Tuesday, February 7, 2017

Surah Al-Ankabut (ayat 59) - Kuliah 59 - 2 JenisTawakkal - Tawakkal idhtiroori, Tawakkal ikhtiari, Istidraj.

1.0] Sambungan penjelasan bagi surah Al-Ankabut ayat 59, As-Sobru Wa Tawakkul. As-Sobru (sabar) telah dijelaskan sebelumnya, sekarang penjelasan tentang At-Tawakkul (tawakkal).

اَلتَّوَكُّل - لغة - اَلاِعْتِمَادُعَلَى الْغَيْرِ
i) At-Tawakkul dalam Bahasa Melayu ialah tawakkal. Tawakkal dalam segi bahasa ialah bermaksud menyandarkan harapan kepada yang lain.  

 اِصْطِلَاحًا - صِدْقُ اِعْتِمَادِالْقَلْبِ عَلَى اَللهِ تََعَالَى فِى اسْتِجْلَابِ الْمَصَالِحِ وَدَفْعِ الْمُضَارِّ مِنْ اُمُورِ الدُّنْيَا وَالأَخِرَة
ii) Tawakkal dari segi makna istilah, takrifnya ialah kejujuran hati yang ikhlash di dalam menyandarkan harapan diri kepada Allah untuk menarik kemaslahatan memperolehi kebaikan dan kejayaan dan menolak kemudhoratan, kesusahan, bencana dan musibah daripada perkara-perkara dunia dan akhirat.
Ini definasi yang diberikan oleh Imam Ibnu Rojab dalam kitab Al-Ulum Wal Ihkam.

2.0] Apabila hati sudah bulat, tekad, jujur, ikhlash dan berserah kepada Allah SWT semata-mata ketika seseorang itu menginginkan kebaikan bagi dirinya dan untuk menolak kemudhoratan bagi dirinya dunia dan akhirat, maka itulah tawakkal. Kata Ibnu Jauzi pula;

i) تَفْوِيْضُ الأَمْرِاِلَى اَلله ثِقَّةَ بِحُسْنِ تَدْبِيْرَة
Tawakkul ialah menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT, samada urusan duniawi atau ukhrawi, inginkan kebaikan atau ingin menolak keburukan, kerana yakin dan percaya akan kebaikan pengurusan tadbir Allah SWT. Seseorang yang yakin bahawa apa yang dia usahakan dan uruskan untuk dirinya adalah baik tetapi dia lebih yakin bahawa Allah mentadbir dirinya dengan lebih baik dan lebih sempurna lalu dia menyerahkan urusan itu hanya kepada Allah SWT. Kemudian dia bersedia menerima keputusan daripada Allah itu dengan hati yang lapang, jujur dan ikhlash, Tawakkul ini kerja hati dan tidak nampak dipandang.

ii) Katanya lagi, "Jika aku berdoa memohon kepada Allah dan Allah qabulkan permohonanku, aku akan bersyukur dan jika aku berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh tetapi Allah tidak qabulkan doaku, aku bersyukur 10 kali ganda lagi". Soalannya,  "Kenapa begitu?" Jawabnya,"Kerana aku yakin bahawa pilihan Allah dan pentadbiran Allah adalah jauh lebih baik dan jauh lebih sempurna dari pilihan dan pentadbiranku keatas diriku. Maka hati akan jadi lapang". Jika dia telah berserah diri kepada Allah, kemudian Allah bagi keputusan yang berbeza dengan kemahuannya dan hatinya tidak jujur, tidak ikhlash dan tidak redho menerima apa yang Allah telah berikan itu maka sia-sialah tawakkalnya, terbatal tiada nilai.

