Tuesday, November 29, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 53) Kuliah 52- 'Azab, Imhal, Ihmal, 'Ajal, Ihtidhor, Sakarat, Naza', Ghafur, Rahim

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 53;

Mereka meminta agar segera ditimpakan azab keatas mereka dan kalaulah tidak kerana tempuhnya azab itu telah ditetapkan Allah tentang bila berlaku, dimana, berupa apa dan sebagainya, nescayalah azab itu telah datang menimpa mereka. Dan sungguh pasti azab itu akan menimpa dengan tiba-tiba dalam keadaan mereka tidak menyedari.

2.0] Daripada Ibnu Kathir rahimatullah di dalam tafsirnya Al-'Azim, beliau menyatakan:- "Dalam ayat ini Allah memberitahu kepada kita tentang satu lagi kejahilan dan kebodohan orang-orang musyrikin, yakni isti'jaa luhum- permintaan mereka kepada Nabi Muhammad saw agar disegerakan azab jikalah azab itu ada. Mereka mencabar Nabi saw  kerana mereka tidak percaya tentang adanya azab dari Allah itu". Sebagaimana permintaan yang disebut oleh 2 orang ketua musyrik iaitu Abu Jahal dan An-Nadhor bin Al-Harith yang diabadikan Allah di dalam surah Al-Anfal ayat 32;


Ini jelas menunjukkan bahawa mereka percaya kepada adanya Allah kerana mereka berdoa dengan menggunakan kalimah "Allahumma- Ya Allah", tetapi mereka tidak mempercayai tentang Al-Quran dan tentang kerasulan Nabi saw. [Nota; Kalimah haaza, merujuk kepada risalah Nabi saw]

3.0] Bukankah itu kemuncak kejahilan? Jikalah mereka ada sedikit kebijaksanaan tentu tidak begitu bunyinya doa mereka. Mungkin mereka berdoa seperti, "Ya Allah, kami tidak percaya tentang kerasulan Muhammad, tetapi jika benarlah tentang itu, tolonglah bukakan hati kami supaya kami beriman". Ini mereka meminta agar ditimpa hujan batu dan azab yang pedih dan Allah menjawab seperti biasa bahawa, "Kalaulah tidak kerana azab itu Aku telah tetapkan sejak azali, tentulah telahKu timpakan mereka dengan azab itu".

4.0] Kata Ibnu Kathir, Allah berfirman, "Kalaulah bukan kerana Aku telah tetapkan sejak azali balasan buat umat Muhammad diakhir zaman, nescaya telah ditimpa azab segera kerana mereka minta disegerakan". Berbeza dengan umat sebelum Nabi saw, iaitu umat-umat nabi terdahulu yang telah diperlihatkan sendiri kepada nabi mereka bagaimana musuh-musuh Allah itu dibinasakan. Contohnya Nabi Nuh as melihat sendiri isteri dan anaknya mati lemas, Nabi Luth as menyaksikan sendiri kampung halamannya dihancurkan Allah dan begitu juga bagi lain-lain nabi.

5.0] Berbeza dengan Nabi Muhammad saw, Nabi terakhir, Allah tidak mengizinkan, tidak memberi peluang Nabi saw melihat sendiri penentang-penentangnya tersiksa di depan matanya. Keberadaan Nabi saw ditengah-tengah mereka menjadi penghalang turunnya azab, walaupun azab itu diminta oleh orang-orang kafir, tetapi Allah tidak melayannya walaupun Allah berhak dan mampu untuk menyiksa mereka. Bukan sebab belum cukup bukti. Mereka memang layak dan patut disiksa, tetapi rahsianya ialah seperti yang terdapat di dalam surah Al-Anfal ayat 33;

Keberadaan Nabi saw ditengah-tengah mereka menjadi penghalang turunnya azab. Hatta orang kafir pun mendapat rahmat dengan keberadaannya Nabi saw diantara mereka. Itu orang dahulu, sekarang Nabi saw telah tidak ada bersama kita, bagaimana pula  orang-orang kafir, pendusta-pendusta agama, dan orang-orang yang membuat maksiat, apa yang menghalang azab dari turun sekarang? Bacalah surah Al-Anfal ayat 33 itu sehingga habis dahulu. Yang  menghalang kita dari ditimpa azab apabila kita melakukan dosa ialah permohonan ampun, istighfar dan taubat kita. Dengan istighfar dan taubat, dapat meredam dan menghalang azab Allah dari ditimpakan segera keatas kita. Untuk umat akhir zaman, umat Nabi Muhammad saw, bukan dibiarkan tidak diazab walaupun telah melakukan kejahatan tetapi ditangguhkan (imhal) azab bukan dihapuskan (ihmal) azab.

اَلعَذَاب - Azab, ditangguhkan -  اِمْهَال - bermakna tangguh  
اَلعَذَاب - Azab, bukan diabaikan, bukan dihilangkan, bukan ditiadakan - اِهْمَال - bermakna dihapus.

6.0] Allah sendiri yang menegaskan bahawa  اَجَلٌ مُسَمَّى  - waktu yang telah ditetapkan. Azab Allah didatangkan bukan kerana mereka minta disegerakan dan ditangguhkan pula bukan kerana mereka minta ditangguhkan. Azab Allah adalah sesuai dengan ajal yang telah Allah sendiri tetapkan. Jika azab belum tiba dan ajal belum sampai, maka azab pun belum diturunkan. Tiada sesiapa pun yang boleh menghalang apabila Allah berkehendak untuk menurunkannya. Rupa-rupanya  yang ada ajal, bukanlah hanya manusia tetapi azab pun ada ajal iaitu tempuh masa yang telah ditetapkan Allah untuk berlaku.

7.0] Kematian pun ada ajal. Orang yang minta mati pun tidak akan mati jika belum tiba ajalnya dan orang yang tidak mahu mati juga akan mati apabila sampai ajalnya. Ajal tidak boleh dipercepat atau diperlambatkan walau pun sesaat. Jika ketakutan kita terhadap mati dapat melambatkan kematian kita, eloklah takut mati, tetapi masalahnya samada kita takut mati atau tidak takut mati, tetap ajal itu akan berlaku kepada kita pada masanya yang telah Allah tetapkan. Oleh itu kita tidak perlu takut mati, sebaliknya perlulah sentiasa bersedia, berusaha mencari kebahagiaan, ketenangan jiwa, sakinah, tuma'ninah hati sebelum ajal tiba. Hati yang bersedia pasti tenang berbeza dengan hati yang takut untuk menghadapinya yang akan gelisah.

8.0] Sabda Nabi saw, "Orang yang bijak ialah yang mempersiapkan diri sebanyak-banyaknya untuk mencari bekalan untuk menghadapi kehidupan selepas matinya. Perbanyakkan ingatanmu terhadap penghancur, penghapus, pemusnah kenikmatan hidup dunia, iaitu mati". Bagaimana caranya? Apabila teringat mati, ketawamu akan terhenti, jalan-jalan cari makanmu berkurang selera, nikmat kepuasanmu melang-lang buana (melancung) semakin menyepi, seronok jumpa kawan, gelak-gelak, gerak-gerak, minum-minum makin terhenti. Hidup disibukkan untuk mencari bekalan sesudah mati. Bukan dengan takut mati tetapi dengan tidak berbuat apa-apa, kerana takut itu akan membuat diri semakin stress, tertekan dan lagi cepat menjemput mati. Itu kesilapan yang perlu dibaiki. Sementara diberi oleh Allah peluang untuk hidup, manafaatkanlah, sibukkan diri membuat persediaan dan andai persediaan diri mencukupi, kehidupan selepas mati akan menyeronokkan. Kebahagiaan sebenarnya ialah setelah mati, selagi tidak mati bagaimana dapat memasuki syurga Allah? Orang yang ingin masuk ke syurga tetapi tidak mahu mati, pasti hadapi depression, bingung. Oleh itu kena luruskan cara berfikir kita dengan melihat masalah agama sebagaimana agama menyuruh kita telitikannya.

9.0] Daripada Asy-Sya'rawi, dalam memahami surah Al-Anfal ayat 32 di atas, "Amat pelik sekali, seorang insan meminta agar segera disiksa, itu petanda ada masalah jiwa, sedangkan orang majnun sekali pun tahu takut". Itu penderhakaan dan pendustaan mereka yang amat sangat, mungkin lantaran semenjak datuk nenek mereka yang ingkar sehingga mereka sekarang pun ingkar namun tiada azab yang Allah timpakan kepada mereka. Walhal seperti yang Allah telah nyatakan di dalam Al-Quran bahawa azab itu ditangguhkan dan apabila tiba masanya akan menimpa secara tiba-tiba  tanpa mereka menyedarinya

10.0] Orang-orang kafir mula menghadapi azab Allah di dunia lagi dan dinamakan sebagai istidraj. Apabila ajal telah tiba, mereka akan hadapi  sakaratul-maut, iaitu masa perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh, malikul-maut akan melepuk-lepuk muka dan belakang mereka, sebelum masuk ke alam barzakh lagi sudah merasai siksa di dunia semasa ihtidhor.

اَلاِحْتِضَارُ - سَكَرَات - نَزَع

اَلاِحْتِضَارُ - proses kematian ketika seseorang berada dipersimpangan antara alam dunia dan alam barzakh, ketika jiwa dan nyawa hendak berpisah dengan jasad.

سَكَرَات - maknanya mabuk, hilang kesedaran diri, sakit dan setiap orang akan pasti merasai, tidak terkecuali mukmin atau pun kafir, bezanya mukmin merasa sekejap dan kafir lebih lama. Nabi saw bersabda, "Sesungguhnya kematian itu ada sakarat".

نَزَع - maknanya menarik atau mencabut dengan keras kerana mungkin banyak sekali tersangkut di dalam, ibarat menarik seratus mata kail daripada daging, kena direntap untuk keluar. Ini azab sakit tambahan  selain sakit sakarat dan hanya untuk orang-orang yang suul-khotimah. Adalah tidak sesuai jika kita guna istilah naza' untuk orang mukmin. Bacalah surah An-Naaziat ayat 1 dan 2:

Ini untuk orang-orang kafir. Malaikat maut mencabut nyawa mereka dengan keras dan mereka merasai naza'. Untuk suul-khotimah, ada ihtidhor, ada sakarat, ada naza' yang sangat menyakitkan. Diperlihatkan apa yang akan didapati di depannya yang penuh ngeri dan menyiksakan dan tidak ada sesuatu yang dibencinya lebih dari keadaan begitu.

Ini untuk orang-orang mukmin. Malaikat maut mencabut nyawa mereka dengan lemah-lembut, perlahan bak kata bagai menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Untuk husnul-khotimah, ada ihtidhor, ada sakarat, tetapi tiada naza'. Sakarat ada kesakitan tetapi sabda Nabi saw, "Apabila seseorang itu mendapat husnul-khotimah, sebelum memasuki ke alam barzakh, sebelum ia meninggalkan dunia, dia diperlihatkan tempat tinggalnya yang akan didapatinya di alam barzakh nanti dan tidak ada yang lebih disukainya melebihi apa yang sedang dilihatnya itu dan dia melangkah ke depan meninggalkan apa yang di belakangnya dengan hati yang seronok". Ibarat disuruh pindah dari setinggan ke bungalow, tentulah rasa seronok, tidak terasa lagi sakitnya.

11.0] Sabda Nabi saw lagi, "Sesiapa yang suka untuk berjumpa Allah, Allah akan suka untuk berjumpa dengannya. Sesiapa yang benci untuk berjumpa dengan Allah, Allah pun benci untuk berjumpa dengannya". Ketika Nabi saw bersabda inilah, Saidatina Aisyah r.anha bertanya, "Ya Rasul. kalaulah begitu, siapa yang suka berjumpa Allah kerana semua orang tidak suka mati dan takut mati? Nabi saw menjawab, "Bukan begitulah Aisyah, apabila orang mukmin merasa sakarat, Allah perlihatkan segala kebaikan, nikmat dan tidak ada yang lebih disukai oleh orang mukmin itu melebihi apa yang diperlihatkan kepadanya, seronok, dan dia pun ingin segera berjumpa Allah berbeza dengan orang kafir". Orang kafir diperlihatkan segala siksaan yang bakal diterimanya, dan seumpamanya dihalau dari bungalow untuk berpindah ke seting-garden (setinggan).

12.0] Ali bin Abi Talib pernah berkata apabila ditanya, "Wahai Amirul mukminin, apa punca orang takut untuk hadapi kematian, takut untuk berpindah ke alam barzakh, takut untuk tinggalkan dunia?" Jawab Ali, "Jika kamu bina rumah kamu di dunia jauh lebih megah dari rumah akhirat, kamu pasti takut, tetapi jika rumah akhiratmu lebih cantik dari rumah duniamu, tentu lebih mudah kamu berpindah".

