Tuesday, November 24, 2015

Surah Al-Ankabut (ayat 7-8) Kuliah 11- Amalan, Hablun Minallah, Hablun Minannas

1.0] Masih lagi tentang surah Al-Ankabut ayat 7; Perbuatan mukallaf ada 3 jenis iaitu;
i) Amalan hati
ii) Amalan lisan
iii) Amalan jawarikh (anggota).

Amalan yang paling penting ialah amalan hati. Apabila seseorang yang berdosa lantas dia bertaubat dengan penuh penyesalan, dengan hatinya yang hancur luluh atas kecuaiannya dalam melakukan taat kepada Allah, maka Allah akan berada disisinya, mendengar penyesalannya dan mengampunkannya.
2.0] Di akhirat nanti, Allah akan bertanya kepada anak Adam, "Wahai anak Adam, dahulu Aku sakit, kenapa kau tidak menziarahi Aku? Anak Adam kebingungan, lantas berkata, "Ya Robb, bagaimana aku mungkin menziarahi Mu dan mana mungkin Kamu sakit?" Jawab Allah, "Kan dahulu ada hamba Ku yang sakit, kenapa kamu tidak menziarahinya? Aku berada disisinya. Jika kau jumpa orang yang kehausan, kelaparan, yang ditimpa musibah, yang menghadapi pelbagai masalah, yang hancur luluh hatinya, maka Aku ada di sisi mereka". Oleh itu bersegeralah berada bersama menolong membantu orang yang didalam kesusahan. Itu adalah amalan jawarikh (amalan anggota badan) yang perlu disertai dengan amalan qalbi (amalan hati), yang turut merasa simpati dan perlu juga disertai dengan amalan lisan yang ikhlas, syahadah dan kesaksian yang hanya semata-mata kerana Allah.
3.0] Didalam hadis Qudsi yang ditafsirkan oleh Dr. Wahba Zuhaili, Ar -Rodzi, dan Imam Sayuti, Allah berfirman, "Aku berada hampir disisi orang yang hancur hatinya dalam musibah dan kesusahan".
4.0] Diulang lagi tentang Al-Iman iaitu pelaksanaan rukun Islam dan rukun Iman, manakala Al- 'Amalan soleh ialah amalan jawarikh(amalan anggota badan) yang mana balasannya bagi Al-Iman ialah akan dihapuskan dosa, tidak diazab, selamat dari neraka, manakala Al 'Amal soleh pula akan mendapat balasan yang lebih baik, menerima ganjaran baik, dapat masuk syurga dan inilah yang dinamakan mendapat As -Saadah Al -Kamaliah (kebahagiaan yang sempurna). 
5.0] Bagaimana nasibnya mukmin (orang beriman) yang tanpa amal soleh di hari akhirat? Iaitu seorang mukmin yang derhaka. Jawabnya, diakhirat, dia terselamat dari kekal didalam neraka atas imannya yang walaupun hanya sedikit. Orang mukmin yang beramal soleh akan mendapat balasan yang lebih baik dari syurga. Ada yang mentafsirkan iaitu akan dapat melihat Wajah Allah dan itulah  nikmat yang terbaik dan tertinggi. 
6.0] Dengan keimanan juga Allah akan tutup cacatcela seseorang itu di dunia dan di akhirat sesuai dengan sifat Allah As-Sattar (menutup). Nabi  saw bersabda, "Sesiapa muslim yang berusaha menutupi aib saudara semuslimnya, akan ditutupi Allah aibnya di dunia dan di akhirat". Oleh itu kewajipan kita ialah untuk menasihati sebaik mungkin dan jangan disebar rahsia saudara kita, tutup cacat cela diri sendiri dan juga cacat cela orang lain.


