Tuesday, February 23, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 18-19) Kuliah 20- Hidayah Allah


1.0] Surah Al-Ankabut ayat 18;

Selepas Allah menjelaskan tentang tauhid (aqidatut tauhid) dalam ayat 16 dan 17, maka ayat 18 ini pula ialah ayat tahdid (ayat ancaman).
Ulama tafsir berbeza pendapat tentang  kalimah kamu disini dituju kepada siapa. Boleh jadi dimaksudkan kepada kaum Nabi Ibrahim as atau kepada kaum Nabi Muhammad saw. Jika dituju kepada kaum Nabi Ibrahim as, maka kaum yang sebelumnya ialah kaum Nabi Hud as, kaum Nabi Nuh as dan kaum Nabi Soleh as. Jika sebaliknya ialah untuk kaum kafir Mekah.
2.0] Jika orang-orang dahulu dibinasakan kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah, maka  orang-orang yang datang kemudian juga akan disiksa jika berbuat demikian kerana Sunnah Allah itu tidak akan berubah dan hukum sejarah adalah sama dan sentiasa berulang.
3.0] Pendustaan sesuatu kaum terhadap risalah yang disampaikan kepada nabi atau rasul tidak akan memberi kesan mudhorat kepada nabi atau rasul atau kepada Allah, bahkan yang akan merugi ialah kaum itu sendiri.
4.0] Tugas nabi atau rasul atau kita sebagai pendakwah hanyalah untuk  menyampaikan (Al-Balagh) yang jelas dan nyata (Al-Mubin). Kejayaan sesuatu dakwah tidak dinilai dengan jumlah (kuantiti) orang yang mengikutinya tetapi dengan  kualiti apa yang telah disampaikan dengan berkesan. Ada kuliah dakwah yang dipenuhi dengan jokes semata-mata untuk menarik minat lebih ramai penonton, tetapi yang penting ialah kualiti dan keberkesanan yang dapat disebar luaskan.
5.0] Nilai kebenaran satu ayat daripada nabi atau daripada Allah tidak akan berkurang atau bertambah atau untung atau rugi kerana ia adalah milik Allah, tetapi yang akan merugi ialah kaum itu sendiri tentang bagaimana dapat menerima dakwah tersebut. Pendakwah adalah dikira berjaya apabila telah menyampaikan risalah yang nyata jelas (Al-Balagh Al-Mubin) semata-mata kerana Allah walaupun jika sambutan tidak menggalakkan.
6.0] HIDAYAH ALLAH terbahagi kepada 4 jenis iaitu;
i) Hidayah fitriah atau hidayah ghoriziyah, iaitu hidayah yang tanpa diminta datang dari Allah. Contoh: Anak penyu  yang baru menetas tahu untuk bergerak menuju ke laut, atau anak itik yang tahu berenang tanpa diajari.
ii) Hidayah irsyadiah iaitu hidayah dari Allah yang disampaikan oleh para rasul atau nabi, tentang petunjuk yang lurus atau bengkok atau dosa pahala. Para nabi atau rasul diperintahkan tabligh (sampaikan) tetapi bukan kewajipan yang dibeban keatas mereka. Hidayah irsyadiah perlu dicari pada 2 tempat sahaja iaitu di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi. Apabila telah mendapat hidayah irsyadiah hendaklah pula memohon kepada Allah untuk diberi hidayah taufiqiyah.
iii) Hidayah taufiqiyah adalah semata-mata dari Allah, ia pekerjaan Allah untuk dibuka hati atau digerakkan hati untuk ikuti jalan yang benar. Contoh doa didalam surah Al-Fatihah iaitu, "Tunjukilah kami jalan yang lurus". Bukan kerana kita tidak tahu jalan yang lurus tetapi kerana kita tidak hendak ikut. Oleh itu kita kena mohon kepada Allah untuk mudahkan hati kita untuk mengikut jalan yang lurus dan benar. Ini doa orang yang telah mendapat hidayah irsyadiyah.
iv) Hidayah ke Jannah iaitu apabila seseorang itu telah mendapat hidayah irsyadiyah kemudian mendapat pula hidayah taufiqiyah, maka barulah Allah akan beri hidayah ke Jannah.