13.0] Adapun tentang menta'khirkan (menangguhkan) azab, imhalul-azab, tidak diturunkan azab sekarang walau pun mereka minta, hatta kepada orang kafir sekali pun, sebenarnya terdapat banyak hikmahnya bagi umat Nabi Muhammad saw. Umat Nabi Musa as,  yang dilarang dari menangkap ikan pada hari sabtu dan apabila mereka melanggarinya, azab keatas mereka Allah segerakan dengan menjadikan mereka monyet. Mereka juga yang diingatkan agar tidak berbuat jahat tetapi ketika mereka berbuat jahat, mereka disambar petir. Begitu juga dengan kaum Nabi Luth as dan kaum nabi-nabi yang lain. Kaum Nabi Muhammad saw ditangguhkan azab kerana adanya hikmah yang berdasarkan Al-Quran:-

i) Allah tangguhkan untuk memberi peluang supaya mereka bertaubat. Banyak sekali di dalam Al-Quran Allah rangkaikan sifatNya yang Ghafur, Rahim, Ghafur, Halim. Atas dasar sifat Allah yang Ghafur, Rahim, dengan maghfirah (keampunanNya), orang terselamat dari api neraka, dan dengan rahmatNya orang akan mendapat pengampunan dan dapat masuk syurga. Bagaimana untuk pastikan diri terselamat dari api neraka? Allahu Ghafurur-Rahim, Allah Pengampun Penyayang, berusahalah untuk mendapatkan keampunan dari Allah atas segala dosa-dosa, bertaubat bersungguh-sungguh, dan apabila telah mendapat keampunan dari Allah, akan terselamatlah orang itu. Bagaimana untuk mendapatkan syurga? Keampunan Allah adalah bersama rahmatNya. Rujuk surah Al-Kahfi ayat 58;

Disebut dahulu bahawa, "Tuhanmu Maha Pengampun dan memberi rahmat (penuh kasih-sayang)", Tuhanmu tidak tergesa-gesa menyiksa mereka walaupun mereka telah banyak melakukan kesalahan sebab Tuhanmu itu Al-Ghafur, Ar-Rahmah". Oleh itu manafaatkanlah sifat Allah sebegini, bukan hanya setakat menangguhkan azab tetapi juga Allah bersifat penuh kasih-sayang.

14.0] Contohnya seumpama Allah berfirman, "Sebetulnya Aku berhak meminta balik pinjaman yang Aku pinjamkan kepadamu, tetapi sebab Aku baik-hati, pemurah, tolak-ansur, maka Aku tangguhkan, tangguhkan bukan bererti hapuskan". Janganlah pula orang yang diberi kesempatan sebegitu mengatakan bahawa Allah tidak kisah, kalaulah Allah ingin melakukan segera, Allah berkuasa, tetapi Allah Al-Ghafur Ar-Rahim.

15.0] Salah satu kesimpulannya ialah rangkaian sifat Allah SWT, dengan sifat Ghafur dan RahimNya, Allah lebih suka memasukkan hambaNya yang berdosa ke dalam syurga sebab taubatnya daripada mengazabnya dan memasukkannya ke dalam neraka kerana dosanya. Sebab itulah sebanyak mana pun dosa seseorang, sebesar mana pun maksiatnya, selagi ajal belum tiba, peluang untuk dapat memasuki syurga masih ada. Oleh itu berilah khabar gembira kepada orang yang berdosa sebagai motivasi supaya bertaubat untuk mendapat syurga Allah.

16.0] Kita hendaklah sedar bahawa kebanyakan penghuni syurga itu adalah orang-orang yang pernah berdosa (mantan pendosa) kecualilah para nabi. Maksudnya sebelum ajal datang menjemput, pendosa itu sudah berhenti dari melakukan kejahatannya, seperti menipu, berbohong, melakukan maksiat dan sebagainya. Rujuk surah Az-Zumar ayat 53;

Jangan putus-asa dari rahmat Allah, jangan putus-asa dari mencari keampunan Allah, jangan ditutup peluang. Jangan mengatakan kepada orang-orang berdosa seperti, "Syaitan pun pelik dengan awak, iblis pun kalah dengan awak, awak akan masuk neraka". Jangan  sekali-kali berkata begitu tetapi sampaikanlah surah Az-Zumar ayat 53 ini. Allah masih memanggil orang-orang yang berdosa dengan panggilan, "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas..". Panggilan tanda kasih Allah masih ada.

17.0] Ghafur dan Rahim Allah, apabila diberi peluang dan tidak dimanafaatkan oleh hambaNya sehingga mati, maka Allah akan tunjukkan sifat AdilNya di akhirat. Allah masukkan hambaNya ke dalam syurga dengan sifat Ghafur dan RahimNya, manakala Allah akan masukkan hambaNya ke dalam neraka kerana sifat AdilNya.

18.0] Hanya dengan sebab pengampunan dari Allah sahaja seseorang terselamat dari neraka. Ghafur adalah dari kalimah maghfirah, dengan sebab maghfirah orang terselamat dari neraka, dengan sebab rahmat Allah orang dapat masuk syurga. Apa doa yang kita baca ketika duduk diantara dua sujud? Doa itu dimulai dengan doa mohon ampunan dan rahman Allah, iaitu رَبِّ اغْفِرلِىْ وَارْحَمْنِىْ , yang bermaksud, "Wahai Tuhan, ampunilah aku, dan kasihanilah aku". Dua doa yang paling mustahak bagi seseorang hambaNya, manakala doa-doa yang selebihnya adalah doa tambahan.

       رَبِّ اغْفِرلِىْ وَارْحَمْنِىْ وَاجْبُرْنِى وَارْفَعْنِى وَارْزُقْنِى وَاهْدِنِى وَعَافِنِى  وَاعْفُعَنِّى
Yang bermaksud:-
"Wahai Tuhan, ampunilah aku, dan kasihanilah aku, dan cukupilah kekuranganku, dan angkatlah (darjat)ku, dan beri rezqilah aku, dan beri petunjuklah aku, dan sihatkanlah aku dan maafkanlah aku".

19.0] Apabila kita mendengar berita kematian, apa doa kita? Doanya pun ialah doa mohon ampun dan mohon rahmat untuk si mati.

       اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُعَنْهُ
Yang bermaksud:-
"Wahai Tuhan, ampunilah dia, dan kasihanilah dia, dan sejahterakanlah dia dan maafkanlah kesalahannya".

Doa yang paling penting untuk yang hidup dan yang mati ialah doa mohon ampunan dan doa mohon rahmat Allah. Apabila semua orang yang berdoa dengan dua doa diatas, iaitu doa mohon ampun dan doa mohon rahmat Allah dan apabila Allah qabulkan doa-doa itu, maka dimanakah tempat mereka semua? Tempat mereka adalah di syurga Allah. Ahli-ahli syurga kebanyakan adalah mantan pendosa yang telah bertaubat. Oleh itu janganlah berputus-asa. Jangan sekali-kali ada perkataan seperti,"Ah, saya sudah banyak buat dosa, tidak ada perintah Allah yang saya buat dan tidak ada larangan Allah yang saya tidak lakukan, saya pula tidak muda lagi, mana ada masa untuk bertaubat?" Jangan begitu, selagi ajal belum tiba, masih ada harapan, bagi harapan, samada kepada diri atau kepada orang lain yang berdosa. Itu cara untuk motivate orang yang berdosa. Jangan sekali-kali menghukum seberat-beratnya terhadap pendosa, masih ada peluang, manafaatkanlah. Allah itu zat yang wajib kita takuti, tetapi Allah juga zat yang lebih patut kita cintai. Menyembah Allah dengan perasaan takut atau menyembah Allah dengan perasaan cinta, mana satu yang lebih baik? Mana satu yang lebih tinggi maqamnya? Tentulah maqam cinta yang lebih patut, dan Allah pula menawarkan cintaNya kepada hambaNya hatta kepada penderhaka seperti tercatit di dalam surah Az-Zumar ayat 53 di atas. Itulah tujuan terbesar azab itu tidak segera disegerakan. Semasa hidup pun disuruh berdoa dengan doa mohon ampun dan mohon rahmat Allah begitu juga ketika meninggal dunia disuruh berdoa yang sama.

20.0] Tolong diubahkan kebiasan apabila mendengar berita kematian maka disambut dengan unjuran membaca Al-Faatihah. Tiada  unjuran untuk membaca surah Al-Faatihah tetapi sebaliknya diunjurkan supaya mendoakan dengan  اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُعَنْهُ . Jangan lagi berita kematian disambut dengan ucapan Al-Faatihah, kemudian berlarutan dengan berita tentang si mati yang menjadi bahan bualan. Orang yang meninggal, tidak kira siapa dan apa status sosialnya semasa hidupnya, adalah sama dihadapan Allah. Tidak boleh merasa berbeza dan tidak boleh ingin dibezakan. Doa yang sama dipohonkan kehadapan Allah, doa mohon ampun dan rahmat Allah. Kadang-kadang cara pengurusan jenazah pun diperhatikan konon itu memberi gambaran tentang keadaan si mati, seperti jika suatu jenazah yang diurus dalam musim banjir, yang hadapi banyak masalah sebab terpaksa dipikul di dalam hujan, basah, penutup jatuh, batu nisan dari batu biasa dan sebagainya berbanding dengan satu jenazah lain yang dihantar dengan bas pesiaran yang hebat, keranda pakai renda, batu nisan berbunga kristal dibuat dari marble yang diimport dari Italy dan sebagainya. Apa faedahnya untuk si mati?Tiada, tiada apa-apa faedahnya untuk si mati, itu hanya untuk kepuasan si hidup. Tetapi itulah yang biasa menjadi kebiasaan budaya kita padahal agama melarangnya. Di perkuburan jangan sampai ada nampak perbezaan jelas yang mengimbas status-sosial, nilai duniawi si mati sewaktu hidupnya kerana apabila bergelar jenazah semua adalah sama di depan Allah  dan  yang diminta oleh si jenazah ialah supaya dipohon keampunan Allah dan rahmat Allah baginya dan tidak yang lain.

21.0] Ghafur- Sifat Allah- Mengampunkan, melepaskan, merdekakan hambaNya dari neraka.
         Rahim- Sifat Allah- Memasukkan hambaNya  ke dalam syurga.

Dua doa diatas adalah yang sangat penting semasa hidup dan semasa mati seseorang hamba Allah. Di dalam Al-Quran tiada disebut kalimah Rahim dahulu daripada Ghafur. Jangan diterbalikkan kerana kita hambaNya perlulah mohon selamat, bebas dahulu daripada neraka dengan sifat Ghafur Allah kemudian barulah dapat memasuki syurga dengan sifat Rahim Allah. Apabila Allah tangguhkan ajal dan azab, jangan fikir semacam tiada apa-apa atau telah dihapuskan, tetapi ianya hanya imhal (ditangguh).

22.0] Firman Allah,"Wahai Muhammad, Tuhanmu zat yang Maha Menutup kesalahan hambanya semasa hambaNya berdosa". Makna asal Ghafur, ialah menutup. Contohnya kepala yang luka ditutup dengan kain pembalut yang dipanggil ghifarah. Allah Menutup sehingga tiada orang yang nampak atau tahu dosa orang lain. Salafussoleh berkata, "Jika dosa itu mengeluarkan aroma, tidak ada orang yang akan mendekati ku". Walaupun orang yang berbuat dosa dan maksiat, namun orang lain tidak nampak akan dosanya. Allah Ghafur, Allah menutupi dosa-dosa hambaNya dan itu pun adalah satu rahmat Allah yang besar. Janganlah hanya berpuas-hati dengan Allah hanya menutup kesalahan kita, rugi sangatlah rugi, tetapi hendaklah berusaha supaya dapat dihapuskan Allah dosa-dosa itu. Berdoalah supaya Allah hapuskan dan padamkan segala kesalahan kita. Moga Allah maafkan kita.

23.0] Orang yang membuat maksiat, maksiatnya tidak nampak sepertilah dengan jin dan malaikat yang tidak nampak dimata kita manusia dan boleh menjelma dengan izin Allah. Samalah dengan amal kita yang  tidak nampak sekarang tetapi di alam barzakh nanti akan dinampakkan. Andaikan dosa-dosa kita dijelmakan Allah sekarang dan mengikuti kita kemana sahaja, tentulah buruk, hodoh dan jijik diri kita. Selama ini Allah tutupi, tetapi janganlah hanya merasa puas dengan sebab ditutupi Allah tetapi manafaatkanlah peluang yang masih ada sebelum ajal menjemput kita, untuk beristighfar, bertaubat dan berdoa mohon keampunan, kemaafan dan rahmat daripada Allah.

