Tuesday, January 10, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 57), Kuliah 55- Doa sesuai usia, Ujian Syar/Khair, Sabar, Syukur, Jaza', Kufur, Husnul-Khotimah, Suul-khotimah.

1.0] Alhamdulillah. Pertama-tama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang masih mengizinkan kita sampai ke tahun baru 2017. Kesyukuran kita kerana Allah tidak putus-putus memberikan kita rahmatNya, setelah Dia ciptakan kita sebagai sebaik-baik makhlukNya, ditunjukkanNya kita kepada jalan kebenaran, di muliakan kita dengan nikmat iman dan ihsan. Mudah-mudahan Allah berikan kita istiqomah tetap menyelusuri kitabNya yang suci. Selawat dan salam supaya Allah sentiasa limpahkan kepada Nabi Muhammad saw, Nabi dan Rasul yang kita harap-harapkan syafaatnya kelak. Nabi yang telah memperjuangkan umatnya termasuklah umat yang belum lahir pada zamannya. Nabi yang tidak rela seorang pun daripada umatnya diakhirat kelak masuk neraka. Nabi yang kadang-kadang tidak memikirkan kesenangan dirinya untuk pastikan umatnya bahagia, mendapat kebaikan dunia dan kebaikan akhirat. Selawat dan salam juga mudah-mudahan Allah limpahkan kepada keluarga baginda juga sahabat-sahabatnya yang sentiasa setia menemani baginda sepanjang hayatnya.

Kita juga pohon ampunan dan rahmat Allah SWT kepada ulama-ulama pejuang agama yang telah mendahului kita yang kerana dengan wasilah merekalah kita dapat mengenal Islam, kita mengenal Al-Quran, kita dapat mengenal hadith. Mudah-mudahan kebaikan ulama yang telah meninggal dan telah berjasa besar kepada kita diterima Allah amalan mereka sementara jika mereka mempunyai kesilapan atau kesalahan dalam berijtihad atau terdapat kekeliruan dalam berfatwa yang tidak menepati Al-Quran dan Hadith lantaran mereka juga adalah manusia yang tidak maksum, maka kita dengan ikhlash hati dan jujur memohon ampunan bagi mereka daripada Allah SWT. Mereka adalah orang-orang yang berjasa, dan hanya Allah SWT sajalah yang akan menentukan dan mengadili amal dan perbuatan mereka.

Kita sekarang sebagai pewaris Nabi saw dan penerus perjuangan ulama tentu berusaha bukan saja mencontohi bahkan kalau boleh ingin lebih daripada mereka sehingga kita dapat mewariskan Islam kepada generasi selepas kita sebagaimana Islam yang diwariskan oleh Nabi saw kepada para sahabatnya, sebagaimana Islam yang diwariskan kepada para tabi' tabi'in, sebagaimana Islam yang diwariskan daripada para ulama kepada kita hari ini. Mudah-mudahan Allah berikan kita kekuatan untuk melakukan semua itu. Allahumma aamiiiin.

2.0] Ayat terakhir yang kita pelajari pada kuliah lepas ialah tentang celaan Allah kepada mereka yang lemah dalam beragama, celaan Allah kepada mereka yang mementingkan duniawi dari agama Allah. Mereka yang berat untuk meninggalkan kampung halaman yang mereka yakin memberi kebahagiaan duniawi walaupun mereka gagal melaksanakan perintah Allah. Orang-orang ini yang dicela oleh Allah dalam ayat yang telah kita pelajari iaitu di dalam surah Al-Ankabut ayat 54, 55 dan 56. Allah suruh mereka berhijrah meninggalkan tempat lama yang tidak sesuai untuk mereka melaksanakan perintah agama. Allah beritahu kepada mereka bahawa sesungguhnya bumi Allah ini amat luas tetapi mereka tidak mengambil berat tentangnya.

