Tuesday, January 24, 2017

Surah Al-Ankabut (Ayat 59) - Kuliah 57- 4 Masa Dalam Hidup, Tingkatan Sabar, اَلصَّبْرُبِاللهِ

1.0] Pada kuliah yang lepas, dibincangkan tentang surah Al-Ankabut ayat 58 dimana Allah memberitahu bahawasanya orang-orang yang beramal (Al-'Aamilin) akan diberi ganjaran pahala, syurga dengan ghurah (bilik-bilik) dan segala isinya. Al-'Aamilin (orang-orang yang beramal), mereka adalah orang-orang yang telah melalui 4 masanya dengan betul. Apakah 4 masa yang mereka telah lalui itu? 4 masa atau waktu yang telah dilalui oleh setiap insan semasa hayatnya didunia mula dari baligh sehingga menemui ajal ialah:

اَوقَاتُ النَّاسِ اَرْبَعَةٌ 
i) Waktu nikmat (اَلنِّعمَةُ ) - waktu kesenangan.   
ii)Waktu balaa (اَلبَلِيَّةُ ) - waktu ditimpa musibah
iii) Waktu taat (اَلطَّاعَةُ ) - waktu mentaati Allah, melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah.
iv) Waktu ma'siat (اَلمَعْصِيَّةُ) - waktu terlanjur melakukan ma'siat dan berbuat dosa.

2.0]  Itulah 4 keadaan yang dilalui oleh setiap insan di dunia. Kalau dia tidak sedang dalam keadaan senang-lenang, dia sedang dalam keadaan diuji. Kalau dia tidak dalam keadaan taat atau berbuat baik, mungkin dia sedang dalam keadaan ma'siat.

3.0] Waktu yang pertama ialah waktu nikmat. Orang 'Aamilin, semasa dia diberi nikmat, senang-lenang, sihat, semua yang diminta diqabulkan Allah, yang diusahakan dijayakan Allah, maka apakah amal yang mesti dia lakukan? Jawapannya ialah dia mesti bersyukur, tidak ada ibadah lain  atau amal atau tugas yang lain selain dari bersyukur semata-mata. Pertanyaannya, "Adakah Allah memberi nikmat itu sekali-sekala atau berterusan atau terhenti-henti atau terputus-putus? Jawapannya ialah, Allah memberi nikmat berterusan tanpa henti. Contohnya nikmat oksijen. Pernahkah oksijen Allah putuskan? Tidak pernah, malah berterusan Allah sediakan untuk makhluknya. Oleh itu syukur kita pun tidak boleh sekali-sekala atau kena tunggu apabila tiba malam Jumaat.  Ingat! Oksijen yang kita sedut sekarang bukan yang kita sedut pagi tadi. Kalau yang kita sedut pagi tadi pun kita belum bersyukur, bagaimana dengan yang kita sedang sedut dan bagaimana yang seterusnya? Oleh itu syukur mestilah berterusan dan tidak boleh ditangguh dan tidak boleh diqodho'kan. Katakanlah jika Allah buat peraturan baru, katalah, "Siapa yang mensyukuri nikmatKu Aku akan tambah nikmat yang baru tetapi sesiapa yang belum bersyukur kepada apa yang telah Aku berikan, Aku tidak akan menambahkan nikmat lagi." Apa akan jadi kepada kita semua? Jawapannya kita semua tentunya sudah 'qoolu'(sudah mati) kerana kita belum dapat mensyukuri nikmat Allah berterusan sebagaimana Allah memberi nikmat kepada kita berterusan. Maknanya dalam bab syukur pun kita masih taqsir (تَقْصِيْر) iaitu cuai, masih tidak sempurna dan masih sangat kurang.

4.0] Waktu kedua ialah waktu baliyyah (ballaa'). Kalau tidak sedang sihat, kita sedang sakit. Kalau tidak sedang kaya, kita sedang miskin, kalau tidak sedang untung banyak, untung sedikit, kalau tidak dinaikkan jawatan, mungkin dibuang kerja, kalau belum diberi tambahan cucu mungkin baru kematian 2 orang cucu. Maknanya kita mungkin dalam keadaan suasana baliyyah. Apakah amalan yang patut kita lakukan ketika diuji dengan balaa'? Jawapannya ialah sabar. Sabar juga seperti syukur sebab sabar tidak boleh ditangguhkan atau diqodho'.

