Tuesday, February 28, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 61) - Kuliah 62 - Ayat Kauniyah dan Ayat Al-Quran, Kholaqo (Mencipta), Sakhoro (Menundukkan), Syukuri Nikmat, Nikmat Besar, Nikmat Kecil.,

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 61;

Allah berfirman kepada orang-orang kafir yang merasa tidak cukup dengan ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi saw sebagai bukti kebenaran kerasulan dan risalahNya dan mereka masih menuntut dan meminta bukti-bukti dan ayat-ayat yang lain. Inilah bukti atau ayat dari Allah. "Allah telah menjadikan bagi kamu ayat-ayat kauniyah sebelum Allah mengutuskan utusannya. Terciptanya alam semesta sebelum Allah ciptakan para nabi, para utusanNya". Ayat-ayat kauniyah ialah ayat-ayat yang menunjukkan kemukjizatan atau kekuasaan Allah yang ditunjukkan dalam penciptaan langit dan bumi. Allah juga mencabar makhluk, "Adakah diantara kamu yang dapat menciptakan sesuatu walaupun sedikit atau pun kecil yang menyerupai daripada apa-apa yang Allah telah ciptakan?"

2.0] Ayat-ayat atau bukti yang menunjukkan keEsaan Allah dan keKuasaanNya secara umumnya terbahagi kepada 2 iaitu:
i) Ayat-ayat kauniyah
ii) Ayat-ayat Al-Quran.

اَلآيَاتُ الْدَالَةُ عَلَى وَحْدَانِيَةَالله  - اَلآيَاتُ الْكَوْنِيَة - اَلآيَاتُ الْقُرْآنِيَة
Ayat-ayat yang menunjukkan kebesaran kekuasaan Allah SWT, ayat-ayat yang menunjukkan kebenaran Nabi saw dan ayat-ayat yang menunjukkan kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi saw terbahagi kepada ayat-ayat kauniyah dan ayat-ayat Al-Quran.

3.0] Ayat-ayat kauniyah yakni bukti atau tanda-tanda kebesaran Allah yang Allah ciptakan seperti matahari, bumi, langit, bulan, bintang dan sebagainya dan termasuk juga penundukan sekelian makhluk Allah itu kepada pentadbiran Allah SWT. Peredaran semua planet dengan teratur, harmoni, tiada kerosakan, tiada pelanggaran, tiada mudhorat kepada hidupan lain, terciptanya isi langit dan bumi daripada tiada kepada ada, ditadbir dengan penuh keseimbangan telah dapat menunjukkan keEsaan Allah SWT sebelum para nabi diutus menjadi nabi lagi.

4.0] Ayat-ayat Al-Quran pula ialah ayat-ayat yang diturunkan atau ayat-ayat yang difirmankan oleh Allah bagi menunjukkan tanda keEsaan Allah, tanda kerasulan nabi dan tanda kebenaran risalah nabi-nabiNya.

5.0] Kedua-duanya datang daripada Allah, sebagai bukti dan dalil keEsaanNya, untuk membuktikan kebenaran kerasulan nabi-nabi dan kebenaran risalah yang dibawa oleh nabi-nabiNya.  Ketika orang kafir menolak kebenaran Al-Quran yang disampaikan oleh Nabi saw, mereka menuduh Al-Quran sebagai syairlah, dongengan orang dahululah, sebagai ramalan bomohlah dan sebagainya, kemudian Nabi Muhammad saw pula dianggap sebagai pembohong, bomoh atau majnun, lalu mereka meminta buktinya, "Apa tandanya, adakah tanda yang lain?" Allah menjawab, "Ada!" Dan tanda itu Allah berikan yakni terciptanya sekelian makhluk alam ini dan ditundukkan oleh Allah. Jika mereka ditanya, "Siapa yang menciptakan semua ini, bumi langit dan segala isinya?" Mereka tiada jawapan lain kecuali menjawab, "Allah!". Pengakuan ikhlas daripada mereka bahawa yang menciptakan segala yang wujud adalah Allah semata-mata. Mereka tidak mampu mengingkarinya lalu Allah kata,"Jika kamu telah mempercayai bahawa Aku sahajalah yang menciptakan segala yang maujud ini, bumi langit dan segala isinya, matahari, bulan, bintang dan segalanya. Aku jugalah yang menurunkan Al-Quran kepada NabiKu. Kenapa pula kamu mengingkari Al-Quran yang dibawa oleh NabiKu? Al-Quran itu firmanKu, bagaimana pula kamu dapat dipalingkan?.

6.0] Jika orang sudah meyakini bahawa bumi langit dan segala makhluk itu Allah yang ciptakan, sepatutnya orang itu mengakui firman Allah kerana tiada pertentangan, tiada perselisihan, tiada percanggahan antara apa yang difirmankan oleh Allah di dalam Al-Quran dengan kebenaran di dalam penciptaan alam dan segala isinya. Contohnya seperti yang terdapat di dalam surah Yasin iaitu surah yang paling banyak dihafal orang, apa yang difirmankan Allah di dalam surah Yasin adalah sama dengan yang Allah ciptakan di alam realiti. Lainlah dengan sesetengah manusia yang cakapnya tidak serupa bikin, lain yang dikata lain yang dikota. Cuba lihat surah Yasin ayat 37;

Di dalam ayat diatas dinyatakan tentang malam, Allah menanggalkan atau melepaskan atau menghilangkan siang dari malam. Oleh itu apa jadi dengan bumi setelah siang ditanggalkan? Gelap atau terang? Jawapannya ialah bumi menjadi gelap. Ayat diatas ini ialah ayat quraniah yang menceritakan ayat (bukti) kauniyah. Apakah realiti di dalam alam semesta ini? Memang tiada percanggahan, bumi akan alami malam, gelap, apabila siang ditanggalkan dari malam. Ayat ini walaupun singkat tetapi sarat dengan muatan makna. Kalimah salakho - naslakh -سَلَخَ - يَسْلَخُ - didalam ayat itu bermaksud benda yang ditanggalkan itu sangat nipis dan yang ditanggalkan itu ialah siang. Bumi yang menghadap matahari akan alami siang tetapi adalah sangat sedikit bandingannya dengan kawasan bumi yang tidak menghadap matahari dan ruang antara bumi dengan matahari, iaitu yang mengalami malam atau kegelapan. Ketebalan siang yang menutupi bumi hanya lebih-kurang 200 kilometer sahaja sedangkan jarak bumi dengan matahari ialah 150 juta kilometer. Oleh itu tebalnya siang berbanding dengan ketebalan malam adalah jauh lebih tebalnya malam atau kegelapan dialam ini. Cahaya pula tidak boleh dilihat kecualilah apabila ianya terpantul keatas sesuatu benda lain. Sebab itulah Allah gunakan kalimah naslakh- salakho- tanggalkan- dan bendanya nipis dan di dalam ayat itu dimaksudkan kepada siang atau bahagian bumi yang terang yang hanya sangat sedikit berbanding kegelapan dialam ini.

7.0] Tidak mungkin Allah berfirman berbeza dengan apa yang Allah ciptakan. Tidak mungkin Allah ciptakan berbeza dengan apa yang Allah firmankan. Ertinya kebenaran firman Allah pasti serasi, pasti seiring sejalan dan bertembung dengan kebenaran apa yang Allah ciptakan.

8.0] Orang kafir telah mengakui kebenaran ayat  atau bukti kauniyah tetapi tidak mengakui kebenaran ayat Al-Quran. "Kenapa?" Walhal Al-Quran itu firman Allah, ayat kauniyah itu pula ciptaan Allah, sedangkan Allah tidak mungkin berfirman berbeza dengan apa yang diciptakanNya.

9.0] Sebagaimana yang kita tahu, matahari ialah benda yang mengeluarkan cahaya sendiri manakala bulan ialah benda yang hanya memantulkan cahaya dan tidak punya cahaya sendiri. Bila kita tahu tentang ini? Jawapannya ialah, "Baru semalamkan?" Maksudnya semua perkembangan ilmu tentang itu adalah masih baru tetapi tahukah kita bahawa sebelum manusia tahu bahawa bulan hanya memantul cahaya dan matahari punya cahaya sendiri, Al-Quran sudah memberitahunya 15 abad yang lalu. Rahsia ciptaan Allah, rahsia ayat kauniyah baru diketahui orang tetapi rahsia itu telah pun diceritakan oleh Allah di dalam Al-Quran lebih 15 abad lalu. Rujuk surah Yunus ayat 5 dan ayat ini konsistan dengan ayat-ayat yang lain.

Allah bezakan sebutan untuk cahaya matahari sebagai dhiaa an-ضِيَاءً dan cahaya bulan sebagai nuura-نُورًا. Dhiaa an-ضِيَاءً - matahari bersinar panas, kerana matahari ada sumber cahayanya sendiri manakala nuura bulan ialah cahaya yang sejuk iaitu cahaya yang dipantulkan sahaja oleh matahari. Sedangkan kita baru tahu hakikat ayat kauniyah ini. Katakanlah terbalik hakikatnya, iaitu jika bulan ada cahaya sendiri dan matahari pula ialah cahaya yang terpantul, tentulah orang tidak akan mempercayai Al-Quran lagi, tetapi ternyata tidak mungkin Al-Quran ceritakan lain dan bukti ayat kauniyah lain. Kebenaran keduanya pasti sama. Orang kafir apabila ditanya tentang ayat-ayat kauniyah tidak menolak tetapi menolak ayat-ayat Al-Quran sedangkan isi kebenarannya sama.

10.0] Di dalam banyak surah seperti surah Yasin dan surah Ar-Rahman, apabila Allah menceritakan tentang timur dan barat, kadang-kadang Allah menggunakan mufrad (bilangan tunggal), kadang-kadang Allah gunakan muthanna (2 timur dan 2 barat), dan ada juga yang Allah kata banyak timur dan banyak barat. Itu sebenarnya tentang cerita kauniyah yang ada maklumat berbeza yang ingin Allah sampaikan yang menunjukkan bahawa banyak lagi, tidak terkira, perkara yang perlu kita kaji. Kalau kita ditanya, dalam diri kita ini, bahagian anggota mana yang berbohong, dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Adakah mulut atau hati atau mata atau apa? Ilmu tercanggih dari Al-Quran telah mendedahkan bahawa  arahan berbohong datangnya daripada frontal-lobe (lobus-frontalis) atau ubun-ubun yang bekerja untuk otak hadapan. Yang memberi arahan untuk bercakap benar atau bohong, jujur atau tipu atau derhaka  ialah bahagian ubun-ubun seseorang itu. Rujuk surah Al-'Alaq ayat 15 dan 16;



Al-Quran telah menjelaskan tentang ini lebih 15 abad dahulu lagi tetapi baru semalam (maksudnya masih sangat baru) dihuraikan dengan sempurna oleh seorang doktor pakar dari Kanada yang bernama Doktor El-More. Ini semakin menjelaskan bahawa apa yang Allah firmankan tidak mungkin bercanggah dengan apa yang Dia ciptakan. Kalaulah kita dapat menjelaskan kebenaran ayat kauniyah sama dengan kebenaran ayat Al-Quran, itu kebolehan luarbiasa dan tidak perlu takut diserang oleh sesiapa pun dan pasti dapat meyakinkan diri dan orang lain tentang Al-Quran dan Islam.

11.0] Sekarang ini anak-anak kita semakin pandai menyoal kerana peluang mendapat maklumat semakin mudah dan canggih. Berbeza sekali dengan pertanyaan kita kepada orang tua kita dahulu. Contohnya budak dizaman dahulu sekadar bertanya siapa nama malaikat yang ditugaskan mencabut nyawa atau pun soalan iaitu sewaktu berpuasa adakah terbatal puasa jika terkentut semasa mandi. Soalan yang sederhana dan tidak mencabar, berbeza sangat dengan soalan anak-anak sekarang yang bertanya apa bukti Al-Quran itu masih asli berbanding kitab  lain seperti Injil. Soalan yang mencabar dan perlu kepada jawapan yang konkrit dan ilmiah. Jangan pula jika kita sendiri tidak tahu akan jawapannya atau kita tidak mampu untuk menjawabnya maka kita marah dan mematahkan keinginan ingin tahu anak-anak itu. Jangan sampai berkata, "Tentang Al-Quran jangan disentuh, ini perkara sensitif, Al-Quran kitab suci, jangan pertikaikan, Islam pula agama rasmi !" Itu kelemahan kita yang tidak sepatutnya berlaku. Dengan kemudahan dan kecanggihan cara untuk mendapatkan maklumat sekarang, kita perlu mencari jawapan dan memberi jawapan yang betul dan memuaskan terhadap persoalan yang diutarakan oleh anak-anak kita dengan fakta-fakta ilmiah atau dengan data-data saintifik. Kita orang Islam mesti yakin dan wajib menggali ilmu Al-Quran, tidak boleh berhenti sehingga kita dipanggil kembali kepada Allah. Kenapa? Kerana Allah suruh. Bukan untuk menjadi pengerusi Planetarium Negara pun kerana jika kita layak untuk itu sekali pun, kerana ada ilmu tetapi kita sudah tidak layak kerana tidak sihat. Belum terbang pun sudah mabuk, sudah pengsan. Apabila ditanya, "Nampak apa?". Jawabnya ," Nampak gelap!"

