Tuesday, August 30, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 41) Kuliah 41-Tentang Sarang Labah-Labah

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 41;

Surah Al-Ankabut ayat 41 ini menceritakan tentang perumpamaan akidah atau kepercayaan orang Musyrik yang diumpamakan seperti Baitul Ankabut (sarang labah-labah). Sebelum dihuraikan tentang ayat ini, disampaikan dahulu tentang bahasa di dalam Al-Quran dimana apabila ada 2 kalimah yang hurufnya sama tetapi jika membacanya berbeza maka maknanya pun berbeza. Contohnya di dalam ayat di atas ada kalimah yang terdiri dari huruf ;

م ث ل  ـ مِثْل  ـ مَثَلٌ
Boleh dibaca mithlun dan juga boleh dibaca mathalun. Kedua-duanya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sama sebagai Perumpamaan. Kalimah ini banyak sekali diulang-ulang di dalam Al-Quran. Apabila kalimah ini dibaca sebagai mithlun مِثْل maka ia bermakna tasybiihu mufrad bimufrad iaitu bermaksud menyerupakan atau menyamakan individu dengan individu. Contohnya apabila dikatakan Muhammad mithlu abiihi bermaksud Muhammad seperti bapanya, Muhammad disamakan dengan bapanya dari satu segi sahaja samada dari segi rupa yang serupa hingga susah untuk dibezakan  atau dari segi kedua-duanya adalah manusia atau lelaki, tidak lebih dari itu. Tetapi jika dibaca sebagai mathalun ـ مَثَلٌ maka sudah lain maksudnya dimana ia membawa maksud tasybiihu qissoh atau tasybiihu muta'ad bimuta'adadu yang bermaksud menyerupakan kisah atau menyerupakan sesuatu yang banyak dengan sesuatu yang banyak berbilang. Contohnya, Mathalu Muhammad kamathali abiihi yang bermaksud Muhammad menyerupai atau menyamai bapanya dalam serba serbi, seperti sama kulitnya, perangainya, kecenderungannya, cara tidurnya, cita-citanya , semua sama, persamaan yang sangat banyak.

2.0] Rujuk surah As-Syuura ayat 11, masih lagi tentang tafsir bahasa dahulu supaya tidak terkeliru.


Perhatikan kalimah laisa kamithlihi syai' yang bermaksud tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia. Maknanya, yang serupa, mithlu dengan Allah tiada, malah yang serupa dengan yang serupa mithlu dengan Allah pun tiada. Untuk Allah tidak ada sesuatu yang mithlun dengan Allah walau pun mithlun yang sedikit. Jangankan ada sesuatu yang serupa dengan Allah, yang serupa dengan yang menyerupai Allah pun tidak ada. Itu bermakna Allah itu Ahad. Itu Aqidah Tauhid. 

3.0] Rujuk lagi surah Asy-Syura ayat 40;

Perhatikan lagi kalimah mithluha yang bermaksud serupa. Di dalam ayat di atas menjelaskan bahawa balasan untuk suatu kejahatan adalah serupa. Contoh mithlun tasybiih lagi ialah jika dikatakan," Sidia itu macam meja" yang mana persamaannya boleh jadi kerana hanya sama-sama ada kaki, itu saja tidak lebih.

4.0] Ada pun mathalun ـ مَثَلٌ yakni tasybiih juga, menyamakan persamaan sesuatu dengan sesuatu yang lain dari segi kisah, cerita atau tasybiih muta'ad bimuta'addidin iaitu menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dalam berbagai aspek. Contoh, apabila A dan B banyak sekali persamaan maka kita guna kalimah mathalu. Rujuk surah Aa li Imran ayat 59;

Perhatikan ayat di atas, dimana Adam dan Isa adalah mufrad (individu), menyamakan individu dengan individu, sepatutnya digunakan kalimah mithlu tetapi kenapa disini digunakan kalimah mathalu? Kalaulah kerana kedua-duanya makhluk Allah, patutnya guna kalimah mithlu, atau kalaulah kerana kedua-duanya utusan Allah, juga patut guna kalimah mithlu. Tetapi kenapa disini digunakan kalimah mathalu? Ini adalah kerana Adam dan Isa punyai banyak sekali persamaannya. iaitu tasybiihu qissoh atau tasybiihu muta'addidin. Ini adalah mukjizat Al-Quran yang luar biasa untuk Allah  menceritakan tentang Adam dan Isa yang punyai banyak persamaan dari pelbagai aspek. Salah satunya ialah keduanya lahir tanpa bapa.

5.0] Kembali kepada surah Al-Ankabut ayat 41 di atas. Kegunaan kalimah mathal dan bukan kalimah mithlun ialah kerana Allah ingin menyamakan orang-orang yang musyrik yang menjadikan selain Allah sebagai Tuhan adalah sama betul dengan ankabut (labah-labah) yang membuat rumahnya yang adalah selemah-lemah rumah. Ayat ini benar-benar mengajak kita untuk berfikir lebih mendalam, untuk fahami apa maksud Allah tentang ayat ini.

6.0] Pendapat ulama tafsir tentang ankabut (labah-labah), yang termasuk dalam golongan karnivora ini adalah hampir serupa iaitu tentang kelemahan labah-labah yang tidak punyai apa-apa keistimewaan. Sejak mufassir abad ke 7, seperti Abdullah bin Abas, seorang anak didik Nabi saw sehinggalah kepada mufassir abad ke 20 iaitu Dr. Mustafa Al-Marowi, mantan Saiful Azhar, sama-sama mengatakan bahawa rumah atau sarang labah-labah  adalah sebagai sangat lemah kerana tidak dapat melindungi penghuninya dari panas atau hujan. Salah satu daripada fungsi rumah ialah untuk lindungi diri dari cuaca, panas, hujan dan sebagainya. Semua makhluk seperti anai-anai, burung, katak, tikus, manusia dan sebagainya pasti nya membuat rumah untuk lindungi diri dan ternyata rumah labah-labah ini tidak dapat melindungi nya dari panas atau hujan dan tidak juga untuk lindungi daripada musuh. Rumah labah-labah adalah rumah yang paling rapuh, mudah rosak, sentiasa perlukan pengurusan, maintainance yang terus menerus.

7.0] Ada fakta dari Sarjana Turki yang bernama Harun Yahya, yang membuat kajian tentang rumah atau sarang labah-labah dalam hasil terjemahannya yang mengejutkan iaitu;

i) Rumah atau sarang labah-labah adalah memerlukan pengurusan atau penjagaan terus menerus kerana bahagian benangnya boleh rosak hanya dengan tiupan angin atau terkena hujan atau dengan gerakan mangsanya. Rumah yang tidak pernah siap kerana sentiasa dibaiki dan kena menjaganya terus menerus. Tidak seperti busut atau sarang burung dan sebagainya yang mana penghuninya dapat duduk dengan tenang setelah buat rumah.

ii) Rumah yang tergantung, namun dalam waktu 24 jam iaitu sehari semalam jaring yang telah dibuat itu akan kehilangan sifat sebagai perangkap mangsa dan rosak. Walau pun jika tidak dapat lagi menangkap mangsa, rumah atau sarang labah-labah itu kena dibuat semula.

iii) Rumah atau sarang yang telah dibuat itu dibongkar secara berkala dan dibuat semula. Labah-labah itu akan memakan rumah atau sarangnya dan membina semula rumah yang baru walau pun rumah yang lama belum dapat menangkap apa-apa mangsa. Ada labah-labah Tropika yang membina rumah pada malam hari dan memakannya pada siang harinya dan kemudian membinanya semula.

8.0] Dari tafsir Al-Jaami'ul Al-Ahkamil Quran oleh Imam Al-Qurtubi, meriwayatkan hadith daripada Yazid bin Maisarah ada menyatakan bahawa ankabut atau labah-labah adalah setan yang Allah tukarkan bentuk rupanya. Tafsir Al-Qurtubi itu juga diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib yang mengatakan, "Bersihkan rumah-rumah kamu dari sarang labah-labah kerana dengan membiarkan sarang labah-labah di dalam rumah, ia akan mewariskan kemiskinan".

9.0] Di dalam Tafsir Ad-Duur Al-Mansur yang dikarang oleh Jalaluddin As-Suyuti, beliau mengutip hadith mursal daripada Abu Daud yang berasal daripada Yazid bin Marthad ra mengatakan bahawa Rasul saw bersabda, "Ankabut itu adalah syaitan yang telah diubah Allah bentuk dan rupanya, maka sesiapa yang menjumpainya hendaklah membunuhnya'. Wallahu 'a'lam. Andainya jika ankabut atau labah-labah ini dibesarkan saiznya tentu sekali sangat menakutkan.

10.0] Yang Menarik tentang ankabut atau labah-labah ini ialah tentang mukjizat Al-Quran yang menerangkan tentang Baitul Ankabut, rumah ankabut. Allah tidak menyebut serat atau benang tetapi Allah kata tentang rumah kerana serat atau benangnya  adalah ciptaan Allah yang sangat kuat  dan hebat. Di dalam Majalah Sains Edisi ke 5 Januari 1996, seorang saintis bernama Jelenski iaitu orang Eropah Timur, bersama kawan-kawan  teamnya dari Universiti New York telah membuat kajian di makmal dan telah temui fakta bahawa jaring labah-labah itu adalah terbuat dari berbagai molekul yang mempunyai kekuatan 5 kali ganda menandingi keluli pada saiz yang sama. Contohnya jika tali keluli berdiameter 30 sentimeter boleh mengangkut 180 buah kereta maka bermakna ankabut atau labah-labah ini dapat menghasilkan bahan yang jauh lebih kuat daripada keluli tambahan pula ia punyai sifat kelenturan atau elastisiti 2 kali ganda daripada Nylon.

11.0] Di Jerman telah dikembangkan teknologi Bio Engineering ini. Dilakukan pembiakan labah-labah secara besar-besaran untuk mendapatkan benang-benang untuk dijadikan bahan campuran yang sangat luar biasa kuat nya untuk membuat badan kereta kebal, atau untuk dijadikan salut peluru atau untuk dibuat baju kalis peluru. Di Silicon Valley telah diusahakan bahan ini untuk membalut cip kerana sangat nipis, halus  tetapi sangat kuat dan tahan. Manalah tahu mungkin di suatu hari nanti. lebih banyak peralatan canggih, mungkin periuk untuk kita memasak, yang dibuat dari bahan campuran dari serat atau rumah ankabut ini. Subhanallah.

12.0] Orang-orang kafir benar-benar lebih juara dalam mentafsirkan Ayat-ayat Kauniyah di dalam Al-Quran yang berkenaan dengan penciptaan Alam Semesta. Kita pula yang empunya kitab, hanya membaca, mengkhatam berkali-kali, menyediakan bunga telur pada majlis khatam yang meriah, setakat itu sahajakah? Tetapi mereka yang kafir lebih suka mengkaji ayat-ayat kauniyahnya. Telah diberitahu di dalam Al-Quran, bahawa untuk menjadi juara, mestilah gunakan budaya "Iqra' Bismi Robbikallazi Kholaq" iaitu, "Bacalah, dengan Nama Tuhan kamu Yang Menciptakan". Mana-mana bangsa yang telah membudayakan budaya Iqra', pasti akan jadi juara, menjadi negara maju, sumber human-capital yang luar biasa, mengkaji ayat-ayat kauniyah sehingga berjaya. Secara umumnya, kita apabila melihat sarang ankabut atau labah-labah, hanya semata-mata melihat. Alangkah ruginya kita.

13.0] Maa syaa Allah, sesungguhnya itulah nilai mukjizat Al-Quran tentang Baitul Ankabut, dimana Allah telah menyebut tentang rumahnya yang sangat lemah dan tidak berfungsi, tetapi Allah tidak pula menyebut tentang bahan yang Allah jadikan serat atau rumah itu.

14.0] Kembali kepada andaian tentang ankabut atau labah-labah ini. Bagaimana Ali bin Abi Talib berkata iaitu didalam hadis, Nabi saw bersabda bahawa ankabut itu adalah syaitan yang telah diubah Allah bentuknya. Manakala ada pula cerita tentang ankabut yang telah berjasa membuat sarang dipintu gua ketika Nabi saw dan sahabat berhijrah. Kenapa disuruh bunuh dan dibuang sarangnya?.

15.0] Tentang kisah ankabut atau labah-labah yang telah membuat sarang dipintu gua ketika Nabi saw berhijrah itu sebetulnya ada terdapat berbeza pendapat, iaitu;
i) Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Askolani mengatakan bahawa riwayat itu hasan di dalam kitab Al-Bidayah Wa Hidayah.
ii) Ibnu Kathiir juga mengatakan itu isnad nya hassan (boleh diterima), manakala
iii) Muhaddith Nasirudin Al-Baani mengatakan itu hadith lemah dan mungkar .

