Tuesday, January 31, 2017

Surah Al-Ankabut (ayat 59), Kuliah 58- Tingkatan sabar - اَلصَّبْرُبِالله- اَلصَّبْرُلِلَّه - اَلصَّبْرُمَعَ اَلله, Jenis-jenis Lam, Ciri-ciri Muttaqin, Ikhtilaf, Tanazuk, Syiqaq

1.0] Masih membicarakan surah Al-Ankabut ayat 59 dimana 2 sifat yang wajib ada bagi seseorang muttaqin,'aamilin, muhaajirin, yakni sabar dan tawakkal (Assobru watawakkul). Sebahagiannya telah dibincangkan minggu lepas, dijelaskan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, tentang 3 tingkatan sabar (maraatibus-sobr) iaitu;
i)Assobru billah - اَلصَّبْرُبِالله
ii) Assobru lillah - اَلصَّبْرُلِلَّه
iii) Assobru ma'allah - اَلصَّبْرُمَعَ اَلله

2.0] As-Sobru billah bermaksud bahawasanya seseorang itu tidak mungkin mampu bersabar kecuali semata-mata kerana pertolongan Allah SWT. Sebab itu jika Allah suruh kita bersabar, maka kita harus merasai ketidakmampuan kita melakukannya, ketidak berdayaan kita melaksanakannya, keda'ifan kita mengerjakannya. Dengan itu kita pohon kepada Allah supaya diberikan kepada kita kekuatan untuk bersabar.

3.0]  Daripada Ibnu Qayyim, "Bersabarlah engkau dan tidaklah kesabaranmu bersabar itu kecuali semata-mata kerana pertolongan Allah sehingga jika seseorang itu nanti berjaya bersabar hadapi ujian, bersabar dalam mentaati Allah, bersabar meninggalkan ma'siat, tidak akan timbul ujub dihati nya kerana dia tahu kejayaannya mampu bersabar itu semata-mata kerana pertolongan Allah. Inilah As-Sobru billah.

4.0] Menurut Ibnu Qayyim lagi, martabat kedua ialah As-Sobru lillah yang maksudnya yakni sabar kerana mengharapkan keredhoaan Allah, mengharapkan kasih-sayangNYa, bukan kerana hendak menunjukkan kekuatan dirinya, apatah lagi mengharap pujian daripada makhluk. Jika tidak kerana Allah, kesabaran yang besar itu tiba-tiba menjadi kecil. Sabar ibadah yang besar dan yang agung, tiba-tiba menjadi tiada nilai jika yang membangkitkan seseorang itu untuk bersabar adalah tidak kerana Allah. Contohnya orang yang diuji dalam rumahtangganya. Dahulu rumahtangganya harmoni sekali kerana ada hubungan batin, iaitu ada silah-qalbiah, satu hubungan hati yang sangat erat, sehingga jika pasangannya tersedak sewaktu makan, di tempat seribu kilometer jauhnya pun, pasangannya yang seorang lagi akan terbatuk-batuk disini. Apabila masa berlalu, tahun berganti tahun, anak pun sudah 2,3,4,5, dan roda kehidupan tidak sentiasa diatas, apabila harapkan panas hingga kepetang rupanya banjir dipagi hari, digoncang luarbiasa bahtera rumahtangga mereka. Tidur bermimpi buruk. Lalu orang pun menasihati diri yang terlibat,"Awak masih boleh bersabarkah? Bukankah ada cara lain?" Lantas dijawab oleh yang terlibat,"Memanglah, kalaulah aku tidak ingat kerana anak sudah lima, aku telah mengambil jalan lain." Maka kesabaran ini adalah kerana anak dan bukan kerana Allah, yang mana nilainya adalah kosong. Dimana kita hendak letakkan Allah? Rujuk surah Al- Muddassir ayat 7

"Dan untuk Tuhanmu, bersabarlah". Inilah fasbir lirobbika, فَاصْبِرْلِرَبِّكَ - lillah, bersabar kerana Allah dan jangan ada niat lain, bukan sebab yang lain, dan tiadalah kesabaranmu illa billah, melainkan semata-mata kerana Allah suruh kita sabar dan kita dapat bersabar itu pun kerana pertolongan dari Allah, maknanya sabar itu wajib kerana mematuhi perintah Allah. Sehingga kita minta balasan dari kesabaran kita supaya diberi manafaat atau dielak dari mudhorat tetapi meminta itu pun hanyalah kepada Allah. Mohonlah hanya kepada Allah. Sebetulnya bukan hanya untuk bersabar mesti diniatkan kerana Allah tetapi bagi semua jenis ibadah yang kita lakukan hendaklah semata-mata kerana Allah. Di dalam ayat diatas terdapat kalimah walirobbika fasbir; lam disitu ialah lam ta'liilun- lam yang membawa makna kerana, atau sebab.