5.0] Nabi saw memberi nasihat kepada seorang yang ditimpa musibah kematian ahli keluarganya supaya bersabar, namun orang itu tidak boleh menerima nasihat Nabi saw kerana dia tidak kenal siapa Nabi saw ketika itu. Dia menyesal apabila diberitahu bahawa yang menasihatinya  itu ialah Baginda Rasulullah saw, segeralah orang itu mencari Nabi saw diserata kawasan masjid. Setelah jumpa Nabi saw, pertamanya dia memberi salam kemudian dia meminta maaf kerana menolak nasihat Nabi saw dan seterusnya menyatakan bahawa kini dia telah dapat bersabar, "Ya Rasulullah, sekarang kami bersabar, dahulu semasa kamu menyuruh kami bersabar, kami melenting dan tidak dapat bersabar". Nabi saw bersabda, "Sabar itu ialah ketika pukulan atau hentakan pertama iaitu semasa musibah itu terjadi. Sabar setelah daripada itu tiada nilai, tiada makna lagi". Bersabarlah ketika musibah mula mendatangi. Jika orang itu tidak dapat bersabar ketika mula mendapat musibah dan hanya baru dapat bersabar setelah musibah berlalu, orang itu berdosa kerana tidak bersabar pada masanya. Mungkin orang lambat untuk dapat bersabar. Setelah mendapat banyak nasihat atau setelah membaca banyak buku  atau setelah menimbang dan berfikir masak-masak barulah dapat mengambil keputusan untuk bersabar. Orang 'Aamilin, syukurnya tidak henti-henti dan sabarnya tidak pernah terlambat.

6.0] Waktu ketiga ialah waktu taat iaitu dalam suasana ketaatan kepada Allah. Sedang melakukan perintahNya atau sedang meninggalkan apa yang dilarangNya, atau sedang berada ditempat yang diredhoiNya atau sedang membuat perkara yang disukaiNya dan sebagainya. Bagaimana sikap Al-'Aamilin yang sedang dalam ketaatan yang mana amalannya diterima Allah? Sebelum  menjawab, perhatikan contoh-contoh ini dahulu;

i) Orang lain tidak dapat hadiri kuliah hari ini  tetapi kita boleh hadir walaupun dalam keadaan hujan dan kesesakan jalanraya.
ii) Malam-hari kita boleh berqiamullail, sementara ramai orang lain tidak boleh.
iii) Kita boleh buat kerja-amal, membantu orang, bersedekah, manakala orang lain tidak boleh.
iv) Kita boleh berpuasa sunat, orang lain tidak boleh lakukan.

Apabila kita mampu melakukan ketaatan, apa yang patut kita rasakan? Kita patut kembalikan segala daya kemampuan kita itu kepada Allah, semata-mata kerana pertolongan Allah. La hawlawala quwwata illa billah.  Jangan sekali-kali kita merasa yang kita telah berbuat baik, kerana kita tidak dapat berbuat apa-apa kecuali dengan pertolongan Allah. Jika kita tidak mengembalikan kejayaan kita untuk dapat mentaati Allah itu kepada Allah, akan timbul sifat ujub atau kagum diri. Kita boleh buat apa yang disuruh dan dapat meninggalkan apa yang dilarang semata-mata kerana pertolongan Allah. Tanpa pertolongan Allah kita tidak dapat berbuat apa-apa.

7.0] Kita boleh hadiri kelas untuk belajar bukan kerana kita sudah bersara sebab berapa ramai orang yang bersara yang tidak dapat datang belajar. Kita dapat bersedekah bukan sebab kita kaya, kerana betapa ramai lagi orang kaya yang kedekut dan tidak dapat bersedekah. Kita boleh berqiamullail bukan sebab kita sihat kerana jutaan orang sihat yang tidak mampu berqiamullail. Oleh itu apa yang membuatkan kita boleh buat? Semua itu adalah dari Allah, dari pertolongan Allah. Oleh itu kembalikan segala rasa syukur itu kepada Allah supaya amal kita diterimaNya.