16.0] Imam Ahmad bin Hambal memberi penjelasan bahawa, "Apabila kami meriwayatkan daripada Nabi saw perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam, halal-haram, maka kami akan bersikap tegas iaitu dalam masalah Isnad tetapi apabila kami meriwayatkan hadis daripada Nabi saw perkara berkaitan dengan Fadhoil 'a'mal, iaitu keutamaan amalan atau pun yang tiada kaitan dengan hukum hakam halal haram seperti yang berkaitan dengan kisah-kisah, maka kami bersikap lebih lembut dan bertolak ansur".

17.0] Ulama-ulama ada yang boleh menerima dan ada yang menolak, tetapi yang pasti kita tidak membicarakan tentang betul atau tidak kisah ankabut di pintu gua itu atau kisah betul atau tidak ankabut itu syaitan. Mengikut hadith-hadith soheh, Nabi saw telah menyuruh membunuh binatang berbisa seperti ular, kala jengking, lipan dan seumpamanya jika kita sudah yakin dan nyata binatang itu mendatangkan ancaman kepada keselamatan diri kita. Kita tidak boleh membunuhnya selagi ia tidak mendatangkan bahaya ancaman kepada kita. Kita tidak boleh sengaja mencari binatang-binatang berbisa itu untuk dibunuh. Tidak mungkin Allah ciptakan makhluknya hanya untuk dibunuh dengan sia-sia, begitulah juga dengan ankabut atau labah-labah ini. Jika terdapat sarangnya atau rumahnya di kediaman kita, buang sahaja, itu yang sebaiknya.

18.0] Dari hadith soheh Imam At-Tabrani dalam kitabnya, daripada Asma' binti Abu Bakar, ada menyatakan  bahawa kafir Quraisy itu tidak tahu yang Nabi saw dan Abu bakar berada di dalam gua itu, bukan sebab labah-labah membuat sarang di pintu gua tetapi Nabi saw dan Abu Bakar dilindungi oleh malaikat. Ketika Abu Bakar nampak ada orang Quraisy di pintu gua, Abu bakar berkata kepada Nabi saw,"Ya Rasulullah, tentu mereka boleh melihat kita", tetapi dijawab Nabi saw, "Tidak, tidak tidak, kerana malaikat akan tutupi kita dengan kepak-kepak dan sayapnya". [Nota; tempat persembunyian itu hanyalah gharr iaitu gua yang kecil bukan kahfi (cave) atau gua yang besar]. Oleh itu baiklah kita ambil langkah Al-Khuruj Minal Khilaf iaitu keluar dari kekhilafan.

19.0] Kembali kepada surah Al-Ankabut ayat 41, dimana orang kafir Musyrik yang menyembah selain Allah. Tuhan mereka tidak boleh diharap langsung. Contohnya orang kafir yang berdoa kepada patung, yang tidak boleh mendengar, patung itu tidak tahu pun samada orang itu berdoa atau memakinya. Patung itu tidak nampak, tiada daya. Kalau ada bencana pun bukannya patung itu dapat menyelamatkannya bahkan patung itu kena diselamatkan oleh penyembahnya. Bukan kah tujuan menyembah Tuhan ialah;
i) Apabila kita sakit, Dia Yang Menyembuhkan.
ii) Apabila kita hina, Dialah Yang Muliakan.
iii) Apabila kita dianiaya, Dia Yang Menolong.
iv) Apabila kita berbuat kebaikan, Dialah Yang Memberi ganjaran dan seterusnya?.

20.0] Ankabut atau labah-labah membuat rumah yang sama sekali tidak berfungsi, yang tidak mempunyai manafaat bahkan  sia-sia, samalah dengan orang yang menyembah selain Allah yang tidak mendapat apa-apa dari yang disembah. Rujuk surah Yasin ayat 74 dan 75;


Orang-orang yang mengambil selain dari Allah sebagai sembahan tidak akan dapat ditolong oleh sembahan mereka itu. Orang menyembah pokok, lembu, keris dan sebagainya, yang tidak boleh memberi apa-apa pertolongan kepada penyembahnya. malah jika ada musibah, yang disembah itu pula yang kena diselamatkan.

21.0] Sekarang tentang ankabut yang sangat ajaib, punya rumah yang sangat lemah, punya bahan yang sangat kuat keluar dari tubuhnya untuk buat rumahnya,  tetapi punyai perangai yang sangat dahsyat. Kita diingatkan supaya tidak mengikut mentaliti atau mazhab ankabut ini. Rujuk surah Al-Ankabut ayat 41 diatas dimana dari segi i'jaz atau kemukjizatan Al-Quran, Allah telah berfirman "ittakhozat baitan" yang menunjukkan ankabut yang membuat rumah itu adalah ankabut atau labah-labah betina (muannas) tetapi yang jantan tidak buat rumah. [Nota; Ankabut= labah-labah betina=muannas, manakala Ankabun=labah-labah jantan=muzakkar] 

22.0] Sejak 14 abad yang lalu, Allah telah beritahu di dalam Al-Quran tentang ini, samalah seperti si kelip-kelip yang mana perut kelip-kelip betina yang mengeluarkan cahaya. Kelip-kelip atau kunang-kunang atau fire-fly betina apabila tiba musim mengawan perutnya akan mengeluarkan cahaya untuk menarik perhatian yang berlainan jenis. Begitu juga dengan kupu-kupu betina yang keluar malam untuk menarik perhatian lain jenis untuk mengawan, sebab itu lah timbul istilah kupu-kupu malam.

23.0] Ankabut betina tidak akan mula membuat rumah sehinggalah ia telah baligh dan bersedia untuk cari pasangannya dan itu adalah persediaan baginya untuk menarik si jantan yang memang tidak punya keupayaan buat rumah lantaran fitrahnya dimana perutnya tidak ada kilang untuk membuat serat seperti yang betina. Tiba masa ankabut betina dan jantan mengawan, dan setelah usai bersama (mengawan), ankabut betina akan membunuh dengan memakan ankabut jantan.

24.0] Kalimah talkih bermakna hubungan suami-isteri bagi binatang atau pokok tumbuhan. Ada disebut di dalam A-Quran tentang lawakih ini iaitu ejen persenyawaan (juru nikah)  bagi haiwan dan tumbuhan yang boleh jadi angin atau haiwan lain.

25.0] Ankabut Al-Armilatis Sauda' iaitu Black Widow Spider atau Labah-labah Janda Hitam, membunuh pasangan intimatenya setelah selesai melakukan hubungan intim dan si betina sudah yakin dan pasti yang si jantan telah berjaya membuntingkannya. Jika belum, diberi lagi peluang kedua, kemudian si jantan dibunuhnya tanpa kesihan belas.

26.0] Terdapat 8 atau 9 jenis ankabut atau labah-labah yang punyai fe'el perangai yang berbeza;
i) Ada yang membiarkan si jantan tidak dibunuh, hidup berlegar-legar diperangkap sarangnya supaya apabila tiba masa anak-anaknya menetas, biar anak-anaknya yang akan makan si jantan itu. Satu situasi dahsyat dimana siibu yang telah memikirkan masa depan anak-anaknya dengan menyediakan sibapa untuk dimakan oleh anak-anaknya.
ii) Setengahnya pula bila anaknya lahir, sijantan dibunuh dan diberi makan sedikit-sedikit kepada anak-anaknya. Perangai Al-Ankabutiah yang sangat dahsyat. Kesihan si jantan, yang tidak dapat buat rumah sendiri, terpikat dengan rumah si betina yang akhirnya menjadi mangsa.
iii) Satu lagi jenis ankabut yang lebih dahsyat iaitu akan memakan si jantan selepas berhubungan intim dan juga memakan anak-anaknya yang baru lahir dengan rakus.
iv) Ada juga yang mati setelah bertelur, telur yang banyak kemudian menetas, anak-anak yang sangat banyak, bapa sudah mati, ibu juga sudah mati, anak yang ramai tanpa ada yang membela.

27.0] Tahukah kita bahawa telur-telur ankabut atau labah-labah itu sendiri pun sudah ada bakat gaduh, telur yang banyak itu saling tolak menolak sehingga telur yang tidak tahan dengan tolakan akan pecah. Apa maknanya semua ini? Ini adalah suatu falsafah hidup yang sangat buruk. Mereka ingin hidup dengan membunuh orang lain. Jangan sekali-kali kita punyai mentaliti ankabut, jauhilah dari dianuti cara hidup sedemikian;.
i) Ingin kaya boleh, tetapi jangan memiskinkan orang lain.
ii) Ingin naik jawatan boleh tetapi jangan pijak orang lain.
iii) Ingin senang boleh tetapi jangan dengan susahkan orang lain.
iv) Ingin bina istana, silakan, tetapi jangan memeras keringat orang lain.

28.0] I'jaz yang boleh dipelajari, yang boleh dikaji dari keadaan penghidupan dan perangai ankabut ini sangat banyak yang telah Allah berikan kepada kita untuk di fikir dan dikaji dan diambil iktibar.

29.0] Adalah sangat terpuji Sarjana-sarjana Muslim yang mengkaji dengan seruan IQRA', IQRA', IQRA'. Patut sekali merealisasikan budaya kajian 'By Research', iaitu bertunggakkan;
i) Apa yang menjadi objeknya? - Ma kholaq, Segala Ciptaan Allah.
ii) Apa niatnya? - Bismirobbika, Dengan Nama Tuhan Mu.

30.0] Jika semua Muslim boleh berfikir begitu dan boleh melakukan segalanya dengan niat semulia itu, tentu akan berjaya. Bagi sarjana-sarjana Muslim yang membuat kajian dengan tekun terhadap ciptaan Allah, hidupnya banyak dimakmal, beramal dengan ikhlas, pahalanya besar sekali berbanding dengan orang-orang yang hanya membaca kitab Al-Quran atau apa yang telah  tersedia.

31.0] Adalah sangat tidak baik apabila Allah contohi orang kafir dengan ankabut. Orang kafir ini mentaliti ankabut yang perkaya diri dengan memiskinkan orang lain. Mangsa yang terperangkap di dalam rumah atau sarang ankabut akan menderita, lambat mati, sangat menyakitkan, tiada belas kasihan, mati lemas. Mentaliti ankabut, mentaliti zionis. Wallahu 'a'lam.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------

32.0] Nota tambahan, ihsan dari seorang kawan; tentang ankabut;
Ayat 41 yang menceritakan tentang sarang /tempat perlindungan labah-labah, kini campuran sutera labah-labah (biosteel) banyak digunakan sebagai bahan perlindungan keselamatan kerana kekuatan dan keanjalannya seperti kegunaannya dalam baju kalis peluru, payung terjun, beg udara (airbag) tayar kereta lumba dan lain-lain.

33.0] Diperingkat permulaan saintis menghadapi kesukaran, terbatas dalam mendapatkan sutera labah-labah. Pembiakan koloni labah-labah bagi menghasilkan labah-labah dalam kuantiti yang banyak tidak berjaya kerana labah-labah saling membunuh.

34.0] Pada tahun 2000, akhirnya saintis berjaya menghasilkan sutera labah-labah secara komersial melalui susu kambing yang dikenali biosteel melalui suntikan genetik sutera labah-labah ke dalam embrio kambing.

35.0] Para saintis di Nexia Biotechnology Inc. di Kanada berjaya menghasilkan sutera labah-labah (biosteel) 1-2 g per liter susu daripada susu kambing untuk tujuan komersial tersebut.

36.0] Biosteel ini kekuatannya adalah lebih kuat daripada besi.

37.0] Ahli fizik menganggarkan sutera labah-labah yang mempunyai ketebalan sebatang pen mampu menahan kapal terbang Boeing 747 yang sedang bergerak pada kelajuan 1,080 km/jam. Ini perumpamaan yang menunjukkan kekuatan yang dimiliki sutera labah-labah.

38.0] Antara lain ciri-ciri biosteel adalah;
i) 5 kali lebih kuat daripada besi keluli- kekuatan proteinnya (amino acid glisina dan analina dalam bentuk kristal dan amorfus dengan kehadiran ikatan hidrogen).
ii) Boleh diregang sehingga 40 % tanpa putus atau kehilangan integriti strukturnya.
iii) Tidak kering atau rapuh di makan masa kerana sifat higroskopik.
iv) Imun dari kerosakan yang disebabkan oleh mikrob atau fungal disebabkan keasidannya iaitu pH = 4.
v) Kalis air, tidak berkarat atau reput.
vi) Jauh lebih ringan daripada besi.
vii) Sesuai dengan tubuh badan maanusia.

39.0] Bagi aplikasi perubatan Biosteel memberi manafaat besar bagi menggantikan besi dalam pembuatan injap jantung, prostesis lutut dan pinggul, kerana besi memberi kesan sampingan kepada kesihatan tubuh badan manusia.

40.0] Kini saintis cuba menghasilkannya pula melalui suntikan gen labah-labah pada tumbuhan seperti alfalfa bagi tujuan komersial.

41.0] Segala ciptaan yang Allah jadikan di muka bumi ini adalah dengan Kehendak-Nya, Ketentuan dan Takdir-Nya. Bersyukur kepada Allah SWT atas segala anugerah nikmat-Nya yang tidak terhingga. Wallahu 'a'lam.