12.0] Matlamat kita semata-mata kerana Allah suruh kita mengkaji Al-Quran seperti diperintahkan di dalam surah Al-Alaq ayat 1;


Bacalah Al-Quran dan kaji ayat kauniyah. Ilmu yang pertama yang diajar oleh Allah kepada manusia ketika Nabi Adam as masih di syurga ialah ayat kauniyah (asma akullaha) sebelum Allah ajar solat, zakat, puasa dan lain-lainnya. Wahyu yang pertama yang diberi kepada Nabi saw ialah iqra'- bacalah, iaitu dorongan yang sangat luar biasa supaya kita mempelajari seiring sejalan daripada Al-Quran dan ayat-ayat kauniyah.

13.0] Ambil contoh tentang  laut, bumi dan proses turunnya hujan di dalam Al-Quran. Ada yang Allah kata hujan itu diturunkan dari langit (sama'), dari awan (sahab) atau dari mu'sirat. Tetapi diterjemahkan kedalam Bahasa Melayu semuanya sebagai dari awan. Sebab itulah susah bagi kita untuk fahami dengan lebih mendalam. Allah telah menceritakan dengan terperinci sekali tentang mekanisma turunnya hujan. Bagaimana terjadinya hujan, diterangkan dengan jelas dan luarbiasa ilmuNya. Apa bezanya mu'sirat dengan sahab (awan) atau dengan sama'?. Sama' atau langit itu apa? Adakah sama langit tempat bintang-bintang berada dengan langit tempat turunnya hujan?. Masih banyak yang perlu kita jawabkan, masih banyak yang perlu kita kaji dan cari jawapannya di dalam Al-Quran.

14.0] Penciptaan langit dan bumi ialah mukjizat kauniyah yang tidak akan habis dan tiada henti, lalu kenapalah orang kafir masih meminta lagi tanda-tanda yang lain. Sedangkan Allah tidak menjadikannya melainkan untuk menjelaskan kebenaran kerasulan Nabi saw dan membenarkan risalah-risalah yang dibawanya. Contohnya ayat diatas tadi, mereka mengakui Allahlah yang mencipta bumi yang satu ini. Allahlah yang pentaskhir -penunduk, apa yang ada di alam semesta ini.

15.0] Di dalam ayat 61 di atas, terdapat 2 perbuatan Allah iaitu menciptakan خَلَقَ -خَلْقٌ   dan menundukkannya سَخَرَ- تَسْخِيْرٌ. Jika di dalam ayat sebelumnya menceritakan tentang rezki, ayat yang kita pelajari ini pun masih juga ada keserasian dengan ayat sebelumnya iaitu tentang rezki nikmat Allah. Dialah Allah yang mencipta dan menundukkan langit, bumi, bulan, matahari dan segalanya. Jika hanya terciptanya sahaja -خَلْقٌ- segala itu tidak akan memberi hikmah nikmah apabila tidak ada taskhir - (menundukkannya)- تَسْخِيْرٌ.

16.0] Taskhir- تَسْخِيْرٌ- ertinya menundukkan, bulan dipusingkan, matahari digerakkan dan masing-masing diorbitkan sesuai dengan laluan yang dilalui sehingga menyebabkan perubahan masa, hari, bulan, minit, musim dan seterusnya. Bayangkan jika Allah sudah ciptakan matahari dan bulan tetapi tidak ditundukkan malah didiamkan begitu sahaja. "Apa manafaat kepada kita?". "Tiada manafaat kepada kita!". "Apa akan terjadi kepada kita jika matahari, bulan dan bumi tidak beroriantasi?". "Mati kita!". Penyataan itu ada didalam surah Al-Qasas ayat 71, 72 dan 73;



"Bayangkan jika matahari berada dititik zenith kita, betul-betul diatas kepala kita selama 10 jam?" "Menggelegak otak kita!"."Atau lebih lama lagi dari itu?". "Apa akan jadi kepada kita?". Maknanya jika bumi kita tidak ditaskhir oleh Allah, bumi tidak berpusing. Maknanya terciptanya bumi, terciptanya matahari, tetapi tidak mendatangkan apa-apa nikmat kepada makhluk lain jika tidak ditundukkan oleh Allah.

17.0] Nikmatnya apabila Allah ciptakan dan kemudian Allah tundukkan. Nikmat itu disini terbahagi kepada 2 iaitu nikmat Iijaad  اَلايجاد  dan nikmat Ibqaa' اَلاِبْقَاء .

i) نِعْمَة - خَلْقٌ - اَلايجاد
ii) نِعْمَة - تَسْخِيْرٌ- اَلاِبْقَاء

i) Nikmat Iijaad - اَلايجاد - Ialah apa yang Allah ciptakan, yang Allah adakan seperti langit, bumi, matahari dan sebagainya.
ii) Nikmat Ibqaa' -  اَلاِبْقَاء - Ialah nikmat yang dengannya kita dapat bertahan hidup. Selepas Allah ciptakan, Allah tundukkan. Contohnya bagaimana orbit matahari, bumi, bulan boleh serasi, padahal ketiga-tiga makhluk Allah ini mempunyai kelajuan berbeza, orbit yang tidak sama, jarak yang ditempuhi berbeza, tetapi sangat serasi sehingga kita boleh menentukan hari, bulan, saat, minit, musim, cuaca silih berganti. Cuacanya pula yang sangat selesa nyaman. Itu namanya taskhir dan taskhir itu namanya nikmat Ibqaa'.

18.0] Jika Allah ciptakan matahari, bumi dan bulan begitu sahaja dan tidak Allah tundukkan, semua tidak bergerak, kita yang lahir pun akan mati. Apa tidaknya sebab bumi yang menghadap matahari sepanjang masa akan terbakar, sementara bumi yang membelakangi matahari akan diselaputi salji tebal sepanjang masa. Mungkin kita tidak wujud. Oleh itu supaya kita mendapat nikmat hidup ini Allah tadbirkan alam, ditaskhirkan alam ini dengan sangat teratur, tidak boleh terlalu cepat  atau lambat pusingannya, jarak antara matahari dengan bulan dengan bumi sentiasa dijaga. Kelajuan masing-masing planet diukur dan orbitnya tetap dan tidak boleh dilanggari dan keadaan ini telah berlaku jutaan bilion tahun.

19.0] Kita tidak dilibatkan sekelip mata pun oleh Allah SWT dalam pentadbiran alam ini. Serajin mana sekali pun orang soleh yang berdoa tidak pernah berdoa minta seperti ini, "Ya Allah, pastikanlah matahari ini sentiasa terbit dipagi hari". Kita minta atau tidak, kita percaya atau tidak percaya, begitulah Allah telah taskhirkan. Jadi inilah nilai nikmatnya kurniaan Allah.

20.0] Ditekankan kembali bahawa pertama-tamanya Al-Khalqu - diciptakan segala sesuatu, dan yang keduanya ialah taskhir- menundukkan, sebab Allah tidak taskhir jika tidak diciptakan dahulu. Tetapi jika Allah ciptakan sahaja tanpa ada taskhir, pun tiada nilai nikmatnya. Allah gunakan kuasaNya sekaligus menunjukkan nikmatNya. "Allahu Akbar!. Adakah kita bersyukur?", Kadang-kadang kita tidak bersyukur, contohnya apabila matahari panas, kita bersungut, apabila hari mendung, hujan, sejuk, kita mengeluh. Manusia ini pelik, berbanding dengan lembu yang tidak protes, tetap keluar mencari makan apabila lapar, walaupun hujan atau panas, dan tidak balik sehingga kenyang. Bahkan sewaktu hujan renyai-renyai banyak lembu yang berusrah dijalanraya.

21.0] Matahari setelah diciptakan, berada ditempat yang sama, diorbitnya, disebut di dalam Al-Quran sebagai di mustaqorrillaha, diorbit yang ditetapkan. Rujuk surahYasin ayat 38;


Bumi juga begitu, ditaskhirkan oleh Allah, maka berlakulah siang dan malam, perubahan cuaca, musim panas (shoif), musim sejuk (syita') dan musim luruh (kharif). Semua itu tidak akan berlaku jika tidak  ada taskhir. Maka taskhir itu nikmat Allah, tetapi Allah tidak mungkin taskhir dahulu sebelum kholaqo. Manakala jika ada kholaqo tanpa taskhir- sakhoro- pun tidak bermanafaat.

22.0] Di dalam ayat 61 yang kita pelajari di atas, matahari (As-Syams) menjadi objek,. Bergeraknya matahari atau bulan atau bumi atau planet lain ialah kerana Allah yang menggerakkannya. Bukan bergerak dengan sendirinya kerana jika semua benda langit dan bumi diberi kebebasan untuk bergerak sendiri, tentulah berlaku perlanggaran. Alam tidak akan harmoni seperti sekarang. Allah taskhirkan, tidak bergerak melainkan digerakkan oleh Allah. Telah disukat dan ditetapkan dan ini kerja Allah dan kita tinggal untuk mensyukurinya sahaja. Jangan khuatir. Rujuk surah Al-Furqan ayat 2;

Dialah Yang menciptakan segala sesuatu dengan keKuasaanNya dan keBijaksanaanNya mengatur dan menetapkan ukuran-ukuran dengan tepat, tiada yang terlebih tiada yang terkurang. Jangan fikir yang matahari itu terlampau jauh dan elok didekatkan atau jika boleh bumi ini berpusing 12 jam sehari semalam dibulan Romadhon agar tidak lama berlapar atau berpusing 30 jam satu pusingan diwaktu Hariraya supaya dapat lama bergembira. Semuanya itu sudah disukat oleh Allah. Jangan kita fikir segala yang di langit berbilion jumlahnya itu sama jaraknya dengan kita, atau sama saiznya atau sama kelajuan gerakannya. Ada yang kecil ada yang besar, ada yang dekat ada yang sangat jauh dengan kita, kelajuan bergerak tidak sama, cahaya yang terang atau malap, umur pun tidak sama, bila matinya pun semua ditentukan, ditaskhirkan oleh Allah Yang menCiptakannya. Tidak boleh terlebih tidak boleh terkurang.

23.0] Dengan doktor pun kita tidak boleh langgari arahan. Contohnya jika doktor memberi ubat yang patut dimakan 1 biji sehari, atau ada yang patut dimakan 1 biji 3kali sehari atau yang perlu dimakan 3 biji 3 kali sehari. "Apa akan jadi jika anda tidak patuhi arahan itu? Jika arahannya ialah makan 1 kali sehari tetapi anda makan 3 kali sehari?  Mungkin qoolu (mati) sebab telah terlebih kadar. Manakala yang sepatutnya anda makan 3 kali sehari tetapi anda telah memakan hanya 1 kali sehari, maka tidak berkesan sebab kurang kadarannya". Setiap sesuatu ada kadarannya - qoddaru takdiiro. Contohnya di dalam badan kita ada kandungan darah merah dan darah putih yang telah ditetapkan (ngam-ngam), jika ada salah satu yang berlebih akan memberi masalah kepada kita.

24.0] Bumi yang diliputi atmosfera bumi dimana kandungan oksigen adalah sebanyak 21% tidak boleh lebih tidak boleh kurang. Bayangkan jika kandungan oksigen di bumi kita meningkat menjadi 25% atau menjadi kurang sehingga 18% sahaja. Apa akan jadi? Siapa yang menetapkan bumi bergerak dengan kelajuannya 1,600 kilometer sejam? Siapa yang menetapkan pusingan bumi sebanyak 365.25 hari mengelilingi matahari? Kita tidak pernah ikut campur tangan. Paling tidak kita pandai merosakkan alam tetapi tidak pandai membaikinya.

25.0] Di dalam Kitab I'jazul Quran yang dikarang oleh Syeikh Mutowili Sya'rawi, nikmat Allah terbahagi kepada 2 iaitu nikmat besar dan nikmat kecil. Nikmat besar ialah menurut sunnatullah, kita tidak boleh hidup tanpanya sepertilah oksigen, matahari dan sebagainya. Manakala nikmat kecil ialah sesuatu yang kita boleh hidup tanpanya, contohnya seperti beg tangan, kasut, kereta, rumah dan sebagainya. Nenek moyang kita dahulu, rumah mereka tiada elektrik, tetapi tetap boleh hidup bahagia, bahkan anaknya ramai. Tiada television, malam bergelap, memasak menggunakan kayu-api dan sebagainya. Allah Maha Pengasih telah memberi nikmat besar secara percuma kepada makhlukNya. Samada hambaNya beriman atau fasik, munafik, percaya atau tidak percaya kepadaNya, Fir'aun sekali pun diberi percuma segala nikmat besar dariNya. Dibenarkan tinggal di bumiNya dengan segala nikmat tersedia, walhal jika Allah tarik balik salah satu sahaja daripada nikmat besar itu, tentu sangat susah hidup kita. Fikirlah sahaja dengan jantung kita, adakah pernah kita campurtangan dalam perjalanannya? Atau kita tidak sedar pun tugasan berterusannya?.

