Tuesday, January 17, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 58, 59) - Kuliah 56- Kematian, Murotibuddin, Muqobalah, Musyahadah, Muroqobah.

1.0] Bersabda Rasulullah saw, yang bermaksud, "Ingatlah kematian dalam solat-mu, kerana jika seseorang mengingati kematian di dalam solatnya nescaya ia akan mencantikkan solatnya seolah-olah seperti solat orang yang tidak lagi yakin bahawa dia masih punya kesempatan untuk melakukan solat yang lainnya. Berhati-hatilah dengan perkara yang telah menjadikan engkau memberi alasan kerana tidak mampu memenuhinya".

2.0] Hadith soheh, daripada Al- Imam Bainami di dalam surat Al-Kubra, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith hassan, berkenaan dengan firman Allah  seperti di dalam ayat 57 surah Al-Ankabut, bahawa, "Setiap yang bernyawa akan merasakan mati",  maka kesimpulannya ialah bahawa keadaan seseorang ketika meninggal samada akan mendapat husnul-khotimah atau suul-khotimah adalah bergantung kepada gaya dan cara hidupnya, sikapnya terhadap nikmat dan terhadap ujian semasa hayatnya. Ertinya, jika ujian semasa hayatnya berupa nikmat dan dia bersyukur, begitu pula jika diuji dengan musibah dan dia bersabar, in syaa Allah, keadaannya ketika kematian dalam husnul-khotimah dan kelak apabila di bangkitkan, dipindahkan ke alam akhirat dia akan di tempatkan di dalam Jannah. Sebaliknya, jika semasa hayatnya dia diuji dengan nikmat kesenangan tetapi dia kufur, diuji dengan musibah kesusahan dia mengeluh, na'uzubillah, dikhawatirkan ketika ia meninggal dunia dalam keadaan suul-khotimah dan kelak apabila dipindahkan ke alam akhirat tiada tempat yang layak baginya melainkan neraka. Wana'uzubillah.

3.0] Disamping  itu ayat 57 diatas juga memberi beberapa pengajaran yang penting iaitu selama mana pun usia manusia di dunia pasti akan berakhir dengan kematian. Sebesar mana pun kesenangan dan kenikmatan atau musibah pasti akan berakhir dengan kematian dan kita akan kembali kepada Allah. Ini hendaklah sentiasa diingat, bukan hanya kita tetapi tidak terkecuali Nabi saw pun pernah diingatkan oleh Allah tentang perkara ini, yakni di dalam surah Az-Zumar ayat 30;


Ingatan ini khas kepada Nabi saw dan juga untuk ingatan kita semua makhluk Allah. Semewah mana pun hidup, sekuat mana pun kuasa, segagah mana pun tubuh-badan pasti akan berakhir dengan kematian, sebab itulah Jibril as pernah datang kepada Nabi saw dan memberi nasihat atau ingatan yang sangat sinis seperti yang terdapat di dalam hadith Imam At-Tabrani, dalam Al-Mu'jam Al-Ausat, hadith daripada Sahal bin Saad. Nabi saw bersabda, 'Jibril datang kepadaku lalu berkata kepadaku,

"Wahai Muhammad, hiduplah kamu ikut sesuka hatimu, hanya satu perkara yang kamu kena ingat, sesungguhnya engkau akan mati". Sangat sinikal, pada awalnya disuruh hidup sesuka hati, jika mahu makan, makanlah, mahu berjalan, berjalanlah, mahu bergelak-ketawa, silalah, tetapi ingatlah yang pastinya kamu akan mati.

"Wahai Muhammad, cintailah dan sayangilah sesiapa sahaja, apa sahaja, yang engkau kehendaki, tetapi sesungguhnya pasti engkau akan berpisah dengannya". Sekuat mana pun cintamu kepada sesuatu atau seseorang, pasti kamu akan berpisah dengannya walau pun kamu tidak ingin berpisah dengannya.

"Wahai Muhammad, buatlah apa yang engkau hendak buat, puaskan hatimu, tetapi sesungguhnya engkau akan diberi balasan dengan sebab apa yang kamu lakukan".

