Tuesday, May 31, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 34-35) Kuliah 34- Fasik, Tafakkur, Ta'akkul, Inja', Ihla'

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 34;


2.0] Allah SWT menceritakan alasan bahawa kebinasaan yang Allah timpakan kepada kaum Nabi Luth as adalah disebabkan kezaliman dan kefasikan mereka sama saperti cerita didalam ayat 31 diatas. Apabila Allah timpakan balasan siksa, Allah sebutkan sebabnya tetapi apabila Allah berikan rahmat dan nikmat Allah tidak sebutkan apa sebabnya, ini kerana balasan kebaikan yang Allah beri kepada hamba-Nya sentiasa lebih banyak, sentiasa melebihi amalan kebaikan yang dilakukan oleh hamba-Nya itu. Kebaikan yang akan digandakan 10 kali, 700 kali ganda dan seterusnya mengikut Kehendak Allah. Sementara balasan azab siksa dan bencana, Allah timpakan sesuai dengan kejahatan apa yang dilakukan oleh hamba-Nya, 1 maksiat mendapat 1 dosa, tidak lebih.
  
3.0] Didalam ayat 31, dinyatakan bahawa Kaum Nabi Luth as dibinasakan kerana mereka zalim manakala didalam ayat 34 dinyatakan bahawa Kaum Nabi Luth as itu dibinasakan kerana mereka fasik, tetapi apabila Allah menceritakan tentang rahmat, tentang bushro (khabar gembira) didalam ayat 31, juga tentang inja' (penyelamatan) Allah, seperti didalam ayat 32 dan 33, Allah tidak menyebutkan sebab dan alasan. Allah tidak kata, "Aku kabulkan doa kamu kerana kamu ahli ibadat". Tidak begitu. Inilah apabila kita bincangkan tentang balasan kebaikan daripada Allah kepada hamba-Nya, itu adalah dari sifat Ar-Rahman, Ar-Rahim dan Al-Karim Allah yang sentiasa melebihi dari amalan baik hamba-Nya. Tetapi apabila Allah timpakan siksa Allah hadirkan sifat Al-'Adlu-Nya, tidak lebih kerana jika Allah melebihkan balasan siksa kepada hamba-Nya itu namanya Zalim dan Allah Yang Maha Suci jauh sekali dari melakukan Zalim. Kesimpulannya, usaha untuk mendapatkan banyak pahala adalah lebih mudah daripada untuk mendapatkan banyak siksa. Katakanlah ada syarat untuk membolehkan seseorang dapat memasuki syurga dimana minimanya perlukan 100 pahala, dan untuk memasuki neraka juga perlukan 100 dosa, maka bagi yang akan dapat memasuki syurga hanya perlu membuat 10 kebaikan yang nanti akan diganda manakala untuk melayakkan seseorang untuk masuk neraka perlukan 100 kejahatan.

4.0] Persoalannya dan jawapannya:

Mana jalan yang lebih mudah? Syurga.
Mana jalan yang pintunya terbuka? Syurga.
Mana jalan yang pintunya tertutup? Neraka.
Mana jalan yang sempit? Neraka.
Mana satu yang syaratnya banyak untuk dipenuhi? Neraka.

Untuk ke neraka, susah, jalannya sempit, pintu tertutup, yang haram itu susah, 1 maksiat hanya mendapat 1 dosa. Manakala untuk ke syurga, adalah lebih mudah, pintunya sentiasa terbuka, laluan terbuka luas. Andai syaratnya perlu kepada 100 pahala, hanya perlu membuat 10 kebaikan dan untuk membuat kebaikan itu adalah mudah dan yang halal itu senang sebenarnya.

5.0] Didalam ayat 31 dan ayat 34 Allah telah menyebut bahawa Allah menimpakan azab sebab mereka Fasik. Fasik ialah suatu istilah didalam Al-Quran sepertimana kafir atau munafik. Makna asal dari segi bahasa (lughatan) ialah Al-Fisqu huwal khuruuji 'anisy-syai' iaitu Fasik ialah yang keluar dari sesuatu. Dari segi syarak pula Fasik ialah yang keluar dari ketaatan kepada Allah. Contoh Fasik ialah seperti keretapi yang sepatutnya bergerak diatas landasan kemudian terkeluar dari landasan dan terbalik. Atau contoh lain, ketika anda memandu kereta di lane tengah, kemudian anda berubah ke lane sebelah kanan tanpa memberi isyarat terlebih dahulu, kemalangan berlaku, kereta anda dilanggar dari belakang. Kemalangan itu adalah berpunca dari keadaan  Fasik anda.