26.0] Nikmat kecil yang mana kita masih boleh hidup tanpanya disuruh Allah supaya kita mencarinya. Contohnya untuk bergerak ke sana kemari, kita boleh berjalan kaki, tetapi jika ingin lebih selesa, perlulah berusaha, berikhtiar sehingga mendapat kereta. Tetapi jika tidak dapat juga, usah kecewa, kerana itu hanya nikmat kecil yang mana kita masih boleh hidup tanpanya. Orang dahulu tiada kilang tepung, tiada roti atau makanan lain, jadi apa yang mereka makan? Mungkin mereka berguru dengan monyet (maksudnya dengan memerhati monyet makan) samada sesuatu buah itu boleh dimakan atau memabukkan, kemudian mereka pun makan untuk menyambung hidup.

27.0] Apa kata jika Allah beri pilihan seperti ini,"Wahai hambaKu, nikmat kecil yang engkau cari seperti rumah, kereta dan sebagainya Aku beri percuma kepada kamu tetapi nikmat-nikmat besar yang Aku beri percuma selama ini  Aku tarik balik". Berapa lama kita boleh bertahan hidup? "Mati kita!". Kita biasa melihat kepada nikmat yang kecil walhal sepatutnya kita melihat kepada nikmat yang besar, melihat taskhir bumi langit yang ditundukkan oleh Allah. Melihat kepada nikmat Allah yang terlalu banyak tetapi kita masih kurang mensyukuri nikmat Allah.

28.0] Contoh lagi, seekor lembu yang ingin kita sembelih, jika tidak kerana Allah taskhirkan tentu tidak dapat kita menguruskannya kerana dia tahu yang kita ingin menyembelihnya lantas dilawannya kita. Mungkin juga ada seorang budak perempuan yang sudah dapat menguruskan seekor kuda yang besar, tinggi, berat berganda-ganda daripada berat dirinya. Kita mungkin kagum dan berkata, "Pandainya budak itu!". Padahal jika tidak kerana taskhir Allah, jangankan budak itu, bapa budak itu pun tidak boleh menguruskan kuda itu. Dengan adanya taskhir Allah, gajah yang besar pun dapat disuruh menari-nari. Tetapi ingat!, binatang yang kecil pun jika Allah tidak taskhirkan, kita tidak dapat lawaninya dan akhirnya kita gagal tanpa bantuan Allah. Contohnya seperti nyamuk, kuman , virus, tarantula, kala jengking dan sebagainya, yang Allah tidak taskhirkan buat kita, kita tidak mampu melawannya dan hanya mampu berdoa sahaja kepada Allah untuk keselamatan diri kita.

29.0] Jika Allah menyuruh kita bersyukur, ingatlah kepada nikmat-nikmat yang besar ini, Yang Allah taskhirkan, sebab apabila taskhir ini dicabut, mudhorat bagi kita. Contohnya apabila buah pinggang sudah tidak berfungsi atau jantung sudah tidak bekerja lagi, kematian sudah diambang, manakala keluarga tidak rela melepaskannya, berapa agaknya kos yang diperlukan untuk meneruskan nyawa?. Pernahkah kita sendiri mengira berapa kali kerdipan mata kita tanpa springnya terputus? Itu semuanya nikmat yang kita tidak sedari. Katalah jika spring mata kita terputus semasa tutup, tidak boleh lagi kita membuka mata semula dan sebaliknya jika spring mata terputus ketika mata kita sedang celek, tentu tidak dapat lagi kita pejamkan mata kita. Kemudian mata kita juga mengeluarkan cecair yang banyak fungsinya untuk kebaikan dan keselesaan kita.

30.0] Sebelum Allah beri nikmat makanan, Allah beri percuma alat untuk makan dahulu iaitu gigi. Pada pendapat anda mana yang lebih baik mendapat percuma daripada Allah, gigi atau makanan yang boleh dicari? Apabila gigi tidak ada pun sudah sangat susah untuk menikmati makanan dan tidak sama nikmat gigi asli berbanding gigi palsu. Begitu juga dengan nikmat adanya air liur, yang menjadi simbol kenikmatan sesuatu makanan. Apabila melihat  makanan yang sedap-sedap, air liur pun terkeluar. Jika tidak ada air liur, makan tiada rasa, dan hadapi masalah dalam kunyahan yang membawa kepada masalah penghadaman.

31.0] Sekali lagi ditekankan bahawa nikmat besarlah yang patut disyukuri, adanya kholqun (ciptaan Allah) dan diikuti dengan taskhir Allah (Allah menundukkannya). Adalah lebih baik jika ada kaki tetapi tiada kereta daripada ada kereta tetapi tiada kaki. Kaki itu nikmat besar, kereta itu nikmat kecil. Sebab itu kaki diberi percuma oleh Pencipta kita kerana kita tiada upaya untuk itu manakala kereta yang merupakan nikmat kecil, dimana kita masih boleh mencari sendiri dengan berusaha dan berikhtiar mendapatkannya. Kalau sudah mendapat kereta itu, bersyukurlah tetapi jika tidak mendapatkannya, janganlah kecewa kerana kita sudah punya kaki untuk bergerak. Hidup kita akan menjadi lapang, hati akan sentiasa senang kerana terlalu banyak lagi nikmat-nikmat besar yang patut disyukuri berbanding sedikit kekurangan pada nikmat kecil yang Allah telah berikan kepada kita. Mudah-mudahan kita semua diberkati Allah. Allahumma aamiin.











 


Tuesday, February 21, 2017

Surah Al-Ankabut (ayat 60) - Kuliah 61 - Daabbah (Pencari Rezki), Wasilah (Perantara), Ibadah

 1.0] Surah Al-Ankabut ayat 60;


Betapa banyak daabbah di muka bumi yang tidak mampu menanggung rezkinya kerana tidak mampu membawa atau menyimpan rezkinya. Lihat sahajalah semua binatang atau haiwan yang bergerak, kecuali manusia, semut dan tikus, mereka tidak mampu membawa atau menyimpan habuan rezki mereka. Tupai misalnya, hanya mencuri sebiji buah kelapa setelah ditebuknya, lalu dimakan, tidak habis, ditinggalkan, tidak dibawa balik ke sarang untuk kegunaan besoknya. Burung, ular, hatta harimau tidak membawa balik makanannya, hanya manusia sahaja yang membawa balik habuannya. Contohnya ketika manusia pergi ke tempat kenduri, makan sehingga kenyang kemudian membawa balik pula makanan untuk dipanaskan dan dimakan besok harinya pula.

2.0] Sungguh ajaib sekali kepelbagaian ciptaan Allah atas makhlukNya, jika daabbah itu mampu membawa habuan rezkinya seperti keldai tetapi tidak mampu menyimpannya. Semut mungkin ada kelebihan menyimpan tetapi bermasalah dalam membawanya. Di dalam Kitab Rahsia Hayawan tentang semut (namlah), ada menyatakan bahawa setelah semut itu memotong sehelai daun, mungkin dengan gigitan giginya yang tajam, lalu dibawanya ke sarangnya dengan susah-payah untuk keluarga dan anak-anaknya. Ketika itu ada pula seekor lagi semut lain yang menenggek diatas daun yang diusung itu, walhal daun itu pun sudah sangat berat bagi semut tersebut. Ada fungsi rupanya. Semut yang sedang membawa keratan daun tadi tidak nampak dan tidak mampu untuk mempertahankan diri dan makanannya daripada serangan haiwan yang lain, sebab itulah ada seekor semut lain yang berada di atas daun yang diusung itu dengan tujuan sebagai pengawal dari serangan haiwan pemangsa lain. Subhanallah, semut mampu membawa habuannya, rezkinya, tetapi tidak mampu mempertahankan diri tanpa bantuan. Itulah kurniaan Allah yang mengajar semut kemahiran untuk mengawal dan mempertahankan rezki habuannya daripada diserang oleh makhluk pemangsa lain ketika proses pengangkutan makanannya itu. Ini ialah Sunnah Ilahiah, uslub, iaitu bagaimana cara Allah hendak menyampaikan rezki kepada hambaNya, makhlukNya yang diciptakanNya. Kalau tidak kerana Sunnah Ilahiah ini semut yang diberi upaya oleh Allah dapat membawa makanannya namun akan sentiasa gagal kerana hanya berpenat-lelah membawa makanannya tetapi tidak sempat sampai ke sarangnya kerana selalu dirompak ditengah jalan. Terlalu banyak lanun di jalanan iaitu terdiri daripada jenis binatang yang tidak pandai untuk menyimpan makanan tetapi hanya tahu untuk makan di situ juga. Itu senario luar biasa. Allahlah yang memberi rezki kepada semua makhlukNya. Kalaulah tidak kerana ilmu yang Allah ajarkan kepada mereka iaitu hidayah fitriah atau hidayah ghoriziah, tentulah semut-semut kelaparan kerana semut jarang makan apa yang dia jumpai melainkan hanya sekadar merasa sedikit, lalu dibawa balik dan ketika membawa balik makanannya itu dia sendiri belum kenyang tambahan pula dijalanan banyak lanun yang akan menyerang dan ada kemungkinan semut itu mati kelaparan. Risiko yang sangat besar kerana perjalanannya berhadapan dengan lanun-lanun (makhluk pemangsa lain), dan semut-semut yang mengusung makanan hanya menumpukan kepada makanan yang diusungnya dan berada di bahagian bawah. Mereka tidak nampak musuh yang di atas, sebab itulah ada seekor semut lain yang duduk diatas sebagai pembantu, yang memerhati kalau-kalau ada lanun yang hendak menyerang mereka. Walhal makanan itu pun sudah berat dan sangat susah bagi semut-semut itu mengusungnya inikan pula ada seekor semut lain pula yang berada diatas bersama makanannya. Kehebatan semut ialah dapat menarik makanan yang berganda-ganda beratnya daripada berat badannya sendiri, sebab itulah semut semuanya ramping-ramping kerana rajin dan kuat bekerja. Ikutlah sunnah semut yang boleh dibuat panduan iaitu semut yang makannya sedikit kemudian bekerja keras untuk menarik makanan ke sarangnya. Ini sunnah Ilahiah bagaimana Allah memberi dan menjamin rezki kepada makhluk ciptaanNya.

3.0] Di dalam ayat di atas dinyatakan bahawa Allahlah yang memberi rezki kepadanya dan kepada kamu. Kenapa dibezakan? Jawapannya ialah kerana rupa-rupanya rezki tidak boleh dikongsi dengan makhluk lain atau sesama kita. Rujuk surah Al-An 'am ayat 151 dan surah Al-Isra' ayat 31;

Cuba telitikan kalimah tentang rezki dari 2 ayat di atas dan bandingkan;

i) Surah Al-An'am ayat 151 -  نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَاِيَّاهُمْ - Kami yang memberi rezki kepada kamu dan kepada mereka.

ii) Surah Al-Isra' ayat 31 -  نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَاِيَّاكُمْ - Kami yang memberi rezki kepada mereka dan kepada kamu.

Kenapa diasingkan dan dibezakan antara kalimah kamu dan mereka?
Kenapa tidak dikatakan, "Kamilah yang memberi rezki kepada kamu semuanya"
Jawapannya ialah, diasingkan dua ayat itu ialah untuk menunjukkan bahawa rezki itu tidak berkongsi. Masing-masing mendapat habuan rezki yang tidak berkongsi, maksudnya rezki kamu hanya untuk kamu, rezki mereka hanya untuk mereka. Sabda Nabi saw, "Seseorang tidak akan dimatikan oleh Allah sehingga rezkinya dicukupkan untuknya, maknanya setelah rezkinya telah habis digunakan olehnya. Saat dia mati maknanya rezkinya sudah kehabisan. Orang yang belum habis rezkinya belum dimatikan, macam kita yang belum dimatikan maknanya rezki kita belum habis. Oleh itu jika kita asyik meminta rezki yang banyak-banyak sangat, apa maknanya itu?

