Tuesday, June 7, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 35) Kuliah 35- Makna Aayatan, Mukjizat, Sunnatullah, Talak, Khuluk

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 35.



Surah Al-Ankabut ayat 35 ini adalah sebagai ayat yang menjadi penutup kepada kisah Nabi Luth as.

2.0] Perbincangan kita kali ini ialah tentang kalimah aayatan yang terdapat didalam ayat ini. Kalimah aayatan diulang sebanyak 382 kali didalam Al-Quran dengan pelbagai bentuknya, samada dalam bentuk mufrad - (tunggal) iaitu aayatun, atau dalam bentuk muthanna - (dua an) ialah aayataani atau aayataini dan dalam bentuk jamaknya (bilangan banyak) ialah aayaatun. Jika diBahasa Melayukan maksud ayat itu ialah ayat atau tanda.

3.0] Aayatan atau ayat itu ada beberapa makna. Makna dari segi bahasa atau entimologinya ialah Al-'Alaamatuz zoohirah iaitu tanda yang jelas nyata.

4.0] Didalam Al-Quran Aayatan atau ayat mempunyai banyak makna seperti:

i) Al-Hujjah wad-Dalil iaitu Firman Allah SWT sebagai hujah, alasan dan dalil yang nyata, yang tidak mampu dinafikan bagi kebenaran sesuatu yang hendak disampaikan. Rujuk surah Ar-Rum bermula dari ayat 20 sehingga ayat 25. Contohnya Ar-Rum ayat 20:



Kesemua ayat 20 hingga 25 surah Ar-Rum ini bermula dengan wa min aayaatihi (Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya):
*    Ayat 20; diciptakan kamu daripada tanah, bertebaran dimuka bumi.
*   Ayat 21; diciptakan bagi kamu pasangan daripada jenis kamu sendiri dan perasaan kasih sayang, bagi kaum yang berfikir.
*  Ayat 22; diciptakan langit dan bumi, perbezaan bahasa dan warna kulit, bagi orang-orang yang mengetahui.
*   Ayat 23; diciptakan malam untuk tidur dan siang untuk bekerja, bagi kaum yang mendengar.
* Ayat 24; diciptakan kilat untuk menimbulkan harapan bagi mendapat hujan yang akan menghidupkan bumi dan juga untuk menimbulkan rasa takut atas musibah yang mungkin berlaku, bagi kaum yang mengerti.
*  Ayat 25; diciptakan langit dan bumi dan apabila Dia memanggil kamu dengan satu panggilan, seketika itu kamu keluar daripada kubur.

Ini semua adalah aayatan, ayat, hujah dan dalil tentang keWujudan dan keEsaan Allah SWT dengan sifat-sifat keSempurnaan-Nya sehingga untuk meyakinkan orang yang tidak percaya kepada Allah adalah lebih mudah. Berdasarkan formula Al-Quran, untuk meyakinkan orang yang tidak percaya Adanya Allah (Etheis) adalah lebih mudah daripada untuk meyakinkan keEsaan Allah kepada orang mushrik. Selari dengan pandangan Dr. Zakir Naik yang mengatakan bahawa untuk mengislamkan orang Etheis adalah lebih mudah dari memuslimkan orang mushrik. Orang mushrik atau kafir ialah orang yang sudah berTuhan tetapi pemahaman mereka tentang konsep Ketuhanan itu salah dan untuk memurnikan kembali akidah mereka adalah luar biasa susahnya. Etheis berkata La Ila Ha (tiada Tuhan), syahadahnya sudah separuh, hanya perlu memberi hujah dari berpuluh-puluh hujah untuk meyakinkan orang Etheis itu untuk menyambung dengan kalimah Illallah (kecuali Allah) supaya lengkap syahadah menjadi La Ila Ha Illallah (Tiada Tuhan kecuali Allah) dan menjadikan etheis itu muslim. Etheis yang menafikan kewujudan Allah disebut  orang safih, otak yang masih kosong. Lantaran itu untuk mengajar sesuatu kepada kanak-kanak tadika seperti bertanam adalah lebih mudah kerana otaknya masih kosong, otak yang safih.

Aayatud dalil, tanda yang jelas nyata  seperti diatas adalah yang berkaitan tentang alam semesta dan kehidupan dan ini makna aayatan atau ayat  yang pertama.

ii) Makna kedua bagi  aayatan atau ayat dalam Al-Quran adalah Al-Quran itu sendiri, yang mana ayat-ayatnya berjumlah enam ribu lebih, (berapa yang lebihnya diperselisihkan), hanya untuk memudahkan kita ingat dikatakan jumlah ayat-ayat Al-Quran itu sebanyak 6,666 ayat. Rujuk surah An-Nahl ayat 101.