24.0] Berdoa jangan laju-laju. Meminta dengan sesama manusia pun adalah tidak bersopan jika dengan cara gopoh-gapah dan laju-laju. Berdoa kepada Allah, berceritalah dan mengadulah kepada Allah dengan lemah-lembut, perlahan dan penuh perasaan. Untuk mendoakan kawan juga, atau ketika respon kepada berita kematian, perlulah dengan hati yang ikhlas. Tulis doa itu sendiri dengan makna dan inti doa dihati yang ikhlas. Tangan menulis, hati mendoakan atau jika di copy and paste pun, sebelum menghantarnya, bacakan dan doakan dengan hati dahulu. Allah tidak kabulkan doa yang di CnP tanpa makna, tanpa nilai dihati. Atau pun tidak payah dihantar pun tidak mengapa asalkan doanya di hati yang ikhlas dari jauh.

25.0] Marilah kita memanafaatkan waktu yang masih ada buat diri kita semua. Penangguhan dari Allah (imhal) itu kita jadikan peluang untuk mencari redho Allah, memohon keampunan, kemaafan dan rahmat Allah. Mudah-mudahan kita semua diberkati Allah dengan tadayyun (keber-agama-an) kita yang lurus. Moga bermanafaat dan diberkati Allah.











Tuesday, November 22, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 52) Kuliah 51- Tabshir, Inzar, Takzib, Ingkar, Tabligh

1.0] Sebelum kuliah bermula, kami diajak untuk bersama-sama mendoakan bagi kesejahteraan anak kepada seorang jemaah yang sedang diuji Allah dengan penyakit bahaya. Kami diingatkan bahawa inti doa adalah gabungan izhaarud dhu'fi (menzahirkan kelemahan diri) dihadapan Allah, syiddatul iftiqar (bersangatan berharap kepada Allah) dan Inqitoo'urrajaa'i ila ghairillah (putus harapan kepada selain Allah). Kita hendaklah menyedari ketidak berdayaan diri untuk mendapatkan apa yang kita kehendaki tanpa pertolongan dan bantuanNya. Inilah syarat pertama bagi seseorang hamba ketika memohon dan berdoa kepda Allah.

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 52;


Berkenaan ayat ini, daripada Dr. Mustafa Al- Marowi di dalam tafsir Al-Marowi, beliau menyatakan bahawa Allah berfirman kepada Nabi saw supaya mengatakan bahawa, "Cukuplah Allah yang Maha Mengetahui menjadi saksi apa yang datang dariku samada yang berupa khabar gembira (tabshir) atau peringatan (inzar) dan cukuplah Allah Mengetahui apa yang datang dari kamu (orang kafir) yang berupa pendustaan (takzib) dan pengingkaran (ingkar) terhadap dakwahku dan aku telah menyampaikan (tabligh) kepada kamu dan cukuplah Allah yang akan memberi balasan tiap-tiap kita. Aku akan diberi balasan sesuai dengan perbuatanku iaitu tabligh dan inzar dan kamu juga akan diberi balasan yang sesuai dengan perbuatanmu iaitu takzib dan ingkar. Dan jika sekiranya aku berkata bohong, jika apa yang aku sampaikan itu benda yang batil (yang salah), yang hanya rekaanku, yang tiada nilai, maka cukuplah Allah yang akan menimpakan keatasku balasan siksa sebagaimana Allah telah beri peringatan yang keras kepadaku di dalam surah Al-Haqqah ayat 44-47". Rujuk surah Al-Haqqah ayat 44-47;






Ternyata keras sekali peringatan daripada Allah kepada Nabi kesayanganNya, jika NabiNya itu melakukan kezaliman dalam berdakwah.

3.0] Di dalam surah Al-Ankabut ayat 52 di atas, bahagian yang pertama, Allah menyuruh Nabi saw menyampaikan keadilan kepada kaumnya, iaitu memberitahu bahawa memadailah Allah sebagai saksi, siapa yang benar dan siapa yang salah, siapa yang jujur dan siapa yang bohong, siapa yang berhak mendapat pahala dan siapa yang berhak mendapat dosa, dan jika apa yang Nabi saw sampaikan itu adalah batil atau rekaan, biarlah Allah yang membalasnya.

4.0] Allah telah memberi peringatan yang sangat keras kepada Nabi saw, Firman Allah,"Jika NabiKu, kekasihKu Muhammad berani mereka-reka ucapan bohong keatasKu, lalu diselitkan ke dalam firmanKu yang Suci dan dia mendakwa itu firmanKu walhal itu ucapan dia, pasti Aku akan siksa dia dengan segala keKuatanKu dan tidak ada seorang pun yang dapat menghalangi siksaKu daripada menimpanya".

5.0] Sabda Nabi saw lagi, "Jika aku menyampaikan yang bohong, Allah Mengetahui, dan aku pun akan disiksa oleh Allah dengan siksaan yang dahsyat, dan jika aku menyampaikan yang benar pun Allah mengetahui dan akan dibalasi aku dengan ganjaran. Tetapi apa yang aku sampaikan ini adalah kebenaran, maka Allah beri kepada ku kekuatan dengan mu'jizat, seperti Al-Quran, iaitu tanda dan bukti risalah dan juga dalil-dalil qot'i bahawa apa yang aku bawa adalah datangnya daripada Allah". Demikianlah kata Imam Al-Marowi di dalam tafsirnya.


6.0] Sabda Nabi saw lagi, " Siapakah Allah yang SifatNya   يَعْلَمُ مَا فِى السَّمَاوَاتِ وَالاَرْضِ - Dia Mengetahui apa yang di langit-langit dan di bumi? Termasuklah Dia Mengetahui segala keadaanku dan keadaan kamu, niatku dan niat kamu, perangaiku dan perangai kamu. Apa yang ditunjuk, apa yang disuruh, termasuklah tuduhan kamu bahawa Al-Quran itu karangan, tulisan dan rekaanku. Allah Maha Mengetahui niat dan tujuan kamu, kamu mendustainya dan mengingkarinya. Sedangkan Al-Quran adalah hujah yang nyata, sehingga kamu tidak mampu untuk menolaknya. Orang-orang seperti kamu adalah orang-orang yang percaya kepada kebatilan, kamu kufur kepada Allah dan adalah kamu menjadi orang-orang yang rugi (khoosirun). Ketika kebenaran telah dibuktikan, dijelaskan dengan dalil yang nyata, lalu jika menolaknya juga, maka penolakan itu Allah lihat dan akan Allah beri balasan"

7.0] Orang-orang yang menolak kebenaran terbahagi kepada 2 iaitu;

i) Orang yang tidak menerima kebenaran kerana tidak tahu atau belum tahu tentang kebenaran itu. Contohnya, apabila kita mengatakan kepada mereka, "Kamu akan ditanya di akhirat, kamu akan masuk neraka kerana kamu kafir, kerana kamu menolak kebenaran". Jika mereka menjawab,"Apa itu kafir? menolak kebenaran? kebenaran yang mana?. Maka ada pendapat yang kuat mengatakan bahawa orang-orang seperti itu belum boleh dipanggil sebagai orang kafir.

[Nota; Kafir itu asal dari kata akar kafara yang bermakna mengorek lubang dan menimbuskan kembali]

ii) Orang yang telah disampaikan kebenaran, hati kecilnya menyakini dan mengakui adanya Allah dan benarnya kerasulan dan wahyu tetapi sengaja ditutupinya. Contohnya seperti Namruz ketika berdebat dengan Nabi Ibrahim as, dia menundukkan kepala ketika diminta supaya dia bertanya kepada berhala-berhalanya. Dia mengakui bahawa berhala-berhala sembahannya tidak dapat bercakap apa lagi untuk memberi manafaat. Hatinya mengakui kebenaran ajaran Nabi Ibrahim as dan mengakui kesilapan dan kesesatannya tetapi dia tetap menutupi kebenaran hati kecilnya malahan mengarahkan tenteranya menangkap dan membakar Nabi Ibrahim as. Orang yang telah disampaikan kebenaran, dengan bukti nyata dan dalil yang jelas, hujah yang nyata. Hati kecilnya menerima  tetapi dia tetap menolak, menutup dan mendustakannya. Inilah yang dipanggil kafir sepertimana yang terdapat di dalam ayat 52 ini.

8.0] Sabda Nabi saw lagi, "Tugas aku adalah tabligh. Tidak ada yang Allah suruh aku sampaikan melainkan telah aku sampaikan". Menyampaikan apa yang Allah suruh sampaikan itu adalah wajib. Allah SWT Maha Adil. Rujuk surah Al-Isra ayat 15;

Allah tidak akan menyeksa sesuatu kaum sehingga Dia mengutuskan seorang rasul kepada mereka. Selagi belum sampai risalah Allah kepada mereka, jika ada kesalahan dalam pandangan Allah sekali pun, tidak dikira salah kerana belum ada penjelasan, yang bermakna belum ada utusan Allah kepada mereka.

8.0] Sekarang pertanyaannya, "Mungkinkah di planet bumi (green planet) ini, ada puak manusia, dalam sejarah kemanusiaan yang belum ada utusan Allah diutus kepada mereka, disepanjang hayat kehidupan mereka untuk menjelaskan tentang keEsaan Allah? yang menyebabkan mereka menyembah berbagai tuhan lain?". Mungkin atau tidak mungkin? Majoriti jemaah menjawab mungkin. Berhati-hati!, jangan cepat untuk menjawab melainkan selalulah mencari panduan jawapan di dalam Al-Quran, buku panduan kehidupan kita. Rujuk surah Al-Faatir ayat 24;

Oleh sebab itu, jawapannya ialah tidak mungkin ada umat manusia yang menjadi penghuni planet bumi ini dari ribuan tahun dahulu sehingga kehari ini, yang tidak pernah sampai risalah tauhid kepada mereka. Walaupun umpamanya bagi yang menghuni Hutan Belantara Amazona, semuanya pun pernah ada seseorang (seorang nazir) yang mengajar mereka tentang keEsaan Allah.Tetapi jika ditanya siapa namanya nazir itu? Kita tidak tahu kerana tiada diberitahu Allah di dalam Al-Quran. Rujuk pula surah Ghafir (surah Al-Mu'min) ayat 78 untuk mendapatkan jawapannya.

Beginilah caranya mencari jawapan dengan bimbingan Al-Quran yang bersifat objektif. Ternyatalah bahawa Allah tidak menceritakan semuanya tentang nazir-nazirNya (iaitu seseorang yang memberi peringatan kepada manusia) walaupun kepada Nabi saw. Oleh itu apabila Nabi saw pun ada yang tidak tahu, apa lagilah kita umatnya tidak tahu siapalah nazir-nazir utusan Allah keserata pelusuk bumi umpamanya nazir di Benua Cina. Apabila setiap insan yang pernah hidup di dunia ini, pernah di datangi nazir, maka pasti ada pertanggung-jawaban, dan inzar (peringatan) yang paling utama daripada Rasul kepada umatnya ialah tentang Tauhid ( mengEsakan Allah).

9.0] Daripada Dr. Hamka, "Jika ada orang yang berada dihutan belantara dan mengatakan bahawa ada Tuhan Yang Esa, asalkan hati mereka ada keyakinan tentang keEsaan Allah, walaupun mereka tidak tahu namanya sebagai Allah, mati mereka juga adalah sebagai muwahid dan pasti ada bagi mereka itu nazir.".

10.0] Peringatan untuk kita sebelum membuat sesuatu kesimpulan ialah bahawasanya perlulah membaca dan mengkaji banyak ayat-ayat Al-Quran. Jangan tergesa-gesa berfatwa. Cari dahulu ayat-ayat yang berkenaan  (relavant), tempatkan ayat-ayat itu pada posisi yang tepat, cara yang relatif, susun sempurna ibarat tafsir secara puzzle Al-Quran. Apabila susunannya tepat pada kedudukan yang sepatutnya, maka akan nampaklah gambaran keseluruhannya yang sebenar. Jika sekeping saja pun gambar puzzle itu telah tersilap letak, kita tidak mendapat gambarannya yang tepat. Ini dipanggil tafsir Maudhu'i iaitu dengan mengambil kira lebih dari satu ayat, mengumpul sebanyak mungkin ayat berkaitan, kemudian disusun dengan kelebihan ilmu pentafsir. Contohnya jika berkaitan dengan tartibul nuzul, kenalah tahu ayat mana yang turun dahulu dan yang mana turun kemudian. Jangan segera mengeluarkan hukum, jangan terlalu sembrono. Sedangkan memahami undang-undang pun tidak boleh dibuat dengan mudah. Mungkin perlu belajar 4-8 tahun, walhal itu undang-undang manusia dengan bahasa kita sendiri. Yang pelik, jika membuat kesimpulan dari terjemahannya, lalu apa yang difahami terus di C n P dan terus diforwardkan. Anda bertanggungjawab dihadapan Allah apabila menimbulkan kekeliruan kepada umat walaupun dengan niat dakwah. Oleh itu pastikan dahulu, tabayyun dahulu, selidiki dahulu.

