Tuesday, August 9, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 36-38) Kuliah 38-Tijaarah, Ziraa'ah, Ghosysyasyah

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 36 dan 37



Imbas kembali kuliah yang lepas iaitu tentang surah Al-Ankabut ayat 36 dan 37 yang menceritakan tentang siapa Nabi Syuib as dan asal-usul penamaan Kota Madyan atau tasmiatul Madyan.

2.0] Cukup banyak zikru Nabiyyullah Syuib, penuturan kisahnya didalam Al-Quran, iaitu sebanyak 10 kali dalam berbagai surah. Nabi Syuaib as terkenal sebagai nabi yang fasih dalam percakapan. Sohibuss-soleh memberinya gelaran sebagai Khotiibul-Anbiyaa' iaitu sebagai juru cakap atau juru bicara para nabi. Kepetahan dan kefasihan serta ketinggian mutu sastera dan balaghah dalam percakapan adalah anugerah istimewa daripada Allah kepada Nabi Syuaib as kerana setiap nabi memang diberi kelebihan tersendiri seperti mana Firman Allah, "Sebahagian rasul itu Kami lebihkan atas sebahagian yang lain".
   
3.0] Kaum Nabi Syuaib as  kebanyakannya peniaga dan petani. Ertinya sendi ekonomi masyarakat kaum Nabi Syuaib as memadukan dua sumber ekonomi terbaik yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya. Sesuai dengan ajaran Nabi Muhammad saw bahawa 90% dari rezqi Allah kepada hamba-Nya adalah melalui perniagaan atau tijaarah manakala rezqi dari Allah yang paling berkat ialah melalui pertanian atau ziraa'ah. Contohnya jika ada orang yang untung di dalam jual-beli kereta atau dalam jual-beli hartanah, tidak ada yang sewenang-wenangnya mengisi duit keuntungannya itu kedalam sampul-sampul surat untuk disedekahkan kepada sekelian orang. Berbeza dengan orang yang bercucuk tanam, seperti menanam pokok limau purut, rambutan, serai, bunga kantan, daun kesom dan sebagainya, biasanya akan suka sekali untuk bersedekah sahaja hasil tanamannya itu kepada kawan-kawan. Itu menunjukkan tanda hasil yang sangat berkat. 

4.0] Didalam dunia perniagaan, mungkin saingan adalah sangat ketat dan mudah terbuka peluang untuk saling kalah-mengalahkan atau dengki-mendengki. Manakala didalam dunia pertanian, dengan menanam sendiri pokok-pokok, kemudian melihat pokok tumbuh membesar, berbunga, berbuah dan dapat dituai hasilnya, apa lagi jika buah pertamanya diberi kepada jiran, nilainya adalah sangat tinggi dan penuh barokah. Orang yang paling bertuah adalah orang yang Allah kurniakan dengan rezqi dusun-dusun. Wajah-wajah mereka juga biasanya redup, sejuk, berbarokah.

5.0] Jelaslah bahawa rezqi yang paling mudah untuk diperolehi adalah melalui bidang perniagaan manakala rezqi yang paling barokah adalah melalui bidang pertanian. Malang sekali bagi kaum Nabi Syuaib as yang telah Allah kurniakan keistimewaan didalam kedua bidang rezqi tersebut tetapi telah melakukan jenayah ekonomi yang dahsyat yang patut kita ambil iktibar untuk menjauhinya. Perangai kaumnya adalah tersangat buruk dengan adanya sifat-sifat Al-Ghasysyu (curang), Al-Makru (tipu-daya yang halus) dan Al-Khidaa'u (memperdaya, menipu).

6.0] Rasulullah saw disuatu hari telah pergi ke pasar, tergerak hatinya untuk memasukkan tangan-nya ke dalam guni gandum yang dijual peniaga di situ. Didapati-nya gandum itu basah. Nabi saw bertanya dan dijawab dengan jujur oleh si penjual itu mungkin gandum itu terkena air. Nabi saw tidak bersangka buruk (su uz zon) terhadap peniaga itu tetapi Nabi saw terus memberi ingatan supaya jangan curang. Sesiapa yang curang dalam perniagaannya, Nabi saw enggan akui sebagai umat-nya.

