Tuesday, May 17, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 32) Kuliah 32- Ujian, Kalimah Barooah, Walaa', Tasliah,Ta'ziah

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 32:

Sebahagian cerita telah dijelaskan dalam kuliah minggu lepas tentang sifat mulia Nabi Ibrahim as yang lebih suka mengambil berat tentang penderitaan orang lain daripada tenggelam dengan kegembiraan bagi diri sendiri. Itulah contoh hati agama, inti agama, yang tidak boleh dibuat-buat tetapi keluar dari jiwa yang hanif dan perlu sekali untuk kita hayati dan teladani.

2.0] Pemilihan kosakata yang tepat sekali dalam ayat ini dimana Nabi Ibrahim as berkata, "Inna fiiha Luuthan", "Sesungguhnya di negeri yang Kamu hendak hancurkan itu ada Luth". Kalimah fiiha digunakan dan bukan minha. Kenapa? Ini adalah untuk menunjukkan bahawa Nabi Luth as bukanlah penduduk asal negeri tersebut. Dia datang dari Negeri Babilonia dan dia bukan pribumi tempat itu. Nabi Luth as adalah muhaajir iaitu orang yang berpindah atau berhijrah kesitu.

[Nota: Ada perbezaan makna antara kalimah hajara dengan haajiru. Haajara ialah orang yang berhijrah bukan untuk menetap, walaupun sudah memakan masa yang lama, manakala muhaajiru ialah orang yang berhijrah dengan niat ingin menetap ditempat baharu itu. Oleh sebab itulah orang-orang mukmin Mekah yang berhijrah ke Madinah dipanggil muhaajirin kerana mereka telah meninggalkan kampung halaman, tanahair, harta benda, keluarga yang tidak seiman dengan mereka untuk berpindah dan menetap di tempat yang belum pernah mereka pergi]

3.0] Nabi Luth as adalah muhaajir yang tidak akan balik semula ke negerinya Babilonia. Begitu juga dengan kebanyakan kita disini yang mana nenek moyang kita juga mungkin muhaajirin.

4.0] Nabi Ibrahim as menunjukkan belas kesihan dan mengambil berat tentang keadaan Nabi Luth as. Setelah para malaikat memberitahu jaminan Allah untuk menyelamatkan Nabi Luth as dan pengikutnya, barulah Nabi Ibrahim as kembali tenang. Namun malang sekali kerana isterinya minal ghoobirin termasuk orang-orang yang tertinggal dan dibinasakan. Apa kesalahan isteri Nabi Luth as? Di dalam Al-Quran surah At-Tahrim ayat 10, Allah menceritakan bahawa  isteri Nabi Luth as dan isteri Nabi Nuh as yang berada dibawah jagaan kedua hamba yang soleh, namun malang sekali kerana kedua-duanya mengkhianati suami masing-masing, maka mereka dibinasakan.

5.0] Ibnu Abbas dalam tafsirnya mengatakan  bahawa bukan mereka curang atau tidak mempercayai ajaran suami mereka dari segi zahir. Tiada tanda-tanda khianat dari segi zahir kerana mereka tidur sekasur, mandi sesumur dan makan sedapur tetapi rupa-rupanya hati mereka menolak ajaran suaminya bahkan pernah memberitahu kaumnya bahawa suaminya majnun. Sejak dari zaman Nabi Nuh as sehingga kezaman Nabi Muhammad saw, nabi-nabi dikatakan majnun (gila).

6.0] Ada lagi perbuatan khianat isteri Nabi Luth as iaitu dia adalah orang yang pertama memberitahu kaumnya bahawa Nabi Luth as sedang menerima tamu, lelaki muda tampan dirumahnya.

7.0] Dalam hadith soheh daripada Ibnu Abbas yang diriwayatkan daripada Imam Al-Hakim, juga daripada Al-'Alamah Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya, menyatakan bahawa kedua-dua isteri Nabi itu bukan menderhakai atau kufur-mengkufurkan. Dari segi zahir nampak kecil sahaja tetapi hakikatnya mereka ialah sebagai munafik. Bagi isteri Nabi Luth as dia terlibat dalam maksiat itu sebagai pemberi maklumat walau hanya dengan sepatah kata.