8.0] Waktu keempat ialah waktu ma'siat. Mungkin semasa kita terlanjur atau tersilap melakukan dosa dan tidak dalam waktu ketaatan kepada Allah dan tidak berada didalam keredhoan Allah. Maka bagaimana sikap 'Aamilin apabila dia sedar dia telah bersalah dan sedang dalam keadaan ma'siat? Bersegeralah bertaubat. Taubat juga termasuk ibadah yang tidak boleh ditangguh, tidak boleh ditunda, tidak boleh diqodho'. Daripada Ibnu Qayyum dalam kitabnya, "At-Taubah minat-taubah"- seseorang itu wajib bertaubat daripada dosa taubat. Maknanya orang itu berdosa tetapi telah melambat-lambatkan bertaubat. Mungkin dosanya diampun oleh Allah SWT, tetapi dia masih berdosa yakni dosa kerana lambat bertaubat. Orang 'Aamilin, apabila tersedar yang dia telah berbuat ma'siat dan dosa akan segera bertaubat. Oleh itu sentiasalah bertaubat walaupun terlambat.

9.0] Apabila  kita telah dapat penuhi ke 4 waktu itu dengan sebaiknya, jadilah kita sebagai orang 'Aamilin yang akan mendapat ganjaran yang besar seperti disebutkan Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 59 ini;

Orang-orang 'Aamilin yang bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya yang akan mendapat ganjaran syurga dan tambahannya. Dari pandangan Abu Al-'Abas Al-Murshi, dia merenung dan berfikir melalui Al-Quran dan hadith Nabi saw, lalu menyimpulkan bahawa, "Dalam 60 tahun atau 70 tahun umur kita hidup, dari baligh sehingga mati, ada 4 waktu inilah yang pasti kita lalui. Kalau tidak sedang senang, susah. Kalau tidak sedang sihat, sakit. Kalau tidak berada dalam keadaan taat, dalam keadaan menderhakai Allah. Jangan jika diberi nikmat, tidak syukur, ditimpa musibah tidak sabar. Masa taat pula walaupun sesekali berbuat baik tetapi sudah ujub, bangga diri. Bila buat ma'siat, bertangguh untuk bertaubat maka akan rugi seruginya.

10.0] Adalah sangat susah untuk mengamalkan cara hidup bersabar dan mentaati Allah. Nabi saw orang yang paling hebat memberi contoh bagaimana dia bersabar dan mentaati Allah. Baginda orang yang paling mengerti tentang Allah, yang paling hebat ibadahnya, yang paling betul dan paling kuat memuji Allah. Itupun Nabi saw selalu mengucapkan kalimah ini;

سُبْحَانََكَ لَانُحْصِ ثَنَاءً عَلَيْكَ اَنْتَ كَمَااَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِك

Yang bermakna: "Maha suci Engkau, kami tidak dapat menghitung pujian keatas Engkau sebagaimana Engkau telah memuji atau memberikan pujian keatas diri Engkau"

Mathumnya, terjemahan bebas, Nabi saw bersabda,"Maha suci Engkau Ya Allah, hamba Mu yang dhoif dan lemah ini tidak mampu memberi pujian kepada Mu sebagaimana pujian yang Engkau berikan keatas diri Mu". Ertinya "Jika Engkau Ya Allah, Yang Maha Besar Yang Maha Suci, menyuruh hamba Mu yang lemah dan dhoif  ini memberi pujian kepada Engkau sebagaimana pujian yang Engkau berikan kepada diri Mu sendiri, hamba tidak mampu". Nabi saw merasa tidak mampu, bukankah itu satu bentuk kesedaran tentang betapa sebetulnya lemahnya diri Nabi saw. Betapa Nabi saw merasa masih kurangnya ibadah dan amalnya kepada Allah. Itu Nabi yang paling hebat antara sekelian makhlukNya. Oleh itu orang yang merasa kurang amal ibadahnya kepada Allah, sedangkan Allah telah memberi bermacam bantuan dan pertolongan tetapi ibadah yang dia lakukan baru sangat sedikit maka dia akan merasa kurang sangat ibadahnya dan pasti perasaan ujub dan kagum diri akan terhalau jauh-jauh dalam diri.