 











Tuesday, August 23, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 39-40) Kuliah 40- Qarun, Fir'aun, Haman, Karamah, Ghomtunnas

1.0] Dari siri lepas, perbincangan pertama ialah tentang rahsia tartiibuz-zikr iaitu rahsia susunan penyebutan, penuturan ketiga-tiga musuh Allah iaitu Qarun, Fir'aun dan Haman. Qarun disebut dahulu sebelum Fir'aun dan Haman. Ianya difahami oleh para mufassir sebagai tasliah kepada Nabi Muhammad saw yang ada persamaan antara hubungan Nabi Musa dan Qarun dengan hubungan Nabi Muhammad saw dan penentang-penentangnya khasnya keluarganya sendiri. Qarun bukan sekadar ada hubungan nasab dengan Nabi Musa, bahkan dia juga sepupu Nabi Musa as yang seatuk (berkongsi seorang datuk). Orangnya sangat kaya-raya tetapi kekayaannya didapati dengan memiskinkan orang lain, mengeksploitasi kemiskinan orang lain. Qarun apabila dia melihat orang miskin, itu sebagai lombong emas baginya. Dengan kemiskinan orang dia nampak peluang untuk mengeksploitasi mereka. Disuruhnya orang miskin bekerja dan berkhidmat semaksima mungkin demi untuk mendapatkan makanan dan minuman, untuk mendapat upah, mata pencarian, imbalan yang hanya paling minima diberikan oleh Qarun. Begitulah mentaliti Qarun yang Kapitalism, mazhab Qaruniah. Melihat kemiskinan orang lain, bukan untuk ditolong, tetapi sebagai peluang untuk menompokkan lebih kekayaan bagi diri sendiri.

2.0] Qarun juga berjawatan penting dalam kerajaan Fir'aun, kerana ia diberi portfolio untuk memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Kesejahteraan Kaum Bani Israil. Fir'aun yang berdarah Qibti, penguasaan dimonopoli oleh kaum yang berdarah Qibti, manakala Mesir yang dihuni juga oleh ramai orang yang berdarah Bani Israil, maka Qarun dipilih sebagai wakil mereka. Ada persamaan pada kedudukan Qarun didepan Nabi Musa as dengan kedudukan Abu Lahab didepan Nabi Muhammad saw.

3.0] Tentang Fir'aun pula, pakar sejarah berbeza pendapat. Dikatakan Fir'aun semasa Nabi Musa as ialah Ramses ke 2 yang memerintah selama 66 tahun dari tahun 1279 SM (sebelum Masihi) sehingga tahun 1213 SM (sebelum Masihi).

[Nota; SM=Sebelum Masihi=Qoblal Miilad=sebelum kelahiran Nabi Isa as].

Fir'aun yang sangat kejam, sangat zalim, tidak mengenal hati budi, sanggup melakukan apa saja untuk mengekalkan kekuasannya. 

4.0] Tentang Haman pula, umat Kristian dahulu mendakwa bahawa Al-Quran telah mengatakan  satu kesilapan sejarah yang paling teruk, memberi maklumat palsu, bohong, kerana mereka tidak ketahui, tidak kenal Haman dan tidak disebutkan hal Haman dalam kitab mereka, sehinggalah dapat difahami Tulisan Hieroglyphic iaitu abjad yang berupa simbol-simbol binatang, tulisan Mesir Kuno. Perkataan Hieroglyphic berasal dari Yunani. Selepas tulisan Hieroglyphic ini dapat fahami, dapat dipecahkan rahsia disebaliknya, maka didapati Haman adalah pembantu terdekat Fir'aun. Dia adalah pemimpin yang diamanahkan oleh Fir'aun untuk menjadi ketua bagi pekerja-pekerja yang ditugaskan untuk membuat pahatan batu-batu. Haman ialah Ketua Batu Pahat. Mereka tentulah terdiri daripada orang-orang yang punya nilai estetika yang tinggi. Kisah Haman didalam Al-Quran dinyatakan Allah dalam 6 tempat. Subhanallah, Allah Yang Maha Mengetahui, Yang Mengetahui segala yang telah berlaku, yang sedang berlaku dan yang akan berlaku telah menjelaskan segalanya di dalam Al-Quran.

5.0] Ketiga-tiga manusia ini punyai kelebihan, diantaranya;

Qarun; Gunakan kekayaannya, berfikiran kapitalism, tamak harta.
Fir'aun; Maharaja, Tamak kuasa.
Haman; Tamak jawatan, pengampu, penasihat yang paling bohong.

6.0] Kejahatan Fir'aun yang jahat dan melampau sehingga mengaku dirinya Tuhan itu tidak terlepas daripada campurtangan juru penasihatnya Haman. Fir'aun tidak menjadi orang yang paling jahat overnight atau dalam masa yang singkat, tetapi ia adalah  kerana penasihatnya Haman yang sentiasa memberi nasihat jahatnya yang berterusan. Itulah akibatnya ada penasihat yang juga tukang kipas, ampu sana ampu sini dan itu adalah sangat bahaya dalam sesuatu pentadbiran.

7.0] Seorang Adolph Hitler menjadi dahsyat, berani meyakini kebatilan sebagai kebenaran mutlak adalah juga lantaran penasihatnya Joseph Goebbels seperti mana Haman bagi Fir'aun. Joseph Goebbels pernah menyatakan, "Tuan Hitler, didunia ini tiada kebenaran, yang ada ialah kebohongan yang diulang-ulang seribu kali. Ertinya, jika Tuan Hitler menyatakan kebohongan itu sekali kepada rakyat German, mereka tidak akan percaya, tetapi jika diulang-ulang sampai 2 kali, atau 100 kali atau sehingga 1,000 kali, nescaya orang German baru akan terfikir, sehingga jika terus diulang-ulang mereka akan percaya". Hitler pun percaya dan Hitler jadi jahat, bukan setakat membunuh manusia tetapi sehingga membunuh kemanusiaan. Jika membunuh manusia, syahid bagi yang jadi korban, mendapat  jaminan masuk syurga, dan yang tinggal iaitu yang hidup adalah insan-insan yang sudah kehilangan insaniah, tiada lagi peri kemanusiaan sepertilah an'am (haiwan ternakan), balhum adholluun bahkan mereka lebih sesat, ada hatibudi tidak digunakan, ada telinga tidak mendengar, ada mata tidak melihat.

8.0] Nabi Muhammad saw diceritakan Allah kisah benar ini ribuan tahun dahulu berlaku sebelumnya supaya Nabi saw tidak merasa bahawa dialah satu-satunya Nabi yang mengalami musibah sedemikian. Nabi Musa as, Nabi Ibrahim as, pernah alaminya sebegitu. Nabi Musa as datang dengan membawa aayatan bayyinah, imbas kembali penggunaan kalimah jaa a dan ataa a yang membawa makna datang. Perbezaannya adalah, kalimah jaa a membawa makna datangnya dengan susah manakala kalimah ataa a membawa makna datangnya dengan mudah. Nabi Musa yang datang dengan membawa aayatan bayyinah, selepasa 10 tahun meninggalkan Mesir. Allah panggil Nabi Musa dikaki Bukit Tursina , diberi wahyu dan dinobatkan menjadi utusan Allah. Nabi Musa berkata, "Ya Allah, aku takut, mereka akan bunuh aku, lagi pun lidahku tidak fasih. Bolehkah dilantik seorang wazir sebagai pembantu ku iaitu Harun?".

9.0] Ada 2 makna bagi bayyinat disini iaitu;

i) Ajaran-ajaran Nabi Musa as untuk disampaikan kepada Fir'aun, menyeru mempercayai Allah dan kerasulan Nabi Musa.

ii) Bukti kerasulan Nabi Musa as, dengan mukjizat tangannya yang ajaib dan tongkatnya yang ajaib yang telah diberikan oleh Allah. Jika mereka tidak faham, Nabi Musa menjawabnya, jika mereka berhujah, Nabi Musa dapat menolaknya. Tangannya apabila dikepit dibawah ketiak, keluar cahaya. Bukannya sebagai penyakit sopak tetapi asli bercahaya. Semua dengan Masyi ah Allah. Jika Allah yang menyuruh, jadilah tongkat itu sebagai ular dan juga dapat membelah lautan. Mukjizat itu milik Allah, jika Musa pandai-mandai sendiri, contohnya untuk menghiburkan keluarganya, atau anaknya, mahu ditunjukkan bahawa tongkat itu dapat jadi ular, tentu tidak menjadi sebab itu mukjizat. Jika seorang nabi itu telah meninggal, mukjizat itu pun hilang. Andainya ada orang yang menyimpan tongkat itu selepas kematian Nabi Musa as, tongkatnya itu telah tidak punya mukjizat lagi.

10.0] Seperti juga karamah yang diberi Allah  kepada kekasih-kekasihnya iaitu para Wali. Diberi kemuliaan, karamah. Contohnya jika orang lain seratus kalipun berdoa tiada diqabulkan Allah, tetapi jika dia berdoa, doanya mudah diqabulkan Allah. Karamah bukan hanya sekadar berjalan atas api tidak melecur atau bukanlah hanya dengan berjalan dalam hujan tapi tidak basah. Karamah juga milik Allah, sebagai kurniaan Allah kepada kekasih Allah. Apabila orang itu meninggal dunia, karamahnya pun hilang. Berbeza sangat dengan senario yang mana ketika seseorang itu ketika hidup tiada karamah tetapi setelah mati pula dikeramatkan. Mungkin setelah 10 tahun kemudian, dari tiada diadakan, menjadi semakin besar, dikeramatkan oleh orang, bukan hanya dikatakan sebagai anak keramat, bapa keramat bahkan sebagai Datuk Keramat. Orang sanggup terbang dari kampung halaman, menghabiskan masa, wang dan tenaga semata-mata untuk menziarahi tempat-tempat keramat. Itu Syirik. Tongkat Nabi Musa, contohnya, hanya kini sebagai bahan sejarah yang tidak akan menjadi ular lagi.Tiada sebagai mukjizat atau keramat lagi.

11.0] Qarun, Fir'aun dan Haman; 2 orang mewakili kaum Qibti (Fir'aun dan Haman) dan yang 1 orang lagi (Qarun) untuk mewakili kaum Bani Israil. Kaum Qibti yang berkuasa dimasa itu, mereka sangat sombong, istikbar dimuka bumi kerana ada 2 perkara yang dilakukan oleh mereka iaitu;

i) Bathorul Haqqi = menolak mentah-mentah kebenaran yang dibawa oleh rasul seperti Nabi Musa as tanpa memberi ruang untuk berfikir, atau untuk buat analisa, untuk akhirnya dibuat kesimpulan.

ii) Ghomtunnas = merendah-rendah, menindas, menganiaya, menzalimi, memperhambakan manusia.

Bacalah surah Al-Qasas tentang perlakuan Haman dan Fir'aun terhadap Bani Israil. Anak lelaki Bani Israil dibunuh manakala anak perempuan Bani Israil dipermalukan. Apabila kedua-dua perkara diatas dilakukan oleh seseorang maka lengkaplah kezalimannya. Walaupun mungkin orangnya nampak lemah lembut, menggunakan bahasa melancolik, sopan santun, pijak semut pun tidak mati, tawaduk, tetapi jika ia menolak kebenaran ia termasuk dalam golongan  orang sombong.

12.0] Ada satu kisah tentang anak gabenor Mesir yang telah memukul seorang Mesir. Orang yang dipukul itu tidak puas hati lalu menulis surat, mengadu minta keadilan kepada Umar Al-Khattab. Umar Al-Khattab respon lalu gabenor Mesir dan anaknya dibawa ke pengadilan. Umar dapati anak Gabenor itu bersalah lalu diberi tongkat supaya orang memukul anak dan gabenor sekali dihadapan rakyat. Gabenor protes, tetapi dijawab oleh Umar,"Kenapa kamu sembunyikan kesalahan anak kamu?" Umar keluarkan kenyataan luar biasa yang sekarang ini menjadi inspirasi bagi bangsa-bangsa yang tertindas bagi memerdekakan diri. Ucapan Umar Al-Khattab, "Kenapa kamu menjadikan manusia sebagai hamba sedangkan ibu-ibu mereka telah melahirkan mereka sebagai orang-orang merdeka". Umar melihat perbuatan gabenornya Amru bin 'As itu sebagai bentuk perhambaan, meremehkan orang, menghina dan  menzalimi orang.

13.0] Inilah yang memberi inspirasi kepada pejuang Kemerdekaan Amerika, Martin Luther King Jr, iaitu ketua aktivis Pergerakan Hak Kemanusiaan Afrika-Amerika. Sikap membeza-bezakan manusia ini tidak boleh kerana Allah melihat semua manusia sama. Kalaupun Allah bezakan hamba-Nya hanyalah kerana Taqwanya bukan kerana atas status, jawatan atau darjah atau status sosial.

