Tuesday, November 1, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 50) Kuliah 49- Tafsir kalimah لولا dan اِنَّمَا , Mukjizat, Istighfar

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 50;


Surah Al-Ankabut ayat 50 ini ada kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu berkaitan dengan sifat dan perangai orang kafir yang sentiasa mencari alasan untuk menolak Nabi Muhammad saw dan ajaran yang Nabi saw bawa. Berbagai alasan yang mereka berikan sebagai syubuhat.

2.0] Pertama kita bincangkan dahulu tentang tafsir 2 kalimah di dalam surah Al-Ankabut ayat 50 ini iaitu kalimah laula لولا dan innama اِنَّمَا

Faedah atau fungsi kalimah - لولا - di dalam Al-Quran secara umumnya ada 2 sahaja iaitu;

i) اِمتِنَاعٌ لِوُجُودٍ  - penghalang bagi adanya sesuatu, dan

ii) اَلحَضُّ - اَلطَّلَبَ - اَلاَمرُ

اَلحَضُّ  - permohonan, imbauan, meminta dengan rayuan dari orang bawahan kepada orang atasan -

اَلطَّلَبَ   -  permintaan dari orang yang setaraf.

اَلاَمرُ    -  perintah dari orang atas kepada orang bawahan

3.0] Rujuk surah Al-Baqarah ayat 64 untuk lebih memahami tentang kalimah -لولا -yang menunjukkan fungsi yang pertama sebagai penghalang, مَانِع, bagi adanya sesuatu.


Kalimah  لولا  di dalam ayat 64 bermakna  sekiranya bukan kerana.  لولا di atas diikuti dengan isim, فَضلُ الله (kurniaan Allah) yang menjadi  مَانِع (penghalang) kepada terjadinya yang selepasnya iaitu adanya فَضلُ الله , kurniaan Allah, menjadi penghalang daripada menjadi orang yang rugi.


4.0] Rujuk pula surah Al-Baqarah ayat 118 untuk melihat perbezaan makna kalimah  لولا yang menunjukkan fungsi yang kedua iaitu sebagai permohonan atau permintaan (اَلحَضُّ).


Kalimah  لولا di dalam ayat 118 ini, yang diikuti fi'il  -  لَولا يُكَلِّمُنَاالله  - yang mana kalimah لولا  bermakna kenapa tidak  (اَلحَضُّ), iaitu permohonan. "Kenapa tidak Allah berbicara dengan kami.."

5.0] Contoh yang lain, rujuk surah Al-Baqarah ayat 251, dimana fungsi kalimah لولا adalah sebagai مَانِع (penghalang).

Di dalam ayat ini لولا bermakna kalaulah tidak kerana adanya دَفعُ الله - perlindungan Allah, sudah hancurlah bumi. دَفعُ الله menjadi مَانِع  (penghalang) bagi kerosakan bumi. Contohnya di dalam Al-Quran, cerita tentang Jalut seorang yang zalim. Allah bangkitkan Talut untuk menghalang maharajalelanya Jalut. Inilah yang menjadi sunnatullah. Begitulah juga dengan Fir'aun  yang melampaui batas, Allah bangkitkan Nabi Musa, itu dinamakan دَفعُ الله, perlindungan Allah. Allah telah munculkan penghalang kepada manusia yang melakukan kezaliman, itulah دَفعُ الله. Yang jadi مَانِع -penghalangnya tidak semestinya orang baik sahaja. Kalau tidak kerana adanya دَفعُ الله, perlindungan Allah, bumi ini sudah lamalah hancur.


6.0] Contoh لولا lagi;

لَولَا زَيدٌ عِندَكَ لِزُرتُكَ  - "Kalaulah tidak Zaid disisi kamu aku pasti akan ziarahimu". Adanya Zaid sebagai مَانِع (penghalang)ku daripada menziarahi mu.


7.0] Surah Al-Ankabut ayat 50 ini, kalimah  لولا adalah sebagai fungsi kedua iaitu bermakna kenapa tidak (اَلحَضُّ)- permohonan. Maksud ayat, "Dan mereka (orang kafir Mekah) berkata, "Mengapa tidak diturunkan mukjizat-mukjizat daripada Tuhannya?".

8.0] Perbincangan tentang tafsir kalimah yang kedua di dalam surah Al-Ankabut ayat 50 ini ialah kalimah innama اِنَّمَا yang diterjemahkan sebagai hanya saanya. Faedahnya ialah untuk menetapkan hukum bagi sesuatu yang disebut dan menafikan daripada apa-apa yang selainnya. Cara memahami Al-Quran ialah dengan memahami huruf dan kalimah yang sama tetapi berlainan makna, memerhati dengan terperinci supaya mendapat makna yang tepat dan kefahaman yang betul.