11.0] Tetapi andainya seseorang itu tidak nampak pertolongan Allah dan yang hanya dia nampak ialah amalnya yang telah dibuatnya, maka setelah beramal, dia akan tersengih-sengih dan timbullah ujub dan takabbur sehingga terkeluar doa seperti, "Ya Allah, hambaMu telah melakukan ini, tentunya Engkau tidak kecewa dengan hamba Mu ini dan jika Nabi Mu masih hidup pun tentu bangga dengan diri ini, sebab hambaMu ini rajin". Na'uzubillah. Kenapa nampak pekerjaan amal itu dari kita dan besar sekali? Walhal kita tidak berupaya melakukan apa-apa kecuali dengan izin dan pertolongan dari Allah. Itulah yang paling susah dalam beragama. Haqiqatul Tadayyun- hakikat beragama yang paling asas untuk mempastikan ianya diterima oleh Allah.

12.0] Doa di atas terdapat banyak matan tentangnya, seperti, "Maha Suci Ya Allah, hamba tidak mampu untuk memuji Mu sebagaimana Engkau memuji diri Mu. Oleh itu jika pujian hamba ini tidak layak, tidak sesuai bagi kebesaran,keagungan Mu, maafkanlah hamba". Sebab itu orang yang beramal dengan keadaan ini akan ketakutan selepas beramal seperti yang terdapat di dalam surah Al-Mukminun ayat 60;  

Selepas beramal, orang-orang itu merasa takut, dan hati-hati mereka bergetar kerana sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Saidatina Aisyah r.anha bertanya kepada Nabi saw, "Siapa orang ini yang takut selepas beramal? Adakah orang yang berbuat dosa? Nabi saw menjawab, "Tidak!, Mereka adalah orang yang beramal, yakni orang yang solat, yang berzakat, berhaji, dan sebagainya dan mereka merasa takut segala amalnya tidak diterima Allah. Mereka menyedari bahawa amalan mereka belum cukup sempurna, dan Allah itu Maha Suci, menerima hanya yang suci dan sempurna lalu mereka menangis supaya Allah menerima segala amalan mereka. "Ya Allah, terimalah segala amalan kami walaupun kurang sempurna". Sepertimana Nabi Ibrahim as, setiap kali meletakkan batu asas untuk membuat kaabah, diiringi dengan doa, seperti yang tercatit di dalam surah Al-Baqarah ayat 127, padahal bukankah dia seorang Khalilullah? Itulah tanda orang 'Aamilin iaitu orang yang sentiasa bertaubat, mengaku kesalahan diri dan berusaha untuk membaikinya.


13.0] Orang yang jujur, benar,  beramal soleh, membenarkan Allah dan Rasul, melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya, pasti Allah akan letakkan ke dalam syurga yang ada ghuruf-ghuruf dan mereka itu ialah orang yang bersabar dan bertawakkal.

14.0] Pengertian Sabar, ta'rif, definisi dan istilah dan siapa yang sabar.

اَلصَّبْرٌ هْوَحَبْسُ النَّفْسِ عَنْ فِعْلِ الشَّيْءٍ اَوْتَرْكِهِ اِبْتِغَاءَ مَرْضَاتِ الله

Yang bermakna: Sabar ialah menahan diri atau menahan keinginan daripada melakukan sesuatu amalan atau perbuatan atau meninggalkannya semata-mata kerana mencari keredhoaan Allah. Apabila kita ada peluang untuk melakukan maksiat, orang yang sabar, menahan diri dari melakukannya, bukan kerana ada orang nampak, bukan kerana ada CCTV atau TV, bukan takut didenda, bukan takut orang kampung nampak, tetapi semata-mata kerana mencari keredhoaan Allah. Atau jika ada perintah Allah dan kita berhadapan dengannya, dan kita ada pilihan dan kemampuan untuk melakukannya atau meninggalkannya. Lalu kita menahan diri dari meninggalkannya, kita membuatnya dengan niat kerana Allah, sebab jika diikutkan nafsu, ada desakan nafsu supaya jangan buat, jangan buat, walhal itu perintah Allah dan kita menahan diri daripada meninggalkannya. Orang yang bersabar dan kesabarannya adalah semata-mata untuk mencari redho Allah ada tercatit juga di dalam surah Ar-Ra'du ayat 22 dan Al-Kahfi ayat 28. Gabungan surah Al-Ankabut ayat 59, surah Ar-Ra'du ayat 22 dan surah Al-Kahfi ayat 28 adalah menjelaskan definasi sabar dengan menahan diri semata-mata kerana mencari redho Allah.