4.0] Andailah rezki berkongsi, katakan A seorang yang masih bujang dan rezkinya dijamin oleh Allah 100% semasa hidupnya. Kemudian setelah berkahwin, ada isteri, agaknya berapa rezkinya sebagai suami dan berapa rezki yang perlu dikongsi oleh isterinya? Kemudian dapat pula anak, berapa pula bahagian rezki bagi anak atau anak-anaknya? Itu belum lagi untuk dibahagi kepada menantu atau menantu-menantu dan cucu-cucunya. Kalaulah rezki berkongsi dan tidak nafsi-nafsi tentulah seorang suami sudah papa kedana sebelum bermenantu bercucu. Oleh sebab itu setiap orang mendapat 100% rezkinya masing-masing samada ketika masih bujang atau setelah berkahwin dan masing-masing bagi isteri dan anak-anak juga mendapat rezki 100% masing-masing. Setiap orang ada habuan masing-masing, hanyasanya cara Allah menyampaikan rezki kepada hambaNya itu yang berbeza-beza. Rezki seorang isteri mungkin melalui suaminya dan suaminya hanya menjadi wasilah (perantara) untuk Allah salurkan rezki seorang isteri itu. Hakikatnya setiap daripada kita ini dijadikan Allah sebagai wasilah atau perantara bagi hamba-hamba Allah mendapat rezkinya daripada Allah. Cara Allah memberi rezki kepada kita hambaNya bukanlah secara terus diberi dengan kun fa ya kun tetapi Allah memberi melalui orang lain. Rezki yang Allah berikan kepada orang lain itu pula  adalah melalui orang yang lain pula atau mungkin melalui tangan kita juga. Bukan Allah tidak berkuasa untuk memberi secara terus kepada kita tetapi telah menjadi sunnah Ilahiah Allah memberi melalui wasilah. Rezki kita semuanya dijamin oleh Allah, oleh itu tidak perlu risau. Allah berfirman, "Akulah yang memberi rezki kepada daabbah dan kepada kamu".

5.0] Rezki untuk kucing yang kita pelihara adalah dari Allah melalui kita sebagai wasilahnya. Jangan sampai mengungkit seperti, "Kucing tidak sedar diri, dahulu kurap merempat di tepi jalan, aku telah banyak belanjakan untuk makanan kamu, tetapi kamu cakar aku sampai perlu berjahit begini. Kalau aku tidak bela kamu, kamu sudah mati kucing!". Jangan begitu, jangan kita mengambil nama Allah Ar-Razzaq, satu-satunya zat yang berhak memberi rezki. Hanya Allah yang memberi rezki, manakala yang lain diberi rezki. Kita hanya dilantik untuk menjadi wasilah, ejen untuk memberi, maka bersyukurlah apabila kita menjadi ejen memberi kerana kita mendapat pahala sedangkan kita tidak akan kehilangan apa-apa kerana apa yang kita berikan kepada orang lain itu ialah rezki yang Allah tetapkan untuknya. Kita sendiri sebenarnya tidak dapat memberi apa-apa kerana kita tidak punyai apa-apa pun. Itu sunnatullah.

6.0] Jangan sekali-kali berlaku kata-kata begini, "Kalau saya tidak mengambil awak sebagai pekerja saya, entah awak boleh makan atau tidak, saya yang biaya awak, ingat itu!" Jangan, itu dosa, sejak bila dia merampas hak Allah sebagai pemberi rezki. Kita diajar dalam aqidah, Tauhidul Asma Was-Sifat - Tauhid Rububiyyah - bahawa Ar-Razzaq itu Allah SWT. Tidak boleh kita meyakini ada selain Allah yang boleh memberi kita rezki, melainkan hanya sebagai wasilah, perantara dan itu adalah As-Sunnah Al-Ilahiah. Sunnah yang Allah telah tetapkan.

7.0] Dalam bab rezki, Allah selalu gunakan dhomir (gantinama) kami (nahnu) kerana cara Allah memberi rezki kepada hambaNya adalah melalui orang lain iaitu melibatkan makhluk Allah yang lain. Contohnya "Rezki yang Allah berikan kepada saya, dari mula saya lahir melalui ibu saya, keluar ASI (air susu ibu) yang Allah ciptakan buat saya bukan buat ibu saya. Buktinya ialah sebelum mengandung dan melahirkan saya ibu saya tiada pun air susu. setelah saya lahir sahaja ASI keluar dengan banyak memenuhi keperluan saya tetapi setelah saya semakin membesar, ASI berhenti dengan sendirinya. Itulah rezki buat saya tetapi melalui ibu saya!". Itulah namanya wasilah. Tidak boleh dan berdosa jika ada seorang ibu yang tidak memberi susu kepada anaknya atau pun mengungkit," Kalaulah ibu tidak susui kamu, qoolu (mati) kamu!".

8.0] Kita pula diwajibkan untuk mensyukuri dan berterima-kasih kepada ibu-bapa dan juga orang lain yang menjadi wasilah untuk kita dapatkan rezki. Orang yang tidak berterima-kasih kepada manusia, tidak berterima-kasih kepada Allah. Oleh itu kita di suruh untuk mensyukuri dan berterima-kasih kepada ibu-bapa seperti firman Allah, "Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu-bapamu".

9.0] Ada orang yang sakit, ingin sembuh. Sembuh dan sihat itu adalah rezki dan datang daripada Allah. Bagaimana Allah berikan nikmat sihat itu bagi yang sakit? Kebanyakannya adalah melalui doktor yang merawatnya. Bukan Allah tidak berkuasa untuk menyembuhkannya tanpa doktor, kerana jika Allah berkehendak, dengan tidak payah berubat pun boleh sembuh. Bahkan yang tua boleh jadi muda jika Allah kehendaki, tiada yang mustahil. Rezki para doktor pun Allah yang beri, bukannya terus turun daripada langit terus ke meja doktor tetapi adalah melalui pesakit yang datang berubat dengannya. Pesakit yang datang itu adalah sebagai wasilah rezki kepada doktor melalui pesakit. Rezki sembuh yang Allah beri kepada pesakit tadi pun Allah berikan melalui wasilah doktor. Oleh itu siapa yang lebih memerlukan siapa? Orang yang sakit memerlukan doktor atau doktor yang memerlukan pesakit? Bagaimana jika ramai doktor dan tiada orang sakit, atau jika ramai orang yang sakit dan tiada doktor? Jika tidak ada pesakit, tentulah tidak ada kilang ubat, tiada farmasi, tiadalah Jus Nusantara atau Jus Tok Guru dan sebagainya. Kita makhluk saling memerlukan apatah lagilah kita semua memerlukan Allah SWT.

10.0] Dalam bab rezki, Allah telah membuka peluang untuk kita saling tolong-menolong diantara satu sama lain. Kita tidak kehilangan apa-apa ketika memberikan sesuatu kepada orang lain kerana membantunya. Kita hanya dijadikan Allah sebagai wasilah-perantara untuk menyampaikan rezki daripada Allah kepada mereka dan kita mendapat pahala dengan syarat kita meyakini bahawa yang memberi itu ialah Allah SWT. Dalam bahasa kita, kita disuruh berkongsi rezki, tetapi hakikatnya tidak berkongsi. Kita hanya dipilih oleh Allah untuk menjadi wasilah dan bersyukurlah orang yang dilantik Allah menjadi wasilah kerana mulialah orang itu.

11.0] Hassan Al-Basri faham benar tentang bab rezki ini. Hassan Al-Basri, nama penuhnya ialah Hassan bin Yasar Al-Basri, lahir pada tahun 642 Masihi bertepatan dengan tahun 21 Hijriah dan wafat pada tahun 728 Masihi bertepatan dengan tahun 110 Hijriah, Beliau lahir di Madinah selepas 9 tahun kewafatan Baginda Rasul saw dan tidak termasuk sebagai sahabat tetapi sebagai tabi'in. Beliau imam ahli sunnah wal-jamaah yang sangat 'alim. Beliau ini hamba kepada Zaid bin Thabit Al-Ansoori. Saudaranya ialah Said dan Imarah dan ibunya bernama Khairah iaitu hamba sahaya kepada Ummu Salamah r.anha, isteri Nabi saw. Ketika beliau lahir disusukan oleh Ummu Salamah r.anha,(anak susuan Ummu Salamah), maknanya beliau orang terpilih. Ketika Ummu Salamah  r.anha membawanya keluar kepada khalifah Umar bin Al-Khottob, khalifah Umar telah mendoakannya, "Ya Allah, berikan kefahaman agama kepada bayi ini dan letakkan kasih sayang orang kepadanya", dan doa itu dikabulkan Allah. Hassan Al-Basri, tabi'in yang hebat ini ketika ditanya tentang rezki dan zuhud mengatakan seperti apa yang dihuraikan oleh Syeikh Mutowili Asy-Sya'rowi dalam kitabnya I'jazul Quran, begini kata Hassan Al-Basri:

i) "Aku tahu dan yakin bahawa rezkiku tidak akan diambil oleh orang lain, maka hatiku pun menjadi tenang". Kenapa?, kerana rezki tidak berkongsi, 100% Allah khaskan kepada setiap hambaNya. Allah berjanji ketika orang mati, tidak dikurangi, malahan apabila rezkinya telah habis 100%. Kenapa hati kita tidak tenang?, kerana kita tidak yakin, "Jangan-jangan ada orang yang ingin mengambil rezki kita!". Padahal rezki kita tidak akan berkurang walaupun 1% daripada apa yang Allah telah tetapkan sejak azali sehingga kita mati. Keyakinan itu sangat perlu supaya hati kita menjadi tenang tenteram.

ii) "Dan aku yakin bahawa amalku dan kewajipanku tidak akan dilakukan oleh orang lain, maka aku pun sibuk melakukannya sendiri". Orang yang malas beramal kerana dia fikir ada orang lain yang akan buat bagi pihak dirinya. Contohnya, jika seseorang itu malas bersolat, adakah boleh diupah orang lain untuk solat bagi dirinya? "Tidak boleh!".

[Yang sedang viral sekarang ialah tentang doa yang dijual, doa yang dikontrakkan, menjual kemakbulan doa. Mungkin ada orang yang malas atau tidak yakin dengan diri sendiri atau atas apa sebab yang tidak terfikirkan oleh akal yang waras maka telah diambil peluang oleh orang lain. Contohnya kalau untuk berdoa bagi hajat yang panjang dan berat-berat  maka mahal-lah upahnya, kalau doa untuk hajat yang ringan dan pendek murah-lah upahnya. Atau kalau tempat berdoa di Masjid Kucing murah-lah upahnya tetapi jika untuk berdoa di Multazam mahal-lah upahnya. Na'uzubillah. Moga Allah hindari kita dari kesesatan ini, padahal Allah berfirman, "Berdoalah kamu terus kepadaKu, nanti Aku qabulkan"]

Doa sudah dikontrakkan, ibadah haji sudah dikontrakkan, urusan jenazah sudah dikontrakkan. Jangan-jangan nanti semua ibadah dikontrakkan.

[Contohnya dalam urusan jenazah, telah ada pakej A,B atau C. Mungkin pakej A ditawarkan perkhidmatan bermula dari awal, adanya ambulan untuk pengangkutan, kemudian khidmat mandi jenazah, kafan, bunga, solat dan tahlil 7 kali. Pakej C, mungkin hanya mandi jenazah sahaja. Pakej A+, mungkin semua yang ada pada pakej A ditambah pula dengan bunga. Bukan bunga biasa, malahan bunga kristal yang siap digantung atas kubur dan siap dengan cangkutnya. "Oleh itu apa kata kerana orang kampung sudah sepakat, yuran sedia dibayar, apabila ada kematian, hanya perlu pilih pakej yang mana, banner yang telah dipasang di tiang-tiang elektrik, tinggal hubungi sahaja apabila perlu"].

Subhanallah, dunia semakin mencabar, semua sudah dikontrakkan. Jika kita ingin menjadi hamba Allah yang baik, perlulah difikirkan, adalah susah jika tiada kesedaran. Takutnya jika kita sekarang mungkin masih was-was, asyik bertanya "Ia ke? boleh ke? boleh begitu ke?. Kita masih bertanda-tanya dan masih bingung. Anak-anak kita yang lahir sekarang, apabila kita sudah tidak ada, apabila kita sudah tinggalkan mereka generasi baru, anak-anak kita kata boleh, cucu-cucu kita kata sunnah mu'akkadah, cicit-cicit kita kata wajib, wajib menyerahkan kepada orang lain urusan kita. Apabila cicit sudah kata wajib, tiba-tiba jika adalah orang yang mungkin mengajak kepada yang benar, pasti ditentang. Pasti pendakwah itu ditentang apabila perkara yang sudah menjadi amalan masyarakat, apa lagi jika yang sudah dikatakan wajib kemudian dikatakan tidak boleh oleh pendakwah tadi. Pendakwah itu akan ditentang habis-habisan. Oleh itu hayatilah hati Hassan Al-Basri, tabi'in yang hebat, yang beramal sendiri, menyibukkan diri beramal sendiri.

iii) "Aku tahu dan aku yakin bahawa Allah selalu memerhatikan diriku, maka aku malu bila Allah melihatku melakukan maksiat".

iv) "Dan aku tahu dan yakin bahawa kematian itu sentiasa menungguku maka aku pun sentiasa menyediakan bekalan untuk berjumpa Tuhanku".