i) Lam ta'liilun - ل تَعْلِيْلٌ
ii) Lam ghorodun - ل غََرَضٌ
iii) Lam milkun -  ل مِلْكٌ

5.0] Lam ta'liilun ialah lam yang membawa maksud lillah, lirobbika seperti bacaan dalam solat -

 اِنَّ صَلَاتِيْ وَنُسُكِى وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
Maksudnya,"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, dan matiku, adalah untuk (kerana) Allah Tuhan semesta alam". As-Sobru lillah, As-Solatu lillah, Al-Mamat lillah, Al-Mahya lillah. Jadi jika kita ditanya,"Kenapa awak mampu bersabar? Jawapannya, "Ya, kerana Allah suruh saya bersabar, Allah yang menggerakkan hati saya untuk bersabar dalam menghadapi apa-apa ujian, atau menjauhi apa-apa yang dilarang". Jika ditanya lagi,
"Kenapa awak solat?" Jawapannya ialah,"Sebab Allah suruh".
"Kenapa awak berpuasa?" Jawapannya ialah, "Sebab Allah suruh".
"Kenapa awak pergi menunaikan haji?" Jawapannya ialah, "Sebab Allah suruh".
"Adakah jika tidak disuruh Allah, awak tidak akan buat? Jawapannya, "Ya, jika Allah tidak suruh, saya tidak akan buat". Maka jikalah segala yang kita buat itu ialah kerana semata-mata kerana patuhi perintah Allah, kita sudah mendapat ikhlash dan lam itu ialah lam ta'liilun.

6.0] Lam ghorodun ialah lam yang digunakan untuk menyatakan maksud bahawa setiap yang kita lakukan pasti ada tujuan, pasti ada yang kita inginkan sebagai imbalan atas perbuatan kita itu. Apabila kita disuruh solat, dan kita pun bersolat, pasti ada permintaan yang tersirat dihati, atau apabila kita disuruh berbuat baik dan kita berbuat baik, pasti ada sesuatu yang kita harapkan daripada Allah. Selagi balasan yang kita harapkan daripada apa yang kita lakukan itu semata-mata mengharap daripada Allah, maka dibolehkan. Contohnya apabila disoal;

i) "Kenapa awak solat?" Jawapannya, "Ya, saya solat dengan harapan Allah akan beri kepada saya pahala".
ii) "Kenapa awak buat begini?" Jawapannya, "Ya, semoga Allah beri pengampunan kepada saya".
iii) "Kenapa awak rajin bersedeqah?" Jawapannya, "Ya, semoga Allah lindungi saya dari musibah".
Kita mengharapkan balasan daripada amalan yang kita buat daripada Allah semata-mata. Apabila kita beramal sebegitu, maka kita akan mendapat lam ghorodun, ghorod bermaksud tujuan. Kita boleh beramal dan mengharapkan balasan daripada Allah, boleh dan Allah suruh, walaupun yang kita minta daripada Allah itu mungkin perkara yang berkaitan dengan dunia, berbentuk duniawi.

7.0] Contoh apabila orang bertanya, "Kenapa awak rajin bersedeqah dan sangat dermawan, adakah kerana awak punyai banyak wang?". Jawapannya, "Saya bersedeqah kerana Allah suruh". Maka jika begitulah hati kita, kita sudah mendapat manafaat dari penggunaan lam ta'liilun (lam kerana atau sebab). Kemudian jika ditanya lagi, "Apa tujuan awak bersedeqah? Sebab jika awak tolong dia pun, bukannya awak akan jadi kaya". Jika jawapannya," Saya bersedeqah kepadanya kerana harapkan balasan daripada Allah";
i) Mungkin harapkan ganjaran daripada Allah.
ii) Mungkin harapkan pengampunan daripada Allah.
iii) Mungkin harapkan Allah lindungi dan terselamat dari bencana dunia.
Selagi balasan yang kita minta itu semata-mata daripada Allah, kita dikira ikhlash dan lam yang digunakan dinamakan lam ghorod. Tetapi jika tujuan ibadah itu tidak kerana Allah maka lam ghorod tidak ada dan keikhlasan terbatal.

