Tuesday, May 3, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 30) Kuliah 30- Doa Nabi Luth, Kalimah 'Ismatullah

1.0] Mukaddimah kuliah;
Kita memohon perlindungan Allah daripada segala kejahatan dan keburukan kita. Sebaik-baik cerita ialah cerita daripada Al-Quran manakala sebaik-baik petunjuk ialah yang dibina daripada Rasulullah saw.

Seburuk-buruk perkara ialah perkara yang baharu yang diada-adakan didalam ibadah, yang mana setiap perkara baharu didalam ibadah itu adalah bidaah dan setiap yang bidaah itu sesat dan sesiapa yang sesat di neraka tempatnya. Na'uzubillah.

Sabda Nabi saw, "Sesiapa diantara kamu yang hidup selepas aku nescaya akan melihat perbezaan ikhtilaf yang sangat banyak. Hendaklah kamu sentiasa berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifahku selepasku yang sentiasa mendapat pimpinan dan petunjuk. Gigit olehmu akan sunnahku dengan gigi geraham kamu".

"Aku tinggalkan kepada kamu sekelian dua perkara. Jika kamu berpegang teguh dengan keduanya nescaya kamu tidak akan sesat selamanya iaitu Al-Quran Kitabullah dan Al-Hadith As-Sunnah".

2.0] Surah Al-Ankabut ayat 30; 


Allah telah merakamkam doa Nabi Luth as sebanyak dua kali sahaja didalam Al-Quran iaitu didalam Al-Ankabut ayat 30 ini dan juga didalam surah Asy-Syu'ara' ayat 169

Nabi Luth as memohon 'ismah (perlindungan) daripada Allah supaya dirinya dan pengikutnya dilindungi dari perbuatan keji yang dilakukan oleh kaumnya.

Daripada kedua-dua doa  Nabi Luth as diatas dapatlah diambil pengajaran bahawa jika kita tidak mahu ditimpa azab didunia mahupun diakhirat kelak hendaklah pertama-tama sekali kita memohon pertolongan Allah supaya kita terselamat daripada musibah perbuatan keji, kemudian barulah kita berdoa supaya Allah melepaskan kita dari azab siksaan-Nya.

3.0] Biasanya doa seseorang tidak selari antara apa yang diminta dengan perbuatan yang dilakukannya.
Contoh: Seseorang yang berdoa waqina 'azabannar (lindungi kami daripada api neraka), tetapi apalah ertinya doanya itu jika dia tetap juga dengan perangai dan perbuatan yang menjadi punca ia dicampakkan kedalam neraka.

Jangan hanya minta dijauhi neraka tetapi tidak bersedia meninggalkan perbuatan ahli neraka. Jangan hanya pandai meminta untuk dapat memasuki syurga jika malas melakukan amalan ahli syurga. Ingatlah, Allah akan kabulkan permohonan sesuai dengan amalan seseorang. Kalaulah setiap orang dibebaskan dari neraka hanya kerana dia tidak mahu memasuki neraka, tentulah tiada yang akan masuk neraka nanti kerana seorang yang mencuri atau menipu sekali pun tidak ingin masuk neraka.

4.0] Nabi Luth as meminta supaya Allah lindungi dirinya, selamatkan dirinya dan pengikut setianya daripada perbuatan keji Al-Faahishah yang dilakukan kaumnya. Sesiapa yang melakukan perbuatan keji dan berdosa akan mendapat balasan siksa daripada Allah walaupun mereka tidak mahu berdosa Sementara orang yang telah meninggalkan Al-Faahishah, Allah akan selamatkan daripada azab walaupun mungkin dia belum meminta untuk diselamatkan.

Yang ideal ialah meminta kedua-duanya, iaitu mohon perlindungan daripada Allah dari apa yang mereka lakukan kemudian mohon diselamatkan daripada azab yang Allah akan timpakan, sebab tiada seorang pun yang mahu dirinya disiksa. Semua orang meminta syurga. Orang Islam, Yahudi atau Nasrani, semua tidak mahu dibakar oleh api, walaupun didunia ada setengah orang yang berlatih membakar diri.

5.0] Seseorang tidak diselamatkan Allah dari neraka hanya semata-mata bila dia meminta dengan ucapan atau kata-katanya lisaanul maqal tetapi Allah kabulkan sesuai dengan hal keadaanya perbuatannya lisaanul hal.

[Arab proverb, "The tongue of action speaks louder than the tongue of words"]

Contohnya: 
Dengan berdoa, "Robbana hablana min azwaajina wazurriyyaatina qurrata 'a'yun waj'alna lil muttaqiina imaama", "Ya Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan-pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa." - Surah Al-Furqan ayat 74.

