Tuesday, March 29, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 24-25) Kuliah 25- Tentang Nabi Ibrahim, Kalimah Mawaddah, Taqwa


1.0] Sorotan kuliah minggu lepas iaitu surah Al-Ankabut ayat 24;



Ayat yang menceritakan tentang sikap kaum Nabi Ibrahim as setelah Khalilullah itu berjaya menyampaikan risalah Allah dengan kebenaran. Bukan sekali dua Nabi Ibrahim as memberi peluang kepada mereka untuk berdebat, menyoal, berhujah dan tidak ada satu pun pertanyaan mereka, hujah  atau tuduhan terhadap Nabi Ibrahim as, melainkan semua dapat dijawab dan berjaya Nabi Ibrahim as beri pencerahan. Nabi Ibrahim as berharap menemukan jawapan yang cerdas, bijak, rupa-rupanya jawapan mereka ialah untuk membunuh atau membakar Nabi Ibrahim as. Mereka berkata, "Jangan kamu tergesa-gesa membunuh Ibrahim tetapi azab dahulu dengan api. Siksa dahulu kemudian dibakar."
2.0] Allah jelaskan dengan fasilah ayat dimana dalam kisah Nabi Ibrahim as banyak tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang mahu beriman. Berbeza dengan kisah Nabi Nuh as dan sampannya dalam ayat 15. Sampan yang dibuat oleh Nabi Nuh as semata-mata ianya belum menunjukkan tanda kekuasaan Allah, tetapi semata-mata atas inja'-penyelamatan yang dilakukan Allah terhadap  Nabi Nuh as dan pengikutnya. Sampan yang begitu diberi muatan yang tidak sedikit, dengan isian Bani Adam dan Bani Hayawan dapat terselamat dan ini menjadi sarana inja' Allah. Allah berfirman, "Kami jadikannya (kapal) sebagai ayat (tanda /bukti) bagi sekelian alam", bagi yang telah memahami Kebesaran Allah, bagi yang hidup sezamannya atau yang hidup kemudian darinya. Kita boleh menggunakan pendekatan akal untuk memahami inja' Allah - penyelamatan Allah dalam keadaan sebegitu.
3.0] Berbeza dengan kisah  Nabi Ibrahim as dimana kisah itu sendiri adalah aayaatin ( tanda-tanda atau bukti-bukti) Kekuasaan Allah. Bagaimana mungkin insan tidak mati dibakar di dalam api? Inja' Allah terhadap Nabi Ibrahim as tidak mungkin dapat difahami dengan akal kecuali dengan Imaniyah. Berbeza dengan kisah Nabi Nuh as, yang boleh guna pendekatan akli - pemahaman akal.
Cara kita memahami kedua jenis inja' Allah ini berbeza:
i) Inja' Imaniyah - kita boleh menggunakan kecerdasan spiritual untuk memahaminya, lagi pula  bagi yang tidak boleh melihat, tidak boleh merasa, walaupun hanya dari kesannya. Hanya bagi orang yang hidup dizamannya, mereka dapat melihat sendiri, maka dapat mudah mempercayainya. Li qaumiy yu'minun iaitu bagi orang yang datang kemudian, hanya dengan menggunakan kekuatan Iman sahajalah mereka mempercayainya.
ii) Inja' Akli - kita mudah fahami dengan akal, mudah dikaji, lalu mudah diterima.
4.0] Adalah tidak mungkin untuk manusia melihat kekuatan, kekuasaan Allah. Mustahil manusia dapat mendengar suara Allah, melihat Allah, oleh itu  Allah menyuruh kita perhatikan  aayaah, tanda-tanda kewujudan Allah.
5.0] Ketika Nabi Musa as memaksa dirinya untuk melihat Allah, beliau merayu supaya Allah memperlihatkan ZatNya. Allah beritahu, "Lan tara ni", engkau sekali-kali tidak akan dapat melihat Aku". Jika Allah memperlihatkan dirinya pun, Nabi Musa as tetap tidak akan dapat  melihat Allah. Lalu Allah menunjukkan ayat (bukti) dengan berfirman, "Jika engkau  mampu melihat bukit itu, ya, kamu mampu melihat Aku". Allah bertajalli kepada bukit yang lebih kuat daripada Nabi Musa. Melihat bukit hancur, itu pun Nabi Musa sudah pengsan. Allah berfirman, "Mustahil kamu akan melihat Aku, oleh itu perhatikan, fikirkanlah ayat-ayat-Ku (tanda-tanda-Ku)".
Untuk memahami ayat-ayat Allah adalah dengan dua cara, iaitu dengan pendekatan imani dan dengan pendekatan akli.
6.0] Cara pendekatan Imaniyyun.
Contoh: Ketika Allah Mengisra'-Mi'rajkan Nabi Muhammad saw. Iaitu perjalanan hamba-Nya diwaktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Perjalanan yang maha dahsyat kerana dia dijalankan oleh Yang Maha Agung. Kita tidak akan dapat memahaminya kecuali secara pendekatan Imaniyyah.