اِنَّمَا - اَدَاةُ اَلحَصْرُ- اَلقَصْرُ- اَلتَّخْصِيْصُ

اِثْبَاتُ الحُكْمِ لِلمَذْكُوْرِ وَنَفِيُهُ عَمَّا عَدَاهُ  -  menetapkan hukum bagi sesuatu yang disebut dan menafikan daripada apa-apa yang selainnya.
Contohnya;

i) مُحَمَّدٌ رَّسُولُ الله - Muhammad saw utusan Allah. Ianya  kalimah khabar, yang mana orang yang mendengar boleh jadi percaya atau pun tidak.

ii) اِنَّ مُحَمَّدًا رَّسُولُ الله - Sesungguhnya Muhammad saw utusan Allah. Bukan sekadar memberitahu tetapi untuk menyakinkan semua orang tentang kerasulan Nabi saw, tetapi masih ada kemungkinan ada jawatan lain lagi yang dipegang oleh Nabi saw.

iii) اِنَّمَا مُحَمَّدٌ رَّسُولُ الله  - Hanya saanya Muhammad saw utusan Allah, supaya tidak ada yang ragu lagi bahawa Muhammad saw itu tidak memegang jawatan yang lain selain sebagai Rasulullah. Itu menunjukkan ithbatul hukmi, yang mengithbatkan kerasulan Nabi keatas diri Nabi saw dan menafikan adanya sesuatu yang lain selain Rasul.

Tengoklah Nabi saw sebagai Rasul yang berniaga, yang berperang, yang berumah-tangga dan sebagainya dan wajib dicontohi, supaya semua perbuatannya dapat menjadi contoh kepada umatnya. Maka apa sahaja yang dilakukan Nabi saw walaupun tentang urusan dalaman rumahtangganya diceritakan untuk diteladani. Kata Saidatina Aisyah r.'anha, "Adalah Rasul mencium salah seorang isterinya kemudian mengerjakan solat". Sahabat yang mendengarnya bertanya kembali kepada Saidatina Aisyah r.'anha,"Bukankah isteri yang dicium Nabi saw itu ialah kamu ?" Saidatina Aisyah r.'anha tidak menjawab tetapi hanya tersenyum menandakan kebenarannya. Cerita tentang Nabi saw dengan isterinya boleh diceritakan untuk menjadi contoh bahawa tidak batal wudhuk dengan sebab mencium isteri.

[Nota; Kita umat biasa tidak dibolehkan untuk menceritakan hal dalaman hubungan antara suami-isteri kerana dikira mengumpat].

9.0] Contoh penggunaan istilah penguat  اِنَّمَا  bagi kita ini, boleh diguna pakai dalam soalan seperti;
i) Adakah kita sebagai orang Islam yang tinggal di Malaysia, atau
ii) Adakah kita orang Malaysia yang beragama Islam?

Dua kenyataan di atas itu lain maknanya. Kita adalah haanya saanya (اِنَّمَا) orang Malaysia yang beragama Islam sebab itulah  kita sangat sayangkan negara Malaysia ini berbeza dengan orang Islam yang tinggal di Malaysia, yang mungkin secara kebetulan, yang tidak sayang kepada negara ini sepenuhnya. Adalah tidak salah punya rasa cinta kepada negara dan budaya.

10.0] Ada kisah Nordin Mat Top dari Malaysia yang telah pergi ke Indonesia dan merekrut budak-budak Indonesia untuk mengebom disana sini. Dia bukan orang Indonesia, dia hanya orang Islam yang tinggal di Indonesia, sebab itulah tergamak melakukan sedemikian.

11.0] Contoh tentang penggunaan istilah lagi;
Kalau kita beritahu seseorang;

i) اَنَا مُءمِنُون- "Saya seorang mukmin"

ii) اِنَّ مُءمِنُون- "Sesungguhnya saya seorang mukmin"

iii) اِنَّمَا  مُءمِنُون- "Hanya saanya saya seorang mukmin"- Apabila sudah mengatakan اِنَّمَا  مُءمِنُون- maka jangan sampai ada sebarang tingkahlaku yang tidak mukmin, kerana penggunaan kalimah اِنَّمَا  adalah menetapkan hukum bagi apa yang disebut selepasnya dan menafikan selain apa yang tidak disebut. اَلحَصْرُ- dibatasi- dihad- dikhususkan apa yang disebut sahaja.