Apakah hanya dengan berdoa seperti itu akan terhasil pasangan dan zuriat yang menjadi penyejuk mata hati tanpa usaha? Apa lagi jika secara terangan berlaku didepan mata, orang yang dibawah jagaan kita melakukan perbuatan menyalahi syarak dan yang parahnya apabila kita tidak menegur atau mengajar ahli kita, anak-anak kita, bahkan merestui atau memberi pula cadangan untuk melakukan maksiat.

6.0] Nabi Luth as yang hebat ini diiuji dengan kaum yang paling rosak akhlaknya atau pecah moralnya, hanya berdoa dengan dua doa yang ringkas ini. Pertama meminta perlindungan Allah supaya tidak terjerumus kedalam lembah maksiat. Jika seseorang diberi peluang untuk melakukan maksiat dan Allah telah menyelamatkannya, itu adalah rahmat yang sangat besar bagi seseorang itu.

Apa itu Rahmat? Satu daripadanya ialah Al-'Ismah Allah, perlindungan Allah kepada seorang hambanya yang ada peluang untuk melakukan maksiat tetapi telah memilih untuk menjauhinya. Oleh itu jangan lah bersedih jika berdepan dengan jalan untuk melakukan maksiat kerana Allah telah membuka jalan untuk dapat ke syurga jika seseorang itu telah memilih untuk meninggalkan maksiat itu.

Contohnya: 
Diakhirat nanti ada orang yang akan mendapat pahala kerana tidak mengambil rasuah padahal banyak peluang terbuka baginya didunia namun di jauhinya. Allah membuka jalan untuk seseorang ke syurga jika memilih untuk menjauhi maksiat itu. Begitulah cara Allah memberi rahmat kepada hamba-Nya dan hendaklah bersyukur kerana telah dilindungi Allah. Beginilah yang diminta oleh Nabi Luth as dalam doa pertamanya dan apabila Allah kabulkan, Nabi Luth as dan pengikutnya tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perlakuan maksiat kaumnya itu. Apabila tiba pula masanya kaumnya diazab oleh Allah, barulah Nabi Luth as berdoa dengan doa kedua diatas supaya diselamatkan Allah dari azab, yang mana bukan bercanggah tetapi ada ketahapan.

7.0] Lakukanlah amalan yang boleh membawa kita supaya dapat memasuki syurga sebelum berdoa untuk dapat masuki syurga dan sebaliknya tinggalkanlah perbuatan yang menyebabkan masuk ke neraka sebelum memohon dijauhi dari neraka.

Contohnya: 
Dari segi feqah, seseorang yang sudah memenuhi segala rukun dan sunat seperti solat sunat empat rakaat, solat tarawikh, tambahan dibulan ramadhon, lantas berdoa memohon perkara-perkara yang hebat daripada Allah, bukan tidak boleh tetapi didalam agama ada perkara ihsan yang mana seseorang perlu ada rasa malu dan segan dalam berdoa dengan perbuatan amal yang hanya sedikit. Jika dengan baru bersedekah lima ringgit tetapi sudah memohon untuk Allah padamkan api neraka walhal ada orang lain telah bersedekah lima puluh ribu ringgit. Memang benar dengan bersedekah boleh memadamkan api neraka, tetapi dengan adanya sifat ihsan, seseorang itu akan lebih sopan, tawadduk dan tahu kekurangan diri didepan Allah.

8.0] Berbalik kepada ayat 30 diatas, Qoola robbinsurni 'alal qaumil mufsidin, dimana ada perbezaan diantara istilah fasik (orang yang rosak, keluar dari garis panduan Islam) dengan istilah mufsidin (orang yang sesat dan menyesatkan). Lawan bagi kedua itu ialah soleh (orang yang baik untuk diri sendiri) dan muslih (orang yang boleh membuat orang lain baik).

Kaum Nabi Luth as bukan sekadar fasik tetapi juga mufsid. Mereka ini rosak diri mereka bahkan juga menimbulkan kerosakan kepada orang lain. Mereka dipanggil mufsidin kerana telah melakukan tiga kerosakan yang dahsyat iaitu dari segi:

i) Iman (tauhid) yang rosak dan dipanggil musyrik.
ii) Islam (syariah) yang rosak lalu termasuk sebagai kufur.
iii) Ehsan, moral dan akhlak (hati) yang rosak dan melakukan maksiat yang keji.

Ketiga-tiga perkara ini adalah inti ajaran yang Allah berikan kepada para nabi-Nya.