3.0] Pesan orang-orang 'alim,"Dalam hidup ini, tidak kisahlah kita jadi siapa pun atau jadi apa pun. Jadi orang miskin atau kaya, susah atau senang, tinggal di kampung atau di bandar, rumah kecil atau besar, sakit atau sihat, rakyat atau pemimpin, tidak menjadi masalah yang penting, kerana yang penting ialah dosa terampun dan kelak dapat masuk ke syurga". Jika sakit tetapi dosa terampun dan dapat masuk ke syurga adalah jauh lebih baik dari menjadi sihat tetapi dosa tidak terampun dan kelak akan masuk ke neraka. Tiada lebihnya jika kaya-raya, sihat-afiat tetapi jika akhirnya kelak akan masuk neraka dan tiada apa ruginya jika seseorang itu sakit yang tidak pernah sihat, atau miskin tidak pernah kaya di dunia ini tetapi akhirnya dapat masuk syurga. Oleh itu jika rasa-rasalah gaya hidup kita, atau tempat tinggal kita atau perbuatan kita atau kawan-kawan kita yang hanya akan mencampakkan kita ke dalam azab Allah, bersegeralah berhijrah. Jangan tunggu lama-lama, bersegera berhijrah supaya tidak rugi, supaya tidak menyesal nanti.

4.0] Banyak contoh dari sejarah, seperti fir'aun laknatullah, yang punya segalanya, pangkat, kekuasaan, pengikut yang ramai, sihat tidak pernah sakit, makan-minum berlebihan tidak pernah berkurang, harta-benda kaya-raya sehingga mungkin kasutnya pun daripada emas sehingga susah untuk dipakai, namun apa maknanya jika sekarang dia diazab di tempat menunggu dan akan ke neraka kelak. Berbanding dengan orang seperti Bilal bin Rubah, Syuaib bin Ar-Romi, Abu Zar Ar-Rifari. Apa yang Bilal miliki semasa hayatnya? Tiada apa-apa. Tetapi apa ruginya kerana mereka ini ahli-ahli syurga. Oleh itu jika jadi siapa pun, jadi apa pun, tinggal dimana pun, tidak begitu penting, kerana yang lebih penting ialah dosa diampun dan dapat masuk ke syurga. Alhamdulillah jika di dunia kaya tidak pernah miskin, senang tidak pernah susah, sihat tidak pernah sakit, di akhirat pula dapat ampunan daripada Allah, dan dapat masuk ke syurga. Yang celaka ialah jika di dunia susah, makan pagi kais pagi, makan petang kais petang, tetapi apabila telah mendapat sedikit rezki dibelinya nombor ekor. Apabila tidak berhasil, mengamuk.

5.0] Bumi ini luas, jika rasa-rasanya segala yang kita punya kini, tempat ini, kerja ini, tidak membolehkan kita menjadi lebih baik atau tidak mendekatkan kita kepada Allah, maka bersegeralah berhijrah. Hayati doa yang baik ini:

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنِى حُبَّكَ، وَُحُبَّ مَن يُحِبُّكَ، وَحُبَّ عَمَلٍ يُقَرِّبُنِى اِلَى حُبِّكَ.

"Ya Allah, rezkikan aku untuk mencintai Mu, dan mencintai sesiapa yang mencintai Mu, dan mencintai amalan yang dapat mendekatkan aku untuk mencintai Mu"

6.0] Amalan dan pekerjaan yang makin mendekatkan kita dengan Allah, teruskan dan sebaliknya jika amalan yang makin menjauhkan kita dari Allah maka tinggalkanlah. Berhijrah, dengan niat yang bersungguh-sungguh untuk mencari Redho Allah, in syaa Allah akan berjaya dan jika meninggal pun Allah sudah terima. Rezki yang dipohonkan di sini bukan  wang ringgit dan bukan kesihatan tetapi rezki untuk mencintai Allah. Perlulah diubah doa kita sesuai dengan keperluan kita masing-masing. Jangan asyik itu-itu sahaja doanya, seperti yang biasanya mohon umur panjang, bukankah Allah sudah kabulkan? Sudah berpuluh tahun Allah hidupkan kita sehingga kini. Doa mohon rezki yang luas tanpa berpenat lelah, Allah juga sudah kabulkan. Sudah terlalu banyak nikmat Allah kepada kita. Sekarang ubahlah doa kita sesuai dengan keperluan yang sangat mendesak sebelum kita dipanggilNya kembali. Mungkin semasa umur kita 17 tahun dahulu lain keperluannya, maka doa kita pun berlainan. Ketika kita berumur 25 tahun, lain pula keperluan dan doa kita. Ketika berumur 40 tahun lain doanya, 60 tahun lain lagi. Semasa berumur 17 terbalik ( 71 tahun) berbeza lagi dan tak-kanlah  ketika berumur 18 tahun terbalik pun masih sama doanya.