3.0] Tawakkal tidak hanya menyerah segala urusan kepada Allah kerana yakin akan pentadbiran  dan pilihan Allah yang terbaik keatas dirinya tetapi mesti ditambah dengan sikap hati orang itu nanti apabila Allah beri keputusan berbeza dengan apa yang dia harapkan. Masa itu boleh dilihat samada dia menerimakah atau menolak, sukakah atau membantah, redhokah atau mengeluhkah? Jika mengeluh dan tidak dapat menerima maknanya dia hanya pura-pura bertawakkal dan nilainya adalah kosong. Allah berfirman, "Kamu kata kamu yakin bahawa pentadbiranKu dan pilihanKu adalah lebih baik dan sempurna tetapi kenapa kamu tidak puas hati dan tidak redho apabila Aku berikan kepada kamu?" Mungkin kita akan jawab, "Engkau berikan lain dari apa yang hambaMu ini minta". Soal Allah lagi,"Bukankah kamu percaya yang pentadbiranKu adalah lebih baik dari pentadbiranmu. Bukankah kamu telah yakin bahawa Aku lebih mengetahui masalah kamu daripada diri kamu sendiri?.

4.0] Dalam bertawakkal, mungkin menyerahkan segala urusan kepada Allah pada peringkat pertama adalah mudah tetapi bagaimana pula sikap kita seterusnya? Orang yang sudah tawakkal, jangan terlintas di dalam hati dan fikiran untuk menetapkan apa-apa yang kita ingini, sebab jika telah menetapkan keinginan kita, nanti jika Allah beri yang lain daripada apa yang kita minta, kita susah untuk menerima, susah untuk redho kerana kita sudah terlanjur menetapkan keinginan hati kita sendiri. Kalaulah kita rasa kita ada keinginan dan kita menetapkannya, lalu untuk apa kita tawakkal kepada Allah? Oleh itu syarat penting bagi orang tawakkal ialah adakah jujur, ikhlash dan redho selepas Allah beri keputusan. Masih lapangkah jiwanya atau sudah bertukar menjadi kecewa. Jika kecewa sahaja maka orang itu tawakkalnya pura-pura.

5.0] Kalau kita gabungkan 2 definasi tawakkal daripada Ibnu Rojab dan Ibnu Jauzi ini menjelaskan bahawa hati seseorang yang tawakkal akan lapang, menyerahkan segala urusan kepada Allah atas segala pentadbiran Allah yang telah diberikan kepada dirinya. yakin akan kebaikan dan kelebihan pentadbiran Allah atas dirinya untuk mendapatkan manafaat atau mengelak mudhorat dunia dan ukhrawi.

6.0] Orang yang tawakkal mesti bahagia kerana, bayangkanlah bukan main susahnya telah berusaha dan bermohon kepada Allah dan Allah qabulkan lalu dia bersyukur tetapi jika tidak diqabulkan Allah pun tetap bersyukur malahan berlipat 10 kali ganda kerana sangat yakin bahawa pilihan Allah itulah yang terbaik. Memang tidak mudah, sebab itulah janji ganjarannya adalah syurga. Tidak mudah untuk kita melawan perasaan hati sendiri, Perlawanan diri sendiri adalah perlawanan yang paling susah jauh lebih susah daripada melawan orang lain. Kalau diumpamakan adalah seperti bermain golf yang lebih susah yang melawan diri sendiri, tidak perlu ada kawan, kalau ada kawan pun hanya untuk lawan bercakap, berbanding dengan perlawanan badminton atau bolasepak yang melawan orang lain. Itulah makna tawakkal.

7.0] Tawakkal terbahagi kepada 2 iaitu;

اَلتَّوَكُّل - اِضْطِرَارِيٌّ - اِخْتِيَارِيٌّ

i) Jenis tawakkal yang pertama ialah tawakkal  idhtiroori اِضْطِرَارِيٌّ - Terjemahan harfiahnya ialah tawakkal yang terpaksa, iaitu dalam keadaan terpaksa ketika pintu-pintu ikhtiar atau sunnatullah telah tertutup. Maka saat itu seseorang itu hendaklah bertawakkal kepada Allah dan tidak perlu berikhtiar atau berusaha lagi kerana pintu-pintu ikhtiar sudah tertutup. Rujuk firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya ayat 68 dan 69;