9.0] Allah SWT menceritakan tentang kisah dakwah Nabi Luth as kepada kaumnya. dan yang lebih mendukacitakannya ialah kerana orang yang paling dekat dengannya iaitu isterinya tidak menyakininya. Seperti yang diceritakan dalam surah At-Tahrim ayat 10,11 dan 12 dimana terdapat dua orang perempuan yang menjadi ahli neraka iaitu isteri Nabi Luth as dan isteri Nabi Nuh as. Manakala dua orang perempuan ahli syurga iaitu isteri firaun dan Maryam binti Imron.

Isteri Nabi Luth as dan isteri Nabi Nuh as telah mengkhianati suami masing-masing tetapi bukan dengan cara menduakan suami.

Dari Ibnu Taimiyah; Isteri Nabi Luth as bukan mengkhianati dari aspek hubungan suami isteri atau tanggungjawab suami isteri tetapi dialah yang telah memberitahu kaumnya yang suaminya menerima tetamu yang tidak diundang yang sangat kacak yang mana sebenarnya adalah malaikat yang telah mendatangi Nabi Ibrahim as sebelumnya. Kaumnya menyerbu rumahnya dan membuatkan Nabi Luth as serbasalah dan ketakutan. Lalu Nabi Luth as berdoa kepada Allah setelah diberitahu Allah bahawa kaumnya akan dibinasakan.

10.0] Ada pengajaran yang boleh kita ambil daripada ayat 30 ini, iaitu Nabi Luth as tetap memohon pertolongan Allah walaupun sedar yang pengikut setianya sedikit daripada yang melawannya dan memohon moga diselamatkan Allah dirinya dan pengikut setia serta tetamunya.

11.0] Ada tiga kesimpulan daripada doa ini:

i) Bahawasanya tidak ada sesiapa yang boleh melindungi kita dari musibah atau bencana kesusahan, kemudhoratan atau azab kesusahan kecuali Allah. Nama Allah SWT An-Naafi' (yang memberi manafaat) dan Ad-Dhoor (yang mendatangkan mudhorat) serta yang menghilangkannya.

Jika kita terselamat dari bencana walaupun kecil, itu adalah kerana dari 'ismah  (perlindungan Allah).
Contoh; Kita makan, walaupun tidak semua diperlukan oleh badan kita bahkan boleh memudhoratkan, tetapi kenapa kita tidak sakit? Itu dinamakan 'ismah Allah (perlindungan Allah), walau sekecil mana pun mudhorat yang tidak menimpa kita, apa lagi yang besar-besar. Orang yang meyakini adanya perlindungan selain Allah adalah sudah jatuh syirik.

Contohnya:
Apabila ditanya kepada seseorang, macamana dia boleh terselamat dalam kemalangan? Jika dijawabnya bahawa nasibnya baik sebab dia memakai gelang tertentu, itu adalah sudah syirik, atau bisnes seseorang yang semakin maju lantaran dia telah menukarkan pintu  atau sengetkan pintu kedainya dengan satu darjah selepas dinasihati oleh seorang sifu dari Tiongkok, itu juga contoh syirik kerana telah percaya ada selain Allah yang boleh memberi mudhorat atau manafaat kepadanya.

Secara mutlak, sunnatullah bersikap nisbi iaitu seratus peratus bergantung kepada masyiatullah, kehendak Allah. Contoh api, bersifat membakar tetapi seratus peratus bergantung kepada kehendak Allah juga samada untuk dia terbakar atau tidak.

Contoh lagi; Apabila sakit, ambillah ubat, kemudian bermohonlah kepada Allah semoga diperkenankan-Nya untuk memberi kesan, jangan memutlakkannya kepada ubat.

Contoh apabila sakit perut, dan dikatakan sembuh dengan menggelek batu akid, itu adalah syirik, yang mana tidak secara sunnatullah atau tidak secara syari'atullah atau tiada dari bukti saintifik.

ii) Yang kedua, penting sekali seseorang yang ingin berdoa kepada Allah untuk mendapat perlindungan Allah dari musibah atau azab Allah bukan sekadar hanya dengan amalan atau permintaan tetapi hendaklah ada keberanian menjarakkan diri daripada punca maksiat atau musibah itu.