7.0] Surah Al-Ankabut ayat 57;

Ayat yang berbunyi seperti ini diulang-ulang sebanyak 3 kali di dalam Al-Quran. Jadi untuk memahami ayat ini, kita kena mengambil kira 2 ayat yang lain itu supaya kita mendapat kesimpulan dan gambaran yang menyeluruh. Ayat yang  dimaksudkan ialah surah  Al-Ankabut ayat 57, Aa-Li Imran ayat 185 dan Al-Anbiya' ayat 35. Ketiga-tiga ayat ini semuanya dimulakan dengan kalimah;  
 (كُلُّ نَفْسٍ ذَاءِقَةُ المَوْتِ ) walaupun sambungannya berbeza.. Rujuk surah Al-Anbiya' ayat 35, in syaa Allah 2 ayat lain itupun sudah masuk pengertiannya.

8.0] Surah Al-Anbiya' ayat 35;

Ayat diatas terbahagi kepada 3 bahagian iaitu;
i) Bahagian 1 -(كُلُّ نَفْسٍ ذَاءِقَةُ المَوْتِ  ) -"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati". Nafs ditafsirkan sebagai nyawa/ jiwa/ diri. Masa berlakunya ialah diantara alam dunia dan alam barzakh dimana saat itu seseorang itu sudah nampak alam barzakh tetapi masih juga dapat mendengar tangisan anak-anak atau keluarga dan dia tahu apa yang doktornya buat. Umpama kaki kanannya masih di Kuala Lumpur dan kaki kirinya sudah di alam barzakh. Bagi kita sekarang belum merasai, semalam juga belum merasai tetapi besok belum tentu.

ii) Bahagian 2 -(وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّوَالْخَيْرِفِتْنَةً) -"Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya)". Allah timpakan balaa' (ujian)- samada balaa' syar/khair (buruk/baik). Ujian buruk ialah seperti sakit, miskin, susah, dibuang kerja dan sebagainya dan kita sepatutnya bersabar, manakala ujian baik ialah seperti sihat, senang, kaya, dinaikkan pangkat dan sebagainya dan kita sepatutnya bersyukur. Masanya ialah di dunia seratus peratus.

iii) Bahagian 3 -(وَاِلَيْنَاتُرْجَعُوْنَ) - "Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan". Masanya ialah di akhirat yang hanya terdapat 2 tempat  kembali iaitu syurga atau neraka. Bahagian 3 ditentukan dengan bahagian 2.

Sekarang kita sedang diuji, sekarang kita sedang menjawab soalan. Bagaimana untuk lulus? Ujiannya hanya ada 2 jenis, syar/khair iaitu ujian buruk atau ujian baik. Ujian buruk ialah seperti kesusahan, miskin, payah, kematian, beg diragut, pelaburan tidak memberi pulangan, yang di cari tidak dapat, yang sudah dapat hilang pula. Bagaimana untuk kita hadapi? Jawapannya ialah Sabar,

Apabila kita diuji pula  dengan kesenangan, sihat tidak pernah sakit, senang tidak pernah susah, kaya tidak pernah miskin, untung tidak pernah rugi, berjaya tidak pernah gagal, maka perlulah bersyukur dan tidak ada cara lain.