7.0] Tentang menolong orang susah, dari Ibnu Majah, At- Thabrani, Abu Dawud dan An-Nasa'i, hadith Nabi saw (hadis hasan bighairihi), "Pada malam aku diIsrakmikrajkan, aku melihat dipintu syurga terdapat satu tulisan, iaitu bersedeqah itu 10x ganda balasan, manakala memberi pinjaman itu 18x ganda balasan, lalu aku bertanya Jibril, "Kenapa?" Jawab Jibril, "Itu kerana orang yang menerima sedeqah itu belum tentu memerlukannya berbeza dengan orang yang mencari untuk berhutang tentu sekali sangat memerlukan saat itu". Pada situasi sekarang sudah terbalik, orang susah tidak mudah untuk mendapat pinjaman. Oleh itu sebenarnya, adalah lebih baik memberi pinjaman kepada orang susah daripada memberi sedeqah kepadanya. Beri penangguhan jika dia belum mampu untuk membayar balik. Sehinggalah ternyata dia tidak mampu untuk membayarnya maka yang paling elok pada masa itu ialah menghalalkannya dan ini adalah satu galakan supaya orang susah itu terus berusaha, kerana didalam berusaha itu banyak pahala yang akan didapatinya. Tetapi didalam agama, tidak digalakkan untuk meminjam. Orang yang meminjam harus berusaha untuk membayar balik dan tidak mengharapkan sedeqah, sehinggakan Nabi saw sentiasa berdoa moga dijauhkan dari berhutang. 
8.0] Dalam Al-Quran, maghfirah wa rizqun kariim yang bermaksud mendapat keampunan dan rezqi yang baik bagi mereka yang beriman dan beramal soleh iaitu kebahagiaan yang sempurna ini dijelaskan dengan ayat-ayat seumpama, "Orang-orang yang beriman dan beramal soleh , bagi mereka keampunan dan rezqi (syurga) yang mulia". Boleh didapati dalam surah Al-Anfal ayat 74, Al-Hajj ayat 50, An-Nur ayat 26 dan sebagainya. Rujuk surah Al-Anfal ayat 74;

9.0] Surah Al-Ankabut ayat 8:

Kewajipan  seorang anak ialah berbakti kepada kedua ibubapanya. Bersambung dari ayat 7 yang menceritakan tentang taklif Allah kepada mukallaf berupa perintah dan larangan dan yang terpenting ialah taklif tentang kewajipan terhadap ibubapa. Taklif Allah kepada Nabi Adam hanya satu, iaitu larangan dari menghampiri pokok itu, manakala untuk kita banyak taklif larangan dan suruhan. 
9.0] Dalam ayat 8, terdapat 2 taklif, iaitu;
i) Hablun minallah  
ii) Hablun minannas.
Hablun minallah adalah yang terpenting, iaitu suruhan tauhid dan larangan syirik kepada Allah, manakala hablun minannas pula ialah birrul waalidiin iaitu suruhan berbuat baik kepada ibubapa dan lawannya ialah 'uquuqul waalidiin iaitu larangan menderhakai keduanya. Walau siapa pun ibubapa kita, mereka ada karamah (kunci) untuk mendapat Redho Allah kerana keredhoan Allah bergantung kepada redho ibubapa dan Murka Allah ada pada murka mereka. Bila mendapat keredhoan ibubapa, pasti hidup tenang. Oleh itu perlu bersyukur kepada Allah dan bersyukur kepada ibubapa. Birrul waalidiin iaitu berbuat baik kepada ibubapa itu hukumnya wajib, fardhu 'ain. Ia merupakan bentuk silaturrahim yang paling utama. Syirik boleh menyebabkan syahadah dan amalan terbatal manakala orang yang derhaka kepada ibubapanya maka 'amalnya tergantung dan tidak diterima Allah.


10.0] Nikmat Allah melalui ibubapa ialah nikmat iijad iaitu kewujudan kita dan juga nikmat abqa' iaitu nikmat kewujudan keperluan untuk kita, contoh ASI(air susu ibu), makanan, udara, bumi dan sebagainya. Allah jadikan wasilah melalui ibu dengan bantuan bapa. Oleh itu beruntunglah orang yang masih ada ibubapa yang mana masih boleh berbakti kepada keduanya. Begitu juga bagi yang sudah tiada ibubapa masih boleh terus berbakti kepada keduanya dengan doa dari anak yang soleh.