15.0] Daripada Ibnu Qayyim Al-Jauziyah di dalam kitabnya Madaarijus-saalikin-مَدَارِجُ السَّالِكِين bahawa tingkatan sabar ada 3;

مَرَاتِبُ الصَّبَرِ- اَلصَّبْرُبِاللهِ - اَلصَّبْرُلِلَّهِ - اَلصَّبْرُمَعَ اللهِ

Kecerdasan otak Ibnu Qayyim yang luar biasa, kemurnian jiwa yang luar biasa, menggunakan ayat-ayat Al-Quran, beliau dapat memahami setiap ayat pada satu-satu muka surat, dapat memahami setiap kalimah dalam satu-satu ayat, dapat memahami setiap huruf dalam satu-satu kalimah, difikirkan difahami sehingga dapat diambil kesimpulan yang mana tidak terfikirkan oleh orang lain. Hanya dapat dilakukan oleh orang yang hatinya jernih seperti Ibnu Qayyim. Apabila kita bicara istilah agama, maka hendaklah kita mencari maknanya di dalam istilah agama dan bukan di dalam istilah budaya, supaya tidak lari maknanya.

16.0]  اَلصَّبْرُبِاللهِ

 ب sebelum kalimah Allah itu ialah  ب  yang sama seperti di dalam (بِسمِ الله ) iaitu  ب - اِستِعَانَة (memohon pertolongan). Setiap kali kita ingin membuat sesuatu kita mestilah memohon pertolongan Allah melalui asmaNya yang Maha Rahman Maha Rahim, kerana kita ini tiada daya upaya kecuali daya upaya dan pertolongan Allah semata-mata. Jangankan untuk membuat segala yang disuruh atau untuk jauhi segala yang dilarang, malahan untuk gerakkan jari pun, jika Allah tidak kehendaki, tidak akan mampu kita lakukan. Contohnya, untuk tidur pun jika Allah tidak bagi, kita tidak mengantuk, kita tidak boleh tidur. Mengantuk itu bukan pura-pura, mengantuk itu makhluk Allah yang pelik, dijemput tidak mahu datang, tidak dijemput datang tidak dapat dikawal, bila datang tidak mahu balik-balik. Datang pula bukan pada masanya yang sesuai, contohnya ketika di kelas, pagi-pagi hari lagi sudah mengantuk.

17.0] ب - اِستِعَانَة - Mohon pertolongan, ertinya apa sahaja yang kita buat, kita dapat bersabar dan mampu bersabar pun semata-mata kerana ada pertolongan Allah, bukan merasa diri hebat atau beralasan lain. Jauhilah kata-kata seperti ini, "Alhamdulillah, selepas saya belajar dengan rajin dan lama dan ikuti kursus motivasi, sekarang saya mampu bersabar". Tiada apa pun yang dapat memberi kesan kecuali pertolongan Allah, hanyasanya dengan izin Allah kita dapat bersabar itu. Oleh itu apabila kita sedang berusaha untuk melakukan taat, hendaklah jauhi ma'siat, dan berdoalah kepada Allah supaya memberikan kepada kita kesabaran.