12.0] Tafsir Ar-Rozi, petikan dari kitab Mafatihul Ghaib berkenaan surah Al-Ankabut ayat 50 ini, "Bukti menunjukkan bahawa Al-Quran ini adalah 100% daripada Allah, dan bukan daripada Rasul saw, dan setelah orang kafir gagal untuk menimbulkan keraguan tentangnya, akhirnya orang kafir itu timbulkan syubuhat lain dan dinyatakan di dalam surah Az-Zukhruf ayat 31". Rujuk surah Az-Zukhruf ayat 31;

Mula-mula orang kafir nafikan tentang Al-Quran dan mengatakan bahawa Al-Quran bukan daripada Allah, tetapi mereka gagal dengan adanya penjelasan seperti didalam surah Al-Ankabut ayat 45, 46 dan 47. Kemudian mereka kata Al-Quran adalah hasil ciplak atau salinan Nabi saw dari kitab-kitab dahulu, juga tidak berasas dan mereka gagal lagi kerana Nabi saw adalah seorang ummiyy yang tidak tahu baca-tulis, sepertimana telah dijelaskan di dalam surah Al-Ankabut ayat 48, dan surah Al-A'raf ayat 157 di dalam kuliah lepas. Akhirnya mereka akui bahawa Al-Quran itu daripada Allah tetapi mereka belum akui Nabi saw sebagai utusan Allah berdasarkan surah Az-Zukhruf ayat 31 di atas. Mereka timbulkan pula syubuhat.

Pada masa turunnya Al-Quran, terdapat 2 bandar di Semenanjung Arab Al-Jazirah , iaitu bandar Mekah dan Thoif. Ramai peniaga yang saling mengadakan transaksi perniagaan di dua buah bandar tersebut. Abbas Ibnu Mutalib yang kaya-raya memberi hutang kepada pedagang Thoif dengan laba (interest) yang berganda-ganda. Ada orang yang lebih terkenal di situ iaitu Al-Walid Al-Mughirah dan bukannya Muhammad. Sehingga Abu Jahal pemimpin Quraish pernah berkata, "Tapi kenapa kitab yang suci ini tidak diturunkan kepada Al-Walid Al-Mughirah, orang yang rajulun 'azim, orang yang besar yang telah dikenali di bandar ini?". Itu petanda menunjukkan bahawa mereka menerima hakikat bahawa Al-Quran itu bukan karangan Muhammad saw. Mereka timbulkan pula syubuhat iaitu Muhammad saw tidak layak diturunkan Allah Al-Quran tetapi sepatutnya diturunkan kepada Al-Walid Al-Mughirah. Alasan ini juga sangat rapuh dan tidak kuat dan akhirnya mereka menerima bahawa Al-Quran itu tidak ciptaan Muhammad saw dan memang patut Al-Quran itu diturunkan kepada Muhammmad saw kerana akhlaknya yang lebih baik daripada Al-Walid Al-Mughirah. Tidak terhenti setakat itu mereka terus mendesak, "Tetapi kenapa tidak diturunkan ayat (bukti) dari Tuhan?, kenapa tidak diberi mukjizat seperti yang telah diberi kepada Nabi-Nabi dahulu?" Mukjizat Nabi Soleh as dengan untanya, Nabi Musa as dengan tongkat ajaibnya, Nabi Isa as dengan tangan ajaibnya yang dapat menghidupkan orang mati dan menyembuhkan orang sakit dengan sentuhannya, dengan izin Allah SWT. Nabi Ibrahim as yang tidak mati dibakar dan lain-lainnya. Itulah maksud surah Al-Ankabut ayat 50 di atas, "Kenapa Muhammad tidak diberi ayat atau mukjizat?".

13.0] Mukjizat ada 2 jenis iaitu mukjizat hissiyyah dan mukjizat ma'nawiyyah atau 'aqliyyah.

i) Mukjizat hissiyyah:- mukjizat yang boleh dilihat dengan mata, yang boleh di dengar dengan telinga yang boleh dipegang dengan tangan. Contohnya, unta Nabi Soleh as yang Allah keluarkan dari batu yang boleh mereka lihat dan pegang dan akhirnya mereka bunuh. Nabi Musa as dengan tongkat yang boleh membelah laut, Nabi Ibrahim as yang tidak hangus dibakar dan berbagai-bagai lagi mukjizat bagi Utusan Allah.

ii) Mukjizat ma'nawiyyah atau 'aqliyyah:- mukjizat teragung, iaitu Al-Quran Al-Karim, yang sangat hebat dari segi bahasanya, jumlah hurufnya, segi istilah, perkataannya yang mengkagumkan, bukti , dalil, cerita, ilmu yang tiada tandingan dan boleh dilihat dari 'i'jaz Al-Qurani.

