Tuesday, December 13, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 56, 57)- Kuliah 54- Hijrah Demi Agama, Cara Bertaubat, Dekati Al-Quran, 'Ibaad, 'Abid

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 56 dan 57;

Selepas Allah SWT menjelaskan tentang orang-orang musyrik dan diberiNYa mereka ancaman dengan kerugian (khusran), iaitu Allah janjikan mereka akan menjadi penghuni neraka seperti yang disebut di dalam ayat sebelumnya seperti di dalam ayat 55, bukannya mereka semakin sedar dan berubah menjadi baik dengan pelbagai ancaman itu sebaliknya mereka bertambah lagi benci terhadap orang mukmin. Permusuhan, penyiksaan dan kezaliman mereka semakin banyak terhadap orang mukmin, bahkan mereka menghalang orang-orang mukmin untuk beribadah. Surah Al-Ankabut ayat 56 ini pula ialah berkenaan dengan keadaan orang-orang mukmin yang tidak punya kebebasan untuk beribadah kerana banyak gangguan  daripada orang-orang kafir, mungkin kerana mukmin minoriti tinggal di dalam majoriti kafir, maka Allah perintahkan di dalam ayat ini supaya orang mukmin yang sayang kepada imannya agar mereka berhijrah. Allah menyuruh orang-orang yang beriman supaya meninggalkan kampung halaman jika ianya berkaitan dengan tempat tinggal dan meninggalkan pekerjaannya jika berkaitan dengan kerjaya. Jika mereka terus berada ditempat itu atau terus berkerjaya dengan pekerjaan tersebut, namun mereka tidak dapat atau tidak mampu untuk melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya maka Allah perintahkan atau wajibkan mereka untuk berhijrah dari satu tempat ke tempat lain.

2.0] Allah perintahkan orang beriman supaya mengutamakan aqidahnya, mementingkan agamanya. Jika banyak halangan untuk ia melakukan perintah Allah, jika membuatkannya susah untuk menjadi hamba Allah yang soleh lantaran tetap berada di sesuatu tempat itu, maka Allah wajibkan ia meninggalkan tempat itu atau pekerjaan itu. Carilah dan pilihlah tempat dan kerjaya yang boleh membuatnya selesa, bebas dan tenang untuk beribadah kepada Allah.

3.0] Dari tafsir secara mujmal, surah Al-Ankabut ayat 56 ini memberi maksud Allah berfirman, "Wahai hamba-hambaKu, berimanlah kepada Allah dan Rasul dan sesungguhnya bumi ini tidaklah sempit untuk kamu, bumi ini luas untuk kamu mentaati Aku dan RasulKu. Jika kamu merasa sempit di sesuatu tempat, atau jika kamu merasa susah hendak melaksanakan perintahKu, maka berpindahlah ke tempat lain kerana bumiKu ini luas. Apa lagi jika di tempat kamu berada sekarang berleluasanya maksiat kepadaKu dan RasulKu dan kamu pula tidak berupaya untuk merubahnya, maka berpindahlah segera meninggalkan tempat atau keadaan itu".

4.0] Dari hadith soheh daripada Imam Ahmad dalam Kitab Majma'uz Zawaaid Waman Ba'il Fawaaid yang dikarang oleh Abi Bakran Al-Haithami (nama lengkapnya ialah Nuruddin Abi Baurin Al-Haithami) bahawa Nabi saw bersabda, "Bumi ini semuanya adalah bumi Allah dan hamba-hambaNYa pula adalah hamba-hamba Allah". Walau kemana kita pergi, samada ke Australia atau Afrika atau Ulu Yam dan sebagainya, semua tempat dan penghuninya adalah kepunyaan Allah. "Maka di mana sahaja engkau mendapatkan kebaikan dengan mudah untuk dapat melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah maka tinggallah di situ, samada di timur, di barat, di utara di selatan, di kampung atau di bandar. Bermuqimlah disitu". [Nota: Aqim = tinggal, orangnya dipanggil muqim, lawannya safir.]

5.0] Selagi kita belum menemukan tempat untuk kita dapat menjalankan syariat Allah dengan bebas, maka carilah, buat pertimbangan dengan berpandukan sunnah Nabi saw. Berusahalah untuk mengikuti sunnah kerana memilih tempat kediaman adalah sunnah Nabi saw. Apabila kita ingin membina rumah atau anak-anak kita yang baru mendirikan rumah-tangga, ajukan pertimbangan-pertimbangan seperti berikut;

i) Di manakah saya / anak saya patut membuat / memilih rumah?
ii) Adakah kawasan pilihan itu kondusif  untuk dapat menjadi muslim yang patuh?
iii) Bolehkah tempat tinggal itu membantu dan memudahkan saya menjalankan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