12.0] Itu orang 'alim, percakapan dan pemahamannya tentang rezki, ima tentang amalan, ima masalah beramal, ima ketika menghadapi saat kematian. Tugas kita ialah untuk menjadi hamba Allah yang baik. Lihat firman Allah SWT di dalam surah Az-Zaariyat ayat 56, 57 dan 58;



Ayat-ayat diatas adalah sangat popular. Allah sebagai Kholiq dan kita manusia-Al-Insan sebagai makhluk. Allah mencipta kita ada tujuan dan tujuan kita dicipta adalah untuk beribadah kepada Allah, kerana ibadah itu ialah hak Uluhiyah Allah. Kemudian Allah (sebagai Kholiq kepada kita) telah memberi jaminan rezki kepada kita. Allah berfirman, "Aku tidak meminta rezki kepada hambaKu dan tidak meminta dari mereka makanan". Malahan kerja Allah ialah memberi rezki, ini berkaitan dengan sifat Rububiyyah. Tujuan kita untuk beribadah, ini bermakna pastikan setiap gerak-geri kita semasa hidup, diam dan berdiri kita, belajar kita, bekerja kita, berkeluarga kita, mendidik anak dan apa sahaja yang kita lakukan hendaklah ada padanya nilai ibadah. Ibadah itu sangat luas, bukan hanya bermakna solat sahaja ibadah, bahkan semua gerak-geri kita bermula dari baligh sehingga kita dipanggil kembali oleh Allah adalah ibadah. Ibadah pula ada peraturan, ada yang wajib dibuat ada yang tidak boleh dibuat. Contohnya jika orang yang bekerja, niatnya untuk mencari rezki untuk menyara keluarganya, niatnya supaya tidak sampai meminta-minta maka orang itu berada dijalan Allah. Nabi saw bersabda,"Sesiapa yang keluar rumah berusaha mencari rezki, tujuannya ialah untuk mempastikan dirinya tidak menjadi bebanan kepada orang lain maka tujuannya fi sabiilillah, dan jika mati di jalan Allah itu, matinya mati syahid". Apabila sudah berkeluarga, keluar bekerja mencari rezki kerana ingin menyara kehidupan ahli keluarganya, orang itu di jalan Allah. Kerjanya ibadah. Keluarnya pagi balik malam, dia sedang beribadah dan jika dia mati di tempat kerja, matinya mati syahid. Ibadah mesti tepati syarat, bukan asal kerja sahaja semua dikira ibadah. Contohnya jika seorang yang kerjanya merompak atau sebagai gro, tentu bukan ibadah. Tetapi jika seseorang itu keluar bekerja kerana menyara ibubapa yang uzur, kehidupan perlu diteruskan, tanggung-jawab mencari rezki diambil alih oleh anak tidak kira samada anak lelaki atau anak perempuaan. Maka anaknya fi sabiilillah dan jika mati, mati syahid. Contohnya anak gadis kepada Nabi Syuaib yang bekerja mengembala kambing. Walaupun tidak layak bagi perempuan tetapi bukan alasan, bukan patut atau tidak patut, bukan kerja halus atau kasar, bukan kerja berat atau kerja ringan, kerana di dalam Islam cuma ada 2 sahaja jenis pekerjaan iaitu kerja halal atau kerja haram. Sebab itu perempuan juga boleh mengembala kambing. Mungkin kerja kasar tetapi asal halal, boleh. Kerja halus pun jika haram tidak boleh. Jadi kerja kita, tujuan kita hanya ibadah kerana haq uluhiyah, kita kena berikan kepada Allah. Mungkin ada yang berkata, "Ya Allah, jika Engkau mengatakan tujuan kami diciptakan hanyalah untuk beribadah, macam-mana dengan makan-minum kami? Macam-mana dengan rezki kami? Dan kami telah melakukan ibadah kami mengikut aturanMu". Jawab Allah, "Rezki kamu Aku yang jamin!".

13.0] Katalah begini, Allah perintahkan, "Kamu mestilah beribadah kepadaKu dalam mencari rezki. Ini boleh, ini tidak boleh, yang haram jangan dibuat!". Tetapi orang itu pula degil, "Ya Allah, di zaman sekarang ini jika lurus sangat orang akan pijak kita. Jika takut jolok-jolok susah untuk dapat habuan, habuan mesti ada umpan!". Allah kata, "Jangan, itu dosa, tugas kamu beribadah, patuh kepada perintah". Yang beri kamu makan ialah Allah.

14.0] Orang yang rasuah pula mungkin berkata,"Ya Allah, kalau tidak rasuah susah untuk cari makan". Allah jawab," Kenapa kamu takut  tidak dapat makan, yang beri kamu makan ialah Aku". Itulah maksud ayat orang yang mencari rezki, melanggar perintah dan larangan Allah itu tidak yakin bahawa rezkinya itu dijamin Allah, sedangkan tujuannya dicipta oleh Allah ialah untuk beribadah.

15.0] Jangan sampai kita sibuk dalam urusan mencari rezki sehingga melanggar tujuan kita dihidupkan atau diciptakan. Ada orang yang mengatakan, "Bila Islam akan dapat maju atau boleh mengalahkan bangsa lain? Orang Islam mustahil dapat menyamai orang lain dalam pencapaian ekonomi kerana Islam banyak pantang-larang. Untuk membuka kedai judi tidak boleh, untuk membuka kasino tidak boleh, mereka semua boleh. Mereka boleh menipu kita tidak boleh. Mereka boleh rasuah kita tidak boleh. macam-mana kita boleh maju?". Allah kata, "Jangan, jangan, jangan, tugas kamu beribadah kepadaKu dan ibadah itu tidak boleh melanggar larangan dan peraturanKu". Malahan  makna ibadah itu adalah sangat luas seperti definasi dibawah ini:

اَلْعِبَادَةُ هِيَ - كُلُّ مَا يُحِبُّهُ اللهُ وَيَرْضَاهُ مِنْ قَوْلٍ وَعَمَلٍ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا

Yang bermaksud - Ibadah itu ialah segala apa yang Allah cintai dan Allah redhoi samada berupa ucapan dan perbuatan, samada yang zahir dan yang batin.

[Yang batin seperti apa sahaja yang terlintas di dalam hati, samada suka atau tidak suka, sayang, marah, takut kepada azab Allah dan sebagainya. Yang zahir mungkin apa yang kita boleh dengar, apa yang kita ucapkan, apa sahaja perilaku kita  yang Allah suka dan redhoi, itulah ibadah].

16.0] Ditekankan lagi bahawa tujuan manusia diciptakan ialah untuk beribadah, rezkinya Allah beri jaminan, rezkinya tidak berkongsi hanyasanya yang menjadi sunnatullah ialah cara Allah memberi rezki kepada hambaNya ialah melalui hamba yang lain. Bukan Allah tidak berkuasa memberi secara langsung kerana Allah telah tunjukkan kepada Maryam as keadaan itu, tetapi bayangkan jika setiap rezki yang diberikan kepada kita seperti yang berlaku kepada Maryam as tentu tiadalah Pasar tani, Mydin dan sebagainya sebab jika terlintas sahaja  sesuatu dihati sudah ada di depan mata. Contohnya, teringinkan kereta, terus ada kereta, teringin nasi beriani, mahu nasi suci (nasi mandi), juga sedia terhidang.

17.0] Di dalam Al-Quran, Allah kata, "Berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah". Ini kerana kadang-kadang Allah meletakkan rezki hambaNya ditempat lain, maka hendaklah hambaNya mencari rezki masing-masing. Ada yang terletak dekat ada yang jauh. Tugas hamba ialah beribadah dan salah satu ibadah yakni berusaha mencari rezki yang Allah telah tetapkan. Ibadah ialah segala perbuatan yang Allah sukai dan Allah redhoi. Ketika petani pergi ke kebun, Allah suka, ketika polis bertugas di kantornya, Allah suka dan segala macam pekerjaan dan perbuatan zahir dan batin, diam dan gerak yang Allah suka dan redho menjadi ibadah. Manakala ketika seseorang yang berpakaian hitam, keluar malam, memanjat pagar rumah orang, mengumpel pintu rumah orang dari belakang, itu Allah tidak suka dan bukan ibadah.

18.0] Jika ada orang yang berbincang di masjid untuk mencari jalan untuk mengimarahkan masjid, tentu Allah suka dan itu ibadah tetapi jika berbincang di masjid, mencari jalan  untuk menyingkirkan atau menghapuskan seseorang, Allah tidak suka dan Allah tidak redho maka bukanlah ibadah walaupun di masjid di tempat mulia.

19.0] Sedih sekali apabila ada orang kata, "Tuan-tuan, kita ini bukan muda lagi, apa kata kita tumpukan untuk beribadah, jangan pentingkan dunia, duit tidak dibawa mati. Tengok waktu ini sudah waktu maghrib, kita sudah berada di masjid untuk solat tetapi tengok kawan kita masih di jalan-raya, yang masih di ofis pun ada, entah solat entah tidak". Ayat yang perlu diperbetulkan. Tiba-tiba jadi su uz-zon kepada orang lain. "Apa dia ingat di ofis tiada musolla?" Selepas mengutuk orang yang mencari duit, di akhir ceramah, diedar borang infaq untuk meminta derma. Jemaah jadi bingung. Oleh itu hendaklah berhati-hati bercakap agama jangan sampaikan Islam ini dikatakan tidak betul, nanti Islam rosak, padahal Nabi saw telah memberitahu bahawa ibadah itu sangat luas skopnya.

20.0] Contoh lain, jam 3 pagi ada qiamullail dimasjid, dalam perjalanan ke masjid ada paip pecah, tengok ada orang betulkan paip dalam keadaan basah kuyup. Orang yang hendak pergi ke masjid pun berkata, "Inikan malam 10 Romadhon terakhir, sepatutnya qiamullail, ini bekerja di malam begini, macamlah tidak ada masa lain. Eloklah pergi ke masjid berqiamullail bukannya mandi ditepi jalan baiki paip itu". Dia tidak tahu bahawa orang yang baiki paip pecah itu telah menyebabkan dia boleh berwudhu di masjid. Allah suka dan Allah redho dan itu ibadah bagi orang itu. Jangan-jangan pahalanya lebih banyak daripada orang yang berqiamullail yang belum pun beribadah tetapi sudah ujub. Betulkan niat dalam segala perbuatan dan apabila Allah suka dan Allah redho itulah ibadah yang dijadikan tujuan Allah cipta kita dan Allah tidak membebani kita.

21.0]      اِجْتِهَادُكَ فِيْمَا ضَمِنَ لَكَ وَتَقْصِيرُكَ فِيْمَا طَلَبَ مِنْكَ دَلِيْلٌ عَلَى اِنْطِمَاسِ  بَصِيرَتِكَ
             
Yang bermakna; "Bersungguhlah dikau di dalam apa yang Allah beri jaminan kepada engkau (iaitu rezki) dan kecuaian engkau di dalam apa yang Dia minta daripada engkau (iaitu ibadah), bukti yang nyata atas butanya matahati engkau".

Ramai orang yang matahatinya buta dan apa tandanya? Tandanya ialah apabila seseorang itu rajin mengejar rezki yang hakikatnya rezki itu dijamin Allah tetapi cuai beribadah. Di dalam Al-Quran ada diingatkan,"Sesiapa yang lari dari peringatanKu, Aku beri penghidupan yang sempit dan pada hari kiamat Aku akan bangkitkan mereka dalam keadaan buta (butahati)". Lalu mereka berkata,"Wahai Tuhan, kenapa Engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta padahal dahulu aku celik?". Kalau hati mahu celik di akhirat, pastikan hati tidak buta di dunia. Jangan mengejar rezki dengan membabi-buta atau membuta-tuli, jangan menghalalkan  segala cara, janji dapat, jangan tolak-tepi masalah hukum-hakam. Janganlah buta macam babi dan pekak macam badak. Al-Quran ada memberitahu,"Ada mata tidak melihat, ada telinga tidak mendengar, ada hati tidak mengerti. Mereka seperti binatang ternakan malahan lebih lagi". Ini bahaya dan tidak mudah untuk dielakkan kalau kita tidak bersungguh-sungguh. Apa lagi anak cucu kita yang hidupnya bukan semakin senang malahan persaingan semakin sengit kecuali bagi orang yang tetap qonaah kepada Allah dan tetap menjaga tujuan ia diciptakan.

22.0] Allah cipta kita bukan untuk bekerja, bukan untuk kahwin tetapi untuk beribadah. Kerja dan kahwin itu pula adalah salah satu bentuk ibadah oleh itu niatkan ibadah dalam apa sahaja perbuatan kita. Kalau tidak, hidup akan hadapi stress. Contohnya jika kita punya anak, membesarkannya, mendidiknya, kalau tidak diniatkan ibadah pasti hadapi stress lalu terkeluar ungkapan seperti ini, " Dahulu semasa kecil, saya besarkan, apabila sakit saya rawatkan, laparnya saya berikan makan. Sekarang setelah besar-panjang, saya sakit dan hendak pergi ke doktor pun tidak diambil peduli olehnya". Tentu sedih apabila ada anak 8 orang namun seorang pun tidak pernah nampak batang hidung. Oleh itu hendaklah diniatkan membesarkan anak itu adalah sebagai ibadah sejak dari awal lagi dan hadapi hidup dengan sepenuh pergantungan hanya kepada Allah.