Contoh tawakkal idhtiroori اِضْطِرَارِيٌّ ialah seperti yang dialami oleh Nabi Ibrahim Khalilullah ketika Raja Namruz menggunakan kuasanya dan kekerasannya mengarahkan tenteranya menangkap dan mencampakkan Nabi Ibrahim ke dalam unggun api yang marak membakar. Apa ikhtiar Nabi Ibrahim ketika itu? Lari? Tidak boleh. Lawan? Tidak mampu. Pakai baju kalis api? Tidak ada. Ikhtiar sudah tertutup dan Nabi Ibrahim telah dicampakkan ke dalam api. Nabi Ibrahim hanya berserah kepada Allah dan berkata. "  حَسْبُنَاللهُ وَنِعْمَالْوَكِيْلُ " - "Yang mencukupi kekurangan kami adalah Allah". (Surah Aa-Li Imran ayat 173). "Kami kurang, kami tidak mampu menyelamatkan diri kami daripada api, kecuali Allah dialah sebaik-baik wakil kami". Doa ini juga yang diucapkan oleh Nabi Muhammad saw ketika perang Uhud. Dari kalimah wakil inilah timbul tawakkal. Dia yang memelihara, Dia yang menjaga. Tawakkal Nabi Ibrahim as ketika hendak dicampakkan kedalam api dan setelah berada di dalam api itulah tawakkal idhtiroori kerana sudah tidak mampu lagi melakukan ikhtiar walaupun sedikit dan akhirnya Allah sendiri yang menyelamatkan Nabi Ibrahim as dengan kalimah seperti di dalam surah Al-Anbiya' ayat 69 di atas. Allah arahkan api menjadi sejuk dan inilah tawakkal idhtiroori Nabi Ibrahim as.

8.0] Apa pula usaha yang telah dibuat oleh Nabi Yunus as sebagai ikhtiarnya ketika di dalam perut ikan sehingga dia tidak mati di dalam perut ikan itu? Apa ikhtiar Nabi Yunus? Tidak ada lagi ikhtiarnya. Di dalam keadaan sedemikian Nabi Yunus hanya memohon ampunan dan berserah semata-mata kepada Allah SWT dan itulah sebagai tawakkal idhtiroorinya. Apabila telah berserah sepenuhnya kepada Allah maka yakinlah bahawa pentadbiran Allah adalah yang terbaik, husnu tadbirullah. Bagaimana untuk dapat melakukannya? Jawapannya ialah, "Apabila sudah tawakkal, menyerahkan segala urusan kepada Allah maka usah lagi bertanya bagaimana Allah akan  atau dapat menyelesaikan". Allah yang akan memilih untuk kita dan yakinlah bahawa Allah memilih yang terbaik untuk kita.

9.0] Jenis tawakkal yang kedua ialah tawakkal ikhtiyaari  اِخْتِيَارِيٌّ - Dimana kita wajib bertawakkal, tetapi wajib juga kita berikhtiar kerana pintu-pintu ikhtiar atau sunnatullah masih terbuka luas. Peluang dan ruang masih ada dan terbuka. Jika pintu ikhtiar masih ada walau sekecil mana pun ,jangan diabaikan, jangan ditinggalkan. Rujuk surah Al-Maidah ayat 23:




Dua orang lelaki yang diceritakan di dalam ayat diatas, dipercayai bernama Yusa' bin Nuh dan seorang lagi bernama Khalid, iaitu pembantu setia Nabi Musa as. Allah janjikan kemenangan dengan syarat bertawakkal dan berikhtiar. Walaupun jika ikhtiar itu seolah-olah tidak memberi kesan kepada jawapan atau kejayaan, tetapi apabila Allah menyuruh kita berikhtiar maka kita wajib berikhtiar, selebihnya serahlah kepada Allah untuk yang akan menguruskannya. Rujuk surah Maryam ayat 25;



