Tuesday, October 11, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 46) Kuliah 46 - Berdebat, Berdakwah

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 46 yang telah dibincangkan pada kuliah yang lepas adalah ayat yang berkaitan dengan keharusan berdebat (bermujaadalah) dengan tujuan hendak mencari kebenaran dan bukan untuk mencari kemenangan. Selepas Allah SWT menjelaskan tentang cara bagaimana berdakwah, untuk menjelaskan agamaNya kepada orang-orang Musyrik dimana di dalam ayat-ayat sebelumnya ada menyatakan bahawa orang Musyrik itu telah bersangatan dalam kejahilan dan kebodohannya sehingga Allah beri gelaran summum bukmun'umyun (mereka tuli, bisu, buta). Mereka ada telinga tetapi tidak mendengar, mereka ada mulut tetapi tidak bercakap, mereka ada mata tetapi tidak melihat. Kepada orang-orang seperti ini adalah susah sekali untuk menjelaskan kebenaran dengan cara berhujah dan berdebat.

2.0] Lain halnya dengan Ahli Kitab, ima (samada, walau pun) Yahudi wa ima Nasrani, maka Allah benarkan umat Islam untuk sampaikan tentang kebenaran Agama Islam kepada mereka. Menjelaskan syariat Islam kepada mereka dan salah satu caranya ialah dengan cara berdebat (bermujaadalah), hanya sahaja dengan syarat yang ketat iaitu dengan cara yang lebih baik - iaitu ahsan.

3.0] Debat (Al-Mujaadalah) ditakrifkan sebagai menghadap hujah dengan hujah, berlawan hujah bagi tujuan menghilangkan subuhat dengan dalil-dalil yang nyata. Ini bermakna debat (mujaadalah) dalam ayat ini dan di dalam ayat-ayat lain adalah menunjukkan kepada salah satu cara berdakwah. Debat atau mujaadalah hendaklah secara ilmiah, bukan debat atau mujaadalah yang emotional, sampai menepuk-nepuk meja atau sampai meninggikan suara, kerana tujuan berdebat, bermujaadalah ialah untuk mencari kebenaran bukan untuk mencari kemenangan.

4.0] Seseorang yang mengemukakan hujah bagi membenarkan pendapatnya terhadap orang yang menentang dan menolak pendapatnya itu ialah Pendebat, yang mana tidak semua orang layak atau mampu melakukannya. Walaupun mungkin setiap orang punyai nafsu besar untuk berdebat (bermujaadalah) tetapi mungkin tidak layak atau belum layak melakukannya. Di dalam realiti kehidupan, orang yang terlibat berdebat (bermujaadalah) bukanlah orang-orang yang punya kelayakan berdebat tetapi semata-mata yang mengikut nafsu suka berdebat, kuat berhujah di kedai-kedai kopi dan adalah sangat tidak elok.

5.0] Di dalam agama kita, Al-Mujaadalah (Debat) boleh jadi diantara 2 orang muslim yang seagama, yang seiman, dalam perkara-perkara Usuluddin, perkara-perkara pokok yang asas atau dalam perkara cabang (furu'). Tiada masalah, boleh saja berdebat untuk mencari terang sesuatu yang kabur. Lihat saja surah Al-Mujaadalah ayat 1;