23.0] Kaburnya mata-kepala (mungkin akibat glucoma) adalah  lebih cepat kita sedari tetapi butanya mata-hati susah untuk kita sedari. Orang Arab berkata,"Butanya mata-hati lebih dahsyat dari butanya mata-kepala". Hati yang sudah buta wajib dikeji dan dicela. Rajin mencari rezki tetapi cuai untuk beribadah. Sanggup menipu, merasuah tanda hati sudah mati. Jangan sampai Islam tidak lagi dapat menjadi pembimbing hidup kita, tetapi pastikan Islam sentiasa menjadi penunjuk arah kita semua ke jalan yang diredhoi Allah. Moga diberkati. Allahumma aamiiiin.


         


Tuesday, February 14, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 59, 60) - Kuliah 60 - Tawakkal, Isti'anah, Inabah, Ibadah, Akhzul-Asbab, Syirik Asbab, Daabbah,

1.0] At-Tawakkul - Masih lagi membincangkan tentang tawakkal yang terbahagi kepada 2 ia-itu;
i) Tawakkal idhtiroori
ii) Tawakkal ikhtiari.
Betapa pentingnya tawakkal dalam agama kita sehingga Ibnu Qayyim Al-Jauziyah di dalam kitabnya Madarijus-salikin telah mengatakan bahawa tawakkal itu adalah separuh daripada agama kita dan separuhnya lagi ialah Al-Inabah iaitu kembali kepada Allah. Addin Isti'anah Wa Ibadah, At-Tawakkul Al-Isti'anah Wal Inabah Al-Ibadah. Ini adalah kerana agama itu terdiri daripada ibadah dan isti'anah. Ibadahnya ialah inabah dan isti'anah ialah tawakkul. Secara ringkas inti ajaran daripada agama kita Islam yakni disimpulkan di dalam ayat اِيَّاكَ نَعْبُدُ dan وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْن .

i)  اِيَّاكَ نَعْبُدُ - عِبَادَة - اِنَابَة
ii) وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْن - اِسْتِعَانَة - تَوَكُّلَ

اِيَّاكَ نَعْبُدُ - Hanya kepada Engkau kami menyembah. Mengabdikan diri semata-mata kepadaNya. Ibadah dalam ertikata yang luas.

وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْن - Dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Dalam erti kata yang sebenar iaitu menyatakan dan menzahirkan kelemahan diri.

2.0] Ada orang yang rajin beribadah, melakukan segala ibadah yang dikehendaki oleh Allah dan meninggalkan segala yang ditegahkan Allah. Pada masa yang sama ia juga rajin memohon kepada Allah bagi memenuhi segala keperluannya oleh sebab menyedari bahawa dirinya amat-amat lemah, Lahawlawala quwwata illa billah. Inilah orang yang paling ideal, rajin beribadah dan rajin isti'anah -memohon pertolongan Allah. Nabi saw pun ada bersabda,"Mintalah pertolongan Allah hatta ketika tali-kasutmu terputus". Hadith itu memberi maksud bahawa tanpa bantuan Allah, tanpa pertolongan Allah, kita ini sangat-sangat lemah. Jangankan untuk melakukan ibadah yang besar-besar, untuk melakukan ibadah yang kecil-kecil pun kita tidak mampu tanpa pertolongan Allah. Oleh sebab itu, orang yang rajin isti'anah-memohon kepada Allah, adalah orang yang sedar betul dirinya tiada daya upaya, tiada kekuatan melainkan semata-mata kerana pertolongan Allah.

3.0] Ada orang yang tidak rajin dan tidak mahu beribadah dan juga tidak mahu isti'anah- tidak mahu meminta pertolongan Allah. Dia merasa dirinya mampu menjalani hidup ini tanpa memohon bantuan dan pertolongan Allah. Orang ini adalah orang yang paling jahat.

4.0] Ada orang yang rajin beribadah tetapi tidak mahu isti'anah- tidak mahu memohon bantuan dan pertolongan Allah. Orang ini adalah orang yang sombong. Bahkan doa itu adalah ibadah, isti'anah itu ibadah. Orang ini tidak mahu isti'anah dengan alasan Tuhan itu Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh hambaNya. "Kenapa kita perlu minta itu dan minta ini? Macamlah tidak percaya akan kuasa Allah. Seperti tidak yakin dan tidak percaya bahawa Allah mengetahui keperluan hambaNya. Tidak payah meminta pun Allah sudah tahu!". Pemikiran jenis yang ketiga ini adalah salah dan keliru.

5.0] Ada pula orang yang tidak mahu beribadah tetapi doanya panjang berjela-jela. Tidak ada satu pun perintah agama yang dilakukannnya, tiada satu pun larangan agama yang ditinggalkannya tetapi berdoa panjang berjela. Ini pun orang yang tidak berguna.

6.0] Lantaran itu kata Ibnu Qayyim, orang mukmin sejati ialah orang yang rajin beribadah kerana itu memang tujuannya dia diciptakan dan tidak berputus-asa memohon pertolongan Allah, rajin berdoa dalam segala hal dan amalan yang dilakukannya. Berdoa ketika hendak makan, ketika hendak masuk ke bilik air, dan sebelum melakukan segala perbuatan. Tidak ada agama samawi yang Allah turunkan, lebih-lebih lagi agama budaya yang paling banyak menyuruh pemeluknya supaya rajin berdoa  dalam setiap amalan yang dibuat, daripada agama Islam ini. Daripada hadith Nabi saw, "Mana-mana perbuatan atau amalan yang ada manafaat bagi pelakunya, dan tidak dimulakan dengan Bismillah, tanpa mengucapkan Basmalah, keberkatan amalan tersebut terputus". Ba' dalam kalimah Basmalah itu ialah ba' isti'anah- memohon pertolongan Allah. Doa itu ibadah, ibadah itu inabah, inabah itu kembali kepada Allah dan makanya ibadah itu kembali kepada Allah seperti disebut di dalam surah Az-Zumar ayat 54;

Allah perintahkan hambaNya supaya balik kepadaNya sekarang dengan sukarela, sebab kalau tidak kembali kepadaNya secara sukarela, Allah akan paksa kembali kepadaNya (ruju' idhtiroori) iaitu ketika mati. Suka atau tidak suka, sedia atau tidak sedia, takut atau berani, bila tiba masanya, pasti akan hadapi, iaitu mati. Oleh itu sebelum kita dipanggil kembali oleh Allah, berlatihlah kembali kepadaNya semasa masih hidup ini lagi. Kembali kepada Allah secara sukarela penuh dengan kesedaran atas pilihan sendiri dengan ketaatan ibadah, kerana ibadah itu inabah- kembali kepada Allah dan isti'anah - memohon bantuan Allah itu tawakkal. Mohon pertolongan Allah selepas berikhtiar, lalu kita serahkan keputusannya kepada Allah Yang Maha Mengetahui apa yang baik dan apa yang tidak baik bagi kita. Sebab itulah Ibnu Qayyim berkata bahawa tawakkal itu separuh daripada agama.

7.0] Kata Ibnu Taimiyyah pula iaitu guru kepada Ibnu Qayyim, "Tawakkal kepada Allah itu satu kewajipan daripada kewajipan atau adalah sebesar-besar kewajipan hamba kepada Tuhannya atau sebahagian daripada kewajipan hamba kepada Tuhannya. Sepertimana ikhlash dan cinta kepada Allah dan Rasul itu wajib dan Allah telah perintahkan hambaNya untuk bertawakkal di dalam Al-Quran tidak hanya dalam satu ayat tetapi dalam banyak ayat dalam banyak surah. Perintah bertawakkal di dalam Al-Quran adalah lebih besar daripada perintah wudhu dan mandi walaupun perintah wudhu itu wajib dan penting tetapi perintah tawakkal itu adalah lebih penting. Ayat tentang wudhu hanya terdapat 2 kali sahaja di dalam Al-Quran berbanding tentang perintah tawakkal yang sangat banyak. Oleh sebab itu tawakkal bukan perkara remeh-temeh bahkan dikatakan sebagai mishuddin. Separuh agama itu ialah ibadah dan inabah yang terangkum dalam ayat اِيَّاكَ نَعْبُدُ dan separuh lagi وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْن itu isti'anah. Ibadah itu inabah- kembali kepada Allah dan isti'anah itu tawakkal iaitu memohon pertolongan kepada Allah, menyerahkan tafwidul amr  ilallahi taala. Menyerahkan segala urusan kepada Allah kerana yakin akan kesempurnaan pentadbiran Allah keatas kita selepas melakukan asbab iaitu ikhtiar.

8.0] Tawakkal dan mengambil asbab  atau melakukan ikhtiar-اَلتَّوَكُّلْ وَالاَخْذَ بِالاَسْبَاب -

Contoh Maryam, Allah suruh dia mencari asbab dahulu sebelum dia mendapat tamar untuk dimakan. Macam-mana caranya? Dia disuruh gegarkan batang tamar itu. Bila Allah suruh, buatlah, bergegar atau tidak itu bukan urusan kita hambanya. Urusan kita hambaNya ialah buat apabila diperintahkan oleh Allah. Jangan ditanya tentang hasilnya, Allah yang berhaq menentukan. Sekarang di antara tawakkal dan akhzul asbab - mengambil asbab atau melakukan ikhtiar, ada 3 perkara penting berkaitannya;

Tawakkal dan melakukan ikhtiar - اَلتَّوَكُّلْ وَالاَخْذَ بِالاَسْبَاب
i)  اَلتَّوَكُّلُ لَايُنَافِي اَخْذَالْاَسْبَابِ - Bertawakkal itu tidak menafikan, tidak menidakkan dan tidak meniadakan mengambil asbab atau melakukan ikhtiar. Contohnya; Apabila kita lapar, kita ingin kenyang, jadi ikhtiarnya ialah makan. Apabila kita sakit, kita ingin sembuh, maka ikhtiarnya ialah berubat. Apabila kita tidak tahu, kita ingin tahu, maka ikhtiarnya- asbabnya ialah belajar. Tawakkal tidak menafikan untuk mencari asbab dan ikhtiar. Nabi saw pun pernah mengingatkan sahabatnya tentang ini dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam At-Turmizi dalam sunannya daripada Anas bin Malik r.anhu, dia berkata, ada seorang sahabat berjumpa Nabi saw dan bertanya,"Ya Rasulullah, aku ada seekor unta, apa yang perlu aku buat? Ikat dan bertawakkal atau lepaskan dan bertawakkal?". Kata Nabi saw "Ikat dahulu unta kamu, tambat kuat dengan tali yang tidak rapuh dan  tambat ditempat yang teguh kemudian barulah bertawakkal kepada Allah". Mengikat kuat-kuat itu dipanggil akhzul asbab - mengambil asbab atau melakukan ikhtiar. Contoh lain, bagi ahli yang menghadiri kuliah agama di masjid ini, "Apa yang perlu dibuat terhadap kereta masing-masing?" Akhzul-asbab iaitu mengambil asbab, melakukan ikhtiar untuk menutup pintu kereta kemudian kuncikan barulah tinggalkan dengan bertawakkal kepada Allah. Janganlah dibiarkan kereta terbuka, enjin masih hidup, dengan barang-barang kemas yang banyak didalamnya lalu ditinggalkan begitu sahaja dengan alasan bertawakkal kepada Allah kerana datang ke kelas agama yang diberkati Allah dan dilindungi para malaikat. Adakah benar begitu? Tidak boleh, itu adalah sangat salah dan keliru.
Ada seorang Yaman bernazar untuk pergi mengerjakan ibadat haji. Nazar adalah wajib ditunaikan. Beliau berjalan kaki tanpa berkenderaan dan tidak membawa apa-apa bekalan. Nabi saw yang mengetahui tentang itu telah menyuruh orang memberitahu orang Yaman itu supaya menunaikan nazarnya tetapi dengan menyediakan bekalan dan berkenderaan kemudian barulah bertawakkal. Jangan berfikiran bahawa Allah pasti akan menolong kerana dia ingin mengerjakan haji. Tawakkal itu akhzul asbab, kalau tidak ada akhzul asbab kemudian tawakkal, tidak boleh kecuali tawakkal idhtiroori iaitu seperti ketika kita terperangkap di dalam peti besi yang tiada lagi ikhitiar kecuali berdoa kepada Allah sahaja.