Apabila Allah hendak menggantikan ayat dengan ayat yang lain, dalam Ilmu Fiqh, ada istilah nasakh. Orang-orang yang tidak mahu menerima ajaran Nabi saw menuduh Nabi saw sengaja mengada-ngadakan kebohongan (muftar) apabila ada ayat-ayat yang berubah-ubah. Contoh, mereka kata, "Dulu kata, lakum diinukum waliyadiin" (bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku-Islam), kemudian ada pula ayat, "Perangilah oleh kamu orang yang tidak seagama kamu". [Nota; Ayat -ayat ini ada sababun- nuzul dan perlu dipelajari sebab musabab penurunannya].

iii) Makna ketiga aayatan atau ayat didalam Al-Quran ialah Al-Mukjizat. Rujuk surah Al-Qasas ayat 36.

Al-Mu'jizat- 'ajzun- 'a'jaza- i'jaazun- mu'jiz- mu'jizat

Kalimah Al-Mu'jizat adalah dari kata dasar 'ajzun yang bermakna lemah tidak berdaya, kemudian dengan penambahan huruf alif menjadi 'a'jaza yang bermakna menjadikan yang lain lemah, manakala i'jaazun pula ialah kekuatan yang menjadikan orang lain lemah dan yang empunya i'jaazun disebut mu'jiz dan apabila i'jaazun itu terlalu menonjol dikatakan sebagai mu'jizat. Mu'jizat ialah kekuatan yang menjadikan yang lain tidak berjaya. Musuh-musuh jadi lemah, kalah dan tidak berjaya untuk mengalahkan hujah yang kuat. Al-Quran penuh dengan i'jaz yang mempunyai kekuatan untuk melemahkan orang-orang yang tidak mempercayainya iaitu penentang-penentangnya. Al-Quran disebut mu'jiz kerana Al-Quran ini terlalu ketara kehebatan hujahnya lantas disebut sebagai Mu'jizat.

Rujuk surah Al-Qasas ayat 36 diatas, dimana Nabi Musa as datang menemui Firaun dan kaumnya setelah menghilang 10 tahun. Nabi Musa as datang dengan membawa aayatan bayyinaat. Aayat disini ialah Mu'jizat yang Allah kurniakan kepadanya iaitu tongkat ajaib yang boleh bertukar menjadi ular dan tangannya sendiri yang dapat mengeluarkan cahaya. Melihatkan keajaiban kedua Mu'jizat Nabi Musa as itu, Firaun dan kaumnya berkata bahawa semua itu adalah sihir yang diada-adakan.

Mu'jizat terbahagi kepada Mu'jizat hissiyyah dan Mu'jizat maknawiyyah. Mu'jizat maknawiyyah adalah Al-Quran itu sahaja manakala Mu'jizat hissiyyah ialah mu'jizat-mu'jizat dalam bentuk yang lain yang boleh didengar, dilihat, dipegang yang diberi kepada nabi-nabi. Contohnya, unta Nabi Soleh as yang boleh dilihat, dipegang, boleh didengar suaranya dan dibunuh oleh kaumnya. Nabi Isa as dikurniakan Allah Mu'jizat dimana dia boleh menyembuhkan berbagai jenis penyakit dan dapat menghidupkan orang mati dengan izin Allah. Mu'jizat hissiyyah Nabi Muhammad saw ialah dapat membelah bulan dan dapat dilihat bulan itu benar-benar terbelah. Ini hakikat dan orang-orang kafir dapat melihatnya pada masa itu.

Mu'jizat maknawiyah yakni Al-Quran sahaja, maklumat saintifiknya, hurufnya, sasteranya, dimana isi kandungannya, tentang berlakunya hari kiamat, pemberitaannya, sesuai dengan semua keadaan dan masa.

Mu'jizat hissiyyah berlaku dizamannya sahaja. Orang yang belum hidup dan tidak hidup dizaman itu tidaklah dapat yakini sepenuhnya peristiwa yang lepas itu jikalah tidak kerana ada disebut didalam Al-Quran. Bagi orang yang tidak yakin kepada Al-Quran pula adalah payah untuk mempercayainya. Contohnya, peristiwa Nabi Ibrahim as yang dibakar namun terselamat dan tidak hangus dimakan api, atau cerita tentang  Nabi Musa  as yang memukul laut dengan tongkatnya lalu laut terbelah.