14.0] Apabila seseorang itu merasa dirinya lebih baik daripada orang lain, itu cenderung kepada istikbar iaitu merasa besar diri dan akan ada ghomtunnas iaitu memandang hina, menganiaya dan menzalimi manusia. Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada didalam hatinya sikap sombong walaupun seberat zarah. Sombong disini ialah menolak kebenaran dan menganiaya orang lain, tidak seperti kefahaman kita disini tentang sombong yang dikatakan seperti ujub, jalan pun mengangkang.

15.0] Ada satu perkara yang kita anggap remeh tetapi sebenarnya sangat serius. Kita perlulah tahu, sedar, fahami dan amalkan sebaiknya supaya menjadi peringatan kepada kita. Sesuatu itu bergantung sebagaimana Al-Quran memandangnya. Jangan tersilap menganggap dan jangan terpedaya. Janganlah apabila Al-Quran kata serius, kita pula menganggap remeh, manakala apabila Al-Quran memandangnya kecil, kita pula memandangnya besar. Jika kita belum ta'ammul dengan Al-Quran, mana boleh muafaqah.

16.0] Sebahagian dari sifat orang-orang yang akan jadi calon neraka ialah;
i) Suka mentertawakan orang beriman, secara penghinaan, walaupun dengan tidak mengeluarkan suara iaitu dengan cara Taghoomuz (memperolok-olokkan). Ini adalah dosa dan bukan perkara remeh. Contoh Taghoomuz (memperolok-olokkan) ialah jika apabila ada 2 orang kawan baik, A dan B memasuki dewan, dengan seorang berada disebelah kanan dan seorang lagi berada di sebelah kiri dewan, kemudian masuklah pula C yang tidak disukai oleh A dan B. A ingin memberitahu  B tentang kehadiran C dengan memberi isyarat mulut, menunjukkan dengan memuncungkan mulut tanpa bersuara. Itu adalah dosa besar. Hindarilah. Dosa besar bukan semata-mata kerana mencuri, mabuk, berzina atau membunuh, malahan memperolok-olokkan orang lain yang dianggap perkara kecil dan remeh itu pun dipandang serius dalam Al-Quran seperti didalam surah Al-Mutaffifin (Al-Tatfif) ayat 30;

تغامز -Taghoomuz ialah  memperolok-olok, menghina orang lain ini tidak perlu kerja kuat, tidak perlu masa yang banyak, hanya dengan isyarat sahaja pun sudah menjadi dosa besar, berbanding dengan mencuri (pencuri klasik) yang bukan mudah untuk dilakukan, kena berpenat lelah, diwaktu malam hari, berpakaian hitam, jalan kena berjingkit-jingkit, jika ingin batuk pun terpaksa ditahan.

غمط الناس - Ghomtunnas ialah menghina orang lain, menzalimi, menganiaya, itu adalah sombong, tidak boleh ada pada seseorang Muslim. Tingkatan غمط الناس(ghomtunnas) ini berperingkat sehingga sampai keperingkat seperti Fir'aun yang membunuh setiap anak lelaki bangsa yang berdarah Israil. Apabila seseorang itu pula menolak kebenaran disertai dengan adanya sifat غمط الناس ghomtunnas, maka jadilah ia seorang Mutakabbirun Kaamilun (sombong sempurna). Jadilah ia seumpama Iblis yang menolak suruhan Allah untuk sujud kepada Nabi Adam as dengan berkata, "Ya Allah, patutkah Engkau menyuruh aku sujud kepada Adam yang dijadikan dari tanah?" Ini kesombongan Iblis yang pertama, bathorul haq iaitu menolak kebenaran. Kemudian alasan Iblis yang kedua ialah, "Aku lebih baik daripada Adam kerana aku diciptakan dari api". Iblis merasa lebih tinggi daripada Adam kerana Adam dicipta daripada tanah. Al-Kibru Bathorul Haq Wa Ghomtunnas. Maka sempurnalah kesombongan Iblis. Iblis adalah asalnya warga syurga tetapi disebabkan kesombongannya dia dihalau, "Ukhruj!", "Keluar engkau dari syurga! tiada haq sedikit pun bagimu Iblis untuk menyombong di dalam syurga". Allah keluarkan Iblis daripada syurga lantaran sombong. Bagaimana pula dengan anak cucu Adam yang sombong istiqomah? Sebab itulah Nabi Muhammad saw ingatkan macam mana caranya supaya dapat memasuki syurga. Adam daripada syurga pun diusir keluar, inikan pula kita anak cucunya mengharapkan syurga?.

[Nota; Makna Sombong didalam Kamus Dewan ialah congah, angkuh, pongah, berperasaan tinggi diri].

17.0] Mereka yang bersikap sedemikian tidak boleh mengelak, tidak boleh melepaskan diri daripada berhadapan dengan siksaan Allah seperti mana Fir'aun yang menolak ajaran Nabi Musa as. Sifat Fir'aun ini dirakamkan Allah dalam surah Az-Zukhruf ayat 51 dan 52;


Sifat Fir'aun ini  غمط الناس (ghomtunnas), merendah-rendahkan Nabi Musa, mengejek-ngejek Nabi Musa, mereka sombong kerana tiada menerima ajaran Nabi Musa dan meremehkan, menghina  Nabi Musa as. Dihinakan Nabi Musa sebagai anak yang dijumpai hanyut yang tidak pasti asal keturunan, tambahan pula Musa yang pelat, percakapan pun tidak jelas. Gaya ucapan Fir'aun dalam ayat diatas itu Istikbar, membesarkan diri dan ghomtunnas menghina dan adalah dosa yang sangat berat. Itu sifat iblis, pengasasnya Iblis laknatullah. Akhirnya mereka disiksa oleh Allah seperti mana yang diceritakan didalam surah Al-Ankabut ayat 40;

18.0] Surah Al-Ankabut ayat 40;

Siksaan Allah adalah disebabkan dosa mereka sendiri. Allah sebutkan sebab apabila Allah datangkan siksaan kepada hamba-Nya, manakala Allah tidak menyebutkan sebab apabila Allah memberi nikmat kepada hamba-Nya kerana nikmat kurniaan Allah sentiasa melebihi amal hamba-Nya beratus-ratus malah beribu-ribu kali ganda. Jika balasan pahala bergantung atas amal perbuatan kita, tiada orang yang layak dapat masuk syurga, mungkin hanya cukup dan layak  untuk melihat syurga dari jauh sahaja buat sekejap masa sahaja.

19.0] Tentang siksaan Allah disebutkan sebabnya. Contohnya jenis siksaan yang pertama didalam ayat 40 diatas ialah حَاصِبًا -haasiba, iaitu angin bercampur kerikil (hujan batu). Nabi saw melarang jual beli haasiba. Jangan salah faham dahulu, sebenarnya masa Nabi saw dahulu, dalam urusan jual beli tanah dizaman itu, penjual tanah akan letakkan harga tertentu kemudian pembeli kena baling batu, sejauh mana batu itu jatuh, maka itulah yang akan jadi milik si pembeli. Hanya dengan sekali lontar sahaja. Kalaulah batu itu terjatuh sejengkal, maka sejengkal itulah yang jadi haq-nya. Contoh lain ialah dalam jual beli barang-barang lain juga seperti jika ingin membeli cerek, ada yang original, ada yang betul-betul dibuat dari emas, ada yang hanya saduran. Sekian harga dibayar, kemudian si pembeli kena lemparkan anak batu kerikil kepada barang-barang yang digantung berbagai jenis itu. Kalau batu itu terkena yang elok, untunglah si pembeli dan sebaliknya jika terkena barang  tiruan rugilah  ia. Itulah jual beli Hasob yang ada unsur perjudian. Jual beli Jahiliah ini adalah Haram.

20.0] 100% jualan cara jahiliah ini masih dijadikan hiburan dijualan di Fun Fare. Berbagai barang dikumpulkan dihadapan, seperti hand phone, tisu, tv, radio, benang, jarum, gula-gula dan sebagainya. Kemudian  pengunjung kena beli gelang besi untuk dibaling kearah barang-barang itu. Biasanya bapa akan belikan untuk anak-anaknya untuk berseronok, bermain. Itu Haram, 100% judi, wajib dilarang dan dibenteras, tetapi atas alasan Hiburan, masih ada hingga sekarang. Seorang bapa tidak boleh ajar anaknya berjudi walaupun dengan niat hanya untuk suka-suka.

21.0] Surah Al-Ankabut ayat 40 ini menceritakan tentang jenis-jenis azab, balasan siksa terhadap kaum yang mendustakan Agama Allah. Dalam ayat ini disenaraikan ada 4 jenis siksaan iaitu;

i) Arrih Al-'Aasifah- angin yang bertiup kencang yang menerbangkan apa saja. Haasiba-juga memberi maksud gunung berapi yang meletus, tercabut dari kakinya, pecah, menyimbah mereka dengan lahar panas seperti yang terjadi kepada kaum Nabi Luth as, sama juga dengan kaum 'Aad. kerana mereka mencabar Allah lantaran kesombongan mereka.

ii) As-Soihah- suara yang kuat. Ar-Rojfah- gegaran yang dahsyat, petir, letusan yang meranapkan mereka. Bukan hanya memekakkan telinga tetapi juga menghancur leburkan mereka. Suara ada intensiti dan boleh didengari pada frekuensi tertentu sahaja. Suara yang  perlahan sangat hingga tidak boleh didengar, suara yang dikuatkan boleh sampai pecahkan telinga, jika dikuatkan lagi, boleh retak kepala, dikuatkan lagi, badan berkecai dan jika dikuatkan lagi, badan terurai. Penyusunan tubuh badan yang terdiri dari triliun sel akan berkecai. "Wala tuhammilna maalaa toqota lanaabihii", yang bermaksud,"Dan jangan Engkau membebani kami apa yang tidak ada kemampuan bagi kami terhadapnya". Di dalam Al-Quran ada energy, power, toqoh, quwwah, kekuatan, kemampuan, keupayaan.

Al-Quran menceritakan tentang energy air, api dan angin. Angin apabila bergerak sepoi-sepoi memberi nikmat, bila semakin kencang bergerak, menjadi ribut apa lagi apabila menjadi angin Taufan yang berpusing, angin yang tawaf menghasilkan energy keatas. Air taufan juga hebat menghasilkan energy menyedut kebawah seperti yang menimpa Kaum Nabi Nuh as. Jika hanyut didalam air mengalir, biasanya orang akan terselamat, tetapi jika terperangkap didalam taufan air, semua akan habis ranap walaupun kapal tanker yang besar. Bayangkan jika Concord yang Super Sonic terbang rendah diatas kota Metropolitan Kuala Lumpur, walaupun tidak melanggar KLCC tetapi punya energy yang kuat yang dapat meranapkan bandar, hanya dengan gegaran suara dari eksos-nya sahaja. Itulah energy.

Alam menyimpan energy yang dahsyat didalam perut buminya, tetapi tidak mampu mengalahkan energy informasi iaitu energy makna di dalam Al-Quran.. Didalam surah Al-Hasyr ayat 21 menceritakan tentang kehebatan Al-Quran, energy makna Al-Quran. Selama ini kita fahami bahawa jika Al-Quran diturunkan keatas bukit, nescaya bukit hancur, apa maksudnya? Ada seorang budak yang terlalu lurus, tanam Al-Quran di atas bukit dan melihat tidak ada apa-apa pun yang berlaku. Itu Al-Amthal ( perumpamaan-perumpamaan), untuk difikirkan. Masyi ah Allah. Al-Quran itu wahyu yang suci, kalam suci, daripada Allah Yang Suci, Firman-Nya Suci, dibawa oleh Jibril yang suci, dibawa kepada Nabi yang suci, hendak disatukan dengan hati Nabi yang suci. Setiap kali ayat Al-Quran dibawa kepada Nabi saw, Nabi saw pengsan, tidak sedarkan diri, berpeluh-peluh walhal masa itu musim sejuk. Itu kesan daripada informasi Al-Quran yang suci yang masuk ke dalam jiwa Nabi saw yang suci. Jika Al-Quran yang suci masuk ke dalam hati kita yang masih belum suci, apa jadi? Kita pengsan atau pun habis? Itulah energy informasi.