Abu Bakar As-Siddiq, ketika diberitahu oleh sahabat yang lain yang sedang berfikir untuk percaya atau tidak, terus saja berkata, "Jika Rasul saw yang menceritakan, lebih dari itu pun aku percaya". Akal disuruh diam, bukan sebab tidak masuk akal tetapi sebab akal tidak diberi kemampuan untuk memahaminya.
7.0] Ada yang Allah suruh kita gunakan pendekatan akli seperti dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya siang dan malam. "Semua itu ayat-ayat-Ku, li ulil albab, (bagi orang-orang yang mempunyai akal)." Sesungguhnya, turunnya hujan, tumbuh tumbuh-tumbuhan, tersebar segala binatang melata, dan sebagainya, semua itu aayaah ( bukti-bukti) untuk difahami dengan kecerdasan intelektual. Ada cara berbeza untuk memahami aayaah, iaitu dengan soalan samada untuk santapan akal atau untuk makanan iman.
8.0] Bila Allah telah menetapkan tentang solat, rakaatnya, puasa romadhon, lelaki dapat lebih dalam sistem faraid, riba haram, babi haram dan sebagainya, terimalah dengan hati terbuka tanpa banyak soalan lagi. Sami'na wa ato'na, dengar dan patuh.
Contoh: Tentang pembahagian Faraid, kenapa anak perempuan yang dapat 1 bahagian? Sedikit berbanding anak lelaki yang mendapat 2 bahagian, walhal anak perempuan yang menjaga ibubapa yang sakit? Di mana letak keadilan? Tiba-tiba akal menyibuk dengan ayat Allah. Terimalah. Mungkin yang dasarnya anak perempuan berada dirumah dan yang keluar bekerja mencari rezqi ialah anak lelaki atau atas dasar yang lain. Kiraan Allah Maha Cepat, yang dapat membalas dengan berbagai cara, bagi hambaNYa yang patuh kepada hukumNya. Apabila akal mampu berfikir, pasti akan maju. Lihat saja di dunia, yang mana untuk difikirkan dan yang mana untuk diimani dan dipercayai.
9.0] Paras-rupa, jantina, gerak-geri, warna kulit dan sebagainya lagi, sebenarnya perlu kepada pendekatan akliah. Perlu dipelajari dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Allah menyuruh kita berfikir dan jangan hanya semata-mata berkata, "Aamantu billah, aku beriman dengan Allah semata-mata". Fikirlah, ini pekerjaan akal 100%, liqawmiy yatafakkarun, iaitu untuk kaum yang mahu berfikir. Bukan liqaw miy yu'minun, untuk kaum yang beriman. Jika Allah menceritakan tentang hari akhirat, syurga, neraka pula, jangan gunakan akal sebaliknya guna iman untuk mempercayainya. Contohnya seperti ada cerita tentang apabila masuk ke syurga melalui pintu itu, ada emas, ada pisang, baju sutera, kerusi dan sebagainya. Akal jangan sibuk menyoal, tinggalkan saja untuk diimani imaniyyah.
10.0] Para sahabat  sangat bijak membezakan antara pendekatan imaniyyah atau akliah.
Contoh: Di masa Nabi saw, ada sahabat yang punyai idea untuk mengacukkan buah kurma, mendapat galakan Nabi saw, lalu terhasillah buah kurma yang elok rupanya, lazat rasanya, banyak buahnya. Ini semua ayat-ayat (tanda-tanda) yang mana menunjukkan penggunaan akal dalam urusan kehidupan dan sangat bermanafaat.
11.0] Kenapa orang Thailand lebih maju  dalam pertanian? Walhal mereka ramai yang beragama Budha. Ini kerana mereka tahu menggunakan akal, mengkaji dan lebih faham, lantas berusaha untuk mendapatkan hasil yang lebih berkualiti. Orang Islam, biasa mencari alasan untuk mengurangi rasa bersalah dengan berlandaskan qonaah (cukup seadanya) saja, dan ini suatu sikap yang merugikan seruginya. Kalaulah negara Islam menjadikan cara pemikiran akli di dalam silibus sekolah sejak dari kecil lagi, tentu negara Islam akan lebih maju terkedepan.

