Tuesday, November 24, 2015

Surah Al-Ankabut (ayat 7-8) Kuliah 11- Amalan, Hablun Minallah, Hablun Minannas

1.0] Masih lagi tentang surah Al-Ankabut ayat 7; Perbuatan mukallaf ada 3 jenis iaitu;
i) Amalan hati
ii) Amalan lisan
iii) Amalan jawarikh (anggota).

Amalan yang paling penting ialah amalan hati. Apabila seseorang yang berdosa lantas dia bertaubat dengan penuh penyesalan, dengan hatinya yang hancur luluh atas kecuaiannya dalam melakukan taat kepada Allah, maka Allah akan berada disisinya, mendengar penyesalannya dan mengampunkannya.
2.0] Di akhirat nanti, Allah akan bertanya kepada anak Adam, "Wahai anak Adam, dahulu Aku sakit, kenapa kau tidak menziarahi Aku? Anak Adam kebingungan, lantas berkata, "Ya Robb, bagaimana aku mungkin menziarahi Mu dan mana mungkin Kamu sakit?" Jawab Allah, "Kan dahulu ada hamba Ku yang sakit, kenapa kamu tidak menziarahinya? Aku berada disisinya. Jika kau jumpa orang yang kehausan, kelaparan, yang ditimpa musibah, yang menghadapi pelbagai masalah, yang hancur luluh hatinya, maka Aku ada di sisi mereka". Oleh itu bersegeralah berada bersama menolong membantu orang yang didalam kesusahan. Itu adalah amalan jawarikh (amalan anggota badan) yang perlu disertai dengan amalan qalbi (amalan hati), yang turut merasa simpati dan perlu juga disertai dengan amalan lisan yang ikhlas, syahadah dan kesaksian yang hanya semata-mata kerana Allah.
3.0] Didalam hadis Qudsi yang ditafsirkan oleh Dr. Wahba Zuhaili, Ar -Rodzi, dan Imam Sayuti, Allah berfirman, "Aku berada hampir disisi orang yang hancur hatinya dalam musibah dan kesusahan".
4.0] Diulang lagi tentang Al-Iman iaitu pelaksanaan rukun Islam dan rukun Iman, manakala Al- 'Amalan soleh ialah amalan jawarikh(amalan anggota badan) yang mana balasannya bagi Al-Iman ialah akan dihapuskan dosa, tidak diazab, selamat dari neraka, manakala Al 'Amal soleh pula akan mendapat balasan yang lebih baik, menerima ganjaran baik, dapat masuk syurga dan inilah yang dinamakan mendapat As -Saadah Al -Kamaliah (kebahagiaan yang sempurna). 
5.0] Bagaimana nasibnya mukmin (orang beriman) yang tanpa amal soleh di hari akhirat? Iaitu seorang mukmin yang derhaka. Jawabnya, diakhirat, dia terselamat dari kekal didalam neraka atas imannya yang walaupun hanya sedikit. Orang mukmin yang beramal soleh akan mendapat balasan yang lebih baik dari syurga. Ada yang mentafsirkan iaitu akan dapat melihat Wajah Allah dan itulah  nikmat yang terbaik dan tertinggi. 
6.0] Dengan keimanan juga Allah akan tutup cacatcela seseorang itu di dunia dan di akhirat sesuai dengan sifat Allah As-Sattar (menutup). Nabi  saw bersabda, "Sesiapa muslim yang berusaha menutupi aib saudara semuslimnya, akan ditutupi Allah aibnya di dunia dan di akhirat". Oleh itu kewajipan kita ialah untuk menasihati sebaik mungkin dan jangan disebar rahsia saudara kita, tutup cacat cela diri sendiri dan juga cacat cela orang lain.