14.0] Orang kafir Quraisy akhirnya mengaku bahawa Al-Quran itu bukan hasil tulisan atau karangan atau ciplak daripada Nabi Muhammad saw, kemudian mereka usulkan pula kenapa tidak Allah turunkan mukjizat hissiyyah kepada Muhammad saw. Ada peribahasa Melayu yang mengatakan , "Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih". Begitulah syubuhat yang ditimbulkan oleh orang-orang kafir Quraisy. Lalu Allah memerintahkan Nabi Muhammad saw menjawab seperti yang terdapat di dalam surah Al-Ankabut ayat 50 diatas.

15.0] Sebenarnya Nabi Muhammad saw, Nabi yang terakhir ini, Allah telah berikan kedua-dua jenis mukjizat tersebut, berbeza dengan Nabi-Nabi sebelumnya yang hanya diberi mukjizat hissiyyah sahaja. Nabi Muhammad saw diberi mukjizat hissiyyah dengan dapat membelah bulan, keluar air dari jarinya, makanan yang sedikit dapat dimakan oleh ramai orang dan juga kisah Isra' Mikraj dan lain-lain. Namun Nabi Muhammad saw tidak gunakan medan mukjizat hissiyyah ini sebagai alasan dakwahnya malah Baginda lebih menonjolkan tentang mukjizat 'aqliyyah iaitu Al-Quran dan kita semua dicabar dengan mukjizat 'aqliyyah Al-Quran ini.

16.0] Mukjizat hissiyyah, bagi umat yang hidup pada zaman itu, boleh jadi percaya atau tidak. Apa lagi bagi umat yang datang kemudian yang tidak melihat sendiri kejadian tersebut, tentunya ada yang percaya dan juga tidak. Jikalaulah, sekiranya, andai kata, kisah mukjizat seperti tentang terbelahnya Laut Merah dengan tongkat Nabi Musa as tidak ada di dalam Al-Quran, tentu kita tidak percaya. Susah untuk kita percayai walaupun ada di dalam kitab Injil atau Taurat. Berbanding dengan mukjizat 'aqliyyah seperti Al-Quran yang dapat dilihat, dikaji setiap masa. Beruntungnya bagi kita. Penjelasan daripada sesetengah ulama; "Ketika taraf pemikiran insan masih rendah, Allah tunjukkan dengan mukjizat hissiyyah yang sesuai dengan kemahiran dan kegilaan orang ketika itu. Contohnya Nabi Yusof as yang pandai tadbir mimpi sesuai dengan umatnya yang cenderung tentang itu. Begitu juga bagi Nabi-Nabi terdahulu yang diberi mukjizat hissiyyah sesuai dengan kecenderungan umat dizaman mereka".

17.0] Umat Nabi Muhammad saw yang lebih berdaya fikir, lebih 'ilmiah, lebih rasional, punya IQ tinggi, maka diberilah mukjizat yang 'ilmiah iaitu Al-Quran. Itu pun masih ada orang yang inginkan mukjizat hissiyyah seperti contohnya apabila berlaku pisang berbuah 10 tandan, maka berduyun-duyunlah orang yang datang. Atau jika ayam ada 10 kepala, ada orang yang sanggup membelinya dengan harga 10 ribu ringgit, namun tidak ingin dijual oleh yang ampunya atas alasan yang boleh pula menambahkan syirik kepada Allah SWT. Ujian yang paling besar pula ialah orang boleh jadi syirik dengan  sesuatu yang mengkagumkan mereka.

18.0] Surah Al-Ankabut ayat 50 ini, menjelaskan dengan sejelas-jelasnya tugas Nabi saw yang hanya diutus sebagai pemberi peringatan. Kata Ar-Rozi yang lebih kurang sama dengan Ibnu Kathir, bahawa sabda Nabi saw, "Hanya saanya tugas aku ini sebagai pemberi peringatan yang jelas. Orang yang berpaling dari peringatan ku akan hadapi jalan yang buruk (jalan ke neraka), dan bukan tugas ku mereka-reka sesuatu yang jadi permintaanmu. Jangan kamu minta kaya kepada ku, tetapi berusahalah. Bagi yang sakit, jangan kamu minta sihat kepada ku, tetapi berubatlah dan nanti aku akan bantu mu dengan doa. Jangan minta lebih-lebih. Tugas ku hanya saanya sebagai penyampai peringatan yang jelas nyata". Meminta dan memohon hanya kepada Allah, dan Allah memberi apa yang bermanafaat kepada hambaNya. Tanda kasih-sayang Allah kepada hambaNya.