Berbeza dengan  Al-Quran yang menjadi mu'jizat maknawiyah yang boleh dikaji, boleh dipercayai oleh orang-orang sezamannya dan orang-orang yang datang kemudian.

iv) Makna keempat bagi aayatan atau ayat ialah sebagai Al-'Ibroh wal 'Izzoh iaitu pengajaran dan yang semakna dengannya, seperti mana orang Melayu kata, "Yang baik jadikan teladan dan yang tidak baik jadikan sempadan" atau ambil yang baik dan tinggalkan yang buruk. Selingan yang lucu daripada ustaz, "Para jemaah, janganlah pula apabila keluar dari masjid dan ingin pulang, mengambil selipar yang baik (kepunyaan orang lain ) dan meninggalkan selipar kita yang buruk".

Rujuk surah Maryam ayat 21.


Kalimah aayatan dalam ayat ini adalah sebagai Al-'Ibroh wal-'Izzoh - pengajaran dan teladan dimana sesuatu yang kita manusia menganggapnya mustahil pun boleh berlaku dengan Qudrah Allah. Maryam seorang perempuan suci yang tidak pernah disentuh lelaki (tidak bersuami) dan bukan juga seorang penzina (baghiyyan) dapat mengandungkan anak dengan Kehendak Allah yang tidak terbatas. Baghiyyan bermakna seorang penzina atau dipanggil kupu-kupu malam atau kelip-kelip.

[Nota; kelip-kelip yang betina sahaja yang keluar malam dengan daya penarik yang luar biasa, berkelip-kelip terang hanya ketika musim mengawan untuk menarik perhatian pasangannya.]

Menurut sunnatullah, perempuan hanya boleh mendapat anak apabila berkahwin atau ditiduri lelaki, lantaran itu Maryam merasa mustahil yang dia akan mendapat anak, kerana tidak pernah bersama lelaki pun, tetapi Allah kata, "Huwa 'alaiyya hayyin" perkara itu mudah bagi Allah untuk Allah tunjukkan keKuasaan-Nya dan sebagai aayat (bukti, tanda). Allah mentadbir alam ini setelah diCipta-Nya, mengikut KehendakNya.

Sunnatullah tidak berlaku dengan sendiri tetapi bergantung 100% kepada Masyiatullah (kehendak Allah). Sunnatullah itu hanya nisbi. Contoh, sifat api terbakar tetapi Masyiatullah berlaku dan Nabi Ibrahim as tidak terbakar didalam api yang marak itu. Itu adalah sebagai satu aayat- tanda- 'izzoh- dimana Kehendak Allah tidak terbatas. Didalam mencari keRedhoan Allah, apabila pintu ikhtiar tertutup, kita buntu, jangan berputus asa, teruskanlah rayuan mu kepada Pencipta Alam Yang Empunya segala Kurnia.

Contohnya Nabi Zakaria as yang sudah lanjut usia dan isterinya juga sudah tua lagi 'aaqir (mandul), namun masih dikurniakan Allah anak dengan kelancaran Qudrah-Nya. Begitu juga Nabi Yunus as yang ditelan ikan, menurut sunnatullah sudah mati didalam perut ikan, namun tetap hidup. Apakah ilmu yang Nabi Yunus as ada? Tanpa apa-apa jampi, cuma pengakuan kesalahan diri dan sepenuh penyerahan hanya kepada Allah, akhirnya ikan memuntahkan Nabi Yunus as kedaratan. Inilah yang dinamakan Izzoh-tanda Kebesaran Allah. Oleh itu hendaklah sangat berhati-hati supaya tidak sampai memutlakkan sunnatullah yang boleh mengheret seseorang kepada syirik Asbab iaitu meyakini sunnatullah sebagai asbab sesuatu perkara. Contoh, 2 + 2 = 4, tidak semestinya jawapannya menjadi 4 jika dinisbahkan kepada Masyiatullah. Contoh, jika dikatakan, "Dengan memakan ubat ini dijamin sembuh", itu Syirik Asbab, dan tidak boleh.   

