kita tetapi biarlah mudah diambil dan bersedia bila-bila masa untuk diambil. Rentapan itu dinamakan tanzi'u iaitu nazak. Nazak bukan hanya ketika ruh direntap supaya berpisah daripada tubuh-badan sahaja, tetapi juga ketika apa yang ada di dalam diri kita dipaksa berpisah atau keluar, seperti harta-benda, jawatan, kelebihan, umur dan sebagainya. Sakitnya luarbiasa, dan bukan salah yang mengambil tetapi salah diri sendiri. Jika  tidak bersedia untuk mengembalikan segalanya kepada Allah, kufur lagi, masa diberi kufur, masa  menyerahkan balik pun kufur. Na'uzubillah.

12.0] Kembali kepada surah Al-Ankabut ayat 66 di atas, yang mana terdapat kalimah tamattuk yang bermakna bersenang-senang. 

مَتَاعُ - تَمَتُّعُ - مُتْعَة - مِتْعَة -َالْإنْتِفَاعُ اَلقَصِيْرُزَمَنُهُ

تَمَتُّعُ - bersenang-senang

مُتْعَة - contohnya seperti kahwin kontrak

مِتْعَة - pemberian bekas suami kepada bekas isteri. Suami yang menceraikan isteri diwajibkan memberi sejumlah kekayaan kepada isterinya mengikut kadar kemampuannya. Tidak perlu pergi ke mahkamah, dan diberikan dengan rasa senang bukan dengan rasa terpaksa.

الْإنْتِفَاعُ اَلقَصِيْرُزَمَنُهُ - mengambil nikmat dalam sekejap masa.

Maksud tamattuk ialah menikmati sesuatu yang hanya sekejap seperti Al-Hayatud-Dunya yang merupakan nikmat sementara. Semua pemberian Allah boleh kita ambil, nikmatinya dan kita dapat kenikmatannya tetapi sekejap sahaja. Contohnya dengan dapat memakai pakaian baharu, tentu seronok, dapat berpindah ke rumah baharu, juga seronok dan sebagainya, tetapi perasaan itu tidak selamanya, hanya sekejap dan sementara. Allah kata bahawa mereka boleh menikmati pemberian Allah itu tetapi sekejap dan amaran dihujung ayatnya amat keras, fasaufa ta'lamun - kelak mereka mengetahuiSemua kalimah huruf sin dan saufa adalah huruf istiqbal dan di dalam Al-Quran, iaitu dalam kontak ancaman samada secara langsung atau tidak, ancaman yang keras dan tegas, apa lagi jika saufa dirangkai dengan kalimah 'alima ta'malun atau ya'lamun.
سَوْفَ تَعْمَلُوْن - سَوْفَ تَعْلَمُوْن - 
Ini menunjukkan suatu ancaman yang keras.

13.0] Kalau begitu menjadikan Hayatud-Dunya (kehidupan dunia) sebagai tamattuk (bersenang-senang) adalah perbuatan yang sangat tercela dan diberi ancaman yang keras. Sesiapa yang menjadikan semua pemberian Allah hanya untuk tamattuk (bersenang-senang) diberi amaran dan ancaman yang sangat keras namanya Tahdid-wal-Wa'id, peringatan yang sangat keras. Inilah yang dikatakan seorang musyrik yang jiwanya Tanaqudh-Nafas, yang terbukti ketika mereka dalam keadaan bersangatan berharap kepada Allah, mereka ingat dan kembali kepada Allah dan ketika terlepas dari saat kritikal, mereka segera berpaling dari Allah, dan mereka tamattuk (bersenang-senang) terhadap Al-Hayatud-Dunya (kehidupan dunia). Na'uzubillah.

14.0] Surah Al-Ankabut ayat 67;

Negeri mereka itu maknanya ialah Negeri Mekah. Kalimah yutakhottof ialah kalimah mubalaghoh yang bermaksud dicolek atau disambar dengan pantas. Ayat ini juga disebut sebagai peringatan khusus bagi penduduk Mekah. Kenapa penduduk Mekah diberi peringatan khusus berbanding penduduk Musyrik lain?. Alasannya ialah kerana orang kafir Mekah menjadi teladan, sebagai Qudwah, tanda aras bagi kabilah-kabilah yang berada disekeliling Mekah yang sentiasa menunggu dan melihat (wait and see) apa yang akan berlaku kepada penduduk Mekah nanti. Sebab itu apabila penduduk Mekah memeluk Islam semasa Fathul Mekah, kabilah-kabilah yang berada disekeliling Mekah pun beramai-ramai memeluk Islam, itulah Qudwah.

15.0] Surah Al-Ankabut ayat 67 ini sama dari segi sababun-nuzulnya dengan surah Al-Qasas ayat 57;

Kalimah khotofa- takhottofa

خَطَفَ - تَخَطّفَ -اِنْتِزَاعُ شَىْءٍبِسُرْعَةٍ

خَطَفَ - memetik bunga

تَخَطّفَ - mubalaghoh untuk menyambar, mengambil, memetik , mencolek - dengan pantas

اِنْتِزَاعُ شَىْءٍبِسُرْعَةٍ - menarik, merentap, mencabut sesuatu dengan pantas, contohnya seperti petir yang menyambar dengan pantas.

Mereka (orang kafir Mekah) kata,"Jika kami mengambil agama kamu Muhammad, kami akan dicolek orang dan dibuang negeri, kami takut". Lalu Allah jawab, "Bukankah Kami tempatkan mereka di tempat yang suci dan aman yang dipilihkan".

16.0] Di dalam hadith daripada Ibnu Abbas r.anhu, dalam tafsir beliau, bahawasanya Al-Harith bin Uthman bin Naufal bin Abdul Manaf (walaupun namanya seperti orang Islam tetapi beliau seorang kafir), bersama kawannya telah datang menemui Nabi saw. Setelah berjumpa Nabi saw, Harith berkata,"Kami semuanya tahu dan yakin bahawa apa yang kamu cakap adalah benar belaka sebab kamu tidak pernah berbohong, tetapi kami takut jika kami terima ajaran kamu dan beriman dengan ajaran kamu, nanti kami akan dicolek dan dibuang negeri dan kami tidak ada kekuatan untuk melawan mereka kerana kami orang lemah dan tidak lebih dari aklatur-raksi". [Nota; Aklatur-Raksi ialah bahasa kinayah (kiasan) yang menunjukkan sedikit. Contohnya seperti makan untuk alas perut bukan makan untuk kenyang tetapi sekadar untuk tidak lapar].

17.0] Lalu Allah turunkan ayat 67 ini, iaitu jaminan daripada Allah bahawa Allah tempatkan mereka di tanah haraman aaminan ( suci dan aman), sementara orang-orang yang tinggal di sekeliling Mekah tidak aman dan sentiasa dicolek. Pengajaran lain dari ayat itu ialah Allah sedang memperingatkan orang kafir Mekah itu tentang nikmat keamanan yang besar yang dengan nikmat itu sepatutnya mereka sudah menjadi orang mukmin. Rujuk surah Quraisy ayat 1 hingga 4 yang bermaksud;

"Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. Iaitu kebiasaan mereka berpergian pada musim sejuk dan musim panas. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan (pemilik) rumah ini (Kaabah). Yang memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan memelihara mereka daripada ketakutan".

Peringatan yang keras dari ayat diatas ialah jangan menyembah Kaabah kerana itu syirik tetapi sembahlah Tuhan yang empunya Kaabah. Lalu Allah sebutkan nikmat-nikmat itu yang dengan sebab itu mereka tiada lagi alasan untuk tidak menyembah Allah, yakni Tuhan yang memberi makan atau membebaskan mereka daripada kelaparan dan mereka diberi aman, bebas daripada rasa takut, iaitu nikmat keamanan.