18.0] Memang sangat susah untuk difahami hakikat ini, tetapi dengan hati yang terbuka dan sentiasa mengharapkan panduan daripada Allah, in syaa Allah kita akan dapat memandang situasi ini dalam pandangan berbeza dari biasa. Apabila kita diuji dengan sakit atau kawan kita yang sakit, biasanya doa perdana (doa yang pertama dan dibaca oleh ramai orang) ialah doa mohon sembuh segera. Kita akan segera berdoa moga Allah sembuhkan segera kesakitan kita atau memohon ramai orang lain supaya doakan kesembuhan kita yang segera. Pada pandangan dan nasihat seorang guru kepada ustaz menyatakan bahawa itu tidak tepat dan tidak betul. Allah bagi kita teguran dengan memberi musibah seperti sakit, lalu kita dengan segera memohon Allah cabut teguran itu, memohon Allah hapuskan dengan segera kesakitan kita itu kerana tidak sanggup menghadapinya. Segala yang Allah beri itu, segala musibah itu, segala sakit itu, sebenarnya mesti ada tujuannya yang hanya Allah ketahui. Oleh itu apabila kita ditimpa sakit jangan cepat-cepat minta sembuh. Ini dari segi adab dengan Allah, bukan dari segi feqah. Kalau ditanya dari segi feqah, tentu sekali boleh minta segera sembuh, disegi hukum-hakam membenarkan. Tetapi jika belajar bidang Ihsan, inilah suatu kerugian yang sangat besar, iaitu melepaskan peluang mendapat keampunan Allah lantaran kesabaran hadapi musibah dan kelak Allah akan angkat darjat ke maqam yang lebih tinggi. Andailah baru sahaja dimasukkan ke hospital, mungkinlah Allah berfirman, "Wahai hambaKu, Aku ingin ampunkan dosa-dosamu dan meningkatkan darjatmu dengan sakitmu ini, tetapi syaratnya selepas satu minggu kamu bertahan dan bersabar atas kesakitan itu. Kalaulah tidak sampai satu minggu, dosa kamu tidak terampun habis dan tidak dapat dinaikkan darjatmu disisiKU". Ini baru satu jam masuk hospital, sudah ingin keluar, mohon sekelian orang supaya doakan cepat lepas dari sakit itu. Jangan kerana kita takut untuk menghadapi sakit, maka kita lebih rela kehilangan peluang mendapatkan pengampunan dari Allah kerana itu adalah sangat-sangat rugi. Sepatutnya apabila kita sakit atau kawan kita sakit, kita tukar sedikit doanya dan kata-kata nasihat seperti,"Saya berharap awak dapat bersabar dan tabah menghadapi ujian Allah ini dan pertolongan Allah in syaa Allah akan menyusul". Biarlah doa dan nasihat kita lain dari orang lain asalkan betul dan tidak merugikan. Sakit, semua orang tidak suka, kalau boleh memang tidak ada orang yang inginkan sakit. Tetapi jangan hanya kerana terlalu takut menghadapi sakit kita kehilangan peluang mendapat ampunan dan kenaikan darjat daripada Allah. Sedangkan Allah menguji setiap hambaNya sesuai dengan kemampuan masing-masing. Oleh itu bersabarlah ketika ditimpa musibah dan nikmatilah sahaja musibah itu atau sakit itu dengan sabar sehingga Allah mengangkatnya daripada kita. Apabila kita bersabar, Allah sudah sayang, belum sembuh pun Allah sudah sayang dan membersihkan kita. Sepatutnya doa kita ketika ditimpa ujian samada ujian syar atau ujian khair ialah;

"Ya Allah, janganlah Engkau beri musibah kepadaku kecuali berikanlah kesabaran kepadaku".
"Ya Allah, janganlah Engkau beri nikmat kepadaku kecuali berikanlah rasa syukurku kepadaMu".
"Ya Allah, janganlah Engkau beri qodho kepadaku kecuali berikanlah daku perasaan redho untuk meraih redhoMu".
Sementara itu ikhtiar mesti berterusan dan jangan berputus-asa mencari rawatan.

19.0] Untuk menghapuskan dosa adalah sangat sakit. Nabi saw ada bersabda bahawa noktah sauda'- titik hitam yang melekat di dalam hati (hati maknawi) insan adalah sangat susah dan menyakitkan untuk digugurkan. Dalam ilmu Ihsan, hati akan bergetar-getar (wajilat) kemudian menjadi semakin lembut dan lembut dan namanya Nur atau cahaya. Nur atau cahaya inilah yang menggugurkan titik hitam dalam hati, gugurlah dosa-dosa. Satu daripadanya juga ialah dengan sabar yang dapat menggugurkan noktah sauda dalam hati insan.

20.0] Dosa-dosa bukan seperti kotoran di badan yang dapat dibersihkan dengan senang. Nabi saw ada memberi perumpamaan bahawa solat 5 waktu boleh menggugurkan dosa sepertilah jika ada sungai dihadapan rumah kita dan kita mandi 5 kali sehari semalam di sungai itu, maka adakah lagi kotoran yang tinggal dibadan kita? Tentu tidak ada kotoran lagi yang tinggal. Menghilangkan kotoran dibadan adalah senang, basuh dan bersihkan dengan air, maka bersihlah berbeza dengan kotoran di hati yang sangat susah untuk dibersihkan.