7.0] Tentang menolong orang susah, dari Ibnu Majah, At- Thabrani, Abu Dawud dan An-Nasa'i, hadith Nabi saw (hadis hasan bighairihi), "Pada malam aku diIsrakmikrajkan, aku melihat dipintu syurga terdapat satu tulisan, iaitu bersedeqah itu 10x ganda balasan, manakala memberi pinjaman itu 18x ganda balasan, lalu aku bertanya Jibril, "Kenapa?" Jawab Jibril, "Itu kerana orang yang menerima sedeqah itu belum tentu memerlukannya berbeza dengan orang yang mencari untuk berhutang tentu sekali sangat memerlukan saat itu". Pada situasi sekarang sudah terbalik, orang susah tidak mudah untuk mendapat pinjaman. Oleh itu sebenarnya, adalah lebih baik memberi pinjaman kepada orang susah daripada memberi sedeqah kepadanya. Beri penangguhan jika dia belum mampu untuk membayar balik. Sehinggalah ternyata dia tidak mampu untuk membayarnya maka yang paling elok pada masa itu ialah menghalalkannya dan ini adalah satu galakan supaya orang susah itu terus berusaha, kerana didalam berusaha itu banyak pahala yang akan didapatinya. Tetapi didalam agama, tidak digalakkan untuk meminjam. Orang yang meminjam harus berusaha untuk membayar balik dan tidak mengharapkan sedeqah, sehinggakan Nabi saw sentiasa berdoa moga dijauhkan dari berhutang. 
8.0] Dalam Al-Quran, maghfirah wa rizqun kariim yang bermaksud mendapat keampunan dan rezqi yang baik bagi mereka yang beriman dan beramal soleh iaitu kebahagiaan yang sempurna ini dijelaskan dengan ayat-ayat seumpama, "Orang-orang yang beriman dan beramal soleh , bagi mereka keampunan dan rezqi (syurga) yang mulia". Boleh didapati dalam surah Al-Anfal ayat 74, Al-Hajj ayat 50, An-Nur ayat 26 dan sebagainya. Rujuk surah Al-Anfal ayat 74;

9.0] Surah Al-Ankabut ayat 8:

Kewajipan  seorang anak ialah berbakti kepada kedua ibubapanya. Bersambung dari ayat 7 yang menceritakan tentang taklif Allah kepada mukallaf berupa perintah dan larangan dan yang terpenting ialah taklif tentang kewajipan terhadap ibubapa. Taklif Allah kepada Nabi Adam hanya satu, iaitu larangan dari menghampiri pokok itu, manakala untuk kita banyak taklif larangan dan suruhan. 
9.0] Dalam ayat 8, terdapat 2 taklif, iaitu;
i) Hablun minallah  
ii) Hablun minannas.
Hablun minallah adalah yang terpenting, iaitu suruhan tauhid dan larangan syirik kepada Allah, manakala hablun minannas pula ialah birrul waalidiin iaitu suruhan berbuat baik kepada ibubapa dan lawannya ialah 'uquuqul waalidiin iaitu larangan menderhakai keduanya. Walau siapa pun ibubapa kita, mereka ada karamah (kunci) untuk mendapat Redho Allah kerana keredhoan Allah bergantung kepada redho ibubapa dan Murka Allah ada pada murka mereka. Bila mendapat keredhoan ibubapa, pasti hidup tenang. Oleh itu perlu bersyukur kepada Allah dan bersyukur kepada ibubapa. Birrul waalidiin iaitu berbuat baik kepada ibubapa itu hukumnya wajib, fardhu 'ain. Ia merupakan bentuk silaturrahim yang paling utama. Syirik boleh menyebabkan syahadah dan amalan terbatal manakala orang yang derhaka kepada ibubapanya maka 'amalnya tergantung dan tidak diterima Allah.


10.0] Nikmat Allah melalui ibubapa ialah nikmat iijad iaitu kewujudan kita dan juga nikmat abqa' iaitu nikmat kewujudan keperluan untuk kita, contoh ASI(air susu ibu), makanan, udara, bumi dan sebagainya. Allah jadikan wasilah melalui ibu dengan bantuan bapa. Oleh itu beruntunglah orang yang masih ada ibubapa yang mana masih boleh berbakti kepada keduanya. Begitu juga bagi yang sudah tiada ibubapa masih boleh terus berbakti kepada keduanya dengan doa dari anak yang soleh.

No comments:

Post a Comment