18.0] Nikmat keamanan ialah nikmat yang sangat-sangat besar. Dengan nikmat keamanan itu pun hendaklah seseorang menjadi orang mukmin yang baik kerana dengan adanya nikmat keamanan kita semua dapat bekerja, dapat pergi ke masjid untuk bersolat walaupun di waktu subuh, berjalan seorangan. Dapat mengadakan kenduri-kendara, dapat berniaga, dapat menyimpan duit, dapat keluar membeli-belah dan dapat melakukan segala aktiviti dengan selesa dan aman.

19.0] Coba bayangkan jika tidak aman, untuk keluar membeli makanan pun kita takut, jadi kena masak sendiri, untuk dapatkan beras pula kena tanam sendiri, untuk bertanam pula perlu ada cangkul, cangkul pula kena dibuat dahulu, kalau begitu bila baru boleh masak nasi?. Atau pun contoh lain, untuk membeli nasi lemak pun jadi takut, takut dibubuh racun, jika hidup dalam keadaan tidak aman , ramai orang dengki-mendengki dan berbagai lagi kesusahan dan kesempitan hidup akibat tidak aman. Sesungguhnya sebesar-besar nikmat Allah kepada hambaNya selepas nikmat iman ialah nikmat aman(nikmatul amni). Kalimah Al-Amnu yakni rootwordnya ( ا, م, ن ) sama dengan Al-Iman dan sama juga dengan Al-Amanah, sebab itu antara iman dan aman itu mutaroobitooni iaitu saling berkaitan.

20.0] Maksudnya apabila suatu negeri itu Allah sudah beri keamanan, sepatutnya semua rakyatnya sudah beriman atau sudah ramai orang yang beriman atau jika sudah ramai yang beriman maka negeri itu sepatutnya aman. Ertinya jika negara itu tidak aman, walaupun nampak zahirnya ramai rakyatnya yang mengaku beriman, maka perlulah dipertanya keimanan mereka. 

21.0] Kaitan iman dengan rasa aman dijelaskan di dalam surah Al-An'am ayat 82;


Mukmin yang sebenar, yang tiada bersyirik walaupun sedikit, tidak seperti yang mengaku beriman tetapi menyembah Ad-Dunya, ima syirik uluhiyah atau syirik Rububiyah, atau syirik dalam sifat dan asma' atau syirik dalam ibadah, orang yang beriman sepenuhnya baginya amnu (rasa aman). Susunan kalimah lahum diletak di hadapan amnu, lahum Al-Amnu. Ini menunjukkan taksis, khusus dimana di dalam susunan Bahasa Arab apabila predikat di dahulukan dan subjek dikemudiankan ia membawa makna taksis atau khusus. Kalau mengikut susunan biasa ialah Al-Amnu lahum. Ertinya apa? Orang-orang itulah (dan bukan orang lain) berhaq atas mereka memiliki Al-Amnu (rasa aman) dan mereka orang yang mendapat petunjuk.

22.0] Al-Iman- iman dan Al-Amnu- aman adalah nikmat yang sangat berharga. Keduanya saling berkaitan, mutaroobitoon. Ertinya apabila orang itu betul-betul beriman, tidak bercampur syirik, pasti Allah akan bagi Al-Amnu (rasa aman) kepadanya. Sebaliknya apabila Allah bagi keamanan secara percuma kepada seseorang atau sesebuah negeri itu, contohnya seperti di dalam surah Al-Ankabut ayat 67 di atas, yang sedang kita pelajari ini, orang Mekah pada masa itu yang negerinya telah Allah jadikan suci dan aman, sepatutnya semua penduduknya telah beriman kepada Allah tetapi tidak juga berlaku demikian. Untuk panduan kita sekarang ini jika negara kita ini belum dirasai keamanan yang sempurna, masih ada rasa takut, takut orang tipu, takut orang colek, takut orang rompak, merasa tiada jaminan dan tiada kepastian keselamatan dan sebagainya maka perlu dinilai semulalah samada keimanan semua rakyat dan pemimpinnya adakah telah betul-betul memenuhi syarat untuk membolehkan negara kita berhaq mendapat  Al-Amnu yang dijanjikan oleh Allah. Al-Amnu (rasa aman) adalah lawan kepada Al-Khauf (rasa takut). 

23.0] Sebesar-besar nikmat Allah kepada hambaNya, selepas nikmat iman ialah nikmat aman. Nikmat-nikmat lain yang Allah beri kepada hambaNya yang soleh sebagai ganjaran semasa di akhirat nanti ialah seperti nikmat disediakan pelamin yang bertatah emas permata, baju dari sutera hijau tebal dan nipis, berbagai jenis buahan, bidadari dan sebagainya, tetapi nikmat yang paling sering disebut di dalam Al-Quran seperti di dalam surah Al-Baqarah ayat 62, ialah ganjaran "wala khaufun 'alaihim walaa hum yahzanun" yang bermaksud," dan tidak ada rasa takut  keatas mereka  dan tidaklah pula mereka bersedih hati". Maknanya mereka dibebaskan dari rasa takut, dan yang ada hanya rasa aman seperti kalimah yang terdapat di dalam surah Quraisy bahagian terakhir, wa aa manahum min khauf. Tidak ada rasa takut dan tidak ada rasa sedih bagi orang yang beriman sempurna. 

24.0] Rasa aman itu yakni merasa tenteramnya hati, tenangnya jiwa, rehatnya rohani. Duduk tenang, bangun pun tenang. Contohnya jika rumahnya terlupa dikunci pun masih dapat merasa aman, masih dapat tidur dengan nyenyak atau jika keretanya lupa untuk  dimatikan enjin pun, apabila bangun dipagi hari baru tersedar tentang itu tetapi kereta masih ada dan tidak dicuri orang, cuma kehabisan minyak, keadaan aman, hidup tenteram.

25.0] Cuba kita baca kisah sahabat, iaitu pada zaman pemerintahan Umar yang sibuk. Gelaran Amirul mukminin hanya bermula dizaman Umar. Pada masa Abu Bakar tiada gelaran itu tetapi gelaran Abu Bakar ialah khalifatur- Rasulillah (pengganti Rasulillah). Umar naik tahta, jadi gelarannya pula ialah sepatutnya sebagai khalifatul-khalifatur-Rasulillah (pengganti-pengganti Rasulillah), tetapi Umar mendapat gelaran Amirul Mukminin, bukan dia sendiri yang memberi gelaran itu dan bukan juga dari ahli Parlimen tetapi ada orang Islam Mesir yang datang ke Madinah, kemudian memanggil Umar, "Ya Amirul Mukminin!". Terkejut Umar, lalu menjawab,"Na'am, ana amir wa antum mukminun".Bukan diresmi secara formal, bermula dari situlah gelaran itu untuk Umar.Tetapi kita yang tidak baca sejarah, lalu kepada Abu Bakar pun kita gelar Amirul Mukminun. Tidak berdosa tetapi naif sangat.

26.0] Umar ini sangat hebat, walaupun ramai sahabat yang menyukaianya tetapi ada juga yang tidak menyukainya, buktinya matinya pun dibunuh orang. Suatu ketika Umar turun-bawah (turba) melakukan lawatan kerja, beranjang disana, sangat letih kepenatan, lalu ingin berehat dengan niat berehat sekejap dibawah pohon rendang, tetapi telah tertidur disitu, seorang ketua Negeri, tertidur ditepi jalan, tanpa ada rasa takut atau tidak selesa, yang mana itu menunjukkan tingginya keadaan aman pada masa itu.