Pengalaman Maryam yang luar biasa. Maryam seorang sahaja perempuan yang melahirkan anak tanpa ada suami, maka tentulah dia hadapi cacian dan cemuhan orang. Ketika beliau akan bersalin seorang diri, bersandar di sebatang pohon kurma, dalam keadaan yang sangat lemah, Allah berfirman kepadanya,"Goncangkan batang pohon kurma itu kearah mu." Pertanyaannya,"Agak-agak bergegarkah pokok kurma itu digoncang oleh seorang perempuan yang baru bersalin?" Tetapi selagi itu adalah sebagai suruhan dari Allah maka Maryam pun melakukannya dan berjatuhanlah buah kurma rotab (masak ranum dan masih basah). Dahulu ketika Maryam masih tinggal bersama Nabi Zakaria, Nabi Zakaria buatkan mihrab tempatnya beribadah dan berkhalwat, Nabi Zakaria yang menyara makan-minum dan keperluan Maryam, dan tidak ada laluan lain untuk kebilik Maryam melainkan mesti lalui bilik Nabi Zakaria. Setiap kali Nabi Zakaria hendak menghantarkan makanan kepadanya didapati banyak makanan dan minuman dan buahan diluar musim. Nabi Zakaria bertanya,"Dari mana kamu dapati semua ini?" Jika dikatakan Maryam pencuri, mustahil. Jika dikatakan Maryam keluar juga mustahil. Maryam telah menjawab dengan jujur, "Itu adalah daripada Allah". Allah apabila hendak memberi rezqi bagi sesiapa yang Dia kehendaki akan diberiNYa tanpa berkira. Tanpa Maryam berikhtiar, Allah telah memberi dengan percuma tanpa Maryam meminta tetapi sebaliknya ketika Maryam di dalam kepenatan melahirkan anak, apa salahnya jika Allah juga terus memberi rezqi kepada Maryam supaya dia boleh terus makan tanpa terpaksa menggoncangkan pohon kurma? Ini ada pengajarannya tersendiri. Bukan Allah tidak berkuasa untuk memberi Maryam makanan tetapi Allah hendak mengajar Maryam dan kepada kita semua iaitu selagi pintu ikhtiar masih ada, lakukan, buat yang disuruh, jangan tanya berkesan atau tidak apabila Allah yang suruh. Dari segi lojik akal atau hukum sunnatullah, berkesankah pokok kurma yang sebesar itu disuruh Maryam yang sedang berkeadaan sangat lemah itu menggoncangkannya? Tetapi yang peliknya Maryam pula tidak protes, tidak membantah, tidak mengeluh, tidak cerewat dan hanya akur perintah Allah, cuba menggoncangnya. Maknanya untuk dapatkan buah kurma itu Maryam mungkin perlu melakukan 10 langkah tetapi dengan hanya melakukan 1 langkah yang pertama iaitu patuh, yang 9 langkah lagi itu diteruskan oleh Allah. Itulah tawakkal. Dalam keadaan itu Maryam tidak boleh memilih tawakkal idhtiroori tetapi Maryam kena memilih tawakkal ikhtiari. Sekarang bagaimana dengan pengikut-pengikut Maryam hari ini? Pintu ikhtiar masih terbuka luas, tetapi sudah menyerah untuk tawakkal idhtiroori. Jangan sekali-kali berpendirian seperti, "Allah kata tawakkal, sabar dan qona'ah maka saya berserah saja kepada Allah, kalau sembuh, sembuhlah, tidak sembuh terimalah qodho-qadar, kalau ada, adalah, kalau tidak, tidak apalah!". Jangan begitu, Allah suruh kita untuk berusaha, berikhtiar, jangan sandarkan kepada Al-Quran dan hadith sebegitu kerana itu adalah salah dan keliru. Ingatlah bahawa tawakkal seringkali disalah erti dan disalah fahami dan disalah gunakan.

