Tuesday, October 25, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 48-49) Kuliah 48- Bukti Kebenaran Al-Quran dan Nabi Muhammad saw

1.0] Ayat terakhir yang kita pelajari yakni ayat bukti mukjizat Al-Quran dan bukti kebenaran Al-Quran yang 100% datangnya daripada Allah. Tidak sepertimana yang dituduh oleh orang-orang kafir bahawa Al-Quran itu adalah karangan atau rekaan baginda Nabi Muhammad saw. Mereka menuduh Nabi saw yang mengarang atau menyalin dari kitab-kitab sebelumnya. Tuduhan ini tidak berasas kerana dari surah Al-Ankabut ayat 48 yang lepas ternyata Nabi saw ialah seorang yang ummiyy, tidak tahu baca-tulis, tidak pernah mempelajari kitab sebelumnya, tidak pernah mengkaji, tidak pernah mengarang buku. Keummiyyannya itulah yang menjadi bukti bahawa Al-Quran itu adalah 100% datangnya daripada Allah dan menjadi bukti bahawa tuduhan orang kafir sama sekali tidak berasas. Lebih-lebih lagi keummiyyan Nabi saw itu telah mereka ketahui jauh sebelum Nabi saw diutus menjadi Nabi lagi. Sepertimana  buktinya yang pertama boleh yang didapati di dalam surah Al-A'raf ayat 157;


Nama Nabi Muhammad saw ada tertulis di dalam kitab Taurat dan Injil sebelum Nabi saw diutus lagi, jelas sekali dinyatakan dengan penggunaan kalimah Al-Rasul, An-Nabi, Al-Ummiyy. Bukan itu sahaja, malah tugas Nabi terakhir ini pun ada tertulis dan dijelaskan dengan terang iaitu yang menyuruh melakukan amal-ma'ruf nahi-mungkar, menghalalkan yang baik dan mengharamkan yang kotor dan buruk dan membebaskan bebanan yang membelenggu mereka.

2.0] Bukti yang kedua tentang kerasulan dan kenabian Nabi Muhammad saw ialah bahawa kedatangan Nabi saw jelas telah diisyaratkan di dalam kitab-kitab sebelumnya. Belum pun Nabi lahir telah diberitahu Allah tentang kedatangannya. Nabi Muhammad saw bukan sekedar dapat mencipta sejarah tetapi baginda satu-satunya Nabi yang melahirkan sejarah. Ertinya hanya Nabi saw, Nabi terakhir inilah sahaja yang umat manusia telah ketahui tentang kedatangannya. Nabi Musa as, Nabi Isa as, Nabi Ibrahim as sekali pun tidak diketahui oleh umat sebelumnya. Umat Nabi Musa as tidak diberitahu bahawa akan ada pula Nabi Isa. Umat Nabi Ibrahim as tidak diberitahukan bahawa akan ada Nabi Musa as selepasnya. Umat Nabi Nuh as tidak diberitahu akan adalah pula Nabi yang mulia Nabi Ibrahim Khalilullah. Hanya satu-satunya Nabi atau Rasul yang telah diberitahu tentangnya sebelum kedatangannya ialah Nabi terakhir ini iaitu Nabi Muhammad saw.

3.0] Cerita tentang kenabiannya telah diketahui dan dikenali semua umat. Rujuk surah Al-Baqarah ayat 146 sebagai bukti kedua:


Mereka mengetahui dan mengenali sifat-sifat Nabi Muhammad saw sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Abdullah bin Salam seorang Yahudi yang akhirnya memeluk Islam berkata, "Benar! kami lebih mengenal engkau lebih daripada anak-anak kami. Kami kenal kamu yang tidak akan menipu kami tetapi lebih kami khuatir untuk ditipu anak isteri kami".

4.0] Malangnya tidak semua ahli kitab seperti itu. Sekumpulan ahli kitab, sungguh pun mereka mengetahui tetapi mereka menyembunyikan kebenaran. Mereka tidak jujur, mereka tidak bercakap benar, mereka menyorok kebenaran itu walhal mereka tahu. Namun begitu masih ada di antara mereka yang jujur dan mengakui mengetahui tentang kenabian Nabi terakhir ini sebelum berlakunya lagi.