27.0] Kalaulah kita yang terlupa untuk mematikan enjin kereta semalaman dan apabila paginya mendapati kereta kita masih ada, cuma kehabisan minyaknya, maka bersyukurlah kepada Allah, bukan sebab kereta tidak dicuri orang tetapi kerana Allah telah kurniakan keamanan kepada kita dan kawasan sekeliling kita. Tambahan lagi apabila mendengar disana-sini ada kecurian, ada rompakan, ada orang meragut dan sebagainya, bahkan ceritanya ditambah-tambah, namun kita masih dapat merasa aman, bersyukurlah banyak-banyak kepada Allah. Ada juga cerita iaitu apabila seseorang itu mendapat SMS dari seseorang, kemudian dia dipukau sehingga semua hartanya diserahkan kepada orang asing itu. Akhirnya bomoh jadi laku kerana orang mendapatkannya supaya didinding diri mereka. Syirik lagi, Na'uzubillah.

28.0] Tanpa ada keamanan kita tidak boleh berbuat apa-apa, oleh itu setiap orang mukmin wajib menjadi ejen keamanan, paling tidak kalau tidak mampu untuk mencipta keamanan, janganlah menimbulkan ketidak-amanan. Itu bahasa orang solafussoleh yang berkata, "Kalaulah anda belum mampu mengakui kebaikan orang lain, janganlah mencari-cari kesalahan orang lain itu". Itu minimanya. Atau mungkin, "Kalaulah anda belum mampu memaafkan kesalahan orang, janganlah mengungkit-ungkitnya lagi".

29.0] Jika kita menjadi mangsa umpatan atau korekan memburukkan kita, bersyukurlah, kerana itu bukti kita adalah lebih baik daripada dia sebab itu dia berusaha untuk memburuk-burukkan kita. Kalau ada orang yang ingin menjatuhkan kita, bersyukurlah, itu sebagai bukti yang kita berada di atas daripadanya. Kalau ada orang yang menghalang-halang kita, itu tandanya kita telah berada dihadapannya. Nanti jika kita sudah dapat berfikir sedemikian, kita akan tersenyum sahaja, menghadapi segala macam angkara manusia.  Kalau orang berbuat jahat kepada kita, jangan kita balas berbuat jahat juga kepada mereka. Kata Dr. Hamka, "Kalau kamu hendak berbuat jahat seperti mereka, tidak perlu belajar tinggi-tinggi, tidak perlu masuk Universiti. Kalau kamu buat jahat hanya kerana ikut orang buat jahat, tidak perlu belajar tinggi kerana orang yang tidak tahu ABC pun boleh buat jahat, memang ada bakat jahat itu". Itu cara orang dulu-dulu menasihati pelajar-pelajar kerana belajar itu tujuannya supaya kita tetap mampu berbuat baik ditengah-tengah orang yang berbuat jahat. Untuk buat jahat ditengah orang yang  buat jahat, tidak perlu kepada belajar tinggi.

30.0] Rasulullah saw bersabda di dalam hadith yang dianggap hasan, oleh Imam An-Nasa'ei dalam sunan Ibnu Majah daripada Ubaid Al-An bin Al-Ansori, baginda bersabda, "Sesiapa sahaja diantara kamu yang berpagi-pagi telah merasa selamat, tenang hatinya, kerana ada air yang hendak diminumnya, merasa sihat tubuh-badannya dan masih ada simpanan untuk dimakan  hari itu maka seolah-olah orang itu telah diberikan  Allah dunia dan isinya". Lalu kenapa mesti susah?. Apabila kita bangun dipagi hari, ada minuman, tentu seronok. Merasa sihat tubuh-badan, tangan masih boleh digerakkan, lutut masih boleh dibengkokkan, mata masih boleh melihat, telinga masih boleh mendengar, lidah masih boleh membezakan manis masin. Makan minum ada dan ada pula simpanan cukup untuk kegunaan sehingga ke malam, badan masih kuat, maka kita wajib bersyukur, kita wajib sujud atas rasa aman kurniaan Allah itu. Merasa aman tidak takut, tidak khuatir tidak mampu berjalan kerana lutut masih boleh digerakkan, Tidak takut duduk sebab nanti masih boleh bangun berdiri, tidak takut berdiri sebab nanti boleh duduk. Kalau orang yang sudah takut untuk duduk sebab nanti tidak boleh bangun atau orang yang takut berdiri sebab nanti tidak boleh duduk, tiada lagi rasa aaminan, tiada lagi rasa aman. Sebenarnya hidup ini sangat sederhana kalau kita fahami hadith Nabi saw di atas, dan dengan itu pun sudah mudah rasa syukur dan rasa kaya. Tetapi biasanya manusia ini banyak komplain. Apabila ada air, dikomplain kenapa sedikit ? dan komplain yang lain dan yang lain lagi dalam hidup ini.

31.0] Sekali lagi ditekankan bahawa nikmat aman adalah satu nikmat besar selepas nikmat iman. Nikmat aman wajib kita syukuri, bangun sahaja daripada tidur dan dapat merasa aman dalam berbagai perkara, kita sudah wajib syukuri. Aman tidak semestinya hanya dari keadaan masyarakat sahaja, tetapi merangkumi segala sesuatu aspek kehidupan kita. Contohnya jika hendak makan pun perlu rasa aman, rasa selamat, sebab sekarang ini ada orang yang sudah sampai ke peringkat untuk makan-minum pun jadi takut-takut, merasa tidak selamat, dan akhirnya hanya makan salad dan minum air kosong kerana rasa aman dalam hal makan-minum telah Allah tarik. Oleh itu semasa belum ditarik semua kurniaan Allah itu, kita wajib bersyukur dan Allah telah berjanji bahawa apabila hambaNya bersyukur akan ditambahkan rezqinya. Tidak perlu kita bersusah payah, Allah sendiri yang akan menambahkan rezqiNya kepada kita.  Mungkin bagi yang Allah telah tarik daripada kita itu sebab kita dahulu belum mensyukurinya sebagaimana yang sepatutnya dan  kita juga hendaklah merasa bersalah dan memohon kemaafan daripada Allah. Orang yang merasa bersalah dihadapan Allah itu wajib. Orang yang tidak merasa bersalah dihadapan Allah, tidak boleh, itu durhaka. Kita tidak boleh pertikaikan apa yang telah Allah berikan kepada kita, contohnya, "Ya Allah, apa salahnya hamba mu ini? Kenapa jadi begini?.Atau; "Ya Allah, sepatutnya Engkau merasa bertuah punya hamba seperti aku. Kalau Nabi saw masih hidup pun, pasti dia seronok punya umat seperti ku". Kita tidak boleh berkata-kata seperti itu, malahan kita disarankan supaya sentiasa mengaku berdosa, sentiasa mengaku bersalah, dan bukan bertanya apa dan dimana salah kita. "Hati kena betul, hati mahu baik Maa". In syaa Allah akan disambung lagi tentang Al-Amnu dikuliah hadapan. Baarokallah. moga bermanafaat.








Tuesday, March 28, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 65, 66) - Kuliah 66 - Fitrah Robbaniyyah, Jasad, Ruh, Nafsu, Hubbusy-Syahawat, Mukhlishin, Tauhiidullah,'I'jaz Nafsi,

   1.0] Surah Al-Ankabut ayat 65 dan 66;


Kedua-dua ayat di atas adalah sama tajuknya dengan surah Luqman ayat 32 dan surah Yunus ayat 22 dan 23;

Ketika kamu berada di dalam kapal dan meluncurlah (kapal) itu membawa mereka (orang-orang yang ada di dalamnya) dengan tiupan angin yang baik dan mereka bergembira kerananya, tiba-tiba datanglah badai dan gelombang menimpanya daripada seluruh penjuru, dan mereka mengira telah terkepung  (bahaya), maka mereka berdoa dengan tulus ikhlas kepada Allah semata-mata (seraya berkata), "Sekiranya Engkau menyelamatkan kami daripada (bahaya) ini, pasti kami termasuk orang-orang yang bersyukur".





Tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka, malah mereka membuat kezaliman di bumi tanpa (alasan) yang benar. "Wahai manusia! Sesungguhnya kezalimanmu bahayanya akan menimpa dirimu sendiri; itu hanya kenikmatan hidup dunia, kemudian kepada Kami-lah kamu akan dikembalikan, 
kelak akan Kami khabarkan kepadamu apa yang telah kamu lakukan".




2.0] Kesemua ayat di atas menceritakan tajuk yang sama yakni ketika seseorang di dalam keadaan kritikal, tidak kira siapa pun dia, samada mukminkah atau kafirkah, percaya kepada Allah Yang Esa atau percaya kepada tuhan yang lebih dari satu, bahkan termasuk kepada mereka yang percaya tiada tuhan sekali pun, apabila mereka berada di dalam keadaan dan suasana kritikal seperti itu, ketika merasa tidak berdaya, apatah lagi ketika ajal terasa semakin hampiri, semuanya akan berdoa, merayu dan memohon kepada Allah, perasaan yang tiba-tiba muncul tanpa ada sesiapa yang memaksa dan inilah yang disebut sebagai Fitrah Robbaniyyah

3.0] "Dari mana datangnya kesedaran ini?". "Dari mana datangnya fitrah yang mengakui kewujudan Robb, Tuhan yang mencipta dan memelihara hambaNya, yang menjadi tempat bergantung, satu-satunya yang berkuasa keatas setiap makhluk ini?". Fitrah Robbaniyyah  ini adalah pemberian daripada Allah semenjak setiap insan ini masih berada di awal ciptaannya lagi. Sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah Al-A'raf ayat 172:


Allah ambil anak Adam dari belakang anak Adam yang lain. Contohnya Kariman bin Abdul Muin bin Daud bin Ahmad Sudarji, bermakna Kariman adalah daripada zuhur (belakang, sulbi) Abdul Muin dan Abdul Muin adalah daripada zuhur Daud dan Daud adalah daripada zuhur Ahmad Sudarji. Ketika Allah ambil Kariman daripada zuhur Abdul Muin, masa itulah Allah jadikan Kariman sebagai saksi bagi dirinya sendiri. Allah tidak ambil kesaksian daripada bapa atau datuk kita tetapi diambil kesaksian daripada diri kita sendiri. "Apa yang Allah minta kesaksian daripada kita saat itu?". "Alastu birobbikom",yang bermaksud, "Bukankah Aku ini Robb kamu?, satu-satunya Robb kamu?, jawab dengan jujur!". Tanpa ada yang memaksa, tanpa ada sesiapa yang mempengaruhi, setiap insan akan menjawab, "Bala!, betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi, menjadi saksi bagi pihak diri kami sendiri".

4.0] Bila ini berlaku dan siapa atau apa yang diambil menjadi saksi bagi diri kita?. Sebelum itu kita lihat dahulu pendapat Ibnu Abbas yang walaupun mungkin ada sedikit perbezaan dengan pendapat Ibnu Qayyim dalam kitabnya Ar-Ruh, namun keduanya ada menyatakan bahawa manusia ini ada 3 unsur iaitu jasad, jiwa dan ruh yang bergabung menjadi satu.

i) Jasad - Di dalam Al-Quran, banyak diceritakan tentang jasad, iaitu diciptakan dari tanah dan bagaimana cara Allah menciptakan jasad diberitahu  dengan maklumat yang banyak. Ramai pakar-pakar atau doktor dibidang jasad atau jasmani ini, sehingga ada pakar dari segenap bahagian jasad seperti pakar rambut ke pakar kuku dan sebagainya.

ii) Jiwa atau nafsun - Maklumat tentang jiwa atau nafsun juga banyak terdapat di dalam Al-Quran, tetapi Allah tidak memberitahu kita ianya dicipta daripada apa. Allah hanya menceritakan tentang sifat-sifat dan karakter nafsun iaitu ada yang berpotensi taqwa, jujur, iman, naik, turun, kufur, marah dan sebagainya.

iii) Ruh - Maklumat tentang ruh tidak banyak di dalam Al-Quran. Di dalam bahasa kita ruh dikatakan sebagai nyawa. Ruh itu milik Allah dan apabila disebut tentang ruh maka akan dikaitkan dengan Allah. Jika kita cari di dalam Al-Quran  kalimat ruhukum atau arwahukum, tidak ada, tetapi yang ada ialah anfusikum. Mungkin ada yang memahami bahawa anfus itu ar-ruh dan ar-ruh itu anfus. Ustaz mengambil pendapat daripada Ibnu Abbas yang berpegang bahawa ruh itu lain daripada anfus, ruh itu lain dari nafsu.

5.0] Apa yang mengambil kesaksian sumpah diri kita dihadapan Allah?. Jasad atau ruh atau nafsun?. Jawapannya ialah nafsun. [Nota; Kalimah yang menarik dalam surah Al- A'raf ayat 172 di atas ialah iz yang bermakna - ketika itu, yang menunjukkan masa yang lepas, isim zorof zaman madhin] iaitu ketika Allah mula mencipta diri insan, ketika awal penciptaan, bermula saat percantuman sperma ayah dengan ovum ibu, itulah masanya. Hebatnya walaupun nafsun atau jiwa, baru pada tahap awal penciptaannya, saat mulanya pun ia sudah diaktifkan oleh Allah sehingga boleh diminta persaksiannya untuk mengakui Allah sebagai satu-satunya Robb kita.

6.0] Kenapa tidak jasad yang dibai'at (diambil persaksian)?. Kenapa tidak dikata,"Wahai tangan, adakah kamu mengaku Aku ini Robb kamu? atau. "Wahai perut, adakah kamu mengakui Aku ini Robb kamu?". Jawapannya ialah kerana jasad sudah mukmin. Tidak kira jasad orang Islam atau jasad orang kafir, semua mengakui bahawa Allah itu Robbnya. Semua jasad, jantung, darah dan setiap sesuatu dalam tubuh insan sudah beriman, sudah muslim kepada Allah, bahkan di dalam surah Al-Isra' ayat 44 menyatakan bahawa semuanya bertasbih kepada Allah.

7.0] Kenapa bukan ruh yang dibai'at?. Jawapannya ialah kerana ruh milik Allah. Semua kalimah ruh di dalam Al-Quran dikaitkan dengan Allah. Hanya di dalam Bahasa Melayu sahaja kita mendakwa kita punya ruh, seperti yang biasa dikatakan, "Mudah-mudahan ruhnya dirahmati Allah". [Nota; Yang peliknya dalam bahasa kita ini, semasa hidupnya seseorang, kita punya 1 ruh tetapi apabila mati atau meninggal, maka disebut sebagai arwah, padahal kalimah arwah bermakna ruh-ruh iaitu jamak bagi ruh]. Ruh itu pula di dalam Al-Quran tiada yang digabungkan dengan insan, tiada arwahukum, tiada ruhuka atau ruhuki, semua ruh dikaitkan dengan Allah kerana ruh itu milik Allah.

