Tuesday, October 4, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 46) Kuliah 45 - Solat, Berdebat

1.0] Terakhir yang dipelajari ialah surah Al-Ankabut ayat 44 dan 45 yang menjelaskan kaitan yang rapat sekali antara ayat-ayat kauniyah dengan ayat-ayat qauliyah (ayat yang difirmankan, ayat yang diturunkan). Ayat kauniyah, "Kholaqallah assamaawaati wal ardha bil haq- Allah menciptakan langit dan bumi dengan hak", dengan ayat qauliyah,"Utlumaa uuhiya ilaika minal kitaabi wa aqimissolah- Bacalah Kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu dan laksanakanlah solat", satu hubungan yang erat yang tidak boleh dipisahkan. Apabila seseorang telah dapat mengaitkan, memahami, serta dapat merasakan hubungan antara ayat kauniyah dan ayat qauliyah ini maka hendaklah ia amalkan dan praktikkan semua itu di dalam solatnya. Lantaran itu, jika ia solat, bermula dengan takbir Allahu Akbar, maka yang terfikir, yang terbayang olehnya di dalam hatinya bukan terjemahan kalimah Allahu Akbar tetapi hatinya sudah dipenuhi dengan perasaan Kibriyaa Ullah, (Kebesaran Allah) yang ia perolehi dari pemahamannya terhadap ayat-ayat kauniyah.

2.0] Seseorang tidak akan dapat fahami Kebesaran Allah dalam erti kata yang sebenarnya jika ia tidak dapat fahami ayat kauniyah kerana di sanalah Allah tunjukkan segala KebesaranNya. Jika hati telah dipenuhi dengan Kibriya Ullah, maka apabila disebut sahaja Allahu Akbar, pasti akan dapat merasa diri sangat kecil, tiada berdaya, merasa sangat-sangat berhajat kepada Allah Yang Maha Esa, kerana selain Dia, tiada yang lain lagi tempat bergantung. Di situlah akan lahir khusyuk, disitulah akan dapat capai makam tertinggi iaitu zikrullah.

3.0] Zikrullah itulah yang paling besar, yang bermaksud sebesar-besar ibadah hamba kepada Tuhannya ialah zikrullah dan sebesar-besar nikmat anugerah Allah kepada hambaNya juga ialah zikrullah.

4.0] Katalah apabila Allah berfirman, "Uzkurullah!", "Ingatlah kamu kepada Allah!", kalaulah bermakna "Ingatlah" sahaja, tentunya hanya sesuai kepada orang yang sudah lupa dan tidak sesuai kepada  orang yang sentiasa ingatkan Allah. Uzkurullah bermakna perintah Allah kepada kita yang tujuannya zikrullah itu supaya kita tahu dimana makanah kita, dimana kedudukan, posisi kita dihadapan Allah.

5.0] Apabila kita sebut Allahu Akbar, Allah Maha Besar, kita bukan untuk membesarkan Allah sebab Allah sudah besar sebelum kita membesarkanNya. Allah juga tidak menjadi kecil jika kita tidak kata Allahu Akbar. Tidak sama sekali. Sebanyak mana sekali pun takbir kita tidak memberi apa-apa kesan bagi Allah. Kalau begitu kenapa Allah menyuruh kita membesarkanNya walhal dia sudah Besar? Tujuannya ialah supaya kita sedari yang diri kita ini kecil apabila berhadapan dengan Allah Yang Maha Besar dan ini kita terjemahkan di dalam keadaan yang nyata seperti di dalam solat yang mencegah fahsyaa' dan mungkar.

6.0] Di dalam Al-Quran kalimah fahsyaa' ini ada 3 bentuk;
i) Al-Fahsyaa'.
ii) Al-Faahisyah.
iii) Al-Fawaahisy.