Daripada kisah Maryam di atas, sunnatullah ialah apabila perempuan ditiduri lelaki, baru akan dapat mengandung dan melahirkan anak, tetapi Allah kata, "Tidak, itu hanya Sunnah-Ku sahaja dan Aku boleh buat apa-apa yang Aku Kehendaki". Terkejut mereka (kaum Yahudi). Apa komentar mereka melihat Maryam mengendong anak? Mereka terus menuduh Maryam berzina. Dituduh Isa itu anak luar nikah. Menurut kaum Yahudi itu, sunnatullah bayi yang baru lahir tidak boleh berkata-kata. Mungkin sehingga mencapai umur 3 tahun barulah boleh bercakap, itupun dengan cara yang tidak boleh difahami sepenuhnya. Ini ketika masih didalam buaian, Isa sudah dapat bersyarah dengan fasih. Terkejut kaum Yahudi, tetapi Yahudi tetap Yahudi. Inilah yang namanya aayat. Mengandungnya Maryam tanpa suami, melahirkan Isa, Isa yang petah bercakap sedari bayi, itu semua sebagai aayaatan dan rahmat dari Allah. Maryam  tidak boleh memilih, jalan hidupnya telah dipilih oleh Allah. Allah telah memilih Maryam menjadi hamba-Nya untuk Allah jadikan aayat untuk membuktikan kelancaran Qudrah-Nya. Inilah Al-Ibroh- pengajaran aqidah yang sangat hebat.

v) Makna kelima bagi aayatan atau ayat ialah Al-Kitab- iaitu kitab Allah, kitab suci, kitab samawi. Kitab Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan umatnya (Islam), kitab Injil diturunkan kepada Nabi Isa as, kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa as, kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Daud as. Kitab suci yang tidak samawi ialah kitab-kitab seperti kitab Veda, kitab Upanishad dan sebagainya. Rujuk surah Al-Mu'minun ayat 66.


Kalimah Aayaati didalam ayat diatas bermaksud kitab samawi Al-Quran.

[Nota tambahan: kalimah Kaana-kaanat yang digunakan didalam ayat diatas, memberi makna 'biasanya', sering, selalu, tidak seratus peratus].

Seperti mana biasa terdapat pada awal sesuatu hadis,  "Kaana Rasulullah saw", bermakna "Biasanya Rasulullah saw". Kalimah kaana pun perlu dipelajari untuk memahami maksudnya yang berbeza. Oleh itu adalah disarankan supaya kita kenalah belajar dan tahu walaupun sedikit tentang Bahasa Arab. Uslub struktur ayat, susunan ayat adalah penting sekali  kerana boleh memberi makna yang berbeza. Contoh, ayat "mustaghfiriina bil as haar"- orang-orang yang memohon ampun waktu subuh- isim (nama) diletakkan didepan. Berbeza dengan ayat "wabil as haari hum bistaghfiru"- Pada waktu subuh mereka memohon ampun. Apabila kita melihat makna dalam Bahasa Melayu, semua kelihatan seperti sama, padahal tidak sama. Pemahaman kita perlu diluruskan, bukan ayat Al-Quran yang salah, khasnya uslub Al-Quran, atau hadith qot'i, tetapi pemahaman kita yang perlu diperluaskan.

vi) Makna keenam bagi aayatan atau ayat ialah sebagai Al-Ahkam As-Syar'iyyah- iaitu hukum-hukum syarak atau hukum-hukum agama, perintah mahu pun larangan, wajib atau pun sunat, makruh mahu pun harus. Rujuk surah Al-Baqarah ayat 242 yang menjadi penutup bagi ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan tentang hukum penceraian.


Ayat ini adalah ayat penutup kepada penjelasan proses perceraian yang dijelaskan didalam ayat-ayat sebelumnya. Diantara intisari proses perceraian ialah bagi perempuan yang diceraikan, dia ada hak dan suaminya yang menceraikannya ada kewajipan untuk dilunaskan kepada isteri yang diceraikannya. Contoh, suami yang menceraikan isterinya, merobohkan masjid yang telah dibina dengan bersusah payah. Perkataan cerai adalah istilah umum dalam Bahasa Melayu, padahal ada istilah yang lebih khusus dalam bahasa agama. Istilah bahasa agama yang perlu difahami ialah istilah Talak, Khuluk dan Fasakh.

Istilah Talak digunakan bagi perceraian yang berpunca daripada isteri. Suami yang cemerlang, terbilang telah teraniaya dengan perangai isteri yang selalu hilang atau tidak menjalankan tanggungjawab. Allah tawarkan kepada suami yang telah menunaikan hak sebaiknya tetapi teraniaya dengan tidak mendapat apa yang sepatutnya didapati daripada seorang isteri. Suami itu boleh menjatuhkan Talak kepada isterinya. Walaupun hati suami itu tidak suka, marah dan bengkak terhadap isteri yang diceraikan itu namun wajib bagi suami itu memberi Muta'ah kepada isteri yang diceraikannya itu, (dari kata dasar mata'un, yang bermaksud memberi kesenangan, memberi sejumlah harta benda kekayaan bil ma'ruf- dengan rasa senanghati, tidak dengan rasa terpaksa). Tetapi jika suami itu dapat bersabar, cuba mendidik isterinya itu untuk menjadi baik, itulah yang lebih utama dalam perkahwinan.