6.0] Fasik dari segi syara' ialah keluar daripada mentaati Allah baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Sepatutnya kita patuh dan taat kepada Allah, patuhi apa yang disuruh, jauhi apa yang dilarang tetapi jika dilanggari itu adalah Fasik. Ada Fasik besar dan Fasik kecil. Kemudian Fasik besar pula terbahagi kepada kufur dan yang lebih besar dari kufur. Fasik kecil terbahagi kepada kabiirah (besar) dan soghiirah (kecil). Ada Fasik kecil tetapi dosa besar, namun tidaklah sampai Murtad atau mengeluarkan seseorang dari Islam. Fasik besar yang sama dengan kufur dan yang lebih besar dari kufur tidak lagi dianggap Muslim dan dipanggil Kafir. Kafir 100% yang ingin bertaubat kenalah mengucap dua kalimah syahadah dahulu kemudian perlu penuhi syariat.

7.0] Rujuk surah Al-Baqarah ayat 26 yang menunjukkan Fasik yang sama dengan Kufur.


8.0] Fasik yang lebih besar dari kufur boleh rujuk surah Aa-Li Imran ayat 82 dan surah An-Nur ayat 55.




9.0] Fasik kecil kabiirah, contoh surah Al-Hujurat ayat 6;



[Nota: Ustaz pilih ayat ini sebagai contoh atas beberapa alasan, antaranya;]

i) Dengan adanya telefon bimbit yang ada media hubungan seperti watts up, face book dan sebagainya, kewajipan kita adalah perlu sentiasa Tabayyun, buat penyelidikan, penjelasan dahulu bagi mempastikan kebenaran sesuatu berita. Jangan terima dan telan bulat-bulat sesuatu itu tanpa kepastian kesahihannya supaya terselamat dari menimpakan kesusahan dan kemudhoratan keatas fizikal, moral atau harga diri seseorang. Tabayyun dapat menyelamatkan dari terlanjur menimbulkan persepsi negatif terhadap seseorang supaya tidak terlanjur menghukum seseorang itu. Apabila berlaku dan jika nantinya baru mendapat tahu bahawa berita yang telah anda sampaikan itu sebenarnya tidak benar, maka anda akan menyesal. Penyampai berita palsu yang boleh memudhoratkan orang lain dengan sikap sambrononya termasuk Fasik kecil tetapi dosa besar. Jangan ambil mudah dengan sikap, "Saya forward je", Allah Maha Mengetahui dan diakhirat nanti akan disoal dan perlu pertanggungjawaban.

ii) Dalam era langit terbuka, dunia tanpa sempadan, berbagai informasi didapati dengan mudah namun kita hendaklah mengambil sikap berhati-hati, Tabayyun, selidik dahulu, termasuklah dalam hal yang bukan   agama tetapi yang dinisbahkan kepada agama. Contohnya, ramai orang yang ngiur hanya dengan membaca sesuatu ayat atau zikir akan terlepas siksa kubur, mendapat kitab dengan tangan kanan, meniti sirat dengan pantas, dapat memasuki syurga dengan pintu terbuka, dapat memilih pasangan kesukaan dan sebagainya dan menisbahkan semua itu kepada Nabi saw. Sesuatu yang jika dimulakan dengan kata-kata Nabi saw bersabda, jika dinisbahkan kepada Nabi saw, perlu Tabayyun dahulu sebelum  disebarkan. Jika  diterima bulat-bulat dan terus disebarkan, itu adalah Fasik

10.0] Fasik kecil (asghor) yang soghiirah (kecil) ialah apabila keluar daripada ketaatan, contohnya apabila seseorang itu membuat sesuatu yang makruh. Seringan mana, sekecil mana pun kebaikan yang kita tinggalkan,  walhal kita mampu melakukannya, itu adalah Fasik. Sekecil manapun larangan yang mampu ditinggalkan tetapi jika dibuat juga, itu sudah Fasik.