5.0] Bukti ketiga tentang kenabian Nabi saw boleh dirujuk dari surah As-Saff ayat 6;


Nabi Isa as tidak pernah panggil kaumnya dengan panggilan "Ya Qaumi" tetapi memanggil sebagai "Ya Bani Israil". Kenapa? Ini adalah kerana Nabi Isa as bukan berdarah Israel lantaran tidak punya bapa dan hanya punya ibu. Nasab adalah mengikut garis keturunan bapa. Kalimah "Ya Qaumi" digunakan apabila antara mutakallim (si pembicara) dengan mukhotob (yang diajak berbicara) ada persamaan. Nabi Isa tidak pernah silap dalam hayatnya. Kata Nabi Isa as, "Misi pertamaku yakni membenarkan isi kandungan Kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa as. Aku hanya penerus pembawa ajaran Nabi Musa". Di dalam surah As-Saff ayat 6 ini juga terdapat bukti tentang Nabi Muhammad saw iaitu misi kedua Nabi Isa as yang membawa berita gembira  (وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ) seorang rasul (mufrad),   ياَءتِي مِن بَعدِي اسْمُهُ اَحْمَدُ - dia akan datang selepas ku dan namanya Ahmad.

[Nota; Nabi Isa tidak berbahasa Arab. Ia memberitahu dalam bahasa Yunani kuno sebagai Parypelithos yang sama maknanya dengan Ahmad atau Muhammad iaitu Yang Sangat Terpuji.]

6.0]  اَلاِسْمٌ - يَدُلُّ عَلَي حَقِيقَتُ الْمَُسَمَّى - Dalam bahasa agama, Ismun lebih menunjukkan kepada sifat, tiada jarak. Isim itu ialah sesuatu yang menunjukkan haqiqat yang dinamakan. Contohnya daripada Nama-Nama Allah Ar-Rahman Ar-Rahim yang bermakna Yang Maha Pengasih Yang Maha penyayang, bukan hanya setakat nama tetapi begitulah haqiqatnya Allah. Bagi kita nama tidak selalunya haqiqat kepada yang dinamakan. Contohnya orang biasa yang diberi nama Melati, tetapi tidak menarik atau tidak wangi pun atau nama Si Embun Pagi tetapi berperangai panas baran. Tidak seperti Nama Allah , Al-Ghafur dan memang Allah Maha Pengampun.

7.0] Nabi Isa memberitahu kaumnya bahawa akan datang selepasnya seorang rasul yang tiada jarak dengannya, yang namanya dan sifatnya melekat dengan nama itu iaitu Ahmad yang sama maksudnya dengan Muhammad bermaksud orang yang terpuji. Didunia ini, tiada orang lain yang disebut namanya sepanjang masa (selawat), kecualilah Nabi Muhammad saw yang bermaksud disebut setiap saat diserata dunia dan yang menyebutnya itu dengan niat memuji dan memuliakannya.

8.0] Contoh tentang ismun tadi dalam bahasa biasa, seperti jika ingin menjelaskan cawan kepada orang buta tentu sangat sukar, sebab nama itu tidak menjelaskan sifat benda itu, berbanding jika gunakan bahasa agama, seperti kalimah qalbun yang maknanya hati. Dari qolaba yang bermaksud sesuatu yang berbalik-balik, ciptaan Allah yang berubah-ubah, sekejap rajin kemudian malas, sekejap yakin kemudian ragu dan sebagainya. Hatta kepada orang buta pun kita boleh jelaskan kerana nama itu menunjukkan haqiqat kepada yang diberi nama itu.

9.0] Contoh lagi, bahasa agama, manusia dipanggil sebagai insan dari kalimah unsun yang haqiqatnya bersifat pelupa dan jinak, ada potensi untuk mudah diajar atau dilentur, contohnya seperti seekor monyet yang mudah diajar, cuma monyet itu tiada akal seperti manusia lalu tidak dipanggil insan.

10.0] Tidak ada seorang lain pun yang telah diketahui oleh orang  sebelum kelahirannya, melainkan hanya 2 orang manusia ini iaitu Nabi Adam as dan Nabi Muhammad saw. Nabi Adam as telah diceritakan Allah kepada malaikat seperti yang terdapat di dalam surah Al-Baqarah manakala Nabi Muhammad saw pula telah diceritakan sebelum lahirnya lagi di dalam kitab-kitab samawi sebelumnya. Walaupun Mahatma Gandhi dan Gautama Buddha hebat tetapi tidak diketahui orang sebelum kelahirannya.