Terdapat perbezaan makna di antara ketiga-tiganya. Di dalam surah Al-Ankabut ayat 45 ini dan ayat-ayat yang lain ada menyatakan bahawa solat dapat mencegah perbuatan fahsyaa', kenapa tidak faahisyah? Padahal jika di dalam Bahasa Melayu ketiga-tiganya di beri makna yang sama iaitu sebagai perbuatan keji. Oleh itu untuk fahaminya, untuk dapat membezakannya, tengok bagaimana penggunaannya di dalam Al-Quran. Terdapat 6 surah yang ada kalimah fahsyaa' iaitu;
i) An-Naml ayat 90
ii) Al-Baqarah ayat 268
iii) Yusuf ayat 24
iv) An-Nur ayat 21
v) Al-Ankabut ayat 45
vi) Al-Baqarah ayat 169

7.0] Kalimah Al-Faahisyah pula terdapat di dalam surah-surah;
i) Al-A'raf ayat 28                                      
ii) Aa-Li-imran ayat 135                            
iii) Al-Isra' ayat 32                                    
iv) An-Nisaa' ayat 15                                
v) An-Nisaa' ayat 19                                  
vi) An-Nisaa' ayat 22                                
vii) An-Nisaa' ayat 25
viii] Al-A'raf ayat 80
ix) An-Nur ayat 19
x) An-Naml ayat 54
xi) Al-Ankabut ayat 28
xii) Al-Ahzab ayat 30
xiii) At-Talaq ayat 1

8.0] Manakala kalimah fawaahisy terdapat di dalam surah-surah;
i) Al-A'raf ayat 33
ii) Al-An'am ayat 151
iii) Asy-Syura ayat 37
iv) An-Najm ayat 32

9.0] Berdasarkan penggunaan kalimah fahsyaa', faahisyah dan fawaahisy di dalam surah-surah Al-Quran diatas maka kalimah fahsyaa' adalah merujuk kepada perbuatan keji yang belum dilakukan. Maksiat yang berat yang belum dilakukan. Manakala kalimah faahisyah merujuk kepada perbuatan keji yang telah dilakukan seperti berkahwin dengan mantan isteri bapa,

10.0] Contohnya, Zina itu adalah perbuatan keji fahsyaa', tetapi bagi yang telah terlanjur melakukannya pada kali yang pertama dipanggil faahisyah manakala setelah banyak kali melakukan dipanggilkan fawaahisy. Kalimah fawaahish mengandungi kedua-dua fahsyaa' dan faahisyah. Sebab itulah ulama tafsir mengatakan bahawa fawaahisy mengandungi fahsyaa' zahir dan batin. Fahsyaa' batin ialah yang belum dibuat manakala fahsyaa' zahir ialah yang sudah dibuat. Kedua-duanya perlu dijauhi.

11.0] Solat boleh mencegah fahsyaa' atau faahisyah? Di dalam Al-Quran dinyatakan bahawa solat boleh mencegah fahsyaa' yang bermakna orang yang solat sempurna tercegah dari melakukan faahisyah kerana telah dapat dicegah seawal fahsyaa' lagi. Lantaran itu jadilah orang yang solat sempurna iaitu orang hebat yang tidak terlintas pun dihatinya untuk melakukan fahsyaa' atau faahisyah.

12.0] Menghalang sesuatu perbuatan mestilah sebelum ianya dilakukan dan ini dinamakan tanha- mencegah, memotong sesuatu sebelum sempurna. Contohnya ekor cicak yang dipotong, terputus ekornya, untuk pulih semula seperti sediakala memakan masa sebulan, kemudian jika baru 5 hari berlalu, ekornya yang baru mula pulih tetapi belum sempurna, telah dipotong lagi. Itulah naha- yanha, yang mana merupakan perbuatan yang bersifat pencegahan atau preventive.

13.0] Contoh yang lain, seperti untuk mencegah maksiat khalwat, apabila saja sudah ada 2 anak Adam berlainan jantina yang akan melakukan khalwat, maka masa itulah perlu dicegah awal-awal. Apabila sudah nampak seorang sedang menempah bilik, kemudian nampak pula yang seorang lagi telah datang, perlulah bertindak segera, janganlah ditunggu biar lama sedikit, sehingga keduanya sudah masuk ke bilik, kena pastikan kamera sudah terpasang supaya ada bukti, polis dan pencegah maksiat semua sudah ada dan bersedia kemudian baru serbu dan selepas itu disiarkan di telivision. Cara demikian tidak menepati sunnah kerana mencegah sesuatu ialah sebelum berlakunya. Cegah diawal-awal lagi.