6.0] Biasanya kita tidak menjadikan sunnah Nabi saw itu sebagai panduan dalam memilih tempat tinggal. Biasanya kita memilih mengikut kehendak dan kepuasan sendiri yang hanya bersifat sementara, tetapi jika kita membuat pilihan berpandukan hadith ini, kita akan mendapat ketenangan abadi dan haqiqi. Pertimbangan mencari lokasi seperti ini sudah tidak diutamakan kini. Walaupun andainya di kawasan itu ramai orang yang kulitnya tidak sama dengan kita, namun Allah telah menegaskan bahawa bumi  dan penduduknya itu adalah semuanya kepunyaan Allah. Tidak kira di mana kita akan tinggal, perlu diutamakan pertimbangan mengikut sunnah di atas. Biasanya orang akan suka tinggal di tempat yang dikelilingi saudara-maranya. Jika kita sudah merasa selesa sekalipun dengan tempat tinggal kita yang berhampiran dengan pasaraya, atau bersebelahan hospital, atau balai bomba, dan sebagainya yang memudahkan kita mendapat keperluan hidup dengan selesa, tetapi Allah tegaskan jika di tempat kita berada itu tidak menjamin kita untuk menjadi hamba Allah yang mukmin, tidak menjamin kita dapat melakukan ibadah kepada Allah dengan selesa, iman kita tersekat-sekat, sehingga kita hanyut, maka Allah perintahkan kita supaya berhijrah ke tempat lain. Sekarang hartanah boleh dijual-beli tidak seperti dizaman Nabi saw iaitu apabila Allah perintahkan supaya berhijrah ke Madinah, segala harta-benda mereka terpaksa ditinggalkan begitu sahaja di kota Mekah. Ini pesanan tegas daripada Allah dimana keimanan hendaklah dinombor wahidkan, (diutamakan).

7.0] Dari riwayat Hassan Al-Basri, dinukil oleh Az-Zaila'i di dalam tafsir Al-Kasyaf, hadith ini dinilai mursal iaitu kepada sahabat sahaja, maksudnya,"Siapa yang lari kerana agamanya, berpindah dari satu tempat ke tempat lain kerana mempertahankan agamanya, walaupun berpindah itu hanya sejengkal sahaja, tetapi jika semata-mata 100% kerana pertimbangan kepentingan agama dan iman, maka orang itu berhaq mendapat syurga dan kelak disyurga akan menjadi teman rapat kepada Nabi Ibrahim Khalilullah as dan Nabi Muhammad saw". Sangat tinggi kurniaan Allah sebab selagi seseorang itu terus berada di tempat yang menghalangnya untuk dapat beribadat kepada Allah, maka akan menghalangnya untuk mendapat husnul-khatimah nanti. Ayat ini bersangkut dengan persediaan untuk menghadapi mati. Memang tidak mudah untuk dilaksanakan apalagi jika sudah jatuh cinta dengan tempat tersebut. Tambahan pula jika nilai tempat itu melambung tinggi setiap masa. [Nota: Turun naik harga mungkin disebabkan kerana nilai mata-wang yang juga turun naik].

8.0] Memperhalusi istilah - Kalimah 'ibaadi   عِبَادِي   di dalam ayat 56 di atas;

عَبدٌ - عِبَادٌ - عَبِيدٌ

Terjemahan di dalam bahasa Melayu untuk 'ibaad   عِبَادٌ   dan 'abid  عَبِيدٌ   adalah sama sahaja iaitu sebagai hamba-hamba Allah, tetapi sangat berbeza di dalam makna bahasa Al-Quran.

i) عِبَادٌ -  عِبَادِي - يَاعِبَادِي
Merujuk kepada hamba-hamba Allah yang berdosa dan ingin bertaubat daripada dosa-dosanya. Maknanya merujuk kepada hamba Allah yang tidak baik ingin berubah menjadi baik atau daripada baik ingin menjadi lebih baik.

ii) عَبِيدٌ
Merujuk kepada hamba-hamba Allah yang berdosa tetapi tidak mahu bertaubat. Hamba yang bersalah tetapi tidak ingin memperbaiki kesilapan diri, hamba Allah yang jahat tetapi tidak berhasrat untuk berubah menjadi baik.

9.0] Berpandukan Al-Quran, siapakah hamba-hamba Allah yang tidak berdosa? Tentunya tidak ada, sebab semua manusia adalah berdosa. Sabda Nabi saw, "Setiap hamba Allah, anakcucu Adam, berbuat salah dan sebaik-baik orang yang berbuat salah ialah yang bertaubat". Penghuni syurga di akhirat kelak (kecuali para nabi dan rasul) ialah orang-orang yang berdosa yang kemudiannya bertaubat, mereka mantan pendosa, mantan pelaku maksiat. Ada yang pernah menjadi penyembah patung, ada yang membunuh anak sendiri, bahkan ada yang telah membunuh 100 orang manusia. Orang-orang yang berdosa tetapi ingin bertaubat, walaupun masih dalam proses bertaubat, masih berdosa kerana belum mendapat keampunan Allah tetapi Allah telah memanggil mereka dengan panggilan  "يَاعِبَادِي - Wahai hamba-hambaKu."

