Tuesday, May 10, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 31-32) Kuliah 31- Tentang Nabi Ibrahim

1.0] Mukaddimah hari ini adalah sorotan kuliah yang telah disampaikan pada minggu lepas iaitu tentang doa Nabi Luth as  pada ayat 30 surah Al-Ankabut yang pendek tetapi berkesan dan sangat penting.



2.0] Surah Al-Ankabut ayat 31;


Inilah kemakbulan doa Nabi Luth a.s kepada Allah SWT. Perhatikan susunan ayat ini. Bagaimana Allah SWT menyampaikan dua berita kepada Nabi Ibrahim as melalui para malaikatnya yang datang bertamu dirumah Nabi Ibrahim as. Nabi Ibrahim as tidak mengenali tamunya, tetapi menerima dengan baik sekali, menyembelih anak lembu, memanggangnya dan menghidangkannya kepada tetamunya. Tetamunya tidak menyentuh hidangan itu dan tidak memakannya. 

Nabi Ibrahim as timbul rasa takut sehinggalah tetamunya itu memperkenalkan diri sebagai malaikat yang datang untuk memberi khabar pertama yang gembira bahawa Nabi Ibrahim as akan dikurniakan seorang anak lelaki ghulaamin 'alim, anak yang bijak pandai, tinggi IQ-nya. Isterinya Sarah yang memandang dari tempat yang agak jauh, lalu mendekati Nabi Ibrahim as dengan menepuk-nepuk mukanya sambil menjerit dan tertawa geli, sambil berkata, 

"Masih mungkinkah aku akan beranak sedangkan aku telah 'ajuz dan suamiku pula sudah syaikh, sudah tua?". Malaikat memberitahu bahawa jika Allah berkehendak, tidak ada yang mustahil, pasti akan berlaku. 

Manakala khabar kedua pula ialah khabar buruk bahawa kaum Nabi Luth as akan dibinasakan.

3.0] Nabi Muhammad saw seorang sahaja yang dapat mengenali  malaikat jika malaikat menjelma menjadi seperti manusia tetapi tidak bagi nabi-nabi yang lain. Jika Nabi Ibrahim as dapat mengenali malaikat, tentu Nabi Ibrahim as tidak akan menyembelih anak lembu, memanggang dan menghidangkan kepadanya dan pasti tidak ketakutan, sehinggalah Nabi Ibrahim as tahu bahawa itu malaikat baru-lah hilang rasa takutnya. Nabi Ibrahim as tidak kecewa walaupun hidangannya tidak dijamah oleh tamunya setelah dia bersusah payah menyediakannya. Ini pengajaran yang baik bagi kita  kerana bila sudah ada niat yang baik dalam melakukan sesuatu sudah pun mendapat pahala dan tidak perlu merasa kecewa.

Contoh: Jika kita memasak dan menghidangkan durian dengan pulut kepada tetamu, tetapi tetamu kita itu tidak memakannya, jangan dipaksa tamu kita itu makan kerana mungkin dia ada halangan seperti berpenyakit diabetik atau sebagainya tetapi berlapang dadalah kerana kita sudah dikira mendapat pahala atas niat yang baik itu.

4.0] Nabi Musa as tidak mengenali Malikul maut yang datang menjelma sebagai manusia untuk mengambil nyawanya. Nabi Musa as marah dan melepuk malaikat itu sehingga terkeluar biji mata. Malikul maut itu kembali mengadu kepada Allah dan Allah menyuruhnya memberitahu kepada Nabi Musa as bahawa dia adalah Malikul maut.

5.0] Nabi Luth as juga yang didatangi tetamu yang kacak, tidak kenal akan tetamunya itu tetapi beria-ia untuk melindungi dan menyelamatkan tetamunya dari diganggu oleh kaumnya namun tidak berdaya. Hendak disuruhnya tetamu itu pulang, tidak sopan dirasanya. Nabi Luth as ketakutan, sehingga malaikat itu memperkenalkan dirinya sebagai malaikat, baharulah Nabi Luth as kembali tenang.