"Ketahuilah bahawa kemuliaan orang mukmin itu ialah qiamullail dan keperkasaan mukmin itu ialah tidak berhajatnya dia kepada manusia". Semakin kurang dia berhajat kepada manusia, semakin kuat dirinya, kerana seorang mukmin hanya boleh berhajat dan bergantung harap kepada Allah yang menciptakannya. Apabila dia bergantung kepada manusia dalam segala hal, dia akan menjadi orang yang paling lemah. Untuk pakai selipar pun, tunggu orang tolong pakaikan, ingin berjalan pun kena orang pandukan kereta, untuk pastikan dapur berasap pun harapkan orang lain lakukannya. Bergantung harap dan bergantung hidup hanyalah kepada Allah SWT.

4.0] Pengajaran yang lain ialah menunjukkan betapa rendahnya nilai dunia dan segala isinya kerana semuanya adalah kesenangan yang akan lenyap dan sirna, dan ia tidak memberi kesan sedikit pun di akhirat jika ianya tidak digunakan untuk akhirat. Jika kita mahukan dunia berfaedah di akhirat, maka bawalah dunia kita itu ke akhirat. Bawalah duit yang banyak dan harta-benda yang melimpah itu ke akhirat. Bolehkah? Jawapannya, " Boleh!" Dengan syarat kita menyuruh orang lain tolong bawakan untuk kita ke akhirat nanti. Harta-benda yang kita mahu temui di akhirat yang akan menjadi pembela kita nanti boleh kita berikan kepada fakir-miskin, surau, masjid, tahfiz, rumah orang-tua, rumah anak-yatim, saudara-mara kita yang susah dan sebagainya. Atau pun menyediakan tempat menunggu berbumbung (bus-stop) untuk kegunaan orang awam berlindung dari panas hujan, atau menyediakan tempat-tempat minum atau sumber air dan pelbagai lagi amal jariah. Kita tidak boleh membawa sendiri duit dan harta-benda kita untuk kegunaan di akhirat nanti walaupun sekadar gelang getah. Oleh itu serahkan seberapa banyak kepada orang lain dalam bentuk sedekah dan sebenarnya bukan sia-sia jika kita membantu orang-orang yang susah dan memerlukan ini. Mungkin pada pandangan mata kasar seolah-olah kita telah menyelesaikan masalah orang itu, tetapi paling lama mungkin hanya untuk sebulan atau dua bulan kemudian orang itu akan susah kembali, tetapi hakikatnya ialah kita telah menyelesaikan masalah kita di akhirat. Kesediaan orang itu menerima bantuan kita bermakna dia telah menolong kita menyelesaikan masalah kita di akhirat nanti. Bayangkan jika kita mahu bersedekah tetapi tiada orang yang mahu menerima sedekah kita. Bayangkan jika kita ingin membawa harta kita itu ke akhirat, tetapi tiada sesiapa yang mahu menolong membawakannya. Sebab itu kita sepatutnya bersyukur jika masih ada orang yang mahu menerima bantuan dan sedekah daripada kita. Kita yang semestinya merasa lebih beruntung kerana dia telah menolong menyelesaikan masalah akhirat kita. Yang memberi yang patut berterima-kasih, bukan yang menerima. Yang menerima memang patut berterima-kasih tetapi yang memberi lebih-lebih lagi patut berterima-kasih.

5.0] Segala sesuatu yang telah kita infaqkan akan jumpa kita di akhirat. Contohnya baju yang telah disedekahkan kepada orang akan jumpa kita di akhirat walaupun baju yang telah terpakai dan bukan baju terbaharu. Ada pun yang kita tidak berikan kepada orang, yang masih tergantung, walaupun yang kita sayang, tidak akan kita temui di akhirat. Segala infaq yang telah dikeluarkan untuk membantu mangsa banjir, mangsa Tsunami, mangsa gempa dan macam-macam lagi itu akan kita dapatkan semula di akhirat sebagai bekalan kerana ada orang yang tolong bawakannya. Ada pun simpanan yang belum kita usik, sehingga ke hari ini dan kita pun tidak tahu bila kita akan mengusiknya, sebab jangan-jangan sehingga kita dipanggil berjumpa Allah pun simpanan itu belum terusik lagi. Bahkan kita tidak pernah tengok pun segala simpanan kita itu dan tidak akan dapat kita temui di akhirat. Bukan hanya tidak mendapat kebaikan dari segala harta-benda kita itu malahan ia akan menambahkan pertanyaan dan menambahkan bebanan. Terserahlah kepada kita, apa yang kita punyai di dunia ini, samada kita ingin jadikan bekalan atau bebanan. Harta yang halal pun akan menjadi bebanan apatah lagi harta yang tidak halal yang akan menjadi bebanan dan punca penyiksaan.