8.0] Jika ditanya, "Kenapa awak sabar?" Jawapan,"Ya saya sabar kerana Allah telah janjikan bahawa sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar" - اِنَّ اَللهَ مَعَ الصَّابِرِيْن. Mintalah upah atau balasan atau ganjaran daripada Allah atas jerih-payah kita mentaati perintahNya, menjauhi laranganNya, sabar atas ujianNya, redho dengan qodho-qadarNya. Meminta memohon semata-mata hanya kepadaNya dan apabila itu yang membangkitkan kesabaran kita maka sabar itu sudah lam ghorod. Tetapi jika ada lintasan yang lain seperti, "Kenapa awak sanggup belanja dan sponsor katering majlis cukur jambul cucunya padahal dia seorang yang kaya?" Jika jawapannya seperti, "Manalah tahu jika kali ini saya belanjanya 10 ribu nanti minggu hadapan dia pula yang balas berganda". Jika itulah yang terlintas dihati, tiadalah nilai ibadahnya kerana bukan lagi lam ghorod.

9.0] Lam yang ketiga ialah lam milk iaitu yang paling tinggi nilaiannya  menunjukkan haq-milik atau kepunyaan Allah. Kita ingat kembali kisah Rasulullah saw yang sangat rajin solat malam sehingga bengkak-bengkak kakinya. Lalu Saidatina Aisyah r.anha bertanya kerana merasa hairan, "Ya Rasul, kenapalah tuan semacam memaksa diri begitu kuat bersolat malam sehingga bengkak-bengkak kaki walhal Tuan tiada dosa dan jika ada pun sudah diampuni Allah. Tuan sudah ada jaminan syurga bahkan yang pertama sekali yang akan masuk ke syurga dan dijamin tidak akan masuk ke neraka". Jawapan Nabi saw adalah sangat mengejutkan, "Bukankah aku belum menjadi hamba Allah yang bersyukur?" Maksudnya, Nabi saw melihat nikmat Allah, pertolongan Allah tersangat besar dan Allah memberikan nikmat itu tidak putus-putus. Sementara Nabi saw melihat ibadah yang dilakukannya terhadap Allah tersangat kecil, terlalu kurang dan merasa belum bersyukur dengan sebaiknya. Orang yang kesabarannya dan ketaqwaannya dan ibadahnya seperti ini maka ia sudah berada ditingkat yang paling atas dan namanya lam milk. Tingkatan keikhlasan yang paling tinggi yang paling atas.

10.0] Bukan tidak boleh meminta atau memohon dengan berlandaskan sesuatu amal kita. Contohnya, "Ya Allah, aku mohon kepada Mu dengan amal solehku ini agar Kau qabulkan hajat-hajatku". Atau pun seperti doa, "Ya Allah, aku mohon moga Kau redhokan syurgaMu bagiku dan aku berlindung dengan Mu dari siksa api neraka Mu''. Selagi balasan yang kita mahukan itu hanya daripada Allah, itu dikira ikhlash dan dinamakan lam ghorod. As-Sobru lillah.

11.0] Alhamdulillah, sementara Allah masih bagi peluang, kita bermohon agar disuatu masa lam kita bukan lagi lam ghorod tetapi lam milk dalam segala perbuatan ibadah kita. Bagaimana caranya? Caranya ialah dengan melihat nikmat Allah. Setiap hari melihat nikmat Allah yang berterusan dilimpahkan kepada kita. Jangan merasakan besar ibadah yang kita lakukan, kerana mungkin akan bangkitkan rasa kagum terhadap diri dan merasa amalnya sudah banyak, dan apabila merasa amal sudah banyak timbullah ujub, riak, dan berhenti untuk terus beramal. Jika seseorang itu sudah merasa sedeqahnya sudah banyak, pasti akan berhenti bersedeqah dan menjadi bakhil semula dan dipanggil mantan dermawan.
i) Mantan bakhil adalah lebih baik daripada mantan dermawan.
ii) Mantan pencuri adalah lebih mulia daripada mantan ustaz (dahulu ustaz kini mungkin menjadi gro).