[Oleh itu hendaklah berhati-hati dalam memberi maklumat dari segi maksiat atau pun penderhakaan walaupun hanya dengan sepatah kata, dalam kehidupan hari ini seperti melalui sms dan sebagainya]

8.0] Imam Ibnu At-Taimiyah dalam tafsir Al-Kabir menyatakan bahawa dari segi zahir isteri kedua-dua Nabi itu nampaknya mengikuti agama suami mereka tetapi didalam hati condong kepada mengkhianati suami masing-masing. Khianat mereka bukan berkaitan dengan Al-Firosh (tempat tidur).

9.0] Perkahwinan diantara mukmin dengan mushrik pada masa itu adalah diharuskan, sebagaimana di dalam syariat Nabi Muhammad saw diawal era kenabian. Semasa Nabi saw berada 13 tahun di Mekah, perkahwinan campur masih dibolehkan walau pun berbeza agama. Bila Allah haramkan? Setelah Nabi saw menjadi nabi iaitu pada tahun 6 Hijriah, iaitu usai Nabi saw menandatangani Perjanjian Damai Hudaibiah dengan orang kafir Quraish. Larangan perkahwinan campur antara mukmin dengan musyrik terdapat didalam surah Al-Baqarah ayat 221.

10.0] Satu diantara butiran Perjanjian Damai Hudaibiyah ialah apabila ada orang Islam Madinah lari ke Mekah untuk jadi murtad maka tidak perlu dihantar balik manakala jika ada orang Mekah lari ke Madinah perlulah dihantar balik. Walaupun tidak boleh diterima, tidak adalah peperangan selama 10 tahun diantara  mukmin dengan orang kafir. Perjanjian itu sepatutnya berakhir pada tahun 16 Hijriah. Selepas tahun 16 Hijriah, ada pula perempuan mukminah Mekah yang berhijrah ke Madinah kerana tidak tahan bercampur dengan suami yang kafir. Nabi saw serba-salah samada hendak menghantar mereka balik atau tidak. Didalam keadaan serba-salah itulah turunnya ayat yakni Allah yang menceraikan mereka dan tidak boleh dihantar balik  seorang isteri mukmin kepada suaminya yang kafir.

11.0] Suami yang kafir berhak menuntut apa yang pernah diberikan kepada isterinya manakala suami yang mukmin juga berhak meminta balik maskahwin isterinya yang masih kafir. Umar terus menceraikan isterinya yang masih kafir. Dalam Islam selama 19 tahun Nabi saw menjadi nabi baharulah perkahwinan mukmin mushrik ini diharamkan. Selagi Allah belum mengharamkan sesuatu, maka tidak haram, tetapi setelah Allah mengharamkan, wajiblah kita tinggalkan. Itulah agama. Mengharamkan dan menghalalkan sesuatu adalah dari Allah, hak Allah yang mutlak.

12.0] Kenapa sekarang kita tidak makan babi? Sebab Allah larang. Apakah jika Allah tidak haramkan babi, kita akan memakannya? Terpulanglah. Perkahwinan berbeza agama itu pun baru diharamkan 3 atau 4 tahun sebelum Nabi saw wafat. Adalah susah untuk kita bayangkan sebab kita tidak hidup dizaman turunnya Al-Quran itu.

13.0] Sebenarnya ada beberapa hikmah disebalik perkahwinan antara dua hamba Allah yang berbeza keyakinan atau agama ini. Secara khas ialah perkahwinan Nabi Luth as dengan isterinya yang bernama Waahilah atau Waali'ah. Hikmah yang terdapat didalam perbezaan keyakinan antara Nabi Luth as dengan isterinya ialah:

i) Bahawasanya diantara seseorang dengan orang lain adalah nafsi-nafsi, Allah tidak mengambil kira hubungan nasab, masalah balasan adalah nafsi-nafsi. Nabi Luth as tidak menanggung dosa isterinya. Kedekatan isterinya dengan suami seorang nabi tidak memberi apa-apa manafaat di akhirat. Bererti nabi pun tidak dapat menolong ahlinya. Kalau begitu apalah untungnya menjadi isteri nabi jika ia sendiri mendurhakai Allah. Begitu juga dengan isteri ustaz atau imam atau suami kepada ustazah, hafizah. Tidak ada kebanggaan disegi balasan kerana Allah melihat secara perseorangan. Di akhirat kedekatan hubungan itu tidak boleh memberi apa-apa faedah tetapi di dunia masih boleh saling mengambil faedah. Contoh jika suami mendapat gelaran, maka isteri pun mendapat gelaran, tetapi apabila isteri yang mendapat pingat, suami tidak pula dapat.