6.0] Allah ingatkan kita, dengan surah Al-Qasas ayat 60:

7.0] Dijelaskan lagi oleh Nabi saw dalam hadith Muslim, "Demi Allah, kesenangan dunia berbanding akhirat itu seumpama sebagaimana seorang kamu mencelupkan jari telunjuknya (sabaabah) kedalam lautan, kemudian dia perhatikan dengan apa yang dia bawa di hujung jarinya itu. Itulah dunia dan isinya, sebaliknya air laut di lautan itu ialah nikmat syurga dan isinya. Air yag membasahi hujung telunjuknya itulah yang dibahagikan kepada seluruh makhluk Allah. Berapa peratus agaknya air yang membasahi hujung jari berbanding air laut yang terdapat di seluruh bumi? Itulah hakikat dunia, ianya adalah kesenangan yang pasti akan ditinggalkan. Itu pengajaran kedua daripada ayat 57 diatas.

8.0] Sabda Nabi saw di dalam hadith Ibnu Majah di dalam sunannya, 'Umar berkata, "Ada seorang sahabat Ansar berjumpa Nabi saw, lalu memberi salam dan bertanya, "Ya Rasulullah, siapa mukmin yang paling utama?". Nabi saw menjawab, "Yang paling utama bukan yang paling hebat qiamullailnya, atau yang paling banyak bacaan Al-Qurannya, atau yang paling banyak berusrahnya. Memang semua itu baik tetapi belum yang terbaik. Yang paling utama ialah yang paling baik akhlaknya, moral, budi pekerti yang terpuji kepada Allah, kepada rasul dan kepada sesama makhluk, bukan hanya kepada manusia sahaja tetapi juga kepada haiwan hatta kepada anjing yang haram dan najis. Seorang yang memberi minum seekor anjing yang kehausan kerana kasihan  akan mendapat ganjaran pahala dan ampunan dosa. Jika dengan mengasihi anjing yang najis pun mendapat pahala, apa lagi mengasihi tuan punya anjing, sesama manusia, sesama makhluk Allah. Sementara itu ada seorang perempuan yang masuk neraka kerana seekor kucing yang dikurungnya sampai mati. Jika menganiayai kucing itu pun menyebabkan pelakunya masuk neraka apa lagi jika menganiayai tuan punya kucing, tentu berdosa. Ini tentang afdhal, fadhilat 'amal (keutamaan 'amal), bukan bermaksud 'amal yang lain tidak penting.

[Nota; Jangan salah faham dan punya faham yang salah pula. Jangan anggap asal akhlak mulia, walaupun tidak solat]

9.0] "Siapa pula mukmin yang paling bijak atau paling cerdik?" Baginda saw menjawab, "Orang mukmin yang paling bijak ialah yang paling banyak mengingat kematian dan paling banyak membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi kehidupan selepas kematian". Dan banyak lagi dan banyak lagi. Sepanjang mana pun umur seseorang, sekaya mana pun, sekuasa mana pun, sesihat manapun, hatta katalah baru semalam meraikan harijadinya yang ke 121, sihat wal'afiat. Umur luaran ialah 121 tahun tetapi umur dalaman baru 32 tahun, walaupun jika ada orang yang sebegitu, pasti mati juga disuatu saat. Apatah lagi jika umur luaran 50 tahun tetapi umur dalamannya ialah 83 tahun. Semua akan mati.

10.0] Kematian, apa yang berlaku selepas mati? Tidak kiralah orang mukmin atau orang kafir, bagaimana keadaannya? Mari kita pelajari ayat yang berikutnya iaitu surah Al-Ankabut ayat 58 dan 59.

Orang-orang yang siddiq atau benar dan beriman kepada Allah dan Rasulnya dan diterjemahkan dalam 'amal soleh dalam cara kehidupan sehari-harinya. 'Amal soleh itu berupa iltizam fi amanillah, melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah. "Nescaya Kami akan tempatkan  mereka di tempat-tempat yang tinggi dalam syurga yang mengalir dari bawahnya sungai-sungai yang pelbagai jenis". Ada terdapat 4 jenis sungai di syurga, rujuk surah Muhammad ayat 15;


Tentang sungai-sungai yang mengalir di syurga, rujuk pula surah At-Taubah ayat 100 yang mana ianya satu-satunya ayat yang berbeza dari ayat lain.