Wanita yang berkenaan di dalam ayat di atas ialah Khaulah binti Sa'labah Al-Ansori yang dizihar oleh suaminya. Ini adalah peristiwa zihar yang pertama dalam Islam kerana zihar adalah tradisi jahiliah Arab sebelum kedatangan Islam. Apabila seseorang suami sudah tidak sukai isterinya, maka dia akan samakan atau anggapkan isterinya seperti ibunya. Suaminya akan haramkan bersama isterinya seperti haramnya dia terhadap ibunya. Suami itu ziharkan isterinya dan kesan aib, terhina dan teraniaya ditanggung 100% oleh si isteri. Khaulah yang telah dizihar oleh suaminya bertanya tentang masalahnya itu kepada Nabi saw. Khaulah berkata,"Wahai Rasul, aku sudah tua, anak-anakku ramai dan masih kecil, aku orang susah, kalau aku serahkan anak-anakku ini kepada suamiku takut nanti anak-anakku terbiar memandangkan perangai bapa mereka yang meragukan untuk dapat menjadi pengasuh kepada anak-anak". Nabi saw menjawab, "Kamu adalah sudah haram bagi suami mu dan suami mu pun sudah haram bagi mu". Khaulah yang merasa teraniaya, merayu dan mengadu kepada Allah dimalam hari mohon Allah turunkan hukum yang lebih jelas dan adil dan Allah menyelesaikan masalah ini dengan menurunkan ayat-ayat di dalam surah Al-Mujaadalah yang menyatakan tentang hukum zihar dan cara-cara bagaimana untuk menarik balik ziharnya itu.

6.0] Ini menunjukkan bahawa tiada masalah untuk bermujaadalah (berdebat) antara mukminah dengan Nabi saw atau antara sesama muslimin yang mana debatnya positif, yang nuansa (berbeza atau kelainan yang sangat halus dan sedikit), atau berbeza pada pendapat yang masing-masing mendakwa pendapat merekalah yang benar, mereka merasa berhubungan, masih bersaudara, seagama, bukan berdepan dengan musuh. Tetapi jika sudah nampak yang lawan debat itu ialah musuh yang hanya ingin mencari kemenangan atau ingin memalukan pihak lawan, janganlah sertai, kerana ini tiada dalil, dan ini adalah salah disisi agama. Kalau dihati sudah terlintas atau berazam untuk menang dan memalukan lawan dalam debat itu, itu adalah sangat salah sekali

7.0] Mujaadalah (berdebat) boleh jadi antara muslim dengan kafir Musyrik juga, contohnya Nabi Ibrahim Khalilullah, yang paling banyak menggunakan wasilah mujaadalah dalam menyampaikan risalahnya. Nabi Ibrahim as tidak pernah kalah di dalam debatnya iaitu sentiasa berjaya menunjukkan kebenaran ajarannya di hadapan kaum yang menentangnya. Nabi Ibrahim as berdebat dengan bapanya, berdebat dengan kaumnya, berdebat dengan Raja Namruz, kafir laknatullah 'alaihi. Rujuk surah Al-Baqarah ayat 258;

Nabi Ibrahim Khalilullah yang sangat cerdas akalnya dengan pertolongan Allah dapat mengeluarkan hujah kedua  iaitu, katanya, " Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat," lalu terdiamlah Raja Namruz yang kafir itu. Nabi Ibrahim Khalilullah telah dapat mematahkan debat Raja Namruz laknatullah 'alaihi.

8.0] Di dalam masalah agama, di dalam masalah akidah, samada antara sesama Muslim atau dengan orang Musyrik, juga dengan orang Kafir Kitaabi, Allah benarkan untuk berdebat, tetapi dengan cara ahsan, cara yang terlebih baik.

9.0] Al-Mujaadalah atau berdebat terbahagi kepada 2 jenis iaitu;

i] Al-Mujaadalah mumaarah, mazmum, yang tercela- iaitu debat yang ingin mencari kemenangan, untuk menunjukkan lebih pandai, lebih tahu dari pihak lawannya. Biasanya disertai dengan alasan yang tidak masuk akal, pemilihan kata-kata yang teruk, intonasi suara yang kuat, mulut berbicara beserta kaki tangan yang sama bertindak. Cara berdebat begini dilarang di dalam agama dan amat tercela.

ii] Al-Mujaadalah ithbaatul haq, mahmud (terpuji), haniifah- iaitu berdebat untuk mencari kebenaran, semangatnya hanafiah, iaitu lurus bersih, walau pun jika terdapat pendapat orang lain yang berlainan yang terpaksa diterimanya, tidak merasa malu, malah merasa bertuah dan berterima kasih kerana debat itu telah dapat membuktikan bahawa dirinya salah. Debat sebegini yang disuruh di dalam agama, bahkan ada adab-adab dalam berdebat menurut panduan Al-Quran.