ii) Ini adalah sebagai ujian bagi Nabi Luth as, Nabi Nuh as dan Nabi Ibrahim as. Nabi Luth as dan Nabi Nuh as diuji oleh Allah dengan isteri yang diharapkan beriman, menyokongnya dan dapat bergandingan ke syurga namun tidak sedemikian, manakala Nabi Ibrahim as diuji dengan bapanya yang sepatutnya menjadi penyokong kuatnya sebaliknya menentangnya.

14.0] Ujian dalam agama biasanya datang daripada orang yang paling dekat. Kalau seorang nabi yang menyeru orang lain untuk menyembah Allah lalu yang tidak mahu mengikutinya ialah ahlinya sendiri, tentu sekali akan sangat tertekan. Pendakwah atau ustaz, yang cakapnya diikuti oleh orang lain tetapi bila ahli sendiri yang tidak ikuti, tentu sekali menghadapi stress tekanan yang hebat. Ini ujian baginya.

Contoh: Seorang guru yang mengajar anak orang lain sehingga menjadi pandai manakala anak sendiri sangat susah untuk dididik. Ini ujian bagi guru itu. Bukan Allah hendak mendera hamba-Nya, tetapi adalah untuk meningkatkan darjah seseorang. Semakin tinggi dan berat ujian ibtila' maka semakin tinggi darjahnya. Terserah kepada seseorang itu  untuk menghadapinya.

15.0] Nabi Muhammad saw ketika lahirnya disambut oleh bapa saudaranya Abu Lahab atau  nama sebenarnya Abu Uzza dengan gembira dan meriah sekali. Pengorbanan Abu Lahab menyumbang seorang hamba tanda terlalu gembira dengan kelahiran Nabi saw. Tetapi setelah Nabi saw mula-mula menjadi Rasul, Abu Lahablah orang yang mula-mula menentang dengan keras perjuangan Nabi saw. Ini ujian yang sangat berat bagi Nabi saw. Sehingga ada surah Al-Masad yang menceritakan  tentang diri Abu Lahab dan isterinya (Ummu Jamil).

16.0] Didalam Al-Quran, orang Islam dilarang untuk ada belas kesihan ketika menghadapi orang kafir di medan perang, walaupun ada hubungan keluarga. Contoh, Abu Talib, Abbas bin Abdul Mutallib  yang tertawan dalam perang Badar ada hubungan keluarga dengan Nabi saw. Selama 15 tahun Nabi saw menjadi nabi, Abbas masih kafir dan menjadi tawanan perang, padahal putranya Abdullah bin Abbas, Nabi saw yang membesarkannya. Itulah ujian jika ahli keluarga sendiri yang menentang.

17.0] Tugas kita hanyalah untuk terus menerus berdakwah dan menegur bukan kejayaaan atau hasilnya yang patut difikirkan. Lakukan dakwah dengan kadar yang maksima  dan jangan berputus asa kerana pertanyaan Allah nanti bukan tentang berapa ramai pengikut kita tetapi, "Adakah apa yang Aku suruh kamu sampaikan sudah kamu sampaikan?" Ini juga ujian bagi pendakwah.

18.0] Nabi pun tidak diwajibkan untuk membilang kejayaan  tetapi tugas nabi-nabi pun hanya untuk menyampaikan, menjelaskan dan selebihnya terserah kepada Allah.