12.0] Surah Al Ankabut 25;


Dari Imam Asy Sya'rawi, Allah menceritakan dalam ayat ini jawapan Nabi Ibrahim as kepada kaumnya, terhadap dirinya yang dibakar. Kata Nabi Ibrahim as "Wahai kaumku, kenapa kamu tidak beriman dengan ayat-ayat kauniyah iaitu tanda-tanda untuk difikir. Betapa benda-benda, langit, bulan, matahari, planet, tidak layak disembah". Nabi Ibrahim as telah berjaya membuktikan dengan fakta-fakta logik. "Dan kamu masih juga tidak mahu beriman dengan mukjizat yang kamu telah lihat ketika aku diselamatkan Allah daripada api dan sepatutnya kamu yakin bahawa semua itu  tidak dapat berlaku kecuali dengan pertolongan Allah. Tetapi bila kamu terus memilih untuk kufur, hanya saanya, kamu sembah berhala kerana rasa kasih sayang (Mawaddah) antara kamu, rasa tidak sampai hati, hanya sikap berpura-pura kerana cinta kepada adat dan bukan kerana berpuas hati menyembah berhala. Bukan juga kerana berhala itu berhak untuk disembah dan bukan juga kerana kurang bukti".
Walaupun sudah ada dalil bahawa yang dibuat itu adalah salah tetapi jika masih melakukan, mengekalkan perbuatan salah itu, sebabnya hanyalah satu iaitulah kerana mawaddah. Contoh: Bila ingin naik rumah baru, disimbah air mawar, ditabur beras kunyit, konon untuk menghalau hantu syaitan, walaupun tidak yakin, hanya semata-mata untuk suka-suka, mengekalkan adat sahaja bagi hormati budaya orang-orang tua. Itu mawaddah yang memesongkan. Tahukah kita lantaran kasih sayang, mawaddah itu, di akhirat nanti kita akan saling laknat melaknat?
13.0] Contoh: Demi kawan, umat Nabi Muhammad saw akhir zaman, pegawai kerajaan, seperti dizaman baru Merdeka dulu, biasa adakan pesta-pesta. Minum untuk sosial untuk menjaga perasaan kawan. Itu contoh mawaddah dan itu adalah sangat-sangat bahaya dan mengundang dosa.
14.0] Allah Maha Mengetahui kerana Allah Yang Mencipta kita. Mawaddah ialah kasih-sayang yang diterjemahkan oleh perbuatan manakala Rahmah ialah kasih-sayang yang tidak dapat diterjemahkan melalui perbuatan.
15.0] Contoh: Pasangan suami isteri yang masih muda, masih sihat, rasa cinta suami isteri itu ialah Mawaddah, dimana suami akan sanggup bekerja pagi-petang demi untuk membahagiakan pasangannya. Isteri pula setia menunggu, sedia bertugas di rumah untuk  membahagiakan pasangannya. Apabila suami isteri itu sudah tua, mungkin sudah berumur 95 dan seorang lagi 99 tahun, sayang tetap sayang, ingin rasanya untuk menunjukkan kasih sayang seperti masa silam. Isteri ingin rasanya menyediakan masakan, mengambil makanan dan begitu juga bagi suami ingin sekali kuat seperti dulu. Namun apakan daya, sudah tidak berdaya, sudah tidak mampu untuk menunjukkan kasih sayang lagi. Yang ada hanyalah Rahmah. Rahmah ini indah sekali. Perasaan hati. Pasangan itu menangis, bukan kerana pasangannya tidak melayannya, tetapi menangis kerana tidak dapat melayan pasangannya lagi seperti dahulu. Mawaddah wa Rahmah adalah berhubungan dengan jiwa. Ada satu kata-kata hikmah, "Suatu saat anda menangis jika tidak dilayan, anda pasti merasa terseksa menderita, tetapi bila anda menangis ketika anda tidak mampu melayan dan melaksanakan kewajipan sebenarnya itulah bahagia".
16.0] Kembali kepada realiti kehidupan; Terdapat di dalam Al-Quran, "Kamu sembah patung (berhala) kerana kamu lihat  ketua-ketua kamu, nenek -moyang kamu menyembah, bukan kerana kamu faham". Dr. Zakir Naik juga berkata,"Kebanyakan, mungkin ramai, umat yang BERAGAMA apa pun, hanya ikutan, lahir dalam Muslim, Muslimlah, lahir dalam Hindu, Hindulah, lahir dalam Kristian, Kristianlah dan sebagainya. Bila ditanya kepada anak-anak samada mereka sedar atau tidak sedar, kebanyakan begitulah. Beragama bukan kerana faham tetapi sekadar warisan". Dr. Zakir Naik kesal, kenapa agama tidak dicari? Sepatutnya berebut-rebutlah untuk mencari agama. Apabila dicari semakin difahami dan diyakini. Tidak semata-mata Taklif. Dalam agama tidak boleh Taklif. Mesti mencari kebenaran. Contoh; kita sudah muslim, macam kebetulan, cari lah ilmunya supaya lebih faham dan lebih yakin. Begitu juga bagi yang lahir dalam agama lain. Ada orang berkata bahawa ahli pancing akan mengatakan ikan yang dipancing lebih sedap dari yang dibeli dikedai, lain rasanya. Rasa sesuatu yang didapati dengan bersusah payah nilainya sangat tinggi. Sesuatu yang didapati berada tiba-tiba didepan mata, nilainya kurang kerana mudahnya untuk didapati. Begitulah agama yang didapati dengan pencarian yang susah-payah in syaa Allah akan dimudahkan Allah menemui keteguhan iman yang sejati.