10.0] Adab-adab berdebat menurut panduan Al-Quran ialah;

i) Tidak boleh merendah-rendahkan lawan.
ii) Kalau kita ingin mereka menerima kebenaran pendapat kita, buktikanlah bahawa pendapat kita itu benar. Contohnya jika ingin melariskan barang sendiri seperti dalam menjual kain, tunjukkan bahawa kain kita yang terbaik, buktikanlah bahawa kain kita itu kain yang dibakar tidak hangus, diclorox tidak luntur, digunting tidak lut. Buktikan sehingga orang percaya kebenaran dakwaan kita bukan dengan merendah-rendahkan pihak lawan dengan menunjukkan kelemahannya dan mempamir kelebihan pihak sendiri.

11.0] Jika berdebat dengan berhujah yang beradab mulia, secara ahsan  (dengan cara yang lebih baik),  kalau pun mungkin pada saat itu pihak lawan tidak dapat menerima, In syaa Allah dimasa depan ada kemungkinan dia akan dapat menerima. Tetapi jika berdebat dengan tidak beradab, serang, maki, hina pihak lawan, walau pun mungkin hatinya dapat bersetuju dengan pendapat kita, akan jadi susah baginya untuk menerima. Oleh itu berusahalah untuk sentiasa meng-orangkan orang. Itulah orang yang baik. Dakwah yang baik.

12.0] Adab ahsan dalam berdebat (bermujaadalah), rujuk surah Saba ayat 24, 25 dan 26;



Ini contoh tafsirul aayah bil aayah (ayat mentafsir ayat) iaitu debat Nabi saw dengan kaum kafir Quraisy Musyrik. Allah beri panduan kepada Nabi saw cara untuk berdebat dengan kaum yang sangat banyak perbezaannya. Nabi saw tidak mahu menerima hujah mereka dan mereka juga tidak mahu menerima hujah Nabi saw. Allah mengajar Nabi saw supaya mengatakan bahawa, "Sesungguhnya samada kami atau kamu yang ada di dalam petunjuk atau kesesatan". Tengok bagaimana pemilihan kalimah yang berhemat. Inilah adab berdebat, sehingga lawan dapat merasa dihormati sebagai manusia.

13.0] Jika A dan B berdebat, kemudian A yang menjadi hakim, apa perasaan B? Tentu merasa tiada keadilan. Ini bukan tentang betul atau salah, tetapi tentang dapat melihat lawannya sebagai tetap dihormati dan tidak dipermalukan. Meletakkan lawan diaras yang sama, sama taraf, tidak meletakkan siapa yang salah dan siapa yang benar. Adalah sangat sedih jika kita ada bakat berdebat tetapi belum cukup kemahiran untuk berdebat dan belum cukup syarat berdebat. Hebat sekali jika sudah dapat berdebat sehingga Islam tetap dihormati. Lawan pun memuji, tiada kata-kata yang menyinggung perasaan, walaupun dengan orang yang bukan Islam.

14.0] Rujuk surah Saba ayat 25 di atas, pertanyaannya ialah, bilakah Nabi saw  ada berbuat dosa dan salah? Walhal Nabi saw tidak pernah berbuat dosa. Kenapakah Allah menyuruh Nabi saw berkata begitu? Kenapa kalimah itu tidak diterbalikkan sahaja? Susunan kosakatanya yang sangat berhemah. Bukan tidak yakin atau meragui, tetapi inilah 100% berkenaan etika berdebat, yang mana;

i) Seolah-olah tidak tahu siapa salah dan siapa betul.
ii) Seolah-olah tidak mengapa, jika kami berdosa, kamu tidak bertanggung-jawab dan seterusnya keputusan terletak pada ayat ketiga iaitu;
iii) Tuhan kita yang akan menghimpunkan antara kita, disuatu tempat, disuatu masa, siapa yang benar siapa yang salah, Tuhan kita yang akan memberi kata putus. Kita tunggu bersama. Kedua pihak berpuas-hati.