10.0] Sebelum Allah mengizinkan kita memasuki syurgaNya kita mestilah mendaftarkan diri kita supaya termasuk dalam kumpulan  عِبَادٌ -  عِبَادِي seperti di dalam surah Al-Fajr ayat 29 yakni sebagai hamba-hamba Allah yang berdosa tetapi kemudian bertaubat. Rujuk surah Al-Fajr ayat 27-30;






11.0] Hamba-hamba Allah yang berdosa tetapi bertaubat, walaupun masih di dalam proses bertaubat, walaupun belum mendapat pengampunan Allah, masih sedang memohon pengampunan berterusan daripada Allah, tetapi Allah sudah Redho, Allah memanggil mereka sebagai عِبَادِي. Allah menasihatkan, "Jika kamu ingin bertaubat, tetapi jika di tempat kamu berada sekarang itu susah untuk mempastikan dosa  kamu berkurang bahkan untuk mempastikan dosa tidak bertambah pun susah, maka tinggalkanlah tempat itu carilah tempat lain untuk memudahkan kamu mencari pengampunanKu". Rujuk surah Az-Zumar ayat 53, firman Allah SWT;


Allah sangat-sangat menyayangi hamba-hamba Nya yang berdosa tetapi ingin bertaubat. Kasih-sayang Allah kepada hambaNya yang ingin bertaubat tersangat nyata dengan panggilanNya  يَاعِبَادِي، لَاتَقنَطُو  - "Wahai hamba-hambaKu, jangan berputus-asa", jangan berputus-asa dari rahmat Allah. Apa rahmat Allah bagi orang yang berdosa? Keampunan itulah rahmat Allah. Allah kata. "Wahai hambaKu yang banyak dosa, walau pun dosa mu setinggi langit, seluas samudera dan kamu sekarang sedang bertaubat, jangan berputus asa mencari ampunanKu". Mungkin orang itu berkata,"Ya Allah, dosa-dosaku besar-besar belaka dari segi kualiti dan kuantiti, besar-besar belaka. Rasa segan Ya Allah untuk aku meminta ampunanMu dan rasa-rasanya sudah tidak cukup masa lagi bagi ku untuk mendapat pengampunanMu". Allah kata, "Jangan berputus asa, sesungguhnya Allah itu mengampunkan dosa", itu satu jaminan Allah sebab sifat Allah itu Al-Ghafur, Ar-Rahim, Pengampun, Penyayang, tanpa kecuali. Apakah kita fikir Allah akan kehabisan stok keampunan kerana ramainya hamba-hambaNya yang meminta ampun-maaf dari dosa-dosa, lagi pula dosa yang besar-besar belaka? Tidak, Allah itu Ghafur, Rahim, Ghaniy.

12.0] Bagaimana cara bertaubat? Bagaimana untuk mendapat pengampunan Allah? Jawapannya ialah bersegeralah balik kepada Allah, jangan diteruskan lagi perlakuan maksiat, berhentilah melakukan dosa, enough is enough, kembali berserah diri kepada Allah, patuhi segala perintah Allah dan jauhi segala larangan Allah, jangan melawan Allah dan masanya untuk kamu melakukan ini adalah dengan bersegera, jangan ditunggu-tunggukan lagi. Jangan ditunggu sehingga azab datang menimpa kerana apabila azab itu datang menimpa kamu, kamu tidak dapat ditolong lagi dan menjadilah kamu orang yang rugi. Surah Az-Zumar ayat 53 diatas  ialah ditujukan untuk diri kita sendiri, jangan ditujukan kepada orang lain."Ikutilah oleh kamu betul-betul, dengan sepenuh-hati, bukan separuh-hati".

13.0] Allah menjelaskan bahawa,"Sebaik-baik yang Allah turunkan kepada kamu ialah Al-Quran, oleh itu ikutlah apa kata Al-Quran. Mungkin selama ini Al-Quran jauh daripada kamu. Usahakanlah mendekati Al-Quran. Ikut halal-haramnya, harus-mubahnya, isi panduannya kena dipatuhi. Apa lagi sekarang ini kita sangat mudah untuk mendapatkan Al-Quran. Kita sangat patut bersyukur, berbanding dengan ramai lagi saudara-saudara kita yang berada di luar sana yang susah untuk mendapatkan Al-Quran, kalau ada pun banyak yang sudah koyak-rabak". Lantaran itu kita mestilah dapat mengkhatam Al-Quran dari Ba hingga Sin (dari permulaan Bismillah di awal surah Al-Fatihah sehingga ke pengakhir surah An-Nas). Baca dan khatam Al-Quran mestilah secara seorangan,  iaitu fardhiyyah, seperti juga dengan ibadah puasa dan solat yang fardhiyyah bukan dilakukan secara berkongsi- jama'i. Katakan jika puasa dapat berkongsi satu hari untuk 5 orang, tentulah ada perebutan untuk memilih waktu yang pertama atau yang terakhir yang kurang dirasakan berat. Begitu juga jikalah solat 4 rakaat dikongsi 4 orang. Apakah boleh? Tidak boleh! Ini adalah ibadah fardhiyyah. Membaca Al-Quran juga mesti fardhiyyah. Setiap orang mesti mengkhatam Al-Quran masing-masing. Jangan diselewengkan, mesti dibudayakan, dan pastikan supaya anak-anak generasi hadapan mendapat pengertian agama yang sebenar dan tidak nanti menjadi bingung. Ketetapan agama fardhiyyah tidak boleh diubah-ubah.