Umar Al-Khattab ketika belum Islam hatinya sangat keras, tidak takut sakit, tidak takut mati, tidak takut petir, hati yang sekeras batu. Orang kafir yang hatinya mati, mati hidup semula pun tidak takut. Siapa yang dapat melembutkan hati Umar yang sekeras batu? Al-Quran yang dibacanya sendiri dan dihayati, terpanah, memanah hatinya, melelehkan hati Umar, melembutkan hatinya yang panas menjadi salju. Energy Makna itulah yang memberi kesan kepada Umar Al-Khattab. Contohnya jika kita membaca novel yang sangat hebat, kisah yang betul-betul menyayat hati walaupun hanya imaginasi si pengarang dan bukan ada di alam nyata, kita boleh terbawa tentang ceritanya hingga menangis. Kenapa? Adakah sebab kesal kerana membeli buku itu yang mahal? atau terharu dengan tulisan yang cantik? atau apa? Itulah energy informasi atau energy makna. Sekarang, alangkah ruginya hati kita yang terpesona dengan energy makna rekaan manusia. Ruginya kita yang tidak terpanah dengan energy makna di dalam Al-Quran yang kalaulah diberi kepada bukit, hancur bukit tidak tahan. Jangan biarkan hati mengeras melebihi batu. Nabi saw bertahannus (bertapa), dan setiap kali Nabi saw pengsan ketika menerima wahyu. Allah berpesan kepada Nabi saw supaya rajin-rajin berqiamullail untuk menguatkan jiwa seperti yang terdapat di dalam surah Al-Muzammil ayat 5, "Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan (Al-Quran) yang berat kepada mu". Qaulan thaqiilan. Kalau tidak kuat, baru satu ayat pun terus majnun. Al-Quran mempunyai energy yang dahsyat. Sedangkan ucapan yang karut pun boleh buat orang terpesona. Ada orang baca puisi pun boleh menangis, mendengar orang menyanyi serak basah pun tersentuh hati. Oleh itu, latihlah hati supaya tersentuh dengan Kalam Allah. Itu baru berjaya. Soihah (suara) ada energy yang dahsyat sehingga dapat menghancurkan kaum Thamud juga kaum Madyan.

iii) Al-Khosafu- dibenamkan kedalam bumi sepertimana Qarun yang dibenam, lenyap, hilang tersimpan diperut bumi bersama hartanya sekali. Timbul pula cerita iaitu apabila dikorek tanah dibelakang rumah, jumpa sesuatu, jumpa sudu patah pun dikatakan jumpa Harta Qarun. Jumpa kapal Portugis yang tenggelam di Selat Melaka pun dikatakan Harta Qarun. Istilah jumpa Harta Qarun ini hanya budaya orang Asia Tenggara ini dan tiada di Timur Tengah.

iv) Al-Ighraq- ditenggelamkan kedalam air, seperti yang dialami oleh kaum Nabi Nuh dan Fir'aun dan Haman dan tiada daripada mereka yang terselamat. Sungguhnya kelihatan sangat dahsyat dari zahirnya. Cuba lah fikirkan. Katanya Allah Maha Pengasih Penyayang. Apa untungnya Allah dengan menimpakan siksaan begitu terhadap hamba-Nya? Tidak untuk mencari kepuasan bagi Allah walhal kejahatan makhluk tidak menjejaskan Kemuliaan Allah. Tidak kah dapat dimaafkan? Lagi pula Allah juga Yang Menciptanya? Allah tidak menganiaya mereka, merekalah yang meminta sendiri. Allah Hanya Menzahirkan Sifat Keadilan-Nya Al-'Adlu. Jika Allah memaafkan hamba-Nya yang berdosa dan memasukkan ke syurga itu  untuk menunjukkan Allah ingin tunjukkan sifat Ar-Rahman Ar-Rahim-Nya. Allah buat begitu bukan untuk kepentinganNya, bukan untuk membalas dendam, bukan untuk menganiaya, tidak sekali-kali. Maa syaa Allah, Subhaanallah.

























































Tuesday, August 16, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 38-39) Kuliah 39- Kaum 'Ad,Thamud, Qarunism, Takathur

1.0] Kuliah lepas membincangkan tentang kisah Kaum Nabi Soleh as iaitu Kaum Thamud dan juga Kaum Nabi Hud as iaitu Kaum 'Aad. Kedua-dua bangsa ini telah diberi Allah kelebihan yang luar biasa seperti mana yang dinyatakan Allah di dalam Al-Quran, "Kami telah memberikan kepada kamu nikmat dan anak pinak juga kebun-kebun yang subur dan mata air". Itu merupakan anugerah daripada Allah kepada Kaum 'Aad  dan Kaum Thamud yang diberi kemahiran membina bangunan-bangunan pencakar langit. Rujuk surah Asy-Syu'araa ayat 123 sehingga ayat 136. Ayat-ayat yang menceritakan tentang segala nikmat anugerah Allah kepada mereka.

2.0] Mereka juga mempunyai bentuk tubuh yang besar dan tinggi berbanding kaum-kaum yang lain. Berdasarkan kajian Arkeologi yang dilakukan oleh satu team, kumpulan pengkaji dari R n Co Exploration, di suatu lembah yang dikenali sebagai Ar-Rubu' Al-Khaali yang bermaksud An Empty Quarter atau suatu penempatan kosong (padang pasir terbesar di dunia) yang terdapat di Semenanjung Arab, mendapati penemuan fosil manusia yang dipercayai adalah Kaum 'Aad dan Kaum Thamud yang sangat mengkagumkan kerana purata ketinggian mereka mencecah 11 meter berbanding dengan ketinggian  umat sekarang yang purata ketinggian kita hanya diantara 1.8 meter. Itu bermakna mereka adalah manusia raksasa yang 5 kali ganda ketinggian daripada kita umat sekarang. Oleh itu wajarlah mereka diberi kemahiran membina bangunan pencakar langit, membina kediaman mereka di lereng-lereng bukit yang tinggi-tinggi seperti yang telah dinyatakan di dalam surah Asy-Syu'araa diatas. Kedua-dua kaum ini sama-sama hebat dari segi peradaban, dan kepandaian membina bangunan-bangunan tinggi dan mereka juga hebat dalam segi penentangan terhadap Allah.

3.0] Kaum Thamud dinamakan daripada nama salah seorang datuk nenek mereka yang terkenal iaitu Thamud bin Amir bin Iram bin Sam bin Nuh as. Ini bermakna Kaum Thamud adalah keturunan langsung daripada Nabi Nuh as. Thamud sangat terkenal, dan anak cucunya sangat berbangga dinasabkan dengan keturunan Thamud sehinggalah berkembang menjadi satu Kaum. Keadaan yang sama berlaku di Sumatera Indonesia dimana  ada satu suku keturunan  yang membawa nama nasab, seperti  nama Nasution. Setiap yang lahir dalam keluarga itu dibawa nama Nasution seperti Haris Nasution, Ali Nasution dan sebagainya. Adalah menjadi kebanggaan bagi mereka apabila nama mereka dinasabkan dibawah nama orang tersohor.

4.0] Kebanyakan ahli sejarah berpendapat bahawa Kaum Thamud ini tinggal di negeri atau provinsi yang dekat dengan Petra di Jordan. Walaupun  mereka ini asalnya ialah orang yang berhijrah dari Negeri Saba' di Negeri Yaman, memandangkan ketika itu orang belum ramai, sehingga ke kawasan Jazirah Arab yang terbentang dari Hadharul Maut hingga ke Laut Mati sekarang sudah menjadi kawasan mereka.

5.0] Semua cerita diatas adalah tentang sejarah, tetapi yang pastinya kedua-dua kaum ini telah dihancur-leburkan oleh Allah SWT. Khasnya Kaum Thamud  yang dinyatakan oleh Allah, "Selepas Kaum Thamud membunuh Unta Mukjizat Nabi Soleh as, Allah berikan tempuh selama 3 hari". Mereka bersenang-lenang, pada hal tempuh itu diberi supaya mereka bertaubat kerana mereka telah melakukan dosa besar membunuh Unta yang menjadi Mukjizat bagi Nabi Soleh itu. Jangankan dibunuh Unta itu, dipukul pun tidak dibenarkan.

6.0] Dari tafsir, dinyatakan iaitu pada hari pertama, wajah berseri Kaum Thamud bertukar menjadi kuning. Hari kedua wajah mereka bertukar menjadi merah dan pada hari ketiga wajah mereka bertukar menjadi hitam legam. Dalam jangka waktu 3 hari, cepat sungguh, saat itulah Nabi Soleh as mengingatkan Kaumnya, Kaum Thamud, berkali-kali, bahawa perubahan itu adalah yang menunjukkan tanda atau alamat yang terang daripada Allah supaya mereka segera bertaubat kerana akan berlaku Azab Allah. Allah perintahkan malaikat mendatangkan kepada Kaumnya itu soihah iaitu suara yang sangat kuat yang menghancur-leburkan mereka. Kisah ini dinyatakan oleh Allah SWT didalam surah Hud ayat 65.

Ayat ini adalah ayat-ayat sejarah, tentulah kita tidak tumpukan dari aspek sirahnya, tetapi dari aspek mau'izohnya atau peringatan darinya. Perubahan wajah mereka berlaku dalam masa 3 hari ketika Allah memberikan Imhal, iaitu ditangguhkan azab selama 3 hari itu. Bukan Ihmal yang bermaksud dihapuskan. Itu adalah janji Allah yang ghairu makzuub, janji Allah yang tidak boleh didustakan, janji yang pasti benar berlaku.

7.0] Inilah Ilmu Allah yang Allah beritahukan kepada hamba-Nya. Allah Maha  Mengetahui dengan Ilmu-Nya apa yang belum berlaku dan Allah telah beritahu Kaum Nabi Soleh ini. Allah tahu dan mereka diberitahu dan ternyata apa yang diberitahu betul-betul berlaku selepas 3 hari. Ini termasuk dalam tingkatan beriman kepada Qodho dan Qodar.

4 tingkatan atau martabah beriman kepada Qodho dan Qodar ialah;

i) Al-'Ilmu iaitu Beriman kepada 'Ilmu Allah.
ii) Al-Kitaabah iaitu Penulisan atau Rekod Allah tentang apa yang berlaku.
iii) Al-Masyi ah iaitu Kehendak Allah atas segala sesuatu dan
iv) Al-Khalqu iaitu Allah Pencipta segala sesuatu.

i) Al-'Ilmu- Kita wajib yakin seyakin-yakinnya bahawa Allah Mengetahui dengan 'Ilmu-Nya segala sesuatu, Allah Mengetahui segala yang berlaku, sebelum ianya berlaku, ketika ianya berlaku dan selepas ianya berlaku. Pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu walaupun hanya dengan luruhnya sehelai daun kecil di tengah hutan belantara yang gelap gelita seperti di Hutan Amazon. Allah Tahu, bukan hanya Mengetahui ketika daun itu sedang jatuh tetapi Allah Mengetahuinya sejak azali lagi. Allah Mengetahui punca tertanggal tangkainya, bila berlaku, bagaimana, dimana, keadaan jatuhnya bagaimana. Semua yang berlaku di Alam Semesta, adalah dalam Pengetahuan Allah. Kita hanya wajib yakin bahawa tiada yang terluput dari Pengetahuan 'Ilmu Allah.

ii) Al-Kitaabah- Penulisan atau rekod segala apa yang akan berlaku, apa yang berlaku sebelum ianya berlaku. Segala sesuatu telah tertulis di Lauh Mahfuz seperti yang dinyatakan didalam surah Al-Buruuj ayat 22 atau sebagai Imaamim mubiin didalam surah Yasin ayat 12. Lauh Mahfuz itu ghaib tetapi diberi nama Kitaabum mubin iaitu Kitab yang nyata, suatu bank data, sumber maklumat yang hebat, tempat menyimpan rekod segala sesuatu. Segala sesuatu yang belum berlaku, yang sedang berlaku atau yang sudah berlaku semua tercatit dengan lengkap sempurna. Contohnya, siapa cicit kita pun sudah direkodkan disitu. Rujuk surah Al-Buruuj ayat 22 dan surah Yasin ayat 12.


iii) Al-Masyi ah- apa yang Allah Ketahui dan apa yang Allah Tulis tidak akan berlaku tanpa  Al-Masyi-ah Allah (Kehendak Allah). Kita wajib yakin apa yang berlaku di Alam Semesta ini semuanya berlaku dengan Kehendak Allah. Bukan dengan kehendak kita. Banyak kehendak kita yang tidak terlaksana bahkan banyak yang kita tidak kehendaki berlaku kepada kita. Contoh mudah ialah kita tiada niat atau azam pada setiap kerdipan mata kita, itu kerana Kehendak Allah. Contoh lagi, kita makan 16 jenis makanan, minum pula 11 jenis minuman. Campur semuanya di dalam perut kita, pernahkah kita terfikir untuk agih-agihkan kepada seluruh badan kita sesuai dengan keperluan setiap bahagian tubuh kita ini? Bukan kerja kita, kita tidak dilibatkan sama sekali, bahkan kita tidur dengan lena semasa tubuh kita bekerja. Semuanya berlaku atas Masyi-ah Allah. Tanpa kehendak kita tetapi atas Kehendak Allah. Apabila Allah  Kehendaki apa yang Dia Ketahui akan berlaku dan apa yang diRekodkan-Nya akan terjadi dan apa yang Allah Kehendaki akan berlaku, maka terjadilah.

iv) Al-Khalqu- Allah Yang Menciptakan segala sesuatu. Sejuknya air, panasnya api, robohnya bangunan dan sebagainya. Tiada yang terjadi, melainkan semuanya Allahlah Yang Melakukan. Oleh itu beriman lah dengan Al-Iman bi 'Ilmillah.