Tuesday, November 17, 2015

Surah Al-Ankabut (ayat 7) Kuliah 10- Iman, Amal Soleh

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 7;



Didalam ayat ini terdapat 2 syarat dan 2 jawapan iaitu dengan iman dan amal soleh dan akan dihapuskan kesalahan dan akan mendapat balasan yang baik. Iman ahli sunnah wal jamaah adalah berdasarkan kepada 3 perkara iaitu:

i) Qawlun (ucapan hati) yang menunjukkan  rasa hati yang membuahkan 'i'tiqad dan tashdiq.

ii) 'Amalun ( perbuatan) yang melibatkan rasa hati (Al-Qalbu), perkataan (Al- Lisaanu) dan perbuatan anggota badan (Al- Jawarikh). Al-Qalbu membuahkan ikhlas, takut (khauf), mengharap (rojaa'). Al- Lisaanu melibatkan pengucapan 2 kalimah syahadah, pengakuan dengan lidah dan akui tuntutannya. Al- Jawarikh ialah amalan anggota badan zahir dan fizikal.

iii) Al- 'I'tiqaad ialah kepercayaan yang teguh tersimpul mati didalam hati iaitu tashdiiq.

2.0] Iman yang sempurna mestilah melibatkan hati. Amal hati yang ikhlas dan tidak bercampur dengan riak atau syirik sekecil mana pun. Ikhlas lawannya riak yang mana adalah sebahagian dari syirik.

3.0] Peranan hati ialah untuk mengikat keyakinan pada hati mukmin supaya ada rasa takut (khauf) dan rasa berharap (rojaa') kepada Allah. 


4.0] Hakikat iman mengikut At-Tashdiiq ialah percaya dengan apa yang difahami. Kepercayaan ini mestilah pada tahap percaya dengan penuh yakin. Contohnya seperti percaya kepada rasul. Perkara yang difahami dan dipercayai itu atau apa yang hendak diTashdiqkan itu dikatakan sebagai I'tiqad.


Tashdiiq  tidak hanya percaya tetapi juga bermaksud membenarkan dengan lidah iaitu tashdiiq bil-lisan.

5.0]  Amal lisan ialah mengucapkan dua kalimah syahadah dan mengakui tuntutannya.

6.0] Amal jawarih ialah amalan dengan anggota badan iaitu amalan zahir atau amal fizikal. Amal ini tidak sempurna sekiranya dilakukan tanpa keikhlasan dan mestilah dilakukan mengikuti amalan hati. Contoh amalan haji atau umrah, tanpa amal jawarih , semua amalan dan iman tidak sempurna. Ia merupakan tashdiq (pembenaran) dari ashlul-iman dalam hati sehingga ketiadaan amal jawarikh melazimkan ketiadaan ashlul-iman.

7.0] Didalam Al-Quran jika Al-Iman disebut tanpa bergabung dengan perkataan amal soleh maka secara tidak langsung ianya telah merangkumi amal soleh. Contoh apabila disebut "Alladziina aamanu" yang bermaksud 'mereka yang beriman' itu telah pun merangkumi 6 rukun iman. Jika amal soleh disebut maka itu menunjukkan bahawa belum merangkumi rukun iman. Allah menyuruh hamba-Nya untuk melakukan amal soleh tetapi tidak diperincikan. Oleh itu para ulama telah melihat pada makna berlawanan dengannya iaitu kalimah Al-'Amalul Fasaad (amal rosak). Rujuk surah Al-Baqarah ayat 205

Didalam ayat ini diceritakan tentang orang-orang yang merosakkan tanaman dan alam sekitar, mengacau keseimbangan alam semulajadi, orang-orang yang merosakkan wanita (Al-harth). Disebut sebagai merosak ladang yang bermakna eksploitasi wanita iaitu dalam perkara maksiat.

