Tuesday, September 29, 2015

Surah Al-Ankabut (ayat 3) Kuliah 4- Asy-Syubahat, Asy-Syahawat

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 3;


Perkara yang berkaitan dengan akidah yang harus diyakini sepenuhnya yakni Allah Mengetahui sesuatu sebelum atau sedang atau selepas ia berlaku.

2.0] Daripada Imam Al-Baghowi dalam Tafsir Ihya Ut-Thurasi, juga Imam At-Thabari (para mufasir), mereka berpendapat bahawa sebelum Allah cipta segala sesuatu, Allah telah tahu siapa calon neraka atau syurga. Allah 'alima (mengetahui) perkara maujud juga yang ma'duum. Allah ra aa (melihat) perkara maujud yang telah berlaku, sesuatu yang nyata, sesuatu yang sedang berlaku, sesuatu yang sebelum atau selepas berlaku.

3.0] Rujuk surah Al-Baqarah ayat143;



Ayat ini ialah tentang perubahan arah Qiblat. Penggunaan kalimah 'alama- lina'lama ialah untuk memberitahu pengetahuan Allah yang lebih meluas.

4.0] Daripada Muhamad Ibn Abdul Wahab dalam kitab Al-Usul Ath -Thalatha, "Sesungguhnya Allah Menghitung atau Menghisab hamba-Nya berdasarkan amal mereka dan tidak berdasarkan atas Ilmu Allah terhadap mereka.

[nota: Al-Usul Al-Thalatha [The Three Fundamental Principal], sila Goole dan baca].

5.0] Fatana iaitu ujian, menurut Ibnu Qayyim Al-Jawziyah dalam kitab tentang fitnah bahawa Al-Fitnah terbahagi kepada dua iaitu Asy-Syubahat (fitnah besar) dan Asy-Syahawat (keinginan). Asy-Syubahat akan menyebabkan lemah dan gelap pandangan matahati, kurang ilmu, banyak sifat mazmumah dan menjadi punca atau akibatnya menjadi kafir, munafik dan lain-lain. Manakala Asy-Syahawat akan menyebabkan hawa nafsu berkehendak atau cinta dunia yang menjadi punca dan akibatnya jadi kafir, fasik dan lain-lain.

6.0] Rujuk surah At-Taubah ayat 69;




Ayat yang memberi contoh fitnah syahawat dan syubahat yang menyebabkan amalan  menjadi sia-sia dan menjadi orang yang rugi. Untuk menjauhi fitnah syahawat hendaklah kawal hawa nafsu dan untuk kawal fitnah syubahat, janganlah gelap mata hati dan carilah ilmu yang bermanafaaat.

Tuesday, September 8, 2015

Surah Al-Ankabut (ayat 2) Kuliah 3- Bala', Ibtila'

1.0] Ujian-ujian dari segi bentuk dan bukan dari segi konsep atau tujuan ialah seperti Al-Bala' Ad-Dunyawiyyah, ujian dunia, perkara-perkara duniawi yang menimpa kita yang kita tidak suka berlaku keatas diri kita, seperti banjir, kemarau, jerebu dan lain-lain. Itu adalah mengikut masyiatullah apa yang Allah kehendaki berlaku dan adalah iradat kauniyah (kejadian yang berkaitan dengan alam). Manakala Al-Ibtilaa' ialah bala' yang ada kaitan dengan urusan agama dan ini adalah ujian yang paling berat.

2.0] Kita punya pilihan untuk melanggar perintah Allah tetapi kita memilih untuk mengikutinya. Rujuk surah Al-Baqarah ayat124;



Terdapat kalimah ibtala- yabtali (ujian). Ujian Nabi Ibrahim as yang berupa perintah dan larangan dan dia berjaya menghadapinya.

3.0] Ibtilaa' ialah ujian dalam hal agama yang paling susah untuk dihadapi dan tiada ujian ibtilaa' ketika kecil, ketika tidur atau ketika hilang akal. Allah menyuruh kita banyak bersabar apabila diuji dengan ibtilaa'. Contoh jika barang hilang, itu ujian bala', itu hanya ujian dunia yang ringan berbanding dengan ibtilaa'.