8.0] Allah Tahu bahawasanya apa yang akan menimpa Kaum 'Aad dan ianya benar-benar telah berlaku. Didalam surah Al-Kahfi bermula dengan ayat 65 iaitu tentang tiga episod yang dialami oleh Nabi Musa as yang menjadi murid kepada Nabi Khaidir as. Nabi Musa as yang tidak tahu banyak perkara, merasa marah dan menyalahkan gurunya Nabi Khaidir as. Orang Arab menyatakan bahawa manusia ini seringkali memusuhi apa yang ia tidak tahu. Oleh itu jika kita memusuhi sesuatu, itu tanda kita tidak tahu, kerana jika kita sudah tahu kita akan kata o,o,o. Ketika perkara yang kita tidak tahu berlaku, kita akan melompat-lompat. Contoh mudah ialah ketika menonton drama atau filem yang dahsyat, action-packed. Kali pertama kita menonton filem itu tentunya merasa sangat suspen. Apabila melihat heronya berlari, melompat kejar mengejar, rumah runtuh dan sebagainya, bagaimana reaksi kita? Bandingkan apabila kita menengoknya buat kali yang kedua atau kelima?Adakah reaksinya sama atau berbeza? Untuk lebih jelas melihat perbezaan reaksi manusia, ajak saja seorang kawan untuk menonton filem tersebut buat pertama kalinya. Tentunya kawan kita itu melompat-lompat, menghayati filem yang suspen itu dan pada masa yang sama kita hanya tenang sahaja kerana kita sudah tahu tentang jalan ceritanya. Bayangkan hidup ini, jika Allah beritahu apa yang akan berlaku. Lantaran itulah guru kepada Nabi Musa as iaitu Nabi Khaidir as, diperintah Allah untuk membunuh pemuda, dibunuhnya, disuruh bocorkan sampan dilakukannya kerana dia tahu, tetapi Nabi Musa as melompat-lompat, menyalahkan, sebab dia tidak tahu.

9.0] Bayangkan jika Ilmu Allah Yang Maha Luas ini Allah berikan kepada kita, tentunya tenang hati kita. Walaupun belum tahu, yakinlah supaya hati kita jadi tenang. Keyakinan itulah yang membuat hati kita tenang. Bayangkan jika kita mendapat kebocoran maklumat dari Sidratul Muntaha, dan maklumat itu ialah berkaitan dengan kehidupan kita setahun akan datang, bermula dari bulan Ogos 2016 hingga Ogos 2017. Walaupun sesuatu yang akan berlaku itu yang kita tidak suka tetapi apabila kita tahu, kita sudah bersedia. Andai jika kita sudah tahu bahawa ada orang yang akan memukul kita dari belakang, kita sudah tidak rasa atau terkejut berbanding jika kita tidak tahu, orang menegur kita pun boleh akibatkan masuk hospital lantaran terkejut dan terkesan. Oleh itu elok tahu, dan kalau tidak tahu yakinlah bahawa semuanya Allah Ketahui, Allah Rekodkan kemudian akan berlakulah apa Yang Allah Kehendaki.

10.0] Ulangi penghayatan surah Al-Hadid supaya hati jadi tenang. Keadaan kita melompat-lompat menyalahkan, kerana kita tidak tahu, kerana sesuatu yang tidak diduga-duga, sesuatu yang tidak patut tiba-tiba berlaku keatas kita. Mendapat nikmat, melompat-lompat, dihilangkan nikmat pun melompat-lompat. Andainya Allah telah beritahu yang kita akan diberi nikmat tentu tenang hati dan apabila dihilangkan nikmat pun hati tetap tenang. Rujuk surah Al-Hadid ayat 23;


Apabila Allah ambil sesuatu daripada kamu, jangan bersedih tetapi bersabar, dan apabila Allah memberi sesuatu nikmat kepada kamu, janganlah tafrahu iaitu terlalu gembira, lupa daratan atau joli sakan tetapi sebaliknya perlu bersyukur. Sebelum menerima nikmat Allah, persiapkan hati untuk berkemampuan  untuk mensyukurinya, begitu juga sebelum Allah ambil sesuatu dari kita, persiapkan hati untuk bersabar. Apabila sedang sihat, bersedialah untuk sakit dan ketika sedang sakit bersedialah untuk sihat. Orang miskin yang belum bersedia jadi kaya, tiba-tiba Allah beri kekayaan, apa yang berlaku? Contohnya tengok saja kepada perangai OKB (orang kaya baru), perangainya pelik, mungkin dibelinya 6 biji peti ais untuk simpan baju, atau katil 7 buah untuk tidur bergilir pada 7 malam.

11.0] Ada disebut oleh Allah dan Nabi saw bahawa tanda kiamat ialah apabila orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, berlumba-lumba meninggikan bangunan. Orang itu dahulunya miskin, tiba-tiba jadi kaya, jiwanya belum bersedia, jiwa boleh jadi rosak. Sebaliknya juga bagi orang kaya yang belum bersedia untuk jadi miskin, pasti melatah-latah hinggakan mungkin akan tersenyum 24 jam tanda kejutan akalnya. Oleh itu selalulah berbisik kepada hati dan jiwa kita supaya sentiasa bersedia untuk hadapi apa sahaja yang akan berlaku dengan tenang. Masa kita gulung tikar, masa kita hilang jawatan, apabila berlaku kehilangan, kita bersedia dan masih boleh tersenyum.

12.0] Oleh sebab itu Hidup ini bersedialah untuk hadapi Mati bila-bila masa. Tidak semestinya besok akan mati, hanya bila ditakdirkan besok akan mati, diri telah bersedia dan bertuahlah diri itu. Orang takut untuk bersedia untuk Mati kerana takut Mati, walhal Mati itu pasti. Orang Melayu ada berkata, "Sediakan payung sebelum hujan". Jangan sudah hujan barulah terhegeh-hegeh mencari payung, supaya nanti tidak terjadi apabila baru jumpa saja payung hujan pun berhenti. Ketika sedang sihat, bersedialah untuk sakit dan orang yang sedang sakit pula boleh sihat.

13.0] Di dunia tiada yang tetap, semua tidak tetap, yang tetap ialah berubah atau perubahan. Hanya perubahan yang tetap.

14.0] Surah Al-Ankabut ayat 39;

Dari segi tertib sebutan  ketiga-tiga nama yang disebutkan diatas, kenapa Qarun disebut dahulu berbanding nama Fir'aun dan Haman. Sekali pandang kita rasa nama Fir'aun yang sepatutnya disebut dahulu kerana Fir'aun lebih berkuasa, seorang maharaja. Daripada Imam Al-Alusi, nama Qarun disebut dahulu adalah kerana untuk tujuan Tasliah (menghibur) Nabi saw dengan susunan itu. Apabila diselusuri sirah, siapa yang lebih dekat perhubungannya dengan Nabi Musa?;

i) Qarun dan Musa adalah dari bangsa yang sama, iaitu Bani Israil manakala Fir'aun dan Haman adalah dari Kaum Qibti. Oleh sebab itu Qarun adalah lebih dekat hubungan-nya dengan Nabi Musa.

ii) Kebanyakan mufassir dan ahli Taarik (pakar sejarah) seperti Ibrahim An-Nakhoi, Abdullah bin Harris, Qotadah, Malik bin Dinar dan Ibnu Juraij, mereka berkata bahawasanya Qorun itu anak kepada bapa saudara Nabi Musa. Ayah Qorun adalah Pakcik Nabi Musa as. Demikian juga kata Ibnu Jarir At-Tobari dan kebanyakan ahli Ilmu yang lain.

Qorun bin Yashhar bin Qoohith.
Musa bin 'Imran bin Qoohith.

Oleh sebab itu, Qorun dan Nabi Musa adalah sepupu. Qoohith datuknya, seorang cucunya menjadi nabi (Nabi Musa) manakala seorang cucunya lagi menjadi musuh Agama (Qarun).

15.0] Ayat ini disebut sebagai ayat Tasliah kepada Nabi Muhamad saw kerana Nabi saw bersedih, hiba, kecewa diatas tentangan kepada Nabi saw yang datangnya daripada kerabat terdekat kepadanya iaitu Abu Lahab, yang pada awalnya sangat gembira dengan kelahiran Nabi saw, memberi hamba sahayanya untuk menyusui Nabi saw tetapi kemudiannya apabila Nabi saw dilantik menjadi Nabi, Pakciknya Abu Lahab itulah yang paling kuat menentang Nabi saw. Andainya orang lain yang menentang, mungkin kurang sedikit kesannya.

16.0] Allah sebut kisah Nabi Musa as dengan Qarun, sepupu sendiri yang menentang, manakala Nabi Ibrahim juga ditentang oleh ayahnya sendiri, begitu juga Abbas bin Abdul Mutallib (sebelum memeluk Islam, sepupu Nabi saw) juga sangat kuat menentang Agama  yang dibawa oleh Nabi.

17.0] Qarun ini seperti yang diceritakan didalam surah Al-Qasas ayat 76, adalah orang yang paling kaya, tentang kunci-kunci perbendaharaan harta-nya yang sangat banyak dan sehingga memerlukan ramai orang yang kuat-kuat  memikulnya. Harta simpanannya berupa emas, perak dan benda-benda yang mahal, bukan sekadar koleksi kasut seperti orang sekarang. Qarun juga ada kedudukan, dilantik menjadi wazir atau Menteri Hal Ehwal Kebajikan Bani Israil. Juga bukan orang asing dengan Nabi Musa as malah sepupunya.

18.0] Disebut sepertilah Abu Lahab yang ada hubungan rapat dengan Nabi Muhammad saw, juga seorang jutawan, yang ada kuasa untuk menjaga Hal Ehwal Keselamatan Orang Quraish (menteri dalam negeri). Itulah urutan pertama yang menjadi Tasliah kepada Nabi saw supaya Nabi saw tidak terlalu bersedih sebab memang ada persamaan kisah Nabi Musa as dengan kisah Nabi  saw.

19.0] Pada zamannya, Qarun adalah orang yang cerdik, dan paling pandai tentang Kitab Taurat. Apabila dia menentang Nabi Musa as dan menolak Kitab Taurat tentulah kesannya sangat hebat. Begitulah juga jika yang menolak Al-Quran atau yang mengatakan Al-Quran ini palsu adalah datang dari orang yang ahli dan faham Al-Quran dengan mendalam, tentulah kesannya sangat hebat. Berbeza sangat jika seorang Sami dari Thailand yang mengatakan Al-Quran itu palsu, tentu kesannya tiada langsung.

20.0] Walid bin Al-Mughirah ialah seorang Quraish yang paling faham tentang Al-Quran tetapi menentangnya dan kesannya luar biasa.

21.0] Memang ada persamaan kisah Nabi Musa as dengan kisah Nabi Muhammad saw, sebab itulah nama Qarun disebut dahulu dalam turutan diatas. Kisah Qarun pula diceritakan dalam 3 surah didalam Al-Quran iaitu di dalam;

i) Surah Al-Ankabut ayat 39.
ii) Surah Al-Qasas ayat 76 sehingga 82.
iii) Surah Ghaafir ayat 23 hingga 25.

Daripada 3 kisah diatas, yang relatif lengkap adalah di dalam surah Al-Qasas. Kesilapan Qarun ialah kerana menisbahkan kekayaan dunia ini yang didapatnya kepada kebolehan dirinya dan tidak kepada Allah, Pemilik Yang Haqiqi. Rujuk Al-Qasas ayat 78;

23.0] Dosa Qarun yang paling besar ialah kerana ia lupa menisbahkan kekayaannya kepada Yang Maha Memberi iaitu Allah SWT. Apabila orang yang menisbahkan kejayaannya terhadap kebolehan dirinya maka tergolonglah  ia dalam Ideologi Qarunism. 

24.0] Perkara yang kedua tentang Qarun ialah dia suka sekali menunjukkan kelebihannya, banggakan kekayaannya, untuk mendapatkan pujian dari masyarakat. Apabila orang yang lemah jiwanya melihat kelebihan  dan harta Qarun, terusik hati mereka, dan mereka berkata seperti dalam surah Al-Qasas 79;

25.0] Contoh yang biasa kita dapati di dalam majalah popular dipamerkan segala kemewahan hidup seseorang, dari muka surat pertama hingga ke muka surat akhir, memuatkan gambar-gambar yang menunjukkan kemewahan hidup dan kelebihan diri yang mana akan terkesan dan terusik hati orang-orang yang tidak berkemampuan sedemikian. Qarun yang apabila mendengar pujian, bertambahlah kagumnya, berpeluh, bertambah rasa besar diri, dan sifat ini sangat-sangat dibenci oleh Allah dan tidak boleh ada pada diri seseorang Muslim.