11.0] Orang kafir yang kufur kepada Allah setelah diberi dalil-dalil dan peringatan adalah benar-benar kafir yang menutupi. Orang yang belum mahu menerima kebenaran kerana belum diberitahu, maka sampaikanlah dahulu dakwah dengan sebaiknya kepada mereka. Sekarang Nabi saw sudah tidak ada, maka kitalah sebagai pewarisnya, berbanding dengan umat dahulu yang ada nazir masing-masing. "Allah panggil nazir (bukan nabi atau rasul) kepada penyampai iaitu (orang yang mengajar tentang Allah SWT)", dan ini adalah kata-kata daripada Al-Marowi.

12.0] Daripada Ar-Rozi, Firman Allah SWT itu bermaksud," Tatkala telah menjadi nyata risalah yang telah disampaikan oleh Nabi dan telah jelas dalil-dalil kebenaran, sedangkan mereka tetap tidak mahu beriman, samada orang kafir atau ahli kitab, bahkan mereka mendakwa bahawa apa yang mereka katakan itu benar dan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw itu adalah bohong, maka Allah Maha Mengetahui dan Maha Menyaksikan kebenaran Nabi dan kebohongan mereka". Kebenaran dikatakan bohong tetapi kebatilan dikatakan benar. Itulah ada peribahasa Arab mengatakan, " Orang yang tidak tahu dan dia tidak tahu dia tidak tahu, bahkan dia menuduh orang yang tahu itu tidak tahu, itu orang bodoh, jahil. Jahil murokab (jahil ganda dua)".

13.0] Apa yang Nabi saw katakan itu kebenaran sebab Nabi saw itu sodiq, tetapi mereka katakan bahawa Nabi saw itu bohong, itu bodoh - jahilnya mereka. Ditambah pula kejahilan mereka yang percaya bahawa keyakinan mereka itulah yang benar, itulah jahil bergandanya mereka. Allah menyuruh Nabi saw berkata kepada mereka, "Cukuplah Allah menyaksikan bahawa aku benar dan keyakinanmu bohong. Apa yang aku sampaikan adalah hak dan apa yang kamu percaya itu batil". Ini adalah inzar yang sangat kuat kepada mereka lantaran Allah itu Mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi.

14.0]  Allah -يَعْلَمُ مَا فِى السَّمَاوَاتِ وَالاَرْض  -  seperti yang terdapat di dalam surah Al-Ankabut ayat 52 di atas, bandingkan dengan surah Ar-Ra'du ayat 43;

Berpandukan ayat ini, orang kafir tidak percaya kepada Nabi saw, mereka mengatakan  لَسْتَ مُرْسَلًا - "Kamu bukan utusan Allah". Allah menyuruh Nabi saw menjawab bahawa, " Cukuplah Allah menjadi saksi antara aku dan kamu". Allah menjadi saksi pertama (yang disebut dahulu) dan yang menjadi saksi (yang kedua) ialah sebahagian ahli kitab yang jujur (yang disebut kemudian). Sekarang bandingkan dengan surah Al-Ankabut ayat 52 yang sedang kita pelajari di atas, dimana Allah juga disebut dahulu sebagai saksi antara Nabi saw dan ahli kitab. Bandingkan pula dengan surah Al-Ankabut ayat 47 yang telah kita pelajari, dimana kesaksian ahli kitab pula yang disebut dahulu berbanding kesaksian sebahagian orang kafir musyrik Mekah dan tidaklah ingkar kecuali orang-orang kafir. Ini menunjukkan yang membenarkan risalah Nabi saw, yang memberikan kesaksian tentang kebenaran rusulullah, Nabi saw ialah Allah dan ahli kitab. Kenapa ada takdim (dahulu) dan ta'khir (kemudian)? Ini berbeza kerana di dalam  surah A-Ra'du ayat 43 ia berbicara dalam konteks berbicara dengan orang kafir musyrik, sebab itulah kesaksian Allah disebut dahulu (yang aqwa- yang lebih kuat kesaksiannya) daripada kesaksian ahli kitab, sedangkan di dalam ayat surah Al-Ankabut ayat 52 ini, perbicaraan ialah dengan ahli kitab bukan dengan orang kafir musyrik.

15.0] Walau pun tajuk perbincangannya sama, iaitu tentang kerasulan Nabi Muhammad saw, tetapi orang yang diajak berbicaranya berbeza. Di dalam surah Ar-Ra'du ayat 43, mukhotobnya (lawan bicaranya) ialah orang kafir musyrik yang menafikan kerasulan Nabi saw, maka Allah menyebut kesaksian Allah yang lebih kuat dahulu kemudian baru disebut kesaksian ahli kitab. Manakala di dalam surah Al-Ankabut ayat 52 pula, masih bicara yang sama iaitu tentang kerasulan Nabi saw, tetapi yang menolaknya ialah ahli kitab yang mana ada di antara mereka yang percaya. Kalau kita halusi, ketika Al-Quran menyampaikan khitob yang sama tetapi kepada mukhotob berbeza maka gaya bahasa Al-Quran pun berbeza. Di situlah ada nilai balaghah yang tinggi di dalam Al-Quran. Mustahil Nabi saw yang mengarangnya, dengan dapat menukar gaya bahasa yang tiba-tiba, disesuaikan dengan siapa mukhotobnya. Itu rahsianya Al-Quran dari sudut balaghah. Balaghah itu apa? Paling tidak untuk memberi gambaran bahawa banyak lagi yang kita belum tahu. Minimumnya jika kita rasakan timbul ada keinginan untuk tahu yang belum kita tahu, itu pun sudah cukup baik.

16.0] Hikmah mengutarakan sesuatu yang berat untuk difahami ialah supaya pelajar sedar bahawa masih banyak yang perlu dipelajari, masih banyak yang belum diketahui. Pensyarah yang pandai menarik pelajarnya untuk menimbulkan semangat terus menggali ilmu, memberi motivasi dengan mendedahkan diri kepada mentaliti sarjana, menceritakan yang tinggi-tinggi kepada pelajarnya, sehingga pelajarnya ada yang berkerut-kerut dahi memikirkannya dan itu adalah supaya dapat mencontohi Imam Syafie rahimatullah yang hebat. Imam Syafie rahimatullah yang setiap kali membaca Al-Quran walaupun membaca ayat yang sama, tetapi masih merasa tidak tahu dan merasa betapa banyak lagi yang belum dia tahu. Itulah mentaliti sarjana.

17.0] Memang tidak mudah untuk mendidik atau mengajar atau belajar. Jangan menghadkan ilmu yang dipelajari. Jangan mudah merasa puas dan cukup dengan ilmu atau subjek yang diperlukan untuk menghadapi peperiksaan semata-mata. Itu sangat merugikan. Rebut peluang yang ada, cari sendiri ilmu yang sangat banyak walaupun ilmu yang diluar ikhtisas peperiksaan kita.

18.0] Cabaran bagi seseorang penyarah atau pengajar ialah untuk membuat penampilan pertama ketika berdepan dengan pelajar yang belum dikenalpasti ketahapan ilmu mereka. Pengajar atau guru kenalah pandai mencari cara atau set induksi untuk memberi first- impression yang berkesan kepada pelajarnya. Itulah saikologi pendidikan. Jika tidak maka pelajar akan merasa gurunya biasa-biasa sahaja dan mungkin hilang motivasi untuk sesi-sesi pembelajaran yang seterusnya. Pengajar atau guru perlu bijak menilai pelajar atau pendengar sasarannya, yang mempunyai kepelbagaian tahap pemikiran dan ilmu. Jika pelajar atau pendengar sasarannya adalah terdiri daripada orang besar-besar, orang-orang yang berilmu, maka perlulah pengajarnya pun berilmu tinggi dan bercakap yang bernilai.

19.0] Pengajar atau penceramah yang paling penting ialah khatib yang terpaksa menyediakan teks ucapan khutbah yang paling susah kerana terpaksa memikirkan kesesuaian dengan tahap ilmu pendengar yang berbeza, masyarakat majmuk yang masalahnya pun majmuk. Dr. Hamka pernah menyuarakan isi-hatinya apabila ditanya apa yang menyulitkan baginya. Jawabnya ialah untuk memikirkan isi  khutbah yang efektif setiap minggu bagi masyarakat metropolitan yang berbeza latar-belakang dan pendidikan. Kerana itu adalah usrah mingguan yang paling ramai dihadiri orang walaupun tanpa dijemput, tanpa makanan. Isi khutbah yang mesti mampu memberi makna, dapat diterima dan mencakupi keperluan semua orang, pendengar sasarannya. Oleh itu jika khatib kurang bijak, maka kurang dapat memanafaatkan dengan sebaik-baiknya masa berharga itu dan itu adalah rugi merugikan. Contohnya teks kuliah ini, hanya sesuai dibaca dan dibentang di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar, tetapi tidak sesuai untuk dibaca di surau-surau kecil di ulu-ulu sana. Contoh lain ialah umpamanya memasak untuk dimakan oleh 10 orang yang seleranya sama, tiadalah masalahnya berbanding dengan memasak untuk 2,000 orang yang seleranya berlainan. Tentu susah untuk dapat memasakkan satu masakan yang semua orang suka.

20.0] Tentang penggunaan kalimah berbeza di dalam ayat 52 surah Al-Ankabut diatas:

Kalimah  اُولآءِكَ هٌمُ الْخَاسِرُونَ  -  mereka itu merekalah orang-orang yang rugi.

i) اُولآءِكَ  -  mereka itu - jama' dari  ذَالِكَ  - isyarat jauh, kerana merujuk kepada orang-orang yang jauh daripada keberuntungan dan rahmat Allah.

ii) Ditambah pula dengan dhomir (kataganti) هٌمُ (mereka) - itu sebagai penguat. Jika tiada هٌمُ pun sudah betul dari segi tatabahasanya.

iii) Kemudian penguat yang kedua ialah  اَلْ   dalam الْخَاسِرُونَ  - خَاسِرُونَ - jika tiada  اَلْ pun dari segi bahasa sudah betul.

iv) Penguat ketiga ialah isim faa'il - خَاسِرُ - sifat yang lazim, yang tetap.

Dengan adanya gabungan penggunaan kalimah diatas menjadikan makna ayat yang kuat.

  اُولآءِكَ هٌمُ الْخَاسِرُونَ - bermakna orang-orang itu ialah orang-orang yang jauh dari kebenaran itu. Merekalah sebesar-besar yang rugi dan bukan orang lain. Orang yang percaya kepada kebatilan dan kufur kepada Allah, itulah yang benar-benar rugi. Di sini ada Al-Hashru (pembatasan, had). Jika ditanya, siapa yang rugi? jawabnya اُولآءِكَ . Siapa yang benar-benar rugi? jawabnya اُولآءِكَ. Siapa yang kerugiannya paling maksima? jawabnya اُولآءِكَ. Lebih malang lagi ayat ini kerana tajuk perbincangannya ialah tentang kerasulan Nabi saw dan orang yang dilawan bercakap ialah ahli kitab yang sepatutnya mereka beriman dan sepatutnya menjadi orang yang mula-mula beriman tetapi sebaliknya mereka menjadi orang yang mula-mula kufur. Orang yang sudah ada maklumat, orang yang telah disampaikan hujah akan kebenaran, kemudian memilih untuk menolak kebenaran, maka kerugiannya sangatlah besar berbanding dengan orang yang belum menerima kebenaran kerana belum diberitahu. Ini yang di maksudkan dengan orang-orang yang sesat, ضَالِّينَ . Dia tahu kebenaran, dia tahu kebatilan tetapi dia memilih yang batil daripada yang hak, خَاسِرُونَ . Cerita dari ayat-ayat di atas ialah tentang 2 jenis kufur iaitu orang yang kafir musyrik dan kafir kitabi. Ceritanya saling berganti dan nanti di surah Al-Ankabut ayat 53 ialah tentang kafir musyrik pula. Wallahu 'a'lam.


