7.0] Tugas nabi atau rasul atau ibubapa hanya sampai keperingkat hidayah irsyadiyah sahaja manakala hidayah taufiqiyah adalah dari Allah, contohnya dalam mendidik anak-anak pastikan ibubapa telah mencari jalan menyampaikan hidayah irsyadiyah kepada anak-anaknya sebelum berdoa untuk hidayah taufiqiyah kepada Allah.
8.0] Ayat-ayat tentang kewajipan atas nabi atau rasul atau pendakwah untuk menyampaikan hidayah irsyadiyah sangat banyak didalam Al-Quran. Untuk koleksi fikir bolehlah didapati dari ayat-ayat dari surah-surah berikut iaitu: Aa-li Imran ayat 20, Al-Maidah ayat 92 dan 99, Ar-Ra'd ayat 40, An-Nahl ayat 35 dan 82, An-Nur ayat 54, Al-Ankabut ayat 18, Yaasin 17, As-Syuura 48, At-Taghaabun 12.
9.0] Dalam ayat-ayat diatas Allah menyatakan kepada nabi atau rasul atau pendakwah (iaitu kita) bahawa tugas mereka hanyalah semata-mata Al-Balagh Al-Mubin (menyampaikan yang jelas); selebihnya adalah dari Allah. Jika telah menyampaikan, tidak perlu lagi berkecil hati atau bersedih jika tidak semua orang dapat menerimanya.
10.0] Surah Al-Ankabut ayat 19;




11.0] Soalannya, "Bagaimana permulaannya Allah memulakan penciptaan dan kesudahan Alam (makhluk) ini? Al-Quran menjelaskan tentang asal-usul segala yang maujud ini dalam 3 ayat iaitu;
i) Dalam surah Al-Anbiya' ayat 30, yang bermaksud, "Dan adakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi kedua- duanya dahulu adalah satu. Kemudian Kami pisahkan antara kedua-duanya dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal daripada air, maka mengapa mereka tidak beriman?".
Segala kehidupan berasal dari air, dimana ada air akan didapati ada kehidupan. Dihujung ayat Allah kata tidakkah kamu beriman? Apa hubungan mengkaji  Sains dengan Iman? Allah telah memberi clue atau kata kunci, hanya terserahlah untuk siapa yang mampu mengkajinya.
ii) Surah Az -Zaariyaat ayat 47 yang bermaksud, "Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan Kami benar-benar meluaskannya."
Alam kita sekarang sedang berada dalam keadaan ini iaitu expanding universe. Jumlah buruj yang ada didalamnya semakin bertambah (baru lahir) walaupun ada yang telah menemui ajal dan dipanggil sebagai Super Nova.
Bumi pula semakin sempit, bumi menjadi hutan batu. Oleh itu dongaklah keatas sepertimana yang biasa dilakukan oleh Nabi kita saw ketika solat tahajjud dengan membaca ayat-ayat dari surah Aa -Li Imran bermula ayat 190 hingga 200. Kalau sedang bersedih, jangan tengok kebawah, alam yang semakin sempit, menjadikan fikiran semakin sempit, tetapi pandanglah kelangit yang luas, tengok bintang-bintang yang bertaburan, fikiran dapat jadi lapang.
iii) Surah Al-Anbiya' ayat 104 yang bermaksud, "(Ingatlah) pada hari dimana langit Kami gulung seperti menggulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami telah memulakan penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya lagi. Suatu janji yang pasti Kami tepati, sesungguhnya Kami akan melaksanakannya".
Drama Alam Semesta yang penuh dengan adegan mencemaskan. Seperti kata Shakespeare, "Dunia Panggung Sandiwara". "Pada hari Kami akan gulung atau lipat langit, sebagaimana kami telah memulakan awalnya Kami akan kembalikan seperti awalnya". Banyak ayat-ayat Al-Quran menceritakan tentang huruhara suasana ketika itu, seperti yang terdapat didalam surah At-Takwir;
Rujuk surah At-Takwir;


Apabila matahari digulung. Dan apabila bintang-bintang berjatuhan. Dan apabila gunung ganang dijalankan. Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan. Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan. Dan apabila lautan dipanaskan. Dan apabila ruh-ruh dipertemukan. Dan apabila bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, kerana dosa apa dia dibunuh? Dan apabila catatan amal dibuka dengan selebar-lebarnya. Dan apabila langit dilenyapkan. Dan apabila neraka Jahim dinyalakan. Dan apabila syurga didekatkan. Setiap orang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya..sehingga habis ayat.
Oleh itu rajin-rajinlah membaca dan mengkaji tentang kajian-kajian alam ini walaupun dari orang yang bukan Islam. Moga bermanafaat dan diberkati Allah.



No comments:

Post a Comment