11.0] Fasik boleh ada pada diri muslim dan juga  pada orang kafir. Fasik pada orang kafir, melekat dan adalah lebih besar. Contoh, Fir'aun, Qarun dipanggil Fasik. "Tiap-tiap orang kafir itu Fasik.dan bukanlah setiap yang Fasik itu kafir". Ada orang yang Fasik tetapi tidak keluar dari agama asal. Fasik merangkumi pelbagai jenis tingkatan. 

12.0] Fasik yang kita bincangkan dalam ayat ini yang dilakukan oleh Kaum Nabi Luth as adalah termasuk dalam Fasik akbar, akbar minal kufru. Kaum Nabi Lut as itu tidak percaya kepada Nabi Luth as, menolak agama Nabi Luth as dan kefasikan mereka tahap maksima. Kalimah fisqun merujuk kepada satu jenayah atau dosa dalam pelbagai bentuk dan tingkatan. Contoh, apabila kita makan makanan yang halal, kemudian mulai dengan membaca bismillah, tetapi jika kita makan dengan menggunakan tangan kiri, itu pun Fasik. Perlulah sangat berhati-hati, ibarat orang mukmin yang memakai baju putih, biarlah putih seputihnya keseluruhan, jangan dikotori walaupun sedikit dengan sikap ambil mudah atau sambil lewa sahaja dalam sesuatu perkara.

13.0] Apabila Allah menurunkan Al-Quran, sikap manusia dalam menerima Al-Quran, terhadap Nabi saw, dan terhadap manusia sendiri, terbahagi kepada 3 golongan iaitu mukmin, kafir, dan munafik. Lalu dimana Fasik boleh berada pada ketiga-tiga golongan ini?

Mukmin terbahagi pula kepada 3 golongan. Rujuk surah Faathir ayat 3;


Allah telah memilih hamba-hambanya untuk diberikan Kitab (Al-Quran), tetapi penerimaan hambanya berbeza. Yang terima Al-Quran, tetapi tidak mahu mengamalkannya. Terima ajaran Nabi saw, tetapi tidak ikuti, terima larangan dan suruhan dari Allah, tetapi langgari. Allah berfirman, " Kami wariskan kitab itu kepada orang-orang yang dipilih, orang yang bersedia menerima Kitab Allah, mengimani Kitab Allah, meyakini Kitab Allah. Namun diantara hamba yang terpilih ini, ada yang menzalimi diri sendiri".

3 golongan mukmin itu ialah:

i) Fasik (zolimul linafsi) yang tahu itu larangan tetapi buat juga. Yang tahu itu suruhan tetapi tinggalkan juga. Golongan ini adalah Fasik asghor kabiirah.

ii) Mukmin sederhana (Muqtasid) yang hanya membuat perkara wajib sahaja, tidak buat yang sunat-sunat. Katakan solat wajib seseorang ada kekurangan disana sini, kurang sempurna ibadahnya, kurang khusyuknya, namun Allah bersedia untuk menerima amalannya itu andai dapat ditampung dengan ibadah solat sunatnya.

iii) Mukmin Saabiqun bil khairat yang bersegera dengan membuat kebaikan. Berlumba-lumba membuat Amal Soleh. Insyaa Allah akan masuk syurga tanpa sesaat pun disentuh api neraka. Insyaa Allah, Aamiin.

14.0] Kalau melihat dari 3 golongan manusia diatas, sikap manusia dalam menerima Al-Quran dan ajaran Nabi saw, maka adalah lebih banyak manusia yang Fasik. Golongan yang tidak Fasik hanyalah golongan Mukmin saabiqun bil khairat dan Mukmin Muqtasid (yang sederhana). Ada pun yang membuat Fasik asghor soghiirah (kecil) maka dosa pun kecil. Golongan yang kafir adalah Fasik, manakala golongan munafik juga adalah Fasik dan lebih jahat daripada kafir.