12.0] Kembali kepada persoalan-persoalan;
i) "Kenapa awak sabar?" "Kerana Allah suruh saya sabar". "Bukan sebab anak?". "Ya, sebab anak itukan Allah yang punya, Allah yang cipta, Allah yang lindunginya, sebesar manapun kasih-sayang saya kepada anak, pasti Allah lebih menyayanginya. Jadi saya sabar sebab Allah suruh bukan sebab anak". Jadi jika kita dapat bersabar kerana taat kepada perintah Allah yang menyuruh kita bersabar, yang mewajibkan kita bersabar, maka kita akan mendapat lam ta'liil. Tetapi tentu ada tujuan atau keinginan atas susah-payah kita bersabar itu. Ada, mungkin nanti seperti ini doanya, "Ya Allah, kami bersabar, kerana Engkau wajibkan kami bersabar, kami ini tidak kuat tanpa pertolonganMu dan tidak akan mampu bersabar tanpa izinMu, oleh itu tolonglah kami, tolonglah berikan kami dan keluarga kami sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih-sayang) dan rahmah yang berterusan". Maknanya As-Sobru lillah telah berjaya.

13.0] Lam milk pula bukan mudah tetapi bukan mustahil untuk dicapai. Berat tetapi mulia. Bagaimana caranya? Lihat surah Al-Muddassir ayat 6;

Janganlah kamu memberi dengan hasrat untuk memancing atau memberi umpan supaya akan mendapat balasan yang lebih baik atau lebih banyak. Yang keduanya, janganlah kamu memberi dan kamu menganggap pemberian kamu itu sudah banyak. kerana ia akan menghentikan untuk terus beramal dan mendatangkan ujub. Oleh itu apabila beramal jangan pandang amalan kita itu tetapi pandanglah nikmat Allah, pertolongan Allah yang sangat besar, yang dengan nikmat Allah itu kita telah dapat beramal, sementara amalan kita baru hanya sedikit. Itulah peringkat mencapai lam milk. Contohnya doa dalam solat kita,  اِنَّ صَلَاتِيْ وَنُسُكِى وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
dan juga di dalam surah Al-Kauthar ayat 2;

Fasolli lirobbika- Maka dirikanlah solat kerana Allah. Li robbika- kerana Tuhanmu. Paling tidak telah membawa makna lam ta'liilan dan lam ghorod dan diharapkan dapat mencapai lam milk, yang tertinggi darjatnya berkaitan dengan keikhlasan hati. Maraatibul- ikhlash iaitu tingkatan ikhlash itu pula ada darjat atau nilai yang berbeza pula. Kalau kita tidak dapat mencapai tingkatan ikhlash yang tertinggi, capailah yang sederhana dan kalaulah tidak dapat juga, capailah tingkatan ikhlash yang paling bawah dan jika tidak mampu juga yang paling bawah capailah tingkatan sabar yang kedua iaitu As-Sobru lillah yang mana itu adalah syarat diterima amalan.

14.0] Tingkatan sabar yang paling tinggi pula ialah As-Sobru ma'allah-  اَلصَّبْرُمَعَ اَلله
-sabar bersama Allah. Maraatibussabru- tingkatan kesabaran- Sabar yang paling tinggi tingkatannya ialah sabar bersama Allah. Ada 3 jenis kesabaran انواع الصبر iaitu;
i) Sabar dalam mentaati Allah - الصبر فى الطاعة
ii) Sabar dalam meninggalkan ma'siat - الصبر ترك المعصية
iii) Sabar atas musibah - الصبر على المصيبة

Kita hendaklah sabar mentaati perintah Allah, kalau tidak sabar, maka mungkin akan terjadi taat yang sekali sekala. Contohnya, kita patut kagum dengan jemaah yang sabar mentaati Allah, sanggup datang ke kelas mencari ilmu agama walaupun banyak halangan dan masalah. Dengan keadaan kesesakan jalan-raya untuk sampai kesini, dengan pelbagai rintangan namun terus on dan tidak off. Kalau tidak sabar, banyak yang off dari on. Contoh berqiamullail begitu juga, mungkin sekali dua on kemudian off, lama-lama off terus. Yang pertamanya kita mestilah sabar bitto'ah, sabar dalam mentaati perintah Allah. Yang keduanya ialah sabar dalam meninggalkan ma'siat. Bagi orang yang sudah sebati dengan ma'siat, na'uzubillah, kemudian ketika timbul kesedaran untuk berubah, maka yang pertama sekali ialah dia kena meninggalkan ma'siat yang sudah menjadi routine hidupnya. Tentunya bukan mudah dan sangat susah sekali, apa lagi jika ada sindiran dari kawan-kawan. Kalau tidak sabar maka akan berdepan dengan situasi hangat-hangat pisang goreng. Yang ketiga ialah sabar atas musibah iaitu ketika masa ditimpa musibah. Musibah boleh jadi besar atau kecil, musibah diri, harta, keluarga dan sebagainya. Jangan hanya mampu bersabar menghadapi musibah yang kecil-kecil dan yang ringan-ringan atau memilih-milih musibah yang boleh dihadapi dengan sabar. Contohnya mungkin ada orang yang dapat bersabar menghadapi musibah kehilangan harta-benda yang mencecah lima ratus ribu ringgit kerana dirinya punyai lima billion ringgit, maka kehilangan itu dianggap kecil baginya dan dia dapat bersabar. Oleh itu kita mestilah dapat hadapi segala macam musibah besar atau kecil tanpa memilih-milih. Apabila kita dapat  mentaati Allah, kemudian ada kesabaran dan hadapi dengan sabar terus menerus, tidak pernah tinggalkan, maka itulah yang dinamakan istiqomah. Begitu jugalah dengan meninggalkan ma'siat, sekali tinggal terus ditinggal, umpama talak bain, tiada cina buta terhadap ma'siat.

