Tuesday, October 25, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 48-49) Kuliah 48- Bukti Kebenaran Al-Quran dan Nabi Muhammad saw

1.0] Ayat terakhir yang kita pelajari yakni ayat bukti mukjizat Al-Quran dan bukti kebenaran Al-Quran yang 100% datangnya daripada Allah. Tidak sepertimana yang dituduh oleh orang-orang kafir bahawa Al-Quran itu adalah karangan atau rekaan baginda Nabi Muhammad saw. Mereka menuduh Nabi saw yang mengarang atau menyalin dari kitab-kitab sebelumnya. Tuduhan ini tidak berasas kerana dari surah Al-Ankabut ayat 48 yang lepas ternyata Nabi saw ialah seorang yang ummiyy, tidak tahu baca-tulis, tidak pernah mempelajari kitab sebelumnya, tidak pernah mengkaji, tidak pernah mengarang buku. Keummiyyannya itulah yang menjadi bukti bahawa Al-Quran itu adalah 100% datangnya daripada Allah dan menjadi bukti bahawa tuduhan orang kafir sama sekali tidak berasas. Lebih-lebih lagi keummiyyan Nabi saw itu telah mereka ketahui jauh sebelum Nabi saw diutus menjadi Nabi lagi. Sepertimana  buktinya yang pertama boleh yang didapati di dalam surah Al-A'raf ayat 157;


Nama Nabi Muhammad saw ada tertulis di dalam kitab Taurat dan Injil sebelum Nabi saw diutus lagi, jelas sekali dinyatakan dengan penggunaan kalimah Al-Rasul, An-Nabi, Al-Ummiyy. Bukan itu sahaja, malah tugas Nabi terakhir ini pun ada tertulis dan dijelaskan dengan terang iaitu yang menyuruh melakukan amal-ma'ruf nahi-mungkar, menghalalkan yang baik dan mengharamkan yang kotor dan buruk dan membebaskan bebanan yang membelenggu mereka.

2.0] Bukti yang kedua tentang kerasulan dan kenabian Nabi Muhammad saw ialah bahawa kedatangan Nabi saw jelas telah diisyaratkan di dalam kitab-kitab sebelumnya. Belum pun Nabi lahir telah diberitahu Allah tentang kedatangannya. Nabi Muhammad saw bukan sekedar dapat mencipta sejarah tetapi baginda satu-satunya Nabi yang melahirkan sejarah. Ertinya hanya Nabi saw, Nabi terakhir inilah sahaja yang umat manusia telah ketahui tentang kedatangannya. Nabi Musa as, Nabi Isa as, Nabi Ibrahim as sekali pun tidak diketahui oleh umat sebelumnya. Umat Nabi Musa as tidak diberitahu bahawa akan ada pula Nabi Isa. Umat Nabi Ibrahim as tidak diberitahukan bahawa akan ada Nabi Musa as selepasnya. Umat Nabi Nuh as tidak diberitahu akan adalah pula Nabi yang mulia Nabi Ibrahim Khalilullah. Hanya satu-satunya Nabi atau Rasul yang telah diberitahu tentangnya sebelum kedatangannya ialah Nabi terakhir ini iaitu Nabi Muhammad saw.

3.0] Cerita tentang kenabiannya telah diketahui dan dikenali semua umat. Rujuk surah Al-Baqarah ayat 146 sebagai bukti kedua:


Mereka mengetahui dan mengenali sifat-sifat Nabi Muhammad saw sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Abdullah bin Salam seorang Yahudi yang akhirnya memeluk Islam berkata, "Benar! kami lebih mengenal engkau lebih daripada anak-anak kami. Kami kenal kamu yang tidak akan menipu kami tetapi lebih kami khuatir untuk ditipu anak isteri kami".

4.0] Malangnya tidak semua ahli kitab seperti itu. Sekumpulan ahli kitab, sungguh pun mereka mengetahui tetapi mereka menyembunyikan kebenaran. Mereka tidak jujur, mereka tidak bercakap benar, mereka menyorok kebenaran itu walhal mereka tahu. Namun begitu masih ada di antara mereka yang jujur dan mengakui mengetahui tentang kenabian Nabi terakhir ini sebelum berlakunya lagi.

5.0] Bukti ketiga tentang kenabian Nabi saw boleh dirujuk dari surah As-Saff ayat 6;


Nabi Isa as tidak pernah panggil kaumnya dengan panggilan "Ya Qaumi" tetapi memanggil sebagai "Ya Bani Israil". Kenapa? Ini adalah kerana Nabi Isa as bukan berdarah Israel lantaran tidak punya bapa dan hanya punya ibu. Nasab adalah mengikut garis keturunan bapa. Kalimah "Ya Qaumi" digunakan apabila antara mutakallim (si pembicara) dengan mukhotob (yang diajak berbicara) ada persamaan. Nabi Isa tidak pernah silap dalam hayatnya. Kata Nabi Isa as, "Misi pertamaku yakni membenarkan isi kandungan Kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa as. Aku hanya penerus pembawa ajaran Nabi Musa". Di dalam surah As-Saff ayat 6 ini juga terdapat bukti tentang Nabi Muhammad saw iaitu misi kedua Nabi Isa as yang membawa berita gembira  (وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ) seorang rasul (mufrad),   ياَءتِي مِن بَعدِي اسْمُهُ اَحْمَدُ - dia akan datang selepas ku dan namanya Ahmad.

[Nota; Nabi Isa tidak berbahasa Arab. Ia memberitahu dalam bahasa Yunani kuno sebagai Parypelithos yang sama maknanya dengan Ahmad atau Muhammad iaitu Yang Sangat Terpuji.]

6.0]  اَلاِسْمٌ - يَدُلُّ عَلَي حَقِيقَتُ الْمَُسَمَّى - Dalam bahasa agama, Ismun lebih menunjukkan kepada sifat, tiada jarak. Isim itu ialah sesuatu yang menunjukkan haqiqat yang dinamakan. Contohnya daripada Nama-Nama Allah Ar-Rahman Ar-Rahim yang bermakna Yang Maha Pengasih Yang Maha penyayang, bukan hanya setakat nama tetapi begitulah haqiqatnya Allah. Bagi kita nama tidak selalunya haqiqat kepada yang dinamakan. Contohnya orang biasa yang diberi nama Melati, tetapi tidak menarik atau tidak wangi pun atau nama Si Embun Pagi tetapi berperangai panas baran. Tidak seperti Nama Allah , Al-Ghafur dan memang Allah Maha Pengampun.

7.0] Nabi Isa memberitahu kaumnya bahawa akan datang selepasnya seorang rasul yang tiada jarak dengannya, yang namanya dan sifatnya melekat dengan nama itu iaitu Ahmad yang sama maksudnya dengan Muhammad bermaksud orang yang terpuji. Didunia ini, tiada orang lain yang disebut namanya sepanjang masa (selawat), kecualilah Nabi Muhammad saw yang bermaksud disebut setiap saat diserata dunia dan yang menyebutnya itu dengan niat memuji dan memuliakannya.

8.0] Contoh tentang ismun tadi dalam bahasa biasa, seperti jika ingin menjelaskan cawan kepada orang buta tentu sangat sukar, sebab nama itu tidak menjelaskan sifat benda itu, berbanding jika gunakan bahasa agama, seperti kalimah qalbun yang maknanya hati. Dari qolaba yang bermaksud sesuatu yang berbalik-balik, ciptaan Allah yang berubah-ubah, sekejap rajin kemudian malas, sekejap yakin kemudian ragu dan sebagainya. Hatta kepada orang buta pun kita boleh jelaskan kerana nama itu menunjukkan haqiqat kepada yang diberi nama itu.

9.0] Contoh lagi, bahasa agama, manusia dipanggil sebagai insan dari kalimah unsun yang haqiqatnya bersifat pelupa dan jinak, ada potensi untuk mudah diajar atau dilentur, contohnya seperti seekor monyet yang mudah diajar, cuma monyet itu tiada akal seperti manusia lalu tidak dipanggil insan.

10.0] Tidak ada seorang lain pun yang telah diketahui oleh orang  sebelum kelahirannya, melainkan hanya 2 orang manusia ini iaitu Nabi Adam as dan Nabi Muhammad saw. Nabi Adam as telah diceritakan Allah kepada malaikat seperti yang terdapat di dalam surah Al-Baqarah manakala Nabi Muhammad saw pula telah diceritakan sebelum lahirnya lagi di dalam kitab-kitab samawi sebelumnya. Walaupun Mahatma Gandhi dan Gautama Buddha hebat tetapi tidak diketahui orang sebelum kelahirannya.

11.0] Surah As-Syu'ara ayat 196 dan 197 menceritakan tentang Al-Quran yang telah disebut dalam kitab-kitab terdahulu dan para ulama Bani Israel mengetahuinya. Al-Quran dan kenabian Nabi Muhammad saw tidak rahsia lagi samada kepada kita yang hidup selepasnya dan juga bagi umat yang hidup sebelum turunnya Al-Quran. Rujuk surah As-Syu'ara ayat 196 dan 197:


Al-Quran betul-betul diturunkan daripada Allah, bukan dari bisikan manusia atau jin dan tidak mungkin ditulis oleh Nabi yang ummiyy. Tuduhan orang kafir itu terbatal kerana tidak berasas. Seperti mana dirakam di dalam surah Al-Furqan ayat 5;


Itulah tuduhan-tuduhan orang kafir dari dahulu, sekarang sehingga kehari kiamat. Mereka menganggap Al-Quran sebagai  dongeng atau dusta yang nilainya sama dengan cerita kancil mencuri timun atau sebagai cerita seribu satu malam. Mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw menyalin dari orang-orang terdahulu dan imlak (dictate) pagi dan petang. Tuduhan begitu kerana mereka tidak mahu akui kebenaran Al-Quran.

12.0] Surah Al-Ankabut ayat 49;


Ayat ini sebagai tahqiq untuk menguatkan penafian bahawa Al-Quran itu sebenar-benar kitab Allah dan Nabi Muhammad saw itu sebenar-benar Rasul Allah. Bahkan Al-Quran itu satu bukti nyata yang menerangkan kebenaran dan ianya ada di dalam hati-hati cendikiawan ulama Bani Israel, dikalangan Ahli Kitab. Mereka mengetahuinya tetapi yang mengingkarinya ialah orang yang zalim.

13.0] Dari tafsir umum Ibnu Kathir,"Al-Quran ini bukanlah rekaan manusia. Ia adalah ayat (bukti) nyata yang menunjukkan kebenaran samada perintah atau larangan atau pemberitahuan yang dapat difahami oleh para alim-ulama, cendikiawan Bani Israel. Mereka dapat membaca, menghafaz dan mentafsirnya dengan mudah sesuai dengan ayat Allah di dalam surah Al-Qamar ayat 17, 22, 32 dan 40 yang Allah ulang sebanyak 4 kali ayat yang sama untuk menyatakan bahawa Al-Quran itu sebenarnya mudah untuk dipelajari. Rujuk surah Al-Qamar ayat 17;


Al-Quran terang dan nyata dan mudah bagi sesiapa saja untuk membaca, menghafalnya walaupun tidak memahaminya. Jangan kata Al-Quran itu susah kerana itu bercanggah dengan ayat diatas. Jika kita rasa susah, bukan Al-Quran yang bermasalah tetapi diri kita sendiri sebenarnya yang bermasalah. Janganlah biarkan seperti mendapat kepala ekor lepas, mendapat ekor kepala lepas dalam mempelajari dan menghafaz Al-Quran. Al-Quran boleh dihafal oleh budak yang berumur 8 tahun yang bukan berbahasa Arab sekali pun. Cabarannya jika ditulis di dalam bahasa Melayu, tidak akan dapat dihafal tanpa tertinggal satu patah huruf. Yang peliknya, yang bukan Orang Arab, boleh menghafal tanpa tertinggal huruf, lengkap tajwidnya, panjang pendeknya sempurna.