19.0] Kaum musyrik yang mencabar Allah dengan cabaran luarbiasa namun Allah tidak melayan cabaran mereka, boleh dirujuk di dalam surah Al-Anfal ayat 32 dan 33;

Ini doa daripada orang yang berhati busuk. Sepatutnya berdoa supaya dibukakan Allah hati yang tertutup, malah diminta supaya diturunkan hujan batu. Allah tidak melakukan sedemikian. Kenapa Allah tidak turunkan azab itu kepada mereka? Kenapa Allah tidak melayan cabaran mereka? Bukan kerana Allah tidak berkuasa, bukan kerana tidak cukup bukti untuk menyiksa mereka. Tengok jawapan Allah kepada mereka di dalam surah Al-Anfal ayat 33 seterusnya. Allah Maha pengasih. Rupanya sebagai rahmat kepada mereka. Mereka beruntung kerana hidup sezaman dengan Nabi saw, kekasih Allah yang Allah tidak ingin NabiNya melihat sendiri kaumnya yang menentangnya disiksa. Nabi-Nabi lain melihat sendiri kaumnya yang menentangnya disiksa sepertimana Nabi Nuh yang melihat sendiri anaknya dan kaumnya ditenggelamkan banjir besar.

20.0] Sekarang Nabi saw sudah tiada, apa yang menghalang Allah dari menyiksa kita jika kita jahat?Sambunglah dengan akhir ayat surah Al-Anfal ayat 33 diatas. "Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun". Selagi manusia memohon keampunan, selagi manusia mahu beristighfar, bertaubat dengan sesungguh-hati, maka akan dapat menghalang dan meredamkan kemurkaan, kemarahan Allah. Nabi Muhammad saw adalah Rahmatallil'aalamin -Rahmat keseluruh alam. Oleh itu beristighfarlah dengan sepenuh-hati. Beristighfar tidak boleh sekali sekala tetapi perlulah sentiasa sepanjang  masa. Beristighfar tidak hanya dibibir, tetapi beristighfar dengan hati yang benar-benar memohon kemaafan daripada Allah SWT. Mengakui kekhilafan diri yang sentiasa melakukan kesilapan zahir dan batin, telah melakukan dosa-dosa yang besar atau kecil, dosa-dosa yang telah dilakukan, yang sedang dilakukan dan yang akan dilakukan,  dosa yang sengaja atau tidak sengaja, yang kita tahu yang kita tidak tahu, yang kita sedar yang kita tidak sedar, yang sembunyi yang nyata, yang masih diingat atau yang sudah dilupakan. Beristighfar bukan dengan mengejar bilangan ucapan semata namun mestilah sebagai suatu pengakuan diri yang lemah yang hanya mengharapkan keampunan dan kemaafan daripada Yang Maha Pengampun Yang Maha Pemaaf.

21.0] Suatu contoh istighfar yang tidak menepati maknanya yang biasa terjadi di dalam kehidupan kita;
Ada anak yang tidak puas hati dengan orang tuanya yang tinggal bersamanya lantaran sifat orang tua yang kembali seperti budak-budak. Orang tua yang melakukan kesilapan di sana-sini, bersepah-sepah, tidak rasional lagi dalam segala tindakan. Anak yang baru kembali dari kerja yang kepenatan, beristighfar dengan kuat-kuat dan panjang-lebar melihatkan keadaan rumahnya yang diselerakkan oleh orang tuanya. Apakah itu istighfar yang memohon ampunan? Tidak! Sebaliknya anak itu sedang meledakkan perasaannya, menzahirkan kekecewaannya, yang dipanggil sebagai uffun anak kepada orang tuanya. 'Uf'' itu menunjukkan rasa sedih, rasa kecewa, rasa marah, rasa bengkak,yang keluar dari mulut anak kepada orang tuanya. Bukan semata-mata kata-kata kasar seperti cis, uh, apalah dan seumpamanya, namun apa pun ucapannya, di dalam bahasa apa pun jua, walaupun dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, luahan rasa bengkak anak terhadap orang tuanya adalah sangat dimurkai Allah.

22.0] Beristighfarlah dalam apa jua keadaan. Ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya, beristighfarlah, mungkin sebab ketika memohon untuk balik awal tadi telah memberi alasan yang tipu. Sebenarnya bermacam-macam lagi rahsia dan hikmah disebalik unjuran supaya kita terus menerus beristighfar. Beristighfarlah.Moga bermanafaat. Aamiiiin.












No comments:

Post a Comment