19.0] Kita umat Nabi Muhammad saw, dan bukan umat Nabi Yunus as. Oleh itu kita kenalah mengikuti cara Nabi kita berdakwah, iaitu tidak boleh berputus asa. Nabi pun jika marah dan berputus asa seperti Nabi Yunus as, dibalas Allah dengan ditelan oleh ikan sehinggalah  beliau mengaku kesilapan dan kelemahan diri dengan sehabis daya. Apa lagi jika kita yang marah, apa agaknya balasan Allah? Oleh itu janganlah kecewa dalam hidup ini. Allah telah menetapkan ganjaran untuk hambanya yang telah berdakwah menyampaikan sesuatu yang sama dengan suruhan Allah. Terimalah qadha Allah untuk hambanya. Ujian dari Allah.

20.0] "Jangan terlalu mengharapkan kemeriahan bagi sesuatu itu", itu pesanan daripada orang alim dahulu. Cara agama jika mengharapkan kemeriahan atau gah yang berlebihan ditakutkan meriah hanya dalam pandangan manusia tetapi gelap pada pandangan makhluk langit.

Contoh: Ibadat sunat qiyamullail yang dilakukan oleh orang yang ikhlas, bangun beribadat kepada Allah dimalam sepi, sendirian tiada orang lain yang nampak. Mungkin suasana kelihatan sepi, tidak seronok, sepi dalam pandangan manusia tetapi tidak sedemikian didalam pandangan para malaikat. Keadaan akan jadi lain jika ibadah qiyamullail itu yang hanya dilakukan setahun sekali dengan mengadakan borang jemputan dengan  menyebut sekali hidangan istimewa yang disediakan. Terus mendapat sambutan meriah dan menjadi bualan tentang sedapnya hidangan dan sebagainya. Ditakuti budaya ibadah itu  sudah lari dari matlamat dan hakikat asalnya. Daripada Ibnu Qayyim Jawziyah, "Sulit sekali untuk menjaga keikhlasan hati dan niat". Itu ujian pada hati.

21.0] Ibadah sunat eloklah dilakukan dirumah untuk menjaga keikhlasan hati kecualilah solat-solat sunat seperti solat sunat tahiyyatul masjid atau solat sunat istisqa' dan sebagainya yang elok berjemaah. Bagi seorang lelaki pula adalah dituntut untuk solat fardhu berjemaah dimasjid. Tetapi jika ada orang yang terus pulang kerumah setelah usai solat fardhu untuk solat rawatib dirumahnya mungkin disalah anggap oleh orang lain. Padahal orang itu adalah orang yang lebih tahu tentang hadith Nabi saw. Islam itu milik Allah, asalkan segala perilaku adalah lillaahi ta'ala semata-mata kerana Allah maka ganjaran adalah pasti dari Allah. Itu ujian dalam ibadah.

25.0] Nabi Muhammad saw berdakwah bermati-matian sepanjang hayatnya. Adakah Nabi saw dipertanggung jawabkan bila tidak semua kaumnya mengikutinya? Tidak.

26.0] Nabi Nuh as yang berdakwah lebih kurang seribu tahun namun boleh dibilang dengan jari kaumnya yang mengikutnya. Semua itu adalah ujian yang harus dihadapi oleh setiap hamba Allah.

27.0] Nabi Luth as dan Nabi Nuh as diselamatkan dalam ujian masing-masing namun isteri-isteri mereka dibinasakan. Apa pengajarannya? Seorang mukmin wajiblah bersifat barooah dan walaa'. Dari kalimah toyyibah,  "Laa ilaaha illalloohu," dipecah kepada dua bahagian, dimana kalimah Laa ilaaha adalah al-barooah dan kalimah illalloohu adalah al-walaa'.

i) Al-Baro'- secara bahasa bererti terbebas atau lepas, dan secara istilah bererti memberikan permusuhan dan menjauhkan diri dan didalam keadaan kita ialah penafian kepada selain Allah.

ii] Al-Walaa' dari wala, wali - secara bahasa bererti dekat sedangkan secara istilah bererti memberikan pemuliaan penghormatan dan selalu ingin bersama yang dicintainya baik lahir mahupun batin dan didalam keadaan kita ialah patuh, setia, cinta hanya terhadap Allah SWT semata-mata.

28.0] Nabi Luth as seorang rasul, dimana cintanya Al-Walaa'nya hanya kepada Allah SWT semata-mata dan kepada isterinya Al-Barooah. Nabi Luth as tidak boleh merasa kesihan atau terkilan atau rasa tidak adil ketika Allah hendak membinasakan isterinya. Begitulah juga bagi kita, tidak boleh merasa semacam Allah tidak adil apabila ahli kita, atau orang terdekat dengan kita yang menjadi musuh Allah yang kelak akan dibalas buruk oleh Allah SWT. Walau pun tidak mudah sebenarnya untuk kita hadapi namun didalam Al-Quran banyak sekali ayat yang menceritakan hal sedemikian.

29.0] Contoh: Abdullah bin Abdullah pernah berjumpa Nabi saw dan berkata, "Ya Rasulullah, benarkah engkau akan menyuruh orang membunuh ayahku, ketua munafik?, jika benar, biarlah aku sendiri yang membunuhnya. Aku sangat menyayangi ayahku dan aku takut jika orang lain yang membunuhnya, hati dan perasaan ku terkesan keatas orang itu" dan Nabi saw menjawab, "Tidak!". Apa maksudnya disini? Abdullah bin Abdullah itu walaa' hanya kepada Allah tetapi dia barooah kepada bapanya yang munafik.

Didalam perang Badar, banyak adik-beradik yang bertembung yang berlainan pendapat lalu bunuh-membunuh, itu contoh barooah.

30.0] Kita boleh mengambil pengajaran daripada Nabi Nuh as, yang mengadu kepada Allah ketika anaknya yang bernama Qanaan ikut ditenggelamkan Allah bersama orang kafir, yang bermaksud "Ya Tuhan kami, sesungguhnya anakku yakni termasuk keluargaku. Sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Serta Engkaulah Hakim yang seadilnya". Surah Hud ayat 45.

31.0] Kemudian Allah swt menegur Nabi Nuh as dengan bahasa yang agak kasar memberitahukan keadaan sebenarnya anaknya yang tidak beriman. Nabi Nuh as yang menyedari tentang hal yang tersebut, lantas memohon ampunan daripada Allah yakni bertaubat kepada Allah kerana didalam hatinya ada terlintas sedikit walaa' kepada musuh Allah, walaupun ada hubungan yang dekat dengannya iaitu anaknya sendiri. Jika dia musuh Allah dan Allah akan binasakan, terimalah, tidak boleh protes. Wa na'uzubillah.

32.0] Ini adalah tasliah wa ta'ziah. Tasliah memiliki erti atau maksud menghibur atau hiburan, manakala makna ta'ziah juga ialah menghibur atau hiburan tetapi kepada orang yang ditimpa musibah. Kepada orang yang diuji dengan anak yang menderhaka atau kerabat yang menderhaka yang tidak mahu menerima hidayah Allah SWT, yang menolak kebenaran Allah, lalu Allah binasakan atau datangkan siksa, bagaimanakah  harus menanganinya? Jauhilah walaa' terhadap musuh Allah.

33.0] Apa maksud tasliah disini? Orang yang seperti Nabi Luth as ini, Allah tidak pertanggung jawabkan sedikit pun diatas perangai isterinya. Allah telah mengizinkan Nabi Luth as mendapat manafaat didunia dengan isterinya semasa hidup berumahtangga, dan diakhirat tidak dipertanggungjawabkan sedikit pun. Bukankah itu satu tasliah? Kerana Nabi Luth as tidak lagi dibebani dengan isteri yang derhaka. Jadi pertanyaan " Quu anfusakum wa ahliikum naaroo", tengah ayat surah At-Tahrim ayat 6, yang bermaksud "Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka", terlepas daripada Nabi Luth.

34.0] Contoh: Kalaulah Allah bagi kepada seseorang itu ahlinya yang jahat, degil dan menjadi musuh Allah, dimana orang itu pula tetap  menjalankan tugasnya menjaga, merawat, memberi makan-minum, menghantar ke sekolah supaya ahlinya itu menjadi pandai, apabila ditakdirkan ahlinya itu pendek umur, itu contoh tasliah kerana Allah hendak mengurangi bebanan kepada orang itu dimana semasa kecil pun ahlinya itu sudah menjadi masalah apatah lagi jika sudah besar lebih lagi bermaasalah.