ii)  اِتِّخَاذُالْاَسْبَابِ وَاِنْ كَانَتْ ضَعِيْفَة - Mencari asbab atau melakukan ikhtiar, walaupun ikhtiarnya kecil, lemah, yang remah, yang seolah-olah tidak dapat memberi kesan langsung. Sepertimana yang telah berlaku kepada Maryam yang baru melahirkan anak, dalam keadaan sangat lemah, namun diperintahkan supaya menggoncangkan batang pohon tamar yang besar, walaupun mungkin tiada kesannya, namun wajib patuh kepada suruhan Allah, melakukan ikhtiar, tidak boleh ditinggalkan selagi ada peluang, walaupun peluang itu sangat kecil, walaupun diri sangat lemah. Contoh seterusnya ialah tentang Nabi Ayyub as. Allah boleh saja sembuhkan Nabi Ayyub dalam sekelip mata jika Allah Kehendaki dengan Kun fa ya kun, tetapi Allah telah mengajar Nabi Ayyub as dan kepada kita semua supaya melakukan ikhtiar selagi boleh. Nabi Ayyub as walaupun dalam keadaan sakit masih boleh gerak-gerakkan kakinya, maka Nabi Ayyub as disuruh Allah supaya hentakkan kakinya kebumi. Seorang yang telah sakit lama, umurnya pun tidak muda, agaknya hentakan kakinya sekuat mana? Tentulah tidak kuat dan sangat lemah. "Kenapa Allah tidak terus memberi air kepada Nabi Ayyub as kerana ternyata dirinya lemah dan Allah berkuasa?" Jawapannya ialah kerana Allah ingin mengajar Nabi Ayyub as dan kita semua supaya berusaha berikhtiar walaupun sangat lemah mengikut kemampuan diri. Allah tidak suruh Nabi Ayyub as menggunakan cangkul yang diluar keupayaannya, cuma dia disuruh untuk menghentak-hentakkan kakinya ke bumi, setakat itu sahaja, dan selebihnya Allah yang meneruskannya kerana dia yang menyuruhnya. Lalu terpancarlah air keluar dari bumi, yang diarahkan oleh Allah supaya digunakan untuk mandi, membersihkan diri sebagai rawatan luaran dan untuk diminum sebagai rawatan dalaman. Masalahnya, "Tidak berkuasakah Allah untuk menyembuhkan Nabi Ayyub as daripada penyakitnya tanpa menyuruhnya terlebih dahulu untuk menghentak-hentakkan kakinya yang tidak berapa kuat itu?". Allah berkuasa, Allah Maha Berkuasa, tetapi ini bukan cerita tentang Allah berkuasa atau tidak. Ini adalah kerana Allah hendak mengajar kita semua supaya berikhtiar dan kemudian bertawakkal. Jangan mudah meninggalkan ikhtiar dengan alasan bertawakkal, itu sangat salah dan perlu dijauhi.

iii) اَنْ لَا يَعْتَمِدَ عَلَى الْاَسْبَابَ - Sesungguhnya janganlah bersandar kepada asbab. Walaupun ikhtiar itu disuruh oleh Allah, bahkan itu syarat tawakkal, tetapi yang sangat penting ialah "Janganlah seseorang yang berikhtiar tadi itu menyandarkan diri atau harapan atas asbab (sebab-sebab) atau usaha yang dibuat, tetapi mestilah menyandarkan harapan kepada yang menyuruh kita melakukan asbab yakni Allah SWT". Contohnya apabila kita sakit, Allah menyuruh kita akhzul-asbab- mencari asbab, berikhtiar iaitu berubat, tetapi kita jangan sekali-kali menyandarkan harapan sembuh kita itu kepada usaha kita berubat, jangan menyandarkan harapan kepada ubat yang diambil, jangan menyandarkan harapan kepada doktor yang merawat. Itu tidak boleh kerana menjadi syirik asbab. Syirik asbab ialah apabila seseorang memutlakkan kepada asbab, mempercayai bahawa asbab-asbab ini yang memberi kesan, walhal hakikatnya 100% perkara berlaku atau tidak adalah atas Kehendak Allah yang menyuruh kita melakukan asbab tadi. Kita hendaklah menyandarkan sepenuh harapan kepada Yang Menyuruh kita berubat iaitu Allah kerana Dia Penentunya dan itulah tawakkal. Tawakkal ialah menyerahkan segala urusan kepada Allah sehingga sandaran kita, harapan kita sepenuhnya kepada Allah. Sehebat manapun ikhtiar kita, sesempurna manapun usaha kita, tidak ada yang silap pun, tetapi jika Allah yang menyuruh kita yang ikhtiar tadi tidak menghendakinya, segalanya akan jadi kosong juga. Contohnya untuk dapatkan nilai 10, kita boleh buat langkah kerja yang banyak, mungkin 5+5=10, atau 7+3=10 atau 15-5=10 dan sebagainya, tetapi ingat bahawa Allah hanya menyuruh kita membuat langkah kerja tetapi kita tidak diberi kuasa untuk menentukan hasilnya. Selepas kita membuat langkah kerja sebanyak-banyaknya, dan akhzul-asbab, berikhtiar, hasilnya serahkan kepada Allah yang menentukannya. Menyerahkan hasil kepada Allah itu dinamakan tawakkal. Walaupun semua betul tetapi yang berhak, yang ada kuasa menentukan untuk memberi nilai 10 bukan kita tetapi Allah. Kita hanya disuruh berikhtiar, boleh jadi selepas kita serahkan hasilnya kepada Allah, Allah dengan segala KebijaksanaanNya dan segala KeadilanNya, Allah yang mengetahui mana baik mana buruk kepada hambaNya, kerana telah bertawakkal, Allah akan pilih yang terbaik untuk hamba Nya itu. Apabila Allah memberi yang terbaik untuk kita dan ianya ialah 0 sedangkan kita inginkan 10, bagaimana penerimaan kita? Sedangkan kita telah berusaha, langkah kerja kita semuanya betul, tetapi hasilnya lain dari yang kita inginkan. Kita terima atau kecewa atau bercampur bengkak? Kalau kita kecewa, tawakkal kita jadi 0 kerana kita belum yakin kepada pentadbiran Allah. Orang tawakkal itu menyerahkan segalanya kepada Allah. Apabila Allah memberi selain dari yang kita minta, kemudian kita tidak berpuas-hati, maknanya kita tidak bertawakkal. Kita sedang berupaya memaksa Allah memenuhi kehendak kita. Jangan paksa Allah memberi segala apa yang kita kehendaki dan itulah tawakkal. Tawakkal itu isti'anah iaitu minta pertolongan maknanya kita sedang menzahirkan kelemahan diri kita kerana  kita tiada daya upaya kecuali daya upaya Allah. jadi senyum sahajalah jika kita mendapat yang kita tidak minta. Jangan pula nanti kita berkata, "Ya Allah, Engkau menyuruhku berikhtiar dan hambaMu ini telah berikhtiar dengan bermacam-macam ikhtiar yang semuanya betul belaka sesuai dengan qodho takwiniMu untuk dapatkan nilai 10 tetapi kenapa Engkau berikan nilai 0 kepadaku?", atau selepas kita bertawakkal kita bersyarat pula, "Ya Allah, Aku telah melakukan segalanya dengan terbaik, segala usaha dan ikhtiar telah aku lakukan dan telah menyerahkan kepadaMu, walau bagaimanapun tidak ada alasan bagiMu untuk tidak memberikan kepadaku 10". Itu tidak tawakkal, itu memaksa Allah, maka tawakkalnya 0. Sebab itu orang tawakkal hanya mampu berharap. Apabila kita sudah bertawakkal, jangan lagi meletakkan mesti begini mesti begitu, kerana jika Allah memberi tidak seperti yang kita harapkan hati kita kecewa dan bengkak. Yakinlah yang Allah telah memberi yang terbaik saat itu walaupun tidak seperti yang kita kehendaki. Itulah yang terbaik, Allah Maha Mengetahui. Jangan kita fikir kita lebih tahu daripada Allah tentang diri kita.

9.0] Rujuk surah At-Takwir ayat 29;

 

Salah satu daripada tafsirannya ialah ,"Dan tidaklah kamu berkehendak kecuali Allah juga berkehendak". Kita ada keinginan, Allah juga ada kehendak. Makna ayat ini sangat luas dan punyai banyak tafsiran, salah satu daripadanya ialah tentang tawakkal. Kita ada masyiah- kehendak, Allah pun ada masyiah, agak-agaknya masyiah Allah atau masyiah kita yang akan berlaku? Tentunya masyiah Allah, sebab itu apabila kita berusaha dan berikhtiar, serahkan kepada Allah, biarkan Allah yang berikan hasilnya. Oleh itu jika yang berlaku itu, itu adalah yang terbaik. Biar Allah yang memilihkannya. Kehendak kita tidak boleh mengalahkan kehendak Allah. Tidak mungkin.

10.0]     اَنَا اُرِيْد وَاَنْتَ تُرِيْدُ - وَلَا يَكُوْنُ اِلّا مَااُرِيْد - اِنْ لَمْ تَسْلِم لِمَا اُرِيْدُ - اَتْعَبْتُكَ لِمَا تُرِيدُ - وَلَا يَكُونُ اِلَّا مَا اُرِيْدُ
Ayat-ayat yang berkaitan dengan tawakkal, yang mudah untuk dihafal tetapi yang lebih penting lagi ialah difahami dan diyakini. Apabila kita faham dan yakini, hidup kita jadi tenang. Walaupun langkah kerja kita betul 100% dan bukan hanya satu ikhtiar yang kita lakukan, semuanya dari segi sunnatullah boleh menghasilkan nilai seperti yang kita harapkan tetapi tiba-tiba nilai itu 0, itu memang kehendak Allah, itu memang pilihan Allah. Tetapi seorang hamba Allah yang tidak berikhtiar lagi, yang sudah berhenti berusaha tetapi Allah berikan dia mendapat apa yang dia harap-harapkan ialah Nabi Zakaria as. Nabi Zakaria yang sudah lanjut usia dan isterinya pula mandul dan juga tidak muda lagi. Maka apa ikhtiar yang boleh dilakukan oleh pasangan itu? Semenjak mudanya, ketika baru berkahwin lagi inginkan anak, tentunya telah melakukan berbagai usaha dan ikhtiar, namun Allah tidak izinkan untuk mendapatkannya lagi. Ketika Nabi Zakaria melihat makanan di bilik Maryam yang dianugerahkan oleh Allah tanpa Maryam mencari, Nabi Zakaria as merasa kagum dengan kuasa Allah, maa syaa Allah, rupanya jika Allah menghendaki, tiada masalah, segala sesuatu boleh terjadi. Semua bergantung samada Allah berkehendak ataupun tidak. Nabi Zakaria as lantas berdoa mohon Allah kurniakan anak. Kalau dahulu segala ikhtiar sudah dilakukan, tetapi sekarang dari segi sunnatullah memang tidak mungkin dapat berlaku, kerana sudah tersangat tua dan mandul pula, tetapi Nabi Zakaria as terus berdoa kepada Allah dan kerana Allah Kehendaki, pasangan itu pun dikurniakan anak. Mungkin segala ikhtiar pasangan itu dahulu telah pun dilakukan dengan betul belaka, menepati sunnatullah, menepati syariatullah, tetapi hasilnya kosong kerana Allah belum menghendaki berlaku pada masa dahulu itu.

11.0] Satu daripada tafsir ayat di atas juga ialah;
"Aku berkehendak dan engkau pun berkehendak, sedangkan tidak akan terjadi melainkan apa yang Aku kehendaki. Jika kamu tidak berserah diri (dengan segala ikhtiar kamu) kepada apa yang Aku kehendaki, Aku akan jadikan kamu letih. Sedangkan tidak akan berlaku apa yang tidak Aku kehendaki".
Apabila telah fahami maksud ayat diatas, kemudian yakini dengan sepenuh-hati, hati akan menjadi lapang. Di sinilah sifat kehambaan kita, disinilah kedhoifan diri kita. Kita benar-benar sedar betapa lemahnya kita, tidak berdayanya kita dalam hidup ini tanpa pertolongan Allah. Lahawlawala quwwata illa billah. Kita benar-benar sedar betapa hina, tidak berdayanya kita dan kita adalah betul-betul hamba kepada Pencipta kita. Pasti hati akan menjadi tenang. Oleh itu berpeganglah dengan kalimah Lahawlawala quwwata illa billah,  jangan masih merasa diri kita ada kuasa, jangan merasa ada kebolehan, bersandar segalanya hanya kepada Allah dan hati akan menjadi tenang. Orang yang tidak yakin akan gelisah, akan bingung, stress, tidurnya asyik terjaga dan jaganya tidak boleh tidur kembali. Kita kena meletakkan diri kita, posisi kita dihadapan Allah. Rupa-rupanya kita sebagai hambaNya yang 'ubudiah, lemah selemahnya dan tugas kita adalah menyerah diri setelah melakukan asbab, setelah berikhtiar dan hasilnya bukan urusan kita sebaliknya serahkan sahaja kepada Tuhan Yang Maha Bijaksana untuk mewarnainya. Jika sekiranya Dia Yang Maha Bijaksana memberikan hasil berbeza dengan keinginan kita, tidak seperti yang kita inginkan, apa boleh kita buat? Senyum sahajalah. Kenapa senyum? Kerana Dia sayang kepada kita, dan Dia memilih  apa yang terbaik buat kita. Andai kita tidak berpuas-hati dengan pilihanNya, Allah beri amaran, "Aku akan jadikan kamu penat, letih dalam hidup untuk memenuhi apa yang kamu kehendaki walhal tidak akan berlaku apa yang kamu kehendaki kecuali yang Allah kehendaki". Kita kena yakini hakikat ini. Siapa pun kita, orang kecil atau besar, orang kampung atau bandar, ma'mum atau imam, apabila kita faham dan yakin hakikat kehidupan ini, hidup akan tenang, senyum kita di hadapan Allah. Apa maksud senyum itu? Maksudnya apabila susah dapat bersabar, apabila senang bersyukur. Orang yang senyum memanjang menandakan orang itu tiada masalah, tetapi lain pula ditafsirkan oleh orang yang melihatnya.