9.0] Hidup ini rupanya umpama mata wang syiling yang di sebelahnya ialah sabar dan di sebelah lagi ialah syukur. Apabila anda baling siling itu ke atas, ia akan jatuh dan akan terbalik ke permukaan sabar atau permukaan syukur. Maknanya jika kita bangun saja dipagi hari, peristiwa yang akan kita alami dari mula bangun pagi sehingga ke malam nanti, kalau tidak peristiwa yang menyenangkan, kita akan hadapi peristiwa yang menyusahkan. Oleh itu jika berdepan dengan ujian buruk (syar), hendaklah bersabar dan jika menemui ujian kebaikan (khair), hendaklah bersyukur. Tidak ada orang yang Allah tidak beri peluang untuk dia bersabar atau bersyukur sehingga mati. Tidak ada orang yang tidak pernah diuji, sebab kehidupan ialah ujian, hanya saja mungkin orang yang kurang cermat memahaminya fikir bahawa ujian yang Allah beri adalah ujian kesusahan sahaja sepanjang hidup ini. Mungkin seperti ketika berniaga, apabila kerugian, teman kongsi menipu, kedai kena roboh dan sebagainya terasa dirinya sedang diuji Allah. Walhal ketika sedang senang, perniagaan naik maju dan sebagainya pun itu adalah ujian dari Allah. Hanya saja kita lebih mudah memahami jika ujian itu berupa syar, padahal khair pun balaa' ujian yang payah untuk kita meyakinkan diri kita itu sebagai balaa'.

10.0] Allah menyuruh kita mengambil sikap berbeza dalam menghadapi kedua ujian yang berbeza ini. Apabila syar, bersabar, apabila khair, bersyukur. Contohnya bagi seseorang yang sudah lama berkahwin namun tidak juga dikurniakan zuriat, maka bersabarlah. Mungkin selepas 15 tahun nanti dapat zuriat kembar 3 (qodho' Allah), maka bersyukurlah kerana sudah mendapat apa yang diharap-harapkan.

11.0] Syukur dan sabar sebenarnya adalah sama dan kedua-duanya adalah kenderaan seseorang untuk mendapatkan syurga. Orang miskin sabar dan orang kaya syukur, nanti mereka dapat berjumpa di syurga Allah. Orang yang hidupnya senang sentiasa dan bersyukur dengan orang yang sentiasa ditimpa kesusahan dan bersabar, senang susah itu adalah kenderaan untuk menghantar orang itu ke syurga Allah. Yang penting yakni samada kenderaan itu boleh menyampaikan seseorang, atau menghantarkan seseorang itu kepada destinasi yang dituju atau tidak. Apalah ertinya jika seseorang itu punya kereta Ferari tetapi tidak dapat sampai ke destinasi yang ditetapkan contohnya ke Johor Bharu, tetapi asyik berpusing-pusing sahaja di Bangi berbanding dengan seorang lain yang hanya punyai kereta lembu tetapi dapat sampai ke destinasi yang telah ditetapkan iaitu Johor Bharu. Contohnya, bertolak pada masa dan tempat  yang sama, orang yang berkenderaan Ferari itu diberi had masa iaitu mesti sampai ke Johor Bharu jam 10 pagi manakala orang yang berkenderaan kereta lembu diberi had masa mesti sampai ke destinasi Johor Bharu besok paginya. Andainya orang yang menaiki Ferari terpesona dengan keindahan di sepanjang lebuhrayanya, terpedaya dengan signboard dijalanraya, terleka pula di Nilai, berhenti mengambil gambar, dirikan khemah, maghrur (terpedaya) dijalanannya walhal masanya ada sedikit lagi, dan tidak dapat sampai ke Johor Bharu. Sia-sia ada Ferari. Berbalik kepada yang hanya berkenderaan kereta lembu, yang sedar kesusahan dan kepayahan diri, lama-lama sampai juga kedestinasi.

