Tuesday, May 24, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 33-34) Kuliah 33- Kalimah Jaa at, Ataa, Azab Keatas Kaum Nabi Luth as

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 33;


Tentang pemilihan dan penggunaan kalimah kosakata jaa at dan ataa dalam ayat ini yang mana kedua-duanya diterjemahkan didalam bahasa melayu sebagai datang. Di dalam Al-Quran tiada kalimah yang berbeza melainkan maknanya pun akan berbeza. Perbezaan mungkin dari segi berbeza kalimah, berbeza jumlah huruf atau berbeza baris yang mana akan memberi makna yang berbeza. Sekadar contoh, kalimah khalfun dan khalafun, walaupun kata dasarnya sama iaitu kha, lam dan fa', dan hanya berbeza baris tetapi berbeza pada maknanya. Khalfun bermakna jenerasi pengganti yang tidak baik menggantikan jenerasi sebelumnya yang baik-baik manakala khalafun pula bermakna orang yang datang kemudian. Contoh lagi, ulama dahulu dipanggil ulama salaf dan ulama kemudian dipanggil ulama khalaf .

[Nota: Ada sesuatu yang patut dan perlu kita ketahui tetapi kita belum ketahui. Oleh itu hendaklah kita tahu yang kita tidak tahu. Tahu yang kita tidak tahu itu adalah bagus, jangan tidak tahu yang kita tidak tahu. Apabila belajar dan sudah merasa puas apabila sudah mendapat sedikit itu tanda berhenti pencarian ilmu. Ketidak puasan itu akan mendorong seseorang mula mencari lagi dan ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan.]

2.0] Rujuk surah Maryam ayat 43,


Di dalam ayat ini juga terdapat kedua-dua kalimah jaa a (jaa ani) dan  ataa (ya'tika). Kalimah jaa a di dalam Al-Quran digunakan hanya dalam bentuk fiil maadhi (past tense) sahaja manakala kalimah ataa ada dalam berbagai bentuk fiil samada fiil maadhi, mudhori' atau amar. Dari sudut penggunaannya di dalam Al-Quran pula, jaa a diguna pakai di dalam masyaqqah (keadaan susah payah) manakala kalimah ataa digunapakai untuk menunjukkan sesuatu yang datang dengan mudah (suhuulah).

3.0] Contoh penggunaan  kalimah jaa-a dan ataa lagi di dalam Al-Quran;
Ataa amrullah yang bermaksud telah datang keputusan Allah, Qodho takdir Allah kepada kita atau tentang azab yang Allah akan timpakan keatas orang-orang kafir, Allah kata senang (suhuulah). Berbeza dengan sesuatu yang datang kepada kita hasil selepas berusaha bersungguh-sungguh, Allah gunakan kalimah jaa a seperti  surah An-Nasr ayat 1;




Ayat ini adalah tentang pembukaan kota Mekah yang melalui susah payah, puluhan sahabat Nabi saw telah tewas terkorban. Ini menunjukkan perlunya kita bersusah payah sebelum mendapatkan hasil atau kesan baik. Lainlah jika Allah kata akan datangkan azab jika kamu jahat atau kufur, Allah gunakan ataa yang mana Allah datangkan dengan senang.

4.0] Nabi Muhamad saw ketika kedatangan wahyu walaupun ketika itu musim sejuk, berpeluh dingin, bermakna susah dan tidak mudah proses yang menyatukan wahyu suci dari Allah yang suci kepada Nabi yang suci melalui malaikat yang suci sehingga menyebabkan Nabi saw pengsan. Lebih-lebih lagi jika yang didatangkan itu wahyu yang berisikan ketetapan azab bagi manusia. Contoh seperti tatkala turunnya surah Al-Masad yang merupakan inzar yang dahsyat dimana Nabi saw pengsan walaupun Nabi saw sudah ada persediaan sejak kecil. Bayangkan jika wahyu datang kepada kita. Gunung yang lebih kuat dan hebat dari kita pun hancur bila Allah bertajalli kepadanya dan Nabi Musa as pengsan ketika melihat Allah bertajalli kepada bukit itu. "Apa-apa yang datang kepada mu itu adalah sangat susah". Lam ya'ti bermakna tidak datang dengan mudah kepada mu.