15.0] Nabi saw pun tidak disuruh untuk menjadi hakim dalam debat yang mana Nabi saw sendiri terlibat. Hakimnya mestilah orang ketiga yang bebas dengan kaitan antara kedua pihak. Keadilan yang sebenar-benarnya, betul-betul baina (diantara keduanya), dan contoh di atas ialah Tuhan kita sebagai Hakim.

16.0] Itulah sebabnya orang Kafir Quraisy yang Allah putuskan pegangan mereka sesat dan mereka akan masuk ke neraka namun tiada protes, tiada merayu, kerana mereka berpuas hati. Hanya saanya mereka tidak tahan dengan siksaan neraka yang membuatkan mereka merayu hendak keluar. Yang masuk ke neraka pun tidak merasa dianiaya apa lagi bagi yang dapat masuk ke syurga. Semasa di dunia lagi Allah menyuruh Nabi saw untuk melakukan ahsan sebegini di dalam berdebat.

17.0] Jika ada suatu debat sedang berlangsung, di mana penonton sudah mula komen siapa hebat, siapa kalah, jika sudah ada yang meninggikan suara, bila sudah ada yang cenderung tidak hormati lawannya lagi, bersegeralah tinggalkan majlis itu, jangan bermujaadalah berterusan.

18.0] Contoh teladan daripada Nabi saw, iaitu ketika Yahudi berjumpa Nabi saw dan memberi salam dengan mengatakan, "Assaamu 'alaika ya Muhammad", yang bermaksud "Matilah kamu ya Muhammad". Nabi saw pun menjawab, "Wa'alaika" yang bermaksud, "Dan keatas kamu". Saidatina Aisyah r.anha yang mendengar salam jahat itu merasa marah, geram kerana Nabi saw telah dihina oleh musuh Allah. Saidatina Aisyah pun menjawab,"Wa'alaikumussam 'alaika laknatullah". Nabi saw yang masih berada disitu lantas berkata, "Bawa bertenang ya humairah". Saidatinaa Aisyah r.anha membela dirinya, lalu berkata, "Ya Rasul, tidakkah kamu mendengar apa yang mereka katakan terhadap mu?" Nabi saw menjawab, "Aku dengar dan aku sudah pun menjawabnya". Sambung Saidatina Aisyah , "Tetapi kenapa pendek sahaja? Nabi saw menjawab bahawa, " Allah sukakan kita yang berlemah-lembut dan  dia menyuruh kita berlemah-lembut hatta ketika kita sedang benci". Nabi saw tidak redho isterinya didorong emosi. Nabi saw menasihati isterinya supaya tetap sopan santun walaupun di dalam keadaan marah dan benci. Sambung Nabi saw lagi, "Doa aku kepadanya dikabulkan Allah manakala doanya kepadaku tidak dikabulkan Allah". Oleh itu tidak perlu marah, kerana marah itu yang bawa stress. Inilah ihsan, inilah budi pekerti. Orang yang ihsan, hatinya bersih.

19.0] Nabi  Isa as tatkala dicerca kaumnya namun tetap berdiam diri. Nabi Isa as telah memberitahu kawannya Al- Hawariyyun bahawa, "Seseorang itu hanya boleh memberi apa yang dia miliki. Aku tidak boleh marah kerana aku tidak punya banyak simpanan marah di dalam hatiku". Itu bermakna seseorang yang banyak memaki, mencaci dan mengumpat adalah menunjukkan banyak simpanan sifat keji di dalam dirinya. Sedangkan kita dinilai oleh orang dengan apa yang keluar dari diri kita bukan dengan apa yang masuk. Hati hendaklah sentiasa baik.

