Tuesday, March 1, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 19-20) Kuliah 21- Ayat Kauniyah, Tuqlabun, Turja'un


1.0] Surah Al-Ankabut ayat 19 dan 20 yang telah dibincangkan dalam kuliah lepas ialah  ayat kauniyah iaitu tafsir yang berkembang supaya kita berfikir tentang Allah bagi merasai Keagungan dan Kebesaran-Nya. Dijelaskan dalam siri lepas bermula dari asal-usul kejadian alam semesta hingga menjadi seperti sekarang dan seterusnya nanti akan dikembalikan seperti-mana awal kejadian. Dihimpun dalam 3 ayat iaitu dalam surah Al-Anbiya ayat 30 yang menceritakan tentang terjadinya alam semesta. Surah Az-Zaariyat ayat 47 pula menceritakan tentang apa yang berlaku sehingga ke hari ini. Manakala surah Al-Anbiya ayat 104 menceritakan tentang bagaimanakah nasib alam ini suatu hari nanti.

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 19;
3.0] Surah Al-Ankabut ayat 20;


4.0] Ayat 19 merupakan teguran Allah kepada mereka yang meragui akan Kekuasaan-Nya, supaya mereka melihat bagaimana asal mausul penciptaan. Manakala dalam ayat 20, terdapat perintah Allah SWT kepada hamba-Nya, khasnya kepada umat Nabi Muhammad saw untuk melakukan satu tugas berat tetapi mulia yakni supaya memperuntukkan masa, tenaga, wang-ringgit untuk melakukan pengembaraan  di muka bumi. Keluar mengkaji, memandang,  memerhati, sehingga dapat menyimpulkan apa yang dikaji itu. Walaupun mungkin kita tidak mempunyai kepakaran atau kemampuan, namun tidak boleh kita jadikan alasan untuk tidak mengambil berat tuntutan ayat ini. Paling tidak carilah buku-buku ilmiah tentang hasil kajian asal-usul penciptaan alam, perlulah dibaca, perlulah dikaji walau pun hanya dari apa yang telah orang lain buat kajian.
5.0] Perlu disarankan bahawa ketika diadakan ceramah-ceramah perdana di masjid atau di dalam khutbah Jumaat mingguan yang dihadiri ramai jemaah, apa salahnya jika dipanggil pakar dalam sesuatu bidang untuk memberi khutbah dalam bidangnya. Kandungan khutbah yang tidak monotonus dan memberi ilmu kepada ramai orang. Mungkin dengan memanggil seorang saintis Muslim atau mungkin seorang doktor yang akan membicarakan, contohnya tentang tulang tungging di rumah Allah, disamping mendapat pahala, jemaah akan mendapat ilmu yang berguna.
6.0] Kebanyakan kita sudah tunaikan solat, zakat, haji dan umrah. Sudah baik, tetapi adalah lebih baik lagi jika dapat melakukan pengembaraan, penerokaan untuk melakukan research atau penyelidikan tentang alam. Alam ciptaan Allah untuk makhluk-Nya. Bumi dan langit yang telah dijadikan dengan sempurna terlalu lama dahulu dari manusia. Kita manusia adalah makhluk terakhir ciptaan Allah dan adalah lebih muda daripada nyamuk, kura-kura, buaya dan sebagainya. Lebih dari 300 juta tahun dahulu bumi dihuni oleh dinosur yang bermaharajalela yang kemudiannya Allah hancurkan untuk persediaan kehidupan manusia.