15.0] Auqatunnas- waktu-waktu manusia dalam kehidupan, mula dari baligh sehingga dijemput Allah kembali kepadaNya ada 4 iaitu;
i) Waktu nikmat, senang- kita diperintahkan untuk bersyukur.
ii) Waktu ujian, bala'- kita diperintahkan untuk bersabar.
iii) Waktu taat, setia, patuh, taqarrub- kita diperintahkan untuk mengembalikan kepada Allah segala upaya itu kerana kita tidak mampu membuat apa-apa tanpa pertolongan Allah.
iv) Waktu ma'siat, derhaka, terlanjur- kita diperintahkan untuk bersegera bertaubat.

Persoalannya, yang mana satu yang dimaknakan sebagai As-Sobru ma'allah? Jawapannya ialah apabila kita dapat berada di dalam ke 4 waktu itu dengan sebaik mungkin, mentaati segala yang Allah perintahkan semasa menghadapi waktu-waktu itu, maka kita telah mencapai As-Sobru ma'allah. Tidak ada sesaat pun yang kita lalui melainkan ada ingatan kepada Allah. Allah bersama kita atau kita bersama Allah. Semasa mendapat nikmat, kita bersyukur dan Allah bersama kita, semasa hadapi bala', kita bersabar dan Allah bersama kita, semasa taat, kembalikan kepada Allah dan tidak mendakwa diri hebat dan Allah bersama kita, semasa terlanjur melakukan ma'siat, segera bertaubat , tidak menunda-nunda taubat dan Allah bersama kita. Allah tidak menjauhkan orang yang terlanjur membuat maksiat tetapi bersegera bertaubat. Allah memaafkan dan mengi'tiraf sebagai muttaqin seseorang yang bersegera bertaubat walaupun keterlanjurannya melakukan dosa besar. Syaratnya dia bersegera bertaubat maka tahap tingkatan ketakwaannya tidak pernah jatuh. Rujuk surah Aa-Li Imran ayat 135;

Ayat ini ialah ayat yang menggalakkan hamba Allah untuk bertaubat. Ini adalah As-Sobru ma'allah- kesabaran bersama Allah. Allah bersama orang yang sabar  atau boleh juga dikatakan bahawa orang yang sabar itu sentiasa ditemani atau disertai Allah. Siapa orang yang sabar yang bertuah itu? Orang yang bertuah itu ialah orang yang sabar dalam 4 waktu kehidupannya sesuai dengan apa yang Allah kehendaki, maka dia sentiasa bersama Allah dan Allah pun tidak akan meninggalkannya walau pun sesaat, hatta jika sekiranya dia terlanjur melakukan ma'siat. Andainya sebelum orang itu terlanjur melakukan ma'siat dia sudah mencapai tahap muttaqin, kemudian dengan tidak disengajakan dia terlanjur terbuat ma'siat, walaupun ma'siatnya dosa besar, asalkan dia segera bertaubat maka dia tetap muttaqin. Taraf ketaqwaaannya tidak merosot, dan Allah tetap dekat dengannya. selagi dia yang berdosa itu bersegera bertaubat tanpa tangguh-tangguh. Rujuk surah Aa-Li Imran ayat 133;