20.0] Hati-hati, kita muslim jangan sampai kalah dengan satu di antara ajaran yang kononnya ialah ajaran Buddha seperti mana yang diceritakan oleh ustaz tentang peristiwa beliau bersembang-selidik dengan seorang pekerja di bahagian mesin urut di sebuah pasaraya. Pekerja itu dinilai oleh ustaz sebagai seorang yang baik di dalam anutannya dimana dia menceritakan tentang patung Buddha yang berperut buncit, mata celik, tersenyum, yang mengikut ajarannya supaya dicontohi dan dijadikan sebagai simbol. Buddha yang baik, walaupun apabila dicaci, dimaki, dicela, ditipu, namun masih boleh menerima, menelannya sehingga perutnya menjadi besar dan masih tetap dapat tersenyum. Begitu juga dengan ajaran Toism yang meletakkan buah-buahan di sudut tertentu, yang dapat mengingatkan penganutnya bahawa segala perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan mendapat balasan jahat. Ada juga ajaran Toism yang meletakkan lampu atau lilin yang memberi simbol rela berkorban membakar diri demi kebaikan orang lain. Pokok pangkalnya hati mesti bersih yang seterusnya akan membawa kepada tubuh-badan yang sihat. Memang ada walaupun bukan majoriti mufassir yang mengatakan bahawa Si Garta Gautama Buddha itu ialah Nabi Zulkifli yang lahir di Kappilawarsu yang dengannya terbit nama Zulkifli. Di dalam ajaran mereka, adalah penting juga menjaga dan mengawal makan atau menjadi vegetarian. Nasib agama Buddha ini adalah sama dengan agama Nabi Musa as atau agama Nabi Isa as, yang mana diikuti umat semasa hidupnya di zamannya.

[ Nota- Menurut fahaman ajaran mereka, ada pendapat yang mendakwa bahawa seseorang yang sering marah kepada orang bawahannya seperti kepada anak-anak atau isteri atau pekerja bawahannya akan mudah mendapat sakit di bahagian kakinya dan cara untuk mengembalikan kesihatannya itu adalah dengan memohon maaf kepada yang  berkenaan, mengawal marahnya, merawat hati jadi besih sehingga sakitnya hilang dengan sendirinya ].

21.0] Di dalam Islam juga ditekankan bahawa hati perlu bersih, yang akan menjana jasmani yang sihat. Semua penyakit berpunca dari hati yang tidak stabil. Oleh itu agama Islam menekankan cara hidup yang sangat baik, bersopan santun, berbudi bahasa.

22.0] Contoh penggunaan kalimah billati hiya ahsan yang bermaksud dengan cara yang lebih baik ini dapat kita temui di dalam surah Ta ha ayat 44;

Ayat ini adalah kisah Nabi Musa as dan Nabi Harun as yang diperintahkan Allah supaya pergi berdakwah kepada Fir'aun dengan cara berbicara dengan kata-kata yang berlemah lembut (qaulan layyinan). Inilah ahsan. Pesanan Allah, "Wahai Musa, sesungguhnya Aku Tahu engkau kekasihKu dan Fir'aun musuhKu dan Aku tahu Fir'aun tidak menerima ajaran mu tetapi berkatalah dengan kata-kata yang lemah-lembut". Kenapa Allah tidak perintahkan Nabi Musa as supaya melanyak saja Fir'aun? Tetapi tidak, kenapa? Begitulah Al-Quran, menyuruh berlaku ahsan. Boleh jadi nanti ia akan menerima atau sedar atau timbul rasa takut.

23.0] Ternyata dakwah Nabi Musa as yang berlemah-lembut, berjaya, kerana beliau telah dapat menyampaikan semua kebenaran dan Fir'aun memberi peluang kepadanya untuk berdakwah kepada keluarga dan mala'unnya, dan kemudian kepada orang ramai. Fir'aun sendiri yang menyediakan tempat berdebat dan segala keperluan. Inilah kesan dari qawlan layyinan. Andai Nabi Musa as dari awalnya telah bercakap dengan keras kasar, tentulah tertutup peluang untuk berdakwah begitu. Dikatakan Dakwah Nafas Panjang, kerana masih ada peluang berdakwah. Tugas kita hanya menyampaikan. Orang menerima atau tidak, itu cerita dia dengan Allah. Jauhilah Dakwah Nafas Pendek yang menggunakan cara dakwah berdesing mencari kepuasan. Pendakwah yang menghentam jemaah dengan kata-kata yang tidak berhemah sehingga jemaah terasa, panas punggung atau terus keluar majlis. Pendakwah merasa puas hati tetapi cara begitu adalah sangat salah dan tidak menjadi cara berdakwah yang berjaya dan baik.