7.0] Fahaman Yahudi tentang alam ialah bahawasanya Allah memulakan ciptaan pada hari Ahad, siap pada hari Jumaat dan Allah cuti pada hari Sabtu (sabat bermakna rehat). Dari situlah terbit perkataan cuti sabatikal yang bermakna cuti rehat.
8.0] Tafsir kontemporari ialah tafsir yang berkembang, dipanggil ayat kauniyah, iaitu tafsir ulama sekarang yang berbeza dengan tafsir ulama dahulu. Berbeza sekali dengan tafsir ayat-ayat aqidah yang tetap sama dari dahulu atau sekarang, seperti tentang hukum haram riba atau syirik yang tetap dan tidak berubah sampai bila-bila.
9.0] Ayat kauniyah memberi isyarat jelas dan tegas untuk kita lakukan kajian tentang peringkat-peringkat ilmu geologi seperti yang berkaitan dengan planet-planet, dalam pelbagai aspek, supaya kita tahu dan kenal sekenal-kenalnya tentang bagaimana Allah mencipta alam ini. Tumbuhan, haiwan yang mengalami proses yang memakan masa yang lama dalam pengiraan kita. Banyak fakta ini boleh didapati dari buku Dr. Agus Mustafa iaitu buku yang berjodol Data-data Saintifik. Kajian tentang planet, sehingga terkeluar satu kaedah yang menyatakan present is the key to the past. Ini bukan hanya dari kajian orang putih, jadi jika ingin tahu apa yang berlaku pada zaman silam, kajilah keadaan sekarang dan ajarlah ilmu sains ini dimana-mana termasuk di rumah Allah.
10.0] Ilmu yang pertama sekali diajar kepada manusia ialah ilmu tentang alam semesta, dimana Allah ajar, seperti yang dijelaskan di dalam surah Al-Baqarah ayat 31. Bilik darjahnya di syurga, muridnya ialah Nabi Adam as, gurunya ialah Allah dan ilmunya ialah tentang alam semesta iaitu IImu Sains. Al-Asma' kullaha, bukan sekadar nama tetapi tentang sifat-sifat alam semesta. Allah mengajar Nabi Adam as tentang air, sifat-sifat air, suhu mendidihnya, apabila dipanaskan pada ketinggian tertentu, apa berlaku dan sebagainya.
10.1] Ketika Allah mengadakan kuiz antara Nabi Adam as dan malaikat, malaikat tidak dapat menjawab, malahan berkata, "Maha suci Engkau tidak ada pengetahuan bagi kami kecuali apa yang Engkau ajarkan kepada kami". Kemudian Allah menyuruh Nabi Adam as memberitahunya. Allah tidak ajar tentang itu semua kepada malaikat dan tidak pula menyuruh Nabi Adam as ajar kepada malaikat kerana malaikat tidak memerlukan ilmu itu. Malaikat hanya untuk beribadah sebagai hamba-Nya, yang hanya berwirid dan berzikir. Manakaka Nabi Adam as yang diperintahkan untuk menjadi khalifah, perlu dwifungsi ilmu, dua portfolio, iaitu sebagai hamba Allah yang kena mengikut syariat, yang perlu patuhi halal-haram, tahu lurus-bengkok, dosa-pahala, neraka-syurga, juga untuk menjadi khalifah kepada Allah, perlu kepada pengetahuan Al-Asma' kullaha iaitu perlu tahu segala sifat-sifat alam semesta.
11.0] Nabi Muhammad saw menangis sepanjang malam apabila turun surah Aa-li Imran ayat 190 hingga ayat 200. Apa kata Nabi saw tentang ayat ini? Nabi saw bersabda, "Celaka orang yang membaca ayat ini tetapi tidak mahu memikirkannya". Ini amaran dari Nabi saw supaya kita mengkaji. Al-Quran bukan sahaja sebagai sumber pahala, atau bukan sahaja untuk penenang jiwa yang gelisah, bukan sahaja untuk pelaris jualan tetapi sebagai panduan untuk mendapat natijah. Contohnya surah Yasin, dimana kandungannya adalah lebih banyak tentang alam semesta.
12.0] Dr. Hamka menasihati jamaahnya dengan berkata, "Bagaimana supaya ingatan kita bagus, tidak pelupa, tidak nyanyuk? Allah telah beri otak kepada kita, oleh itu jangan memencenkan otak, jangan memandulkan otak, sebaliknya berfikirlah, supaya otak menjadi besar, terus aktif, rangsang minda dengan bacaan ilmiah yang mencabar".
13.0] Orang biasa suka belajar benda yang dia sudah tahu dan tidak berminat untuk belajar perkara yang dia belum tahu. Sebaliknya belajarlah sesuatu yang kita belum tahu , yang mencabar minda, perlu ada perubahan dalam cara pemikiran orang sekarang. Tentang berjaya pula, biasanya anggapan berjaya ialah apabila ramai sambutan tetapi tidak begitu sebenarnya. Berjaya ialah apabila telah menyampaikan semua yang Allah suruh sampaikan. Semasa Nabi saw berdakwah, Baginda saw dibaling batu, namun dakwah diteruskan, berbeza dengan sekarang, berdakwah dengan membaling (memberi) makanan pun orang tidak berminat.