Bersegera mencari pengampunan Allah dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi disediakan untuk orang-orang muttaqin. Siapa orang muttaqin? Untuk mendapatkan jawapan, tanya Al-Quran dahulu, jangan tanya ustaz dahulu. Allah sendiri memberi jawapan iaitu ciri-ciri orang muttaqin ialah;

i) Orang yang menafkahkan sebahagian daripada rezqinya dalam keadaan senang atau susah, maknanya istiqomah dalam infaq dan bersedekah. Ketika senang infaqnya banyak dan ketika susah masih berinfaq mengikut kemampuannya. Allah tidak menetapkan berapa keadaannya tetapi yang pentingnya ialah istiqomahnya. Inilah yang dimaksudkan sebagai As-Sobru bitto'ah, sabar dalam ketaatan.

ii) Sifat kedua bagi muttaqin ialah orang yang dapat menahan kemarahan walhal dia berhak marah atau dia mampu marah atau dia ada peluang untuk marah tetapi dia telah memilih untuk menahan kemarahannya. Tentunya sangat susah dan beratnya dia menanggung tetapi tidak nampak atau tidak disedari orang bahawa dia sedang marah. Jangan pula kita mengatakan bahawa orang yang menahan marah itu munafiq atau bersikap pura-pura sepertimana kata sesetengah pakar motivasi atau ada pula pendapat yang mengatakan bahawa jika menahan marah akan menyebabkan tumbuhnya bisul. Kita kena ikut apa yang Al-Quran kata iaitu kemarahan mesti ditahan dan in syaa Allah kita tidak akan hadapi stress. Menahan kemarahan sehingga berapa lama? kerana ada orang kata kesabaran ada hadnya. Apa yang perlu dibuat apabila kemarahan sudah dirasakan hampir meletup? Al-Quran beri panduan, jalan yang paling mudah untuk hilangkan kemarahan ialah dengan memberi maaf sahaja kepada pihak yang berkenaan. Itulah ciri muttaqin. Tetapi  andainya maaf sudah diberi namun susah untuk melupakan, itu adalah wajar kerana maaf itu perbuatan ikhtiari (amal manusia) manakala untuk lupa atau ingat, itu perbuatan musayyar, bukan kehendak kita. Contohnya, "Saya ingin melupakan tetapi tidak boleh sepertimana saya ingin mengingat tetapi lupa". "Ya, memanglah, itu diluar ikhtiar kita". Kalaulah ingat dan lupa itu dibawah ikhtiar dan pilihan kita tentulah tidak ada pelajar yang gagal kerana semua pelajar ingin keputusan cemerlang. Ingatan dan melupakan ini dibawah musayyar dan bukan mukhoyyar. Jadi macam-mana kalau masih ada rasa sakit menahan marah dan rasa-rasa tidak mampu menahan bebanan marah itu? Allah beri panduan iaitu cara paling baik ialah dengan memaafkan dan jika ingin dihilangkan sama-sekali yang paling baik ialah dengan membalas kejahatan orang itu dengan kebaikan. Contohnya jika berjumpa dengan orang itu yang masam kepada kita maka kita pula yang senyum kepadanya. Ringan atau susah untuk kita lakukan? Tentunya sangat susah dan itulah ciri muttaqin, orang yang Allah janjikan syurga atau syurga disediakan khas untuk mereka.

iii) Apa lagi ciri orang muttaqin? Yang ketiga ialah orang yang apabila mereka melakukan faahisyah (dosa-dosa besar) atau mereka menzalimi diri mereka sendiri maka mereka bersegera mengingati Allah, sedar siapa Allah yang diderhakainya, sedar siapa diri, lalu mereka memohon ampunan daripada Allah dengan penyesalan yang sesungguhnya tanpa menunggu masa, tanpa bertangguh-tangguh, tanpa menunda. Mereka memohon ampun daripada Allah  kerana tiada yang dapat mengampunkan dosa kecuali Allah dan mereka tidak berterusan melakukan lagi faahisyah itu. Seorang muttaqin bukanlah seorang yang bebas sama sekali daripada melakukan dosa, bahkan orang muttaqin boleh jadi terlanjur membuat faahisyah tetapi jika dia segera zikrullah dan beristighfar, tingkatan muttaqinnya tidak akan turun. Ertinya walaupun seorang itu sedang melakukan dosa (dosa yang tidak disengajakan), apabila dia bertaubat, Allah masih bersamanya, ma'allah, Allaha ma'assoobirin, As-Sobru ma'allah. Mensyukuri nikmat Allah  pula termasuk dalam sobar bitto'ah, Allah bersamanya dan Allah bersedia menolongnya.