17.0] Islam demikian juga, jangan kita menyembah Allah hanya kerana mawaddah, jangan kerana sayang kepada warisan datuk nenek semata, seperti yang terdapat di dalam surah Az-Zukhruf ayat 23. Jawapan biasa apabila diseru kejalan kebenaran ialah, "Sesungguhnya kami dapati nenek moyang kami menganut suatu (agama ) dan sesungguhnya kami sekadar pengikut jejak-jejak mereka". Kita yang berakal perlu mengubah kebiasaan ini. Perlu mencari kebenaran untuk mendapat keyakinan.
18.0] Mawaddah, iaitu kasih-sayang antara anak dengan orangtuanya, ketua dengan pengikutnya, suami dengan isteri, hanya di dunia saja, di akhirat terpisah. Jika berlaku dalam hal mensyirikkan Allah, maka akan saling kutuk mengutuk, laknat melaknat di Hari Pengadilan.
19.0] Jadikanlah ayat ini sebagai panduan, surah Az-Zukhruf ayat 67, "Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan antara satu sama lain kecuali bagi mereka yang Bertaqwa". Kalimah 'الا ءخلا ء' - persahabatan yang paling intim, dari perkataan  خليل.....خلت.....maknanya kosong. Contoh: A dan B yang sangat intim, tiada penghalang walau seurat benang seperti Nabi Ibrahim as yang cintanya kepada Allah SWT tanpa ada yang dapat menghalanginya, oleh itu dipanggil Khalilullah.
20.0] Persahabatan yang dijalin seakrab seintim belangkas atau seperti kelkatu yang telah patah sayap, yang sentiasa terbang berdua bersama, di akhirat akan bertukar masing-masing menjadi musuh. Kecuali persahabatan perhubungan atas dasar taqwa. Oleh itu masing-masing perlulah ingat mengingati, yang bengkok diluruskan, walaupun mungkin berkecil hati sekarang, bersedialah untuk menegur dan ditegur.
21.0] Hubungan suami-isteri adalah sangat intim, makan sedapur, mandi sesumur, tidur sekasur, itupun apabila tidak saling menjaga taqwa, akan bergaduh-bermusuh di akhirat nanti. Contoh: Apabila isteri membuat sesuatu yang tidak mengikut syara', tetapi suami diam, suami pula membuat sesuatu tidak tepat syara', isteri diam. Di akhirat  suami-isteri itu akan bergaduh, salah-menyalahkan. Oleh itu hendaklah saling ingat mengingatkan, tegur isteri atau suami. Jangan takut dimarah didunia supaya tidak nanti dilempang malaikat diakhirat. Orang Islam mesti berfikiran 'Akhirat Oriented'. Kalau orang itu tahu dan yakin kiamat sangat dahsyat, tentu tidak akan takut untuk menegur pasangannya atau ahlinya walaupun pahit sekarang.
22.0] Dari Al-Quran, "Jaga diri kamu dan ahli kamu dari api neraka". Itu makna TAQWA. Khasnya diantara suami-isteri, orang tua terhadap anak-anaknya. Suami-isteri berkewajipan bersungguh-sungguh menjaga ahlinya supaya tidak disentuh api neraka. Contoh: Jika kita ada 3 orang anak, andai Allah kata, "Pastikan ketiga-tiga anakmu jadi menteri, kalau tidak , Aku hukum kamu". Tentu susah bukan? Sekarang jika Allah kata, "Pastikan tidak ada ahli keluargamu, anakmu yang masuk neraka". Apa tindakanmu? Oleh itu sebabnya sepatutnya tiada orang yang akan senyum, jika faham tanggungjawabnya yang sangat berat ini. Umpama masuk kebilik peperiksaan untuk menjawab soalan yang susah semuanya. Hidup tidak mudah. Allah beri beban kepada kita, tetapi mulia, asalkan kita telah membuat mengikut kemampuan kita sedaya-upaya kita.
23.0] Nabi Nuh as berjaya walaupun anak dan isterinya tidak mengikutinya. Allah menilai samada kita telah buat sehabis daya dari usaha kita atau belum. Oleh itu berhati-hatilah meniti hidup, haqiqat hidup didunia yang tidak mudah.
24.0] Jangan atas dasar mawaddah, larangan Allah dilanggar, ditinggal, kerana apabila mati sahaja  seseorang, mawaddah terputus, bertukar menjadi laknat melaknat dan bermusuhan.
25.0] Penjelasan yang menjadi puncak ialah Al-Fussilat ayat 29


 
Dua makhluk ini yang menjadi kawan berkasih sayang di dunia. Yang menyebabkan kita tidak berani menegur kesilapan kawan atau pasangan kita ialah JIN, yang selalu membisik-bisik. Contoh: Hanya dengan kawan yang telah belanja kita makan, kita sudah tidak berani untuk menegur kesalahan kawan kita itu. Takut berkecil hati, mahu menjaga perasaannya. Itu satu tindakan yang tidak patut dan merugikan diri nanti.