4.0] Fitnah ialah ujian yang lebih meluas merangkumi musibah yang berkaitan duniawi dan ukhrawi. Ia bukan sahaja perkara-perkara yang kita benci tetapi juga benda-benda yang kita suka seperti harta, anak-anak dan sebagainya.

5.0] Rujuk surah At-Taghaabun ayat15 yang bermaksud, "Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah cubaan. Dan disisi Allah pahala  yang besar". Kita harus bersabar dan tidak cepat mengalah dalam menghadapi ujian fitnah kerana ganjarannya sangat besar disisi Allah.

6.0] Sheikh Sha'rawi dalam Tafsir Al-Khawatir (beliau meninggal pada tahun 1418 H) menyatakan bahawa anak-anak adalah samada menjadi fitnah atau qurrata 'a'yun bagi ibubapa. Oleh itu hendaklah berusaha mengasuh anak untuk menghasilkan qurrata 'a'yun (penenang mata, hati). Rujuk surah Al-Furqan ayat 74, yang bermaksud; Dan orang-orang yang berkata, "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa". Ciri-ciri 'ibaadur Rahman dalam surah Al-Furqan ayat 70 sehingga 76.

7.0] Allah beri kepada kita anak dalam keadaan fitrah yang mana terpulang kepada kita untuk membentuknya menjadi fitnah atau qurrata 'a'yun. Kewajipan kita ialah untuk memastikan kita menyerahkan balik anak-anak kita dalam keadaan bersih. Kecuaian kita dalam mendidik anak-anak boleh menyebabkan kita mendapat dosa besar. Tetapi sekiranya kita telah mendidik atau menasihati anak-anak kita dengan baik, kita terlepas daripada dosa. Hatta anak-anak nabi tidak terlepas dari fitnah. 

8.0] Cerita Nabi Sulaiman dalam surah Sad ayat 32 hingga 34;




Ini ialah contoh ujian berupa bala'. Nabi Sulaiman suka berlumba kuda, lalu dia (Sulaiman) berkata, "Sesungguhnya aku sangat menyukai yang lebih baik dari mengingat Tuhanku",sehingga ia terlindung dengan dinding (tiada terlihat lagi), hilang kekuasaan lantaran mendapat fitnah yang bersifat bala'. Bacalah cerita Nabi Sulaiman selanjutnya.



Tuesday, September 1, 2015

Surah Al-Ankabut (ayat 2) Kuliah 2- Ujian, Fitnah, Bala', Ibtila'

1.0] Mukaddimah: Ulama tidak sepakat tentang dimana turunnya surah Al-Ankabut ini. Dari tafsir Ibnu Jauzi, daripada riwayat Ibnu Abbas, bahawa surah ini ialah surah Madaniah dimana hanya ayat 1 hingga 10 sahaja turun di Makkah manakala ayat-ayat  lain turun di Madinah. Namun ada pula yang berpendapat sebaliknya. Terdapat perbezaan pendapat antara ulama tafsir.

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 2;



Setiap muslim akan diuji berkali-kali dalam hidupnya. Terdapat ayat yang berkaitan dengan ayat ini iaitu yang membawa maksud yang sama tetapi uslub yang berbeza. Rujuk surah Aa-li Imron ayat 142, yang bermaksud, "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah siapa orang-orang yang berjihad diantara kamu dan belum nyata orang-orang yang sabar". Ujian Allah itu menjadi saksi bagi orang itu sendiri. Ayat ini turun pada waktu ada sahabat-sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan lain-lain yang mantap iman mereka yang ditimpa ujian berat.

3.0] Wahyu Allah kepada Nabi Daud, "Beri khabar gembira kepada mereka yang berdosa dan beri amaran keras kepada mereka yang beriman". Maksudnya, sebesar manapun dosa mereka, selagi ajal belum datang, masih ada peluang untuk masuk ke syurga. Sebaliknya sebanyak manapun amal dan sebanyak manapun iman, peluang untuk masuk ke syurga belum tentu. Dipenghujung usia seseorang, belum tentu imannya tetap teguh atau tidak.