8.0] Daripada semua cerita tentang amal rosak itu, kita hendaklah membuat amal yang berlawanan dengannya sebagai amal soleh bagi kita. Contohnya seperti mengekalkan keseimbangan alam persekitaran dan menjaga wanita dan sebagainya. Ini semua adalah amal soleh dan ianya akan kekal manakala amal fasid akan hancur.

9.0] Tiga amalan yang kita mahu Allah terima ialah amalan hati, amalan lisan dan amalan anggota.  Rujuk surah Faathir ayat 10


Zikir iaitu amalan lisan akan naik sendiri kelangit. Oleh itu perbanyakkanlah zikir terutama diwaktu solat (qiam) dan kalimah yang terbaik ialah kalimah toyyibah atau kalimah syahadah " La ila ha illallah". Kalimah tauhid ini adalah amalan yang diangkat serta merta ke langit.

10.0] Amal qulub seperti solat malam adalah diterima Allah segera (sehingga terbit fajar). Contoh apabila bertaubat ketika Qiamullail.

11.0] Orang yang berdosa dan dia bertaubat penuh sesalan, hancur hati atas penyesalan, hancur hatinya sebab kecuaian, Allah ada disisinya. Allah sangat hampir dengan orang yang munkasiratul qalbi (orang yang hancur hatinya). Oleh itu dekatilah orang-orang yang susah, ziarahilah orang sakit dan orang-orang yang sedang ditimpa musibah. Bergaullah dengan orang-orang susah dan yang memerlukan untuk memahami bagaimana keadaan yang mereka sedang alami. Bantulah mereka semata-mata kerana Allah (lillaahi). Ini tidak akan merendahkan derjat kita malah semakin meningkatkan tingkatan kita dalam pandangan Allah. Apabila turut merasa kesusahan orang lain itu adalah amal qulub.

12.0] Imam Ar-Rozi, Prof. Wahbah Suheli, Muhamad Sadiqon, Imam Sayuti dan lain-lain telah meriwayatkan hadis Qudsi bahawa Nabi saw bersabda, Allah berfirman,"Aku berada disisi orang yang hancur hatinya". Contohnya orang-orang yang susah dan dilanda musibah. Amal hati, Allah datang sendiri untuk menerimanya, amal lisan akan naik sendiri kepada Allah. Amal zahir dan fizikal, ada yang naik sendiri, bergantung atas keikhlasan hati.


Tuesday, November 3, 2015

Surah Al-Ankabut - Kuliah 9 -14 Sifat buruk manusia

1.0] Sambungan dari kuliah lepas tentang14 Sifat buruk manusia yang semula jadi iaitulah:

1.1) Ad-Do'fu- lemah
1.2) Al-'Ajalah- tergesa-gesa
1.3) Al- Hallahu- tidak sabar dan penuh kehendak
1.4) Al-Ya'su- mudah kecewa
1.5) Al-Bukhlu- bakhil, kedekut
1.6) Al-Ightiraaru- mudah tertipu
1.7) Az-Zulmu- zalim
1.8) Aj-Jahlu- jahil
1.9) Al-Khusuumah- menentang
1.10) Aj-Jadala- suka melawan dan mengalahkan
1.11) At-Tughyan - melampaui batas
1.12) Al-Kanuud - susah terima kebaikan/ jahil pada kebenaran
1.13) Al-Kufraan - kufur / ingkar
1.14) Al-Khusraan- rugi

2.0] Apa yang akan berlaku kepada manusia jika tidak beriman? Dia akan menjadi makhluk Allah yang paling celaka. Manusia mempunyai sifat semulajadi negatif yang amat buruk. Hanya dengan iman dan amal soleh boleh mengatasi sifat-sifat buruk ini.