Kalimah (جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَاالْاَنْهَارُ), tiada kalimah min, tidak seperti yang biasanya  (تَجْرِي مِن تَحْتِهَاالْاَنْهَارُ), seperti ayat-ayat lain. Di dalam Al-Quran, tidak ada ayat yang berbeza melainkan ada yang berbeza, maksudnya jika terdapat dalam satu-satu ayat mungkin jumlah kalimah yang tidak sama, atau mungkin dalam satu kalimah tetapi jumlah huruf tidak sama, maka maknanya akan tidak sama. Syurga yang mengalir dari bawahnya sungai (ada kalimah min مِن ) adalah lebih tinggi kedudukannya, lebih tinggi maqamnya, kerana punca air bermula dibawahnya, maka maknanya tidak sama dengan syurga yang mengalir sungai dibawahnya (tiada kalimah min مِن ) yang mana tiada punca air dibawahnya tetapi sungai yang mengalir dibawahnya adalah dari punca air syurga yang lebih atas kedudukannya. Syurga itu juga ada tingkatan dan bilik (ghuraf). Ada bilik-bilik khas. Contohnya seperti bagi orang yang pergi mengerjakan haji melalui package platinum misalnya, mungkin di Mina tinggal di bilik istimewa, seorang sebilik atau 2 bilik seorang, manakala orang yang ikuti package muassasah, terpaksalah tinggal dalam kumpulan yang ramai, tiada bilik, dilonggokkan disatu tempat macam balai-raya. Begitulah keadaannya di syurga nanti yang juga terdapat maqam berbeza, ada maqam tertinggi dan ada maqam yang rendah. Syurga yang paling tinggi maqamnya, adalah syurga yang paling atas dimana semua mata air syurga pun berpunca dari bawahnya تَجْرِي مِن تَحْتِهَاالْاَنْهَارُ .

11.0] Perbandingan ayat 58, 59 dengan ayat 54, 55 sebelumnya adalah cerita tentang orang kafir berbanding orang mukmin. Nasib mereka yang berbeza. Nasib mereka dibandingkan. Muqobalah pertama ialah tentang cara kematian yang ada 2 jenis iaitu husnul-khotimah dan suul-khotimah. Allah buat perbandingan. Ayat 54, ayat itu ditutup dengan "Sesungguhnya Jahannam itu meliputi orang-orang kafir".  Kalau si kafir mendapat Jahannam, si mukmin pula mendapat Jannah. Muqobalah kedua ialah orang-orang mukmin akan disediakan ghuraf (bilik-bilik khas) yang mengalir dari bawahnya sungai-sungai ima sungai air, sungai madu, sungai arak dan sungai susu yang diidamkan setiap orang. Sementara si kafir, atasnya ada azab, di bawah kakinya ada azab, seperti diceritakan di dalam ayat 55 sebelum ini. Seumpama jika buka pintu ada laluan LRT, dibawah ada komuter, di atas pun ada juga, tentu tidak seronok. Bising, hingar bingar.

12.0] Bagi orang mukmin, dibawah bilik-biliknya ada sungai pelbagai jenis mengalir. Adakah Allah sebut di atasnya? Tiada. Kenapa? Di dalam ayat 58 tidak ada disebut apa ada dibahagian atas syurga sebab syurga itu sudah berada di tempat paling atas. Ini sangat menarik dari segi i'jaz Qurani. Sementara si kafir, di bawahnya api dan di atasnya azab, sebab orang kafir itu berada di bawah. Lebih-lebih lagi bagi orang munafik yang berada di neraka paling bawah.

13.0] Tingkatan syurga dipanggil darajah, tingkatan makin keatas makin tinggi maqamnya, seumpama +1, +2, +3, +4, manakala tingkatan neraka dipanggil darkun tingkatan makin kebawah makin berat azabnya, seumpama -1, -2, -3, -4.