14.0] Berbeza dengan ibadah jama'i seperti contohnya membina masjid, boleh dilakukan secara bergotong-royong, mungkin hanya dengan menolong meletakkan satu batu-bata, atau ketika menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa, mungkin hanya memotong bawang dalam gotong-royong itu sudah memada. Allah memerintahkan segala itu bersifat kolektif, tetapi puasa , solat dan membaca Al-Quran adalah ibadah fardhiyyah yang perlu dilakukan secara individu. Kita perlu bertegas untuk mempastikan diri kita dan anak generasi kita mendapat kefahaman yang betul dari Al-Quran. Takut sekali jika anak yang masih kosong agama mendapat kefahaman yang salah dan maklumat yang kurang tepat dan kitalah yang dipertanggung-jawabkan kerana menyelewengkan maklumat. Perlu kita mengambil kira dan mengambil berat. Kita telah diberi panduan, diturunkan Al-Quran, oleh itu ikutilah apa yang Allah telah perintahkan sebelum datangnya azab yang tiba-tiba, sedangkan kita tidak sedari.

15.0] Allah kata, "Aku beri kepada kamu peluang dan ruang, Aku sediakan panduan Al-Quran, Aku pula bersedia memberi pengampunan yang syaratnya ialah engkau meminta dengan kesungguhan. Aku tunjukkan cara yang mudah, jika semua ini kamu abaikan, akhirnya ialah seperti surah Az-Zumar ayat 56"; Na'uzubillah.

Supaya apabila menjelang ajal kematian, tiada yang mengatakan, "Ya hasrata-Aduhai kesalnya," supaya tidak ada satu diri pun yang menyatakan kesal atas kelalaian dalam menunaikan kewajipan terhadap Allah kerana telah memperolok-olokkan agama Allah.

16.0] Allah panggil Ya 'ibaadi  يَاعِبَادِي  kepada orang-orang yang berdosa tetapi sedang di dalam proses bertaubat. Walaupun tidak mudah, tetapi Allah bagi galakan (tafaa ul), supaya timbul optimistik, bukan pesimistik (tasa um). Allah kata, "Jangan berputus-asa, Aku bersedia untuk memberi pengampunan", kata-kata supaya kita bersikap optimistik dan itulah untuk 'ibaadi عِبَادِي.

17.0] Ada pun 'abid عَبِيدٌ merujuk kepada hamba Allah yang berdosa tetapi tidak mahu bertaubat, nanti Allah akan perlakukannya dengan sifat Adil Allah seperti di dalam surah Fussilat ayat 46;

عَبِيدٌ- Hamba Allah yang berdosa tetapi tidak mahu untuk bertaubat, maka jika ditimpa azab atau Allah menghukum, seperti dicampakkan ke dalam neraka, kekal sekali pun, itu bukan bermakna Allah zalim atau menganiayainya tetapi adalah kerana Allah sedang menunjukkan sifat AdilNya.

18.0] i)  عَبدٌ - عِبَادٌ- الغفورالرحيم - عِبَادِي

         ii) عَبِيدٌ - العدل

Kedua-dua sifat الغفورالرحيم  dan   العدل ini adalah asmaul-husna Allah. Apabila Allah perlakukan hambaNya yang عَبِيدٌ  dengan sifat AdilNya  العدل, dosa sekecil mana sekali pun jika tidak mendapat pengampunan daripada Allah akan diazab kerana dia tidak memohon keampunan Allah. Walau pun dosa kecil, Allah akan siksanya dan seringan-ringan hukuman di akhirat iaitulah memakai capal daripada api neraka yang sampai menggelegakkan otak. Allah kata, "Itu adalah sebab Aku Adil".

[Nota; Seringan-ringan denda di mahkamah dunia ialah mungkin dengan denda 5 ringgit atau digantung cawan dileher kerana seseorang itu tidak berpuasa Romadhon dan seberat-berat hukuman di dunia ialah hukuman gantung sampai mati.]