16.0] Surah Al-Anfal ayat 46;

Perintah di dalam ayat diatas ialah supaya kita patuh kepada Allah dan rasul, manakala larangannya pula ialah jangan berbantah, berselisih (tanazuk) kerana nanti kamu akan menjadi lemah, gagal, tidak mencapai kejayaan dan akan hilang kekuatan, akan hilang angin. Sebab itu dalam mentaati Allah, mesti bersabar, dalam mentaati Rasul mesti bersabar dan dalam mentaati Allah dan Rasul ada perintah dan larangan yang mesti kita lalui dengan sabar dan jangan tanazuk.

17.0] Kalimah tanazuk, perlu difahami dengan betul. 3 huruf dasarnya  نَزَعَ menjadi تَنَازَعَ , ta ت  dan alif  ا membawa makna saling, ertinya yang menunjukkan perbuatan yang tidak boleh dilakukan seorangan, minimum oleh 2 orang. Naza'a نَزَعَ bererti menarik dengan kuat iaitu ketika ditarik nyawa dari badan bagi orang-orang yang menghadapi suul-khotimah atau kafir, dan tidak dialami oleh orang muslim. Manakala sakarat, semua orang akan alami, samada mukmin atau kafir, hinggakan Nabi saw sendiri pun merasa. Sakarat maknanya hilang ingatan, mabuk atau pengsan dalam proses kematian. Kematian itu ada sakarat, setiap orang merasai sakitnya. Bagi suul-khotimah, ada tambahan siksa iaitu naza' semasa nyawanya sedang direntap. Na'uzubillah. Orang mukmin hanya merasa sakarat dan tidak tepat jika kita kata orang  mukmin itu naza'. Bahasa Arab yang telah di tukar ke Bahasa Melayu mungkin maknanya jadi lain.
Contohnya, Maksud perkataan fitnah di dalam Bahasa Melayu tidak sama dengan maksud fitnah di dalam bahasa arab. Begitu juga perkataan khalwat di dalam Bahasa Melayu tidak sama dengan makna khalwat di dalam Bahasa Arab. Khalwat dalam Bahasa Melayu ialah perbuatan haram, pencegah ma'siat yang akan datang, manakala khalwat dalam Bahasa Arab adalah perbuatan mulia yang disuruh, lebih-lebih lagi didalam bulan Romadhon dan Jibril datang bawa wahyu. Walaupun diambil 100% dari Bahasa Arab, namun makna telah jadi berubah.

18.0] Contoh tanazuk; Apabila A dan B berbeza pendapat, diuji kesenangan berbeza pendapat, diuji musibah, berbeza pendapat. Walaupun berbeza pendapat adalah wajar kerana itu kehendak Allah, itu sunnah Ilahiah, bersifat fitriah, bersifat manusiawi, tetapi jika A dan B saling tarik-menarik, saling memaksakan supaya mengikutinya, merasa tidak puas selagi lawannya tidak ikutinya. Itu dinamakan tanazuk. Perbezaan pendapat semata-mata belum tentu mengakibatkan perpecahan. Perpecahan baru timbul apabila orang yang berbeza pendapat itu sudah tanazuk. Allah melarang tanazuk. Dizaman Nabi saw, sahabat-sahabat juga ada yang berbeza pendapat, tetapi tidak tanazuk. Abu Bakar r.hu dan Umar r.hu ada berbeza pendapat. Semasa pemerintahan Abu Bakar r.hu, Umar r.hu lah yang paling banyak tidak bersetuju dengan kebijaksanaan Abu Bakar r.hu tetapi tidak pernah bergaduh sebab mereka tahu berbeza pendapat dari segi sudut pandang tetapi tidak tanazuk adalah diizinkan. Salah satu punca perbezaan pendapat ialah ayat Al-Quran itu sendiri yang mempunyai dua makna dan berbeza-beza, dan itu berlaku dalam sejarah. Itu perbezaan pendapat yang hakikatnya tidak menjadi masalah asalkan ianya bertanggung-jawab. Yang dilarang ialah tanazuk yang semacam tarik tali yang tujuannya supaya pihak lawannya kalah yang menandakan sebagai pihak yang salah manakala yang menang sebagai benar padahal penanda aras sebegitu adalah salah dan tidak betul. Keadaan begitu adalah sangat merbahaya kerana akan hilang tanda aras yang tepat, sebab itu Allah ingatkan supaya jangan tanazuk supaya tidak menjadi lemah dan gagal dalam segala hal. Allah gunakan istilah "Kamu akan kehilangan angin". "Sebab itulah kamu kena sabar, bila berlaku perbezaan pendapat selagi pendapat itu masih boleh diterima, jangan ditingkatkan menjadi tanazuk". Berbeza pendapat ada tingkatan yang dibenarkan dan yang diharamkan iaitu;