3.0] Dua sifat telah disebut didalam kuliah lepas iaitu Ad- Do'fu dan Al- 'Ajalah dan sifat ketiga pula ialah  Al-Hallahu yang bermaksud bahawa manusia itu  mempunyai sedikit kesabaran tetapi banyak keinginan. Rujuk surah Al-Maarij ayat 19


Yang bermaksud sesungguhnya manusia apabila mempunyai sesuatu maka sangat kedekut.


4.0] Al-ya'su yang bermakna manusia itu mudah berputus asa atau putus harapan disebabkan kurang kesabaran. Rujuk surah Hud ayat 9

 Berputus asa ialah sifat orang kafir dan bukan sifat bagi orang mukmin. Rujuk surah Al-Israa' ayat 83;


5.0] Al-Bukhlu yang bermaksud tidak mahu memberi pada perkara yang patut dia memberi. Rujuk surah Al-Israa' ayat 100


6.0]  Al-Ightirar yang bermaksud manusia itu mudah terpedaya atau tertipu sebagaimana Nabi Adam telah tertipu dan terpedaya oleh iblis semasa berada didalam syurga. Rujuk surah Al- Infitar ayat 6


7.0] Az-Zulmu yang bermaksud zalim dan banyak melakukan kesalahan meletak sesuatu tidak pada tempatnya. Contoh, sebab tidak bersyukur, atau suka buat aniaya, atau tidak amanah. Rujuk surah Al-Ahzab ayat 72


Manusia banyak berbuat zalim sebab banyak kebodohan. Imam Sha'rawi menyatakan bahawa amanah itu pentingnya bukan ketika menerimanya tetapi pada waktu kita memberi kembali. Contoh anak yang Allah amanahkan bagi kita. Terima dalam keadan bersih, serahkanlah dalam keadaan bersih juga. Harta, usia, kekuasaan, semuanya adalah amanah yang harus dijaga dengan betul.

8.0] Aj-Jahlu yang bermakna banyak yang tidak mengetahui. Rujuk surah Al-Ankabut ayat 3


2 jenis  fitnah yang boleh menghancurkan manusia yakni fitnah syahwat dan fitnah syubuhat (kurang ilmu).


9.0] Al-Khusuumah yang bermakna kuat menentang atau melawan atau berdebat. Rujuk surah Yasin ayat 77


 10.0] Aj-Jadalu yang bermakna sikap suka melawan dan mengalahkan menolak kebenaran dan berusaha memadamkan kebenaran itu serta banyak membantah. Rujuk surah Al-Kahfi ayat 54


Munaza'a (tanazuk) yang bermakna memaksa pendapat atas orang lain. Punca perpecahan umat. Ikhtilaf iaitu berbeza pendapat. Hanya ikhtilaf dibenarkan, tetapi tanazuk, jidaali dan yashiqaa adalah haram.


11.0] At-Tughyaan yang bermakna sikap suka melampaui batas. Rujuk surah Al-'Alaq ayat 6

Ishtighnaa' ialah merasa semua orang memerlukannya dan dia tidak memerlukan sesiapa. Sifat yang boleh membawa kepada thoghuut. Kita juga ada potensi untuk menjadi toghuut. Na'uzubillah.


12.0] Al-Kanuud yang bermakna sikap susah untuk menerima kebaikan orang atau jahil kepada kebenaran. Kanada bermaksud sifat susah untuk mendengar kata atau nasihat orang tetapi mahu orang mendengar kata dan nasihatnya. Rujuk surah Al-'Adiyat ayat 6


13.0] Al-Kufraan yang bermakna sifat kufur atau ingkar atau menutup suara hati dan kebenaran.Rujuk surah Ibrahim ayat 34


14.0] Al-Khusran yang bermakna rugi seruginya. Rujuk surah Al-Asr ayat 2;


Tentu sekali manusia itu didalam kerugian. Hanya Iman dan 'Amal soleh yang dapat menyelamatkan kita dari 14 sifat buruk ini. Kalau tidak kita akan berada didalam kerugian yang besar. Na'uzubillah.