Tuesday, September 27, 2016

Surah Al-Ankabut (ayat 43-45) Kuliah 44 - Zikrullah, Khusyuk

1.0] Surah Al-Ankabut ayat 43, 44 dan 45 yang telah dibincangkan minggu lepas mempunyai 3 point penting untuk dilaksanakan atau untuk dilakukan oleh setiap mukmin, iaitu;
i) Memikirkan segala ciptaan Allah SWT.
ii) Membaca dan mengkaji Al-Quran.
iii) Mendirikan Solat.

2.0] Dengan bahasa lain yang mudah iaitu perintah yang pertama ialah supaya mengkaji ayat-ayat kauniyah, perintah kedua ialah supaya mengkaji ayat-ayat Al-Munzalat  (ayat yang diturunkan). dan yang ketiga ialah perintah untuk mendirikan solat. Yang menariknya, ketiga-tiga perintah itu akhirnya adalah sama iaitu zikrullahPerintah supaya mengkaji alam semesta untuk mengetahui dan meyakini ciptaan Allah adalah suatu amalan yang besar, perintah supaya mengkaji ayat-ayat kauniyah, ayat-ayat Al-Quran untuk dijadikan panduan hidup juga adalah ibadah yang besar, Solat yang menjadi simbol keharmonian dan hubungan hamba dengan Tuannya dan kemudian istiqomah melakukannya pun adalah suatu ibadah yang besar, tetapi ibadah yang paling besar daripada yang besar-besar itu ialah zikrullahseperti yang disebut di dalam surah Al-Ankabut ayat 45, bahawa Allah berfirman;,

"Dan sungguh zikrullah itu yang paling besar"

3.0] Ibadah yang paling besar diantara ibadah yang besar-besar ialah zikrullah (mengingat Allah), iaitu paduan  kalimah zikir dengan kalimah Allah. Yang paling besar itu ialah zikrullah kerana jika akbar merujuk kepada Allah, tentulah ditulis Allahu Akbar pada kalimah  di dalam ayat 45 itu. Kedudukan (makanah) kalimah Allah dalam rangkaian Isnaadun Idhoofiyyun ini boleh jadi sebagai objek (maf'ul) dan ia juga boleh jadi sebagai subjek (faa'il). Maka makna zikrullah ialah;

i) Sebagai ingatan hamba (subjek, pelaku) kepada Allah (objek). Itulah ibadah terbesar.
ii) Boleh juga jadi sebagai Ingatan Allah (subjek, pelaku) kepada hambanya (objek). Itulah nikmat anugerah terbesar.

4.0] Kedua-duanya adalah betul, kerana apabila kita disuruh mengkaji alam semesta, mengkaji tentang siang dan malam, dan sebagainya, matlamat akhirnya ialah kita akan semakin kenal dengan Pencipta kita, semakin mengkagumi Pencipta kita iaitu Allah. Allah beritahu bahawa zikrullah itu akbar sehingga kemana sahaja mata memandang kearah Ciptaan Allah, bukan hanya nampak Ciptaan-Nya tetapi lebih dari itu dengan dapat merasakan Keagungan Penciptaan-Nya sehingga paling tidak lidah akan kata, mulut akan ucap Subhaanallah!.

Atau sebaliknya, Ingatan Allah kepada hamba-Nya, itu adalah anugerah yang paling besar, tiada lagi nikmat yang lebih besar melebihi Ingatan Allah kepada hamba-Nya. Apabila hamba-Nya susah, Allah mudahkan baginya, apabila sakit, Allah ingat kepada-nya dan disembuhkannya, apabila teraniaya, Allah ingat kepada-nya dan dileraikan masalahnya. Contohnya ada seorang sahabat kita yang ada sedikit kedudukan, baru dinaikkan jawatannya. Kita ucap tahniah kepadanya dan kita ingatkannya supaya tidak melupakan kita. Keadaan seperti itu pun kita sudah merasa selesa, bayangkan apa lagi jika kita sentiasa diPerhati dan diIngat oleh Allah. Itu satu anugerah terbesar Allah. Ibadah lain juga adalah besar-besar seperti membaca surah-surah yang bagus, berqiaamullail juga bagus, tetapi yang paling besar ialah zikrullah yang bermakna Ingatan hamba kepada Allah atau sebaliknya Ingatan Allah kepada hamba-NYa.

5.0] Bagaimana untuk mendapat Ingatan Allah itu? Bagaimana supaya Allah sentiasa Ingati kita?Jawapannya tidak lain kecuali hendaklah kita sentiasa Ingatkan Allah. Ingatkan Allah dan Allah akan Ingati kita. Allah tidak akan mungkir janji. Lihat surah Al-Baqarah ayat 152;


Selepas Allah ceritakan nikmat-nikmat yang dia anugerahkan kepada kita, dengan diutuskan seorang Rasul yang membacakan ayat-ayat Allah kepada kita, mengajar bagaimana untuk menyucikan diri dan jiwa apabila kita berdosa, mengajar kitab yang hikmah kepada kita, mengajar kita apa yang kita tidak tahu. Dengan sebab itu, "Ingatlah kepadaKu", Kata Allah. Ingatan kita kepada Allah itulah zikrullah. "Kemudian bersyukurlah kamu kepada Ku", Kata Allah.

6.0] Apa pun aktiviti ibadah, samaada yang besar yang kecil,  yang wajib yang sunat,  yang fardu kifayah atau fardu ain, perlu ditanya, nilai zikrullahnya. Untuk apa?, kenapa? Sehingga Allah berfirman dalam surah Al-Ma'un ayat 4, 5, 6 dan 7.



[Nota; Perhatikan perbezaan statement; "Maka celakalah orang yang bersolat" dengan statement "Maka celakalah orang yang tidak bersolat". Ada maknanya yang perlu digali dari perbezaan statement sedemikian].

7.0] Kalimah saahun yang bermakna mereka lalai, mereka cuai, bukan mereka lupa, (jika lupa tidak berdosa). Saahun yang bermakna cuai, mereka tahu sesuatu itu disuruh Allah tetapi mereka tidak membuatnya. Mereka tahu sesuatu itu dilarang tetapi mereka tetap membuatnya. Mereka tahu sesuatu itu perlu dibuat segera, sekarang, tetapi mereka menunda-nundanya ikut keselesaan mereka dan tidak suka merasa dipaksa-paksa.

8.0] Kalimah yuraaun yang bermaksud mereka riak di dalam solat, solatnya bukan untuk menunjukkan kehambaan diri disisi Allah, bukan untuk mencari  makam disisi Allah tetapi mencari tempat atau pandangan di hati manusia. Dan seterusnya mereka menghalangi atau mencegah atau enggan memberi maa'un (pemberian yang sangat kecil atau sedikit atau yang kurang berharga) kepada orang yang meminta. Maa'uun iaitu pertolongan yang kurang / tidak berharga pun mereka enggan memberi, jangankan untuk memberi durian, kulit durian pun tidak mahu diberinya. Jangankan untuk menolong bawakan kawan ke hospital, untuk beritahu dimana hospital pun mereka enggan.

9.0] Walhal mereka solat, dan di dalam solat, kita banyak meminta dan bermohon kepada Allah, tetapi ketika Allah menyuruhnya menolong dan memberi kepada orang lain yang meminta, mereka menolak. Mereka menolak memberi disaat orang meminta manakala dia mahukan Allah memberi permintaannya.

10.0] Zikrullah adalah ibadah unik, satu-satunya ibadah yang tidak boleh dilepaskan atau ditanggalkan dari apa-apa ibadah lain. Contohnya orang yang solat tanpa zikrullah, solatnya kosong. Orang yang mengkaji dengan tiada nilai zikrullah, kajiannya kosong. Orang yang berpuasa tanpa nilai zikrullah, puasanya kosong. Sebab zikrullah mesti melekat di dalam setiap ibadah kepada Allah. Jika kita mahu Allah sentiasa Ingat kepada kita, kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah. Bayangkan jika Allah sentiasa Memerhati kita dan sentiasa Ingatkan kita. Apa yang perlu dikhuatirkan lagi? tentu tidak ada kekhuatiran lagi. Bagaimana sikap Allah kepada kita bergantung kepada sikap kita kepada Allah. "Fazkuruuni azkurkum" yang bermakna,

"Maka Ingatlah kepada Ku dan Aku ingat kepada kamu"

11.0] Bagaimana jika Allah telah lupakan kita? Jika telah tidak diendahkan Allah? Bukan bermakna Allah telah benar-benar lupakan kita hambaNya, Maha Suci Allah dari sifat kekurangan tersebut. Subhanallah.

12.0] Lihat kembali ayat perintah daripada Allah supaya mengkaji alam semesta, mengkaji ayat-ayat Al-Quran dan bersolat, dijelaskan dengan terperinci dalam ayat 44 dan 45 surah Al-Ankabut. Untuk lebih jelas lagi rujuk surah Al-Israa' ayat 105 sehingga ayat 111. Ayat-ayat yang mentafsirkan dengan lebih terperinci dan lebih jelas lagi berkenaan perintah membaca Al-Quran dan bersolat.










13.0] Bagaimana diturunkan Al-Quran? Al-Quran diturunkan dengan kebenaran, tiada kesilapan, tidak perlu pembetulan. Diturunkan secara beransur-ansur agar Nabi saw membacakannya kepada manusia perlahan-lahan, secara bertahap, tenang, jangan terburu-buru, sedikit-sedikit. Bahkan dipercayai (dalam satu ilmu tafsir), bahawa Jibril turun dari Sidratul Muntaha, datang berjumpa Nabi saw hanya dengan membawa 2 patah kata / kalimah yang berbunyi, "Minal fajr" (daripada fajar). Ini adalah selepas turunnya ayat tentang orang Mukmin yang akan berpuasa, yang mana dibolehkan bercampur suami-isteri sehingga jelas benang putih dari benang hitam, begitu juga dengan makan-minum yang dibolehkan sehingga nampak jelas benang putih dari benang hitam. Para sahabat membuat berbagai penafsiran. Allah Maha Mengetahui, Allah menghantar Jibril untuk menyambung penerangan bahawa maksud benang putih dapat dibezakan dari benang hitam ialah apabila masuknya waktu fajar. Selagi belum terbit fajar sodiq masih boleh makan walau pun sudah masuk waktu Imsak yang diberi anggaran 10 minit sebelum waktu subuh itu. Waktu Imsak (menahan) itu adalah sebagai waktu ikhtiar, ijtihad supaya berhati-hati. Andainya masih sedang makan, iaitu makan secara biasa, dalam waktu Imsak itu, masih sempatlah mengunyah dan menelan makanannya. Jangan lah pula ada emak yang memarahi anaknya yang sedang makan kerana telah masuk waktu Imsak, disuruh luahkan makanan. Jika makan secara biasa, makanlah, masih sempat menghabiskan makanan dalam masa anggaran 10 minit, waktu Imsak itu, sehingga terbit fajar sodiq. Tidak ada dalil melarang.

[Nota; Tetapi jika makan secara luar biasa dimana ada tatacara, kerusi pakai purdah, badan pakai tuala, minuman ada payung, alat makan 4 di kiri 4 di kanan, kunyah mesti 21 kali (kerana doktor kata begitu), tentulah mengambil masa  dan perlulah berhenti apabila masuk waktu Imsak].

14.0] Allah berfirman, "Ayat-ayat Al-Quran diturunkan sedikit-sedikit supaya kamu ingatkan kepada hambaKu juga secara sedikit-sedikit, kemudian disampaikan, dijelaskan, difahami. Rupa-rupanya membaca Al-Quran dengan perlahan bagi memberi ruang untuk memahami isi kandungannya, apa lagi tentang ayat-ayat amthal (perumpamaan) yang mana salafussoleh sampai menangis apabila tidak dapat memahaminya, mestilah dibaca satu ayat demi satu ayat, mesti fahami dengan mendalam.

15.0] Berbanding dengan jika membaca Al-Quran dengan mengejar dateline, mengejar arahan pengerusi supaya mengkhatamkan dalam masa 2 hari, tentunya sangat tertekan dan tidak menghasilkan manafaat yang maksima, apalagi jika bacaannya merangkak. Bacalah Al-Quran sedikit-sedikit, difahami, kesannya nanti luar biasa. Apabila membaca sedikit ayat-ayat kauniyah, bertemu dengan ayat-ayat dimana Allah bertanya perlu dijawab dahulu. Soalan Allah seperti ;

i) "Alam yarau", tidakkah mereka melihat..".
ii) "Ara aita, apa pendapat kamu..".
iii) "Tolong beritahu".
iv) "Apa pendapat mu", dan sebagainya, perlu kita jawab dahulu, tetapi kita tidak menjawab, malahan kita terus sahaja membaca. Sepatutnya kita berkata:

"Ya Allah, ampun maafkan dosa ku kerana aku belum boleh menjawab pertanyaan Mu, aku belum mampu memahami sepenuhnya maksud Mu. Walau bagaimana pun izinkan aku untuk meneruskan bacaan ku".

Tentu sekali dengan perasaan rasa bersalah kepada Allah. Merasa berdosa di hadapan Allah dan itu adalah sangat bagus sekali, sifat terpuji. Apabila semua yang dibaca sudah difahami tentulah baru jelas kepada kita apa yang betul dan apa yang tidak betul. Oleh itu biarlah membaca Al-Quran itu dengan perlahan dan memahami isi kandungannya. Fahami ayat-ayat kauniyahnya dan ayat-ayat syar'iyyahnya. Apabila sudah faham, jawab, kemudian kesannya terserlah dalam kesaksian;

"Aamanna fiik walam nusyrika", "Kami beriman kepada Mu dan tidak kami mensyirikkan Kamu".

16.0] Allah berfirman di dalam surah Al-Isra' ayat 107 di atas. Allah beri pilihan kerana di dalam realiti kehidupan kini, ramai Saintis yang hebat menjadi Atheis kerana memilih laa tu'minun (tidak kamu beriman). Bagi orang yang memilih untuk beriman, kerana telah faham, telah diberi pengetahuan dengan ayat-ayat Allah, akan tersungkur sujud meletakkan dahi keatas tanah, dalam keadaan bersujud. Ada semacam kuasa ghaib yang menekan tubuh badan dan kepalanya ke tanah untuk sujud  setelah dia fahami apa maksud ayat-ayat bacaannya.  Lain kali apabila dibaca ayat Al-Quran, ayat kauniyah, ayat tamsyil, ayat inzal, semacam ada tenaga yang memaksanya untuk sujud. Akan merasa diri begitu kerdil di hadapan Allah Yang Maha Besar, Haqiiqatut Takbiir, hakikat Kebesaran Allah sangat nyata.

17.0] Tanda-tanda orang yang telah berjaya membesarkan Allah sebenar-benarnya ialah;
i) Izhaarud Dhu'fi (menzahirkan kelemahan diri).
ii) Syiddatul Iftiqar (bersangatan berharap kepada Allah).
iii) Inqitoo'urrajaa i ila ghairillah (putus harapan kepada selain Allah).

Itulah sebenar-benar Haqiiqatut Takbiir, hakikat sebenar-benarnya membesarkan Allah. Di dalam sujud mereka berkata;,

"Ya Allah, Subhanallah, Ya Tuhan kami, Maha Suci Allah, selama ini hamba Mu ini silap menuduh Mu yang bukan-bukan, hamba Mu silap berfikiran yang bukan-bukan tentang Mu, rupa-rupanya apa yang selama ini hamba Mu andaikan tentang Engkau, tentang Ciptaan Engkau salah belaka. Maha Suci Engkau Ya Allah daripada segala kesilapan yang hamba Mu tuduhkan".

Kalau seperti di dalam surah Aa-Li Imran ayat 191 yang lepas, ditambahkan dengan kalimah "Maa kholaqta haaza baatilan (tidak Engkau jadikan ini sia-sia)".

18.0] Adakah setakat itu sahaja kefahaman orang yang zikrullah itu? Tidak, malahan kefahamannya akan semakin meningkat, ditambah dengan mereka tersungkur meletakkan muka-muka mereka diatas bumi sambil menangis. Mungkin pada awalnya, belum mampu menangis, setelah faham isi kandungan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca, kefahamannya ditingkatkan, kefahamannya meresap ke dalam hati, takbirnya bukan hanya Allahu Akbar tapi sudah meresap, timbullah rasa bersalah, apabila semakin mahir, lutut terasa lemah, kerdil diri di depan Allah Pencipta Yang Maha Agung. Lantaran itu bukan hanya bersujud tetapi bersujud sambil menangis, bukan menangis pura-pura, betul-betul menangis dari hati. Itulah khusyuk. Solatnya diterima. Walaupun solat hanya dua rakaat, tetapi jika seperti itu, betul-betul zikrullah, mendapat nilai khusyuk yang tinggi. Tetapi jika bersolat 10 rakaat pun, jika seperti senamrobik, solat dengan pantas laju. Solat isya', terawih dan witir hanya dalam masa 7 minit? Bagaimana agaknya solat itu? Adakah dapat mencapai zikrullah dan mencapai khusyuk?

19.0] Allah sendiri mengajar kita tahapan kita untuk zikrullah dan mencapai khusyuk. Kalau dahulu belum dapat menangis tetapi setelah ditingkatkan, sudah dapat meningkatkan, sudah meresap, zikrullah bukan hanya dimulut tetapi sudah sampai ke hati. Takbirnya bukan hanya Allahu Akbar dibibir, tetapi tertunjang di hati, sekarang sudah meresap, makin kuat, makin kuat. Sujudnya sudah boleh menangis dan menambahkan keimanan mereka. Rupanya ada tahapan, perlu riadah, perlu latihan, tamrin, untuk dapat mencapai Zikrullahu Akbar. Tetapi riadahnya sangat praktikal, tidak perlu mencari gua untuk bertapa, bersemadi, tidak perlu beruzlah di gua untuk mengheningkan cipta. Caranya untuk sampai ke peringkat seperti begitu hanyalah dengan membaca ayat-ayat Al-Quran dengan perlahan, mengkaji ayat kauniyah, mengkaji cerita tentang hujan, tentang pokok dan sebagainya sehingga difahami. Mengkaji tentang daun-daun hijau yang dapat dijadikan api seperti di dalam surah Yasin ayat 80. Mengkaji cerita tentang segala yang hidup Allah mulakan dengan air. Cerita tentang angin yang jadi jurunikah, lawakih, bagi tumbuhan dan binatang. Cerita tentang umat dahulu, kenapa mereka diazab? Cerita tentang umat dahulu, bagaimana mereka berjaya? Semua cerita itu tidak mungkin boleh difahami, diserap, disimpan dalam jiwa dan menggoncangkan hati jika kita tidak membaca dengan cara yang diberitahukan oleh Allah.

20.0] Bukan tidak boleh mengejar khatam, bukan tidak boleh baca laju-laju dan pantas, bukan salah, tetapi perlu diubah caranya supaya dapat memahami apa yang dibaca dan dapat mengutip Mutiara.

21.0] Adalah disarankan waktu sahur sebelum waktu subuh, waktu hati masih kosong, segar, bersih, suci, untuk dimanafaatkan untuk membaca, memahami dan menghadamkan ayat-ayat Al-Quran, ayat kauniyah, ayat tentang kiamat, ayat tentang kubur yang mana banyak terdapat dalam juzuk-juzuk akhir. Juzuk-juzuk 29, 30. Waktu itu tidak sesuai jika dibaca ayat hukum, seperti tentang hukum terbatal wudhu dan sebagainya, supaya  tidak rugi, kerana apa yang diresapi akan naik ke otak.

22.0] Apabila sudah faham, apabila sudah mengerti tanda-tanda KeBesaran, KeKuasaan Allah, sekarang Allah tawarkan pilihan, Allah kata, "Pilihlah". Ternyatalah orang yang beriman atau orang yang tidak beriman, walaupun sudah tahu akan ayat-ayat Allah. Bagi yang memilih untuk beriman, teruskan perjalanan itu. Bila sudah beriman, beriman, beriman, di tahap itu, apabila segala maklumat Al-Quran sudah ada di dalam hatinya, jangankan dia membaca sendiri, tetapi hanya dengan mendengar orang lain membaca ayat-ayat Allah itu pun dia sudah tunduk, merasa lemah dan sujud. Sujud tidak semestinya dengan 7 anggota, dengan meletakkan kepala ke atas bumi semata-mata, tetapi sujudnya boleh dengan hati.

"Astaghfirullah, Ya Allah, ayat yang baru aku dengar itu menyentuh hati ku", rasa bersalah, menangis. Jika bersujud, bersujudnya dengan menangis.

ITULAH CARA UNTUK MENDAPATKAN KHUSYUK IKUT CARA AL-QURAN.

23.0] Apabila sujud dapat menangis, "Wa yaziiduhum khusyuu'an" (dan ia menambahkan kepada mereka khusyuk), surah Al-Isra' ayat 109. Pasti khusyuknya bertambah,

BAGAIMANA UNTUK DAPATKAN SOLAT YANG KHUSYUK?

Jawapannya ialah untuk dapatnya, usahakan tahapan membaca Al-Quran, memerhati, mengkaji isi kandungan, sehingga faham dan dapat meresapi hati, sehingga perasaan kagum akan keKuasaan, keBesaran Allah memenuhi hati, merasa jelasnya kekerdilan diri, merasa bersalah, merasa bersyukur berdosa, perasaan berbaur, sehingga dapat menangis di dalam sujud. Sebeginilah sebenar-benarnya cara untuk dapatkan khusyuk mengikut cara yang ditunjukkan didalam Al-Quran.

24.0] Ada orang kata khusyuk ialah dengan memahami setiap erti perkataan dan kosakata  di dalam solat. Apabila mulut menyebut "Allahu Akbar" hati menterjemah "Allah Maha Besar", "Iyyaka na'budu", "Hanya Engkau yang kami sembah", dan seterusnya hati kena terjemahkan. Kalaulah begitu, susahlah Islam, susahlah bagi kita yang tidak faham bahasa Arab. Seperti tidak adil kerana memberatkan kita orang 'Ajam yang tidak berbangsa Arab. Cuba bayangkan Abu Bakar As-Siddiq ketika  membaca Al-Fatihah? Menterjemah ke dalam bahasa apa? Tentunya tanpa terjemahan tetapi dirasa oleh hati. Hati jangan dipaksa untuk menterjemahkan kata yang diucap satu persatu. Jadi bagaimana caranya supaya hati tidak dipaksa menterjemah?  Caranya ialah dengan FAHAMI dahulu ucapan di dalam solat itu sebelum bersolat dari mula Allahu Akbar sehingga selesai, seolah-olah bila kita solat, walaupun di dalam Bahasa Arab seperti dalam bahasa sendiri. Fahami sebelum kita bersolat. Contohnya seperti ketika kita bercakap Bahasa Inggeris, tidak perlu diterjemah satu persatu lagi. Ketika menyebut Allahu Akbar, bukan lagi mengingati maknanya tetapi merasakan kesannya kalimah itu, merasakan segalanya kecil termasuk diri kita.

25.0] Khusyuk boleh bertambah atau berkurang. Buktinya kerana Allah kata, "Dan mereka bertambah khusyuk", surah Al-Isra' ayat 109 diatas. Khusyuk boleh hilang. Ustaz percaya 100% bahawa inilah khusyuk, cara mendapat khusyuk, sebab ini dari Al-Quran. Walau pun ustaz tidak perkecilkan pendapat orang yang mengatakan bahawa  untuk dapat khusyuk ialah dengan lidah ucapkan dan hati terjemahkan, setakat ini tiada dalil, hanya pendapat.

26.0] Allah suruh kita cari khusyuk sebelum solat atau semasa solat? Macam mana cara khusyuk dalam solat atau diluar solat?.

Kesilapan turun temurun ialah orang akan hubungkan khusyuk dengan solat sahaja. Malang sekali, itu kesilapan besar. Khusyuk itu sifat yang patut ada dalam kehidupan sehari-hari. Khosyo'a maknanya tunduk. Tunduk itu maknanya khusyuk. Contohnya apabila seorang anak yang tahu kewajipannya kepada orang tuanya, akan merasa bersalah jika tidak sopan, bukan takut, tunduk kerana tahu di mana posisinya sebagai anak dan posisi orang tuanya yang perlu dihormati. Dikatakan makanah (dimana kedudukan kita). Itu Zikir, mengajar kita posisi kita di tempat yang paling kecil dan lemah apabila kita ucap Allahu Akbar. Ketika kita kata, "Anta Al-'Alim", "Engkau Maha Mengetahui", kita kena letakkan diri kita "La 'ilma lana", "Tiada ilmu bagi kami". Itulah zikir, dengan begitu hati akan jadi khusyuk. Tetapi berbeza sekali kalau kita kata;,

i) "Ya Allah, Engkau Maha 'Alim, tapi aku ini Prof. juga".
ii) "Ya Allah, Engkau Maha Memberi Rezki, tapi jika kau tidak beri pun tidak apa kerana hamba masih banyak simpanan".
iii) "Ya Allah, hamba ingin pergi haji, tolonglah jaga kesihatanku, lindungi aku dari segala penyakit, tetapi jika Engkau tidak kabulkan pun tidak apa kerana aku doktor pakar".

Anda bersandar kepada selain Allah, bersandar kepada ubat, bersandar kepada doktor pakar, bersandar kepada harta dan ilmu, bersandar kepada diri sendiri. Anda belum Zikir. Anda belum khusyuk. Zikir itu mengajar kita meletakkan diri kita di posisi hamba kepada Allah, merasa khusyuk, tunduk, tahan diri, sedar diri, dan tengok nanti bagaimana sopannya kehidupan diri apabila menerima posisi sebagai seorang hamba kepada Penciptanya.

27.0] Contohnya jika ada seorang yang kaya raya, berjawatan tinggi mengadakan majlis keraian di rumahnya. Para jemputannya terdiri daripada orang-orang hebat belaka. Majlis disusun rapi. In syaa Allah, pembantu rumahnya, pemandunya, peramu-wismanya berada di belakang. Kalaulah mereka berada di depan bercampur bersama para jemputan, tentunya mereka tidak sedar diri dan belum khusyuk. Sebaliknya mereka duduk dibelakang dan mereka tidak merasa hina sebab tahu posisi mereka. Apabila dipanggil  baru segera datang.

28.0] Kedudukan kita dengan Allah, bagaimana? Menjadi pekerja, majikan atau partner?.
i) Adakah kita merasa seperti pekerja? Bukan, bukan sebagai pekerja, kalaulah merasa seperti pekerja, "Ya Allah aku telah kerjakan suruhan Mu, jika Engkau tidak bagi apa yang aku minta, aku mogok". Bukan.

ii) Adakah kita merasa seperti majikan? Jangan-jangan kita jadi majikan, jikalah begini bunyinya doa kita, " Ya Allah, doaku yang sepuluh ini kena segera Kau kabulkan, yang sepuluh selepasnya, lewat Kau kabulkan pun tidak apa. Tidak ada alasan untuk Engkau tidak kabulkan". Bukan, bukan sebagai majikan. Na'uzubillah.

iii] Adakah kita merasa sebagai partner (teman)? Yang saling memerlukan seperti hubungan partner perniagaan yang ada win-win situation? Bukan, hubungan kita dengan Allah ialah dimana kita 100% memerlukan Allah dan Dia Tidak Memerlukan kita.

Subhanallah !.

Hubungan kita dengan Allah ialah hubungan hamba dengan Penciptanya. Kalau kita tahu kedudukan kita seperti itu disemua masa kehidupan kita akan khusyuk. Masa di pasar khusyuk, masa di rumah tangga khusyuk, masa puasa khusyuk, masa jualan khusyukjadi pemimpin khusyuk jadi imam khusyuk, jadi apa pun khusyuk. Lebih-lebih lagi masa solat, sebab masa solat  kita tidak lihat yang lain, tidak boleh fikir yang lain, kecuali yang disuruh, lagi mudah khusyuk. Solat bukan untuk mencari khusyuk, tetapi khusyuk diperlukan sebelum orang solat, sewaktu solat dan selepas solat, setiap masa.

29.0] Bagaimana untuk dapatkan khusyuk? Jawapannya ialah kaji alam semesta, baca Al-Quran sehingga faham, sehingga kita sedar kedudukan kita sehingga kita boleh sujud. Mula-mula sujud biasa dengan bacaan Subhanallah, kemudian semakin meningkat,  semakin meningkat kefahamannya bukan hanya sekadar baca Subhanallah tetapi yabku, menangis. Mungkin mulutnya, lidahnya tidak lagi bersuara kerana kalah dengan deraian air mata. Basah dengan air mata. Mulut senyap, matanya basah, tempat sujudnya basah dengan deraian air mata. Mungkin sejadahnya dahulu basah dengan air mulut, sekarang basah dengan air mata. Walaupun sama basah tetapi nilaiannya lain disisi Allah..

30.0] Mungkin ketika Tahajjud, tidak dapat mengucapkan Astaghfirullah kerana merasa apa yang ada di dalam rongga dadanya sukar untuk diungkapkan, terbayang dosanya, terbayang siksaanNya, terbayang amalnya diterima atau tidak, lalu menangis, hanya menangis, dan tangisan itulah yang paling disukai Allah SWT, sehingga Nabi saw pun menyenaraikan orang-orang seperti ini akan berada didalam naungan Arasy Allah pada masa tiada naungan selain naungan Allah.

31.0] Sujud disertai dengan tangisan kerana menyedari akan makanah dirinya (kedudukan dirinya) disisi Allah sebagaimana Nabi saw yang semalaman menangis sehingga subuh kerana mendapat ayat yang sangat difahaminya benar-benar. Saidatina Aisyah r.anha telah menceritakan dengan indah sekali seperti mana telah di ceritakan dalam kuliah yang lepas.

32.0] Orang yang seperti ini sangat khusyuk kerana zikrullahnya, Zikrullahu Akbar. Dia zikrullah, Allah juga zikrullah. Zikrullah itulah sebesar-besar ibadah, sebesar-besar anugerah Allah kepada hambaNya. Ibadah unik hamba kepada Allah. Ibadah yang tidak boleh terpisah dalam setiap apa pun jenis ibadah lain. Tanpa zikrullahibadah jadi kosong. Walaupun Ibadah Ghairi Ma'dhoh, seperti ketika berdiri diatas bukit, memandang keindahan yang sangat indah, melihat ciptaan Allah, tumbuhan menghijau, menguning, memutih, memerah, dengan tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa, merenung keajaiban alam semesta, mendalam sekali berfikirnya, mendalam sekali Tafakkurnya, sehingga keluar ucapan Subhanallah. Subhanallah yang keluar sebagai ungkapan, ekspresi dari hati yang dalam. Walaupun hanya sekali, lebih baik dari beribu-ribu kali ucapan biasa. Saat itu maknanya sangat tinggi. Walaupun tidak ketika duduk di atas sejadah, tidak menghadap kiblat, tidak ketika solat. Walaupun ketika tidak memakai telekung solat atau baju Melayu berkain pelikat bagi lelaki, kerana ianya di waktu biasa, di luar waktu solat. Tetapi itulah zikrullah. Zikrullah itu ada tingkatan-tingkatannya.

33.0] Jangan disempitkan makna zikrullah. Zikrullah yang paling tinggi ialah jika apa yang dikeluarkan dari mulut, samada kalimah Allahu Akbar, Subhanallah, Alhamdulillah, dan lain-lain  ungkapan, yang keluar sebagai luahan dari perasaan jiwa dan hati yang dalam. Bak kata Imam Al-Ghazali, "Lidah yang sudah berjaya menjadi penterjemah hati", (apa yang di dalam hati, terluah keluar). Bukan nya hati dipaksa menjadi penterjemah bagi lisan.

34.0] Subhaanallahnya bukan keluar dari hati kosong, bukan sebut Subhanallah dengan sempat lagi melihat jam,  bukan dengan menyebut laju-laju, mengejar bilangan. Subhanallah sebenarnya ialah lidah menterjemah hati. Ustaz diajar supaya tidak mudah menyalahkan pendapat orang lain walaupun tidak dapat menerima pendapat orang lain itu, walaupun berbeza pendapat. Ada orang berpendapat bahawa apa-apa yang dibaca, mesti diterjemahkan  oleh hati, itu paling susah, di samping tiada dalil, itu menunjukkan jika begitu, memberatkan orang bukan Arab, susah, jadi seperti Islam tidak adil bagi orang 'Ajam seperti kita. Bagi orang Arab tentu senang sekali.

35.0] Bilal bin Robah ketika membaca "Bismillahirrahmaanirrahim", apa terjemahannya, tiada kan? Semua yang diucap ialah yang sudah dihayati, sudah dikuasai, akhirnya merasa Al-Fatihahnya hidup, dialognya dengan Allah menjadi hidup. Nabi saw bersabda bahawa kita berdialog dengan Allah di dalam bacaan Al-Fatihah. Apabila merasa Al-Fatihah kita hidup, kita akan benar-benar merasa Allah mendengar dan menjawab dialog kita. Hati pasti lapang, lega, ibarat seperti ketika kita sedang susah, kemudian kita pergi berjumpa YB, bercakap dengan YB, lalu dijawab, lalu mendapat jaminan, walaupun belum mendapat pertolongan, hati sudah lega. Jangan bercakap dengan seseorang, tetapi jadi dialog monolog, cakap laju-laju, tanpa erti, tanpa faham dari hati. Bercakap dengan siapa?

36.0] Bila hati sudah dipenuhi dengan rasa kagum kepada Allah, sudah tidak mampu dibendung rasa hati, salah satu daripada bunyi yang terkeluar ialah Subhaanallah. Untuk mendapat segala maklumat itu ialah melalui Al-Quran yang perlu difahami betul-betul dan ketika itu setelah sudah tidak dapat membendung rasa hati lagi dan terkeluar  Subhaanallah, dan matanya menangis, saat itu dia berada di makam yang sangat tinggi, walaupun ketika dia tidak berpuasa, tidak ketika bersolat. Lebih-lebih lagilah jika dia zikrullah ketika sedang berpuasa atau ketika dia sedang bersolat.

37.0] Lisan hanyalah menterjemahkan hati, tidak mudah, perlulah diusahakan masing-masing, kita  sangat-sangat perlukan keadaan begitu.

38.0] Contohnya ketika orang yang sedang marah. Bagaimana ekspresinya? Apa yang keluar dari mulutnya? Ketika dia tidak dapat mengawal emosinya, terkeluar dari mulutnya, dari kaki tangannya. Tangannya yang biasa sopan, boleh dibantingnya pinggan. Itu hanya ekspresi, hanya arahan dari dalam, apa yang ada di dalam hati, apabila dikeluarkan, macam itulah bentuk rupanya. Rugilah jika yang dikeluarkan seperti itu. Katakan yang berada di dalam hati itu ialah Kibria Ullah, rasa keBesaran Allah, keKuasaan Allah, keAgungan Allah, keHebatan Allah. Tiba-tiba rasa kebanggaan diri hilang lenyap, rasa pandai, hilang lenyap, rasa berdaya, hilang lenyap, merasa kaya, hilang lenyap, lebur dihadapan keKayaan Allah, keKuasaan Allah. Bila dikeluarkan, terkeluarlah Subhaanallah, kemudian keluarlah Alhamdulillah, atau ketika dia sedang sihat pun hendak gerakkan kaki, hendak berdiri pun terkeluar "Lahawlawala quwwata illa billah". Itu terjemahan lidah daripada luapan hati. Tidak perlu yang pelik-pelik. Setakat hari ini, itulah cara Zikir yang paling hebat, betul dan tepat untuk hasilkan khusyuk tanpa mengurangi rasa hormat pendapat orang. Tidak perlu cabar mencabar, mengamuk, bergaduh sehingga naik pening. Subhaanallah.

39.0] Pada zaman Nabi saw juga sahabat berbeza pendapat tetapi tiada berbalah. Janganlah ada keadaan sehingga  terkeluar kata-kata seperti, "Kalau saya kalah, saya akan kerat jari saya!".Tidak sayang jari? Matlamat beragama sudah lari, matlamat Tadayyun tidak sampai, sangat salah. Tidak perlu yang pelik-pelik. Cubalah hayati ayat-ayat Al-Quran tentang cara-cara mendapat khusyuk ini, In syaa Allah, Allah akan bantu kita untuk boleh mendapat tenang, sebabnya ada pula pendapat tentang cara untuk dapatkan khusyuk ia itu dengan cara-cara tersendiri, walaupun tanpa dalil penguat.

Cara -cara tersendiri untuk dapatkan khusyuk, diantaranya ialah;

i) Tamayyul yang bermaksud condong. Goyang kiri kanan, ke depan ke belakang, ada yang dengan badan, ada dengan kepala, ada dengan pusingan,

ii) Taharruk yang bermaksud bukan setakat bergoyang, tetapi goyang yang ada makna, gerakannya bermakna.

iii) Al-Ihtizaaz yang bermaksud pergerakan ke pelbagai arah, berbeza sebab dengan cara yang lebih kuat dan mengejut. Mungkin setiap sel di dalam tubuhnya di pergunakan. Pergerakan tidak lagi teratur, energy sudah membuak, dikatakan Sudah naik syeikh.

[Nota; Syeikh bermaksud - orang tua, atau orang alim atau  syaitan, iblis, yang mana setiap kali iblis menzahirkan diri nya, adalah sebagai orang tua, dan memperkenalkan dirinya sebagai syeikh].

iv) Arraqsun yang bermaksud menari secara pusing, yang gerakannya ada kaitan dengan makna hati.

v) Attawajjudu yang paling teruk bercampur, kombinasi semuanya, sambil menangis, pukul-pukul dada, menjerit, tepuk-tepuk tangan.

40.0] Walhal Al-Quran sudah berikan cara yang mudah untuk dapatkan khusyuk. Belajarlah dari ilmu Al-Quran. Belajar ilmu tidak semestinya ada syarat had umur, dalam peringkat umur apa-apa pun tidak mengapa, tidak perlu kena tunggu umur tertentu. Jangan mencari-cari yang lain, seolah-olah Al-Quran tidak ada peraturan untuk cara mendapatkan khusyuk. Tidak mungkin tiada peraturan di dalam Al-Quran untuk mendapatkan khusyuk dan zikrullah cuma memerlukan kekuatan azam diri untuk menyahut suruhan Allah supaya Tazakkur dan Tafakkur apabila membaca, meneliti ayat-ayat Allah. Ini adalah ayat-ayat yang  penting. Moga dapat dimanafaatkan dan diberkati Allah.

No comments:

Post a Comment