Tuesday, March 22, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 23-24) Kuliah 24- Kalimah Ya isu, Qonit, Inja'


1.0] Sorotan kuliah sebelumnya, surah Al-Ankabut ayat 23, yang bermaksud, "Dan orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan-Nya, mereka berputus asa daripada rahmat-Ku, dan mereka  itu akan mendapat azab yang pedih ".
Rahmat Allah dalam ayat ini bermaksud Syurga.
Dalam ayat ini digunakan kalimah  يءسوya isu yang bermakna putus harapan kerana apa yang diharap ialah sesuatu yang mustahil. Berbeza jika digunakan kalimah قنطوiaitu sesuatu yang diharapkan, bukan mustahil dapat berlaku hanya perlu menunggu masa yang lama.
2.0] Dalam penjelasan minggu lepas, Allah ingatkan kepada orang-orang yang berdosa walau banyak dosa dan besar-besar dosa sekali pun jangan berputus asa dari mengharap pengampunan daripada Allah kerana bukan mustahil dikabulkan Allah nanti.
3.0] Nabi Yaakub as berkata kepada anak-anaknya لا تيءسو jangan kamu fikir mustahil untuk jumpa semula Nabi Yusuf. Ini adalah kerana anak-anaknya itu memang berfikir itu adalah sesuatu yang mustahil. Mustahil untuk dapat berjumpa semula dengan Nabi Yusuf as yang telah dicampakkan ke dalam perigi itu.
4.0] Begitu juga Allah ceritakan tentang perempuan yang telah berputus asa يءسو dan tidak perlu berharap lagi untuk datang haid kerana sudah tua dan adalah mustahil memandangkan jika umur pun telah terlalu lanjut.
5.0] Perhatikan ayat ini, yang bermaksud, "Dan tiada sesiapa yang berputus asa daripada mencari rahmat Tuhan-Nya melainkan orang-orang yang sesat". Ertinya orang-orang yang sesat saja yang putus asa mencari rahmat Allah dan sesiapa yang tidak mahu sesat jangan berputus asa, disini digunakan kalimah يقنط. Orang-orang yang sesat saja mustahil mendapat rahmat Allah manakala orang-orang yang tidak sesat mungkin akan mendapat rahmat Allah.
6.0] Kisah Nabi  Ibrahim as dan pasangannya yang sudah tua dan tidak punya anak. Isterinya susah untuk mengandung, walau pun telah berikhtiar. Adakah mungkin atau mustahil pasangan  Nabi Ibrahim as mendapat anak? Allah nasihatkan untuk tidak berputus asa لا قنط. Nabi Ibrahim as bukan orang sesat, akhirnya Allah kurniakan rahmat anak walaupun sangat lambat.
7.0] Surah Al-Ankabut ayat 24;