Seorang daie (orang yang berdoa) hendaklah menjauhi bersahabat dengan orang mufsidin. Contoh Asiah isteri Firaun, seperti yang disebut didalam surah At-Tahrim ayat 11, ketika dia berdoa kepada Allah memohon untuk mendapat sebuah rumah disyurga, telah memohon juga untuk dilepaskan daripada suaminya Firaun, maharaja yang kufur yang mendakwa dirinya tuhan. Asiah juga memohon agar diselamatkan daripada kaum yang zalim. Allah kabulkan doanya. Sehingga Firaun menyeksanya sampai mati dengan cara yang paling terseksa pada ukuran dunia. Didalam tafsir, dikatakan bahawa ketika Allah mengabulkan doanya, Asiah tersenyum walaupun pada masa itu dia sedang diseksa. Firaun yang tidak mengetahui hakikat sebenar mengatakan Asiah itu gila padahal Asiah pada ketika itu telah melihat pintu langit terbuka dan sedang melihat tempatnya disyurga. Asiah meminta agar dipisahkan dahulu daripada Firaun iaitu dia menjarakkan dirinya dari orang yang menjemput azab dahulu. Ini syarat berdoa yang perlu di dahulukan.

iii)  Yang ketiga adalah pentingnya bertawassul kepada Allah SWT dengan doa. Doa adalah salah satu bentuk tawassul kepada Allah. Doa itu sendiri adalah tawassul . Apabila kita mengharapkan sesuatu kepada Allah, maknanya kita menggunakan wasilah, penghubung atau perantaraan dengan Allah dan perantaraan itu ialah doa.

Adalah tidak betul jika ada orang yang mengatakan bahawa kita tidak perlu banyak berdoa kerana Allah sememangnya sudah mengetahui tentang kita. Didalam hadith Nabi saw, kita disuruh untuk berdoa kepada Allah hatta ketika terputus tali kasut. Disini janganlah pula difahami secara harfiah. Maksudnya kita adalah lemah selemahnya, tiada daya upaya tanpa pertolongan Allah. Doa bukan semata-mata mengharapkan sesuatu daripada Allah tetapi hakikat inti daripada doa itu mestilah dirasakan dahulu sebelum meminta apa yang dikehendaki.

'Ismatullah = Idzhaarud du'fi wasyiddatul iftiqaaru ilallooh yang bermakna untuk mendapatkan perlindungan Allah ialah dengan menzahirkan kelemahan diri, ketidak mampuan diri dan bersangatan berhajat kepada Allah.
La hawlawala quwwata illa billah, tiada daya upaya dan kekuatan  kecuali dengan pertolongan Allah. Tiada berdaya walaupun hanya untuk menggantikan tali kasut yang putus sedangkan kita sangat memerlukannya. Kita akan sangat berhajat kepada pertolongan Allah SWT sepanjang masa. Itu doa, itu inti doa, hakikat doa. Semakin kita merasa bersangatan lemah, in syaa Allah syiddatul iftiqar bersangatan berhajat kita akan meningkat. Tetapi apabila seseorang merasa kurang lemah, rasa berhajatnya kepada Allah akan berkurang.

Contohnya:
Doa mohon rezki, "Ya Allah, berikanlah daku rezki, jika Engkau memberi, aku berterima kasih jika tidak pun tak apalah." Disini tiada kesungguhan pengharapan kepada Allah. Begitu juga jika berdoa untuk penambahan ilmu, akuilah diri kita lemah, tidak ada ilmu tanpa izin Allah. Mungkin hari ini kita pandai tetapi apabila Allah tarik balik, boleh jadi diri sendiri pun kita tidak kenal.

12.0] Semua orang ada kemampuan untuk mencapai tahap tertinggi pengharapan kepada Allah itu, cuma tidak berlaku pada semua keadaan atau disemua tempat. Perasaan ini baru akan muncul seratus peratus ikhlas ditempat kritikal dan didalam keadaan paling kritikal.

Contohnya:
Ketika menaiki kapal laut yang sedang akan tenggelam. Maut dihadapan mata, dan pada masa itu kita akan merasa selemah-lemahnya dan baru memanggil-manggil Allah. Menzahirkan bersangatan berhajat kepada Allah semata-mata seperti seorang mukhlisin. Tidak lagi mengharap kepada nahkoda kapal yang juga sedang mabuk atau kepada kapal yang sedang tercabut segala skrunya. Semakin cepat kita dapat merasakan bersangatan berhajat kepada Allah ini, in syaa Allah semakin cepat dikabulkan Allah. Jika kita masih merasa kita kuat atau belum merasa seratus peratus memerlukan Allah, tetapi jika Allah beri juga hajat kita itu bermakna kemakbulan doa itu masih dalam istidraj bukan lagi rahmah. Yang sahih doa itu adalah ibadah dan setiap kita hendaklah berlatih untuk itu. Ini inti doa iaitu apa yang dirasakan dalam hati ketika berdoa.