19.0] Kepada عِبَادٌ - Allah berlaku Ghafur dan Rahim sebab hambaNya itu telah memohon ampun-maaf dan bertaubat. Dengan Ghafur dan Rahim Allah, walau sebanyak mana pun dosa seseorang, dia akan dapat masuk ke syurga. Seperti ungkapan yang telah dibincangkan dalam kuliah yang lepas bahawa, "Tidak ada dosa kecil apabila Allah memperlakukanmu dengan sifat adilNya dan tidak ada dosa besar apabila Allah memperlakukanmu dengan kurniaanNya". Terserah kepada diri kita sendiri untuk membuat pilihan.

20.0] Apabila Allah panggil -  عِبَادِي - يَاعِبَادِي - itu pun sudah ada nilai rahmat Allah walaupun masih berdosa. يَاعِبَادُاللهُ - Panggilan عِبَادٌ - digabung dengan nama Allah yang menunjukkan tanda kasih Allah terhadap hambaNya itu. Manakala  عَبِيدٌ tiada digabungkan dengan nama Allah.


21.0]   عِبَادِي - تَشرِيف- تَعظِيم - تَخصِيص

عِبَادِي - hamba-hamba Ku
تَشرِيف - kemuliaan
تَعظِيم - keagungan
تَخصِيص - khusus, menghadkan

Maknanya apabila Allah panggil  يَاعِبَادِي , tanda Allah telah memuliakannya dan mengagungkannya walaupun dia masih berdosa iaitu masih dalam proses bertaubat. Contoh lain apabila Allah menggabungkan nama sesuatu dengan namaNya ialah;

i) Baitullah- Semua masjid di muka bumi ini ialah rumah Allah tetapi hanya satu sahaja yang Allah panggil RumahKu iaitu Baitullah atau Masjidil Haram. Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqso pun tidak. Baitullah punya تَشرِيف - kemuliaan dan تَعظِيم - keagungan yang tidak dipunyai oleh masjid-masjid lain, sebab itulah nilai pahalanya adalah 100 ribu kali ganda dari tempat lain dan menjadi tempat doa-doa mustajab.

ii) نَاقَتُ الله - Semua unta di bumi ini sama cuma hanya seekor unta yang Allah katakan sebagai unta Allah نَاقَتُ الله - iaitu unta Nabi Soleh yang keluar dari batu. Apabila sesuatu dinisbatkan kepada Allah, maka dalam diri itu ada تَشرِيف dan تَعظِيم. Unta itu tidak boleh disentuh, tidak boleh dikacau gilirannya untuk minum di telaga, tidak boleh disembelih. Apabila kaum itu menyembelih juga unta itu maka kaum itu ditimpa azab Allah.

iii) نَارُاللهِ - Hanya ada satu api yang Allah kata api Allah iaitu نَارُاللهِ المُوقَدَةُ  ( surah Al-Humazah ayat 6), api neraka yang dinyalakan.

22.0] Panggilan يَاعِبَادِي  menunjukkan Allah sangat suka kepada hambaNya yang berusaha mencari pengampunanNya. Contohnya adalah seperti yang diceritakan di dalam hadith Nabi saw, bahawa ada seorang pengembara yang membawa bekalan makanan di atas belakang seekor untanya. Unta itu kemudian hilang. Pengembara itu sangat susah-hati, lapar, dahaga, sesat di padang pasir kerana mencari unta yang membawa makanannya. Sedih dan kebingungan sehingga tertidur kepenatan. Apabila terbangun dari tidurnya didapati unta yang hilang berada di hadapannya dengan barang-barangnya sekali. Seronok dan gembiranya  pengembara itu tidak terkira. Ingin memuji Allah, "Ya Allah, segala puji bagiMu Ya Allah, Engkau hambaku dan aku adalah tuhanmu". Dia tersasul sebutan kerana terlalu gembira dan Allah tahu itu dan Allah tidak marah. Malahan Allah adalah lebih seronok daripada orang itu apabila ada hambaNya yang ingin memohon ampunanNya.

23.0] Jika sekiranya orang yang memohon ampunan dari Allah itu sudah cukup syarat, maka Allah ampunkannya, namun jika ketika orang itu mati sebelum cukup syarat sekali pun dia diampunkan Allah. Katakanlah dia baru  sempat membuat 5 daripada 10 syarat untuk mendapat ampunan Allah, tetapi telah mati, Allah tahu dan Allah akan memberikannya pahala seperti sudah mencapai 10 syarat. Itu namanya Rahim Allah. Seperti cerita  seorang yang membunuh 100 orang tetapi berhasrat sangat untuk bertaubat, Allah Maha Tahu, Allah mengampunkannya, memuliakannya dan mengagungkannya. Hamba-hamba yang meminta ampunan itu mestilah semata-mata kerana Allah,  تَخصِيص - khusus, menghadkan usahanya, niatnya, nawaitunya semata-mata kerana Allah, Lillahi, maka in syaa Allah orang itu akan mendapat تَشرِيف - kemuliaan dan تَعظِيم - keagungan.