8.0] Dakwah Nabi Ibrahim as kepada kaumnya dalam surah ini bermula dari ayat 16 lagi hingga ayat 23 ini. Dakwah dengan bukti kebesaran Allah, dengan dalil-dalil yang tidak mungkin seseorang tidak mempercayainya. Tentulah yang ditunggu ialah jawapan yang logik, masuk akal daripada kaumnya, tetapi respon kaumnya langsung tidak menunjukkan kekuatan mental mereka , tidak menggunakan akal budi, tidak menggunakan kekuatan hati nurani.
9.0] Ada mukjizat yang Allah tunjukkan kepada kita amnya dan khasnya ditunjukkan kepada kaumnya pada masa itu yakni yang disebut sebagai qayyumiyyah Allah SWT.
9.1] Allah punya 99 nama, salah satunya ialah Qayyum.Yang bermaksud melakukan semua yang dikehendaki-Nya (Iradah-Nya), sesuai dengan Masyi ah-Nya.
Contoh: Jika Allah kehendaki api jadi panas, panaslah api, jika Allah kehendaki api itu sejuk, sejuklah ia. Kehendak-Nya tidak terbatas. Allah buat undang-undang, Sunnatullah, Kehendak Allah, api panas, air sejuk, bumi berpusing 24 jam satu pusingan sehari semalam, semua ini Masyi ah Allah, tetapi Allah tidak terikat dengan Masyi ah-Nya kerana  Allah Al-Qayyum.
Buktinya, pernah berlaku pada zaman Nabi Yusak bin Nun. Peperangan pada masa itu disyaratkan hanya pada waktu siang, jadi bila Nabi Yusak berdoa kepada Allah supaya bumi lambat berpusing supaya sempatlah dia mengusir sakibaki musuhnya dan memenangi peperangan itu, Allah kabulkan, dengan sifat Qayyumiyyah Allah bumi ditahan dari berpusing dan dilambatkan menjelangnya malam.
10.0] Peristiwa Nabi Ibrahim as dibakar ialah untuk Allah tunjukkan nawa misul kauni, ini adalah peraturan Allah yang diajar Allah kepada Adam di dalam Syurga, iaitu air sejuk, api panas, air dicincang tidak akan putus dan sebagainya tetapi dengan sifat Qayyumiyyah Allah, jika Allah berkehendak, air laut boleh putus seperti dalam kisah Nabi Musa as ketika dikejar Firaun. Sunnatullah dalam Al-Quran lebih merujuk kepada hukum sejarah tentang umat silam tetapi yang berkaitan dengan alam semesta guna kalimah nawa misul kauni, yang bermaksud undang-undang Allah.
11.0] Dalam menjalani kehidupan kita kena ikut peraturan nawa misul kauni dan bukan kepada Al-Qayyumiyyah.
Contoh, racun itu membunuh, janganlah harap dengan sifat Al-Qayyumiyyah  Allah, kita dapat selamat bila kita minum racun atau janganlah masuk kedalam rumah yang sedang terbakar, jangan samakan diri kita dengan para nabi yang tinggi maqamnya. Api jadi sejuk kepada Nabi Ibrahim as kerana maqamnya yang tinggi dan perjuangannya hebat. Nabi Muhammad saw makan daging yang dibubuh racun tetapi masih selamat dengan Qayyumiyyah Allah.
Contoh lagi ialah andai kereta kita rosak, brek tidak berfungsi, kita pula sedang berpuasa, balik dari mengaji. Jangan yakin bahawa kita dijaga oleh malaikat. Jangan hanya dengan bertawakkal kepada Allah, lalu memandu dalam bahaya dengan bergantung supaya Allah menjaga kita. Sebaliknya jalanilah hidup sesuai dengan undang-undang Allah.