30.0] Nabi menegur orang lain iaitu ( berdakwah) sehingga dipanggil gila, penipu, ahli sihir. Itu bermakna kita belum berdakwah, belum ittiba' ur-rasul kerana kita belum sampai dituduh sedemikian.
31.0] Jika kawan kita salah, kita pula akan menjadi salah kerana kita telah membina persahabatan tidak atas dasar Taqwa. Kita semua sedang diuji Allah, bila siapa lupa ingatkan, bila menyeleweng, betulkan, tanda kasih-sayang sesama kita. Contoh: Ketika sedang bekerja, untuk mengingatkan kawan tentang waktu solat, itu kewajipan dan tanggungjawab, tetapi memang terasa berat. Apa lagi untuk menegur kesilapan kawan yang rapat, namun jangan dibiarkan. Jangan sekali-kali ambil mudah. Lebih-lebih lagi dalam rumahtangga, antara suami-isteri, antara orang tua dan anak-anak, sebab orang yang paling dekat ialah orang yang tinggal bersama di dalam rumah kita.
32.0] Kematian antara suami-isteri, anak dengan orang tua, bukan lagi perpisahan sebenar tetapi apabila seorang berada di syurga dan seorang di neraka. Perpisahan di dunia belum berat. Paling menakutkan apabila melihat orang yang dicintai berada di neraka atau sebaliknya. Dalam surah Al A'raf ada diceritakan keadaan ini. Bayangkan wahai suami, bila isteri kamu berada di syurga dan sebaliknya kamu berada di neraka dan bayangkan wahai isteri, bila suami kamu di syurga dan sebaliknya kamu dineraka. Na'uzubillah Ya Robb.
33.0] Bilal bin Rubah di syurga manakala Abu Jahal tuannya yang menyiksanya berada di neraka. Bayangkan bagaimana perasaan Bilal. Bayangkan jika melihat ahli, anak atau pasangan kita di neraka. Oleh sebab itu jangan jadi isteri yang takut untuk menegur kesilapan suami dan sebaliknya jangan jadi suami yang tidak menegur silap isterinya. Isteri berhak tahu, tanya suami, contohnya apabila suami membeli sesuatu diluar kemampuannya. Bertanya bukan bermaksud menuduh. Jangan jadi isteri yang, apabila ada wang, abang sayang, tidak ada wang, abang terbang. Begitu juga dengan  suami, tanya isteri jika ada sesuatu yang tidak pasti, contoh apabila melihat isteri ada beg baru yang mahal yang dia sendiri tidak mampu beri. Bukan menuduh tetapi suami-isteri jangan berdiam diri sahaja apabila ada sesuatu yang perlu diperjelaskan. Saling mengingati untuk membaiki diri.
34.0] Contoh Taqwa;
i) Nabi Zakaria as bertanya kepada Mariam yang ada banyak makanan, bertanya untuk mendapat kepastian, dan apabila Mariam menjawab, "Dari Allah", lantas Nabi Zakaria as berpuashati.
ii) Nabi Muhammad saw yang tidak jemu-jemu mengingatkan isteri-isterinya dan anaknya Fatimah tentang syariat Islam. Sentiasa untuk mempastikan sudah betul-betul difahami atau sudah terpandu kearah kebenaran.
iii) Nabi Yaakub as juga sebelum wafat bertanya anak-anaknya apa sembahan anak-anaknya dan menegaskan supaya tetap di atas jalan yang lurus.

Allah tetapkan kita disini untuk saling ingat mengingatkan seperti yang terdapat di dalam surah Al-Asr yang bermaksud, "Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran".
35.0]Taqwa adalah dasar utama. Taqwa bermaksud menjaga. Menjaga supaya yang betul diikuti dan yang salah dijauhi. Taqwa mewajibkan mawaddah. Taqwa dalam hubungan. Jadikan ingatan untuk diri, sebagai ketua, sebagai sahabat, sebagai orang tua kepada anak-anak, sebagai suami atau isteri kepada pasangan kita dan seterusnya sebagai makhluk Allah.






Tuesday, March 22, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 23-24) Kuliah 24- Kalimah Ya isu, Qonit, Inja'


1.0] Sorotan kuliah sebelumnya, surah Al-Ankabut ayat 23, yang bermaksud, "Dan orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan-Nya, mereka berputus asa daripada rahmat-Ku, dan mereka  itu akan mendapat azab yang pedih ".
Rahmat Allah dalam ayat ini bermaksud Syurga.
Dalam ayat ini digunakan kalimah  يءسوya isu yang bermakna putus harapan kerana apa yang diharap ialah sesuatu yang mustahil. Berbeza jika digunakan kalimah قنطوiaitu sesuatu yang diharapkan, bukan mustahil dapat berlaku hanya perlu menunggu masa yang lama.