7.0] Didalam Al-Quran, manusia dinyatakan sebagai terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu kumpulan
i) Al-Muqarrabun (orang-orang yang dekat).
ii) Asyhaabul Yamin (golongan yang kanan).
iii) Asyhaabusy Syimal (golongan yang kiri).

Manakala orang mukmin juga terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu; 
i) Mukmin yang zalim (zolimul linafsi)
ii) Mukmin sederhana (muqtasid])
iii) Mukmin yang bersegera dengan membuat kebaikan (saabiqun bil khairat).

Umat Nabi Muhammad saw, iaitu seorang muslim, dari segi akhlaknya terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu; 
i) Muslim nassoohah bermakna tulus ikhlas, bersih, tidak berkeinginan kepada sesuatu hak orang lain. Kata dasarnya ialah nasoha yang mana keluarlah darinya kalimah taubat nasuha.
ii) Muslim ghosysyasyah pula bermakna curang, menipu, dendam, ingin senang dengan menyusahkan orang lain, ingin untung dengan merugikan orang lain, mengkayakan diri dengan memiskinkan orang lain dan sebagainya. 
.
8.0] Tentang peniaga gandum yang diceritakan diatas, Nabi saw tidak menuduh si peniaga itu berlaku curang tetapi andainya ada niat untuk curang, walaupun dengan hanya untuk mendapat keuntungan dari orang lain dalam jumlah yang sedikit, maka tempatnya di neraka.

9.0] Al-Makru ialah menjalankan tipu daya yang halus sehingga yang telah dikena tipu tidak menyedari, sehingga setelah sekian hari barulah yang kena tipu sedar.

10.0] Al-Khidaa 'un pula bermaksud memperdaya dan menipu juga. 

11.0] Sifat Al-Ghasysyu, Al-Makru dan Al-Khidaa 'un inilah yang menjadi kerosakan akhlak Kaum Nabi Syuaib as. Dengan 'aqidah yang rosak ditambah dengan akhlak yang rosak, Kaum Nabi Syuaib as menolak dakwah Nabi Syuaib as dan akhirnya Allah musnahkan mereka.

12.0] Umat Nabi Muhammad saw merangkum semua daripada keburukan akhlak kaum nabi terdahulu. Contohnya ada istilah menikam dari belakang, iaitu sifat buruk yang ada diantara hubungan dua orang yang rapat, seperti perangai kaum Nabi Syuaib as. Perangai buruk kaum Nabi Luth as dan kaum Nabi Nuh as juga ada. Kalau hanya dengan satu dua jenis perangai buruk kaum itu pun Allah telah hancurkan, bagaimana pula jika ada segala perangai buruk itu seperti mana yang ada pada umat akhir zaman ini.

13.0] Allah telah berikan segala kebaikan dalam sumber rezqi kepada hamba-Nya seperti tijaaroh dan ziroo'ah tetapi jika ada sifat-sifat seperti yang ada pada Kaum Nabi Syuaib as itu maka adalah sangat dahsyat dan besar sekali dosanya. Didalam Al-Quran ada surah Al-Mutaffifin (orang yang curang), perbuatannya dipanggil tatfif. Orang yang melakukan transaksi perniagaan, jual beli, sewa menyewa, hutang piutang, pajak gadai, yang sentiasa mencari keuntungan dengan cara menipu orang, bila menimbang untuk orang lain, dikurangkan tetapi apabila menimbang untuk diri, dilebihkan timbangan. Dosanya besar sekali.