14.0] Contoh yang lain lagi ialah seperti kita mematahkan ranting pokok sebelum ianya tumbuh sempurna, baru sahaja bertunas sudah dipatahkan awal-awal, dan itulah yang dipanggil naha, bukan menunggu sehingga tunas menjadi ranting yang menggangu, baru ingin dipatahkan.

15.0] Dalam realiti dunia nyata, banyak musolli (orang yang mengerjakan solat) yang membuat fahsyaa' dan mungkar, bahkan ramai orang Muslim yang ditangkap rasuah ialah orang yang pernah pergi haji atau umrah.

16.0] Definasi solat dari segi bahasa atau erti epistemologi ialah ucapan-ucapan dan perbuatan yang dimulakan dengan membaca takbiratul ihram dan ditutup dengan salam dengan syarat-syarat yang ditentukan. Tidak sepatutnya digunakan kalimah sembahyang kerana bagi orang Hindu di Pulau Bali, sembahyang bermaksud sembah Yang ( iaitu dewa yang paling besar- Sang Yang Widi).

17.0] Solat mesti dilakukan dengan niat kerana semua ibadat mesti ada niat. Di dalam solat, ucapan yang perlu kita baca telah ditetapkan, kita tidak boleh mereka-reka atau menukar ganti ucapan walaupun dengan sebaik mana ucapan lain yang kita sukai. Contohnya ucapan, "Inna lillahi wainna ilaihi roojiuun", walaupun satu ucapan yang baik dan ianya ialah ayat Al-Quran, namun tiada seorang pun daripada kita yang berani menukarkannya menggantikan ucapan "Sami'allahu liman hamidah", ketika bangkit dari rukuk. Walaupun seorang yang jahil, tidak akan berani menukarkannya.

18.0] Rukuk, sujud mestilah ikut aturan. Jika Allah tidak suruh kita melakukannya, kita tidak boleh melakukannya, kita tidak boleh mengubah apa-apa ucapan atau perbuatan solat. Sujud itu hebat kerana itulah waktu paling dekat antara hamba dengan Tuhannya. Namun tiada yang berani menambah bilangan sujud, tiada yang berani  menambah bilangan rakaat di dalam solat.

19.0] Kita tidak berani bercakap di dalam solat melainkan yang disuruh ucapkan dan yang dibenarkan. Kita tidak berani bergerak kecuali pergerakan yang dibenarkan. Itulah solat yang jika kita hayati dan pegangi, selepas salam dan keluar dari solat, maka sekelian insan akan bertebaran melakukan tugasan dengan patuh sebaik-baiknya. Pekedai menuju ke kedainya, guru menuju ke sekolahnya, pemimpin ke Kementeriannya, dan sentiasa ingat bahawa diri tidak boleh buat sesuatu melainkan yang dibenarkan, tidak boleh cakap melainkan yang disuruh. Jika begitu tentulah tidak ada lagi maksiat di luar solat.

20.0] Masaalahnya ialah orang hanya takut untuk bercakap atau untuk bergerak sedikit pun hanya ketika di dalam solat sahaja. Selepas solat, merasa merdeka dan tidak lagi terikat dengan suruhan dan perintah Allah supaya menjaga percakapan dan perbuatan. Contohnya ketika solat, walaupun terasa gatal yang amat sangat pada kulit badan, terpaksa ditahan, takut bergerak. Jika terpaksa menggaru pun berhati-hati supaya tidak melebihi 3 kali pergerakan berturutan. Contoh lagi seperti ketika solat dalam keadaan kenyang selepas berbuka puasa, kemudian setelah bergerak-gerak, kain pelikat yang dipakai mula terlondeh dan akan jatuh, itu pun tidak berani bergerak untuk menahannya, takut melebihi pergerakan.