11.0] Surah As-Syu'ara ayat 196 dan 197 menceritakan tentang Al-Quran yang telah disebut dalam kitab-kitab terdahulu dan para ulama Bani Israel mengetahuinya. Al-Quran dan kenabian Nabi Muhammad saw tidak rahsia lagi samada kepada kita yang hidup selepasnya dan juga bagi umat yang hidup sebelum turunnya Al-Quran. Rujuk surah As-Syu'ara ayat 196 dan 197:


Al-Quran betul-betul diturunkan daripada Allah, bukan dari bisikan manusia atau jin dan tidak mungkin ditulis oleh Nabi yang ummiyy. Tuduhan orang kafir itu terbatal kerana tidak berasas. Seperti mana dirakam di dalam surah Al-Furqan ayat 5;


Itulah tuduhan-tuduhan orang kafir dari dahulu, sekarang sehingga kehari kiamat. Mereka menganggap Al-Quran sebagai  dongeng atau dusta yang nilainya sama dengan cerita kancil mencuri timun atau sebagai cerita seribu satu malam. Mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw menyalin dari orang-orang terdahulu dan imlak (dictate) pagi dan petang. Tuduhan begitu kerana mereka tidak mahu akui kebenaran Al-Quran.

12.0] Surah Al-Ankabut ayat 49;


Ayat ini sebagai tahqiq untuk menguatkan penafian bahawa Al-Quran itu sebenar-benar kitab Allah dan Nabi Muhammad saw itu sebenar-benar Rasul Allah. Bahkan Al-Quran itu satu bukti nyata yang menerangkan kebenaran dan ianya ada di dalam hati-hati cendikiawan ulama Bani Israel, dikalangan Ahli Kitab. Mereka mengetahuinya tetapi yang mengingkarinya ialah orang yang zalim.

13.0] Dari tafsir umum Ibnu Kathir,"Al-Quran ini bukanlah rekaan manusia. Ia adalah ayat (bukti) nyata yang menunjukkan kebenaran samada perintah atau larangan atau pemberitahuan yang dapat difahami oleh para alim-ulama, cendikiawan Bani Israel. Mereka dapat membaca, menghafaz dan mentafsirnya dengan mudah sesuai dengan ayat Allah di dalam surah Al-Qamar ayat 17, 22, 32 dan 40 yang Allah ulang sebanyak 4 kali ayat yang sama untuk menyatakan bahawa Al-Quran itu sebenarnya mudah untuk dipelajari. Rujuk surah Al-Qamar ayat 17;


Al-Quran terang dan nyata dan mudah bagi sesiapa saja untuk membaca, menghafalnya walaupun tidak memahaminya. Jangan kata Al-Quran itu susah kerana itu bercanggah dengan ayat diatas. Jika kita rasa susah, bukan Al-Quran yang bermasalah tetapi diri kita sendiri sebenarnya yang bermasalah. Janganlah biarkan seperti mendapat kepala ekor lepas, mendapat ekor kepala lepas dalam mempelajari dan menghafaz Al-Quran. Al-Quran boleh dihafal oleh budak yang berumur 8 tahun yang bukan berbahasa Arab sekali pun. Cabarannya jika ditulis di dalam bahasa Melayu, tidak akan dapat dihafal tanpa tertinggal satu patah huruf. Yang peliknya, yang bukan Orang Arab, boleh menghafal tanpa tertinggal huruf, lengkap tajwidnya, panjang pendeknya sempurna.

14.0] Seorang hafiz cilik dari Riau Indonesia yang bernama Musa telah menjadi juara termuda Hafazan Internasional di Mesir. Bapanya seorang guru yang istiqamah mendidiknya dan ibunya seorang surirumah, hidup sederhana di kampung. Walaupun belum fasih tetapi Musa hafiz cilik ini sangat hebat, dia tahu nama-nama surah, ayat keberapa, dan boleh menyambung ayat dengan hafazannya samada dari depan atau dari belakang. Sangat dikagumi ramai, otaknya yang sangat cerdas, kurniaan karamah dan kemuliaan dari Allah. [ بَيِّنَاتٌ فِى صُدُورِ ]- yang nyata jelas di dalam hati (dada) orang-orang yang Allah beri ilmu.
  