14.0] Kita patut bersyukur kerana orang-orang tua kita, guru-guru kita telah berjaya mendidik agama kita untuk merasa takut, jijik kepada anjing atau babi. Contohnya jika anjing menjelirkan lidah apalagi jika dijilat anjing, tentu takut dan  jijik sekali, padahal apabila dijilat oleh anjing, kita tidak berdosa, tidak akan dimasukkan ke neraka. Cuma perlulah di samak, disucikan dengan cara-cara yang tertentu. Begitu juga jika melihat babi yang diisi diatas lori dan kita yang memandu dibelakang lori tersebut, bagaimana perasaan kita ketika itu? Ingin segera melintas, atau ingin menjarakkan diri, lantaran rasa jijik dan tidak selesa. Sepatutnya kita kena lebih jijik dengan orang yang ghosysyasyah iaitu orang yang curang dalam perniagaaan. Ini adalah sesuatu yang perlu diubah persepsinya. Contoh lagi seperti yang berlaku di IKEA, ada orang yang telah menjual makanan bercampur dengan bahan babi. Apa perasaan orang muslim yang telah terlanjur memakannya? Tentu sekali terasa jijik, termuntah atau dijolok-jolokkan tekak supaya dimuntahkan keluar. Walhal tidak berdosa jika memakan sesuatu yang haram yang kita tidak tahu, makan tanpa niat dan tanpa sengaja. Allah Lebih Mengetahui.

15.0] Benda yang Allah kata buruk dan neraka balasannya seperti 3 perangai buruk Kaum Nabi Syuaib as itu, hendaklah kita bersungguh-sungguh jauhinya. Mengambil sesuatu yang bukan hak kita adalah sesuatu yang sangat perlu dijauhi dan dijaga.

16.0] Allah utus Nabi Syuaib as yang dipanggil sebagai khotibul anbiyaa' kerana percakapannya teratur, bijak, kosa katanya menyentuh hati. Namun kaumnya yang tetap degil dan tidak menerima dakwahnya sehingga Allah musnahkan dengan menimpakan beberapa siksaan seperti yang diceritakan didalam 3 surah didalam Al-Quran. Daripada Tafsir Ibnu Kathir, Allah SWT menceritakan jenis dan bentuk siksaan dalam Al-Quran dengan uslub (susunan, struktur ayat yang sesuai dengan keadaan).

16.1] Rujuk surah Al-A'raf ayat 78;



Apakah jenis azab itu? Azab rajfah (gempaan yang hebat), kerana kaumnya telah mengugut, menggoncangkan hati Nabi Soleh as. Rujuk juga surah Al-A'raf ayat 88;

Al-jaza' atau balasan adalah sesuai dengan dosa yang dilakukan. Azabnya pun sesuai dengan perbuatan kaumnya. Nabi Syuaib as diancam diusir dari kampung halaman. Kalimah aw yang bermakna ila, iaitu sehingga, kecuali dan bukan bermakna atau. Azab yang Allah timpakan dinamakan rajfah (gempa). Berbeza dengan surah Hud ayat 67;



Penggunaan kalimah Asy-Syoihah (suara yang kuat), ini juga ialah tentang azab yang Allah timpakan keatas Kaum Nabi Soleh as. Apa perbezaan antara kalimah rajfah dengan syoihah? Ayat seperti ini dijadikan alasan bagi orang yang ingin menyerang Agama Islam. Mereka bertanya kenapa berbeza? Lantas mengatakan bahawa isi Al-Quran tidak konsisten, padahal Allah menamakan azab itu sesuai dengan keadaan, tidak berbeza pun. Kaum Nabi Syuaib as memperolokkannya, hari-hari mereka memekik, berteriak, mengejek, menghina Nabi Syuaib dan pengikutnya. Boleh di rujuk lagi didalam surah Hud ayat 87;




Kalimah maa nasyaa' yang bermaksud suka kami-lah (untuk memperbuat apa yang kami kehendaki). Ayat diatas adalah suatu ejekan (istihzah), "kerana selama ini tiada sesiapa menegur kami, tiada sesiapa pun yang menyalahkan kami, tiba-tiba kamu menegur kami". Ejekan mereka dengan suara yang kuat yang dipanggil istihzah maka Allah pun menimpakan keatas mereka dengan syoihah (suara yang kuat).