12.0] Surah Al-Ankabut ayat 60;

Kalimah daabbah di dalam ayat diatas adalah bermaksud sekelian makhluk Allah yang melata, yang bergerak di bumi kerana mencari rezkinya. Makhluk Allah yang tidak mampu menanggung, memikul, atau membawa rezkinya, apa lagi menyimpan atau mengumpulkannya. Allah-lah yang memberi rezki kepada sekelian daabbah itu dan juga kepada kita manusia. Oleh itu adalah lebih baik jika kalimah daabbah itu tidak diterjemahkan sebagai binatang sahaja tetapi sebagai makhluk Allah yang termasuk kita manusia. Rujuk 2 ayat yang senada dengan ayat ini yang berkaitan antara satu dengan yang lainnya iaitu surah Hud ayat 6, surah An-Nur ayat 45

Allah yang menjamin rezki sekelian daabbah-makhlukNya. Allah Mengetahui segala sesuatu dan semua itu terdapat di dalam kitab yang sudah termaktub. siapa pula yang dimaksudkan dengan daabbah? Rujuk surah An-Nur ayat 45;

Apa dan siapa yang Allah maksudkan dengan daabbah itu? Daripada ayat diatas, Allah telah menciptakan semua jenis daabbah dan semuanya dicipta daripada air. [ Nota; Di dalam buku tentang unsur alam semesta, unsur yang tertua ialah Hidrogen. Kemudian yang keduanya ialah Helium .Keadaan selepas berlakunya The Big Bang]. Allah menyatakan bahawa segala sesuatu bermula dari air dan ternyata semakin jelas kini dengan kajian berterusan dari dahulu sehingga sekarang. Kita disarankan supaya banyak membaca hasil kajian yang telah dibuat oleh para pengkaji kerana kita tidak mampu mencarinya sendiri. Oleh itu manafaatkan masa untuk membaca kajian ilmiah yang berfaedah agar kita dapat mengkagumi alam ciptaan Allah. Jangan hanya menghabiskan masa dengan membaca dan mengumpulkan resepi masakan tetapi makanan keluarga masih dibeli juga.

13.0] Daabbah itu ada yang bergerak atas perutnya, contohnya buaya, biawak, ular dan sebagainya. Evolusi hidupan berterusan terjadi tetapi tidaklah seperti teori evolusi Darwin yang ternyata silap. Daabbah juga ada yang berjalan atas 2 kaki seperti ayam , burung, itik, juga manusia dan lainnya. Lalu apa yang kita hendak banggakan? Fizikal kita yang asalnya dari air yang sama dengan bahan yang Allah gunakan untuk menciptakan beruk, badak, dan lain-lain. Lantaran itu kita tidak patut sekali untuk membanggakan fizikal kita kerana ianya berdosa. Semua kita adalah daripada Adam dan Adam adalah daripada tanah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab atau bangsa selain Arab melainkan taqwanya.

14.0] Merasa bangga diri adalah berdosa dan tidak boleh begitulah juga dengan merasa rendah diri, merasa tidak sempurna seperti orang lain, juga adalah tidak boleh ada pada seorang hamba, ianya berdosa. Janganlah dengan adanya satu jerawat batu pun sudah merasa rendah diri, apa lagi jika pada malam yang ada function, tambahan pula jika ada cameraman yang asyik menyibuk mencari berita panas untuk disebarkan, sehingga keluarlah ungkapan seperti, "Rupa-rupanya sudah ada garis-garis pada wajahnya!". Hidup dalam keadaan menyibuk tidak bertempat, akhirnya kita tidak ada masa untuk menjadi muslim yang baik kerana membesar-besarkan perkara kecil dan perkara-perkara besar diremeh-temehkan. Cara berfikir dan sudut pandang seorang muslim tidak boleh sama dengan orang yang bukan muslim.

15.0] Ada daabbah yang berjalan di atas 4 kaki seperti lembu, singa, komodo dan sebagainya. Semuanya pun diciptakan daripada air, bergerak untuk mencari rezki di bumi yang Allah telah tetapkan. Maa syaa Allah- Kehendak Allah. Semuanya dipanggil daabbah.

16.0] Daripada Dr. Yusuf Al-Qordhowi, makhluk terbahagi kepada;

i) اَثِيْمٌ  - Athim - iaitu orang yang berdosa, orang yang melanggar perintah Allah, dipanggil juga sebagai mujrim.

ii) دَابَّةٌ  - Daabbah -  iaitu makhluk yang bergerak di muka bumi kerana hendak mencari habuan dan rezki yang Allah telah tetapkan kepadanya. Keadaannya boleh jadi bergerak dengan perut iaitu tanpa kaki tangan, atau bergerak dengan 2 kaki atau bergerak dengan 4 kaki. Contohnya burung yang terbang dari Pelabuhan Klang ke Pekan Pahang, jauh terbangnya untuk mencari makan dan ia dipanggil daabbah. Ada harimau yang mengejar rusa, ia juga daabbah. Ular yang bergerak mencari katak, juga daabbah, manakala di jalan-raya kenderaan bergerak bertali-arus, dipandu oleh manusia yang juga adalah daabbah. Manusia yang pergi ke kebun, pergi ke kedai, pergi ke pejabat, yang memandu teksi, yang bawa kapal-terbang, yang banyak hasilannya atau yang tiada hasilannya. Kita semua adalah daabbah, kita semua adalah sama. Cuma kita yang membeza-bezakan status kita, padahal jika ditanya Al-Quran, Allah gelar kita semua sebagai daabbah. Kita adalah sama dengan ular yang mengejar tikus, sama dengan nyamuk yang terbang yang menghisap darah, yang dipanggil daabbah, kalaulah kita sebagai pencari rezki sahaja.

iii) اَجِيْرٌ - Ajiir - iaitu orang yang beramal, beribadah, membuat segala yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang tetapi dengan mengharapkan sesuatu balasan daripada Allah. Mungkin supaya Allah redho, supaya mendapat pahala, mendapat ampunan, dapat masuk syurga, selamat daripada bala' dan sebagainya. Orang yang seperti ini dipanggil oleh Allah sebagai pekerja atau buruh iaitu meminta balasan dan mengharapkan imbuhan apabila beramal. Kita dibolehkan malah disuruh untuk meminta balasan hanya kepada Allah apabila kita beramal.

iv) اُوْلُوالْعِلْمِ - ulul 'ilmi - iaitu orang yang berilmu, cendikiawan, orang yang mengenali Allah dengan sebenarnya, yang mengEsakan Allah dan tergolong di dalam kumpulan orang yang paling tinggi darjatnya. Siapa orang yang Allah gelar sebagai ulul 'ilmi ini? Rujuk surah Aa-Li Imran ayat 18;

Allah bersyahadah dan menyatakan bahawa yang menyaksikan keEsaan Allah, yang pertama ialah Allah sendiri, kemudian yang kedua disebut sebagai yang menyaksikan keEsaan Allah ialah para malaikat dan  yang ketiga yang menyaksikan keEsaan Allah ialah ulul 'ilmi - iaitu orang yang berilmu.

17.0] Oleh itu kalaulah kita manusia ini hanya hidup sebagai pencari rezki semata-mata maka kita adalah sama dengan semua makhluk Allah yang lain, sama dengan sekelian haiwan yang bergerak dimuka bumi kerana mencari rezki, seperti katak, tikus dan sebagainya yang dipanggil daabbah, walaupun penampilan berbeza. Makhluk Allah yang tidak bergerak seperti pokok pisang , pokok durian dan sebagainya tidak termasuk daabbah.

18.0] Tafsir Ibnu Kathir yang agak panjang, menyampaikan riwayat daripada Ibnu Umar (Abdullah Ibnu Umar), hadith ghorib iaitu hadith yang agak aneh dan pelik, menceritakan, "Suatu hari kami berjalan bersama Nabi saw, kami berjumpa tamar yang tercicir lalu Nabi saw mengambil dan memakannya manakala Ibnu Umar tidak memakannya. Nabi saw bertanya, " Kenapa?" Ibnu Umar menjawab, "Aku tidak berselera!" Mungkin Ibnu Umar tidak suka kerana itu tamar yang dijumpai. Nabi saw berkata lagi, "Tetapi aku suka". Soalannya "Pernahkah kita berbuat begitu? Ittiba' birrasul, adakah kita telah ikuti cara Nabi saw? Kita belum ada keikhlasan untuk menurut segala perbuatan Nabi saw, walhal agama itu adalah cara hidup"

Nabi saw tahu Ibnu Umar merasa pelik, lalu Nabi saw berkata lagi, "Wahai Umar, kamu tahu atau tidak, sebetulnya jika aku mahu, aku boleh berdoa kepada Tuhanku memohon rezki dan harta sepertimanaقَيْصَرْ - penguasa Rom dan كِسْرَى - penguasa Parsi. Lalu kenapa kamu tidak mahu memakannya? Aku makan bukan kerana aku miskin dan bukan sebab aku tidak pernah makan". Sabda Nabi saw lagi, "Ibnu Umar, sesungguhnya Allah tidak menyuruh aku untuk menimbun-nimbunkan kekayaan dan tidak menyuruh aku untuk menurut hawa nafsu. Maka sesiapa yang menimbunkan harta dunianya untuk dapatkan diakhirat, Allah akan bagi". "Wahai Ibnu Umar, sesungguhnya aku tidak pernah punyai simpanan walau satu dinar dan tidak menyimpan rezki untuk hari esok". Apa maksudnya ? Kata Saidatina Aisyah r.anha, "Nabi saw adalah seorang dermawan, apa lagi ketika masuk bulan Romadhon, sifat dermawan Nabi saw umpama hembusan angin. Maknanya Nabi saw punyai harta yang banyak tetapi cara hidup Nabi saw sehari-hari seperti orang miskin. Katakan Nabi saw ada 10 harta, dia akan mengambil 3 sahaja daripadanya dan mengeluarkan 7 untuk derma sedekahnya. Nabi saw tidak pernah bayar zakat sebab tidak ada yang perlu dizakatkan. Nabi saw seperti daabbah lain, contohnya lembu yang dilepaskan ke padang ragut, makan sehingga kenyang, tidak fikirkan untuk membawa balik rezki untuk hari besok. Kecuali manusia yang punya sifat ittiba'ussyahawat- mengikut hawa nafsu yang banyak. Tikus dan semut juga termasuk jenis yang tamak terhadap rezki. Tupai pula bersifat jahat, ditebuk sedikit sahaja sebiji kelapa, tidak dimakan sampai habis lalu ditinggalkan. Tidak ada yang membawa balik rezki untuk hari besok kecuali manusia, sebab itulah manusia hadapi banyak peraturan.  Daabbah yang sapu semua kiri kanan depan belakang, padahal ada hadnya adalah sangat zalim. Harimau itu ganas, akan mengejar rusa ketika ia lapar, tetapi ketika ianya sudah kenyang, ada rusa di hadapannya pun tidak dihiraukannya kerana ada had, tidak mampu lagi. Sebab itu di dalam Al-Quran  ada peraturan Allah tentang mencari rezki, dari mana rezki itu didapati, untuk apa rezki itu dibelanjakan, semuanya ditujukan untuk manusia kerana daabbah yang satu ini jika tidak diberi peraturan, tidak diberi had, akan sapu semuanya. [Nota;Sindiran sinis: Sebab dia berpegang kepada hadith Nabi saw, "Kebersihan itu sebahagian daripada iman - maka disapunya kanan kiri depan belakangnya]. "Tidak boleh begitu!". Sebab itu bagi kita manusia, ada had, ada peraturan, dan kita tidak bebas ketika mencari rezki dan tidak bebas untuk membelanjakannya.  Semua akan ditanya dihadapan Allah. Semoga bermanafaat dan diberkati Allah. Allahumma aamiin.