2.0] Dalam penjelasan minggu lepas, Allah ingatkan kepada orang-orang yang berdosa walau banyak dosa dan besar-besar dosa sekali pun jangan berputus asa dari mengharap pengampunan daripada Allah kerana bukan mustahil dikabulkan Allah nanti.
3.0] Nabi Yaakub as berkata kepada anak-anaknya لا تيءسو jangan kamu fikir mustahil untuk jumpa semula Nabi Yusuf. Ini adalah kerana anak-anaknya itu memang berfikir itu adalah sesuatu yang mustahil. Mustahil untuk dapat berjumpa semula dengan Nabi Yusuf as yang telah dicampakkan ke dalam perigi itu.
4.0] Begitu juga Allah ceritakan tentang perempuan yang telah berputus asa يءسو dan tidak perlu berharap lagi untuk datang haid kerana sudah tua dan adalah mustahil memandangkan jika umur pun telah terlalu lanjut.
5.0] Perhatikan ayat ini, yang bermaksud, "Dan tiada sesiapa yang berputus asa daripada mencari rahmat Tuhan-Nya melainkan orang-orang yang sesat". Ertinya orang-orang yang sesat saja yang putus asa mencari rahmat Allah dan sesiapa yang tidak mahu sesat jangan berputus asa, disini digunakan kalimah يقنط. Orang-orang yang sesat saja mustahil mendapat rahmat Allah manakala orang-orang yang tidak sesat mungkin akan mendapat rahmat Allah.
6.0] Kisah Nabi  Ibrahim as dan pasangannya yang sudah tua dan tidak punya anak. Isterinya susah untuk mengandung, walau pun telah berikhtiar. Adakah mungkin atau mustahil pasangan  Nabi Ibrahim as mendapat anak? Allah nasihatkan untuk tidak berputus asa لا قنط. Nabi Ibrahim as bukan orang sesat, akhirnya Allah kurniakan rahmat anak walaupun sangat lambat.
7.0] Surah Al-Ankabut ayat 24;




8.0] Dakwah Nabi Ibrahim as kepada kaumnya dalam surah ini bermula dari ayat 16 lagi hingga ayat 23 ini. Dakwah dengan bukti kebesaran Allah, dengan dalil-dalil yang tidak mungkin seseorang tidak mempercayainya. Tentulah yang ditunggu ialah jawapan yang logik, masuk akal daripada kaumnya, tetapi respon kaumnya langsung tidak menunjukkan kekuatan mental mereka , tidak menggunakan akal budi, tidak menggunakan kekuatan hati nurani.
9.0] Ada mukjizat yang Allah tunjukkan kepada kita amnya dan khasnya ditunjukkan kepada kaumnya pada masa itu yakni yang disebut sebagai qayyumiyyah Allah SWT.
9.1] Allah punya 99 nama, salah satunya ialah Qayyum.Yang bermaksud melakukan semua yang dikehendaki-Nya (Iradah-Nya), sesuai dengan Masyi ah-Nya.
Contoh: Jika Allah kehendaki api jadi panas, panaslah api, jika Allah kehendaki api itu sejuk, sejuklah ia. Kehendak-Nya tidak terbatas. Allah buat undang-undang, Sunnatullah, Kehendak Allah, api panas, air sejuk, bumi berpusing 24 jam satu pusingan sehari semalam, semua ini Masyi ah Allah, tetapi Allah tidak terikat dengan Masyi ah-Nya kerana  Allah Al-Qayyum.
Buktinya, pernah berlaku pada zaman Nabi Yusak bin Nun. Peperangan pada masa itu disyaratkan hanya pada waktu siang, jadi bila Nabi Yusak berdoa kepada Allah supaya bumi lambat berpusing supaya sempatlah dia mengusir sakibaki musuhnya dan memenangi peperangan itu, Allah kabulkan, dengan sifat Qayyumiyyah Allah bumi ditahan dari berpusing dan dilambatkan menjelangnya malam.
10.0] Peristiwa Nabi Ibrahim as dibakar ialah untuk Allah tunjukkan nawa misul kauni, ini adalah peraturan Allah yang diajar Allah kepada Adam di dalam Syurga, iaitu air sejuk, api panas, air dicincang tidak akan putus dan sebagainya tetapi dengan sifat Qayyumiyyah Allah, jika Allah berkehendak, air laut boleh putus seperti dalam kisah Nabi Musa as ketika dikejar Firaun. Sunnatullah dalam Al-Quran lebih merujuk kepada hukum sejarah tentang umat silam tetapi yang berkaitan dengan alam semesta guna kalimah nawa misul kauni, yang bermaksud undang-undang Allah.
11.0] Dalam menjalani kehidupan kita kena ikut peraturan nawa misul kauni dan bukan kepada Al-Qayyumiyyah.