24.0] Itulah perbezaan antara 'ibaadi -عِبَادِي dan 'abid- عَبِيدٌ. Kita hanya jumpa kalimah عِبَادِي dan tidak jumpa kalimah عَبِيدِي  di dalam Al-Quran. Di dalam Al-Quran ayat-ayat sebegini adalah sangat banyak, contohnya di dalam surah Al-Furqan, ayat 63, وَعِبَادُالرَّحمَانِ - dan hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah.

25.0] Kembali kepada sambungan tentang suruhan Allah untuk berpindah atau untuk berhijrah jika tidak mendapat kemudahan untuk beribadat di sesuatu tempat itu lantaran bumi Allah ini luas. Sekarang apa jadi jika seseorang itu tidak mampu melakukannya walhal itu adalah suruhan Allah, mungkin kerana dia sayangkan tempat itu atau sayangkan pekerjaan itu dan apabila ajal mendatanginya dalam keadaan demikian. Lihat amaran Allah yang sangat keras di dalam surah An-Nisa' kubra ayat 97. [Nota; Surah An-Nisa' ada dua, kubra dan sughra. Surah An-Nisa' sughra ialah surah  At-Talaq. Kedua surah An-Nisaa' adalah surah khas untuk perempuan, dan wajib orang perempuan tahu tentang kedua surah ini dimana Allah menceritakan tentang haq-haq bagi  orang perempuan. Lebih-lebih lagi berguna juga bagi kaum lelaki].

26.0] Surah An-Nisa' 97;


Amaran Allah adalah sangat keras kerana mereka enggan berhijrah, kemudian ketika ajal mereka sampai dalam keadaan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Aqidah, iman dan agama mereka terkorban kerana hanya ada satu cara sahaja untuk menyelamatkan agama mereka iaitu dengan berhijrah tetapi tetap mereka tidak mahu berhijrah sehingga mati. Semasa mati, malaikat maut membentak mereka, فِيمَ كُنتُم -bagaimana keadaan kamu? Mereka  menjawab dengan gementar, "Kami lemah, kami tidak mampu". Namun mereka tidak dapat ditolong lagi dan menjadilah orang yang rugi.

27.0] Contoh tentang seseorang yang terlibat dalam urusan arak, bukan hanya yang meminumnya berdosa bahkan semua yang terlibat di dalam penghasilannya pun berdosa, yang pungut buah, yang perah buah, yang buat, yang pesan, yang bawa (kenderaan atau unta yang membawanya pun mendapat laknat Allah). Jangan kata, "Saya hanya menjual, saya tidak minum, saya tiada kelulusan, untuk mendapatkan pekerjaan lain adalah susah, saya nak kerja apa?, saya nak makan apa?. Tanpa disedari seolah-olah dia telah memfitnah Allah dan menuduh bahawa Allah hanya boleh beri dia makan jika dia hanya bekerja di situ. Tiba-tiba jika ketika dia masih bekerja disitu dan dia mati, malaikat maut datang membentaknya dan dia  menjawab dengan gementar yang dirinya lemah. Malaikat maut menjawab, "Bukankah bumi Allah ini luas? bukankah peluang pekerjaan ini bermacam-macam? bukankah Allah boleh memberi rezqi yang berbagai-bagai di mana-mana?Terdapat seribu satu cara untuk boleh mendapatkan rezqi. "Kamu boleh berhijrah di bumi Allah yang luas tetapi kamu tidak berusaha untuk berhijrah dan terus tinggal di dalam melakukan maksiat". Orang-orang itu tempat tinggalnya di dalam neraka. Allah menunjukkan keadilanNya kepada orang-orang 'abid-  عَبِيدٌ, tetapi tidak demikian kepada 'ibaad-  عِبَادٌ .

28.0] Surah An-Nisa' ayat 97 di atas ialah berkaitan dengan orang-orang mukmin Mekah yang tidak ingin berhijrah ke Madinah. Semasa Perang Badar, si mukmin dipaksa oleh Abu Jahal untuk bergabung dengan tentera mereka untuk memerangi Nabi saw dan tentera Islam. Terpaksalah mereka menurut. Mati pulak di dalam peperangan, lalu disoal dan dibentak oleh malaikat-maut, "Kenapa kamu tidak berhijrah sedangkan orang lain mampu berhijrah?" Jawab mereka,"Kami lemah!", namun alasan mereka tidak diterima lagi. Jangan ditunggu-tunggu, kalau tempat atau kerjaya atau orang yang membuatkan kita semakin jauh dari agama maka segera tinggalkanlah. Kalaulah dengan berkawan dengan orang yang tidak baik, walaupun selama ini kita baik tetapi makin lama semakin kita hanyut menjauhi agama maka segeralah sedari. Jika dengan berkawan dengan orang itu buat kita kembali ke zaman a-go-go, segeralah jauhinya, renggangkan. Mungkin ketika di bulan Romadhon barulah kita tersedar, apabila orang-orang bertadarrus, berterawih, kenapa pula kita sudah tidak lagi melakukan atau malas untuk berbuat demikian? padahal dahulu kita pernah buat semua itu?. Allah kata, "Sudah-sudahlah, baliklah, berhijrahlah, bumi Allah ini luas!"