13.0 Istilah membaca doa tidak menepati maksud, tetapi hendaklah dikatakan berdoa, begitu juga berkhutbah dan bukan membaca khutbah, juga berzikir dan bukan membaca zikir.

14.0] Apa yang dirasakan oleh Nabi Luth as, ialah berdoa dengan hati, walaupun pendek. Perasaan mengharap, jiwa tidak tenang, hati gelisah, hanya menyerah seratus peratus kepada pertolongan Allah. Nabi Luth as berdoa dengan  menggunakan istilah unsurni (tolonglah daku) dan bukan a'izni (lindungilah aku) walau pun kedua-dua istilah itu menunjukkan permintaan dalam keadaan bahaya. Unsurni - tolonglah aku, kalimah yang lebih hebat. Unsurni menunjukkan bahawa bahaya itu sudah sangat besar dan memerlukan pertolongan Allah kerana ketiadaan daya diri. Musibah yang dihadapi sangat dahsyat dan dia merasa tanpa 'Ismah Allah dia tidak mampu menyelamatkan dirinya. Pastikan hati kita kosong dari sesuatu yang lain kecuali Allah barulah doa itu yang dikabulkan adalah sebagai rahmah.

15.0] Apabila kita hayati doa para nabi, mereka benar-benar menzahirkan kelemahan diri. Cuba hayati doa tertua, doa taubat Nabi Adam as didalam surah Al-A'raf  ayat 23. yang bermaksud, 'Kedua-duanya berkata, "Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi".

Nabi Adam yang asalnya berada di Jannah yang bermaksud syurga (diakhirat) atau taman (didunia) seperti dalam cerita Ashhaabul-Jannah dalam surah Al-Kahfi, jannah bermaksud kebun di dunia. Syurga yang disebut Allah untuk balasan diakhirat adalah syurga diakhirat.

[Nota; Syurga berasal dari perkataan suwarga loka, dipendekkan menjadi suwarga, dan akhirnya menjadi kalimah syurga].

Nabi Adam as dimurkai Allah kerana larangan Allah dilanggari, Nabi Adam as berdosa dan tidak lagi dibenar tinggal di Jannah, lantas Nabi Adam as berdoa dengan doa diatas. Dia terbayangkan dosanya yang berat dan dia tidak mampu melawannya dan jika dia tidak mendapat keampunan Allah, pasti akan menjadi orang yang rugi. Ertinya Nabi Adam as membayangkan balasan siksa yang akan menimpanya. Oleh itu hendaklah hati khusyuk ketika memohon keampunan Allah. Berdoalah dengan sepenuh hati bukan sambil lewa. Allah memberi atau tidak itu haq mutlaq Allah.

Contohnya:
Bagi seorang banduan yang akan dihukum mati bulan hadapan, apabila memohon pengampunan dari pihak berkuasa tentulah dengan sepenuh hati, merayu, menangis dan kalau perlu sujud sekali pun akan bersujud. Inikan pula dengan Allah  ketika kita mohon pengampunan yang dibayangkan balasan yang dahsyat jika tidak mendapat pengampunan Allah itu.

16.0] Hayatilah doa diantara dua sujud didalam solat kita supaya dapat mendatangkan khusyuk. Apabila berdoa "Ya Tuhanku! Ampunilah aku, kasihanilah aku, cukupkanlah (kekuranganku), angkatlah (martabat) ku, beri rezkilah aku, tunjukilah aku, sihatkanlah (badan) ku, dan beri maaflah (segala kesalahan) ku." Apabila difahami dan dihayati dengan sepenuh hati, bayangkan segala dosa diri dan kita akan mudah menangis serta timbul kusyuk.

Apabila solat bersendirian bolehlah berlama-lama dalam sujud dan menghayati makna bacaan. Tetapi jika kita ma'mum, ikutlah imam, janganlah sujud terlalu lama padahal imam sudah pun berpindah rukun. Bagi seorang imam pula hendaklah berpada-pada bersederhana dalam membaca ayat-ayat didalam solat supaya tidak terlalu lama atau tidak terlalu laju. Biasanya kita selepas solat barulah mahu berdoa dengan panjang, tetapi sebenarnya doa didalam solat adalah yang lebih baik ditingkatkan kefahaman dan penghayatannya daripada doa selepas solat.

17.0] Hayatilah sepenuhnya kalimah la hawla wala quwwata illa billah, tiada daya upaya kecuali dengan daya upaya (pertolongan) Allah. Moga-moga diberkati.

No comments:

Post a Comment