Contoh lagi jika seseorang yang sakit dilarang dari memakan sesuatu yang akan mudhoratkannya, tetapi jika berkeras ingin makan juga, dengan mengatakan, "Doktor  bukan malaikat, ajal ditangan Tuhan". Tindakan ini tidak sepatutnya dan hanya merosakkan diri sendiri.
12.0] Dari Ibnu Khathir, "Tatkala Ibrahim berjaya menyampaikan tentang 3 usul kepada kaumnya iaitu tentang keEsaan Allah, tentang kenabiannya dan tentang kebangkitan dan Hari Kiamat, tambahan telah dijelaskan dengan bukti kebenaran, namun jawapan yang tidak disangka-sangka dari kaumnya ialah, "Bunuh saja Ibrahim". Allah beritahu tentang penolakan kaum Nabi Ibrahim as ini. Mereka menyediakan api yang sangat tinggi menjulang kelangit, kemudian mereka melontar (melastik) Nabi Ibrahim as ke dalam api yang sangat marak itu. Allah jadikan api itu sejuk dan selamat dan Nabi Ibrahim as keluar dari api itu selepas api itu padam beberapa hari berikutnya. Mereka melihat sendiri, yang pasti mereka kagum, terkejut, tidak percaya tentang satu kekuatan yang sangat dahsyat dan luar biasa, ada yang mula beriman dan ada yang terus kufur apabila melihat mukjizat itu.
13.0] Tentang perbezaan maqam.
i) Perempuan Mesir yang masih kotor hatinya ketika melihat Yusuf yang bersih hatinya. Perbezaan maqam yang sangat ketara menyebabkan mereka terkesima, mereka terpotong jari tanpa disedari.
ii) Anas bin Malik iaitu khadam Nabi saw selama 9 tahun lebih, namun apabila ditanya oleh sahabat tentang wajah Nabi saw, tidak dapat menjelaskan, kerana beliau tidak mampu untuk menatap wajah Nabi saw kecuali hanya dengan mencuri-curi pandang sahaja. Jiwa Nabi saw yang sangat suci berbeza dengan jiwa sahabat yang membuatkan sahabat tidak sanggup bertentang mata kecuali dengan banyak menundukkan muka tanda perbezaan maqam ketika berhadapan.
iii) Ratu Balqis, seorang yang kayaraya, yang belum menerima hidayah, ketika mula dipersilakan oleh Nabi Sulaiman as masuk ke istana, telah melakukan kesilapan mengangkat kainnya kerana menyangka lantai kaca itu air, terpedaya dengan dunia kerana hatinya belum bersih. Sehebat manapun dunia tidak dapat mempesonakan jiwa yang tauhid. Iman yang kuat tidak mudah terpedaya dengan dunia.
14.0] Berkaitan dengan penggunaan bahasa dalam ayat yakni Firman Allah swt;
i) Bandingkan ayat 24 dengan ayat 15 dalam surah Al-Ankabut, Ada persamaan atau ada perbezaan?.
ii) Al Ankabut ayat 15....فاءنجيناه واصحاب السفينت وجعلناها ءايت للعالمي"Maka Kami selamatkan Nuh dan orang-orang yang berada diatas kapal itu dan Kami jadikan (peristiwa ) itu (ها) sebagai pengajaran (...مفرد...ءايت) buat semua manusia (للعا لمين).
iii) Al Ankabut ayat 24;
فماكان جواب قومه الا ان قالو ااقتلوه او حرقوه فانجاه الله من النار، ان في ذالك لءايات لقوم يوءمنون.
"Maka tidak ada jawapan kaumnya (Ibrahim) selain mengatakan, "Bunuhlah atau bakarlah dia," lalu Allah menyelamatkannya daripada api. Sesungguhnya demikian itu (ذلك) pasti terdapat tanda-tanda kebesaran Allah (ءايات.....جمع) bagi  orang yang beriman (لقوم يوءمنون).