14.0] Banyak teori fahaman manusia tentang kejadian alam semesta. Antaranya ialah Teori Atheisism, teori yang paling tua dan paling kuno, bagi orang yang tidak bertuhan. Mereka mempercayai steady state theory. Mereka percaya alam ini telah sempurna, tiada penciptaan, tiada pengakhiran, tidak berubah.
14.1] Teori Big Bang, mengemukakan bahawa alam bermula dengan dentuman dahsyat yang memulakan segala kejadian. Teori ini adalah yang paling popular manakala teori-teori lain tiada alasan kukuh. Walau apa pun, sedikit sebanyak, gagasan mereka, membuatkan kita dapat mengkagumi ciptaan Allah dan rahmat Allah dalam asal-usul alam ini.
15.0] Memerhati perbezaan penggunaan istilah dalam Al-Quran khasnya di dalam ayat 19 dan 20 di atas;
i) Kholaqa bermaksud menciptakan.
ii) Ja'ala bermaksud menjadikan.
Dalam Al-Quran, tentang ayat kauniyah, biasanya apabila Allah guna istilah kholaqa, menunjukkan bahawa apa yang Allah ingin beritahu ialah tentang  Kebesaran dan Kekuasaan-Nya yang tiada had dalam hal menciptakan, menciptakan alam dan makhlukNya.
Apabila Allah guna istilah ja 'ala ialah untuk menceritakan betapa besarnya Manafaat, Rahmat-Nya kepada makhluk dengan Penciptaan alam dari tiada kepada ada. Dengan ini mudah untuk hadirkan rasa tawadduk, mudah untuk menjadi hamba yang baik, yang tunduk, yang syukur. Semakin banyak  diketahui rahsia kauniyah alam, semakin tawadduk hamba kepada Allah. Semakin berhajat kepada Allah apabila hamba-Nya merasa semakin lemah.
16.0] Selepas Allah menceritakan tentang alam semesta dan hari Qiamat, Hari Kebangkitan yang pasti berlaku, di dalam ayat 21 pula, Allah ceritakan sebahagian dari apa yang akan berlaku di akhirat nanti. Allah akan mengazab dan menyeksa pendusta kerana  Keadilan-Nya dan Kebijaksanaan-Nya dan Allah memberi ganjaran rahmat kepada yang mempercayai-Nya kerana Kurnia dan Kasih-sayang-Nya.
17.0] Diakhirat Allah hendak tunjukkan sifat Al-Adlu dan Al-Hakim-Nya atau sifat Al-Ghafur Ar-Rahim-Nya.
i) Al-'Adlu bermaksud Yang Maha adil.
ii) Al-Hakim bermaksud Yang Maha Bijaksana ( jauh dari melakukan kezaliman).
iii) Al-Ghafur bermaksud Yang Maha Pengampun.
iv) Ar-Rahim bermaksud Yang Maha memberi Rahmat, ertinya, Pengampunan yang diberi Allah kepada hamba-Nya, dimasukkan ke dalam syurga, semua itu adalah tidak terlepas dari sifat Al-Ghafur Ar-Rahim-Nya.
18.0] Apabila ada orang yang dihumban ke neraka, itu untuk menunjukkan sifat Al-'Adlu Al-Hakim Allah, bukan untuk Allah aniaya hamba-Nya.
19.0] Jika Allah gunakan sifat-Nya Al-'Adlu, sekecil manapun dosa seseorang akan dibalas atau disiksa, sebaliknya jika  Allah hendak gunakan sifat Al-Ghafur Ar-Rahim-Nya, sebesar manapun dosa orang itu akan diampun dan dapat masuki syurga. Oleh sebab itu jangan ambil mudah, jangan pandang remeh atas perbuatan dosa walau pun kecil. Pemahaman  yang tidak betul seperti yang kita sering merasa pelik ialah apabila melihat orang Kristian yang buat dosa kemudian pergi ke gereja pada hari Ahad untuk mengaku kepada paderi supaya dosa terampun. Ini bermakna menggalakkan orang berbuat dosa jika semudah itu penyelesaiannya. Kita muslim juga, jangan mengandaikan dengan hanya berwuduk atau bertasbih, bertahmid, bertakbir selepas solat, lalu segala dosa dapat luruh. Nabi saw tidak salah bersabda dan menasihati sedemikian, tetapi tidak hanya dengan lisan dapat meruntuhkan dosa yang telah dibuat. Tidak hanya dengan melagu-lagukan wirid atau mengejar jumlah wirid dengan menggunakan alat kira, tetapi hendaklah beribadat seumpama memandu kereta dengan ada lesen dan tahu peraturan jalan raya sepenuhnya. Apabila telah berbuat dosa, maka ada titik hitam dihati, apabila bertaubat bersungguh-sungguh, baharulah dosa akan jatuh dan lebur. Dosa berada dihati dan di jiwa melekatnya. 