15.0]  Hafiz cilik ini juga telah di jemput ke New York kerana imamnya adalah orang Bugis Indonesia yang bernama Shamsi Ali. Imam Shamsi Ali ini juga hebat kerana dapat menyatukan Muslim dengan Yahudi dan Kristian. Ramai kawannya daripada paderi dan rabai-rabai.

16.0] Di dalam soheh Bukhari, Nabi saw bersabda," Tidak seorang nabi pun melainkan telah diberi kan kepadanya apa-apa yang diimani umatnya. Nabi Musa as diberi Kitab Taurat dan dipercayai oleh setengah umatnya. Nabi Isa as diberi Kitab Injil dan dipercayai oleh pengikutnya dan apa yang diberikan kepada ku pun demikian juga dan aku mengharapkan kepada Allah, akulah yang paling ramai pengikutnya". Terbukti kitab yang paling banyak diikuti oleh manusia ialah Al-Quran dan setiap hari semakin ramai yang mengikutinya terutamanya di Barat.

17.0] Terdapat satu syarahan tentang pengalaman berharga yang boleh didapati daripada media terkini seperti You-tube, iaitu tentang Imam Shamsi Ali;- Masa kanak-kanaknya, dia sering bergaduh. Kemudian dihantar untuk belajar di Pondok Pasentren yang kena patuh kepada disiplin. Dia seorang murid yang pandai lalu mendapat biasiswa dan dihantar belajar di Bandung, kemudian di Pakistan dan Arab Saudi. Di Arab Saudi, beliau merasa agak susah untuk mengembangkan fikirannya kerana banyak sekatan. Dengan Izin Allah, ketika beliau menjadi pembimbing umrah, ada kawannya mengajaknya berhijrah ke Amerika. Beliau aktif sebagai imam dan daie yang hebat dan luar biasa kerana telah dapat mengubah persepsi  masyarakat di New York yang salah terhadap Al-Quran dan orang Islam. Beliau menggunakan panduan Al-Quran untuk menyelesaikan banyak masalah sehinggakan persepsi Donald Trump (calon presiden Amerika Syarikat) yang selama ini selalu menyerang Islam pun dapat di perbetulkan. Imam Shamsi Ali bersama kawannya Mathew meminta untuk berjumpa dengan Donald Trump dan  dipersetujui. Di dalam pertemuan itu, Donald Trum tergelak, kerana itulah kali pertama dia berjumpa dan melihat orang Islam senyum. Selama ini Donald Trump mempunyai persepsi bahawa seorang Muslim ialah yang berpakaian jubah-serban, bengis, memegang pedang, dan berdiri disebelah unta dan sentiasa hadir ditempat yang ada konflik. Tetapi Imam Shamsi Ali, memakai batik, bersongkok dan tersenyum. Begitu juga dengan Imam Shamsi Ali yang selama ini mempunyai persepsi negatif terhadap orang Yahudi, telah melihat Donald Trump senyum dan dengan itu first impression yang salah terhadap satu sama lain telah dapat dipulihkan. Akhirnya bual-bicara antara kedua pihak  dapat diteruskan dengan keadaan baik. Kata Imam Shamsi, "Pandangan anda sekelian terhadap Yahudi sebagai jahat, adalah sebelum kita berjumpa dan tabayyun. Memang tidak dinafikan ada Yahudi jahat tetapi tidak semua, dan bukan sedikit juga bilangannya yang baik. Saya pernah tinggal ditengah-tengah bandar yang lebih Yahudi dari Jurusalem". "Saya pernah ke Myanmar dan bertanya, "Siapa yang paling jahat? adakah Yahudi atau Nasrani?" dan mendapat jawapan, "Oh, tidak-tidak, tidak Yahudi atau Nasrani". Imam Shamsi Ali sedang menulis buku Son of Abraham, bergabung dengan rabai Yahudi yang mencari kebenaran dan dikritik oleh sahabatnya di Arab Saudi tetapi dapat ditangkisnya. Banyak masalah masyarakat yang dapat diselesaikan oleh Imam Shamsi. Ada orang yang otaknya hebat, tetapi merasa hatinya kosong. ingin mencari isihati dan mendapat panduan daripada Imam Shamsi, akhirnya memeluk Islam dan berkahwin dengan orang Morocco. Ada orang yang hatinya penuh ritual tetapi hatinya tetap kosong. Hatinya tenang hanya ketika meditasi kemudian menjadi gelisah kembali. Ingin mencari ketenangan setiap masa, kemudian memeluk Islam, kahwini orang Morocco. Ada orang genious, tapi hatinya kosong, yang merasa dirinya seperti robot. Setiap hari bekerja mencari duit, hari minggu minum-minum, macam-macam sudah ada dan sudah dapat, tetapi masih merasa hati yang kosong, tiada tujuan hidup. Setelah diajar oleh Imam Shamsi apa tujuan hidup sebenarnya lalu memeluk Islam.

18.0] Islam mesti menggabungkan kedua-dua Tafakkur dan Tazakkur. Jika pandai dijelaskan dengan sebaik mungkin dengan ilmu dan berhemah dan lemah lembut, tidak ada orang yang tidak tertarik dengan Islam. Ada yang bertanya kepada Imam Shamsi,"Bolehkah saya masuk Islam? dijawabnya,"Islam bukan saya punya". Seolah-olah ada sesuatu yang menghalang diri orang itu dan akhirnya mengaku yang dirinya gay sejak dia membuka bisnes modelling. Imam Shamsi menasihatinya supaya bersedia memeluk Islam secara total, kaaffah, bukan sekadar mengucap syahadah sahaja, dan akhirnya orang itu memeluk Islam.

19.0] Imam Shamsi Ali, ketua agama terkenal dan berpengaruh, menjadi wakil Islam di Persatuan Muslim Latin Amerika bagi kaum pendatang di New York. Beliau orang Bugis yang sangat pandai dan hebat. Cara dakwahnya yang luar biasa dan modalnya hanya satu iaitu dengan menggunakan panduan Al-Quran. Dakwahnya berjaya. Syaratnya yang pertama ialah menyeru kepada Allah, mencari kebenaran. Tidak boleh ada kepentingan sendiri. Berdakwah itu mesti kerana Allah, Ilallah. Syarat yang kedua ialah mesti ada ilmu yang betul. Satu contoh yang menakutkan ialah apabila ada kepercayaan atau ilmu yang tidak betul, bahawa mana-mana rumah yang kena masuk oleh pencuri, perlulah menyimpan kitab Soheh Bukhari di dalam rumah itu supaya terhindar dari berlaku lagi. Itu adalah ajaran yang sesat dan salah, tidak betul dan keliru dan menghancurkan umat orang awam. Jangan dibodohkan umat.

[Nota;Si penyampai itu yakin yang disampaikannya itu betul, sebab itu disampaikannya itu betul betul]

20.0] Adalah bagus jika kita belajar dari banyak sumber. Contohnya belajar dari You-tube atau media terkini. Pilih bahagian yang berfaedah dan banyak manafaat. Tetapi jika hanya untuk belajar memasak tom-yam pun menghantar resepi ke group media, baik hentikan. Perlulah pandai memilih hanya untuk kegunaan yang betul-betul bermanafaat. Tidak perlulah menghantarkan C n P berita yang panjang-panjang, atau video yang berjela-jela, atau menceritakan segala aktiviti personal, berjalan kesana-sini pun dihebohkan, makan-minum diceritakan, memaparkan segala gambar, membuka segala rahsia diri dan keluarga dan sebagainya. Kalau ingin berborak, berhubung dengan kawan rapat, cukuplah dengan orang perseorangan. Ini di dalam group yang ada ramai ahli, mungkin terdapat 200 orang, yang punya pandangan dan keperluan masing-masing yang berbeza. Dari segi saikologi, orang boleh baca personaliti yang sangat tidak bijak ini. Jangan sampai mengganggu dan merampas masa, ruang  dan perasaan orang lain tanpa kita sedari. Moga bermnafaat.



















No comments:

Post a Comment