29.0] Setiap inci, setiap jengkal di muka bumi ini subur untuk setiap insan mencari syurga Allah. Allah tidak tentukan dimana tempat kita mencari syurga, Allah tidak kata hanya di masjid sahaja untuk dapati syurga, atau pun di dalam kumpulan usrah sahaja ada jalan ke syurga. Tidak! Ada pekebun, guru, petani, pemimpin, buruh, peniaga dan sebagainya bahkan hamba abdi yang akan menjadi penghuni syurga. Sebegitu jugalah penghuni neraka yang akan datang dari background kehidupan di dunia yang bermacam-macam. Setiap inci di dunia ini terserah untuk kita mencari syurga Allah atau tempat kita mencari neraka Allah.

30.0] Lihat surah Az-Zumar ayat 74;

Ini adalah salah satu dari ucapan ahli syurga di akhirat nanti setelah mereka menikmati syurga dan mereka merasa bertuah dan bersyukur sebab Allah tidak memungkiri janji. Itu sebab pertama nya ahli syurga itu bersyukur. Memuji Allah sebab apa yang Allah telah janjikan Allah tepati. Penting sangat difahami supaya kita menjadi mukmin sejati. Walaupun belum berlaku, Allah telah bocorkan kenyataan ini didalam Al-Quran bahawa jalan ke syurga adalah banyak bukannya satu. Sebab yang kedua yang membuatkan penghuni syurga merasa bertuah dan merasa wajib bersyukur ialah kerana Allah telah mewarithkan bumi kepada kita. Kenapa patut merasa berterima-kasih kepada Allah yang mewarithkan bumi kepada kita? Ya, dengan sebab Allah menghidupkan kita di muka bumi, kita boleh mencari tempat terbaik buat kita beribadah di muka bumi ini dalam membuat persediaan untuk kita menempah tempat kita di syurga nanti. Allah menyuruh kita membuat tempahan tempat tinggal kita di syurga kelak, samada inginkan tempat yang luas, yang tinggi, yang tepi, yang berpokok, yang berbunga, yang berbuah, syurga yang luas yang banyak bertingkat-tingkat. Buat tempahan semasa hidup di dunia sekarang dengan 'amalan dan 'ibadah yang murni.

31.0] Tempahan tempat di syurga boleh dibuat melalui berbagai 'amal dan 'ibadah di dunia sepertimana Nabi saw bersabda, diantaranya ialah;

i) "Peniaga yang jujur akan berada di syurga seperti ini denganku". Nabi saw menunjukkan jari telunjuk dirapatkan dengan jari tengahnya.
ii) "Aku dan penjaga anak-anak yatim seperti ini", Nabi saw juga menunjukkan jari telunjuknya yang dirapatkan dengan jari tengahnya. Orang yang tiada bakat berniaga atau ketiadaan modal boleh memilih cara ini.
iii) "Pemimpin yang adil". Orang yang tiada bakat berniaga tetapi ada bakat memimpin juga dijamin syurga jika melakukan yang terbaik di dalam bidangnya.

32.0] Ada suatu kisah benar, ada seorang jemaah wanita, beliau adalah seorang saintis profesional. Tenaganya diperlukan dalam kajian RnD (Penelitian dan Pembangunan) untuk meningkatkan ekonomi petani dan seterusnya untuk menjana ekonomi negara. Beliau ingin bersara awal kerana terpengaruh dengan kawannya yang telah bersara awal yang telah mengikuti pelbagai kelas agama dan nyata semakin mantap dalam bacaan Al-Qurannya, semakin faham ilmu agama dan bahasa Arab. Asalnya mereka berdua setara, berkawan sejak lama, kini saintis itu merasa tertinggal dari segi agama, merasa rugi, berbanding kawannya. Agak-agaknya di dalam situasinya yang mana yang lebih elok, bersara awal atau terus bekerja? Pertanyaannya diutarakan kepada ustaz dan ustaz memberi pandangannya;

i) Jika membaca Al-Quran walaupun dengan tidak faham dan tidak tahu makna, adakah Allah suka atau tidak? Jawapannya tentulah Allah suka dan disertai dengan para malaikat mengembangkan sayap rahmat dan mendapat pahala. Kawannya tadi baru membaca ayat Al-Quran, contohnya membaca surah Al-Ghasyiah ayat 17;

Kawan saintis tadi baru membaca tentang bagaimana unta Allah ciptakan. Itu pun sudah mendapat pahala dan rahmat daripada Allah. Bandingkan pula dengan saintis itu sendiri yang telah mengkaji sendiri unta, membawa unta ke makmalnya, meneropong, mengkaji  dengan teliti sehingga mungkin unta yang mandul boleh jadi beranak 10 atau dapat mempercepatkan tempuh bunting unta atau pun mungkin dapat memperbaiki mutu daging unta. Saintis itu sebenarnya yang sudah dan sedang mengamalkan  ayat di atas tadi. Kalaulah hanya dengan membaca satu ayat Al-Quran pun sudah mendapat pahala inikan pula bagi saintis yang mengamalkan pula tuntutan ayat-ayat Al-Quran itu tentulah berlebih-lebih lagi pahala dan rahmat Allah kepadanya. Maka tidak jadilah saintis itu bersara awal kerana bukan senang untuk mendapat gantian kepakarannya.