15.0]  Fasik asghor soghiirah adalah mendapat dosa kecil, manakala Fasik asghor kabiirah mendapat dosa besar tetapi tidak sampai keperingkat terkeluar dari Islam. Contoh seorang muslim yang mencuri, dia telah melakukan Fasik asghor kabiirah. Muslimah yang mengumpat, juga melakukan Fasik asghor kabiirah. Ada pun contoh bagi  Fasik asghor boleh rujuk kepada surah Al-Baqarah ayat 282 (ayat yang paling panjang dalam Al-Quran). Ayat ini menceritakan tentang urusan jual-beli dengan cara berhutang. Wala yudhoorrakaatibun wala syahiid yang bermaksud,"Dan janganlah menyulitkan juru tulis dan jangan saksi". Sipenulis atau saksi yang berkhidmat secara sukarela janganlah diberi kesusahan dan bebanan. Fusuk disini disamai sebagai asghor. Maknanya pihak yang menjual membeli menimbulkan mudhorat kepada penulis dan saksi yang berkhidmat secara sukarela itu. Fasik ini merujuk kepada maksiat dan dosanya boleh jadi dari sekecil ke sebesar-besarnya.

Contoh, orang kafir yang tidak solat, adalah Fasik akbar dan kafir. Orang kafir masuk neraka bukan sebab tidak solat tetapi kekafirannya itu pun sudah ibu segala dosa. Na'uzubillah.

Contoh paling kecil: Menurut Al-Quran dan hadith Nabi saw, apabila kita hendak tidur, mengiringlah ke sebelah kanan, mengadap kiblat, wa'ala junuubihim, dan Nabi saw memberi contoh, jika kita tidak buat begitu kita sudah Fasik kerana kita telah keluar dari ketaatan. Allah menyuruh Nabi saw memberi contoh tetapi kita tidak buat juga. Sayang rasanya baju kita yang sudah putih melepak dengan sengaja pula dikotorkan, sangat rugi sekali. Walhal bukannya berat untuk mula tidur seperti itu. Apabila sudah lelap, berpusing 7 pusingan pun sudah tidak menjadi hal lagi. Fasik jangan hanya difahami sebagai dosa-dosa besar sahaja. Apa sahaja perbuatan kita yang keluar dari ketaatan adalah Fasik. Apabila kita ada peluang untuk membuat sesuatu tetapi kita tidak buat, itulah Fasik, alangkah ruginya.

16.0] Surah Al-Ankabut ayat 35;



17.0] Betulkah tempat itu masih menjadi Al-Bayyinah (bukti, tanda)? Ya, sepertimana Allah nyatakan dalam surah As-Saffat ayat 137 dan 138. 




Kalimah afala ta'qiluun yang bermaksud, mengapa kamu tidak mengerti? Tidak menggunakan 'aqal?Menggunakan 'akal adalah tidak sama dengan menggunakan otak. 

i) Berfikir-tafakkur-menggunakan mukhun (otak)-jasmaniah.
ii) Mengerti-ta'akkul- menggunakan 'akal-ruhaniah.

18.0] Kalau hanya menggunakan otak (mukhun), ramai doktor-doktor pakar neurologi, pakar mukhon iaitu pakar otak. Mungkin bagi orang yang kemalangan dan hilang ingatan disebabkan ada pendarahan didalam otak, maka peranan dan fungsi otak untuk berfikir atau tafakkur terjejas dan boleh dirawat oleh pakar otak (pakar mukhon). Benda-benda yang nampak iaitu alam syahadah ini seperti siang, malam, pokok, api, tanah, tubuh badan kita, rambut hingga kuku dan sebagainya, adalah objek tafakkur oleh mukhon kita. Ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dan dikatakan sebagai kecerdasan intelektual (IQ).

19.0] Pencapaian hebat seseorang dalam peperiksaan yang mendapat straight A's menunjukkan mukhon (otak) yang hebat, tafakkur yang hebat, pencapaian jasmaniah yang dicipta Allah daripada turab (tanah). Secanggih mana pun kita, secantik mana pun wajah, sehitam mana pun rambut, semuanya dari tanah. Mukhon (otak) letaknya didalam tempurung kepala, yang mengawal segala pergerakan kita.