14.0] Seorang hafiz cilik dari Riau Indonesia yang bernama Musa telah menjadi juara termuda Hafazan Internasional di Mesir. Bapanya seorang guru yang istiqamah mendidiknya dan ibunya seorang surirumah, hidup sederhana di kampung. Walaupun belum fasih tetapi Musa hafiz cilik ini sangat hebat, dia tahu nama-nama surah, ayat keberapa, dan boleh menyambung ayat dengan hafazannya samada dari depan atau dari belakang. Sangat dikagumi ramai, otaknya yang sangat cerdas, kurniaan karamah dan kemuliaan dari Allah. [ بَيِّنَاتٌ فِى صُدُورِ ]- yang nyata jelas di dalam hati (dada) orang-orang yang Allah beri ilmu.
  
15.0]  Hafiz cilik ini juga telah di jemput ke New York kerana imamnya adalah orang Bugis Indonesia yang bernama Shamsi Ali. Imam Shamsi Ali ini juga hebat kerana dapat menyatukan Muslim dengan Yahudi dan Kristian. Ramai kawannya daripada paderi dan rabai-rabai.

16.0] Di dalam soheh Bukhari, Nabi saw bersabda," Tidak seorang nabi pun melainkan telah diberi kan kepadanya apa-apa yang diimani umatnya. Nabi Musa as diberi Kitab Taurat dan dipercayai oleh setengah umatnya. Nabi Isa as diberi Kitab Injil dan dipercayai oleh pengikutnya dan apa yang diberikan kepada ku pun demikian juga dan aku mengharapkan kepada Allah, akulah yang paling ramai pengikutnya". Terbukti kitab yang paling banyak diikuti oleh manusia ialah Al-Quran dan setiap hari semakin ramai yang mengikutinya terutamanya di Barat.

17.0] Terdapat satu syarahan tentang pengalaman berharga yang boleh didapati daripada media terkini seperti You-tube, iaitu tentang Imam Shamsi Ali;- Masa kanak-kanaknya, dia sering bergaduh. Kemudian dihantar untuk belajar di Pondok Pasentren yang kena patuh kepada disiplin. Dia seorang murid yang pandai lalu mendapat biasiswa dan dihantar belajar di Bandung, kemudian di Pakistan dan Arab Saudi. Di Arab Saudi, beliau merasa agak susah untuk mengembangkan fikirannya kerana banyak sekatan. Dengan Izin Allah, ketika beliau menjadi pembimbing umrah, ada kawannya mengajaknya berhijrah ke Amerika. Beliau aktif sebagai imam dan daie yang hebat dan luar biasa kerana telah dapat mengubah persepsi  masyarakat di New York yang salah terhadap Al-Quran dan orang Islam. Beliau menggunakan panduan Al-Quran untuk menyelesaikan banyak masalah sehinggakan persepsi Donald Trump (calon presiden Amerika Syarikat) yang selama ini selalu menyerang Islam pun dapat di perbetulkan. Imam Shamsi Ali bersama kawannya Mathew meminta untuk berjumpa dengan Donald Trump dan  dipersetujui. Di dalam pertemuan itu, Donald Trum tergelak, kerana itulah kali pertama dia berjumpa dan melihat orang Islam senyum. Selama ini Donald Trump mempunyai persepsi bahawa seorang Muslim ialah yang berpakaian jubah-serban, bengis, memegang pedang, dan berdiri disebelah unta dan sentiasa hadir ditempat yang ada konflik. Tetapi Imam Shamsi Ali, memakai batik, bersongkok dan tersenyum. Begitu juga dengan Imam Shamsi Ali yang selama ini mempunyai persepsi negatif terhadap orang Yahudi, telah melihat Donald Trump senyum dan dengan itu first impression yang salah terhadap satu sama lain telah dapat dipulihkan. Akhirnya bual-bicara antara kedua pihak  dapat diteruskan dengan keadaan baik. Kata Imam Shamsi, "Pandangan anda sekelian terhadap Yahudi sebagai jahat, adalah sebelum kita berjumpa dan tabayyun. Memang tidak dinafikan ada Yahudi jahat tetapi tidak semua, dan bukan sedikit juga bilangannya yang baik. Saya pernah tinggal ditengah-tengah bandar yang lebih Yahudi dari Jurusalem". "Saya pernah ke Myanmar dan bertanya, "Siapa yang paling jahat? adakah Yahudi atau Nasrani?" dan mendapat jawapan, "Oh, tidak-tidak, tidak Yahudi atau Nasrani". Imam Shamsi Ali sedang menulis buku Son of Abraham, bergabung dengan rabai Yahudi yang mencari kebenaran dan dikritik oleh sahabatnya di Arab Saudi tetapi dapat ditangkisnya. Banyak masalah masyarakat yang dapat diselesaikan oleh Imam Shamsi. Ada orang yang otaknya hebat, tetapi merasa hatinya kosong. ingin mencari isihati dan mendapat panduan daripada Imam Shamsi, akhirnya memeluk Islam dan berkahwin dengan orang Morocco. Ada orang yang hatinya penuh ritual tetapi hatinya tetap kosong. Hatinya tenang hanya ketika meditasi kemudian menjadi gelisah kembali. Ingin mencari ketenangan setiap masa, kemudian memeluk Islam, kahwini orang Morocco. Ada orang genious, tapi hatinya kosong, yang merasa dirinya seperti robot. Setiap hari bekerja mencari duit, hari minggu minum-minum, macam-macam sudah ada dan sudah dapat, tetapi masih merasa hati yang kosong, tiada tujuan hidup. Setelah diajar oleh Imam Shamsi apa tujuan hidup sebenarnya lalu memeluk Islam.

18.0] Islam mesti menggabungkan kedua-dua Tafakkur dan Tazakkur. Jika pandai dijelaskan dengan sebaik mungkin dengan ilmu dan berhemah dan lemah lembut, tidak ada orang yang tidak tertarik dengan Islam. Ada yang bertanya kepada Imam Shamsi,"Bolehkah saya masuk Islam? dijawabnya,"Islam bukan saya punya". Seolah-olah ada sesuatu yang menghalang diri orang itu dan akhirnya mengaku yang dirinya gay sejak dia membuka bisnes modelling. Imam Shamsi menasihatinya supaya bersedia memeluk Islam secara total, kaaffah, bukan sekadar mengucap syahadah sahaja, dan akhirnya orang itu memeluk Islam.

19.0] Imam Shamsi Ali, ketua agama terkenal dan berpengaruh, menjadi wakil Islam di Persatuan Muslim Latin Amerika bagi kaum pendatang di New York. Beliau orang Bugis yang sangat pandai dan hebat. Cara dakwahnya yang luar biasa dan modalnya hanya satu iaitu dengan menggunakan panduan Al-Quran. Dakwahnya berjaya. Syaratnya yang pertama ialah menyeru kepada Allah, mencari kebenaran. Tidak boleh ada kepentingan sendiri. Berdakwah itu mesti kerana Allah, Ilallah. Syarat yang kedua ialah mesti ada ilmu yang betul. Satu contoh yang menakutkan ialah apabila ada kepercayaan atau ilmu yang tidak betul, bahawa mana-mana rumah yang kena masuk oleh pencuri, perlulah menyimpan kitab Soheh Bukhari di dalam rumah itu supaya terhindar dari berlaku lagi. Itu adalah ajaran yang sesat dan salah, tidak betul dan keliru dan menghancurkan umat orang awam. Jangan dibodohkan umat.

[Nota;Si penyampai itu yakin yang disampaikannya itu betul, sebab itu disampaikannya itu betul betul]

20.0] Adalah bagus jika kita belajar dari banyak sumber. Contohnya belajar dari You-tube atau media terkini. Pilih bahagian yang berfaedah dan banyak manafaat. Tetapi jika hanya untuk belajar memasak tom-yam pun menghantar resepi ke group media, baik hentikan. Perlulah pandai memilih hanya untuk kegunaan yang betul-betul bermanafaat. Tidak perlulah menghantarkan C n P berita yang panjang-panjang, atau video yang berjela-jela, atau menceritakan segala aktiviti personal, berjalan kesana-sini pun dihebohkan, makan-minum diceritakan, memaparkan segala gambar, membuka segala rahsia diri dan keluarga dan sebagainya. Kalau ingin berborak, berhubung dengan kawan rapat, cukuplah dengan orang perseorangan. Ini di dalam group yang ada ramai ahli, mungkin terdapat 200 orang, yang punya pandangan dan keperluan masing-masing yang berbeza. Dari segi saikologi, orang boleh baca personaliti yang sangat tidak bijak ini. Jangan sampai mengganggu dan merampas masa, ruang  dan perasaan orang lain tanpa kita sedari. Moga bermnafaat.



















Tuesday, October 18, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 46-48) Kuliah 47- Ruhud- Dakwah, Nur Al-Quran

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 46 yang telah dibincangkan pada minggu lepas ialah tentang cara atau adab berdebat (bermujaadalah) berdasarkan contoh dari Al-Quran. Ayat-ayat yang kita pelajari seperti dari surah Saba' ayat 24-26, Aa-Li-Imran ayat 64, To Ha ayat 44 dan An-Naaziat ayat 18 adalah menjadi panduan bagi seseorang ketika dia melakukan mujaadalah, sebab rupa-rupanya Al-Quran mengambil berat bukan sahaja pada masalah yang perlu didebatkan tetapi juga tentang adab dan cara berdebat, bermujaad alah. Itulah yang dikehendaki oleh Allah dalam surah Al-Ankabut  ayat 46, yang lepas, billati hiya ahsan iaitu berdebat dengan cara yang lebih baik.

2.0] "Kenapa begitu?", kerana apabila seseorang Muslim bersifat keras atau kasar (ghilzoh) ketika berdebat dengan orang Kafir, apa lagi jika dengan menggunakan celaan, cacian kepada si Kafir sekali pun, ini akan menyebabkan si kafir akan mencela balik si Muslim. Jika si Muslim mencela Tuhan yang dinisbahkan si Kafir, siKafir akan mencela balik Tuhan yang dinisbahkan oleh si Muslim dan Agama Islam sekaligus. Ini adalah sangat dilarang. Boleh jadi celaan orang Kafir atau penghinaan orang Kafir kepada Tuhan orang Islam adalah kerana sikap sesetengah orang Islam sendiri terhadap mereka. Jika sikap sesetengah orang Islamlah yang menjadi punca orang Kafir menghina agama Islam, orang itu kena bertanggung-jawab dan diingatkan Allah dalam surah Al-An'am ayat 108;


3.0] Perlulah difahami benar, lebih-lebih lagi dalam konteks kehidupan kita sekarang, apa sahaja yang kita lakukan, janganlah sampai menambahkan kebencian orang bukan Islam terhadap agama Islam. Ini sangat penting sekali. Tindakan orang Islam seringkali tidak Islamik, hanya dia yang merasa dia Islamik. Hayatilah ayat ini dalam negara yang berbilang agama dan kaum seperti Malaysia. Ayat ini ditujukan kepada orang beriman, orang Muslim.

4.0] "Memang benar patung yang mereka sembah itu tidak betul, atau lembu yang mereka anggap suci itu tidak tepat, tetapi jangan mencela mereka, nanti jika kamu mencela Tuhan mereka, fasababiyah (maka akan menyebabkan) mereka akan pula mencela Tuhan kamu (Allah) dengan tanpa ilmu". Oleh itu, perlulah mengambil berat, fikir masak-masak sebelum bertindak. Perbuatan atau perkataan kita sebagai orang Mukmin janganlah menjadi penyebab orang bukan Islam tidak menghormati Agama Islam. Bezakan orang Muslim dengan Islam. Islam itu pasti betul, tetapi tindakan sesetengah orang Muslim belum tentu Islamik. 