21.0] Orang sangat-sangat menjaga ucapan dan perbuatan di dalam solat, tetapi malangnya hanya betul-betul berjaya menjaganya di dalam solat. Tidak melakukan fahsyaa' (perbuatan keji) dan mungkar, melakukan 100% suruhan dan meninggalkan larangan Allah, selama sekadar 5 minit waktu solat itulah sahaja. Allah tidak mahukan seperti itu. Solat itu adalah latihan, training. Allah mahukan latihan semasa solat kita itu menjadi amalan kita selepas solat juga. Dengan itu terhasillah orang yang solat yang terbawa-bawa sikap dan amalan menjaga ucapan dan perbuatan seperti di dalam solat terus menerus di dalam kehidupan seharian nanti

22.0] Solat itu menjaga. Tanha 'anil fahsyaa'- menjaga dari melakukan perkara keji. Sebab itulah tiada orang yang tumbuk orang semasa solat, tiada orang yang mengumpat semasa solat. Walhal sekhusyuk mana dan setertib mana pun solat kita, Allah tidak ada keuntungan. Rosaknya solat kita, Allah tidak akan rugi sedikit pun.

23.0] Solat itu hanya beberapa minit sahaja, Hidup kita lebih banyak diluar solat. Oleh itu adalah lebih penting untuk mencegah fahsyaa' dan mungkar diluar solat. Di dalam solat telah dapat mengawal segala perilaku tetapi di luar solat seolah tiada kawalan, seperti tiada panduan, seperti tiada peraturan. Berbezanya seperti siang dengan malam. Pelik, keadaan di luar solat dan di dalam solat adalah seperti makhluk dua alam.

[ Sedikit jenaka; Soalan, "Apa hukum makan daging makhluk 2 alam?" Jawapannya, "Haram! sebab makhluk dua alam itu ialah manusia"].

24.0] Manusia adalah makhluk yang berubah-ubah, terutama pada hatinya. Semasa berkenalan, kemudian bertunang, semua indah, yang satunya dianggap dewa, yang satu lagi dianggap dewi. Apabila telah berkahwin, sudah mendapat anak, berubah, menjadi makhluk dua alam.

25.0] Solat itu satu latihan, satu training. Apabila bateri hampir habis, apabila sudah berkurangan tenaga, maka bateri perlulah dicas semula. Begitulah juga dengan kita manusia, yang perlu dicas dari masa kemasa. Nabi saw, setelah berpenat-penat dengan dakwahnya akan gesa, akan mengarah Bilal untuk mengajak sahabat solat berjemaah untuk mengecas kembali tenaga. Setelah solat akan bersemangat kembali.

26.0] Yang diingat Allah, bukan hanya semasa solat hambaNya, tetapi Allah akan menunggu apa yang dilakukan hambaNya selepas solatnya. Yang dinilai, yang jadi penentu samada boleh jadi ahli syurga atau akan jadi ahli neraka ialah perbuatan selepas solatnya.

27.0] Kenapa ada ayat 4 surah Al-Maa'uun?, "Fawailul lil musolliin" yang bermaksud "Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang bersolat". Kenapa begitu? Mesti ada apa-apanya. Adakah sebab  ditambah bilangan rakaatnya?, atau adakah kerana tidak dibaca surah Al-Fatihah? Bukan, solatnya sah dari sudut feqah tetapi solatnya langsung tidak memberi kesan sama sekali di dalam hidupnya selepas solat. Ayat terakhir surah itu , "Wayamna'uun almaa'uun" yang bermaksud, "Dan mereka menghalangi pertolongan", yang menunjukkan perbuatan diluar solat mereka. Oleh itu hati-hatilah, bersolat sebaiknya supaya terhasil peribadi mulia, tidak perlulah memejamkan mata bersungguh-sungguh, tetapi cuba resapi dihati sanubari.