21.0] Kembali kepada اَلصَّبْرُبِاللهِ iaitu kesabaran kita adalah dengan semata-mata dari pertolongan Allah. Dalil bahawa sabar itu adalah semata-mata dengan pertolongan Allah dapat dijelaskan dengan nyata sekali di dalam surah An-Nahlu ayat 127;


"Tiadalah kesabaranmu melainkan semata-mata dengan pertolongan Allah- billah", dan apabila kita mampu bersabar, yakinlah bahawa kesabaran kita itu semata-mata kerana Allah tolong, bukan upaya diri kita. Malahan apa sahaja yang kita  lakukan, melakukan apa yang disuruh atau menjauhi apa yang dilarang adalah billah, semata-mata dengan pertolongan Allah.

22.0] Ibnu Qayyim menyatakan bahawa orang yang sabar seperti ini, pandangannya akan lebih fokus kepada Allah yang memberinya kekuatan dan tidak memandang kehebatan diri yang sebenarnya tidak ada pun. Kata Ibnu Qayyim lagi, "Jika Allah tidak beri kemampuan kepada kita untuk bersabar nescaya kita tidak dapat bersabar sebab kita lemah. Kalau kita bersabar pun tetapi jika tidak kerana Allah (billah) maka nilainya jadi kosong. Ini adalah ibadah yang susah kerana ia adalah nilai ibadah qalbiyah (ibadah hati). Contohnya di dalam surah Yusuf ayat 53;

Nabi Yusuf as benar-benar faham apa itu sabar dan apa itu nafsu. Nabi Yusuf as sedar bahawa nafsu tidak boleh dimanjakan, nafsu tidak boleh dibebaskan, nafsu tidak boleh diberi kemerdekaan, nafsu tidak boleh dilepaskan tanpa kawalan kerana nafsu itu banyak menyuruh kepada kejahatan. Jadi bagaimana  untuk dapat mengawal nafsu? Mohonlah kepada Allah. Mohonlah pertolongan daripada Allah untuk mengurniakan kesabaran kepada kita. Nabi Yusuf as yang diuji dengan ujian berat ketika digoda oleh isteri pembesar, majikannya. Dari segi perbandingan status sosialnya, jauh sekali berbeza. Nabi Yusuf as yang hanya seorang hamba sahaya, yang hanya ada tulang empat kerat, manakala Zulaikha yang merayu menggodanya ialah seorang bangsawan. hartawan dan isteri pembesar. Dari segi risiko pula Nabi Yusuf as tidak begitu terkesan berat kerana tiada siapa yang kenal dirinya, keluarganya pula jauh di negeri lain sementara Zulaikhalah yang akan menanggung malu. Zulaikha yang sangat berkehendakkan Nabi Yusuf as, kejar sana kejar sini sehingga koyak-rabak bajunya. Ertinya jikalah Nabi Yusuf melakukan tuntutan nafsunya untuk melakukan ma'siat itu, nothing to lose. Kalaulah Nabi Yusuf as itu pembesar tentulah malu, musnah kariernya, tetapi ini Yusus tidak sesiapapun. Maknanya faktor yang mendorong Nabi Yusuf as untuk melakukan perbuatan ma'siat itu cukup besar. Nabi Yusuf as mempunyai peluang tetapi dia dapat menahan nafsunya daripada melakukan perbuatan ma'siat itu dan dia sedar kemampuannya menahan keinginannya yang luar-biasa dahsyat itu ialah kerana rahmat Tuhan, bukan kerana dirinya kuat atau hebat. Itulah sabar billah. Selain Nabi Yusuf as. mungkin ramai yang mencari peluang tetapi bagi Nabi Yusuf as dengan faktor-faktor yang mendorong yang sangat banyak dan peluang yang terbuka luas dan tentulah sangat susah untuk mengelaknya, dia dapat mengawal diri. Kalaulah ada orang lain yang buat ma'siat dan tidak ada faktor yang mendorongnya dan dia berjaya meninggalkan ma'siat itu, itu tidak sehebat Nabi Yusuf as tetapi Nabi Yusus as tetap menyandarkan kebolehannya bersabar itu adalah As-Sobru billah. Memang tidak mudah dan ganjarannya adalah syurga dengan ghuruf dan tingkatan tertinggi. Kerana ia paling atas, tiada lagi yang paling atas daripadanya.

23.0] Sabar adalah amalan hati yang sangat susah. Sabar bukannya hanya sekadar ucapan dibibir tetapi perlakuan hati yang sangat dalam. Mudah-mudahan Allah beri kita semua kesabaran dalam menghadapi hidup ini dan mudah-mudahan kita semua diberkatiNya. Aamiin.







No comments:

Post a Comment