5.0] Contoh dari sejarah, yang mana sejarah tidak pernah berbohong, jika ada kebohongan ia adalah daripada orang yang menyebarkan atau menyampaikan kisah sejarah itu. Kisah penyebaran Agama Islam yang masuk ke Asia Tenggara, khasnya di Tanah Jawa (Indonesia). Mereka yang menyebarkan Agama Islam di sana dikenal sebagai 9 pendakwah atau 9 orang penyebar Agama Islam. Untuk diangkat darjat, mereka dipanggil Wali Songo (wali 9). Di dalam pengertian agama mereka bukan Wali, tetapi sebagai pendakwah. Kenapa digelar Wali? Mereka bukan wali. Mereka adalah pendakwah yang bertanggung-jawab menyebarkan Agama Islam kepada orang-orang Hindu atau masyarakat disitu. Salah seorangnya ialah seorang anak kepada pendakwah juga, diutus untuk berdakwah ditengah masyarakat yang 100% Hindu. Bagaimana cara untuknya berdakwah? Tentunya sangat penting dan sangat susah dan dihantar ke Bandar Kudus. Orang itu dipanggil Sunan Kudus yang asalnya hanya mendapat seorang pengikut atau murid sahaja yang kemudian berkembang menjadi semakin ramai pengikutnya, menghayati hidup Muslim, solat, puasa, dan sebagainya, mencari tempat tinggal di atas gunung dengan keadaan yang sangat susah.  Apabila tiba musim Haji, perlu berkorban. Apa kata atau nasihat Sunan Kudus kepada pengikutnya? Fatwanya, "Jangan sampai kamu berkorban dengan lembu, boleh saja berkorban dengan kambing, kerbau, tetapi bukan dengan lembu. Kita ini berdakwah kepada orang-orang Hindu". Alasan Sunan Kudus itu cukup bijaksana. "Bagaimana kita ingin menarik orang-orang Hindu untuk masuk Islam jika Tuhannya disembelih, dibunuh dihadapan mereka? Alasan Sunan Kudus sangat tepat sebagai seorang pendakwah yang hebat. Sambungnya lagi, " Ini bukan mengalah, anda tidak faham ayat ini? Orang Hindu yang yakin bahawa lembu itu makhluk suci, kemudian jika kita sembelih di depan mereka, kemudian mengajak mereka memeluk agama kita. Bagaimana hati dan perasaan mereka?" Subhanallah, hebatnya pendakwah itu. Sehingga ramai orang Hindu yang memeluk Islam. Cerita begini boleh di dapati dalam karya yang bertajuk Ulama-ulama Nusantara yang dilupakan. Di Kota Kudus, sehingga ke hari ini, tidak disembelih lembu pada Hari Raya Aidil Adha dan masjidnya dipanggil Baitul Maqdis yang pengasasnya ialah Sunan Kudus.

6.0] Tidak wajib berkorban dengan lembu, kenapa mesti memaksa diri berkorban dengan lembu?Tindakan yang lebih utama ialah untuk menarik orang-orang Hindu itu memeluk Islam. Walaupun tidak salah disisi agama untuk menyembelih lembu, tetapi jika tindakan kita itu akan mengecilkan hati orang yang ingin kita dakwahkan itu, perlulah jauhi dan berhati-hati. Dakwah jangan syok sendiri, mestilah ada Ruhud Dakwah, dan dipanggil Dakwah Nafas Panjang yang boleh memberi kesan. Berkat dakwah orang-orang dahulu sehingga kini, orang-orang Hindu jadi Muslim dan yang pasti jumlah terbesar di Nusantara kini ialah orang Muslim. Ayat 108 pada surah Al-An'am inilah yang jadi panduan, iaitu jangan sekali-kali mencela, mencaci Tuhan mereka, kelak mereka mencela kita balik seperti,"Kamu pergi jauh-jauh, keliling batu, cium batu?" Lalu kita akan marah, jika mereka berkata begitu. Inilah yang perlu benar-benar difahami oleh orang Muslim.

7.0] Berdakwah ada torikah, ada kaedah, ada methoda, ada cara. Kita tidak boleh mengikut rasa hati sendiri dalam berdakwah tetapi mestilah mengikut cara Al-Quran dalam menyampaikannya dan segalanya mestilah benar.

[Nota; Fa- Fasababiyah yang terdapat didalam  ayat 108 surah Al-An'am  itu menunjukkan apa yang disebut sebelum Fa menjadi sebab apa yang disebut selepasnya.]

8.0] Rasa ngeri jika kita mengikuti perkembangan Mahkamah Syariah yang melibatkan kemelut kehidupan masyarakat Islam sendiri kini. Bagaimana untuk membuat orang lebih bertambah meminati Agama Islam jika contohnya, dalam hal nikah-cerai pun, perempuan yang menuntut haknya terpaksa turun-naik mahkamah bertahun-tahun, walhal tidak perlukan Mahkamah pun kerana Allah telah wajibkan cara memberi hak dan Islam telah tentukan segala peraturan.

9.0] Orang bukan Islam menafsir Islam itu cantik atau tidak dengan melihat orang Islam sendiri dan ini sangat menakutkan. Apa lagi apabila kita tahu bahawa tindakan itu lebih menggambarkan hakikat sesuatu berbanding apa yang dikata, iaitu action speaks louder than words.

10.0] Jika kita ingin menasihati atau menarik mereka, perlulah benar-benar difahami ayat 108 surah Al-An'am ini dan kalau perlu elok ditulis dengan kaligrafi yang indah, jelas dan mudah untuk dibaca dan diletakkan di atas mimbar atau di atas meja di setiap masjid supaya dapat mengingatkan para penceramah, para pendakwah, supaya mengikut kaedah-kaedah yang betul dalam berdakwah. Berdakwah dengan tiada unsur paksaan, khasnya untuk Ahli Kitab yang punya Kitab dan Nabi seperti kita walaupun Kitab-Kitab mereka sudah tidak asli lagi.

11.0] Surah Al-Ankabut ayat 47;

Dan tidaklah ada yang menentang, membangkang, kecuali orang yang Kafir. Jika selepas berhujah, masih tidak dapat menerima kebenaran Agama Allah yang suci, walaupun pada asalnya agama mereka juga dari Agama Tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa dan Nabi Musa, maka hendaklah ikut panduan ayat surah Al-Ankabut ayat 46 sebelumnya diatas. Islam memberi jawapan yang tegas walau pun tidak keras

[Nota; kalimah jaahidun جاحد - bermaksud menentang, melawan, manakala jika guna جاهد -maknanya orang yang berjihad, jika زاهد -bermakna orang yang zuhud].

12.0] Dari tafsir Al-Marowi, Allah berfirman, "Wahai Muhammad, sebagaimana Aku telah turunkan kitab-kitab kepada Rasul-Rasul sebelum mu, Aku juga telah turunkan pula kitab Al-Quran ini kepada mu dan orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mu". Apabila Yahudi dan Nasrani mahu menerima Al-Quran ini dan mereka ingin memahaminya sepertimana Abdullah bin Salam (tokoh Yahudi yang berpegang dengan Kitab Taurat) atau Salman Al-Farisi (orang Nasrani yang ikut ajaran Kitab Injil), jika mereka membaca Al-Quran, nescaya mereka akan beriman dan membenarkan bahawa Al-Quran ini diturunkan dari Allah.

13.0] Kenapa orang Kristian sekarang tidak tertarik kepada Islam? Jawapannya ialah kerana mereka tidak membaca dan tidak mengkaji Al-Quran dengan betul-betul. Mereka tidak mengkaji Al-Quran dengan hati yang terbuka. Di Manado Sulawesi ada seorang ketua paderi terkenal bernama Yahya Waloni yang telah memeluk Islam, dan sekarang menjadi daie yang hebat. Objek dakwahnya lebih kepada kawan-kawan paderinya. Beliau mencabar paderi-paderi itu bahawa kitab yang mereka sampaikan itu adalah penuh kebohongan dan satu daripada sebabnya ialah intipati surah Al-Ankabut ayat 47 ini. Beliau adalah seorang yang cendikiawan, yang suka berfikir. Bukan hanya semata-mata dengar, "Depa kata, depa kata".

[Nota; Ini bahasa Nabi saw, "Qiila waqola" yang bermaksud "depa kata, depa kata", atau apa yang dikatakan orang]

14.0] Yahya ini terdidik, berfikir ilmiah, daya analisa yang tinggi, mengkaji Al-Quran, kemudian baru sedari bahawa dirinya sesat, kerana tidak mengambil peluang apa yang Al-Quran tawarkan. Jika sesiapa saja betul-betul dalami Al-Quran, pasti akan memeluk Islam. Bukan bermakna meninggalkan Injil dan Taurat bahkan jika menerima Islam bermakna telah mengikuti arahan Injil dan Taurat sebab semua Nabi terdahulu telah diperintahkan Allah untuk menerima ajaran Nabi terakhir, Nabi Muhammad saw.

15.0] Asalnya Yahya belum kuat kerana isterinya yang banyak halangi dengan alasan duniawi. Tambahan pula sebagai seorang paderi, mendapat gaji mengikut bilangan muridnya, grednya seorang paderi mengikut pengikutnya. Jika yang belajar dengannya paderi-paderi yang pandai-pandai, lebih tinggilah lagi grednya. Hidayah Allah mengatasi segala. Akhirnya Yahya memeluk Agama Islam pada tahun 2002. Dia tidak suka dipanggil ustaz atau kiyai atau daie atau tok guru atau sheikh atau Dr, tetapi lebih selesa jika orang memanggilnya Bung atau Pak sahaja supaya tidak ada rasa jarak diantaranya dengan pengikutnya. Tidak perlu disertai dengan panggilan gelaran yang berjela-jela. Contohnya presiden di Indonesia dipanggil namanya sahaja, Jokowi sahaja.

16.0] Hebatnya Yahya ini, katanya, "Bapa-bapa jangan khuatir, kebanyakan orang Islam yang memeluk Kristian ialah orang-orang yang tolol dan bodoh sahaja. Kebanyakan yang murtad itu ialah yang kurang kualiti, yang bodoh, tolol  atau yang ingin berkahwin dengan Minaci atau yang hendak mencari wang semata-mata. Berbeza dengan orang-orang yang memeluk Islam ialah orang-orang awam yang hebat dan pandai juga seperti paderi-paderi terkenal. Kita tidak ada mendengar bahawa seorang ustaz yang berkelulusan dari Universiti Madinah menjadi murtad, tidak ada, dan tidak mungkin ada. Oleh itu wajiblah orang Islam berasa bangga. Seumpama Abdullah bin Salam, atau Salman Al-Farisi yang benar-benar ingin mencari kebenaran, begitu juga dengan Kafir Quraish yang betul-betul ikhlash ingin mencari kebenaran. Umar bin Al-khatab yang membaca sendiri ayat-ayat Al-Quran, walaupun belum satu juzuk membaca sendiri dari Al-Quran, yang dibaca tanpa paksaan, terbuka hatinya, ikhlash, jadi lembut hatinya yang keras. Jika ditanya kepada ustaz bahawa adakah ayat-ayat Al-Quran yang boleh dibaca untuk melembutkan hati seseorang lain, ustaz akan menjawab "tidak tahu" kerana hanya saanya ialah dengan membaca Al-Quran, dengan syarat membacanya sendiri dan mengkaji bukan sekedar mengaji, maka Al-Quran itu akan boleh melembut, melunakkan hati. Orang yang hati keras, yang membaca Al-Quran sendiri in syaa Allah hatinya akan terbuka dan menjadi lembut-lunak.

17.0] Di dalam surah Al-Jin ada menceritakan tentang jin kafir iaitu sebagai ayam tambatan Iblis. Iblis menyuruh jin mengembara mencari maklumat kenapa tahap tingkatan sekuriti langit telah ditingkatkan. Jin itu mengembara dan berhenti mendengar Nabi saw membaca Al-Quran di dalam suatu majlis. Sehabis mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran, dan ia fahami, jin itu memeluk Islam dan berdakwah pula kepada kaumnya. Bayangkanlah jika jin pun boleh dilembutkan hatinya dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran, inikan pula kita manusia yang diturunkan Al-Quran khas untuk panduan kita. Untuk mendapat hikmah terbaik daripada Al-Quran ialah dengan membaca sendiri ayat-ayatnya, fahami, hayati maksud ayat-ayat Al-Quran itu dengan sebenar-benarnya, in syaa Allah hati akan menjadi lembut. Adalah tidak tepat jika dikatakan hanya dengan cara dihembus bacaan ayat Al-Quran kebelakang seseorang semasa sedang tidurnya akan dapat melembut-lunakkan hati seseorang itu. Al-Quran itu Nur, Cahaya, yang akan menerangi hati dan memberi jalan panduan dalam menyelusuri kehidupan di dunia ini.