35.0] Contoh seperti yang didapati didalam surah Al-Kahfi, ayat 74 dan 80, dimana ibubapa yang soleh manakala anaknya pula akan menjadi jahat, maka Allah matikan anak itu semasa kecil lagi, petanda sayangnya Allah kepada ibubapa itu. Tentulah sangat sedihnya  ketika kematian anak apa lagi jika anak masih kecil dan belum baligh. Allah memberi tasliah dimana musibah boleh jadi tasliah jika kita dapat melihat dengan hati.

36.0] Isteri Nabi Luth as dimatikan ketika dewasa dalam keadaan jahat, sementara anak orang soleh daripada cerita surah Al-Kahfi itu dimatikan ketika masih kecil dan belum jahat pun. Kita hendaklah yakin dengan takdir Allah. Bagaimana pula dengan anak yang tidak mati sehingga dewasa? Contoh, A dan B berkawan sejak kecil, kemudian A mati semasa masih kecil dan B membesar menjadi orang jahat yang mana akhirnya mati ditembak. B akan protes dihadapan Allah, kenapa dirinya juga tidak dimatikan sewaktu kecil lagi. Ilmu akidah ini perlu dipelajari dengan lebih dalam.

[Nota: Jangan dibincangkan sangat, nanti akan menambahkan bingung dihati. Kita kena perlengkapkan diri dengan belajar akidah dahulu sebab ini sangat bahaya dan akan menimbulkan persoalan tentang keadilan Allah. Apabila timbul perasaan sebegitu, bersegeralah mengucapkan dengan lisan dan hati, kalimah subhanallah yang bermakna kita sucikan pemikiran kita dari akal yang tidak mampu untuk kita memahaminya. "Subhanallah, Maha Suci Allah dari andaian yang tidak betul tentang Kamu Ya Allah". Disinilah sangat susah, sebab keadaan begini adalah tempat syaitan memasukkan jarum fitnahnya. Tidak semua perbuatan Allah dapat kita fahami dengan akal, bahkan sesuatu yang berkaitan dengan perkara ghaib, kita hanya perlu yakini. Yang paling penting hendaklah kita yakini bahawa Tuhan kita tidak sekali-kali menzalimi hambanya walau pun sedikit.]

37.0] Didalam surah Al-Kahfi, diceritakan tentang Nabi Musa as yang tidak sabar dalam mencari ilmu. Nabi Muhammad saw berkata, "Jikalau Nabi Musa as bersabar nescaya Allah tidak hanya memberitahunya 3 rahsia sahaja tetapi mungkin Allah akan memberitahu 300 rahsia". Apa maksudnya itu? Syarat untuk menjadi murid adalah jangan bertanya dahulu, tetapi hendaklah diikut sahaja dahulu apa yang diajar sehingga guru itu sendiri yang akan memberitahu muridnya dan membuka ruang untuk muridnya bertanya. Nabi Musa as tidak hanya asyik bertanya tetapi juga menyalahkan gurunya, sehinggalah akhirnya Nabi Musa as sendiri yang merasa tidak layak menjadi murid lalu berpisah dengan gurunya. Jangan salahkan Nabi Musa as juga. Cerita ini sangat misteri dimana Allah tidak memberitahu nama guru Nabi Musa as itu juga tidak diberitahu alamatnya dan masa terjadinya dan ilmunya pun pelik. Selepas mengajar Nabi Musa as dan belum pun Nabi Musa as mendapat kesemua ilmu itu, ia terus hilang.

[Nota: Awasi cerita dongeng yang berkaitan dengan cerita dalam surah Al-Kahfi yang mengatakan bahawa jika sesiapa ada masalah di lautan, sedeqahkan bacaan Al-Fatihah kepada Nabi Khaidir kerana dia Penjaga Laut, atau pun akan datang ikan sebelah yang akan datang menolong]. Moga bermanafaat. Aamiin.








No comments:

Post a Comment