20.0] Dari Imam Al-Ghazali, "Apabila kita bertasbih, bertahmid, bertakbir, yang diucap, suara yang keluar adalah dari hati yang sudah dipenuhi rasa kagum kepada Allah, yang sudah tidak dapat tertanggung oleh hati, lantas terkeluar dari lisan".
21.0] Abu Bakar As-Siddiq, mengungkapkan kalimah Allahu Akbar, satu ungkapan sahaja untuk menyatakan rasa hatinya apabila kagum atau syukur.
22.0] Zikir ini adalah dari hati keluar ke mulut, mesti ada zuuk, penuh perasaan, ada rasa takut kepada Allah, ada peraturan, barulah dapat menanggalkan noktah sauda' (titik hitam) didalam hati. Cara atau peraturan berzikir terdapat didalam surah Al-A'raf dan Al-Isra'. Cari sendiri dan jadilah seperti Mr.Brown, iaitu yang bertanya, diberi tugas mencari sendiri sehingga mendapat jawapan dan betul-betul dapat faham untuk dapat diamalkan.
23.0] Orang beriman akan berasa meremang berdiri bulu roma sehingga menjadi lembut hati mereka, berpeluh sejuk, kulit menjadi lembut, tanda dosa luruh setelah bertaubat bersungguh-sungguh. Usahakanlah buat sedemikian berseorangan, jika susah didapati dalam keadaan berjemaah.
24.0] Perbezaan penggunaan istilah dalam  Al-Quran;
i) Didalam ayat 21 digunakan kalimah wa ilaihi tuqlabun, tuqlabun bermaksud dikembalikan.
ii) Didalam ayat 17 digunakan kalimah ilaihi turja 'un, turja'un juga bermaksud dikembalikan.
25.0] Ruju', raja'a bermakna kembalinya sesuatu ketempat sebelumnya. Contohnya, Inna lillaahi wainna ilaihi roojiuun yang bermaksud semua makhluk adalah dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Asalnya manusia dari syurga dihantar ke dunia kerana kesilapan, dijadikan khalifah. Oleh itu akan kembali ke syurga. Sesiapa yang tidak dapat balik ke syurga adalah orang-orang yang nyata sesat iaitu dholaalan mubiina.
26.0] Qalaba, qolabu. Qolbun bermakna hati iaitu yang berubah. Iqlab pula bermakna bertukar. Qolaba bermakna berubah dari sesuatu ke sesuatu yang lain. Contohnya ialah seperti dari tepung menjadi roti. atau dari telur menjadi ayam atau dari ulat menjadi rama-rama.
Tuqlabun taghyiir bermakna berubah keadaan. Contohnya seorang yang mulia di dunia, diakhirat pula dihinakan dan sebaliknya orang yang hina di dunia dimuliakan pula di akhirat.
24.3] Contohnya seperti seorang Miss Universe (miss alam semesta, miss makhluk jin dan manusia), yang disanjung melangit di dunia, tetapi mungkin terpaksa mengurbankan maruah, mungkin agama dan aqidahnya tergadai, jika tidak sempat bertaubat sebelum mati, di akhirat dibalik, diubah (tuqlabun) ke neraka akhirnya.
25.0] Pujian orang tidak memberi manafaat  sedikit pun jika Allah memandang kamu hina. Manakala celaan orang di dunia tidak memberi apa-apa mudhorat kepada kamu jika Allah pandang kamu mulia. Contohnya seperti Bilal yang berada di syurga tertinggi di akhirat manakala Abu Jahal yang menyeksanya di dunia berada di neraka dalam keadaan hina. Yang ideal dan terbaik ialah di dunia sejahtera di akhirat sejahtera. Tetapi perlu berhati-hati jika sejahtera didunia, supaya tidak pula sebagai istidraj, supaya tidak ilaihi tuqlabun. Ini suatu penutup yang keras yang perlu dimuhasabah sendiri. Na'uzubillah. Moga bermanafaat dan diberkati Allah.




No comments:

Post a Comment