28.0] Fahsyaa' ialah maksiat yang masih di dalam hati, ada pun faahisyah ialah maksiat yang sudah dibuat. Solat mencegah fahsyaa' yang belum terjadi, andainya telah terjadi faahisyah, maka perlulah bertaubat. Walaupun di dalam Bahasa Melayu semuanya hanya diterjemahkan sama sebagai perbuatan keji. Fahsyaa' ialah satu maksiat yang masih berupa konsep, baru diperingkat berfikir, merancang, masih bersifat batiniyah dan belum lagi bersifat zahiriyah. Namun itu pun tidak boleh, jangan sekali-kali melakukannya.

29.0] Di dalam hadith Ahmad An-Nasai, Imam Hakim, Al-Imam Baihaqi, daripada Anas bin Malik, bahawa Baginda Nabi saw bersabda,"Kecintaan ku terhadap dunia ialah wanita (isteri) dan wangian dan penyejuk mataku ialah ketika solat". Nabi saw sangat mencintai isteri-isterinya, dan sangat sukakan wangian walau pun badan Nabi saw dan peluhnya pun memang sudah sangat wangi lebih dari wangian itu. Disunatkan bagi orang lelaki memakai wangian, aroma yang harum, manakala orang perempuan tidak digalakkan berwangian.

30.0] Bagi jemaah yang baru pulang dari mengerjakan haji atau umrah, yang ingin memberi hadiah,   eloklah menghadiahkan wangian untuk orang lelaki kerana ini mengikut sunnah Nabi saw. Tidak perlulah menghadiahkan tasbih sebab yang lebih afdhal ialah bertasbih mengira dengan jari. Begitu juga tidak payah dengan ketayap yang bukan pun buatan orang Arab dan boleh di dapati banyak di pasar malam di sini.

31.0] Nabi saw merasakan jiwanya tenang setenangnya, lapang selapangnya semasa dan selepas solat. Sunnahnya yang satu ini susah untuk kita dapat kerana hati kita belum dapat merasa lapang semasa dan selepas solat.

32,0] Al-Quran juga mengajar kita doa penyejuk mata dan hati seperti yang terdapat di dalam  surah Al-Furqan ayat 74:


Nabi saw menjadikan isteri-isterinya  dan zuriatnya yang paling berharga dan dicintai. Kita patutlah mencontohi Nabi saw. Jika pasangan kita membahagiakan kita, jika pasangan kita merasa bertuah memiliki kita, jika pasangan kita memuji kita apabila tampil dihadapannya, bertuahlah, berbahagialah pasangan itu kerana pujian itu datang dari orang yang hampir dihati kita.

[Nota; Berhati-hatilah terutamanya untuk meletakkan gambar profile di facebook atau watts-up, ada pula yang suka menukar-nukar gambar profilenya. Kemudian  ada respon pula dari orang yang tidak dikenali, lantas terseret dalam dialog yang seperti ini;

i) "Wah, mudanya awak". Jawapan bagi yang ada sedikit tawadduk atau sederhana, "Tak adalah, biasalah!"
ii) Jawapan bagi yang ada sedikit bangga diri, "Tahu tak apa!"

Perlulah berhati-hati, terutamanya apabila mendapat respon dari yang berlainan jenis. Bagi Muslimah yang baik, jangan respon langsung, terus delete. Tukarkan gambar profile dengan gambar lain seperti gambar kucing atau bunga adalah lebih selamat. Dari sudut saikologi, orang yang suka tukar-tukar itu ,pagi lain, petang lain, menunjukkan hatinya yang rapuh, lemah, tiada pendirian, apabila berdepan dengan masalah sedikit sudah bingung. Keadaan itu boleh dinilai, boleh dibaca oleh orang yang faham, apatah lagi jika mendapat respon pujian dari orang yang kita tidak kenali dan yang berlainan jenis pula. Kesannya luar biasa.