8.0] Yang diminta komitmennya ialah jiwa kerana jiwa boleh jadi jiwa mutmainnah, ammaarah atau degil atau sebagainya samada sifat mahmudah atau mazmumah. Dan di saat awal penciptaan insan itulah tanpa terpaksa, jiwa menyatakan, "Ya, kami menjadi saksi bagi diri kami bahawa Engkau sahajalah Robb kami!". Jiwa dibai'at. Ini fitrah robbaniyyah dimana tidak ada insan yang tidak mengakui Allah sebagai Robbnya. Ini haqiqat. Walaupun nanti setelah lahir ke dunia, kerana faktor-faktor lain seperti faktor hawa nafsu maka adalah insan yang ingkar, yang percaya dan bertaqwa atau pun ada yang atheis. Tetapi tunggu sahajalah ketika di saat kritikal, sepertimana Allah telah  katakan di dalam ayat-ayat di atas, iaitu ketika di laut, menumpang kapal, yang dipukul gelombang, sedangkan insan itu belum bersedia untuk mati, dan sudah tiada tempat untuk bergantung harap, pasti saat itu insan itu akan memanggil, memohon kepada Allah. Fitrah robbaniyyahnya bertindak. Contohnya fir'aun yang semasa hayatnya mendakwa dirinya sebagai tuhan, tetapi ketika dirinya akan mati, dia mengakui akan kewujudan Allah SWT namun keadaan sudah terlambat. Itu namanya fitrah robbaniyyah.

9.0] Apa tanasub atau hubungan, keserasian atau keharmonian surah Al-Ankabut ayat 65 dengan ayat 64 sebelumnya yang menceritakan tentang haqiqat Al-Hayatud-Dunya- kehidupan dunia, dan dalam ayat-ayat lain yang ada tentang la'ibun wa lahwun, mata ul-ghurur, suka-suka dan permainan yang sia-sia, kehidupan yang memperdayakan?. Ayat 65 ini pula menceritakan iaitu di dalam keadaan kritikal orang tidak akan ingatkan dunia lagi yang selama ini dicintainya malahan akan mengingati Allah yang menciptakan dirinya. Ketika sedang menikmati dunia, kebanyakan insan tidak mengingati Allah. Kesimpulannya ayat ini memberi isyarat bahawasanya penghalang utama iaitu yang paling besar sekali menghalang seseorang itu daripada mengEsakan Allah (Al-Maani') ialah Al-Hayatud-Dunya iaitu cinta dunia. Apabila seseorang itu sedang mencari dunia, menikmati dunia, cintakan harta, cintakan kehidupan dunia yang sekarang, yang di sini, kebanyakannya akan lupakan Allah. Tetapi apabila berada di dalam keadaan yang susah sedikit, barulah mula ingatkan Allah. Apa lagi ketika sedang berada di dalam keadaan kritikal, semua Al-Hayatud-Dunyanya sudah tidak berguna lagi. Jawatannya, kedudukannya, kemahirannya, kesihatannya, harta-bendanya, anak-pinaknya, semua tidak dapat diharapkan lagi. Mungkin contohnya seorang perenang yang memegang rekod emas olympik, tetapi di dalam keadaan kritikal, dipukul gelombang di tengah Laut Cina selatan, kapalnya tenggelam timbul, tiada siapa yang dapat menolongnya, ketika itu Al-Hayatud-Dunyanya sudah tidak boleh diharapkan lagi dan dia akan kembali kepada Allah. Maknanya haqiqatnya selain daripada Allah itu tiada yang berdaya. La hawlawala quwwata illa billah. Apabila harapan terhadap kehidupan dunia telah terputus, pasti akan kembali kepada fitrah As-Syahidah yang mengEsakan Allah, menyaksikan akan keEsaan Allah walaupun orang itu merasa paling kuat atau paling berkuasa seperti fir'aun laknatullah 'alaihi, sekali pun. Fir'aun berkata, "Aamantu!", "Aku beriman bahawa tiada Tuhan yang berhaq disembah kecuali yang disembah oleh Bani Israil dan aku daripada yang berserah diri!". Walhal semasa sihatnya, semasa hidup, semasa berkuasa, dia mengaku, "Ana robbukumul 'a'la!". Kalau begitu apa yang menghalangi fitrah robbani yang ada di dalam hati dan jiwa fir'aun daripada mengEsakan Allah?. Yang menghalangnya ialah Al-Hayatud-Dunyanya. Sebab itu Allah ingatkan tentang mata ul-ghurur, kesenangan kehidupan yang memperdayakan. Jangankan bagi orang yang punya kekuatan hebat atau harta yang banyak, jika baru punya basikal tua pun sudah ramai yang lupa kepada Allah, alangkah hinanya.

10.0] Haqiqatnya yang menghalangi insan daripada Allah ialah Hubbusy-Syahawatnya, bukan bendanya, bukan rumahnya, bukan keretanya, bukan jawatannya, bukan kedudukannya, dan sebagainya  tetapi yang menghalangnya ialah nafsunya, hubbusy-syahawatnya terhadap semua tadi. Rujuk kembali surah Aa li Imran  ayat 14 yang telah kita pelajari. Apa yang dibuai oleh nafsu itu nampak cantik, walaupun haqiqatnya tidak. Dari harta, wanita, anak pinak, emas perak, kuda pilihan, kenderaan, ternakan, ladang kebun, semuanya itu kesenangan untuk mendapat kebahagiaan kehidupan dunia tetapi Allah-lah juga sebaik-baik tempat kembali. Yang menghalangnya bukan semua benda yang disebut diatas tetapi nafsunya iaitu hubbusy-syahawatnya yang suka dan menjadikan semua itu cantik, zuyyina. Ini bermakna apabila seseorang sudah boleh mengawal atau menguasai hubbusy-syahawatnya terhadap segala benda yang disebut diatas tadi, maka fitrah robbaniyyahnya tidak tertutup sebab dia tahu cintanya tidak ditujukan kepada semua itu berlebihan. Kita boleh punya semua benda itu sebab itu fitrah tetapi tidak boleh berlebihan dan mesti mampu mengawal hati dan jiwa supaya tidak berpaling daripada Allah.

11.0] Hubbusy-syahawat masih diperlukan dalam hidup kita, sebab jika tiada hubbusy-syahawat kepada benda yang disebut diatas tadi, maka tidak adalah orang yang mahu berkeluarga sebab tidak ada rasa suka kepada lelaki, tidak suka kepada perempuan, hanya ada Adam dan Hawa dan akhirnya mati tanpa ada manusia lain. Jika semua tidak suka akan emas, perak, harta-benda dan sebagainya, hidup ini tentunya sepi. Hubbusy-syahawat memang diciptakan oleh Allah, sebagai anugerah dariNya, tetapi mesti dikawal. Nafsu dan keinginan manusia dicipta Allah tidak terbatas, tiada hadnya, tetapi Islam datang menyuruh kita menghadkan, membatasinya dan jika sudah dapat dilakukan maka fitrah robbaniyyah akan memancar-mancar dan punya ruang yang luas dan jiwa mengEsakan Allah akan menjadi mudah.

12.0] Nabi saw telah memberitahu kita bahawa di akhir zaman, orang Islam akan dilanda penyakit wahnun. Sahabat bertanya, "Apa itu wahnun ya Rasulullah?". Nabi saw menjawab, "Hubbun dunya". Seseorang akan dapat mengEsakan Allah dengan sebenar-benarnya ikhlash, di dalam bahasa Al-Quran disebut sebagai Mukhlishin. Terdapat di dalam surah At-Taubah, Luqman dan Yunus, iaitu orang yang ikhlash, mengikhlashkan agama semata-mata kerana Allah, berdoa dengan ikhlash kepada Allah, dikatakan Tauhiidullah atau mukhlishin, ( تَوحِيدُالله - مُخْلِصِين).