Contoh, racun itu membunuh, janganlah harap dengan sifat Al-Qayyumiyyah  Allah, kita dapat selamat bila kita minum racun atau janganlah masuk kedalam rumah yang sedang terbakar, jangan samakan diri kita dengan para nabi yang tinggi maqamnya. Api jadi sejuk kepada Nabi Ibrahim as kerana maqamnya yang tinggi dan perjuangannya hebat. Nabi Muhammad saw makan daging yang dibubuh racun tetapi masih selamat dengan Qayyumiyyah Allah.
Contoh lagi ialah andai kereta kita rosak, brek tidak berfungsi, kita pula sedang berpuasa, balik dari mengaji. Jangan yakin bahawa kita dijaga oleh malaikat. Jangan hanya dengan bertawakkal kepada Allah, lalu memandu dalam bahaya dengan bergantung supaya Allah menjaga kita. Sebaliknya jalanilah hidup sesuai dengan undang-undang Allah.
Contoh lagi jika seseorang yang sakit dilarang dari memakan sesuatu yang akan mudhoratkannya, tetapi jika berkeras ingin makan juga, dengan mengatakan, "Doktor  bukan malaikat, ajal ditangan Tuhan". Tindakan ini tidak sepatutnya dan hanya merosakkan diri sendiri.
12.0] Dari Ibnu Khathir, "Tatkala Ibrahim berjaya menyampaikan tentang 3 usul kepada kaumnya iaitu tentang keEsaan Allah, tentang kenabiannya dan tentang kebangkitan dan Hari Kiamat, tambahan telah dijelaskan dengan bukti kebenaran, namun jawapan yang tidak disangka-sangka dari kaumnya ialah, "Bunuh saja Ibrahim". Allah beritahu tentang penolakan kaum Nabi Ibrahim as ini. Mereka menyediakan api yang sangat tinggi menjulang kelangit, kemudian mereka melontar (melastik) Nabi Ibrahim as ke dalam api yang sangat marak itu. Allah jadikan api itu sejuk dan selamat dan Nabi Ibrahim as keluar dari api itu selepas api itu padam beberapa hari berikutnya. Mereka melihat sendiri, yang pasti mereka kagum, terkejut, tidak percaya tentang satu kekuatan yang sangat dahsyat dan luar biasa, ada yang mula beriman dan ada yang terus kufur apabila melihat mukjizat itu.
13.0] Tentang perbezaan maqam.
i) Perempuan Mesir yang masih kotor hatinya ketika melihat Yusuf yang bersih hatinya. Perbezaan maqam yang sangat ketara menyebabkan mereka terkesima, mereka terpotong jari tanpa disedari.
ii) Anas bin Malik iaitu khadam Nabi saw selama 9 tahun lebih, namun apabila ditanya oleh sahabat tentang wajah Nabi saw, tidak dapat menjelaskan, kerana beliau tidak mampu untuk menatap wajah Nabi saw kecuali hanya dengan mencuri-curi pandang sahaja. Jiwa Nabi saw yang sangat suci berbeza dengan jiwa sahabat yang membuatkan sahabat tidak sanggup bertentang mata kecuali dengan banyak menundukkan muka tanda perbezaan maqam ketika berhadapan.
iii) Ratu Balqis, seorang yang kayaraya, yang belum menerima hidayah, ketika mula dipersilakan oleh Nabi Sulaiman as masuk ke istana, telah melakukan kesilapan mengangkat kainnya kerana menyangka lantai kaca itu air, terpedaya dengan dunia kerana hatinya belum bersih. Sehebat manapun dunia tidak dapat mempesonakan jiwa yang tauhid. Iman yang kuat tidak mudah terpedaya dengan dunia.
14.0] Berkaitan dengan penggunaan bahasa dalam ayat yakni Firman Allah swt;
i) Bandingkan ayat 24 dengan ayat 15 dalam surah Al-Ankabut, Ada persamaan atau ada perbezaan?.
ii) Al Ankabut ayat 15....فاءنجيناه واصحاب السفينت وجعلناها ءايت للعالمي"Maka Kami selamatkan Nuh dan orang-orang yang berada diatas kapal itu dan Kami jadikan (peristiwa ) itu (ها) sebagai pengajaran (...مفرد...ءايت) buat semua manusia (للعا لمين).
iii) Al Ankabut ayat 24;
فماكان جواب قومه الا ان قالو ااقتلوه او حرقوه فانجاه الله من النار، ان في ذالك لءايات لقوم يوءمنون.
"Maka tidak ada jawapan kaumnya (Ibrahim) selain mengatakan, "Bunuhlah atau bakarlah dia," lalu Allah menyelamatkannya daripada api. Sesungguhnya demikian itu (ذلك) pasti terdapat tanda-tanda kebesaran Allah (ءايات.....جمع) bagi  orang yang beriman (لقوم يوءمنون).

Perhatikan perbezaan antara keduanya.