18.0] Setiap hari ada saja orang-orang yang menjadi saudara baru kita, yang memeluk Islam kerana membaca dan mengkaji Al-Quran. Bagi seseorang yang asalnya Muslim kemudian menjadi Murtad kerana ingin berkahwin dengan Minaci (berlainan agama) ataupun orang yang Kafir pula memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan Minah (yang beragama Islam), maka agama bagi mereka itu bukanlah untuk mencari kebenaran tetapi sebaliknya hanya semata-mata untuk membolehkan mereka mengahwini wanita yang mereka sukai. Contohnya seperti penyanyi Indonesia yang sanggup bersyahadah, meninggalkan agama asalnya kerana ingin mengahwini penyanyi Malaysia di Singapura, yang akhirnya apabila tidak serasi dan berlaku perceraian telah kembali ke agama asalnya.

19.0] Orang-orang yang bodoh yang menjadi Murtad berbeza dengan orang-orang yang hebat seperti paderi-paderi yang kian ramai memeluk Islam. Paderi-paderi yang telah memeluk Islam ini ramai yang menebus dosa mereka dengan cara taubatnya iaitu mengIslamkan semula orang-orang yang telah diKristiankannya dahulu. Contohnya Anthonious Widuri yang telah memeluk Islam dan diberi nama Anthonio Muslim Widuri, setelah berdebat dengan Guru Agama Dr. Bahuddin Mudhori selama 1 minggu lebih, dengan tidak meletak syarat, kerana semata-mata untuk mencari kebenaran dan bukan kemenangan. Mencari Hidayah dengan panduan Al-Quran, dan setelah berjaya yakini dan temui jalan terang, memeluk Islam, mempertahankan Hidayah itu dengan menghabiskan masanya untuk berdakwah pula kepada orang-orang yang telah diKristiankan nya dahulu.

20.0] Al-Quran perlu dibaca, difahami, dihayati, mesti mengkaji bukan mengaji semata-mata. Al-Quran mesti diperlakukan seperti yang sepatutnya. Perlu diubah dan ditingkatkan cara hubungan kita dengan Al-Quran. Jauhi dari bersifat ceremonial sahaja seperti mengadakan majlis Khatam Perdana yang besar-besaran, semua membaca Al-Quran untuk tujuan dapat mengkhatamkan dimajlis itu tetapi kemudian selepas itu tidak ada apa-apa lagi. Atau pun dengan mengadakan majlis membaca surah Al-Ikhlash 10 ribu kali, buat julung-julung kalinya sahaja, supaya dapat memecahkan rekod. Ini perlu diubah. Jangan terlalu sering mengadakan majlis ceremonial dalam agama seperti itu. Takut majlis yang meriah dan ceremonial ini menimbulkan riya', meriah hebat dalam pandangan manusia tetapi gelap-gelita di dalam pandangan makhluk langit, jika ibadah yang dilakukan tidak ikhlas.  Kita inginkan semua ibadah yang kita lakukan naik ke langit dan diterima Allah. Berbeza dengan ibadah Tahajjud atau Qiyamullail yang dilakukan di dalam rumah sendiri di malam hari, ibadahnya bercahaya terang benderang dari pandangan langit walaupun tiada yang melihatnya di Bumi Allah ini. Jangan sampai untuk berjemaah berQiyamullail pun perlu isi borang, atau perlu beristikhorah dahulu.Takut tiada keikhlasan lagi kerana terlalu mengikut protokol sangat. Hanya ibadah yang ikhlas yang dinilai oleh Allah. Alangkah elok nya jika ibadah itu lebih bersifat Nafsiah Fardhiyah, atau ibadah yang dibuat sendirian, atau yang sunat yang nampak semacam tiada aktiviti. Elok juga mengadakan ibadah duniawi seperti bergotong-royong, mengecat pagar dan sebagainya yang ada banyak kebaikannya.

21.0 Surah Al-Ankabut ayat 47 ini menceritakan bahawa Al-Quran ini diturunkan juga kepada Ahli Kitab yang ingin membaca dan mengkaji dan mempercayainya kecuali orang-orang Kafir yang menolak atau kafara. Kafara membawa makna menolak, menutup, menimbus, menggali lubang kemudian menimbus, kata hati yang benar ditutup. Lawannya ialah syakara yang bermakna mendedahkan.

22.0] Namruz membenarkan kebenaran ajaran Nabi Ibrahim as di dalam hatinya dan buktinya ialah ketika Nabi Ibrahim menyuruh mereka bertanya kepada patung-patung yang telah dipukul itu. Mereka menjawab bahawa tuhan-tuhan patung mereka itu tidak tahu apa-apa. Itu namanya kufur, hati mengakui kebenaran tetapi mulutnya tutupi. Mereka seterusnya menangkap Nabi Ibrahim as dan membakarnya.

23.0] Manusia ini terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu;

i) Mukmin- zahir dan batinnya sama, lidah dan hatinya sama.
ii) Kufur- hati akui tetapi luaran tutup.
iii) Munafik- hati menolak (nafi) tetapi luaran terima.

24.0] Surah Al-Ankabut ayat 48;


Nabi Muhammad saw bukan seorang pengkaji, bukan seorang researcher dan tidak pernah menulis dengan tangan, jadi itu lebih menjelaskan tuduhan Al-Quran sebagai ciptaan Nabi saw adalah tuduhan yang tidak berasas. Dalam ayat mudah ini menunjukkan keUmmiyyannya Nabi Muhammad saw adalah bukti nyata kebenaran kenabian dan kerasulannya. Keummiyyan Nabi saw bukti nyata kebenaran bahawa Al-Quran itu 100% datang daripada Allah. Bayangkan jika Nabi Muhammad saw adalah seorang proffesor, ada koleksi perbagai degree, atau telah menghasilkan berpuluh ribu buku, tentulah senang dituduh bahawa Al-Quran itu sebagai hasil tulisan Nabi Muhammad saw. Dengan keadaan Nabi saw yang tidak pernah baca tulis, maka dapatlah menangkis rasa ragu bahawa Al-Quran itu adalah daripada Nabi Muhammad saw.

25.0] Daripada Al-Imam Al-Mujaahid (seorang ahli kitab Yahudi-Nasrani), bahawa sebelum Nabi saw dilahirkan lagi mereka telah mengetahui di dalam kitab mereka, Taurat dan Injil, semasa Nabi Musa dan Isa lagi bahawa Nabi terakhir ini, Allah janjikan tidak pandai baca tulis, iaitu seorang ummiyyun. Mereka sudah tahu ciri-ciri Nabi saw dan tugas-tugas Nabi saw. Jika tidak ada lagi di dalam kitab Injil dan Taurat itu bermakna kitab itu sudah tidak asli, kerana maklumat yang boleh dipercayai sekarang hanyalah melalui Al-Quran.

26.0] Salah satu misi Nabi Muhammad saw ialah untuk membela golongan du'afa', orang-orang yang dhoif, lemah, orang kurang upaya dan mustad'afin, orang-orang yang tertindas dan teraniaya. Contoh du'afa' ialah orang yang susah kerana kemiskinan, manakala mustad'afin ialah orang yang tinggal sebagai minoriti dalam masyarakat majoriti. Mereka boleh maju tetapi dihalang, boleh belajar tinggi-tinggi tetapi disekat, selalu ada Go Block (ada peluang, pandai dan mampu untuk berjaya -untuk Go tetapi ada orang yang Block). Bukan salah orang itu tetapi salah orang yang Block, dan Nabi Muhammad saw yang membelanya kerana ini adalah salah satu misi Agama Islam.

27.0] Umat Nabi Muhammad saw diingatkan supaya jangan hanya suka menghukum orang, jangan hanya bercerita tentang halal haram, bahkan ada misi yang lebih penting yang perlu diberi keutamaan iaitu Misi Kemanusiaan. Islam itu agama pembela dan pembebas bagi dhu'afa' dan mustad'afin. Sebab itulah Allah berfirman seperti di dalam ayat di atas. Dalam ilmu Balaghoh, belenggu bermaksud orang-orang yang ditindas sehingga tidak boleh untuk membuat apa-apa. Islam mesti hadir untuk melepaskan orang-orang yang tertindas begitu.

28.0] Situasi begitu sudah ada sekarang, mungkin pertolongan dan bantuan dari segi wang ringgit, harta dan waktu, tetapi orang Kristian yang lebih awal datang ke tempat kejadian malapetaka begitu. Contohnya ketika tragedi Tsunami di Acheh, Orang Kristian telah berkhemah terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi jika negara yang ditimpa bencana itu ialah negara yang tidak disukai oleh pihak atasan. Contohnya bencana gempa bumi di Iran, Orang Kristian sudah sampai untuk membantu tetapi Orang Muslim masih berbincang, berdebat, beristikhorah sama ada perlu menghulurkan bantuan atau pun tidak. Selalu lambat kerana mencari-cari alasan supaya tidak menolong. Berdalih samada patut dibiarkan, dengan alasan itu sebagai bencana dari Allah kepada negara itu atau pilih-pilih negeri sebab mungkin penduduknya bukan umat Nabi Muhammad saw. Contohnya jika melihat orang yang terlibat dengan kemalangan, bersegeralah menolong, janganlah banyak soal, seperti menyoal dahulu samada Islam atau kafir?, mazhab apa?, parti apa?, saudara baru atau lama?. Orang yang kemalangan itu mungkin mati akibat kelewatan mendapat bantuan. Walaupun seekor kucing yang terjatuh  ke dalam longkang patut segera diselamatkan, tanpa banyak alasan dan dolak-dalih lagi.

29.0] Kita diingatkan dengan ayat di atas supaya terus bersegera untuk memberi bantuan kepada yang memerlukan hatta jika tidak Muslim sekali pun, kerana ada Ukhuwah Insaniah iaitu hubungan persaudaraan sesama manusia diantara kita.

30.0] Nabi saw sedang duduk bersama dengan para sahabatnya, tiba-tiba lalulah orang-orang yang mengusung jenazah Orang Yahudi. Nabi saw bangun, sahabat pun mengatakan, " Ya Rasul, tidakkah kamu tahu yang dia itu seorang Yahudi? Nabi saw menjawab,"Aku tahu, tetapi bukankah dia manusia? Itu hak manusia, walaupun dia Yahudi, yang hidupnya menyusahkan Islam tetapi ini Ukhuwah Insaniah".

31.0] Islam itu luas. Malaysia ini negara majmuk. Terdapat warga yang Islam atau bukan. Berbagai bangsa dan budaya. Kita ada Ukhuwah Watoniah iaitu undang-undang negara yang dikongsi bersama. Persaudaraan yang diikat dengan persamaan warga negara walaupun berbeza agama dan bangsa. Islam juga mengajar kita tentang Ukhuwah Alamiah yang merangkumi aspek yang lebih luas. Islam ini Rahmatal lil 'aalamin, Rahmat untuk sekelian alam. Jangan wujudkan terlalu banyak sekatan, jangan dipilih-pilih samada  untuk Muslim semata-mata kerana saudara-saudara kita adalah insan diserata dunia.

32.0] Islam bukan hanya amar ma'ruf-nahi mungkar, halal-haram, hukum-hakam, syurga-neraka, dosa-pahala sahaja. Bahkan yang paling berat, yang paling penting ialah Misi Nabi Muhammad saw, Misi Kemanusiaan.