13.0] Seseorang akan mencapai tauhidullah atau mukhlishin dengan sebenar-benarnya yakni apabila telah mencapai ketiga-tiga keadaan ini iaitu;

 تَوحِيدُالله - مُخْلِصِين
i)  إِظْهَارُالضُّعْفِ - menzahirkan kelemahan diri
ii)  شِدَّةُالاِفْتِقَارِ إَِلى الله - sangat-sangat bersangatan berharap kepada pertolongan Allah
iii) اِنقِطَاعُ اَلرَّجَاء إِلَى غَيْرِالله - merasa terputus harapan kepada selain Allah

Apabila seseorang sudah merasai ketiga-tiga ini, In syaa Allah, orang itu akan mengEsakan Allah dalam ertikata yang sebenarnya, mukhlishina lahuddin, seperti di dalam surah Al-Bayyinah ayat 5;

Ini semuanya berkaitan dengan hati dan bukan berkaitan dengan zahir. Nabi saw telah menyampaikan, seperti apa yang dinyatakan oleh ulama terkenal Ibnu Qoyyim Al-Jauziyah dan Imam Ibnu At-Taimiyah, semua berkaitan dengan hati, bukan perbuatan zahir, bukan 'a'maluzzohirah dan ini bukan mudah kecuali kita kena melatih diri setiap saat untuk beribadah semata-mata kepada Allah. Allah tidak banyak permintaan terhadap hambaNya, hanya satu sahaja iaitu supaya hambaNya mengabdikan diri  kepadaNya dalam keadaan ikhlash. Kemudian barulah menjadi banyak dengan cara melaksanakannya.

14.0] إِظْهَارُالضُّعْفِ - Izharud-Dhu'fi- menzahirkan kelemahan diri. Merasakan diri kita lemah, la hawlawala quwwata illa billah, di setiap saat kehidupan kita, bukan hanya ketika dalam keadaan kritikal sahaja seperti yang digambarkan ketika menaiki kapal di tengah lautan bergelora, dipukul gelombang, gelap gelita di tengah malam, sendirian, merasa diri lemah selemahnya dan sedar tidak mampu melakukan apa yang hendak dilakukan, jauh sekali dari mendapatkan apa yang diinginkan, maka timbullah perasaan sangat-sangat bersangatan berharap kepada pertolongan Allah - شِدَّةُالاِفْتِقَارِ إَِلى الله kerana dirinya tidak berdaya.

15.0] شِدَّةُالاِفْتِقَارِ إَِلى الله - Syiddatul iftiqar ilallah- Keinginan hati yang sangat-sangat berharap untuk mendapat bantuan daripada Allah kerana diri sendiri tidak berdaya. Sebagaimana tidak berdayanya Nabi Yunus as ketika di dalam perut ikan, sebagaimana tidak berdayanya Nabi Ibrahim  khalilullah ketika dicampakkan ke dalam unggun api yang marak membakar, dan sebagaimana tidak berdayanya 3 orang yang terperangkap di dalam gua tertutup, mengharap hanya kepada Allah 100%, tiada siapa lagi yang dapat menolong. Itulah syiddatul iftiqar kepada Allah. Apabila  syiddatul iftiqar kepada Allah sudah begitu kuat, begitu berhajatnya kepada Allah, yakni ketika itu dia merasa sudah putus harapan terhadap selain Allah maka itulah اِنقِطَاعُ اَلرَّجَاء إِلَى غَيْرِالله yakni apabila seseorang sudah merasa terputus harapan kepada selain Allah.

16.0] اِنقِطَاعُ اَلرَّجَاء إِلَى غَيْرِالله - Inqito' urraja' ila ghairillah- merasa terputus harapan kepada selain Allah. Di dalam keadaan kritikal begitu tiada lagi yang dapat diharap kecuali Allah semata-mata. Contohnya bagi orang yang diceritakan diatas, dalam keadaan kritikal, dilambung gelombang, kapal hampir pecah, enjin mati, dayung patah, mengharapkan nahkhoda kapal, nahkhoda kapal sendiri pun sedang mabuk, kapal tenggelam timbul, dia sudah yakin bahawa sekejap lagi dia akan mati. Ingin minta tolong kepada siapa lagi, untuk bergantung harap dengan keris saktinya, kerisnya sudah jatuh ke laut, untuk berdoa, menjampi, sudah berbuih mulutnya, hendak mengharap kepada Nabi Khaidir yang dipercayai oleh setengah orang sebagai penjaga lautan, tapi Nabi Khaidir yang mana satu?. Harapannya sudah putus kepada selain Allah. Masa itu hanya mukhlishinalahuddin, ertinya dalam keadaan seperti itu, telah putus hubungannya dengan dunia dan segala isinya. dan dia sudah tidak dapat bergantung harap lagi kepada kekuasaannya, walaupun dia masih berkuasa di daratan. Dia tidak boleh lagi berharap dengan kekayaannya walaupun kekayaannya di daratan tidak terbilang. Dia tidak boleh lagi mengharapkan pertolongan ahli keluarganya walaupun semuanya pasukan penyelamat. Saat itu dia hanya boleh mengharapkan Allah semata-mata. Tetapi Allah tidak menyuruh kita hanya mengEsakan Allah seperti itu iaitu ketika keadaan kritikal sahaja, sebab jangankan orang Islam, orang kafir pun begitu, iaitu ketika di saat kritikal akan berdoa dan bermohon kepada Allah dan tidak akan meminta kepada yang lain lagi. Di dalam Al-Quran, dinamakan sebagai 'I'jaazun nafsiyyun iaitu kemukjizatan Al-Quran di segi jiwa, hati dan psikologi manusia.

17.0] 'I'jaazun nafsiyyun iaitu kemukjizatan Al-Quran disegi jiwa dan hati manusia, jelas ditunjukkan oleh Nabi saw dan Al-Quran. Semasa orang tidak tahu lagi, pakar psikologi pun belum tahu, tetapi Nabi saw telah beritahu 15 abad yang lalu. Daripada mana Nabi saw tahu tentang orang yang naik kapal dan perasaannya apabila dirempuh gelombang, apa lagi jika mengembara merentas Lautan Pasifik atau Atlantik. Nabi saw yang tidak pernah pergi ke laut, tetapi boleh menceritakan dengan terperinci tentang kapal di laut,  Nabi saw boleh juga menceritakan tentang perasaan orang yang dilambung gelombang itu. Bukankah yang boleh menceritakan sesuatu ialah orang yang berpengalaman dalam hal itu?. Cuba jikalah cerita-cerita dari Nabi saw itu tidak betul, tentu dianggap kata-kata Nabi saw adalah bohong dan palsu. Dan ini bukan hanya khas untuk kapal laut sahaja, tetapi juga untuk kapal terbang dan kapal selam serta kenderaan lain juga.

18.0] Al-Quran sedang memberi maklumat kepada kita berkaitan dengan jiwa. Nabi saw bukan pelaut, tetapi boleh bercerita tentang kapal apabila dipukul gelombang dan bagaimana jiwa dan perasaan penumpangnya disaat itu dan apa yang diucapkan saat itu. Kalaulah bukan Allah yang memberitahu Nabi saw, siapalah lagi?. Itu namanya 'i'jaz nafsi.