5.0]  Kembali kepada surah Al-Ankabut ayat 33 diatas, tentang kedatangan malaikat kepada Nabi Luth as. Sebelumnya malaikat itu telah datang kepada Nabi Ibrahim Khalilullah seperti yang telah diceritakan di dalam ayat 31. Di dalam ayat 31 juga ada penggunaan kalimah jaa a yang menunjukkan keadaan susah. Susah yang sebenarnya bukan seperti dalam ukuran kita. Contoh tentang jaa a dan ataa dalam cerita yang sama tetapi keadaan berbeza boleh didapati di dalam surah Yusuf  ayat 110 yang menunjukkan keadaan yang susah dan berat yang dihadapi oleh para rasul yang berputus asa sehingga yakin yang mereka tidak lagi dipercayai oleh kaumnya. Mereka didustakan dan disakiti sehingga ada yang datang untuk membunuhnya sehinggalah datang pertolongan Allah.



Bandingkan dengan surah Al-An'am ayat 34 yang mana Allah tidak sebut tentang rasul itu berputus asa maknanya keadaan nya yang mudah dan usaha yang kurang lantaran para rasul itu sudah merasa biasa secara tabi'i dengan kesusahan itu lantas bersabar.



6.0] Adakah anda ingin mudahnya pertolongan Allah kepada anda apabila anda ditimpa musibah? Kuncinya disini iaitu Sabar. Jika anda sabar, pertolongan Allah akan datang kepada anda dengan mudah (ataa) kerana sabar itu sendiri juga adalah pertolongan Allah. Sebaliknya jika tidak sabar? atau jika anda berputus asa?

7.0] Sikap berputus asa juga tidak semestinya dipandang sebagai sesuatu yang negatif kerana para rasul pun merasa berat untuk mencapai darjat tabah sebegitu lantaran susah dan payahnya dalam menghadapi situasi demikian. Berbeza dengan surah Al-An'am ayat 34 tentang pendustaan dari kaum masing-masing yang sudah sangat biasa (tabii) bagi para rasul, lalu para rasul itu pun bersabar. Hanya saanya dengan bersabar perkara tabii ini dapat ditangani.

8.0] Setakat ini hanya sebahagian sahaja perbezaan penggunaan kalimah di dalam Al-Quran yang baru dijelaskan, ada banyak lagi kalimah yang perlu difahami dengan lebih terperinci seperti jika kalimah hadhoro yang juga bermaksud datang bergabung dengan kalimah jaa a yang juga bermaksud datang di dalam bahasa Melayu. Contoh ayat Jaa a hadhoro ahada, yang memerlukan perincian lagi untuk difahami.

9.0] Sorot kembali  surah Al-Ankabut ayat 32 yang menceritakan tentang kedatangan tetamu ke rumah Nabi Luth as setelah tetamu yang sama juga telah mendatangi Nabi Ibrahim as. Nabi Luth as yakin tetamunya itu manusia dan merasa takut kaumnya tahu bahawa dia didatangi tetamu yang ahsanus suurah (kholaqollooh), sebaik kejadian, kacak sempurna. Sedangkan Nabi Luth as kenal sangat tentang perangai buruk kaumnya yang pantang melihat orang yang kacak. Nabi Luth as sedih kerana beliau yakin tidak dapat menyelamatkan tetamunya dari gangguan kaumnya yang akan datang menyerbu lantaran Nabi Luth as wadhoo qo bihim yang bermakna lengan pendek. Orang Arab berkata lengannya pendek apabila dirinya tidak ada kebolehan atau kemampuan untuk menolong atau melindungi seseorang lain. Ini bahasa kinayah dalam bahasa balaghoh, tidak dapat difahami secara harfiah secara hakiki. Nabi Luth as sedih dan malu sebagai tuan rumah yang tidak akan mampu menjaga harga diri tetamunya.