Istilah Khuluk pula digunakan bagi penceraian yang berpunca daripada suami, Isteri yang cemerlang, terbilang telah teraniaya dengan perangai suami yang tidak menjalankan kewajipan. Jika isteri itu dapat bersabar itu adalah terbaik untuknya mendapat balasan atas kesabarannya nanti tetapi jika si isteri itu telah teraniaya dan tidak mampu lagi bertahan, maka bolehlah dia gunakan haqnya iaitu Khuluk. Khuluk ialah hak isteri untuk bercerai daripada suaminya dengan membayar 'Iwad melalui pengadilan. Moga-moga bermanafaat.

Cerita tentang perasaan hati ini, iaitu apabila suami yang hatinya bengkak, teraniaya, dan telah mentalakkan isterinya, namun dikenakan kewajiban untuk memberi mutaah dengan keadaan ma'ruf (walau memberi dengan hati yang tidak suka). Sepatutnya proses perceraian ini tidak perlu kepada campurtangan pihak mahkamah kerana semuanya telah dijelaskan dengan terperinci didalam Al-Quran. Apa tidak cukup kuat segala arahan Allah didalam Al-Quran? Takkan arahan manusia lebih kuat daripada arahan Allah didalam Al-Quran? Takkan masuk penjara itu lebih ditakuti daripada masuk neraka?.

Perkahwinan- zawaj- marriage itu, ada orang kata sebagai workshop. Suami bekerja (work), isteri berbelanja (shop). Perceraian mestilah bil ma'ruf- haqqan bil muttaqin iaitu dengan cara baik, mendapat hak secara benar. Allah tutup perincian hukum-hukum tentang perceraian ini dengan kalimah kaza lika dan la'allakum ta'qiluun, yang bermaksud ini hak kamu dan supaya kamu memahaminya.

Kalimah aayaatihi dalam surah Al-Baqarah ayat 242 diatas ialah ahkam asy syar 'iyyah- hukum hakam agama, Allah jelaskan nyata, terang ,sejelas-jelasnya bukan samar-samar- aayatan bayyinah- tidak perlu lagi untuk meminta penjelasan sebab sudah sangat terang.

Ayat Muhkamat- bayyinah ialah ayat yang terang dan jelas nyata maknanya, manakala ayat Mutasyabihat ialah ayat yang belum jelas maknanya atau memiliki banyak kemungkinan makna dan pemahaman sehingga perlu direnungkan agar diperolehi pemaknaan yang tepat. Contohnya dalam hal pembahagian warisan (harta pusaka), terdapat didalam surah An-Nisaa, tentang hukum faraid yang sangat terperinci. Bayangkan umat semasa Nabi saw dulu kebanyakannya ummi- tidak tahu baca tulis, tetapi tentang harta pusaka ini diperincikan sehingga sekecil-kecilnya. Hanya dengan beberapa ayat dalam Al-Quran tentang harta pusaka, jika dihuraikan diperincikan, telah menjadi setebal Al-Quran dan perlulah timbul rasa takut untuk berebut dalam hal pusaka ini supaya tidak menjadi puaka dalam kehidupan kekeluargaan. Walaupun seorang yang pakar matematik, jangan dipersoalkan hujjah didalam Al-Quran yang telah menetapkan anak lelaki mendapat 2 bahagian harta pusaka manakala anak perempuan mendapat hanya 1 bahagian. Walaupun dalam situasi anak perempuan yang telah menjaga ibubapa dan anak lelaki tidak berbakti langsung. Jangan diubah-ubah hukum Allah, jangan pandai memandai mengubah perkara bayyin jelas nyata dalam Al-Quran. Beware of talbis Iblis- Berhati- hati dengan pemalsuan Iblis. 