20.0] Ta'akkul, ialah penggunaan 'akal untuk ruhaniah. Kecerdasan spiritual. Dimanakah letaknya akal ini? kita tidak tahu. Ruhaniah ialah kerja jiwa yang berpusat dihati. Hati yang mana? Kita yakini kewujudannya, buktinya kita boleh menimbang baik buruk. Kenapa apabila kita buat baik, hati terasa tenang, tetapi apabila buat salah hati gelisah?.

21.0] Ta'akkul adalah lebih tinggi dari tafakkur. Orang yang tidak menggunakan 'akalnya, sesat. Ramai saintis yang Etheis sebab dia tidak menggunakan 'akal walaupun pandai menggunakan otak. Sahabat Nabi saw, kebanyakannya tidak secerdas mana otaknya. Ramai yang buta huruf, tetapi kerana 'akalnya hebat, IQ luar biasa, ramai yang masuk syurga. Yang kaya, menjadi dermawan bersyukur, yang miskin, redho dan bersabar. Diperintah perang, mereka pergi, mereka redho dan mengharap syahid dan mereka jumpa disyurga.

22.0] Jangan hanya ada kecerdasan IQ tanpa kecerdasan spiritual. Pandainya luar biasa tetapi kafir. Saintis yang hebat tetapi Etheis. Pakar segala sesuatu contohnya pakar ekonomi negara yang sepatutnya pandai mengurus ekonomi tetapi sebaliknya menjadi penipu negara. Dimana tafakkur nya hebat tetapi ta'akkul nya kosong.

23.0] Perbandingan, perbezaan dan persamaan ayat:

Apabila kita bandingkan surah Al-Ankabut ayat 15 dengan ayat 24 dan ayat 34, kita dapati ayat 15 ialah tentang Al-Inja' - penyelamatan Allah, kepada Nabi Nuh as. Manakala  ayat 24 ialah tentang Nabi Ibrahim as yang ada Inja' Allah dan dijadikan aayah ( bukti-bukti, tanda-tanda).

24.0] Didalam Surah Al-Ankabut ayat 34 pula, Allah nyatakan tentang Al-Ihlak - pembinasaan sebagai aayatan Allah. Inja' adalah berlawanan dengan Al-Ihlak. Macamana untuk memahami ayat Allah dimana terdapat 2 peristiwa yang kedua-duanya Allah jadikan aayah (bukti-bukti)?.

i) Didalam ayat 35, Allah nyatakan tentang aayatan bayyinah - bukti-bukti atau tanda-tanda yang terang nyata.  
ii) Sementara didalam ayat 24, Allah nyatakan aayatan sahaja  tanpa kalimah bayyinah.
iii) Didalam Ayat 15 juga hanya disebut aayatan sahaja tanpa kalimah bayyinah.  

25.0] Apa yang kita ingin bincangkan ialah:

i) Inja' dan ihlak - walaupun Allah jadikan kedua-duanya sebagai aayah (tanda-tanda) tetapi apabila Allah nyatakan tentang ihlak Allah kata ini aayatan bayyinah. Sementara ketika Allah nyatakan tentang inja' kepada Nabi Nuh as, dalam ayat 15, Allah kata lil'aalamin - bagi semua manusia. Manakala ketika Allah kata tentang Inja' kepada Nabi Ibrahim as seperti dalam ayat 24, Allah sebut liqaumin yu'minun - bagi kaum yang beriman.

ii) Didalam ayat 34, tentang ihlak (pembinasaan) terhadap Kaum  Nabi Luth as. Allah nyatakan bahawa itu juga adalah ayat bayyinah, tetapi  hanya untuk Kaum Nabi Luth as, bukan untuk lil 'aalamin juga bukan lil mukminun.

26.0] Pada setiap ayat, Allah mahu kita jadikan pengajaran. Kenapa berubah-ubah? Ada 3 perkara yang hendak ditelitikan dalam tadabbur Al-Quran, iaitu tentang cerita, tentang sejarah dan tentang perkara yang ada signifikan. Begitulah Al-Quran, jika kita dalami, semakin banyak yang kita jumpai, yang kita tidak ketahui dan perlu dipelajari lagi. 

No comments:

Post a Comment