Tuesday, November 15, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 51) Kuliah 50- Istilah اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ - Apakah tidak cukup bagi mereka? Istifham

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 51;

Surah Al-Ankabut ayat 51 ini masih ada hubungan dengan ayat-ayat yang sebelumnya. Apabila diimbas kembali:
Ayat 46- Allah membenarkan berdebat (bermujaadalah) dengan ahli kitab dengan cara yang baik.
Ayat 47- Sebagai bukti nyata penurunan Al-Quran setelah turunnya kitab Taurat dan Injil dan ada dikalangan ahli kitab dan orang kafir Mekah yang mempercayainya.
Ayat 48- Penolakan terhadap tuduhan bahawa Al-Quran rekaan Nabi saw, sedangkan Al-Quran adalah firman Allah kerana Nabi saw tidak pandai menulis-membaca dan tidak pernah mempelajari kitab sebelumnya.
Ayat 49- Al-Quran adalah ayat-ayat yang jelas nyata tersimpan di dalam hati orang yang berilmu dan hanya orang yang zalim sahaja yang menolaknya.
Ayat 50- Mereka masih tidak puas hati kerana mereka gagal menafikan kerasulan Nabi saw dan kebenaran Al-Quran. Mereka timbulkan syubuhat lain dengan  mengutarakan bahawa kenapa tidak diturunkan mukjizat kepada Nabi saw  seperti nabi-nabi sebelumnya.
Ayat 51- Kalimah soalan اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ (apakah tidak cukup bagi mereka..) merupakan soalan atau teguran dari Allah yang telah menurunkan Al-Quran yang dibacakan kepada mereka. Ini adalah sambungan dari ayat sebelumnya yang meragui kebenaran Al-Quran padahal tidak ada 1 ayat atau 1 huruf yang Nabi saw sembunyikan, semuanya Nabi saw telah sampaikan kepada mereka.

2.0] Sababun nuzul ayat ini:
Sebagaimana yang telah dikutip oleh ramai ulama tafsir termasuklah oleh Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam tafsir Al-Munir, dikeluarkan oleh Ibnu Jarir, Abu Daud, Ibnu Abu Hatim, Ad-Darimi dalam kitab Musnadnya, daripada Yahya bin Ja'dah, dia berkata,"Telah datang satu kumpulan orang muslim dengan membawa kitab yang mereka tulis atau karang sendiri, tetapi di dalam kitab yang mereka karang itu ada di dalamnya sebahagian dari apa yang mereka dengar dari kitab Yahudi, mereka kutip ( copy and paste)". Lalu turunlah ayat ini yang menunjukkan Allah sendiri telah campurtangan. Hasil ciplak  pada zaman kita sekarang mungkin kita pandang kecil dan remah tetapi tentang agama, ia tidak perkara kecil malahan memberi akibat yang besar.

3.0] Contohnya dalam keadaan di atas, Allah campur tangan dengan mengarahkan Jibril membawa turun ayat 51 ini. Kita tidak boleh merasa bangga dengan mengutip pendapat orang lain. Apabila Al-Quran dan Al-Hadith sudah ada, dahulukanlah kedua-dua sumber  hikmah ini. Jangan kutip dahulu dari sumber luar kemudian baru cari justifikasi dari Al-Quran dan Hadith, itu terbalik jadinya.

4.0] Cuba kalaulah buku-buku yang ada sekarang ini diperlihatkan kepada Nabi saw? Terlalu banyak buku-buku yang terhasil dari berbagai sumber yang tidak pasti kesahihannya. Sedangkan  pada masa itu cuma ada 1 buku yang ada ditiru daripada Yahudi pun Allah sudah campurtangan. Allah berfirman, "اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ ", "Apakah tidak cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Kitab Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Itu semacam teguran dari Allah. Di dalam Arabia gramatica (Al-Qawaid Al-Arabia) ia adalah Istifham taqriiri, maksudnya, mutakallim (orang pertama- orang yang bercakap- di sini ialah Allah), meminta pengakuan daripada kita mukhottob (orang yang kedua- yang ditujukan percakapannya). Seolah Allah berkata, "Aku mahu kamu mengakui bahawa Al-Quran yang Aku telah turunkan itu telah cukup, sepatutnya tidak perlu lagi kamu ceduk sana ceduk sini atau mencari dari sumber lain lagi". Kita pula sepatutnya menjawab, "Ya Robb, kami telah merasa cukup".

[Nota: Berkaitan dengan hal permasalahan agama, adalah sudah mencukupi apa yang ada di dalam Al-Quran. Contohnya tentang cerita Zulkarnain, Ashabul Kahfi, Musa as dan Khidir, tentang Ruh, tentang punca anak Adam membunuh saudaranya dan sebagainya, sepatutnya kita sudah merasa cukup dengan apa yang telah diceritakan di dalam Al-Quran. Jangan dicari-cari lagi cerita dari Yahudi, nanti ceritanya jadi lari, berlainan dari yang sebenarnya.]

5.0] Asy-Syed Rashid Reda iaitu murid kepada Syed Muhammad Abduh dalam tafsir Al-Mana, beliau menyatakan, "Jika sekiranya bukan kerana Yahudi telah menceritakan tentang Adam as, nescaya kefahaman orang mukmin tentang Adam as itu telah betul, tetapi kerana sebelum Al-Quran turun, Yahudi telah ada cerita sendiri tentang Adam as, maka telah terjadi kesilapan fakta". Contohnya di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 35, hanya disebut  اَلشَّجَرَة - pohon ini, Adam as dilarang, "Dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kelak kamu akan termasuk golongan orang-orang yang zalim". Tetapi dikatakan (terbit cerita) tentang Al-Khuldi (buah khuldi) iaitu yang iblis beri nama. Dari situlah terbit tentang cerita Adam's Apple. Dikatakan Adam as termakan pujukan Hawa untuk memakan buah itu, sekali gigit, mereka disingkir keluar dari syurga. Adam as menyesal dan berkata, "Kalaulah aku tahu pasangan yang diberikan kepadaku inilah yang menyebabkan aku disingkirkan dari syurga, tidak ingin aku". Akhirnya mereka simpulkan bahawa Adam as disingkirkan dari syurga kerana perempuan. Semacam ada rancangan terancang yang rapi untuk discredit (merosakkan nama baik) wanita. Apabila turun ke bumi, anak-anak Adam as juga berbunuhan kerana wanita. Discredit lagi untuk wanita. Adalah sangat bahaya tentang kepercayaan cerita yang pelik-pelik ini.

6.0] Sebenarnya kita mestilah berpandukan Al-Quran dalam setiap cara kehidupan kita. Contohnya untuk memotivasikan anak supaya berjaya, kita perlu didik anak supaya mengambil motivasi dari Al-Quran. Supaya anak punyai potensi syukur. Contohnya beritahu anak, "Nak, tengok ayat Al-Quran ini yang menyatakan bahawa kamu tidak diberi balasan kecuali apa yang kamu usahakan. Tahun lepas kamu kurang usaha, sebab itu kurang berjaya. Tahun ini kamu lebih usaha, kamu telah lebih berjaya, dan in syaa Allah kamu akan lebih berjaya ditahun hadapan dengan lebihnya usaha kamu lagi". Bila itu yang kita berikan kepada anak, akan timbullah rangsangan syukurnya, tawadduknya. Jauhi rangsangan ujubnya, menyogoknya dengan kata-kata seperti,"Tengok nak, mak bangga dengan kamu. Nama kamu tersiar di dalam akhbar arus perdana kerana berjaya cemerlang". Potensi ujubnya meningkat, Kita sering salah, mendidik anak jadi bangga diri walaupun baru berjaya  diperingkat sukan tadika.

7.0] Kalimah " اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ "- dalam fi'il mudhori' - perbuatan yang sedang dan akan berlaku- present tense- yang bermaksud "Apakah tidak cukup bagi mereka". Ia merupakan suatu soalan atau pertanyaan (istifham). Istifham ini pula terbahagi kepada 3 jenis, iaitu istifham taqriiri, istifham ta'ajjubi dan istifham inkaari . Istifham mempunyai erti permintaan penjelasan. Akar katanya ialah fahima yang bererti faham, mengerti , jelas.

3 jenis istifham;
i) Istifham taqriiri- iaitu suatu pernyataan yang membawa seseorang kepada kepastian. Contoh dalam ayat 51 di atas ialah Allah meminta pengakuan dari kita sebagai mukhotob (lawan bicaranya), bahawa adakah tidak cukup lagi segala isi dari Al-Quran?

ii) Istifham ta'ajjubi- iaitu suatu pernyataan yang membawa makna merasa heran atau pelik. Contoh dalam ayat 51 di atas ialah Allah (mutakallim) yang berkata, merasa heran dengan sikap kita sebagai mukhotob (lawan bicaranya) yang tidak cukup dengan segala isi Al-Quran sehingga mencari selainnya.

iii) Istifham inkaari- iaitu suatu pernyataan yang membawa makna mutakallim (yang bercakap- dalam ayat ini ialah Allah) tidak merasa puas, atau mengingkari sikap kita mukhotob (yang lawan bicaranya) yang masih mencari-cari dari cerita Yahudi, yang masih merasa tidak cukup dengan Al-Quran, dan Allah tidak Redhoi perkara seperti itu.

8.0] " اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ " dalam present tense- fiil mudhori' membawa erti;
"Dan tidakkah mereka merasa cukup?"
"Bukankah ianya telah mencukupi bagi mereka?"
"Apakah tidak telah mereka merasa cukup?"

Mutakallim (yang bicara) merasa pelik terhadap sikap mukhotob (yang lawan bicaranya), mutakallim mengingkari sikap mukhotob yang masih merasa tidak cukup dengan Al-Quran. Macam-manalah Al-Quran yang sebesar-besar ayat, seagung-agung bukti belum dapat memuaskan mereka? Sedangkan mereka tidak mampu untuk meniru walau sepotong ayat seumpama ayat Al-Quran. Al-Quran juga telah menyampaikan bermacam-macam pengajaran dan keajaiban. Berita orang dahulu, berita masa hadapan, adil keputusannya. Nabi saw bersabda bahawa pencinta-pencinta Al-Quran tidak akan merasa puas dengan keajaiban Al-Quran.

9.0] Imam Syafie rahimatullah berkata bahawa setiap kali dia membaca ayat Al-Quran walaupun ayat yang sama akan mendapat kesimpulan yang meningkat. Perbezaan yang makin mendalam. Semakin cermat dan semakin cerdas memahaminya, semakin banyak yang belum didalami. Kata beliau,"Demi Allah, sungguh aku tidak tahu berapa banyak lagi yang belum aku tahu". Orang sehebat Imam Syafie berkata demikian setelah mengkaji Al-Quran, walaupun mengkaji ayat yang sama berulang kali. Bayangkan kalaulah kita berkata, "Alhamdulillah, banyak kita sudah tahu sejak belajar ini, dahulu tidak tahu sekarang sudah tahu banyak!" Adakah kita ini lebih hebat daripada Imam Syafie?.

10.0] Imam An-Nawawi rahimatullah pernah berkomentar setelah mengkaji Al-Quran,"Demi Allah, aku tidak tahu dimana aku boleh berhenti, sebab setiap kali aku ingin berhenti, ianya belum noktah. Setiap kali ingin berhenti masih ada sambungan ayatnya yang boleh ditadabbur lagi, macam mata rantai. Aku fikir sudah habis, tetapi apabila ditadabbur lebih dalam akan berjumpa lagi sambungan kepada ayat-ayatnya sehingga merasa tidak akan pernah boleh khatam Al-Quran". Kita yang sudah banyak kali khatam Al-Quran, adakah sudah merasa tamat pengajian? Subhanallah.

11.0] Rujuk kembali pengakhir surah Al-Ankabut ayat 51 diatas dimana dinyatakan, "Sesungguhnya dalam (Al-Quran) itu terdapat rahmat yang besar dan pengajaran bagi orang-orang yang beriman". Semuanya bergantung kepada niat. Disebabkan mereka itu niatnya tidak baik, mereka tidak mahu beriman walau sebanyak mana pun ayat dan bukti yang ada. Kalaulah mereka sebagai seorang yang mencari kebenaran, seorang yang mencari hidayah, pasti nescaya mencukupi walaupun hanya dengan satu ayat untuk beriman. Bak kata pepatah, "Hendak seribu daya, tidak hendak seribu-satu dalih". Kalau betul-betul ikhlas hendak mencari kebenaran, mungkin tidak perlu mengkaji satu juzuk Al-Quran, mungkin baru dengan satu ayat pun sudah mendapat hidayah.

12.0] Contoh surah Al-Baqarah ayat 2;

Kitab Al-Quran ini yang tiada keraguan. Walau cuma satu ayat, hati kita sudah mulai dicabar. Allah mencabar hambaNya, "Jika kamu masih meragui tentang Al-Quran yang Aku turunkan, buatlah satu surah yang lebih-kurang sama dengan Al-Quran, mim mithlihi". Rujuk surah Al-Baqarah ayat 23 dan 24;


Ini cabaran daripada Allah kepada sesiapa yang masih meragui kebenaran Al-Quran. Jika tidak mampu untuk membuatnya sendiri, panggillah kawan-kawan atau pakar-pakar untuk membuat yang seumpama Al-Quran dan surah Al-Quran yang terpendek sekali ialah surah Al-Kauthar. Allah teruskan ayat 24 dengan kalimah 'walan taf'alun'- dan tidak akan kamu (dapat) membuatnya.