17.0] Rujuk surah Asy-Syu'ara' ayat 187;



Apakah  cabaran kaumnya kepada Nabi Syuaib as setelah Nabi Syuaib as berdakwah bersusah payah. Mereka berkata, "Kalau betullah ajaran mu benar dan kami salah, tunjukkanlah kepada kami". Cabaran itu dijawab oleh Allah seperti yang diceritakan didalam surah Asy-Syu'ara' ayat 189;

Dalam keadaan cuaca yang mendung, gelap, Allah datangkan azab yang besar. Maka tanasubnya tidak bercanggah ayat-ayat Al-Quran tentang azab yang Allah timpakan  keatas kaum Nabi Syuaib as itu. Balasan itu sesuai dengan perbuatan. Ada 3 nama azab yang Allah timpakan keatas kaum Nabi Syuaib as iaitu rajfah, syoihah, dan zullah.

18.0] Kaum Nabi Syuaib as yang curang, tidak jujur dalam mencari rezqi, adalah jenayah yang berat dalam pandangan agama, sebab itu Nabi Muhammad saw memberi peringatan demi peringatan supaya dijauhi. Oleh itu perlulah belajar hadith, belajar feqah dalam Kitabul Buyut, tentang jual beli, dimana ada garis panduan cara menjalankan perniagaan. Contohnya dalam mencari pelanggan, dari segi perkhidmatan umrah dan ziarah, iklan yang hebat  yang mengutarakan tentang hotel yang dekat dengan Masjidil Haram, makan yang mewah, perkhidmatan bas, bilik selesa, dapat pula air zam-zam atau kurma, di lapangan terbang nanti ada kereta khas menunggu dan sebagainya. Orang ramai akan tertarik dengan iklan istimewa itu. Namun jika layanan yang didapati tidak seperti yang diiklankan, itu sudah termasuk ghusysyun atau curang.

[Untuk difikirkan: Antara umrah dan ziarah, yang mana elok didahulukan? Sepatutnya berziarah dahulu kemudian baru umrah, kerana jika ada dosa semasa ziarah boleh dilebur sewaktu umrah].

19.0] Hati-hati apabila  mengiklankan sesuatu supaya tidak terjadi ghusysyun atau curang, seperti jika iklan jus kesihatan yang dapat menyembuhkan seribu satu macam penyakit, atau dapat memudakan 3 tahun wajah pengamalnya.

20.0] Nabi saw menjelaskan dengan terperinci dalam hal jual beli, sewa menyewa dan hutang piutang ini. Umat Nabi Muhammad saw terbahagi kepada 2 sahaja dari segi akhlak iaitu akhlak penghuni syurga dan akhlak penghuni neraka. Addiinun nasiihah yang bermaksud agama itu daripada nasohah. An-Nasiihah bermakna ketulusan hati, jangan ada syak atau dzon atau berburuk sangka kepada Allah, kepada Nabi, kepada Al-Quran dan kepada sesama manusia. Kita tidak boleh merasa bahawa Allah tidak adil. An-Nasiihah bukan bermakna nasihat. Ia inti agama. Nasihat dalam Bahasa Melayu lebih tepat dikatakan Tausiyah. Kalimah Tausiyah seperti yang terdapat didalam surah Al-'Asr ayat 3, watawa sowbil haq (dan mereka saling menasihati dalam kebenaran). Hati kita kepada Allah jangan ada kekotoran. Begitu juga terhadap para nabi, terhadap Al-Quran dan terhadap sesama manusia. Nabi Muhammad saw enggan mengaku umat orang yang Ghosysyasyah. Tidak mudah mengelak dari sifat Ghosysyasyah dalam bidang Tijaarah. Untuk menjadi peniaga yang nasohah tidak mudah, oleh itu telah mendapat pujian daripada Allah dalam surah An-Nur ayat 37;

Peniaga yang jujur yang tidak Ghosysyasyah, akan berada bersama Nabi saw. Oleh sebab itu mesti beri penekanan dalam belajar agama dalam bidang-bidang yang lebih berat dan mustahak. Perlu lebih penekanan dalam bidang Ghosysyasyah berbanding dengan hal hanya dijilat anjing. Walaupun  hanya 2 ayat iaitu ayat 36 dan 37, dan bukan kisah para Anbiya', namun isi ayat 36 dan 37 adalah sangat penting.