12.0] Bukan ujian yang penting tetapi yang penting ialah tentang sikap kita menghadapi ujian, samada ujian syar atau khair. Allah Maha Bijaksana, sesekali kita diuji dengan syar dan sesekali kita diuji dengan khair. Di dalam Al-Quran, nabi yang diuji dengan kedua-duanya dan berjaya ialah Nabi Yusuf as yang diuji semasa kanak-kanak sehingga remaja. Ujian syar bagi Nabi Yusuf as ketika kanak-kanak ialah telah menjadi mangsa kedengkian adik-beradiknya, kemudian dicampakkan ke dalam perigi, Allah selamatkan, dijumpai pula oleh peniaga yang hubbud-dunia, yang bersifat tamak, yang menjualnya kepada penguasa Mesir, hilang kemerdekaan dirinya. Nabi Yusuf as sekejap sahaja merasa nikmat menjadi hamba kepada penguasa Mesir itu, lalu datang lagi ujian buruk dari godaan isteri tuannya sehingga dimasukkan ke dalam penjara, hampir satu dekat (9 Tahun), walaupun bukan kerana kesalahan yang dilakukannya. Nabi Yusuf as tetap bersabar, tidak pernah bersungut kepada Allah, tidak pernah meragui keadilan Allah, apa lagi bapanya telah mengingatkannya tentang mimpi yang di alaminya semasa kanak-kanak dahulu. Selepas Nabi Yusuf as diuji oleh Allah dengan ujian syar dan dia bersabar, tiba masanya dia diuji pula dengan ujian khair. Nabi Yusuf as dibebaskan dari penjara, diberikan jawatan, kuasa, mentadbir perbendaharaan negara, dan mendapat kemewahan. Nabi Yusuf as tetap bersyukur ketika telah berada di puncak dan telah dapat memakmurkan bumi Mesir, bahkan doanya, seperti di dalam surah Yusuf ayat 101 yang bermaksud,"(Wahai Tuhan) Pencipta langit dan bumi, Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, matikanlah aku dalam keadan muslim dan hubungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh".

13.0] Biasanya setelah sekian tahun seseorang itu bersusah menderita, kemudian jika Allah berikan kesenangan, mungkin doanya seseorang itu kepada Allah ialah supaya dipanjangkan umurnya, supaya mendapat peluang menikmati kesenangan yang baru dikecapi setimpal dengan lama masanya dia telah menderita. Nabi Yusuf as sabar sudah, syukur sudah dan apabila sudah berjaya di bahagian 2 dan dibahagian 1 maka dibahagian 3 tentu berjaya. Ujian itu ada hadnya, begitu juga dengan hidup ini, yang ada hadnya. Apabila orang itu sudah berjaya untuk bersabar dan bersyukur maka ketika berpindah dari alam dunia ke alam akhirat, kematiannya adalah di dalam husnul-khotimah, pengakhir yang baik. Tentang husnul-khotimah, rujuk surah An-Nahlu ayat 32:

Orang-orang yang mendapat husnul-khotimah yang ketika malaikat mematikan mereka dari dunia ke akhirat dalam keadan baik, malaikat memberi salam kepada mereka dan mempersilakan mereka ke syurga. "Allah yang mempunyai sifat Salam, memberi Salam kepada kamu". Salam Allah di dalam Al-Quran ada 12 tingkatan tanda kejayaan seseorang. 

14.0] Malaikat-maut yang biasanya bermuka bengis dan menakutkan kepada sesetengah orang, tetapi kepada orang yang berjaya mendapat husnul-khotimah, malaikat-maut itu datang memberi salam, sebelum mencabut nyawa. Hanya orang itu sahaja yang tahu, orang lain tidak tahu dan tidak nampak. Kemudian dipersilakan masuk syurga dan urusannya selepas itu semuanya mudah. Bayangan syurga sudah ditayangkan, Raudhatul-Jannah telah dinampakkan.