26.0] Contoh sebenar yang berlaku dalam kehidupan;
Ada seorang bapa yang punya 2 orang anak perempuan. Seorang anaknya cemerlang dari sejak kecil sehingga berjaya dalam pelajaran dan lulusan Menara Gading kemudian menjawat jawatan  yang baik, berbanding dengan adiknya yang kurang memuaskan prestasinya dari awal persekolahan dengan hanya mendapat pangkat rendah, terpaksa pindah-pindah sekolah, kelulusan tidak seberapa dan bekerja juga tidak seberapa. Tiba masanya kakaknya nikah-kahwin, dan satu daripada agenda majlis ialah dengan mempamerkan segala kebertuahan anak itu yang menjadi Raja Sehari dengan tayangan video tentang perjalanan kejayaannya.

Tiba pula masa nikah-kahwin adiknya. Bakal pengantin telah menyatakan kepada bapanya bahawa dia tidak mahu ditayangkan kisahnya seperti yang telah dibuat untuk kakaknya. Bapanya pun dengan selamba menjawab, "Memang tidak mahu ditayangkan pun, takut buat malu". Apa yang tersirat dihati si bapa sebenarnya? Jangan-jangan tujuan mempamerkan tentang kejayaan si kakak itu dahulu adalah untuk berbangga-bangga? Jika niatnya untuk membuat orang mengkagumi, supaya orang yang tidak tahu akan tahu, itu adalah Qarunism. Itu tidak boleh, Al-Quran melarang. Bacalah surah Al-Qasas ayat 81;


27.0] Kenapa Allah benamkan orang yang bangga-banggakan diri? Itu adalah Takaathur (bermegah-megah) yang tanpa kita sedari sekarang ini semakin menjadi kebiasaan, menjadi trend  dalam setiap majlis walimah. Takaathur ini tidak wujud dahulu cuma sekarang ini semacam sudah menjadi syarat majlis. Bila kita sudah belajar Agama, kita tidak boleh memaksa Agama atas kehendak kita atau memaksa Agama bersetuju dengan kita. Nabi saw bersabda,"Tidak sempurna iman seseorang sehingga hawa nafsunya, selera keinginannya tunduk patuh kepada apa yang aku bawa". Selagi kita mengorbankan, mengalahkan kata Agama untuk mengikut kata kita, bermakna Iman kita masih dipersoalkan.

28.0] Al-Quran sangat melarang sifat tercela seperti diatas sebab akhirnya kita nafsi-nafsi. Diakhirat kita seorangan. Kalau kita sudah belajar, dan kita sudah tahu, tetapi kita langgari juga, tanggunglah sendiri didalam kubur berseorangan. Allah Maha Tahu apa yang ada didalam hati seseorang.

29.0] Tentang Pengetahuan Allah iaitu sifat Allah Maha Tahu, boleh dirujuk surah Al-Ahzab ayat 28 dan seterusnya. Ayat pilihan dimana Allah memberi pilihan kepada isteri-isteri Nabi saw samaada ingin hidup bersama Nabi saw seadanya atau  memilih untuk kehidupan dunia yang kaya raya dengan diceraikan oleh Nabi saw. Mereka memilih untuk hidup bersama bersusah dengan Nabi saw. Allah Maha Tahu niat dan isihati isteri-isteri Nabi saw yang ingin meminta belanja lebih, walaupun mereka ada haq.

30.0] Ketika Nabi saw buat majlis walimahnya iaitu semasa Nabi saw berkahwin dengan Zainab binti Jahshi. Waktu itu belum ada lagi ayat protokol, sahabat boleh bergaul bebas dengan isteri-isteri Nabi saw, belum ada perintah hijab dan boleh masuk ke rumah Nabi saw dengan bebas. Ada seorang sahabat terlintas di dalam hatinya, apabila melihat Aisyah r.anha yang masih muda dan melihat Nabi saw yang relatif lebih tua, secara hukum zahirnya bermakna Nabi saw akan wafat dahulu, lantas terlintas didalam hatinya untuk kahwini Aisyah jika Nabi saw wafat nanti. Tiada sesiapa pun tahu kecuali dirinya dengan Allah. Kalau tiada larangan pasti ramai yang akan kahwini janda Nabi saw nanti. Tidak lama kemudian turun ayat panjang lebar tentang tatasusila pergaulan dengan isteri-isteri Nabi saw. Tentang tidak boleh berkahwin dengan janda Nabi saw. Sahabat yang lain tidak terasa apa-apa dengan turunnya ayat tersebut kecuali bagi seorang sahabat yang telah terjentik hatinya dengan penurunan ayat itu. Allah Maha Tahu.

31.0] Nabi saw berpesan, "Sesungguhnya kamu orang-orang Islam akan ikuti sunnah kehidupan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehingga jika mereka masuk ke lubang dhob pun akan ikut masuk". Sahabat tidak tahu apa maksud Nabi saw dengan kalimah "Man qablikum", lalu bertanya dan dijawab Nabi saw, "Wa man".

32.0] Agama bukan semata-mata tentang solat, zakat, haji, tentang Romadhon, tentang solat Tarawikh, atau tentang pilih-pilih imam yang mesra makmum, yang baca surah pendek dan sebagainya. Hati-hatilah dalam segala hal. Semuanya telah ada contoh daripada kaum-kaum terdahulu. Kaum Nabi Luth dengan jenayah moral dan sosial, kaum Nabi Syu'aib dengan jenayah perniagaannya, kaum Nabi Nuh dengan jenayah kasta dalam masyarakat, kaum Nabi Musa dengan jenayah Qarunism, suka menunjuk-nunjuk, suka bila orang memuji, bila orang kagum, bila orang rasa hairan. Ini penyakit hati yang busuk dan adalah berat sekali dosanya.

33.0] Surah Al-Ankabut ayat 39 ini adalah ayat tasliah kepada Nabi saw. Dimana banyak persamaan dengan kisah hidup Nabi saw sendiri. Cerita-cerita tentang Qarun, Abu Lahab dan Abbas bin Abu Mutallib ada persamaan dari segi ada kekuasaan, ada ilmu tetapi menentang, ada hubungan kekeluargaan. Apabila kita ditimpa musibah dan mengetahui bahawa ada orang lain juga yang merasa sama, musibah kita terasa ringan. Apabila Nabi saw menerima ayat tasliah ini, Nabi saw merasa berkurang musibahnya.

34.0] Kisah tentang Haman tiada didalam sejarah Mesir Kuno, tetapi disebut di dalam Al-Quran sebanyak 6 kali. Lantas orang Kristian mengatakan itu bukti Al-Quran tidak benar, palsu. Tetapi Al-Quran telah dapat membuktikan secara Saintifik bahawa Haman benar-benar wujud dizaman Mesir Kuno berdasarkan tulisan Hieroglyphic berbentuk haiwan iaitu tulisan bersimbol. Setelah bukti ini diungkap, barulah ada tulisan dan cerita tentang Haman. Itu menunjukkan apa yang Al-Quran katakan pasti benar, kalaupun belum tahu, pasti sekali Allah akan tunjukkan buktinya dari masa kemasa. Wallahu 'a'lam.



















































Tuesday, August 9, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 36-38) Kuliah 38-Tijaarah, Ziraa'ah, Ghosysyasyah

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 36 dan 37



Imbas kembali kuliah yang lepas iaitu tentang surah Al-Ankabut ayat 36 dan 37 yang menceritakan tentang siapa Nabi Syuib as dan asal-usul penamaan Kota Madyan atau tasmiatul Madyan.

2.0] Cukup banyak zikru Nabiyyullah Syuib, penuturan kisahnya didalam Al-Quran, iaitu sebanyak 10 kali dalam berbagai surah. Nabi Syuaib as terkenal sebagai nabi yang fasih dalam percakapan. Sohibuss-soleh memberinya gelaran sebagai Khotiibul-Anbiyaa' iaitu sebagai juru cakap atau juru bicara para nabi. Kepetahan dan kefasihan serta ketinggian mutu sastera dan balaghah dalam percakapan adalah anugerah istimewa daripada Allah kepada Nabi Syuaib as kerana setiap nabi memang diberi kelebihan tersendiri seperti mana Firman Allah, "Sebahagian rasul itu Kami lebihkan atas sebahagian yang lain".
   
3.0] Kaum Nabi Syuaib as  kebanyakannya peniaga dan petani. Ertinya sendi ekonomi masyarakat kaum Nabi Syuaib as memadukan dua sumber ekonomi terbaik yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya. Sesuai dengan ajaran Nabi Muhammad saw bahawa 90% dari rezqi Allah kepada hamba-Nya adalah melalui perniagaan atau tijaarah manakala rezqi dari Allah yang paling berkat ialah melalui pertanian atau ziraa'ah. Contohnya jika ada orang yang untung di dalam jual-beli kereta atau dalam jual-beli hartanah, tidak ada yang sewenang-wenangnya mengisi duit keuntungannya itu kedalam sampul-sampul surat untuk disedekahkan kepada sekelian orang. Berbeza dengan orang yang bercucuk tanam, seperti menanam pokok limau purut, rambutan, serai, bunga kantan, daun kesom dan sebagainya, biasanya akan suka sekali untuk bersedekah sahaja hasil tanamannya itu kepada kawan-kawan. Itu menunjukkan tanda hasil yang sangat berkat. 

4.0] Didalam dunia perniagaan, mungkin saingan adalah sangat ketat dan mudah terbuka peluang untuk saling kalah-mengalahkan atau dengki-mendengki. Manakala didalam dunia pertanian, dengan menanam sendiri pokok-pokok, kemudian melihat pokok tumbuh membesar, berbunga, berbuah dan dapat dituai hasilnya, apa lagi jika buah pertamanya diberi kepada jiran, nilainya adalah sangat tinggi dan penuh barokah. Orang yang paling bertuah adalah orang yang Allah kurniakan dengan rezqi dusun-dusun. Wajah-wajah mereka juga biasanya redup, sejuk, berbarokah.

5.0] Jelaslah bahawa rezqi yang paling mudah untuk diperolehi adalah melalui bidang perniagaan manakala rezqi yang paling barokah adalah melalui bidang pertanian. Malang sekali bagi kaum Nabi Syuaib as yang telah Allah kurniakan keistimewaan didalam kedua bidang rezqi tersebut tetapi telah melakukan jenayah ekonomi yang dahsyat yang patut kita ambil iktibar untuk menjauhinya. Perangai kaumnya adalah tersangat buruk dengan adanya sifat-sifat Al-Ghasysyu (curang), Al-Makru (tipu-daya yang halus) dan Al-Khidaa'u (memperdaya, menipu).

6.0] Rasulullah saw disuatu hari telah pergi ke pasar, tergerak hatinya untuk memasukkan tangan-nya ke dalam guni gandum yang dijual peniaga di situ. Didapati-nya gandum itu basah. Nabi saw bertanya dan dijawab dengan jujur oleh si penjual itu mungkin gandum itu terkena air. Nabi saw tidak bersangka buruk (su uz zon) terhadap peniaga itu tetapi Nabi saw terus memberi ingatan supaya jangan curang. Sesiapa yang curang dalam perniagaannya, Nabi saw enggan akui sebagai umat-nya.

7.0] Didalam Al-Quran, manusia dinyatakan sebagai terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu kumpulan
i) Al-Muqarrabun (orang-orang yang dekat).
ii) Asyhaabul Yamin (golongan yang kanan).
iii) Asyhaabusy Syimal (golongan yang kiri).

Manakala orang mukmin juga terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu; 
i) Mukmin yang zalim (zolimul linafsi)
ii) Mukmin sederhana (muqtasid])
iii) Mukmin yang bersegera dengan membuat kebaikan (saabiqun bil khairat).

Umat Nabi Muhammad saw, iaitu seorang muslim, dari segi akhlaknya terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu; 
i) Muslim nassoohah bermakna tulus ikhlas, bersih, tidak berkeinginan kepada sesuatu hak orang lain. Kata dasarnya ialah nasoha yang mana keluarlah darinya kalimah taubat nasuha.
ii) Muslim ghosysyasyah pula bermakna curang, menipu, dendam, ingin senang dengan menyusahkan orang lain, ingin untung dengan merugikan orang lain, mengkayakan diri dengan memiskinkan orang lain dan sebagainya. 
.
8.0] Tentang peniaga gandum yang diceritakan diatas, Nabi saw tidak menuduh si peniaga itu berlaku curang tetapi andainya ada niat untuk curang, walaupun dengan hanya untuk mendapat keuntungan dari orang lain dalam jumlah yang sedikit, maka tempatnya di neraka.

9.0] Al-Makru ialah menjalankan tipu daya yang halus sehingga yang telah dikena tipu tidak menyedari, sehingga setelah sekian hari barulah yang kena tipu sedar.

10.0] Al-Khidaa 'un pula bermaksud memperdaya dan menipu juga. 

11.0] Sifat Al-Ghasysyu, Al-Makru dan Al-Khidaa 'un inilah yang menjadi kerosakan akhlak Kaum Nabi Syuaib as. Dengan 'aqidah yang rosak ditambah dengan akhlak yang rosak, Kaum Nabi Syuaib as menolak dakwah Nabi Syuaib as dan akhirnya Allah musnahkan mereka.

