Tuesday, April 25, 2017

Surah Al-'Ankabut (Ayat 69) - Kuliah 70 - Bersama Allah, 3 Tingkatan Manusia Di sisi Allah, Ba'id, Mutawassit, 'A'la, Ilmu dan 'Amal, 4 Tingkatan Jihad, Sabar, 4 Cara berjihad,

1.0] Sampailah kita ke ayat terakhir (ayat 69) surah Al-Ankabut, iaitu tentang orang-orang yang berjihad mencari keredhoan Allah, maka Allah akan menunjukkan jalan-jalanNya. 

Surah Al-Ankabut ayat 69;


2.0] Ibnu Kathir rahimahullah di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini merujuk kepada Baginda Nabi s.a.w beserta sahabat-sahabatnya dan pengikut-pengikutnya sehingga ke Hari Kiamat di mana Allah berfirman, "Pasti Kami akan perlihatkan, tunjukkan, kepada mereka jalan-jalan Kami yakni jalan-jalan kebenaran, jalan-jalan yang menuju kebahagiaan dunia dan akhirat". 

3.0] Fakhrudin Ar-Razi menjelaskan, bahawasanya selepas Allah S.W.T mencela orang-orang kafir yang tidak mahu beriman kepada Nabi s.a.w dan ajarannya, walaupun bukti-bukti kebenarannya telah ditunjukkan kepada mereka di dalam ayat-ayat sebelum ini sehingga ayat 68 surah Al-Ankabut ini, tetapi mereka sanggup melakukan iftira' (mereka kebohongan) dan takzib (dusta). Maka Allah berikan tasliah (hiburan) kepada orang-orang beriman, seolah-olah Allah berfirman, "Jangan bersedih wahai NabiKu dan pengikut semua, walaupun orang-orang kafir melakukan iftira' dan takzib kerana Aku menjanjikan sesuatu kepada kamu iaitu kamu yang bersungguh-sungguh berjuang di jalanKu dan keranaKu, pasti Aku akan tunjukkan kamu jalanKu yang boleh menyampaikan kamu kepada kebahagiaan dunia dan akhirat dan Aku sentiasa bersama orang-orang yang berbuat-baik". "Wainnallaha lama'al muhsinin" yang bermaksud "Dan sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik". 

Ma'a-bersama
Ma'iah-bermakna qurbah (kedekatan), bukan sekadar bersama namun Allah amat hampir dengan orang muhsinin. 
La ma'al muhsinin-La isyaratun. Ia sebagai isyarat sebagai adanya darjah yang paling tinggi. Isi dari ayat itu yang pertamanya seolah-olah Allah berfirman,"Sesungguhnya ada manusia yang sangat jauh daripadaKu", iaitu orang-orang kufur yang telah disebut sebelumnya. Kemudian, "Sebahagian daripada mereka ada yang mendekatkan diri kepada Aku, maka akan Aku tunjukkan kepada mereka jalannya" dan yang ketiganya, "Aku akan bersama mereka yang berbuat-baik". Itu darjah yang paling tinggi. 

4.0] 3 tingkatan manusia di sisi Allah, maratib insan;  مَرَاتِبُ النَّاسِ عِنْدَالله
i) Ba'id ( بَعِيد )- Orang yang sangat jauh daripada Allah, ini merujuk kepada orang kafir yang tidak dekat dengan Allah kerana mereka tiada upaya untuk mendekat (tiada upaya untuk taqarrub), diceritakan di dalam ayat-ayat sebelumnya sehingga ayat 68. Mereka sanggup membuat iftira' dan takzib, mereka terpedaya dengan kehidupan dunia, mereka hanya merasa dekat dengan Allah di dalam keadaan kritikal (ayat 65), dan apabila di dalam keadaan senang dan normal, mereka kufur kembali. Mereka enggan menerima ajaran Nabi s.a.w, kerana takut disiksa, takut dicolek, takut tidak selamat dan mereka sanggup melakukan iftira' dan takzib.  

ii) Mutawassit ( مُتَوَسِّط )- Orang yang darjahnya dengan Allah sederhana sahaja. Orang-orang yang masih dalam proses bertaqarrub dan jaahada di jalan Allah. Berada pada pertengahan, jauh pun tidak, dekat pun tidak, yakni orang yang Allah kata, "Orang yang bersungguh-sungguh berada di jalan Kami kerana Kami", iaitu orang-orang yang dalam proses mencapai ketinggian darjah dan maqam di sisi Allah, dan Allah beri jaminan bahawa pasti Allah akan memberi pertolongan. 

iii) 'A'la ( اَعْلَى )- Orang yang sangat tinggi darjatnya di sisi Allah. Allah sentiasa bersamanya, Allah sentiasa dekat dengannya, kerana dia sangat dekat dengan Allah dan Allah sebagai pelindungnya. Apabila dia memohon, Allah qabulkan, apabila dia susah, Allah senangkan, apabila dia ada masalah, Allah selesaikan, apabila dia akan bengkok, Allah akan luruskan sebab dia sudah bersama Allah (ma'a) dan ma'iah (kebersamaan dengan Allah). Di antara tandanya ialah seseorang yang tidak melakukan maksiat walaupun ada peluang atau dalam keadaan bersendirian kerana sentiasa merasa Allah bersamanya, memandangnya. 

5.0] Di dalam hadith Qudsi, hadith Arbain An-Nawawiah, iaitu apabila Allah sudah ma'iah dengan hambanya, Allah kata; 
"Aku akan menjadi telinganya semasa dia mendengar" 
"Aku akan menjadi matanya semasa dia melihat" 
"Aku akan menjadi tangannya semasa dia memegang" 
"Dan apabila dia berdoa, Aku akan qabulkan". 

6.0] Daripada tafsir Dr. Mustofa Al-Marowi, mantan Saiful Azhar, beliau mengutip sebuah hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Haris Al-Muhasibi dalam risalahnya Al-Mustahsyirin, juga dalam Ahlul Fawaid, juga dalam At-Tusi, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

مَنْ عَمِلَ بِمَا عَلِمَ وَرَثَهُ اللهُ عَلِمُ مَالَمْ يَعْمَلْ
"Barang siapa yang beramal apa yang dia sudah tahu nanti Allah akan beritahu dia ilmu apa-apa yang dia belum tahu". Katakanlah jika kita sudah tahu 5 perkara dan kita sudah beramal, melakukannya, maka Allah akan tambahkan lagi ilmu untuk kita menjadi 7, kita amalkan, Allah tambah lagi menjadi 10. Oleh itu sentiasalah mengamalkan ilmu yang telah kita tahu supaya Allah akan menambahkan kepada kita ilmu yang baru, supaya ilmu semakin bertambah dan amal pun semakin bertambah. Itulah kunci bagaimana Allah menambahkan ilmu dan amal kepada kita. Buat dahulu apa yang kita sudah tahu, yang belum tahu, nanti Allah akan beritahu. "Ini yang sudah tahu tapi tidak dibuat, masih ingin mencari yang belum tahu. Yang sudah tahu hanya didiskusikan, yang belum tahu dicari-cari, jangan begitu, buat dahulu apa yang sudah tahu". Ini janji Allah, seolah Allah berkata,"Sebenarnya banyak lagi yang perlu kamu lakukan wahai hambaKu, tetapi kerana kamu hanya baru tahu 2, lakukanlah, sekarang Aku bagi 3, ilmu bertambah jadi 5, amalkan, maka amal kamu bertambah menjadi 5, sebenarnya belum cukup bekalan kamu untuk ke akhirat, maka teruslah mengamalkan ilmu yang sudah kamu tahu supaya Aku terus menambahkan ilmu baru dan kamu dapat menambahkan amal lagi. Mengamalkan ilmu daripada syara' ima yang wajibnya waima yang sunatnya, dan telah meninggalkan yang makruh dan yang diharamkan, nescaya Allah akan wariskan lagi ilmu-ilmu ilahiyah yang belum diketahui. 

7.0] Sekarang tiba masanya untuk kita muhasabah diri kita sendiri. "Berapa banyak perintah Allah yang kita tahu dan sudah kita buat, berapa banyak larangan Allah yang kita tahu dan kita tinggalkan?". Apabila semua perintah Allah telah kita buat dan semua larangan Allah telah kita tinggalkan, nanti Allah akan beritahu lagi tentang perintah dan larangan lain dan akhirnya kerana kita masih dalam proses yang berterusan bersungguh-sungguh (mujahadah) di jalan Allah, akhirnya akan meningkat ke maqam 'a'la yang paling atas. Tetapi jika hanya tahu dan tidak beramal, akan sentiasa ingin berdebat, akan sentiasa ingin bergaduh kerana ingin pertahankan pendapatnya, berdepan pula dengan orang yang sama-sama tahu. Apa lagi jika yang dia tahu itu berbeza dengan yang orang lain itu tahu, lalu semakin asyik ingin bergaduh untuk membentangkan pengetahuannya. Berpengetahuan tetapi tidak meningkat amalannya. Maqamnya tidak akan meningkat bahkan semakin menurun. Na'uzubillah. Oleh itu kurangkanlah perdebatan, tetapi buatlah apa yang kita sudah tahu, lagi pun sudah banyak yang kita tahu tetapi belum kita buat, yang belum kita amalkan.

8.0] Satu dari banyak perkara yang menjadi penyebab seseorang itu menyesal di akhirat ialah apabila dia tahu itu suruhan Allah, tetapi dia tidak buat atau dia tahu itu larangan Allah tetapi dia terus juga buat. Lihat dalam hadith Bukhari, bahawa Nabi s.a.w bersabda, "Tidak akan masuk syurga seseorang itu sehingga diperlihatkan terlebih dahulu tempat tinggalnya di neraka jikalau dahulunya dia memilih berbuat jahat". "Jika dahulu kamu tinggalkan perintahKu, itu tempat kamu di neraka, jika dahulu kamu langgar laranganKu, itu tempat kamu di neraka. Masa itu kamu ada peluang untuk melakukan laranganKu, tetapi kamu memilih untuk meninggalkannya. Dahulu kamu ada peluang untuk meninggalkan perintahKu tetapi kamu memilih untuk melakukannya juga". Maka bertambah-tambahlah syukurnya hamba Allah itu di akhirat nanti. 

9.0] "Dan tidak seorang pun ahli neraka yang akan dicampakkan ke dalam neraka kecuali diperlihatkan dahulu tempatnya di syurga". "Jikalau dahulu semasa di dunia, kamu berbuat baik, kerana kamu pun tahu itu suruhanKu, tetapi kamu tidak buat, walhal kamu boleh buat. Kalau kamu dahulu buat, itu tempat kamu di syurga, tetapi malang sekali kamu memilih untuk tidak buat". Orang itu menyesal dengan penyesalan yang tiada berpenghabisan, kerana dia tahu tetapi dia tidak amalkan ilmunya, kerana dia buat apa yang dia tahu itu larangan. Semua ini terdapat di dalam hadith soheh Al-Bukhori, nombor hadithnya 6,569. 

10.0] Menipu itu haram, kita tahu, mesti ditinggalkan, jika dibuat juga berdosa dan akan menyesal nanti. Lihat dalam soheh Bukhori, tahu itu salah, kenapa dibuat, tahu itu suruhan kenapa tidak dibuat, sedangkan boleh dibuat, lainlah jika tidak mampu buat sebab ada halangan syara', barulah tidak mengapa. Contohnya, kita tahu bahawa menolong orang susah itu pahalanya besar, dan kita ada peluang untuk menolong orang susah, tetapi kita tidak mampu kerana kita sendiri pun susah. Sebab itulah salafussoleh mengatakan ini dalam majmuk Ul-Fattah oleh Ibnu At-Taimiyah bahawasanya, "Sesungguhnya ganjaran balasan perbuatan baik itu ialah kebaikan selepasnya". Jika kita lakukan amal baik maka akan ada ganjarannya. Balasannya tidak perlu menunggu di akhirat, malahan di dunia pun Allah akan berikan seperti yang telah dijanjikan oleh Allah. Apakah ganjarannya? Jawapannya ialah apabila anda berbuat baik di dunia, selepas itu anda terus berbuat baik, dan berbuat baik lagi terus menerus. Kebaikan yang sentiasa diikuti dengan kebaikan, maka kebaikan yang datang selepas itulah ganjaran bagi kebaikan sebelumnya. Tetapi jika selepas berbuat baik dan selepas itu buat jahat pula, itu petanda pahala tidak ada. Contohnya selepas balik dari usrah (perbuatan baik, amal hasanah), tetapi selepas itu buat sesuatu yang tidak baik, bermakna perbuatan itu tidak berkat, tiada pahala. Malam hari menghadirkan diri di masjid, solat maghrib berjemaah, dengar syarahan agama sebab ada usrah selepas maghrib hingga ke isya', kemudian bersolat isya' berjemaah yang fadhilatnya menyamai separuh qiamullail, melakukan semua amal hasanah yang baik-baik. Sepatutnya diikuti dengan amal yang baik juga selepasnya tanda amal sebelumnya diterima Allah. Berbuat baik lagi dan berbuat baik lagi, kerana kebaikan akan menarik kebaikan dan akan mendapat pahala berterusan. Tetapi jika selepas solat berjemaah di masjid, kemudian pergi pula berjemaah di pub-pub, itu tanda amal tidak diterima Allah. Kejahatan akan menghapuskan kebaikan. Sebahagian dari siksa untuk balasan kejahatan ialah apabila selepas berbuat jahat diikuti pula dengan berbuat jahat lagi, itulah tanda amal ditolak. Apabila kejahatan diikuti dengan kebaikan, maka kebaikan boleh menghapuskan kejahatan. Kejahatan boleh menghapuskan kebaikan dan kebaikan boleh menghapuskan kejahatan. Jadi bagaimanakah caranya supaya kebaikan tidak terhapus?. Jawapannya ialah dengan berterusan berbuat baik. 

11.0] Kesimpulan seterusnya, dikutip dari kitab Zaadul Ma'ad (Bekalan kembali kepada Allah), sebab setiap kita akan pulang kembali kepada Allah, kita mesti cukup membawa bekal supaya tidak menyesal nanti. Kitab ini yang dikarang oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah (sudah ada terjemahannya, maka bolehlah dibaca sendiri dan jika tidak faham, bertanyalah kepada yang faham) iaitu tentang;

4 tingkatan jihad;
i)  Jihad memerangi/melawan nafsu 
ii) Jihad memerangi/melawan syaitan 
iii) Jihad memerangi/melawan kekufuran 
iv) Jihad memerangi/melawan orang munafiq. 

12.0] Jihad memerangi nafsu-jihaadun-nafsi-melawan, memerangi, menakluki hawa nafsu yang ada dalam diri kita sendiri, ada 4 tingkatan iaitu; 

i) Peringkat pertama jihad memerangi hawa nafsu yang sentiasa menghalangi kita mencari petunjuk dan ajaran agama yang benar. Setiap kali kita ingin mencari petunjuk dan agama yang benar, akan ada-ada sahaja halangannya, seperti dengan memberi alasan, nanti dahululah, malaslah, panas, tidak ada air-con, tempat tidak glamour, jalan sesak, tempat jauh, susah parking dan seribu satu alasan lagi. Apa yang menghalang itu adalah hawa nafsu. Kita kena lawan, ini baru peringkat ta'allum. Kita ingin belajar, ingin mencari benda yang betul, lalu dihalang dengan bisikan,"Belajar banyak-banyak lagi pening, cukuplah dengan yang dahulu emak-bapa kita ajar, sudahlah, asal kita tidak mencuri, kita akan masuk syurga"."Betulkah begitu, semudah itu?. Sedangkan amalnya banyak yang salah kerana kejahilannya. Bila kita tiada ilmu, bila kita tidak tahu mana yang betul, maka banyak amal kita yang tidak betul dan bila amalan kita tidak betul, kita tidak mendapat pahala dari amalan itu malah mungkin mendapat dosa pula sebaliknya. Orang jahil yang beramal tanpa ilmu, amalnya ditolak, tidak diterima, menjadi sia-sia, menghabiskan beras, sebab dia beramal ikut suka dia sahaja. Biasanya dia akan berkata, "Janji ikhlas, Allah terima". Padahal kita wajib mencari yang betul, mencari, belajar, ta'allamul huda itu wajib, walau pun halangan yang besar iaitu hawa-nafsu kuat menghalang.

Usah malu untuk belajar; 
-Jadilah orang yang berilmu supaya kamu boleh pula mengajar atau
-Jadilah orang yang belajar atau 
-Jadilah orang yang suka mendengar orang mengajar. Mungkin selepas maghrib pergi ke masjid untuk mendengar orang beri syarahan, tetapi apa yang telah disampaikan pada minggu lepas pun sudah lupa, sebab terlalu banyak sangat, yang boleh diingat ialah ustaz yang banyak lawak, yang membuatkan jemaah gelak tidak kering gusi, atau 
-Jadilah orang yang muhibban, suka tengok orang mengajar, suka tengok orang belajar, suka tengok orang yang mendengar orang mengajar. Tetapi takkanlah sampai bila-bila pun kerjanya hanya menghantar orang belajar, rugi sangat rugi. Walaupun kuat halangannya untuk belajar tetapi kita kena lawan kerana kita wajib mencari yang betul dan benar, kita kena belajar bersungguh-sungguh, tafaqquh fiddin

ii) Peringkat kedua jihad melawan hawa-nafsu ialah dengan bersungguh-sungguh melawan hawa-nafsu supaya kita dapat mengamalkan apa yang kita sudah tahu. Setelah kita belajar, kita tahu, kemudian kita perlu pula berjihad mengamalkannya, sebab apabila kita tidak melawan hawa-nafsu, walaupun kita sudah tahu, namun cukup susah untuk kita mengamalkannya. Hawa-nafsu membisikkan,"Buat apa mahu buat sekarang, awak masih muda, nantilah, tunggulah sehingga berumur 85 tahun, awak belum berumur 100 tahun lagi. Kalau awak buat amal sekarang, 6 bulan depan, awak langgari lagi, macamana?, elok puas-puaskan dahulu, bila rasa puas barulah tutup buku". Tertipu orang itu, macamlah dia tahu bila ajalnya akan menjemput, oleh itu kita mesti lawan hawa-nafsu yang begitu.

iii) Peringkat ketiga ialah kita mestilah bersungguh-sungguh menyampaikan, berdakwah, apa yang kita sudah tahu kepada orang yang belum tahu. Untuk berdakwah dan menjadi penyampai ilmu adalah berat sekali. Hawa-nafsu membisikkan, "Siapalah saya, tidak berani saya". Walhal Nabi s.a.w berkata, "Sampaikanlah kepada orang lain walaupun satu ayat". Kita kena lawan hawa-nafsu kita, kena usahakan untuk berdakwah, menyampaikan ilmu. Jika kita tidak berusaha untuk menyampaikan ilmu apa yang kita telah tahu, termasuklah kita sebagai orang yang menyembunyikan ilmu, lebih-lebih lagi jika kita tiada keberanian kerana takutkan dia. Di akhirat akan ditanya oleh Allah, "Wahai hambaKu, apa yang menghalang kamu dahulu?."Aku tidak berani untuk berkata-kata kerana aku takut kepadanya". Allah berkata lagi, "Bukankah Aku lebih berhaq untuk kamu takuti?. Jika kita tidak sampaikan, walau ada peluang, hanya kerana kita takut, maka berdosa. Bila sudah tahu, tetapi tidak beramal, berdosa. Bila sudah tahu tetapi tidak sampaikan, berdosa. Oleh itu kena lawan hawa-nafsu dan jangan pula rasa menyesal kerana sudah tahu.

iv) Peringkat keempat ialah berjihad bersungguh-sungguh supaya mampu bersabar. Kalau kita tidak ada kesabaran, dan kita tidak berjaya untuk membaiki orang lain itu, biasanya maksima 3 kali kita berdakwah namun tidak berjaya, lalu kita keluarkan dalil seperti surah Al-Baqarah ayat 10;


Baru satu kali berdakwah sudah menghukum orang itu ada hati yang berpenyakit. Lalu disampaikan lagi, usaha berdakwah lebih lagi, tetapi masih belum berjaya, keluarlah lagi dalil seperti surah Al-Baqarah ayat 18,


Menganggap, melabelkan, mereka itu orang yang tuli, bisu dan buta. Tetapi setelah difikir-fikir, baru 2 kali berdakwah kepada mereka, lalu diusahakan lagi kali ketiga, masih juga tidak berjaya, keluar dalil lagi seperti surah Al-Baqarah ayat 7;


Merasa sudah terbebas dari suruhan Allah, lalu berkata, "Ya Allah, hambaMu sekarang sudah bebas, mereka itu sudah Engkau kunci hatinya, seperti yang terdapat di dalam surah Al-Baqarah ayat 6;


"Serupa sahaja, hambamu menegur atau pun tidak, ajak atau pun tidak, mereka tetap sama". "Jangan , janganlah begitu kerana kita kena ada kesabaran untuk terus berjihad, berdakwah terhadap sesama manusia". Jihad yang ini, rupa-rupanya Ibnu Qayyim mengambil kesimpulan daripada surah Al-Asr ayat 1 hingga 3;



Semua orang di dalam kerugian, kecuali orang yang beriman yang tahu kebenaran, lalu diamalkan ilmunya, kemudian disebarkan kepada orang lain walaupun ada halangan, ada cabaran, namun tetap bersabar dan itulah kuncinya jihad pertama yang perlu kita hadapi, melawan diri sendiri, musuh dari dalam, bukan dengan orang lain. Kalimah wal 'asri, wa, wa, wa itu bermakna dan, dan, dan dirangkaikan ke empat-empat perkara, mutlatul jam'i. [Nota; berbeza kalau digunakan kalimah au,au,au, senang, jika ada satu sahaja pun memada. Ini wa, dan, jika ada satu, maknanya hanya 1/4, 2 baru separuh, jika ada 3, jadi tiga suku dan perlu ada ke empat-empat baru sempurna menjadi satu syarat]. 

13.0] Jihaadus-syaiton-jihad memerangi syaitan yang datang dari luar dan syaitan ini dianggapkan sebagai kembar dengan hawa-nafsu yang tidak boleh berpisah, saling panggil memanggil, saling mempengaruhi. Jihad melawan syaitan ini ada 2 tingkatan;

جِهَادُالشَيْطَان
دَفْعُ الشُّبُهَات وَالشُّكُوك - melawan syubuhat (ragu-ragu) dan syukuk (syak)
 َدفْعُ الإِرَادَات وَالشَّهَوَات - melawan iradat (kehendak) dan syahawat (keinginan, nafsu)

Oleh itu kita kena sabar untuk;
i) Menolak syubuhat yang masih samar-samar, yang tidak jelas halal-haramnya, yang tidak jelas perintah dan larangan, dan yang syukuk (syak). Kerja syaitan ini ialah menyesatkan kita untuk menimbulkan syubuhat dan keraguan dalam diri kita. Kita sentiasa tertanya-tanya samada sesuatu itu betul atau salah, sentiasa di dalam keraguan. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, terdapat di dalam kitab yang bertajuk 'Pendapat-pendapat yang soheh berkenaan kesalahan seseorang di dalam solat berpandukan Al-Quran dan Hadith', iaitu tentang kesalahan yang dilakukan oleh seseorang sebelum solat, ketika sedang solat dan selepas solat, yang sering kali dilakukan tetapi tidak disedari. Contoh mudah, satu diantaranya ialah ketika takbiratul-ihram, sepatutnya hanya sekali sahaja, jika lebih dari sekali itu telah ragu-ragu, walhal niat tidak boleh batal iaitu apabila seseorang sudah menghadap qiblat, berniat untuk solat maghrib, maka sudah sah, tetapi syaitan pandai untuk menimbulkan keraguan tentang kesohehan niat, tentang bilangan rakaat dan sebagainya sehingga ketika takbiratul-ihram itu seseorang tidak ingat langsung apa maknanya Allahu-Akbar. Timbul syak dan ragu-ragu yang perlu mengambil masa yang agak lama untuk dapat mula bersolat, itu sudah syubuhat dan syukuk yang mesti dilawan. 

Begitu juga tatkala berwudhu, yang penuh ragu-ragu, kita kena lawan kerana itu adalah kerja syaitan yang menimbulkan syak keraguan. Kita perlu jihad melawan syaitan, jika tidak nanti habislah tenaga dan masa kita dipermainkan oleh syaitan.

ii) Melawan iradat, keinginan, kemahuan yang bercanggah dengan syara' yang diutarakan oleh syaitan kerana syaitan adalah kembar hawa-nafsu. Allah ciptakan kita ada keinginan, ada kemahuan yang tidak terhad, Islam datang menyuruh kita menghadkannya. Oleh itu jika ada keinginan yang bercanggah dengan syara' maka hendaklah kita lawan sebab itu datangnya daripada syaitan. Contohnya mahu makan sebab ada keinginan untuk makan, maka silalah makan, tetapi hendaklah dihadkan. Ingin berjalan boleh, tetapi mesti ada tujuan, ada manafaatnya. Hendak beribadah pun boleh, tetapi mesti yang betul. Jika keinginan untuk beribadah ini tidak dihadkan, maka ada bermacam-macam ibadat. Ada solat sempena isnin, ada solat sempena selasa, ada wirid sempena ahad, ada wirid sempena jumaat, ada wirid sempena march, ada wirid sempena ogos, kerana ada keinginan untuk beribadah yang sangat kuat, maka syaitan pun manafaatkan cara itu, dan akhirnya banyak ibadah bidaah yang tidak sunnah dilakukan. 

Mencintai dan menghormati Rasulillah s.a.w adalah disuruh, tetapi ingat!, jika tidak dihadkan, syaitan boleh masuk, sehingga orang sanggup mendewa-dewakan Rasulillah s.a.w lebih dari yang sepatutnya dan itu berdosa. Menghina Rasulillah s.a.w juga adalah berdosa. Ini semua kerja syaitan dan kita kena lawan. Oleh itu kita kena tahu setakat mana kita boleh mencintai Rasulillah s.a.w, tidak boleh melebihi dari yang sepatutnya tetapi juga jangan sampai menghina kerana semua itu berdosa. Keinginan untuk beribadah yang sangat kuat, lantaran cita-cita untuk masuk syurga yang luar-biasa, apa lagi dengan merasa banyak amal tertinggal, akhirnya ibadah pun pelik-pelik. Ada ibadah puasa yang tidak makan, tidak bercakap, tidak menengok orang, tidak menengok api dan sebagainya, salah lagi, syaitan lagi yang memainkan peranan. Maka untuk melawan yang pertama iaitu syubuhat dan syukuk, kita perlulah yakin, manakala untuk melawan keinginan dan kemahuan (iradat dan syahawat) adalah dengan kesabaran dan ini dinyatakan oleh Allah di dalam surah As-Sajdah ayat 24;



Di dalam ayat di atas diceritakan tentang orang yang dipilih oleh Allah untuk menjadi ketua. Kenapa Allah beri mereka kelebihan menjadi ketua?. Jawapannya ialah kerana mereka sabar dan yakin dan inilah caranya untuk menolak syaitan. Contoh keinginan dan kemahuan (iradat dan syahawat) yang biasa dikalangan kita; 

i) "Kalau diikutkan hati, aku borong semuanya, tetapi nasib baik boot kereta sudah penuh". 
ii) "Kalau diikutkan hati, ingin makan bertambah-tambah lagi sebab sangat sedap makanan ini, tetapi apakan daya perut sudah penuh, kenapalah Allah ciptakan kecil sangat perut ini".

Dalam menghadapi segala itu, kita hendaklah bersabar, dan sabar itu maknanya Al-Imsak (menahan). Jadi mana-mana kemahuan dan keinginan yang bercanggah dengan syara' hendaklah ditahan dan menahan itu namanya sabar. Tetapi apabila kita dinasihati supaya bersabar, kita akan merasa berat, dan membalas dengan kata-kata seperti,"Sabar pun ada hadnya, sekali dua kali masih boleh sabar tetapi jika lama-lama tidak dapat bersabar juga". Sabar itu jihad dan perlu ketahanan diri yang kuat sebab itu ganjarannya pun hebat. 

 14.0] Jihadul kuffar wal munafiqin-dijadikan satu kerana keduanya adalah dari manusia yang datang dari luar dan sebangsa dengan kita, mereka mungkin kawan kita, atau mungkin saudara kita sendiri.

Ada 4 tingkatan cara berjihad iaitu; 

i) Jihad bil-qalbi iaitu berjihad dengan hati 
ii) Jihad bil-lisaani iaitu berjihad dengan lidah
iii) Jihad bil-mali iaitu berjihad dengan harta-benda, dengan wang ringgit, dengan dolar dan riyal, dengan rupee dan lira. 
iv) Jihad bin-nafsi iaitu berjihad dengan diri, tubuh-badan, kalau perlu nyawa sekali pun dipertaruhkan. 

15.0] Jihad melawan orang kafir dan munafiqin ialah jihad melawan kekufuran atau melawan orang yang mengaku Islam tetapi tidak dalamannya. Jihad melawan kekufuran, orang kafir, diutamakan dengan jihad harta-benda (bil-mali) dan diri serta nyawa (bin-nafsi), sementara jihad terhadap munafiqin mengutamakan jihad bil-qalbi wal-lissani (jihad dengan hati dan lidah). Kenapa begitu? Sebab dari segi syara', dari segi zahirnya orang munafiqin perlu diperlakukan seperti orang Islam, seperti muslim 100%, sebab mereka solat seperti kita. Mereka tidak boleh dicela, haram darahnya, haram hartanya, sembelihan mereka halal, apabila berjumpa kita disuruh memberi salam kepada mereka dan apabila mereka memberi salam kita disuruh menjawabnya, apabila mereka sakit kita disuruh lawatinya. Jihad kita kepada mereka bagi membukakan niqob mereka, membetulkan kesalahan mereka dengan cara yang lebih lembut. Sikafir pula memang terang-terangan, sebab itu jihad terhadap mereka adalah dengan mal wan-nafs (harta-benda dan jiwa). Apabila disebut mal, bukan semata-mata harta-benda tetapi lebih luas lagi, seperti jika sikafir ada media, maka orang Islam pun perlu ada media juga, ima media cetak waima media elektronik. Sekarang ini informasi adalah melalui media, perang media sekarang ini sangat dahsyat. Pemahaman kita dibentuk dengan informasi. Contohnya kita tidak kenal pun seseorang itu yang berada di luar negeri, tetapi dari informasi, pandangan dan anggapan kita terhadap orang itu terbentuk, mungkin tidak betul, walhal kita tidak kenal pun orang itu. Pengaruh media yang dahsyat, itu dari jihad bil-mal wa bin-nafsi (jihad dengan harta dan jiwa). Kita masih ke belakang dalam jihad ini, masih seumpama makmum, kalau ibarat orang berperang, tidak seimbang, mereka menggunakan kereta kebal kita pula menggunakan kereta plastik dan hanya melempar dengan batu dan sebelumnya membaca doa dengan harapan batu terkena kereta kebal dan meletup. Nabi s.a.w yang doanya sangat maqbul tidak terlalu bergantung kepada doa semata-mata, tetapi setiap kali akan berperang mesti berlatih, bersedia sepenuhnya dengan kelengkapan yang seimbang. Nabi s.a.w tidak hanya berdoa pada air dan beri minum kepada sahabat dengan keyakinan dapat cekap berperang, tetapi bersedia, berlatih bersungguh-sungguh, berjihad dengan sepenuh-hati berserta doa-doa mohon pertolongan dari Allah, barulah lengkap dan menepati syara'. 

Semoga bermanafaat dan diberkati Allah. Allahumma aamiin.



2 comments:

  1. Alhamdulillah, saya mendapat ilmu yang sangat bermanfaat daripada tulisan saudari. Semoga Allah S.W.T. memberi ganjaran-Nya yang besar kepada saudari.

    ReplyDelete
  2. Kami juga anak murid ustaz Dr Kariman. Muga ramai ambil manfaat tulisan saudari. Muga Allah memberi pahala atas segala usaha saudari,barakallahu feekom

    ReplyDelete