33.0] Ayat ini menjelaskan bahawa Keummiyyan Nabi Muhammad saw bukan rahsia lagi, sebab itu dalam sejarah, kaum yang menuduh Al-Quran dari karangan Nabi saw ialah orang Kafir Quraish dan bukan Ahli Kitab Yahudi- Nasrani. Ini kerana Ahli Kitab telah tahu dari kitab-kitab mereka melalui datuk-nenek mereka lagi tentang Nabi Muhammad saw yang ummiyyun ini. Jika mereka jumpa Nabi saw, mereka tidak terkejut dan itulah sebabnya mereka tidak sepatutnya menolak Nabi saw dan Agama Islam kerana mereka tiada alasan, bahkan mereka telah mengetahui segala ciri-ciri Nabi Muhammad saw jauh-jauhari sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw.

34.0] Kita sebagai umat Nabi Muhammad saw hendaklah mengikut sunnah Nabi saw secara total dan menyeluruh. Tidak boleh mengambil sebahagian-sebahagian atau pilih-pilih yang kita sukai sahaja. Moga bermanafaat dan diberkati Allah.

























Tuesday, October 11, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 46) Kuliah 46 - Berdebat, Berdakwah

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 46 yang telah dibincangkan pada kuliah yang lepas adalah ayat yang berkaitan dengan keharusan berdebat (bermujaadalah) dengan tujuan hendak mencari kebenaran dan bukan untuk mencari kemenangan. Selepas Allah SWT menjelaskan tentang cara bagaimana berdakwah, untuk menjelaskan agamaNya kepada orang-orang Musyrik dimana di dalam ayat-ayat sebelumnya ada menyatakan bahawa orang Musyrik itu telah bersangatan dalam kejahilan dan kebodohannya sehingga Allah beri gelaran summum bukmun'umyun (mereka tuli, bisu, buta). Mereka ada telinga tetapi tidak mendengar, mereka ada mulut tetapi tidak bercakap, mereka ada mata tetapi tidak melihat. Kepada orang-orang seperti ini adalah susah sekali untuk menjelaskan kebenaran dengan cara berhujah dan berdebat.

2.0] Lain halnya dengan Ahli Kitab, ima (samada, walau pun) Yahudi wa ima Nasrani, maka Allah benarkan umat Islam untuk sampaikan tentang kebenaran Agama Islam kepada mereka. Menjelaskan syariat Islam kepada mereka dan salah satu caranya ialah dengan cara berdebat (bermujaadalah), hanya sahaja dengan syarat yang ketat iaitu dengan cara yang lebih baik - iaitu ahsan.

3.0] Debat (Al-Mujaadalah) ditakrifkan sebagai menghadap hujah dengan hujah, berlawan hujah bagi tujuan menghilangkan subuhat dengan dalil-dalil yang nyata. Ini bermakna debat (mujaadalah) dalam ayat ini dan di dalam ayat-ayat lain adalah menunjukkan kepada salah satu cara berdakwah. Debat atau mujaadalah hendaklah secara ilmiah, bukan debat atau mujaadalah yang emotional, sampai menepuk-nepuk meja atau sampai meninggikan suara, kerana tujuan berdebat, bermujaadalah ialah untuk mencari kebenaran bukan untuk mencari kemenangan.

4.0] Seseorang yang mengemukakan hujah bagi membenarkan pendapatnya terhadap orang yang menentang dan menolak pendapatnya itu ialah Pendebat, yang mana tidak semua orang layak atau mampu melakukannya. Walaupun mungkin setiap orang punyai nafsu besar untuk berdebat (bermujaadalah) tetapi mungkin tidak layak atau belum layak melakukannya. Di dalam realiti kehidupan, orang yang terlibat berdebat (bermujaadalah) bukanlah orang-orang yang punya kelayakan berdebat tetapi semata-mata yang mengikut nafsu suka berdebat, kuat berhujah di kedai-kedai kopi dan adalah sangat tidak elok.

5.0] Di dalam agama kita, Al-Mujaadalah (Debat) boleh jadi diantara 2 orang muslim yang seagama, yang seiman, dalam perkara-perkara Usuluddin, perkara-perkara pokok yang asas atau dalam perkara cabang (furu'). Tiada masalah, boleh saja berdebat untuk mencari terang sesuatu yang kabur. Lihat saja surah Al-Mujaadalah ayat 1;

Wanita yang berkenaan di dalam ayat di atas ialah Khaulah binti Sa'labah Al-Ansori yang dizihar oleh suaminya. Ini adalah peristiwa zihar yang pertama dalam Islam kerana zihar adalah tradisi jahiliah Arab sebelum kedatangan Islam. Apabila seseorang suami sudah tidak sukai isterinya, maka dia akan samakan atau anggapkan isterinya seperti ibunya. Suaminya akan haramkan bersama isterinya seperti haramnya dia terhadap ibunya. Suami itu ziharkan isterinya dan kesan aib, terhina dan teraniaya ditanggung 100% oleh si isteri. Khaulah yang telah dizihar oleh suaminya bertanya tentang masalahnya itu kepada Nabi saw. Khaulah berkata,"Wahai Rasul, aku sudah tua, anak-anakku ramai dan masih kecil, aku orang susah, kalau aku serahkan anak-anakku ini kepada suamiku takut nanti anak-anakku terbiar memandangkan perangai bapa mereka yang meragukan untuk dapat menjadi pengasuh kepada anak-anak". Nabi saw menjawab, "Kamu adalah sudah haram bagi suami mu dan suami mu pun sudah haram bagi mu". Khaulah yang merasa teraniaya, merayu dan mengadu kepada Allah dimalam hari mohon Allah turunkan hukum yang lebih jelas dan adil dan Allah menyelesaikan masalah ini dengan menurunkan ayat-ayat di dalam surah Al-Mujaadalah yang menyatakan tentang hukum zihar dan cara-cara bagaimana untuk menarik balik ziharnya itu.

6.0] Ini menunjukkan bahawa tiada masalah untuk bermujaadalah (berdebat) antara mukminah dengan Nabi saw atau antara sesama muslimin yang mana debatnya positif, yang nuansa (berbeza atau kelainan yang sangat halus dan sedikit), atau berbeza pada pendapat yang masing-masing mendakwa pendapat merekalah yang benar, mereka merasa berhubungan, masih bersaudara, seagama, bukan berdepan dengan musuh. Tetapi jika sudah nampak yang lawan debat itu ialah musuh yang hanya ingin mencari kemenangan atau ingin memalukan pihak lawan, janganlah sertai, kerana ini tiada dalil, dan ini adalah salah disisi agama. Kalau dihati sudah terlintas atau berazam untuk menang dan memalukan lawan dalam debat itu, itu adalah sangat salah sekali

7.0] Mujaadalah (berdebat) boleh jadi antara muslim dengan kafir Musyrik juga, contohnya Nabi Ibrahim Khalilullah, yang paling banyak menggunakan wasilah mujaadalah dalam menyampaikan risalahnya. Nabi Ibrahim as tidak pernah kalah di dalam debatnya iaitu sentiasa berjaya menunjukkan kebenaran ajarannya di hadapan kaum yang menentangnya. Nabi Ibrahim as berdebat dengan bapanya, berdebat dengan kaumnya, berdebat dengan Raja Namruz, kafir laknatullah 'alaihi. Rujuk surah Al-Baqarah ayat 258;

Nabi Ibrahim Khalilullah yang sangat cerdas akalnya dengan pertolongan Allah dapat mengeluarkan hujah kedua  iaitu, katanya, " Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat," lalu terdiamlah Raja Namruz yang kafir itu. Nabi Ibrahim Khalilullah telah dapat mematahkan debat Raja Namruz laknatullah 'alaihi.

8.0] Di dalam masalah agama, di dalam masalah akidah, samada antara sesama Muslim atau dengan orang Musyrik, juga dengan orang Kafir Kitaabi, Allah benarkan untuk berdebat, tetapi dengan cara ahsan, cara yang terlebih baik.

9.0] Al-Mujaadalah atau berdebat terbahagi kepada 2 jenis iaitu;

i] Al-Mujaadalah mumaarah, mazmum, yang tercela- iaitu debat yang ingin mencari kemenangan, untuk menunjukkan lebih pandai, lebih tahu dari pihak lawannya. Biasanya disertai dengan alasan yang tidak masuk akal, pemilihan kata-kata yang teruk, intonasi suara yang kuat, mulut berbicara beserta kaki tangan yang sama bertindak. Cara berdebat begini dilarang di dalam agama dan amat tercela.

ii] Al-Mujaadalah ithbaatul haq, mahmud (terpuji), haniifah- iaitu berdebat untuk mencari kebenaran, semangatnya hanafiah, iaitu lurus bersih, walau pun jika terdapat pendapat orang lain yang berlainan yang terpaksa diterimanya, tidak merasa malu, malah merasa bertuah dan berterima kasih kerana debat itu telah dapat membuktikan bahawa dirinya salah. Debat sebegini yang disuruh di dalam agama, bahkan ada adab-adab dalam berdebat menurut panduan Al-Quran.

10.0] Adab-adab berdebat menurut panduan Al-Quran ialah;

i) Tidak boleh merendah-rendahkan lawan.
ii) Kalau kita ingin mereka menerima kebenaran pendapat kita, buktikanlah bahawa pendapat kita itu benar. Contohnya jika ingin melariskan barang sendiri seperti dalam menjual kain, tunjukkan bahawa kain kita yang terbaik, buktikanlah bahawa kain kita itu kain yang dibakar tidak hangus, diclorox tidak luntur, digunting tidak lut. Buktikan sehingga orang percaya kebenaran dakwaan kita bukan dengan merendah-rendahkan pihak lawan dengan menunjukkan kelemahannya dan mempamir kelebihan pihak sendiri.

11.0] Jika berdebat dengan berhujah yang beradab mulia, secara ahsan  (dengan cara yang lebih baik),  kalau pun mungkin pada saat itu pihak lawan tidak dapat menerima, In syaa Allah dimasa depan ada kemungkinan dia akan dapat menerima. Tetapi jika berdebat dengan tidak beradab, serang, maki, hina pihak lawan, walau pun mungkin hatinya dapat bersetuju dengan pendapat kita, akan jadi susah baginya untuk menerima. Oleh itu berusahalah untuk sentiasa meng-orangkan orang. Itulah orang yang baik. Dakwah yang baik.

12.0] Adab ahsan dalam berdebat (bermujaadalah), rujuk surah Saba ayat 24, 25 dan 26;



Ini contoh tafsirul aayah bil aayah (ayat mentafsir ayat) iaitu debat Nabi saw dengan kaum kafir Quraisy Musyrik. Allah beri panduan kepada Nabi saw cara untuk berdebat dengan kaum yang sangat banyak perbezaannya. Nabi saw tidak mahu menerima hujah mereka dan mereka juga tidak mahu menerima hujah Nabi saw. Allah mengajar Nabi saw supaya mengatakan bahawa, "Sesungguhnya samada kami atau kamu yang ada di dalam petunjuk atau kesesatan". Tengok bagaimana pemilihan kalimah yang berhemat. Inilah adab berdebat, sehingga lawan dapat merasa dihormati sebagai manusia.

13.0] Jika A dan B berdebat, kemudian A yang menjadi hakim, apa perasaan B? Tentu merasa tiada keadilan. Ini bukan tentang betul atau salah, tetapi tentang dapat melihat lawannya sebagai tetap dihormati dan tidak dipermalukan. Meletakkan lawan diaras yang sama, sama taraf, tidak meletakkan siapa yang salah dan siapa yang benar. Adalah sangat sedih jika kita ada bakat berdebat tetapi belum cukup kemahiran untuk berdebat dan belum cukup syarat berdebat. Hebat sekali jika sudah dapat berdebat sehingga Islam tetap dihormati. Lawan pun memuji, tiada kata-kata yang menyinggung perasaan, walaupun dengan orang yang bukan Islam.

14.0] Rujuk surah Saba ayat 25 di atas, pertanyaannya ialah, bilakah Nabi saw  ada berbuat dosa dan salah? Walhal Nabi saw tidak pernah berbuat dosa. Kenapakah Allah menyuruh Nabi saw berkata begitu? Kenapa kalimah itu tidak diterbalikkan sahaja? Susunan kosakatanya yang sangat berhemah. Bukan tidak yakin atau meragui, tetapi inilah 100% berkenaan etika berdebat, yang mana;

i) Seolah-olah tidak tahu siapa salah dan siapa betul.
ii) Seolah-olah tidak mengapa, jika kami berdosa, kamu tidak bertanggung-jawab dan seterusnya keputusan terletak pada ayat ketiga iaitu;
iii) Tuhan kita yang akan menghimpunkan antara kita, disuatu tempat, disuatu masa, siapa yang benar siapa yang salah, Tuhan kita yang akan memberi kata putus. Kita tunggu bersama. Kedua pihak berpuas-hati.

15.0] Nabi saw pun tidak disuruh untuk menjadi hakim dalam debat yang mana Nabi saw sendiri terlibat. Hakimnya mestilah orang ketiga yang bebas dengan kaitan antara kedua pihak. Keadilan yang sebenar-benarnya, betul-betul baina (diantara keduanya), dan contoh di atas ialah Tuhan kita sebagai Hakim.

16.0] Itulah sebabnya orang Kafir Quraisy yang Allah putuskan pegangan mereka sesat dan mereka akan masuk ke neraka namun tiada protes, tiada merayu, kerana mereka berpuas hati. Hanya saanya mereka tidak tahan dengan siksaan neraka yang membuatkan mereka merayu hendak keluar. Yang masuk ke neraka pun tidak merasa dianiaya apa lagi bagi yang dapat masuk ke syurga. Semasa di dunia lagi Allah menyuruh Nabi saw untuk melakukan ahsan sebegini di dalam berdebat.

17.0] Jika ada suatu debat sedang berlangsung, di mana penonton sudah mula komen siapa hebat, siapa kalah, jika sudah ada yang meninggikan suara, bila sudah ada yang cenderung tidak hormati lawannya lagi, bersegeralah tinggalkan majlis itu, jangan bermujaadalah berterusan.

18.0] Contoh teladan daripada Nabi saw, iaitu ketika Yahudi berjumpa Nabi saw dan memberi salam dengan mengatakan, "Assaamu 'alaika ya Muhammad", yang bermaksud "Matilah kamu ya Muhammad". Nabi saw pun menjawab, "Wa'alaika" yang bermaksud, "Dan keatas kamu". Saidatina Aisyah r.anha yang mendengar salam jahat itu merasa marah, geram kerana Nabi saw telah dihina oleh musuh Allah. Saidatina Aisyah pun menjawab,"Wa'alaikumussam 'alaika laknatullah". Nabi saw yang masih berada disitu lantas berkata, "Bawa bertenang ya humairah". Saidatinaa Aisyah r.anha membela dirinya, lalu berkata, "Ya Rasul, tidakkah kamu mendengar apa yang mereka katakan terhadap mu?" Nabi saw menjawab, "Aku dengar dan aku sudah pun menjawabnya". Sambung Saidatina Aisyah , "Tetapi kenapa pendek sahaja? Nabi saw menjawab bahawa, " Allah sukakan kita yang berlemah-lembut dan  dia menyuruh kita berlemah-lembut hatta ketika kita sedang benci". Nabi saw tidak redho isterinya didorong emosi. Nabi saw menasihati isterinya supaya tetap sopan santun walaupun di dalam keadaan marah dan benci. Sambung Nabi saw lagi, "Doa aku kepadanya dikabulkan Allah manakala doanya kepadaku tidak dikabulkan Allah". Oleh itu tidak perlu marah, kerana marah itu yang bawa stress. Inilah ihsan, inilah budi pekerti. Orang yang ihsan, hatinya bersih.

19.0] Nabi  Isa as tatkala dicerca kaumnya namun tetap berdiam diri. Nabi Isa as telah memberitahu kawannya Al- Hawariyyun bahawa, "Seseorang itu hanya boleh memberi apa yang dia miliki. Aku tidak boleh marah kerana aku tidak punya banyak simpanan marah di dalam hatiku". Itu bermakna seseorang yang banyak memaki, mencaci dan mengumpat adalah menunjukkan banyak simpanan sifat keji di dalam dirinya. Sedangkan kita dinilai oleh orang dengan apa yang keluar dari diri kita bukan dengan apa yang masuk. Hati hendaklah sentiasa baik.

20.0] Hati-hati, kita muslim jangan sampai kalah dengan satu di antara ajaran yang kononnya ialah ajaran Buddha seperti mana yang diceritakan oleh ustaz tentang peristiwa beliau bersembang-selidik dengan seorang pekerja di bahagian mesin urut di sebuah pasaraya. Pekerja itu dinilai oleh ustaz sebagai seorang yang baik di dalam anutannya dimana dia menceritakan tentang patung Buddha yang berperut buncit, mata celik, tersenyum, yang mengikut ajarannya supaya dicontohi dan dijadikan sebagai simbol. Buddha yang baik, walaupun apabila dicaci, dimaki, dicela, ditipu, namun masih boleh menerima, menelannya sehingga perutnya menjadi besar dan masih tetap dapat tersenyum. Begitu juga dengan ajaran Toism yang meletakkan buah-buahan di sudut tertentu, yang dapat mengingatkan penganutnya bahawa segala perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan mendapat balasan jahat. Ada juga ajaran Toism yang meletakkan lampu atau lilin yang memberi simbol rela berkorban membakar diri demi kebaikan orang lain. Pokok pangkalnya hati mesti bersih yang seterusnya akan membawa kepada tubuh-badan yang sihat. Memang ada walaupun bukan majoriti mufassir yang mengatakan bahawa Si Garta Gautama Buddha itu ialah Nabi Zulkifli yang lahir di Kappilawarsu yang dengannya terbit nama Zulkifli. Di dalam ajaran mereka, adalah penting juga menjaga dan mengawal makan atau menjadi vegetarian. Nasib agama Buddha ini adalah sama dengan agama Nabi Musa as atau agama Nabi Isa as, yang mana diikuti umat semasa hidupnya di zamannya.

[ Nota- Menurut fahaman ajaran mereka, ada pendapat yang mendakwa bahawa seseorang yang sering marah kepada orang bawahannya seperti kepada anak-anak atau isteri atau pekerja bawahannya akan mudah mendapat sakit di bahagian kakinya dan cara untuk mengembalikan kesihatannya itu adalah dengan memohon maaf kepada yang  berkenaan, mengawal marahnya, merawat hati jadi besih sehingga sakitnya hilang dengan sendirinya ].

21.0] Di dalam Islam juga ditekankan bahawa hati perlu bersih, yang akan menjana jasmani yang sihat. Semua penyakit berpunca dari hati yang tidak stabil. Oleh itu agama Islam menekankan cara hidup yang sangat baik, bersopan santun, berbudi bahasa.

22.0] Contoh penggunaan kalimah billati hiya ahsan yang bermaksud dengan cara yang lebih baik ini dapat kita temui di dalam surah Ta ha ayat 44;

Ayat ini adalah kisah Nabi Musa as dan Nabi Harun as yang diperintahkan Allah supaya pergi berdakwah kepada Fir'aun dengan cara berbicara dengan kata-kata yang berlemah lembut (qaulan layyinan). Inilah ahsan. Pesanan Allah, "Wahai Musa, sesungguhnya Aku Tahu engkau kekasihKu dan Fir'aun musuhKu dan Aku tahu Fir'aun tidak menerima ajaran mu tetapi berkatalah dengan kata-kata yang lemah-lembut". Kenapa Allah tidak perintahkan Nabi Musa as supaya melanyak saja Fir'aun? Tetapi tidak, kenapa? Begitulah Al-Quran, menyuruh berlaku ahsan. Boleh jadi nanti ia akan menerima atau sedar atau timbul rasa takut.

23.0] Ternyata dakwah Nabi Musa as yang berlemah-lembut, berjaya, kerana beliau telah dapat menyampaikan semua kebenaran dan Fir'aun memberi peluang kepadanya untuk berdakwah kepada keluarga dan mala'unnya, dan kemudian kepada orang ramai. Fir'aun sendiri yang menyediakan tempat berdebat dan segala keperluan. Inilah kesan dari qawlan layyinan. Andai Nabi Musa as dari awalnya telah bercakap dengan keras kasar, tentulah tertutup peluang untuk berdakwah begitu. Dikatakan Dakwah Nafas Panjang, kerana masih ada peluang berdakwah. Tugas kita hanya menyampaikan. Orang menerima atau tidak, itu cerita dia dengan Allah. Jauhilah Dakwah Nafas Pendek yang menggunakan cara dakwah berdesing mencari kepuasan. Pendakwah yang menghentam jemaah dengan kata-kata yang tidak berhemah sehingga jemaah terasa, panas punggung atau terus keluar majlis. Pendakwah merasa puas hati tetapi cara begitu adalah sangat salah dan tidak menjadi cara berdakwah yang berjaya dan baik.

24.0] Perkara penting dalam berdakwah ialah;

i) Apa-apa yang disampaikan wajiblah perkara yang betul yang terdiri dari ayat-ayat Al-Quran dan sunnah Nabi saw.
ii) Cara menyampaikan mestilah betul berhemah, cara quranik, cara sunni, ikut cara apa yang Allah telah tetapkan.

25.0] Ada suatu kisah teladan, dimana seorang guru istana yang mengajar anak Khalifah Omar Abdul Aziz. Guru itu telah memarahi anak khalifah itu, lalu Khalifah Omar Abdul Aziz menasihatinya dengan berkata, "Kenapa marah-marah, kamu bukan Musa dan anakku bukan Fir'aun. Jika kamu Musa dan anakku Fir'aun sekali pun, Allah suruh qawlan layyinan (berkata dengan lemah-lembut)". Inilah ihsan yang diabaikan oleh orang Islam sekarang yang membuatkan orang yang mula mahu menghampiri Islam pun boleh lari.

26.0] Setiap dari kita ada tanggungjawab untuk berdakwah dalam berbagai peringkat. Jika terasa ingin lari dari berdakwah, ingatlah bahawa kita bukan  Nabi Musa as dan orang itu bukan Fir'aun. Inilah ahsan, budi pekerti, sopan santun. Bukan pilihan tetapi adalah suatu kemestian dan keutamaan dalam berdakwah. Itulah caranya Nabi saw menegur isterinya. Ruh dakwah seperti itu yang sudah kehilangan mesti dibaiki semula, perlu dihidupkan semula dan dilaksanakan dalam semua peringkat kehidupan kita samada dengan anak-anak atau dengan orang bawahan kita.

27.0] Apa hubungan hati dan jiwa dengan fizikal? Terdapat hubungan yang sangat rapat, dan adalah saling mempengaruhi. Contohnya jika kita marah, marah itu kerja hati, jiwa jadi tidak tenteram, jantung akan berdegup kencang, mata, telinga dan muka menjadi merah akibat saraf yang dipenuhi darah, suara berubah dan mungkin disertai perilaku kakitangan yang tidak dapat lagi dikawal, dan lihatlah pula perbezaannya ketika  bersolat, sujud, tahajjud. hati menjadi tenang, damai, tenteram, khusyuk, nafas teratur. Apa yang dilalui hati dan jiwa memberi kesan yang besar kepada fizikal. Contohnya seorang yang jatuh terhantuk di kepalanya yang menyebabkan perdarahan di bahagian dalaman otaknya atau jika jaringan saraf tersepit, fizikalnya akan bermasalah, berbagai komplikasi mungkin terjadi keatas dirinya, walaupun jika tidak teruk, mungkin akibatkan dia senyum memanjang atau ketawa sendirian.

28.0] Di dalam Al-Quran pun ada disebutkan tentang significance MARAH. Rujuk surah Aa-Li-Imran ayat 119,"Qul muutu bi ghaizikum" yang bermaksud, "Katakanlah, matilah kamu dengan sebab kemarahan kamu". Marah itu salah satu punca kematian. Orang yang marah-marah, istiqomah marah, pendek umurnya. Oleh itu rawatlah diri sendiri. Ikutilah panduan-panduan mencari damai cara quranik dan sunnah Nabi saw.

[ Untuk difikir-fikirkan;- Andai kerap pening kepala tidak tentu pasal, mungkin ada masalah dengan bapa mertua atau orang atasan ].







Tuesday, October 4, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 46) Kuliah 45 - Solat, Berdebat

1.0] Terakhir yang dipelajari ialah surah Al-Ankabut ayat 44 dan 45 yang menjelaskan kaitan yang rapat sekali antara ayat-ayat kauniyah dengan ayat-ayat qauliyah (ayat yang difirmankan, ayat yang diturunkan). Ayat kauniyah, "Kholaqallah assamaawaati wal ardha bil haq- Allah menciptakan langit dan bumi dengan hak", dengan ayat qauliyah,"Utlumaa uuhiya ilaika minal kitaabi wa aqimissolah- Bacalah Kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu dan laksanakanlah solat", satu hubungan yang erat yang tidak boleh dipisahkan. Apabila seseorang telah dapat mengaitkan, memahami, serta dapat merasakan hubungan antara ayat kauniyah dan ayat qauliyah ini maka hendaklah ia amalkan dan praktikkan semua itu di dalam solatnya. Lantaran itu, jika ia solat, bermula dengan takbir Allahu Akbar, maka yang terfikir, yang terbayang olehnya di dalam hatinya bukan terjemahan kalimah Allahu Akbar tetapi hatinya sudah dipenuhi dengan perasaan Kibriyaa Ullah, (Kebesaran Allah) yang ia perolehi dari pemahamannya terhadap ayat-ayat kauniyah.

2.0] Seseorang tidak akan dapat fahami Kebesaran Allah dalam erti kata yang sebenarnya jika ia tidak dapat fahami ayat kauniyah kerana di sanalah Allah tunjukkan segala KebesaranNya. Jika hati telah dipenuhi dengan Kibriya Ullah, maka apabila disebut sahaja Allahu Akbar, pasti akan dapat merasa diri sangat kecil, tiada berdaya, merasa sangat-sangat berhajat kepada Allah Yang Maha Esa, kerana selain Dia, tiada yang lain lagi tempat bergantung. Di situlah akan lahir khusyuk, disitulah akan dapat capai makam tertinggi iaitu zikrullah.

3.0] Zikrullah itulah yang paling besar, yang bermaksud sebesar-besar ibadah hamba kepada Tuhannya ialah zikrullah dan sebesar-besar nikmat anugerah Allah kepada hambaNya juga ialah zikrullah.

4.0] Katalah apabila Allah berfirman, "Uzkurullah!", "Ingatlah kamu kepada Allah!", kalaulah bermakna "Ingatlah" sahaja, tentunya hanya sesuai kepada orang yang sudah lupa dan tidak sesuai kepada  orang yang sentiasa ingatkan Allah. Uzkurullah bermakna perintah Allah kepada kita yang tujuannya zikrullah itu supaya kita tahu dimana makanah kita, dimana kedudukan, posisi kita dihadapan Allah.

5.0] Apabila kita sebut Allahu Akbar, Allah Maha Besar, kita bukan untuk membesarkan Allah sebab Allah sudah besar sebelum kita membesarkanNya. Allah juga tidak menjadi kecil jika kita tidak kata Allahu Akbar. Tidak sama sekali. Sebanyak mana sekali pun takbir kita tidak memberi apa-apa kesan bagi Allah. Kalau begitu kenapa Allah menyuruh kita membesarkanNya walhal dia sudah Besar? Tujuannya ialah supaya kita sedari yang diri kita ini kecil apabila berhadapan dengan Allah Yang Maha Besar dan ini kita terjemahkan di dalam keadaan yang nyata seperti di dalam solat yang mencegah fahsyaa' dan mungkar.

6.0] Di dalam Al-Quran kalimah fahsyaa' ini ada 3 bentuk;
i) Al-Fahsyaa'.
ii) Al-Faahisyah.
iii) Al-Fawaahisy.

Terdapat perbezaan makna di antara ketiga-tiganya. Di dalam surah Al-Ankabut ayat 45 ini dan ayat-ayat yang lain ada menyatakan bahawa solat dapat mencegah perbuatan fahsyaa', kenapa tidak faahisyah? Padahal jika di dalam Bahasa Melayu ketiga-tiganya di beri makna yang sama iaitu sebagai perbuatan keji. Oleh itu untuk fahaminya, untuk dapat membezakannya, tengok bagaimana penggunaannya di dalam Al-Quran. Terdapat 6 surah yang ada kalimah fahsyaa' iaitu;
i) An-Naml ayat 90
ii) Al-Baqarah ayat 268
iii) Yusuf ayat 24
iv) An-Nur ayat 21
v) Al-Ankabut ayat 45
vi) Al-Baqarah ayat 169

7.0] Kalimah Al-Faahisyah pula terdapat di dalam surah-surah;
i) Al-A'raf ayat 28                                      
ii) Aa-Li-imran ayat 135                            
iii) Al-Isra' ayat 32                                    
iv) An-Nisaa' ayat 15                                
v) An-Nisaa' ayat 19                                  
vi) An-Nisaa' ayat 22                                
vii) An-Nisaa' ayat 25
viii] Al-A'raf ayat 80
ix) An-Nur ayat 19
x) An-Naml ayat 54
xi) Al-Ankabut ayat 28
xii) Al-Ahzab ayat 30
xiii) At-Talaq ayat 1

8.0] Manakala kalimah fawaahisy terdapat di dalam surah-surah;
i) Al-A'raf ayat 33
ii) Al-An'am ayat 151
iii) Asy-Syura ayat 37
iv) An-Najm ayat 32

9.0] Berdasarkan penggunaan kalimah fahsyaa', faahisyah dan fawaahisy di dalam surah-surah Al-Quran diatas maka kalimah fahsyaa' adalah merujuk kepada perbuatan keji yang belum dilakukan. Maksiat yang berat yang belum dilakukan. Manakala kalimah faahisyah merujuk kepada perbuatan keji yang telah dilakukan seperti berkahwin dengan mantan isteri bapa,

10.0] Contohnya, Zina itu adalah perbuatan keji fahsyaa', tetapi bagi yang telah terlanjur melakukannya pada kali yang pertama dipanggil faahisyah manakala setelah banyak kali melakukan dipanggilkan fawaahisy. Kalimah fawaahish mengandungi kedua-dua fahsyaa' dan faahisyah. Sebab itulah ulama tafsir mengatakan bahawa fawaahisy mengandungi fahsyaa' zahir dan batin. Fahsyaa' batin ialah yang belum dibuat manakala fahsyaa' zahir ialah yang sudah dibuat. Kedua-duanya perlu dijauhi.

11.0] Solat boleh mencegah fahsyaa' atau faahisyah? Di dalam Al-Quran dinyatakan bahawa solat boleh mencegah fahsyaa' yang bermakna orang yang solat sempurna tercegah dari melakukan faahisyah kerana telah dapat dicegah seawal fahsyaa' lagi. Lantaran itu jadilah orang yang solat sempurna iaitu orang hebat yang tidak terlintas pun dihatinya untuk melakukan fahsyaa' atau faahisyah.

12.0] Menghalang sesuatu perbuatan mestilah sebelum ianya dilakukan dan ini dinamakan tanha- mencegah, memotong sesuatu sebelum sempurna. Contohnya ekor cicak yang dipotong, terputus ekornya, untuk pulih semula seperti sediakala memakan masa sebulan, kemudian jika baru 5 hari berlalu, ekornya yang baru mula pulih tetapi belum sempurna, telah dipotong lagi. Itulah naha- yanha, yang mana merupakan perbuatan yang bersifat pencegahan atau preventive.

13.0] Contoh yang lain, seperti untuk mencegah maksiat khalwat, apabila saja sudah ada 2 anak Adam berlainan jantina yang akan melakukan khalwat, maka masa itulah perlu dicegah awal-awal. Apabila sudah nampak seorang sedang menempah bilik, kemudian nampak pula yang seorang lagi telah datang, perlulah bertindak segera, janganlah ditunggu biar lama sedikit, sehingga keduanya sudah masuk ke bilik, kena pastikan kamera sudah terpasang supaya ada bukti, polis dan pencegah maksiat semua sudah ada dan bersedia kemudian baru serbu dan selepas itu disiarkan di telivision. Cara demikian tidak menepati sunnah kerana mencegah sesuatu ialah sebelum berlakunya. Cegah diawal-awal lagi.

14.0] Contoh yang lain lagi ialah seperti kita mematahkan ranting pokok sebelum ianya tumbuh sempurna, baru sahaja bertunas sudah dipatahkan awal-awal, dan itulah yang dipanggil naha, bukan menunggu sehingga tunas menjadi ranting yang menggangu, baru ingin dipatahkan.

15.0] Dalam realiti dunia nyata, banyak musolli (orang yang mengerjakan solat) yang membuat fahsyaa' dan mungkar, bahkan ramai orang Muslim yang ditangkap rasuah ialah orang yang pernah pergi haji atau umrah.

16.0] Definasi solat dari segi bahasa atau erti epistemologi ialah ucapan-ucapan dan perbuatan yang dimulakan dengan membaca takbiratul ihram dan ditutup dengan salam dengan syarat-syarat yang ditentukan. Tidak sepatutnya digunakan kalimah sembahyang kerana bagi orang Hindu di Pulau Bali, sembahyang bermaksud sembah Yang ( iaitu dewa yang paling besar- Sang Yang Widi).

17.0] Solat mesti dilakukan dengan niat kerana semua ibadat mesti ada niat. Di dalam solat, ucapan yang perlu kita baca telah ditetapkan, kita tidak boleh mereka-reka atau menukar ganti ucapan walaupun dengan sebaik mana ucapan lain yang kita sukai. Contohnya ucapan, "Inna lillahi wainna ilaihi roojiuun", walaupun satu ucapan yang baik dan ianya ialah ayat Al-Quran, namun tiada seorang pun daripada kita yang berani menukarkannya menggantikan ucapan "Sami'allahu liman hamidah", ketika bangkit dari rukuk. Walaupun seorang yang jahil, tidak akan berani menukarkannya.

18.0] Rukuk, sujud mestilah ikut aturan. Jika Allah tidak suruh kita melakukannya, kita tidak boleh melakukannya, kita tidak boleh mengubah apa-apa ucapan atau perbuatan solat. Sujud itu hebat kerana itulah waktu paling dekat antara hamba dengan Tuhannya. Namun tiada yang berani menambah bilangan sujud, tiada yang berani  menambah bilangan rakaat di dalam solat.

19.0] Kita tidak berani bercakap di dalam solat melainkan yang disuruh ucapkan dan yang dibenarkan. Kita tidak berani bergerak kecuali pergerakan yang dibenarkan. Itulah solat yang jika kita hayati dan pegangi, selepas salam dan keluar dari solat, maka sekelian insan akan bertebaran melakukan tugasan dengan patuh sebaik-baiknya. Pekedai menuju ke kedainya, guru menuju ke sekolahnya, pemimpin ke Kementeriannya, dan sentiasa ingat bahawa diri tidak boleh buat sesuatu melainkan yang dibenarkan, tidak boleh cakap melainkan yang disuruh. Jika begitu tentulah tidak ada lagi maksiat di luar solat.

20.0] Masaalahnya ialah orang hanya takut untuk bercakap atau untuk bergerak sedikit pun hanya ketika di dalam solat sahaja. Selepas solat, merasa merdeka dan tidak lagi terikat dengan suruhan dan perintah Allah supaya menjaga percakapan dan perbuatan. Contohnya ketika solat, walaupun terasa gatal yang amat sangat pada kulit badan, terpaksa ditahan, takut bergerak. Jika terpaksa menggaru pun berhati-hati supaya tidak melebihi 3 kali pergerakan berturutan. Contoh lagi seperti ketika solat dalam keadaan kenyang selepas berbuka puasa, kemudian setelah bergerak-gerak, kain pelikat yang dipakai mula terlondeh dan akan jatuh, itu pun tidak berani bergerak untuk menahannya, takut melebihi pergerakan.

21.0] Orang sangat-sangat menjaga ucapan dan perbuatan di dalam solat, tetapi malangnya hanya betul-betul berjaya menjaganya di dalam solat. Tidak melakukan fahsyaa' (perbuatan keji) dan mungkar, melakukan 100% suruhan dan meninggalkan larangan Allah, selama sekadar 5 minit waktu solat itulah sahaja. Allah tidak mahukan seperti itu. Solat itu adalah latihan, training. Allah mahukan latihan semasa solat kita itu menjadi amalan kita selepas solat juga. Dengan itu terhasillah orang yang solat yang terbawa-bawa sikap dan amalan menjaga ucapan dan perbuatan seperti di dalam solat terus menerus di dalam kehidupan seharian nanti

22.0] Solat itu menjaga. Tanha 'anil fahsyaa'- menjaga dari melakukan perkara keji. Sebab itulah tiada orang yang tumbuk orang semasa solat, tiada orang yang mengumpat semasa solat. Walhal sekhusyuk mana dan setertib mana pun solat kita, Allah tidak ada keuntungan. Rosaknya solat kita, Allah tidak akan rugi sedikit pun.

23.0] Solat itu hanya beberapa minit sahaja, Hidup kita lebih banyak diluar solat. Oleh itu adalah lebih penting untuk mencegah fahsyaa' dan mungkar diluar solat. Di dalam solat telah dapat mengawal segala perilaku tetapi di luar solat seolah tiada kawalan, seperti tiada panduan, seperti tiada peraturan. Berbezanya seperti siang dengan malam. Pelik, keadaan di luar solat dan di dalam solat adalah seperti makhluk dua alam.

[ Sedikit jenaka; Soalan, "Apa hukum makan daging makhluk 2 alam?" Jawapannya, "Haram! sebab makhluk dua alam itu ialah manusia"].

24.0] Manusia adalah makhluk yang berubah-ubah, terutama pada hatinya. Semasa berkenalan, kemudian bertunang, semua indah, yang satunya dianggap dewa, yang satu lagi dianggap dewi. Apabila telah berkahwin, sudah mendapat anak, berubah, menjadi makhluk dua alam.

25.0] Solat itu satu latihan, satu training. Apabila bateri hampir habis, apabila sudah berkurangan tenaga, maka bateri perlulah dicas semula. Begitulah juga dengan kita manusia, yang perlu dicas dari masa kemasa. Nabi saw, setelah berpenat-penat dengan dakwahnya akan gesa, akan mengarah Bilal untuk mengajak sahabat solat berjemaah untuk mengecas kembali tenaga. Setelah solat akan bersemangat kembali.

26.0] Yang diingat Allah, bukan hanya semasa solat hambaNya, tetapi Allah akan menunggu apa yang dilakukan hambaNya selepas solatnya. Yang dinilai, yang jadi penentu samada boleh jadi ahli syurga atau akan jadi ahli neraka ialah perbuatan selepas solatnya.

27.0] Kenapa ada ayat 4 surah Al-Maa'uun?, "Fawailul lil musolliin" yang bermaksud "Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang bersolat". Kenapa begitu? Mesti ada apa-apanya. Adakah sebab  ditambah bilangan rakaatnya?, atau adakah kerana tidak dibaca surah Al-Fatihah? Bukan, solatnya sah dari sudut feqah tetapi solatnya langsung tidak memberi kesan sama sekali di dalam hidupnya selepas solat. Ayat terakhir surah itu , "Wayamna'uun almaa'uun" yang bermaksud, "Dan mereka menghalangi pertolongan", yang menunjukkan perbuatan diluar solat mereka. Oleh itu hati-hatilah, bersolat sebaiknya supaya terhasil peribadi mulia, tidak perlulah memejamkan mata bersungguh-sungguh, tetapi cuba resapi dihati sanubari.

28.0] Fahsyaa' ialah maksiat yang masih di dalam hati, ada pun faahisyah ialah maksiat yang sudah dibuat. Solat mencegah fahsyaa' yang belum terjadi, andainya telah terjadi faahisyah, maka perlulah bertaubat. Walaupun di dalam Bahasa Melayu semuanya hanya diterjemahkan sama sebagai perbuatan keji. Fahsyaa' ialah satu maksiat yang masih berupa konsep, baru diperingkat berfikir, merancang, masih bersifat batiniyah dan belum lagi bersifat zahiriyah. Namun itu pun tidak boleh, jangan sekali-kali melakukannya.

29.0] Di dalam hadith Ahmad An-Nasai, Imam Hakim, Al-Imam Baihaqi, daripada Anas bin Malik, bahawa Baginda Nabi saw bersabda,"Kecintaan ku terhadap dunia ialah wanita (isteri) dan wangian dan penyejuk mataku ialah ketika solat". Nabi saw sangat mencintai isteri-isterinya, dan sangat sukakan wangian walau pun badan Nabi saw dan peluhnya pun memang sudah sangat wangi lebih dari wangian itu. Disunatkan bagi orang lelaki memakai wangian, aroma yang harum, manakala orang perempuan tidak digalakkan berwangian.

30.0] Bagi jemaah yang baru pulang dari mengerjakan haji atau umrah, yang ingin memberi hadiah,   eloklah menghadiahkan wangian untuk orang lelaki kerana ini mengikut sunnah Nabi saw. Tidak perlulah menghadiahkan tasbih sebab yang lebih afdhal ialah bertasbih mengira dengan jari. Begitu juga tidak payah dengan ketayap yang bukan pun buatan orang Arab dan boleh di dapati banyak di pasar malam di sini.

31.0] Nabi saw merasakan jiwanya tenang setenangnya, lapang selapangnya semasa dan selepas solat. Sunnahnya yang satu ini susah untuk kita dapat kerana hati kita belum dapat merasa lapang semasa dan selepas solat.

32,0] Al-Quran juga mengajar kita doa penyejuk mata dan hati seperti yang terdapat di dalam  surah Al-Furqan ayat 74:


Nabi saw menjadikan isteri-isterinya  dan zuriatnya yang paling berharga dan dicintai. Kita patutlah mencontohi Nabi saw. Jika pasangan kita membahagiakan kita, jika pasangan kita merasa bertuah memiliki kita, jika pasangan kita memuji kita apabila tampil dihadapannya, bertuahlah, berbahagialah pasangan itu kerana pujian itu datang dari orang yang hampir dihati kita.

[Nota; Berhati-hatilah terutamanya untuk meletakkan gambar profile di facebook atau watts-up, ada pula yang suka menukar-nukar gambar profilenya. Kemudian  ada respon pula dari orang yang tidak dikenali, lantas terseret dalam dialog yang seperti ini;

i) "Wah, mudanya awak". Jawapan bagi yang ada sedikit tawadduk atau sederhana, "Tak adalah, biasalah!"
ii) Jawapan bagi yang ada sedikit bangga diri, "Tahu tak apa!"

Perlulah berhati-hati, terutamanya apabila mendapat respon dari yang berlainan jenis. Bagi Muslimah yang baik, jangan respon langsung, terus delete. Tukarkan gambar profile dengan gambar lain seperti gambar kucing atau bunga adalah lebih selamat. Dari sudut saikologi, orang yang suka tukar-tukar itu ,pagi lain, petang lain, menunjukkan hatinya yang rapuh, lemah, tiada pendirian, apabila berdepan dengan masalah sedikit sudah bingung. Keadaan itu boleh dinilai, boleh dibaca oleh orang yang faham, apatah lagi jika mendapat respon pujian dari orang yang kita tidak kenali dan yang berlainan jenis pula. Kesannya luar biasa.

33.0] Surah Al-Ankabut ayat 46;


Ayat ini bukan seruan tetapi keharusan berdebat dengan ahli kitab dalam hal agama. Larangan ini bukan bersifat mutlak tetapi bersyarat, syaratnya ialah berdebat dengan cara yang lebih baik. Kata Syeikh Mustafa Al-Marowi, "Tujuan berdebat bukan untuk mencari kemenangan tetapi untuk mencari kebenaran". Jika untuk mencari kemenangan  tentu ada sifat angkuh dan sombong, apa lagi dengan meletakkan syarat samada dengan sesama Islam atau yang berlainan agama. Debat bukan untuk menarik mereka kepada agama kita tetapi debat ialah untuk menunjukkan kebenaran Agama Islam dan untuk membuktikan kesilapan dan kepalsuan agama selain Islam. Jika selepas berdebat namun mereka masih menolak, katakanlah kepada mereka bahawa "Kami beriman dengan kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu. Kami tidak menolak apa yang diturunkan kepada Nabi Isa dan Nabi Musa. Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah sama. Nabi Musa dengan kitab Tauratnya menyuruh menyembah Tuhan Yang Esa, begitu juga Nabi Isa dengan Injilnya menyuruh menyembah Tuhan Yang Esa, Nabi Muhammad saw dengan Al-Quran juga menyuruh menyembah Tuhan Yang Esa dan Tuhan itu adalah Tuhan Yang Sama".

34.0] Ayat ini menunjukkan keharusan berdebat (bermujaadalah) dengan ahli kitab dalam masalah agama tetapi dengan cara ahsan (lebih baik). Jangan sekali-kali bersyarat seperti, "Jika kamu salah, bersedialah untuk kerat jari dan jika saya yang salah, saya akan bersedia kerat kuku". Itu tiada ihsan, tidak boleh. Juga tidak boleh jika bersyarat seperti, "Jika kamu salah, kamu kena masuk Islam dan jika kami salah, kami akan ikut agama kamu". Tidak boleh begitu. Tidak boleh sama sekali. Sangat salah begitu.

35.0] Nabi saw bersabda di dalam sunan Ibnu Majah, dinilai soheh bi ghairihi oleh Nasaruddin Al-Bani, "Sesiapa yang mencari ilmu (belajar) kerana hendak membanggakan diri dengannya (ilmu itu), dikalangan orang-orang alim, ingin merasa lebih pandai diantara yang pandai-pandai, atau untuk menguasai atau untuk mencari pengaruh di kalangan orang-orang yang bodoh yang menjadi pengikut setia (taklid), dan akan memalingkan dirinya (dengan ilmu itu) dari manusia, kerana merasa dia yang paling pandai, paling benar, maka Allah akan memasukkannya kedalam Jahannam". Na'uzubillah.

36.0] Mencari ilmu, janganlah hanya untuk termasuk di dalam kumpulan elit cendikiawan, atau untuk mencari pengaruh dikalangan orang-orang yang bodoh yang memuja dan menyanjungnya melangit. Mengharapkan orang berebut-rebut mencium tangannya. Perbuatan mencium tangan seseorang tanda hormat adalah tidak salah seperti anak mencium tangan orang tua, tetapi jangan sampai meminta atau memaksa orang mencium tangan atau merasa bangga apabila orang berebut-rebut meminum sisa minuman atau air basuhan tangan. Yang mungkin mengangkat sisa minuman itu setaraf dengan air zam-zam sehingga diri menjadi angkuh dan sombong.

37.0] Ingat, ilmu apapun yang dibanggakan, samada ilmu ABC atau ilmu alif, baa', taa', kedua-duanya jika hanya untuk mencari nama di dunia adalah sangat bahaya, dan bukan ilmu alif, baa', taa' sahaja yang akan dapat membawa seseorang ke syurga.

38.0] Surah Al-Ankabut ayat 46 ini ialah tentang menyatakan hukum harusnya berdebat dalam masalah agama, antara sesama Muslim atau dengan orang bukan Muslim, tetapi hendaklah dengan cara yang baik, ihsan dan adab yang ketat. Jika syaratnya tidak dapat dipenuhi, adalah lebih baik jika mujaadalah (debat) itu tidak diteruskan atau jika perlu juga diteruskan hendaklah dengan cara supaya dapat menghindari dari orang awam menjadi keliru. Moga bermanafaat.