15.0] Nabi Nuh as dan Nabi Ibrahim as diselamatkan walaupun dalam cara berbeza tetapi pengajarannya adalah sama iaitu sebagai ayat Allah (bukti Allah).
16.0] Dalam kisah Nabi Nuh as, diselamatkan Nabi Nuh as dan penghuni kapal dari tenggelam, yakni sesuatu yang boleh difahami oleh akal, Inja' atau penyelamatan yang boleh difahami berdasarkan nawa misul kauni. Inja' yang bersifat kauniyah dan boleh difahami akal.
17.0] Inja' atau penyelamatan yang jadi ayat Allah (bukti Allah) ialah orang yang naik kapal, penuh muatan, boleh terselamat dari banjir besar, walau pun dihempas taufan, itu adalah tanda Qayyumiyyah Allah, tanda kuasa dan rahmat Allah....للعا لمين...yang membuatkan orang kagum dari dulu hingga sekarang, ialah sebab kapal itu masih dapat disaksikan oleh generasi selepas Nabi Nuh as. Inja' Allah kepada Nabi Nuh as itu mengikut kaedah nawa misul kauni.
18.0] Berbeza dengan inja' Allah kepada Nabi Ibrahim Khalilullah yang menyalahi kaedah nawa misul kauni .Di sini digunakan kalimah aayaatin ( ءايات ), bukti-bukti atau tanda-tanda kekuasaan Allah.
19.0] Ketika Raja Namrud perintahkan untuk menangkap Nabi Ibrahim as, kemudian dinyalakan api dan dicampakkan Nabi Ibrahim as ke dalam api, tetapi Allah telah perintahkan api untuk jadi sejuk, ini suatu yang susah untuk difahami dan susah untuk dibuktikan. Hanya orang yang melihat saat itu yang percaya dan bagi orang yang tidak melihat, hanya orang yang beriman sahaja yang boleh percaya. Sebab itu ayat ini menggunakan kalimah يوء منون iaitu untuk orang-orang yang beriman, dan tidak boleh dengan menggunakan akal sebab ini mukjizat.
20.0] Contoh inja' Allah;
i) Kepada Nabi Yunus as- dikeluarkan dari perut ikan. Ini juga ayat Allah (bukti/tanda Allah) untuk orang yang beriman (لقوم يوءمنون).
ii) Kekalahan tentera Islam dibawah pimpinan Nabi saw dalam Peperangan Uhud melawan kafir Quraish. Ini pula ayat Allah (tanda /bukti Allah) untuk seluruh alam (لل عا لمين) dimana akal boleh faham dengan mudah . Sebab dan punca kekalahan boleh dikaji.
21.0] Allah punyai Kehendak yang bebas samada dengan inja' nawa misul kauni atau dengan kelancaran Qudrah-Nya.
22.0] Dengan keimanan kita akan tawakkal, selagi masih ada jalan atau cara,  berikhtiarlah, tetapi setelah jalan ikhtiar telah tertutup, jangan putus asa kerana Allah masih punya inja' (penyelamatan)  dengan Qudrat-Nya.
23.0] Bagi yang sakit mesti berubat dahulu, berikhtiar selagi ada pintu ikhtiar, sehingga sampai keperingkat tiada lagi ikhtiar seperti keadaan Nabi Yunus as dalam perut ikan. Yang mana hanya memohon  kemaafan dari Allah dan Allah sendiri nanti yang akan memberi Inja' atau penyelamatan.


24.0] Siti Hajar tawaf keliling Kaabah, itu lambang 'ubudiah, pasrah diri, tawakkal sepenuhnya kepada Allah. Siti Hajar mencari air, saie, berlari ulangalik, antara Marwah dan Safar, itu adalah ikhtiar dan usaha, tetapi air tidak diketemui disitu. Allah hargai usaha ikhtiar itu dan Allah beri rezqi tidak semesti kepada usaha itu  atau ditempat usaha itu tetapi Allah beri Rahmat-Nya dengan mengeluarkan air di tempat lain, iaitu ditempat anaknya Ismail menendang.
25.0] Tawaf diikuti saie. Tawaf lambang 'ubudiah,ukhrawi. Saie lambang ikhtiar usaha, duniawi. Tawaf tanpa saie adalah boleh manakala saie tanpa tawaf adalah tidak boleh.
26.0] Akhirat (ukhrawi) dicari, dunia dicari, jika tidak mampu mencari keduanya, carilah dahulu ukhrawinya. Yang terbaik, yang ideal ialah tawaf kemudian saie, iaitu patuh taat dan beribadah kepada Allah kemudian disusuli dengan usaha dan ikhtiar, tetapi jika tidak mampu untuk membuat kedua-duanya, mungkin jika keadaan masa sudah suntuk atau atas sebab tertentu yang menghalang maka buatlah tawaf dahulu sahaja. Pengertian lebih mendalam tentang itu adalah perlu dalam kehidupan kita. Lahawlawala quwwata illa billah.