10.0] Kembali kepda kisah Maryam, dimana ketika di mihrabnya dia hanya beribadat dan Allah bagi tanpa ikhtiar tetapi ketika dia baru bersalin dalam keadaan sangat lemah Allah suruh dia berikhtiar. Mesti ada pengajaran yang luar-biasa kepada kita. Ada pengajaran aqidah dalam keadaan begitu kepada kita. Mungkin ikhtiar itu tidak memberi kesan kepada kita tetapi kerana itu perintah Allah, maka kita wajib lakukan. Contoh seperti Maryam yang sepatutnya mungkin kena lakukan 10 perkara seperti kena jolok, kena panjat, dan sebagainya sebelum dapat memakan kurma itu tetapi apakan daya Maryam yang sangat lemah hanya mampu patuh kepada perintah Allah supaya menggoncangkan batang kurma itu dan buah-buah kurma itu pun jatuh berguguran. Inilah tawakkal. Jadi jangan cepat-cepat menghentikan ikhtiar selagi pintu ikhtiar masih terbuka.

11.0] Sedih apabila ada orang yang cepat berputus-asa. Di dalam Al-Quran Allah menyatakan bahawa sifat putus-asa ialah sifat orang kafir dan orang zalim. Contohnya ada hamba Allah yang terjatuh, terkehel kaki-tangan, dan doktor nasihatkan supaya terus rajin buat latihan-exercise. Di rumahnya ada mini-gimnisium, serba lengkap kelengkapan exercisenya. Patuh berexercise dalam masa 1 minggu, dalam 2 minggu, kemudian nampak semacam tiada kesan baginya, akhirnya ditinggalkan usaha. "Tawakkal!" katanya. "Betulkah begitu?" "Tidak begitu, tetapi begitulah yang banyak dilakukan oleh orang muslim yang mengaku tawakkal".

12.0] Contoh benar, ada seorang Cina yang kena stroke, setiap pagi dipimpin oleh 2 orang cucunya, bertatih-tatih, berjalan di taman. Sampai setelah 3 tahun kemudian, apabila ustaz temui kembali sudah dapat berjalan sendiri dan seperti ianya faham istilah tawakkal di dalam surah Al-Ankabut ini. Jangan sampai kita tersalah anggap terhadap Allah, tersilap persepsi tentang Allah apabila kita tersalah memahami makna tawakkal, makna qodho-qodar, makna redho dan itu adalah dosa besar. Ingatlah bahawa di dalam kehidupan kita sehari-hari kita dapati lebih banyak peluang untuk bertawakkal ikhtiari dari tawakkal idhtiroori. Mungkin boleh diuji dengan contohnya seperti, dengan menyewa sampan nelayan yang muat 8 orang tetapi kita isikan dengan 20 orang. Pergi ke tengah Laut Cina Selatan yang bergelora dimusim tengkujuh. Ketika enjin sudah mati, dan pendayung pula sudah patah, apa ikhtiar kita semasa itu? Semua pintu ikhtiar sudah tertutup, maka ketika itulah kita bertawakkal idhtiroori. Tetapi jika enjin masih hidup, pendayung juga masih elok, kita wajib berusaha dan berikhtiar menyelamatkan diri. Jangan sekali-kali mengatakan seperti, "Tidak apalah, terserah kepada Allah hendak dilambungkan kemana". Jangan berputus-asa. Tanyalah pengalaman kapten kapal-terbang yang pernah mati enjinnya dan patah sayap kapal-terbangnya. Saat itulah kena yakin akan pertolongan Allah.