Perhatikan perbezaan antara keduanya.


15.0] Nabi Nuh as dan Nabi Ibrahim as diselamatkan walaupun dalam cara berbeza tetapi pengajarannya adalah sama iaitu sebagai ayat Allah (bukti Allah).
16.0] Dalam kisah Nabi Nuh as, diselamatkan Nabi Nuh as dan penghuni kapal dari tenggelam, yakni sesuatu yang boleh difahami oleh akal, Inja' atau penyelamatan yang boleh difahami berdasarkan nawa misul kauni. Inja' yang bersifat kauniyah dan boleh difahami akal.
17.0] Inja' atau penyelamatan yang jadi ayat Allah (bukti Allah) ialah orang yang naik kapal, penuh muatan, boleh terselamat dari banjir besar, walau pun dihempas taufan, itu adalah tanda Qayyumiyyah Allah, tanda kuasa dan rahmat Allah....للعا لمين...yang membuatkan orang kagum dari dulu hingga sekarang, ialah sebab kapal itu masih dapat disaksikan oleh generasi selepas Nabi Nuh as. Inja' Allah kepada Nabi Nuh as itu mengikut kaedah nawa misul kauni.
18.0] Berbeza dengan inja' Allah kepada Nabi Ibrahim Khalilullah yang menyalahi kaedah nawa misul kauni .Di sini digunakan kalimah aayaatin ( ءايات ), bukti-bukti atau tanda-tanda kekuasaan Allah.
19.0] Ketika Raja Namrud perintahkan untuk menangkap Nabi Ibrahim as, kemudian dinyalakan api dan dicampakkan Nabi Ibrahim as ke dalam api, tetapi Allah telah perintahkan api untuk jadi sejuk, ini suatu yang susah untuk difahami dan susah untuk dibuktikan. Hanya orang yang melihat saat itu yang percaya dan bagi orang yang tidak melihat, hanya orang yang beriman sahaja yang boleh percaya. Sebab itu ayat ini menggunakan kalimah يوء منون iaitu untuk orang-orang yang beriman, dan tidak boleh dengan menggunakan akal sebab ini mukjizat.
20.0] Contoh inja' Allah;
i) Kepada Nabi Yunus as- dikeluarkan dari perut ikan. Ini juga ayat Allah (bukti/tanda Allah) untuk orang yang beriman (لقوم يوءمنون).
ii) Kekalahan tentera Islam dibawah pimpinan Nabi saw dalam Peperangan Uhud melawan kafir Quraish. Ini pula ayat Allah (tanda /bukti Allah) untuk seluruh alam (لل عا لمين) dimana akal boleh faham dengan mudah . Sebab dan punca kekalahan boleh dikaji.
21.0] Allah punyai Kehendak yang bebas samada dengan inja' nawa misul kauni atau dengan kelancaran Qudrah-Nya.
22.0] Dengan keimanan kita akan tawakkal, selagi masih ada jalan atau cara,  berikhtiarlah, tetapi setelah jalan ikhtiar telah tertutup, jangan putus asa kerana Allah masih punya inja' (penyelamatan)  dengan Qudrat-Nya.
23.0] Bagi yang sakit mesti berubat dahulu, berikhtiar selagi ada pintu ikhtiar, sehingga sampai keperingkat tiada lagi ikhtiar seperti keadaan Nabi Yunus as dalam perut ikan. Yang mana hanya memohon  kemaafan dari Allah dan Allah sendiri nanti yang akan memberi Inja' atau penyelamatan.


24.0] Siti Hajar tawaf keliling Kaabah, itu lambang 'ubudiah, pasrah diri, tawakkal sepenuhnya kepada Allah. Siti Hajar mencari air, saie, berlari ulangalik, antara Marwah dan Safar, itu adalah ikhtiar dan usaha, tetapi air tidak diketemui disitu. Allah hargai usaha ikhtiar itu dan Allah beri rezqi tidak semesti kepada usaha itu  atau ditempat usaha itu tetapi Allah beri Rahmat-Nya dengan mengeluarkan air di tempat lain, iaitu ditempat anaknya Ismail menendang.
25.0] Tawaf diikuti saie. Tawaf lambang 'ubudiah,ukhrawi. Saie lambang ikhtiar usaha, duniawi. Tawaf tanpa saie adalah boleh manakala saie tanpa tawaf adalah tidak boleh.
26.0] Akhirat (ukhrawi) dicari, dunia dicari, jika tidak mampu mencari keduanya, carilah dahulu ukhrawinya. Yang terbaik, yang ideal ialah tawaf kemudian saie, iaitu patuh taat dan beribadah kepada Allah kemudian disusuli dengan usaha dan ikhtiar, tetapi jika tidak mampu untuk membuat kedua-duanya, mungkin jika keadaan masa sudah suntuk atau atas sebab tertentu yang menghalang maka buatlah tawaf dahulu sahaja. Pengertian lebih mendalam tentang itu adalah perlu dalam kehidupan kita. Lahawlawala quwwata illa billah.

No comments:

Post a Comment