19.0] Ada suatu kajian di Mesir dahulu, dimana ada banyak kapal yang belayar di Sungai Nil dari zaman dahulukala lagi. Ada yang selamat dan ada yang tidak selamat. Di suatu masa, ada kapal  yang tenggelam di Laut Merah tetapi tidak semua penumpangnya mati. Apabila ditanya selidik penumpang yang terselamat tentang apa yang mereka alami, apa yang mereka nampak dan dengar, kesemuanya tanpa kecuali mengatakan itulah saat yang paling berharga dalam hidup, ketakutan yang memuncak, dan diri sedar bahawa 100% hanya bergantung kepada Allah, yang diharap dapat menolong dan menyelamatkan diri mereka. Tiada siapa lain lagi yang diharapkan dan semuanya berdoa dan memohon kepada Allah. Bahkan mereka yang terselamat itu memberi kesaksian bahawa  mereka melihat sendiri kawan-kawan dan penumpang lain yang tenggelam di hadapan mata mereka dan kalimat terakhir yang didengar dari yang mati itu ialah ,"Ya Robb, Ya Robb, Ya Robb!". "Wahai Tuhan, Wahai Tuhan, Wahai Tuhan!". Maknanya semuanya memanggil Tuhan. Yang peliknya di dalam kapal itu bukan semuanya Muslim, ada orang Kristian, ada Yahudi, ada Atheis. "Kenapa saat terakhir, semua memanggil Ya Robb, Ya Robb, Ya Robb?" Sama betul seperti yang dikatakan di dalam Al-Quran. Walaupun mungkin diungkap dalam bahasa mereka masing-masing yang berbeza.

20.0] Ada satu anekdot agama, iaitu ketika seorang paderi, sami Buddha dan tok guru Muslim bercerita tentang agama. Masing-masing mendakwa agama merekalah yang paling dekat dengan Tuhan. Sami Buddha berkata bahawa agama dialah yang paling dekat dengan Tuhan kerana mereka memanggil tuhan dengan "Om" yang bermakna pakcik. Anak saudara dengan pakciknya tentu sangat rapat. Manakala paderi pula mendakwa bahawa agama merekalah yang lebih hampir dengan Tuhan kerana mereka memanggil dengan panggilan "Papa". Hubungan anak dengan bapa tentulah paling rapat. Sampai kepada giliran tok guru Muslim pula, jangankan untuk memanggil Tuhan dengan nama-nama lain, kena melaungkan Allahu Akbar, itu pun kena guna loud-speaker dan memanjat menara iaitu semasa azan. Kalau tidak faham budaya, dan jika tidak tahu tentang salasilah azan maka ianya seakan menghina agama. Itu anekdot orang yang pandai tetapi bagi kita, kalau tidak faham agama, kita disuruh bertanya dan mencari penjelasan sehingga kita yakin dengan perbuatan kita. Tetapi daripada pengalaman kita, ada satu budaya iaitu apabila keadaan sudah terlalu dekat, tiada lagi protokol, tiada lagi kata-kata beradab apabila berhubung dengan kawan lama kita, bahkan dimaki-maki dahulu kemudian barulah bertanya khabar masing-masing. Tetapi jika belum rapat, bahasa dijaga dan protokol sangat diikuti.

21.0] Kembali kepada situasi kritikal, siapa pun orangnya, bila dia sudah merasa lemah, la hawlawala quwwata illa billah dan dia yakin pula bahawa hanya Allah yang dapat memberikan pertolongan kepadanya, maka iftiqarnya kepada Allah pasti kuat. Iftiqar maknanya memerlukan. Bila seseorang itu begitu kuat berhajat kepada Allah, hatinya sudah putus harapan kepada selain Allah, dan saat itu tauhidnya kuat, inqito ur-raja', putus harapan. Itu dari segi 'i'jaz nafsi. Tadi telah disentuh tentang fitrah robbani bahawa setiap insan akan ada fitrah robbani hatta fir'aun pun ketika Allah ciptakan dahulu sudah diambil kesaksiannya. Apabila Allah tanya, "Alastu birobbikum", lalu dijawab,"Ya", qalu "Bala". Tetapi kemana larinya dan hilangnya fitrah robbaninya setelah itu? Tertutup dengan Al-Hayatud-Dunya. Sebab itu ketika hubbud-dunya hilang barulah terserlah keEsaan Allah. Itu kaitan dengan ayat sebelumnya.

22.0] Sekarang ini bukti 'i'jaz nafsi pula.  Kata mufaassir Ibnu Kathir rahimahullah dalam tafsirnya, beliau menceritakan apa yang diceritakan oleh Muhammad bin Ishak tentang kisah anak Abu Jahal laknatullah 'alaihi, iaitu Ikrimah bin Abi Jahlin. Tatkala Nabi saw berjaya membebaskan Kota Mekah (Fathul Mekah), Ikrimah lari dengan menaiki kapal menyeberang Laut Merah meninggalkan Mekah menuju ke Eutophia. Kapalnya dilambung gelombang dan akan karam, sedangkan penumpang-penumpangnya menjerit-jerit. Kata Ikrimah,"Wahai sahabat-sahabatku penumpang kapal, berdoalah semua kepada Tuhan kamu dengan ikhlash, kerana sesungguhnya tiada siapa yang boleh menyelamatkan kita daripada bencana ini kecuali Dia". Semua penumpang kapal itu adalah orang kafir yang melarikan diri dan ketuanya ialah Ikrimah. Ikrimah berkata lagi,"Demi Allah, jika dia tidak boleh selamatkan kita di darat dahulu, ketika kita di laut ini pun tentulah dia tidak dapat menolong". Maksudnya apa? Ikrimah menyeru supaya memohon kepada Allah dan bukan kepada patung kerana tentunya patung-patung ditinggalkan, dan tidak dibawa bersama. Patung yang hanya tinggal tetap ditempat diletakkan, tidak menengok, tidak mendengar, tidak dapat menolong apa pun apatah lagi ketika mereka berada di laut yang jauh. Akhirnya Ikrimah berdoa, "Ya Allah, aku ingin berjanji kepada Mu Ya Allah, jikalah aku berjaya keluar dari musibah ini, sungguh pasti aku akan letakkan kedua tanganku di tangan Muhammad saw dan aku dapati dia seorang yang pengasih, penyayang dan aku akan menyatakan keIslamanku". Ikrimah yang semasa di darat adalah seorang yang sombong, angkuh, tetapi ketika ia menaiki kapal, dan kapalnya sudah semakin senget, dia pun berdoa menyeru Allah. Ikrimah berkata lagi,"Apabila mereka ini naik kapal dilaut, mereka membawa patung-patung mereka, yang kecil bersama".[ Nota; samalah seperti orang Kristian yang membawa salib]. Apabila kapal itu telah ditiup oleh angin kencang, patung-patung itu pun dicampak ke laut!". Apabila patung-patung sudah dibuang sedangkan itu tuhan yang mereka  sembah, lalu mereka memanggil Ya Robb , Ya Robb, Ya Robb juga. Jangan kan orang mukmin, orang kafir pun dalam keadaan kritikal pasti akan memanggil Allah, Allahumma. Sebab itu jika orang mukmin memanggil Allah ketika musibah menimpa sahaja tentulah tidak patut sama sekali kerana orang  kafir pun memanggil Allah di saat begitu, tiada lain lagi selain Allah.

23.0] "Yang menyedihkan, tahukah jemaah sekelian, bahawa ada juga orang muslim yang meminta kepada selain Allah di dalam keadaan kritikal dan terdesak?". Ketika ditimpa masalah, musibah datang bertubi-tubi, silih berganti, lantas mereka mencari solusi dengan pergi ke Pulau Besar Melaka, menziarah kubur yang panjang, entah kubur siapa, dengan hajat mencari pertolongan penyelesai masalah. "Bila susah bukan meminta kepada Allah tetapi meminta kepada kubur?". Kebanyakannya bukan orang tempatan, tetapi orang yang datang dari tempat-tempat yang jauh, tambahan lagi pada hari Jumaat ada pula makan besar free. Na'uzubillah.