15.0] Sebaliknya jika ketika di dunia, seseorang itu tidak sabar ketika ditimpa musibah, jaza' -جَزَع iaitu berkeluh-kesah, tidak puas-hati, lawan, protes ketika diuji, demonstrasi di depan Allah, kemudian jika diberi nikmat pula dia kufur, maka orang itu akan mendapat suul-khotimah. Contohnya apabila kematian orang yang disayangi, maka dia protes, jika selama ini dia solat, kini mogok solat, mengurung diri di bilik 24 jam tidak keluar-keluar, makan tidak mahu, mandi tidak mahu, pakai baju pun tidak mahu, rambut tidak mahu disisir rapi, memandang kosong ke hadapan. Itu kan demonstrasi di hadapan Allah. Perlakuan yang berlawanan dengan sabar. Sementara apabila diberi khair atau kebaikan, nikmat, kesenangan, kemewahan,dia kufur dan jaza'-جَزَع, lupa daratan, joli katak, raya sakan. Orang-orang seperti ini, apabila matinya jika tidak sempat bertaubat akan mendapat suul-khotimah. Ketika berpindah dari alam dunia ke alam barzakh, lari sana, lari sini, tidak redho untuk mati, tetapi akhirnya terpaksa menyerah diri macam fir'aun.

16.0] Bagaimana nasib dan keadaan mereka semasa berpindah dari alam dunia ke alam barzakh? Jika semasa diuji syar (keburukan) dia gagal, diuji dengan khair (kebaikan) juga dia gagal. Semasa sihat dia gagal menjadi hamba Allah yang baik, semasa sakit dia gagal menjadi hamba Allah yang baik, semasa bekerja (berkarier) gagal jadi hamba Allah yang baik, setelah berhenti bekerja juga gagal menjadi hamba Allah yang baik, apabila mati dalam suul-khotimah, bagaimana keadaannya? Rujuk surah Al-Anfal ayat 50;

Nabi saw pun, Allah kata, tidak boleh mengetahui samada orang itu husnul-khotimah atau suul-khotimah. Apa yang kita lihat pada zahir diri orang yang sedang sakaratul-maut belum tentu menggambarkan haqiqat sebenarnya. Kita perlu betulkan persepsi. Jika kita tengok orang itu semacam dalam kesakitan, belum tentu dia sedang disiksa, atau nampak orang itu mati dengan tenang, belum tentu ianya mendapat husnul-khotimah, tidak dapat kita mempastikan keadaan sebenarnya. Hanya yang mampu kita berdoa sahajalah. Orang yang mendapat suul-khotimah dilepuk muka dan belakang mereka sambil dimaki-maki oleh malaikat. Dalam proses saat kematian pun sudah ada siksaan. Na'uzubillah.

17.0] Ingatan untuk diri! Ada 2 sahaja pilihan untuk berjaya di dalam ujian, iaitu sabar apabila diuji dengan keburukan dan syukur apabila diuji dengan kebaikan. Maka akan mendapatlah husnul-khotimah. Sekarang masa kita di dunia, jika ketika diuji dengan keburukan dia jaza'-جَزَع (lawan, protes, tidak redho), dan ketika diuji dengan kebaikan (khair) dia kufur ( tidak bersyukur), maka saat sakaratul-maut, akan mendapat suul-khotimah. Bagaimana cara matinya ditentukan dengan cara hidupnya.

18.0] Kita yang masih hidup, apa yang kita lakukan setiap saat dalam minitnya, setiap minit dalam jamnya, setiap jam dalam harinya, setiap hari dalam minggunya, setiap minggu dalam bulannya, setiap bulan dalam tahunnya, setiap tahun dalam dekatnya, setiap dekat dalam abadnya, bahkan setiap saat, kita sedang menempah tempat di akhirat. Jika kita bersyukur apabila mendapat khair dan bersabar apabila mendapat syar, maknanya kita sudah menempah husnul-khotimah dan sebaliknya jika apabila mendapat syar lalu jaza'-جَزَع  dan ketika mendapat kahir lalu kufur maka orang itu sedang menempah suul-khotimah. Sijilnya ialah husnul-khotimah dan suul-khotimah yang diserahkan di masa bahagian 1 iaitu ketika sakaratul-maut antara dunia dan alam barzakh.