33.0] Mungkin ramai yang berfikir bahawa untuk dapat memasuki syurga hanyalah dengan membaca Al-Quran, lebih-lebih lagi apabila mendengar syarahan yang disampaikan di majlis ilmu, di rumah Allah pula oleh seorang penceramah yang sebenarnya kurang tepat. Contohnya yang menceritakan tentang qonaah- iaitu merasa cukup dengan apa yang ada, berpegang dengan kata-kata bahawa rezqi secupak tidak akan menjadi segantang. Contohnya, kata-kata seperti,"Tuan-puan, kita asyik mencari duit pagi petang, untuk apa? Mati nanti tidak dapat membawa apa-apa pun, gelang-getah pun tidak dapat dibawa bersama. Kita hanya akan membawa 2 helai kain putih sahaja!" Jemaah yang mendengar syarahan itu khusyuk semuanya, jika kita tidak cerdas dalam memahami Al-Quran, pasti kita mengiakan syarahan yang membawa ideologi yang tidak tepat itu. Walau pun kita perlu qonaah sebab itu adalah perintah agama, tetapi pengertian qonaah bukan seperti itu yang membuatkan kita malas untuk bekerja. Janganlah menjadi seperti orang mengantuk disurungkan bantal. Bukan begitu Islam diterjemahkan.

34.0] Baca hadith Nabi saw ini untuk dapat dibuat panduan;
Ada seorang sahabat Nabi saw yang berjalan-jalan kemudian terjumpa suatu tempat yang ada punca air. Terlintas di hatinya untuk beruzlah (bawa diri sendirian) di situ supaya dapat lebih fokus beribadah tanpa bergaul dengan masyarakat. Beliau datang berjumpa Nabi saw untuk meminta izin untuk beruzlah tetapi Nabi saw melarangnya. Sabda Nabi saw, "Demi Allah, jika kamu tinggal di dalam masyarakat, keberadaan kamu di tengah masyarakat-mu itu adalah lebih besar manafaatnya daripada kamu tinggal seorang diri yang tiada apa-apa ujian. Sebaik-baik manusia ialah yang dapat memberi manafaat kepada makhluk Allah. Jika ada orang tersalah, kamu tolong luruskan, jika ada orang sesat kamu tolong pandukan, jika ada orang yang tidak tahu kamu tolong beritahukan, dan jika orang caci terimalah dengan senyuman. Jadi carilah syurga itu di bumi ini di dalam bidang apa pun asalkan semata-mata kerana Allah - lillahi-  semata-mata untuk mencari Redho Allah".

35.0] Jalan ke syurga tidak semestinya dapat dicapai dengan hanya menjadi ustaz, malahan anda boleh masuk ke syurga dengan laju dan pantas dengan jalan perniagaan, pemerintahan, pekerjaan apa saja, 'amal 'ibadah yang berbagai-bagai sebagai kenderaan menuju syurga Allah. Bakat manusia berbeza-beza, oleh itu bekerja atau ber'amal-lah sesuai dengan kedudukan dan bakat kurniaan Allah kepada diri masing-masing, tetapi dengan mempastikan syaratnya mestilah semata-mata kerana Allah demi untuk menjolok Rahmat dan Redho Allah.

36.0] Janganlah menjadi kong-kaling-kong, kerana orang yang pertama dihumban ke neraka ialah orang yang mati syahid untuk mendapat nama, orang yang pandai Al-Quran untuk mendapat pujian dan habuan dunia semata-mata, dan orang yang bersedeqah untuk dikenal sebagai dermawan. Mereka melakukan 'amal baik tetapi niat bukan kerana Allah, mereka riak dan ujub. Na'uzubillah. Berhati-hatilah dalam menjalani hidup ini.

37.0] Contoh semasa, jikalah pada waktu yang sepatutnya kita menghadiri kuliah atau kelas agama, kemudian ada seseorang meminta pertolongan daripada kita, mungkin untuk membawanya ke hospital kerana orang itu sakit dan tiada kenderaan, adalah lebih besar pahalanya jika kita menolong orang itu dahulu daripada menghadiri kelas agama yang dipayungi malaikat. Jangan sampai merasa rugi tidak dapat menghadiri kelas kerana kita patut mengutamakan yang lebih utama dahulu dalam kehidupan kita ini. Moga bermanafaat.












No comments:

Post a Comment