10.0] Para malaikat jika menjelma dalam bentuk yang dapat dilihat biasanya hadhir dalam keadaan kacak sempurna. Bahkan orang yang tidak pernah melihatnya pun jika melihat orang yang kacak sempurna penciptaannya akan mengatakan orang itu malaikat. Contohnya seperti ketika wanita Mesir yang masih kotor hatinya melihat Nabi Yusuf as yang kacak, mereka berkata, "Maha Suci Allah, ini bukan manusia, bahkan ini malaikat". Walhal mereka tidak pernah pun melihat malaikat. Tasyabbuh iaitu membuat perbandingan dengan malaikat. Jikalah malaikat menampakkan diri dalam keadaan asal, yang besar bersayap, mereka akan pengsan dan tidak akan dapat melihatnya.

11.0] Nabi Ibrahim as juga demikian, tidak dapat mengenali malaikat yang datang kerumahnya sehingga telah bersusah payah menyediakan hidangan untuk tetamunya itu. Hanya Nabi Muhamad saw seorang sahaja yang dapat mengenal malaikat yang hadhir dalam keadaan seperti manusia.

12.0] Apa yang berlaku keatas kaum Nabi Luth as?

 Rujuk surah Al-Ankabut ayat 34;



 Rujuk pula surah Hud ayat 82;


Batu itu sijjil (tanah yang terbakar, berdaftar-registered) semacam peluru berpandu yang pasti mengena sasarannya. Seperti dalam surah Al-Fiil dimana burung-burung membawa batu min sijjil. Kalimah mandhud pula bererti bertubi-tubi , tersusun rapi.

Rujuk pula surah Al-Hijr ayat 74;



13.0] Ada berbagai pendapat berkenaan ayat-ayat tentang siksaan Allah terhadap kaum Nabi Luth as itu. Ada yang mengatakan bumi terbelah, ada yang mengatakan siksaan dari bawah, ada yang mengatakan siksaan datang dari atas. Dengan berpandukan pemerhatian dari 3 ayat Al-Quran diatas, dapatlah dibuat andaian bahawa gunung yang ada disitu, Allah letuskan dengan tercabut diatas dan tercabut dari pangkalnya menjadi letusan batu panas, besar dan kecil yang memberi simbahan lahar dan terbakar segalanya sehinggakan kaum Nabi Luth as ini tidak dapat dikesan lagi dimuka bumi. Menjadi Al-Bahrul Maits atau Laut Mati.


[Nota: i. Disini kita dapati Al-Quran tidak bercanggah dari satu ayat kesatu ayat lain. Contoh tentang arak, ada ayat yang mengatakan arak itu mabuk, haram, ada juga ayat yang mengatakan arak itu ada manafaat dan ada mudharat hanya dosa darinya lebih besar dari manafaat. Ayat-ayat Al-Quran ini bukan bercanggah tetapi bertahapan mengikut keadaan.

ii. Gunung-gunung yang kita nampak muncul diatas bumi ini hanyalah 1/3 ke 1/5 dari saiz asal gunung itu yang menjadi pasak bumi terbenam di bawah. Kalaulah yang kita nampak di bumi setinggi 3 ribu meter, yang terbenam di dalam bumi adalah diantara 9 ke 15 ribu meter lagi.

iii. Kata dasar mim, wau, ta iaitu maut atau mati berubah menjadi mayyit (mayat) dalam bahasa Melayu bagi manusia, menjadi mait bagi benda bukan hidup seperti batu, pokok, laut dan sebagainya, dan menjadi maitah bagi haiwan.

14.0] Tempat kaum Nabi Luth as ditenggelamkan itu dinamakan Laut Mati atau Buhairatul Malihah (laut yang kandungan garamnya sangat tinggi). Kandungan garam di dalam laut biasa setakat 3% ke 4% sahaja manakala Laut Mati mengandungi 34% ke 36% garam. Tiada kehidupan disitu dan     merupakan kawasan yang paling rendah di muka bumi, lebih rendah dari paras laut biasa. Apa tidaknya kerana disitu dicabutnya gunung berapi dari pangkalnya.

15.0] Danau Toba juga satu contoh tempat letusan gunung berapi. Sekian ratusan juta tahun dahulu disitu adalah gunung berapi yang meletus hingga tercabut akarnya. Di dasar Danau Toba  masih ada anak gunung berapi yang masih hidup yang dijangka akan meletus dalam masa hadapan yang mungkin melenyapkan sebahagian Sumatera dari peta muka bumi. Khasnya Sumatera Utara yang berada  di dalam Ring of fire dijangka akan hilang, begitu juga kita di Semenanjung Malaysia akan terkesan sama. Sebagai contoh ketika Gunung Krakatau meletus, kesannya sampai hingga ke Madagaskar.

16.0] Pelik, Danau Toba yang sebesar itu airnya tawar manakala di Negeri Sodom, Laut Mati tempat kaum Nabi Luth as itu airnya masin. Sijjil musawwamah, ada wisam, yang bermaksud ada tanda, tiada yang tersesat batu-batan panas menimpa, lalu kaum itu ditimbus dengan lahar lalu jadilah tempat itu tempat terendah di planet bumi tanpa kehidupan.

17.0] Bagaimana pula Allah tenggelamkan Firaun? Ajaib sekali, dibelahkan lautan dahulu, tatkala Firaun masuk kedalamnya, sebelum sempat Firaun sampai ke sebelah sana , air laut itu bertangkup. Ini bersalahan dengan Sunnatullah kerana ini bergantung kepada Masyiatullah.

18.0] Apa kesannya Allah jadikan keadaan tempat kaum Nabi Luth as itu yang bawah keatas dan sebaliknya yang atas kebawah? Diterbalikkan. Ingatlah bahawa azab Allah kepada kaum Nabi Luth as ini dipanggil 'Azabun isti'sool (azab  asal, akar tunjang) yang boleh menghancur leburkan hingga ke akar tunjangnya. Lantaran itu semua kaum Nabi Luth as sudah  dipupuskan Allah. Berbeza dengan kaum Bani Israel yang masih ada keturunannya kini. Ini menunjukkan kemurkaan Allah yang sangat dahsyat terhadap kaum Nabi Luth as sehingga kini di tempatnya tiada hidupan yang dapat hidup.

19.0] Tempat seperti itu ada peraturan tersendiri  apabila diziarahi. Tempat-tempat yang Allah pernah hancurkan penghuninya, hakikatnya kita tidak dilarang untuk menziarahinya hanya ada sahaja syaratnya yang ditetapkan oleh Nabi saw, yakni ziarahinya dalam keadaan menangis, kalau tidak, berusahalah untuk menangis. Mestilah merasa, membayangkan bahawa ditempat itu azab Allah diturunkan, jika tidak, hukumnya adalah Haram. Tidak boleh sama sekali buat penggambaran, bergambar atau bervideo disitu dalam keadaaan bersukaria.

20.0] Ingatan untuk para jemaaah yang ada kemampuan dan kemahuan untuk bermusafir menziarahi tempat-tempat bersejarah itu. Hendaklah dibaca dahulu tentang sejarah sesuatu tempat itu, lihat dahulu tempat itu samada Allah suka atau tidak. Contohnya tempat Pompei, baca dan kaji dahulu didalam surah Yasin dan tafsirnya, atau untuk naik Gunung Tursina, boleh dipanjat, tetapi bacalah dahulu tentang sejarahnya supaya mendapat kesan di hati. Jangan hanya semata-mata untuk menambahkan koleksi tempat yang pernah dilawati.

21.0] Ada perintah Allah di dalam Al-Quran iaitu "Fasiirul fil Ardhi (berjalan-jalanlah dibumi Allah) dan perlu dihabiskan ayat dengan "Unzuru", "lihat dan perhatikan". Contoh di Madinah, apabila berziarah di Kuburan Baqi', ketahuilah tentang sejarah hayatul sohaabah (kehidupan para sahabat). Tentulah kita akan merasa kerdil apabila dibandingkan dengan penghuni Al-Baqi' yang bakal menjadi ahli syurga lantaran hebatnya sejarah kehidupan mereka berbanding dengan kita. Moga bermanafaat.





No comments:

Post a Comment