14.0] Perbezaan apabila orang itu diuji dengan nikmat (khair) lalu bersyukur, diuji dengan musibah (syar) dia bersabar berbanding dengan orang yang apabila diuji dengan nikmat (khair) dia kufur dan apabila diuji dengan musibah (syar) dia jaza' (mengeluh, tidak sabar, tidak redho), maka dengan itulah ada orang yang akan mendapat husnul-khotimah dan ada orang yang akan mendapat suul-khotimah. Ertinya tempat ujian adalah sama iaitu di dunia, masa ujian adalah sama iaitu semasa hidup, jenis ujian juga adalah sama, iaitu samada nikmat atau musibah, bergantung atas bagaimana seseorang itu menghadapinya samada sabar atau jaza' dan syukur atau kufur. Tetapi kenapa yang satu makin keatas dan satu lagi makin kebawah? Itulah hakikat kehidupan. Macam kitalah yang dahulunya belajar di sekolah rendah yang sama dengan kawan kita, kemudian ke sekolah menengah juga sama, duduk satu meja, guru sama, uniform sama. Setelah 40 tahun kemudian, bertemu semula, nasib berbeza, tidak sama. Yang satu menjadi PM (perdana menteri), manakala yang satu lagi menjadi PM (pengerusi masjid). Yang satu menjadi menteri manakala yang satu lagi menjadi dreber menteri. Walhal itu kawan-kawan semasa awalnya. Macamana yang satu berjaya dan yang satu lagi tidak berjaya? Tetapi tidak apalah, kerana itu hanyalah kejayaan dunia, itu bukan fauzul 'azim, itu bukan kejayaan mulia yang hakiki.

15.0] Sikap seseorang menghadapi hidup ini yang akan membezakan akhir hidupnya samada husnul-khotimah atau suul-khotimah. Orang yang husnul-khotimah menaik ke atas sehingga tidak ada lagi yang di atas daripadanya kerana dialah yang paling atas. Manakala orang yang mendapat suul-khotimah menurun kebawah, yang paling ringan yang di atas, yang paling berat akan terkebawah. Itu rahsianya kenapa tidak disebut di atasnya bagi syurga kerana syurga itu sudah berada di bahagian paling atas sehingga memungkinkan mereka penghuni syurga diizin Allah untuk dapat memandang Allah SWT. Bukan semua ahli syurga yang diberi izin atau kemuliaan untuk dapat melihat Allah SWT. Rujuk surah Al-Qiyamah ayat 22,23:



Itu janji Allah. Tidak semua ahli syurga dapat melihat Allah. Rujuk surah Yunus ayat 26:

Tambahan yang akan didapati oleh orang yang mendapat syurga ialah nikmat melihat Allah SWT.

16.0] Ingat! dalam agama ada 3 tiang. Sabda Nabi saw, yang diceritakan oleh Jibril, "Tiang pertama yakni Al-Islam, tiang kedua yakni Al-Iman dan tiang ketiga yakni Al-Ihsan. Orang-orang yang Islam, اَلَّذِينَ اَسْلَمُو , orang-orang yang beriman,اَلَّذِينَ ءَامَنُو , orang-orang yang ihsan, اَلَّذِينَ اَحْسَنُو . Daripada Ibnu Qayyim, orang Islam dipanggil muslim, yang beriman dipanggil mukmin dan yang ihsan dipanggil muhsin. Orang yang Islam (yang memeluk Islam) belum tentu mukmin, sepertimana ketika orang Badwi jumpa Nabi saw dan berkata "aamanna". Allah perintahkan Nabi saw supaya memberitahu orang-orang Badwi itu "lam tu'min- belum beriman" tetapi katakan "baru Islam, Islamna" . Walaupun mereka telah melakukan kebaikan tetapi belum kerana Allah. Orang mukmin pasti muslim. Orang yang mukmin belum pasti muhsin tetapi orang muhsin pasti mukmin dan  muslim, 3 tingkatan yang tidak dapat dipisahkan dan muhsin adalah tingkatan agama مُرَاتِبُ الدِّين -muratibuddin yang paling tinggi. Di dalam surah Yunus ayat 26 di atas, Allah ceritakan tentang orang-orang yang terbaik (ahsanu), orang-orang muhsin, ganjaran Allah ialah Al-Husna (yang terbaik). Orang-orang muhsin akan mendapat Al-Husna syurga dan isinya dan ziadah (tambahan) dapat melihat Allah SWT. Kenapa hanya orang muhsin sahaja yang akan dapat melihat Allah SWT?