33.0] Surah Al-Ankabut ayat 46;


Ayat ini bukan seruan tetapi keharusan berdebat dengan ahli kitab dalam hal agama. Larangan ini bukan bersifat mutlak tetapi bersyarat, syaratnya ialah berdebat dengan cara yang lebih baik. Kata Syeikh Mustafa Al-Marowi, "Tujuan berdebat bukan untuk mencari kemenangan tetapi untuk mencari kebenaran". Jika untuk mencari kemenangan  tentu ada sifat angkuh dan sombong, apa lagi dengan meletakkan syarat samada dengan sesama Islam atau yang berlainan agama. Debat bukan untuk menarik mereka kepada agama kita tetapi debat ialah untuk menunjukkan kebenaran Agama Islam dan untuk membuktikan kesilapan dan kepalsuan agama selain Islam. Jika selepas berdebat namun mereka masih menolak, katakanlah kepada mereka bahawa "Kami beriman dengan kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu. Kami tidak menolak apa yang diturunkan kepada Nabi Isa dan Nabi Musa. Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah sama. Nabi Musa dengan kitab Tauratnya menyuruh menyembah Tuhan Yang Esa, begitu juga Nabi Isa dengan Injilnya menyuruh menyembah Tuhan Yang Esa, Nabi Muhammad saw dengan Al-Quran juga menyuruh menyembah Tuhan Yang Esa dan Tuhan itu adalah Tuhan Yang Sama".

34.0] Ayat ini menunjukkan keharusan berdebat (bermujaadalah) dengan ahli kitab dalam masalah agama tetapi dengan cara ahsan (lebih baik). Jangan sekali-kali bersyarat seperti, "Jika kamu salah, bersedialah untuk kerat jari dan jika saya yang salah, saya akan bersedia kerat kuku". Itu tiada ihsan, tidak boleh. Juga tidak boleh jika bersyarat seperti, "Jika kamu salah, kamu kena masuk Islam dan jika kami salah, kami akan ikut agama kamu". Tidak boleh begitu. Tidak boleh sama sekali. Sangat salah begitu.

35.0] Nabi saw bersabda di dalam sunan Ibnu Majah, dinilai soheh bi ghairihi oleh Nasaruddin Al-Bani, "Sesiapa yang mencari ilmu (belajar) kerana hendak membanggakan diri dengannya (ilmu itu), dikalangan orang-orang alim, ingin merasa lebih pandai diantara yang pandai-pandai, atau untuk menguasai atau untuk mencari pengaruh di kalangan orang-orang yang bodoh yang menjadi pengikut setia (taklid), dan akan memalingkan dirinya (dengan ilmu itu) dari manusia, kerana merasa dia yang paling pandai, paling benar, maka Allah akan memasukkannya kedalam Jahannam". Na'uzubillah.

36.0] Mencari ilmu, janganlah hanya untuk termasuk di dalam kumpulan elit cendikiawan, atau untuk mencari pengaruh dikalangan orang-orang yang bodoh yang memuja dan menyanjungnya melangit. Mengharapkan orang berebut-rebut mencium tangannya. Perbuatan mencium tangan seseorang tanda hormat adalah tidak salah seperti anak mencium tangan orang tua, tetapi jangan sampai meminta atau memaksa orang mencium tangan atau merasa bangga apabila orang berebut-rebut meminum sisa minuman atau air basuhan tangan. Yang mungkin mengangkat sisa minuman itu setaraf dengan air zam-zam sehingga diri menjadi angkuh dan sombong.

37.0] Ingat, ilmu apapun yang dibanggakan, samada ilmu ABC atau ilmu alif, baa', taa', kedua-duanya jika hanya untuk mencari nama di dunia adalah sangat bahaya, dan bukan ilmu alif, baa', taa' sahaja yang akan dapat membawa seseorang ke syurga.

38.0] Surah Al-Ankabut ayat 46 ini ialah tentang menyatakan hukum harusnya berdebat dalam masalah agama, antara sesama Muslim atau dengan orang bukan Muslim, tetapi hendaklah dengan cara yang baik, ihsan dan adab yang ketat. Jika syaratnya tidak dapat dipenuhi, adalah lebih baik jika mujaadalah (debat) itu tidak diteruskan atau jika perlu juga diteruskan hendaklah dengan cara supaya dapat menghindari dari orang awam menjadi keliru. Moga bermanafaat.
































No comments:

Post a Comment