24.0] Perkara penting dalam berdakwah ialah;

i) Apa-apa yang disampaikan wajiblah perkara yang betul yang terdiri dari ayat-ayat Al-Quran dan sunnah Nabi saw.
ii) Cara menyampaikan mestilah betul berhemah, cara quranik, cara sunni, ikut cara apa yang Allah telah tetapkan.

25.0] Ada suatu kisah teladan, dimana seorang guru istana yang mengajar anak Khalifah Omar Abdul Aziz. Guru itu telah memarahi anak khalifah itu, lalu Khalifah Omar Abdul Aziz menasihatinya dengan berkata, "Kenapa marah-marah, kamu bukan Musa dan anakku bukan Fir'aun. Jika kamu Musa dan anakku Fir'aun sekali pun, Allah suruh qawlan layyinan (berkata dengan lemah-lembut)". Inilah ihsan yang diabaikan oleh orang Islam sekarang yang membuatkan orang yang mula mahu menghampiri Islam pun boleh lari.

26.0] Setiap dari kita ada tanggungjawab untuk berdakwah dalam berbagai peringkat. Jika terasa ingin lari dari berdakwah, ingatlah bahawa kita bukan  Nabi Musa as dan orang itu bukan Fir'aun. Inilah ahsan, budi pekerti, sopan santun. Bukan pilihan tetapi adalah suatu kemestian dan keutamaan dalam berdakwah. Itulah caranya Nabi saw menegur isterinya. Ruh dakwah seperti itu yang sudah kehilangan mesti dibaiki semula, perlu dihidupkan semula dan dilaksanakan dalam semua peringkat kehidupan kita samada dengan anak-anak atau dengan orang bawahan kita.

27.0] Apa hubungan hati dan jiwa dengan fizikal? Terdapat hubungan yang sangat rapat, dan adalah saling mempengaruhi. Contohnya jika kita marah, marah itu kerja hati, jiwa jadi tidak tenteram, jantung akan berdegup kencang, mata, telinga dan muka menjadi merah akibat saraf yang dipenuhi darah, suara berubah dan mungkin disertai perilaku kakitangan yang tidak dapat lagi dikawal, dan lihatlah pula perbezaannya ketika  bersolat, sujud, tahajjud. hati menjadi tenang, damai, tenteram, khusyuk, nafas teratur. Apa yang dilalui hati dan jiwa memberi kesan yang besar kepada fizikal. Contohnya seorang yang jatuh terhantuk di kepalanya yang menyebabkan perdarahan di bahagian dalaman otaknya atau jika jaringan saraf tersepit, fizikalnya akan bermasalah, berbagai komplikasi mungkin terjadi keatas dirinya, walaupun jika tidak teruk, mungkin akibatkan dia senyum memanjang atau ketawa sendirian.

28.0] Di dalam Al-Quran pun ada disebutkan tentang significance MARAH. Rujuk surah Aa-Li-Imran ayat 119,"Qul muutu bi ghaizikum" yang bermaksud, "Katakanlah, matilah kamu dengan sebab kemarahan kamu". Marah itu salah satu punca kematian. Orang yang marah-marah, istiqomah marah, pendek umurnya. Oleh itu rawatlah diri sendiri. Ikutilah panduan-panduan mencari damai cara quranik dan sunnah Nabi saw.

[ Untuk difikir-fikirkan;- Andai kerap pening kepala tidak tentu pasal, mungkin ada masalah dengan bapa mertua atau orang atasan ].







No comments:

Post a Comment