19.0] Kita masih diberi peluang, mungkin kesempatan yang Allah beri sekian lama masih ada banyak kekurangan diri, masih banyak kekosongan yang perlu kita tutupi. Oleh itu sementara masih hidup masih ada peluang untuk mencapai yang terbaik untuk kebahagiaan akhirat kita. Perjalanan kita bermula di bahagian 2 iaitu di dunia menuju kebahagian 1 iaitu antara alam dunia dan alam akhirat kemudian ke bahagian 3 iaitu ke alam akhirat kembali kepada Allah. Jika keadaan hidup kita sudah baik di alam dunia, in syaa Allah akan baik di saat sakaratul-maut dan akan lebih baik di alam akhirat nanti. In syaa Allah. Alam kubur itu adalah tempat persinggahan (manzil) pertama daripada manzil alam akhirat. Nabi saw bersabda, "Sesiapa yang terselamat dipersinggahan pertama (alam kubur), maka akan mudah dan terselamat dipersinggahan yang lain, hisaaban yasiiran, sebaliknya sesiapa yang tidak terselamat di alam kubur, di persinggahan lain lebih-lebih lagi susahnya".

20.0] Persinggahan yang lain ialah adanya hisab, ada sirat, ada mizan, dan destinasi terakhir adalah syurga atau neraka yang mana akan kekal selama-lamanya tiada kematian lagi. Sekarang ini mati belum mati, kematian belum dimatikan lagi. Setelah diperlihatkan kepada ahli syurga dan ahli neraka bilik-bilik mereka, selepas itu Allah sembelih kematian. Maka kekallah mereka semua tanpa mati lagi.

21.0] Sekarang pertanyaannya, daripada ketiga-tiga bahagian itu, yang paling penting ialah bahagian 2 iaitu sekarang, di sini dan kini di dunia ini . Di sini semasa kita masih lagi hidup ini, bukan untuk dihabiskan dengan sia-sia dan perbuatan dosa maksiat. Akui kesilapan diri dan saling memperbaiki diri. Hendaklah tegur-menegur kawan dengan kasih sayang, dan kawan yang kena tegur kearah kebaikan itu pula kenalah menerima. Jangan lah menganggap teguran itu kerana iri-hati atau dengki pula. Janganlah berkata,"Awak dengki dan iri-hati kepada saya kerana asyik menegur perbuatan saya. Asyik ingatkan saya tentang firman Allah atau sabda Nabi atau Ibnu Abbas berkata.." Sebenarnya kawan sejati tidak sanggup membiarkan kawannya berterusan di jalan yang salah.

22.0] Kehidupan di dunia ini adalah fasa kritikal yang sangat-sangat penting. Contohnya seorang pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan SPM, saat paling kritikal baginya ialah semasa menjawab soalan, apabila peperiksaan telah habis, tiba masa menunggu, kemudian ketika malam sebelum keputusan diumumkan jika dia berdoa, bertahajjud dan menangis air mata darah sekali pun tidak akan dapat merubah keputusannya lagi. Oleh itu masa yang paling kritikal ialah sekarang, bukan nanti. Dari segi masa kita diuji dari umur baligh sehingga antara purata umur umat Nabi saw iaitu 60-70 tahun (tahun Hijriah- Qamariah). Hanya sedikit yang melepasi umur tersebut. Umur Nabi saw ialah 63 tahun Qamariah dan menjadi lebih-kurang hanya 60 tahun Syamsiah (setiap tahun berbeza 11 tahun). Itu pun jika ditolak umur sebelum baligh 15 tahun, maka umur produktif ialah lebih-kurang 45 tahun sahaja. Tolak lagi dengan umur tidur yang lebih-kurang 15 tahun, maka tinggallah hanya 25 tahun. Itu belum lagi ditolak dengan masa tidur yang tidak formal. Maknanya kita hanya ada sedikit masa, itu pun jika diisi dengan bermanafaat. Masa yang sedikit itu penentu husnul-khotimah atau suul-khotimah kita. Itu pun kita sia-siakan umur kita dengan aktiviti yang tidak bermanafaat untuk hari akhirat kita.