13.0] Ada seorang saudara kita Felix Siauw dari Palembang, yang telah menjadi pendakwah Islam, yang pada mulanya telah bertukar-tukar agama dari Budha, merasa tidak percaya, bertukar ke Hindu, tidak puas-hati, masuk Kristian, masih bingung, walaupun ada sedikit kepercayaan tentang adanya Tuhan, merasa tidak ada agama yang dia percayai. Ketika di Universiti Institute Teknologi Bandung, Felix Siauw tidak percaya agama kerana katanya semua agama itu menipu. Akhirnya ada seorang kawan baiknya membawanya berjumpa seorang ustaz yang bersedia menjawab apa sahaja persoalan yang ditanyanya, dari waktu maghrib sehingga menjelang waktu subuh, berdasarkan jawapan dari Al-Quran. "Saya tidak percaya", katanya masih ragu. Ketika dibuka saja Kitab Al-Quran, terjumpa kalimah لَارَيْبَ فِيه- tidak ada keraguan di dalamnya- surah Al-Baqarah ayat 2. Kalimah yang membuatkan hatinya hancur dan tidak berdaya untuk melawan."Jika tidak percaya, buatlah sendiri satu ayat", seperti cabaran dari ayat 23 surah Al-Baqarah. Akhirnya beliau memeluk Islam. Beliau tidak menukar namanya kerana percaya bahawa nama asalnya mempunyai makna yang baik dan Islam tidak mewajibkan menukar nama. Beliau mencari kebenaran, lantaran itu Allah berikan hidayah kepadanya. Beliau aktif berdakwah dan menghasilkan buku yang mudah difahami. Jika seseorang itu hatinya tidak baik, niatnya tidak jujur, jangankan Al-Quran setebal itu, atau ayat sekontena pun tidak akan dapat membuatnya beriman. Jika niatnya untuk mencari kebenaran, tidak perlu mengkaji sampai satu juzuk Al-Quran pun, mungkin cuma hanya dengan satu ayat pun sudah mendapat hidayah.

14.0] Ramai saudara baru kita ini komitmennya jauh lebih tinggi dari muslim terdahulu yang terus lahir dalam Islam. Tetapi sayang sekali kerana mereka masih dipanggil muallaf kerana mungkin Islamnya masih baharu. Kita lupa bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah dilahirkan muslim sebenarnya.

15.0] Ada seorang lagi iaitu Dr. Syafie yang memeluk Islam dengan puncanya adalah kerana mencari kebenaran. Beliau belajar diperingkat Master di UIA dan PHD di Australia. Beliau adalah seorang pakar ekonomi syariah yang mengembangkan berbagai urusan ekonomi untuk membantu orang-orang Islam.

16.0] Betullah kata Imam Syakrawi, "Jika orang itu niatnya tidak baik, jangankan 30 juzuk Al-Quran, Al-Quran setebal satu kontena pun tidak akan dapat membuatnya beriman. Jangankan ada cerita tentang alam semesta dan segala isinya, jika ditunjukkan kuasa Allah menghidupkan semula orang yang sudah mati  dan dapat bercakap,  pun tidak akan dia percayai. Tetapi bagi pencari kebenaran dan hidayah, nescaya telah memadailah baginya walaupun hanya satu ayat dari Al-Quran untuk menjadikannya mu'min. Sebab itulah Allah turunkan surah Al-Ankabut ayat 51 ini, " اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ - Apakah tidak cukup bagi mereka?" Masalahnya ialah niat orang yang mencari itu ikhlas atau tidak, bukanlah tentang cukup atau tidak cukup bukti yang telah Allah beri. Semua ini terdapat di dalam kitab Al-Khowatir karangan As-Syakrawi. Nama penuhnya ialah Ahmad Mutowili Syakrawi dan beliau meninggal dalam tahun 1418H.

17.0] Di dalam kitab Mafatihul Ghaib, tafsir yang dikarang oleh Ar-Rozi. Nama sebenarnya panjang iaitu Abu Abdullah Muhammad bin Umar bin Hassan bin Husin, At-Taimi, Ar-Rozi, Fakhrudin Ar-Rozi Khotibul Ghaib. Beliau wafat dalam tahun 606 H. Kata Ar-Rozi, maksud surah Al-Ankabut ayat 51 ini ialah, "Jika sekiranya menurunkan ayat (mukjizat) itu menjadi syarat bagi kenabian atau kerasulan seorang rasul, maka Al-Quranlah mukjizat yang lebih daripada mencukupi untuk menentukan seseorag itu rasul atau pun tidak". Sedangkan yang sebenarnya ianya bukanlah suatu syarat pun. Kalau dengan tongkat, seperti tongkat Nabi Musa as, yang dapat membelah Laut Merah, belum cukup kuat untuk buktikan kenabian seseorang. Kalau dengan tangan ajaib seperti tangan Nabi Isa as yang dapat menyembuhkan pesakit dan menghidupkan orang mati dengan izin Allah, pun belum cukup kuat, tetapi Al-Quran adalah suatu mukjizat yang mena'jubkan. Allah telah berikan Al-Quran sebagai mukjizat teragung namun masih ada lagi yang meminta mukjizat hissiyyah yang lebih rendah nilainya. Mukjizat hissiyyah yang hanya boleh dilihat oleh orang pada masa itu sahaja dan yang melihatnya pun boleh jadi percaya atau tidak. Jika terbelahnya Laut Merah dengan hanya dipukul dengan tongkat Nabi Musa as, adakah kita percaya? Jika tidak kita dapatinya di dalam Al-Quran, susah untuk kita percayai. Berbeza dengan Al-Quran yang mukjizatnya berterusan, mukjizat kaafiyah - yang mencukupi dan paling sempurna. Ada dan kekal dari dahulu sehingga ke hari ini, walaupun ada orang yang menafikannya, sedangkan mukjizat Nabi-Nabi dahulu seperti kesan Laut Merah terbelah, sudah tidak ada kini.

18.0] Mukjizat itu apa?

عَجْزٌ - اَعْجَزَ - اِعْجَازٌ- مُعْجِز - مُعْجِزَة

عَجْزٌ- kelemahan
اَعْجَزَ - menjadikan lemah
اِعْجَازٌ - kekuatan yang membolehkan orang lain lemah- ada pada Al-Quran
مُعْجِز - sesuatu yang mempunyai kuasa 'i'jaz - Al-Quran
مُعْجِزَة - Al-Quran- apabila sesuatu itu mempunyai kuasa 'i'jaz yang ketara sehinggakan  orang yang tidak percaya atau menafikan pun menjadi lemah, ة itu bukan untuk muannas tetapi tanda mubalaghoh. Contohnya Al-Quran 30 juzuk ada kuasa, kekuatan, 'i'jaz, untuk melemahkan orang yang tidak percaya kepadanya, lalu dipanggil mukjiz dan seterusnya dipanggil mu'jizat lantaran 'i'jaznya yang ketara.

19.0] Contoh kehebatan mu'jizat Al-Quran dapat diperhatikan pada surah Al-Masad. Surah ini berhubung dengan Abu lahab, diturunkan ketika Islam baru berumur 3 tahun, kerana 3 tahun pertama Nabi saw berdakwah secara sir (rahsia, senyap-senyap). Kemudian turun ayat perintah daripada Allah supaya mula sampaikan risalah Islam dengan terang-terangan, jangan sembunyikan lagi, abaikan tentangan orang-orang jahiliah. Pada suatu pagi, Nabi saw pun memanjat Bukit Safa, yang lebih tinggi dari Kaabah. Nabi saw memanggil sekelian suku kaum Quraish, yang sudah beriman dan yang belum beriman berkumpul. Lalu Nabi saw berkata, "Jika aku beritahu kamu bahawa di belakang Bukit Safa ini ada tentera yang ingin menyerang kamu, adakah kamu percaya kepadaku? Segera mereka menjawab bahawa mereka percaya, kerana Nabi saw tidak pernah berbohong dan digelar Al-Amin sewaktu berumur 35 tahun. Adalah sangat diplomatik cara Nabi saw memulakan dakwahnya. Nabi saw pun terus menjelaskan iaitu apabila kita mati kita akan hidup semula untuk menerima balasan, akan disoal, ada pertanggung-jawaban, ada syurga ada neraka, dan sebagainya. "Adakah kamu percaya? Semua senyap dan tunduk. Untuk kata percaya, hati mereka belum dapat menerima, untuk mengatakan bohong, Muhammad tidak pernah berbohong. Tiba-tiba berdirilah Abu Lahab, bapa saudara Nabi saw, yang merasa tertipu, dengan berkata, "Celakalah kamu, adakah hanya dengan itu kamu himpunkan kami berpagi-pagi?" Bapa saudaranya yang telah meraikan dan menyambut  hari lahir Nabi saw dengan penuh kesayangan dan kegembiraan, tetapi kini menjadi orang yang paling kuat menentang Nabi saw. Allah tidak Redha melihat Nabi saw dicela oleh bapa saudaranya sendiri, lalu Allah turunkan surah Al-Masad ini yang bermaksud:,

"Binasalah  kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelora (neraka). Dan (begitu pula) isterinya pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Dilehernya ada tali daripada sabut yang dipintal". (Surah Al-Masad)

20.0] Nama sebenar Abu Lahab ialah Ibnu Uzza. Api itu pun nama Lahab sama dengan nama Abu Lahab (bapa menyala). Isterinya dipanggil Ummul Jamil (ibu kecantikan) kerana cantik sempurna, leher jinjang (jiidun), leher orang biasa dipanggil 'unuqun. Kedua hamba Allah ini, telah diberitahu Allah nasibnya menjadi kafir di dunia dan di akhirat kerana tidak sekali pun mengucap syahadah. Nabi saw terus berdakwah. Adakah Nabi saw tidak mengajak Abu Lahab untuk memeluk Islam? Tidak, Nabi saw terus berdakwah kepada bapa saudaranya itu. Tidak sampai 2 tahun di Madinah, terjadi Perang Badar, dimana Abu Lahab yang tidak ikut berperang tetapi telah mengeluarkan hartanya untuk membantu tentera kafir dengan harapan Islam terkubur. Tetapi apa yang berlaku? Tentera kafir kalah, 70 orang tenteranya dibunuh dan 70 orang yang ditawan. Mendengar berita itu, Abu Lahab mendapat serangan jantung dan mati.

21.0] Selama 12 tahun Abu Lahab diberi pilihan, didakwah, tetapi tetap tidak mahu beriman. Tetapi yang peliknya, kenapa tidak terlintas dihati Abu Lahab untuk panjat Kaabah dan isytiharkan bersyahadah walaupun sekadar sebagai seorang munafiq, (yang hanya pura-pura Islam)? Kenapa Abu Lahab tidak mampu memilih jalan yang semudah itu untuk menyangkal dan menafikan Al-Quran?. Kalaulah Abu Lahab bersyahadah, walaupun  hanya berpura-pura, tentulah surah Al-Masad terbatal dan orang muslim dan orang yang bukan muslim akan menolak Al-Quran. Ternyatalah bahawa Al-Quran ini betul-betul dari Allah. Inilah Al-Quran sebagai mu'jizat, kekuatan, 'i'jaz yang dapat melemahkan penentang-penentangnya yang tidak mempercayainya. Al-Quran mencabar, Allah berfirman,"Jika kamu ragui Al-Quran ini dari Muhammad dan bukan dari Aku, atau hanya sebagai mentera, sihir, maka buatlah satu ayat seumpamanya kerana kamu lebih pandai dari NabiKu, kamu pandai baca-tulis. NabiKu ummiyyun".

22.0] Nilai kemu'jizatan Al-Quran adalah tetap, walaupun ada orang yang tidak mengakuinya, nilainya tidak berkurang. Begitu juga jika semua manusia menerima Al-Quran pun nilai kemuliaannya tidak bertambah. Jika ramai saintis yang membuat kajian berdasarkan Al-Quran dan menemui banyak penemuan ilmiah saintifik, itu tidak akan menambahkan kemu'jizatan Al-Quran tetapi akan menambahkan keimanan kita terhadap mu'jizatnya Al-Quran itu sendiri. Al-Quran bukan buku karangan manusia yang apabila ramai orang membelinya maka meningkatlah namanya dan jika tiada yang membelinya akan hadapi zaman merosot dan kejatuhannya.