4.0] Rujuk surah Al-Baqarah ayat 214;



Ayat yang serupa (similar) yang menceritakan tentang kepastian adanya ujian iman. Perlu iman yang kuat untuk menghadapi ujian yang berat, seperti iman Abu Bakar dan lain-lain sahabat. Iman kita belum tentu lagi kentalnya.

5.0] Rujuk surah At-Taubah ayat16, ini juga ayat yang serupa, "Adakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan, sedangkan Allah belum mengetahui orang-orang yang berjuang diantara kamu dan mereka yang tidak mengambil teman setia selain Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman?'.

6.0] Sababun nuzul ayat 2 surah Al-Ankabut ini menurut Imam Al-Samarkandi dalam kitab Bahrul Ulum, ialah berkaitan dengan turunnya surah Al-An'am ayat 65 kepada Nabi saw yang membawa maksud,  "Allah berkuasa menimpakan azab kepada kamu dari pelbagai arah atau menjadikan kamu pelbagai golongan (perpecahan umat).

Semasa ayat ini turun, Nabi saw bertanya kepada malaikat Jibril, "Lalu apa yang tinggal dari umatku sekiranya diazab dari segala penjuru?" Malaikat Jibril menyuruh Nabi saw agar berdoa bagi umatnya. Nabi saw solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah agar jangan menimpakan azab kepada umatnya. Lalu Jibril berkata, "Allah telah melindungi umatmu dari dua perkara dan telah menetapkan kepada umatmu dua perkara".

7.0] Allah berfirman, "Kami telah mengutuskan utusan sebelum engkau. Ada kaum yang membenarkan dan ada yang mendustakan". Tiada yang dapat menghalang Allah daripada menguji mereka dengan tujuan untuk mengenal pasti keimanan mereka. Samada mereka beriman atau tidak beriman.

8.0] Imam Muqotil, pendapatnya dikutip oleh Imam Qurtubi dalam tafsirnya Zadul Marir, mengatakan bahawa ayat ini berkaitan dengan kematian sahabat Nabi saw yang bernama Mahjak (maula kepada Umar Al-Khattab) didalam Perang Badar. Beliau adalah orang muslim pertama yang gugur syahid dan menjadi orang pertama yang diseru untuk memasuki syurga dari umat Nabi saw. Dengan kematiannya, ibubapa dan isterinya amat sedih. Maka dengan peristiwa itulah turun ayat 2 surat Al-Ankabut ini, tetapi ulama tafsir tidak sepakat. 

9.0] Abu Muhamad Izzudin Abdul Salam (Sultanul Ulama), dalam kitab tafsir Istisanul, diambil pendapat Imam Mawardi bahawa ayat ini turun kerana banyak peristiwa yang berlaku, seperti yang menimpa Ammar bin Yassir, Abu Jahl dan lain-lain sahabat yang teruk disiksa oleh orang-orang kafir. Mereka merayu kepada Nabi saw agar Allah menolong mereka dan timpakan azab kepada orang-orang kafir.

10.0] Hadis Abu Sayyid Al- Khudri, "Sesungguhnya seseorang itu digandakan ganjaran sekiranya ujiannya digandakan dan orang-orang yang paling berat ujian adalah para anbiya".

11.0] Pelbagai istilah bagi ujian didalam Al-Quran, seperti Al-Fitnah, Al-Bala', Al-Ibtila'. Rujuk surah Al-Baqarah ayat155, yang bermaksud, "Dan Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar". Bala ialah perkara yang menimpa kita yang kita tidak suka.

12.0] Bala' Ad-Dunyawiyyah dan bala' Al-Ukhrawiyyah. Bala' yang berkaitan taklifiah (masaalah duniawi) adalah seperti bencana, kelaparan, kehilangan dan lain-lain.