Dalam hal yang bayyin, katakanlah ada kain yang sudah menjadi suatu sapu tangan, kemudian kita uraikan benangnya supaya menjadi benang-benang semula, kemudian tenun pula semula benang-benang itu sehingga menjadi kain semula, sehingga  orang yang melihat proses itu jelas, terang,nyata, melihat penjelasan yang terperinci- penjelasaan yang bayyin. Bukan hanya  transparent sahaja. Ini adalah Al-Ahkam Asy -Syar 'iyyah- hukum syara'.

vii] Makna ketujuh bagi aayatan atau ayat  ialah Al-'alaamah waddilaalah iaitu semacam papan tanda (sign board) atau alamat. Contohnya jika kita ingin pergi kesesuatu tempat, kita perlu lihat papan tanda supaya kita tidak tersesat. Aayat ini bermakna alamat atau papan tanda yang memandu kita untuk sampai kedestinasi yang diingini. Rujuk surah Saba ayat 15.



Aayah didalam ayat 15 surah Saba ini bermakna alamat atau papan tanda. Dengan aayah- tanda-tanda yang diberi, dapatlah kita mengenali dimana tempat yang dimaksudkan. Alam dan segala isinya pun disebut sebagai aayah- tanda yang dengannya kita dapat mengenalinya dan berkata o,o,o. Bendera juga adalah sebagai 'alamun-royatun kerana dengannya kita dapat mengetahui alamat yang kita tuju.

Contohnya, dalam masa mengerjakan ibadat haji, ada jemaah yang telah terpisah daripada kumpulan jemaah asal, tertinggal di Mina atau Muzdalifah. Pertama kali pula baginya sampai disitu, tentunya merasa sangat bingung, bertanya orang, orang tidak faham, tiada makanan minuman, tiada panduan untuk dituju, dia sedang sesat ditempat asing, menangis dan berjalan tanpa arah tujuan sehinggalah ketika dia naik kesuatu tempat tinggi (bukit kecil) yang didakinya, nampaklah kepadanya kibaran bendera negaranya hanya dalam jarak dekat 100 meter kedepan.Tentulah gembira sekali hatinya. Tentulah terus diikuti laluan menuju bendera itu tanpa menghiraukan  kesesakan yang perlu ditempuhinya.

Bendera itu adalah aayah atau tanda. Ayat-ayat didalam Al-Quran adalah seperti bendera itu menjadi aayah, panduan, tanda untuk dituju. Bagaimana supaya kita sampai kepada Allah? Bagaimana supaya kita sampai keakhirat dan diterima Allah? Bagaimana supaya kita buat segala sesuatu seperti yang Allah suruh? Bagaimana supaya apa yang kita buat sama seperti yang dikehendaki Allah? Bagaimana supaya hidup kita ini diRedhai Allah? Semuanya kena ada aayat Allah, kena ada panduan dari Allah, kena ada bendera dari Allah.

Akhirat itu jauh dan yang jauh sekali ialah Syurga Allah. Berapa jauhnya? Tempatnya dimana? Kita tidak tahu jalannya jika tanpa panduan dari Allah. Jika tanpa bendera, tanpa alamat, bagaimana untuk menuju Allah? Kena ada aayat iaitu Siraatal mustaqim jalan yang lurus dan dekat. Kalau tanpa aayaat Allah, hidup akan berada dalam dolaalan ba'iida- kesesatan yang jauh. Contoh, jika seseorang tinggal di Bangsar, kemudian ingin pergi ke Kampung Kerinci yang sebenarnya sangat dekat, tetapi lantaran tiada alamat atau papan tanda, telah tersesat sehingga sampai ke Kampung Nahkhoda Omar di Sabak Bernam.

5.0] Kembali kepada surah Al-Ankabut ayat 35 yang kita sedang pelajari ini, agaknya yang mana satu makna yang paling tepat untuk kalimah aayatan bayyinah disitu. Ayat penutup tentang kisah Nabi Luth as, dimana kaumnya hancur, ditinggalkan aayatan bayyinah bagi orang-orang yang mengerti. Ini lah indahnya Al-Quran, boleh dilihat dari berbagai aspek. Itulah sebabnya jika membaca tafsir akan terdapat berbeza penjelasan dari sumber berbeza sebab ada sudut lain yang boleh dijelaskan. Asalkan ada panduan dan tidak lari dari hakikat asal. Jangan main-main dalam memberi tafsiran berbeza. Contoh, kalimah "walahmul khinzir " yang bermakna, "dan daging khinzir adalah haram", jangan pula diputar belitkan dengan mengatakan tulang khinzir adalah halal sebab yang disebut hanyalah dagingnya yang haram. Hidup ini perlukan aayatan bayyinah - panduan yang jelas.










1 comment: