Friday, May 19, 2017

PERHATIAN




Ini adalah buku nota kuliah tadabbur Surah Al-Ankabut yang disyarahkan oleh Yang Berbahagia Ustaz Kariman bin Abdul Muin di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar. Buku ini saya tulis untuk kegunaan dan kemudahan jemaah kuliah ini.
Untuk mendapatkan buku ini, sila hubungi pihak Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar atau WA menerusi talian 012 6567415. Untuk mengelakkan kesan jual-beli, mohon diniatkan infaq atau sedeqah. Moga diberkati Allah dan diterima sebagai amal yang mengalir. Allahumma Aamiin.

Terima Kasih,
Che Ramlah bt. Che Hassan.
Mei 2017

Monday, May 15, 2017

Pembetulan dalam E-Book


1.0]  Surah  Al-Ankabut (ayat 51) - Kuliah 50 - Istilah اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ - "Apakah tidak cukup bagi mereka?" - Istifham.

2.0] Mukasurat 289, kalimah أُولَاءِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ - mereka itu merekalah orang-orang yang rugi.

Monday, May 8, 2017

E-Book Tadabbur Surah al-'Ankabut

Sila klik disini untuk muaturun E-Book Tadabbur Surah al-'Ankabut Lengkap.

Tuesday, May 2, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 69) - Kuliah 71 - Ma'iatullah, Ma'iah 'Aammah, Ma'iah Khossoh, Muroqobah, Musyahadah, Sobirin, Muhsinin, Muttaqin, Cara merawat kesedihan,

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 69;


Ayat terakhir ini di bahagian pertamanya mempunyai kaitan erat dengan ayat pembuka surah ini. Jika dengan ayat di awal surah ini Allah kata bahawa orang-orang yang mendakwa beriman tidak akan dilepas begitu sahaja oleh Allah, sebaliknya akan diuji keimanannya dan pasti akan diuji sejauh mana kejujurannya, kebenaran dakwaannya itu kerana  terbukti dari sejarah iaitu ada orang yang mendakwa beriman dan kuat imannya tetapi setelah mendapat ujian barulah terserlah mana yang dusta seperti yang terdapat di dalam ayat 2 dan 3. Ayat terakhir ini ada kaitan dengan ayat pertama yakni jika seseorang itu jujur dalam dakwaannya bahawa dia orang mukmin, maka dia mestilah berjihad, dia mestilah membuktikannya.

2.0] Kita juga telah mempelajari tentang jihad, tentang tingkatan jihad (maratibul mujahadah) sepertimana yang telah dinyatakan oleh Ibnu Qayyim dan telah dijelaskan dalam kuliah yang lepas. Yang keduanya yang telah kita pelajari bahawa ini juga adalah ayat tabsyir, ayat penghibur kepada Nabi s.a.w dan pengikut setianya. Seberat apa pun perjuangan yang dijalankan, seberat mana pun ujian yang dihadapi, jika orang itu tetap mujahadah, istiqomah di jalan Allah dan kerana Allah (fisabilillah dan fillah), pasti akan Allah tunjukkan kepada mereka jalan-jalanNya, pasti akan diberi hidayah. Ini kerana Al-Iman (iman) bukan sekadar kalimah yang diucapkan tetapi Al-Iman yakni taklif (bebanan) yang mesti dilaksanakan, amanah yang mesti ditunaikan, jihad yang perlu ada kesabaran. Kesemua itu adalah perjuangan yang tidak mudah. Sesiapa yang tahan dengan ujian ini, nescaya Allah akan pandu dan bimbing dia ke jalan yang diredhoiNya. Ayat ini pula ditutupi oleh Allah dengan janjiNya yang luarbiasa, iaitu,"Dan sesungguhnya Allah itu sungguh bersama orang-orang yang berbuat baik".

3.0] Kesimpulan ketiga daripada ayat terakhir ini ialah terdapat 3 kumpulan manusia iaitu;
i) Ba'id - Orang yang sangat jauh daripada Allah, yakni orang kafir.
ii) Mutawassit - Orang yang mujahadah, iaitu masih di dalam proses membaiki diri.
iii) Al-Muhsinin - Orang yang sangat hampir dengan Allah dan punyai darjah yang paling tinggi disisi Allah.

Ayat-ayat sebelumnya menceritakan tentang orang-orang yang paling jauh dan zalim iaitu orang muftarin dan orang mukazzib dan di dalam ayat ini menujukkan golongan mutawassit dan golongan 'a'laddarajat atau aqrab ilallah (innallaha la ma'al muhsinin).

4.0] Sekarang tentang kalimah ma'a- bersama, "Innallaha ma'al muhsinin", yang bermakna "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat baik".

مَعِيَةُ الله
i) عَامَّة - الإحَاطَة بِالخَلْقِ
ii) خَاصَّة - شَخْصٌ - وَصْفٌ

Ma'iatullah - kebersamaan Allah, di dalam Al-Quran ada 2 iaitu;
i) Ma'iah 'aammah
ii) Ma'iah khoossoh

i) Ma'iah 'aammah - kebersamaan Allah yang bersifat umum. Ertinya Al-Ihaatoh bil khalqi - meliputi, menguasai,akan makhluk ciptaanNya, samada daripada pengetahuan atau ilmunya mahu pun kekuasaanNya. Maha mendengar, maha melihatnya, maha mentadbir dan maha mengurusnya. Tidak ada makhluk yang diciptakan oleh Allah yang terlepas daripada penguasaanNya atau terlepas daripada pengawasan dan pentadbiranNya. Maha suci Allah dari terlepas pandang, terlepas dengar, atau tidak perasan dia punya makhluk. Maha suci Allah daripada kehilangan makhlukNya sehingga terpaksa mencari-cari. Maha suci Allah daripada lupa telah mencipta makhlukNya dan ini berlaku bagi semua makhluk ciptaanNya yang ada di bumi, yang besar yang kecil, yang hidup dan yang mati, yang kafir dan yang mukmin. Allah ihaatoh, meliputi dari segi ilmuNya, kekuasaanNya, pendengaranNya dan sebagaiNya. Ini makna ma'a atau ma'iah yang pertama, yang lebih menunjukkan betapa berkuasaNya Allah terhadap makhlukNya. Bukan menunjukkan betapa mulianya makhluk disisi Allah. Ma'iah 'aammah ini dijelaskan oleh Allah contohnya di dalam surah Al-Hadid ayat 4;

Kalimah "wa huwa ma'akum", "Dan Dia bersama kamu", seluruh makhluk, tidak kira kafir atau muslim. Kebersamaan ini Al-Ihaatoh bil-Kholqi, meliputi dengan ciptaanNya. Allah mustahil terlepas pandang, atau tidak perasan sehingga kita boleh menipunya, memperdayakanNya. Ma'iah 'aammah, betapa besar kuasaNya, betapa luas ilmuNya, betapa teratur dan sempurna pentadbiranNya. Susah untuk kita membayangkan seberapa besar, seberapa agung, seberapa hebat kekuasaan Allah terhadap makhluk ciptaanNya. Dan ma'iah Allah juga sentiasa melihat apa yang kamu kerjakan, yang kamu lakukan. Contoh kedua ma'iah 'aammah dalam surah Al-Mujadalah ayat 7;



Kalimah "illa huwa ma'ahum ainama kaanu" yang bermaksud, "melainkan Dia berada bersama mereka di manapun mereka berada". "Kenapa Allah sentiasa bersama makhlukNya dimana sahaja dan mengetahui apa yang mereka lakukan di dunia?", Allah mengetahui dan Allah akan memberitahukan kepada manusia apa yang Allah telah ketahui. Tidak ada yang Allah terlepas pandang samada ketika seseorang itu berdua, bertiga, berempat, bahkan ketika keseorangan diri. Allah mengetahui segala sesuatu.

Jika begitu kata Al-Quran, lalu kenapa pula Nabi s.a.w memberitahu kita, "Tidak ada seseorang yang berduaan dengan selain muhrimnya kecuali syaitan yang ketiga". Itu hadith soheh. Di dalam ayat ini pula, menyatakan bahawa tidak ada seseorang itu dalam keadaan keseorangan atau ramai melainkan Allah ada bersamanya. Jadi macamana ini? Ma'iah 'aammah, Allah hendak menunjukkan kebesaran, kekuasaan, keluasan ilmuNya, kedahsyatan pentadbiranNya, ketelitianNya, kudratNya. Apa tujuannya Allah beritahu bahawa di manapun kita berada, seorang diri atau ramai, hatta ketika berada di dalam gua yang gelap gelita, kita hendaklah sentiasa yakin yang kita sedang diperhatikan. Jika kita patuh bisikan syaitan, Alah perhatikan. Jika kita menafikan atau menolak bisikan syaitan pun Allah perhatikan. Lalu lahirlah sifat muroqobah. Kalau kita belum mampu musyahadah, minima muroqobah. Orang yang boleh musyahadah atau paling tidak muroqobah, itulah orang muhsinin. Perbuatannya namanya ihsan. Nabi s.a.w menafsirkan ihsan sebagai, "Engkau mengabdikan diri kamu kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya", itu namanya musyahadah. Jika engkau tidak mampu melakukan musyahadah kerana itu peringkat tinggi dan memerlukan latihan dan mujahadah yang lebih, tetapi yakinlah kamu bahawa Allah sentiasa memperhatikan kamu, mengawasi kamu, Sentiasalah merasa diawasi Allah, kerana Allah tidak pernah berpisah dengan diri hambaNya, bila-bila, dimana sahaja.

Benarlah apabila manusia berduaan dengan yang bukan mahramnya, maka akan ada syaitan seperti yang Nabi s.a.w katakan dan seperti Al-Quran kata bahawa Allah juga ada. Apabila kita yakin bahawa Allah ada bersama kita, sedang memerhatikan kita, maka akan timbul rasa takut, tidak berani untuk membuat sesuatu yang pelik-pelik dan apabila seseorang tadi berfikir begitu, syaitan yang menemani kita akan lari. Larinya syaitan bergantung atas sikap kita, keyakinan kita, kepada ma'iatullah yang 'aammah ini. Tetapi jika kita tidak musyahadah atau muroqobah, maka syaitan tidak mahu lari malahan akan memeluk-cium kita erat-erat. Itu tujuan meyakini ma'iah 'aammah. Tidak kiralah mukmin atau kafir, percaya atau tidak, sebab Allah ingatkan bahawa Dia berada di mana sahaja hambaNya berada.

"Wa huwa ma'akum", yang bermaksud, "Dan Dia bersama kamu". Bagus juga ayat ini dijadikan hiasan dinding, sebagai kaligrafi cantik digantung di dinding bilik-bilk hotel, dengan terjemahan dalam 7 bahasa (sebab orang melancung adalah dari pelbagai bangsa dan bahasa). Ketika lampu bilik ditutup atau digelapkan, tulisan ini malah mengeluarkan cahaya, "Bila kamu berdua, Aku yang ketiga!". Bagus sebegitu sebagai ingatan.

Jika setiap orang merasakan, meyakini akan ma'iah 'aammah, kemudian menimbulkan rasa muroqobah maka dunia akan aman. Tidak akan ada khuwatir, tidak akan ada orang yang meragut, tidak takut walaupun tidak menutup pintu rumah atau meninggalkan kereta yang tidak dimatikan enjin di tempat parking, sebab semua merasa diperhatikan. Dunia pasti makmur. dan tidak perlu cipta undang-undang. Hanya perlu menanamkan muroqobah, meyakini akan ma'iah 'aammah. Tidak ada satu sen pun benda yang hilang kerana masing-masing merasa diawasi oleh Yang Maha Mengetahui. Hanya takut kepada Yang Menciptakan kita, untuk timbulkan rasa gerun. Meyakininya sahaja belum cukup tanpa merasakan kesannya.

Pencuri yang paling jahat pun,(katalah beliau seorang muslim), apabila ditanya, "Awak yakin bahawa Allah melihat?","Yakin!" "Apa nama  Allah Yang Maha Melihat?" "'Alim, Basir', Yang Maha mengetahui Maha mendengar". Apabila dia yakin tetapi kenapa mencuri juga?. Jawapannya ialah kerana dia tidak merasa dilihat. Setakat yakin Allah Maha Mendengar, belum tentu orang itu baik. "Anda yakin Allah Maha Mendengar?", "Yakin", "Apa namaNya?", "As-Sami'". "Allah dengar semua suara?", "Ya", "Walaupun suara semut?", "Ya", "Walaupun suara yang tidak mengeluarkan suara?". "Ya. Yakin". Tetapi belum cukup dengan hanya meyakini untuk membuat seseorang itu menjadi baik jika dia tidak merasa didengar. Sebab itulah masih juga mengumpat, walaupun sudah bergelar haji dan hajah. Kerana tidak merasa didengar oleh Allah, dia fikir Allah terlepas pandang.

Yang boleh menjadikan orang baik ialah apabila dia sudah mencapai muhsinin. Nabi s.a.w bersabda, "Buat yang disuruh, tinggalkan yang ditegah dan sentiasa merasa seakan-akan kamu melihat Allah, itu namanya musyahadah. Jika kamu belum mencapai itu, minima muroqobah. Untuk dapatkan muroqobah, kena yakin adanya ma'iah 'aammah yang  ihaatoh bil kholqi 'ilman waqudratan.

5.0] Yang kedua ialah ma'iah khossoh (khusus), iaitu kebersamaan Allah bukan berkaitan dengan ihaatoh tetapi berkaitan dengan An-Nasru iaitu pertolongan, bimbingan, kekuatan dan yang semakna dengannya. Apabila Allah kata ma'a yang kedua ini, menunjukkan kemuliaan kita hambanya, yakni kebersamaan Allah dengan orang itu kerana orangnya dan Allah bersama seseorang itu kerana sifatnya. Kebersamaan Allah itu dari segi Allah sedia menolongnya apabila dia memerlukan. Allah sedia berikan kekuatan jika dia lemah. Allah sedia membantunya jika dia ada masalah. Allah sedia menyelamatkan dan melindunginya dari bahaya dan musibah kerana ma'iah khossoh ini menunjukkan ketinggian darjah, kemuliaan hamba tersebut, dan siapa yang mendapat ma'iah khossoh ini samada kerana orangnya (sakhsun), atau pun sebab sifatnya (wasfun). Kalau kerana orang mungkin terhad, tetapi kerana sifat, siapa sahaja boleh, asal dia mempunyai sifat yang Allah sebut. Ma'iah khossoh kerana orangnya adalah terhad dan tidak banyak dan kita tidak boleh mendakwa bahawa itu adalah kita. Lihat surah Ta Ha ayat 46;


Ini berkaitan dengan ma'iah Allah yang khossoh bagi orang yang tertentu, yang khusus. Ketika Allah perintahkan Nabi Musa a.s  dan Nabi Harun a.s untuk menyampaikan risalah Allah kepada fir'aun dan pengikutnya. Musa a.s tiba-tiba timbul rasa khawatir kerana Musa a.s ingat perbuatannya yang pernah dilakukan lebihkurang 10 tahun yang lalu. yakni dia telah membunuh dengan tidak sengaja seorang kaum Qibti. Jadi Musa a.s takut apabila berjumpa fir'aun takut jika sekiranya belum sempat menyampaikan risalah Allah itu, fir'aun sudah menangkapnya dan membunuhnya. Bukan takut mati dalam menyampaikan dakwah tetapi takut mati sebelum dakwah disampaikan. Walaupun ia sudah ada wazir, (pembantu dan penolong) yakni Harun. Kemudian Allah beri jaminan supaya jangan takut dan sampaikanlah risalah kepada mereka. 10 tahun Musa a.s dicari oleh fir'aun, Musa a.s menjadi orang buruan, dan tiba-tiba muncul di depan mereka. Tuhan kata,"Jangan takut, sesungguhnya Aku bersama kamu berdua, dan Aku mendengar dan melihat". "Jangan khawatir".

6.0] Adakah masih ada rasa takut jika Allah telah menjadi penjamin kita?. Contohnya apabila berdepan dengan harimau pun, "Jangan takut, harimau itu makhluk Aku dan kamu pun makhluk Aku. Aku tahulah macamana untuk menundukkan harimau itu, walaupun ia sudah mengigit kamu. Aku tahu bagaimana untuk menumpulkan taringnya. Jika ia ingin menerkam kamu, Aku tahu untuk tiba-tiba jadikan dia terkena stroke". Apabila Allah telah memberi jaminan keselamatan, kenapa masih takut? masuk ke dalam kandang harimau sekali pun, hati yakin yang Allah bersama. "Jika kamu ada masalah mintalah kepadaKu, nescaya Aku akan hantarkan bantuan. Inilah ma'iah khossoh dan ia menunjukkan ketinggian maqam kemuliaan hambaNya itu, menunjukkan kekhasan untuk orang pilihan. [Nota; Jangan terpukau dengan Bahasa arab, tidak semestinya dengan menggunakan istilah dalam Bahasa Arab akan merasa lebih Islamik. Apa kamu fikir bahawa setiap Arab itu muslim? Bagaimana jika seorang penyanyi Arab datang kesini dan memakai jubah, lalu dianggap sebagai syeikh dan dijemput bersyarah di masjid. Jangan tersilau dengan luaran. Juga bila bercakap, jangan dicampur-campur. Bahasa Arab, gunakan lahjah Arab yang fasih, Bahasa Melayu gunakan sebutan melayu yang tepat. Bahasa Arab, bahasa Al-Quran, mesti disebut dengan betul terutamanya ketika membaca Al-Quran. Oleh itu perlu tahu dan fahami sedikit sebanyak Bahasa Arab].

7.0] Contoh kedua, kekhassan, sakhsun, makhsus, pesona tertentu. Rujuk surah At-Taubah ayat 40;

Di dalam ayat ini terdapat contoh ma'iah Allah yang khossoh. Pertolongan Allah kepada orang yang punyai maqam tertinggi, iaitu Nabi Muhammad s.a.w dan sahabatnya Abu Bakrin As-Siddiq radhiallahu 'anhu. [Nota; Ahli sunnah wal jamaah meyakini ia ialah Abu Bakar As-Siddiq, radhiallahu 'anhu, manakala kaum Syi'ah tidak mengakuinya]. Allah telah memerintahkan umat Islam untuk pergi berperang Tabuk, suatu perkara yang berat, kerana jauh, pada musim panas, terkena pula pada musim menuai tamar, mereka pula baru sahaja balik dari berperang, terpaksa keluarkan belanja sendiri, dan terpaksa berjalan kaki. Tabut berada 91 kilometer dari kota Madinah dan ketika tiada orang yang akan menolong, sungguh Allah yang menolong. Nabi dan sahabatnya itu berhijrah ke Madinah, Ketika Nabi s.a.w dan sahabatnya itu mencari perlindungan di ghar (gua kecil), Nabi s.a.w memberitahu sahabatnya itu, "La tahzan, innallahama'ana" yang bermaksud, "Jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita". Nabi s.a.w berkata begitu lantaran melihat sahabatnya itu berjalan berpindah-randah, sekali ke hadapan, sekali ke belakang, sekali ke kiri dan kemudian ke kanan. Nabi s.a.w merasa pelik dan bertanya kenapa. "Benar, Ya Rasulullah, apabila aku berjalan di hadapan mu aku teringat ada musuh dari belakang, lalu aku pindah ke belakang. Ketika  aku berjalan di belakang, aku teringat musuh berada di hadapan mu, jika ada anak panah sekali pun biar mengenaiku dahulu,". Sahabat Nabi s.a.w, Abu Bakar, gelisahnya luar biasa demi merasa bertanggung-jawab untuk menjaga keselamatan diri Nabi s.a.w. Bukan semata-mata sebab ingin menjaga menantu, tetapi lantaran ingin menjaga seorang Nabi yang dikasihi. Nabi s.a.w menasihati Abu Bakar, "Innallaha ma'ana", "Sesungguhnya Allah bersama kita". Ma'ana ini ialah ma'iah khossoh, yang tidak sama dengan ma'iah 'aammah yang juga Allah berikan kepada orang kafir juga. Nabi s.a.w menasihati Abu Bakar, dan Abu Bakar merasakan keyakinan itu lalu Allah turunkan ketenangan (sakinah) kepada Abu Bakar. Hilang kegelisahannya. Jadi untuk menghalau keghalawan, kesedihan hati, yakinlah akan ma'iah Allah, nanti masalah itu akan selesai.Tolong dijawab dengan nasihat sebegini jika ada orang yang bertanyakan petua untuk hindari kesedihan dan kegelisahan hati. Ada yang bertanya , "Ada apa-apa ayat untuk rawati kesedihan?". Jawapannya ialah kita kena yakini  dengan ma'iah Allah, barulah Allah akan beri sakinah" "Kalau setakat membaca ayat-ayat tertentu tidak akan menjadi tanpa ada keyakinan tentang ma'iatullah".

Allah bagi sakinah dan Allah bagi kekuatan kepada Abu Bakar untuk menjadi kuat jiwanya, azamnya, fizikalnya. Allah utuskan tenteraNya yang tidak dapat dilihat iaitu malaikat. Di dalam sirah Nabi s.a.w, "Jika mereka tunduk sedikit tentu mereka nampak Nabi s.a.w dan Abu Bakar yang sedang bersembunyi itu". "Apa yang menghalang si munafiq daripada tunduk?. Adakah dia sakit pinggang atau sakit tengkuk?" Jawapannya "Tidak, tetapi begitulah caranya Allah mendatangkan pertolongannya. Begitulah cara Allah menghalang dengan mudah". Tidak semestinya pertolongan Allah itu datang dengan cara yang dahsyat-dahsyat seperti tiba2 pinggang sakit, atau tiba-tiba tidak boleh bergerak, atau  ada unta gila mengejar dan sebagainya. Katakanlah jika orang mengepung rumah seseorang dengan pelbagai senjata untuk membunuhnya, dan jika Allah ingin menolong orang itu dengan ma'iah khossoh, tidak perlu Allah hantarkan petir atau angin puting beliung, memada dengan Allah bagi mengantuk sahaja kepada orang yang mengepung itu. Mengantuk itu adalah tentera Allah yang paling lemah yang membuatkan orang di dalam rumah tertidur dan orang yang mengepung juga tertidur sehingga pagi. Allah Maha Berkuasa, apabila hendak menolong hambaNya, dihantar tenteraNya, bumi dan langit dan isinya. Tidak semestinya benda yang dahsyat-dahsyat. Mungkin hanya dengan mengantuk atau mungkin hanya dengan nyamuk, atau mungkin dicampakkan rasa takut ke dalam hati orang yang menyebabkan orang itu lari. Tidak payah mengharap Allah menghantarkan petir untuk kalahkan musuh.

8.0] Allah jadikan kalimah atau fahaman, atau ideologi orang kafir dibawah dan kalimah Allah diatas. Ma'ana disini ialah ma'iah khossoh, yang diberi kepada orang yang maqamnya tinggi disisi Allah, yang tertentu sahaja. Tentulah Allah ada pertimbangan, penilaian dari segi kebijksanaanNya sendiri, dengan ketinggian ilmuNya. Contoh yang diberi seperti Nabi Musa a.s sebagai utusan Allah dan Harun sebagai pembantunya manakala Nabi Muhammad s.a.w utusan Allah dan Abu Bakar sahabatnya. Bersahabat dengan Nabi pun bertuah, boleh menumpang dua kaki. Katalah jika Abu Bakar yang dikejar oleh orang kafir tadi tidak bersama Nabi s.a.w, mungkin tidak diperlakukan Allah seperti itu. Abu Bakar yang bersahabat dengan Nabi s.a.w, apa lagi hatinya ikhlas menjaga dan melindungi Nabi s.a.w, sanggup berkorban apa sahaja. Inilah orang-orang hebat yang Allah beri ma'iah kerana sakhsunnya (orangnya) bukan kerana wasfunnya (sifatnya). Jika ma'iah khossoh kerana sakhsun, jumlahnya terhad, apa yang disebut oleh Al-Quran itu sahaja, dan kita tidak boleh kata. "Agak-agaknya kita dapat ma'iah khossoh", dan ianya berlaku sehingga hari kiamat, tetapi ma'iah wasfun masih terbuka dan jemaah semua boleh isi sendiri. Siapa orang yang Allah beri ma'iah khossoh kerana wasfunnya, kerana sifatnya, rujuk surah Al-Baqarah ayat 153;

Minta pertolongan (isti'anah) daripada Allah dengan sabar dan solat. Kita mesti sedar apabila kita ada masaalah  atau dalam kesusahan. Syarat pertama, kenal pasti dahulu masaalah kita kerana orang yang tidak merasa ada masaalah akan merasa sambil lewa sahaja. Yang kedua kita mesti merasa diri kita lemah, tidak berdaya, barulah kita memohon pertolongan Allah dengan sabar (imsak) iaitu dengan menahan diri, menahan keinginan yang tidak baik, menahan nafsu yang tidak baik. Jangan memaksa Allah, jangan menyuruh Allah, jangan mengugut Allah, memberi cadangan pun tidak boleh. Contohnya,"Ya Allah, setelah hambaMu berfikir panjang, membuat kajian, mendapat nasihat daripada pakar, apa yang hambaMu mahu adalah yang terbaik, sebab itu tiada alasan bagiMu untuk tidak mengkabulkannya". Doa sedemikian adalah gagal, tidak akan dapat menembusi langit pertama. Untuk melepasi bumbung rumah pun tidak dapat.

Syarat kedua ialah meminta pertolongan Allah dengan solat. Jadikan  solat itu, sarana atau wasilah untuk kita isti'anah (meminta tolong). Jangan lupa Nabi s.a.w punya masaalah tentang kiblat. Setiap kali bersolat menghadap ke Baitul Maqdis, Nabi s.a.w berharap  agar ia dapat mengadap ke Baitullah, dan Allah tahu itu. Bila Allah qabulkan? Ketika Nabi s.a.w sedang solat, 2 rakaat mengadap ke Baitul Maqdis dan kemudian diperintahkan bertukar qiblat ke Baitullah, 2 rakaat. Selepas 16 bulan Nabi berdoa dan memohon, Nabi s.a.w jadikan solat itu wasilah untuk berdoa, dan Allah qabulkan doa Nabi s.a.w ketika Nabi s.a.w sedang solat. Sebab itu semasa solat, rajin-rajinlah berdoa. Jangan lah solat cincai tetapi berdoa panjang-panjang. Berdoalah sewaktu solat. Jika seseorang meninggalkan yang paling utama untuk melakukan yang kurang utama, itu talbis syaitan.

9.0] Nabi Zakaria a.s apa masaalahnya?. Dia tidak punya jenerasi penerus, sebab dia tidak punya pengganti kerana tidak punya adik atau sepupu. Oleh sebab itu dia memohon untuk mendapatkan anak, walaupun dia tahu dia sudah lanjut usia dan isterinya pula mandul. Itu masaalahnya, dan dia terbawa-bawa semasa solatnya. Bila Allah qabulkan doa Nabi Zakaria? Semasa solatnya juga kerana dia jadikan solat sebagai wasilah.

10.0] Masaalah besar itu maknanya jika kita dapat kita beruntung dan bila tidak dapat kita rugi-seruginya dan celaka. "Apa masaalah kita yang terbesar?", Jawapannya ialah untuk mendapat maghfirah Allah iaitu untuk mendapat pengampunan Allah. "Siapa diantara kita yang berani mengaku tidak punya dosa atau mengaku dosanya telah diampuni Allah.?"."Tiada, semua orang belum yaqin tentang itu, sedangkan jika kita mati dan dosa belum terampun, tempatnya di neraka". Jadi itulah masaalah kita yang paling besar, lebih besar daripada masalah anak yang tidak lulus SPM atau anak tidak mendapat 5A. Jika anak mendapat 5B, demam seminggu, seolah qiamat masa depan. Sebenarnya kalau tidak mendapat pengampunan pasti neraka, sedangkan hari ini, belum yakin dapat pengampunan. Jadikan solat itu sebagai wasilah berdoa, pasti menangis-nangis jika sudah dapat hayati makna ucapan antara dua sujud dalam solat. Jangan jadikan solat yang ingin segera habis, tetapi berdoa yang dipanjang-panjangkan.

11.0] Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar, ini ma'iah khossoh, ertinya kalau kita punya sabar, ma'iah 'aammah dan khossoh, Allah bersedia lindungi kita kerana kita punya sifat khusus. yakni sabar dan sabar ini peluang yang Allah beri kepada sesiapa sahaja. Sebab itu jumlah orang yang Allah beri ma'iah khossoh kerana sifat, sangat ramai dan sentiasa ada, tetapi ma'iah khossoh yang diberi kepada sakhsun sudah tidak ada sebab Allah sudah tidak sebut lagi di dalam Al-Quran. Sakhsun terhad, syarat kena dipatuhi, asal ada sabar pasti Allah akan memberi. "Aku akan memberi apabila kamu meminta, Aku akan menolong apabila kamu inginkan pertolongan,, Aku sentiasa perhatikan dimana musuh kamu berada, jangan khawatir, syaratnya sabar. Sabar itu sifat bukan nama orang.

12.0] Bagaimana jika sabar itu susah?.Rujuk surah Al-Baqarah ayat 194;


Jika  sabar itu susah, kita masih ada peluang kedua iaitu bertaqwa kepada Allah. Muttaqin ialah lazimah, isim fail, maknanya melekat, ketaqwaannya telah melekat. Contohnya bukan sekadar menyanyi tetapi penyanyi. Bukan sekadar menunggang kuda tetapi penunggang kuda.

13.0] Jika belum dapat capai tingkat muttaqin, rujuk surah An-Nahl ayat 128;

Kalimah muhsinun di dalam ayat di atas bermakna orang-orang yang berbuat baik, Ma'a disini ialah fiil yang belum mantap, ma'iah khossoh. "Jika seseorang itu belum mencapai muttaqin pun Allah sudah bersedia menyertainya, memberi pertolongan dan perlindungan, penjagaan, pembelaan", begitu kata Ibnu Roja'. Ini ma'iah khossoh kerana sifatnya bukan kerana orangnya. dan masih terbuka sehingga ke hari qiamat.

14.0] Ada pun yang pertama, ma'iah 'aammah, tidak perlu diminta, itu sifat Allah lantaran Allah menunjukkan kekuasaanNya berbeza dengan ma'iah khossoh yang menunjukkan ketinggian maqam atau darjah seseorang hamba. Mungkin kerana orangnya seperti para nabi, sakhsun, peribadinya dan mungkin kerana sifat hamba itu. Itu peluang keemasan bagi setiap kita juga.

15.0] Tiada kebahagiaan sejati dunia dan akhirat selain kebahagiaan yang didapati oleh seseorang kerana ma'iah khossoh Allah. Tiada ketenangan yang lebih dari itu, ibarat tinggal di dalam rumah yang tiada pintu pun tenang, di beri makan sekali  atau dua hari sekali pun tenang; Tetapi apabila Allah tidak ma'iah tiada ma'iah yang keduanya. Jangankan tinggal di stinggan garden, tinggal di bungalow sebesar Stadium Shah Alam, pun takut. apalagi jika hanya tinggal berdua. Duduk di dalam air-con pun terasa panas jika tiada ma'iah, Jangankan tiada makan, makanan banyak bermacam-macam pun terasa lapar juga. Jangankan tiada duit, duit banyak tak boleh dikira pun jadi bingung. Jangankan tiada bilik tidur, bilik tidur yang super mewah tetapi tidak boleh tidur, atau bilik tidur yang sederhana tetapi pantang letak kepala terus belayar, tiada mimpi yang pelik-pelik. Elok pilih yang pertama dan dapat tidur nyenyak.

16.0] Di mana silapnya? tempat tidur mewah , katil luas tetapi tidak boleh tidur. Sering di ganggu mimpi pelik-pelik, mimpi dikejar anjing, atau dikejar komunis. jatuh kapal-terbang  atau kilang terbakar, sehingga tidak dapat tidur dan menjadi takut.

17.0] Apabila dilanda musibah atau masaalah begitu, perlu diubah sesuatu, mungkin kita tersalah tempat dan perlu diubah posisi kita di hadapan Allah. Kalau kita ingin terkena pancaran matahari kita mesti bergerak meninggalkan rumah yang berada di kutub menuju ke khatulistiwa. Jangan harapkan pancaran matahari cukup jika tidak mahu tinggalkan rumah kamu di kutub, dan jangan salahkan mataharinya. Jangan paksa matahari untuk adjust dirinya sebaliknya kita yang mesti adjust diri kita sendiri. Ertinya jika hati kita tidak tenang, kita kena cari sebabnya. Jangan kita menunggu Allah supaya menyesuaikanNya dengan kemahuan kita. Allah bukan sekadar memerhatikan tetapi bersedia memenuhi apa saja hajat keperluan hambaNya apabila hambaNya berada dalam posisi sobirin, muhsinin, muttaqin. Peluang ini jangan dilepaskan apa lagi di dunia kita hanya singgah sekejap. Jadi apa pun kita, di mana pun kita berada, jadi imam atau pun makmum, hidup pasti tenang. Kita sangat-sangat rugi jika tidak perhatikan tawaran Allah untuk mendapatkan ma'iah khossoh. Untuk muroqobah, untuk rasa tenang, jadi orang baik, sobirin, muhsinin dan muttaqin. Muttaqin itu yang maksima yang berat. Begitulah agama ini. Moga bermanafaat dan mendapat keberkatan daripada Allah. Allahumma  aamiin.

18.0] Alhamdulillah atas segala hal. La hawla wala quwwata illa billah. Selesai sudah penulisan nota kuliah tentang tadabbur surah Al-Ankabut yang disyarahkan oleh Yang Berbahagia Ustaz Kariman bin Abdul Muin, di Masjid Saidina Abu bakar As-Siddiq pada setiap hari Selasa di setiap minggu. Nota ini saya tulis dengan harapan untuk mendapat kefahaman yang lebih dan kebaikan yang banyak bagi diri dan bagi para jemaah yang sama-sama belajar dibawah satu bumbung kelas pengajian juga berfaedah kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Saya memohon ampun maaf kepada Tuhan yang Maha Pengasih Penyayang juga terhadap ustaz dan jemaah semua di atas segala kesilapan dan terlebih terkurangnya penulisan ini. Ucapan terima kasih yang tidak dapat diungkap khas buat ustaz yang telah menyalurkan ilmu bermanafaat kepada kami dan juga terima kasih kepada sahabat-sahabat yang membantu dalam berbagaicara. Semoga usaha yang sedikit ini mendapat Redho Allah dan dihitung sebagai 'amal jariah yang diberkati. Wabillahittaufiq wal hidayah , wassalamu'alaikum.


Siap menulis pada ;
Isnin, 8 mei 2017
Bersamaan dengan;
11 Syaaban 1438
4.30 petang.
Che Ramlah bt. Che Hassan