23.0] Lama masanya ketika berada di alam barzakh tempat menunggu nanti tidak diketahui. Tetapi masa di akhirat adalah selama-lama iaitu infiniti. Katakan jika umur kita di dunia adalah 100 tahun berbanding umur kehidupan di alam barzakh yang kita tidak tahu berapa lamanya, dan umur di alam akhirat yang infiniti. Sedangkan 100 tahun berbanding masa yang tidak tahu dialam barzakh pun kita tidak tahu (walaupun ada had masa), ini kan pula jika berbanding dengan masa akhirat yang infiniti. Rujuk surah At-Takathur ayat 1-3 yang bermaksud,

"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu. Sampai kamu ziarah/ datangi/ masuk kubur. Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatan kamu itu)".

Perkataan ziarah atau datangi kubur menunjukkan bahawa kita hanya melawat kubur, tidak selamanya berada di situ, suatu hari akan meninggalkan kubur dan berpindah ke alam akhirat. Jangka masa di alam kubur atau alam barzakh yang sekejap itu pun, tidak tahu berapa lama. Nabi Adam pun belum dibangkitkan dari dalam kuburnya, Habil dan Qabil juga belum. Oleh itu jika dibandingkan umur di alam dunia dengan umur di alam akhirat yang infiniti, hanya sebagai kosong. Mana-mana angka yang didarab dengan 0 nilainya 0. Di alam akhirat yang infiniti masanya, maknanya 0, maka jika didarab dengan umur 100 tahun umur hidup di dunia akan jadi 0. Oleh itu kenapa tidak boleh bersabar dan bersyukur padahal didunia ini hanya sekejap berbanding kehidupan dan kebahagiaan akhirat yang kekal. Oleh itu berhijrahlah, jangan fikir yang Allah hanya boleh memberikan rezki di suatu tempat sahaja.

24.0] Kehidupan di dunia ini penentu, masanya ialah masa kita diuji dan sebenarnya hanya sekejap. Apabila kita renung kembali bilakah tahun 2000 (new milineum)? Sekejapnya berlalu, sudah 16 tahun berlalu. Bilakah tahun 2016? Sudah pun berlalu. Rasa-rasanya lidah masih dapat merasa kuih Raya lepas kini sudah dekat Ramadhan dan Raya semula. Bilakah tengok bunga-api menyambut tahun baru? Sudah berlalu dengan pantas sekali.

25.0] Tentang mati:
i) Di mana kita akan mati?- Allah sudah tentukan, tidak payah kita tempahkan tempat. Seperti  yang dinyatakan di dalam surah Luqman ayat 34.
ii) Tentang masa, bila kita akan mati?- Kita tidak tahu, Allah sudah tetapkan, bila tiba ajal tidak dapat dicepatkan atau di lambatkan. Isnin-kah atau rabu-kah, malam-kah atau siang-kah? Allah yang pilihkan.
iii) Cara kematian- mungkin boleh kita ikhtiarkan, umpamanya apabila memandu kereta dengan berhati-hati, atau bawa motor dengan tangan bukan dengan kaki. Panjat pokok dengan berhati-hati. Sebab kematian ada bermacam-macam, tetapi kematiannya hanya satu. Ada yang mati sebab faktor usia, ada yang kerana penyakit, ada yang kerana kemalangan samada kesalahan diri atau kesalahan orang lain. Boleh diusahakan, jika tidak mahu meninggal kerana penyakit hendaklah menjaga kesihatan. Mungkin mati akibat usia atau mati di medan perang (kebanyakan sahabat Nabi saw mati akibat usia atau di medan perang).
iv) Keadaan kita semasa mati- Ini yang wajib kita usahakan. Cara mengusahakannya ialah sekarang, kenderaannya hanya ada 2 sahaja iaitu sabar dan syukur yang akan menghantar kita ke husnul-khotimah. Jangan berkenderaan jaza' -جَزَع dan kufur yang menghantar seseorang itu ke suul-khotimah. Mudah-mudahan dapat menjadi panduan dan kita termasuk yang mendapat husnul-khotimah. Aamiin.






.
  



No comments:

Post a Comment