i)  Ikhtilaf - Peringkat paling bawah- tetapi jika tidak dibendung akan meningkat menjadi tanazuk.
ii) Tanazuk - Paksa-memaksa pihak lawan supaya akur kepada pendapatnya, sehingga boleh naik menjadi syiqaq.
iii) Syiqaq - iaitu pecah yang tidak boleh dicantum semula. Contoh suami-isteri yang syiqaq, tidak akan tenteram, tidak akan tenang hidupnya jika masih berada di planet yang sama, kecuali apabila seorang di bumi dan seorang lagi berada di bulan barulah merasa lega. Orang yang syiqaq sanggup melakukan apa sahaja. Contohnya tengok sahajalah orang Islam, sesama muslim sanggup berperang, saling membunuh dan tidak merasa bersalah. Muslim A melihat muslim B yang wajib dibunuh dan sebaliknya muslim B merasa muslim A yang patut dibunuh, merasa halal darahnya. Puncanya mungkin dari ikhtilaf yang sedikit dinaikkan menjadi tanazuk dan menjadi syiqaq. Apabila tanazuk, tunggulah saat kebinasaan, saat kelemahan dan bahaya yang luar-biasa. Oleh itu kita semua kena sabar dan lihat panduan bagaimana Nabi saw hadapi ikhtilaf, perbalahan dan perbezaan pendapat antara umatnya. Lihat di dalam kitab Adabul Ikhtilaf fil Islam, asalnya dalam Bahasa Arab kemudian telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh ABIM. Kitab yang menjelaskan bagaimana para sahabat yang berbeza pendapat tetapi tetap dapat menangani ikhtilaf dan menjaga ukhuwah .Sebenarnya ada adab dan kaedah dalam ikhtilaf, tetapi kerana kita lebih pandai berbeza pendapat tetapi belum cukup dewasa berbeza pendapat, masih terlalu keanakan dalam berbeza pendapat maka itulah yang banyak mencetuskan keadaan mengamuk di sana-sini walhal beragama Islam.

19.0] Jika kita boleh melakukan kesabaran dalam segala keadaan kita, maka Allah akan bersama kita atau kita sentiasa bersama Allah. Tidak sesaat pun yang kita lalui melainkan kita dekat dengan Allah. Ma'allah, ma'iatullah, bersama Allah. Hatta ketika orang muttaqin berbuat dosa, tetapi jika bertaubat Allah masih dekat dengannya. Allah belum mahu menjauhkannya. Begitulah rahmat Allah kepada orang yang sabar. Ditekankan lagi bahawa kita mestilah bersabar, dan tolonglah dibuang ayat "Sabar itu ada hadnya".

20.0] Sabar itu bersifat fardhiyyah, bersifat individu, tetapi bagi kita sebagai umat beragama, secara kolektif, lain pula sudut pandangnya. Contohnya jika ada orang kafir yang menyerang kita, mencaci maki, mengangkat senjata terhadap kita, kita tidak boleh terus bersabar. Saidina Ali telah memberitahu kita bahawa dizamannya ada orang yang tidak meletakkan sabar di tempat yang sepatutnya. Saidina Ali berkomentar, "Ramai orang-orang ini yang mudah marah, mudah melatah, mudah mengamuk, apabila kepentingan peribadinya terganggu tetapi apabila agamanya diganggu atau diancam, tidak pula bertindak demikian". Sepatutnya jika setakat kepentingan diri sendiri yang diusik, dicela, sabar sahajalah, senyum sahajalah. Kalau ada orang yang mencela kita atau ingin menjatuhkan kita, senyumlah kerana Allah telah memberitahu kita melalui orang itu bahawa kita adalah lebih tinggi daripada dia. Allah kata, "Wahai hambaKu, tenangkan hatimu kerana kamu lebih tinggi daripada dia, sebab itu dia berusaha menjatuhkan kamu". Lalu kenapa kita bersedih? Kalaulah ada orang yang mengumpat-umpat kita, itu caranya Allah memberi pahala free kepada kita tanpa kita perlu bersusah-payah, dan jika orang itu tiada pahala maka dosa kita pulalah yang akan dia ambil. Oleh itu kita  hendaklah dilatih dan berlatih untuk bersabar dalam segala keadaan. Mudah-mudahan kita dapat bersama Allah dan Allah bersama kita dalam segala keadaan kita. Aamiin.
 



















No comments:

Post a Comment