21.0] Surah Al-Ankabut ayat 38;

Kaum 'Aad ialah kaum bagi Nabi Hud as, manakala Thamud ialah kaum bagi Nabi Soleh as dimana tempat tinggal mereka ini biasa dilalui oleh kaum Quraisy. Perbuatan mereka dijadikan indah oleh syaitan. Wa 'Aadaw wathamuud, bermakna bukan hanya kaum Nabi Syuaib as tetapi juga kaum 'Aad dan Thamud. Daripada Tafsir Imam Al-Marowi, iaitu mantan Imam Mustafa Al-Marowi, "Kami telah binasakan juga kaum 'Aad, kaum Thamud yang menempati Ahqaf  (timbunan pasir)". Bahagian pasir yang turun dipanggil Al-Ghooit iaitu tempat yang biasa digunakan untuk orang membuang air (boleh didapati dalam surah Al-Maidah). Ini adalah bahasa yang manis dalam Al-Quran, yang boleh diguna pakai dalam  berbagai keadaan. Contohnya walau pun  ketika orang sedang menjamu selera, masih boleh dibaca ayat ini tanpa menghadirkan rasa jijik. Itu keindahan Al-Quran. Berbanding dengan buku-buku sekarang yang hanya fokus kepada peringkat yang tertentu. Contohnya buku masakan, hanya sesuai untuk orang yang suka memasak tapi tidak sesuai untuk orang yang suka makan. Sementara Thamud kaum Nabi Soleh mereka menghuni kawasan gunung batuan. Kedua-dua kaum ini hebat, mendapat pengiktirafan daripada Allah. Rujuk surah Al-Fajr ayat 6 dan 7;



Kaum 'Aad tinggal di Negeri Iram yang mempunyai bangunan-bangunan tinggi pencakar langit. Ada satu kajian yang diberi nama Usturatur-Rimal, Atlantis di padang pasir, iaitu Kota Lagenda Arabia yang hilang yang telah diketemukan. Kota yang telah sekian lama telah hilang dan diketemukan kembali. Bermakna kisah dalam Al-Quran, pemberitaan  Al-Quran, Allah akan dedahkan satu persatu sehingga kiamat. Contohnya Fir'aun yang mati di Laut Merah sewaktu mengejar Nabi Musa as,  telah ditemui kembali dan setelah dikaji didapati kulit badannya berselaput garam yang tebal yang mendedahkan kebenaran cerita didalam Al-Quran. Maklumat ayat-ayat kauniyah akan didedahkan Allah kepada kita dan generasi selepas kita mungkin dalam masa 300 tahun kehadapan. Janji Allah,"Kami akan perlihatkan kepada mereka ayat-ayat kami". Dengan penemuan-penemuan ini, kebenaran Al-Quran tidak akan berkurang malah bagi yang ragu akan semakin yakin, yang menolak akan semakin menerima, yang tidak beriman akan semakin beriman. Penemuan fakta-fakta dalam Al-Quran memberi kesan positif kepada kita. Menambahkan nilai kebenaran Al-Quran. Allah tidak akan bertambah kaya jika hamba-Nya memuji-Nya dan Allah tidak akan bertambah tercela jika hamba-Nya tidak memuji-Nya. Berbeza sangat dengan buku-buku karangan manusia yang bergantung  atas pujian atau celaan orang terhadapnya. Wallahu'a'lam.













No comments:

Post a Comment