Sabda Nabi saw,  "اَلاِحْسَانُ هُوَاَن تَعْبُدَاللهُ كَاءَنَّكَ تَرَاهُ، وَاِنْ لَم تَكُن تَرَاهُ فَاِنَّهُ يَرَاكَ "
Yang bermaksud, "Al-Ihsan ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah (musyahadah) dan sekiranya kamu tidak dapat melihat Allah maka kamu merasa Allah melihat kamu (muroqobah)". Patutlah orang muhsin dapat melihat Allah kerana telah berlatih melihat Allah semasa hidupnya. Kita semua janganlah meletakkan harapan yang rendah seperti mengatakan,"Tidak apalah jika dapat belakang pintu syurga pun jadilah". Jangan begitu. Allah bagi peluang yang paling atas dan kita kenalah berusaha dan mengajak kawan-kawan kita  ramai-ramai untuk masuk ke syurga. Jangan tamak, dakwah itu perlu, syurga itu seluas beberapa langit dan bumi. Sebagaimana terdapat di dalam surah Aa-Li Imran Allah berfirman, " Segeralah kamu minta ampun dari Allah dan mohonkan syurga yang seluas langit dan bumi." Kalau kita masuk ke syurga keseorangan, tentu sunyi dan sepi. Oleh itu kita kena ajak orang lain untuk masuk syurga. Ajak kawan-kawan, dakwah  orang-orang yang kita sayang, apabila melihat kawan kita yang ada bahagiannya bengkok sana-sini, tolong betulkan. Ajak kawan-kawan kita ramai-ramai mencari jalan  supaya dapat masuk syurga kerana syurga masih luas dan lapang. Berbeza dengan neraka yang tempatnya sempit dan menyiksakan.

17.0] Apabila seseorang sudah membiasakan diri menyembah Allah seolah-olah melihat Allah (musyahadah), maka merekalah yang akan dapat melihat Allah nanti. Kalau pun tidak mampu musyahadah,  minimum adalah merasa diri sentiasa dilihat oleh Allah iaitulah muroqobah.

18.0] Pada masa pemerintahan Saidina Omar, Omar muroqobah dan rakyatnya pun muroqobah. Seorang anak perempuan, disuruh emaknya supaya mencampurkan air kedalam susu yang akan dijualnya pada besok harinya, tetapi anak itu tidak mahu kerana katanya, " Nanti Umar marah"  Umar muroqobah. Kata ibunya, " Mana Umar tahu, Umar pasti sudah tidur di istananya". Rupa-rupanya Umar berada diluar rumah itu dan mendengar. Allahu Akbar. Sambung anaknya,"Benar ibu, Umar mugkin tidak nampak tetapi Allah nampak". Anak itu muroqobah.

19.0] Ada lagi satu cerita tentang pengembala kambing yang muroqobah, yang apabila dihasut oleh seorang yang berhati jahat supaya menjual saja kambing  gembalaannya. Tuan kambing tidak nampak dan boleh diberi alasan dan dalihan mengatakan kambingnya itu hilang sahaja. Hamba itu tidak mahu melakukan sedemikian kerana takut kepada Allah yang dirasakan melihatnya. Itulah muroqobah yang sangat penting dan jika dapat diterapkan kedalam  diri setiap insan pasti dunia akan aman, kerja polis akan menjadi ringan, PDRM pasti dibubarkan, kedai yang lupa ditutup pintunya pun tidak apa-apa. Di malam hari, kita tidak menutup pagar pun tidak mengapa. Jika semua orang muroqobah, tidak perlu kepada undang-undang yang banyak untuk menjadikan kita lebih baik. Itulah kita ini belum menjadi muslim, mukmin dan muhsin yang terbaik. Sedangkan undang-undang Allah ada dan lebih kuat dan lebih cukup untuk jadikan kita baik. Tetapi kenapa masih banyak kong-kaling-kong dalam kehidupan masyarakat Islam? Cuba jikalah muroqobah dijalankan sepenuhnya.

20.0] Siapakah orang-orang yang mendapat kebaikan syurga dan tambahannya iaitu dapat melihat Allah? Jawapannya terdapat di dalam surah Al-Ankabut ayat 59,

Orang-orang yang akan mendapat kebaikan syurga dan tambahannya ialah orang yang sabar dan bertawakkal kepada Allah. Itulah amalan semasa hidupnya. Itu kunci sehingga mereka mendapat ghuraf, mendapat syurga yang paling tinggi yang terdapat 4 jenis sungai yang mengalir dari bawahnya, dan mendapat tambahan dapat melihat Allah yang tiada tandingan nikmatnya. Allahumma aamiin. Mudah-mudahan diberkati.














No comments:

Post a Comment