12.0] Umat Nabi Muhammad saw merangkum semua daripada keburukan akhlak kaum nabi terdahulu. Contohnya ada istilah menikam dari belakang, iaitu sifat buruk yang ada diantara hubungan dua orang yang rapat, seperti perangai kaum Nabi Syuaib as. Perangai buruk kaum Nabi Luth as dan kaum Nabi Nuh as juga ada. Kalau hanya dengan satu dua jenis perangai buruk kaum itu pun Allah telah hancurkan, bagaimana pula jika ada segala perangai buruk itu seperti mana yang ada pada umat akhir zaman ini.

13.0] Allah telah berikan segala kebaikan dalam sumber rezqi kepada hamba-Nya seperti tijaaroh dan ziroo'ah tetapi jika ada sifat-sifat seperti yang ada pada Kaum Nabi Syuaib as itu maka adalah sangat dahsyat dan besar sekali dosanya. Didalam Al-Quran ada surah Al-Mutaffifin (orang yang curang), perbuatannya dipanggil tatfif. Orang yang melakukan transaksi perniagaan, jual beli, sewa menyewa, hutang piutang, pajak gadai, yang sentiasa mencari keuntungan dengan cara menipu orang, bila menimbang untuk orang lain, dikurangkan tetapi apabila menimbang untuk diri, dilebihkan timbangan. Dosanya besar sekali.

14.0] Kita patut bersyukur kerana orang-orang tua kita, guru-guru kita telah berjaya mendidik agama kita untuk merasa takut, jijik kepada anjing atau babi. Contohnya jika anjing menjelirkan lidah apalagi jika dijilat anjing, tentu takut dan  jijik sekali, padahal apabila dijilat oleh anjing, kita tidak berdosa, tidak akan dimasukkan ke neraka. Cuma perlulah di samak, disucikan dengan cara-cara yang tertentu. Begitu juga jika melihat babi yang diisi diatas lori dan kita yang memandu dibelakang lori tersebut, bagaimana perasaan kita ketika itu? Ingin segera melintas, atau ingin menjarakkan diri, lantaran rasa jijik dan tidak selesa. Sepatutnya kita kena lebih jijik dengan orang yang ghosysyasyah iaitu orang yang curang dalam perniagaaan. Ini adalah sesuatu yang perlu diubah persepsinya. Contoh lagi seperti yang berlaku di IKEA, ada orang yang telah menjual makanan bercampur dengan bahan babi. Apa perasaan orang muslim yang telah terlanjur memakannya? Tentu sekali terasa jijik, termuntah atau dijolok-jolokkan tekak supaya dimuntahkan keluar. Walhal tidak berdosa jika memakan sesuatu yang haram yang kita tidak tahu, makan tanpa niat dan tanpa sengaja. Allah Lebih Mengetahui.

15.0] Benda yang Allah kata buruk dan neraka balasannya seperti 3 perangai buruk Kaum Nabi Syuaib as itu, hendaklah kita bersungguh-sungguh jauhinya. Mengambil sesuatu yang bukan hak kita adalah sesuatu yang sangat perlu dijauhi dan dijaga.

16.0] Allah utus Nabi Syuaib as yang dipanggil sebagai khotibul anbiyaa' kerana percakapannya teratur, bijak, kosa katanya menyentuh hati. Namun kaumnya yang tetap degil dan tidak menerima dakwahnya sehingga Allah musnahkan dengan menimpakan beberapa siksaan seperti yang diceritakan didalam 3 surah didalam Al-Quran. Daripada Tafsir Ibnu Kathir, Allah SWT menceritakan jenis dan bentuk siksaan dalam Al-Quran dengan uslub (susunan, struktur ayat yang sesuai dengan keadaan).

16.1] Rujuk surah Al-A'raf ayat 78;



Apakah jenis azab itu? Azab rajfah (gempaan yang hebat), kerana kaumnya telah mengugut, menggoncangkan hati Nabi Soleh as. Rujuk juga surah Al-A'raf ayat 88;

Al-jaza' atau balasan adalah sesuai dengan dosa yang dilakukan. Azabnya pun sesuai dengan perbuatan kaumnya. Nabi Syuaib as diancam diusir dari kampung halaman. Kalimah aw yang bermakna ila, iaitu sehingga, kecuali dan bukan bermakna atau. Azab yang Allah timpakan dinamakan rajfah (gempa). Berbeza dengan surah Hud ayat 67;



Penggunaan kalimah Asy-Syoihah (suara yang kuat), ini juga ialah tentang azab yang Allah timpakan keatas Kaum Nabi Soleh as. Apa perbezaan antara kalimah rajfah dengan syoihah? Ayat seperti ini dijadikan alasan bagi orang yang ingin menyerang Agama Islam. Mereka bertanya kenapa berbeza? Lantas mengatakan bahawa isi Al-Quran tidak konsisten, padahal Allah menamakan azab itu sesuai dengan keadaan, tidak berbeza pun. Kaum Nabi Syuaib as memperolokkannya, hari-hari mereka memekik, berteriak, mengejek, menghina Nabi Syuaib dan pengikutnya. Boleh di rujuk lagi didalam surah Hud ayat 87;




Kalimah maa nasyaa' yang bermaksud suka kami-lah (untuk memperbuat apa yang kami kehendaki). Ayat diatas adalah suatu ejekan (istihzah), "kerana selama ini tiada sesiapa menegur kami, tiada sesiapa pun yang menyalahkan kami, tiba-tiba kamu menegur kami". Ejekan mereka dengan suara yang kuat yang dipanggil istihzah maka Allah pun menimpakan keatas mereka dengan syoihah (suara yang kuat).

17.0] Rujuk surah Asy-Syu'ara' ayat 187;



Apakah  cabaran kaumnya kepada Nabi Syuaib as setelah Nabi Syuaib as berdakwah bersusah payah. Mereka berkata, "Kalau betullah ajaran mu benar dan kami salah, tunjukkanlah kepada kami". Cabaran itu dijawab oleh Allah seperti yang diceritakan didalam surah Asy-Syu'ara' ayat 189;

Dalam keadaan cuaca yang mendung, gelap, Allah datangkan azab yang besar. Maka tanasubnya tidak bercanggah ayat-ayat Al-Quran tentang azab yang Allah timpakan  keatas kaum Nabi Syuaib as itu. Balasan itu sesuai dengan perbuatan. Ada 3 nama azab yang Allah timpakan keatas kaum Nabi Syuaib as iaitu rajfah, syoihah, dan zullah.

18.0] Kaum Nabi Syuaib as yang curang, tidak jujur dalam mencari rezqi, adalah jenayah yang berat dalam pandangan agama, sebab itu Nabi Muhammad saw memberi peringatan demi peringatan supaya dijauhi. Oleh itu perlulah belajar hadith, belajar feqah dalam Kitabul Buyut, tentang jual beli, dimana ada garis panduan cara menjalankan perniagaan. Contohnya dalam mencari pelanggan, dari segi perkhidmatan umrah dan ziarah, iklan yang hebat  yang mengutarakan tentang hotel yang dekat dengan Masjidil Haram, makan yang mewah, perkhidmatan bas, bilik selesa, dapat pula air zam-zam atau kurma, di lapangan terbang nanti ada kereta khas menunggu dan sebagainya. Orang ramai akan tertarik dengan iklan istimewa itu. Namun jika layanan yang didapati tidak seperti yang diiklankan, itu sudah termasuk ghusysyun atau curang.

[Untuk difikirkan: Antara umrah dan ziarah, yang mana elok didahulukan? Sepatutnya berziarah dahulu kemudian baru umrah, kerana jika ada dosa semasa ziarah boleh dilebur sewaktu umrah].

19.0] Hati-hati apabila  mengiklankan sesuatu supaya tidak terjadi ghusysyun atau curang, seperti jika iklan jus kesihatan yang dapat menyembuhkan seribu satu macam penyakit, atau dapat memudakan 3 tahun wajah pengamalnya.

20.0] Nabi saw menjelaskan dengan terperinci dalam hal jual beli, sewa menyewa dan hutang piutang ini. Umat Nabi Muhammad saw terbahagi kepada 2 sahaja dari segi akhlak iaitu akhlak penghuni syurga dan akhlak penghuni neraka. Addiinun nasiihah yang bermaksud agama itu daripada nasohah. An-Nasiihah bermakna ketulusan hati, jangan ada syak atau dzon atau berburuk sangka kepada Allah, kepada Nabi, kepada Al-Quran dan kepada sesama manusia. Kita tidak boleh merasa bahawa Allah tidak adil. An-Nasiihah bukan bermakna nasihat. Ia inti agama. Nasihat dalam Bahasa Melayu lebih tepat dikatakan Tausiyah. Kalimah Tausiyah seperti yang terdapat didalam surah Al-'Asr ayat 3, watawa sowbil haq (dan mereka saling menasihati dalam kebenaran). Hati kita kepada Allah jangan ada kekotoran. Begitu juga terhadap para nabi, terhadap Al-Quran dan terhadap sesama manusia. Nabi Muhammad saw enggan mengaku umat orang yang Ghosysyasyah. Tidak mudah mengelak dari sifat Ghosysyasyah dalam bidang Tijaarah. Untuk menjadi peniaga yang nasohah tidak mudah, oleh itu telah mendapat pujian daripada Allah dalam surah An-Nur ayat 37;

Peniaga yang jujur yang tidak Ghosysyasyah, akan berada bersama Nabi saw. Oleh sebab itu mesti beri penekanan dalam belajar agama dalam bidang-bidang yang lebih berat dan mustahak. Perlu lebih penekanan dalam bidang Ghosysyasyah berbanding dengan hal hanya dijilat anjing. Walaupun  hanya 2 ayat iaitu ayat 36 dan 37, dan bukan kisah para Anbiya', namun isi ayat 36 dan 37 adalah sangat penting.

21.0] Surah Al-Ankabut ayat 38;

Kaum 'Aad ialah kaum bagi Nabi Hud as, manakala Thamud ialah kaum bagi Nabi Soleh as dimana tempat tinggal mereka ini biasa dilalui oleh kaum Quraisy. Perbuatan mereka dijadikan indah oleh syaitan. Wa 'Aadaw wathamuud, bermakna bukan hanya kaum Nabi Syuaib as tetapi juga kaum 'Aad dan Thamud. Daripada Tafsir Imam Al-Marowi, iaitu mantan Imam Mustafa Al-Marowi, "Kami telah binasakan juga kaum 'Aad, kaum Thamud yang menempati Ahqaf  (timbunan pasir)". Bahagian pasir yang turun dipanggil Al-Ghooit iaitu tempat yang biasa digunakan untuk orang membuang air (boleh didapati dalam surah Al-Maidah). Ini adalah bahasa yang manis dalam Al-Quran, yang boleh diguna pakai dalam  berbagai keadaan. Contohnya walau pun  ketika orang sedang menjamu selera, masih boleh dibaca ayat ini tanpa menghadirkan rasa jijik. Itu keindahan Al-Quran. Berbanding dengan buku-buku sekarang yang hanya fokus kepada peringkat yang tertentu. Contohnya buku masakan, hanya sesuai untuk orang yang suka memasak tapi tidak sesuai untuk orang yang suka makan. Sementara Thamud kaum Nabi Soleh mereka menghuni kawasan gunung batuan. Kedua-dua kaum ini hebat, mendapat pengiktirafan daripada Allah. Rujuk surah Al-Fajr ayat 6 dan 7;



Kaum 'Aad tinggal di Negeri Iram yang mempunyai bangunan-bangunan tinggi pencakar langit. Ada satu kajian yang diberi nama Usturatur-Rimal, Atlantis di padang pasir, iaitu Kota Lagenda Arabia yang hilang yang telah diketemukan. Kota yang telah sekian lama telah hilang dan diketemukan kembali. Bermakna kisah dalam Al-Quran, pemberitaan  Al-Quran, Allah akan dedahkan satu persatu sehingga kiamat. Contohnya Fir'aun yang mati di Laut Merah sewaktu mengejar Nabi Musa as,  telah ditemui kembali dan setelah dikaji didapati kulit badannya berselaput garam yang tebal yang mendedahkan kebenaran cerita didalam Al-Quran. Maklumat ayat-ayat kauniyah akan didedahkan Allah kepada kita dan generasi selepas kita mungkin dalam masa 300 tahun kehadapan. Janji Allah,"Kami akan perlihatkan kepada mereka ayat-ayat kami". Dengan penemuan-penemuan ini, kebenaran Al-Quran tidak akan berkurang malah bagi yang ragu akan semakin yakin, yang menolak akan semakin menerima, yang tidak beriman akan semakin beriman. Penemuan fakta-fakta dalam Al-Quran memberi kesan positif kepada kita. Menambahkan nilai kebenaran Al-Quran. Allah tidak akan bertambah kaya jika hamba-Nya memuji-Nya dan Allah tidak akan bertambah tercela jika hamba-Nya tidak memuji-Nya. Berbeza sangat dengan buku-buku karangan manusia yang bergantung  atas pujian atau celaan orang terhadapnya. Wallahu'a'lam.