23.0] Adalah suatu kesilapan jika ada sebutan seperti ini:
"Sungguh besar jasa orang itu terhadap Islam. Islam merasa bertuah punya orang sepertinya". Tolong ubah ayat yang seperti itu, kerana Islamlah yang berjasa kepada kita. Siapa yang lebih memerlukan siapa? Kita yang perlukan Islam bukan Islam memerlukan kita. Jika semua orang menolak Islam sekali pun, Allah tetap berkuasa dan Islam tetap benar. Contohnya, jika kita boikot masjid, kitalah yang rugi, kerana masjid itu baitullah (rumah Allah), berbeza dengan jika kita boikot hotel. Jika semua orang tidak mahu membaca Al-Quran, Al-Quran tetap benar, tetap bermu'jizat, tetap hebat, tetap kekal. ada dan sentiasa ada. Kita masih dicabar Al-Quran tentang kemu'jizatannya sehingga hari kiamat. Cabaran kepada ahli bahasa untuk menulis, untuk mengarang  seumpama Al-Quran, walaupun tidak sebanyak Al-Quran, walaupun hanya satu ayat, panggil kawan-kawan manusia, pakar-pakar dan / atau jin untuk membuatnya, namun pasti gagal. Itu i'jaz. Sayang sekali jika kita tidak sayangkan Al-Quran, jika kita tidak mesra dengan Al-Quran dan jika kita tidak mencintai Al-Quran.

24.0] Tentang segala permasalahan Islam, bicara tentang Nabi Isa as sekali pun, jangan tanya atau berpandukan Injil tetapi cukuplah dengan berpandukan Al-Quran dan Hadith. Jika rasa-rasa ada persoalan, ingatlah cepat-cepat perkataan اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ - dan apakah tidak mencukupi bagi mereka? Janganlah mencari-cari dari sumber-sumber yang lain. Contohnya, jika ada kata-kata seperti, "Rupa-rupanya dalam bab pusaka dalam agama Nasrani lainlah!" Itu tidak dibolehkan, tidak boleh  mencari dari sumber yang lain. Jika belajar untuk membuat perbandingan agama yang bertujuan untuk menunjukkan bahawa selain Islam itu adalah salah dan mungkin berguna untuk kita berdebat dalam agama, barulah dibolehkan. Jika untuk mencari kebenaran perlulah hanya dari Al-Quran dan Hadith.

25.0] "اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ -  dan apakah tidak mencukupi bagi mereka? "Ini adalah cabaran yang besar dalam berekonomi, dalam berniaga, dalam perbankan. Itu cabaran OIC yang besar. Syariah kita belum berdiri sendiri? Allah telah mengatakan bahawa "Apakah tidak cukup apa yang ada di dalam Al-Quran dan Hadith? Kenapa masih perlu bertanya kepada Trump dalam hal sebegini? Hanya kerana dia kaya-raya? Islam mementingkan yang halal. Jika dari sumber yang halal, yang akan keluar pun halal. Bukan dari segi banyaknya  tetapi dari mana didapati, bagaimana didapati, akan ditanya oleh Allah. Ini sebetulnya kehidupan orang Islam yang mestilah sentiasa terarah kejalan yang benar. Moga bermanafaat.







Tuesday, November 1, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 50) Kuliah 49- Tafsir kalimah لولا dan اِنَّمَا , Mukjizat, Istighfar

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 50;


Surah Al-Ankabut ayat 50 ini ada kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu berkaitan dengan sifat dan perangai orang kafir yang sentiasa mencari alasan untuk menolak Nabi Muhammad saw dan ajaran yang Nabi saw bawa. Berbagai alasan yang mereka berikan sebagai syubuhat.

2.0] Pertama kita bincangkan dahulu tentang tafsir 2 kalimah di dalam surah Al-Ankabut ayat 50 ini iaitu kalimah laula لولا dan innama اِنَّمَا

Faedah atau fungsi kalimah - لولا - di dalam Al-Quran secara umumnya ada 2 sahaja iaitu;

i) اِمتِنَاعٌ لِوُجُودٍ  - penghalang bagi adanya sesuatu, dan

ii) اَلحَضُّ - اَلطَّلَبَ - اَلاَمرُ

اَلحَضُّ  - permohonan, imbauan, meminta dengan rayuan dari orang bawahan kepada orang atasan -

اَلطَّلَبَ   -  permintaan dari orang yang setaraf.

اَلاَمرُ    -  perintah dari orang atas kepada orang bawahan

3.0] Rujuk surah Al-Baqarah ayat 64 untuk lebih memahami tentang kalimah -لولا -yang menunjukkan fungsi yang pertama sebagai penghalang, مَانِع, bagi adanya sesuatu.


Kalimah  لولا  di dalam ayat 64 bermakna  sekiranya bukan kerana.  لولا di atas diikuti dengan isim, فَضلُ الله (kurniaan Allah) yang menjadi  مَانِع (penghalang) kepada terjadinya yang selepasnya iaitu adanya فَضلُ الله , kurniaan Allah, menjadi penghalang daripada menjadi orang yang rugi.


4.0] Rujuk pula surah Al-Baqarah ayat 118 untuk melihat perbezaan makna kalimah  لولا yang menunjukkan fungsi yang kedua iaitu sebagai permohonan atau permintaan (اَلحَضُّ).


Kalimah  لولا di dalam ayat 118 ini, yang diikuti fi'il  -  لَولا يُكَلِّمُنَاالله  - yang mana kalimah لولا  bermakna kenapa tidak  (اَلحَضُّ), iaitu permohonan. "Kenapa tidak Allah berbicara dengan kami.."

5.0] Contoh yang lain, rujuk surah Al-Baqarah ayat 251, dimana fungsi kalimah لولا adalah sebagai مَانِع (penghalang).

Di dalam ayat ini لولا bermakna kalaulah tidak kerana adanya دَفعُ الله - perlindungan Allah, sudah hancurlah bumi. دَفعُ الله menjadi مَانِع  (penghalang) bagi kerosakan bumi. Contohnya di dalam Al-Quran, cerita tentang Jalut seorang yang zalim. Allah bangkitkan Talut untuk menghalang maharajalelanya Jalut. Inilah yang menjadi sunnatullah. Begitulah juga dengan Fir'aun  yang melampaui batas, Allah bangkitkan Nabi Musa, itu dinamakan دَفعُ الله, perlindungan Allah. Allah telah munculkan penghalang kepada manusia yang melakukan kezaliman, itulah دَفعُ الله. Yang jadi مَانِع -penghalangnya tidak semestinya orang baik sahaja. Kalau tidak kerana adanya دَفعُ الله, perlindungan Allah, bumi ini sudah lamalah hancur.


6.0] Contoh لولا lagi;

لَولَا زَيدٌ عِندَكَ لِزُرتُكَ  - "Kalaulah tidak Zaid disisi kamu aku pasti akan ziarahimu". Adanya Zaid sebagai مَانِع (penghalang)ku daripada menziarahi mu.


7.0] Surah Al-Ankabut ayat 50 ini, kalimah  لولا adalah sebagai fungsi kedua iaitu bermakna kenapa tidak (اَلحَضُّ)- permohonan. Maksud ayat, "Dan mereka (orang kafir Mekah) berkata, "Mengapa tidak diturunkan mukjizat-mukjizat daripada Tuhannya?".

8.0] Perbincangan tentang tafsir kalimah yang kedua di dalam surah Al-Ankabut ayat 50 ini ialah kalimah innama اِنَّمَا yang diterjemahkan sebagai hanya saanya. Faedahnya ialah untuk menetapkan hukum bagi sesuatu yang disebut dan menafikan daripada apa-apa yang selainnya. Cara memahami Al-Quran ialah dengan memahami huruf dan kalimah yang sama tetapi berlainan makna, memerhati dengan terperinci supaya mendapat makna yang tepat dan kefahaman yang betul.

اِنَّمَا - اَدَاةُ اَلحَصْرُ- اَلقَصْرُ- اَلتَّخْصِيْصُ

اِثْبَاتُ الحُكْمِ لِلمَذْكُوْرِ وَنَفِيُهُ عَمَّا عَدَاهُ  -  menetapkan hukum bagi sesuatu yang disebut dan menafikan daripada apa-apa yang selainnya.
Contohnya;

i) مُحَمَّدٌ رَّسُولُ الله - Muhammad saw utusan Allah. Ianya  kalimah khabar, yang mana orang yang mendengar boleh jadi percaya atau pun tidak.

ii) اِنَّ مُحَمَّدًا رَّسُولُ الله - Sesungguhnya Muhammad saw utusan Allah. Bukan sekadar memberitahu tetapi untuk menyakinkan semua orang tentang kerasulan Nabi saw, tetapi masih ada kemungkinan ada jawatan lain lagi yang dipegang oleh Nabi saw.

iii) اِنَّمَا مُحَمَّدٌ رَّسُولُ الله  - Hanya saanya Muhammad saw utusan Allah, supaya tidak ada yang ragu lagi bahawa Muhammad saw itu tidak memegang jawatan yang lain selain sebagai Rasulullah. Itu menunjukkan ithbatul hukmi, yang mengithbatkan kerasulan Nabi keatas diri Nabi saw dan menafikan adanya sesuatu yang lain selain Rasul.

Tengoklah Nabi saw sebagai Rasul yang berniaga, yang berperang, yang berumah-tangga dan sebagainya dan wajib dicontohi, supaya semua perbuatannya dapat menjadi contoh kepada umatnya. Maka apa sahaja yang dilakukan Nabi saw walaupun tentang urusan dalaman rumahtangganya diceritakan untuk diteladani. Kata Saidatina Aisyah r.'anha, "Adalah Rasul mencium salah seorang isterinya kemudian mengerjakan solat". Sahabat yang mendengarnya bertanya kembali kepada Saidatina Aisyah r.'anha,"Bukankah isteri yang dicium Nabi saw itu ialah kamu ?" Saidatina Aisyah r.'anha tidak menjawab tetapi hanya tersenyum menandakan kebenarannya. Cerita tentang Nabi saw dengan isterinya boleh diceritakan untuk menjadi contoh bahawa tidak batal wudhuk dengan sebab mencium isteri.

[Nota; Kita umat biasa tidak dibolehkan untuk menceritakan hal dalaman hubungan antara suami-isteri kerana dikira mengumpat].

9.0] Contoh penggunaan istilah penguat  اِنَّمَا  bagi kita ini, boleh diguna pakai dalam soalan seperti;
i) Adakah kita sebagai orang Islam yang tinggal di Malaysia, atau
ii) Adakah kita orang Malaysia yang beragama Islam?

Dua kenyataan di atas itu lain maknanya. Kita adalah haanya saanya (اِنَّمَا) orang Malaysia yang beragama Islam sebab itulah  kita sangat sayangkan negara Malaysia ini berbeza dengan orang Islam yang tinggal di Malaysia, yang mungkin secara kebetulan, yang tidak sayang kepada negara ini sepenuhnya. Adalah tidak salah punya rasa cinta kepada negara dan budaya.

10.0] Ada kisah Nordin Mat Top dari Malaysia yang telah pergi ke Indonesia dan merekrut budak-budak Indonesia untuk mengebom disana sini. Dia bukan orang Indonesia, dia hanya orang Islam yang tinggal di Indonesia, sebab itulah tergamak melakukan sedemikian.

11.0] Contoh tentang penggunaan istilah lagi;
Kalau kita beritahu seseorang;

i) اَنَا مُءمِنُون- "Saya seorang mukmin"

ii) اِنَّ مُءمِنُون- "Sesungguhnya saya seorang mukmin"

iii) اِنَّمَا  مُءمِنُون- "Hanya saanya saya seorang mukmin"- Apabila sudah mengatakan اِنَّمَا  مُءمِنُون- maka jangan sampai ada sebarang tingkahlaku yang tidak mukmin, kerana penggunaan kalimah اِنَّمَا  adalah menetapkan hukum bagi apa yang disebut selepasnya dan menafikan selain apa yang tidak disebut. اَلحَصْرُ- dibatasi- dihad- dikhususkan apa yang disebut sahaja.

12.0] Tafsir Ar-Rozi, petikan dari kitab Mafatihul Ghaib berkenaan surah Al-Ankabut ayat 50 ini, "Bukti menunjukkan bahawa Al-Quran ini adalah 100% daripada Allah, dan bukan daripada Rasul saw, dan setelah orang kafir gagal untuk menimbulkan keraguan tentangnya, akhirnya orang kafir itu timbulkan syubuhat lain dan dinyatakan di dalam surah Az-Zukhruf ayat 31". Rujuk surah Az-Zukhruf ayat 31;

Mula-mula orang kafir nafikan tentang Al-Quran dan mengatakan bahawa Al-Quran bukan daripada Allah, tetapi mereka gagal dengan adanya penjelasan seperti didalam surah Al-Ankabut ayat 45, 46 dan 47. Kemudian mereka kata Al-Quran adalah hasil ciplak atau salinan Nabi saw dari kitab-kitab dahulu, juga tidak berasas dan mereka gagal lagi kerana Nabi saw adalah seorang ummiyy yang tidak tahu baca-tulis, sepertimana telah dijelaskan di dalam surah Al-Ankabut ayat 48, dan surah Al-A'raf ayat 157 di dalam kuliah lepas. Akhirnya mereka akui bahawa Al-Quran itu daripada Allah tetapi mereka belum akui Nabi saw sebagai utusan Allah berdasarkan surah Az-Zukhruf ayat 31 di atas. Mereka timbulkan pula syubuhat.