24.0] Bukan itu sahaja, malahan ada juga yang mengucapkan kata-kata atau burdah yang tertentu ketika ditimpa musibah atau sesuatu keadaan. Adakah asalnya dari orang kafir Quraisy atau orang Nasrani? Tetapi telah menjadi ikutan dan sangat popular dilagukan dalam marhaban  atau qasidah di Asia Tenggara. Burdah Al-Busyiri yang sangat popular dilagukan dalam marhaban dimana rangkap pertamanya ialah, "Ya Robbi bil mustafa, balligh maqosidana, waghfirlana ma madho ya wasi'alkarami". Kalau setakat itu sahaja masih boleh diterima tetapi setelah meneliti maksud ayat-ayat seterusnya ia telah melencung menjadi syirik dan perlu dihentikan. Diantara ayat-ayat yang terdapat di dalam burdah Al- Busyiri adalah seperti yang berikut;

يَااَكْرَمَ الْخَلقِ مَالِى مَنْ أََلُوْذُبِهِ
Wahai semulia-mulia makhluk (yang dimaksudkan ialah Nabi saw), tiadalah bagiku yang boleh melindungiku selain engkau.
سِوَاكَ عِنْدَ حُدُوثِ الحَادِثِ العَمَمِ
Semasa berlaku bencana melanda
فَاِنَّ مِنْ جُودِكَ الدُّنْيَا وَضَرَّتُهَا
Dan sesungguhnya sebahagian daripada sifat kedermawananmu adalah dunia dan isinya
وَمِنْ عُلُوْمِكَ عِلْمُ اللَّوحِ وَالقَلَمِ
Dan sebahagian daripada ilmu yang engkau miliki ialah yang ada di Luh Mahfuz dan ilmu yang ditulis oleh Al-Qalam.    

Ini puji-pujian orang kepada Nabi Muhammad saw, dan ada di dalam selawat burdah Al-Busyiri, pengarang kitab Mawaahid, yang isinya yakni puji-pujian kepada Nabi saw yang ditulis sangat-sangat keterlaluan. Al-Busyiri yang nama sebenarnya ialah Muhammad bin Said bin Ahmad Al-Busyiri, lahir pada tahun 608 H bersamaan dengan 7 mac 1213 M dan wafat pada tahun 696 H bersamaan dengan tahun 1295 M. Beliau terkenal dengan syair-syair yang memuji Nabi saw, dalam Al-Kawaakib Ad-Duriah Fil Mathil Khairil Bariyyah yang bermakna Bintang-bintang Yang Gemerlapan Laksana Mutiara, yang isinya puji-pujian kepada sebaik-baik manusia iaitu Nabi Muhammad saw. Beliau orang Iskandariah (Mesir), dan meninggal ketika berumur 83 tahun. Masa dahulu boleh didapati nasyid dan burdahnya di dalam bentuk kaset dimana terdapat campuran nasyid-nasyidnya seperti Hasbi Robbi Jallallah, Nur Muhammad dan sebagainya dan dihujungnya disambung dengan "Ya Akramal Khalqi...".

25.0] Apabila ditimpa musibah, orang berdoa kepada Allah semata-mata, Allahumma, Allahumma, Allahumma, orang kafir pun berdoa begitu, Fir'aun pun berdoa begitu, Aamantu, Allahumma. Ini orang yang mengaku muslim, apabila ditimpa musibah, meminta perlindungan daripada Nabi Muhammad saw. Ini pujian yang sudah melampaui batas. 2 kitab yang sangat menjadi budaya di Asia Tenggara ialah Burdah Al-Busyiri dan nasyid berzanji (marhaban) yang sangat terkenal. Jangan terus diamalkan, kita perlu semak dahulu, mana yang betul dan mana yang tidak betul, mana yang tidak sesuai dengan kaedah syara' perlu ditinggalkan.

26.0] Kisah lampau, namanya sejarah, "Kalau kita membaca buku sejarah, berapa kali kita mahu membacanya?". Contohnya Buku Sejarah Hang Tuah, paling banyak kita baca buku itu berapa kali?, sekali?, 2 kali? Adakah orang membaca buku sejarah beratus kali?, setiap minggu?.Tolong difahami dahulu, sebab tersangat banyak penyimpangan yang terdapat di dalam buku-buku yang disebut diatas, lebih-lebih lagi ketika menceritakan tentang kelahiran Nabi saw, dimana lahirnya dikatakan disambut oleh wanita syurgawi, Asiah dan Maryam 'alaihassalam (yang sebenarnya sudah lama mati masa itu). Semasa ibu Nabi saw, Aminah, mengandung pun, semua binatang buas dipadang pasir memberitahu kepada kawan-kawannya, bi Al-Sinatil 'Arabiyyah - dengan bahasa Arab yang fasih. Semua binatang buas menjadi tidak buas ketika disampaikan berita bahawa ada seorang wanita yang sedang mengandung, dimana anaknya yang dikandung akan menjadi nabi yang mulia. Pelik atau tidak?. Kerana kita tidak tahu maknanya, maka kita pun memuji kesedapan alunannya, apa lagi kerana dilagukan dalam Bahasa Arab, apa lagi jika diadakan di masjid. Terpukau dibuatnya.

27.0] Sejarah tidak boleh bohong. Nazi ada sejarah, Hitler pun ada sejarah yang buruk, begitu juga Jepun ada sejarah buruk. Sejarah tidak boleh bohong, kalau ada yang tidak betul atau tidak jujur, penulisnyalah yang tidak jujur. Apa lagi jika sejarah itu direka-reka, dikarang-karang melibatkan Rasulullah saw. Itu sudah berat, jangan dijadikan sebagai aktiviti ibadah. Apa lagi jika dibincang tentang Nur Muhammad yang dikatakan berpindah randah dari satu makhluk ke makhluk yang lain. Semua itu kena difahami dahulu. Minta dan carilah penjelasan dari yang tahu dahulu sebelum dibudayakan. Ini kena disaring, kena ditapis, kena padamkan yang tidak betul dan kemudian barulah boleh dijadikan sebagai buku sejarah Sirah Nabi saw yang betul, barulah boleh diceritakan kepada anak-cucu atau dilagukan semasa mendodoi bayi, yang mana akan lebih baik dari menyanyikan lagu lain yang bukan-bukan.

28.0] Bagi sesiapa yang sudah faham dan tahu Bahasa Arab, beritahulah kepada kawan-kawan yang belum tahu tentang perkara ini. Bagaimana buku sejarah atau buku cerita diulang-ulang baca dan dilagu-lagukan berkali-kali? Itu bercanggah. Orang kafir pun bila dalam keadaan kritikal memanggil Allah iaitu fitrah robbaniyyahnya muncul, ini pula ada orang yang dalam satu-satu keadaan menyeru kepada Nabi saw dan bukan memohon kepada Allah. Oleh itu sudah menjadi kewajipan kita yang sudah tahu ini menyebarkan kepada kawan-kawan kita yang belum tahu supaya dapat saling memperbaiki diri. Sebab itulah kita dikehendaki belajar supaya tahu. Kalaupun tidak mampu untuk mengingatkan orang lain, paling tidak untuk mengingatkan diri kita sendiri. Mungkin timbul soalan samada kita dibolehkan menyimpan kitab-kitab burdah sedemikian, kita boleh miliki tetapi sekadar untuk kajian, kerana tidak semua buku yang kita baca itu kita percayai. Wallahu 'a'lam. Semoga kita semua sentiasa didalam sebaik jagaan Allah terutamanya disegi aqidah kita. Moga-moga diberkati Allah. Allahumma Aamiiiin.