6.0] Hanya Nabi Muhammad saw seorang sahajalah yang masih dapat mengenali malaikat walaupun malaikat itu menjelma sebagai manusia. Ketika Jibril datang ke Madinah, semua sahabat melihatnya sebagai seorang lelaki yang sangat tampan, bersih, berpakaian putih, rambutnya panjang sedikit, disisir rapi. Persoalan difikiran para sahabat ialah jika dikatakan lelaki itu orang Madinah, kenapa tiada yang mengenalinya? Jika orang dari jauh, kenapa tiada kesan-kesan kepenatan atau keletihan? Tetapi nampaknya sudah akrab dengan Nabi saw. Datang duduk berhadapan dengan menyentuhkan lututnya dengan lutut Nabi saw  lalu bertanya;

Apa itu Iman? Nabi saw menjawab.
Apa itu Islam? Nabi saw  menjawab.
Apa itu Ihsan? Nabi saw menjawab. Nabi saw menjawab semua soalan dengan lancar dan tenang.

Pada setiap pertanyaannya yang Nabi saw jawab, orang itu berkata, "Sodaqta, awak benar". Para sahabat yang melihat merasa pelik, kerana yang bertanya tetapi sudah mengetahui jawapannya. Kemudian orang itu bertanya lagi, "Bila itu kiamat?", dan dijawab Nabi saw , "Orang yang ditanya tidak lebih daripada yang bertanya". Lalu diubahnya soalan kepada "Apa tanda-tanda kiamat?" Barulah Nabi saw menjelaskan satu persatu. Setelah itu tamu itu pun berlalu. Nabi saw lantas bertanya kepada para sahabat, "Kamu tahukah siapa yang datang tadi?" Sahabat berkata, "Hanya Allah dan Rasulnya yang tahu." Nabi saw menjawab, "Itulah Jibril, datang ketempat ini untuk mengajarkan kamu agama kamu".

[Nota: Sahabat pernah melihat Jibril dalam bentuk asalnya]

7.0] Malaikat datang membawa dua khabar didalam ayat 31 ini, iaitu khabar gembira dan khabar buruk kepada Nabi Ibrahim as. Khabar gembira, bushro diceritakan dahulu dari khabar yang buruk, iaitu Nabi Ibrahim as akan dikurniakan zuriat. Ini tanda atau bukti bahawa Allah SWT menunjukkan sifat Latif-NYa kepada Nabi Ibrahim Khalilullah. Ada dua kelembutan latiifatan dalam ayat ini, milik Allah, dari Asma' Allah yang ditunjukkan melalui bashiir khabar baik dan munzir khabar buruk yang mana Allah mendahulukan cerita dengan khabar baik dahulu daripada khabar buruk.

8.0] Bashiir iaitu khabar gembira untuk Nabi Ibrahim as ialah bahawa dia akan dikurniakan ghulamin 'alim, anak yang bijak kesan dari Rahmat Allah kepadanya, manakala khabar yang buruk munzir pula ialah untuk kaum Nabi Luth as yang menunjukkan kesan Amarah Allah terhadap kaum itu. Kenapa berita tentang kaum  Nabi Luth as itu disampaikan kepada Nabi Ibrahim as? Sebabnya ialah kerana mereka hidup dimasa yang sama dimana Nabi Luth as adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim as dan yang pertama sekali mengimani kenabian Nabi Ibrahim as dan yang bersama berhijrah dari negeri Iraq ke Negeri Syam.

9.0] Ketika Allah menyampaikan berita baik kepada Nabi Ibrahim As, Allah tidak menyebutkan apa sebab atau alasannya sementara ketika Allah menyampaikan berita buruk yang akan menimpa kaum Nabi Luth as, Allah menyebutkan sebabnya. Kenapa sedemikian? Dari segi Asma' Allah, apabila Allah menimpakan azab kepada hambanya yang berdosa, Allah sedang menunjukkan sifatnya Al-'Adlu Yang Maha Adil, tetapi ketika Allah sedang menunjukkan kasih sayang, balasan kebaikan, rahmat dan pahala kepada hambanya yang beriman, Allah sedang menunjukkan sifat Ar-Rahman Ar- Rahim Al-Karim yang mana adalah lebih banyak dan bukan tandingannya dengan amalan hambanya itu. Berapalah sangat pahala dari amalan seperti solat, zikir, sedeqah kita dan sebagainya bila dibandingkan dengan rahmat kurniaan Allah kepada kita.

Contoh:
i) Berapakah nilai markah apabila seseorang tersenyum kepada kawannya? Mudah dan tidak perlu kepada modal tetapi Allah beri pahala yang sangat besar.

ii) Jika seseorang pergi menziarahi kawannya semata-mata dengan niat kerana Allah, tidak sepayah mana pun, tetapi tahukah kita bahawa setiap langkahnya itu penghapus dosa?.

10.0] Apabila Allah ingin memberi balasan baik kepada hamba-Nya, akan digandakan samada sepuluh kali atau tujuh ratus kali atau dengan gandaan yang tidak terhitung dan tidak disebut sebab alasannya kerana tidak seimbang langsung dengan amalan kita yang sedikit itu. Sabda Nabi saw, "Tidaklah amalan seseorang kamu yang memasukkan kamu kedalam syurga". Terkejut sahabat mendengar hadith Nabi saw ini, lantas bertanya, "Adakah kamu juga?" Nabi saw menjawab,"Ya aku juga, semua hanyalah dari rahmat kurniaan Allah. Hanya saanya untuk mendapatkan rahmat itu hendaklah dijolok dengan amal soleh. Tanpa galah (amal soleh), tidak akan dapat dijolok Rahmat Allah itu. Makin tinggi galahnya semakinlah dapat menjolok Rahmat yang baik-baik". Amal soleh itu ibarat alat untuk menjolok Rahmat dan Rahmat ini ialah tanda Latiif Allah. Kelembutan yang kedua yang menunjukkan Asma' Allah  ialah Allah membalas kebaikan dengan berganda-ganda.

11.0] Apabila menceritakan tentang balasan kebaikan, Allah tidak menyebut alasan, tetapi tentang balasan keburukan disebut alasan. Kata mufassir Ar-Radzi, "Ini kerana kurniaan Allah itu tidak mungkin dapat dibalas". 

Contoh: Untuk mendapatkan syurga, berapakah nilainya? Memang kita tidak akan boleh masuk ke syurga sebab tidak akan seimbang dengan amal kita. Hanya Allah menyuruh kita melakukan amal soleh. Maka dapatkanlah galahnya dengan amal soleh. Mengerjakan solat sehari semalam, puasa, zakat, haji, dan sebagainya namun tidak akan dapat seimbang juga, sebab Allah sebenarnya memberi balasan baik jauh melebihi perbuatan baik kita.

Contoh: Berapa kita perlu bayar untuk dapat tidur di Buruj Arab? Katakan dalam ukuran kitalah, berapa bayarannya yang perlu kita bayar dengan kita bekerja sepanjang hidup untuk mendapat kenikmatan dunia ini. Untuk makanan yang sedap-sedap, untuk pakaian yang cantik-cantik dan untuk berapa lama. Inikan pula untuk mendapatkan syurga yang kekal abadi. Sebagaimana yang terdapat gambaran didalam surah Al-Waqiah, syurga yang bertempat di Jannatun-Naim, tempat yang bagus. Disebut tentang makanan minumannya, tempat rehatnya, cara menikmatinya, teman bercengkeramanya, tempat bercengkeramanya. Pasangan syurga yang tidak mata keranjang, yang cintanya hanya untuk pasangannya seorang. Pasangan yang cantik, sempurna, kekal abadi.

Orang sekarang ini pun jika memilih tempat tinggal akan bertanya tentang kawasan tersebut, seperti jika disebut di Puncak Kayangan atau di Parit Lumpur, nama tempat itu sendiri pun sudah ada harga nilaiannya.

12.0] Berbeza dengan balasan keburukan, dimana didalam neraka, disebutkan soal jawabnya, ditanyakan alasannya, dan dijawab oleh orang yang berdosa, "Dahulu kami tidak solat, kami tidak menangani anak yatim dan miskin dan sebagainya". Allah tidak melebihkan balasan siksa kepada hambanya yang derhaka tetapi membalas setimpal dengan perbuatan jahatnya.

13.0] Kembali kepada kisah Nabi Ibrahim as yang dikurniakan anak keduanya Ishak, ghulaamin 'alim selepas mendapat anak pertama Ismail, ghulaamin halim, adalah sudah cukup sempurnanya rahmat dari Allah disegi kurniaan anak kepadanya. Anak kita bagaimana? Adakah 'alim? Adakah halim?

Allah tidak sebut bahawa sebabnya kurniaan itu ialah kerana Nabi Ibrahim as rasulnya, atau sebab Nabi Ibrahim as sabar atau seorang yang gigih dalam menegakkan aqidah. Tetapi lantaran janji Allah bahawa minima balasan baik kepada hambaNya adalah sepuluh kali ganda atau sehingga tujuh ratus kali ganda atau sehingga Allah gandakan dengan gandaan yang tiada bandingannya.

14.0] Sebaliknya pula ruginya, sengsaranya, celakanya kaum Nabi Luth as yang ditimpa azab dan musibah dalam keadaan mereka zalim. Musibah boleh jadi sebagai rahmat bagi seorang mukmin atau seorang muslih yang sabar manakala musibah boleh jadi sebagai azab bagi orang yang zalim, kafir atau mushrik. Walau pun bentuk musibah itu sama.

Contoh: Tsunami di Acheh pada tahun 2004. Kesannya dirasai di Acheh, di Malaysia sini, juga di Thailand, sehinggakan ada satu pulau yang sudah lenyap dari muka bumi. Ratusan ribu manusia yang telah menjadi korban. Musibahnya sama sahaja, mangsa terkorban mungkin sebab mati lemas atau sebab tertelan lumpur panas atau lain-lain punca. Mati  iaitu proses jiwa meninggalkan jasad, tetapi tahukah kita musibah Tsunami itu menjadi rahmat bagi sebahagian mangsa dan menjadi azab bagi sebahagian yang lain. Bagi kanak-kanak yang belum baligh, kematian mereka menjanjikan syurga tanpa hisab. Bagi orang mukmin yang mati didalam  husnul khootimah, yang hanya Allah Yang Maha Mengetahui balasan untuk mereka, juga akan masuk ke syurga. Tetapi bagi orang yang zalim, yang sedang berpesta sempena Hari Krismas, umat Kristian yang  pada ketika itu meraikan tuhan mereka, begitu juga ada sesetengah pemuda Muslim yang turut sama melakukan maksiat ketika itu, lalu mati semua ketika itu, maka Tsunami itu telah menjadi azab bagi mereka.

15.0] Oleh itu janganlah terlalu takut kepada musibah yang menimpa tetapi takutlah akan keadaan kecelakaan ketika ditimpa musibah itu. Apa takutnya jika mati ditimpa musibah jika mati dalam keadaan baik husnul khootimah. Jangan ditangisi orang atau anak-anak yang mati ketika Tsunami ini. Mungkin anak -anak itu berkata, "Jangan lah ditangisi saya yang nak pergi ke syurga tetapi eloklah tangisi diri sendiri yang belum tentu nasib diri". Walaupun musibah sama, cara kematian sama, tetapi didalam rekod Allah tidak sama.

16.0] Perasaan takut mati adalah wajar secara fitrah, tetapi ia tidak boleh untuk melambatkan ajal atau menambahkan usia. Sebaliknya hendaklah kita lebih takut akan keadaan ketika kita mati, samada adakah didalam keadaan mu'min atau di dalam  keadaan zalim terhadap diri. Itulah yang perlu kita usahakan.

17.0] Kezaliman Kaum Nabi Luth as itu bukan sekali sekala tetapi berterusan, terus menerus dalam kezaliman. Bagaimana kita tahu keadaannya terus menerus? Rujuk kembali ayat 31 diatas dimana terdapat istilah kaanu yang membawa makna berterusan. Bagaimana pula kita tahu bahawa kezaliman mereka itu maksima? Dari istilah zhoolimin diakhir ayat. Pengakhir ayat 31 itu menunjukkan Kaum Nabi Luth as itu berterusan dalam maksiat dan mereka adalah orang yang zalim. Kezaliman mereka ini bukan kezaliman amatur (kecil) tetapi adalah kezaliman besar dari istilah isim faa'il zhoolimin yang membawa makna kesempurnaan atau kemantapan.

Contoh: Antara menyanyi dengan penyanyi. Ali menyanyi ketika dia sedang menyanyi, tetapi jika Ali sedang tidur, kita tidak boleh katakan dia sedang menyanyi. Manakala jika Ali penyanyi, dia dikatakan penyanyi walaupun sedang tidur.

Contoh: Seorang yang mengumpat, kalau dia sedang tidur, dia tidak dipanggil pengumpat tetapi jika dia dipanggil pengumpat, walau pun dia sedang tidur tetap dipanggil pengumpat. Predikat yang telah melekat pada diri, tahap maksima sifatnya yang dilakukan berterusan. Bayangkan orang yang sebegini sifatnya, kezalimannya maksima dilakukan berterusan dan ketika berlaku musibah sedang melakukan maksiat, tentulah akan menambahkan tingkatan dosanya. Lalu Allah timpakan musibah dan ditimpa azab yang semakin bertambah. Siksaan neraka juga ada berperingkat dan juga bertambah dalam keadaan ini. Sabda Nabi saw, seringan-ringan azab di neraka ialah memakai capal dari api yang menyebabkan otak menggelegak. Na'uzubillah.

18.0] Bagi orang yang baik, dosa tiada, hati sabar, imannya kuat, jika sedang sakit sekali pun, ketika hampir mati, ketika ihtidhor tidak akan merasa sakit bersangatan. Proses kematian ketika nyawa dan jiwa dalam proses meninggalkan jasad itu dipanggil ihtidhor. Masa ihtidhor itu orang akan alami sakaratul maut, tidak sedarkan diri, mabuk, hilang ingatan. Nabi bersabda, "Aku rasai sakit sakaratul maut, sesungguhnya kematian itu ada sakarat". 

Setiap orang akan menghadapi ihtidhor dan sakarat yang sakit, tetapi bagi orang yang baik, mukmin, tiada dosa, sakitnya kurang, ibarat menarik rambut didalam tepung. Oleh itu orang yang mati syahid ketagih untuk mati lagi. Contoh Jabir bin Abdullah yang sedih untuk mengambil tugas ayahnya yang mati syahid. Nabi saw memberitahu bahawa, "Allah berkata-kata dengan ayahmu dengan berhadapan. Ayahmu rupa-rupanya meminta untuk dihidupkan sekali lagi untuk berperang dan berjuang lagi serta mati sekali lagi. Allah tidak kabulkan kerana tiada orang yang mati dua kali".

19.0] Orang yang mati syahid atau orang yang baik, matinya kurang sakit tetapi bagi orang yang mati didalam keadaan dirinya zalim merasai siksa dan nazak yang sangat sakit. Nazak itu ialah proses menarik, mencabut nyawa dengan kuat. Direntap seolah dicabut mata kail dari daging. Tentulah sangat azab dan hanya dirasai oleh orang kafir. Didalam Al-Quran ada surah An-Naaziaat tentang malaikat yang mencabut.

20.0] Kematian ada dua jenis, iaitu yang husnul khootimah, pengakhir yang baik bagi orang mukmin, dan tidak menghadapi nazak dan suul khootimah, iaitu pengakhiran yang buruk yang akan disertai nazak. Oleh itu janganlah disebut seseorang itu sedang nazak bagi orang mukmin. Kematian husnul khootimah hanya mengalami ihtidhoor dan sakarat dan tidak nazak. Berlaku keatas orang mukmin walaupun dalam kematian akibat eksiden dan sebagainya. Walau bagaimana pun ada terdapat ikhtilaf dalam hal nazak ini. Bagi kematian didalam husnul khootimah, hayatilah surah Al-Fajr ayat 27 hingga ayat 30 yang bermaksud;

"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan redho yang diredhoi. Lalu masuklah kedalam golongan hamba-Ku. Dan masuklah syurga-Ku". Aamiin.

21.0] Kalimah tanaza'a saling tarik menarik, ada disebut  dalam Al-Quran, iaitu situasi apabila A dan B saling memaksa dan itu adalah haram. Manakala jika A dan B hanya berbeza pendapat dan tidak memaksa dipanggil ikhtilaf dan itu adalah halal. Apabila kamu diperingkat tanaazu', segeralah kembali kepada Allah dan Rasul. Hindarilah salah faham disegi ini.

22.0] Kaum Nabi Luth as sangat sengsara, rugi dan celaka kerana ketika ditimpa musibah, ketika kematian mereka adalah didalam melakukan kezaliman yang berterusan lalu mendapat azab yang berterusan juga. Walaupun begitu, namun masih setimpal dengan perbuatan jahat mereka. Maqooyis, penanda aras, alat pengukur bagi kita dengan Allah adalah tidak sama. Contoh: Membinkan anak angkat dengan nama bapa angkatnya. Didalam Al-Quran, Allah kata itu suatu yang dahsyat tetapi bagi yang melakukannya merasa tiada apa pun sebab penanda aras berbeza. Demikian juga amal baik, mungkin bagi kita agak kecil tetapi bagi Allah sangat besar. Oleh sebab itu, jika ingin berjaya pastikanlah dalam menilai sesuatu perbuatan dosa atau pahala, berusahalah menilai sebagaimana Allah menilai supaya tidak terpedaya selama-lamanya.

23.0] Apa kata jika balasan mengumpat dinampakkan sekarang? Tentulah tiada orang yang mengumpat kerana setiap kali mengumpat akan dinampakkan dia sedang memakan bangkai saudaranya sendiri. Mengumpat itu satu dosa besar, iaitu bagi orang yang ada pahala boleh muflis. Tetapi bagi orang miskin tiada istilah muflis.

24.0] Didalam Al-Quran, ada diberitahu supaya Nabi Muhammad saw dan umatnya mengambil Nabi Ibrahim as sebagai uswah hasanah, contoh teladan yang baik. Seperti mana didalam surah Al-Mumtahanah ayat 4. Teladan bagi kita bukan idola (idol), itu bahasa syirik. Rujuk surah Al-Mumtahanah ayat 4 tentang Nabi Ibrahim as:


25.0] Apa uswah hasanah Nabi Ibrahim as yang patut kita ikuti dan teladani didalam ayat 31 ini? Apa reaksi Nabi Ibrahim as ketika mendapat berita gembira? Didalam ayat 31 ini tidak diceritakan reaksi Nabi Ibrahim as. Bagaimana pula reaksi Nabi Ibrahim as ketika mendapat berita tidak baik tentang keburukan yang akan menimpa kaum Nabi Luth as? Reaksinya dihubungkan didalam ayat 32 surah Al-Ankabut ini,


Nabi Ibrahim as tidak menzahirkan reaksi gembira ketika mendapat berita akan dikurniakan zuriat yang telah lama mereka harapkan. 

Berbeza dengan Nabi Zakaria as yang lama memohon untuk mendapatkan zuriat, isterinya pula 'aaqir iaitu mandul yang mustahil untuk mendapatkan anak. Apabila Allah kata "Aslahna zaujah". Allah sendiri yang memungkinkannya mengandung, Nabi Zakaria as terkejut dan menyambutnya dengan gembira lalu menyuruh kaumnya bertasbih siang malam. Sebaliknya Nabi Ibrahim as lebih ghalaw, lebih cepat responnya apabila mendapat berita buruk bahawa kaum Nabi Luth as akan ditimpa azab. Nabi Ibrahim as lebih menunjukkan perhatian atas musibah orang lain daripada menunjukkan perasaan gembira hatinya sendiri.

26.0] Contoh: Apabila kita mendapat berita kita dinaikkan pangkat tetapi dimasa yang sama kawan baik kita pula telah dipecat. Bagaimana reaksi kita? Yang mana kita lebih respon dahulu?.

27.0] Seorang Ibrahim tidaklah disibukkan dengan kegembiraan dirinya dan mengabaikan kesusahan orang lain jika pada masa yang sama orang lain sedang mengalami keburukan.

28.0] Mensyukuri nikmat memang wajib tetapi jika nikmat yang dikurniakan kepada kita bersamaan masanya dengan turunnya musibah bencana kepada saudara kita yang perlu pertolongan kita, hendaklah kita dahulukan menolong yang susah itu dahulu.

24.0] Minima mensyukuri nikmat hendaklah dengan hati dahulu sebelum bersyukur dengan amal dan lisan. Hendaklah berkata "Haaza min fadhli Robbi", "Ini dari kurniaan Tuhanku", seperti yang terdapat di dalam surah An-Namlu ayat 40. Tuhanku ingin menguji samada aku bersyukur atau kufur. Boleh juga mengatakan seperti didalam surah Al-Kahfi, "Maa syaa Allah la quwwata illa billah". Bukan mengatakan "Alhamdulillah", yang biasa kita katakan tetapi sebenarnya kurang sesuai. 

25.0] Inilah Nabi Ibrahim as, pada saat dia berhak untuk bergembira dan pada saat yang sama ahlinya, anak saudaranya sedang ditimpa musibah, dia tahan, tangguhkan kegembiraannya. Fikirannya lebih tertumpu kepada saudaranya.

Contoh: Ketika kita sedang menikmati hidangan yang banyak, lazat-lazat, dan ada kalanya sampai membazir, bila mengingat dimasa yang sama juga ada saudara kita ditempat lain yang sedang kebuluran, kita tidak akan dapat makan berlebihan dan tidak akan sampai hati untuk membazir dalam menghadapi hidangan nikmat Allah itu.

Contoh: Ketika berbuka puasa dibulan Romadhon, dengan pelbagai juadah dihadapan kita, tetapi jika kita teringat ada saudara kita yang muslim sedang kelaparan, kebuluran sepanjang masa. Itu pun sudah dikira mencontohi Nabi Ibrahim as. Iaitu kita tidak larut dalam keseronokan, tidak hanyut dalam kegembiraan anugerah Allah. Walaupun nampak remeh tapi balasannya sangat besar sebab ini adalah amalan Nabi Ibrahim Khalilullah. Ini adalah perintah Allah didalam Al-Quran bukan dari sunnah.

26.0] Selepas Nabi Ibrahim as mendapat  berita daripada malaikat bahawa yang akan disiksa ialah Kaum Nabi Luth as yang jahat sahaja dan Nabi Luth as serta pengikut setianya akan diselamatkan, barulah Nabi Ibrahim as tenang setenangnya apabila didatangi ayat 32 surah Al-Ankabut ini.

27.0] Orang yang mengambil berat penderitaan orang lain ketika dia sedang senang, itulah yang susah didapati. Jika kita susah dan dia juga susah, tidak dapatlah diselesaikan masalah. Begitu juga jika yang mengambil berat bagi orang sakit itu ialah orang yang sihat maka selesailah masalah.

28.0] Ada nilai moral, ada panduan akhlak yang luar biasa dalam kedua ayat ini dan tarafnya adalah paling tinggi sebab tercatit didalam Al-Quran. Maka tiada pilihan lain melainkan kita perlu ikuti walaupun nampak remeh dan kecil sahaja. Moga bermanafaat.


  

1 comment:

  1. I am really impressed with your blog article, such great & useful knowledge you mentioned here. Your post is very informative. I have read all your posts and all are very informative. Thanks for sharing and keep it up like this.
    https://faizanquranacademy.com/quran-academy/
    female quran teacher

    ReplyDelete