13.0] Kalaulah Maryam banyak komplain dan cepat berputus-asa disaat dia ditimpa musibah itu, seperti, "Aku ini penat, kalau Engkau ingin bagi, bagilah!". Kemudian Allah bagi juga buah kurma itu, jatuh berguguran, kurma yang masak, besar-besar dan sedap. Lantas Maryam berkata lagi," Nah, Engkau boleh memberi jika Engkau hendak memberi". Maka pemberian Allah seperti itu adalah istidraj, iaitu kemurkaan Allah dan bukan rahmat Allah. Ketika Allah suruh kita berikhtiar dan kita boleh berikhtiar, ada kemampuan untuk berikhtiar, tetapi kita tidak berikhtiar dan Allah bagi apa yang kita inginkan itu, maka itulah istidraj. Hati-hatilah dan mohon dijauhkan daripada kita.

14.0] Sabda Nabi saw tentang 3 orang yang terperangkap di dalam gua. Tiada upaya untuk memohon pertolongan daripada sesiapa. Maka ketika itu mereka bertawakkal idhtiroori, menyerah kepada Allah 100%, berdoa kepada Allah dan seterusnya tunggulah pertolongan Allah. Jangan lagi banyak fikir yang perkara itu sangat susah bagi kita maka susah juga bagi Allah. Jangan fikir apa yang susah bagi kita maka susah juga bagi Allah. Belum berserah 100% kepada Allah, bermakna belum bertawakkal.

15.0] Ketika Nabi Musa as hadapi lautan, dibelakangnya  Fir'aun dan tenteranya sedang mengejarnya. Untuk Nabi Musa as berpatah balik adalah tidak mungkin. Untuk berenang, tiada kemahiran. Fir'aun semakin dekat, hati dipenuhi cemas, panik, sehingga Nabi Musa as berkata, "Pasti kita akan dibunuh". Tiada apa lagi yang dapat dilakukan oleh Nabi Musa tetapi Nabi Musa as tahu bahawa pintu ikhtiar Allah masih ada. Lalu Nabi Musa as berkata, "Sesugguhnya Tuhanku bersamaku". Ketika Nabi Musa sudah menyerahkan ikhtiarnya kepada ikhtiar idhtiroori, maka Allah arahkannya untuk memukul kelaut. Lantas terbuka lautan, itu suatu keajaiban, kekuatan yang sangat dahsyat. Tawakkal punya kekuatan yang sangat dahsyat. Hanya jangan cepat-cepat kita inginkan tawakkal idhtiroori, selagi masih ada  pintu ikhtiar, ketika masih ada tenaga, teruskan usaha. Kita kena belajar dari kisah Maryam  yang patuh kepada perintah Allah.

16.0] Begitu juga dengan Nabi Ayyub as yang berusaha merawat penyakitnya tetapi tidak sembuh-sembuh. Sehinggakan Nabi Ayyub terduduk, lemah fizikalnya, tetapi Allah menyuruhnya berikhtiar juga. Apa ikhtiar Nabi Ayyub? Allah menyuruhnya menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Dari segi lojiknya, orang yang selemah Nabi Ayyub, menghentakkan kakinya kebumi, adakah memberi kesan atau dapat melubangkan tanah disitu?" "Tidak! Tetapi kerana itu yang disuruh Allah, tiba-tiba keluar air dari bumi, untuk minuman dan untuk mandi-manda, iaitu sebagai rawatan dari dalaman dan juga luaran. Nabi Ayyub as pula tidaklah merungut dengan berkata, " Ya Allah, kenapa baru sekarang Engkau berikan takdir baik ini padahal aku sudah menderita sekian lama." Nabi Ayyub as patuh dan terus bersabar dan bersyukur. Allah ada husnul-takdir. Yakinlah yang Allah pentadbiranNya adalah lebih-baik untuk kita. Sematkan dihati kita semua, " حَسْبُنَاللهُ وَنِعْمَالْوَكِيْلُ  -  Hasbunallahu wani' mal wakil- Yang mencukupi kekurangan kami adalah Allah". Itu ucapan Nabi Ibrahim Khalilullah dan juga Nabi Muhammad saw. Moga kita semua diberkati Allah. Allahumma Aamiin.















                        



No comments:

Post a Comment