Pada masa turunnya Al-Quran, terdapat 2 bandar di Semenanjung Arab Al-Jazirah , iaitu bandar Mekah dan Thoif. Ramai peniaga yang saling mengadakan transaksi perniagaan di dua buah bandar tersebut. Abbas Ibnu Mutalib yang kaya-raya memberi hutang kepada pedagang Thoif dengan laba (interest) yang berganda-ganda. Ada orang yang lebih terkenal di situ iaitu Al-Walid Al-Mughirah dan bukannya Muhammad. Sehingga Abu Jahal pemimpin Quraish pernah berkata, "Tapi kenapa kitab yang suci ini tidak diturunkan kepada Al-Walid Al-Mughirah, orang yang rajulun 'azim, orang yang besar yang telah dikenali di bandar ini?". Itu petanda menunjukkan bahawa mereka menerima hakikat bahawa Al-Quran itu bukan karangan Muhammad saw. Mereka timbulkan pula syubuhat iaitu Muhammad saw tidak layak diturunkan Allah Al-Quran tetapi sepatutnya diturunkan kepada Al-Walid Al-Mughirah. Alasan ini juga sangat rapuh dan tidak kuat dan akhirnya mereka menerima bahawa Al-Quran itu tidak ciptaan Muhammad saw dan memang patut Al-Quran itu diturunkan kepada Muhammmad saw kerana akhlaknya yang lebih baik daripada Al-Walid Al-Mughirah. Tidak terhenti setakat itu mereka terus mendesak, "Tetapi kenapa tidak diturunkan ayat (bukti) dari Tuhan?, kenapa tidak diberi mukjizat seperti yang telah diberi kepada Nabi-Nabi dahulu?" Mukjizat Nabi Soleh as dengan untanya, Nabi Musa as dengan tongkat ajaibnya, Nabi Isa as dengan tangan ajaibnya yang dapat menghidupkan orang mati dan menyembuhkan orang sakit dengan sentuhannya, dengan izin Allah SWT. Nabi Ibrahim as yang tidak mati dibakar dan lain-lainnya. Itulah maksud surah Al-Ankabut ayat 50 di atas, "Kenapa Muhammad tidak diberi ayat atau mukjizat?".

13.0] Mukjizat ada 2 jenis iaitu mukjizat hissiyyah dan mukjizat ma'nawiyyah atau 'aqliyyah.

i) Mukjizat hissiyyah:- mukjizat yang boleh dilihat dengan mata, yang boleh di dengar dengan telinga yang boleh dipegang dengan tangan. Contohnya, unta Nabi Soleh as yang Allah keluarkan dari batu yang boleh mereka lihat dan pegang dan akhirnya mereka bunuh. Nabi Musa as dengan tongkat yang boleh membelah laut, Nabi Ibrahim as yang tidak hangus dibakar dan berbagai-bagai lagi mukjizat bagi Utusan Allah.

ii) Mukjizat ma'nawiyyah atau 'aqliyyah:- mukjizat teragung, iaitu Al-Quran Al-Karim, yang sangat hebat dari segi bahasanya, jumlah hurufnya, segi istilah, perkataannya yang mengkagumkan, bukti , dalil, cerita, ilmu yang tiada tandingan dan boleh dilihat dari 'i'jaz Al-Qurani.

14.0] Orang kafir Quraisy akhirnya mengaku bahawa Al-Quran itu bukan hasil tulisan atau karangan atau ciplak daripada Nabi Muhammad saw, kemudian mereka usulkan pula kenapa tidak Allah turunkan mukjizat hissiyyah kepada Muhammad saw. Ada peribahasa Melayu yang mengatakan , "Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih". Begitulah syubuhat yang ditimbulkan oleh orang-orang kafir Quraisy. Lalu Allah memerintahkan Nabi Muhammad saw menjawab seperti yang terdapat di dalam surah Al-Ankabut ayat 50 diatas.

15.0] Sebenarnya Nabi Muhammad saw, Nabi yang terakhir ini, Allah telah berikan kedua-dua jenis mukjizat tersebut, berbeza dengan Nabi-Nabi sebelumnya yang hanya diberi mukjizat hissiyyah sahaja. Nabi Muhammad saw diberi mukjizat hissiyyah dengan dapat membelah bulan, keluar air dari jarinya, makanan yang sedikit dapat dimakan oleh ramai orang dan juga kisah Isra' Mikraj dan lain-lain. Namun Nabi Muhammad saw tidak gunakan medan mukjizat hissiyyah ini sebagai alasan dakwahnya malah Baginda lebih menonjolkan tentang mukjizat 'aqliyyah iaitu Al-Quran dan kita semua dicabar dengan mukjizat 'aqliyyah Al-Quran ini.

16.0] Mukjizat hissiyyah, bagi umat yang hidup pada zaman itu, boleh jadi percaya atau tidak. Apa lagi bagi umat yang datang kemudian yang tidak melihat sendiri kejadian tersebut, tentunya ada yang percaya dan juga tidak. Jikalaulah, sekiranya, andai kata, kisah mukjizat seperti tentang terbelahnya Laut Merah dengan tongkat Nabi Musa as tidak ada di dalam Al-Quran, tentu kita tidak percaya. Susah untuk kita percayai walaupun ada di dalam kitab Injil atau Taurat. Berbanding dengan mukjizat 'aqliyyah seperti Al-Quran yang dapat dilihat, dikaji setiap masa. Beruntungnya bagi kita. Penjelasan daripada sesetengah ulama; "Ketika taraf pemikiran insan masih rendah, Allah tunjukkan dengan mukjizat hissiyyah yang sesuai dengan kemahiran dan kegilaan orang ketika itu. Contohnya Nabi Yusof as yang pandai tadbir mimpi sesuai dengan umatnya yang cenderung tentang itu. Begitu juga bagi Nabi-Nabi terdahulu yang diberi mukjizat hissiyyah sesuai dengan kecenderungan umat dizaman mereka".

17.0] Umat Nabi Muhammad saw yang lebih berdaya fikir, lebih 'ilmiah, lebih rasional, punya IQ tinggi, maka diberilah mukjizat yang 'ilmiah iaitu Al-Quran. Itu pun masih ada orang yang inginkan mukjizat hissiyyah seperti contohnya apabila berlaku pisang berbuah 10 tandan, maka berduyun-duyunlah orang yang datang. Atau jika ayam ada 10 kepala, ada orang yang sanggup membelinya dengan harga 10 ribu ringgit, namun tidak ingin dijual oleh yang ampunya atas alasan yang boleh pula menambahkan syirik kepada Allah SWT. Ujian yang paling besar pula ialah orang boleh jadi syirik dengan  sesuatu yang mengkagumkan mereka.

18.0] Surah Al-Ankabut ayat 50 ini, menjelaskan dengan sejelas-jelasnya tugas Nabi saw yang hanya diutus sebagai pemberi peringatan. Kata Ar-Rozi yang lebih kurang sama dengan Ibnu Kathir, bahawa sabda Nabi saw, "Hanya saanya tugas aku ini sebagai pemberi peringatan yang jelas. Orang yang berpaling dari peringatan ku akan hadapi jalan yang buruk (jalan ke neraka), dan bukan tugas ku mereka-reka sesuatu yang jadi permintaanmu. Jangan kamu minta kaya kepada ku, tetapi berusahalah. Bagi yang sakit, jangan kamu minta sihat kepada ku, tetapi berubatlah dan nanti aku akan bantu mu dengan doa. Jangan minta lebih-lebih. Tugas ku hanya saanya sebagai penyampai peringatan yang jelas nyata". Meminta dan memohon hanya kepada Allah, dan Allah memberi apa yang bermanafaat kepada hambaNya. Tanda kasih-sayang Allah kepada hambaNya.

19.0] Kaum musyrik yang mencabar Allah dengan cabaran luarbiasa namun Allah tidak melayan cabaran mereka, boleh dirujuk di dalam surah Al-Anfal ayat 32 dan 33;

Ini doa daripada orang yang berhati busuk. Sepatutnya berdoa supaya dibukakan Allah hati yang tertutup, malah diminta supaya diturunkan hujan batu. Allah tidak melakukan sedemikian. Kenapa Allah tidak turunkan azab itu kepada mereka? Kenapa Allah tidak melayan cabaran mereka? Bukan kerana Allah tidak berkuasa, bukan kerana tidak cukup bukti untuk menyiksa mereka. Tengok jawapan Allah kepada mereka di dalam surah Al-Anfal ayat 33 seterusnya. Allah Maha pengasih. Rupanya sebagai rahmat kepada mereka. Mereka beruntung kerana hidup sezaman dengan Nabi saw, kekasih Allah yang Allah tidak ingin NabiNya melihat sendiri kaumnya yang menentangnya disiksa. Nabi-Nabi lain melihat sendiri kaumnya yang menentangnya disiksa sepertimana Nabi Nuh yang melihat sendiri anaknya dan kaumnya ditenggelamkan banjir besar.

20.0] Sekarang Nabi saw sudah tiada, apa yang menghalang Allah dari menyiksa kita jika kita jahat?Sambunglah dengan akhir ayat surah Al-Anfal ayat 33 diatas. "Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun". Selagi manusia memohon keampunan, selagi manusia mahu beristighfar, bertaubat dengan sesungguh-hati, maka akan dapat menghalang dan meredamkan kemurkaan, kemarahan Allah. Nabi Muhammad saw adalah Rahmatallil'aalamin -Rahmat keseluruh alam. Oleh itu beristighfarlah dengan sepenuh-hati. Beristighfar tidak boleh sekali sekala tetapi perlulah sentiasa sepanjang  masa. Beristighfar tidak hanya dibibir, tetapi beristighfar dengan hati yang benar-benar memohon kemaafan daripada Allah SWT. Mengakui kekhilafan diri yang sentiasa melakukan kesilapan zahir dan batin, telah melakukan dosa-dosa yang besar atau kecil, dosa-dosa yang telah dilakukan, yang sedang dilakukan dan yang akan dilakukan,  dosa yang sengaja atau tidak sengaja, yang kita tahu yang kita tidak tahu, yang kita sedar yang kita tidak sedar, yang sembunyi yang nyata, yang masih diingat atau yang sudah dilupakan. Beristighfar bukan dengan mengejar bilangan ucapan semata namun mestilah sebagai suatu pengakuan diri yang lemah yang hanya mengharapkan keampunan dan kemaafan daripada Yang Maha Pengampun Yang Maha Pemaaf.

21.0] Suatu contoh istighfar yang tidak menepati maknanya yang biasa terjadi di dalam kehidupan kita;
Ada anak yang tidak puas hati dengan orang tuanya yang tinggal bersamanya lantaran sifat orang tua yang kembali seperti budak-budak. Orang tua yang melakukan kesilapan di sana-sini, bersepah-sepah, tidak rasional lagi dalam segala tindakan. Anak yang baru kembali dari kerja yang kepenatan, beristighfar dengan kuat-kuat dan panjang-lebar melihatkan keadaan rumahnya yang diselerakkan oleh orang tuanya. Apakah itu istighfar yang memohon ampunan? Tidak! Sebaliknya anak itu sedang meledakkan perasaannya, menzahirkan kekecewaannya, yang dipanggil sebagai uffun anak kepada orang tuanya. 'Uf'' itu menunjukkan rasa sedih, rasa kecewa, rasa marah, rasa bengkak,yang keluar dari mulut anak kepada orang tuanya. Bukan semata-mata kata-kata kasar seperti cis, uh, apalah dan seumpamanya, namun apa pun ucapannya, di dalam bahasa apa pun jua, walaupun dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, luahan rasa bengkak anak terhadap orang tuanya adalah sangat dimurkai Allah.

22.0] Beristighfarlah dalam apa jua keadaan. Ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya, beristighfarlah, mungkin sebab ketika memohon untuk balik awal tadi telah memberi alasan yang tipu. Sebenarnya bermacam-macam lagi rahsia dan hikmah disebalik unjuran supaya kita terus menerus beristighfar. Beristighfarlah.Moga bermanafaat. Aamiiiin.